"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Little Dhaka’ tumbang

AZMI NORDIN

Antara 1,051 warga asing yang diperiksa dalam serbuan Op Sapu di Jalan Abraham, Off Jalan Imbi, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO/AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Menempatkan lebih 3,000 warga asing majoriti warga Bangladesh sehingga mendapat gelaran ‘little Dhaka’, itulah gambaran yang dapat dilihat di sebuah flat yang diserbu di Jalan Abraham Off Jalan Imbi, di sini.

Kesemua warga asing yang diperiksa merupakan penyewa di dalam rumah yang menempatkan enam bilik di premis yang sudah diubah suai dengan kadar sewa antara RM200 hingga RM600 sebulan.

Seorang wanita warga Myanmar berusia lingkungan 20-an memaklumkan dia menyewa sebuah bilik di flat berkenaan bersama dua anak serta suaminya sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, rumah tersebut menempatkan empat bilik sederhana besar serta dua bilik kecil di dalam sebuah rumah.

“Macam bilik saya sewa ini (sederhana besar), kadar sewa adalah RM600 sebulan, manakala bilik kecil pula antara RM200 hingga RM300 sebulan.

“Kebanyakan bentuk rumah di kawasan ini memang seperti ini dengan dibahagikan kepada beberapa bilik untuk disewa,” katanya ketika ditemui dalam serbuan Op Sapu, di sini, awal pagi tadi.

Wanita berkenaan bersama dua anaknya antara 1,051 warga asing yang diperiksa dalam serbuan pukul 12.30 tengah malam tadi.

Seramai 115 pegawai dan anggota Imigresen yang dibantu pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam operasi itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dianggarkan kira-kira 3,000 warga asing tinggal dan bekerja di sekitar kawasan berkenaan.

“Dalam operasi ini, kami memeriksa seramai 1,051 warga asing dengan 544 daripadanya berusia antara setahun hingga 68 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Mereka yang ditahan membabitkan individu yang warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan Filipina,” kata beliau ketika sidang akhbar di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Khairul Dzaimee berkata, daripada 544 pendatang asing tanpa izin (PATI) itu, seramai 30 kanak-kanak Myanmar bukan pemegang kad UNHCR turut ditahan.

“Antara kesalahan dikesan dilakukan PATI dalam operasi itu adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas dan tinggal lebih masa.

“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

PH yakin mampu menang PRN Selangor, Negeri Sembilan, P Pinang

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin dapat terus mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, peluang PH menawan Kedah pada PRN tahun ini 50-50.

“Fokus mempertahankan tiga negeri pimpinan PH. Pimpinan utama PH meletakkan keyakinan tinggi itu berasaskan laporan semasa.

“Kami tekad menghantar suara pembangkang yang kuat, kalau pun tidak sampai menawan atau mengambil alih Kelantan dan Terengganu,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PKR.

Kerjasama PH-BN

Saifuddin berkata, setakat ini, belum ada perbincangan khusus mengenai kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) pada PRN tahun ini.

“Jawatankuasa Pilihan Raya akan buat beberapa persiapan dulu barulah dicadangkan langkah munasabah,” katanya.

Pada 2 Jan lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, partinya dan BN akan bekerjasama buat julung kali dalam PRN Pulau Pinang tahun ini, sejajar hubungan “politik perpaduan”.

Katanya, kerjasama dua parti itu akan diperincikan selepas mesyuarat sebelum Tahun Baharu Cina dengan Anwar yang juga pengerusi PH.

Lim berkata, jalinan kerjasama DAP dan BN sudah dibentuk di peringkat kerajaan pusat menerusi kerajaan perpaduan, malah ia juga dilaksanakan di peringkat kerajaan Perak dan Pahang.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan penambahbaikan Parlimen.

Katanya, mesyuarat itu bersetuju untuk meneruskan dasar melantik Ahli Parlimen pembangkang untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Apa pun, tunggu perbincangan dengan pihak pembangkang tentang perkara ini,” katanya.

Istana Sabah arah parti bertelagah serah SD

Tracy Bul

KOTA KINABALU: Istana Sabah meminta ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyuarakan pendirian siapa yang mereka sokong sebagai ketua menteri, menurut sumber.

“Wakil rakyat GRS diminta menyerahkan SD (akuan bersumpah) mereka kepada Yang di-Pertua (TYT) Sabah untuk menyatakan siapa yang mereka sokong sebagai ketua menteri,” kata sumber GRS kepada FMT.

Ketua Menteri, Hajiji Noor dilihat memasuki istana negeri pada 4.30 petang tadi, dipercayai untuk menghadap TYT bagi menyerahkan SD menyokongnya, tetapi tidak jelas jika parti politik lain yang mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) diminta berbuat demikian.

Tidak diketahui sama ada ADUN BN Sabah dan Warisan turut diminta pihak istana berbuat demikian kerana dua pihak itu masih berdiam diri setakat ini.

Terdahulu, Setiausaha Perhubungan negeri, Abdul Rashid Mohd Tahir hari ini berkata, istana akan menghubungi ADUN tidak lama lagi untuk menyatakan pendirian mereka menyokong siapa sebagai ketua menteri.

Tanpa menunjukkan jika mereka mempunyai sokongan mencukupi daripada ADUN untuk membentuk kerajaan, Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan, Shafie Apdal menggesa Hajiji meletak jawatan kerana mendakwa beliau sudah hilang majoriti.

Tetapi, pihak Hajiji menyangkal dakwaan itu dengan berkata, Bung dan Shafie tidak memahami undang-undang dan mereka hanya memilih bahagian yang sepadan naratif mereka sambil mengabaikan butiran lain dalam undang-undang.

Mercun bola, bilah pisau antara alat buat bom bunuh tukang masak

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Polis sudah mengambil keterangan 36 saksi berkaitan kes letupan yang mengorbankan seorang lelaki di sebuah restoran di Pandan Indah, di sini, pada 29 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

"Kami menahan pasangan suami isteri masing-masing berusia 33 hingga 30 tahun yang dipercayai berada di lokasi ketika kejadian pada 3 Januari lalu di Serdang, Kedah.

"Hasil soal siasatan, kami melakukan serbuan di rumah suspek di Serdang, Kedah pada 5 Januari lalu dan merampas beberapa barang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan dalam kes berkenaan.

"Selain itu, kami juga merampas sebuah Perodua Myvi disyaki digunakan suspek ketika kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Sasikala berkata, tiada tangkapan baru dibuat dan pihaknya percaya penahanan pasangan suami isteri itu berjaya menyelesaikan kes berkenaan yang bermotifkan isu peribadi.

"Semua barang rampasan termasuk mercun bola dan bilah pisau dihantar ke Jabatan Kimia dan Makmal Forensik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyampaikan maklumat tidak tepat berhubung kes ini," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan hubungan sulit antara mangsa dan isteri suspek dipercayai motif kejadian letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah, di sini, 29 Disember lalu sehingga menyebabkan tukang masak maut.

Difahamkan, suspek bekerja sebagai pembuat seramik belajar membuat bom buatan sendiri menerusi Youtube.

Sumber dipetik berkata, tindakan mangsa yang mempunyai hubungan sulit itu sudah diketahui suspek sejak Mei tahun lalu.

Katanya, mangsa kemudian melarikan diri dari Kedah dan berpindah ke Ampang sebelum berlaku kejadian letupan berkenaan.

Dalam kejadian 8.55 malam itu, tukang masak sebuah restoran berusia 28 tahun maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

Mangsa yang parah pada badan dan tangan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia jam 9.45 malam.

Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 4]

Saari Sungib

Salam ukhuwah dan dalam perjuangan.

Ingatkah Tuan Guru bahawa perkenalan kita pada 1982 kita telah menghasilkan pertemuan dan perbincangan susulan yang kemudiannya membentuk kerjasama sama ada di dalam atrau luar negeri?

Dalam suatu sesi ziarah dan mesyuarat, saya masih ingat lagi bagaimana Tuan Guru tergelak agak lama apabila mendengar Ustaz Alias Othman bercerita bagaimana semasa dia berusia 16 tahun lagi sudah bergerak seperti seorang ahli aktif PAS.

Pada masa itu - beberapa bulan menjelang pilihan raya umum (PRU) , Ustaz Alias keluar rumah meredah gelap subuh (selepas solat Subuh bersama kawan-kawannya yang lebih dewasa) untuk menoreh getah.

Semua hasil termasuk getah sekerap pun dikumpulkan dengan bersungguh-sungguh untuk dijual di kedai-kedai Cina sebelum hasilnya diserahkan kepada ketua urusan pengumpulan dana.

Sekitar 1983 Tuan Guru dilantik menjadi pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat. Atas inisiatif bijak Tuan Guru, Ustaz Alias dan Ir Mustafar Abdul Kader telah dijemput untuk membantu kerja-kerja pembangunan lajnah tersebut.

