"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RON95 dan diesel naik 20 sen, RON97 naik 15 sen

BERNAMA

Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing naik 20 sen seliter, manakala RON97 naik 15 sen mulai tengah malam ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata harga runcit baharu bagi RON95 berkuat kuasa 1 Jan ialah RM2.10 seliter dan diesel RM2.05 seliter.

"Harga runcit baharu bagi RON97 pula ialah RM2.40 seliter," katanya kepada Bernama.

Harga runcit petrol sepanjang Disember bagi RON95 ialah RM1.90 seliter, RON97 (RM2.25) dan diesel (RM1.85).

Air naik paras tengkuk’, kata mangsa banjir

FMT Reporters
HULU TERENGGANU: “Air dah naik paras tengkuk, Pok tok tunggu doh, tubik selalu gi pusat pemindahan takut jadi nape-nape (air dah naik paras tengkuk, saya tak tunggu terus pergi selamatkan diri ke pusat pemindahan, bimbang jadi apa-apa)”.

Detik cemas itu dilalui warga emas, Abd Ghani Salleh, 76, seorang daripada mangsa banjir di Kampung Bukit Kolam, Ajil yang berpindah ke pusat pemindahan banjir di kampung itu pada pukul 7 pagi tadi.

Beliau berkata banjir kali ini adalah yang terburuk sejak beliau dan isterinya Zainab Yahya, 75, menetap di kampung tersebut sejak tahun 1980.

“Pok (saya) sedor (sedar) air mula naik pada pukul 3.30 pagi tadi. Tapi masa tu air tidak berapa tinggi. Pok tunggu pukul 7.00 pagi air dah naik, sampai sofa tenggelam.

“Pok terus kejut isteri serta 3 orang cucu untuk ke sini sebab takut air naik lagi tinggi dan terperangkap dalam rumah,” katanya kepada Bernama.

Masitah Daud, 40, berkata walaupun air sudah naik ke paras pinggang, beliau sempat menyelamatkan barangan keperluan sekolah anak-anaknya sebelum keluar menyelamatkan diri ke pusat pemindahan.

“Sempat juga saya gantung semua pakaian seragam anak-anak saya pada penyangkut baju dan letakkan di tempat tinggi. Saya berharap sangat banjir tidak akan berlarutan sebab kalau tidak mungkin ia akan menjejaskan barangan dalam rumah termasuk keperluan sekolah anak-anak saya,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Suriani Mustafa, 35, tidak menjangka banjir kali ini yang terburuk pernah berlaku sejak 2 tahun beliau dan keluarga menetap di kampung tersebut.

“Saya terbangun pada pukul 6.00 pagi sebab kucing-kucing saya sebanyak 8 ekor mula ‘mengiau’ seakan-akan meminta tolong. Apabila terjaga rupanya air dalam rumah telah naik hingga paras pinggang.

“Saya bergegas kejutkan anak-anak, suami untuk segera keluar dari rumah. Tapi kami terperangkap sebab air terlalu tinggi.

“Syukur alhamdulillah pihak bomba datang menyelamatkan kami dengan bot dan bawa kami termasuk lapan ekor kucing milik kami ke pusat pemindahan,” katanya.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat pukul 3 petang ini seramai 1,274 mangsa daripada 348 buah keluarga di 5 daerah di negeri ini dipindahkan ke 22 pusat pemindahan banjir ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak malam tadi.

Ini satu lagi berita baik terutama pemilik kenderaan

Kenaikan harga tayar bermula 1 Januari 2017, lapor akhbar Cina

MALAYSIA DATELINE
Tayar import kecuali China akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus, manakala tayar yang diimport dari China dijangka naik sebanyak 10 peratus

Harga tayar baharu dan celup dinaikkan antara lima hingga 10 peratus mulai 1 Januari 2017 akibat kenaikan harga gred getah dan kejatuhan mata wang ringgit, lapor Akhbar Nanyang Siang Pau.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Tayar Negeri Johor, Goh Soo Chay berkata, peniaga tayar tempatan dimaklumkan mengenai kenaikan harga tayar ini oleh beberapa pihak seperti syarikat pengimport, pemborong dan syarikat pembuat tayar tempatan.

“Tayar import kecuali China akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus, manakala tayar yang diimport dari China dijangka naik sebanyak 10 peratus.

“Manakala syarikat pembuat tayar celup juga telah memberitahu semua peniaga tayar tempatan bahawa harga baharu tayar celup akan dinaikkan antara lima hingga 10 peratus mulai 1 Januari 2017,” kata Soo Chay seperti dipetik Sinar Harian.

Menurut beliau, syarikat pembuat tayar dari China sebelum ini menjelaskan pihaknya terpaksa menaikkan harga tayar disebabkan harga gred tayar SMR20 naik sebanyak enam peratus dan ditambahkan lagi kejatuhan nilai ringgit sebanyak lapan peratus.

“Secara keseluruhannya, jumlah kenaikan sepatutnya adalah 14 peratus, namun pihak syarikat pengimport dan pemborong telah bersetuju menetapkan kadar kenaikan sebanyak 10 peratus sahaja," katanya.

Kata Soo Chay, gred tayar SMR20 yang berharga RM6 sekilogram tidak berapa lama dulu meningkat kepada RM9.26 sekilogram pada pertengahan Disember lalu. Ketika ini, harganya kekal RM8.80 sekilogram.

