"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan warga asing culik, amang seksual kanak-kanak

FMT Reporters

Ketua polis Serdang A A Anbalagan berkata kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dilarikan suspek ketika bermain bersama rakannya.

PETALING JAYA: Polis menahan lelaki warga asing kerana disyaki melarikan dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam satu kejadian di Seri Kembangan semalam.

Ketua polis Serdang A A Anbalagan berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika kanak-kanak itu bermain bersama rakannya tidak jauh dari tempat bapanya bekerja.

Katanya, kejadian itu disedari oleh bapa kanak-kanak tersebut yang kemudiannya terus membuat laporan polis.

“Susulan laporan itu polis menangkap suspek warga asing berusia 35 tahun untuk membantu siasatan.

Pemeriksaan lanjut juga menemui bahan lucah pada suspek. Lelaki itu juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan ujian saringan air kencing negatif dadah, katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Sept ini untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017, Seksyen 363 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Siasatan juga turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63, katanya.

Anbalagan juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian jenayah itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Lagi bukti GISBH amal ajaran sesat didedah, geli lihat barang ‘berkat’ ini

Harapandaily

Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia terus mendedahkan bukti bahawa GISB Holdings (GISBH) mengamalkan ajaran sesat.

Kumpulan pembongkar itu menerusi Facebook berkongsikan sejumlah gambar termasuk ‘bulu berkat’ yang merupakan antara barang rampasan di Pahang.

Menurut Pukas, bulu milik Nik Hazani yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat (ALP GISBH) dan kayu sugi yang telah digunakan telah dijadikan bahan berkat.

“Terdapat juga Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan. Kesemua ini adalah rampasan terkini,” menurut Pukas.

Selain Pahang, barangan termasuk buku dan majalah turut dirampas dalam operasi di Kelantan, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.

Menarik perhatian warganet, bagi gambar barang rampasan di Selangor, turut terpampang beberapa botol ubat cecair, Syrup Lactulose untuk mengatasi masalah sembelit.

Sebelum ini, Pukas memuat naik rakaman beberapa lagu sesat seperti “pasar Ikhwan di Putrajaya” dan lagu yang menyerahkan hidup dan mati untuk Abuya.

Semalam, Perlis menjadi negeri pertama yang mengisytiharkan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd sebagai sesat.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 8,022 orang setakat 4 petang

Bernama

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan peningkatan setakat 4 petang tadi, sementara mangsa banjir di Selangor ekoran fenomena air laut pasang besar telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di KEDAH meningkat kepada 8,022 orang melibatkan 2,568 keluarga yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah berbanding 7,494 orang pagi tadi.

Daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa terbanyak iaitu 4,117 orang, diikuti Kubang Pasu (1,483), Pendang (1,434), Pokok Sena (841) dan Bandar Baharu (147).

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan lima sungai di Kedah berada pada paras bahaya iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut turun padang meninjau tiga PPS yang menempatkan mangsa banjir di Alor Setar hari ini.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan 27 mangsa banjir daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak setakat 4 petang ini, berbanding 16 orang daripada tiga keluarga pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan Jalan Raya Timur Barat Kupang Gerik-Jeli, Hulu Perak kekal dibuka satu lorong akibat tanah runtuh, selain laluan FT147 Jalan Bagan Serai-Changkat Lobak di Kerian dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Di SELANGOR, Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Raiz Radzuan memaklumkan PPS di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang ditutup pada 12.38 tengah hari tadi.

Pengerusi Bencana Daerah Kuala Selangor itu ketika dihubungi memaklumkan kesemua 101 mangsa daripada 36 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing susulan banjir yang disebabkan fenomena air laut pasang besar telah surut sepenuhnya semalam.

- Bernama

Lori hilang sekelip mata ditelan lubang benam

KOSMOl
Sebuah lori tangki air yang separa tenggelam selepas terjatuh dalam lubang benam di Pune. - NDTV
NEW DELHI – Seorang lelaki nyaris maut selepas lori tangki yang dipandu terjatuh ke dalam lubang benam gergasi di bandar Pune, barat India, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan lubang benam itu muncul secara tiba-tiba dan ‘menelan’ kenderaan terbabit dalam masa cuma  beberapa saat.

Lori tangki air itu juga dilihat dalam keadaan ‘tenggelam’, dengan hanya kepala kenderaan tersebut yang kelihatan. 

Menurut pihak berkuasa, tiada kecederaan dilaporkan. 

“Mangsa berjaya menyelamatkan diri kerana lori itu tidak tenggelam sepenuhnya ke dalam lubang benam yang dipenuhi air berlumpur. 

“Anggota bomba tiba di lokasi dan pegawai perbandaran sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. 

Penduduk turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan mereka dan menuntut pembaikan segera untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang. – AGENSI

Tanah runtuh di Cameron Highlands, sebahagian jalan terhalang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebahagian jalan di laluan Sungai Burung, Brinchang, Cameron Highlands terhalang akibat kejadian tanah runtuh di Jalan Gunung Brinchang pagi tadi.

Ketua Polis Cameron Highlands, Azri Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden berkenaan.

Katanya, kejadian tanah runtuh di KM 67, Jalan Besar Brinchang berhampiran Agro Market itu menyebabkan laluan terhalang oleh tanah yang runtuh, pokok, dan beberapa tiang elektrik yang tumbang.

“Sebuah sebuah kenderaan yang diparkir di tepi jalan juga rosak akibat terkena tiang elektrik yang tumbang.

Pihak berkuasa kini giat menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan laluan kembali dibuka kepada pengguna jalan raya, katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Adun Tanah Rata, Ho Chi Yang dalam satu hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dan anggota penyelamat yang terlibat.

Terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Bomba, APM, Polis, TNB, dan semua agensi yang terlibat dalam operasi pemulihan demi menjamin keselamatan penduduk dan pelancong, katanya.

Terengganu: Peniaga didakwa hina Islam di Facebook dipanggil polis

NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN – Seorang peniaga kedai perkakasan rumah dipanggil polis untuk memberi keterangan semalam berhubung dakwaan membuat komen menghina agama Islam menerusi hantaran di akaun Facebook pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki itu itu dipanggil membuat keterangan berikutan empat laporan polis terhadap dia yang diterima pihaknya setakat ini.

