"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Pemotoran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemotoran. Papar semua catatan

Tips Penjagaan Tayar Kereta Yang Betul

Tayar merupakan komponen yang sangat penting bagi sesebuah kenderaan.

Jika rosak, ia boleh menyebabkan kemalangan, sekali gus mengancam nyawa pemandu dan penumpang tanpa diduga.

Oleh itu, tayar ini perlu dijaga dengan sempurna agar pergerakan anda tidak terbatas disebabkan allignment tayar kereta anda tidak seimbang, bunga tayar botak, pancit dan sebagainya.

Cuba periksa tayar kereta anda, perhatikan di antara satu bunga tayar dengan satu bunga tayar lain terdapat satu penyambung.

Jika penyambung itu mempunyai ketinggian yang sama dengan bunga, ini bermakna ia perlu ditukar dalam tempoh tiga hingga empat bulan, bergantung kepada sekerap mana anda menggunakan kenderaan.

Berikut merupakan empat ciri penting penjagaan tayar kereta.

1. Pemilihan saiz tayar yang bertepatan

Pilih saiz yang sesuai dengan keupayaan kereta anda. Sebagai contoh, jika Proton Wira 1.3 dan hendak menggunakan sport rim, cukuplah setakat saiz rim 14 inci kerana jika menggunakan saiz 15 inci, kekuatan pecutan kereta akan menurun, speedometer tidak merekodkan bacaan tepat, semua peralatan penyerap hentak akan lebih pendek jangka hayat.

Anda boleh perhatikan rangkaian nombor dan huruf yang tercetak timbul di permukaan tepi tayar. Sebagai contoh 205/50 VR 16 bermaksud tayar itu mempunyai kelebaran 205 mm, ketebalan (dari rim ke permukana jalan) adalah 50 peratus daripada kelebaran 205 mm dan untuk kegunaan rim bersaiz 16 inci. Huruf VR bermaksud, tayar itu sesuai untuk kelajuan sehingga 240 km/j tanpa menjejaskan kekuatan dan ketahanan tayar.

2. Periksa tekanan angin tayar kereta.

Anda dinasihatkan supaya rajin memeriksa tekanan angin (tyre pressure). Lakukan tekanan angin tayar kereta anda mengikut spesifikasi yang betul. Jika angin terlebih atau terkurang, ia akan memberi kesan kepada tayar kereta anda.

Antara kesannya adalah jika tekanan tayar kereta terlalu tinggi, tayar kereta anda bermasalah di bahagian tengah dan jika angin tayar terlalu kurang atau tidak sekata berkemungkinan bahagian tepi tayar bermasalah berlaku.

3. Lakukan pelarasan tayar (allignment & balancing)

Lakukan pelarasan tayar anda (allignment & balancing) di pusat servis kereta untuk setiap 10,000km interval. Dengan melakukan pusingan tayar kereta ini, anda boleh mengekalkan kesamarataan tayar dihadapan dan dibelakang.

Ini mengelakkan tayar kereta anda bergegar jika dipandu dengan kelajuan yang agak tinggi. Malah, untuk pengujian allignment pula bagi mengelakkan kereta anda tidak tertarik sebelah jika anda lepas tangan dan berada seimbang ketika memandu.

4. Elakkan letak tayar bertampal di hadapan kereta

Jika anda ada masalah tayar bertampal seperti bocor, pancit atau bunga haus, elakkan daripada diletakkan dibahagian depan kereta kerana tayar depan yang memacu kenderaan anda. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya tayar meletup atau mengundang bahaya ketika anda sedang memandu dalam keadaan yang laju. Jadi, ia boleh dikurangkan masalah ini dengan meletakkan tayar kereta dibelakang. 
-MYNEWSHUB-

Perlukah basuh enjin kereta?

Perlukah basuh enjin kereta?
SIAPA yang tidak suka melihat kereta berkilat? Pasti semua bersetuju dengan kenyataan itu. Sememangnya kereta berkilat apabila dibasuh menyelesakan mata kita. Tapi adakah ia bagus terhadap kereta ataupun komponen kereta kita? Mari kita kupas sedikit isu ini.

Sebenarnya penggunaan air terhadap enjin boleh menyebabkan berlaku litar pintas dan kereta meragam. Seelok-eloknya gunakanlah bahan yang paling klasik iaitu minyak tanah bagi menghilangkan minyak dan gris pada permukaan enjin.

