"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

14 pelajar sekolah antara 61 ‘Geng 360’ ditahan

TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
61 individu yang ditahan dalam satu upacara pelantikan kumpulan kongsi gelap di rumah kedai Sungai Besi hari ini.
KUALA LUMPUR – Seramai 61 individu termasuk 14 remaja ditahan dalam satu upacara pelantikan ahli baharu bagi satu kumpulan kongsi gelap di sebuah rumah kedai sekitar Salak Selatan, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Kesemua mereka ditahan selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menjalankan serbuan di lokasi rumah pukul 11 pagi tadi.

Dalam serbuan terbabit, sekumpulan individu yang berada di premis tersebut dipercayai sedang menunggu kehadiran ahli baharu yang disyaki mempunyai kaitan dengan ‘Geng 360’.
 tersebut hadir bagi direkrut oleh ahli senior kumpulan berkenaan.

Mereka yang hadir dalam upacara itu terdiri daripada 47 lelaki berusia antara 91 sehingga 59 tahun manakala 14 lagi remaja yang berstatus pelajar sekolah.

Difahamkan, beberapa ahli kumpulan sedia ada juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Kumpulan terbabit dipercayai menggunakan nama persatuan yang berdaftar bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai taktik melindungi kegiatan mereka dari dikesan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, polis juga merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam upacara angkat sumpah tersebut.

Kesemua suspek yang ditahan telah dibawa IPD Cheras untuk tindakan lanjut.

Ads by Kiosked
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa ketika dihubungi mengesahkan mengenai serbuan yang dijalankan ke atas ‘Geng 360’ berkenaan.

Ujarnya, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE.

3 lelaki ditahan disyaki terbabit 8 kes ragut barang kemas

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Subang Jaya: Tiga lelaki disyaki terbabit dengan lapan kes ragut barang kemas di dalam daerah ini ditahan dalam serbuan berasingan di sini dan sekitar Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan mendakwa rantai emas bernilai RM30,000 miliknya dilarikan individu tidak dikenali pada 12 Oktober.

"Mangsa mendakwa disamun seorang suspek lelaki.

"Pada 6.45 pagi semalam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya membuat tangkapan ke atas tiga suspek dalam serbuan berasingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an adalah lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes ragut berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati salah seorang suspek bekerja sebagai penghantar dokumen manakala dua lagi pembeli emas dan pembantu kedai emas.

Wan Azlan berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes ragut barang kemas di daerah Subang Jaya dengan tertangkapnya suspek terbabit.

"Pasukan serbuan merampas beberapa utas barang kemas, resit pembelian barang kemas dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC.

"Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik manakala seorang lagi tiada rekod lampau.

"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes-kes di daerah lain," katanya.

Menurutnya, salah seorang suspek direman tiga hari manakala selebihnya direman sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tanpa '3 kunci' bumi Gaza kekal sengsara

Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@mediaprima.com.my
PENDUDUK Palestin yang dipindahkan dari tempat perlindungan di Beit Hanoun melalui jalan utama Salaheddine ke Jabalia di utara Semenanjung Gaza berikutan perintah pemindahan tentera Israel pada 12 November 2024, di tengah-tengah perang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin yang dipindahkan dari tempat perlindungan di Beit Hanoun melalui jalan utama Salaheddine ke Jabalia di utara Semenanjung Gaza berikutan perintah pemindahan tentera Israel pada 12 November 2024, di tengah-tengah perang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. FOTO AFP
Donald Trump yang pernah memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh 2017 hingga 2021, bakal kembali ke Rumah Putih tahun depan.

Trump sebelum ini dikenali dengan polisi 'keras' terhadap imigran selain polisi ekonomi yang diperkenalkan sedikit membimbangkan ahli ekonomi dan rakan dagang AS.

Namun, tumpuan kali ini lebih terarah kepada apa perubahan yang Trump boleh bawa ke atas peperangan di Timur Tengah khususnya Gaza.

Al Jazeera melaporkan, Trump berjanji untuk menghentikan perang di Gaza, menamatkan pertempuran selama setahun yang telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin.

Ia juga telah merebak ke Lubnan, Yaman, dan negara lain yang berdekatan.

Menurut laporan itu, walaupun Trump serius untuk mengotakan janjinya, peluang untuk menamatkan perang Israel dengan Hamas di Gaza adalah rendah dan pertempuran berkemungkinan berterusan.

Katanya, walaupun Hamas menawarkan perjanjian penarikan tebusan, dengan syarat yang menguntungkan Israel, tidak mungkin Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan bersetuju.

Di pihak Palestin, memulakan perdamaian dan melaksanakannya mungkin sedikit sukar.

Ini kerana Israel telah membunuh Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar, Mohammed Deif, dan pemimpin Hamas lain, serta banyak komander peringkat rendah.

Hasilnya adalah kekosongan kepemimpinan.

Malah, mana-mana pemimpin di Gaza yang cuba menyatukan kawalan di Semenanjung Gaza mungkin berdepan serangan peluru berpandu Israel.

Presiden AS ketika ini, Joe Biden dilihat lebih 'kuat' memberi tekanan ke atas Israel berbanding Trump, namun beliau juga gagal membuat rundingan gencatan senjata.

Lebih menyukarkan hasrat menghentikan peperangan di Gaza ini apabila timbul desas-desus Trump bakal melantik orang kuatnya, yang sebahagiannya adalah penyokong kuat Israel.

Antara nama yang disebut adalah Marco Rubio iaitu senator Florida. Dia dikatakan bakal memegang jawatan Setiausaha Negara yang antara lain mengendalikan polisi luar AS yang lebih tegas mengenai pendirian terhadap Timur Tengah dan China.

Selain itu, Mike Huckabee turut disebut bakal menyertai Kabinet Trump yang dikhabarkan bakal berkhidmat sebagai duta AS ke Israel.

Dia memiliki pegangan kuat menentang gencatan senjata dengan Hamas dan menyokong pengilhakan penempatan Israel di Tebing Barat.

Di pihak Israel, kerajaan Netanyahu turut mengambil langkah mengejutkan apabila memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant, yang menyokong perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Menurut Al Jazeera, Netanyahu tidak berada dalam kedudukan politik yang baik hari ini, tetapi dia berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik berbanding pesaingnya sebelum ini.

Dasar Netanyahu untuk meneruskan perang di Gaza dan meluaskan konflik di Lubnan, di mana Israel telah menghancurkan Hizbullah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menjadikannya popular.