Dalam satu lawatan kerja ke Rusila pada 1984, saya ada menyuarakan hasrat untuk menjadi ahli PAS bagi membolehkan saya membantu kerja-kerja lajnah itu, tetapi sebaliknya Tuan Guru meminta saya membantu dari luar sahaja.

Bahkan saya dinasihatkan agar tidak perlu lagi menjadi ahli PAS.

Islam dan sistem demokrasi

Pada tahun itu juga, atas permintaan Tuan Guru saya menyiapkan sebuah buku yang merupakan kompilasi artikel bahan-bahan fikrah bagi usrah. Saya namakan buku itu Risalah Usrah dengan menggunakan nama pena Abu Urwah.

Apabila buku itu diberikan kata pengantar daripada Tuan Guru, maka Risalah Usrah tersebut mudah digunakan sebagai bahan usrah untuk pelajar-pelajar sekolah menenagh dan institusi pengajian tinggi.

Ustaz Alias yang memiliki ijazah sarjana siyasah syar‘iyah adalah rakan sekuliah Tuan Guru di Al-Azhar. Pada ketika yang sama Tuan Guru dan dia merupakan rakan seusrah ketika di Mesir.

Bermula daripada taaruf pada 1982 itu, setiap satu atau dua bulan sekali saya dan Ustaz Alias - dan berapa rakan lain - akan ke Rusila untuk mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru.

Banyak yang kita bincangkan dan perkemaskan dari segi fikrah. Paling utama adalah penyelarasan fikrah kita dari aspek demokrasi dan penglibatan dalam pilihan raya.

Tuan Guru sering mengingatkan kami dengan kata-kata Ustaz Abu Bakar Al-Baqir: “Sesungguhnya, syura dalam Islam lebih baik daripada demokrasi Barat, namun sekiranya melalui proses demokrasi dan pilihan raya kita dapat menegakkan keadilan dan meruntuhkan kezaliman, marilah kita manfaatkan sistem demokrasi sepenuh-penuhnya”

Tuan Guru, saya pun sering mengingatkan kata-kata Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi: “Sehingga kita memiliki satu sistem yang lebih baik daripada demokrasi maka hendaklah kita memanfaatkan sepenuhnya proses dan tatacara demokrasi”

Saya rasa Tuan Guru juga sedar bahawa tiada demokrasi tulen di Malaysia. Pihak yang berkuasa memperalatkan jentera kerajaan bagi kepentingan mereka.

Penguasa juga percaya SB (polis cawangan khas) diwujudkan adalah untuk mempertahankan sistem hagemoni dan ketuanan Melayu-Islam. Maksud yang sebenarnya ialah Melayu-Umno, elit Melayu, Umnoputera, dan seumpamanya.

Berbaik-baik dengan SB

Pada masa sama kita ada Melayu Muslim yang mencuri wang rakyat, atau dikenali juga sebagai Melayu kleptokrat. Kleptokrasi adalah konsep yang diambil dari kata akar bahasa Yunani lama iaitu kléptēs yang bermaksud pencuri.

Tuan Guru, adakah sesiapa yang tidak berasa gentar apabila diancam dengan penahanan zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Di negara kita undang-undang zalim di atas nama keselamatan merupakan pemenjaraan tanpa perbicaraan di bawah kuasa seorang menteri.

Dalam lingkungan PAS dan simpatisan parti, penyokong dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan PAS ada ditahan di bawah ISA. Di mana mereka sekarang? Apakah yang mereka lakukan ketika mereka disoal siasat? Siapakah dalam kalangan mereka yang boleh dikatakan sebagai pejuang yang secara konsisten berterusan bersama NGO dan rakyat menentang ISA?

Tuan Guru, saya telah ditahan dua kali melalui ISA. Pertama kali pada 1998 dan kali kedua pada April 2001 hingga Jun 2003. Mungkin sayalah saja bekas tahanan ISA yang menulis lapan jilid buku mendedahkan kezaliman dan kekejaman akta itu.

Saya lihat lebih ramai pemimpin PAS di peringkat kawasan yang bekerjasama dengan SB. Mereka melakukan itu bersama keyakinan bahawa langkah tersebut membuka ruang untuk menjalin hubungan baik dengan polis.

Pada masa sama rata-rata kefahaman mereka terhadap hak asasi manusia adalah pincang, bahkan banyak membawa padah yang parah kepada jati diti dan semangat perjuangan mereka.

Apa yang saya kesali, sering ucapan dan ulasan isu-isu politik Tuan Guru menimbulkan ketegangan. Kenapa saya tidak mendengar keputusan atau pandangan yang bagus-bagus keluar daripada Tuan Guru?

Sebaliknya pelbagai tuduhan dan kata-kata nista yang dilapor dan disiarkan berpunca daripada kenyataan Tuan Guru!

Sikap itu sama sekali berbeza daripada Tuan Guru dan rakan-rakan sehaluan yang dahulu sama-sama menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran.

Jika tribulasi, kesusahan dan kesempitan itu adalah tanda-tanda yang boleh meyakinkan orang ramai bahawa seseorang itu berjuang di jalan yang betul, maka Anwar Ibrahim adalah orang yang paling layak dikatakan pejuang tulen.

Anwar meringkuk dalam penjara tiga kali dengan jumlah tempoh keseluruhan selama 15 tahun. Dua tahun daripada tempoh itu adalah tahanan tanpa bicara.

Dua kali lagi dia ditahan dalam penjara selama 13 tahun sebagai mangsa tahanan bermotifkan politik menurut semua badan hak asasi manusia antarabangsa termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch.

Tuduh Anwar berubah

Populariti Tuan Guru di pentas dunia telah membolehkan Tuan Guru ditempatkan dalam beberapa organisasi di peringkat dunia.

Pada pandangan saya ketika Syeikh Al-Qaradhawi mengeluarkan fatwanya berkenaan dosa dan jenayah qazaf, Tuan Guru sepatutnya menjadi orang yang terkehadapan menerangkan fatwa tersebut atas dasar ilmu dan kebenaran.

Dengan ilmu yang Allah anugerahkan kepada Tuan Guru serta puluhan buku yang telah hasilkan, sepatutnya Tuan Guru menerangkan dan mempertahankan kebenaran itu sebagai kebenaran.

Namun saya terkejut apabila Tuan Guru secara sambil lewa sahaja melemparkan pelbagai tuduhan terhadap rakan-rakan saya daripada PKR dan DAP.

Bagi saya semua tuduhan itu adalah terlalu melulu dan berunsur fitnah. Terhadap Anwar juga Tuan Guru sudah menganggap dia adalah seorang Muslim berfikiran liberal.

Tuan Guru menuduh Anwar berubah dan menurut siapa di hadapannya dan apa yang disenangi olehnya.

Tuduhan itu sama bunyinya dengan apa yang saya dipaksa dengar daripada SB semasa saya disoal siasat semasa dalam ISA dahulu.

Anwar: Hanya pihak ada salah laku cuba jatuhkan kerajaan

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim berkata beliau percaya sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan diketuainya dilakukan pihak yang takut salah laku mereka terdedah.

Perdana menteri berkata, pentadbirannya tidak akan menekan mana-mana pihak jika mereka tidak terlibat dengan rasuah, kezaliman dan pemerasan terhadap rakyat.

“Saya tidak akan dianggap berjaya kalau gunakan kuasa untuk menekan musuh tanpa fakta dan data dan bukti yang nyata,” katanya ketika ditemubual dalam program naratif khas bersama perdana menteri.

Anwar berkata, beliau memahami apa erti kezaliman disebabkan pengalaman lalu dan tidak gusar kestabilan kerajaan pimpinannya yang didukung 148 Ahli Parlimen.

Katanya, berbanding majoriti dimiliki kerajaan terdahulu yang tipis, sebarang usaha  membeli mana-mana Ahli Parlimen kerajaan tidak akan mengubah kedudukan kerajaan semasa.

“Rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri baik daripada Pakatan Harapan atau Barisan Nasional atau Gabungan Parti Sarawak, dukungan mereka itu jelas.

“Seperti mana dilihat peranan Timbalan Perdana Menteri Zahid (Hamidi), Timbalan Perdana Menteri Fadillah (Yusof). Peranan mereka itu mendukung penuh semangat,” katanya.

Mengenai pergolakan politik semasa Sabah, Anwar berkata perkara itu hanya disebabkan majoriti kecil kerajaan negeri semasa.

Justeru, beliau yakin perkara sama tidak akan berlaku di peringkat persekutuan disebabkan jumlah majoriti yang besar dan kukuh dimiliki kerajaannya.

“Tetapi ini tidak boleh digambarkan keadaan di persekutuan. Setakat ini tidak ada sedikit pun bayangan melainkan yang disuarakan pembangkang,” katanya

Anwar berkata, beliau sudah menasihatkan pemimpin utama Sabah khususnya Ketua Menteri Hajiji Noor, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Shafie Apdal supaya berunding terlebih dulu bagi mencari jalan terbaik.