“Pemilik akaun Facebook berkenaan telah dikenalpasti dan dia telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Buku ajaran GISBH ditanam, dibakar sekitar rumah keluarga CEO

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Anggota polis mengangkat buku-buku GISBH yang ditanam rumah keluarga CEO GISBH di Panji, Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU – Polis merampas pelbagai jenis buku berkaitan ajaran bawaan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang ditanam dan dibakar berhampiran rumah keluarga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH di Panji, di sini hari ini.

Keadaan lokasi berhampiran kediaman tersebut didapati masih berbau asap dipercayai hasil daripada pembakaran buku-buku tersebut.

Serbuan menerusi Ops Global itu dijalankan kira-kira pukul 7 pagi tadi turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik).

Serbuan itu dilakukan di tiga buah rumah termasuk kediaman isteri kedua CEO GISBH yang turut didiami seramai lebih 20 kanak-kanak.

Rumah terbabit dipercayai menjadi penempatan kumpulan tersebut sejak puluhan tahun lalu dengan ahli yang sering bertukar-tukar.

Selain itu, puluhan individu termasuk warga emas, bayi dan kanak-kanak turut diperiksa dalam operasi tersebut.

Kesemua mereka berusia daripada enam bulan sehingga 70-an itu dibawa menaiki tiga van polis dan satu van JKM ke pusat saringan selepas Ops Global dijalankan.

Antara yang dibawa adalah isteri kedua kepada CEO GISBH Holdings.

Kesemua mereka adalah antara individu yang ditemui di dalam tiga rumah terbabit yang menjadi penempatan mereka. – KOSMO! ONLINE

Ini ucapan keras PMX kepada si mulut celupar, Afnan Hamimi

‘Dulu bapa kamu yang pertahan saya, sekarang kamu pula menghina’

Harapandaily

Malam tadi bergegar Stadium Axiata, Bukit Jalil lantaran laungan Reformasi daripada Wira Reformis, Anwar Ibrahim.

Suara Rakyat, Suara Keramat adalah laungan hebat Anwar 25 tahun dahulu dan malam tadi dilaungkan semula sambil disambut puluhan ribu reformis.

Selepas membiarkan namanya dimaki, difitnah dan diaibkan oleh si mulut celupar, Afnan Hamimi, malam tadi Anwar menjawab dgn penuh sinis.

“Ya, saya memang bekas banduan, tapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji.

“Dulu kamu, bapak bapak kamu, pemimpin pemimpin Pas antara benteng pertama pertahankan kami dan menolak fitnah itu.

“Sekarang anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah, yang jadi perkakas kepada perasuah, yang menjadi alat kepada pencuri harta, sekarang mahu jadi jaguh.

“Pejuang besar seperti Presiden Pas, Almarhum Datuk Fadzil Noor; Mursyidul Am Pas, Almarhum Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur, Almarhum Ustaz Datuk Taib Azamudden Mohd Taib yang mempertahankan saya.

“Kerana apa, kerana mereka tahu hukum, mereka tahu Islam, mereka tahu apa fitnah dan mereka tahu bagaimana sang saka tua zalim menindas rakyat.

“Itu pendirian pemimpin pemimpin lalu termasuk pemimpin-pemimpin Pas.”

Itulah adalah kata-kata yang jelas membidas keras mengenai kenyataan biadab dan fitnah Afnan kepada Perdana Menteri.

Dahulu bapanya Taib Azamudden yang dihormati masyarakat sebagai bekas Imam Masjid Negara, sanggup dicemuh masyarakat untuk membela Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, berbeza dengan Afnan yang menghina Anwar sebagai bekas banduan. Anak muda yang jelas tidak beradab walaupun lulusan agama luar negara.

Malah, mantan pemimpin Pas memberitahu Afnan, hukum Qazaf jangan dipermainkan. Menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa mendatangkan empat saksi mata adalah jenayah dan sampai bila-bila tidak boleh menikahkan anak sendiri.

Teringat kisah Nabi Nuh dimana anaknya tidak beriman kepadanya walaupun puas dipujuk oleh ayahnya. Kisah tauladan membuktikan kepada kita memang benar iman tidak boleh diwarisi.

Bercerita tentang adab, saya tidak hairan dengan tingkah laku Afnan. Presidennya sendiri, Abdul Hadi Awang tidak beradab kepada rakyat dan ulama-ulama Johor, apabila mendakwa kurangnya kesedaran politik Islam di Johor menjadi punca parti itu tidak mampu menawan hati penduduk di negeri itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Hadi Awang dan menyifatkan Presiden Pas itu sebagai tidak beradab.

Hati-hati memilih guru, jika guru kita salah, maka kita akan salah mempelajari ilmu agama. Ilmu yang baik dan betul mengajar kita semakin hari bertambah takut kepada Allah.

Gelar pihak yang mengambil tindakan terhadap GISB sebagai 'beruk-beruk', ini pula kenyataan terbaru PPIM

PPIM nafi dakwaan bersekongkol dengan GISBH

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan pihaknya bersekongkol melindungi ahli kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan turut mengamalkan ajaran sesat.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan menegaskan, persatuan itu hanya bekerjasama dengan entiti perniagaan GISBH atas kapasiti menyokong usaha mereka meningkatkan jumlah produk halal buatan Islam untuk pengguna di Malaysia.

"Bagaimanapun, kerjasama ini bukanlah cerminan PPIM menyokong atau mengetahui mengenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan ini yang kini sedang tular.

"PPIM tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau bertentangan dengan ajaran Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat laporan yang tidak tepat mengenai pendirian yang diambil PPIM, banyak perkara yang ditularkan di media sosial tidak tepat dan terdapat juga cubaan mengaitkan PPIM dengan siasatan yang berlangsung.

"PPIM fokus kepada mempertahankan hak pengguna dan memperjuangkan isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain.

"Mengenai isu yang sedang tular susulan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini, PPIM berharap siasatan terperinci dijalankan supaya pihak yang bersalah dihukum manakala mereka yang dianiaya terutamanya kanak-kanak yang dikatakan menjadi mangsa eksploitasi dan jenayah seksual perlu dilindungi serta dibantu untuk masa depan yang lebih baik.

"PPIM menegaskan tidak pernah mengetahui mengenai apa-apa isu dalam kumpulan GISBH yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram dan lain-lain sehinggalah perkara itu didedahkan baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya meminta pihak lain jangan memburukkan lagi keadaan dan jangan cuba mengaitkan persatuan itu dengan isu yang tidak berkaitan.

