"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Long Tiger berada di Melaka

MALAYSIA DATELINE

Pihak polis Melaka menerima maklumat ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33, berada di negeri itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu, berkata hingga petang ini belum ada tangkapan walaupun ada menerima maklumat tersebut.

“Kita ada terima maklumat tetapi apabila pasukan polis pergi (ke lokasi) tiada (suspek) kosong dan sekiranya suspek berjaya ditahan semula kita akan maklum,” lapor BH.

Polis tahan 2 pegawai SPRM kes rompakan RM700,000

Malaysiakini 

Polis mengesahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ditahan bagi membantu siasatan dalam kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000 pada 10 Disember.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan).

Katanya, pegawai SPRM berumur 37 dan 39 tahun itu direman daripada 16 hingga 19 Disember.

"Justeru, PDRM menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Kertas siasatan akan dikemukakan ke kamar timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat," katanya.

SPRM malam tadi berkata telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan menyerahkan dua lagi pegawainya untuk membantu siasatan.

Terdahulu, dua individu termasuk seorang pegawai SPRM dilaporkan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam rompakan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Mereka masing-masing direman tiga dan empat hari.

Setakat 13 Disember lalu, polis mendedahkan seramai 12 individu telah memberikan keterangan.

Tak cukup bawa lari budak perempuan, lelaki arah OKU rakam aksi amang seksual

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tidak cukup dengan membawa lari seorang budak perempuan dan menyamun remaja orang kurang upaya (OKU), seorang lelaki tergamak mengarah mangsa yang disamun merakam perbuatan amang seksual yang dilakukannya terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kanak-kanak perempuan itu dilarikan suspek di depan rumahnya di kawasan Taman Teratai, Kangkar Pulai, Johor pada 5 petang kelmarin.

Katanya, suspek menaiki kereta yang tidak diketahui jenis dan nombor pendaftarannya kemudian membawa mangsa ke kawasan Stulang Laut sebelum menyamun seorang lelaki OKU berusia lingkungan 20-an mengakibatkan kerugian berjumlah RM500.

“Lelaki OKU berkenaan diarahkan oleh suspek supaya merakam kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan di dalam kereta dipandu suspek,” katanya dalam kenyataan.

Suspek berusia 36 tahun ditahan polis di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng, Johor, semalam. (Gambar PDRM)

Ayob berkata, lelaki OKU itu kemudian ditinggalkan oleh suspek di tepi jalan Stulang Laut dalam keadaan selamat, manakala kanak-kanak perempuan yang dalam keadaan takut dan trauma ditemui orang awam di depan sebuah kedai makan, Kangkar Pulai.

Suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan semalam di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng dan sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu serta telefon bimbit dirampas.

“Permohonan reman ke atas suspek hari ini dibenarkan oleh mahkamah hingga 20 Dis. Kes disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan/Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) serta Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Hukuman bagi kesalahan Seksyen 392 Kanun Keseksaan adalah penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, Seksyen 14 (a) AKSTK dengan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 363 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Tarik balik pindaan Akta 342 elak individu dianiaya

FAZLI RADZI

Pejuang Muda Malaysia menggesa kerajaan menarik kembali kertas cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342) dan membuat penilaian semula.

Ketuanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, kerajaan perlu menyediakan garis panduan yang jelas bagi pelaksanaan undang-undang itu bagi mengelak penguatkuasa melakukan kesilapan atau penganiayaan ke atas pihak yang didakwa pada masa hadapan.

Beliau menegaskan sesuatu hukuman yang ingin dicadangkan mestilah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan (propotionality principal).

Dr Abu Hafiz Salleh Hudin

“Adalah tidak adil, untuk menghukum seseorang dengan kesalahan seperti gagal memakai pelitup muka atau tidak melaksanakan penjarakan fizikal dengan denda sehingga kepada had maksimum RM 100,000 atau penjara mencapai tempoh maksimum tujuh tahun.

“Apatah lagi, pada ketika ini, semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 sehingga sekarang, rakyat kelas bawahan adalah kumpulan yang paling besar terdedah kepada tangkapan dan hukuman kesalahan-kesalahan yang disebutkan itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam tanggapan umum, golongan kayangan sama ada melibatkan bangsawan, menteri, penjawat tinggi dan ahli politik kerajaan kerap kali terlepas dari hukuman yang sama.

“Oleh yang demikian, pindaan RUU ini sangat dibimbangi akan menyasarkan kepada rakyat marhaen berbanding kumpulan elit dalam negara,” tambah Dr Abu Hafiz lagi.

