"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri curang belasah suami

KAJANG: Seorang suami menerima nasib malang apabila isteri yang dikahwininya bukan saja berlaku curang malah sanggup bertindak membelasahnya menggunakan kayu kaki meja di kediaman mereka di Taman Kajang Ria, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suami malang terbabit cuba bertanyakan perbuatan terkutuk isterinya yang dikesan membawa pulang seorang lelaki ketika ketiadaannya.
Pertanyaan itu menyebabkan wanita berusia lewat 20-an itu tiba-tiba melenting dan mencapai kaki meja yang sudah patah dan membelasah suaminya bertubi-tubi.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila lelaki berusia 31 tahun itu mempersoalkan tindakan isterinya membawa pulang seorang lelaki setiap kali ketiadaannya.

“Menyedari rahsia dirinya terbongkar, isteri mangsa cuba berdolak-dalik hingga berlaku pertengkaran antara mereka sebelum wanita itu naik berang dan mencapai kaki meja di sudut rumahnya dan memukul mangsa tanpa belas kasihan,” katanya.
-hmetro-

‘Serbu’ gereja, PAS tentukan pendirian esok

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan bermesyuarat jam 10.00 pagi esok bagi menyatakan pendirian parti berhubung isu ‘serbuan’ ke atas sebuah gereja oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Bandar Utama, di sini malam Rabu lalu.
Ketika dihubungi FMT, AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan mesyuarat itu akan di adakan esok di Ibu Pejabat parti, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Exco agama kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, yang menyokong tindakan Jais itu, dijangka akan memberi keterangan dalam mesyuarat itu.

Rabu lalu, sekumpulan pegawai Jais dan beberapa anggota polis telah pergi ke Gereja Methodist Damansara Utama untuk mengambil keterangan dari 12 orang Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibbah di gereja itu.

Beberapa akhbar perdana melaporkan bahawa terdapat usaha pihak gereja tersebut untuk membaptiskan (mengkristiankan) masyarakat Islam di sebalik majlis makan malam itu.

“Kami tidak dapat memberi komen atau membuat keputusan sehingga kami mendapat laporan dari Jais dan menemui Hasan Ahli untuk mendapatkan keterangan lanjut daripadanya.

“Kami mahu melihat apa bukti yang beliau (Hasan Ali) hendak kemukakan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor dan juga Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad semalam.

Kenyataan Hasan dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak bersetuju dengan tindakan Jais.

Beliau meminta Jais menyediakan satu laporan berhubung perkara ini dan beliau akan menghadap Sultan Selangor sebelum mengambil sebarang tindakan atau menetapkan pendirian.

Pengarah Jais, Marzuki Husin semalam menafikan melakukan ‘serbuan’ terhadap gereja tersebut tetapi menerangkan bahawa mereka membuat beberapa pemeriksaan dan terdapat percubaan untuk menghilangkan bukti-bukti.

“Ia dilakukan untuk memelihara orang-orang Islam dan saya berharap isu ini tidak menjadi kontroversi. Kami tidak melakukan sebarang tangkapan,” kata beliau, dipetik dari sebuah akhbar perdana.

Menurut laporan beberapa portal berita, Hasan dan pegawai Jais mendakwa usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam telah dan sedang berlaku dan aktiviti-aktiviti ini dilakukan di beberapa buah gereja di negeri Selangor ini.

Kesucian Islam dan umatnya terpelihara dalam Perlembagaan Malaysia dan orang-orang bukan Islam dilarang untuk berdakwah kepada orang-orang Islam.

'Kami diberi Bible versi melayu'

BUKTI...antara risalah dan kitab Kristian yang diberikan gereja kepada wanita berkenaan.

BUKTI...antara risalah dan kitab Kristian yang diberikan gereja kepada wanita berkenaan.
KUALA LUMPUR: Beberapa individu beragama Islam yang menyertai aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Seksyen 13, Petaling Jaya, ketika pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan malam kelmarin, hanya sebahagian kecil yang berjaya dikesan, manakala sebahagian besar golongan itu dipercayai menyertainya secara sembunyi atau ‘bawah tanah’.

Kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu dan golongan mualaf yang menyertai kumpulan berkenaan disebabkan kesempitan wang untuk menyara diri dan keluarga serta gagal mendapat bantuan daripada pihak berwajib.

Mereka menyertai kegiatan keagamaan berkenaan secara senyap-senyap di premis persendirian termasuk rumah kedai dan dewan komuniti, bukan saja di Lembah Klang, malah pergerakan ‘bawah tanah’ ini sudah berkembang di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Ia didedahkan sendiri seorang wanita Melayu yang mengikuti kumpulan itu sejak lebih setahun lalu, selepas dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mampu membiayai keperluan seharian.