Selain tayar buatan China, jenama tayar buatan negara-negara asing yang banyak dijual di negara kita termasuklah Bridgestone, Michelin, Falken, Yokohama dan sebagainya; manakala tayar-tayar buatan tempatan terdiri daripada Goodyear, Toyo, Silverstone, Contiental dan sebagainya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar menukar tayar kenderaan mereka sebelum Tahun Baharu Cina ini kerana biasanya penjual tayar mempunyai stok lama antara satu hingga dua bulan yang membolehkan pelanggan membeli mengikut harga lama.

“Kenaikan harga memang tidak boleh dielakkan. Tetapi peniaga juga seperti rakyat biasa yang menghadapi tekanan kos hidup yang semakin tinggi.

“Namun kami sentiasa mengamalkan perasaan timbang rasa dan bertolak ansur dengan tidak membebankan pengguna sepenuhnya. Jika tidak, ramai pengguna akan merungut tidak puas hati,” katanya.

Di manakah kakinya?


Gambar ini menyebabkan ramai orang merasa pelik dan hairan kerana hanya terdapat 5 pasang kaki di dalam gambar ini.
WISCONSIN - AMERIKA SYARIKAT . Satu gambar menjadi viral apabila jumlah kaki di dalam gambar tersebut tidak mencukupi di mana sepasang kaki dilaporkan telah hilang lapor Huffington Post.

Dalam gambar yang diambil semasa perayaan Krismas lalu menyaksikan enam orang sahabat mengambil gambar di sebuah sofa, bagaimanapun setelah dikira, hanya lima pasang kaki sahaja ditemui telah menimbulkan persoalan ramai.

Pelbagai andaian wujud hingga ada yang mendakwa salah seorang wanita tersebut berpura-pura menyorokkan kakinya, ada juga yang mengatakan gambar tersebut merupakan satu permainan ilusi.

Foto tersebut nyata mencipta misteri hinggakan rancangan televisyen negara ‘Fox & Friend’ turut melakukan siasatan mereka.

Pemilik gambar tersebut, Anna Manifel yang nyata mempunyai sepasang kaki turut merasa pelik dengan gambar tersebut dan bertanya soalan yang sama.

“Di manakah kaki saya? Ini sangat pelik. Pada dasarnya saya bersama teman-teman hanya mengambil gambar bersama,” katanya.

Keenam-enam gadis tersebut kemudiannya melakonkan semula keadaan di dalam gambar tersebut untuk mendapat jawapan.

Nyata ia hanyalah satu ilusi optikal kerana gambar tersebut diambil dari bahagian kiri sofa membuatkan ada kaki yang terlindung.

Rakan Manifel, Kelly McCarthy yang turut berada di dalam foto tersebut meluahkan kelegaan beliau apabila misteri berjaya dirungkaikan

“Jadi secara umumnya, ia adalah sangat mengelirukan melihat foto ini dari bahagian sisi sofa ini,” katanya kepada Fox.

SAH!!! Azmin Ali melepaskan jawatannya

Azmin Ali letak jawatan presiden FAS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Dalam kenyataan bersama kepada media hari ini, beliau dan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor Amirudin Shari membuat keputusan untuk tidak bersama FAS.

"Saya dan Amirudin mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak negeri Selangor," katanya.

Azmin berkata, beliau dipilih sebagai presiden FAS melalui Jawatankuasa Eksekutif FAS pada Kongres Luar Biasa pada Disember 2014.

Katanya, pelantikan itu disambut baik dengan harapan untuk melakukan perubahan dalam pengurusan FAS dan juga pembangunan sukan bola sepak Selangor.

"Amirudin atas kapasiti sebagai exco telah dilantik sebagai pengurus pasukan untuk memperkukuh mutu dan kualiti sukan bola sepak termasuk program pembangunan Akademi Merah Kuning.

"Akademi ini ditubuhkan untuk menggilap bakat pemain-pemain muda Selangor seawal usia 16 tahun. Kami juga berusaha gigih untuk menyediakan dana yang besar bagi menjayakan usaha ini termasuk menjaga kebajikan pemain-pemain bola sepak Selangor melalui pengurusan kewangan yang telus dan berhemah.

"Kerjasama erat kepimpinan baru dengan para pemain telah berjaya membawa pasukan bolasepak Negeri Selangor menamatkan kemarau 10 tahun kejuaraan Piala Malaysia selain berjaya ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016," jelasnya.

Bagaimanapun tambahnya, setelah hampir dua tahun bersama FAS beliau dan Amirudin tidak melihat kesediaan exco FAS untuk mendukung perubahan.

Menurut mereka, barisan Exco FAS sedia ada masih kekal dengan sikap dan budaya lama.

"Sehingga kini, barisan exco FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bola sepak Negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran yang profesional sebagaimana yang disarankan oleh FAM menjelang 2018.

"Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Negeri Selangor," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan tetap memberikan sokongan dan dukungan kepada kemajuan sukan bola sepak Selangor melalui kaedah baru yang akan diputuskan kelak.

"Kami memberi jaminan kepada penyokong bola sepak Selangor bahawa kegemilangan sukan bola sepak akan dijulang melalui pengurusan yang bersih dan berintegriti," kata kenyataan bersama itu.
-malaysiakini

Gelandangan dipenjara 80 tahun, 110 sebatan rogol anak

Seorang gelandangan berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara 232 tahun dan 110 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah kerana merogol anak kandungnya berusia 16 tahun.

Hakim Datin M. Kunasundari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas 11 pertuduhan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks oral terhadap anak perempuannya itu antara 27 Ogos hingga 7 Sept tahun ini, yang akan dijalankan dari tarikh dia ditangkap pada 19 September lepas.

Bagaimanapun, lelaki itu hanya akan menjalani hukuman penjara 80 tahun kerana sebahagian daripada hukuman itu diarahkan berjalan serentak.