Walaupun tentera dan masyarakat Israel keletihan lebih setahun pertempuran dan rakyat Palestin di jalur itu mengalami krisis kemanusiaan yang besar, usaha yang diperlukan untuk mengekalkan perang di Gaza adalah terhad, berbanding serangan habis-habisan setahun lalu.

Untuk mencapai keamanan di bumi Gaza, ia memerlukan tiga kombinasi berkesan iaitu persetujuan Hamas, pengantara yang berkesan dan keinginan Israel untuk menamatkan perang.

Namun, ketika ini, kesemua faktor itu tidak wujud.

Sama ada Biden, Trump atau siapa saja yang muncul menerajui AS, ia tetap tidak dapat mengembalikan keamanan di Gaza jika tiga kombinasi itu tidak dipenuhi.

Tetapi, Allah Maha Berkuasa. Sebaik mana pun perancangan manusia, jika Allah berkehendak, pasti akan berlaku.

Teruskan menitip doa untuk keamanan bumi Gaza, Lubnan, Syria dan Iran.

Samun dua telefon, tetak mesin juruwang

KOSMO!
Tangkap layar kejadian tersebut.
KLANG – Dua penjenayah termasuk bersenjatakan berparang bukan sahaja menyamun dua telefon bimbit malah melarikan mesin juruwang dalam kejadian di rangkaian premis aiskrim di Jalan Besar, Pandamaran di sini baru-baru ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.48 malam pada 23 Oktober tersebut turut tular menerusi dua video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 40 dan 59 saat.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati seorang suspek telah bertindak menolak pelanggan yang turut berada di premis itu lalu mengambil dua telefon bimbit milik mereka.

Katanya, kemudian datang seorang lagi suspek membawa sebilah parang dan menetak wayar mesin wang sehingga putus sebelum mengambil mesin itu.

Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Iriz.

“Bertindak maklumat, seorang suspek lelaki berusia 46 tahun berjaya ditangkap di sebuah rumah di Jalan Jagung kira-kira pukul 12.15 tengah hari keesokannya.

“Turut dirampas pakaian serta parang digunakan semasa kejadian samun itu. Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Klang pada 30 Oktober lalu.

“Suspek telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi tiga pertuduhan dengan hukuman berjalan serentak.

“Kita sedang memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Murid bawa bom ke sekolah untuk ‘show and tell’

KOSMO!
SEORANG murid membawa bahan letupan di Sekolah Rendah Orchard, Dibden Purlieu. - Foto Google
LONDON  – Sebuah sekolah rendah terpaksa dikosongkan selepas seorang murid membawa masuk bahan letupan untuk ditunjukkan kepada rakan-rakannya, lapor portal berita MailOnline semalam.

Sekolah itu terpaksa dikosongkan dan ia bukan latihan kebakaran biasa seperti sebelumnya. Kejadian berlaku di Sekolah Rendah Orchard, Dibden Purlieu, New Forest.

Polis terpaksa dipanggil selepas bahan letupan  dibawa ke sekolah itu.

Bahan letupan itu dibentangkan di dalam kelas, menyebabkan murid-murid dan guru terpaksa mengosongkan sekolah, kata polis.

Seorang penduduk tempatan, Kerri L Watt, 40, berkata,  rakan-rakan yang mempunyai anak di sekolah itu datang ke rumahnya selepas mereka mengosongkan sekolah tersebut dan menggambarkan adegan dramatik di mana  murid-murid menangis dan ketakutan.

“Ia bukan latihan kebakaran biasa, Agak panik sebenarnya untuk mengosongkan  bangunan,’ katanya kepada akhbar Southern Daily Echo. – AGENSI

Lelaki berbasikal 4,400 km demi pujuk isteri

Agensi
PASANGAN itu kini kembali bersama. FOTO Baidu
PASANGAN itu kini kembali bersama. FOTO Baidu
Beijing: Demi membuktikan cintanya, seorang lelaki sanggup berbasikal hampir 4,400 kilometer (km) ke barat daya China, selama 100 hari, untuk berbaik semula dengan isterinya, selepas dua tahun berpisah.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Zhou, 40-an dan berasal dari Lianyungang, wilayah Jiangsu di timur China, bertemu isterinya, Li, di Shanghai, dan mereka berkahwin pada 2007.

Selepas berpisah pada 2013, pasangan itu berkahwin semula, seterusnya mendapat seorang anak lelaki dan anak perempuan.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya berpisah semula kerana konflik peribadi.

"Tiada isu serius antara kami, kami berdua sangat degil dan bertindak secara impulsif, membawa kepada beberapa pergolakan dan perdamaian," jelas Zhou,

Lelaki itu berkata, mereka kekal berhubung dan kedua-duanya mengharapkan peluang untuk bersatu semula.

"Dia 'menghulurkan tangan' ingin kembali bersama, dan saya secara berseloroh berkata: 'Saya memandu ke Lhasa'.

"Jika dia boleh menunggang basikal ke sana, saya mungkin mempertimbangkan untuk berdamai.

"Sejujurnya, saya hanya mengatakannya secara bersahaja. Saya tidak sangka dia benar-benar melakukannya," kata Li kepada Yangtse Evening Post.
ZHOU menempuh perjalanan yang mencabar meliputi 100 hari. FOTO Baidu
ZHOU menempuh perjalanan yang mencabar meliputi 100 hari. FOTO Baidu
Zhou memulakan perjalanan berbasikalnya dari bandar tenggara Nanjing pada 28 Julai lalu.

Selama 100 hari, dia menempuh jarak 4,400 km sebelum tiba di Lhasa pada 28 Oktober.

Dalam perjalanannya, Zhou berdepan dua insiden. Kali pertama di wilayah Anhui di timur China, di mana dia mengalami strok haba dan dimasukkan ke hospital.

Insiden kedua lebih teruk, di Yichang, wilayah Hubei, tengah China, apabila Zhou rebah ketika berbasikal di jalan raya, sekali lagi mengalami strok haba.

"Keadaan di Yichang agak serius, malah isteri saya (kemudian) memandu ratusan kilometer untuk menjaga saya," kata Zhou.

Setelah dia pulih, mereka meneruskan perjalanan bersama ke Lhasa. Setibanya mereka di sana pada 28 Oktober, mereka mengadakan majlis kecil tanda bersatu semula.

Sarung cincin di jari bukan di kemaluan, kau ni dah kenapa?

Bomba bantu potong 2 cincin tersangkut pada kemaluan lelaki
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Pasukan Bomba dipanggil untuk membantu memotong dua cincin yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, bilik kawalan menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 2.12 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya seramai enam orang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak hospital memaklumkan seorang mangsa lelaki dewasa berusia lingkungan 38 tahun mengalami masalah apabila dua cincin tersangkut pada kemaluannya.