"Kami bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diminta berbuat demikian serta mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik profil tanpa identiti di media sosial.

"PPIM juga memandang serius budaya buli siber yang semakin melarat dan percaya pihak berkuasa juga sudah tidak dapat mengawalnya," katanya.

Gadis diarah tanggal pakaian sebagai bukti bukan lelaki

KOSMO!
CAITLYN menunjukkan pasportnya.- Foto Wigan Today/ SWNS
LONDON  – Seorang remaja perempuan mengadu terpaksa menanggalkan pakaian di sebuah lapangan terbang selepas pegawai-pegawai enggan mempercayai dia ialah seorang gadis, lapor portal berita Daily Star kelmarin.

Caitlyn Disley, 15, terpaksa menjalani pemeriksaan selepas mendarat di Lapangan Terbang Hurghada di Mesir pada 25 Ogos lalu. 

Dia diarah menanggalkan coli dan membuktikan dia tidak mempunyai alat kelamin lelaki.

Remaja itu dan keluarganya mendakwa mereka tidak dapat meninggalkan lapangan terbang sehingga dia menyelesaikan pemeriksaan di hadapan seorang jururawat. 

Pada akhirnya, keluarga itu beredar selepas pegawai berpuas hati dia ialah perempuan.

Walaupun pada pasportnya tertera jantina Caitlyn ialah wanita, dia terpaksa menjalani pemeriksaan itu.

Caitlyn berkata: “Ia trauma dan memalukan. Saya tidak pernah mengalami perkara seperti itu sebelum ini.”

Bapanya, Tom Disley, 40, berkata dia mahu mendedahkan pengalaman pahit anak perempuannya supaya orang lain berhati-hati agar tidak menghadapi situasi serupa di Mesir. – AGENSI

Guru wanita dicekup berkhalwat dengan rakan sekerja di dalam kenderaan

KOSMO!
SEORANG suami menunjukkan bukti isterinya menjalin hubungan sulit. - Foto HO/HDCN
JAKARTA  – Seorang suami menangkap isterinya yang bertugas sebagai guru di dalam sebuah kenderaan ketika dia berdua-duaan dengan rakan sekerjanya, lapor portal berita Banjarmasin Post kelmarin.

Suaminya yang dikenali sebagai TWP kemudian membuat laporan ke Unit Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak, Polis Prabumulih, Sumatera.  

TWP membuat laporan bahawa isterinya yang dikenali sebagai VP disyaki menjalin hubungan sulit dengan dengan seorang lelaki berusia 34 tahun.

Isterinya dan lelaki itu yang dikenali sebagai IM,  merupakan guru yang mengajar di salah sebuah sekolah rendah di Prabumulih.

TWP menangkap isterinya bersama IM di dalam sebuah kenderaan pada 15 September lalu.

Si suami juga mempunyai bukti tentang perbualan mesra isterinya dengan IM di media sosial.

“Harga diri saya sudah dipijak-pijak sebagai seorang laki-laki. Masalah ini harus diselesaikan,” tegas TWP kepada wartawan.

Si suami yang juga merupakan kontraktor di Kota Prabumulih itu mengaku dirinya hanya menuntut supaya kedua-dua mereka menerima hukuman tegas. – AGENSI

Penduduk panik bunyi dentuman misteri di langit

KOSMO!

JAKARTA  – Bunyi dentuman kuat kedengaran di daerah Wonogiri, wilayah Jawa Tengah dan daerah Pacitan pesisir di Jawa Timur, lapor portal berita detikJatim semalam.

Bunyi pada waktu siang itu menyebabkan penduduk sekitarnya berasa panik.

Menurut seorang penduduk bernama Muharis, punca bunyi itu masih tidak diketahui tetapi ia kedengaran dari arah utara atau di sekitar langit daerah Wonogiri.

“Mungkin belon udara atau apa sahaja,” tambahnya.

Sebelum ini, bunyi dentuman suara turut didengari penduduk di Purwantoro dan sekitarnya. 

Suara itu cukup kuat hingga menggetarkan kaca bangunan.

“Suaranya kuat sekali. Kaca sampai bergegar,” kata seorang penduduk dikenali sebagai  Dhian. – AGENSI

Lelaki tembak tayar selepas dihalang memotong

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan suspek mengacukan pistol dari tingkap kenderaannya sambil memandu. - Instagram @demakhariini
JAKARTA – Tindakan seorang pemandu di Demak, wilayah Jawa Tengah yang menembak tayar kereta seorang lelaki kerana tidak diberi laluan untuk memotong mengundang perhatian orang ramai, lapor saluran berita Tribunnews semalam. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infokejadiandemak, suspek yang memandu kereta berwarna putih dilihat mengacukan senjata api dari tingkap kenderaan. 

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan yang mengenai tayar kereta milik mangsa sehingga pancit. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 1 petang (waktu tempatan) di Jalan Raya Trengguli. 

Seorang pegawai tempatan berkata, suspek bernama Sunarwan, 60, ditahan di bandar Kudus selepas melarikan diri.

Rakaman itu mencatatkan lebih 239,000 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen. 

“Konoha sudah pandai main menembak seperti Mexico,” sindir seorang netizen. 

“Ngeri! Macam dekat Las Vegas!” sindir netizen lain. – AGENSI

Pemandu Mercedes lari lepas langgar anggota polis diburu

AZMI NORDIN
Tangkap layar video tular anggota polis dilanggar sebuah kenderaan mewah di Jalan Gombak, Setapak, kelmarin.
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera selepas bergesel dengan kereta jenis Mercedes-Benz dalam kemalangan di Jalan Gombak, Setapak, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.11 tengah hari.

Katanya, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Setapak itu mengalami luka di bahagian siku.

“Sehingga kini pemandu kereta masih gagal membuat laporan polis dan pihak kami sedang mengesan kenderaan dan pemandunya.

“Alamat mengikut rekod adalah di Pulai, Johor dan pemeriksaan mendapati kediaman tersebut kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video berdurasi 44 saat yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz bergesel dengan motosikal ditunggang anggota polis selepas menukar laluan secara mengejut.-KOSMO! ONLINE
.

Penyelewengan akidah: Pemimpin GISB dakwa mampu hubungi Nabi dalam sedar - bekas ahli

Ahli-ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk kanak-kanak didakwa didoktrin untuk mempercayai bahawa pemimpin mereka dilantik oleh Rasulullah, Imam Mahdi serta guru mursyid dari alam ghaib.