Long Tiger lolos lokap mahkamah

NUR ALINA HASSAN

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid.

TANGKAK- Seorang lelaki berketurunan Rohingya bergelar Long Tiger kini diburu polis selepas berjaya melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, itu berjaya meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraannya bermula.

“Suspek telah diambil oleh pihak polis di penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan. Bagaimananpun, prosiding yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

Long Tiger dilaporkan meloloskan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak hari ini.

“Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang cuba melarikan diri apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, sebentar tadi.

Menurut Mohd. Fadhil, empat anggota polis terbabit bersama pengawal keselamatan cuba mengejar suspek, namun dia terus menuju ke semak berdekatan sebelum hilang dan gagal dikesan.

“Jarak suspek dan anggota polis terlampau jauh menyebabkan dia sukar diberkas. Suspek telah melalui kawasan semak berdekatan bersama gari di tangan. Oleh demikian kita mohon kerjasama orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh untuk segera hubungi pihak polis.

“Bagi kes ini, seramai empat anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi suspek ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian,” katanya. – K! ONLINE

Warganet sindir selepas Nasrudin beritahu ‘kuda’ miliknya cedera

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan memberitahu keretanya mengalami kerosakan di Jalan Diplomatik Putrajaya lewat petang tadi.

Menggelarkan keretanya sebagai ‘kuda’, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) itu berkata, detik mendebarkan muncul apabila stereng kereta itu secara tiba-tiba terkunci.

“Tak boleh ke ke kanan dan ke kiri. Pemandu terus menekan brek untuk menghentikan kereta di tengah-tengah jalan. Sejurus berhenti, secara tiba-tiba juga segala jenis lampu di kotak meter menyala.

“Lalu kami cuba matikan enjin dan start kembali. Dah, terus tak hidup dan tersadai di tengah jalan dalam kawasan sibuk Jalan Diplomatik Putrajaya,” cerita bekas Ahli Parlimen Temerloh itu.

Walau bagaimanapun, Nasrudin mengucapkan syukur memandangkan insiden tersebut tidak berlaku semasa kenderaan bergerak laju di atas lebuh raya.

“Sekarang sedang menanti mekanik tiba dalam kesejukan hujan dilewat petang ini. Doakan kami, agar dipermudah segala urusan oleh Allah swt.

“Kuda yang banyak berjasa untuk kerja-kerja dakwah kita mengalami kecederaan,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Ekoran perkongsian itu, rata-rata warganet dilihat meninggalkan komentar berbau sindiran termasuk mengaitkan dengan keinginan untuk memiliki kereta baharu.

“Tak payah kias-kias ustaz. Mintak saja Vellfire baru macam menteri-menteri. Menteri-menteri itu pun bukan buat apa boleh Vellfire, ustaz kerja lagi kuat,” kata antara pengguna Facebook.

Pembida harta Sajat hilangkan diri?

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pembida yang berjaya dalam lelongan awam harta Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dengan bidaan tertinggi RM132,000, dikatakan menghilangkan diri apabila gagal dihubungi hari ini.

Difahamkan, lelaki itu tidak dapat dihubungi peguam plaintif selepas keluar untuk membuat bank draf sebaik selesai proses bidaan di kediaman usahawan kosmetik itu yang lebih dikenali Nur Sajat di Kota Damansara, di sini tengah hari tadi.

Peguam Zeti Zukifili dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors berkata, lelaki itu memberi alasan untuk ke bank bagi menyelesaikan urusan bayaran bidaan dan berjanji kembali semula sebaik selesai urusannya.

"Saya berhubung dengannya melalui panggilan dan aplikasi WhatsApp beberapa kali, namun dia memberi alasan urusan di bank belum selesai.

"Selepas menunggu sehingga jam 4.10 petang, dia tidak memunculkan diri, malah nombor telefonnya juga gagal dihubungi," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Zeti berkata, pihaknya memberi masa kepada pembida untuk hadir membuat bayaran berkenaan sehingga jam 3.30 petang dan dilanjutkan ke 4.10 petang, namun lelaki itu masih tidak dapat dihubungi menyebabkan bidaannya dikira terbatal.

Selain itu, katanya, deposit berjumlah RM5,000 yang dibayar pembida terbabit juga tidak dikembalikan.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan satu tarikh baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada minggu hadapan, untuk proses lelongan semula.

Terdahulu, pembida terbabit berjaya mendapatkan 40 barangan milik Nur Sajat pada harga RM132,000 dalam sesi bidaan yang diadakan di kediaman usahawan itu pada 11 pagi hari ini.