Masa kini lebih mudah apabila ada banyak bahan cucian khas. Semburkan sahaja bahan berkenaan di tempat yang perlu dan biarkan ia meresap kemudian lap dengan kain kering.

Gris dan sisa minyak pelincir perlulah diberi perhatian dan dibersihkan dengan segera daripada bahagian luaran enjin kerana ia boleh merosakkan tali kipas, paip getah dan kabel elektrik.

Selain gris, debu atau lumpur melekat pada komponen elektrik seperti alternator (motor penghidup), generator, gegelung penghidup, pengagih dan lampu boleh menyerap wap air serta menyebabkan berlakunya litar pintas.

Pada terminal bateri pula jika ada endapan putih, siram dengan air panas kemudian bersihkan menggunakan kain.

Endapan itu dapat dihilangkan dengan mudah tetapi perlu hati-hati dan jangan sampai air masuk ke dalam bateri.

Lubang pengudaraan pada penutup bateri juga pastikan sentiasa terbuka.

Ketika mencuci bahagian enjin, pemilik kenderaan perlu memastikan jika ada kebocoran minyak pelincir, iaitu elemen penting bagi menjamin kesinambungan kerja setiap bahagian yang bergerak.

Jika sedar ada minyak pelincir bocor, cari segera puncanya dan tambahkan minyak pelincir apabila kurang.


Elakkan sabun basuh

Dalam keadaan biasa, selepas beberapa tahun, gasket kebuk enjin boleh bocor sedikit dan minyak pelincir  menitis. Ini dapat dilihat pada lantai tempat kereta diletakkan. Jika jumlah titisan itu banyak, mungkin gasket di oil sum yang rosak.

Biasanya minyak pelincir berkurang menerusi pemeluwapan dan pembakaran. Tapi jumlahnya tak banyak kira-kira 1/300-1/500 daripada jumlah penggunaan petrol.

Jumlah minyak pelincir boleh dipastikan dengan memeriksa tolok sukat. Baik periksa sendiri kerana jika dibiarkan juruteknik stesen minyak memeriksanya, kadangkala anda sebenarnya 'membantu' memajukan perniagaan mereka.

Jika bersihkan bahagian luar pula lebih mudah. Hantar saja ke bengkel mencuci. Namun, jika anda mahu membasuh sendiri, gunakan sabun yang sesuai tetapi elak sabun basuh atau peluntur.

Lazimnya, kereta baru dicat dengan cat bermutu tinggi. Jika permukaan itu tidak dibersihkan dengan baik, ia cepat rosak.

Debu dan lumpur pada kenderaan boleh menyerap wap air dengan cepat dan merosakkan permukaan cat. Selain nampak comot, cat mudah luntur dan kelihatan retak-retak. Langkah pertama membersihkan kenderaan adalah menghilang debu dengan membuat semburan tanpa menggunakan sabun.

Apabila permukaan badan kenderaan berada dalam keadaan kering dan tidak terlalu kotor, debu yang melekat dapat dihilangkan dengan bulu ayam.

Tetapi, jika kotoran tidak dapat dihilangkan, guna kain bersih basah. Penggunaan kain kering boleh sebabkan calar atau goresan pada permukaan cat. Ini disebabkan kotoran berkenaan mempunyai butir debu keras dan pasir.

Jika basuh gunakan sabun, jangan biarkan sabun terlalu lama di badan kenderaan kerana ia akan meningkatkan partikel bintik-bintik putih serta bahan kimia sabun boleh merosakkan cat.

Selepas dibasuh, keringkan kereta dengan kain bersih. Bagi hasil yang lebih baik selepas kereta kering sapu wax (lilin). Selain menambahkan kilat kereta, wax melindungi permukaan supaya tetap menarik dan hidup.

Sumber: http://bestdealperodua.com/

Sebarang soalan kepada Pomen boleh emailkan kepada azimah.ghazali@sinarharian.com.my / aziesinar@gmail.com

(Tips) Cara Penggunaan Gear Yang Betul Untuk Kereta Auto


Tahukah anda terdapat tips atau cara guna gear yang betul untuk kereta auto. Walaubagaimanapun artikel ini sesuai untuk kereta automatik yang mempunyai butang tombol pada gear.