Seorang bekas ahli GISBH mendedahkan bahawa pemimpin mereka juga mendakwa mampu berhubung dengan Rasulullah melalui yaqazah (dalam keadaan sedar) dan segala arahan daripada pemimpin, wajib ditaati sepenuhnya.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 36, mendakwa pendidikan di sekolah-sekolah kendalian GISBH menjadi platform untuk menanam ketaasuban ahli terutama dalam kalangan kanak-kanak terhadap pemimpin mereka.

Menurutnya silibus yang dicipta sendiri di sekolah terbabit lebih menekankan kepada kata-kata dan tulisan pemimpin manakala pelajaran lain seperti fardu ain hanya diajar pada tahap asas.

“Pengajaran dalam kelas hanya untuk jangka masa yang pendek dan kadangkala tiada cikgu pun yang mengajar manakala untuk pelajaran lain banyak yang diulang-ulang,” katanya kepada Bernama.

Dilahirkan dalam keluarga yang mengamalkan ajaran al-Arqam, Ahmad mendedahkan bahawa bapanya adalah antara pemimpin pergerakan itu yang difatwakan haram pada 1994.

Katanya zaman kanak-kanaknya dilalui di penempatan pergerakan itu di sekitar Perak sebelum dipindahkan ke Rawang, Selangor diikuti Putrajaya, Kedah, Sabah dan Sarawak sebelum ke luar negara iaitu Jordan dan Syria.

Mengaku jemaah Imam Mahadi

Beliau meninggalkan jemaah atau syarikat itu pada 2011 selepas mendapat kesedaran apabila belajar daripada beberapa guru agama yang bukan dalam kalangan ahli syarikat tersebut.

“Saya meninggalkan syarikat berkenaan selepas kematian bekas pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad dan ketika itu syarikat berkenaan dipimpin oleh Ummu Jah yang juga balu Ashaari,” katanya.

Seorang lagi bekas ahli GISBH yang dikenali sebagai Latif mendedahkan ketika bersekolah di bawah kendalian syarikat itu, mereka diajar menggunakan buku yang mengagungkan Ashaari yang digelarkan sebagai Abuya.

“Mereka mengaku sebagai jemaah kebenaran yang akan bersama Imam Mahadi nanti.

"Jadi semua dah taasub. Proses ni bukan berlaku dalam masa sehari dua tapi sejak zaman al-Arqam,” katanya.

Latif, yang kini berusia 30-an mendakwa pernah belajar di beberapa sekolah GISBH di Pahang, Selangor dan Perak selepas dihantar oleh ibu bapanya yang perkahwinan mereka diatur oleh jemaah tersebut.

“Sekolah-sekolah itu biasanya kosong dan pelajar sering bermain kerana pelajaran tidak dijalankan secara formal,” katanya yang meninggalkan GISBH selepas mengikut rakannya ke pusat latihan kemahiran kendalian kerajaan ketika berusia 17 tahun dan menyedari kepentingan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dimilikinya ketika itu.

Ibu dicerai ayah atas arahan

Abu Bakar, 36, pula mendedahkan beliau meninggalkan GISBH pada 2010 setelah menyedari dirinya tidak memiliki pendidikan formal seperti remaja lain.

“Saya tertanya-tanya mengapa saya tidak belajar seperti orang lain tetapi diminta berjuang untuk bertemu Imam Mahadi dan disebabkan rasa ingin tahu yang menebal saya ambil keputusan untuk keluar,” katanya.

Beliau mengakui beberapa kali cuba melarikan diri tetapi ditangkap dan dibawa kembali ke dalam jemaah sehingga ibunya meninggalkan pergerakan itu setelah diceraikan oleh ayahnya atas arahan pemimpin, menyebabkan mereka tidak lagi dicari jemaah.

Dalam serbuan Op Global pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Serbuan itu juga mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan 171 individu termasuk 105 wanita.

- Bernama

Anwar cabar pembangkang, nak turun jawatan PM, bawa usul undi tak percaya

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Beliau berkata pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesanya untuk ‘turun’ daripada jawatannya.

“Ada 30 orang (pembangkang) suruh Anwar turun. Ingat negara dia, tak ikut hukum.

Kalau nak suruh turun, bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat Okt ini, katanya semasa berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Ini bukanlah kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat.

Anwar membuat cabaran serupa pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu, dan menambah beliau akan memendekan tempoh notis.

Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan presiden PKR terbabit tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.

Beberapa media melaporkan kewujudan perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata pembangkang tiada kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya termasuk mengemukakan usul di Dewan Rakyat, sebaliknya terus memainkan propaganda mengaburi penyokongnya.

Mangsa banjir di Kedah terus meningkat

Bernama

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus bertambah kepada 6,760 orang setakat 8 malam ini, meningkat berbanding 6,575 orang petang tadi manakala situasi di Perlis dan Pulau Pinang bertambah baik.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa di Kedah melibatkan 2,171 keluarga dan mereka ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 3,003 orag, diikuti Kubang Pasu (1,602), Pendang (933 orang), Pokok Sena (910 orang), Kuala Muda (184 orang) dan Bandar Baharu 128 orang manakala dua PPS di Kulim ditutup sepenuhnya petang tadi.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di enam sungai berada pada paras bahaya.

Sungai tersebut adalah Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar.

Di Pulau Pinang, dua PPS ditutup petang tadi iaitu SAR Nyior Sebatang di Seberang Perai Utara dan SMK Permatang Pasir.

Setakat 8 malam ini, 427 orang masih berlindung di lima PPS iaitu SK Padang Menora, SK Lahar Yooi, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting, Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering dan Dewan MPKK Sanglang.

Keadaan banjir di Perlis juga semakin baik apabila jumlah mangsa berkurang daripada 108 orang petang tadi kepada 90 setakat 8 malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perli, Mohd Izaimi Md Daud berkata semua mereka berada di tiga PPS iaitu SK Sena di Kangar dan SK Dato Ahmad Musa serta SK Kubang Gajah di Arau.

Di Selangor, seramai 101 masih berlindung di PPS Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang yang dibuka sejak semalam susulan kejadian air pasang besar di Kampung Baru Lembah Pantai.

Jabatan Bomba Selangor memaklumkan keadaan air semakin surut namun pemantauan terus dilakukan.

