"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu maut, badan terputus dua dalam kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN 

PORT DICKSON - Seorang pemuda maut selepas kereta yang dipandunya terbabas di kilometer 20 Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH) arah Seremban ke Port Dickson sekitar jam 4.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa yang maut, N Anathan, 27, maut di tempat kejadian selepas badannya putus dua daripada paras pinggang ke bawah dan putus kaki sebelah kiri.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mitsubishi Lancer yang dipandu si mati berada di lorong kanan telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan dan berpusing kemudian melanggar pembahagi tengah lebuh raya.

"Kemalangan itu menyebabkan si mati yang memandu bersendirian tercampak keluar daripada keretanya.

"Lokasi kemalangan merupakan jalan lurus, dua lorong arah yang sama.

"Kerosakan kereta tersebut adalah remuk bahagian hadapan, sebelah tepi kanan dan belakang," katanya.

Zainudin berkata, mayat si mati di bawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Umno Selangor tawar khidmat 3 bekas MB ada rekod buruk

MALAYSIA DATELINE

“Noh Omar tidak perlu ‘angan-angan mat jenin’ konon nak gandingkan 3 bekas menteri besar di Selangor untuk rampas semula negeri itu dari pembangkang.”

Itu respon Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang berpandangan kenyataan dibuat oleh Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar semalam, sesuatu yang melucukan apabila bercadang mengembalikan semula tokoh pemimpin negeri dan parti itu Tan Sri Abu Hassan Omar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Dr Mohd Khir Toyo kembali bekerja untuk parti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

” Ketiga-tiga bekas menteri besar Selangor ini mempunyai rekod buruk di kaca mata rakyat. Rekod yang terlalu teruk.

“Sekiranya Noh Omar gandingkan ketiga-tiga bekas menteri besar ini dengan agenda untuk rampas semula Selangor, saya nak ucapkan ‘terima kasih banyak-banyak’ padanya.

“Tindakan Noh Omar untuk guna khidmat ketiga-tiga bekas menteri besar Selangor ini akan mempercepatkan Umno-BN tumbang lebih teruk dan pantas lagi di Selangor.

“Tak usah kata rakyat Selangor nak sokong tetapi dengar nama ketiga-tiga bekas menteri besar itu pun mereka sudah ‘jelek’,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin mengulas mengenai kenyataan dibuat Noh semalam yang dipetik berkata, dengan menyatukan tiga bekas menteri besar itu bagi memastikan BN menawan kembali Selangor kerana mereka bertiga dikatakan akan memberi ‘aura’ baru kepada Umno-BN di negeri itu.

Bahkan Noh menambah hasratnya itu sudahpun dibincangkan bersama tiga bekas menteri besar itu dan setakat ini ujarnya, mereka bersetuju untuk bergandingan dengan Umno Selangor dalam usaha menumpaskan Pakatan Harapan di Selangor.

Menurut Khairuddin lagi, beliau begitu hairan dengan pemilihan Abu Hassan, Muhammad Taib dan Khir yang dianggapnya tidak lagi relevan dalam landskap politik mutakhir ini khususnya di Selangor.

“Datuk Seri Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) amat cemerlang mentadbir Selangor pada hari ini. Pergilah ke pelusok mana pun di negeri Selangor keseluruhan rakyat jelata amat puji dengan mutu kepimpinan ‘peduli rakyat’ serta ‘tanggungjawab sosial’ yang dijalankan oleh menteri besar Selangor hari ini

“Ketika Umno memimpin negeri ini tabungan negeri habis licin. Tetapi Datuk Seri Azmin pimpin Selangor ‘reserve’ tabungan negeri berjumlah lebih RM4.1 bilion.

“Kebaikan lain tak perlu hurai kerana terlalu banyak serta teramat panjang senarainya,” ujarnya.

Kota terakhir Umno/BN bakal hilang

Mahdzir Ibrahim
KUBU terakhir Umno adalah di Johor, dan kota pertahanan terakhir Umno Johor adalah di Parlimen Johor Bahru.

