"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada duit bayar kompaun, kata Presiden AMANAH

FAZLI RADZI

Prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang terlalu ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sukar untuk bercakap dengan media.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu petang tadi enggan menjawab pertanyaan media dengan menegaskan tiada wang jika dikenakan kompaun melanggar SOP oleh pihak berkuasa.

“Tak boleh, tak boleh (adakan sidang media). (Kompaun) RM4,000, saya tak ada duit,” katanya ringkas.

Mohamad berkata demikian kepada pihak media ketika ditemui di sebuah warung di Felda Tun Ghafar Kemendor di Jasin.

Beliau serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masing-masing hanya makan dan berbual sekitar 30 minit, sebelum terus meninggalkan warung itu.

Ketiga-tiga pemimpin tertinggi PH itu bersama calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Rim, Prasanth Kumar Brakasam menyantuni anak muda tempatan di Felda tersebut.

Mahiaddin gelar Shahrir bodoh

MALAYSIA DATELINE

Cabaran veteran Umno Johor, Tan Sri Shahrir Abdul Samad supaya Bersatu mengarahkan ADUN mereka di Johor untuk menarik sokongan daripada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad disambut dengan nada marah oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menggelar Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu sebagai ‘bodoh’ dan berniat jahat.

“Itu berniat jahat. Saya kenal Shahrir ni, dia nak macam mana yang berlaku di Melaka, berlaku (pula) di Johor.

“Inilah pemimpin Umno… jangan cabar saja. Saya presiden Bersatu, Perikatan Nasional,” katanya yang jelas marah dengan isu berkenaan.

Tambah Muhyiddin lagi, tindakan Shahrir itu juga “bodoh” apabila meminta Bersatu menarik balik sokongan mereka kepada menteri besar Johor.

“Macam Shahrir bodoh, suruh bersatu tarik (sokongan) dan menteri besar Umno akan jatuh. Bijak ke bodoh?” bidasnya dalam sidang media di Jasin hari ini.

Mahiaddin berkata demikian apabila diminta mengulas cabaran dibuat Shahrir agar Bersatu menarik sokongan Adun mereka kepada Menteri Besar Johor dan membuka jalan kepada krisis politik seperti di Melaka.

Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan dia sebenarnya tidak takut untuk bertindak balas di Johor tetapi lebih memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat sekiranya berlaku pilihan raya negeri.

“Shahrir tak fikir. Sekarang (pun) saya boleh tekan button (butang, untuk arahkan ADUN Bersatu tarik sokongan).

“Saya tak takut, (tetapi) sebab saya fikirkan, yang penting ialah rakyat di Johor, jangan sampai berdepan masalah seperti di Melaka,” tambah Mahiaddin lagi.

Pas sekarang seperti gigolo terpaksa bergantung viagra Oleh ZULHAZMI SHARIFF / November 13, 2021 Kata Haji Hadi, tindakan menjatuhkan kerajaan sendiri adalah sesuatu yang tidak bermoral. Hadi merujuk kepada tindakan beberapa Adun Umno yang menarik sokongan di Melaka sehingga dibubarkan Dewan Undangan Negeri. Hadi juga merujuk kepada tindakan sekumpulan Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Mahiaddin sehingga Mahiaddin terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada Ismail Sabri. recommended by Mgid Mgid INSULUX Diabetes hilang selama-lamanya! Lakukan ini sebelum tidur KETAHUI LANJUT Tulisan ini adalah sebagai peringatan dan rujukan kepada semua khususnya ahli Pas di seluruh Malaysia. Jika Hadi berkata, tindakan Adun Umno dan Ahli Parlimen Umno menarik sokongan itu tidak bermoral, ianya sesuatu yang munasabah. Memang cukup tidak bermoral ketika kita bersama tiba-tiba kawan menikam dari belakang. Tetapi Hadi perlu cermin diri dan insafi tindakan. Ungkap dan teliti sejarah yang bukannya lama, baru juga. Mahiaddin bersama Azmin keluar dari PH yang diberi mandat oleh pengundi pada PRU-14 hingga menyebabkan Tun Mahathir terpaksa meletak jawatan. Runtuh pentadbiran PH di Putrajaya diikuti beberapa negeri. Bermoralkah Mahiaddin dan Azmin?

ZULHAZMI SHARIFF

Kata Haji Hadi, tindakan menjatuhkan kerajaan sendiri adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Hadi merujuk kepada tindakan beberapa Adun Umno yang menarik sokongan di Melaka sehingga dibubarkan Dewan Undangan Negeri.

Hadi juga merujuk kepada tindakan sekumpulan Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Mahiaddin sehingga Mahiaddin terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada Ismail Sabri.

Tulisan ini adalah sebagai peringatan dan rujukan kepada semua khususnya ahli Pas di seluruh Malaysia.

Jika Hadi berkata, tindakan Adun Umno dan Ahli Parlimen Umno menarik sokongan itu tidak bermoral, ianya sesuatu yang munasabah. Memang cukup tidak bermoral ketika kita bersama tiba-tiba kawan menikam dari belakang.

Tetapi Hadi perlu cermin diri dan insafi tindakan. Ungkap dan teliti sejarah yang bukannya lama, baru juga.

Mahiaddin bersama Azmin keluar dari PH yang diberi mandat oleh pengundi pada PRU-14 hingga menyebabkan Tun Mahathir terpaksa meletak jawatan. Runtuh pentadbiran PH di Putrajaya diikuti beberapa negeri.

Bermoralkah Mahiaddin dan Azmin?

Tindakan Mahiaddin dan Azmin yang tidak bermoral disambut Hadi dan Pas sehingga tertubuhnya pentadbiran PN bersama BN.

Kemudian Zahid dan Najib menarik sokongan sehingga Mahiaddin terpaksa pergi. Diangkat Ismail Sabri. Pas turut sama menyokong Ismail Sabri dan bersama dalam pentadbiran sekarang di Putrajaya.

Tidakkan ianya tidak bermoral? Adakah menarik sokongan di Melaka saja tidak bermoral tetapi tiga kali di Putrajaya bermoral?

Di Kedah, Pas menjadi peneraju pentadbiran akibat tindakan tidak bermoral Adun Lunas, Adun Sidam, Adun Bukit Kayu Hitam, Adun Kuah dan beberapa yang lain.

Jika menarik sokongan tidak bermoral, bersama dan menyokong yang tidak bermoral adalah lebih tidak bermoral.

Jika Umno, Bersatu tidak bermoral, itu biasa kerana itulah Umno, itulah Bersatu. Mereka bukan pedagang agama seperti Pas.

Mereka tidak berjubah berserban. Mereka tidak bercakap dengan ana enta nahnu zaujah. Tapi Pas yang di mulut meratib inilah Islam inilah Islam tetapi bersama dan menyokong pihak yang tidak bermoral, apa nilai Pas ini?

Islam apa di mulut berbuih tetapi tindakan melebihi iblis?

Insaflah Pas. Sedarlah ahli-ahli Pas sekalian. Pas sudah jauh hanyut dari perjuangan asal Pas.

Pas sekarang tidak lebih seperti gigolo yang tiada tenaga. Terpaksa bergantung viagra demi memuaskan nafsu kuasa.

Pas sebenarnya yang ekstrem, kata Naib Presiden Umno

FAZLI RADZI

Walaupun sekarang Pas berkicau seolah-olah ia lebih ‘sederhana dari yang sederhana’ tetapi rekod dan prestasi Pas jelas menunjukkan bahawa ia bukan parti sederhana, tegas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, Pas mungkin kelihatan sederhana hari ini bukan kerana ideologi dan pendekatan politiknya, tetapi kerana parti itu menyedari bahawa untuk terus diajak menjadi kerajaan ia terpaksa menjadi sederhana.

“Sepanjang kewujudannya, BN kekal dengan pendirian mendukung kepelbagaian Malaysia. Kerana itu BN tidak pernah menyertai pelbagai perikatan lain untuk kononnya tampak sederhana.

“Lihatlah rekod Pas. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya, termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutunya.

“Jadi, apabila parti di luar pakatan yang disertai Pas dilabel sebagai parti ekstrem, maka saya teringat bidalan orang tua-tua. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” tempelaknya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas menyifatkan Perikatan Nasional (PN) adalah satu pakatan kesederhaan yang ditubuhkan sebagai ‘perikatan menentang parti-parti ekstrem’.

Khaled menegaskan Abdul Hadi secara tidak langsung turut bermaksud bahawa BN adalah parti yang ekstrem memandangkan BN adalah parti yang tidak berada dalam PN.

“Sudah tentu pandangan sebegini tidak benar. BN bukan parti yang ekstrem atau menyokong ekstremisme.

“Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN dan bukannya Pas. Saya rasa semua orang tahu jawapannya.

“Pas tidak pernah menang besar dalam mana-mana PRU, kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya, Pas adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.

“Mereka tidak yakin Pas boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks.

“Kerana itu, walau berpuluh tahun kewujudannya, dengan Islam yang dicanangkan sebagai landasannya sekalipun, majoriti orang Melayu tidak pernah menerima Pas sebagai parti yang boleh mewakili mereka,” tegas Khaled lagi.

Potong kepala, bakar mayat ibu angkat

LIONEL Justin Gore

LIONEL Justin Gore

Washington: Seorang lelaki di Ohio ditahan selepas membunuh ibu angkatnya, memotong kepala wanita itu sebelum membakar mangsa.

Lelaki litu dikatakan bertindak sedemikian kerana mendakwa dimaklumkan 'roh' bahawa ibu angkatnya itu adalah syaitan.

Lionel Justin Gore, 34, mengaku membunuh Diane Gore di rumah wanita itu di New Matamoras di sempadan Ohio dan Virginia Barat, Sabtu lalu.

Selepas ditahan, dia dilaporkan memberitahu pihak berkuasa: "Saya potong kepalanya dan bakarnya dengan api."

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di hadapan anak saudara lelaki Lionel berusia enam tahun, lapor New York Post yang memetik Marietta Times.

Mayat mangsa ditemukan pihak berkuasa dipanggil ke rumah itu kira-kira jam 6.30 petang, selepas mendapat laporan mengenai kebakaran di kediaman berkenaan.

Anak saudara Lionel memberitahu polis, dia melihat lelaki itu memotong leher Diane dengan pisau sebelum membakar rumah berkenaan.

Kanak-kanak itu berkata, dia merangkak untuk keluar dari rumah dipenuhi asap.

Lelaki itu kini direman dan berdepan tuduhan membunuh, melakukan khianat serta membahayakan kanak-kanak.

Calon PH dikompaun RM4,000 kerana berkempen pakai lambang parti

SITI NUR ZAWANI MISCON

Calon Pakatan Harapan didakwa telah dikompaun sebanyak RM4,000 kerana didapati berkempen dengan memakai lambang rasmi parti itu pada jaket yang digunakannya.

Kompaun yang dikeluarkan

Surat kompaun tersebut dikongsi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melalui hantaran di Twitternya hari ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan calon mana yang dikompaun.

Kompaun itu menyatakan bahawa kesalahan individu tersebut disebabkan: ‘Menjalankan kempen Pilihan Raya Negeri Melaka dengan cara calon memakai jaket berlambang parti Pakatan Harapan’.

Surat tersebut bertarikh 10 November 2021 dan kesalahan didapati dilakukan di Warung Kak Pah, Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah pada jam 11 pagi.