"Tindakan yang dilakukan anggota BBP Aman Jaya adalah dengan menggunakan alat khas pemotong cincin untuk memotong sehingga selesai sepenuhnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azahari berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih serius.

Beliau berkata, bagaimanapun lelaki itu mengalami luka di bahagian alat sulit dan menerima rawatan lanjut di hospital.

"Operasi tamat pada jam 3.10 petang," katanya.

Tyson belum menyerah, mahu 'bertumbuk' lagi

BHarianonline 
Jake Paul melepaskan tumbukan ke arah Mike Tyson pada pertarungan heavyweight di The Pavilion at AT&T Stadium di Arlington, Texas hari ini. - AFP
Jake Paul melepaskan tumbukan ke arah Mike Tyson pada pertarungan heavyweight di The Pavilion at AT&T Stadium di Arlington, Texas hari ini. - AFP
ARLINGTON, Texas: "Saya datang untuk bertarung. Saya tidak perlu buktikan apa-apa kepada sesiapa, hanya kepada diri sendiri... Saya gembira dengan apa yang saya mampu lakukan," kata Mike Tyson selepas tewas kepada Jake Paul dalam pertarungan kontroversi yang berlangsung di Stadium AT&T, Arlington, Texas.

Legenda tinju berusia 58 tahun itu ditewaskan oleh YouTuber yang menjadi petinju profesional, Jake Paul, melalui keputusan sebulat suara selepas lapan pusingan.

Tiga juri memberikan kemenangan kepada Paul dengan kiraan mata 80-72, 79-73, dan 79-73.

Paul, 27, memanfaatkan kelebihan kelajuan dan pergerakannya untuk mendominasi Tyson, yang hanya mampu mendaratkan 18 daripada 97 tumbukan berbanding 78 daripada 278 tumbukan dilakukan Paul.

Walaupun Paul hampir menumbangkan Tyson pada pusingan ketiga, dia gagal memberikan knockout (KO) seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Saya rasa sangat terhormat dapat berlawan dengan Mike Tyson. Dia adalah GOAT (Greatest of All Time), seorang legenda," kata Paul, yang sempat tunduk hormat kepada Tyson sebelum loceng akhir dibunyikan.

Tyson, yang bertarung dengan pendakap lutut di kaki kanannya, enggan menjadikannya alasan kekalahan.

"Saya tak boleh jadikan itu alasan. Kalau saya rasa begitu, saya takkan berada di sini," ujarnya.

Acara yang turut disaksikan lebih 70,000 penonton secara langsung membuktikan Paul terus mencipta nama dalam arena tinju, mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang baharu yang berjaya memanfaatkan populariti dalam talian untuk mencetuskan fenomena global.

Tyson pula tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertarung lagi.

"Saya tak pasti ini pertarungan terakhir saya... Ia bergantung kepada situasi," tambahnya. - AFP

Skandal rasuah Adun Sabah: Saya hanya seloroh, kata Adun Tempasuk

FMT Reporters
Mohd Arsad Bistari berkata rakaman itu disunting dan disebar dengan niat jahat.

Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari berkata perbualannya dalam rakaman itu adalah komunikasi bersifat ringan yang dimanipulasikan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Adun Tempasuk Mohd Arsad Bistari menjelaskan perbualannya dalam video tular dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah dibuat secara berseloroh.

Arsad berkata, rakaman itu disunting dan disebar dengan niat jahat namun beliau sudah menyedari ada niat tidak baik ketika dikunjungi individu yang berbual dengannya.

“Saya ingin menjelaskan bahawa perbualan saya dalam rakaman yang disunting dan disebar dengan niat jahat itu dilakukan secara berseloroh dan bukan dalam konteks serius.

“Saya mengesyaki individu yang bertemu dengan saya mempunyai niat yang tidak jelas dan atas tanggapan itu saya berbual secara sarkastik dan tidak formal.

“Tidak wajar untuk merumuskan bahawa perbualan itu adalah pengakuan atau tindakan yang bersifat melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Pendedahan klip video memaparkan Arsad sedang berbual mengenai projek dengan individu yang merakam video itu adalah yang ketiga tersebar selepas video menunjukkan Adun Kemabong Rubin Balang dan klip audio dikaitkan dengan suara Adun Sindumin Yusof Yacob.

Rakaman itu didakwa diserahkan pemberi maklumat sebelum disebarkan melalui portal berita.

Arsad berkata, perbualannya dalam rakaman itu adalah komunikasi bersifat ringan yang dimanipulasikan untuk memberi gambaran negatif terhadap dirinya.

“Tuduhan bahawa saya menerima komisen atau ‘jolok’ adalah satu fitnah yang tidak berasas dan direka untuk merosakkan reputasi saya di mata masyarakat.

“Saya juga ingin memperjelas bahawa saya menghormati kedudukan serta budi bicara Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun dan Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Tuduhan bahawa saya menyalahkan mereka atau menyatakan projek saya ‘dihalang’ adalah tidak benar dan sengaja diputar-belit termasuk dakwaan pembabitan Adun Kawang, Pantai Dalit, Tanjung Batu dan Labuk dalam perbualan itu.

“Saya hanya merujuk kepada cabaran dalam melaksanakan projek besar di Sabah, di mana proses kelulusan membabitkan banyak pihak dan tahap prosedur yang tinggi,” katanya.

Beliau sedia dan komited bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain jika diperlukan.

Wanita bersalin dekat kaunter tiket lapangan terbang

KOSMO
Seorang pegawai polis cuba menenangkan penumpang yang melahirkan seorang bayi di lapangan terbang. - 7 News
MIAMI, FLORIDA – Seorang wanita terpaksa membatalkan penerbangannya apabila dia bersalin secara tiba-tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, negeri Florida, lapor agensi berita United Press International semalam.

Anggota Bomba dan Penyelamat Miami-Dade bergegas ke lapangan terbang berkenaan sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 petang (waktu tempatan), Selasa lalu. 

“Penumpang bersalin berhampiran Pusat Pemeriksaan 1 di kawasan hab pra-keselamatan,” kata seorang jurucakap bomba. 

Selain bomba, anggota Jabatan Polis Miami-Dade, Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) serta kakitangan Lapangan Terbang Miami-Dade turut hadir membantu. 

Mereka membantu wanita itu bersalin sebelum ambulans tiba untuk membawa ibu dan bayi yang baru lahir ke hospital berdekatan.