Antara barangan yang disita untuk lelongan itu adalah perkakas dapur, ruang tamu dan set bilik tidur di tingkat atas banglo dua tingkat berkenaan.

Difahamkan, proses lelongan disertai oleh lapan pembida sebelum berkurangan kepada tiga pembida dan bidaan dibuat sebanyak enam kali hingga harga bidaan berakhir RM132,000.

Aksi tidak senonoh di balkoni

Agensi

Kaherah: Seorang wanita Ukraine ditangkap di Mesir kerana bergambar separuh bogel di balkoni apartmennya di sini.

Portal Gulf News melaporkan, ramai rakyat Mesir menghubungi polis Kaherah melaporkan aksi tidak sopan wanita itu yang berulang kali berbogel di balkoni rumahnya.

Polis Kaherah menghantar rondaan ke kawasan itu untuk menyiasat perkara itu dan mereka menemukan wanita itu yang memakai pakaian dalam.

Mereka segera menangkapnya.

Wanita itu memberitahu polis dia tidak tahu undang-undang Mesir dan dia melakukan perkara yang sama di negara asalnya.

Tertuduh menegaskan dia tidak berniat untuk menyebarkan maksiat atau mempromosikan perbuatan maksiat dalam masyarakat Mesir.

Polis membebaskannya selepas memberi jaminan dia tidak akan melakukannya lagi.

-Hmetro 

Apa guna pilih kerajaan jika boleh diganti dengan perasuah, penyalahguna kuasa?

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Saya sedar bahawa rakyat sudah bosan dengan politik. Pengundi telah pilih kerajaan melalui pilihan raya. Tetapi kerajaan pilihan rakyat ini dijatuhkan bukan mengikut sistem demokrasi tetapi melalui lompatan oleh wakil rakyat ke sebelah parti yang kalah. Dengan itu parti yang kalah menjadi kerajaan.

Soalnya, apa guna rakyat pilih kerajaan jika ia boleh dijatuhkan dan diganti dengan pihak yang ditolak oleh rakyat. Apa gunanya Pilihan Raya Umum (PRU) jika pilihan rakyat boleh diganti tanpa PRU oleh mereka yang ditolak oleh rakyat.

Dalam kalangan mereka yang kecewa dan bosan dengan politik yang menidakkan hak rakyat, mungkin timbul pendapat bahawa PRU tidak berguna. Mereka mungkin membuat keputusan tidak mengundi.

Malangnya, jika mereka tidak mengundi, parti yang mereka tidak sokong iaitu parti perasuah dan yang terlibat dengan mencuri duit kerajaan, salah guna kuasa akan menang kerana pengikut mereka ini akan mengundi mereka setelah disogok. Dan akan terdirilah kerajaan perasuah pencuri dan penyalahguna kuasa.

Maka akan mengeluhlah pengundi yang tidak mengundi kerana keadaan sudah jadi lebih buruk. Tetapi jika mereka undi pun, melalui pintu belakang perasuah dan pencuri masih boleh jatuhkan kerajaan pilihan mereka dan diri kerajaan yang ditolak oleh mereka.

Untuk ini, kita perlu ada undang-undang antilompat. Mereka yang lompat akan hilang keahlian mereka sebagai wakil rakyat. Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh diadakan.

Terpulanglah kepada rakyat sama ada memilihnya atau orang lain. Jika rakyat setuju dengannya, beri kemenangan kepadanya maka jatuhlah kerajaan pilihan rakyat. Jika ia dikalahkan, maka kerajaan pilihan rakyat akan kekal.

Jika mereka yang bosan dengan politik memberi kemenangan besar kepada calon antirasuah maka pintu belakang tidak boleh diguna untuk tukar kerajaan.

Sebaliknya, jika kemenangan puak antirasuah tipis maka keadaan tidak menentu dan percubaan memasuki pintu belakang akan berulang.

Sama ada negara kita dapat dipulih semula atau tidak, terpulang kepada rakyat yang sayang kepada negara dan ingin lihat perasuah dan penyangak dikalahkan.

Hanya dengan menyokong (mengundi) secara besar-besaran calon-calon yang bersih dari kluster mahkamah sahaja barulah kita akan selamat.

Siapakah mereka?

Lelaki terima 10 suntikan vaksin sehari bagi pihak orang lain

KOSMO!

WELLINGTON, NEW ZEALAND – Pihak berkuasa New Zealand menyiasat insiden seorang lelaki yang menerima 10 dos suntikan vaksin Covid-19 dalam masa sehari bagi pihak orang lain, lapor akhbar New York Post semalam.