Katanya, pendakwah kumpulan berkenaan membantu mereka dengan memberi seberapa banyak wang diperlukan dan selepas itu, mereka memujuk individu yang sudah diberi bantuan menyertai program keagamaan mereka.
-hmetro-

JAIS, Pisang berbuah dua kali dan disegat dua kali pada lubang sama

mohdnoorawang

ISU paling panas dalam bulan Ramadam 1432H yang putarkan oleh media arus perdana dan semua tv milik BN/UMNOapco ialah " JAIS ( Jabatan Ugama Islam Selangor) MENYERBU MAJLIS MAKAN MALAM DI GEREJA METHODIST DAMANSARA (DUMC)."


Dalam ruang waktu yang terhad dan kita umumnya tidak tahu apa yang berlaku "Serbuan JAIS". Kita tunggu laporan JAIS dan menteri besar Negeri Selangor Tan Seri Khalid bakal mengadap Kebawah Duli Tuanku"Serbuan Jais ketada Gerja DUMC".

Dalam insiden "Serbuan JAIS ke atas Gereja DUMC" adalah salat satu tindakkan secara halus oleh musuh politik pakatan rakyat Selangor untuk dijadikan "ISU BESAR" dan INSITIUSI UGAMA ISLAM DAN SULTAN" yang menjadi ketua ugama disesebuah negeri.

Dalam serbuan JAIS telah berlaku dua kali yang menjadi isu nasional. Pertama isu serbuan semasa bekas Mufti Perlis Datuk Dr Asri memberi kuliah ugama. Kedua seperti apa yang dilaporka akhbar arus perdana dan media tv milik kerajaan BN/UMNOapco "Serbuan Gereja DUMC".

Insiden tersebut saolah-olah mengambarkan kepada umum kerajaan pakatan rakyat Negeri Selangor dan exconya Datuk Dr Hasaan Ali gagal mentadbir dan tiada kata bersama exconya dengan pegawai JAIS. Mungkin ada kebenaran Exconya Hasan Ali tidak dapat kerjasama sepenunya dengan sebahagian kakitangan yang berada di JAIS.

Namun dalam episod yang berlaku dan telah berlaku Exconya dan JAIS perlu mengambil pelajaran dan pengajaran seperti yang diperkatakan oleh Datuk Ustaz Haji Tuan Ibrahim Tuan Man Ketua penerangan PAS pusat:-
Pertama: Jangan mereka terlalu cepat percaya dan mempercayai FITNAH tampa SIASATAN terlebih dahulu.

Kedua; Jangan kita melaksanakan sesuatu benda atau perkara yang boleh mengundang FITNAH .

Kesimpulannya manusia digalakkan bersangka baik terhadap sesama sendiri dan cuba elakkan diri daripada melakukan sesautu yang boleh menimbulkan FITNAH.

Negeri Selangor adalah sasaran utama BN/UMNO dalam rangaka menawan semula PRU13 oleh BN/UMNO Selangor. Mesti ada tangan tangan yang jahat dan terutama kumpulan yang bernama UMNO/Melayu mencari jalan bagi menjadi isu dan hujah untuk meruntuhkan kerjaan Selangor di bawah menteri besarnya Tan Seri Khalid.

Kesimpulan rakyat Ngeri Selangor dan seluruh penyokong pakatan rakyat agar pemimpin tertinggi pakatan rakyat berhati hati dalam tindakkannya jangan dijadikan isu murahan yang dipolimikkan oleh barua media BN/UMNOapco yang berniat jahat dan pengkianat.

Dan kerajaan Negeri Selangor menteri besar Tan Seri Khalid dimimta membuat satu kenyataan yang betul "Insiden Serbuan Gereja DUMC. Bagi exconya Datuk Dr Hassan Ali perlu ada kawalan dan setiap tindakkannya. Rakyat meletakkan kepada Dr Hasaan ada kaitannya.

"rakyat selangor melihat dan rakyat malaysia melihat dr hassan ali ada sedikit "RUANG KOSONG ATAU VACCUM DIANTARA EXCONYA DAN JAIS.

Bonus kakitangan awam petunjuk pilihan raya umum

Pentadbiran Najib berdepan satu cabaran dan peluang baharu apabila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut bonus dua bulan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, isu yang berpotensi besar untuk dikait dengan politik.




Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, isu bonus kakitangan awam yang melibatkan lebih 1 juta orang memberi impak yang besar kepada sentimen sokongan terhadap pemerintah.