Kerana itu, Perdana Menteri Najib Razak serta Menteri Besar Khaled Nordin baru-baru ini secara terbuka memujuk Shahrir Samad agar menukar pendirian yang dibuatnya selepas PRU13 untuk tidak lagi mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru.

Imej kerajaan kleptokrasi Najib sangat buruk hingga mereka tahu bahawa, tanpa imej Shahrir, Parlimen bandar seperti Johor Bahru, kemungkinan besar akan hilang.

Kota yang telah hilang

Imej dan integriti kerajaan Khaled juga sudah tidak dapat dipertahankan lagi apabila terbongkarnya skandal rasuah hartanah terbesar dalam sejarah negeri Johor. Tanpa Shahrir, kota terakhir Umno ini akan hilang tak berganti.

Parlimen Alor Setar, Ipoh Barat dan Timur, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Kuantan, Parlimen Shah Alam, Parlimen Seremban, Parlimen Kota Melaka, Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Kota Kinabalu di’PH’kan. Hanya Parlimen Johor Bahru belum benar-benar diuji.

Jelas sekali Parlimen Johor Bahru akan menjadi kota pertahanan terakhir Umno di negeri kelahirannya. Umno kini dalam keadaan sangat terdesak untuk menjaga “air muka” mereka setelah dua kali pilihan raya, gagal mengembalikan Selangor ke dakapan Umno.

Tenatnya Umno Johor semakin ketara apabila buat kali pertama dalam sejarah politik Johor moden, kerajaan Khaled yang menjadi kubu kukuh Umno, hilang majoriti dua pertiga di dewan negeri.

Faktor Shahrir

Kemenangan Shahrir dalam beberapa PRU yang lalu, jelas menunjukkan kemenangan yang meyakinkan. Namun, nilai kemenangan itu semakin menipis, tahun demi tahun.

Pada PRU11, beliau menang dengan majoriti besar iaitu 46,792 undi, tetapi pada PRU 12 kemenangan beliau menipis menjadi 25,349, hilang hampir separuh undi.

Pada PRU13 yang lalu, lebih separuh lagi undi ke atas beliau hilang dengan hanya mendapat majoriti 10,134. Jika disemak dengan perubahan jumlah pengundi baru, kesan GST dalam kalangan penduduk bandar. Anjakan konservatif antara 10-15% undi itu boleh menghilangkan Umno dari Parlimen Johor Bahru.

Di peringkat kerusi Parlimen Johor Bahru, harapan beliau agar MCA dapat membantu menambah undi, boleh dikatakan agak tipis. DUN Stulang kini dikuasai oleh DAP, dan boleh dikatakan DAP agak konsisten dalam mempertahankan pengaruhnya dalam kalangan pengundi. Maka, cabarannya bukan kepalang.

Di peringkat nasional, Shahrir adalah tokoh awal yang mempertahankan skandal 1MDB. Beliau mempertahankan salah laku bosnya Najib dalam skandal yang cukup menjolok mata ini.

Hari ini beliau dilantik oleh Najib menjadi pengerusi Felda. Satu kedudukan idaman ahli politik.

Namun, Felda pula pada ketika ini sedang menghadapi krisis terbesar sepanjang penubuhannya. Perpindahan Isa Samad yang kini sedang disiasat pihak berkuasa, menjelaskan lagi betapa teruknya masalah di Felda.

Hingga Shahrir mengambil alih, belum nampak tanda-tanda Felda akan pulih dari krisis kewangan dan pentadbirannya. Mungkinkah Shahrir akan meneruskan legasi “pemberian wang” agar hati para peneroka sejuk? Sama-sama kita lihat.

Shahrir, kad terakhir Najib di Johor

Percaturan Najib dan Khaled agar Shahrir menukar pendiriannya untuk kembali bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru bagi pihak Umno, boleh dikatakan perjudian yang berisiko tinggi.

Shahrir sememangnya berpengaruh di kalangan pengundi tegarnya, tetapi jika kita lihat apa yang berlaku ke atas mantan menteri besar Johor, Abdul Ghani Othman di Gelang Patah pada PRU13 yang lalu, ia boleh memberi sedikit keyakinan kepada Pakatan Harapan untuk membuat kejutan kali kedua.