Seorang kakitangan lapangan terbang berkata: “Dia sedang menunggu pesawat yang akan membawanya ke negeri lain sebelum air ketubannya pecah.” – AGENSI

Lelaki pakai seluar dalam bunga-bunga pandu Porsche ke dalam laut

KOSMO!
SEBUAH kereta Porsche diangkut oleh kren dari laut di Taiwan. - Foto ETtoday
TAIPEI  –  Seorang lelaki memandu sebuah kereta mewah Porsche milik bapanya menuju ke dalam laut di Chiayi, Taiwan tetapi kemudian diselamatkan oleh pasukan pengawal pantai, lapor portal berita MSNews kelmarin.

Lelaki berusia 27 tahun itu mengundang perhatian orang ramai apabila dia ditemui dalam keadaan berdiri di atas kereta tersebut dengan memakai kemeja tanpa dibutang dan seluar dalam berbunga-bunga.

Menurut laman berita ETtoday, pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh penduduk setempat kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan), Khamis lalu.

Anggota-anggota pengawal pantai dikerah untuk menyelamatkan mangsa bersama-sama pasukan penyelamat.

Pemandu itu kemudian dihantar ke sebuah hospital berdekatan. Dia berada dalam keadaan sedar tanpa tanda-tanda mengambil alkohol atau dadah.

Lelaki itu bagaimanapun berada dalam keadaan mental yang lemah apabila anggota-anggota pengawal pantai menyelamatkannya. 

Bapanya merupakan pesara eksekutif  sebuah syarikat besar di Taiwan.  – AGENSI

Ramai jangka Mike Tyson menang lawan Jake Paul

KOSMO!
Tyson (kiri) dan Paul.
PETALING JAYA – Pengalaman lebih 20 tahun dijangka memberi kelebihan kepada petinju legenda, ‘The Iron’ Mike Tyson bagi berdepan Jake Paul dalam pertarungan di Stadium AT&T, hari ini.

Rata-rata yang sedang menantikan pertarungan tersebut menjangkakan Tyson masih mampu untuk mengalahkan Paul meskipun sudah berusia 58 tahun.

“100 peratus Tyson akan menang. Kalau di zaman kemuncak dia, Paul akan tumbang dalam masa 90 saat,” kata Josh.

“Paul tidak akan kalahkan Tyson. Sebelum ini pun dia kalah dengan Lil Fury,” ujar John Philips.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat, Paul yang berusia 27 tahun mempunyai peluang yang lebih cerah dalam pertarungan berkenaan.

Menurutnya, kepantasan dan kelincahan Paul mungkin akan memberi kesan kepada Tyson untuk bertahan sepanjang lapan pusingan.

“Tyson tahu pasal benda ini, rasanya. Apapun, ini semua bisnes untuk mereka. Apa yang penting, duit yang mereka berdua dapat dari pertarungan ini.

“Anggaran berapa dapat? Sekitar AS$20 juta (RM89 juta) untuk Mike Tyson dan sekitar AS$40 juta (RM177 juta) untuk Jake Paul,” kata Mohd. Nizam.

Untuk rekod, Tyson, yang mempunyai berat 228.4 paun kembali ke gelanggang buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun untuk bertinju secara profesional berdepan Paul.

Pertarungan utama itu yang akan berlangsung selepas pertarungan tiga pertarungan sampingan disiarkan secara langsung bermula pukul 9 pagi waktu Malaysia di platform Netflix, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Dua ditahan, seorang bebas dan seorang maut ketika pecah rumah

ADNAN IBRAHIM
RUMAH di Jalan Laksamana Sunrise Park yang dipecah masuk empat suspek dalam kejadian pecah rumah kira-kira pukul 7.12 malam tadi.
KLUANG – Dua orang lelaki berjaya ditahan selepas melakukan pecah rumah di Jalan Laksamana Sunrise Park di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.12 malam tadi itu melibatkan empat orang suspek warga tempatan berusia 29 hingga 48 tahun.

Katanya, seorang lagi suspek yang dikenal pasti sebagai Sahli Talib, 39, dengan alamat terakhirnya di Kampung Belukar Gunong, Bachok, Kelantan masih bebas dan sedang giat dikesan kedudukannya.

“Seorang lagi suspek telah ditemui meninggal dunia di kawasan kejadian dan dikategorikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Semakan mendapati keempat-empat suspek termasuk si mati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan jenayah manakala saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yg ditahan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Mohd Azmi lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ujarnya, orang ramai mengetahui kedudukan atau mempunyai maklumat berkaitan suspek yang masih bebas diharapkan dapat menyalurkan maklumat kepada mana-mana Balai Polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya.

“Permohonan reman keatas kedua-dua suspek akan dilakukan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

SPRM bidas helah pemberi maklumat kes rasuah Adun Sabah

FMT Reporters

Azam Baki berkata Akta Pemberi Maklumat 2010 hanya diberi kepada mereka yang tidak melakukan salah laku dalam sesebuah kes.

Azam Baki berkata SPRM tidak boleh memberikan imuniti kepada individu mendakwa menjadi pemberi maklumat dalam dakwaan perbincangan rasuah lesen projek babitkan Adun Sabah.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas helah individu mendakwa dirinya sebagai pemberi maklumat kepada dakwaan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan Adun Sabah mengenai rasuah untuk lesen projek.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata peguam individu terbabit ada bertemu SPRM pada 30 Okt lalu untuk memberi maklumat terbabit dan meminta perlindungan serta imuniti di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010, supaya anak guamnya tidak disiasat dan dituduh di mahkamah.

Jelas Azam, namun agensi antirasuah itu tidak boleh memberikan imuniti terbabit sehingga kes dikemuka kepada pendakwa raya untuk keputusan.

Menurutnya, ketika pertemuan itu, pihaknya hanya diberikan satu audio yang kurang jelas berdurasi 17 saat dan kemudian peguam itu telah pergi ke sebuah portal berita serta memberi peluang untuk melihat video-video berkenaan.

“Ini satu helah (trick) yang tidak berpatutan. Kenapa kami yang berada di pihak penguatkuasaan kamu tidak percaya. Masa berjumpa dengan pegawai SPRM mereka katakan Akta Pemberi Maklumat 2010 tidak kuat dan tak memadai untuk anak guam mereka.

“Akta Pemberi Maklumat 2010 ini diberikan kepada mereka yang tidak melakukan kelakuan tidak wajar (improper conduct), maknanya tidak terbabit dalam salah laku itu. Lebih penting, individu itu perlu menzahirkan maklumat yang mahu diberikan kepada SPRM, barulah kami boleh buat keputusan,” katanya menurut Bernama.