Rakyat Malaysia mengalami kos hidup yang semakin meningkat ekoran peningkatan harga pelbagai barangan keperluan sejak kebelakangan ini, sehingga kos hidup dijadkan salah satu bidang keberhasilan utama nasional oleh pentadbiran Najib.

Kakitangan awam yang sejak kebelakangan ini tidak menikmati bonus sekali lagi melahirkan harapan untuk menerima ganjaran tersebut, ekoran tuntutan terbaharu Cuepacs, yang segera mendapat reaksi daripada pelbagai pihak.

Isu pemberian bonus juga semakin diperkatakan selepas Felda mengumumkan pemberian hadiah wang tunai kepada setiap peneroka sempena hari raya sebanyak RM400, tindakan yang dilihat untuk mengambil hati peneroka.

Felda berdepan kempen negatif daripada pakatan pembangkang, diketuai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan yang lebih dikenali sebagai Anak pimpinan aktivis PAS, Mazlan Aliman.

Felda meningkatkan kempen penerangan yang turut melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kebelakangan ini apabila kempen Anak kelihatan semakin menerima respons positif peneroka.

Sebelum ini, perhatian kepada guru turut mencetuskan persaingan antara pemerintah dengan gabungan pembangkang, dengan Pakatan Rakyat menjanjikan ganjaran sekiranya mengambil alih pemerintahan pusat dan kerajaan memberi ganjaran untuk mengatasi janji pembangkang.

Keputusan sama ada bonus diberikan, dan jumlah ganjaran yang bakal diputuskan Putrajaya nanti dijangka mengundang reaksi segera dan meluas yang berpotensi memberi kesan kepada populariti kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib, sesuatu yang akan dilihat dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-13.

Pentadbiran Najib dijangka mengambil kira dengan serius pemberian bonus ekoran implikasi politik yang besar tindakan ini, yang bakal menjadi pemberian terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Pelbagai pihak termasuk penyokong pemerintah kini turut mendesak pemberian bonus, ketika rakyat berdepan tekanan peningkatan kos hidup dan terutama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Cuepacs juga menegaskan pemberian bonus dan bukan pemberian-pemberian lain seperti sebelum ini, yang jumlahnya jauh kurang berbanding bonus seperti yang dituntut.

Isu gaji, kos sara hidup melibatkan harga perkhidmatan, tenaga dan bahan keperluan seperti makanan dan petrol menjadi kempen utama pakatan pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-12, dan dijangka akan terus menguji pemerintah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Saiz perkhidmatan awam negara yang besar dan menelan perbelanjaan banyak menjadi satu isu yang kompleks ekoran pelbagai implikasi yang mampu dicetuskan.

Perkhidmatan awam menerima kritikan sebagai tidak memenuhi potensi dari segi kecekapan dan turut mencetuskan sentimen kaum ekoran sebahagian besar kakitangan awam ialah orang Melayu.

Kerajaan Malaysia sendiri mempunyai jumlah menteri kabinet yang ramai berbanding aktiviti dan jumlah rakyat negara ini. Sebagai contoh, dalam bidang pendidikan, selain Kementerian Pelajaran, diwujudkan juga Kementerian Pengajian Tinggi, di samping pelbagai portfolio yang kelihatan tidak jelas dan tidak diletakkan di bawah kementerian yang sewajarnya.

Isu JAIS serbu gereja : Jangan lupa ISU AGENSI KERAJAAN gadaikan keselamatan neg

Sofi Wahab
Heboh 1Malaysia JAIS menyerbu sebuah gereja di Selangor kerana didakwa menyebarkan agama kristian kepada umat Islam. Kita tidak tahu samada ianya benar-benar berlaku. Ianya mesti disiasat. Jika benar berlaku perkara demikian maka ianya sesuatu yang serius. Saya tidak mahu komen lebih lanjut tentang perkara itu, kita tunggu laporan lengkap dari pihak yang terlibat iaitu JAIS, Dr Hassan Ali dan Kerajaan Negeri Selangor.

Saya cuma ingin mengingatkan saudara-saudara kita di Selangor bahawa di sana satu isu yang sangat besar yang tidak boleh dilupakan. Rakyat juga mesti sentiasa diingatkan supaya mereka tidak lupa dan tidak sedar akan kebejatan dan kezaliman yang dilakukan.

Isunya tidak lain tidak bukan ialah keselamatan negara iaitu memberikan hak warganegara dan hak mengundi kepada rakyat asing dengan sewenang-wenangnya. Maruah dan keselamatan negara digadaikan oleh puak-puak yang tamakkan kuasa. Mereka mengenepikan keselamatan dan maruah negara semata-mata kerana mabuk kuasa dan takut kehilangan kuasa.