Surat itu juga menyatakan individu tersebut telah melakukan kesalahan di bawah seksyen Perkara 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988

“Gila, pakai lambang Pakatan Harapan pun kena kompaun. Sebab lambang kan sebar virus.

“Cuma bukan virus Covid, tapi virus demokrasi. Itu virus yang mereka paling takut,” ciap Fahmi.

PRN Melaka: Mendefinisi katak

TAUFEK YAHYA

Lompat si katak lompat,

Lompat di dalam perigi,

Lompat jangan tak lompat,

Nanti tak sempat menjadi.

Pantun empat kerat di atas diungkapkan Ahli Parlimen Penggerang (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika berucap di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dalam ucapannya itu, bekas menteri dan mantan timbalan speaker dari Umno itu menyentuh budaya lompat parti yang semakin berleluasa selepas Langkah Sheraton yang digerakkan para pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sebahagian pemimpin PKR diketuai Azmin Ali pada hujung Februari 2020.

Langkah khianat ini menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat puluhan Ahli Parlimennya berpaling tadah.

Azalina sebelum itu telah menyerahkan usul persendirian RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 untuk dibahas di Dewan Rakyat.

RUU itu diharap dapat menjadi mekanisme membendung budaya lompat parti yang menjadi punca ketidakstabilan politik mutakhir ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan 20 November ini turut hangat dengan isu ‘katak’ yang merujuk kepada budaya lompat parti.

Serangan ditujukan kepada PH kerana menyenaraikan dua bekas ADUN BN-Umno sebagai calon mewakili gabungan PKR, DAP dan AMANAH pada PRN Melaka.

Namun parti sekutu PH iaitu DAP secara konsisten menyatakan rasa tidak setuju atas tindakan PKR mencalonkan Datuk Idris Haron di Dun Asahan dan AMANAH yang menamakan Datuk Nor Azman Hassan di Dun Pantai Kundor.

DAP juga sejak dari awal menolak sebarang cubaan meletakkan bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Bakti sebagai calon PH walaupun mantan pemimpin DAP itu ialah salah seorang daripada empat ADUN yang menyebabkan kerajaan BN Melaka tumbang.

Seorang lagi bekas ADUN terlibat, Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) tidak tercalon pada PRN kali ini manakala Norhesam pula bertanding sebagai calon bebas di DUN Pengkalan Batu.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari dalam satu wawancara dengan Malaysiakini berkata, tidak mudah untuk Pakatan Harapan (PH) menerima kemasukan dua bekas ADUN Umno menyertai gabungan berkenaan namun menganggap ia sebagai langkah yang perlu diambil.

Menurutnya, Idris Haron dan Nor Azman sudah terpisah daripada Umno dengan langkah mereka menarik balik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

Kata Adly kesukaran seperti itu pernah dialami PH ketika mereka mahu menerima bekas perdana menteri yang juga mantan presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad sebelum PRU ke-14 lalu.

Apa yang menarik untuk dilihat, bukan PH sahaja menamakan ‘calon lompat’ pada PRN kali ini, malah PN dan BN juga berbuat demikian.

PN sebagai contoh mencalonkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon di DUN Tanjung Bidara. Mas Ermieyati bertindak meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada 2019.

BN pula mencalonkan semula bekas ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis di Dun yang sama pada PRN kali ini. Jailani yang menang atas tiket PKR pada PRU 2018 bersama tiga ADUN lain menarik sokongan daripada kerajaan PH negeri selepas Langkah Sheraton.

Beliau akhirnya menyertai Umno pada Januari 2021. Jika dilihat daripada senario yang berlaku, jelas bahawa PN dan BN masing-masing meletakkan calon ‘katak’ pada PRN kali ini sedangkan PH menamakan dua calon yang dipecat Umno.

Idris dan Nor Azman juga tidak melompat menyertai parti lain ketika bergelar ADUN malah menyatakan masih setia kepada Umno sehinggalah keahlian mereka dipecat.

Definisi ‘katak’

Sehubungan itu selain memikirkan mekanisme untuk membendung budaya lompat parti atau ‘katak’ dalam politik, Akta Lompat Parti yang bakal digubal perlu mempunyai definisi yang jelas tentang ‘katak’.

‘Katak’ mungkin boleh diistilahkan kepada wakil rakyat yang bertukar parti tanpa sebab yang meyakinkan; tetapi adakah wajar jika ia membabitkan wakil rakyat yang dipecat oleh parti kerana mendedahkan kebobrokan parti yang didokonginya.

Malah ketika diterima menyertai parti lain, beliau bukanlah ahli mana-mana parti berdaftar.

Ketidakpastian ini perlu dijelaskan dalam RUU Lompat Parti agar ‘katak’ tidak secara berwewenang dilabelkan kepada mana-mana pemimpin politik.

Ironinya ia menjadi tanggung jawab anggota parlimen yang sebahagiannya memang layak dipanggil ‘katak’.

Penamaan Adly sebagai calon KM beri lonjakan kepada PH

BORHAN AHMAD

Penamaan Adly Zahari sebagai bakal Ketua Menteri Melaka sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang telah memberi lonjakan kepada PH dan boleh menjadi faktor besar untuk menarik sokongan pengundi.

Inilah yang disepakati oleh para pengkaji politik dan penganalisis samada di lapangan atau di pusat-pusat pengajian tinggi selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemilihan Adly sebagai calon ketua menteri sekiranya PH menang dalam PRN Melaka.

Adly diumumkan sebagai calon ketua menteri jika PH menang PRN Melaka.

“Tinjauan awal kami menunjukkan Adly Zahari sangat popular dalam kalangan rakyat Melaka.

“Prestasi kepimpinan beliau selama 22 bulan meninggalkan kesan yang baik, sehingga diingati oleh pengundi.

“Majoriti memberi persepsi yang baik terhadap Adly, termasuk yang tidak menyokong PH,” kata Profesor Madya Dr Yusri Ibrahim, pensyarah dari Universiti Malaysia Terengganu.

Bagi Dr Abdul Latif Ibrahim pula, tindakan PH umum Adly sebagai calon KM, tepat sekali.

“Sentimen pengundi adalah mereka nak Adly meneruskan agenda prihatin rakyat yang dibuat semasa beliau KM,” kata bekas pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Katanya, Adly tidak ada bebanan (beggage) langsung

“Personaliti yang boleh diterima secara meluas,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Adly juga mendapat sokongan meluas di kalangan pengundi, katanya.

“Dalam kalangan pengundi Melayu beliau mendapat sokongan agak meluas. Bukan Melayu hampir semua mahukan Adly,” kata Dr Latif berdasarkan tinajauan lapangan yang beliau buat Oktober lepas sebaik sahaja pilihan raya Melaka ditetapkan.

“Tinjauan yang dibuat Oktober lalu mendapati Adly mendapat sokongan yang besar untuk jadi KM,” kata beliau.

CALON BN

Tentang keputusan Barisan Nasional (BN) memutuskan Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjadi calon ketua menteri mereka pula, Dr Yusri berkata, Sulaiman lebih diterima dalam kalangan rakyat Melaka berbanding Datuk Seri Rauf Yusoh.

“Bahkan perbezaan penerimaan pengundi terhadap Sulaiman sangat jauh meninggalkan Ab Rauf.

“Saya percaya Umno mempunyai mekanisma tersendiri untuk meninjau hasrat rakyat Melaka tentang calon KM ini,” katanya.

Bagi beliau, Umno sudah pasti memiliki data lapangan yang menunjukkan penerimaan terhadap Rauf sangat rendah.

“Mungkin atas faktor tersebut mereka tetap memilih Sulaiman sebagai calon KM walaupun Ab Rauf sebagai pengerusi perhubungan Umno Melaka turut bertanding sama. 

“Matlamat utama BN adalah untuk menang terlebih dahulu pertembungan yang dijangka sengit, tentang ketidakstabilan dan sebagainya mungkin akan diurus semula apabila menang nanti.

“Atas faktor tersebut, menamakan Sulaiman sebagai KM adalah pilihan strategi terbaik buat BN,” kata beliau.

Dr Latif juga menyokong pandangan itu, bahawa Sulaiman lebih baik dari segi personalitinya berbanding Rauf.

“BN barangkali melihat potensi nak menang akan terbantut kalau Rauf yang dicalonkan.

“Sulaiman dilihat bersih dan juga dilihat sebagai seorang yang baik “agama”nya,” kata beliau.

Namun Dr Latif memberikan amaran, kalau situasi kembali macam sebelum ini dengan Sulaiman menjadi ketua menteri, kerajan tidak akan stabil, “malah “the power behind the throne” ialah Rauf.”

“Mungkin BN melihat menang dulu, nanti fikir balik soal ketua menteri.

“Nama yang dikemukakan mesti tidak kontroversi,” kata beliau.

CALON PN

Tiga calon yang bakal merebut ketua menteri Melaka dalam PRN kali ini. Adly dan Sulaiman sudah diumumkan secara rasmi, Mas Ermiyati diberitahu kepada media.

Sehingga kini, Perikatan Nasional (PN) belum mengumumkan secara rasmi siapakah calon ketua menteri mereka.

Namun di kalangan media, PN sudah mula bisikkan nama Datuk Mas Ermiyati Samsudin sebagai calon ketua menteri mereka.

Mereka berharap media dapat cuba menjual idea ini apakah ia boleh diterima oleh pengundi Melaka atau tidak.

“Menarik juga jika PN memilih wanita iaitu Mas Emeryati sebagai calon KM mereka.

“Dalam konteks PRN Melaka, PN sendiri tentu sedari bahawa mereka adalah pilihan underdog berbanding BN dan PH.

“Jadi nothing to lost jika mereka cuba membuat eksperimen politik dengan menamakan wanita sebagai calon KM.

“Lagipun peratusan pengundi wanita cukup besar, mungkin ini strategi berbeza untuk mengumpul semaksimum mungkin undi daripada pemilih wanita.

“Nothing to lost untuk PN mencubanya,” kata Dr Yusri tentang calon ketua menteri yang menjadi pilihan PN ini.

Bagi Dr Latif, kempen yang dibuat PN untuk melantik Mas Ermiyati itu sebagai daya penarik kerana mereka akan melawan dua gergasi dalam PRN ini iaitu BN dan PH.

“PN perlu buat sesuatu yang berbeza sama sekali. Target kepada pengundi wanita dan golongan muda.

“Tapi ini mungkin strategi “do or die”, sebab kalau tidak mereka tidak mempunyai heavyweight yang boleh yakinkan pengundi.

“Semacam memperjudikan

BN tidak yakin menang, sebab itu sedia kerjasama, dakwa AMANAH

MALAYSIA DATELINE

Kenyataan Datuk Seri Muhammad Hassan bahawa Barisan Nasional (BN) sedia menerima parti lain jika menang disifatkan sebagai lambang ketidakyakinan Pengarah PRN Melaka itu untuk menang, kata Ketua Wanita AMANAH (Awan), Aiman Athirah. 

“Kenyataan Tok Mat ini menzahirkan betapa Umno Barisan Nasional TIADA KEYAKINAN bahawa mereka boleh menang berdepan dengan Pakatan Harapan dalam PRN Melaka 2021,” kata beliau menerusi facebooknya.

