"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Shahidan cium tangan Anwar? (Gambar)

ARIF ATAN

Tular di media sosial gambar Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim mencium tangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Foto yang dirakam di bangunan Parlimen hari ini turut menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin PKR dan Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam gambar tersebut jelas sedang melihat aksi Shahidan yang dikenali kerap tampil dengan imej bersongkok itu.

Untuk rekod, Anwar, 72, hanya empat tahun lebih tua daripada Shahidan.

Aksi Shahidan itu berlaku ketika isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad masih diperkatakan.

Seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Shahidan mengkritik Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu.

Walau bagaimanapun, nada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terhadap Dr Mahathir kemudiannya lebih lunak sejurus BN kecundang.

Bahkan, Shahidan menyalahkan media yang dakwanya salah lapor kenyataannya berhubung Dr Mahathir.

Pada April lalu pula, Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau mempertahankan Dr Mahathir daripada diserang dan digelar sebagai diktator oleh pihak tertentu.

Pas jadi ‘tukang cuci’ bersihkan nama Umno

AKMAL MANAF
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Pas sebagai tukang cuci untuk membersihkan tindakan Umno yang mengaku kalah dengan menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada MCA.

Katanya, perkara itu sesuatu yang amat malang apabila Pas dijadikan sebagai tukang cuci selepas Umno gagal menuntut kerusi yang dipertandingkan di kawasan itu.

“Pertama, semua orang tahu bahawa kerusi itu diserahkan kepada MCA selepas Umno gagal untuk menuntut kerusi itu diberikan kepada mereka (Umno).

“Sememangnya, semua orang tahu bahawa Umno mahukan kerusi Tanjung Piai untuk mereka meletakkan calon mereka dan telah pun berlaku perebutan yang sangat ketara.

“Sehinggakan majlis pengumuman calon tidak jadi untuk diumumkan kerana ada halangan ugutan daripada pihak MCA.

“Akhirnya apabila Umno mengalah kepada MCA, lalu tukang cucinya untuk membersihkan tindakan Umno yang mengaku kalah kepada MCA adalah tok lebai Pas dan saya kira ini sesuatu yang amat malang,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, di lobi Parlimen hari ini.

Justeru, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia mencadangkan agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Marang dan beberapa lagi ahli parlimen serta Adun di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pas.

“Ia bagi membolehkan kerusi itu diserahkan kepada MCA dan anggota daripada MIC bagi mengimbangi antara bukan Islam, bukan Melayu dan juga Muafakat Nasional.

“Itulah langkah terbaik apabila kenyatan Tok Guru (Presiden Pas) yang menyatakan untuk mengimbangi dalam Muafakat Nasional ini memerlukan lebih daripada orang bukan Islam, ahli parlimen bukan Islam dan juga Adun daripada bukan Islam,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bekas hakim, pendakwa dan peguam didakwa terima suapan

Bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas, 45 hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM17,500 sebagai upah dia hanya mengenakan denda terhadap tujuh warga asing yang melakukan kesalahan Imigresen, pada Julai lalu.

Selain bekas hakim tersebut turut didakwa adalah Khairul Azhwa Yusrie, 32, yang juga bertugas sebagai timbalan pendakwa raya di mahkamah sama serta peguam Noor Amirul Nazreen, 31.

Azmil kini bertugas sebagai pegawai undang-undang di Istana Kehakiman di Putrajaya

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, antara jam 9.30 pagi hingga 2.45 petang pada 17 Julai lalu di mahkamah sama.

Dipercayai, ini kali kedua dalam sejarah Malaysia seorang hakim yang sedang berkhidmat diheret di mahkamah susulan pertuduhan jenayah.

Kes ini dipercayai mempunyai kaitan dengan siri penangkapan SPRM pada Julai lalu.

Agensi pelancongan saman Azmin RM329k tuntut hutang perjalanan

Hidir Reduan Abdul Rashid

Sebuah agensi pelancongan memfailkan saman terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menuntut RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang belum dibayar.

Dalam kenyataan tuntutannya yang dilihat Malaysiakini, YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd berkata Azmin berhutang bagi perjalanan antara September 2018 dan Ogos 2019.

Mengikut pecahan tuntutan tersebut, firma itu telah menempah tiket penerbangan dan penginapan hotel untuk Azmin, keluarganya, rakan-rakan dan kakitangan kementerian.