PAS dan PR Selangor mesti memainkan isu-isu ini semaksima mungkin bagi memastikan rakyat sedar akan kebobrokan yang dilakukan oleh pihak terbabit. Kalau boleh segerakan tindakan saman di mahkamah. Jangan biarkan manusia jahat dan mabuk kuasa ini terus bermaharajalela menggunakan sedikit kuasa dengan sesuka hati.
 

Mat Sabu tak berkerusi roda lagi

Selepas tiga minggu menjalani pembedahan menyambung ligamen belakang lututnya yang terkoyak, kecederaan yang dialami Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu semakin sembuh.

Walaupun masih lagi bertongkat sewaktu berjalan, beliau kini tidak lagi memerlukan bantuan kerusi roda hari untuk bergerak.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Mohamad berkata perubahan tersebut dialaminya sejak tiga hari lalu.

"Saya boleh jalan biasa, tetapi (tapak kaki sedikit) mendatar, dan (berjalan) tidak dalam jarak yang jauh.

"Tetapi masa naik dan turun tangga (rumah) masih perlu kepada tongkat," katanya dengan nada gembira dengan perkembangan terbaru itu.

Sebelum ini dilaporkan Mohamad menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk membetulkan ligamen lututnya yang terkoyak akibat dirempuh kenderaan polis dalam perhimpunan BERSIH 2.0 bulan lalu.

Oleh itu, doktor telah memasukkan skru sepanjang 2.5 inci ke belakang pelipat lutut kanannya yang mengalami kecederaan.

Kemudian, kunjungan Malaysiakini di rumahnya di Shah Alam - seminggu selepas pembedahan - Mohamad sudah mampu mengangkat, melunjurkan kaki di atas sofa dan terhencot-hencot sewaktu berjalan dengan bantuan tongkat.

Dalam pertemuan itu, beliau menjangkakan kecederaannya akan pulih dalam tempoh satu hingga dua bulan.

"Sekarang (saya) tak menggunakan kerusi roda... Lepas Hari Raya Aidilfitri, (mungkin) tak pakai tongkat lagi," katanya semalam.
-malaysiakini-

Kes Fitnah II : Nurul Izzah Desak Najib, Rosmah Ke Mahkamah


KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor perlu hadir ke mahkamah bagi kes fitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Izzah berkata,  Najib dan Rosmah perlu berbuat demikian bagi membersihkan nama mereka yang terpalit sebagai dalang dan konspirasi dalam kes tersebut.

“Seharusnya tidak ada masalah untuk datang ke mahkamah, kemukakan dan bagi bukti. Pada saya, kalau boleh jumpa si pengadu sebelum kes berlangsung, takkan tidak (boleh jadi saksi) , lebih-lebih lagi tampil di mahkamah untuk kemukakan keterangan,” 
katanya.

 Ditanya sekiranya Najib dan Rosmah berdolak dalik untuk tidak hadir ke mahkamah, beliau yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyifatkan tindakan itu hanya akan memburukan lagi imej pemimpin negara itu yang sememangnya sinonim dengan karektor pemimpin BN.

“Dolak-dalik adalah perkara yang konsisten di bawah kerajaan Barisan Nasional, saya tidak begitu optimis, tapi saya mengharapkan  respon positif daripada Perdana Menteri,” Nurul Izzah berkata demikian ketika ditemui selepas  sidang media dengan Persatuan Komuniti Peniaga Brickfields (BBCS) semalam .

Najib sebelum ini bertemu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008, dua hari sebelum beliau membuat laporan polis mendakwa diliwat.

Beliau turut bertemu pembantu peribadi Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar seperti mana yang didedahkan pegawai penyiasat DSP Jude Pereira ketika perbicaraan Mac lalu.

Kelmarin, Najib dan Rosmah enggan hadir sebagai saksi dalam kes perbicaraan itu, kecuali dengan sepina mahkamah.

Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain Najib dan Rosmah, Anwar mahu menemubual bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dan Hasanuddin Abd Hamid, pemilik unit kondominium di mana kejadian liwat didakwa berlaku.

Anwar juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum memberikan keterangan pada Isnin. Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos.
-tvsnews-

Bersih :Mat Zal cerita detik disepak terajang polis

IZWAN ABDUL HALIM & MUHAMMAD ARIFF ISMAIL

KEGANASAN polis terhadap beliau dapat disaksikan pada banyak gambar dan video BERSIH 2.0. Muhamad Zal Ismail, 38 tahun yangjuga merupakan Ketua Pemuda PAS Cawangan Kampung Pantai Cicar, Kawasan Merbok, Kedah menceritakan semula detik keganasan polis ke atasnya.

