"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Covid-19: Pandemik atau keganasan serangan biologi?

DR. NOOR DZUHAIDAH OSMAN

Penulis terbaca rencana tulisan ahli akademik negara jiran yang mengutarakan pandangan tentang keganasan biologi rentetan kes Anthrax di Amerika Syarikat selepas kejadian September 11 tahun 2000, membandingkan dengan kes pandemik yang melata di seluruh dunia kini.

Penulis secara dasarnya menyimpulkan bahawa penulis tersebut walaupun tinggal berdekatan negara Asia tetapi pemikiran lebih ke arah pro Amerika kerana negaranya dikatakan kembar Amerika Syarikat belah Asia Tenggara.

Pemikiran pro Amerika dikatakan membawa ideologi barat yang dipropagandakan di sebelah Asia.Penulis secara pemerhatian mendapati bahawa dunia selain secara ideologi jua geopolitik terbahagi secara ringkasnya samada timur atau barat.

Walau mana-mana pihak berhak menyatakan pandangan masing-masing tentang isu dunia yang berlaku, namun natijahnya kita dapat melihat propaganda mana yang lebih popular dan berkesan, adakah pro barat atau pro timur.

Seorang rakan di Britain semasa pembentangan tentang propaganda menerangkan bahawa propaganda ialah informasi terutamanya yang menyeleweng atau berat sebelah digunakan untuk menyampaikan pendapat atau bermatlamat politik.

Semasa pembentangan beliau, mahu sahaja penulis mengutarakan pandangan bahawa Britain juga antara sekutu utama dunia yang rajin menyebarkan propaganda bersama sekutu kuatnya Amerika syarikat hinggakan Tony Blair Perdana Menteri Britain ketika itu sekitar tahun 90an mengatakan bahawa Bill Clinton adalah abang besar negaranya.

Namun hasrat penulis terhenti kerana memikirkan bahawa hujah penulis pasti akan dikritik hebat kerana merupakan pembentang golongan minoriti ketika itu. 

Dalam hal pandemik Covid-19 kini, penulis berpendapat pandangan, tindakan atau propaganda yang dimainkan kerajaan juga badan-badan berkaitan dunia dilihat berat sebelah.

Sebagai contoh apabila virus pandemik Covid-19 dikatakan berasal dari Wuhan, China, maka ada suara-suara dari belah barat menuduh China melakukan keganasan biologi dengan menularkan virus dari makmal di China ke luar lalu terjadilah pandemik tersebut.

Begitu juga dengan kes-kes keganasan biologi bahan kimia Anthrax selepas kejadian September 2000 yang dikatakan bertanggungjawab adalah golongan Al Qaeeda juga dilabelkan sebagai extremis atau fundamentalis agama.

Kes Anthrax tersebut dikaitkan dengan keganasan biologi oleh Al Qaeeda walau golongan tersebut sebelum ini tidak pernah didengar oleh mana-mana dunia Islam sebelum ini tidak seperti puak-puak terkenal Hezbollah, Hamas atau Taliban yang disebut pengganas militan agama.

Dalam kes Covid-19 ini yang kemudian merebak ke serata dunia, ianya disebut sebagai satu pandemik kerana kelihatan negara-negara hebat sebelah Barat pun terkesan juga tidak terkecuali dengan serangan virus ini.

Nah lihatlah pola kejadian atau modus operandi virus atau keganasan biologi dalam kes sebegini. Apabila virus ini dikatakan disebar oleh negara-negara tertentu atau puak-puak tertentu maka ianya disebut sebagai keganasan biologi.

Manakala dalam kes virus yang tersebar melata juga terkesan secara langsung dengan hebat di Barat, hinggakan kekuatan sains dan teknologi mereka yang tercanggih pun tidak mampu mengatasinya, maka ianya disebut pandemik lalu disokong oleh pertubuhan-pertubuhan juga organisasi utama dunia.

Jadi di sini kelihatan satu jenis propaganda dimainkan oleh barat atau timur, tergantung kepada peranan mereka kali ini samada berniat untuk mencapai cita-cita politik atau ekonomi mereka yang tersendiri.

Pandemik merupakan bukan perkara baru kepada jutaan penduduk dunia yang menyaksikan pelbagai jenis virus dan penyakit yang menular, mahupun sejak zaman kerasulan terdahulu lagi.

Namun dewasa ini dengan kepintaran manusia ditambah dengan ketinggian teknologi juga tamadun kini, menyebabkan kadar penularan bertambah hebat dan kadar kematian yang semakin menggerunkan berbanding masa lampau.

Ditambah lagi dengan mobiliti manusia, haiwan dan barangan yang menyebabkan penyebaran virus secara lebih cepat berbanding dahulu.

Tidak cukup dengan itu penyebaran virus ini dahsyat kesannya berbanding perang kerana mengakibatkan ekonomi negara-negara dunia menjadi lumpuh juga sistem keselamatan siber juga menjadi kurang ampuh.

Ini secara langsung atau tidak terhasil akibat pergerakan manusia yang dihadkan di rumah, yang membuatkan mereka kehilangan pekerjaan juga pendapatan dan meningkatkan kadar kebergantungan pada teknologi informasi dan komunikasi (ICT) sebagai medium untuk bekerja, belajar dan berkomunikasi.

Pandemik Covid-19 dari satu segi diwar-warkan oleh golongan pro Amerika sebagai keganasan biologi dari makmal di China, tetapi dari satu segi lagi ianya secara umumnya dikatakan sebagai pandemik oleh pertubuhan-pertubuhan dunia. Dalam masa yang sama serangan-serangan jenayah siber semakin berleluasa malah dengan berani menyerang laman web kerajaan-kerajaan.

Pandemik Covid-19 boleh dilihat sebagai serampang dua tiga mata yang secara dasarnya bukan sahaja menyerang kesihatan awam, ekonomi, sosial juga dilihat berupaya menggegarkan kekuatan politik sesebuah negara.

Maka boleh dilihat berapa banyak negara yang rakyatnya menyeru agar kerajaan yang tidak berupaya menyelesaikan polemik tersebut agar meletakkan jawatan lalu digantikan pemerintahan baru tanpa perlu mengangkat senjata.

Penulis berpandangan bahawa sebenarnya ada propaganda yang tersirat di sebalik yang tersurat lantaran pandemik ini.Dan setengah pandangan blok-blok dunia dilihat berat sebelah dengan mengklasifikasikan apabila virus, ejen jangkitan, bahan berbahaya biologi atau bahan biokimia dengan berdasarkan siapakah yang memberi definisi tersebut.

Maksudnya jika ia didefinisikan oleh setengah pihak yang berpengaruh sebagai pandemik maka, badan dunia tertentu yang berkuasa.Jika ia diklasifikasikan sebagai keganasan biologi (bioterrorisma) oleh pihak-pihak tertentu maka akan adalah nanti setengah golongan yang akan menjadi tertuduhnya.

Sementelahan lagi tertuduh kes-kes Anthrax di Amerika Syarikat satu ketika dahulu juga seperti tidak selesai kisahnya tetapi dilihat kumpulan militant tertentu telah dipropagandakan dengan jayanya terlibat secara bersama dalam kes keganasan biologi tersebut.

Penulis bukan menafikan kehadiran pandemik tersebut tetapi berharap masyarakat dan kerajaan lebih peka dan memperhalusi tindakan juga tindakan yang bersepadu dalam menangani isu-isu tersebut agar kita bertindak lebih mampan walau mungkin kelak diklasifikasikan sebagai golongan kiri, menentang arus dan sebagainya.

Fikir-fikirkanlah dengan akal diberi Tuhan kepada insan agar kita bisa menangani isu ini dengan jayanya jika tidak sekarang bila lagi.

————————-

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Lelaki ditemui maut hadap komputer riba

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dengan menghadap komputer riba di ruang tamu sebuah rumah di Taman Jambu Mawar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Berita Harian melaporkan jiran mangsa menghubungi pasukan bomba pada 9.30 malam Jumaat kerana mangsa tidak keluar dari rumah selepas beberapa kali memanggilnya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dipetik akhbar itu berkata, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian terpaksa memecahkan pintu berkunci dengan peralatan khas.

Katanya, seorang lelaki berusia 60-an ditemui duduk di atas lantai ruang tamu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kakitangan perubatan di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.”

Muhyiddin, Kabinet perlu letak jawatan - MP senarai 4 'kegagalan' PN

 Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini menyenaraikan empat sebab mengapa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya perlu letak jawatan.

Menurut Hassan, Muhyiddin dan barisan menteri perlu berundur kerana gagal menangani penularan wabak Covid-19, keadaan ekonomi yang semakin merudum, isu tadbir urus dan kepimpinan serta pengisytiharan darurat yang tidak wajar.

Menyentuh peningkatan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat walaupun dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), Hassan berkata jumlah kes semalam, iaitu 5,725 kes yang merupakan angka tertinggi, jelas menunjukkan kegagalan Muhyiddin.

“Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia. Kesimpulannya, PM Muhyiddin dan kabinet pimpinannya telah gagal menangani Wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Sebab kedua, menurut Hassan, adalah kemerosotan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International untuk tahun ini, yang jatuh enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya, dalam tempoh 11 bulan Muhyiddn mentadbir negara.

Dia juga menyebut antara faktor kemerosotan yang diambil kira indeks tersebut, iaitu sejumlah kes mahkamah berprofil tinggi yang digugurkan atau dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA), antaranya melibatkan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz.

Berhubung kedudukan negara dalam CPI, Pejabat Perdana Menteri semalam menegaskan kerajaan terus komited untuk memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus kerajaan.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen PKR itu turut berkata ekonomi negara juga gagal diuruskan dengan baik, dengan penurunan penarafan kedudukan kewangan negara dan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI).

"Berjuta rakyat hilang pekerjaan. Kadar hutang negara berbanding KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) semakin meningkat. Kerajaan Muhyiddin gagal menghasilkan peluang pekerjaan baru kepada berjuta rakyat yang menganggur," katanya lagi.

“Terakhir sekali ialah fakta yang dibentangkan oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada tahun 2020,” katanya lagi.

Dia juga mendakwa kerajaan PN tidak mendapat mandat rakyat dan menggunakan proklamasi darurat untuk menggantung Parlimen agar dapat terus mengekalkan kuasa.

“Dengan berlandaskan seekurang-kurangnya empat sebab kegagalan ini, maka dengan sesungguhnya demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini, saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan segera,” katanya.

Penat duduk rumah, patuh SOP tapi kes tak turun, luah warganet

MALAYSIA DATELINE 

January 29, 2021

Susulan kes baharu positif COVID-19 melonjak kepada 5,725 kes pada hari ini, warganet terus mempertikaikan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan kerajaan bermula 13 Januari lalu.

Bagi mereka selepas 14 hari pelaksanaan PKP 2.0 sepatutnya angka kes baharu menurun bukannya semakin melonjak seperti yang dilaporkan hari ini.

Malahan ada yang menyifatkan lebih baik tidak perlu adakan PKP kerana penat duduk di rumah dan mematuhi SOP yang diarahkan kerajaan malangnya kes terus meningkat.