Mufti: Solat Jumaat di Surau al-Muttaqin tidak sah, khatib terlupa duduk antara dua khutbah

Zuhainy Zulkiffli
am@h.metro.com.my

Georgetown: Solat Jumaat di Surau al-Muttaqin, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, pada 13 September lalu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat khutbah, menurut Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Beliau berkata, syarat yang tidak dipenuhi itu apabila khatib terlupa duduk antara dua khutbah.

Susulan itu, beliau berkata, jemaah yang bersolat Jumaat di surau terbabit diwajibkan menunaikan solat Zohor secara qada bagi menggantikan solat Jumaat yang tidak sah berkenaan.

"Menurut mazhab Syafie dan ulama Syafiiyyah, duduk di antara dua khutbah sebahagian daripada syarat khutbah Jumaat.

"Berikutan itu, jika khatib tidak duduk di antara dua khutbah sama ada sengaja atau terlupa, maka khutbahnya tidak sah dan solat Jumaat itu juga tidak sah.

"Kalau jemaah tidak sedar tentang perkara itu, dimaafkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan didakwa daripada Pengerusi Jawatankuasa surau berkenaan yang meminta maklumat mengenainya dipanjangkan kepada orang ramai.

Kenyataan itu mendakwa perkara berkenaan sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah Barat Daya dan Pejabat Mufti Pulau Pinang.

Katanya, Mohd Sukki yang membalas pertanyaan itu turut memutuskan bahawa jemaah yang terbabit harus laksanakan solat Zohor qada itu secara berjemaah.

"Tolong panjangkan makluman ini kepada keluarga, sahabat dan kenalan sudah bersolat Jumaat di Surau al-Muttaqin pada 13 September lalu.

"Bagi pihak tuan imam, pegawai dan AJK (Ahli Jawatankuasa) Surau al-Muttaqin, saya memohon maaf atas kesilapan ini," menurut kenyataan itu lagi.

Lagi kisah proses indoktrinisasi remaja GISBH untuk jadi pentaksub

Masih terngiang ‘pasar Ikhwan di Putrajaya’, muncul pula lagu serah hidup mati untuk Abuya

Harapandaily

Ketika ramai mengaku masih terngiang-ngiang lagu dengan lirik antaranya, “pasar Ikhwan di Putrajaya”, muncul satu lagi lagu yang menyerahkan hidup dan mati untuk Abuya.

Lagu berdurasi 2:25 minit yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH) itu dikongsikan Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia menerusi Facebook.

“Indoktrinasi ketaksuban kepada Mursyid (Abuya) sehingga menyerahkan hidup dan mati untuk Abuya.

“GISBH menggunakan lagu merujuk kepada “perjuangan” Nasiruddin Ali,” menurut keterangan Pukas.

Antara kandungan melampau dalam lagu itu menyebut tentang menjadi khadam kepada mursyid serta mursyid adalah segala-galanya.

Rata-rata terkejut dan meluahkan rasa ‘seram’ mendengar lirik lagu berentak balada itu yang melatari gambar beberapa pemuda mengurut dan memicit kaki Abuya.

“… salah bila kita taksub dan mendewakan guru.

“Mereka seolah-seolah maksum sehingga apa sahaja yang mereka cakap dan lakukan tidak pernah silap! Hilang kecerdikan akal kita untuk berfikir!

“Jangan melampaui dalam memuji manusia. Kepada Allah tempat bergantung harap!,” demikian antara kata warganet.

Terdahulu, Pukas memuatnaik rakaman video lagu “pasar Ikhwan di Putrajaya” yang digubah seperti pantun.

Menurut Pukas, lagu yang turut menyebut “abuya seorang yang teliti” dan “abuya suka makan ikan” itu merupakan indoktrinisasi remaja GISBH.

GISB: Pembantu pengajar madrasah berdepan 6 tuduhan amang seksual

Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Muhammad Fawzun Azim Ismail membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Pemuda berumur 20 tahun itu berdepan dua pertuduhan iaitu membuat dua kanak-kanak lelaki berusia 12 dan 13 tahun melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap dirinya di madrasah berkenaan pada 2023 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dia juga berdepan empat pertuduhan melakukan sentuhan seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 13 tahun, dengan kesemua kesalahan dilakukan di madrasah sama pada tahun sama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.

Kesemua enam pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi, perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana baru menyambung pengajian di sebuah pusat kemahiran tempatan bulan lepas.

Bapa tertuduh turut merayu jaminan rendah dikenakan atas alasan sama namun mahkamah meminta mereka memberikan bukti tertuduh merupakan pelajar di pusat kemahiran tersebut.

Hakim Surita kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan yang dikemukakan Nurul Balkis, selain penjamin perlu memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan menetapkan 30 Okt ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Semalam, tiga pembantu pelajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023.

Mereka terdiri daripada Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22.

Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

- Bernama

Mengejutkan! Soal akidah pun Toqqi tergamak sebut “beruk-beruk gila”, apa kata Dr Maza?

Harapandaily

Pendirian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung isu akidah dan eksploitasi kanak-kanak yang terpalit pada syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) begitu mengejutkan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau Toqqi menggelarkan pemberi-pemberi maklumat berkaitan GISBH sebagai “beruk-beruk gila”.

“Itu sebab kita kena hati-hati. Jangan mudah saja cakap, pasal ada beruk-beruk gila di luar sana. Dia bercakap tidak payah bertanggungjawab,” katanya.

Turut berada disampingnya Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Mengulas sikap Toqqi, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga dikenali Dr Maza berpendapat kenyataan itu sebagai tidak wajar.

“Ini perkataan yang tidak wajar. Padahal, mereka ini telah menyelamatkan ramai orang.

“Saya terkejut apabila beliau (Toqqi) dengan usia sedemikian sepatutnya menggunakan perkataan yang lebih matang.

“… telah melampaui batas sehingga saya tertanya-tanya apa peranan PPIM ini…,” katanya kelmarin dalam audio siar Promedia Tajdid.

Kelantan: Teruk dibalun netizen penganjur batal acara lumba kura-kura

Penganjur tak jadi buat 'lumba race kura-kura' di Kelantan
story-image

Malaysiakini 

Penganjur Expo Kelate Event hari ini membuat keputusan untuk membatalkan acara lumba kura-kura yang dirancang mereka berlangsung pada program itu 30 Sept nanti.

Pengumuman tersebut dibuat ketika sesetengah pengguna media sosial giat menyindir, mengkritik dan menghasut maya (troll) acara berkenaan serta mengaitkannya dengan kerajaan Kelantan.