Pelajar lelaki cedera parah terjun bangunan sekolah

MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

SEPANG: Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga cedera parah selepas dikatakan terjun dari tingkat tiga bangunan sekolahnya, di sini pagi tadi.

Difahamkan, pelajar itu kini di rawat di Zon Merah, Hospital Putrajaya dan berada dalam keadaan kritikal dan masih tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, pelajar berkenaan ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian kepala oleh guru di sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati, tiada wujud unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati, ada saksi mendakwa melihat pelajar itu berada di kaki lima tingkat tiga bangunan berkenaan sebelum terjun.

“Kami juga dimaklumkan pihak sekolah bahawa pelajar itu dilaporkan pernah mengalami kemurungan ketika berada di sekolah.

“Pelajar itu juga dikatakan pernah beberapa kali menjalani sesi bimbingan dan kaunseling dari pihak sekolah.

“Malah, dia juga pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Serdang kerana memakan ubat panadol sebanyak 38 biji,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, salah seorang saksi yang ditemui mendedahkan pelajar itu pernah menceritakan kepadanya mengenai tindakan menelan 38 biji Panadol.

Malah, katanya, saksi itu juga pernah melihat pelajar itu mencalarkan tangan di dalam kelas dengan menggunakan pisau pemotong kertas. – UTUSAN

GRS dakwa masih mendapat sokongan 43 wakil rakyat termasuk tujuh daripada PH dan enam Umno

GRS dakwa ada majoriti, termasuk 6 daripada Umno

Tracy Bul 

Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun (tengah) berkata gabungan itu mendapat sokongan 43 wakil rakyat termasuk tujuh daripada Pakatan Harapan dan enam Umno. (Gambar fail)
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Masidi Manjun mendakwa gabungan itu masih mempunyai majoriti mudah untuk mentadbir negeri itu di sebalik keputusan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

Menurut Masidi, enam wakil rakyat Umno tidak bersetuju dengan keputusan ketua mereka Bung Moktar Radin dan mahu Hajiji meneruskan khidmat sebagai ketua menteri.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan enam ADUN terbabit.

Masidi turut menegaskan GRS masih mempunyai majoriti mudah untuk mentadbir Sabah kerana mereka turut mendapat sokongan daripada tujuh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan enam ADUN Umno.

Ia bermaksud GRS yang mempunyai 29 kerusi sedia ada menikmati 43 sokongan wakil rakyat termasuk daripada PH dan Umno.

Sebanyak 40 daripada 79 kerusi DUN Sabah diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata beliau tidak terkejut dengan pengumuman Bung itu.

“Dengan bekerjasama dengan Warisan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, mereka sudah lama menarik sokongan,” katanya.

Malam tadi, Bung mengumumkan Umno dan BN menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji.

Katanya, keputusan dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

“Penubuhan kerajaan negeri Sabah sekarang adalah hasil persefahaman yang termeterai antara parti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) selepas keputusan PRN Sabah ke-16,” katanya.

Bung turut mendakwa Hajiji mencabuli perjanjian persefahaman politik dengan memecat ADUN Usukan Salleh Said Keruak daripada jawatannya sebagai pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tanpa berunding dengannya selain mahu membuat rombakan Jemaah Menteri.

Persefahaman politik itu antara lain menyebut ADUN BN, Umno akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai ketua menteri Sabah selagi mana pelantikan ahli Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN, Umno seperti termaktub dalam perjanjian dihormati.

Selepas berzina dengan menantu, Puan Norma Risma dikatakan hamil?

Kholisin Susanto

Baru-baru ini sosok Norma Risma sedang rancak diperkatakan netizen. Kerana dia menjadi mangsa hubungan sulit antara suami dan ibu kandungnya sendiri. Apabila cerita Norma Risma malang, kini orang ramai dikejutkan dengan maklumat baharu. Terbongkar, ibu Norma Risma hamil selepas melakukan hubungan seks dengan menantunya, Rozy Zay Hakiki. 

Berita kehamilan ibu Norma Risma mencetuskan kekecohan orang ramai selepas saluran YouTube 'Biasa TV' memuat naik video yang bercerita "DIJANGKA!! IBU NORMA RISMA POSITIF HAMIL. Imej kecil muat naik YouTube itu turut berbunyi "HOTMAN PARIS TIDAK DAPAT MENENTANGNYA. PERTUMBUHAN, SEDIA MENJARA ANDA BERDUA, ".

Dalam gambar yang dilampirkan pada lakaran kecil YouTube, terdapat wajah ibu Norma Risma dalam keadaan terbaring ditemani bekas suaminya. Foto TV Lakaran Kecil YouTube Biasa: Tangkapan Skrin YouTube Jadi benarkah Ibu Norma Risma kini hamil selepas terperangkap berzina dengan menantunya?


Artikel ini disiarkan di VIVA.co.id 

PM10, Anwar: SPRM bebas ambil tindakan terhadap sesiapa termasuk 'jerung'

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi dalam soal membanteras rasuah termasuk membabitkan jerung dan bukan hanya tertumpu kepada ikan bilis.

Malah beliau sendiri menegaskan kebebasan diberi sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja.

Perdana Menteri juga menyangkal tindakan membanteras rasuah itu adalah amalan politik dendam sebaliknya ia adalah sebahagian agenda reformasi yang diperjuangkannya selama ini.

Menurutnya, pembanteras rasuah tidak tertumpu kepada ikan bilis sahaja malah sudah ada jerung yang turut ditahan dan diambil tindakan.

"Saya memberikan SPRM kelonggaran sepenuhnya dan wewenangya (kuasa), sedikit sebanyak sudah banyak (kes) terbongkar.

"Saya tidak mahu mengulasnya setiap kali, pihak penguatkuasaan diberikan kuasa, malah saya setiap minggu berpesan, saya tidak masuk campur jika seseorang disiasat (SPRM)," katanya dalam Naratif Khas yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini.

Anwar berkata, amalan pemunggahan kekayaan negara yang agak memualkan di mana ada pengalaman orang besar, ditangkap dan ini membuktikan tindakan tidak hanya tertumpu kepada ikan bilis.

"Kes Jana Wibawa, Menara KL, pemunggahan kekayaan, saya akan pastikan ada tindakan pengajaran pada masa lalu dan sekarang.

"Memang ada orang yang takut disiasat. Tetapi apabila berbicara tata kelola, saya beri arahan yang jelas, apa (kes) yang berlaku, terus ada tuduhan (mahkamah), ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata, negara ini sudah rosak, tiada upaya bangkit semula jika terus dibiarkan.

"Jika pemimpin kumpul berbilion (kekayaan), untuk rakyat, penjaja kecil rumahnya separuh robek, apa makna kepada rakyat, tetapi ada pemimpin bersenang lenang memunggah kekayaan negara," katanya.

2 pengarah kanan syarikat bergelar Datuk ditahan berkait isu Menara KL

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah kanan syarikat bagi membantu siasatan pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara Kuala Lumpur yang didakwa membabitkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Individu bergelar Datuk berusia antara 49 dan 59 tahun itu ditahan petang tadi di ibu pejabat SPRM. Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Sumber berkata, seorang daripadanya ialah pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham Syarikat Menara KL manakala seorang lagi ahli perniagaan bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengambilalihan syarikat tersebut bagi pihak orang atasan.

Disyaki pemilihan syarikat terbabit melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada “orang atasan” bagi membantu pengambilalihan itu.

SPRM sudah menjalankan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, milik penuh Telekom Malaysia (TM).

Beberapa saksi termasuk pegawai kanan TM, Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Kementerian Komunikasi dan Digital serta syarikat terlibat diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berharap semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan.

Umno, BN Sabah tarik balik sokongan kepada Hajiji

Willie Jude

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

Orang Islam haram guna nama ‘priest’ – Mufti Wilayah

SHAFIQAH MUKHSIN

Tular di media sosial mengenai seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Moslem Priest’ telah mendapat perhatian warganet yang tidak senang melihat perkataan ‘priest’ digunakan oleh orang Islam.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel di laman sesawangnya semalam menjelaskan bahawa adalah haram untuk orang Islam menggunakan gelaran ‘priest’.

‘Priest’ merujuk kepada satu gelaran khusus yang sinonim dengan agama Kristian, malah ia sebenarnya merujuk kepada seorang paderi yang melaksanakan tugas-tugas keagamaan bagi gereja Kristian.

PMWP berkata, pengharaman gelaran itu dibuat kerana ia meniru syiar agama lain, serta larangan daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap diri sendiri dan agama Islam.