“Penat je duduk uma n patuhi SOP siap bt pkp lg tp kes bkn menurun tp makin meningkat…tahniah2 malaysia….besok 10k…tepukkkk,” kata Jiwa Santai.

“Xyah pkp la kalo kes mcm ni… Sm je… Angka pesakit covid tu serupa x yah pkp.. Sume urusan aku tergendala.. Nk keluar daerah ade urusan..,” tulis Lya Aries di ruangan komen facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bukan itu sahaja ada juga yang melihat PKP 2.0 kali ini agak longgar dan ia adalah usaha yang sia-sia tidak seperti 1.0 pada Mac tahun lepas yang lebih berkesan.

“PKP LONGGAR 2.0 dah lebih 2minggu hanyalah PKP sia2 . Buat jelah PKP PENUH TOTAL LOCKDOWN . tak payah buang masa dgn PKP MAIN2 mcm ni …. bosan . Rakyat nak perubahan positif bukannya perubahan yg lebih buruk,” tulis Kyairul Sofearade.

Ekoran itu ramai yang melahirkan simpati kepada barisan hadapan khususnya kakitangan KKM yang mengorbankan masa dan tenaga untuk memastikan rantaian pendamik ini putus.

“PKP tapi macam tak ada PKP, serba serbi longgar dan tiada kesungguhan mengurangkan kes baru, kesian barisan hadapan berhempas pulas, bersengkang mata tapi kes baru tetap naik,” tulis Dato Mansor.

Selepas 17 hari perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan bermula 13 Januari lalu hari ini kes baharu positif COVID-19 melonjak kepada 5,725 kes menjadikan kumulatif kes baharu setakat hari ini 203,933 kes.

------—--------------—-

Covid-19 semakin mengganas, Malaysia catat rekod lagi

Malaysiakini 

Kes baru paling tinggi hari ini 5,728 kes, maklum KKM.

Selangor mencatat rekod tertinggi dengan 3,285 kes.

Sementara itu, 13 lagi kematian dilaporkan, manakala seramai 319 pesakit di ICU dengan 120 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Status ringkas hari ini:

Jumlah kes sembuh baru: 3,805 kes

Jumlah kumulatif kes sembuh: 161,527 kes (77.04 %)

Jumlah kes baru Covid-19: 5,728 kes

Jumlah kumulatif: 209,661 kes

Jumlah kes aktif: 47,388 kes

Kes tempatan: 5,723 kes

Kes import: 5 kes (2 WN, 3 BWN)

Jumlah kematian baru: 13 kes (12 WN, 1 BWN)

Jumlah kumulatif kematian: 746 kes (0.36 %)

Jumlah kes di ICU: 319 kes

Pesakit Covid-19 Intubated: 120 kes

Terkini. Kes baharu paling tinggi hari ini 5,728 kes. Selangor tertinggi 3,285 kes. 13 lagi kematian. #COVID19 #JagaNegaraKita

— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) January 30, 2021

Covid-19 semakin mengganas, Malaysia catat rekod lagi

Malaysiakini 

Kes baru paling tinggi hari ini 5,728 kes, maklum KKM.

Selangor mencatat rekod tertinggi dengan 3,285 kes. 

Sementara itu, 13 lagi kematian dilaporkan, manakala seramai 319 pesakit di ICU dengan 120 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Status ringkas hari ini:

Jumlah kes sembuh baru: 3,805 kes

Jumlah kumulatif kes sembuh: 161,527 kes (77.04 %)

Jumlah kes baru Covid-19: 5,728 kes

Jumlah kumulatif: 209,661 kes

Jumlah kes aktif: 47,388 kes

Kes tempatan: 5,723 kes

Kes import: 5 kes (2 WN, 3 BWN)

Jumlah kematian baru: 13 kes (12 WN, 1 BWN)

Jumlah kumulatif kematian: 746 kes (0.36 %)

Jumlah kes di ICU: 319 kes

Pesakit Covid-19 Intubated: 120 kes

Terkini. Kes baharu paling tinggi hari ini 5,728 kes. Selangor tertinggi 3,285 kes. 13 lagi kematian. #COVID19 #JagaNegaraKita

— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) January 30, 2021

Dakwa Annuar Musa biar mahkamah tentukan

Dakwa Annuar Musa jelaskan di mahkamah seperti orang lain

MALAYSIA DATELINE

Pihak  berkuasa digesa mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berikutan tular sebuah gambar yang menunjukkan beliau telah melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, menteri melanggar SOP bukanlah perkara baru namun pihak berkuasa seolah-olah pura-pura tidak melihat apa yang dilakukan oleh mereka.

“Di dalam kes Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, saya percaya rakyat berhak mendapat penjelasan dari pihak polis, apakah Annuar melanggar SOP?

“Sekiranya tidak apakah alasannya? Bukan perbuatannya sudah terang lagi bersuluh melanggar SOP? Mengikut SOP yang ditetapkan, aktiviti beriadah lebih dua orang dilarang sama sekali!” soal beliau dalam kenyataan.

Annuar Musa sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu berkenaan, difahamkan bahawa mereka berjalan di laluan berasingan dan pertemuan mereka adalah secara kebetulan.

“Sekiranya itu penjelasannya, biarlah kenyataan ini dipakai di hadapan magistret,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa hendaklah mendakwa beliau di mahkamah dan biarkan beliau beri penjelasan tersebut kerana ramai orang di luar sana disaman dan dikenakan tindakan tegas, kebanyakan dari mereka tidak berpeluang untuk menjelaskan situasi mereka.

“Sekiranya mereka ini perlu lalui perkara tersebut, maka Annuar Musa harus lalui perkara yang sama! Sekiranya dia tidak disiasat, rakyat sudah pastinya akan berang dan mempertikaikan kewibawaan pihak polis dalam menjalankan tugas,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini kerajaan Perikatan Nasional dilihat sebagai kerajaan yang tidak bertanggungjawab apabila setiap kali isu seperti ini muncul pasti ada alasan yang diberikan.

“Hari demi hari kerajaan hanya membuktikan bahawa menteri dan rakyat adalah dari darjat yang berbeza.

“Rakyat biasa seperti Nur Izzati didenda RM1000 di depan kafenya di Segamat, Johor pada 20 Januari lalu kerana tidak memakai pelitup muka tetapi VVIP dan menteri-menteri seperti Annuar Musa boleh memuat naik gambar beliau di sosial media berkumpul beramai-ramai gagal pakai pelitup muka.

“Mengapakah sifat pilih kasih ini diamalkan oleh pihak berkuasa? Apakah para menteri mendapat imuniti apabila mereka melakukan perbuatan melanggar SOP?

“Perbincangan tentang hukumannya pula dipanjang-panjangkan, kadang-kala sehingga berbulan lamanya. Sedangkan apabila rakyat biasa melanggar SOP, tindakan serta merta dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Polis buka kertas siasatan terhadap ‘Anonymous Malaysia’

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap ‘Anonymous Malaysia’ yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia menerima laporan berhubung ancaman penggodam terbabit dan akan menjalankan siasatan atas kesalahan mendatangkan khianat awam dan ugutan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998),” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, kumpulan penggodam “Anonymous Malaysia” membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial.

Antara dakwaan kumpulan itu dalam klip video berdurasi 55 saat itu ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi digodam sehingga hari ini.

Anonymous Malaysia hari ini mengeluarkan satu lagi video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.

Kumpulan itu mendakwa punca utama perkara itu berlaku kerana pelayan daripada pihak swasta dan kerajaan yang mengandungi maklumat peribadi digodam dan dibocorkan sebelum dijual kepada pihak ketiga.

Selasa lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan notis amaran kepada semua agensi kerajaan supaya mengambil langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

Umno: Dari singa gagah kepada tikus pemohon simpati, kata penganalisis

BORHAN AHMAD

Umno akan bertukar dari singa yang gagah kepada tikus yang memohon simpati menjelang pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik, Dr Prof Dr Mohd Tajuddin Mohs Rasdi (gambar) dalam tulisannya.

Ini kerana, tindakan Umno yang bermain-main dengan tindakannya mahu menyokong atau menarik balik sokongannya kepada Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya akan membunuh parti itu sendiri.

“Dengan menggunakan kuasa darurat, PN telah membeli masa yang sangat diperlukan untuk membeli ketua-ketua bahagian Umno untuk menyokongnya.

“Sebagaimana yang saya jangkakan sebelum ini, tekanan agar Zahid meletakkan jawatan semakin bergema,” tulis beliau melalui Sinchew semalam.

Bagi orang Umno, kata Prof Tajuddin, jeritan “Menjaga maruah Melayu dan Islam” boleh dibeli dengan wang, projek, darjah kebesaran, kedudukan dan Mercedes sahaja.

“Dengan Umno di bawah ketiaknya, Bersatu boleh mengawal bilangan besar kerusi Parlimen dengan Umno yang kedua tetapi mempunyai kerusi yang hanya sama dengan Pas sahaja.

“Umno yang merupakan singa sebelum ini akan menjadi tikus peminta sedekah sahaja,” kata beliau lagi.

Prof Tajuddin juga menyalahkan apa ang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak boleh bekerjasama untuk berbincang dan membentuk kerajaan.

“Pertelagahan bodoh PH telah menyebabkan kerja-kerja PN untuk meyakinkan Yang Dipertuan Agong lebih mudah.

“Siapa yang mempunyai pemikiran yang betul akan memberikan kepercayaan kepada Anwar untuk memerintah?” tanya beliau lagi dengan apa yang berlaku dalam PH sekarang.

“Selagi Anwar, Tun M dan Shafie bergaduh seumpama anjing merebut bayang-bayang tulang di dalam air, kesemua mereka akan lemas bersama-sama,” kata beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau maramalkan, jika keadaan ini tidak berubah, PN akan menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

MENTERI2 YANG WAJIB DIDAKWA DAN DIDENDA

Shahbudin Husin

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga menteri wajib disaman kerana melanggar SOP sewaktu PKP 2.0 dikuatkuasakan.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Al-Bakri, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Dr. Zulkifli dilihat melanggar SOP kerana menghadiri acara memotong pulut kuning di pejabat Yadim.

Di ketika kerajaan sendiri melarang acara sosial dan mesyuarat bersemuka ketika tempoh PKP 2.0, tindakan Dr. Zulkifli menghadiri acara tersebut, sambil tidak menjaga penjarakan fizikal, selain suatu kesalahan yang tidak boleh dipertikailan, ia juga menunjukkan beliau sebagai anggota kabinet yang “tidak boleh pakai” walaupun tinggi ilmu agamanya.

Walaupun gambar yang menunjukkan kesalahan beliau itu tersebar luas di media, tetapi kenapa pihak berkuasa hanya berdiam diri saja?

Kenapa tidak disiasat dan diambil keterangan?

Apakah kerana beliau seorang menteri, maka ianya dipejam mata begitu saja?

Dalam waktu yang sama, selain sewaktu PKP 1.0 dulu dikesan bermesyuarat di pejabatnya, ini adalah kesalahan berulang yang dilakukannya.