Jika Shahrir menerima pujukan presiden Umno dan pengerusi Perhubungan Umno Johor ini, peluang bagi PH untuk mencipta sejarah, pastinya akan lebih cerah.

Kerana apa? Selain faktor politik semasa, percaturan ini jelas membuktikan Umno di peringkat yang cemas dan terdesak hingga tiada lagi calon lain yang berwibawa, mampu mempertahankan kota terakhirnya. – 22 September, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

Lelaki mahu pengunjung berpakaian sopan tular di media sosial

FMT Reporters 

Video
PETALING JAYA: Video seorang lelaki memberitahu beberapa pengunjung sebuah kedai kopi di Flora Damansara supaya berpakaian “sopan” tular di media sosial.

Dalam video seminit setengah itu, lelaki tersebut memakai songkok dan berjubah hitam panjang mendakwa mewakili komuniti Flora Damansara di Petaling Jaya.

“Pertama, kami menentang sebarang penyalahgunaan dadah dalam komuniti ini.

“Kedua, kami menentang penggunaan alkohol di khalayak ramai di Flora Damansara. Mengapa? Kerana tempat ini dihuni penduduk majoriti Islam. Ini tidak menghormati orang Islam.

“Terdapat juga aktiviti mencurigakan seperti pelacuran.

“Saya menggesa anda semua tidak memakai pakaian yang ‘terdedah’,” katanya.

Lelaki itu yang dilihat memegang sekeping kertas mengandungi larangan tersebut, memberikan tempoh kepada pelanggan selama seminggu untuk mematuhi notis tersebut.

Dia juga meminta para pelanggan berkongsi notis itu dengan rakan-rakan.

Lihat realiti bukan sibuk meramal

ARIF ATAN 
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin berpendapat ramalan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Mahathir mungkin kembali kepada Umno sebagai tidak relevan.
Menurutnya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik semasa tanah air sedangkan langkah lebih baik adalah melihat kepada perkembangan pada masa ini.

“Jika nak kira mungkin, macam-macam serba mungkin. Tiada siapa yang akan tahu apa berlaku akan datang sesuci mana pun orang atau makhluk itu.

“Lebih baik kita lihat apa yang berlaku sekarang daripada sibuk meramal kemungkinan yang tidak pasti,” tegasnya.

Beliau mengulas penerbitan artikel, ‘Anwar atau Mahathir mungkin u-turn kepada Umno?’ di portal rasmi Pas, Harakahdaily semalam.

Menggunakan panggilan ‘parti suci’ yang merujuk kepada Pas, Hanipa berkata, wujud perbezaan antara pendirian Anwar dan Mahathir dengan parti dikepalai Datuk Seri Hadi Awang itu.

“Saya dapat tahu media online parti suci mengeluarkan satu artikel yang meramal DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau Tun Mahathir mungkin akan masuk semula Umno.

“Sekarang ini antara DSAI, Tun M dan pimpinan parti suci, yang jelas dan pasti DSAI dan Tun M buat masa ini sedang lawan habis-habisan Umno dan MO1 (Malaysian Official 1) – teraju utama Umno-BN.

“Yang jelas juga parti suci sekarang ini sedang berpolitik yang amat perlahan sekali menyerang Umno dan MO1 dan kadangkala pula dilihat membuat kenyataan menguntungkan Umno dan MO1.

“Contoh yang paling jelas adalah kenyataan Presiden parti suci yang kata saman DOJ adalah campurtangan asing!,” bidasnya dipetik dari status Facebook beliau.

Penulis Wan Nordin Wan Yaacob dalam artikel tersebut menganggap Umno sebagai lebih dekat dengan parti Bersatu dan dasar PKR tidak jauh berbanding Umno.

“Tidak mustahil dalam keadaan terdesak mendepani politik Tun Mahathir dalam menjelang PRU 14 (Pilihan Raya Umum ke-14) ini, Anwar akan dikembalikan ke dalam Umno semula oleh rangkaian yang disebutkan tadi.

“Apatah lagi ia strategi yang paling ampuh untuk melumpuhkan PKR yang kini berpecah belah angkara beberapa pemimpin tidak sehaluan.