Justeru, katanya, adalah wajar para pengundi Melaka memberi peluang dan sepenuhnya mandat kepada Pakatan Harapan serta Adly Zahari untuk meneruskan kerja-kerja dan pentadbiran di negeri Melaka.

“Berikan PH kemenangan yang kuat bagi memastikan kestabilan politik dan seterusnya kita boleh memberikan fokus terbaik mengangkat martabat hidup rakyat,” kata beliau.

Media semalam melaporkan, BN terbuka untuk menerima rakan parti lain dalam Kerajaan Negeri Melaka sekiranya ia memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengarah PRN BN Melaka itu berkata bagaimanapun pada masa sama, perlu ada satu parti teras yang boleh berdiri dengan sendiri untuk menubuhkan kerajaan negeri agar tidak ada mana-mana pihak membuat ugutan keluar parti yang sekali gus boleh menyebabkan kerajaan negeri runtuh.

“Kalau rakan-rakan yang mahu bersama dengan kita, tiada isu … lebih ramai lebih meriah, lebih ramai lagi baik, tetapi kita tidak mahu wujud satu keadaan di mana kita kerajaan sentiasa diugut setiap hari.

“Setiap hari, setiap pagi ketua menteri bangun tidur, dia memikirkan sama ada dia masih ada lagi majoriti ataupun tidak. Itu tidak baik,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran manifesto BN bagi PRN Melaka bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran di Melaka semalam.

Mahathir: ‘Jangan guna nama saya kaitkan dengan calon bertanding’

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak menyokong mana-mana parti politik dan mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata demikian dan merujuk kepada calon Bebas yang bertanding dalam PRN kali ini tetapi tidak menyebut khusus nama individu berkenaan.

“Saya dapat tahu ada sesetengah pihak cuba kaitkan Pejuang dan saya dengan individu tertentu yang bertanding sebagai calon bebas.

“Ingin ditegaskan sekali lagi, Pejuang dan saya tidak menyokong sesiapa di dalam PRN Melaka jauh sekali meletak calon proksi.

“Saya harap dengan penjelasan ini tidak lagi ada sesiapa yang akan cuba kaitkan saya, mahupun Pejuang dengan mana-mana calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, seramai 22 calon Bebas mempertaruhkan nasib bertanding dalam PRN Melaka.

15 calon bebas bersetuju berada di bawah satu gabungan dan mewujudkan Gagasan Bebas.

Selepas dua anak baru tahu ibu ayah tak pernah bernikah

NUR HUDA MUSA

PETALING JAYA – Seorang wanita terkedu apabila mengetahui ibu dan bapanya tidak pernah bernikah secara sah dan memalsukan sijil pernikahan.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, kisah itu terjadi ke atas seorang wanita yang masih muda dan telah berkahwin serta dikurniakan dengan dua orang cahaya mata.

“Asalnya, perkahwinannya bahagia namun bertukar duka setelah berlaku kejutan besar terhadap rahsia yang disimpan oleh ibunya. Ibu dan ayah ada pertelingkahan hingga duduk berasingan. Pertelingkahan mereka telah terdedah satu isu yang dia dan dua adik beradiknya yang lain tidak ketahui.

“Emaknya memberitahu kepadanya yang dia dan bapanya tidak pernah bernikah selama ini. Ayahnya telah memalsukan Sijil Nikah dan berpura-pura kononnya berkahwin secara kampung,” katanya.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila ayahnya telah menjadi wali kepada perkahwinannya.

“Akhirnya, kini rumahtangga dia retak kerana suaminya berasa marah dan tertipu dengan keadaan yang terjadi. Tambahan pula perkara ini terjadi setelah mereka telah ada dua orang anak. Itu belum kira dengan kakaknya yang terlebih dahulu kahwin sebelumnya.

“Dia tersangatlah buntu kerana suaminya menyuruhnya untuk failkan cerai. Namun, dia bingung apakah itu jalan sebenar?,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan perkahwinan ibu dan ayahnya yang dijalankan secara ‘Nikah Kampung’ tersebut tidak didaftarkan, wanita itu boleh dianggap sebagai anak tak sah taraf.

Katanya sepatutnya, si ayah atau ibunya perlu membuat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah untuk menentukan sama ada perkahwinannya sah atau tidak mengikut hukum syarak.

“Sekiranya pernikahan kampung atau kita sebut sebagai Nikah Sindiket ini sah ikut syarak, maka dia boleh dianggap sebagai anak sah taraf. Itupun kalau berlaku nikah dan disahkan oleh Mahkamah.

“Namun, jika tidak, wanita itu serta adik beradik yang lain, dikira sebagai anak tak sah taraf. Bagi status perkahwinannya pula, disebabkan dia adalah anak tak sah taraf, maka sepatutnya perkahwinannya perlu dilakukan dengan menggunakan Wali Hakim. Iaitu dia perlu membuat permohonan wali hakim di Mahkamah Syariah.

“Namun, disebabkan berlaku khilaf iaitu dia tidak mengetahui tentang status dirinya semasa berkahwin, maka pernikahannya sekarang dikira sebagai Nikah Fasid,” ujarnya.

Jelasnya, Nikah Fasid itu adalah nikah yang rosak disebabkan rukun atau syarat sah nikah itu tidak dipenuhi.

“Jadi, wanita itu perlu membuat Permohonan Faraq Nikah di Mahkamah Syariah. Suaminya tidak boleh menceraikan secara baik ataupun wanita itu sendiri memfailkan Fasakh,” tambahnya. – K! ONLINE

Adly Zahari diumumkan calon KM Melaka jika PH menang

BORHAN AHMAD
Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari diumumkan sebagai satu-satunya calon ketua menteri Melaka jika Pakatan Harapan (PH) dipilih oleh rakyat negeri ini dalam pilihan raya negeri nanti.

Pengumuman ini dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika majlis pelancaran manifesto PH Melaka hari ini.

Sehubungan dengan itu, Anwar meminta Adly selaku Pengerusi PH Melaka membentangkan manifesto PH Melaka yang dibentang untuk pilihan raya kali ini.

Turut serta dipentas ketika pengumuman itu dibuat adalah Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pengumuman Anwar menamatkan teka-teki sebelum ini siapa bakal dinamakan sebagai calon ketua menteri Melaka jika PH menang.

Menurut Anwar, PH adalah satu-satunya parti yang menyelesaikan isu hubungan antara parti-parti dalam komponen dan juga calon ketua menteri masing-masing.

“Hanya PH sahaja yang mantap kerana kita sudah selesai calon kita. Parti-parti lain masing-masing ada dua calon.

“Menang BN atau PN akan bawa kekecohan kerana mereka ada dua tokoh calon CM. Kita telah tonjolkan satu tokoh yang pernah memimpin kerajaan PH sebelum ini,” kata Anwar dalam majlis petang ini.
 
Adly Zahari adalah Ketua Menteri Melaka ketika PH memerintah negeri itu selama 22 bulan.

Menurut kajian yang dibuat oleh para penyelidik, rekod baik Adly ketika menjadi ketua menteri sebelum ini bakal memberikan peluang besar untuk PH menag dalam PRN kali ini.

Langkah PH letak ‘pembelot’ mungkin makan diri

Imran Ariff

PETALING JAYA: PKR dan Amanah mungkin berharap dapat mencuri undi Umno dengan meletakkan bekas ahli parti Melayu di Melaka yang melompat untuk menyertai mereka tetapi penganalisis memberi peringatan bahawa langkah itu akan memakan diri.

Menurut bekas ahli akademik Azmi Hassan, penyokong Pakatan Harapan (PH) mungkin memberontak terhadap tindakan itu.

Selepas menerima bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Nor Azman Hassan, pemimpin PH kini mendapati diri mereka terdesak untuk mempertahankan keputusan itu.

Ketua gabungan itu di Melaka, Adly Zahari menyamakannya dengan penerimaan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018, yang menyaksikan berlakunya pertukaran kerajaan pusat buat pertama kalinya dalam sejarah negara.

Manakala Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim cuba membezakan penerimaan bekas pemimpin Umno itu dengan Langkah Sheraton.

Pada sidang media semalam, Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook terpaksa memberitahu penyokong parti yang diakuinya tidak berpuas hati dengan penerimaan itu supaya kekal teguh menyokong PH.

Bagaimanapun, Azmi menimbulkan keraguan sama ada penyokong PH akan menyertai usaha blok itu untuk mencuri undi daripada Umno.

“Mereka mungkin percaya bahawa dua bekas ADUN Umno itu boleh menarik sokongan daripada ahli Umno dan ia menjadi pertimbangan utama dan alasan mengapa mereka dibawa masuk,” katanya kepada FMT.

“Namun daripada setiap 100 penyokong Umno yang berjaya ditarik oleh Idris atau Azman, mungkin terdapat 1,000 orang yang berasa tertipu oleh parti mereka.”

Katanya, ini akan menyebabkan berlakunya undi protes dan pengundi tidak keluar mengundi khususnya di Asahan dan Pantai Kundor, iaitu kerusi dua bekas pemimpin Umno itu bertanding.

“Stigma terhadap dua calon ini mungkin merebak ke tempat lain dan parti itu terpaksa berdepan kesan buruk akibat susulan keputusan untuk menerima mereka.”

BN dijangka menang di Melaka, Rauf bakal ketua menteri

BORHAN AHMAD
Berdasarkan tinjauan dan analisis semasa, Barisan Nasional (BN) dijangka akan memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka kerana pengundi Cina yang menjadi penyokong tegar Pakatan Harapan sebelum ini buat masa sekarang enggan keluar mengundi.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali yang sudah dua kali berkampung di Melaka sejak PRN diumumkan berkata, peratusan orang Cina tidak mahu keluar mengundi agak besar sekarang.

“Berdasarkan data ini, saya rasa Barisan Nasional (BN) akan menang dan Pengerusi BN yang juga Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh bakal dinobatkan sebagai Ketua Menteri Melaka selepas PRN nanti,” beritahu Mazlan ketika ditemui Malaysia Dateline di Melaka.

Rauf yang sebelum ini adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka bertanding mewakili BN di DUN Tanjung Bidara, salah satu kerusi yang paling selamat untuk Umno di Melaka.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon BN Datuk Md Rawi Mahmud menang dengan Majaoriti 2,864 mengalahka calon PH.

Dalam PRN ini, beliau akan bertembung dengan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Bersatu) dan Zainal Hassan (PH-PKR).

Menurut Dr Mazlan, keputusan pengundi Cina untuk tidak turun mengundi sesetengahnya kerana kekecewaan mereka apabila Pakatan Harapan tetap mengambil dua calon Umno dalam pilihan raya lalu yang didakwa mereka sebagai pemimpin yang tidak ada intergriti kerana ‘melompat’ parti.

“Bagi mereka, kerana sikap lompat parti inilah yang menjadi punca kerajaan PH jatuh dahulu. Jadi mereka tidak senang dengan tindakan ini dan mengambil keputusan tidak akan keluar mengundi dalam PRN ini,” kata Dr Mazlan.

Menurut Dr Mazlan, apabila orang Cina tidak keluar mengundi sedangkan Rauf dan Umno pula mendapat banyak sokongan di kalangan orang Melayu terutama di kampung-kampung, ia akan membolehkan BN menang dalam PRN ini.