Minggu lalu, sebuah portal berita dalam talian melaporkan telah menonton lapan video daripada pemberi maklumat yang menunjukkan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan Adun mengenai rasuah untuk lesen projek.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menegaskan beliau tiada perkara untuk disembunyikan berhubung kes Adun negeri itu didakwa membincangkan rasuah untuk lesen projek, malah pihaknya akan membantu siasatan SPRM.

2 kali dijel kerana rogol, lelaki dipenjara kali ketiga atas kesalahan sama

Agensi

Seoul: Seorang lelaki di Korea Selatan yang pernah disabitkan kesalahan merogol pada usia 20-an, dan sekali lagi ketika berusia 30-a, ternyata tidak serik, apabila dijatuhi hukuman penjara kerana mengulangi perbuatan itu pada usia 45 tahun.

The Straits Times melaporkan, Mahkamah Tinggi Seoul pada 13 November lalu mengekalkan keputusan terdahulu yang memberi hukuman penjara 15 tahun kepada tertuduh yang dinamakan sebagai Kim itu.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh memakai gelang kaki pemantauan elektronik selama 20 tahun selepas dibebaskan.

"Hukuman itu tidak kelihatan terlalu berat atau terlalu ringan.

Kim disabitkan bersalah kerana mengejar seorang wanita, seorang yang tidak dikenali, ke rumahnya di Songpa-gu di selatan Seoul, dan merogolnya pada 1 Januari lalu.

Dia memohon mahkamah untuk menggantung hukumannya dengan alasan cuba menyelesaikan hal itu mangsa, tetapi rayuannya itu ditolak.

Kim pernah dihukum penjara kerana jenayah seksual sebelum ini. Dia dihukum penjara tujuh tahun kerana merogol pada 2006.

Dia kemudiannya didapati bersalah sekali lagi kerana menceroboh rumah seorang wanita dan merogolnya pada 2016. Akibatnya, dia dihukum penjara lapan tahun.

Jenayah terbaharu itu berlaku lima bulan selepas dia dibebaskan selepas menjalani hukuman untuk rogol 2016.

Dia memakai gelang kaki elektronik ketika melakukan serangan seksual

Polis: Dua remaja hilang di Puchong malam tadi

BuletinTV3 

KUALA LUMPUR: Dua remaja masing-masing berusia 13 dan 16 tahun dilaporkan hilang dalam dua kes berasingan di Puchong malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, kes pertama pihaknya menerima laporan kehilangan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun pada jam 9.48 malam.

“Pada 12 November jam lebih kurang 9.48 malam, pihak polis IPD Subang Jaya telah menerima satu laporan polis bersabit kes seorang remaja lelaki bernama Muhammad Syahrul Akmal Bin Muhammad Kamal berumur 13 tahun telah hilang,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kali terakhir mangsa dilihat di Kampung Kuala Sungai baru, Jalan Klang, Puchong kira-kira jam 10.30 malam pada 11 November lalu.

Jelasnya lagi, anggaran ketinggian mangsa 140 sentimeter dengan berat dianggarkan 50 kilogram, berambut pendek dan anak mata berwarna hitam.

Manakala kes kedua pula pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10.12 malam di IPD Subang Jaya berhubung kehilangan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

“Pihak IPD Subang Jaya telah menerima satu laporan polis melibatkan seorang remaja lelaki berbangsa Melayu bernama Aqil Rizq Rayyan Bin Mohd Samsul berumur 16 tahun telah hilang.

“Kali terakhir dilihat berada di hadapan SMK Puchong Utama 1, Taman Puchong Utama pada 12 November jam lebih kurang 6.30 petang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, mangsa berketinggian 171 sentimeter dengan berat 59 kilogram, berambut pendek dan anak mata berwarna coklat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan kedua-dua remaja terbabit diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau terus hubungi Bilik Gerakan IPD Subang Jaya di talian 03-78627222/ 03-78627100.

Kelantan tidak patuhi ketetapan Majlis Tanah Negara, bila jadi bencana alam…

Harapandaily

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mendedahkan bahawa Kelantan merupakan salah satu contoh negeri yang tidak mematuhi ketetapan Majlis Tanah Negara.

Menerusi kenyataan NGO itu, Majlis Tanah Negara telah menyarankan supaya semua kerajaan negeri tidak meluluskan kegiatan perlombongan dan kuari dalam Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Mengulas penemuan emas di kawasan HSK Sokor Taku, Mukim Sokor Ulu Kusial di Tanah Merah, KUASA berkata, ratusan hektar hutan dibotakkan untuk perlombongan.

“Bila kami mengkritik kerajaan negeri, ramai pula yang sentap.

“Pertikai mengapa tak bising di negeri lain bagi menutup kebusukan dan ketaksuban politik mereka menjilat kapitalis tanpa dibayar,” selar KUASA.
Ketulan emas pertama dikeluarkan di hutan simpan kekal Sokor Taku di Tanah Merah.
Akhirnya, NGO itu menegaskan bahawa tauke juga yang mengaut keuntungan sebaliknya penduduk kampung terpaksa menghadap banjir lumpur serta ancaman gangguan hidupan liar.

“Bila jadi bencana alam dan tragedi kepada orang kampung, satu sen pun tauke ni takkan bayar ganti rugi,” tambah KUASA lagi.

Semalam, ketulan emas pertama dikeluarkan di HSK Sokor Taku di kawasan seluas 547 hektar yang sudah diteroka dalam dalam tempoh kira-kira setahun.

Kajian awal di kawasan itu mengesan 17,100 auns emas, menurut Ketua Pegawai Operasi Niche Capital Emas Holdings Berhad, Ir Tan Ken Sim.

Ken Sim berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira enam hingga 12 kilogram ekstrak emas sebulan.

Dalam masa sama, ujarnya, syarikat terbabit juga akan meneroka dua lagi kawasan seluas 373 hektar dan 910 hektar.

Sehubungan itu, keseluruhan tapak perlombongan emas di Ulu Kusial adalah seluas 1,830 hektar dengan pajakan daripada kerajaan negeri selama 12 tahun.

Dia menambah Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan memantau sepanjang kerja-kerja pencarian selain mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Menurutnya lagi, semua proses yang dilakukan di tapak perlombongan itu mengikut syarat yang ditetapkan bagi menjaga alam semula jadi di seluruh kawasan terbabit.

Skuad e-sukan Malaysia cipta sejarah muncul juara dunia di Riyadh

Bernama
Kemenangan pada Kejohanan Dunia IESF di Riyadh, Arab Saudi, menyaksikan pasukan Malaysia membawa pulang USD70,000 (RM 313,180).
KUALA LUMPUR: Pasukan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) Malaysia mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Dunia IESF selepas menewaskan Filipina 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, hari ini.