Firma itu berkata ia telah membayar kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket dan sepatutnya akan dibayar kemudian oleh Azmin atau wakilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

"Selanjutnya, defendan dan/atau wakilnya yang diberi kuasa juga akan membuat pembayaran sebelum umrah dan/atau haji atau sebelum tempoh hari raya terdekat.

"Bagaimanapun, dalam hal ini, pembayaran telah tertunggak untuk jangka masa yang lebih lama daripada jangka masa yang disebutkan di atas," kata firma tersebut.

Firma itu berkata ia telah menguruskan perjalanan Azmin selama 20 tahun, di mana kedua-dua pihak tidak pernah ada pertikaian.

Pada bulan Ogos dan September lalu, firma itu mengeluarkan dua surat tuntutan kepada Azmin untuk jumlah tersebut, tetapi tidak ada bayaran dibuat dan oleh itu plaintif menyatakan ia mengalami kerugian dan kerosakan.

Writ saman YHA Travel & Tours' difailkan firma guaman Messrs Fong Yap & Gan.

Antara lain, kenyataan tuntutan pihak agensi pelancongan itu berkata plaintif telah menyediakan tiket penerbangan untuk percutian akhir tahun keluarga Azmin di Maghribi dan lawatannya semalaman pada Mei ke Sandakan, Sabah.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Azmin untuk mendapatkan maklum balas.

UMNO silap besar letak calon ‘recycle’ ultra kiasu - Ridhuan Tee

“Sudah tiada calon lain nak bertanding? Jika calon MCA sekali pun carilah individu seperti mendiang Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong.

“Bukan calon ‘recycle’ yang kita sudah tahu pendirian dia terhadap Melayu dan Islam,” luah pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Beliau mengakui kecewa tindakan Barisan Nasional (BN) memilih calon daripada parti perkauman MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng bagi mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November depan.

Difahamkan, pemilihan Jeck Seng sebagai calon bagi PRK berkenaan adalah keputusan sepakat yang telah dicapai bersama seluruh kepimpinan BN.

Ridhuan Tee menyifatkan, UMNO melakukan kesilapan besar dengan meletakkan calon ‘recycle’ yang sudah terkenal dengan sifat ultra kiasu itu.

“Kecewa yang teramat apabila mendapat berita UMNO memilih MCA untuk bertanding di Tanjung Piai, mungkin kerana telah diugut MCA, akan keluar BN sehingga membawa kepada terbubarnya BN.

“Hina sangat UMNO jika termakan dengan ugutan ini. Jika benarlah dengan keluarnya MCA akan terbubar BN, semua Ahli Parlimen BN akan menjadi tidak berparti atau ahli bebas, reda dan hadapilah dengan penuh tabah.

“Jika tidak, sampai PRU15 nanti, pasti politik ‘bodoh’ akan berulang dan menjadi budaya. Budaya yang membodohkan kita sebagai orang Islam. Yang rugi sudah tentu bukan MCA, tetapi adalah parti orang Melayu seperti UMNO dan PAS,” katanya.

Ridhuan Tee bagaimanapun mengakui tidak semua ahli MCA bersikap ultra kiasu, namun malangnya mereka yang baik tidak menjadi pemimpin utama.

“Rata-rata yang memimpin adalah ultra kiasu. Mereka ini jadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan. Tidak mahu patuh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial. Terus pertikaikan, ugut dan desak. Sampai bila kita mahu menjadi pengemis kepada MCA?

“Saya bukan rasis. Saya tetap Cina sampai bila-bila. Semua Cina itu saudara saya. Lebih-lebih lagi ahli keluarga saya. Namun, saya masih boleh mengenali mana Cina baik, mana yang ultra kiasu.

“Cina baik adalah Cina seperti mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong dan lain-lain lagi. Manakala, Cina ultra kiasu adalah Cina yang berada dalam parti ultra kiasu seperti MCA, Gerakan dan DAP,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, sekiranya parti berkenaan tidak ultra kiasu, sudah tentu mereka akan bersama menjunjung perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial yang telah menghasilkan Perlembagaan negara.

“Contoh-contoh yang biasa kita dengar seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan sebagainya,” katanya.

Siapa 6 calon bertanding di Tanjung Piai?