Dr Mazlan sebelum ini juga berkata, berdasarkan kajian beliau, dua pemimpin dan Adun Umno yang diambil oleh PH sebagai calon mereka itu mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang Melayu di Melaka.

Bagi pemimpin Pakatan Harapan pula, kedua-dua mereka, iaitu Datuk Seri Idris Harun dan Datuk Nor Azman Hassan yang menjadi calon PH dalam PRN ini tidak melompat parti tetapi mereka hanya keluar dari menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum ini.

Selepas itu, mereka telah dipecat oleh Umno kerana menjatuhkan kerajaan Umno pimpinan Sulaiman itu.

Selepas tidak lagi menjadi ahli mana-mana partinya, PH menawarkan kerusi untuk kedua-duanya dan menolak dua lagi rakan mereka yang menarik diri dari kerajaan pimpinan Datuk Seri Sulaiman itu, kata mereka.

PH menolak Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu -Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) yang terlibat menjatuhkan kerajaan PH sebelum ini untuk menjadi calon mereka dalam PRN ini.

“No way, cukup sampai di sini sayang,” kata Umno kepada Pas di Terengganu

BORHAN AHMAD

Umno Terengganu bertegas, kerjasama antara parti itu dengan Pas di Terengganu melalui Muafakat Nasional sudah tamat.

“No way, cukup sampai di sini sayang,” kata Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu kepada media.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu menjawab soalan pemberita yang bertanya, “Apakah Umno akan bekerjasama lagi dengan Pas di Terengganu.”

Menurut beliau, Umno Terengganu sudah mengisytiharkan akan bertanding kesemua kerusi dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

“Insya Allah, (Umno) Terengganu sudah isytihar doh,” kata Ahmad ketika ditanya wartawan apakah Umno akan bertanding semua kerusi.

Menurut Ahmad, Umno mengambil sikap ini selepas Exco kerajaan negeri Terengganu yang juga Adun Cukai, Hanapiah Mat sudah mengiytiharkan Pas akan bertanding 22 kerusi DUN dan enam dari lapan kerusi Parlimen yang ada di Terengganu.

“Saya terpaksa isytiharkan apabila Exco Pas, hanapiah sebut di Kemaman, dia akan bertanding 22 dari 32 kerusi DUN di Terengganu.

“Menteri Besar pula sebut di Dungun, Pas akan pertahankan enam dari lapan kawasan Parlimen.

“Jika begitu apa yang tinggal. Maknanya kita tidak ada pilihanlah, kita terpaksa lawan semua lah,” katanya.

Menurut Ahmad menjadi sejarah di Terengganu, kerajaan negeri sentiasa berubah apabial ada isu yang berbangkit di peringkat pusat.

“1999 apabila kes mata lebam Anwar, orang Umno yang lari sokong PKR. Orang Pas kekal menyebabkan kita kalah 28 – 4.

“Selepas Pas tidak boleh berbuat apa-apa, orang Umno berpatah balik, kita menang 28 – 4 dalam pilihan raya 2004.

“Pas jangan anggap dia kuat, sejarah telah membuktikan. Pas perintah tiga kali. 1959 hingga 1961, undi tidak percaya, puak dia sendiri.

“1999, dia menang dan kalah kembali 2004.

“Kali ini insya Allah kita akan menang kembali,” kata Ahmad Said.

Menurut beliau, pada pilihan raya yang lepas, sudah terang-terang empat calon Umno kalah kerana masalah calon.

“Yang lain pula, kalah dengan majoriti kecil antara empat undi atau lima undi dan juga 300 undi,” kata Ahmad.

Awie diperintah bayar RM80,000 kepada bekas isteri

Farah Marshita Abdul Patah

farahmarshita@bh.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, memerintahkan penyanyi rock, Awie membayar ganti rugi RM80,000 kepada Rozana Misbun atas kecederaan dialami bekas isterinya itu, tujuh tahun lalu.

Ia selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkan perayu membayar ganti rugi berkenaan kepada Rozana.

Terdahulu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah tidak berpuas hati dengan hujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf atau tersalah arah dalam membuat keputusan itu.

Katanya, jumlah bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk adalah adil dan munasabah dengan mengambil kira kecederaan dialami serta lokasi kejadian berlaku.

"Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam mencapai keputusannya untuk menegaskan semula keputusan Mahkamah Sesyen.

"Mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan ini dan rayuan perayu ditolak dengan kos RM15,000," katanya.

Turut bersidang pada prosiding itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk S Nantha Balan dan Datuk Ghazali Cha yang diadakan secara dalam talian, Zoom.

Pada September 2018, Mahkamah Sesyen memerintahkan Awie membayar RM30,000 dan RM50,000 kepada Rozana bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk.

Sebelum ini, Rozana selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi untuk kecederaan dialaminya termasuk keretakan dua tulang rusuk, lebam di muka dan beberapa bahagian lain.

Pada Mei 2016, Awie didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Rozana di kaunter PNB Jalan Tun Razak.

Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah mereka di Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini.

Bagaimanapun, pada 7 Mac 2016, Awie dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara Awie membayar kompaun RM10,000 dan memohon maaf di mahkamah terbuka.

Awie dan Rozana berkahwin pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha.

Pasangan itu kemudian bercerai secara sah pada 1 November 2014.

Pas pilih PN kerana tidak mahu kongsi kerusi dengan Umno di Kelantan, Terengganu, Kedah

SHAHBUDIN HUSIN
Rasa tidak puas hati Umno terhadap Pas kerana akhirnya memilih bersama Perikatan Nasional atau PN dan tidak bersama Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Melaka masih lagi berlanjutan, walaupun hari penamaan calon sudah berlangsung semalam.

Seharusnya, selepas saja penamaan calon diadakan, semua parti mesti fokus kepada hari pengundian dan melupakan perkara lalu yang mungkin menyakitkan.

Mengenang cerita semalam yang melukakan tentu saja merupakan gangguan yang menghalang kelancaran untuk terus melangkah ke hadapan.

Tetapi hari ini melalui laporan media, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Naib Presidennya, Khaled Nordin masih lagi memperkatakan mengenai pendirian Pas itu.

Kedua-duanya, secara langsung dan tidak tidak langsung, tampak kekal menyalahkan Pas kerana menolak kerusi yang ingin diberi Umno di PRN Melaka serta keinginan parti itu pada waktu yang sama mahu mendamaikannya dengan Bersatu. Bagi Umno, sikap Pas itu tidak boleh diterima, sama seperti Umno juga tidak pernah cuba mahu mendamaikan Pas dengan AMANAH.

Realitinya, walaupun semua orang boleh menjangkakan masa depan Pas akan lebih cerah jika bersama Umno, tetapi mengapakah parti itu lebih memilih Bersatu melalui PN berbanding MN?

Tidak cukup dengan itu, Pas juga sanggup melupakan lambangnya sendiri dan setuju menggunakan logo PN dalam pertaruhan di Melaka ini.

Apakah Pas tidak lagi mementingkan penyatuan ummah? Sesungguhnya apa yang dilakukan Pas ini adalah suatu pengorbanannya yang besar kepada Bersatu dan PN.

Di waktu yang sama, sementara masih kedengaran suara-suara dalam Pas sendiri yang mengatakan MN masih belum mati, namun Presiden Pas, Hadi Awang telah memberi isyarat yang jelas agar ahli dan penyokong parti itu memberi undi mereka kepada PN pada 20 November depan ini.

Dengan itu, pertempuran di Melaka ini bukan saja melibatkan PN dan BN, selain PH, tetapi juga khusus antara Umno dan Pas.

Tambahan itu, Umno dan Pas akan berlawan sesama sendiri di tujuh daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dengan itu, bukan saja pertempuran, cerca-mencerca dan menuruh sesama sendiri tidak lagi dapat dielakkan, bahkan luka serta calar-balar akibat daripadanya juga pasti akan berpanjangan.

Sekaligus, berbanding untuk memulihkan MN selepas PRN Melaka, lebih mungkin yang berlaku ialah putus hubungan terus antara Pas dan Umno.

Sebagaimana BN ingin solo di PRN Melaka kerana berasakan mereka boleh memenanginya tanpa bekerjasama dengan sesiapa, Pas juga sebenarnya ada perkiraan tersendiri dalam hal ini

Pas lebih memilih bersama Bersatu melalui PN di Melaka adalah semata-mata kerana tidak mahu terhutang budi dengan Umno dalam berkongsi kerusi di negeri-negeri yang sedang dikuasainya iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Jika Pas setuju bekerjasama dengan Umno di Melaka dan terhutang budi menerima kerusi yang diperuntukkan parti itu, mahu tidak mahu, Pas juga harus membalasnya dengan memberi sebahagian kerusi mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah kepada Umno.

Di ketiga-tiga negeri itu, Pas bukan saja sukar berkongsi kerusi, malah secara sendirian pun mereka mampu untuk mengekalkan kuasa serta memenangi beberapa kerusi Parlimen.

Secara mudahnya, bersama Bersatu sudah lebih daripada cukup untuk Pas bertahan menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRU15 akan datang.

Dengan menolak bekerjasama dengan Umno di Melaka, maka Umno selepas ini jangan haraplah untuk mendapat belas ihsan Pas mendapat sebarang perkongsian kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam hal ini, Pas sebenarnya tidak peduli pun siapa jadi kerajaan pusat selepas PRU15 akan datang kerana mereka bila-bila masa boleh menyesuaikan diri dan mencipta dalil untuk menghalalkan laluan ke arah bekerjasama dengan sesiapa saja yang menjadi kerajaan.

Begitu juga dengan lain-lain negeri, ia tidaklah sepenting mengekalkan kuasa di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang memang merupakan tapak kukuh bagi Pas.

Yang penting bagi Pas, mereka mesti ada sejumlah kerusi Parlimen dalam genggaman agar boleh menyesuaikan diri dengan mana-mana parti dan tidak hilang cengkaman di tiga negeri ia bertapak kukuh itu.

Semua cita-cita itu sudah boleh mereka dicapai melalui hubungan dengan Bersatu melalui PN dan tidak memerlukan pun kekuatan MN atau pertolongan daripada Umno.

Tiba-tiba empat anak lumpuh...

BERNAMA

ROSANANI (berdiri) bersama empat anaknya yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf. FOTO Bernama.

ROSANANI (berdiri) bersama empat anaknya yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf. FOTO Bernama.

Chukai: Hanya Tuhan tahu keperitan hidup terpaksa dilalui warga emas, Rosanani Salleh apabila empat daripada lapan anaknya lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf.

Dengan kudratnya tidak seberapa, ibu tunggal berusia 62 tahun itu cekal menguruskan anak keduanya, Mohd Amerizam Razali, 42; anak kelima Mohd Marsudi, 36; dan anak keenam Mohd Aismuddin, 33; yang memerlukan penjagaan rapi.

Anak sulungnya Rozanariah, 43, yang turut menghidap penyakit sama tinggal berasingan memandangkan sudah berkahwin dan dijaga suami serta tujuh anaknya yang berumur antara 20 hingga lima tahun.

Rosanani yang bekerja sebagai penjual lemang berkata, dia tidak menyangka akan ditimpa nasib sedemikian memandangkan keempat-empat anaknya itu secara tiba-tiba diserang penyakit saraf ketika berusia antara 20-an hingga 30-an.

"Sebelum ini mereka normal dan menjalani kehidupan seperti biasa. Masing-masing sudah bekerja, namun tiba-tiba sakit. Tiada simptom jelas.