Menurut Muhamad Zal, semasa Himpunan Aman BERSIH 2.0 itu, beliau berada di Maybank Pudu Raya. Setelah pihak polis menggempur peserta Bersih, beliau turut berundur ke Jalan Pudu. Di situ, beliau telah berada di sebalik palang menyaksikan polis memprovokasi peserta dan menunggu sahabat-sahabatnya yang lain.

Bagaimanapun katanya, polis datang kepada beliau dalam jumlah yang ramai. Beliau ditarik dari sebalik palang lalu jatuh dan ketika itu walaupun tanpa melawan, Muhamad Zal telah ditumbuk terajang. Katanya, sehingga hari ini masih berbekas kesan tapak kasut anggota polis yang menendangnya.

Kepalanya juga dipukul hingga berdarah, tetapi beliau tidak menyedari pendarahan itu melainkan rasa sakit. Beliau tidak pasti alat digunakan tetapi beberapa saksi yang melihat menyatakan bahawa dia dipukul menggunakan sejenis alat besi dipanggil “buku lima.” Pihak polis ujar beliau, menyiram kepalanya dengan air mungkin untuk mengurangkan kesan darah.

Di dalam banyak gambar dan video yang diperolehi, kelihatan seorang anggota dengan vest kuning polis menutupi kepalanya dengan topi. Pun begitu ujar Muhamad Zal, topi tersebut bukan miliknya, tetapi berkemungkinan polis cuba melindungi kesan luka berdarah di kepalanya dengan topi tersebut.

Beliau kemudian dibawa ke trak polis yang berjarak lebih 100 meter dan di sepanjang jalan itu beliau disepak terajang serta dimaki hamun polis sebagai pengkhianat negara. Beliau ditahan di Pulapol dan dibebaskan sekitar jam 8 malam.
-detikdaily-

Mr. Bean terlibat kemalangan

BAHAGIAN depan kereta Rowan Atkinson yang remuk.
CAMBRIDGE, Britain: Pelakon komedi terkenal, Rowan Atkinson hampir maut apabila kereta mewah yang bernilai £650,000 (RM3.19 juta) yang dipandunya terbabas, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemegang watak Mr. Bean yang memandu kereta McLaren F1, 56, itu berpusing sebanyak tiga kali dan melanggar pokok dan papan tanda kelmarin dekat kampung Haddon, barat England.

Dia keluar dari kereta itu dengan mengalami kecederaan kecil. Keretanya turut terbakar dalam kejadian itu.

Atkinson dibawa ke sebuah hospital untuk menjalani pemeriksaan rutin.

Dia sebelum ini pernah terlibat dalam kemalangan pada tahun 1999 di Lancashire.  
-Agensi-

Akhbar Jakarta: Besan Rosmah ada hubungan Mafia Rusia


KUALA LUMPUR: Sebuah portal berita Jakarta, Kompas.com mendakwa bakal besan Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai pertalian dengan organisasi mafia Rusia.
Walaupun tiada sebarang perincian diberikan, portal berita itu mendakwa Rosmah kerap kali bercuti dengan bakal besannya itu yang dikenali sebagai Maira Nazarbayez.
Maira Nazarbayev adalah ibu kepada Daniyar Nazarbayev, tunang kepada Noryana Najwa, anak perempuan kepada Rosmah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Maira Nazarbayev yang memiliki gaya hidup ala Imelda Marcos konon memiliki kaitan dengan organisasi mafia Russia. Maira Nazarbayev kerap bepergian bersama Datin Rosmah,” lapor Kompas.com
Rencana yang sama turut menyentuh tentang dakwaan pembelian cincin bernilai USD24 juta oleh Rosmah daripada syarikat Jacob dan Co.
Lapor rencana itu lagi, pengasas Jacob dan Co iaitu Jacob Arabo, adalah  seorang Yahudi dari Uzbekistan yang beberapa kali dikehendaki pihak berkuasa kerana terlibat dalam kegiatan membersihkan wang haram.
“Mungkinkah kes cincin berlian USD24 juta dollar ini nanti menjadi pintu perubahan dan demokratisasi Malaysia? Hanya rakyat Malaysia sendiri menentukan,” tulis rencana itu.
Rosmah sebelum ini memang dikenali dengan citarasa mewahnya yang berbelanja sakan apabila melancong dengan menyertai rombongan rasmi kerajaan ke luar negara.
Beliau dilapor pernah menghabiskan kira-kira RM100,000 semalam untuk sewa bilik Hotel Atlantis di Dubai dan beliau juga didakwa pernah mengarahkan sebahagian gedung Harrods di London ditutup untuk memudahkannya membeli-belah.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga dilaporkan menggunakan tas tangan Birkin Hermes yang berharga USD120,000 dan memerlukan pembelinya menempah dan menunggu selama enam tahun sebelum dapat memilikinya.
Laporan mengenai Rosmah yang disiarkan Kompas disini