“Dan tidak mustahil bagi Najib yang terdesak mempertahankan survival politiknya dengan membebaskan Anwar dari penjara, kemudiannya menjadikan Anwar sekutu rapatnya dalam mendepani PRU14,” dipetik dari tulisan itu.

Mengulas lanjut, Hanipa bersetuju dengan pendapat umum bahawa Pas tidak perlu menyertai Umno.

“Politik dia (Pas) sekarang pun dah cukup bikin Umno gembira. Buat apa Umno nak pening-pening terima masuk parti suci dalam parti sekotor Umno. Bikin susah je!” sindirnya lagi.

Beritahu susah berjuang agama, tapi sebenarnya tak susahpun…


Zolkharnain Abidin Al-AbyadhiSeptember 21, 2017 10:45 pm 
Mereka mengaku pejuang Islam. Kemudian mereka gambarkan perjuangan mereka begitu sukar, susah, penuh onak duri, nyawa terancam, kehidupan terhimpit.

Lalu mereka bacakan ayat al-Quran, hadis dan sirah Nabi tentang sulitnya berjuang Islam. Mereka termasuk kelompok orang yang dimaksudkan oleh ayat dan hadis itu. Pentaksub mereka pun angguk setuju dengan tafsiran itu.

Jika ditinjau, apa yang mereka namakan perjuangan Islam itu adalah perjuangan Islam dalam versi yang mereka cipta sendiri. Bahkan jika diteliti dengan jujur, perjuangan itu tidak menepati perjuangan Islam yang diwariskan oleh Nabi.

Perjuangan Islam Nabi penuh dengan kasih-sayang, menghormati manusia, mengelak perseteruan, membina hubungan baik dengan semua orang dan tidak memandang orang lain yang berbeza sebagai musuh agama.

Sementara perjuangan Islam yang mereka bawa tidak seperti perjuangan yang dibawa oleh Nabi. Dengan rasa suci diri, mereka bermusuh dengan semua orang yang berbeza, mempamerkan Islam dalam wajah tanpa toleransi dan suka melabel orang lain musuh Islam.

Ayat yang suka mereka baca adalah ayat perang, padahal ayat perang sesuai diimplementasi hukumnya dalam suasana perang, bukan suasana aman. Malaysia kini bukan dalam kancah perang seperti latarbelakang ayat yang dibaca itu.

Sambil mereka mengaku berjuang Islam dalam versi yang mereka cipta itu, mereka pun beritahu orang bahawa perjuangan Islam sukar dan payah. Seolah-olah mereka sudah mewarisi perjuangan Nabi yang sukar itu, dan merekalah pejuang Islam tulen.

Namun di sela-sela kesipongangan itu, hakikatnya mereka tidak susah pun. Mereka ada gaji dan elaun bulanan puluhan ribu sebagai MP, pakai kereta sedap, ke sana-sini naik ‘belon’ (kapalterbang), pangkal nama ada datuk, hadiah kereta mewah kepada isteri, ada yang ada isteri lebih daripada satu dan banyak lagi.

Mereka “berjuang Islam” dalam keadaan sebegitu mereka kata susah? Sukar? Payah? Nak bandingkan perjuangan mereka dengan perjuangan Nabi? Nak letakkan maksud ayat al-Quran tentang susah perjuangan untuk diri mereka?

Inilah yang boleh dinamakan candu agama, yakni menamakan sesuatu atas nama agama untuk menarik sokongan umum dengan labanya pulang kepada diri sendiri.

Namun pentaksub mereka tetap bertakbir, mereka tetap rasa diri mereka suci, dan hujan yang turun tanpa henti adalah simbol kemenangan mereka. Khurafat apakah yang sedang mereka promosikan?
____________________________
Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi ialah Pengarah Syariah AMANAH Nasional

Soalan maut Rafizi buat pegawai khas Rosmah

Sejak bila pegawai kanan kerajaan campuri urusan politik, tanya Rafizi pada pegawai khas Rosmah

HUSEIN MAHAT

Menjawab lima soalan pegawai khas isteri perdana menteri berhubung Invoke dengan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan, ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli mengemukakan pertanyaan balas kepada Datuk Seri Rizal Mansor; “Sejak bila pegawai kerajaan dibenarkan mencampuri urusan politik kepartian?”

