Amin Ishak
“Nasib tidak berhenti, kalau tidak sudah mereka potong kepala kamu pakai barong (parang Sulu),” terngiang-ngiang teguran seorang pegawai polis sebaik mengetahui penulis bersama beberapa rakan media lain terserempak dengan pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih 11 tahun lalu.
“Mereka itu tidak pandai kesian orang, jahat, dan sanggup membunuh,” sambungnya yang membuatkan penulis yang ketika itu bertugas sebagai wartawan Berita Harian agak tersentak mengenangkan nasib jika memutuskan berhenti di ‘markas’ terbabit.
Saya masih mengingati sebaik mendapat maklumat pengikut ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III mendarat dengan bot di Kampung Tanduo pada 11 Feb 2013, ketua biro Berita Harian Sabah, Wan Faizal Ismayatim, mengarahkan saya ke Lahad Datu, tempat saya membesar dari usia 7 hingga 17 tahun, pada keesokan harinya.
Turut mendapat arahan sama rakan dari New Straits Times, Avila Geraldine, dan jurugambar, Zunnur Al-Shafiq. Kami menaiki penerbangan pertama dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu iaitu sekitar 6.30 pagi. Sebaik mendarat sekitar 55 minit kemudiannya, kami bertemu dengan pasangan suami isteri bekerja sebagai wartawan di akhbar tempatan iaitu Azmie Lim serta Efa Rizan.
Usai bersarapan, kami berlima menaik kenderaan pacuan empat roda sejauh hampir 100 km ke Felda Sahabat, di mana terletaknya Kampung Tanduo. Ia memakan masa hampir dua jam dan ketika tiba di sana bertemu pula kru Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berpangkalan di Tawau.
Tanpa sebarang panduan jelas, kami sebenarnya agak buntu memulakan liputan memandangkan maklumat diterima daripada sumber agak samar. Penduduk di sekitar pun tidak tahu mengenai kehadiran pengganas Sulu yang dikatakan bersenjata.
Jam menunjukkan 2 petang, namun belum ada sebarang bahan berita. Kami meneruskan perjalanan ke Kampung Tanjung Labian dan di sana, kami bertemu penduduk dari Kampung Tanduo yang mendakwa diusir kumpulan yang penampilannya seperti ‘tentera’.
“Saya ingat Abu Sayyaf sebab pakai senjata dan ramai. Kami diminta keluar rumah dan saya bersama keluarga lari ke Tanjung Labian kerana takut diapa-apakan,” kata Ben Hamid, yang menunjukkan jalan ke Kampung Tanduo.
Mengikut naluri sebagai wartawan, kami bersama kru RTM terus ke kampung yang ‘ditawan’ rombongan pengganas Sulu diketuai adik Jamalul iaitu ‘Raja Muda Agbimuddin’. Kami melalui jalan denai di kawasan ladang kelapa sawit.
Sekitar 20 minit perjalanan, kami berselisih dengan seorang wanita menunggang motosikal yang secara tiba-tiba berhenti. Azmie yang memandu memberhentikan kenderaan. Dia menegur saya, “Amin cuba tengok apa dia buat.”
Dari sisi cermin di tempat duduk penumpang bahagian depan kenderaan itu, saya dapat melihat wanita itu menghubungi seseorang menggunakan telefon bimbit dan tidak lama kemudian meneruskan perjalanan.
Tanpa mengesyaki apa-apa, kami meneruskan perjalanan dan kurang 10 minit selepas itu saya terkejut melihat gerombolan orang ramai berkumpul di sebuah rumah. Ada yang memakai pakaian seragam tentera. Kelihatan bendera berwarna kuning, putih, dan hijau pada rumah tersebut.
Ketika itu kami sedari telah sampai ke Kampung Tanduo dan berdepan dengan pengganas Sulu. Seorang lelaki berbadan sasa yang membawa senjata berjalan ke arah kenderaan kami.
“Wait wait wait,” kata lelaki terbabit sambil tangannya meminta kami datang kepadanya.
Pada masa itu, saya mula merasakan mungkin kumpulan itu bersedia menerima kehadiran kami sebaik mendapat maklumat daripada wanita yang berselisih dengan kami.
Tanpa berlengah Azmie terus memecut kenderaan, begitu juga pemandu yang membawa kru RTM. Mungkin kerana terkejut, kelima-lima kami hanya terdiam sepanjang perjalanan keluar dan bimbang diekori pengikut pengganas Sulu.
Rupanya kelibat di Kampung Tanduo itu diketahui polis. Seorang pegawainya memberitahu mereka hampir menembak kami sehinggalah menyedari ada lambang RTM pada salah sebuah kenderaan.
“Baru kami tahu media. Nasib kamu semua tidak berhenti kalau tidak mereka sudah potong kepala kamu pakai barong,” kata pegawai itu yang kami temui pada keesokan harinya.
Namun 17 hari kemudian iaitu tanggal 1 Mac 2013 di lokasi sama dijejaki penulis itu, tercetus pertempuran di antara polis dan pengganas Sulu yang mengorbankan dua anggota Komando 69 dan 12 pengganas. Wira negara Zulkifli Mamat dan Sabaruddin Daud terkorban di tangan musuh yang membuat helah ingin menyerah kalah dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu.
Penulis bersama rakan media lain yang menunggu di suatu simpang menuju ke Kampung Tanduo berkesempatan melihat jenazah mereka dibawa keluar. Tangisan rakan seperjuangan mereka masih diingati sehingga sekarang.
Keesokannya pula, enam anggota polis gugur dalam serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna, yang terletak lebih 200 km dari Kampung Tanduo. Ketika kejadian mereka dalam misi merisik kegiatan kumpulan yang mempunyai kaitan pengganas Sulu.
Mereka yang terkorban dikenali Ibrahim Lebar; Michael Padel, Baharin Hamit, Abdul Aziz Sarikon, Salam Togiran, dan Mohd Azrul Tukiran.
Enggan lagi berunding, pihak berkuasa melancarkan Ops Daulat untuk memerangi habis-habisan pengganas Sulu. Detik 7 pagi, 5 Mac, jet tentera udara mula menggegarkan langit di Felda Sahabat dengan sasaran utama di Kampung Tanduo.
Operasi penggeledahan dan pembersihan di Zon Labian yang membabitkan Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu, dan Kampung Tanjung Labian menyaksikan 65 pengganas ditembak mati dan lebih 100 ditangkap.
Pada 26 Julai 2016, sembilan ahli kumpulan pengganas dihukum penjara sepanjang hayat, 8 termasuk 3 rakyat tempatan dipenjara antara 10 tahun hingga 15 tahun.
Walaupun 11 tahun telah berlalu, namun ingatan pada kejadian itu masih kuat. Geram melihat kedaulatan negara diceroboh bertukar bangga melihat Jalur Gemilang kembali berkibar di Kampung Tanduo, apabila penulis kembali setahun selepas itu.