Kekadang pernah perasan kereta depan masuk gear P bila berhenti kat trafic light. Dapat agak sebab lampu reverse nyala kejap. Bayangkan kalau terkejut sebab lampu trafic light dah hijau lama. Kereta dah hon-hon. Tertekan pedal minyak dulu baru masuk gear. Boleh rosak gear box rasanya.

Kaedah yang betul semasa berhenti di traffic light: 
1. tekan brek kaki
2. masuk gear N (tanpa tekan tombol pada gear. tolak ajer)
3. Tarik hand brek
4. lepas brek kaki

Nak jalan:
1. tekan brek
2. masuk gear D (tanpa tekan tombol pada gear. tarik ajer)
3. lepas hand brek.
4. lepas brek kaki
5. tekan minyak

Penggunaan tombol/butang pada batang gear:
1. Perlu tekan tombol semasa menukar gear
P > R ,
R > P
R > N
N > R
D > L/D2
L/D2 > D

2. Jangan sesekali tekan jika untuk menukar gear antara
N > D
D > N
D > D3
D3 > D

Kalau gear yg jenis ada lekuk-lekuk tu selamatlah. Tombol tekan pun tak ada kan?

tips cara betul guna gear kereta auto
Jika ada yang belum faham fungsi setiap gear, bolehlah rujuk keterangan setiap susunan gear untuk gearbox auto yang berikut:

P – parking, digunakan untuk anda memberhentikan kereta anda. gear akan disekat. Jadi kereta anda takkan bergerak walaupun handbrake tak ditarik.

R – reverse, untuk mengundur kereta anda

N – neutral, jika dalam posisi menunggu traffic light atau traffic jem, alihkan ke gear neutral. bukan parking! jika anda perasan, gear D ke N tidak perlu menekan kekunci pada tombol gear.


D – drive, penukaran secara auto gear 1,2,3,4 dan seterusnya butang overdrive – gear akan menyekat untuk masuk ke gear 4. gear yang akan digunakan cuma 1,2 dan 3 sahaja

3 – setengah kenderaan tidak mempunyai overdrive tetapi mempunyai susunan gear 3 untuk menurunkan gear dari 4 ke 3

2 – ini akan menyekat sistem gearbox anda ke gear 2 dan tidak akan masuk ke gear seterusnya. tetapi akan jatuh ke gear 1 jika perlu

L – Low gear, gear pertama

Diharap artikel ini bermanfaat untuk memanjangkan jangka hayat kereta anda. Selamat mencuba :)

Preve model baru Proton (Gambar)



preve-front
PUTRAJAYA: Teka teki nama sebenar model kereta terbaru Proton akhirnya terjawab apabila Proton Holdings Berhad (Proton) mengumumkan Proton Preve sebagai model terbaru keluarannya yang selama ini menggunakan kod P3-21A.

Nama Preve yang diambil daripada perkataan Inggeris, Proof (bukti) ini membawa mesej bahawa kereta itu adalah bukti kepada visi dan komitmen Proton yang berterusan.
Preve model baru Proton
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, nama tersebut juga adalah seiring dengan hasrat Proton untuk membawa Proton Preve ke peringkat global.

“Jika ingin ke peringkat global, nama yang dipilih juga haruslah sesuai dan bersifat antarabangsa. Justeru itu, kami memilih Preve bagi membuktikan ianya lebih bermakna,”katanya selepas majlis pandu uji Proton Preve bersama media disini, hari ini.

Dengan berkonsepkan sedan keluarga yang elegan dan selesa, Proton Preve disasarkan untuk pengguna yang sudah berkahwin berusia di antara 20 hingga lewat 40 tahun serta untuk mereka yang ingin memiliki kereta tambahan.

Menggunakan enjin 1.6 Liter, dan teknologi RESS (kejuruteraan boleh dipercayai dan sistem keselamatan) yang akan memastikan pemanduan dan pengendalian yang cemerlang, model ini turut direka bagi mencapai standard kualiti seperti Jepun.

Didatangkan dengan tiga varian pada harga bermula daripada RM62,000 sehingga RM75,000, dan enam pilihan warna, Proton Preve akan dilancarkan sedikit masa lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Proton Preve akan mula memasuki pasaran Asia dalam tempoh tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia dan menyasarkan jumlah eksport menyumbang lebih 30 peratus kepada jumlah keseluruhan jualan model Proton untuk tahun ini.