Menurut Rafizi, semakan dengan Jabatan Perdana Menteri menunjukkan Rizal berpangkat Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri dan gred perjawatan beliau boleh disahkan dari senarai rasmi perjawatan kerajaan bagi Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri.

“Sebagai pegawai kanan kerajaan bergred M48 iaitu di dalam kumpulan pengurusan, Datuk Seri Rizal Mansor adalah tertakluk kepada Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang menetapkan bahawa pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik,” ujarnya.

Rafizi merujuk pekeliling yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam bertarikh 6 April 2009 berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu beliau hairan mengapa Rizal secara terbuka telah berkempen dan menyertai kegiatan-kegiatan politik yang antaranya berkempen secara rasmi bagi pihak BNdalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar tahun lalu; merasmikan mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno Kelana Jaya; dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan politik dari semasa ke semasa termasuklah kenyataan terbaru berhubung Invoke.

“Oleh yang demikian, saya akan berbincang dengan rakan-rakan peguam untuk mengambil langkah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam atas pelanggaran terang-terangan kepada satu peraturan utama penjawat awam yang sering digunakan untuk menghukum penjawat awam yang simpati kepada pembangkang selama ini,” tegas Rafizi yang juga naib presiden PKR.

Beliau juga akan membuat pelbagai tindakan susulan termasuk melalui parlimen untuk memastikan tindakan tatatertib diambil ke atas Rizal yang memperlekehkan peraturan membabitkan penjawat awam.

“Jika beliau dibiarkan berkelakuan begini, ia menimbulkan keadaan tidak adil jika ada penjawat awam yang lain juga bergiat aktif di dalam politik tetapi diambil tindakan,” katanya.

Menurut Rafizi, walaupun lima soalan yang ditanya Rizal adalah satu ‘serangan politik’ bertujuan menunjukkan beliau ‘mencuri wang’ melalui satu pertubuhan sukarelawan pilihan raya iaitu Invoke, beliau tetap menghormati hak setiap rakyat untuk mendapatkan maklumat mengenai tatakelola kewangan Invoke.

Dalam kenyataan medianya itu, Rafizi turut menjawab soalan Rizal berhubung sumber kewangan Invoke, isu sukarelawan, pelaburan wang ASB dan Tabung Haji miliknya ke dalam Invoke, sewa pejabat Invoke di seluruh negara, serta gaji, caruman Perkeso dan KWSP kakitangan Invoke.

Kesemua jawapan Rafizi berhubung isu-isu dibangkitkan pembantu khas isteri perdana menteri itu disertakan dengan dokumen berkaitan dan boleh dicapai di internet.

“Saya telah menjawab secara terperinci setiap soalan yang ditanyakan. Saya lakukan ini dengan hati yang terbuka kerana saya yakin jika kita tidak menyeleweng, jika kita tidak pecah amanah, kita tidak perlu takut kepada sesiapa untuk berlaku telus.

“Oleh kerana saya telah berlaku setelus-telusnya dengan setiap perkara yang dibangkitkan, maka wajarlah Datuk Seri Rizal menasihati Datin Seri Rosmah dan Datuk Seri Najib untuk turut berlaku telus seperti saya dalam urusan kewangan dan kerja-kerja politik saya,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Rafizi berjanji akan mengusulkan soalan-soalan balas kepadaNajib dan Rosmah dalam masa terdekat sebagai membalas inisiatif Rizal yang menuntut ketelusan beliau dalam hal ehwal kewangan Invoke.

Mengamuk selepas kantoi khalwat dalam kereta (Gambar)


Baru-baru ini tular satu video di laman sosial tentang reaksi seorang wanita yang ditangkap selepas dipercayai melakukan perbuatan terkutuk bersama dengan teman lelakinya di dalam sebuah kereta.

Kejadian jenayah syariah itu sebenarnya dilaporkan berlaku di Palembang, Indonesia.