“Hal ini berdasarkan tegahan daripada Nabi Muhammad S.A.W yang melarang umat Islam daripada menyerupai atau meniru orang kafir (tasyabbuh bil kuffar) dari sudut identiti, lambang atau syiar mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, Imam al-San‘ani menjelaskan ada hadis menunjukkan bahawa sesiapa menyerupai atau meniru orang yang fasiq dari sudut pakaian dan perilaku orang kafir atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka.

Manakala, jelas Imam Ibn. Kathir pula, hadis itu menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan.

Disebabkan itu PMWP dalam kenyataan berkata, umat Islam perlu menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah sama ada terhadap diri sendiri, dan lebih-lebih lagi terhadap nama baik agama.

Sebelum ini tular video seorang rakyat Malaysia yang menceritakan bagaimana dia mendapat gelaran ‘Moslem Priest’ dan menjadikan itu nama pentas sebagai produser serta penyanyi.

Menerusi carian gambar di Google, lelaki itu tampil dengan memakai songkok dan berbaju hitam.

Shafie dijangka cuba singkirkan Hajiji sebelum 10 Jan

Fion Yap & Shakira Buang

Situasi politik di Sabah kembali bergolak di tengah-tengah spekulasi bahawa bekas ketua menteri Mohd Shafie Apdal berusaha menyingkirkan penggantinya Hajiji Noor.

Sumber Warisan dan Pakatan Harapan (PH) mendakwa kedua-dua pemimpin itu berusaha mendapatkan sokongan yang mencukupi untuk menerajui kerajaan negeri.

Shafie, yang merupakan presiden Warisan, dijangka melancarkan percubaan menjatuhkan Hajiji, pengerusi GRS, sebelum sidang khas dewan undangan negeri yang dijadualkan pada Selasa depan, yang boleh mengukuhkan kedudukannya.

Jika bekas ketua menteri itu gagal menggerakkan rancangan berkenaan sebelum 10 Jan, sumber yang rapat dengan situasi itu berkata puak Shafie mungkin mendesak undi tidak percaya terhadap Hajiji tetapi ia mesti diluluskan oleh speaker terlebih dahulu.

Sidang khas itu bagi membolehkan kerajaan Sabah membentangkan usul peralihan kuasa kawal selia bekalan gas ke negeri itu daripada kerajaan persekutuan.

Spekulasi rampasan kuasa semakin memuncak semalam apabila Warisan mengumumkan bahawa Shafie akan mengadakan sidang media, dengan jangkaan tinggi bahawa dia akan mendedahkan bilangan Adun yang menyokongnya.

Bagaimanapun, selepas menunggu selama dua jam, wartawan dimaklumkan bahawa sidang media itu dibatalkan.

Hajiji bergelut menunjukkan penguasaan

Sementara itu, sumber itu berkata Warisan, yang mempunyai 19 Adun, yakin Hajiji tidak mempunyai sokongan Adun yang mencukupi walaupun pelbagai pihak sudah menyatakan sokongan kepadanya.

Shafie atau Hajiji mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya 40 daripada 79 Adun untuk majoriti mudah.

Menurut sumber itu, Warisan percaya ia masih boleh mendapatkan sokongan 17 Adun Umno untuk membentuk kerajaan negeri walaupun mengakui sidang media semalam dibatalkan kerana wakil Umno enggan mengisytiharkan pendirian.

“Anda perlu tanya Hajiji berapa ramai (Adun) yang dia ada... Warisan tidak perlu memperoleh majoriti mudah sekiranya dewan undangan negeri tergantung.

“Situasinya sama seperti yang dihadapi Anwar Ibrahim selepas pilihan raya umum,” kata sumber itu, merujuk kepada pengerusi PH yang tidak memperoleh majoriti mudah di peringkat persekutuan.

Sumber itu menambah bahawa walaupun pertemuan Hajiji dengan parti-parti politik semalam bertujuan untuk menunjukkan sokongan terhadapnya, gambar-gambar perhimpunan di media sosial menunjukkan bahawa hanya 35 Adun yang hadir.

Memandangkan hanya tujuh daripada 17 Adun Umno yang hadir di kediaman ketua menteri, ini mungkin menunjukkan perpecahan dalam kalangan Adun Umno Sabah.

Malaysiakini telah menghubungi Umno dan GRS untuk mendapatkan butiran lanjut.

Satu lagi sumber daripada Warisan mendakwa PH mahu menjadi 'king maker' dan Anwar tidak sanggup melihat pertukaran kerajaan negeri.

PH: Shafie cuba menghalang pembelotan

Mengesahkan bahawa Warisan cuba memikat Adun PH, sumber daripada gabungan itu mendakwa Shafie mempercepatkan rampasan kuasa untuk mengelakkan pembelotan kepada kerajaan GRS-BN memandangkan negeri itu tidak meluluskan undang-undang antilompat parti.

Situasi politik di Sabah itu merupakan dilema bagi PH kerana kesannya boleh dirasai di Putrajaya.

Dalam satu kenyataan semalam, tujuh Adun PH di Sabah menjelaskan bahawa mereka tidak bersedia untuk membuat sebarang perubahan drastik.

PH dilihat akan cuba mengelak pilihan raya negeri dan memastikan enam ahli parlimen GRS terus menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Sebagai perbandingan, Warisan mempunyai tiga ahli parlimen, yang kesemuanya juga menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Tujuh Adun PH itu berkata mereka tidak akan menyokong kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang tetapi pada masa yang sama tidak menyebut sokongan mereka kepada pentadbiran Hajiji.

FMT melaporkan bahawa Hajiji akan merombak kabinetnya dan dijangka memecat Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar, yang juga timbalan ketua menteri, bersama-sama dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin.

Hajiji dikatakan bercadang untuk memasukkan Adun PH dalam kabinetnya.

Mengulas perkara ini, salah satu sumber daripada PH memberitahu Malaysiakini bahawa gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan Hajiji bagi memastikan kerajaan yang stabil.

Majlis presiden PH dijangka membincangkan isu ini semasa mesyuaratnya di Kuala Lumpur petang esok.

CEO disyaki dalang agih projek runding terus kerajaan PN RM92.5 bilion direman

FMT Reporters

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan direman lima hari bermula 6 hingga 10 Jan.

PETALING JAYA: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menjadi “orang tengah” dalam pengagihan projek kerajaan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga 2022.

Suspek lelaki berusia 42 tahun itu ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, CEO itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan direman lima hari bermula hari ini hingga 10 Jan.

Katanya, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

“Hampir 90% projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

“Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10% projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10% hingga 20%,” katanya.

Pada 9 Dis lalu, SPRM berkata fokus siasatan berhubung dakwaan salah guna dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion, iaitu jumlah dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

SPRM berkata, hanya RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan daripada peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion yang dibelanjakan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Dalam pada itu, sumber berkata suspek yang ditahan dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor dan “pihak atasan”.

Katanya, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen sebanyak 3 hingga 5% dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik konon untuk tujuan pembiayaan politik.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Anwar: Sabah sudah tenang, cuma ‘ada beberapa isu’

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Keadaan politik di Sabah sudah tenang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menyusuli babak rampasan kuasa yang tidak menjadi kenyataan semalam.

“Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan, cuma dimaklumkan ada beberapa isu,” katanya kepada pemberita di Masjid Bukit Aman petang tadi, ketika ditanya mengenai situasi semasa di Sabah.


Anwar bagaimanapun tidak menghuraikan isu yang dikatakan itu, namun meminta Ketua Menteri Hajiji Noor mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain di negeri itu.

“Saya minta ketua menteri bincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah,” katanya, dan menambah beliau telah menghubungi pemimpin tertinggi parti-parti di negeri itu, termasuk Umno, DAP, dan Warisan.

“Saya tidak fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku,” tambahnya.


BN Sabah seakan tertikam diri sendiri apabila cubaan menyingkir Hajiji semalam tidak menjadi kenyataan, selepas enam daripada 17 ADUN gabungan itu enggan mengikrar sokongan kepada usaha menggulingkan kerajaan negeri pimpinan GRS.

Spekulasi menyusuli khabar angin mendakwa BN Sabah, yang dipimpin Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, sedang berbincang dengan Warisan pimpinan Shafie Apdal, untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

Dilaporkan langkah itu tidak menjadi kenyataan selepas enam ADUN Umno Sabah enggan menyokong cubaan itu.

Pakatan Harapan Sabah dengan tujuh kerusinya juga mengesahkan sokongan kepada Hajiji.

Perubahan kepimpinan BN mungkin cetus kerjasama dengan PN

Tsubasa Nair

PETALING JAYA: Gandingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mungkin berlaku sekiranya berlaku pertukaran kepimpinan dalam BN, kata penganalisis.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, ini mungkin berlaku sekiranya BN tidak lagi di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika di bawah kepimpinan individu seperti Ismail Sabri Yaakob, Hishammuddin Hussein atau mereka yang menentang kerajaan gabungan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, maka ya, sudah pasti kepimpinan parti memainkan peranan (sama ada BN bersekutu dengan PN),” katanya kepada FMT.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir turut senada bersetuju perubahan dalam kepimpinan BN mungkin melihat peralihan dalam landskap penyatuan politik ini.