Kesemua pertuduhan dibahagikan kepada empat fail berasingan yang mana tiga fail pertama mengandungi masing-masing tiga pertuduhan rogol yang dilakukan antara 27 dan 29 Ogos; 30 Ogos dan 2 September serta dari 3 hingga 5 September.

Fail keempat pula mempunyai dua pertuduhan rogol dan satu pertuduhan seks oral yang dilakukan antara 28 Ogos dan 7 September.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Lorong Haji Taib di sini.

Kunasundari menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan ke atas lelaki itu bagi setiap kesalahan rogol dalam tiga fail pertama, iaitu berjumlah 180 tahun penjara dan 90 sebatan atas sembilan pertuduhan rogol.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan di setiap fail berjalan serentak, menjadikan hanya 20 tahun penjara bagi tiga pertuduhan rogol yang bermakna tertuduh hanya hanya perlu menjalani hukuman 60 tahun penjara bagi sembilan pertuduhan dalam tiga fail tersebut.

Untuk tiga lagi pertuduhan dalam fail keempat, Kunasundari menjatuhkan
hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan 12 tahun penjara kerana melakukan seks oral, juga dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan di bawah fail itu, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 52 tahun, tetapi diperintahkan untuk menjalani hukuman itu serentak, menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 20 tahun penjara untuk tiga pertuduhan.

Secara keseluruhannya, tertuduh akan menjalani hukuman penjara 80 tahun dan 110 sebatan.

Tuduhan merogol dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 30 tahun penjara dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan seks oral, lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Kunasundari dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan keji.

"Tertuduh diamanahkan sebagai bapa yang sepatutnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada mangsa tetapi menjadi pemusnah terhadap masa depan mangsa.

Mahkamah tidak dapat membayangkan trauma yang dihadapi mangsa.

"Mahkamah tidak dapat memaafkan kesalahan tertuduh dan berharap perkara yang dilakukan tertuduh tidak dilakukan oleh mana-mana bapa di dunia ini," katanya.


Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman penjara dan sebat yang ringan kerana dia telah insaf dan menyesal dengan perbuatan yang dilakukan dan berjanji untuk menjadi orang yang baik.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi yang mengendalikan kes itu memohon hukuman yang berat kerana kejadian berlaku setiap hari sejak anak kandungnya datang ke Kuala Lumpur.

"Mangsa datang ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian tapi cita-citanya hancur disebabkan perbuatan tertuduh," katanya. 
-Bernama

APA DAH JADI? Baru 3 bulan Ezam mohon jadi ahli, hari ini isytihar keluar parti Bersatu

Bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor mengesahkan beliau keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ia hanya berlaku selepas tiga bulan beliau memohon menyertai parti yang ditubuhkan itu setelah meninggalkan Umno.

“Ya, betul,” kata Ezam kepada Malaysiakini ketika diminta mengesahkan perkara itu hari ini.

Memetik sumber, Free Malaysia Today hari ini melaporkan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah memaklumkan pendiriannya kepada setiausaha agung BERSATU melalui sepucuk surat.

Ezam yang kedua berbuat demikian selepas bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.

FMT juga melaporkan sumber mendakwa Ezam sebagai kecewa dengan arah tuju parti itu, terutamanya selepas isu berkaitan jawatan Anina Saadudin dalam sayap Srikandi.

Sumber itu juga dilapor mempersoal tindakan Presiden BERSATU Tan Sri MuhyiddinYassin yang didakwa “bercuti di Eropah” ketika pembangkang berhempas pulas menarik anggota baru.

Ezam bagaimanapun menjelaskan bahawa laporan itu tidak tepat dan tidak timbul sama sekali soal masalah dalaman parti.

Beliau sebaliknya berkata mahu menumpukan perhatian kepada NGO antirasuah Hisbah yang dipengerusikannya.

Katanya, mesyuarat tahunan lembaga pengarah Hisbah juga memintanya menjadi tidak partisan dalam menumpukan perhatian kepada kemelut 1MDB dan dakwaan berkaitan Felda.

“Atas sebab itu saya secara rasmi hantar surat undur diri dari BERSATY kepada setiausaha agung.

“Tidak ada sama sekali soal masalah dalaman parti. Saya tidak pernah terlibat dalam pimpinan parti sama sekali dan saya tidak mahu dilibatkan,” katanya.

Untuk misi antirasuah melalui Hisbah itu, kata Ezam lagi, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk BERSATU.

Ezam berkata telah menghantar surat pengundurannya seminggu lalu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin BERSATU yang dihubungi Malaysia petang ini berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan perkembangan itu.

Malah ada juga yang berkata belum menerima surat peletakan jawatan itu.
-malaysiakini

Datin didakwa cuba bunuh amah 19 tahun

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang Datin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan cuba membunuh pembantu rumah warga Indonesianya yang berusia 19 tahun.

Menurut laporan The Star, Datin Rozita Mohamad Ali, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Kamil Nizam.

Suri rumah itu didakwa cuba membunuh Suyanti Sutrinso dengan sebilah pisau, penyangkut baju, batang mop keluli dan payung, antara 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Disember lalu di rumahnya di Mutiara Damansara.

Akibatnya, Suyanti mengalami kecederaan di kepala, tangan, kaki serta organ dalaman.

Rozita didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Peguamnya, Rosal Azimin Ahmad meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan alasan wanita itu menghidap asma dan tidak bekerja.

Hakim bagaimanapun menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Rozita menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 17 Februari nanti.

PRU14 ketika umat Islam sambut Ramadan?