Menerusi video yang berdurasi 29 saat itu, seorang wanita kelihatan menjerit-jerit memberontak apabila orang ramai menyuruhnya keluar selepas perbuatannya terbongkar.

Khabarnya, wanita tersebut merupakan seorang mahasiswi di sebuah kolej terkemuka di Palembang. Menurut sumber, kejadian terkutuk ini berlaku di tempat letak kereta kolej berkenaan.
Wanita itu kemudiannya menjerit-jerit sambil menutup mukanya dengan baju apabila dipaksa keluar dari kereta oleh orang ramai.

Mungkin wanita itu malu kerana perbuatannya dapat dihidu oleh orang yang berada di kawasan berkenaan. Tetapi, tidak pula kelihatan teman lelakinya dalam video tersebut.

Menurut saksi, kejadian terkutuk tersebut dapat dihidu apabila mereka merasakan ada sesuatu yang aneh sedang berlaku kerana kereta berkenaan bergoyang-goyang.

Walau bagaimanapun, laporan polis telah dibuat dan kedua-duanya sudah ditahan dengan bantuan orang ramai.

Rasa-rasanya perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi-lagi di negara yang penduduknya majoriti beragama Islam.

Sebagai seorang wanita dan juga pelajar universiti, wanita tersebut seharusnya lebih bijak dalam melakukan sesuatu perkara.

Diharapkan perkara sebegini tidak terjadi di negara kita.
-kualalumpurpost

'Perjanjian setan' di Pulau Pinang

Dalam satu tulisan yang terbit di portal Malaysian Insight kelmarin, saya sebutkan sudah sampai waktunya Pulau Pinang perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu.

Sangat tidak munasabah jawatan itu digilirkan hanya kepada seseorang daripada etnik Cina. Lebih-lebih tidak masuk akal kalau calon itu datang dari satu keluarga pula. Warisan lapuk ini aneh kalau diteruskan oleh Pakatan Harapan yang menjadikan merit sebagai pertimbangan utama untuk melantik seseorang ke jawatan sepenting ketua menteri.

Dalam undang-undang tubuh Pulau Pinang juga tiada halangan kalau seorang ketua menteri Melayu dipilih. Maka, apa yang diamalkan di Pulau Pinang hari ini bukanlah sesuatu yang diwarisi sangat daripada BN, tetapi lebih tepat ia adalah daripada pemikiran penjajah. Inilah yang saya namanya sebagai “perjanjian setan”.

Sepanjang 60 tahun kemerdekaan negara, Pulau Pinang pernah mempunyai hanya empat orang ketua menteri. Sebagai perbandingan, Malaysia ini pun dalam tempoh sama sudah mempunyai enam orang PM dan nak masuk yang ketujuh tak berapa lagi lagi.

Tidak ada sebuah negeri pun di Semenanjung yang mempunyai jumlah ketua menteri atau menteri besar sesikit Pulau Pinang. Negeri sekecil Perlis sekalipun sudah mempunyai lapan orang menteri besar sejak merdeka.

Ketua menteri pertama Pulau Pinang adalah daripada MCA sebelum beralih kepada Gerakan pada 1969. Kemudian Gerakan menyertai BN dengan seorang ketua menteri paling lama yang memegang jawatan sehingga empat penggal iaitu Dr Koh Tsu Koon. Pada 2008, BN kalah dan kini sudah dua penggal Lim Guan Eng dari DAP menjadi ketua menteri.

2 parti perkauman Cina

Daripada susur waktu itu sahaja cukup untuk menunjukkan bahawa percaturan politik di Pulau Pinang tak pernah lebih daripada hanya antara dua parti yang perkauman Cina iaitu Gerakan dan DAP. Maka berdentam-dentum pun guruh di langit, politik Pulau Pinang sama sekali bukan untuk orang Melayu. Saya tak pasti berapa lama lagikah rakyat boleh dikhayalkan dengan isu-isu semasa tetapi menutup pula perihal dasar.