Patutlah Utusan Meloya bersungguh mempertahankan Dr Rosti Mantan NC UNISEL


Utusan Meloya bersemangat memainkan isu perletakan jawatan Dr Datuk Dr Rosti Saruwono dari jawatan Naib Cancelor Universiti Selangor (Unisel).

Alasan yang diberi oleh Dr Rosti adalah:

"Sah saya letak jawatan berkuat kuasa 3 Ogos (esok). Ada keputusan yang tidak sanggup saya laksanakan iaitu melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa memberi sebab dan tanpa mengikut proses. Selamat berpuasa," katanya kepada Utusan Malaysia melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Ketiga-tiga orang yang tidak sanggup dipecat oleh Dr Rosti adalah:

1.0 Pendaftar, Rokmaa Mat,
2.0 Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman
3.0 Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah

Apa yang tidak dilapurkan oleh Utusan Meloya adalah Rokmaa Mat adalah Mak Saudara kepada bekas Menteri Besar, Khir Toyo.

Ketiga-tiga orang ini telah disiasat oleh sebuah Jawatankuasa yang dilantik oleh Mesyuarat Exco Selangor. Dikatakan laporan dari Jawatankuasa itu membuktikan terdapat banyak kes salahlaku yang melibatkan kewangan serta pemberian kontrak dan juga masalaah moral.

Maklumat yang Tulang Besi dapat adalah disebabkan Rokmaa Mat ini mak saudara kepada Khir Toyo, beliau amat berkuasa di Unisel. Sehingga segala-gala yang berlaku di Unisel dikawal oleh beliau.

Dikatakan juga, Dr Rosti pula adalah seorang penyokong tegar UMNO. MB melantik beliau kerana ingatkan beliau seorang yang professional dan komited kepada tugas Naib Cancellor.

Namun, apabila menduduki jawatan tersebut, beliau terus menyokong “geng UMNO” dan membiarkan Unisel ditadbir seolah-olah Selangor masih diperintah UMNO. Dan Rokmaa Mat ini terus bermaharajalela.

Itu maklumat yang Tulang Besi dapat dari sumber dalaman kerajaan Selangor sendiri.

Bayangkan berapa kali Nurul Izzah tidak dibatalkan program beliau di Unisel. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim. Dengan kata lain, Dr Rosti meneruskan penguasaan UMNO ke atas Unisel melalui Rokmaa Mat.

Dan dalam setiap pentadbiran UMNO, mesti ada korupsi. Atas sebab2 ini juga ketiga-tiga di atas mahu dipecat.

Tak hairanlah Utusan Meloya bersungguh-sungguh mempertahankan beliau.

Faktanya adalah Dr Rosti tidak mahu memecat beberapa nama yang salah seorangnya mak saudara Khir Toyo.

Hairan juga. Arahan untuk memecat ketiga-tiga orang ini bukan datang dari MB Selangor. Ianya diputuskan dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh MB Selangor, pegawai2 kerajaan, Dr Rosti sendiri serta kesemua Timbalan Naib Cancelor di Bangunan SUK.

Laporan dari JK Exco itu telah dibentang dalam mesyuarat tersebut bersama-sama dengan segala bukti yang beliau perlu.

Juga, dalam mesyuarat itu, Dr Rosti tidak membantah. Tidak mempersoal hasil laporan JK yang ditubuh Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.

Namun, tiba-tiba beliau letak jawatan dan tidak mahu melaksanakan keputusan yang dipersetujui bersama itu. Beliau tuduh pula keputusan itu tanpa sebab dan tidak mengikut proses.

Maka, apabila beliau kata pemecatan itu "tanpa sebab dan tidak mengikut proses" jelas beliau BERBOHONG. Sudah ada JK Khas yang ditubuh Exco bagi menyiasat ketiga-tiga orang ini.

Jelas, perletakan Dr. Rosti adalah kerana beliau tidak sanggup menghapuskan legasi UMNO dalam Unisel. Itu sahaja. Mungkin beliau rasa beliau akan khianat pada UMNO kalau ketiga-tiga orang ini dipecat.