Sebagai menteri dan orang kayangan, lebih kelihatan zalim terhadap rakyat biasa ialah kerana Dr. Zulkifli, bekas mufti sebelum ini, hanya memilih untuk berdiam diri tanpa menuturkan kata-kata maaf sebagai tanda kesalan atau ketinggian akhlak yang sesuai dengan ilmu agama dimiliknya.

M Saravanan pula melanggar SOP kerana menghadiri sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves, sambil dilihat tidak memakai pelitup muka ketika dikalungkan jambangan bunga ke lehernya.

Alasan Saravanan bahawa beliau hadir kerana diundang lantaran banyak membantu kuil tersebut, selain mengatakan hanya membuka pelitup mukanya sekejap saja ketika dikalungkan jambangan bunga. benar-benar tidak boleh diterima.

Bukankah Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan ketika PKP telah mengeluarkan arahan dan ketetapan bahawa sambutan Thaipusan pada tahun ini tidak dibenarkan dan sambutan hendaklah diadakan di rumah masing-masing?

Apakah Saravanan sebagai menteri tidak faham keputusan yang dibuat oleh kerajaan sendiri?

Bolehkah alasan kerana ada membantu kuil digunakan untuk melanggar arahan kerajaan?

Berkenaan menanggalkan pelitup muka hanya sekejap, sedarkah beliau ada seorang wanita di Johor telah disaman dan didenda RM1000 hanya kerana didapati tidak memakai pelitup ketika keluar kereta untuk mengambil anaknya di kerusi belakang serta tiada sesiapa berdekatan dengannya pada waktu itu?

Sementara itu, Annuar Musa yang memuat naik sendiri gambarnya beriadah bersama dua rakannya yang lain di media sosialnya, selain memperlihatkan ketidakfahamannya mengenai SOP ditetapkan kerajaan di mana beliau sendiri adalah anggota kabinetnya, tetapi juga menunjukkan keangkuhannya sebagai orang kayangan yang berasakan tarafnya lebih tinggi berbanding dengan rakyat biasa.

Meski diakui tidak perlu memakai pelitup muka ketika beriadah, tetapi tindakannya berjalan bertiga itu adalah suatu kesalahan yang nyata di mana kerajaan sendiri menetapkan SOP beriadah atau berjogging hanya dibenarkan bersendirian atau berdua saja dalam satu kumpulan.

Alasan berjumpa seketika dan kemudian berpisah, kalau pun hujah itu mahu diterima, tetapi tidakkah dengan Annuar sendiri memuat naik gambarnya bertiga menunjukkan ada kesalahan telah terbukti dilakukan?

Tindakannya berhujah mempertahankan diri seolah-olah tiada kesalahan tidak lebih hanya menunjukkan keangkuhannya sebagai seorang menteri yang boleh bebas dan terkecuali daripada tindakan undang-undang.

Untuk apa beliau menunjuk-nunjuk gambarnya bertiga itu, walhal sebagai anggota kabinet, tentunya beliau tahu ianya berlawanan dengan SOP yang telah ditetapkan kerajaan?

Di ketika rakyat biasa ramai yang kena saman dan didenda RM1000 kerana melanggar SOP, kegagalan kerajaan bertindak adil dan saksama terhadap tiga menteri berkenaan, setidak-tidaknya setakat ini, bukan saja mengecewakan rakyat, malah menunjukkan seolah-olah ada dua set undang-undang diamalkan di negara ini.

Buat apa ditetapkan SOP jika hanya rakyat biasa yang diikat dengannya, manakala para menteri selaku kelompok kayangan bebas melanggarnya?

Rakyat dalam hal ini mahukan keadilan dan ingin melihat ketiga-tiga menteri berkenaan didenda jika benar undang-undang negara ini sama untuk semua.

Kepada Ismail Sabri, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan dan setiap hari bercakap tentang SOP, malah semalam mengatakan akan menaikkn kadar denda kepada mereka yang melakukan kesalahan itu, kiranya gagal memastikan ketiga-tiga menteri berkenaan didakwa atau didenda, lebih baiklah berhenti saja mengadakan sidang media setiap hari dalam tempoh PKP ini.

Buat rakyat makin meluat saja jadinya. (Shahbudindotcom 29/01/2021)

Pas hanya ‘product placement’ dalam Kabinet Muhyiddin

MOHD KHALIL SREEDARAN

SEMENJAK ‘Langkah Sheraton’ digerakkan pada tahun lalu kita melihat pelbagai rentak dan aksi para pencatur dan pemain industri politik negara.

Tidak cukup dengan peralihan tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), ia juga meliputi pelbagai komponen dan siri kejutan politik negara.

Ada yang menuding jari kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan secara tiba-tiba di kala kemuncak ‘Langkah Sheraton’.

Ada pula menuding jari dan menghukum para politikus yang rakus kuasa dengan berpaling arah kiblat untuk menikam rakan-rakan sekutu dan tidak kurang juga di kalangan mereka yang menimba dan menangguk di air yang bergelora dalam pergolakan politik negara.

Kesemua tingkah laku sepanjang pergolakan politik negara ini sejak 2020 menjadi bahan tontonan seluruh dunia. Hingga ramai yang bergurau, malah ada yang ‘troll’ sehingga menjadi lelucon di kalangan masyarakat.

Malah peristiwa kejatuhan Barisan Nasional (BN) kepada PH dalam pilihan raya umum lalu seolah-olah lenyap dengan fenomena ‘Langkah Sheraton’. Tidak sedikit, malah menjadi bahan harian bagi setiap grup politik sehinggakan jika bersembang dengan rakan ‘mengopi’ atau ‘mengeteh’ akan bertanya dan berceloteh untuk mengetahui perkembangan terkini senario politik semasa.

Apabila menyebut menangguk di air keruh, penulis teringat kepada Pas. Pas selama ini sinonim dengan politik Islam. Gerakan Islamnya menjadi pemangkin dalam susur atur sejarah politiknya di negara.

Perjalanan dan sejarah Pas tidak pendek, boleh dianggap telah dewasa dan menuju usia emas. Banyak yang dilalui oleh parti ini dalam kancah politik negara.

Tidak sedikit kejayaan yang diperolehinya dalam mengharungi pilihan raya terutamanya pilihan raya umum. Penulis tidak ingin mengungkap segala kemenangan politik Pas dalam negara ini. Cuma penulis terlihat dari aspek ‘product placement’ bagi sebuah parti yang meniti usia emas. Apakah itu ‘product placement’?

Bagi tujuan pemudahan makna, penulis mengambil tafsiran daripada Wikipedia betapa, “Product placement is a form of advertising in which branded goods and services are featured in a production that targets a large audience.”

Bagi permudahkan pemahaman Pak Ali (tiada kaitan antara yang hidup dan mati) yang selama ini memangkah parti keramat hidupnya Pas, ‘product placement’ atau dalam bahasa pasar kita ‘barang paparan’ adalah satu bentuk pengiklanan yang mana barangan atau perkhidmatan dipertontonkan untuk mendapatkan perhatian khalayak ramai.

Dalam erti kata lebih mudah, barangan diiklankan untuk mendapat tarikan dan perhatian agar tertarik dengan produk yang dipaparkan.

Dalam ‘Langkah Sheraton’ yang berakhir dengan pembentukan Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pas telah diangkat buat julung kalinya untuk duduk sebaris dengan pimpinan parti Bersatu dan Umno.

Jika tidak cukup dengan penglibatan ‘heavyweight’ seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Takiyuddin Hassan, pimpinan tertingginya iaitu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta ke Timur Tengah. Permainan politik apakah ini?

Apakah sumbangan besar Pas dalam ‘Langkah Sheraton’? Apakah Muhyiddin tidak mampu berdiri sendiri dengan Bersatu dan Umno dalam mendirikan kerajaan?

Dan paling menimbulkan persoalan, bagaimana Pas yang dianggap sebagai parti yang memperjuangkan Islam setuju dan sanggup untuk duduk sebaris dengan kalangan yang menikam belakang serta ‘menebuk atap’ kerajaan Tun Mahathir sebelum ini?

Apa muslihat di sebalik penglibatan Pas? Ramai menganggap Pas ditawarkan kerana Muhyiddin ingin mengukuhkan kedudukan Bersatu dalam kerajaan yang dibentuk.

Ramai bersangka Muhyiddin sekadar inginkan ‘numbers’ untuk menghalalkan pembentukan kerajaannya. Namun, satu aspek yang kita mungkin terlepas pandang adalah Pas hanya sebagai ‘product placement’.

Bahan wayang

Pas tidak lebih sebagai bahan wayang dan paparan untuk mendapatkan sokongan dan tarikan majoriti undi di kalangan Melayu-Islam. Muhyiddin nampak betapa keuntungan Pas sebagai ‘product placement’ yang memiliki kelebihan dengan menguasai beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kuasa undi Melayu-Islam dengan adanya dukungan ketiga-tiga negeri itu sudah memadai bagi ‘Sang Penguasa’ untuk terus memegang tampuk pemerintahan.

Selain Bersatu, penglibatan Pas sebagai anggota bersekutu dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN), Pas dilihat tidak lebih sebagai boneka dalam perencanaan yang begitu bermuslihat.

Umno juga tidak mahu ketinggalan. Parti yang mendasari perjuangan Melayu ini turut mahu menangguk di air keruh dan menarik serta merencana agar Pas tidak lari daripada cengkaman mereka.

Akhirnya, Pas dihimpit kiri dan kanan. Ibarat pelanduk yang mati di tengah-tengah apabila gajah sama gajah berjuang. Di kiri PN dan di kanan MN. Kiri dan kanan menjadi ‘product placement’.

Namun yang menjadi kemusyikilan besar adalah, di manakah maruah yang ada parti yang berpaksikan Islam ini. Penerimaan Pas untuk menganggotai Kabinet dengan persetujuan memikul pelbagai jawatan pelbagai peringkat seolah-olah tanda setuju dengan ‘Langkah Sheraton’.

Penulis kurang arif, tetapi rasanya daripada peringkat bawah sehinggalah ke Presiden Pas sendiri pelbagai jawatan dihamburkan kepada parti Islam ini. Apa erti semuanya ini?

Inikah ganjaran dan sogokan sebagai habuan menjadi ‘product placement’ untuk parti Islam ini? Di mana maruah dan letaknya tanda dan dasar Islam yang dipikulnya selama ini?

Tanpa pergi jauh, ayuh lihat bagaimana penglibatan Presiden parti yang dikatakan mendasari Islam sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan ke Timur Tengah dan dunia Islam. Apa peranan Hadi di situ?

Di manakah tanggungjawab yang dipikulnya untuk menyampaikan suara dan hasrat rakyat negara ini terutamanya di kalangan umat Islam negara? Agak hanyir dan meloyakan apabila melihat pimpinan Islam yang sanggup bersekongkol dan bersetuju dengan melacuri maruah parti yang mendukungi Islam ini.

Rakyat perlu sedar. Parti ini sekadar menjadi ‘product placement’ semata-mata. Sekadar wayangan dan boneka dalam Kabinet ‘Langkah Sheraton’. Tiada sebarang fungsi. Malah, agak jauh tersasar dengan landasan Islamnya.