"Malah ada daripada mereka tiba-tiba bangun tidur tidak boleh berjalan dan lama-kelamaan lumpuh seluruh badan," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Teluk Kalung, di sini.

Episod duka keluarga Rosanani bermula apabila arwah suaminya, Razali Othman yang meninggal dunia pada 2009 turut menghidap penyakit saraf semasa berusia 20-an.

Rosanani berkata, dengan pendapatan menjual lemang hanya sekitar RM1,000 sebulan menyebabkan dia agak tertekan kerana pengurusan dan pengubatan anaknya yang kurang upaya itu memerlukan belanja tinggi.

"Mereka semua dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 seorang, namun jumlah itu tidak cukup memandangkan kos membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan sahaja melebihi RM1,000.

"Mak cik pun tidak dapat jual lemang dengan lebih banyak kerana hanya sekitar 11 pagi baru mak cik boleh ke gerai untuk persiapan membakar lemang dan berniaga. Pada sebelah pagi, mak cik perlu uruskan anak terlebih dahulu," katanya sambil memberitahu pergerakan anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda.

Menurutnya, empat empat anaknya yang lain hanya bekerja biasa dengan pendapatan tidak seberapa dan tidak dapat banyak membantunya.

Katanya, walaupun pakar perubatan di hospital memberitahu anaknya itu tiada harapan untuk sembuh, dia sentiasa berdoa semoga satu hari nanti mereka dapat berjalan dan menguruskan diri sendiri.

"Siang malam mak cik berdoa semoga sekurang-kurangnya mereka boleh berjalan. Mak cik sangat risau kalau mak cik sudah tiada nanti siapa akan menjaga mereka.

"Mak cik sudah biasa 'memekakkan' telinga menghadapi pelbagai tohmahan masyarakat sekeliling mengenai nasib keluarga kami ini," katanya sambil menahan sebak.

Harap serban besar otak kosong, Zaharin kecam Presiden Pas

FAZLI RADZI

Veteran Umno dilihat berang dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penolakan parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Mohd Yasin membidas Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu supaya usah menjadi burung tiung.

“Jangan pandai komen. Umno tidak mahu kerjasama dengan Parti Bersatu.

“Kamu dahulukan contoh, terima AMANAH jadi rakan strategi Pas. Baru kami dalam Umno akan berkerjasama dengan parti Bersatu.

“Kamu harap serban besar.. otak kosong,” tempelak Zaharin, 69, terhadap Hadi, 74, yang juga Duta Khas ke Timur Tengah itu.

Salahuddin: Penyingkiran terbaru dalam PAS: Setia tanpa soal bukan caranya

Hariz Mohd & Raveena Nagotra

Sehingga 2015, PAS mempunyai dua kelompok yang jelas dalam parti iaitu kelompok konservatif dan progresif.

Walaupun kelompok progresif telah disingkirkan dalam muktamar 2015, menerusi serangan oleh kelompok konservatif yang setia dengan presiden Abdul Hadi Awang, kini dilihat ada kelompok baru yang muncul.

Perpecahan baru ini dilihat berlaku antara kalangan yang membantah keputusan Abdul Hadi untuk bekerjasama dengan Bersatu berbanding Umno, dengan kelompok yang merasakan mereka perlu menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti.

Bagaimanapun bantahan itu cepat dipadamkan dalam pemilihan parti itu yang baru saja berakhir.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, yang merupakan bekas naib presiden PAS dan antara pemimpin yang tersingkir pada pemilihan 2015, berkata sejarah kembali berulang, hanya tujuh tahun selepas "penyingkiran" sebelumnya.

Berkongsi pemerhatiannya dengan Malaysiakini, Salahuddin berkata masalah dengan PAS adalah keperluan untuk setia tanpa soal kepada pemimpinnya.

Dia berkata PAS perlu belajar menerima kepelbagai pendapat.

"Tapi nampaknya selepas lima tahun berlalu, berlaku isu sama dalam politik PAS, seperti hendak terbahagi (terpecah) dua juga.

"Sebab itu saya katakan sejak dulu lagi - politik ini dinamik dan mengizinkan kita untuk berbeza dan ada kala menyuarakan apa yang difikirkan untuk kebaikan parti

"Tetapi ketika itu PAS seperti tak boleh menerimanya. Semacam perlu satu jalur dan pemikiran saja, iaitu apa-apa pun kena taat dan patuh pada presiden," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara.

Konsep wala'

Salahuddin berkata, ketika dia dan para pemimpin lain disingkirkan pada 2015, mereka dituduh tidak setia terhadap Abdul Hadi. Mereka akhirnya menubuhkan Amanah.

Konsep wala' seringkali disuarakan dalam PAS untuk menggesa anggota parti mematuhi kepimpinan tertinggi.

Bagi Salahuddin, masa membuktikan yang politik sememangnya bersifat dinamik dan PAS seharusnya mengambil pengajaran daripadanya.

"Saya harap PAS akan dapat pelajaran baru daripada muktamar baru-baru ini.

"Kumpulan-kumpulan yang bersaing dalam PAS hari ini harus terima hakikat bahawa kepimpinan dan ahli bukan satu hubungan satu hala saja.

"Tetapi perlu ada interaksi, hubungan yang mana mesti ada saling memahami dan bukan hanya patuh arahan dan tidak boleh membantah, kerana itu sangat bertentangan dengan fitrah kita berpolitik," katanya lagi.

Perpecahan dalam PAS kali ini telah dipadamkan sebelum ia sempat berkembang menjadi sesuatu yang signifikan.

Antara pemimpin yang tersingkir daripada barisan kepimpinan adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali, yang dikaitkan denan rakaman audio mengkritik Abdul Hadi kerana kecenderungannya terhadap Bersatu.

Mohd Zuhdi Marzuki, yang dilihat tidak setuju dengan penggunaan lambang PN oleh PAS dalam PRN Melaka, juga gagal dalam pemilihan untuk kedudukan naib presiden.

Seorang lagi pemimpin PAS yang tewas adalah Nik Abduh Nik Abdul Aziz, yang diketahui sebagai pro-Umno.

Mereka adalah pemimpin yang menjadi sebahagian dalam kem Abdul Hadi yang membantu penyingkiran Salahuddin dan sekutunya pada 2015.

Salahuddin berkata Amanah sentiasa terbuka untuk menerima mereka yang dipinggirkan dalam PAS.

"Sudah ramai yang keluar sebelum ini dan kita terima (mereka) dengan sebaiknya," katanya lagi.

Selesai Muktamar, ke mana hala tuju PAS?

N Faizal Ghazali

Tidak ada banyak perkara yang luar biasa terjadi sepanjang Muktamar PAS ke-67 yang berakhir Ahad lalu di Kuala Terengganu.

Hanya berlaku sedikit perubahan kecil, tetapi harus tidak dipandang sebelah mata. Ia bersangkut dengan hala tuju parti itu dan kesan keputusan pemilihan jawatankuasa PAS Pusat.

Wajarlah dikatakan Muktamar PAS kali ini berlangsung dengan pengisian yang terhad, mungkin disebabkan masa diperuntukan juga terhad dan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Maka tidak ada ucapan-ucapan perwakilan yang terlalu berapi-api sifatnya, tidak ada soal-mempersoalkan, usul-usul luar biasa dan tuntutan-tuntutan yang ketara melainkan pesan-pesan muluk sahaja.

Sehubungan itu juga, tiada sebarang keputusan besar yang menjadi ketetapan baru diambil PAS pada masa sekarang.

Di sebalik kritikan dan label dilontarkan terhadap PAS susulan tindakan politik mutakhir ini, PAS adalah PAS yang sentiasa memilih 'jalan selamat' dan mengelak dicop sebagai 'punca' jika berlaku sebarang krisis hubungan.

Bagaimanapun, susulan apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka - PAS dilihat berada dalam dilema dan keterpaksaan tersendiri.

Parti itu harus 'menarik rambut dalam tepung' dengan penuh waspada sebelum langkah lebih besar barangkali terpaksa diambil demi kelangsungan politik pada masa mendatang.

Seperti ditegaskan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, PRN Melaka dijangka akan menentukan corak dan lenggok percaturan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ia memberi gambaran bahawa satu titik baru boleh mengakhiri apa saja yang sudah dimulakan oleh PAS dan Umno, atau membabitkan kerjasama PAS dengan Bersatu.

Apa yang boleh disimpulkan, PAS dilihat lebih cenderung terhadap kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) selepas perkembangan yang berlaku di Melaka.

Ia kini dibuktikan apabila PAS terpaksa mengabaikan Umno setelah kepimpinan parti yang diterajui Ahmad Zahid Hamidi itu membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi atas kapasiti BN.

Justeru PAS secara tidak langsung memberi gambaran awal mengenai kecenderungan mereka dengan alasan PN sudah didaftarkan sebagai parti politik berbanding gabungan Muafakat Nasional (MN) yang tidak berdaftar.

Perwakilan PAS Melaka, Sudin Nooh misalnya melihat PAS tidak akan berputus asa bagi meneruskan perjuangan bagi menyatukan ummah.

Katanya jika pemuafakatan tersebut berjaya, tentunya masyarakat bukan Islam akan dapat melihat kekuatan sebenar Islam dan orang Melayu.

"PAS Melaka tidak bertindak kerana dendam dan emosi, namun malangnya PN dan MN akhirnya bertembung pada PRN Melaka.

"Apa pun kita lihatlah nanti hasil yang akan menjadi kayu ukur untuk menghadapi PRU15.

"PAS berusaha hendak bersatu padu, namun apakan daya ia tidak menjadi kenyataan. Agenda menyatukan ummah diperjuangkan PAS sejak penubuhannya dan kekal sehingga kini," ujarnya.

Tahaluf siyasi

Sementara itu sepanjang Muktamar berlangsung, isu-isu berkait tahaluf siyasi sama sekali tidak disentuh secara mendalam.

Jika ada pun sekadar sepintas lalu dengan menegaskan bahawa PAS akan meneruskan hubungan MN dan memperkasakan PN.

Malah ada juga pimpinan yang memberi amaran betapa tidak perlu ramai pemimpin yang bercakap atau menulis mengenai isu berkenaan, sebaliknya berdiri teguh yang menjadi panduan yang digariskan presiden.

Ia jelas menunjukkan Muktamar kali ini juga cuba mengelak sebarang kontroversi yang dianggap tidak perlu apalagi tidak menguntungkan mereka.

Sementara itu dalam aspek pemilihan jawatankuasa PAS Pusat juga tiada perubahan ketara berlaku daripada keputusannya, misalnya dengan mengekalkan presiden, timbalan presiden dan barisan naib presiden.

Nama-nama besar tersingkir

Namun dengan tersingkirnya beberapa nama besar untuk terus menganggotai ahli jawatankuasa PAS Pusat, ia juga perlu dianalisis dengan bacaan politik.

Antara nama yang tidak boleh diketepikan ialah anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali; anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan anggota Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi.

Mereka adalah individu dalam PAS yang terkena tempias kontroversi sejak kebelakangan ini.

Khairuddin misalnya, walaupun prestasinya boleh 'diangkat ibu jari ke atas' sepanjang menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoditi dalam kabinet Muhyiddin Yassin, namun khidmatnya tidak disambung sebagai jemaah menteri diterajui Ismail Sabri Yaakob.