“Kami selaku penganjur memohon maaf di atas kekhilafan berkenaan cadangan penganjuran lumba race kura-kura di tapak Expo Tasek Raja (di Pasir Mas, Kelantan).

“Cadangan penganjuran ini dibatalkan dan kami memohon maaf sekali lagi atas kekhilafan pihak kami dan penganjur serta program ini tidak terlibat mana-mana agensi atau persatuan,” katanya penganjur itu dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Terdahulu poster acara terbentuk hiburan keluarga, jualan, festival kebudayaan dan kesenian tempatan itu tular di media sosial. Acara berkenaan berlangsung sejak 13 Sept lalu dan sepatutnya berlanjutan sehingga 5 Okt ini.

Poster tersebut menguar-uarkan rancangan penganjur mengadakan perlumbaan kura-kura yang mengingatkan sesetengah orang kepada analogi Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa muktamar di Pahang hujung minggu lalu.

Seorang pengguna Facebook mengingatkan warganet bahawa sebelum ini pernah ada pertandingan biri-biri jangok (lawa) dan pertandingan lastik di Kelantan.

“Dan akan datang pertandingan lumba kura-kura.

“Negeriku sedang undur 50 tahun ke belakang, dengan membawa sekali mentaliti rakyatnya jauh ke tahun 1960-an dan 1970-an,” katanya.

Sementara itu penganjur turut mengumumkan pembatalan acara itu digantikan dengan pemberian 300 makanan percuma.

Acara lumba kura-kura itu pada asalnya menyediakan hadiah RM500 untuk pemenang pertama, RM300 di tempat kedua dan masing-masing RM200 dan RM100 bagi tempat ketiga dan keempat.

Ia terbuka kepada kura-kura yang mempunyai berat 1kg tetapi tidak melebihi 2kg.

Mengikut rancangan asal, kura-kura itu akan bertarung bagi jarak dua meter. Penyertaan dihadkan kepada 20 ekor sahaja.

Kes bunuh jiran kerana cemburu: Abdul Razak diburu polis

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
ABDUL Razak diburu polis. FOTO Ihsan Polis
ABDUL Razak diburu polis. FOTO Ihsan Polis
Keningau: Polis giat mengesan lelaki warga asing dikenali sebagai Abdul Razak, 40, yang dipercayai terbabit kes bunuh di Jalan Lingkudau, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Alizam Dalaman berkata, suspek Abdul Razak beralamat di Kampung Linkudau, Keningau.

"Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan suspek dan sesiapa yang mempunyai boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azrul Efizul Mohd Asri di talian 012-9293148.

"Maklumat juga boleh disalurkan dengan tampil ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki yang bertindak membantu jiran membuat laporan polis berakhir tragedi apabila ditetak dalam kejadian di Jalan Lingkudau, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, mangsa berusia 58 tahun dilaporkan maut akibat parah di tangan selepas ditetak oleh suami jiran yang dibantunya.

Polis serbu kelab ganja selepas terima maklumat

KOSMO!
SEBUAH kelab ganja diserbu di Pattaya Selatan. - Foto Pattaya Mail
BANGKOK – Polis Pelancongan Pattaya, Thailand menyerbu sebuah kelab ganja ketika para pengunjungnya sedang leka berparti, lapor laman berita Pattaya Mail kelmarin.

Kelab itu terletak di Pattaya Selatan dan menjadi tumpuan lebih 50 warga tempatan serta pelancong asing.

Dalam serbuan itu, ada sebahagian pengunjung yang menghisap ganja dan menari mengikut alunan muzik.

Polis mendapati, kelab itu melanggar beberapa undang-undang tempatan.

Serbuan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat bahawa terdapat penyalahgunaan dadah di dalam kelab tersebut.   

Semasa serbuan, seorang wanita Thailand yang mengaku dirinya sebagai pengurus kelab menuntut untuk melihat waran geledah. 

Bagaimanapun, bantahannya itu tidak dipedulikan kerana anggota polis menemui serbuk putih yang mencurigakan menyerupai ketamin di dalam beg plastik.

Ujian dadah kemudian dilakukan ke atas semua pengunjung kelab tersebut.

Dalam serbuan itu, sejumlah pengunjung termasuk warga asing ditangkap kerana pelbagai kesalahan.- AGENSI 

Anak dihina berpakaian seperti pelacur, Che Ta buat laporan polis

NUR AL-FAIRUZA SYARFA NOR SAIDI
Che Ta berang dengan tindakan seorang netizen yang melabel anaknya berpakaian seperti seorang pelacur.
PETALING JAYA – Geram dengan perbuatan individu yang melemparkan kata-kata kesat terhadap anaknya termasuk menyamakan kanak-kanak itu berpakaian seperti seorang pelacur, pelakon Rozita Che Wan bertindak membuat laporan polis.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta juga nekad mencari pelaku yang didakwa menghina Aaisyah Dhia Rana tanpa memikirkan kesan  perbuatan biadab tersebut.

“Malas cakap banyak. Aku serahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

“Siapa yang kurang ajar mengata anak aku, kau tunggu. Baik kau benam diri dalam tanah.

“Kalau tidak pun tunggu, aku akan cari sampai lubang cacing. Kau main tahi dengan aku, kau akan kena,” katanya dalam InstaStory.
Che Ta membuat laporan polis ekoran terhadap seorang individu yang menghina anaknya berpakaian seperti seorang pelacur di Balai Polis Kota Damansara.
Meskipun akaun individu tersebut sudah hilang, Che Ta, 50, tetap akan berusaha menjejaki pelaku terbabit sehingga dapat ditemui.

“Tiada masalah (akaun Instagram hilang). Aku akan cari sampai lubang cacing.

“Silap besarlah cari fasal dengan aku,” jelasnya.

Berdasarkan pemerhatian Kosmo! Online, hari ini pelakon drama Kiah Pekasam itu dilihat pergi ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang difahamkan untuk melaporkan isu sama.

Terdahulu, Che Ta ‘naik hantu’ selepas seorang netizen dikatakan menghina Aaisyah dengan menyamakan baju dipakai seperti pelacur dan tidak layak menerima wang hantaran tinggi.

Komen tersebut muncul selepas sebuah akaun TikTok memuat naik video Aaisyah menggunakan tajuk yang mengundang salah faham netizen.