Exco terima surat ugutan berisi peluru

KULIM: Anggota Exco Kedah Lim Soo Nee menerima kejutan hari ini apabila menemui sepucuk surat mengandungi nota ugutan dan sebutir peluru di pejabatnya, di Taman Kemuning di sini.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata anggota dewan undangan negeri (Adun) kawasan Kulim itu, menemui surat tersebut di atas tangga menuju ke pejabatnya kira-kira 9.45 pagi tadi.

“Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan ketika itu mahu naik ke pejabatnya di tingkat atas bangunan dua tingkat dan menemui sampul surat yang tertulis ‘kepada Adun’ diatas tangga.

Tidak puas hati

“Beliau kemudian mengambil surat itu lalu membawanya ke pejabat sebelum membuka dan menemui nota serta peluru tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Ghuzlan berkata nota itu antara lain mengandungi rasa tidak puas hati terhadap dua pembantu Lim yang menerima anugerah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Kedah baru-baru ini.

Pihak terbabit juga mengugut Lim agar tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kata Ghuzlan.
Beliau berkata polis kini mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam penghantaran surat ugutan tersebut.

Kedua-dua lelaki berkenaan dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di pejabat Adun berkenaan, katanya.

Kenapa IC merah bertukar biru kurang 24 jam

Hazayani Zakaria
SHAH ALAM, 5 Ogos: PAS Selangor akan membuat laporan polis petang ini berhubung dakwaan Penduduk Tetap (PR) yang memegang kad pengenalan merah didaftarkan sebagai pengundi.

Sepanjang tempoh bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ke-2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu, PAS Selangor mengesan seramai 1,108 PR berdaftar sebagai pengundi.

Jumlah ini daripada 1,860 nama yang dibantah atas pelbagai sebab.
Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbohong kononnya nama-nama tersebut tidak dikemaskini oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"SPR kata guna Agency Link Up System (Alis) dengan JPN tapi kalau dalam JPN tak ada nama-nama ini sebagai pemegang kad pengenalan biru, bagaimana mereka boleh didaftar sebagai pengundi?" soalnya pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor mengesan nama-nama tersebut pada 1 Julai namun terkejut apabila mendapati kesemua mereka di dalam rekod JPN telah bertukar status sebagai warganegara keesokan harinya.

"Kenapa pemegang kad pengenalan merah boleh bertukar kepada biru dalam masa kurang daripada 24 jam?" Soalnya lagi.

Beliau juga kesal dengan pihak polis yang belum menyatakan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat berhubung warga Indonesia dan Kemboja diberi kad pengenalan dan borang daftar pemilih yang berlaku di Dun Paya Jaras dalam Parlimen Subang.

Menurutnya, pihaknya menangkap seorang penduduk luar Selangor yang ditemui sedang mengedarkan kad pengenalan dan borang kepada sekumpulan warga Indonesia dalam sebuah rumah pada tengah malam.

Satu kes lagi ialah individu yang datang dari Johor mengedarkan kad pengenalan kepada rakyat Kemboja.

Kedua-dua kes ini berlaku pada Februari lalu manakala sekitar akhir bulan lalu,pihaknya mendapati warga asing mengambil kad pengenalan di Kuala Selangor.

"Kita sudah buat laporan polis tapi masih belum ada tindakan yang diambil dan kita tidak tahu kes ini disiasat atau tidak," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan negara dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat negara ini.

"Jika kerakyatan sedang digadai untuk kemenangan BN, ini satu pengkhianatan yang sangat teruk.

"Bagi negara demokrasi, orang yang melakukan kerja ini boleh dihulum dengan hukuman berat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III.

Kalimah suci dihina: Majlis Perbandaran Dungun makan gaji buta

awang_ja
JANGAN TERKEJUT !! Gambar ini dirakam pada 02 Ogos jam 1 tengahari di laluan utama projek menaiktaraf jalan Sura Gate - Kuala Dungun.Keadaan ini berlarutan sudah lima hari sebelum gambar ini dirakam tanpa pemantauan dan tindakan daripada pihak yang berwajib seperti Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan juga Pejabat Agama Islam Dungun.


Tidak pasti adakah semua ini terlepas pandang atau kurang prihatin dan peka kejadian yang amat memalukan ini.


Adakah pihak MPD akan segera bertindak bilamana jika signboard itu tertera gambar pimpinan Umno BN Dungun.Nescaya sudah tentu kontraktor ini akan disaman atau disenaraihitamkan akibat sikap sambil lewa ini.


