Dalam "MSC Bill of Guarantee", di bawah perkara 7 jelas dinyatakan bahawa kerajaan berjanji kepada semua pelabur, dan bakal pelabur untuk memastikan tiada tapisan untuk internet, "Ensure no internet censorship". Ini kerana, rasionalnya, rakyat yang mendapat akses kepada maklumat adalah rakyat yang berpengetahuan. Dan MSC dibangunkan oleh tenaga rakyat yang berinformasi.
Bila Rais Yatim mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menapis internet, dua persoalan yang timbul dalam kepala otak aku yang tak berapa cerdik ni. Satu, apakah Rais Yatim ingin membuktikan kepada dunia bahawa kerajaan BN bukan sahaja mampu membuat janji palsu dalam pilihanraya, tetapi juga mereka boleh menipu orang di mana saja? Kedua, adakah ini menunjukkan yang BN ingin menyekat maklumat sesudah mereka tewas berperang di internet?
Aku lebih suka dengan persoalan yang kedua.
Rais Yatim secara tidak lansung mengaku kalah dalam perang siber. Menteri Penerangan ini, yang diberi tanggungjawab untuk menerangkan kembali kepada rakyat, menteri yang bertanggungjawab menjawab isu dan 'tohmahan' serta 'fitnah' terhadap kerajaan, menteri yang mempunyai kuasa ke atas media dan boleh gunakannya untuk memberi penerangan dan penjelasan, nampaknya mengambil jalan mudah. Instead of menjawab, dia lebih suka menutup mulut, telinga, dan mata rakyat!
Rais Yatim telah secara terbuka menafikan peranan laman2 blog penyokong ameno yang selama ini berusaha bersungguh2 menjawab isu yang dilontarkan bagi pihak kerajaan. Rais Yatim secara halus mengatakan laman2 blog picisan yang hidup segan mati tamau ni gagal memulihkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Rais Yatim ingin memberitahu seluruh dunia bahawa otak BN tidak mampu melawan tsunami maklumat yang melimpah ruah di internet, dan mendapat sambutan menggalakkan saban hari!
Kesian.
Rais Yatim dengan senjata maklumat di sekeliling pinggang terpaksa melutut bila berhadapan dengan internet. Dia boleh saja terus mengasak dan menjawab kembali segala persoalan yang dilemparkan oleh internet kepada kerajaan. Dia boleh saja melawan maklumat dengan maklumat. Dia boleh saja membuka ruang perdebatan dengan lebih luas untuk memberi ruang rakyat berfikir dan menilai siapa yang betul dan waras, kerajaankah, atau si 'pemfitnah kerajaan'?
Rakyat membaca dan menilai. Rakyat mendengar dan menilai. Rakyat semakin bijak, dan tidak lagi bodoh sepertimana yang ameno harapkan selama ini. Internet menjadikan rakyat lebih bijak menilai intan dan permata. Internet menjadikan isu sampai dengan lebih cepat. Internet menjadikan kerajaan lebih cekap dan berwaspada dalam setiap perkara. Pendek kata, kebebasan internetlah yang membantu membina pemikiran baru rakyat Malaysia.
Tapi ini bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh BN. BN mahu rakyat itu bodoh. BN mahu rakyat itu tidak bermaklumat. Dan kalaupun rakyat boleh menerima maklumat, ianya hanyalah berkiblatkan Angkasapuri. Kerana? Itulah cara penjajah mengawal rakyat Tanah Melayu dulu. Memastikan maklumat disaring, cetakan dipantau, radio dan tv dilesenkan, semata2 untuk memastikan maklumat yang sampai adalah maklumat yang penjajah mahu rakyat dengar. Penjajah tidak mahu rakyat mendengar berita lain. Penjajah tidak mahu rakyat membuat pertimbangan dan penilaian hasil daripada maklumat pelbagai pihak. Penjajah ingin terus menjajah, dan rakyat harus dibodohkan agar hasil mahsul negara boleh mereka sedut tanpa sebarang ancaman dan pemberontakan!
Inilah cara penjajah mengawal maklumat dulu. Inilah cara penjajah terus kekal di Tanah Melayu. Kekang maklumat dari sampai kepada rakyat. Bodohkan rakyat. Malaskan rakyat. Maka penjajah akan terus berkuasa.
Ya, mereka sebenarnya masih dan terus berkuasa di Tanah Melayu sehingga sekarang. Penjajah ini warna kulitnya sudah bertukar, tetapi modus operandinya masih sama. Penjajah sawo matang ini akan terus memastikan bahawa rakyat tidak diberikan peluang mendapat maklumat secara adil. Penjajah yang mengaku Melayu, tetapi makannya bersudu, dan malu hantar anak ke sekolah Melayu, tidak mahu menghabiskan masa untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan rakyat, kerana dengan itu maka kuranglah tumpuan mereka untuk merembat khazanah negara.
Seperti yang aku selalu tulis sebelum ini, Tanah Melayu ini masih belum merdeka. Aku masih belum rasa merdekanya. Kerana bagi aku, merdeka itu bukan bebasnya kita dari diperintah oleh bangsa asing. Merdeka itu bukan diperintah oleh bangsa sendiri. Tetapi merdeka itu adalah perasaan yakin dan bebas untuk membuat pilihan dengan menggunakan rasional setelah mendapat maklumat yang secukupnya. Bagi aku, merdeka itu adalah maklumat. Jika maklumat tidak disekat, dan dialog serta perdebatan disuburkan untuk kebaikan rakyat dan negara, maka secara tidak lansung rakyat telah merdeka jiwanya, merdeka mindanya, dan merdeka negaranya.
Maklumat tidak seharusnya dikekang dan disekat! Ia adalah hak asasi setiap manusia!
Ingatlah kepada perkataan pertama wahyu yang Jibril sampaikan kepada Rasulullah. Ketika Jibril memeluk kuat Rasulullah, Jibril berkata "Iqra'". Baca! "Bacalah dengan nama Tuhanmu(...)".
Baca! Jika Allah menyuruh hambaNya membaca, apakah Rais Yatim lebih hebat dariNya dengan bertindak menafikan hak yang telah diwajibkan ke atas semua umat manusia?
Jika "Ya", maka wajiblah untuk Rais Yatim naik ke bumbung Angkasapuri, dan berseru kepada semua manusia dengan ayat "Ana robbukumul a'la" sepetimana angkuhnya Firaun di zaman Nabi Musa!.
matkeri