Pakatan Harapan sebagai gabungan yang selalu menyebutkan dirinya membawa “politik baru” perlu memecahkan pemikiran penjajah dan perjanjian setan di Pulau Pinang. Mereka tidak boleh bersenang-senang menuding menyalahkan BN atas kelemahan sendiri termasuklah tidak tahu apa yang perlu dibuat apabila berkuasa.

Tidak keterlaluan untuk ditanya, apakah benar politik baru termasuk yang berasaskan merit itu menjadi gaya politik Pakatan Harapan, atau sesungguhnya penyedap bicara sahaja?

Kebetulan Guan Eng sudah dua penggal menjadi ketua menteri. Waktunya beliau berundur kini tiba. Pengunduran beliau bukan kerana beliau tak layak, tetapi atas perkara prinsip dan moral di mana Pakatan Harapan sendiri mahukan jawatan tertinggi seperti PM dan ketua menteri, dihadkan kepada dua penggal sahaja. Seseorang ketua negara atau negeri yang terlalu lama dikesan menjadi punca wujudnya perlakuan seperti korupsi dan cenderung menjadi kuku besi.

Azam dan janji politik sebegini tidak perlu sampai ke Putrajaya baru hendak dilaksanakan. Di peringkat negeri pun sudah boleh dibuat. Bahkan perbincangan mengenai perkara ini bukanlah baharu dan berkali-kali diulangi oleh Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin dalam ucapannya.

Apa yang penting diwujudkan ialah satu sistem pentadbiran yang baik di mana siapa pun yang menjadi ketua menteri dapat dijamin sistem pentadbiran tetap bergerak dengan baik dan bermanfaat kepada rakyat. Politik yang terlalu bergantung kepada tokoh dan individu adalah politik lapuk dan tidak berjiwa reformasi.

Amerika tetap baik-baik sahaja

Kita lihat di beberapa negara di mana jawatan kepala negara dihadkan kepada dua penggal seperti Indonesia dan Amerika Syarikat. Mungkin ramai yang tidak menyukai Donald Trump, tetapi kemenangan Trump tidaklah sampai menyeret Amerika Syarikat jatuh ke lembah kehancuran. Amerika tetap baik-baik sahaja dan berjalan sepertimana perlunya sebuah negara maju berjalan.

Begitu juga di Indonesia—contoh dari jiran kita yang dekat. Tidak kurang ramai yang menjangkakan betapa buruknya keadaan Indonesia dengan kemenangan Jokowi. Beliau bukan sahaja belum satu penggal sebagai Gabenor Jakarta, tetapi karektor Jokowi yang ‘lembik’ juga akan menjadikan Indonesia turut jadi lembik.

Selepas tiga tahun sebagai presiden, republik itu tetap berjalan seperti perlunya sebuah negara berjalan. Dua bukti ini menunjukkan bahawa sesebuah negara yang mempunyai sistem yang ampuh dan berkesan, maka sesiapa pun yang menjadi kepala negara hanyalah satu keperluan berbanding sekian banyak keperluan lainnya.

Inilah perbezaan ketara dengan negara-negara yang percaya bahawa tokohlah yang menyelamatkan bangsa. Sekali lagi contoh yang dekat boleh diambil iaitu dari Singapura. Sejak merdeka dan sejak berpisah dengan Malaysia, Singapura baru mempunyai tiga PM.

Bermula daripada Lee Kuan Yew yang berkuasa selama 25 tahun, beralih kepada Goh Chok Tong selama 13 tahun sebelum kembali semula kepada keluarga Lee iaitu anaknya, Lee Hsein Loon sejak 2004 sehingga kini. Dalam tempoh yang begitu lama dengan hanya tiga PM, apa yang terbayang oleh kita ialah betapa kurangnya bakat kepimpinan di Singapura. Selain itu, kita juga wajar mencurigai bagaimana berkesannya sistem kenegaraan di Singapura sehingga segala-galanya perlu bergantung kepada politik tokoh.

Saya tak fikir Malaysia terlalu lemah, termasuklah Pulau Pinang. Keseriusan Pakatan Harapan dalam hal merit hanya boleh dilihat apabila mereka dengan segara menamakan calon-calon ketua menteri Melayu sebelum PRU tak lama lagi. Itu barulah “harapan” layaknya!