“Perubahan kepimpinan mungkin akan mengubah pendirian politik (gabungan itu), malah kepimpinan baharu mungkin akan mahukan gandingan berbeza,” katanya kepada FMT.

Selain pertukaran dalam kepimpinan BN, Chin berkata faktor paling penting dalam menentukan sama ada gabungan itu akan berganding bahu dengan PN adalah sokongan pengundi Melayu untuk BN dalam pilihan raya negeri pada tahun ini.

Pada 1 Disember, komponen PN, PAS berkata, BN hanya mampu meraih 33% undi Melayu dalam pilihan raya umum (PRU15) November lalu, iaitu pengurangan signifikan berbanding 62% dan 43% diperoleh pada PRU13 serta PRU14. Sebaliknya, PN meraih 54% undi Melayu.

“Antara kejutan terbesar pada PRU15 adalah peralihan pengundi Melayu luar bandar daripada BN kepada PN. Jadi memang ramai tertanya-tanya sama ada peralihan ini sesuatu yang kekal,” kata Chin.

Sekiranya ia peralihan kekal, beliau berkata Umno mungkin risaukan masa depan politiknya, yang mungkin mengakibatkannya memutuskan bahawa masa depannya adalah bersama PN.

“Jika Umno berpendapat menjadi bahawa sebahagian daripada kerajaan perpaduan Pakatan Harapan mampu menjejaskan peluangnya, kepimpinan Melayu akan melihat sama ada peluang mereka lebih cerah jika bersama PN,” katanya.

Jeniri berkata, ini turut bergantung kepada sejauh mana PH “bertolak ansur” dengan BN, termasuk memberi laluan untuk gabungan itu dalam pilihan raya negeri akan datang, dan melantik pemimpinnya ke syarikat berkaitan kerajaan atau agensi kerajaan lain.

Mereka berkata demikian mengulas kenyataan ketua pembangkang Hamzah Zainudin pada Rabu bahawa PN terbuka dengan kemungkinan bekerjasama dengan gabungan lain, termasuk BN.

“Kerjasama ini perlu menjadi dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, Bersatu, PAS, dan Umno. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini,” katanya.

Tanda tanya pelancong China ke Malaysia terjawab

NILAM NUR ATIKAH OSHMAN

SHAH ALAM - Tanda tanya adakah Malaysia akan menghalang kemasukan pelancong China susulan gelombang baharu akhirnya terjawab selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet, pada Rabu.

Anwar menjelaskan bahawa kerajaan tidak mahu mendiskriminasikan mana-mana negara luar termasuk China.

Sebaliknya, katanya, kerajaan akan memperketatkan kawalan sedia ada seperti penggunaan pengimbas suhu terhadap pendatang asing di pusat Imigresen khususnya daripada negara yang berisiko tinggi berlaku jangkitan wabak.

Selain itu, Anwar turut memaklumkan, pada tahun lalu, jumlah pelawat dari China adalah seramai 336,000 orang dan majoritinya ialah pelancong dan pada Disember lalu, jumlah pelawat dari negara itu adalah seramai 53,000 orang.

"Ia tidak memberi kesan seperti mana yang digembar-gemburkan dan kita tidak melihat jangkitan Covid-19 yang mengaitkan mana-mana negara," katanya dalam sidang media, pada Rabu.

Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengenakan syarat ketat dengan hanya pengembara China yang mendapat vaksin sepenuhnya bersama keputusan ujian RT-PCR negatif dibenarkan masuk ke Malaysia.

Tambahnya, ujian ketat bukan sahaja tertakluk kepada warga China tetapi pelancong dari negara lain yang turut mengalami peningkatan dalam kes Covid-19.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) pula mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pekerja industri penerbangan, khususnya kru kabin dan mereka yang bekerja di lapangan terbang.

Selepas pengumuman daripada Anwar itu, ramai menantikan perincian prosedur operasi standard (SOP) daripada kerajaan dalam usaha memastikan negara tidak mengulangi kesilapan sebelum ini, lonjakan kes jangkitan Covid-19 susulan tidak menyekat kemasukan pelancong China.

Polis Kelantan 'gempur' petempatan etnik Rohingya

Malaysiakini 

Polis Kelantan 'menggempur' petempatan etnik Rohingya di 15 lokasi di Kota Bharu yang membawa kepada penahanan sembilan individu pada 3 Jan lalu.

Ketua Polis Kelantan Muhammad Zaki Harun berkata polis menahan seramai 204 etnik Rohingya yang menetap di tiga zon tumpuan operasi iaitu di kawasan Ketereh, Kok Lanas dan Melor.

Menurut Muhammad Zaki, operasi berkenaan dijalankan selepas mendapat maklumat dan aduan daripada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang memiliki dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dibebaskan sebaik sahaja selesai proses dokumentasi.

"Selain itu, sembilan individu masih ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta status dokumen yang meragukan dan memerlukan semakan lanjut.

"Polis Kelantan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sama- sama menjayakan pelaksanaan operasi bersepadu khas ini, khususnya orang ramai yang sentiasa membantu menyalurkan maklumat," kata Muhammad Zaki.

Jelasnya hasil kejayaan operasi di Kota Bharu itu, pihak polis komited untuk terus membuat pemantauan, risikan dan perancangan tindakan yang bersesuaian di semua daerah.

"Operasi-operasi sebegini dibuat bukan sahaja kepada etnik rohingya malah akan dijalankan juga di lain-lain penempatan yang menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat," tambahnya.

Ceramah kutuk Kerajaan Perpaduan dalam masjid: Pegawai Jakim sudah dipanggil

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak akan berkompromi dan sudah menjalankan siasatan terhadap isu tular video ceramah disampaikan pegawainya.

Jakim berkata, pihak Pengurusan Tertinggi Jakim sedar akan video tular ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawainya yang mengundang kemarahan netizen.

"Jakim sudah memanggil pegawai terbabit untuk siasatan lanjut bagi memulakan prosiding tatatertib dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, tular video di aplikasi TikTok menunjukkan seorang pegawai Jakim berjawatan Penolong Pengarah Kanan dan juga seorang penceramah yang mengutuk Kerajaan Perpaduan.

Ceramah itu dipercayai dirakam di sebuah masjid di Selangor pada 2 Januari lalu.

Kandungan ceramah itu antara lain turut menyentuh perihal lagu 'Hoi, hoi ya hoi' yang dijadikan senjata politik sebuah parti sebelum pilihan raya umum lalu.

Rata-rata komen yang ditinggalkan netizen terhadap video itu antara lain mengecam tindakan ustaz berkenaan kerana menjadikan masjid untuk mengutuk Kerajaan Perpaduan.

Sumbang mahram, seks luar tabii dengan anak tiri, peniaga warung dipenjara 15 tahun

FMT Reporters

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dan warung dalam tempoh dua tahun. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peniaga warung dihukum penjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan sumbang mahram dan satu pertuduhan seks luar tabii terhadap anak tirinya sejak dua tahun lepas.

Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dan memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkapan pada 29 Disember lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan sumbang mahram dan penjara lima tahun serta satu sebatan bagi kesalahan seks luar tabii. Semua hukuman penjara diarahkan berjalan serentak, menurut laporan Bernama.

Tertuduh didakwa atas tiga tuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tirinya ketika kejadian berusia 12 tahun di sebuah rumah di Jempol, kira-kira jam 8 malam dan 2 pagi, antara 1 Januari hingga 31 November 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah warung di Jempol, pada jam 8 malam, antara 11 April 2021 hingga 10 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan seks luar tabii di warung sama pada 8 malam, 11 April 2021. Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dirogol enam kali oleh bapa tirinya sepanjang tempoh berkenaan, dengan kali terakhir pada 10 Disember lepas.

Mangsa adalah anak hasil perkahwinan pertama ibunya yang berusia 48 tahun sebelum berkahwin dengan tertuduh pada 2014.

Mangsa hanya memaklumkan kejadian berkenaan kepada kakaknya pada 25 Disember lalu kerana takut kepada tertuduh sebelum dibawa membuat laporan polis empat hari kemudian.

Pengkhianat!!!: Yang curi balak bangsa apa, yang melindungi pencuri bangsa apa

Lindungi kegiatan curi balak, SPRM Pahang tahan 2 lelaki

Bernama

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang penjawat awam dan pesara kerajaan yang dipercayai menerima wang ‘habuan’ bagi melindungi kegiatan mencuri kayu balak dari kawasan hutan simpan sekitar Kuala Lipis.

Kedua-dua suspek lelaki itu dipercayai menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,000 daripada pemilik syarikat dari November 2019 hingga 2020.