Malaysia dibarisi hampir sepenuhnya pemain Selangor Red Giants diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz).

Pasukan negara bermula baik apabila memenangi perlawanan pertama dengan keputusan 17 ‘kills’ berbalas 14 dalam aksi yang berlangsung hampir 22 minit.

Pada perlawanan kedua, pasukan Malaysia bermula sedikit goyah namun berjaya mengemaskan corak permainan untuk menang sembilan ‘kills’ berbalas empat sekali gus menjulang kejuaraan sulung buat negara di kejohanan itu.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan Malaysia berjaya membawa pulang wang berjumlah USD70,000 (RM 313,180).

Bekas askar kena jel 6 bulan pukul isteri 36 tahun

NOR AINNA HAMZAH
Seorang bekas tentera dijatuhkan hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya dalam kejadian di Felda Lui Selatan, September lalu.- Foto oleh NOR AINNA HAMZAH
JEMPOL – Seorang bekas tentera dijatuhkan hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya dalam kejadian di Felda Lui Selatan, September lalu.

Tertuduh, Zainal Ibrahim, 64, menukar pengakuan daripada tidak bersalah pada 20 September lalu kepada bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Majistret bersetuju dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib yang memohon satu hukuman pemenjaraan setimpal memandangkan undang-undang diwujudkan bagi mengatasi masalah keganasan domestik membabitkan ahli keluarga.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas isterinya berusia 36 tahun kira-kira pukul 2 petang di ruang tamu sebuah rumah di Felda Lui Selatan di Jempol, 16 September lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memukul leher, bahu beberapa kali dan memijak dada mangsa.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), P Barath memohon bon berkelakuan baik kerana tertuduh telah berkhidmat untuk negara dan meminta maaf dengan isteri serta ingin berbaik semula.

“Orang kena tuduh (OKT) tidak mahu memecahkan institusi kekeluargaannya dan masih menyintai isteri serta keluarganya. OKT mempunyai tanggungan isteri dan anak termasuk berusia 10 bulan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

4 penuntut IPT ditahan disyaki edar dadah

Bernama

Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 22 tahun ditahan di sebuah rumah pada 1.40 tengah hari semalam. (Gambar Bernama)
IPOH: Polis menahan empat individu termasuk dua wanita yang merupakan pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) dan merampas dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat, berkata semua suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 22 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat pada 1.40 tengah hari.

Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemukan dadah jenis ganja dianggarkan seberat 1.92kg, bernilai RM2,500.

“Dadah itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dan juga pengedaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkafli berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta Mercedes Benz C200, wang tunai berjumlah RM400 serta seutas rantai leher.

Seorang suspek direman enam hari hingga 20 Nov ini manakala tiga lagi direman lima hari hingga 19 Nov, katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Tiga lemas ketika 'water rafting' di Sungai Kampar

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
TIGA peserta ditemukan lemas semasa melakukan aktiviti 'water rafting' di Sungai Kampar, dekat Gopeng, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
TIGA peserta ditemukan lemas semasa melakukan aktiviti 'water rafting' di Sungai Kampar, dekat Gopeng, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Gopeng: Tiga peserta lemas ketika melakukan aktiviti 'water rafting' di Sungai Kampar, di sini, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 5.50 petang itu, mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita adalah antara 22 peserta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Tengah dan Langkawi serta enam pemandu pelancong.

Dikatakan, mereka turun ke kawasan sungai bermula jam 3.30 petang yang mana jarak perjalanan 'rafting' adalah enam kilometer (km) menyusuri sungai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.56 petang.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, tiga mangsa terbabit sudah dinaikkan orang awam ke tebing sungai.

"Masing-masing seorang lelaki dan wanita dinaikkan dekat sebuah tapak perkhemahan. Manakala, seorang lagi mangsa lelaki dinaikkan di sebuah lagi tapak perkhemahan.

"Difahamkan, mangsa dihanyutkan arus di selepas empat kilometer menyusuri sungai.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut," katanya.

Solat kariah 16 masjid di Rembau tak sah kerana khatib tertinggal rukun khutbah Jumaat

Khatib tertinggal rukun khutbah Jumaat, solat kariah 16 masjid di Rembau tak sah
Mohd Amin Jalil
am@metro.com.my

Seremban: Solat Jumaat bagi kariah 16 buah masjid di Rembau, dekat sini, ditafsirkan tidak sah susulan khatib dikatakan tertinggal satu rukun khutbah, 8 November lalu.

Sehubungan itu, kariah masjid berkenaan diminta menggantikannya dengan solat Zohor.

Masjid berkenaan ialah Masjid Kariah Pekan Pedas, Masjid Kariah batu 17 Chembong, Masjid Kariah Astana Raja, Masjid Kariah Pulau Mampat, Masjid Kariah Titian Akar, Masjid Kariah Pedas Tengah dan Masjid Kariah Durian Daun.

Selain itu, Masjid Kariah Semerbok, Masjid Kariah Pilin, Masjid Kariah Legung Ulu, Masjid Kariah Nerasau, Masjid Kariah Dato Lela Maharaja Sepri, Masjid Kariah Kundur Hulu, Masjid Kariah Miku Lama, Masjid Kariah Sawah Raja dan Masjid Kariah Senama.

Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu surat pemakluman kepada Pegawai Agama Islam Daerah Rembau bertarikh 13 November lalu, memaklumkan solat Jumaat membabitkan masjid-masjid berkenaan adalah tidak sah.

"Khatib tidak membaca rukun khutbah dalam teks bahasa Arab semasa khutbah Jumaat pada 8 November 2024 yang lalu.

"Pesanan bertakwa kepada Allah adalah rukun khutbah Jumaat dan hendaklah dibaca dalam bahasa Arab.

"Jika khatib tidak membaca rukun ini dengan bahasa Arab di dalam khutbah, maka khutbahnya adalah tidak sah," katanya.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Daerah Rembau perlu membuat pemakluman berkenaan perkara ini kepada masjid-masjid yang terbabit.

Wan Fayhsal dicemuh isu PM dan Israel: ‘Jangan asyik layan TikTok walaun’

Harapandaily

Kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengecam Perdana Menteri berhubung hak Israel untuk mempertahankan diri mengundang cemuhan orang ramai.

Wan Fayhsal berkata, PN berpandangan bahawa kenyataan Anwar itu adalah tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin yang telah lama menjadi mangsa penindasan Israel.

“Malaysia harus tetap berdiri teguh dalam prinsipnya untuk menyokong perjuangan Palestin dan menolak sebarang tindakan yang menyokong atau mengiktiraf tindakan ketenteraan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.