Che Ta dalam sebuah video pernah meminta agar anak tunggal perempuannya itu mempelajari selok-belok kerja rumah dan berseloroh mendapat wang hantaran tinggi berjumlah RM900,000 melebih jumlah yang pernah diterimanya sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Rogol gadis dalam kereta, dua sahabat dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol gadis berusia 18 tahun di dalam sebuah kereta, Mei tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas joki, B Satia, 27, yang kini pemandu lori dan penyelia tapak pembinaan, T Khanesen, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Selepas mahkamah mengambil kira mitigasi dan pemberat yang diteliti seadilnya, perintah bon berkelakuan adalah tidak wajar dan tidak sesuai diberikan.

"Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 11 tahun dengan dua sebatan terhadap kedua-dua tertuduh bermula hari ini," katanya.

Terdahulu, peguam Muhammad Amin Abdullah dan K Ponnusamy masing-masing mewakili Satia dan Khanesen memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dengan mengambil kira faktor kedua-dua tertuduh adalah penanggung utama keluarga dan pesalah kali pertama.

"Kami juga memohon satu penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi," kata Ponnusamy.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin membantah permohonan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kerana kesalahan yang dilakukan adalah jenayah rogol iaitu kesalahan yang serius.

"Pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh supaya mereka dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.

"Permohonan bon tidak terpakai bagi kesalahan serius seperti rogol kerana jenayah ini sememangnya serius.

"Pendakwaan memohon hukuman penjara serta-merta untuk menghukum pesalah dan paling penting bagi melindungi wanita" katanya.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM9,000 kepada RM11,000 bagi memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh pada prosiding akan datang.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula Februari lalu.

Pada 24 Mei tahun lalu, Satia didakwa merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam kereta jenis Honda City di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Maluri di sini, pada jam 5.20 pagi, 13 Mei tahun lalu.

Khanesen turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama, pada 5.06 pagi di tempat sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Terengganu mengikuti langkah Perlis mengisytiharkan ajaran dibawa GISBH sebagai ajaran sesat

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu akan mengikut jejak langkah Perlis apabila memutuskan untuk memfatwakan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings (GISBH) adalah sesat.

Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu akan mengeluarkan fatwa itu berdasarkan bukti-bukti jelas yang menunjukkan organisasi itu mengandungi unsur ajaran sesat.

"Kita akan fatwakan GISBH sebagai sesat juga berdasarkan bukti-bukti yang jelas, namun biasanya pihak Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan putuskan lebih dahulu sebelum dibawa ke negeri masing-masing.

"Apabila sudah ada bukti-bukti yang kukuh yang dibentangkan oleh pihak-pihak yang tertentu yang berautoriti berkaitan GISBH, maka sudah tentu akan juga difatwakan sesat tanpa perlu was-was lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, gerakan GISBH tidak begitu ketara di Terengganu namun, pihaknya tetap memandang serius isu berkenaan.

"Di Terengganu, gerakan ini tidak begitu ketara dan tidak ada aduan serius untuk dibawa ke fatwa peringkat negeri.

"Apabila ada aduan serius di peringkat kebangsaan, maka biasanya ia akan dibincangkan di peringkat MKI terlebih dahulu sebelum diputuskan oleh setiap negeri," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Ia menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Akhirnya Jawatankuasa fatwa Perlis mengisytiharkan ajaran yang dibawa GISBH adalah sesat

SITI NUR ZAWANI

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis hari ini mengisytiharkan kepercayaan dan ajaran dibawa Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Dalam mesyuarat khas yang diadakan, jawatankuasa berpendapat ajaran GISBH adalah kesinambungan dari ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Selain itu jawatankuasa memutuskan bahawa pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi Muhammad atau mempunyai keajaiban mengetahui perkara yang ghaib, adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kesan dan akibat daripada pengkultusan itu melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama sekalipun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah

“(Kesan yang lain, ahli jemaah) Mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan ajaran Islam.

“Mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh-badan pemimpin mereka.

“Mewujudkan hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak iaitu hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan juga muamalat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Mohd Asri berkata, setelah meneliti cara pengoperasian aktiviti ekonomi GISBH, Jawatankuasa menyimpulkan model ekonomi yang diamalkan bukanlah model ekonomi Islam yang sebenar, bahkan ia bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam. 

Ini kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

“Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu GISBH adalah dilarang.
“Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam membantu pemulihan ahli-ahli GISBH yang ingin keluar dari kesesatan ini. 

“Peruntukan zakat juga boleh digunakan untuk membantu pemulihan mereka seperti pembiayaan pendidikan yang betul, pembinaan semula kehidupan, perlindungan keselamatan, bantuan guaman yang mempunyai kaitan untuk pembebasan diri dari GISBH dan pembiayaan dakwah pemurnian akidah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan, peruntukan zakat di bawah fi sabilillah, al-riqab dan fakir miskin boleh digunakan untuk tersebut.

Malah menurutnya, masyarakat Islam perlu mengambil sikap positif dalam usaha membantu bekas-bekas ahli GISBH untuk keluar dari belenggu kesesatan.

“Sekolah yang mempunyai manhaj pengajian Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar hendaklah membantu mengambil anak-anak GISBH ini untuk diberikan pendidikan yang sepatutnya.

“Badan-badan swasta juga boleh membantu untuk memberi peluang pekerjaan supaya mereka dapat hidup seperti masyarakat Islam yang lain.

“Dalam masa yang sama semua pihak hendaklah sama-sama memantau bagi memastikan mereka tidak kembali kepada ajaran sesat tersebut,” tambahnya lagi.

Angkara cemburu, lelaki bantu isteri jiran lapor polis maut ditetak

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my
Lokasi kejadian mangsa ditetak oleh suspek menggunakan senjata tajam hingga maut. - Foto ihsan PDRM
Lokasi kejadian mangsa ditetak oleh suspek menggunakan senjata tajam hingga maut. - Foto ihsan PDRM
KENINGAU: Niat baik seorang lelaki membantu jiran membuat laporan polis berakhir tragedi apabila ditetak dalam kejadian di Jalan Lingkudau di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 58 tahun maut akibat cedera parah di tangan selepas ditetak suami jiran yang dibantunya kira-kira jam 9.30 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman, berkata terdahulu berlaku pertengkaran antara suspek iaitu lelaki berusia 40 tahun dan isterinya.

Katanya, isteri suspek dikatakan lari ke rumah mangsa yang juga jirannya sebelum dibawa membuat laporan di Balai Polis Keningau.

"Mangsa dan isterinya membantu isteri suspek membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.