Sumber memaklumkan suspek pertama yang berusia 40 tahun ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub ketika hadir memberi keterangan pada 2.30 petang tadi manakala suspek kedua, 61, ditahan pada kira-kira 7 malam semalam.

SPRM Pahang turut menahan seorang lagi penjawat awam yang dipercayai menerima rasuah berjumlah RM1,500 sebanyak dua kali daripada seorang individu sebagai balasan untuk melepaskan barang-barang disita oleh sebuah jabatan kerajaan yang terbabit dengan aktiviti perhutanan pada Disember 2018.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Raub pada kira-kira 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Spekulasi rampasan kuasa Sabah: Sidang media Shafie jadi majlis minum teh

Malaysiakini 

Secara tiba-tiba, sidang media yang dipanggil oleh Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal awal hari ini telah dibatalkan.

Ini di tengah-tengah desas-desus mengenai rancangan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan Sabah pimpinan GRS dan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Oriental Daily melaporkan wartawan tempatan yang dimaklumkan mengenai sidang media khas yang akan diadakan di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 4.30 petang kemudian diberitahu mengenai pembatalan acara itu pada jam 6.45 petang tadi.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat Warisan dikesan di hotel itu manakala makanan dan minuman dihidangkan kepada mereka yang hadir pada acara tersebut.

Sidang media itu kemudiannya menjadi majlis minum teh, lapor Oriental Daily.

Spekulasi mengatakan BN Sabah, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri bersama-sama parti lain, memutuskan untuk bertukar kem dan menyokong parti Shafie.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Shafie untuk mendapatkan maklum balas lanjut.

Awal hari ini, semua Adun daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Air (Star) mengulangi sokongan mereka kepada Hajiji untuk terus memimpin negeri.

Dalam satu kenyataan bersama, tujuh Adun Pakatan Harapan berkata mereka tidak memberikan sebarang akuan berkanun menyokong mana-mana parti selepas 2020.

Semalam, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata gabungan itu bersedia untuk membuktikan Hajiji mendapat sokongan majoriti Adun.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 79 Adun - 73 dipilih dan enam dilantik.

Kerajaan Sabah kini mendapat sokongan 59 Adun, terdiri daripada 29 daripada GRS, BN (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu) dan bebas (satu).

Warisan mempunyai 19 wakil rakyat di DUN Sabah.

Terdapat cubaan kumpul SD, jatuhkan Hajiji

IZWAN ROZLIN

SHAH ALAM - Tindakan pihak tertentu yang cuba mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk menumbangkan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, seperti tidak belajar dari kesilapan lalu, kata Setiausaha Sulit Ahli Dewan Negara (Sabah), Muhammad Faisal Mohamad Mohidin.

Beliau berkata, di saat pemimpin semua sedang sibuk melakukan yang terbaik dalam menangani masalah terutamanya melibatkan ekonomi, kesihatan, kos sara hidup yang membebankan rakyat dan bencana banjir, timbul pula pemimpin yang cuba mencari jalan menubuhkan kerajaan negeri pintu belakang.

"Persoalannya, apakah mereka ini tidak sedar dari kesilapan yang lalu? Sejak dari Kerajaan Parti Warisan Sabah 2018 lagi yang memulakan aktiviti menarik pemimpin lompat-melompat ini sedangkan umum mengetahui ketika itu kerajaan yang sepatutnya berdiri secara sah adalah di bawah Tan Sri Musa Aman.

"Tidakkah kamu serik wahai pemimpin ku? Rakyat sudah bosan melihat gelagat anda terutamanya yang gila dengan kuasa apatah lagi demi memelihara kepentingan tertentu.

"Apakah kamu sedar betapa susahnya rakyat dalam tempoh berapa tahun lalu kita dihimpit dengan masalah pandemik Covid-19 mengakibatkan sebahagian besar industri pasaran ekonomi jatuh akibat pandemik sehingga kini?" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Faisal juga memohon pemimpin terlibat dalam gerakan mengumpul SD itu bermuhasabah.

"Kami anak muda Sabah sudah bosan melihat gelagat sesetengah pemimpin kami ini yang tidak pernah puas mencatur kuasa.

"Tidakkah kamu rasa berdosa kepada rakyat yang kamu dipilih sepatutnya memimpin dengan menjalankan tanggungjawab memastikan segala janji manifesto perlu ditunaikan dalam tempoh lima tahun bukannya dengan cara mencari kuasa melalui pintu belakang demi mencari keuntungan dan kepentingan diri sendiri bukannya demi rakyat," ujarnya.

'Kami tak beri akuan bersumpah sokong mana-mana pihak'

Faisal yang juga bekas pemimpin belia Sabah berharap agar pimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu dapat bersikap lebih tegas kepada semua pihak tidak kira kerajaan mahupun pembangkang dalam terus mendepani cabaran apatah lagi tahun ini 2023 di mana kita dijangka akan mengalami kemelesetan ekonomi teruk tiga tahun dari sekarang.

Pasangan kekasih didakwa bunuh budak 4 tahun

Bernama

Pasangan kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Disember tahun lalu. (Gambar Bernama)

BATU PAHAT: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki di Felda Semenchu, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Disember tahun lepas.

Tertuduh Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan remaja perempuan berusia 16 tahun didakwa dengan niat bersama membunuh kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu antara 8 pagi hingga 2 petang, pada 23 Dis 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua penganggur itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala kedua-dua tertuduh yang merupakan rakan kepada kakak mangsa, tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 Feb ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat.

Di mahkamah berasingan, kakak kepada kanak-kanak itu, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya adik lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Suri rumah itu yang dipertanggungjawab menjaga adiknya didakwa melakukan perbuatan terbabit di Senggarang, Batu Pahat antara 10 pagi hingga 10 malam, antara November hingga Disember 2022.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 12 Jan bagi pendengaran permohonan jaminan oleh peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh manakala 26 Jan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Dis, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan, dipercayai didera oleh kakak dan rakan kakaknya.

Inspektor polis didakwa rogol remaja, laku amang seksual

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada akhir bulan lepas.

Mohd Maliki Azmi, 34, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid, lapor Bernama.

Tertuduh, sebagai pegawai penyiasat berpangkat Inspektor, didakwa merogol remaja berusia 16 tahun itu dengan kerelaannya dan kerelaan itu diperoleh menggunakan kedudukan berkuasa tertuduh terhadap mangsa.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bilik pegawai penyiasat di IPD Yan lebih kurang 6.30 petang pada 28 Dis 2022.

Tuduhan dikenakan mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, berkaitan amang seksual terhadap remaja perempuan itu di tempat, masa dan tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, serta sebagai tambahan hukuman, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan disebat dengan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi tertuduh, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM20,000 bagi tuduhan merogol dan RM20,000 bagi setiap kes amang seksual.

Mohd Maliki memohon jaminan rendah atas alasan dia tiada pendapatan berikutan akan digantung tugas selepas kes itu, selain perlu menyara keluarganya dan menanggung beban hutang yang tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi tuduhan merogol dan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga kes amang seksual, berserta syarat tambahan melarangnya mengganggu mangsa dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan untuk semua kes ditetapkan pada 6 Feb bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Puad Zarkashi: Lupus enam juta dos vaksin - Siapa untung

Malaysiakini

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi memuntut jawapan mengenai pembaziran dos vaksin Covid-19, seperti yang didedahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

“Amat mengejutkan bila PM umum semalam, enam juta dos vaksin penggalak Covid-19 tidak digunakan. Ia terpaksa dilupuskan. Bukankah itu pembaziran?

“Berapa banyak kerugian? Siapa yang order (pesan vaksin itu). Siapa pula yang untung.

“Kenapa kempen penggunaan gagal. Siapa yang bertanggungjawab?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook pagi ini.

Pada sidang media semalam, Anwar menasihatkan orang ramai supaya mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 bagi melindungi diri mereka daripada wabak koronavirus.

Perdana menteri juga mendedahkan bahawa rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan hanya 49 peratus daripada rakyat yang telah mengambil dos penggalak mereka setakat ini.

Anwar berkata dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua., menjadikan negara mempunyai lebihan enam juta dos vaksin.

Mengulas lanjut, Puad menggesa Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah supaya tampil menjelaskan perkara itu.

“DG Kesihatan kena jawab. Rakyat ingin tahu.

“Kerajaan baru mesti siasat kerana PM sendiri yang dedahkan,” katanya lagi.

Pendaki Rusia dedah cara dia ceroboh panjat Menara Merdeka 118

Malaysiakini
story-image
Salah seorang daripada pasangan dari Rusia yang menceroboh dan memanjat Menara Merdeka 118, di Kuala Lumpur, baru-baru ini mendedahkan di Twitter, malam tadi tentang butiran bagaimana dia berjaya membolosi kawalan keselamatan dan memperdayakan pekerja pembinaan yang lain.