“Maka, adalah tidak wajar bagi Perdana Menteri Malaysia untuk memberikan kenyataan sedemikian yang seolah-olah menyokong tindakan agresif Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah,” kata Wan Fayhsal.

Rata-rata menasihatkan Ahli Parlimen Machang itu agar tidak asyik melayan kandungan TikTok walaun sahaja sebaliknya mendengar sepenuhnya kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu ramah bersama CNN baru-baru ini.

Warganet juga menyifatkan Wan Fayhsal hanya menunggang isu genosid di Palestin serta mengingatkan kembali sikap pemimpin PN terhadap kezaliman Israel ketika menduduki kerajaan Persekutuan.

Paling mengejutkan pada 2021 apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Kata Hadi, Malaysia mengambil pendirian untuk tidak berpihak kepada mana-mana pihak atau negara.

Dalam masa sama, kecaman Wan Fayhsal yang juga Ketua Pemuda Bersatu juga dianggap tidak berasas memandangkan Perdana Menteri konsisten bersuara lantang dalam menyuarakan keadilan untuk rakyat Palestin dan mereka yang ditindas di Timur Tengah.

Ini termasuklah pendirian Anwar bahawa serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu tidak harus dilihat secara berasingan daripada siri kekejaman rejim Zionis selama berpuluh tahun.

Malah, Anwar sudah pun menyeru warga dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tindakan Israel yang melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan dengan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.

Kelantan: Mayat wanita bertudung tersangkut pada 'taut'

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
 MAYAT wanita yang ditemukan terlekat di 'taut' milik pemancing terapung berhampiran sungai kelantan di Kampung Gaung, Pendek di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.MAYAT wanita yang ditemukan terlekat di 'taut' milik pemancing terapung berhampiran sungai kelantan di Kampung Gaung, Pendek di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Kota Bharu: Mayat wanita ditemukan terapung di tebing sungai selepas tersangkut pada mata 'taut' milik pemancing di Kampung Gaung, Pendek di sini, hari ini.

Mayat wanita dengan keadaan berpakaian serta bertudung itu dijumpai kira-kira jam 9 pagi sebaik pemancing terbabit ke lokasi untuk melihat hasil tangkapan.

Menurut saksi, Shahrul Nazmie Muhamad, 37, dia dipanggil rakannya yang juga pemancing terbabit menaiki bot selepas memaklumkan mengenai penemuan mayat.

"Ketika itu, saya berada di rumah yang terletak berhampiran sungai dan rakan memberitahu menjumpai mayat sebelum meminta saya agar mengikutnya untuk kepastian berhubung penemuan objek itu.

"Sebaik tiba di lokasinya meletak taut itu, memang sah objek terapung itu adalah mayat seorang wanita dan keadaannya sudah membengkak," katanya ketika dihubungi.

Shahrul Nazmie berkata, tanpa menyentuh mayat itu, dia terus menghubungi pihak berkuasa memaklumkan penemuan mayat terbabit.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.05 pagi dan anggotanya serta polis menaiki bot ke lokasi untuk mengambil mangsa.

"Mayat yang sudah membengkak serta agak berbau itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat," katanya.

Gelanggang belum buka, tapi Jake Paul dah dapat penampar Mike Tyson

Kishaanthini Palani
story-image
Peninju Mike Tyson menampar muka Jake Paul dalam satu pertemuan sebelum pertarungan mereka pada Sabtu (esok).

Pengawal yang berada di lokasi tersebut bagaimanapun berjaya mengawal keadaan bagi mengelakkan pergaduhan lebih serius.

Tyson, 58, kembali buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun dalam pertarungan professional pertama bekas juara heavyweight itu menentang Paul, yang 31 tahun lebih muda daripadanya.

Ketika hos Ariel Halwani bertanya alasan Tyson berbuat demikian, dia hanya menjawab:

“Masa untuk bercakap sudah tamat.”

Paul pula menjerit dan memberitahu Tyson bahawa pertarungan itu sudah menjadi peribadi buatnya dan Mike akan “mati” dalam perlawanan nanti.

Rasuah: SPRM gempur kegiatan lombong bauksit haram, seorang pegawai agensi kerajaan negeri ditahan

FMT Reporters

SPRM turut menahan seorang pegawai agensi kerajaan negeri yang dipercayai menerima rasuah untuk melindungi kegiatan haram itu.
Tiga suspek direman enam hari untuk siasatan rasuah membabitkan kegiatan melombong bauksit tanpa mengikut prosedur sah sekitar Kuantan. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur sah di sekitar Kuantan yang disyaki turut dilindungi pegawai sebuah agensi kerajaan negeri sejak dua tahun lalu.

Dalam serbuan Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh semalam, SPRM menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, berkata pihaknya turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, berdasarkan risikan dibuat, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah di mana kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang telah digali sebelum 2022.
Antara jentera disita SPRM dalam serbuan di lokasi penyimpanan bauksit di Jabor, Terengganu, semalam. (Gambar SPRM)
“Namun siasatan mendapati mereka turut melakukan kerja memunggah keluar hasil galian baru digali dan bagi melindungi kegiatan ini, beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit telah membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.

“Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit dan SPRM kini masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah,” katanya.

Beliau berkata, susulan serbuan di lokasi berkenaan, SPRM telah membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.

“Di lokasi ini, sebanyak lima jentera iaitu empat unit excavator dan sebuah shovel loader selain tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan siataan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

“Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng,” katanya.

Sementara itu, Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an direman selama enam hari sehingga 19 Nov selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

Semua suspek direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

RM140,000 lesap ditipu bomoh halau hantu

KOSMO!
B menyerahkan wang tunai dan beberapa barangan kemas kepada suspek. - Surya Pagi
JAKARTA – Seorang warga emas di Jakarta Utara mengalami kerugian sebanyak 500 juta rupiah (RM140,000) selepas mendapatkan khidmat bomoh untuk membantunya menghalau hantu, lapor laman berita Kompas semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai B, 66, sebelum itu diberitahu bahawa rumahnya mempunyai hantu yang mengekorinya.

Ia didakwa berpunca daripada tindakan mangsa yang memijak darah di sebatang jalan.

“Mangsa ditakut-takutkan dan salah seorang daripada suspek memberitahu bahawa terdapat hantu di rumah mangsa,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Komisioner Besar Polis Ade Ary Syam Indradi.

Terdapat empat suspek dalam kes itu iaitu tiga wanita dan seorang lelaki.