Pengurus Operasi Kumpulan untuk vaksin Covid-19 dan program imunisasi di New Zealand, Astrid Koornneef berkata, Kementerian Kesihatan negara itu menyedari kejadian tersebut dan menganggap perkara itu amat serius. 

“Kami sangat prihatin dengan situasi ini dan sedang bekerjasama dengan agensi yang berkaitan,” katanya. 

Sementara itu, seorang pakar vaksin, Profesor Madya Helen Petousis-Harris, menggelar tingkah laku itu sebagai ‘sangat mementingkan diri sendiri’.

Menurutnya, tindakan itu boleh menyebabkan kemudaratan serius terhadap orang yang tidak diberi vaksin dan mereka mungkin boleh menyebarkan virus. 

Petousis-Harris berkata, lelaki yang mengambil beberapa dos vaksin Covid-19 itu mungkin tidak mengalami sebarang bahaya yang serius, namun berkemungkinan berasa tidak sihat pada hari berikutnya akibat tindak balas imun.

Lelaki itu difahamkan telah melawat beberapa pusat vaksinasi dan telah dibayar untuk suntikan itu. – AGENSI 

‘Di asrama ramai anak iblis, mereka ikat kemaluan aku kat kipas’

 

CARA buli yang dikongsi netizen ketika pengalamannya di asrama.

Media Mulia

PETALING JAYA: Seorang netizen di Facebook yang mendakwa sebagai mangsa buli, menceritakan nasibnya yang menyamai nasib si ‘adik berbaju merah’, mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.

Dalam perkongsiannya, dia berkata, di asrama ini banyak ‘anak-anak iblis’.

“Aku sedih tengok nasib budak baju merah yang viral tu, dia senasib dengan aku. Tapi aku bukan kena pukul dengan basuh baju, ada sehari tu pembuli lilit kemaluan aku dengan benang dan mereka ikat kat kipas.

“Tangan dua-dua kena ikat. Berpusing aku lari, sampai satu tahap mereka buka kipas level 3 aku kena lari laju-laju, bila aku penat nak lari habis putus benang tu. Luka kulit bawah aku,” ceritanya.

Ceritanya, dia ingat ada tiga orang yang membulinya itu sampai ke hari ini.

“Aku takkan maafkan korang sampai hari kebangkitan, kat dunia mungkin kau lepas tapi tunggu kat akhirat. Mana-mana mak bapak yang hantar anak-anak kat asrama tu selalu la call tanya khabar anak, kadang mereka ni takut nak bagitau,” katanya. 

Siapa peduli pendedahan tiga buku terbaharu?

DATUK DR MOHD PUAD ZARKASHI

Kini terbit pula sebuah buku baru “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government”. Ia ditulis oleh Romen Bose.

Ia menggemparkan. Ia mendedahkan komplot tiga Tan Sri untuk menangkap Najib sejurus tamat mesyuarat Kabinet. Mereka ialah Zeti, Abu Kassim dan Ghani Patail.

Sebelum itu, terbit buku Tommy Thomas yang mendedahkan campur tangan politik dalam pelantikan Hakim dan Peguam Negara.

Kemudian terbit pula memoir Tun Mahathir. Dia dakwa seorang pegawai kepada Lim Guan Eng berlagak seperti Menteri. Individu itu terdedah apabila berlaku perang terbuka antara Tun Mahathir-Tony Pua.

Namun, apakah pendedahan dalam ketiga-tiga buku tersebut akan disiasat? Apakah akan ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)? Jangan mengharap. Beberapa individu terbabit masih ada dalam sistem kerajaan.

40 bekas ahli Pas sertai AMANAH di Sungai Limau Kedah

MALAYSIA DATELINE

AMANAH meraikan kemasukan 40 bekas ahli dan penyokong Pas di Kampong Kuala Bangka, Sungai Limau yang menyerahkan borang permohonan untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Kemasukan mereka disambut oleh bekas pemimpin yang kini Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

“Tahniah dan terima kasih kepada penduduk Kampong Kuala Bangka diatas kesedaran politik dan keberanian mereka untuk bersuara,” kata Mahfuz menerusi facebook beliau.

Bagi ahli parlimen Pokok Sena itu,rakyat mula lihat yang perjuangan Pas hari ini hanyalah untuk mendapatkan kuasa semata-mata, parti itu juga sudah hilang roh perjuangan, tidak seperti ketika mereka bergelar pembangkang.

Mahfuz memberikan ucapan meraikan ahli baru AMANAH di Sungai Limau.