MUAAMAR QADDAFI

TEKA TEKI yang paling sukar untuk dijawab oleh rakyat Malaysia adalah bilakah tarikh pilihan raya umum?

Di Malaysia, tarikh pilihan raya umum adalah satu perkara misteri yang hanya diketahui seorang manusia sahaja iaitu Perdana Menteri. Hal ini amat berbeza jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat atau Indonesia.

Di Amerika, semua orang tahu bulan November setiap 4 tahun adalah tarikh pilihan raya, atau bulan April jika setiap 5 tahun.

Tarikh pilihan raya Amerika,  semua rakyat tahu. Yang rakyat tidak tahu siapa akan menang. Manakala di Malaysia, sebelum ini semua orang tahu siapa akan menang, yang semua orang tidak tahu adalah tarikhnya. Cuma kini, tarikh dan pemenang sudah tidak menentu. Tarikhnya kekal misteri, pemenangnya belum pasti.

Bila mana semua orang boleh cuba meramal jawapan teka-teki tarikh pilihan raya, maka saya juga ingin mencuba, telahan saya, PRU akan dibuat di bulan puasa tahun 2017, yakni awal bulan Jun.

Telahan ini berasaskan tiga faktor;

Pada akhir Mei dan awal Jun, ada cuti sekolah selama dua minggu. Kebetulan puasa juga bermula akhir Mei iaitu hari pertama cuti sekolah. Maka waktu inilah saat paling sesuai untuk pilihan raya yang menguntungkan BN (akan diterangkan di perenggan lain) berbanding pilihan raya dibuat hujung bulan Ogos/awal September.

Pilihan raya di bulan puasa tidak menjadi masalah kerana PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah membuktikan pilihan raya boleh dibuat di bulan puasa. Ia lebih menguntungkan Umno-BN kerana boleh memanfaatkan acara bulan puasa untuk kempen BN. Apatah lagi jika 'agamawan sampul' boleh mengeluarkan fatwa haram berceramah di bulan puasa, maka Umno akan dapat tendangan percuma ke gawang lawan.

Bulan Mei adalah bulan bertuah BN, bulan di mana Presiden Umno dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak boleh menuai hasil yang ranum dari 3 peristiwa.

Pertama, berlangsungnya Muktamar Pas Pusat juga merupakan muktamar Pas yang kedua tanpa kelompok progresif yang sudah kecundang dua tahun lalu. Muktamar ini menjadi penentu hala tuju masa depan dan survival parti Pas. Pada muktamar ini dipercayai para "Harumanis" akan turut sama dibersihkan dan Pas hanya akan digerakkan oleh kelompok konservatif.

Kelompok konservatif Pas ini lebih mudah untuk dijerat dan 'dinikahi' oleh Umno. Menyegerakan pilihan raya akan menekan Pas yang semakin lemah untuk bekerjasama dengan BN bagi berdepan musuh baharunya, Pakatan Harapan.

Pada bulan Mei juga akan berlangsung Multaqa Alumni Al-Azhar. Kesempatan ini akan memberikan Najib dan BN imej islam dan "endorsement" dari para ulama antarabangsa. Multaqa besar-besaran yang dihoskan Jabatan Perdana Menteri ini membuka ruang untuk Najib berjubah di atas pentas bersama Sheikhul Azhar. Sangat baik untuk imej Najib apatah lagi jika diapit 'buah hati kesayangannya'.

Bulan yang sama juga akan berlangsung Majlis Tilawah Membaca Alquran Peringkat Antarabangsa yang pastinya akan menonjolkan imej islam dan warak Najib kepada orang Melayu yang sudah mula ragu dengan kepimpinan beliau.

Acara Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang turut berlangsung sebelum Ramadan juga akan membantu menaikkan imej Dauk Seri Hishamudin Husein sebagai pemimpin pengganti Najib mengantikan Datuk Seri Zahid Hamidi. Pastinya acara ini akan menaikkan poster-poster gah Hisyamudin sekaligus membantu melonjakkan imej beliau sebagai bakal 'orang nombor satu' negara.

Berdasarkan faktor faktor di atas, maka wajarlah untuk semua parti bersiap siaga, bersedia dengan kemungkinan besar PRU akan diadakan pada bulan puasa tahun depan iaitu awal bulan Jun.

Rakan Harumanis di dalam Pas, usahlah keliru lagi. Inilah masanya untuk "cash out of your struggle" sebelum kalian dipancung pada muktamar tahun depan. Setiap wakil rakyat yang mula diragui darah hijaunya, atau sudah dihidu hilang wala' nya, usahlah membuang masa.

Segeralah beralih kapal sebelum kapal itu tenggelam atau sekurang-kurangnya sebelum anda ditenggelamkan sama ada dalam muktamar, mahupun ketika PRU14.

PAS semakin lemas

Rahman Imuda
Berinteraksi dengan kebanyakan pengikut PAS tidak mudah, tahap fanatisme mereka sering menjadi tembok besar kepada orang luar dan dalam parti untuk memberi kritik dan saran untuk kebaikan parti itu.

Mereka yang mengkritik parti ini sering diberikan pelbagai gelaran seperti melawan ulama, jebon atau tidak sayangkan Islam.

Ini tidak patut berlaku kerana mana-mana parti yang tidak terbuka dengan kritikan akan cenderung menjadi lesu.

Perlu juga difahami bahawa PAS bukanlah agama, walaupun agama Islam merupakan agenda utama parti PAS.

Pilihan Editor

Masalah kejadongan

Sifir PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS tidak boleh digunakan di negara ini atau mana-mana negara sekalipun.