Bekas setiausaha Dewan Ulama PAS itu menerima kecaman umum selepas didapati gagal mematuhi SOP sebaik pulang dari Turki sebelum ini.

Selain itu dia juga terpalit dengan isu tularnya rakaman audio yang didakwa suara miripnya yang antara lain mengkritik tindakan-tindakan yang dibuat presiden PAS.

Selain itu Khairuddin juga dianggap sebagai tokoh PAS yang lebih mesra Umno, berbanding Bersatu.

Hal-hal tersebut meninggalkan tanda tanya apakah kontroversi yang menimpa dirinya itu adalah jawapan yang diterjemahkan oleh perwakilan Muktamar yang mengundi.

Khairuddin ketika memberi reaksi mengenai kekalahan itu bagaimanapun menganggap keputusan perwakilan itu adalah perkara biasa dalam proses demokrasi sesebuah parti.

Tewasnya Nik Abduh

Dalam perkembangan itu, tewasnya Nik Abduh pada pemilihan kali ini boleh dikatakan keputusan di luar jangka sekali gus menjadikan 'tiada lagi legasi' bekas mursyidul am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam barisan kepimpinan utama parti itu.

Sukar untuk dipastikan punca penolakan tersebut, namun pandangan umum beranggapan Nik Abduh adalah pemimpin PAS yang mesra Umno dan berperanan mencetuskan kerjasama dengan Umno sebelum dan selepas pilihan raya umum lalu.

Sebagai kesimpulan, barisan jawatankuasa baru itu dilihat cuba memberi gambaran betapa PAS mahukan satu pasukan yang solid dalam semua aspek khususnya dalam menentukan hala tuju politiknya.

PAS memerlukan tenaga dan fikiran yang benar-benar sehaluan dan seperti ditekan berulang kali sepanjang Muktamar misalnya perihal wala kepada pimpinan dan 'tidak bersuara sumbang' terhadap pandangan kepimpinan tertinggi.

Perwakilan PAS Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan dipetik dalam perbahasan menegaskan bahawa gagasan penyatuan yang dibawa adalah selari dengan perlembagaan PAS yang antaranya menyeru umat kepada manusia kepada syariat Allah melalui dakwah secara tulisan dan amalan.

"Apabila tiba masa Tuan Guru Presiden kata kita kena belok ke kanan, maka kita kena belok ke kanan. Jangan ada yang belok ke kiri. Kalau Tuan Guru Presiden kata kena belok ke kiri, janganlah ada yang belok ke kanan.

"Dan kadang-kadang kita melalui satu perjalanan yang begitu panjang, tiba-tiba Tuan-Guru Presiden kata kena u-turn, kena patah balik, jadi kena u-turn.

"Kalau naik motor, penunggang motor dia cenderung ke kiri, janganlah pula pembonceng dia cenderung ke kanan. Dua-dua kena cenderung ke kiri supaya tak jatuh motor supaya tak rebah," tegasnya.

Pemuda Pas ‘terkempen’ untuk PH

FAZLI RADZI

Pemuda Pas menerusi Facebook rasminya dilihat ‘terkempen’ untuk Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Menyenaraikan calon bagi Perikatan Nasional (PN), sayap parti sekutu Bersatu tersebut berpendapat situasi di Melaka bakal memberikan bayangan kepada PRU-15.

“Bagi yang bertanding, anda bertanding bukan untuk diri sendiri. Tetapi untuk hasrat rakyat yang mahukan keadilan dan amanah dalam memegang jawatan,” katanya.

Keadilan atau dipanggil PKR dan AMANAH adalah antara dua komponen PH selain DAP.

Senarai calon PN bagi PRN Melaka:

Calon Pas

N01 Kuala Linggi Hajjah Aziah

N05 Taboh Naning Abu Hashim

N09 Durian Tunggal Jaafar Osman

N14 Kelebang Hj Bakri Jamaludin

N17 Bukit Katil Mohamad Alhafiz

N21 Duyong Kamarudin Sidek

N26 Serkam Hj Ahmad Bilal

N27 Merlimau Hashim Shafie

Calon Bersatu

N02 Tanjung Bidara Mas Ermiyati

N03 Ayer Limau Dr Nordina

N04 Lendu Mejar Abdullah Mahadi

N06 Rembia Zamzuri Ariffin

N07 Gadek Mohamad Amir Fitri

N08 Macap Jaya Tai Seong Joon-Bersekutu

N11 Sungai Udang Dr Hanif Yusof

N12 Pantai Kundor Riduan Mustafa

N13 Paya Rumput Fariz Izuan

N15 Pengkalan Batu Azrudin Idris

N18 Ayer Molek Fadli Samin

N20 Laksamana Fong Kai Lin

N23 Telok Mas Mohd Rafik

N24 Bemban Dr Mohd Yazil

N25 Rim Wan Azalina

N28 Sg Rambai Jafri Safri

Calon Gerakan

N10 Asahan Ganesh Basil-Gerakan

N16 Ayer Keroh Michael Gan-Gerakan

N19 Kesidang Patrick Ng Chen Kai-Gerakan

N22 Badar Hilir Claris-Gerakan

Cabul anak: Bekas Adun Perak kena penjara 10 bulan

Hidir Reduan Abdul Rashid

Seorang bekas Adun Perak sedang menjalani hukuman penjara 10 bulan kerana mencabuli anak perempuannya di bawah umur pada 2015.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini, yang diketuai oleh hakim Hanipah Farikullah, membenarkan sebahagian daripada rayuan pihak pendakwaan untuk mengekalkan hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa yang berusia 12 tahun ketika itu.

Ketika dihubungi petang ini, timbalan pendakwa raya Atiqah Abdul Karim mengesahkan keputusan prosiding awal hari ini di hadapan panel, yang turut dibicarakan oleh hakim Ahmad Nasfy Yasin dan Hashim Hazmah.

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap bekas wakil rakyat BN Perak itu oleh Mahkamah Sesyen dua tahun lalu.

Panel tiga hakim itu juga membatalkan denda RM5,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap tertuduh berusia 73 tahun tahun lalu.

Mengikut fakta kes, dia melakukan kesalahan itu terhadap mangsa ketika anaknya itu dimasukkan ke wad di sebuah hospital di Taiping, kira-kira jam 6 petang pada 15 April 2015. Dia sedang melawatnya ketika itu.

Selepas keluar dari hospital, gadis itu mendedahkan perkara berkenaan kepada keluarganya.

Laporan polis kemudiannya dibuat dua hari selepas kejadian.

Pada akhir perbicaraan, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM3,500 ke atas tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan supaya dia menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.

Susulan rayuan, Mahkamah Tinggi membatalkan hukuman penjara dan menaikkan denda kepada RM5,000.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan tertuduh mengeluarkan permohonan maaf bertulis kepada mangsa serta isterinya, yang kemudiannya telah menceraikannya. Adun berkenaan akur dengan perintah ini.


PM ditanya, apa tindakan terhadap Rauf yang langgar SOP

MALAYSIA DATELINE

Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh didakwa melanggar SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila membawa rombongan lebih 20 orang penyokong termasuk Datuk Seri Najib Razak ke pusat penamaan calon hari ini.

Berkicau melalui twitternya, ahli parlimen Setia Wangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa ia berlaku di pusat penamaan calon PRN Melaka pagi ini. 

Dua anggota polis meminta Rauf dan penyokongnya serta wartawan bersurai selepas didakwa melanggar SOP.

Sehubungan itu, beliau bertanya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, apakah tindakan yang akan diambil kepada mereka.

“Apa tindakan kepada mereka? Takkan parti sendiri dapat lesen special kot. Kita kan #KeluargaMalaysia,” kata Nik Nazmi.

Ab Rauf yang juga bekas setiausaha kerja Umno dicalonkan BN bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Sementara itu, video polis bertindak menyuraikan perhimpunan dan sidang media Rauf ditularkan melalui media sosial pagi ini.

Ia menunjukkan dua pegawai polis bertindak melarang wartawan dan penyokong Rauf dari berkumpul dan melanggar SOP yang ditetapkan SPR.

Mahkamah perintah MB Kedah bayar RM65,000 kepada Mahfuz, minta maaf juga

BORHAN AHMAD

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor diperintah membayar gantirugi dan kos sebanyak RM65,000 kepada Datuk Mahfuz Omar selepas mahkamah menerima saman yang dikemukakan beliau.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Sanusi membayar gantirugi RM50,000 manakala kos RM15,000 dalam tempoh 14 hari dari hari ini kepada ahli parlimen Pokok Sena itu.

Mahkamah juga memerintahkan Sanusi menulis permohonan maaf di laman facebook miliknya terhadap Mahfuz dalam tempoh 14 hari.

Perintah-perintah lain yang dikenakan ialah satu injunksi menegah Sanusi dan/atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz di masa hadapan.

Perintah ini adalah susulan daripada tindakan Saman Fitnah oleh Mahfuz terhadap Sanusi yang difailkan pada 9/10/2019 berikutan satu posting Sanusi di facebook miliknya bertarikh 30/7/2019:

Posting yang dibuat Sanusi itu berbunyi:-

“Sejak jadi pemimpin PAN dan PH, dihadiahkan jawatan Timbalan Menteri, sensitiviti terhadap judi dan premis perjudian pun hilang, pudar bersama maruah dan kebolehpercayaan.

“Tukar parti saja kan – bukan tukar agama pun… kata mereka ituu mewajarkan pengkhianatan…

“Kini mereka berkhianat pula kepada pengundi mereka apabila bermudah-mudahan dengan kemasukan premis sport toto ke kawasan yang majoritinya adalah umat Islam…

“Talkinkan saja jiwamu, hiduplah dengan jasad yang makin kerepot.”

Tulisan facebook tersebut adalah rentetan daripada isu pemindahan pusat judi Sport Toto di Pokok Sena.

Perbicaraan kes telah berlangsung selama 1 hari pada 26/8/2021 yang lalu di mana 3 orang saksi telah memberikan keterangan.

Kes diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, YA Dato’ Mohd Arief Emran bin Ariffin.

Azmir bersama Mahfuz ketika mempersiapkan kes untuk menyaman Sanusi yang ketika itu masih belum menjadi MB kedah.

Mahfuz diwakili Noorazmir bin Zakaria dan Nusaibah Nasir dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir.

Sanusi diwakili oleh Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu dari Tetuan Tengku Amalin & Faizi.

Lori kargo heret kenderaan di pondok tol, sekurang-kurangnya 19 terbunuh, 3 cedera

AFP

Gambar-gambar di media sosial menunjukkan kenderaan terbakar selepas impak. (Gambar Twitter Heraclio Bernal)

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan tiga cedera semalam dalam satu kemalangan di lebuh raya yang menghubungkan Mexico City dengan pusat bandar Puebla, kata pihak berkuasa.

Nahas berlaku pada tengah hari apabila sebuah lori kargo merempuh beberapa kenderaan di pondok tol di lebuh raya itu, mengakibatkan ada antaranya terbakar selepas impak.

“Ketika melalui pondok tol, lori terbabit mengheret enam kenderaan, mengakibatkan 19 orang terbunuh dan tiga cedera. Pemandu lori berkenaan antara yang terbunuh, kata pihak berkuasa lebuh raya persekutuan itu, Capufe, dalam kenyataan.