Malaysiakini 
Penamaan calon PRK Tanjung Piai semalam menyaksikan enam nama muncul bagi merebut kawasan parlimen yang mempunyai populasi kaum bercampur itu.
Malaysiakini menyediakan panduan tentang calon-calon yang bakal dipilih pengundi Tanjung Piai nanti.
1. Wendy Subramaniam (Gerakan)
Walaupun dianggap baru menceburkan dirinya ke dunia politik, Wendy menjadi wakil Gerakan pada PRK pertama yang ditandingi parti itu selepas PRU14 lalu dan selepas parti itu keluar dari BN.
Beiau ialah timbalan setiausaha agung Gerakan, namun sepanjang 12 tahun keanggotaannya, kebanyakan masa beliau tidak aktif sehinggalah dua tahun lalu.



Gerakan mahu Wendy menjadi kuasa ketiga dalam persaingan antara PH dan BN-PAS.
Jika menang, wanita berusia 38 tahun itu akan menjadi satu-satunya wakil Gerakan di Dewan Rakyat selepas kekalahan teruk parti itu pilihan raya umum lalu.
2. Wee Jeck Seng (BN)
Wee pernah berkhidmat sebagai anggota parlimen (MP) Tanjung Piai selama dua penggal, sebelum tewas tipis dengan 524 undi pada PRU14.

BN lewat mengumumkan pencalonan beliau, memandangkan wujud gesaan agar kerusi kawasan yang mempunyai 58 peratus pengundi Melayu itu ditandingi calon Umno.
Wee disenangi masyarakat setempat, walaupun di kalangan komuniti Melayu memandangkan kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.



Di samping itu, beliau turut menjaga kebajikan penganut Islam, seperti pernah menggunakan peruntukan parlimennya untuk menghantar penduduk menunaikan haji di Mekah.
Calon 55 tahun itu juga menggunakan istilah-istilah seperti InsyaAllah dan Alhamdulillah dalam ceramah, dan sering mengimbau pengalamannya membesar di kampung Melayu.
Meskipun PH menikmati ombak sokongan bukan Melayu pada PRU14, Wee dianggar berjaya memperoleh 30 peratus undi orang Cina, yang merupakan 41 peratus pengundi di Tanjung Piai.
3. Ang Chuan Lock (Bebas)
Kemunculan Ang di penamaan calon adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.
Pengendali pusat tuisyen berusia 49 tahun itu juga mahu menjadi kuasa ketiga yang berjuang untuk rakyat.



Penduduk asal Tanjung Piai itu menganggap dirinya sebagai "tidak berpihak" dan sanggup bekerja dengan mana-mana pihak dalam politik.
Dia menggunakan logo kunci untuk PRK ini, yang katanya, kena dengan namanya Lock.
4. Karmaine Sardini (Pakatan Harapan)
Karmaine, 66 tahun merupakan tokoh agama yang dikenali dan pernah berkhidmat sebagai imam di Masjid Al-Muttaqin Johor Bahru selain menjadi pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.
Beliau juga pernah bekerja sebagai pembantu seni bina untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dari 1978 hingga 1990.



Ini cubaan kali kedua buat ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai itu bertanding untuk kerusi parlimen.
Pada PRU14, beliau bertanding di Pontian dan kalah tipis kepada Ahmad Maslan dari BN dengan majoriti 833 undi.
5. Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa)
Presiden Berjasa ini mengumumkan niatnya bertanding dalam PRK kali ini susulan keputusan BN meletakkan calon MCA berbanding Umno.



Jurutera kimia itu berkempen atas platform Melayu Islam, namun menafikannya sebagai perkauman, dengan memetik Pelembagaan Persekutuan yang katanya mempunyai peruntukan sama mengenai hak keistimewaan Melayu dan juga pengiktirafan bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia.
Pada PRU lalu, beliau turut bertanding di Tanjung Piai di bawah tiket PAS dan berjaya memperoleh 2,962 undi.
6. Faridah Aryani Abdul Ghaffar (Bebas)
Faridah merupakan calon terakhir yang berjaya menghantar borang pencalonan semalam dan merupakan satu lagi kejutan dalam PRK ini.
Meskipun pada mulanya tidak banyak maklumat tentang wanita berusia 45 tahun itu, kemudian diketahui bahawa dia merupakan calon pengganti saat akhir yang mewakili kumpulan teksi, Gabungan Teksi SeMalaysia.



Dia menggantikan pengasas Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail yang dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.
Faridah memaklumkan dia bertanding bagi memperjuangkan nasib golongan B40.
Dia menggunakan logo kereta untuk PRK kali ini.