Angela Nikolau dengan bangga mendedahkan pengalamannya mendaki bangunan pencakar langit itu meskipun ramai di kalangan warga maya Malaysia, meluahkan rasa kecewa mereka terhadap wanita itu dan pasangannya yang "tidak menghormati" undang-undang negara ini.

Menurut Nikolau, dia telah meninjau bangunan itu untuk mengumpulkan butiran penting dan perancangannya itu termasuk menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan Merdeka 118 yang baik selama beberapa minggu.

Dalam usaha untuk mengelak dikesan, wanita itu mengakui dia memakai tudung, bercermin mata dan berpakaian pekerja binaan, serta kemudiannya berlari ke ke tingkat 32 sebelum berehat.

"Saya terpaksa baring di atas lantai konkrit dalam keadaan separuh bogel untuk menyejukkan badan sedikit.

“Saya minum semua air yang ada," katanya dalam salah ciapannya, dengan melampirkan foto dirinya yang sedar menyamar dan satu lagi tanpa berbaju.

Wanita itu, yang kini disiasat polis, mendakwa kehadirannya kemudiannya dikesan dan dia terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kotak konkrit, selama lebih 20 jam untuk mengelakkan dirinya ditangkap.

Nikolau berkata, dia kemudian mengambil kesempatan untuk menyelinap ketika pekerja berhenti untuk berehat, dan meneruskan pendakiannya ke atas bumbung.

"Tinggi menara itu 53 tingkat - dan saya memakai beg galas seberat 15 kg. Jika kamu melihat foto sebelumnya, kamu tidak akan melihat bahagian bawahnya.

“Saya tidak pasti saya akan memanjat jika saya tahu betapa tingginya. Selepas selesai mendaki, saya tidak dapat rasa tangan saya dan tidak dapat mengangkatnya," katanya.

Di sebalik melakukan pencerobohan dan mengakuinya, Nikolau mendakwa bahawa dia "menghormati undang-undang setiap negara", dan bahawa dia "berhati-hati untuk tidak menyebabkan sebarang kerosakan".

Ciapan Nikolau yang mendedahkan agaimana dia mendaki Merdeka 118 telah dilihat lebih 330,000 kali dan dikongsi hampir 1,000 kali.

Walaupun ada warga maya dari luar negara meraikan kisahnya, kebanyakan komen dan petikan ciapan oleh netizen Malaysia tidak menerima baik tindakan Nikolau itu.

Ramai juga telah “tag” pihak berkuasa termasuk polis dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, serta menggesa mereka bertindak terhadap Nikolau dan pasangannya.

"Suka apabila orang kulit putih datang ke sini, melanggar undang-undang, memberitahu orang ramai bagaimana mereka melakukannya, dan masih tidak berdepan sebarang akibat," kata seorang netizen.

Minggu lalu, polis dilaporkan berkata bahawa mereka sedang menyiasat video pendakian itu, selepas ia tular dan disebarkan di media sosial.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, berkata pihak polis masih cuba mengesan kedua-dua suspek berkenaan.

Menurutnya, polis sedang menyemak dengan Jabatan Imigresen untuk menentukan jika kedua-dua mereka masih berada di Malaysia.

“Pada 31 Disember lalu, seramai sembilan individu telah dirakam percakapan. Polis juga telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk permohonan profiling dua individu dalam video itu.

“Kami menerima laporan analisis media sosial daripada SKMM hari ini (5 Jan), dan sedang menunggu maklum balas daripada pihak imigresen serta melakukan analisis forensik ke atas video itu,” katanya kepada pemberita.

Budak ‘sangkut’ dalam cerucuk konkrit sah mati

Reuters
Timbalan Pengarah Wilayah Dong Thap, Doan Tan Buu (tengah) berkata pihaknya kini berusaha mengeluarkan mayat Ly Hao Nam supaya dapat dikebumikan. (Gambar AFP)
HANOI: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang terjatuh ke dalam cerucuk konkrit terbuka di sebuah tapak pembinaan pada malam Tahun Baharu disahkan telah meninggal dunia.

Anggota penyelamat berusaha keras hampir 100 jam untuk menyelamatkan Ly Ho Nam daripada cerucuk sepanjang 35 meter yang dibenam ke dalam tanah, namun misi menemui kegagalan, lapor akhbar dalam talian VnExpress memetik pihak berkuasa tempatan.

“Pihak berkuasa mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan kini berusaha mengeluarkan mayatnya untuk dikebumikan,” kata Timbalan Pengarah Wilayah Dong Thap, Doan Tan Buu.

Nam didengar menjerit meminta bantuan sejurus terjatuh dalam cerucuk dengan keluasan diameter 25cm itu pada Selasa, di tapak pembinaan jambatan berkenaan ketika dia mencari besi buruk bersama kawan-kawannya.

Terdahulu, Perdana Menteri Pham Minh Chinh dilaporkan menggesa anggota penyelamat dan pihak berkuasa tempatan supaya menggerakkan semua peralatan dan pasukan yang diperlukan.

Zahid yakin pertahan jawatan presiden jika dicabar, ‘Bukan takbur’

Nora Mahpar

PUTRAJAYA: Ahmad Zahid Hamidi membayangkan keyakinannya mempertahankan jawatan presiden jika dicabar pada pemilihan Umno akan datang.

Beliau menyuarakan keyakinan itu berdasarkan senario pemilihan Umno pada 2018, yang mana berlaku pertandingan tiga penjuru bagi jawatan presiden ketika dicabar dua calon lain, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Zahid berkata pada pemilihan berkenaan, beliau mendapat undi tinggi walaupun undian kedua-dua pencabarnya digabungkan.

Pada pemilihan Umno 2018, Zahid memperoleh 99 undi sementara Khairy 61 dan Ku Li 30.

“Dulu pun saya dicabar, dua orang cabar saya. Undi dua-dua tu masih belum sama dengan undi yang saya perolehi, bukan saya riak tetapi itu sudah terbukti pada 2018 malah kombinasi dua-dua itu sangat kurang berbanding undi yang saya perolehi.

“Ini bukan riak, bukan takbur,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian ketika ditanya adakah dirinya bersedia sekiranya dicabar pada pemilihan parti akan datang.

Sebelum ini timbul gesaan daripada dalam parti supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata jawatan nombor satu dan dua parti tidak perlu dipertandingkan sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk mengukuhkan Umno selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas PRU15.

Katanya, perebutan kedudukan itu mampu memecahbelahkan parti, dengan menjelaskan hanya empat kali pemilihan presiden berlaku sepanjang sejarah penubuhan 70 tahun Umno.

Mengenai pemilihan dua jawatan tertinggi parti, Zahid berkata beliau menyerahkan kuasa mutlak berkenaan kepada 160,000 perwakilan seluruh negara pada perhimpunan agung Umno 11 hingga 14 Jan ini.

“Hampir 160,000 perwakilan mewakili cawangan untuk menentukan sama ada mengekalkan kepimpinan sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk kita pastikan bahawa Umno dan BN terus relevan dalam pentas politik…. maka kuasa mutlak adalah kuasa perwakilan,” katanya.

Ketika ditanya adakah Umno bercadang untuk menjemput Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan parti dalam kerajaan perpaduan ke persidangan tahun ini, Zahid berkata Umno tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

“Untuk PAU akan datang kita belum berhasrat untuk menjemput parti dalam kerajaan perpaduan supaya hadir dalam majlis ucapan dasar dan perasmian,” katanya.

Sebaliknya, Zahid berkata parti bercadang untuk menjemput setiausaha agung parti gabungan dalam kerajaan perpaduan sebagai peringkat permulaan.

Kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu, menjawab kerjasama antara BN dan PH menjelang pilihan raya negeri tahun depan, Zahid berkata perkara itu belum dibincangkan.

Hamzah Zainudin: Langkah London? Pintu sentiasa terbuka

Malaysiakini

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin tidak menolak prospek Perikatan Nasional kembali berkuasa selepas menjalin pakatan baru.

Gabungan itu juga tidak menolak bekerjasama dengan BN, yang Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan bukannya PN selepas pilihan raya umum lalu mengakibatkan kebuntuan politik.

"Pintu sentiasa terbuka," katanya menjawab soalan mengenai PN membuat kemunculan semula di peringkat kerajaan persekutuan dengan sekutu baru.

Menurut BH Online, setiausaha agung PN itu berucap pada siri ceramah Kelab Concorde. Kelab Concorde ialah forum mengenai isu semasa oleh penceramah terpilih yang dimulakan oleh wartawan veteran.

Berkongsi ramalannya mengenai pilihan raya negeri akan datang, Hamzah berkata PN akan menawan Selangor, yang berada di bawah kawalan PH sejak 2008.

Bagi Negeri Sembilan yang dikuasai PH, Hamzah berkata peluang pertandingan 50-50.