Kepada pimpinan parti Islam ini ingatlah, rakyat sedang memerhati. Jangan nanti ada yang menyebut pimpinan Pas ‘makan gaji buta’. Tiada peranan. Dan ramai mungkin tidak menyedari betapa Muhyiddin hanya ingin dilihat bahawa Kabinet dan barisan pemerintahnya adalah ‘multi level’ yang memiliki pelbagai lapisan dan betapa harmoninya di mata masyarakat.

Semuanya indah belaka. Bagai mengecat sebuah rumah yang usang, padahal kualiti kayu di sebalik cat adalah usang dan penuh beranai dan berpenyakit. Menunggu masa untuk roboh sahaja. Dan tanda disedari, ‘product placement’ sudah berakar dalam politik negara.

Sambung PKP lepas Covid-19 catat rekod?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Adakah perintah kawalan pergerakan akan dilanjutkan minggu depan? Soal bekas timbalan menteri kesihatan, Lee Boon Chye kepada kementerian kesihatan selepas kes positif Covid-19 mencatat rekod tertinggi dengan 5,725 jangkitan hari ini.

Lee berkata, kerajaan perlu memberitahu orang ramai apa yang akan berlaku selepas ini.

PKP dijadual berakhir pada 4 Feb, setelah berkuat kuasa selama tiga minggu. Namun kementerian kesihatan berkata ia mungkin berlanjutan selama empat minggu, sehingga sebelum Tahun Baharu Cina, yang jatuh pada 12 Feb.

Lee memberitahu FMT: “Menjelang esok pihak berwajib sepatutnya memberitahu orang ramai mengenai langkah-langkah selanjutnya, supaya perniagaan dapat membuat rancangan bersempena Tahun Baharu Cina.” Orang ramai perlu tahu sama ada mereka boleh pulang ke kampung halaman, dan adakah restoran boleh menerima tempahan.

“Perniagaan perlu memutuskan apa yang harus dilakukan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap sikap kerajaan yang seolah tidak berperang dengan Covid-19. “Kita sedang berperang dan segala peruntukan sumber yang ada harus diselia dengan sewajarnya,” katanya. “Tetapi apa yang menteri kabinet dan pegawai awam kita buat selama PKP ini?”

Malaysia sedang kembali ke landasan rasuah

SITI NUR ZAWANI MISCON 

Malaysia seolah-olah sedang kembali semula ke arah negara rasuah seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu selepas berjaya dikekang oleh Pakatan Harapan, kata Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, Di bawah rejim Umno-BN, negara ini pernah dijanjikan akan mencapai sasaran untuk berada di kedudukan 30 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020.

Namun menurutnya, berdasarkan skor CPI selama 24 tahun dari 1995 hingga 2018, tiada harapan bagi siapa pun untuk mempercayai bahawa sasaran Malaysia untuk berada di kedudukan 30 teratas akan dapat dicapai

“Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Malaysia telah bersedia ke arah era baru untuk membasmi rasuah dengan peningkatan skor dan kedudukan lebih baik pada 2019, sekaligus memulakan langkah menjadi antara 30 negara teratas di dunia yang berintegriti sebelum 2030.

“Tetapi PH telah digulingkan dan sekarang kita mula kembali ke landasan rasuah seperti sebelum pilihanraya dan kemungkinan akan melihat perubahan besar yang lebih teruk.

“Bolehkah kita mengharapkan kenyataan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mengenai CPI 2020 yang buruk ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kedudukan Malaysia dalam Indeks rasuah dunia bagi tahun 2020, dilaporkan jatuh di kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kejatuhan ini perlu dirisaukan dan dipertingkatkan kembali.

Sementara itu Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia perlu bersaing dengan dua negara yang dahulunya paling rasuah iaitu China dan Indonesia yang kini semakin menunjukkan perubahan.

“Salah satu perkara yang menjadi perhatian saya adalah bagaimana Malaysia berhadapan dengan China dan Indonesia, yang pada masa lalu dianggap sebagai negara yang sangat korup.

“Kedua-dua negara ini semakin baik dalam 26 tahun terakhir dan China kini berada di kedudukan ke 78 dengan skor 42 sementara Indonesia berada di tangga 102 dengan skor 37.

“Berdasarkan rekod indeks rasuah dari 2010 hingga 2018, kemungkinan China akan mengatasi Malaysia sebelum 2030 dan diikuti Indonesia selepas tahun 2030,” katanya lagi.

Budak 10 tahun didapati hamil di Sarawak

Goh Pei Pei

KUCHING: Hampir semua atau 96% daripada 2,099 remaja mengandung tahun lepas merupakan pelajar cicir, kata kerajaan negeri.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Fatimah Abdullah berkata, kes turut melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun.

Beliau berkata, faktor penyumbang kes termasuklah hubungan intim, rogol, pengaruh dadah dan penyalahgunaan bahan, kurang pendidikan seks dan pendedahan kepada media sosial.

Katanya, walaupun angka tersebut menurun daripada 3,401 pada 2014, kementerian kini menyusun panduan intervensi bersepadu pelajar cicir bagi menangani masalah yang dihadapi.

Ia akan memperkenalkan program bagi mengurangkan stigma terhadap ibu tidak berkahwin dan menyediakan pendidikan dan kaunseling seks untuk remaja.

Fatimah berkata, stigma berkait ibu tidak berkahwin atau ibu muda serta kekurangan sokongan emosi daripada anggota keluarga juga merupakan punca perbuatan membuang bayi kerana perasaan malu.

Beliau berkata, 41 kes buang bayi dilaporkan dari 2014 hingga 2020.

Apalah hujjah bapak profesor lagu ni

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Bapak professor dah fikir habis ke bila bawa hujah lagu ni?

1. Bila saya baca kenyataan bapak professor Dr ini, saya sebenarnya amat amat bersimpati dengan beliau.

2. Bapak profesor ini nampaknya cuba “bersilat”untuk menyokong darurat dan dalam masa yang sama cuba nak “condemn” kononnya apa yang beliau sebut perebutan kuasa tapi nampaknya “silat” beliau itu, dengan hormat, betul-betul sumbang dan amat bersimpang siur dan ada masa orang arab kata قلب الحقائق – “upside down”.

3. Ringkasnya, bapak profesor kata nak rebut kuasa setelah Parlimen bubar lah dan ini, menurut beliau, apa yang dilakukan di Eropah seperti Amerika Syarikat…

4. Ginilah Bapak Profesor. Hujah Bapak Profesor ni hakikatnya hujah makan tuan. Jika Bapak Profesor ibarat bertarung pakai keris, bapak profesor ibarat sedang guna keris sendiri untuk tikam dan lukakan diri sendiri. Jika guna “vocab” orang agama, hujah Bapak Profesor ini, depa kata “حجة عليك” (hujah ke atas anda /against you) bukan “حجة لك” (hujah utk anda/hujah menyokong anda).

5. Jika bincang perebutan kuasa hendaklah selepas bubar Parlimen seperti bapak profesor ber”fatwa”, nak tanya sikit… “awat para pengkhianat mandat rakyat tak mahu tunggu PRU 15 untuk nak rebut kuasa atau lebih tepat RAMPAS KUASA Kerajaan PH yang dapat mandat rakyat tu? Masa tu Bapak Professor kenapa tak bersuara macam la ni ya? Ada sesuatu dalam mulut seperti sagun atau cokelat ke?

6. Bapak profesor juga sarankan agar kita semua tiru macam politik di Eropah, yang dilapor oleh media parti ehem “seperti Amerika Syarikat.. Kesilapan asas pertama, Amerika Syarikat bukan Eropah. 

Saya keliru bila dilaporkan “di Eropah seperti Amerika Syarikat “. Ini 101 ilmu Geografi!!!

Keduanya, baik negara Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah, depa hormat ruh dan prinsip demokrasi, depa juga hormat pilihanraya dan hormat mandat rakyat serta depa tak KHIANAT mandat rakyat dengan rampas kuasa kat tengah jalan dan lepas tu bagi TEBUK ATAP!!!

Di negara Eropah seperti Itali bila PM depa hilang majorit, PM depa tak buat darurat dan PM depa pi letak jawatan PM kerana beliau tahu apa itu harga diri, maruah, air muka dan integriti!!!

Takiyuddin disebut bakal ganti Sanusi sebagai MB Kedah

BORHAN AHMAD

Masalah demi masalah yang ditimbulkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi Md Noor telah menyebabkan usaha sedang dibuat bagi menggantikan beliau, paling lewat selepas pilihan raya umum akan datang.

Tokoh yang disebut-sebut bakal menjadi pilihan bagi menggantikan beliau adalah Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang- undang) sekarang.

“Takiyuddin ni orang Kedah. Walaupun selepas habis belajar dia banyak habis masa di Kelantan, dia perlu gantikan Sanusi. Kalau tidak orang dah percaya kat kita lagi,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Sanusi, bekas Setiausaha Politik Tan Sri Azizan Razak ketika dia menjadi menteri besar dahulu telah dipilih sebagai menteri besar selepas kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir jatuh bulan Mei 2020 lalu.

Namun, sejak awal menjadi menteri besar sehingga sekarang, isu yang melanda kerajaan negeri tidak pernah reda.

“Mula-mula dia arah roboh kuil Hindu. Penganut Hindu marah. Lepas itu, dia pi beli kereta Vellfire guna duit Sada, rakyat Kedah marah.

“La ni, dia pi bergaduh lagi dengan India bila dia batal cuti Thaipusam.

“Sekarang pejabat MB pun dah kena tutup kerana Covid-19 sampai orang Hindu kata ni balasan dari tuhan dia.

“Sampai bila kita nak bergaduh ni,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Bagi beliau Takiyuddin adalah tokoh Pas yang layak untuk mengambil alih pentadbiran negeri Kedah selepas PRU-15 nanti.

“Takiyuddin ni orang Sik. Keluarga dia berpengaruh di sana. Bukan orang Pas saja, orang Umno pun boleh sokong dia. Datuk Hamid Othman bekas menteri agama juga keluarga dia.

“Jadi saya rasa Takiyuddin ni sesuai ganti Sanusi,” kata beliau lagi.

Bagaimana dengan tokoh-tokoh Pas Kedah yang lain. Takkan tiada ulama ke yang boleh menggantikan Sanusi?

Bagi beliau, buat masa sekarang tidak nampak tokoh ulama di Kedah yang boleh dilantik menjadi MB walaupun Pas mempunyai ramai tokoh-tokoh ulama di Kedah.

Pesuruhjaya Pas Kedah sekarang adalah Ustaz Ahmad Yahaya, bekas Adun Alor Mengkudu tetapi tewas dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.

Beliau diantara tokoh Pas Kedah yang berwibawa kerana pengalamannya dalam parti itu.

Ahmad Yahaya melibatkan diri dalam politik sejak tahun 1997. Beliau pernah diberi kepercayaan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Alor Setar, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kedah, Setiausaha Muassasah Darul Ulum, Pengerusi Lajnah Tarbiyah, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah serta Setiausaha Lajnah Pendidikan PAS Pusat.