(Gambar) Kereta boleh terbang akan mula dijual

kereta Transition bergerak di sebatang jalan raya di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
DEE-ANN DURBIN, Amerika Syarikat (AS): Prototaip kereta terbang ciptaan syarikat Terrafugia Inc. berjaya menamatkan penerbangan sulung pada bulan lalu.

Kenderaan itu yang dinamakan Transition memiliki dua tempat duduk, empat tayar dan sayap yang boleh dilipat.

Ia mampu terbang pada ketinggian 426 meter selama lapan minit dalam ujian yang diadakan pada 23 Mac lalu.

Setakat ini, kira-kira 100 orang telah membayar deposit sebanyak AS$10,000 (RM30,502) untuk membeli Transition.

Bilangan pembeli dijangka meningkat selepas kereta itu dipamerkan semasa Pameran Automotif New York berlangsung pada hujung minggu ini.

Menurut syarikat berkenaan, Transition dijual pada harga AS$279,000 (RM850,952).

Kenderaan tersebut turut memerlukan landasan untuk terbang.

Ketika ini, kereta itu menjalani satu siri ujian kemalangan bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan AS.

Menurut jurucakap syarikat itu, kelajuan Transition boleh mencecah 112 kilometer sejam (km/j) di jalan raya dan 185km/j di udara. 
-Agensi-

Mercedes McLaren SLR emas RM35j

ANLIKER bersama seorang teman dan kereta Mercedes McLaren SLR emas dan delimanya.
ANLIKER bersama seorang teman dan kereta Mercedes McLaren SLR emas dan delimanya.
BAHAGIAN dalam kereta Anliker
BAHAGIAN dalam kereta Anliker
LONDON: Kereta Mercedes ini yang dihiasi dengan emas dan dan batu delima boleh menjadi milik anda dengan harga RM35 juta.

Ia adalah hasil kerja pengubasuaian ahli perniagaan, Ueli Anliker yang menghabiskan lebih daripada RM17 juta untuk mengubah kereta berharga RM150,000 itu menjadi ‘Impian Emas Merah Anliker McLaren SLR 999.’ Mercedes McLaren SLR adalah kereta keluaran paling eksklusif syarikat pembuat kereta Jerman itu.

Majalah Top Gear menyifatkan pengubahsuaian yang dilakukan oleh Anliker sebagai: “Ia sesuatu yang boleh ‘membakar hingga mata anda berlubang dan menembusi hingga ke mimpi ngeri anda.” Dengan harga minimum RM35 juta itu, ia menjadi kereta paling mahal untuk dijual di pasaran terbuka.

Ahli perniagaan Switzerland itu menggaji 35 pekerja yang menghabiskan masa 30,000 jam untuk mengecat kereta itu dengan 25 lapisan cat merah yang dicampur dengan serbuk emas.

Setiap rim roda kereta berkenaan dilitupi emas 24 karat. Begitu juga dengan lampu besar dan pintu yang turut dihiasi dengan lebih 600 batu delima.

Hiasan emas di bahagian dalam mempunyai penunjuk yang disalut dengan batu permata, steering emas dan tombol gear yang dilitupi batu delima.

Sementara itu, kekuatan enjin 5.4 liter kereta itu ditingkatkan daripada 640bhp kepada 999bhp, untuk membolehkannya mencapai kelajuan sehingga lebih 210 kilometer sejam.

Jurucakap Anliker berkata: “Anliker tidak berminat untuk menjaul kereta itu tetapi dia akan menimbang untuk berbuat demikian jika memperoleh tawaran yang sesuai.” 
-Agensi-

Motosikal terbang pertama di dunia

CHRIS MALLOY menguji sebuah motosikal terbang yang diciptanya di Sydney, baru-baru ini.
SYDNEY: Seorang bekas juruterbang helikopter, Chris Malloy mencipta sebuah motosikal terbang yang pertama di dunia di dalam garaj miliknya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Malloy, 32, mencipta motosikal seberat 270 kilogram itu dengan menggunakan bingkai udara carbon-fiber dan sebuah enjin kereta BMW.

Motosikal itu yang mengambil masa selama dua setengah tahun untuk dicipta boleh terbang pada ketinggian 3,048 meter dan mampu bergerak pada kelajuan 160.93 kilometer sejam.