Hadir sama dalam majlis ringkas itu, Ketua Amanah Kawasan Jerai, Cikgu Mohsin Shaib, Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad serta Ketua Wanita Amanah Jerai, Puan Siti Balkish Hussein serta pimpinan Amanah Kawasan Jerai.

Mereka turut menyambut baik langkah penduduk kampong itu dan mengalu-alukan penghijrahan mereka kedalam Parti Amanah Negara.

Ismail Sabri beri isyarat mahu jadi Presiden Umno dulu sebelum Parlimen boleh dibubarkan?

Shahbudin Husin 

Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak bersabar dan terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan yang dihadapi rakyat sebelum Parlimen boleh dibubarkan.

Walaupun kes Covid19 semakin menurun berbanding di awal pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan ekonomi negara juga dilihat semakin pulih, namun katanya, tugas itu belum lagi lunas sepenuhnya.

“Saya perlu sokongan dari parti untuk naikkan semangat saya dalam perjuangan ini. Isu terbesar adalah isu rakyat dan bukan ‘politiking’ yang tak habis-habis.

Ismail Sabri adalah Ketua UMNO bahagian tersebut.

Naib Presiden UMNO itu seterusnya berkata, kemenangan pada PRN Melaka tidak boleh dijadikan penanda aras untuk BN memenangi PRU15 kerana undi popular UMNO di negeri itu hanya meningkat sebanyak 1%.

“Kita beruntung kerana orang parti lain tak keluar, pengundi Cina hanya 50% dan keseluruhan keluar 65% sahaja, itu kelebihan kita di Melaka.

“Sebab itu saya kata Melaka tak boleh jadi model, kalau PRU15 kita jaga kita.

“Orang Bera akan jaga Bera, kita tak akan turun untuk bantu tempat lain sebagaimana PRN Melaka.

“Sebab itu saya lihat perkara ini (bubar Parlimen) perlu dilihat dengan lebih teliti, sebelum umum sesuatu kita kaji dulu, buat kajian terperinci,” tegasnya.

Ada dua perkara yang paling mudah boleh difahami daripada ucapan Perdana Menteri ini:-

Pertama, Ismail Sabri secara halusnya telah menolak gesaan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang sebelum ini mendesaknya agar menyegerakan pembubaran Parlimen supaya PRU15 dapat diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Mohamad Hasan sebelum ini membuat gesaan itu berikutan kejayaan BN dalam PRN Melaka dan merasakan peluang UMNO memenangi PRU15 adalah cerah jika ia diadakan dalam waktu terdekat ini berdasarkan mood rakyat itu.

Melalui hujah-hujah yang dilontarkannya, adalah jelas Ismail Sabri menolak tanggapan Mohamad Hasan bahawa UMNO berpeluang cerah memenangi PRU15 hanya bersandarkan keputusan PRN Melaka.

Sebagai “pukulan maut” kepada Mohamad Hasan, Ismal Sabri berkata, undi popular UMNO di Melaka hanya meningkat 1% saja.

Kedua, bukan sesuatu yang sukar juga memahami bahawa Ismail Sabri ketika ini benar-benar memerlukan UMNO berada dalam kawalannya sebelum beliau bersedia untuk membubarkan Parlimen.

Sehubungan itu, dengan mengatakan, “saya perlu sokongan parti saya untuk naikkan semangat saya”, ini tidak lain bermaksud Ismail Sabri mahu diberikan sokongan sebagai Presiden UMNO terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

Bila beliau berkata, sabar dulu, itu maknanya Ismail Sabri sedang memberi isyarat yang Parlimen tidak akan dibubarkan selagi dirinya tidak memegang jawatan Presiden UMNO.

Minggu ini semua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian-bahagian akan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing, manakala minggu depan, bahagian-bahagian pula akan mengadakan mesyuarat perwakilan mereka.

Tidak mengejutkan kiranya dalam mesyuarat perwakilan minggu depan nanti banyak desakan muncul mendesak agar pemilihan UMNO disegerakan dan mesti dilangsungkan sebelum PRU15 diadakan, walaupun tempoh akhir yang dibenarkan oleh RoS ialah Disember 2022.

Logiknya Ismail Sabri tidak mungkin sedia mengadakan PRU15 di ketika UMNO masih dipimpin oleh orang lain yang bermakna dalam keadaan itu, bukan saja beliau tiada kuasa menentukan calon-calon pilihanraya atau untuk membentuk pasukannya sendiri, malah belum tentu juga akan terus dikekalkan lagi sebagai calon Perdana Menteri.