Di samping itu, Datuk Dr Hayati Othman adalah tokoh lain yang dikira sesuai untuk menggantikan Sanusi selain Takiyuddin.

Beliau adalah antara empat Exco kerajaan negeri Kedah dari Pas sekarang selain Datuk Siti Aishah Ghazali, Wan Romani Wan Salim dan Datuk Najmi Ahmad.

'Dr Adham, timbalan ambil tanggungjawab keputusan KKM atau letak jawatan'

Malaysiakini 

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad menggesa penggantinya Dr Adham Baba dan dua timbalannya untuk mengambil tanggungjawab dalam pembuatan keputusan KKM atau mengundurkan diri.

Dia berkata demikian selepas Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dia hanyalah utusan yang mewakili pandangan kolektif pakar kementerian itu yang bekerja di belakang tabir.

Dzulkefly berkata ramai bingung dengan penekanan Noor Hisham bahawa dirinya hanya 'utusan' dan bukan memberi penjelasan keilmuan di sebalik keputusan kementerian.

"Segera anda bertanya, apakah dasar untuk keputusan tanpa jawapan muktamad (judgement call) ini?

"Lebih penting bagi ramai orang, ini mendedahkan dan mewajarkan dakwaan perintah kawalan pergerakan (PKP) cukup untuk mengendalikan gelombang ketiga wabak Covid-19 tanpa mengisytiharkan darurat, dengan syarat pelaksanaannya ketat dan berkesan," katanya kepada Malaysiakini. 

Dakwanya, Malaysia telah kehilangan kepemimpinan politik dan negara berjalan seolah-olah "hampir secara automatik" sejak pentadbiran Pakatan Harapan digulingkan tahun lalu.

Dia menegaskan Dr Adham - bersama dengan timbalannya Dr Noor Azmi Ghazali dan Aaron Ago Dagang - mesti bekerja sebagai satu pasukan dengan birokrat dan teknokrat Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun, pada akhirnya, pihak eksekutif - menteri - selalu perlu mengambil tanggung jawab dan bertanggungjawab. The buck stops at him (dia bertanggungjawab atas segala-galanya).

'Di mana tiga orang ini?'

"Itulah sebabnya mengapa masyarakat sekarang mengatakan menteri dan dua timbalannya 'makan gaji buta'...

"Kenapa? Kerana masyarakat tidak melihat kepimpinan mereka atau dilihat sebagai mengambil tanggungjawab.

“Setelah saya pergi, ketua pengarah yang dilihat seperti mengambil alih tanggungjawab, terutama dalam mengendalikan sidang media setiap hari.

"Orang ramai berkata, 'Sekarang ada tiga orang. Seorang menteri dan dua timbalan menteri, di mana mereka? 

"Keadaan telah bertambah buruk dan memerlukan mereka dilihat dan bertanggungjawab, bukan hanya terhadap pengarah kesihatan sahaja.

"Anda mesti terlihat, jangan takut dikritik. Dan jangan hanya berusaha untuk dipuji,” katanya.

Menurut Dzulkefly, jika mereka gagal memenuhi tugas menangani krisis kesihatan yang sedang berlangsung maka mereka patut "melakukan hal yang baik" dengan mengundurkan diri atau menyerahkan jawatan mereka kepada perdana menteri dan membiarkan perdana menteri memutuskan langkah-langkah selanjutnya.

Dzulkefly juga menggesa Kementerian Kesihatan untuk melibatkan para pakar dari luar KKM di dalam sektor awam dan swasta.

Katanya lagi, ramai yang sudah memberikan cadangan untuk meningkatkan maklum balas kerajaan menangani wabak ini yang dapat diambil oleh kementerian dalam melaksanakan penyelesaian tersebut.

Dr Dzulkefly berkata adalah wajar apabila kerajaan mengambil banyak saranan yang dikemukakan oleh kumpulan pakar dalam surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini termasuk menempatkan pesakit Covid-19 dengan sedikit gejala atau tanpa gejala untuk kuarantin kendiri di rumah dan tidak dimasukkan ke hospital, serta menggunakan ujian antigen yang cepat dengan lebih meluas dalam mengesan penularan wabak.

"Kita sebenarnya tidak perlu menggunakan peraturan darurat untuk 'menasionalisasi' kemudahan (hospital swasta) bagi mendapatkan aksess terhadapnya supaya Kementerian Kesihatan dapat mengurangkan beban di hospital (awam) Covid-19 kita.

"Banyak yang dapat dilakukan lebih awal lagi hanya jika menteri atau pihak Kementerian Kesihatan sudi mendengarkan pandangan orang lain juga, bukan hanya di Kementerian Kesihatan saja," katanya.

Bekas Menteri Kesihatan anggap Dr Hisham ‘sangat tertekan’

ARIF ATAN

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sangat tertekan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan Covid-19.

Katanya, tanggapan tersebut muncul selepas Ketua Pengarah Kesihatan itu menyatakan dirinya hanya penyampai ketika memaklumkan PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan pada sesi taklimat 25 Januari lalu.

“Apabila KPK (Ketua Pengarah Kesihatan) kata PKP tidak akan disambung, jadi ketika kerajaan buat PKP, itu apa rasionalnya? Apa ukuran dan penghujahannya?

KPK juga sebutkan kalau lanjutkan PKP akan meninggalkan kesan parah terhadap eknomi negara.

“Saya nampak beliau (Dr Hisham) sangat tertekan. Sehari sebelum PKP, darurat diumumkan untuk kekang penularan Covid-19.

“Tapi apabila tiba-tiba Dr Hisham sebut PKP tidak perlu dilanjutkan, darurat pula bagaimana? Kalau PKP tidak perlu, darurat itu lagilah tidak perlu,” bidasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian menerusi Facebook Live bersama Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebentar tadi.

Dr Dzulkefly turut berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini sudah hilang kawalan hinggakan seramai 46 pakar kesihatan pada 7 Januari lalu merayu supaya satu strategi baharu diwujudkan bagi mengatasi lonjakan kadar jangkitan Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengakui walaupun mungkin berbeza beberapa pendekatan dengan Dr Hisham seperti kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt tetapi mereka ada ‘rentak kerja’ yang sama.

“Saya perasan pertama kali sebutan itu – ‘saya hanya penyampai’. Kita sudah kehilangan menterinya. Hari ini hanya Ketua Pengarah Kesihatan berdepan dengan sidang media.

“Sebab itu sebelum ini saya kata, PKP halang rakyat bergerak tetapi darurat halang orang politik untuk bertindak terhadap keabsahan kerajaan,” tegasnya.

Menurutnya, langkah Malaysia membendung gelombang ketiga pandemik Covid-19 mesti dilakukan dengan menambah lebih banyak pengesanan kontak, saringan dan kuarantin.

“Kita telah menggesa kerajaan guna kit ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) yang lebih cepat dan murah untuk tingkatkan kapasiti ujian sehingga 200,000 sehari.

“Kita juga perlu tambah tenaga barisan hadapan. Kita perlukan lima kali ganda bilangan profesional dan petugas perubatan.

“Taiwan contohnya ada persediaan kesihatan awam sangat hebat hingga dipuji WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Kita ada keupayaan itu tetapi tidak dimobilisasikan secara keseluruhannya,” kata Dr Dzulkefly.

Difahamkan, kerajaan menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang mengambil masa lebih dua hari untuk mendapat keputusan ujian.

Berkongsikan pendekatan STFC, katanya, usaha digerakkan secara proaktif dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar perubatan.

“Kita buat secara proaktif cegah penularan di tempat kerja seperti kilang selain penjara,” tambahnya lagi.

Selangor membuat perolehan bekalan hingga lima juta dos vaksin Covid-19 dengan tumpuan program vaksinasi kepada sektor industri termasuk pekerja asing bagi memastikan sumbangan negeri itu sebanyak 24 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tidak terjejas akibat pandemik itu.

Covid-19: China jalankan ujian calitan di dubur

Metro

AFP

Beijing: China memulakan ujian calitan di dubur untuk menguji mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, lapor stesen televisyen negeri.

Doktor mengatakan bahawa prosedur itu lebih berkesan untuk mengesan virus berkenaan.

Pegawai kesihatan melakukan ujian calitan dubur dalam kalangan penduduk di kawasan yang disahkan mencatatkan kes jangkitan Covid-19 di Beijing sejak minggu lalu.

Malah, mereka yang berada di fasiliti kuarantin juga perlu melakukan ujian berkenaan, lapor penyiar CCTV.

Kes jangkitan tempatan dilaporkan sejak beberapa minggu lalu di banyak bandar di utara China menyebabkan kempen pengesanan besar-besaran dilaksanakan, yang sehingga kini masih menggunakan kaedah pengambilan sampel di tekak dan hidung.

Namun, teknik calitan di dubur 'boleh meningkatkan kadar pengesanan di kalangan mereka yang dijangkiti' kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di dubur berbanding saluran pernafasan, kata Li Tongzeng, doktor kanan di Hospital You'an Beijing kepada CCTV.

Pengguna platform media sosial di China memberi reaksi bercampur baur mengenai kaedah terbaru itu.

"Kurang sakit, tetapi memalukan," komen seorang pengguna.

Seorang pengguna yang sudah mempunyai pengalaman berdepan kaedah baru itu berkata bahawa dia terpaksa meminta jururawat untuk menggunakan kaedah berlainan sekiranya perlu melakukan dua ujian calitan.

"Saya sudah melakukan dua kali ujian calitan di dubur. Setiap kali saya melakukan ujian calitan pertama di dubur, saya meminta jururawat untuk melakukan ujian calitan kedua di tekak.

"Saya bimbang jururawat lupa untuk menukar peralatan baru," katanya.

Namun, CCTV melaporkan, ujian calitan itu tidak akan dilaksanakan secara meluas kerana ia dianggap sebagai 'tidak selesa'.

Tiga parti Melayu berebut, berapa sangatlah kerusi Bersatu dapat bertanding?

ARIF ATAN

Tiga parti berteraskan Melayu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Umno, Bersatu dan Pas dilihat akan saling berebut kerusi bertanding pada PRU-15.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berpendapat penjajaran politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) banyak bergantung sejauh mana mereka dapat menyelesaikan konflik.

Menurutnya, Umno tentu sekali sukar menerima Bersatu yang dianggap mengkhianati Umno dengan sebahagian kerusi dimenangi pada PRU 2018 bertukar tangan kepada Bersatu.

Dalam masa sama, sikap Pas pula yang lebih cenderung mesra Bersatu menimbulkan rasa tidak puas hati Umno yang merupakan sekutu dalam Muafakat Nasional (MN).

“Pas tidak hendak sangat kepada Umno. Dia nak lebih kepada Bersatu. Umno pun sudah naik marah nampak Pas tidak hendak sangat MN tetapi lebih kepada PN.

“Umno pula memang susah dengan Bersatu. Hakikatnya, tiga parti ini yang merupakan parti Melayu yang sokongannya ialah dari masyarakat Melayu akan berebut kerusi-kerusi Melayu.