Islam adalah agama yang sempurna manakala parti politik cenderung untuk memiliki kelemahan dan kecacatan.

Apabila kita telah bersetuju dengan perkara ini, maka bolehlah kita memaknakan semula istilah “buat kerja Islam”, kerana istilah ini tidak eksklusif kepada PAS sahaja, tetapi kepada semua jemaah Islam di Malaysia.

Apabila kita mendengar istilah ini, perlu difahami ia bukan sahaja merujuk kumpulan yang menjadikan politik sebagai wadah perjuangan, tapi kepada semua kumpulan yang membawa agenda memperkasakan Islam di Malaysia.

Saya percaya jika konsep-konsep asas ini boleh diterima, maka kesederhanaan dalam mengikuti sesuatu jemaah itu akan tercapai.

Konsep kesederhanaan penting untuk mengelakkan ekstremisme dalam berpolitik di negara ini. Ada masanya kita akan mempertahankan pendirian politik kita jika diganggu gugat dan ada masanya kita akan memberikan kritik-saran untuk survival parti yang kita ikuti.

PAS pasca-Pakatan

Apabila Pakatan Rakyat terkubur, antara teka-teki utama yang bermain di minda pemerhati politik di negara ini “adakah PAS akan bergerak sendiri?”

Sehingga saya menulis artikel ini PAS saya melihat PAS semakin mesra terhadap Umno. Saya cukup kecewa apabila pimpinan parti ini enggan memberi galakkan kepada ahli parti untuk turun ke Demonstrasi BERSIH baru-baru ini, satu demonstrasi yang menuntut agar pilihan raya yang lebih bersih diwujudkan.

Tindakan ini mendapat pujian daripada perdana menteri kita. Hegemoni perkauman dan agama telah menjadi perangkap utama yang dipasang untuk memikat PAS dalam jalinan kemesraan ini, penglibatan DAP dan parti Amanah Negara (AMANAH) dalam blok pembangkang memudahkan lagi strategi ini.

Pihak yang mahu bermesra dengan PAS hanya perlu menjadikan isu DAP yang dari dulu dikatakan ingin menjatuhkan orang Melayu dan menentang Islam sebagai modal utama untuk PAS menolak blok itu, tambah-tambah lagi PAS dari dulu memang jarang senada dengan DAP.

Saya merasakan PAS lebih sanggup untuk bekerjasama dengan Umno berbanding DAP dan AMANAH.

Sekiranya PAS ingin ‘menangguhkan’ kemenangan pilihan raya umum sekali lagi, maka kita mungkin akan melihat parti ini akan bergerak secara bersendirian.

PAS di Kelantan dalam bahaya

Saya merasakan bahawa PAS perlu melakukan sesuatu yang drastik jika masih mahu mentadbir Kelantan selepas PRU ke-14.

Pemergian allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, allahyarham Tuan Guru Harun Din, penubuhan parti AMANAH, isu pembalakan dan pembubaran Pakatan Rakyat merupakan faktor-faktor yang menyebabkan PAS boleh hilang negeri itu.

Sepanjang saya belajar di Kelantan, saya beberapa kali berbual dengan rakyat Kelantan berkenaan kerajaan yang mereka mahukan.

Kebanyakan mereka berpandangan mereka mahukan kerajaan yang memperjuangkan Islam dan membela kebajikan rakyat.

Dasar Islamisasi PAS di Kelantan bagi saya telah berjaya, tapi PAS tidak boleh bergantung dengan modal itu semata-mata. Kerajaan negeri Kelantan perlu datang dengan bukti-bukti empirikal berkenaan pencapaian mereka dari aspek ekonomi dan kebajikan rakyat.

Musuh politik PAS juga pasti akan menggunakan taktik ‘pemimpin Islam’ ini, pastinya calon-calon yang dipasang nanti akan mempunyai keperibadian islamik untuk menandingi calon-calon PAS.

Jika PAS berhasrat ingin menggunakan modal rang undang-undang 355, maka dengan mudah Umno akan berkata kami juga menyokong undang-undang tersebut dengan memberi ruang Hadi membentangkannya di parlimen.

PAS perlu ingat, mereka pernah kehilangan negeri di Terengganu dan Kedah dan faktor utama kekalahan mereka kerana kurangnya pencapaian yang jelas, di samping pelbagai faktor luaran (dakwaan penipuan dan manipulasi media).

Tangani pelawaan

PAS masih merupakan antara parti yang terkuat di Malaysia dan atas sebab itulah ramai yang mahu bermesra dengan parti ini. Namun yang demikian, PAS harus bijak menangani pelawaan-pelawaan yang mereka terima agar tidak ditunggang oleh mana-mana parti, lebih-lebih kepada parti yang sedang nazak.

PAS juga perlu memperkemaskan bahagian penerangan agar mampu menepis semula tohmahan dan kritikan terhadap parti ini.

Saya melihat ini kelemahan utama PAS, terlalu sedikit tokoh yang boleh menjawab tuduhan/soalan dengan bijak dan berhemah.

Sayap parti seperti GAMIS, NISA’ dan Unit Amal perlu memainkan peranan mereka semaksimum yang boleh.

Bercakap tentang GAMIS, mereka baharu sahaja selesai menerima presiden yang baharu, selaku aktivis mahasiswa saya berharap agar GAMIS kembali rancak dalam dunia aktivisme mahasiswa sekaligus dapat menyediakan tapak asas yang kuat untuk PAS.

Taktikal untuk PRU

PAS perlu mencari penyelesaian dan taktikal terbaik untuk menghadapi PRU14 jika mereka masih mahu kelihatan gagah dalam kancah politik nasional.