Satu tangki minyak penuh akan membolehkan motosikal itu bergerak sejauh 148.05 kilometer selama 45 minit manakala ia mungkin dijual pada harga lebih AS$71,809 (RM218,981) sebuah.

Malloy enggan mendedahkan jumlah kos sebenar untuk menghasilkan motosikal itu tetapi dia menyatakan dia membelanjakan AS$223.51 (RM681.03) seminggu.

Dia berkata, prinsip asas motosikal itu ialah dia bergerak sama seperti sebuah helikopter Chinook dan sebuah motosikal biasa.

Setakat ini, tali diikat pada motosikal itu semasa ujian dilakukan bagi mengelak ia terbang terlalu tinggi.
-Agensi-

Kereta hibrid terhangat di pasaran

AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN  
“BRADER, kereta ini guna dua enjin? Berapa cc? Macam mana nak caj semula bateri kalau sudah habis? Kereta ni memang tak guna minyak? Berapa laju boleh lari?”
Itu antara soalan yang biasa ditanya apabila perkataan kereta hibrid timbul. Walaupun teknologi hibrid bukanlah penemuan baru dalam industri pemotoran, hakikatnya masih ramai yang belum faham sepenuhnya tentang kenderaan hibrid.
Ditambah pula dengan teknologi pembikinan kereta yang begitu pantas berkembang. Pengguna juga dilihat semakin keliru dengan pelbagai istilah yang digunakan oleh pengeluar kenderaan. Sedangkan ada antara istilah itu merujuk kepada teknologi yang sama.
Paling jauh perbatuan
Secara ringkasnya, kenderaan hibrid ialah jentera yang menggabungkan sistem enjin konvensional dan motor elektrik untuk bergerak. Matlamat utama penghasilan sebuah kenderaan hibrid adalah untuk mencatatkan perbatuan paling jauh dengan penggunaan bahan api paling sedikit di samping meminimumkan pelepasan gas-gas berbahaya daripada ekzos ke atmosfera.
Jika dilihat pada pasaran tempatan, segmen kereta hibrid dimulakan dengan model Civic Hybrid keluaran Honda pada tahun 2007. Betul, ia kurang mendapat sambutan berikutan harganya yang mahal dan kesedaran terhadap teknologi hibrid masih belum meluas ketika itu.
Kemudian, UMW Toyota turut serta dengan memperkenalkan model hibrid popularnya Prius, sebelum diikuti oleh jenama lebih mewah, Lexus. Situasi semakin meriah apabila kerajaan memansuhkan cukai import dan duti eksais ke atas kenderaan hibrid dalam Bajet 2011, sekali gus membuatkan harganya lebih mampu milik.
Jadi, tidak hairanlah jika generasi kedua model hibrid daripada Honda ini menjadi begitu popular. Bagi sebuah negara yang cukai kenderaannya antara tertinggi di dunia, Insight boleh dianggap sebagai sebuah kereta hybrid yang sempurna untuk orang kebanyakan di Malaysia.
Pada harga RM98,000 seunit (di atas jalan), anda sudah boleh memandu sebuah kenderaan hibrid yang tidak kalah dari aspek reka bentuk, praktikaliti dan teknologi. Paling penting, anda membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Untuk sebuah kereta yang memang direka untuk pemanduan di bandar, kuasa daripada enjin bersesaran 1.3 liter tidak mengecewakan. Jadi, kalau ada sesiapa kata Insight kurang power, beli sahaja kereta lain kerana Insight tidak direka untuk tujuan itu.
Biarpun begitu, Insight masih mampu memecut sehingga 190 kilometer sejam (km/j). Tetapi angka itu hanya diperoleh ketika menuruni bukit dan sangat tidak digalakkan demi keselamatan.
Sistem IMA
Enjin SOHC i-VTEC tersebut dipadankan dengan sistem Integrated Motor Assist (IMA) generasi baru yang lebih cekap berbanding sistem IMA sebelum ini. IMA terdiri daripada motor elektrik berkuasa 10-kilowat (13 hp) dan satu Intelligent Power Unit (IPU) kompak.
IPU berperanan menarik dan menyimpan tenaga kinetik yang terhasil daripada tindakan membrek dan nyahpecutan selain membekalkan kuasa tambahan ketika memecut apabila diperlukan.
Anda juga boleh mengharapkan pertukaran gear yang lancar menerusi aplikasi transmisi automatik CVT (continuously variable).
Insight hadir dengan ciri yang interaktif dan berfokuskan kepada pemandu. Teknologi yang membantu menjimatkan penggunaan bahan api itu dikenali sebagai Ecological Drive Assist System (Eco Assist).
Tekan butang ECON
Caranya mudah, pemandu hanya perlu menekan butang ECON berwarna hijau di sebelah kanan stereng. Ciri ini mengoptimumkan kawalan CVT, enjin dan komponennya untuk meningkatkan kecekapan penggunaan minyak.
Pertukaran lampu latar speedometer memberitahu pemandu sama ada mereka memandu dalam keadaan yang menjimatkan atau sebaliknya. Jika hijau, anda memang mesra alam sekitar. Kalau biru, anda mungkin perlu lebih berlembut ketika memijak pedal minyak. Tetapi, jangan leka pula melihat lampu itu bertukar warna sampai tidak sedar apa yang berlaku di atas jalan raya.
Honda mendakwa Insight mampu mencatat perbatuan sejauh 30 kilometer untuk setiap liter petrolnya (km/l). Namun, sewaktu sesi pandu uji baru-baru ini catatan terbaik yang berjaya dilakukan ialah 27km/l. Itu pun setelah memandu dalam keadaan paling berhemah dan ‘berlindung’ di belakang sebuah lori.
Motivasi
Sebagai motivasi untuk mencapai perbatuan terbaik, pemandu yang memandu dalam cara menjimatkan akan dihadiahkan dengan simbol daun. Daun itu kemudian akan ’tumbuh’ sebelum membentuk sebuah trofi. Kalau boleh dapat trofi, anda memang pemandu paling mesra alam di Malaysia.
Demi menggalakkan penggunaan jentera hibrid di Malaysia, Honda Malaysia melanjutkan tempoh jaminan bateri Insight kepada dua tahun lagi, tambahan kepada jaminan selama tiga tahun yang diberikan oleh Honda Motor, Jepun.
Ini bermakna jaminan yang diberi adalah selama lima tahun atau perbatuan sehingga 140,000km (yang mana tiba dahulu).
Bukan itu sahaja, Honda Malaysia akan mengurangkan harga alat ganti Insight sehingga lebih 40 peratus terutama baterinya. Tidak perlu bimbang dengan bateri itu kerana jangka hayatnya ialah selama kereta tersebut boleh digunakan.
“Insight sememangnya satu pakej menarik untuk pengguna yang mengutamakan alam sekitar,” akui Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Rohime Shafie.
-kosmo-