“Itu memang pasti. Itu sebabnya mereka menghadapi masalah untuk bersetuju hendak bertanding bagaimana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 94) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “PRU15: Penjajaran Baharu?” semalam.

Pada masa ini, Umno menguasai 39 kerusi Parlimen berbanding Bersatu (31 kerusi) dan Pas hanya 18 kerusi.

Walau bagaimanapun, Bersatu yang juga parti diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendominasi portfolio kementerian yang paling penting.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, perebutan kerusi paling ketara antara Umno dan Bersatu terutama kerusi yang menyaksikan wakil rakyatnya melompat kepada Bersatu.

“Bersatu akan kata itu kerusi dia. Contohnya, kerusi Parlimen Pagoh (disandang Muhyiddin). Tapi bagi Umno, Pagoh itu kerusi tradisi miliknya.

“Lebih teruk kerusi yang dimenangi oleh calon Umno atas tiket BN tetapi kemudian lompat kepada Bersatu.

“Kerusi ini lagilah Umno tidak akan beri (kepada Bersatu). Mana kerusi yang dimenangi atas tiket BN pula tentu tidak akan lepas.

“Jadi, berapa sangatlah kerusi yang Bersatu dapat bertanding? Ini akan mengundang perbalahan antara mereka,” tambahnya lagi.

Pas tidak akan kongsi kuasa dengan Umno, dua negeri sudah jadi bukti

ARIF ATAN

Pertembungan politik di peringkat akar umbi antara Umno dan Pas sudah begitu lama dan boleh dilihat di Kelantan dan Terengganu, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad.

Menurutnya, Pas tidak akan berkongsi kuasa dengan Umno walaupun atas nama gabungan Muafakat Nasional (MN).

Walhal, katanya, Pas boleh sahaja berbuat demikian di kedua-dua negeri Pantai Timur berkenaan sekali gus dapat menangani masalah persepsi antara dua parti Melayu itu.

“Kalau mereka hendak selesaikan masalah ketika ini, tindakan paling mudah ialah Pas berkongsi kuasa dengan Umno di Kelantan dan Terengganu.

“Tapi Pas tidak akan buat kerana perbalahan di peringkat akar umbi antara Umno dan Pas masih wujud. Bukannya kalau pemimpin kata begini (berbaik dengan Umno) mereka akan ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 94) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “PRU15: Penjajaran Baharu?” malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Kelantan dan Terengganu sebenarnya adalah kerajaan negeri Pas bukannya kerajaan MN lantaran permusuhan Umno dan Pas sejak sekian lama.

“Jadi, tiada muafakat. Lalu, ini yang buatkan Umno marah. Dalam masa sama, Pas pula condong kepada Bersatu.

“Lagilah Umno marah. Ini yang dialami menjelang PRU-15. Kalau Umno dan Pas bersatu, pengundi yang setia kepada Umno atau Pas di peringkat akar umbi ada kemungkinan akan lari.

“Kalau Umno dan Pas bertanding berasing-asing sudah pasti akan berpecah. Hanya yang setia kepada Umno akan undi Umno. Begitu juga hanya yang setia kepada Pas akan undi Pas.

“Ini yang mereka pun sedang pening,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan lagi.

Anwar hantar senarai Ahli Parlimen kepada Agong, keputusan bersama PH, kata Mat Sabu

FMT Reporters

Lim Guan Eng daripada DAP dan Mohamad Sabu daripada Amanah menyokong langkah Anwar Ibrahim merayu Agong menarik balik perisytiharan darurat serta sidang Parlimen diadakan segera. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menjelaskan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan keputusan Anwar Ibrahim menghantar senarai Ahli Parlimen menolak pelaksanaan darurat dan Parlimen bersidang segera kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan Anwar menghantar nama-nama majoriti MP (Ahli Parlimen) yang menyokong beliau kepada Agong dan tindakan tiga ADUN dari Johor, Perak dan Kedah menyaman Muhyiddin Yassin atas nasihat yang salah untuk dilaksanakan darurat adalah keputusan bersama PH,” katanya menerusi Twitter.

Difahamkan, Anwar sudah menghantar senarai 99 Ahli Parlimen, terdiri daripada PH, Pejuang dan beberapa parti di Sarawak kepada Agong pada 19 Jan lalu, sementara Warisan menghantar senarai berasingan.

Pada 14 Jan lalu, Anwar memaklumkan beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membatalkan pelaksanaan darurat dan sidang Parlimen segera diadakan.

Ia disusuli tindakan ketua pembangkang itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen pada 25 Jan lalu.

Selasa lalu, tiga wakil rakyat PH memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri.

Mereka ialah ADUN Simpang Jeram, Salahuddin Ayub (Amanah), ADUN Gurun, Johari Abdul (PKR) dan ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP).

Kenyataan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu menyusul sehari selepas polis berkata, mereka sedang menyiasat Anwar berhubung kenyataannya merayu Agong membatalkan perisytiharan darurat.

Pada 12 Jan lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika angka kes Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Anwar pada 23 Jan lalu mendakwa 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak usul darurat daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, jumlah itu mencukupi dan meminta Agong mempertimbangkan usul itu serta segera memanggil Parlimen bersidang.

Kerajaan PN umum darurat, syaitan perlu dipersalahkan?

ARIF ATAN

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tampil menyelar Datuk Seri Abdul Hadi Awang ekoran tulisan Presiden Pas itu yang bertajuk “Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan.”

Ketua Setiausaha Pengelola PKR itu menasihatkan adalah lebih baik keraguan-keraguan dalam kalangan rakyat diteliti sebelum menuduh syaitan menghasut rakyat Malaysia.

Beliau berpendapat keraguan demi keraguan itu timbul ekoran keputusan-keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat aneh dan memundurkan Malaysia.

“Contohnya, ketika kerajaan secara tiba-tiba mengumumkan darurat yang sudah tentu akan merisaukan pelabur dan menghilangkan fungsi Parlimen.

“Kegusaran ini bukan sahaja dikongsi oleh Pakatan Harapan (PH), tapi turut disebut oleh pemimpin-pemimpin Umno.

“Keadaan ini menyebabkan rakyat ragu, adakah semua keputusan-keputusan yang diambil kerajaan ini benar-benar untuk menyelamatkan rakyat, atau mereka ingin menyelamatkan diri akibat kehilangan majoriti?

“Apakah dalam hal ini syaitan juga yang perlu dipersalahkan?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hadi berkata, generasi muda Islam yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan agama masih dihantui pengaruh bisikan syaitan.

“Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka.

“Pemikiran Islam dalam diri mereka tidak bermaya, khususnya dalam kalangan bangsa yang beragama Islam.

“Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu,” katanya.

Menurut Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu, dalam masa sama bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik.

Mengulas lanjut, Nazmi menegaskan pada hakikatnya melumpuhkan Parlimen dengan alasan ingin menghadapi Covid-19 merupakan alasan dangkal kerana pada saat-saat getir seperti ini Parlimen amat diperlukan.

“Apabila kurangnya perbincangan dalam kalangan ahli Parlimen, maka syaitan-syaitan akan gemar menghasut ahli politik untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu untuk terus berkuasa.

“Ini termasuklah menggunakan hujah-hujah yang kelihatan beragama untuk menghalalkan hal-hal yang batil,” tambahnya lagi.

Datuk, Datuk Seri gaduh, helikopter di rumah ‘curi’ perhatian

FMT Reporters

Punca perbalahan mereka kurang jelas, tetapi yang menarik perhatian adalah helikopter yang diparkir di rumah Datuk Seri itu.

PETALING JAYA: Bukan setiap hari anda melihat helikopter diparkir di perkarangan rumah.

Apatah lagi diletakkan bersebelahan beberapa motosikal, seolah-olah ia perkara biasa.

Namun, itu hakikatnya di sebuah taman perumahan di Puchong.

Helikopter itu disebut menjadi punca pertelingkahan dua jiran.

Perbalahan mereka tular menerusi klip video yang turut memaparkan helikopter itu diparkir di sebuah rumah mewah.

Helikopter itu dikatakan milik seorang bergelar Datuk Seri manakala jiran yang berkelahi dengannya seorang Datuk.

Punca perbalahan mereka kurang jelas, tetapi yang menarik perhatian adalah helikopter yang diparkir di rumah Datuk Seri itu.

Ketua Polis Serdang Razali Abu Samah berkata, Datuk Seri itu tidak melakukan kesalahan undang-undang dengan meletakkan helikopter milik beliau di rumahnya.

“Semua ok. Mereka berdua sahabat dan apa yang berlaku adalah hanya perselisihan pendapat. Tidak ada sebarang kesalahan undang-undang,” kata beliau.

‘Covid-19 sudah setahun tapi kerajaan PN belum tentu hala tuju’

‘Covid-19 sudah setahun tapi kerajaan PN belum tentu hala tuju’
ARIF ATAN

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai keupayaan menghadapi situasi pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu berkata, banyak keputusan penting berkaitan usaha menghentikan rantaian jangkitan Covid-19 dibuat secara ad hoc atau tanpa perancangan awal.

“Ini isu yang sangat serius melanda rakyat khususnya di Kedah. Covid-19 sudah setahun sepatutnya kita tidak boleh buat keputusan atau program berbentuk ad hoc.

“Banyak dasar diputuskan masih lagi tidak tentu. Kerajaan belum tentu hala tuju. Menteri MITI (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mahu buka ekonomi tapi Ketua Pengarah Kesihatan kata dijangka akan lebih bahaya.

“Arahan berbeza yang dikeluarkan juga tidak jelas akhirnya Covid-19 masih lagi terus merebak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara secara langsung menerusi segmen The Perspektif yang disiar di Facebook rasmi Parti Amanah Negara (AMANAH) malam tadi.

Turut terlibat Ahli Parlimen Sungai Petani/ ADUN Gurun dari PKR, Datuk Johari Abdul dan ADUN Derga dari DAP, Tan Kok Yew dengan ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh bertindak sebagai moderator. 

Untuk rekod, Kedah sudah mencatat jumlah kes Covid-19 sebanyak 5,341 kes sehingga semalam.

Terdapat 88 kes baharu direkodkan semalam dengan 48 kes adalah saringan kontak rapat, lain-lain saringan (29 kes), kluster sedia ada (7 kes) dan 4 kes lagi dari kluster baharu Keladi Saga di daerah Kulim.

Phahrolrazi yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri juga berpendapat Malaysia dilihat lewat menerima vaksin Covid-19 berbanding Singapura dan Indonesia yang telah melancarkan program vaksinasi masing-masing.

“Adakah selama ini kita tiada duit? Kita tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Baru-baru ini Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) telah menghantar surat kepada ahli-ahli mereka supaya bersedia (penutupan ekonomi).

“Kita lihat kerajaan tidak mampu untuk menghadapi situasi sekarang. Kalau awal (penularan Covid-19) dulu, kedudukan PM (Perdana Menteri) agak baik kerana banyak insentif diberi.

“Tapi berbeza apabila masuk PKP 2.0, nampak jelas tidak ada siapa dapat beri jaminan,” tambah Phahrolrazi lagi.