Antara taktikal yang saya lihat yang mungkin akan berlaku adalah kerjasama politik antara PAS-Umno. Jika PAS pernah bertahaluf siyasi dengan DAP, maka kerjasama dengan Umno pasti tidak mengundang rasa marah kebanyakan penyokong PAS.

Kedua-dua parti ini saling memerlukan, Umno yang sekarang dikaitkan dengan pelbagai isu dan kewujudan parti BERSATU sedikit sebanyak akan merisaukan mereka, demikianlah juga drama PAS dan parti AMANAH.

Jika PAS ingin bergerak sendiri, maka pendirian mereka harus jelas dan wajar mengelakkan untuk bermesra-mesra dengan kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan, biarlah menjadi kuasa ketiga yang berkesan dan tegas.

RAHMAN IMUDA aktivis mahasiswa dan mantan naib yang dipertuan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) salah sebuah universiti awam.

Patutlah PM Najib diam tentang 1MDB

Subky Latif
RIUH sedunia orang menyoal Perdana Menteri Najib tentang skandal 1MDB yang langsung di bawah tanggungjawabnya.

Bertubi-tubi ia dibangkitkan di Parlimen sejak beberapa sesi yang lalu. Banyak pegawai penting melepaskan jawatan atau diminta melepaskan jawatan justerunya antaranya Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Ungku Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Ada juga beberapa orang anggota Jawatan Kuasa Kewangan Negara tidak dapat meneruskan penyiasatan atas isu itu kerana dijadikan Timbalan Menteri. Macam-macam soal dibangkitkan mengenainya. Semua soalan itu macam masuk ke telinga kuali.

Perdana Menteri buat dak aja, membisu seribu bahasa. Banyak juga isu lain yang dituding kepadanya dibiarkannya saja tak berjawaab, tetapi kadang-kadang ada disentuhnya di tempat lain semasa bercakap di perhimpunan Umno misalnya.

Tetapi tentang 1MDB ini didiamkanya. Paling akhir bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainudin membangitkannya dalam rencana di akhbar. Teguran Daim itu satu tohmah yang tajam terhadapnya walau idak menyebut namanya.

Itupun diam juga. Budak-budak menteri dilepaskan mengulas komen Tun Daim itu. Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan yang terlibat terus dengan syarikat pelaburan kerajaan itu yang jadi milik terus kementerian kewangan sepatutnya menjelaskaan yang amat dimusykilkan itu.

Tetapi dia membisu. Jika dia menemui ajal sebelum kes ini diselesaikan, maka kita tidak akan dapat penjelasan dari saksi utama.

Dia tidaklah dilahir bisu, idak boleh bercakap. Dia petah dan banyak juga bercakap tetapi tentang IMDB langsung kelu.

Mengapa agaknya? Mungkin orang fikir lazimnya dia tidak mudah menjawab dalam apa masalah jua yang disasarkan kepadanya.

Dalam sesi Parlimen yang terbaru tiga orang bekas anggota kabinetnya, TS Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Husni membangkitkan perkara !MDB itu. Amat menarik semua orang atas luahan mereka.

Maka tiada siapa yang menjawab takwil yang dibangkitkan. Tiba-tiba berdatang amaran Tan Sri speaker terhadap ketiga bekas menteri itu. Mereka dikatakan mungkin sudah melanggar sumpah menyimpan rahsia kerajaan semasa hendak memegang jawatan itu. 1MDB itu adalah rahsia di bawah OSA. Barang siapa membocorkan barang rahsia itu boleh dikenakan tindakan.

Maka ketiga-tiga lebai malang itu dipanggil mata-mata untuk memberi keterangan. Tentulah mereka diancam oleh masalah mengapa mereka idak boleh dikenakan tindakan jika didapati nanti mereka melanggar sumpah menyimpan rahsia.

Dengan amaran Speaker dan siasatan yang polis buat itu, fahamlah kita mengapa PM Najib tidak menjawab semua perkara yang dibangkitkan tentang 1MDB.

Apa sebabnya?

Perdana Menteri mestilah menjadi contoh tidak melanggar sumpah menyimpan rahsia kerajaan. Berat hukumannya jika disabitkan mahkamah. Sebagai pegawai nombor satu atau MO1 Perdana Menteri menyimpan rahsia serapat-rapatnya. Biarlah orang lain melanggar sumpah itu, tetapi bukan Perdana Menteri. Pantang Tok Pawang memecah timba.

Apa lagi dapatan Ketua Audit Negara atas siasatan 1MDB itu sudah dimasukkan dalam OSA.

Logiknya bukan Perdana Menteri sengaja tidak mahu jawab dan beri penjelasan tetapi dia dihalang oleh sumpah memegang jawatan dan tidak mahu melanggar OSA.

Baru kita faham patutlah dia diam.

Ulama Pas iringi menteri Umno ke London

ARIF ATAN
Ulama Pas iringi menteri Umno ke London
Kehadiran pemimpin Pas dalam program anjuran Umno di London menguatkan lagi tanggapan kerjasama politik kedua dua parti itu menjelang PRU14.

Terbang ke London bukan untuk menghantar surat saman Pas berhubung isu laporan portal Sarawak Report tetapi rupa-rupanya makan angin dengan menteri Umno-BN.

Itu antara reaksi netizen selepas tersebarnya gambar seorang pemimpin Pas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom di media sosial dalam satu program anjuran pertubuhan di bawah Umno, Badan Perhubungan Negara United Kingdom (BPN UK).