Capufe juga berkata, ia sedang berusaha mengalihkan kenderaan yang terlibat, manakala bahagian lebuh raya terbabit telah ditutup bagi lalu lintas.

Lebuh raya sepanjang 110km itu digunakan oleh banyak lori kargo.

Usaha kembalikan mandat rakyat Melaka melalui peti undi

ZIN MAHMUD

Pilihan raya negeri kali ini adalah suatu yang istimewa dan bersejarah dalam politik semasa negara. Ia tidak dijangka berlangsung kerana penggal belum berakhir, yang mana selalunya pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU seluruh negara.

Sekiranya semua pihak menghormati mandat rakyat PRU14, maka Adly Zahari tentu masih kekal menjadi Ketua Menteri. Beliau dan pasukannya sepatutnya mentadbir Melaka sehingga tamat tempoh penggal pada tahun 2023.

Tetapi mandat rakyat telah dikhianati di peringkat persekutuan yang melarat ke negeri-negeri termasuk Melaka, maka kerajaan Pakatan Harapan hanya dapat mentadbir selama 22 bulan. Hak rakyat untuk mendapatkan pentadbiran Adly tercantas di separuh jalan.

Maka dalam PRN yang lebih awal diadakan sebelum penggal berakhir ini, rakyat Melaka berpeluang mengembalikan mandat rakyat 2018 kepada PH dan Adly.

PH menawarkan cara pentadbiran berbeza daripada BN, dan itulah apa yang Adly cuba laksanakan semasa menjadi Ketua Menteri. Asas pertama ialah kejujuran dan ia terlihat dengan langkah menghentikan pembaziran di Seri Bendahara yang dianggap perkara biasa bagi pentadbiran BN.

Apabila hanya sebuah gabungan parti mentadbir sesebuah negeri berturut-turut untuk jangka waktu lama, maka sudah tentu banyak amalan yang tidak betul berpanjangan dilakukan tanpa perubahan. Umno mentadbir Melaka sejak negara mencapai kemerdekaan. Hanya pada tahun 2018, negeri ini berpeluang mendapat pentadbiran berbeza.

Namun, selepas 22 bulan, Melaka kembali diteraju Umno. Tetapi peluang ini tidak diambil oleh mereka untuk membetulkan kesilapan-kesilapan dahulu yang menyebabkan mereka kalah pada tahun 2018. Sebaliknya, pentadbiran mereka lebih buruk lagi hinggakan Adun Umno sendiri menarik sokongan yang menyebabkan kerajaan negeri tumbang dan membawa kepada pembubaran Dun.

Perjuangan PH yang mula diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 2018 di Melaka perlu dilanjutkan kerana kerja untuk membuahkan hasil bagi rakyat dan negara belum selesai. Rakyat wajar memberikan kemenangan pada PH bagi memetik hasilnya. Sebarang kemenangan pada BN adalah langkah ke belakang sedang cara mereka mentadbir telah diketahui kepincangannya.

BN mengimpikan Melaka akan kembali padanya sedangkan mereka tidak melakukan sebarang perubahan di dalam diri sendiri terhadap persoalan mengapa rakyat negeri itu menolak mereka semasa PRU tahun 2018.

Keadaan politik kini bagaimanapun sudah berubah. PH tidaklah mempunyai kekuatan seperti mana ia hadapi dalam PRU ke-14. Bersatu tidak lagi berada dalam PH. Sebahagian bekas ahli PKR pula berada dalam Bersatu.

Namun, pihak-pihak yang menentang PH tidaklah bersatu. BN dan Perikatan Nasional bersaing di antara satu sama lain. Ada sebahagian bekas Adun Umno kali ini pula bersama PH ekoran pergolakan politik yang membawa kepada PRN ini. Sementara bekas ahli Bersatu yang berada dalam Pejuang dan Muda, walaupun tidak menyokong PH tetapi tidak bersama PN.

Walau apapun pergolakan politik di peringkat persekutuan dan negeri, rakyat Melaka mempunyai kepentingan sendiri dan masalah-masalah yang perlu dihadapi untuk diselesaikan segera.

Pandemik Covid-19 dan kesan ekonominya memberi pukulan teruk pada rakyat Melaka, lebih-lebih lagi negeri itu bergantung besar pada sektor pelancongan.

Rekod menunjukkan kerajaan persekutuan dan negeri PN-BN dan BN-PN tidak memberikan pentadbiran yang baik. Mereka bersungguh-sungguh mengambil alih pentadbiran PH tanpa melalui proses pilihan raya tetapi tidak pula menggunakan kuasa itu dengan sebaiknya.

Tidak ada sebab bagi rakyat untuk memberi kuasa pada PN atau BN.

Kini PH miliki pengalaman yang lebih berbanding semasa menjadi pembangkang pada tahun-tahun sebelum 2018. Negeri Melaka perlu pandang ke depan tetapi pengalaman lalu amat luas. Menjadi kerajaan negeri selama 22 bulan tentu menambah pengalaman pentadbiran, lebih-lebih lagi dalam suasana politik penuh mencabar dengan banyak kalangan BN dan PN masih mengimpikan keadaan politik lama, yang sebenarnya kini sudah tidak wujud.

Namun apa yang diperlukan rakyat negeri Melaka dan Malaysia bukan semata-mata kesenangan dari segi keperluan hidup, walaupun perkara itu amat penting. Tetapi sama penting adalah nilai-nilai baik bagi sebuah masyarakat untuk mencapai kebahagiaan dan kecemerlangan. Ia termasuklah keadilan, kebersihan dan demokrasi itu sendiri, Untuk itu Reformasi di peringkat negeri dan persekutuan adalah suatu yang asas. Usaha untuk mengukuhkan institusi-institusi demokrasi perlu berterusan.

Tetapi rakyat mestilah menghendaki nilai-nilai mulia ini. Ahli-ahli politik adalah cerminan pada masyarakat. Sementara itu, ahli-ahli politik juga adalah pemimpin yang memberikan teladan. Sebarang perubahan kepada keadaan yang lebih baik mesti ada titik permulaan dan aktivis untuk melaksanakannya. Kalau tidak, lupakanlah saja semua harapan itu, dan teruskanlah hidup bergelumang dengan korupsi dan penindasan, serta menanti kehancuran pada negeri.

Setiap orang secara individu mempunyai kecenderungan tertentu. Tidak semua yang minat atau faham politik. Manusia itu beragam, bukan seragam. Tetapi setiap manusia berkongsi nilai, apa yang baik dan apa yang buruk adalah jelas.

Penyelewengan adalah jelas merupakan sesuatu yang buruk. Begitu juga dengan pembaziran. Atau pengabaian keperluan rakyat adalah juga sesuatu yang jelas buruk.

Dengan keragaman ini bagaimanapun, setiap warganegara mempunyai satu hak mengundi, dan secara berkumpulan akan menentukan pemerintahan dan pentadbiran negara, selaras dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan.

Adly pada satu masa dulu adalah sebahagian daripada satu generasi muda tahun 1980-an yang menyertai gelombang kebangkitan Islam yang memiliki azam untuk memperbaiki masyarakat dan negara. Beliau menjadi aktivis pembangkang bagi menentang Umno. Pada tahun 1980-an, harapan untuk diterima pengundi amat jauh. Bagi mereka yang memikirkan kemenangan semata-mata serta mengejar jawatan, pasti tidak menyertai pembangkang.

Setelah berpuluh tahun berjuang dengan menyaksikan juga penjajaran politik berbeza akhirnya pihak yang selama ini menjadi pembangkang berjaya menerajui kerajaan pada tahun 2018. Walaupun sebelum itu tidak termimpi bagi Adly menjadi Ketua Menteri, tetapi keadaan politik negeri melonjakkan beliau untuk jawatan itu.

Sungguhpun 22 bulan kemudian keajaan PH ditumbangkan secara pelanggaran mandat rakyat, tetapi apabila Dun bubar Adly tetap dilonjakkan sebagai calon Ketua Menteri. Ini bermakna kepimpinan beliau selama 22 bulan itu dapat diterima dan mahu diteruskan.

Maka jika rakyat mahukan Adly menjadi Ketua Menteri, para pengundi perlu menyokong calon PH di seberapa banyak kawasan Dun yang boleh. Namun begitu, keputusan PRN mungkin menghasilkan corak berbeza dan siapa yang bakal menjadi Ketua Menteri bergantung pada penjajaran politik ketika itu. Pengundi hanya menaikkan calon di kawasan mereka dan tidak dapat kepastian siapakah akhirnya yang akan menjadi Ketua Menteri.

Tetapi politik adalah seperti satu percaturan yang langkah-langkah taktikal dan strategik menjadi perhatian banyak orang. Tumpuan perhatian adalah pada jawatan dan kuasa.

Namun hakikatnya, ada sesuatu di atas kerja tungkus lumus barisan garis hadapan para sukarelawan dan aktivis dalam pilihan raya yang merupakan kemuncak acara demokrasi berparlimen. Ia adalah harapan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik ahli-ahli politiknya bagi melaksanakan keadilan dalam pembahagian sumber dan memimpin negeri kepada tahap terbaik.

Penulis Harakahdaily mohon maaf, dakwa ‘tidak sengaja’

FAZLI RADZI

Penulis Harakahdaily, Roslan Shahir yang menulis, “Husam: PAN parti diktator” dan disiarkan di portal rasmi Pas tersebut pada 14 September 2020 tampil memohon maaf hari ini.

Dia yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor itu telah menuIis artikel tersebut selepas merujuk kepada satu laporan The Malaysian Insight pada tarikh sama bertajuk, “Husam letak jawatan naib presiden Amanah, kata sumber”.

“Saya secara tidak sengaja telah menerbitkan berita yang disiarkan oleh portal The Malaysian Insight yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Pun begitu, saya sedar bahawa kandungan artikel tersebut boleh membawa maksud dan pemahaman yang berbeza kepada para pembaca terutamanya kepada YB Mohamad bin Sabu apatah lagi setelah YB Mohamad bin Sabu membuat penafian seperti yang disiarkan dalam satu laporan lain oleh portal The Malaysian Insight pada 15 September 2020,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Roslan ingin memohon maaf kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Dalam masa sama, dia turut meminta pihak Harakahdaily menarik balik penyiaran artikel tersebut.

“… saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Mohamad bin Sabu sekiranya artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama baik YB Mohamad bin Sabu.

“Saya juga telah meminta pihak Harakahdaily untuk menarik balik penyiaran artikel tersebut (sekiranya masih disiarkan) dan supaya tidak lagi menggunapakai dan membuat rujukan kepada artikel tersebut di masa hadapan,” katanya lagi.

Anak Hadi dapat undi tertinggi, Nik Abduh tewas

Faiz Zainudin 

Tiga jawatan Naib Presiden PAS kekal milik penyandang asal iaitu Idris Ahmad (dari kiri), Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Amar Abdullah. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun gagal mempertahankan jawatannya.

KUALA TERENGGANU: Anak Abdul Hadi Awang mendapat undian tertinggi sebagai ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, manakala Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, gagal mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan parti kali ini.

Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga ADUN Batu Burok meraih 884 undi manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendapat 877 undi untuk menduduki tempat kedua.

Kemenangan menyakinkan Khalil sememangnya dijangka, dan sealiran dengan sentimen perwakilan yang mengekalkan Hadi sebagai Presiden parti tanpa bertanding.