J-Kom mula bekerja, PN habiskan cukai rakyat bayar upah ‘cybertroopers’?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Penubuhan semula Jabatan propaganda kerajaan yang dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) pernah menjadi isu kontroversi yang paling banyak dibangkitkan orang ramai.

Di Twitter, warganet nampaknya sudah mula mengesan beberapa akaun baru yang didakwa sebagai petugas J-KOM yang sudah mula bekerja.

Mereka boleh dilihat berada di komen-komen Menteri Perikatan Nasional (PN) dengan ayat yang serupa (identical) memuji pentadbiran kerajaan.

Warganet juga mula mempersoalkan sama ada kerajaan menggunakan duit pembayar cukai hanya untuk membayar gaji-gaji cybertroopers.

“bayar pakai duit cukai ke kerja ni?,” tanya @shah.

“Guna duit cukai rakyat untuk bayar ‘keyboard warriors’ bukan lagi satu masalah dah ke?,” soal @Kashalia26.

Sementara itu, pengguna akaun @JazliAziz pula berkata, hantaran Tweet yang hampir sama merupakan tanda bahawa akaun palsu itu telah diberi skrip sama.

Dia juga menyertakan beberapa tangkap layar akaun palsu yang didakwa ‘cybertroopers’ kerajaan Perikatan Nasional (PN)

“Nampaknya Cybertroopers PN dah digerakkan dengan menggunakan akaun palsu. Bagaimana saya tahu ia adalah akaun palsu?

“Mereka komen pada tweet lama. Tidak mengikuti saya dan tiada rakan (followers). Mereka dah bergerak pada Oktober (tahun lalu). (Kebanyakan) hanya 4 pengikut dan tidak lain adalah tweet pro-PN,” katanya.

Sebelum ini, seorang bekas pegawai JASA (kini J-Kom) mendakwa, bekas pegawai JASA adalah antara yang terlatih untuk membantu menyebarkan maklumat dasar dan polisi kerajaan, membidas berita palsu serta mampu memberi persepsi yang betul kepada masyarakat.

Dia juga menyifatkan adalah satu kesilapan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan JASA kerana jabatan itu terdiri dari pegawai terlatih yang mampu mengurus persepsi dengan baik untuk pihak kerajaan

Bagaimanapun lain pula dilihat di Twitter dan ada diantara warganet menegur dan mengharapkan kualiti lebih baik ditunjukkan J-KOM.

@fazyusoff berkata, dengan sejumlah RM45 juta peruntukan untuk jabatan berkenaan, rakyat mengharapkan kualiti yang lebih baik dan kreatif dari J-KOM.

Selain itu, ada juga yang berkata mereka akan mengikut rapat perkembangan kerja jabatan propaganda kerajaan dan memantau pengaliran wang ke J-KOM.

“Kita akan pastikan pengaliran wang J-KOM akan dipantau ketat, oleh Jabatan Audit negara serta rakyat jelata. Nak tahu juga berapa bayaran untuk kerja-kerja bodoh macam ini,” tulis @siMuraiBatu.

Hanipa persoal tindakan polis siasat Anwar rayu Agong batal darurat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin mempersoalkan tindakan polis menyiasat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berhubung rayuannya terhadap Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan perisytiharan darurat.

Bekas timbalan menteri undang-undang itu terkejut membaca laporan media yang menyebut bahawa Anwar kini sedang disiasat polis, sekali gus meminta polis menjelaskan apakah kesalahan undang-undang yang dilakukan oleh presiden PKR itu.


“Sepanjang pengetahuan saya, gesaan membatalkan perisytiharan darurat yang dilakukan mana-mana pihak bukanlah suatu jenayah. Mungkin ada yang tidak setuju dengan kenyataan itu.

“Tetapi saya tidak fikir kita boleh kaitkan kenyataan Anwar itu dengan mana-mana kesalahan di sudut undang-undang,” katanya di Facebook hari ini.

Terdahulu polis mendedahkan bahawa ia sedang menyiasat Anwar berhubung kenyataannya merayu Agong membatalkan perisytiharan darurat.

Kes itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman susulan laporan polis yang dibuat terhadap Anwar di Kuala Lumpur.

Tambah Hanipa, beliau juga percaya isu yang dibangkitkan Anwar membabitkan perlembagaan persekutuan, yang menurut beliau, berada di luar bidang kuasa polis.

Pada 12 Jan, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Pada 14 Jan, Anwar dilaporkan menulis surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Agong supaya membatalkan perisytiharan darurat dan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

Dalam surat tersebut, Anwar berkata, perisytiharan darurat tidak perlu kerana ada langkah mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19, termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan.

Beberapa hari lepas, beliau mendakwa 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak usul darurat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mahu sidang Parlimen diadakan.

Beliau turut memfailkan permohonan di mahkamah untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Lebai, maaf, mohon bertanya ya

MOHAMED HANIPA MAIDIN

1. Adapun yang heboh diperkatakan tentang kerja-kerja rasukan SYAITAN ni, ia termasuk kepada perkara-perkara ini ke?

a. KHIANAT mandat rakyat dengan dirikan Gomen Tebuk Atap dan rampas hak orang lain? dan termasuk ke mereka yang bersama-sama dan boleh menyokong kerja-kerja KHIANAT tersebut?

Jika YA, macam mana agamawan yang arif hukum hakam boleh buat benda lagu tu?

Tak rasa malu dan tak rasa bersalah dengan Tuhan ke setiap kali nak bertakbir masa nak solat?

Jika TIDAK, ok lah, cuma itu ilham dari malaikat pula ke?

Jika YA, itu munkar- منكر- dan berdosa kan?

Jika TIDAK, itu maaruf- معروف dan dapat pahala ke?

b. Bila dah hilang majoriti dan takada keabsahan memimpin negara tapi masih tak mahu berundur dan buat darurat lagi dan para agamawan pun tak mahu tegur malah tolong cari dalil menyokong, itu rasukan SYAITAN atau ilham malaikat?

#takkanlah tok lebai nak menipu !!!

KOLEKSI BERITA SYAITAN

Siapa di belakang usaha jadikan Zahid liabiliti Umno?

Siapa di belakang usaha jadikan Zahid liabiliti Umno?


ISMAIL HASHIM 

Desakan terbuka melalui kain rentang dan akar umbi Umno supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai presiden, dapatkah diertikan petanda adanya rancangan bahawa Umno bakal mempunyai pemimpin baharu?

Kain-kain rentang yang dipasang di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim, sebelum ini di Seremban dan Shah Alam mempamerkan kaedah dan taktik pecah-belah yang bertujuan supaya elemen penafian, timbulnya tuduh menuduh dan laga-melaga yang akan membawa kepada situasi haru-biru dan `chaos’ dalam Umno. Agak menarik untuk memerhatikan secara wacana perjalanan berita ini.

Jika diteliti dari manakah sumber berita kain rentang dan desakan supaya Zahid letak jawatan ini. Adakah sumber berita dari dalaman Umno sendiri atau dari luar?

Wacananya ialah “letak jawatan”. Jika ini menjadi tema andaikan daripada sumber dalaman yang ingin mencetuskan keharubiruan maka akan beberapa objektik ingin dicapai.

Dalam percaturan strategi yang berselindung di sebalik pelitup itu, antara objektif yang ingin dicapai oleh halimunan-halimunan politik ini sama ada jangka pendek dan jangka panjang ialah memecah belah Umno, Umno dengan kepimpinan totok pro Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) atau mentalkinkan Umno.

Dalam agenda tersebut terdapat kumpulan-kumpulan ahli parlimen dan penyokong-penyokong yang cenderung kepada pihak-pihak tertentu antaranya pro-Tun Dr Mahahir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau berkecuali dengan pelbagai niat, motif dan hasrat.

Dalam hal ini Presiden Umno dijadikan liabiliti dan mangsanya. Walaupun terdapat kewajaran untuk Zahid meletakkan jawatan atau berehat sementara menunggu kes mahkamah selesai tetapi kemelut ini akan digunakan pihak-pihak tertentu untuk meraih kuasa dalam Umno, sekurang-kurang mencetuskan persepsi dalam kalangan akar umbi bahawa Zahid adalah liabiliti kepada masa depan Umno.

Percaturan ini boleh menjadi membunuh dua ekor burung dengan melastik seketul batu, mendesak Zahid letak jawatan dan pada masa yang sama agenda multi dimensional yang berada dalam gambar satu bingkai: pemimpin baharu, pengaruh akar umbi Umno ke arah Bersatu, pecahkan Umno atau kuburkan Umno sama ada melalui proses undang-undang atau hilang sokongan akar umbi.

Kita akan melihat tokoh-tokoh tertentu, ahli politik tertentu akan digunakan mengeluarkan kenyataan-kenyataan supaya Zahid meletak jawatan dengan justifikasi moral politik.

Penggunaan moral politk bukan atas dasar kebenaran (walau tidak dinafikan itulah hakikatnya) tetapi kesempatan yang diambil dengan mewujudkan justifikasi pengawajahan atau pencitraan atas sosok tertentu.

Perhatikan bagaimana syarikat akhbar Utusan dicabut pengaruh Umno yang dahulunya merupakan akhbar lidah Umno secara langsung dan tidak langsung.

Namun bagi kumpulan sang politikus halimunan gerakan kain rentang dan desakan supaya Zahid letak jawatan pada peringkat awalnya untuk membuka ruang kepada persepsi negatif akar umbi dan penyokong Umno berhubung tahap keyakinan terhadap parti.

Perbuatan dilakukan ‘musuh politik’ bertujuan melaga-lagakan hubungan dalam kalangan ahli Umno. Maka media sosial adalah pentas terbaik bagi mereka membuat keputusan.

Kita dapat perhatikan yang terbaharu daripada Umno Paya Besar yang memberi alasan antaranya “lemah ketegasan tindakan”, di sebalik pergolakan dalam parti yang berpaksikan kerjasama Umno dengan PPBM.

Ketuanya, Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa arah tuju parti yang tidak jelas meluntur daya juang dan kesungguhan ahli Umno.

Adakah ini dapat dikaitkan dengan “Grand Design rancang Annuar Musa presiden Bersatu, Hishammudin presiden Umno?” (Malaysia Dateline 24 Januari 2021).

Atau adakah desakan supaya Zahid letak jawatan berpunca daripada pendedahan Tan Sri Annuar Musa bahawa surat sokongan yang ditandatangani oleh pemimpin tertinggi Umno kepada pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Annuar, ini merupakan pertama kali surat bertarikh 11 Oktober itu didedahkan kerana beliau tidak bersetuju dengan pendirian menyokong Presiden PKR itu.

Adakah ini puncanya kepada desakan supaya Zahid meletak jawatan sebagai Presiden Umno?

Namun jika diteliti Zahid akan digunakan sebagai ‘scapegoat’ `sandera’ atau `mangsa’ bagi sang parisit yang mengambil kesempatan daripada kemelut yang berlaku dalam Umno, dan sang halimun politik akan menebarkan jaringan fitnah, kekaburan dan kegelisahan supaya pemimpin baharu akhirnya akan muncul sebagai sang penyelamat kepada Umno.