Bas unik umpama limousin


BAS unik dipamerkan pada Pameran Dunia Persatuan Pengangkutan Antarabangsa di Dunia yang bermula 10 April hingga semalam.
DUBAI: Satu kumpulan pereka Belanda dari Universiti Delft TU termasuk bekas angkasawan negara itu, Wubbo Ockels berjaya mencipta bas unik yang bernilai AS$18.75 juta (RM56.70 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Bas unik itu umpama limousin tetapi ia mempunyai enam tayar dan boleh membawa 23 penumpang manakala panjang kenderaan tersebut adalah 4.57 meter.
Kenderaan tersebut boleh bergerak selaju 255 kilometer sejam, mempunyai 12 pintu, dijana dengan satu motor elektrik dan bateri litium polimer.
Bentuk luaran kenderaan itu yang aerodinamik membantu ia menggunakan bahan bakar dengan efisen.
Ketua jurutera reka bentuk bas itu ialah Antonia Terzi yang pernah bekerja dengan pasukan kereta lumba Formula Satu, BMW Williams.
Projek pembinaan bas itu mengambil masa selama tujuh tahun yang bermula pada 2004.
-Agensi-

Kereta baru PM Britain kalis bom



CIRI-CIRI istimewa kereta rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron.
LONDON: Kereta Jaguar XJ X351 yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron, dilengkapi pelbagai ciri istimewa bagi menghalang serangan pengganas, lapor sebuah akhbar semalam.

Banyak ciri tersebut dirahsiakan tetapi kereta mewah berharga £200,000 (RM977,309) itu dilaporkan memiliki perisai kalis bom, tayar masih boleh bergerak walaupun pancit, tingkap kalis peluru dan bekalan oksigen untuk digunakan dalam serangan kimia atau biologi.

Kereta itu juga dipercayai dilengkapi senjata yang boleh digunakan petugas keselamatan untuk membalas tembakan sekiranya mereka diserang.