Kehadiran Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Pas, Dr Khairuddin Aman Razali di London pada 27 Disember lalu dikatakan bagi majlis penerangan berkaitan usul pindaan Akta 355.

Pindaan berkenaan yang bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah itu bagi meningkatkan hukuman maksimum kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM200,000 dan 100 kali sebatan.

Semakan Malaysia Dateline di laman rasmi Facebook, Kelab Umno Luar Negara (UK) mendapati poster program tersebut memaklumkan slot "Teh Tarik Session" itu diadakan di Malaysia Hall.

Walau bagaimanapun, kehadiran pemimpin Pas dalam program tersebut dilihat banyak pihak menguatkan lagi tanggapan tentang kerjasama politik antara parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dengan Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Gandingan pemimpin Pas dan Umno dalam program itu juga berlangsung ketika rakyat di negara ini menempuh tahun 2016 dengan bebanan kenaikan mendadak kos sara hidup yang gagal ditangani kerajaan BN selain kes menjolok mata membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas kehadiran Khairuddin dan pengisian program itu, blogger Shahbudin turut melontarkan pelbagai soalan termasuk menyentuh tiadanya aktiviti penjelasan pindaan Akta 355 di Malaysia sebelum ini.

"Kenapa tidak pernah diadakan 'sesi teh tarik' membincangkan akta yang sama di dalam negara atau di Jerai yang merupakan kawasan Parlimen Jamil Khir sendiri?

"Adakah semua orang dalam negara sudah faham mengenai Akta 355, lalu tidak perlu diadakan sesi dialog atau kerana teh tarik mamak di sini tidak sesedap teh tarik di kota London?" bidasnya sinis dipetik daripada blog beliau.

Shahbudin turut bertanyakan sesi serupa kepada parti-parti komponen BN yang umum diketahui menentang pindaan peruntukan yang bertujuan menambah baik institusi Mahkamah Syariah itu.

"Bila pula Jamil Khir mahu mengadakan 'sesi teh tarik' dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak yang masih menentang Akta 355 itu?" soalnya lagi.

Polemik tentang pindaan terhadap Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 itu menyaksikan pemimpin Pas bertegas mahu mengemukakannya sebagai usul pensendirian walaupun pihak kerajaan yang lebih wajar berbuat demikian.

Namun, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang pada 24 November lalu, meminta proses huraian bagi cadangan RUU 355 ditangguhkan sehingga sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang dengan alasan masih ada pihak tertentu yang keliru.

Untuk rekod, Rang Undang-undang persendirian meminda Akta 355 itu telah dipercepat di Parlimen pada 26 Mei lalu iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Walau bagaimanapun, Abdul Hadi pada hari terakhir sidang parlimen untuk sesi itu memohon perbahasan itu ditangguhkan pula ke sesi seterusnya ketika membacakan cadangan pindaan berkenaan.

Selepas dua kali Hadi meminta penangguhan, akhirnya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat 'menamatkan' seketika polemik dalam masa sama mengheret pertelagahan antara penyokong Pas dan AMANAH.

Dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2016, 1 Disember lalu, Najib memberitahu pindaan Akta 355 akan diambil alih pihak kerajaan memandangkan ia adalah usul persendirian yang akan dikaji pihak kerajaan.

Pas semakin terpinggir, ahli semakin keliru, dakwa penganalisis

BORHAN AHMAD
Penyokong bawahan Pas kini keliru ke mana mereka mahu di bawa dalam pilihan raya umum akan datang.

Pas kini semakin terpinggir dari arus perdana politik tanah air manakala ahlinya pula keliru dengan apa yang hendak dibawa oleh pimpinan parti itu, kata penganalisis politik.

Menurut kajian lapangan yang dibuat oleh Ilham Centre, ahli Pas tidak tahu ke mana hala tuju Pas sebenarnya menjelang pilihan raya umum akan datang, samada akan bersama dengan Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.
Pas kini terpinggir dari arus perdana politik, dakwa Hisomuddin Bakar
Pas kini terpinggir dari arus perdana politik, dakwa Hisomuddin Bakar
Pengerusi Eksekutif badan kajian bebas itu, Hisomuddin Bakar berkata, kebanyakan ahli bawahan Pas tidak setuju dengan pendekatan kepimpinan parti itu yang dilihat sukar untuk bekerjasama dengan parti pembangkang yang lain apatah lagi mahu bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Ahli bawah yakin, suasana tidak akan memihak mereka jika berlaku pertandingan tiga penjuru dan mereka lebih setuju dielakkan perkara itu dengan memastikan berlakunya pertandingan dua penjuru pembangkang melawan BN," katanya.

Tetapi katanya, dasar yang dibuat oleh Pas untuk tidak mahu sekali-kali bekerjasama dengan DAP dan Amanah menyusahkan Pas sendiri.

"Tindakan pimpinan Pas meletakkan dasar tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan DAP dan Amanah dari awal-awal lagi bagi saya adalah satu kesilapan.

"Ini kerana, politik ini adalah serba mungkin. Apabila sudah dijadikan dasar tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, ia menyebabkan pergerakan Pas akan terhad dan terkongkong dengan perkara ini.

"Jika tiba-tiba boleh pula bekerjasama dengan kedua-duanya, Pas akan dilihat tidak ada pendirian pula," kata Hisomuddin.

Bagi beliau, pendekatan Pas untuk hanya bekerjasama dengan PKR dan Bersatu ketika tidak mahu dilihat bekerjasama dengan rakan kedua-duanya iaitu DAP dan Amanah menyulitkan kedudukan Pas sendiri.