Namun kekalahan Nik Abduh – anak tokoh utama PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Murshidul Am PAS – dilihat sebagai mengejutkan.

Jumlah undi yang diperolehi Ahli Parlimen Bachok itu dan 17 calon lain yang kalah dalam saingan untuk 18 kerusi dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak diumumkan.

Turut senasib dengan Nik Abduh ialah Mohd Khairuddin Aman Razali dan Mokhtar Senik.

Pemilihan PAS turut menyaksikan ketiga-tiga Naib Presiden parti iaitu Idris Ahmad, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mohd Amar Abdullah mengekalkan jawatan apabila pencabar tunggal, Muhd Zuhdi Marzuki tewas.

Sebelum ini, Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man diumum menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Keputusan itu diumumkan wakil Jawatankuasa Pemilihan PAS, Nur Khuzaini Ab Rahman.

Berikut adalah keputusan pemilihan AJK PAS Pusat bagi sesi 2021-2023:

Pengerusi Tetap

Hussin Ismail (Menang tanpa bertanding)

Timbalan Pengerusi Tetap

Kamal Shaari (Menang tanpa bertanding)

Presiden

Abdul Hadi Awang (Menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden

Tuan Ibrahim Tuan Man (Menang tanpa bertanding)

Naib Presiden

1. Idris Bin Ahmad dengan 1,164 undi (kekal jawatan)

2. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan 778 undi (kekal jawatan)

3. Mohd Amar Bin Abdullah dengan 956 undi (kekal jawatan)

AJK PAS Pusat 2021-2023

1. Muhammad Khalil Abdul Hadi (884 undi)

2. Muhammad Sanusi Md Nor (877 undi)

3. Kamaruzzaman Mohamad (872 undi)

4. Khairil Nizam Khirudin (844 undi)

5. Riduan Mohd Noor (841 undi)

6. Iskandar Abdul Samad (822 undi)

7. Dr Halimah Ali (774 undi)

8. Dr Mohd Fadzli Hassan (736 undi)

9. Ahmad Marzuk Shaari (707 undi)

10. Mohd Nassuruddin Daud (706 undi)

11. Najihatussolehah Ahmad (695 undi)

12. Siti Zailah Mohd Yusoff (688)

13. Azman Ibrahim (679 undi)

14. Nasrudin Hassan (645 undi)

15. Ahmad Amzad Mohamed (615 undi)

16. Aliakbar Gulasan (613 undi)

17. Mahfodz Mohamed (609 undi)

18. Dr Rosni Adam (609) undi

Cakap bukan main, tetapi hanya satu calon Pas lawan DAP di Melaka

MALAYSIA DATELINE

Pas disifatkan sebagai bercakap sahaja soal hendak melawan DAP tetapi hanya sanggup meletakkan seorang sahaja calon mereka untuk melawan DAP dalam pilihan raya negeri Melaka.

Aktivis politik, Jamzuri Ardani dalam posting beliau di facebook berkata, sebelum ini bukan main lagi menyebut mahu melawan DAP.

“Sebelum ini bukan main hati-hari sembang pasal nak lawan DAP kunun… cesss!!!” tuis Jamzuri.

Dalam pertandingan tiga penjuru di PRN Melaka kali ini, tujuh calon Pas akan bertembung dengan Umno, yang dianggap oleh Pas sebagai rakannya sebelum ini di samping calon Pakatan Harapan.

Lima calon Pas pula bertembung dengan calon AMANAH dari PH, bertembung dengan dua calon PKR dan satu calonnya bertembung dengan calon MCA.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, para penyokongnya akan mengundi calon PN yang lain apabila bertembung dengan calon dari BN termasuk Umno.

Beliau juga pernah berkata, parti itu akan mensasarkan kerusi DAP.

Tidak namakan bakal KM mungkin merugikan PH

Robin Augustin

PH mencalonkan dua bekas Ketua Menteri, Adly Zahari (kiri) dan Idris Haron untuk bertanding dalam PRN Melaka.

PETALING JAYA: Kegagalan Pakatan Harapan untuk menamakan calon Ketua Menterinya jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh merugikan parti itu, kata penganalisis.

“Bagi saya, ini adalah kesilapan PH. Orang ramai mahu tahu siapa yang mungkin menjadi KM selepas PRN,” kata bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan.

Ketiadaan nama akan memberi kesan negatif kepada pengundi, terutama dalam kalangan pengundi atas pagar, katanya.

Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, keputusan untuk tidak menamakan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari daripada Amanah sebagai calon tidak memberi keyakinan.

Katanya, keputusan itu “jelas untuk tidak menutup pintu buat Idris Haron”, yang juga bekas Ketua Menteri.

Wong berkata, naif untuk fikir bahawa DAP, yang berkemungkinan menjadi parti terbesar selepas PRN, akan menerima Idris sebagai KM jika PH menang.

Langkah pilih bekas ADUN Umno mungkin makan diri

Mengenai langkah PH memilih bekas ADUN Umno, Idris dan Nor Azman Hassan bagi kerusi Asahan dan Pantai Kundor, Azmi berkata, ini seperti pedang bermata dua.

“Idris dan Nor Azman sudah tentu boleh menarik undi Melayu di kawasan yang ditandingi tetapi hakikat bahawa PH meletakkan mereka sebagai calon boleh membuat penyokong mereka sendiri tidak senang.

“Saya percaya kesan negatif pencalonan mereka akan mengatasi manfaatnya,” katanya.

Wong berkata, tindakan PH menerima Idris dan Nor Azman sangat menjatuhkan pendirian moral gabungan itu mengenai isu lompat parti, terutama bagi PKR dan Amanah.

Katanya, walaupun Umno dan Bersatu turut mencalonkan individu yang melompat parti, ramai penyokong PH menganggap diri mereka lebih “berprinsip” berbanding penyokong Umno atau Bersatu.

“Jadi, ini akan menjatuhkan semangat PH, termasuk DAP yang berpendirian tegas membantah lompat parti,” katanya.

“Satu-satunya cara untuk PH pulih mungkin adalah ikrar untuk membentangkan atau menyokong rang undang-undang antilompat parti atau pemecatan selepas pilihan raya.”

Ada pihak mahu musnah organisasi Pas dari dalam, kata Ketua Pemuda Pas yang baru

MALAYSIA DATELINE

Ketua Pemuda Pas yang baharu dilantik, Ahmad Fadli Shaari mendakwa, ketika beliau dan rakan-rakannya berusaha untuk memulihkan imej Pas di luar, ada pihak yang berusaha memusnahkan Pas dari dalam.

Sehubungan itu, ketika memberikan ucapan sulong sebagai Ketua Pemuda Pas, ahli parlimen Pasir Mas itu berjanji akan memberikan fokus untuk berusaha untuk membersihkan semula Pemuda Pas.

“Ketika saya berada di Dewan Rakyat, Haji Khairil (bekas ketua pemuda) di Dewan Negara, kami memberikan fokus untuk membuat outrich keluar, memperkenalkan Pas kepada rakyat di peringkat nasional, kerana kita baru berada dalam kerajaan.

“Tetapi rupa-rupanya dalam kita membuat kerja untuk nak tingkatkan imej Pemuda di luar, ada orang bekerja dari dalam untuk memusnahkan organisasi kita.

“Justru saya tidak melihat apabila saya berada di tempat ini melainkan kami terpaksa fokus balik ke dalam untuk melakukan usaha-usaha pembersihan sekaligus dibantu oleh organisasi Pemuda Perikatan Nasional,” kata beliau dalam ucapan itu. 

Fadli tidak menyatakan dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan tindakan memusnahkan organisasi Pas itu.

Sebelum ini, bekas ketua pemuda Pas, Haji Khairil Nizam memaklumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu.

“Ya (tidak bertanding),” katanya ringkas kepada Sinar Harian melalui WhatsApp pada Sabtu ketika ditanya mengenai kesahihan keputusan beliau yang tidak akan mempertahankan jawatan itu.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas telah menerima borang pencalonan daripada Pas kawasan di seluruh negara yang mencalonkan Khairil Nizam bagi jawatan tersebut.

Dua nama lain dicalonkan ialah timbalannya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pemuda Pas, Mohd Nadzim Ahmad Azmi berkata, Khairil Nizam memaklumkan mengenai keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda Pas Malaysia yang diadakan pada Khamis lalu.

“Kami menghormati keputusan beliau dan menyerahkan urusan peralihan kepimpinan Pemuda Pas kepada Muktamar Pemuda Pas yang akan berlangsung akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Keputusan sudah dibuat, PN itu sendiri diisi banyak ‘katak’

MOHD SAYUTI OMAR

Apabila Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menerima Idris Haron dan Nor Azman Hasan sebagai calon mereka, ramai yang tidak puas hati dan marah-marah. Dengan menganggapnya sebagai katak, mereka yang marah berpendapat tidak perlu mereka diambil.

Ada munasabahnya. Seawalnya saya juga berkira begitu. Namun, dalam politik atau apa-apa pertubuhan apabila ia dibuat keputusan secara majoriti ia hendaklah dihormati.

Pimpinan PH tentu ada perkiraannya sendiri kenapa mereka berdua diambil. Perlawanan tentu inginkan kemenangan. Mungkin mereka fikir dua orang boleh menyumbang kemenangan maka mereka diambil.

Sebenarnya masalah katak itu dan moral politik, bukan sahaja ada dalam PH, dalam Umno dan PN juga ada.

Bahkan, kesemua yang berada dalam PN itu terdiri daripada mereka yang boleh dianggap katak. Berbandingkan parti mana yang banyak jumlah katak.

Begitu juga dengan Pas, apakah parti itu ada moral apabila hidup dengan mengekang tetapi akhirnya meninggalkan Umno cerai tidak bertalak. Itu lagi kejam. Perbuatan dan tindakan Pas terhadap Umno lagi sadis.

Jadi, perbetulkan akal politik anda. Atau kalau sudah hilang sabar dan tidak dapat menerima hal-hal kotor begitu, elok sertai parti MUDA pimpinan Syed Saddiq. Parti budak yang tidak faham cara orang tua berfikir.

Ulama Pas harap Umno kalah PRN Melaka

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berharap Umno tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Walaupun begitu, dia masih menyayangi gagasan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan Umno yang dimeterai pada 14 pada 14 September 2019.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu juga berkata, kekalahan Umno dalam PRN Melaka perlu agar makna kepentingan agama, negara dan ummah benar-benar difahami.

“Kalau tanyakan saya, apakah saya sayangkan MN? Wallahi saya jawab saya sayangkan MN, kerana pembinaannya berteraskan roh persaudaraan Islam.

“Namun, dalam PRN Melaka, saya merasakan Umno perlu kalah untuk Umno benar-benar memahami erti persaudaraan dan kepentingan agama, negara dan ummah.

“Mudah-mudahan kekalahan Umno di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Pas akan bertembung dengan Umno di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka apabila meletakkan calon bertanding di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Walaupun bersama-sama Umno dalam gagasan MN, Pas dalam PRN Melaka memilih untuk membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.

Keputusan Pas meletakkan calon di DUN yang juga ditandingi Umno itu sekali gus akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Mokhtar menyeru agar pengundi Pas ‘mengajar’ Umno tentang ilmu politik.

“Oleh itu, semua pengundi Pas perlu menjadi guru politik kepada Umno,” tegasnya lagi.