Kereta XJ X351 itu mampu memecut selaju 264 kilometer sejam kerana ia dijana enjin petrol berkuasa tinggi dengan kapasiti 5.0 liter yang berupaya mengeluarkan 503 kuasa kuda (hp).

Kenderaan itu jauh lebih berkuasa berbanding Jaguar XJ standard yang cuma mengeluarkan 385 hp.

Satu kelemahan kereta tersebut adalah ia menggunakan banyak petrol iaitu 3.78 liter petrol untuk jarak 36.8 kilometer manakala pengisian tangki penuh memerlukan belanja sebanyak £104 (RM507).
-Agensi-

Proton R3 Satria Neo (Gambar): Jualan terhad


KERETA konsep Satria Neo R3 yang dipamerkan di Jepun sebelum ini
003
KUALA LUMPUR: Bagi peminat kereta model terbaru Proton Holdings Bhd. (Proton), Proton R3 Satria Neo, ia kini boleh ditempah dengan serta merta di semua bilik pameran Proton Edar di Semenanjung Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, model berkenaan hanya dijual dalam bilangan terhad dan ia dijual pada harga RM79,797 (MT Metalik).

"Yuran tempahan pula adalah RM2,000 dan pelanggan awal akan dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran model terbaru itu nanti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
-kosmo-
001
006007


Volkswagen cipta kereta paling jimat minyak


KERETA Volkswagen XL1 dipamerkan kepada orang ramai di Doha, Qatar malam kelmarin.
DOHA: Pengeluar kereta terkemuka Eropah, Volkswagen mempamerkan kereta paling jimat minyak di dunia dalam Pertunjukan Kereta Qatar malam kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta itu mampu bergerak sejauh 504 kilometer dengan hanya menggunakan 3.78 liter minyak diesel.

Dikenali sebagai XL1 Super Efficient Vehicle, ia cuma mengeluarkan 38 gram gas karbon dioksida bagi setiap 1.6 kilometer dan bakal menjadi pilihan kepada golongan yang mementingkan alam sekitar.

Kereta itu menggunakan enjin diesel TDI dua silinder bersesaran 800cc yang disambungkan dengan satu motor elektrik.

Kereta kompak dua tempat duduk itu hanya seberat 795 kilogram dan dibina menggunakan polimer gentian karbon yang diperkuatkan.

Ia memiliki kelajuan maksimum 159 kilometer sejam (km/j).

Bakal dijual pada tahun 2013, XL1 hanya sepanjang kurang empat meter, sama panjangnya dengan model Volkswagen Polo dan setinggi 1.18 meter.

Pengerusi Volkswagen, Dr Martin Winterhorn menyatakan XL1 akan mula dijual di Britain dan Jerman pada harga yang berpatutan.

Bagi mengurangkan beratnya, XL1 menggunakan material yang ringan seperti magnesium pada rodanya, brek cakera seramik dan aluminium untuk komponen penyerap hentak, sistem stereng serta angkup brek.
-Agensi-

Perodua Bezza kereta untuk generasi masa depan?

SHAWKATH AZDE
MODEL syarikat Perodua menunjukkan kereta konsep Perodua Bezza yang diperkenalkan di Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera baru-baru ini.
RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) sedang memperincikan maklum balas dan komen daripada orang ramai mengenai model Perodua Bezza khususnya daripada pengunjung Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS 2010) pada awal bulan Disember tahun lalu.

Perodua Bezza merupakan model kereta untuk generasi masa depan yang memiliki ciri-ciri futuristik tetapi ia amat praktikal digunakan.

Namun sejak ia diperkenalkan pada pameran tersebut, pelbagai tanda tanya berlegar di pasaran sama ada kereta konsep itu akan menjadi salah satu model terbaru yang akan diperkenalkan di pasaran tidak lama lagi.

Antara persoalannya ialah adakah kenderaan yang direka dengan kepakaran tempatan itu akan direalisasikan menjadi salah satu barisan model keluarannya atau ia akan hanya terus kekal menjadi kereta konsep semata-mata.

Menurut Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, syarikat itu akan memberi tumpuan terhadap model kereta tersebut tetapi pihaknya perlu membuat kajian yang mendalam mengenainya terlebih dahulu selain menerima maklum balas daripada pengguna.
-kosmo-