Rakyat Dungun sedia maklum kepantasan dan keaktifan pihak MPD dalam memantau kawasan perbandaran terutama yang melibatkan para peniaga dan juga landskap.Baner-baner yang dipasang oleh pihak yang tak sehaluan dengan pihak Umno BN Dungun akan segera dibuang jika menyakitkan mata memandang dan juga membacanya.

Cerita selanjutnya dan gambar-gambar tempat lokasi..klik DI SINI

PAS S'gor Desak Tubuh RCI Siasat JPN


SHAH ALAM, 5 OGOS: Semakin banyak pembongkaran salah laku data daftar pengundi dikesan muktahir ini terutamanya yang melibatkan warganegara asing menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Dakwaan pemberian status kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu kini mencuri tempat selepas gabungan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat menggerakkan jentera mengumpul segala bukti bagi mengukuhkan dakwaan tersebut.

Sehubungan itu, Pas Selangor hari ini mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salahgunakuasa oleh JPN yang dianggap menguggat kedaulatan negara.

"Saya yakin selepas insiden ini rakyat merasa sangat keliru dan bimbang dimana keselamatan pengeluaran kad pengenalan kita," kata Setiausaha Pas selangor Mohd Khairuddin Othman pada sidang media tadi.

Menurut Mohd Khairudin, pihaknya telah mengadakan sebanyak 1,860 bantahan terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ke 2 tahun 2011 yang tamat pada 2 Julai lalu.

Antara perkara yang disuarakan termasuk SPR sengaja tidak menyertakan alamat lengkap pengundi selain dakwaan terdapat pihak tertentu yang membawa masuk pengundi-pengundi yang tidak berkelayakan ke negeri Selangor.

Ini termasuk dakwaan bahawa SPR gagal memasukkan seramai 240 nama pengundi Cina yang telah didafarkan sebagai individu layak memilih.

"Melebihi 240 nama yang kita daftarkan tapi tidak keluar dalam rang daftar pemilih untuk suku kedua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata pihaknya baru-baru ini berjaya mengesan kelibat mengedar kad pengenalan biru kepada warga Indonesia dan Kemboja di DUN Paya Jaras.

Dalam dua kejadian yang berasingan itu Khairuddin berkata, seorang individu tempatan dipercayai menjadi agen pengedaran kad pengenalan dan borang permohonan warganegara kepada yang lain.

Kata beliau, setelah kad pengenalan biru tersebut dimasukkan ke dalam pengimbas cip, nama yang tertera adalah betul namun perkara yang mengejutkan apabila pihaknya menyemak dilaman web JPN, kesemua nama tersebut berstatus Penduduk Tetap (Merah).

"Yang peliknya apabila kita ambil kad pengenalan ini dan dimasukkan dalam pembaca kad, ianya dapat dibaca. Tapi bila kita semak dalam laman web JPN, kad pengenalan merah," kata beliau.

Pas sebelum ini telah menyenaraikan 610 nama yang dikesan memiliki kad pengenalan berwarna merah di dalam senarai layak mengundi SPR.

Berdasarkan pecahan, DUN Semenyeh mendahului dengan 261 pengundi diikuti DUN Paya Jaras 225 pengundi, DUN Kajang 140 pengundi dan DUN Dusun Tua 49 pengundi.

Kejadian pada 2 Julai lalu turut disentuh Mohd Khairuddin apabila berjaya mengesan rekod kerakyatan Penduduk Tetap bagi 610 orang warganegara asing bertukar kepada warganegara dalam masa 24 jam setelah Pas mendedahkan perkara tersebut kepada media.

Walhal menurutnya, proses menukar status kad pengenalan memerlukan kehadiran secara fizikal individu tersebut untuk diimbas menerusi sistem biometrik.

"Tan Sri SPR menyebut bahawa JPN tidak kemaskini data. Kalau data tidak dikemaskini, kenapa nama-nama ini boleh ada dalam Rang Daftar Pemilih yang disebut telah disaring dan diproses?" ujar beliau.

Justeru, Pas menyatakan kebimbangan berdasarkan jumlah individu layak mengundi yang memegang kad pengenalan merah kian bertambah saban hari akibat tindakan meragukan oleh JPN dan SPR.

Oleh yang demikian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa untuk tampil memberi penjelasan kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara yang semakin membimbangkan.

Sejurus sidang media itu tadi, Pas membuat laporan polis terhadap JPN untuk menyiasat dalam disebalik konsporasi yang dipercayai menjaga kepentingan kerajaan.
-tvsnews-