"Ahli biasa Pas atau mana-mana pendokong parti politik lebih senang berfikiran mudah dan jelas bukan berliku-liku," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menjangka kumpulan yang keliru ini akan bila-bila masa boleh menyertai Amanah jika dilihat parti baru saingan Pas itu lebih jelas tindakan mereka.

"Pas boleh kehilangan ahli yang kritikal semacam ini jika terus bersikap begini," kata Hisomuddin.

Menurut Hisomuddin, mesej yang dihantar oleh Pas kepada ahli dan penyokongnya juga mengelirukan.

"Ketika orang nombor satu Pas dan penyokong tegarnya dilihat mendekati pemimpin Umno, orang nombor dua pula dilihat menjauhi dari Umno dan mahu mendekati parti pembangkang yang lain.

"Namun mesej orang nombor dua juga dilihat terkongkong kerana dasar tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah ini.

"Jadi dari hari ke hari Pas dilihat semakin terpinggir dari arus perdana politik tanah air dan ahlinya terus keliru," katanya.
Presiden Pas menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong tegar mereka dalam isu kunjungan ke Iran, kata Dr Bridget Welsh.
Presiden Pas menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong tegar mereka dalam isu kunjungan ke Iran, kata Dr Bridget Welsh.
Seorang lagi pengkaji politik, Dr Bridget Welsh berkata, kekeliruan ahli Pas bertambah dengan isu pemergian presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Iran ketika negara itu dikaitkan dengan serangan terhadap rakyat Syria di Aleppo.

"Saya rasa Hadi kini bermasalah dengan penyokong tegarnya dalam parti yang selama ini anti Syiah dan NGO konservatif yang selama ini menyokong parti itu," kata saintis politik itu.

Sebelum ini, Penasihat Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mendakwa Pas sebuah parti yang keliru.

Namun pandangan ini disanggah oleh ahli parlimen Pas dari Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Bagi beliau Pas tidak keliru kerana sejak dari awal lagi sudah dinyatakan oleh pimpinan Pas mereka mahu bersama blok ketiga bukan kumpulan besar pembangkang atau Barisan Nasional.

"Yang keliru adalah parti dalam Pakatan Harapan dan Bersatu yang masih dok harap Pas akan bersama mereka," kata Mahfuz.

Jika saya tekan butang kunci, ledakkan pasti hancurkan semua - Anina

DALIA ISMAIL
Anina Saadudin
"Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya tekan butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua," amaran Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) Anina Saadudin.

"Jangan sampai saya fikir anda di atas sana lebih teruk dari apa yang ada di sebelah sinun.

"Saya sudah cukup baik selama ini. Saya tidak melayan isu sampah, namun pada masa yang sama anda masih sumbatkan sampah ke mulut rakyat.

"Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya TEKAN butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua," ujar ibu tunggal kepada tiga orang cahayamata ini di laman facebooknya petang ini.

Anina minggu lalu terpalit dengan dakwaan skandal seks apabila 'screenshot' perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan, tersebar dan dalam masa sama beliau digugurkan daripada jawatan Ketua Srikandi oleh Majlis Presiden.

Justeru dalam tulisannya itu beliau seakan menjelaskan jika benar beliau mahu mencari kebahagian, beliau akan memilih lelaki budiman, bukan sampah.

"Jika benar saya mahu kebahagiaan, saya akan pilih lelaki budiman, bukan sampah yang bertaburan apabila tidak dapat apa yang dihajati.

"Ingatlah kepada Allah kerana Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Manusia yang budiman tidak akan meroyan apabila bertepuk sebelah tangan.

"Siang malam melalak kerana dendam hajat tak kesampaian, itu bukan manusia yang baik.

"Saya sendiri yang tentukan siapa raja yang ingin saya pilih untuk bertakhta di hati saya. Saya ingin menjadi permaisuri di hati lelaki budiman, bukan perempuan kepada lelaki bersifat peribadi seperti binatang yang mengamuk umpama serigala gila yang gagal mendapat bunga di taman larangan," ujarnya.

Justeru katanya lagi beliau bersikap mendiamkan diri terhadap tomahan itu tidak bererti beliau kalah.

"Diam tidak bererti saya kalah. Kalah juga tidak bererti saya hilang semuanya. Begitu juga jika saya menang, tidak bererti saya dapat semuanya.

"Jika saya berdiri di hadapan Presiden kepada sebuah parti yang berkuasa tanpa gentar, saya juga akan berdiri di hadapan sesiapa sahaja yang kencing perjuangan saya.

"Jika anda tidak tahu erti keadilan, pembelaan dan sifat keperimanusiaan, anda tidak layak duduk di sebelah saya," ujarnya seperti dipetik.

Menurut Anina nota ditulisnya itu ketika sedang berada di Bagan Lalang bersama anak-anaknya.

"Seronoknya saya melihat mereka berlari dan ketawa sambil mengutip kulit siput untuk dibaling ke laut.

"Saya ingin hidup bahagia bersama insan-insan yang saya sayangi. Itu cukup bermakna buat saya. Kerana itu juga, saya tidak banyak bercerita tentang kehidupan peribadi kepada khalayak. Mereka nyawa saya.

"Saya tidak akan meletakkan mereka di tempat kedua kerana mereka sebab utama kenapa saya berjuang untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

"Bagi saya, kehidupan peribadi bersama insan-insan istimewa dalam hidup adalah territory yang akan saya lindungi dengan nyawa saya sebagai wanita dan ibu," ujarnya meluahkan rasa.

Anina dijangka akan mengadakan sidang media minggu hadapan untuk menjelaskan krisis yang melanda dirinya mengenai dakwaan skandal seks dan jawatan Ketua Srikandi.