"Namun setibanya di balai, mangsa dihubungi anaknya yang berusia 25 tahun dan memaklumkan suspek dalam keadaan marah di hadapan rumah mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alizam berkata, mangsa kemudiannya bersama seorang lagi anak lelakinya yang berusia tujuh tahun pulang ke rumah menaiki kenderaan untuk melihat keadaan sebenar.

Katanya, isteri suspek turut pulang ke rumah dengan berjalan kaki bagi meredakan kemarahan suspek.

"Ketika dalam perjalanan balik ke rumah, mangsa berjumpa dengan suspek dan berlakunya pertengkaran antara mereka.

"Suspek dilaporkan terus menetak tangan mangsa di hadapan anak mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang menyebabkan berlaku pendarahan teruk," katanya.

Alizam berkata, isteri suspek yang tiba bersama anggota peronda unit kereta peronda (MPV) kemudiannya menemui mangsa yang parah.

Katanya, anggota MPV juga segera memaklumkan kepada pihak hospital untuk memberi bantuan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Suspek bertindak melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dilakukan pihak polis.

"Punca pergaduhan antara suspek dan mangsa adalah disebabkan rasa tidak puas hati atau cemburu suspek terhadap mangsa yang menolong isterinya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat," katanya.

Pasukan Malbatt selamat, kenderaan rosak diserang orang awam Lubnan

Malaysiakini

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan Anggota Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan yang terlibat dalam satu insiden serangan orang awam di negara berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

ATM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku pada Rabu lepas sekitar 11.32 malam waktu Malaysia itu, melibatkan tiga pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat ketika dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah selepas menyelesaikan penugasan perlindungan pasukan (force protection) di Kem Shama, Markas UNIFIL.

"Ketika pasukan berkenaan melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, satu kesesakan luar biasa berlaku di mana ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas dan banyak kenderaan ambulans serta bomba melalui dari kedua-dua arah.

"Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif dengan cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan jenis Fitted For Radio (FFR) Malbatt," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa hampir 30 orang awam membaling batu dan memancitkan kesemua tayar kenderaan pasukan menggunakan senjata tajam.

“Bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, kedua-dua buah kenderaan telah berhenti di tepi jalan dan kekal berada di dalam kenderaan sehingga Lebanon Armed Forces (LAF) tiba di lokasi untuk mengiringi kedua-dua kenderaan pulang. 

“Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 malam waktu Lubnan, bagaimanapun kedua-dua buah kenderaan mengalami beberapa kerosakan,” menurut kenyataan itu. 

Malbatt 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti yang ditetapkan oleh UNIFIL, dan semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya.

- Bernama

Wanita terselamat, kereta dihempap bongkah konkrit

FMT Reporters

Mangsa bernasib baik selepas keretanya terbakar dan musnah sepenuhnya selepas dihempap bongkah longkang konkrit yang terjatuh dari sebuah treler.
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah kereta selepas dihempap bongkah longkang konkrit yang terjatuh dari treler pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Sebuah kereta terbakar dan musnah sepenuhnya selepas dihempap bongkah longkang konkrit yang terjatuh dari sebuah treler dalam kejadian di Jalan Mambau, Seremban pagi tadi.

Bagaimana pemandu kereta berkenaan iaitu seorang wanita bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu.

Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Ahmad Khomeini Kamarudzaman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, dianggarkan lebih separuh daripada muatan treler berkenaan terjatuh di jalan raya.

“Kami menjalankan operasi pemadaman api, namun kereta berkenaan tidak dapat diselamatkan dan hangus 100%. Pemandunya berjaya menyelamatkan diri.

“Berdasarkan maklumat pemandu Proton Saga FLX, bongkah longkang yang dibawa treler dipandu seorang lelaki berusia 63 tahun itu didakwa terjatuh ke atas keretanya di bahagian hadapan.

Akibatnya kereta dipandu seorang wanita berusia 31 tahun itu mula terbakar dipercayai bermula dari bahagian enjin, katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Katanya, sebuah lagi kereta Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 30 tahun tidak sempat mengelak bongkah yang jatuh menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu belakang.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan kira-kira 7 kilometer di kedua-dua arah. Operasi mengalihkan bongkah dan sisa dijalankan, katanya.

Pejabat MB nafi dakwaan Sanusi pergi bercuti ketika Kedah dilanda banjir

‘Betul beliau di luar negara tapi…’- Pejabat MB Kedah jawab dakwaan Sanusi bercuti ketika banjir

SITI NUR ZAWANI

Pejabat Menteri Besar Kedah menafikan dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang bercuti di luar negara bersama isteri dalam keadaan beberapa daerah di negeri itu dilanda banjir dan ribut.

Pejabat itu dalam satu kenyataan mengakui Menteri Besar Kedah sememangnya sedang berada di luar negara, namun bukan atas tujuan bercuti atau melancong,” katanya lagi.

“Ini kerana satu projek alternatif akan dijalankan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna di Pulau Permata Kedah itu sehingga tahun 2040. 

“Projek itu adalah di bawah Bahagian Bekalan Air, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). 

“Projek membina empangan air bawah tanah di Langkawi yang dijangka siap pada tahun 2028 ini adalah yang pertama di Asia Tenggara,” kata kenyataan itu.

Pejabat itu berkata, turut serta dalam lawatan sambil belajar itu ialah beberapa staf pengurusan dan teknikal Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Lawatan berkenaan dimaklumkan sudah diatur lama iaitu selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat LSANK bertarikh 1 April 2024.

Delegasi Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai Sanusi telah berangkat ke Jepun pada 17 September lalu iaitu beberapa hari sebelum banjir teruk melanda Kedah.

Tambahnya, walaupun berada jauh di luar negara, Sanusi sentiasa mengikuti perkembangan bagi memastikan beban bencana yang dihadapi oleh semua mangsa banjir Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan. 

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk fitnah disebar dalam keadaan kita menghadapi musibah seperti ini walau atas apa tujuan sekalipun,” katanya lagi

Terdahulu, kemunculan kenyataan media dari Menteri Besar Kedah hanya selepas lebih tiga hari banjir melanda, mengundang persoalan ramai.

Tiada kemaskini termasuk gambar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu turun meninjau kawasan dilanda banjir atau menziarahi mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) .

Kelibat Sanusi yang tidak kelihatan meredah banjir menemui mangsa bencana setakat ini turut dibangkitkan penduduk tempatan.