“Mangsa diberitahu bahawa disebabkan tindakannya yang memijak darah di persimpangan, hantu itu mahu mengambil anaknya. Ia membuatkan mangsa ketakutan,” tambah Ade.

Menurut Ade, mangsa kemudian diminta datang ke sebuah rumah dengan membawa barangan kemas dan wang tunai untuk menjalani ritual menghalau hantu.

Tambahnya, selepas menyerahkan kedua-dua barangan itu, mangsa pulang ke rumahnya untuk membawa barangan lain bagi digunakan dalam ritual.

Namun, apabila dia kembali sekali lagi, suspek memberitahu bahawa ritual tersebut dibatalkan dan mereka menukar emas serta wang tunai kepada barangan lain.

“Mereka memberikan botol air dan tiga bungkus garam kepada mangsa. 

“Mangsa mengalami kerugian sebanyak 500 juta rupiah dan melaporkan perkara itu kepada polis,” kata Ade. – AGENSI 

Kelantan: 28 pendatang ditahan di sekitar Gua Musang

Paya Linda Yahya
bhnews@nstp.com.my
Beberapa pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Kelantan di sekitar Gua Musang sepanjang dua hari lalu. - Foto ihsan Jabatan Imigresen
Beberapa pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Kelantan di sekitar Gua Musang sepanjang dua hari lalu. - Foto ihsan Jabatan Imigresen
GUA MUSANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 28 pendatang asing tanpa izin dalam operasi penguatkuasaaan di sekitar daerah ini sepanjang dua hari lalu.

Timbalan Pengarah Imigresen Kelantan (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata operasi terbabit dijalankan selama dua hari yang berakhir semalam.

Katanyan, daripada 28 yang ditahan itu, tujuh lelaki dikenalpasti warga Bangladesh, 18 (lelaki Indonesia) dan tiga lelaki warga Myanmar dengan semua berusia linkungan umur antara 19 hingga 50 tahun.

"Operasi yang dijalankan pada jam 2 petang itu membabitkan 20 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kelantan.

"Bertindak atas hasil risikan daripada Bahagian Penguatkuasa, JIM Kelantan, kami berjaya membuat pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar daerah ini antaranya Kampung Jerek Bertam, Ladang Blau dan Meranto," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Akhtarulhaq berkata semua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1)

(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang tanpa izi atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

Gila! ‘Trend’ lompat depan kereta makin menjadi

KOSMO!
Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka memaparkan seorang lelaki tiba-tiba melompat di hadapan kereta di jalan raya yang sibuk
PETALING JAYA – Orang ramai melahirkan rasa bimbang apabila ‘trend’ melompat di hadapan kereta dengan sengaja bagi mendapatkan ‘wang pampasan’ semakin berleluasa.

Terbaharu, tular sebuah rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan seorang lelaki tiba-tiba melompat di hadapan sebuah kereta di Jalan Duta.

Bagaimanapun, pemilik rakaman berkenaan sempat mengelak daripada melanggar lelaki tersebut.

Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata pengguna bimbang sekiranya kejadian tersebut menimpa mereka.

“Budaya ‘claim insurance’ makin menjadi-jadi dah ini kalau silap langkah, nyawa dia melayang dengan tuan kereta masuk gaung,” kata mhmmdhsm.

“Gila nak mati ke apa ni? Memang menempah maut,” kata Captain.

“Risaunya kalau kena macam ini lepas itu dalam kereta tak ada ‘dash cam’,” kata Nur.

“Ini semakin berleluasa. Saya harap PDRM lakukan sesuatu!,” kata Kammo. – KOSMO! ONLINE

Seorang wanita dibunuh kerana ejek lelaki ‘gendut’

KOSMO
Eko Prasetyo ditahan polis ketika sedang minum kopi di Terminal Boyolali. - Detiknews
JAKARTA – Seorang pemuda berumur 22 tahun di Indonesia ditahan selepas nekad membunuh seorang wanita kerana sakit hati diejek gemuk, lapor portal berita Detik News semalam. 

Kejadian berlaku di sebuah hotel di Jalan Mpu Tantular, Semarang, dalam wilayah Jawa Tengah pada 7 November lalu. 

Suspek bernama Eko Prasetyo dilaporkan mencekik mati mangsa sebelum menyembunyikan mayatnya di bilik mandi hotel berkenaan. 

Ketua Polis Semarang, Komisioner Besar Polis, Irwan Anwar berkata, mayat wanita itu ditemukan di bilik mandi dengan kesan cekik di leher. 

“Kami menemukan kesan cekik pada leher mangsa, manakala wajahnya ditutup dengan baju milik suspek. 

“Suspek sempat melarikan diri ke Boyolali tetapi berjaya ditangkap polis sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan)

“Dia ditahan ketika sedang minum kopi di Terminal Boyolali,” kata Irwan. 

Suspek akan didakwa di bawah Pasal 338 KUHP atau 365 ayat 3 yang membawa hukuman penjara selama 15 tahun. – AGENSI

Kebanyakan restoran nasi kandar yang menggajikan warga asing kebersihan boleh dipersoalkan

Basuh periuk tepi longkang, restoran nasi kandar popular dikecam
Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular
Ipoh: Sebuah restoran nasi kandar popular di sini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas tular video memaparkan pekerjanya membasuh peralatan memasak di atas jalan bersebelahan longkang di belakang premis.

Klip video terbabit menarik perhatian meluas warganet yang bimbang terhadap tahap kebersihan makanan dan mendesak tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya akan membuat pengesahan terlebih dahulu ke atas video itu sebelum mengambil tindakan.

"Pihak saya akan menyiasat kesahihan video tular itu. Jika ia benar berlaku, operator restoran itu akan diberi amaran," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial yang berkongsi video terbabit mendakwa restoran nasi kandar itu terletak di Silibin, di sini gagal mematuhi garis panduan kebersihan kerana pekerjanya membasuh peralatan memasak di atas jalan setiap malam.

Pengguna itu turut mempersoalkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kerana meluluskan lesen perniagaan restoran terbabit yang terletak bersebelahan taman perumahan.

Dakwa pengguna itu, berdasarkan syarat lesen, perniagaan di kawasan perumahan sepatutnya beroperasi hingga 12 tengah malam sahaja, tetapi restoran itu masih berbunyi bising dengan kerja-kerja mengemas jam 2 pagi.

"Ini menyebabkan kacau ganggu terhadap kejiranan ditambah muzik kuat dan bau masakan yang mengganggu.

"Saya pernah menasihati pemilik restoran terbabit, tetapi tiada sebarang perubahan," dakwanya.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan maklum balas daripada MBI masih belum berjaya.