Bagaimanapun, Hamzah mengakui kekuatan DAP di Pulau Pinang dan percaya negeri itu akan kekal dalam kawalannya.

Dalam perkembangan berkaitan, dia menjangkakan PN akan mengekalkan penguasaannya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengenai soalan kerjasama dengan BN, Hamzah mengelak daripada menyifatkan ini sebagai lebaran baru "Muafakat Nasional".

Bekas menteri dalam negeri itu berkata jika pakatan baru ini menjadi kenyataan, pemimpin pakatan masing-masing mesti bersetuju dengannya.

"Kerjasama ini perlu menjadi satu dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, Bersatu, PAS dan Umno. Jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama, maka tiada masalah untuk mewujudkan kerjasama ini.

"Jika ada satu pihak kata 'tidak', maka ia tak akan berlaku. Namun jika kita percaya antara satu sama lain, kita boleh mencapai matlamat kita," katanya.

Dia juga menegaskan asas pakatan ini akan memastikan kepentingan semua kaum.

Hamzah juga berkongsi pendapatnya tentang bekas partinya Umno, yang mengalami kemunduran terbesar dalam pilihan raya umum ke-15.

"Umno perlukan kerjasama baru untuk parti itu membuat pembaharuan," katanya.

Jelas Hamzah lagi, Umno memerlukan pembaharuan besar-besaran atau berisiko ditolak sepenuhnya oleh rakyat.

Kenyataan Hamzah itu susulan dakwaan terdapat rancangan baru yang digembar-gemburkan sebagai Langkah London untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

100 askar dikerah selamatkan budak terperangkap dalam tiang konkrit

AFP
Lokasi di mana kanak-kanak berusia 10 tahun terperangkap dalam tiang konkrit berongga di Dong Thap, Vietnam. - FOTO AFP

Lokasi di mana kanak-kanak berusia 10 tahun terperangkap dalam tiang konkrit berongga di Dong Thap, Vietnam. - FOTO AFP
Hanoi: Vietnam mengerahkan tentera dan pakar kejuruteraan untuk mencuba membebaskan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang terperangkap dalam tiang konkrit berongga yang tertimbus di tapak pembinaan.

Pasukan penyelamat berharap dapat menaikkan tiang itu dari lubang sedalam 35 meter dan membawa keluar budak lelaki itu, bernama Thai Ly Hao Nam.

Budak berkenaan sudah terperangkap selama tiga hari dan tidak jelas sama ada dia masih hidup.

Nam terjatuh ke dalam batang tiang selebar 25 sentimeter yang juga sebahagian daripada jambatan baharu di wilayah delta Mekong Dong Thap, pada Sabtu, dipercayai ketika mencari besi buruk.

Paip logam yang lebih lebar sepanjang 19 meter telah diturunkan di sekeliling tiub konkrit di mana Nam terperangkap untuk membolehkan mereka mengeluarkan lumpur dari sekeliling tiang dan cuba mengangkatnya keluar.

Pasukan penyelamat sedang melembutkan dan mengeluarkan lumpur dan air untuk mengurangkan tekanan di sekeliling tiang sebelum mengangkatnya -- kemungkinan besar lewat petang Selasa.

Kira-kira 100 askar dengan peralatan profesional telah dikerahkan di tapak tersebut, yang telah ditutup daripada orang ramai sementara usaha menyelamat diteruskan.

"Budak lelaki itu telah terperangkap di dalam tiang kecil itu selama empat hari, dengan andaian beberapa kecederaan. Harapan untuk dia hidup adalah terhad," kata Doan Tan Buu, timbalan pengerusi jawatankuasa penduduk wilayah Dong Thap.

Dua hari usaha menyelamat setakat ini tidak membuahkan hasil.

"Kami telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan budak lelaki itu menggunakan langkah dan peralatan di tempat kejadian.

"Kami kemudiannya terpaksa melaporkan dan meminta bantuan daripada peringkat kebangsaan dan orang yang mempunyai kepakaran," kata Buu dipetik oleh akhbar Tuoi Tre yang dikawal kerajaan.

'Tentera sayur' warga asing jajah Selayang kembali, persoalannya kenapa mereka tak takut melanggar peraturan?

Mohd Jamilul Anbia Md Denin

anbia@hmetro.com.my

PIHAK Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS menyita barangan jualan milik penjaja haram menerusi operasi dilakukan semalam.

PIHAK Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS menyita barangan jualan milik penjaja haram menerusi operasi dilakukan semalam.

Kuala Lumpur: Tidak kenal erti serik. Itu sikap degil berpuluhan penjaja warga asing yang kembali 'merajai' kawasan sekitar Jalan Besar Selayang Baru di sini, walaupun pernah dihalau pihak berkuasa.

Difahamkan golongan penjaja haram itu menjadikan kawasan petak parkir kenderaan dan kaki lima kedai runcit sebagai tapak perniagaan harian.

Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, pihaknya meneruskan usaha membentaras penjaja warga asing yang didapati masih berdegil meneruskan perniagaan walaupun berulang kali diambil tindakan sebelum ini.

Menerusi operasi dijalankan anggota Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS semalam, sebanyak 45 bakul pelbagai jenis sayur-sayuran dan empat bakul kelapa milik penjaja warga asing itu dirampas.

"Turut dirampas adalah beberapa peralatan seperti meja, alat penimbang dan payung milik penjaja warga asing terbabit.

"Kesemua penjaja warga asing dikenakan tindakan kerana didapati menjalankan perniagaan di kawasan petak parkir sehingga menimbulkan isu kacau ganggu, kebersihan dan juga kesesakan di kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Seksyen UUK 3 Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

"MPS memandang serius isu ini dan akan terus melakukan pemantauan dan menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa.

"Semua peniaga dan penjaja diingatkan juga untuk menjalankan aktiviti masing-masing dengan permit dan lesen yang sah dari MPS selain.

memastikan aspek kebersihan kawasan sekitar dijaga dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam," katanya.

Harian Metro Oktober lalu pernah mendedahkan laporan bersiri kegiatan peniaga warga asing terbabit yang aktif berniaga sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan di sekitar kawasan sekitar Pasar Harian Selayang (PHS) dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini.

Situasi itu menyebabkan peniaga tempatan kurang senang malah ada yang mendakwa peniaga asing bukan saja kembali ke 'tapak' asal sebaliknya berniaga di lokasi baharu berhadapan gerai peniaga tempatan hingga menjejaskan mereka.

Tinjauan Harian Metro mendapati lebih 20 peniaga buah, sayuran dan barang basah seperti ikan di sekitar PHS termasuk beberapa peniaga di kaki lima kedai kawasan itu.

Kawasan berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur pula seperti 'lubuk' perniagaan puluhan warga asing terdiri daripada Myanmar, Rohingya dan Bangladesh yang bukan saja berniaga di bangunan tetapi di sekitar kaki lima.

Suasana di kawasan itu meloyakan apabila peniaga warga asing melonggokkan sampah seperti sayur dan ikan busuk di tepi jalan, selain ada membuka restoran makanan negara asal mereka.

Wanita curang dengan menantu sendiri mohon maaf

KOSMO!


Norma Risma ketika ditemu bual oleh saluran YouTube Denny Sumargo. - YouTube CURHAT BANG Denny Sumargo

JAKARTA – Ibu kepada seorang wanita di Indonesia yang didakwa curang dengan menantunya sendiri akhirnya membuat permohonan maaf dan mengakui kesalahannya yang telah memusnahkan hubungan kekeluargaan, lapor akhbar Radar Solo.

Berdasarkan tangkap layar pesanan ringkas dalam aplikasi WhatsApp yang tular di media sosial, wanita berkenaan berkata, selepas kejadian itu didedahkan, dia dibenci oleh ramai orang.

“Semenjak berita ini (kecurangan) tular di media sosial, seluruh keluarga kita sudah musnah.

“Mama sangat malu. Biarkan mama mati sahaja agar kamu bahagia. Mama tidak kuat, kamu ialah satu-satunya anak mama,” demikian menurut kata-kata wanita tersebut.

Dia bagaimanapun mengingatkan anak perempuannya, Norma Risma agar tetap berbakti kepada dirinya kerana dia yang telah melahirkan wanita itu.

“Bagaimanapun kesalahan ibu bapa, saya tetap ibu kandung kamu. Syurga di telapak kaki ibu,” katanya.

Kisah mengenai kecurangan wanita tersebut dengan menantu lelakinya, Rozy Zay dibongkorkan Norma sendiri menerusi pendedahannya di laman TikTok baru-baru ini.

Norma berkata, ibu dan bekas suaminya bahkan pernah ditangkap sedang berdua-duaan di rumah sewa mereka oleh orang ramai.

Disebabkan kejadian itu, Norma dan Rozy dikhabarkan telah bercerai selain bapanya juga telah menceraikan ibunya.– Agensi