Atau lebih buruk lagi apabila Zahid dicanangkan sebagai liabiliti, maka akan berbondong akar umbi menyertai Bersatu, Warisan atau juga menyokong PH?  (ruang politik shahih kerana parti Pejuang tidak berdaftar).

Umno sedang bergelora, bahteranya sedang dilambung ombak dan nakhoda harus mengemudi menentukan haluan dan tujuan dalam menelesuri gelombang besar ini.

———————-

Kolumnis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Didakwa mahu serang masjid: Remaja Singapura ditahan ISA

Malaysiakini 

Singapura menahan seorang remaja lelaki 16 tahun bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan merancang untuk menyerang dua buah masjid di republik itu.

Serangan itu didakwa akan dibuat terhadap Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak semasa ulang tahun serangan pengganas di masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac, lapor Berita Mediacorp.

Remaja yang ditahan pada Disember lalu itu menjadi tahanan termuda ISA Singapura dan “yang pertama dipengaruhi ideologi pelampau sayap kanan”.

“Remaja itu menjadi radikal sendiri didorong rasa benci terhadap Islam dan cenderung ke arah keganasan,” laporan itu dipetik. 

Laporan itu mendakwa remaja itu membeli jaket ves taktikal daripada sebuah platform atas talian dan meletakkan alat rakaman untuk menyiarkan serangan yang akan dilakukan secara langsung.

Dia juga didakwa meninjau pelbagai pilihan senjata untuk digunakan.

“Dia akhirnya memilih parang parang sebagai senjata,” menurut laporan media rasmi berbahasa Melayu milik pemerintah itu.

“Untuk mempersiap dirinya, remaja itu menonton video-video YouTube dan berasa yakin bahawa dia boleh menusuk tepat pada bahagian pembuluh darah mangsanya dengan mengelar bahagian leher dan dada mangsanya.”

Lelaki Indonesia ‘miang’ dipenjara 6 bulan raba alat sulit jururawat

Goh Pei Pei

KUCHING: Seorang pekerja binaan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan di Kuching tahun lalu.

Tertuduh, Kusno, 52, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah di hadapan majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali hari ini.

Hukuman penjara bermula pada 18 Ogos 2020, iaitu tarikh dia ditahan.

Tertuduh dimasukkan ke hospital dipercayai akibat jangkitan kencing tikus (leptospirosis) pada 8 Ogos 2020.

Dia melakukan kesalahan itu terhadap seorang jururawat berusia 23 tahun keesokan harinya sekitar 8 malam.

Ketika kejadian, tertuduh didakwa mendekati jururawat itu yang sedang menyiapkan ubat untuk pesakit lain di wad dan berkata: “Saya nak itu”.

Jururawat yang tidak jelas dengan permintaan itu memintanya mengulangi pertanyaan. Dia kemudian terus menyentuh bahagian sulit mangsa sambil berkata: “Ini.”

Mangsa bergegas ke arah rakan sekerjanya untuk meminta bantuan sebelum membuat laporan polis.

Tertuduh yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia, akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara.

Kes dikendalikan timbalan pendakwa raya, Mohd Adzmei Ahmad.

Azmin kena kecam, rakyat berang desak potong 70 peratus gaji menteri

FAZLI RADZI

Tiada satu komen pun menyokong Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu hantaran di Facebook miliknya semalam.

Orang ramai hanya menghamburkan kecaman dan menganggap Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu sebagai tin kosong ekoran hanya dilihat sekadar ‘sembang’ seolah-olah memahami masalah rakyat selepas setahun pandemik Covid-19 melanda.

Terdahulu, Azmin menulis adalah penting untuk kita sedar bahawa selain kesan terhadap kesihatan dan ekonomi, Covid-19 turut memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Satu orang sahaja hilang mata pencarian akan menjejaskan pendapatan seisi keluarga.

“Hakikatnya, kehilangan pendapatan untuk seorang pencari nafkah akan menjejaskan kehidupan sekurang-kurangnya empat orang yang lain di dalam sesebuah keluarga,” kata bekas pemimpin PKR yang khianat kepada parti dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton itu.

Selepas 14 jam dimuatnaik lengkap poster tertera gambarnya bersama lambang Jata Negara dari Pejabat Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, kenyataan Azmin hanya mengundang lebih banyak tanda ketawa dan marah serta lebih 400 komentar daripada warganet.

Rata-rata reaksi mengkritik Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu dan kerajaan PN termasuk mendesak supaya gaji menteri dipotong sehingga 70 peratus.

Ramai menganggap tindakan Azmin yang kononnya melaungkan soal kehidupan rakyat yang menderita tanda simpati belum cukup menyelami hati rakyat yang terkesan dengan pandemik.

“Gaji menteri kena potong 70 peratus untuk membantu rakyat,” desak Hanafi Japarudin.

Menurut A Nadzir Musa pula pandemik Covid-19 tidak menjejaskan seisi keluarga menteri kerana pendapatan tetap ada walaupun Parlimen digantung berbeza dengan nasib dialami rakyat.

“Gantung sektor ekonomi siapa jadi mangsa? RAKYAT, bukan kau (Azmin). Mata pencarian kau saja tidak terjejas. Nak bantu rakyat apatah lagi. Potong gaji 10 hingga 30 peratus, kau tak nak (lokek@bakhil).

“Tak usahlah kau cakap pasal rakyat jikalau kau pun tak mampu nak membantu rakyat. Apa sumbangan kau terhadap rakyat dikala Covid-19 meresapi di seluruh negeri di Malaysia?” bidasnya lagi. 

Deretan kecaman rakyat yang menganggap Azmin dan kerajaan PN gagal menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit akibat Covid-19.

‘Keluarga menteri terjejas’

Hal sama turut disuarakan Saharuddin Yusoff yang berpendapat adalah lebih baik mengurangkan jawatan menteri memandangkan pendapatan sebagai Ahli Parlimen pun sudah mencukupi musim Covid-19 ini.

“Yang pelik kerajaan sanggup tanggung ramai menteri.Bagusnya kurangkan jawatan menteri-menteri.

“Makan duit wakil rakyat pun dah cukup waktu Covid-19 ini, nak juga buka jawatan menteri banyak-banyak,” tempelaknya.

Sementara itu, bagi Jennifer Lee pula mengecam tindakan menteri kerajaan PN yang gagal mengetengahkan isu rakyat sebelum Parlimen digantung.

“Dewan bersidang selama ini tidak bawa usul. Bila dah darurat Parlimen di gantung barulah buat sibuk pasal Rakyat. Menteri tak guna,” kecamnya.

Tidak kurang juga yang secara sinis berpendapat kesemua menteri kerajaan PN dalam Kabinet bersaiz XXL Muhyiddin Yassin tidak boleh ‘diusik’ kerana akan menjejaskan seluruh keluarga menteri.

“Jadi, apa tindakan tuan? Sudah pasti kita tak boleh jejaskan pendapatan 70 orang menteri ‘kan? Nanti 70 keluarga terjejas,” sindir Qayyim Hafidzi.

Kenyataan Azmin ini mengundang kemarahan rakyat selepas setahun Covid-19 melanda.

Wajah Pas selepas era Fadzil Noor

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN

Pemimpin parti lebai kata, penubuhan AMANAH kerana pengaruh DAP. Bahkan, ada lebai yang kata, DAP yang menaja atau menubuhkan AMANAH.

Lalu AMANAH yang dikenali dengan PAN oleh bani lebai digabung dengan DAP menjadi PANDAP. Bani lebai pun meratiblah pandap, pandap, pandap sehingga lupa menyebut nama Tuhan.

Kelmarin, Presiden MIC kata, punca tertubuhnya AMANAH kerana sikap sombong pemimpin parti lebai. Dia merujuk kenyataan dan tindakan Menteri Besar Kedah dalam isu tidak beri cuti peristiwa Thaipusam.

Jangan lupa MIC adalah sekutu Umno, dan Umno pula isteri kedua parti itu selepas PPBM. Jangan lupa juga, setakat ini parti itu ada beberapa isteri antaranya Ikatan yang ditinggal tergantung tanpa tali.

Akhirnya pemimpin MIC yang mendedahkan sebahagian punca tertubuh AMANAH. Kalau kami sendiri yang beritahu, mungkin orang parti itu akan nafi. Tetapi kalau geng sendiri yang bagi tahu, mungkin bani lebai boleh percaya.

Walaupun kenyataan Presiden MIC bukan satu-satunya sebab tertubuhnya AMANAH, tetapi sekurang-kurangnya orang ramai tahu bahawa apa yang ditular oleh lebai selama ini adalah bohong.

Begitulah sifat kebenaran. Kebenaran memerlukan masa untuk menonjol diri, sama seperti keburukan memerlukan masa untuk dilihat kesan kerosakannya.

Selepas era Fadhil Noor, orang menyangka parti lebai akan meneruskan agenda reform Fadhil. Nyata sekali tidak, kerana akhirnya parti lebai sujud di kaki Umno yang dilawan habis-habisan oleh Fadhil dan anak buahnya.

Parti lebai sudah tersasar dari landasan asal perjuangannya. Apa yang dilaung kononnya untuk perpaduan Melayu Islam hanya slogan kosong untuk menutup kesilapan sahaja.

Hakikatnya, parti lebai hanya aktif dalam politik untuk mendapat habuan. Jika betul parti lebai berjuang untuk Melayu Islam, sudah tentu parti itu tak akan bersekongkol dengan pengkhianat dan menubuhkan kerajaan tebuk atap.

Harap-harap tidak payahlah lebai panggil AMANAH PANMIC pula selepas ini!


*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional.

Bisikan syaitan: Abdul Hadi kena kecam ibarat tepuk air di dulang

FAZLI RADZI

Orang ramai mengecam Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai reaksi terhadap artikel Presiden Pas itu yang bertajuk “Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan” semalam.

Kenyatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu mengundang kecaman bahkan sindiran apabila mengaitkan bisikan syaitan punca ramai anak muda Melayu Islam tidak mendaftar sebagai pengundi.

Ibarat menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri, Ahli Parlimen Marang itu diserang warganet termasuk menyindir sikap Pas sepanjang tempoh singkat pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Mereka mengutuk Abdul Hadi di ruangan komentar bekas Menteri Besar Terengganu itu yang memuatnaik artikel berserta poster bagi slot Minda Presiden Pas.

“Selama 22 bulan PH memerintah, kau (Abdul Hadi) cetuskan keraguan pada rakyat,” tempelak Khairul Anuar Kamaruddin.

Hal sama juga dibangkitkan Mohammad Tirmizi Abd Manaf memandangkan Pas sebelum menjadi kerajaan galak bercakap tentang isu Melayu Islam.

“Dulu masa jadi pembangkang hari-hari timbulkan keraguan. Isu TH (Tabung Haji), isu arwah (anggota bomba) Adib, isu Melayu. Buat kerja setang lah tu,” sindirnya.

Terdahulu Abdul Hadi dalam tulisannya menyebut generasi muda Islam yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan agama khususnya masih dihantui bisikan syaitan.

“Pengaruh bisikan syaitan masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.

“Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka,” katanya.