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
-malaysiakini 

Pegawai Khas PM terdiam bila Rafizi jawab

Dicabar Rizal, Rafizi dedah dana Invoke hasil jualan baju, sumbangan
Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Pengasas badan penyelidikan Invoke Malaysia, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan badan itu selepas dicabar Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor semalam.

Rafizi pada sidang media hari ini memberitahu sebahagian besar operasi Invoke dibiaya dana hasil jualan perkhidmatan dan barangan.

“Sebahagian besar sumber kewangan Invoke diperolehi dari orang ramai,” katanya.

Menurut Rafizi, Invoke memperoleh dana melalui usaha seperti jualan tiket majlis makan malam untuk ribuan, ratusan atau puluhan peserta “yang dibuat sepanjang masa di seluruh negara”; jualan barangan kempen seperti kemeja T, beg, buku, butang dan pelekat kereta; dan langganan perkhidmatan atas talian atau “crowdfunding”.

Beliau menyahut cabaran Rizal semalam yang mahu naib presiden PKR itu mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan dana Invoke Malaysia, bagi menjawab beberapa persoalan yang menurut Rizal “belum terjawab”.

Rizal mahu Rafizi menjawab 5 soalan berkaitan aliran wang sebanyak RM2.7 juta, iaitu butiran derma RM857,000 oleh orang ramai, termasuk penderma dan waktu dan lokasi derma dilakukan; butiran kutipan RM1.063 juta hasil langgaran perkhidmatan atas talian, termasuk sukarelawan dan bilangan pelanggan; bukti Rafizi melaburkan duit ASB dan Tabung Haji ke dalam Invoke; kos sewa pejabat Invoke dan sama ada Invoke beroperasi dari pejabat PKR bahagian; bukti 80 kakitangan sepenuh masa Invoke menerima gaji dan caruman mereka.

Jumlah sebenar lebih tinggi

Menjawab pertanyaan mengenai butiran derma, Rafizi berkata dalam seramai 7,435 orang menjawab rayuan sumbangan beliau dalam masa sesingkat 10 hari, dengan sumbangan mencecah RM1,585,014.49.

“Dari 5,135 penyumbang yang maklumat mereka diketahui, seramai 1,575 orang adalah Melayu, 2,903 adalah Cina, 348 adalah India, 40 Bumiputra Sabah dan 91 Bumiputra Sarawak. Baki 2,300 orang lagi menyumbang melalui mesin deposit tunai yang tidak memberi maklumat mereka,” kata Rafizi, dan menambah 84% daripada jumlah sumbangan antara RM10 hingga RM200.

Mengenai kutipan langganan perkhidmatan atas talian, Rafizi berkata jumlah sebenar adalah lebih tinggi.

“Setakat hari ini sejak beroperasi setahun lalu, jumlah perolehan mengikut kategori adalah: Jualan tiket majlis pendanaan – RM929,280.26, jualan barangan – RM540,802.18, jualan perkhidmatan padanan sukarelawan – RM1,479,394.63 dan jualan langganan makalah – RM16,285.12. Jumlah perolehan adalah RM2,968,902.19 sehingga hari ini.

“Saya sertakan rekod transaksi jualan perkhidmatan atas talian padanan sukarelawan bagi bulan Mei 2017 berjumlah RM180,650.61 yang mengambil 15 mukasurat. Jumlah yang disumbang bagi setiap sukarelawan adalah berbeza dan telah pun ditolak GST,” katanya.

Mengenai modal Invoke pula, Rafizi berkata sejumlah RM530,000 dikeluarkan dari simpangan Tabung Haji dan RM100,000 darii simpanan ASB, yang akan disalurkan ke akaun Invoke dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Secara keseluruhannya, setakat ini saya telah memindahkan RM755,500 sebagai modal Invoke. Dari jumlah tersebut, RM255,601 telah digunakan sebagai langganan saham-saham Invoke. Baki sebanyak RM499,899 masih lagi kekal sebagai dana yang didahulukan oleh saya kepada Invoke,” katanya.

Pernah pinjam wang rakan

Sementara itu, menyentuh gaji kakitangannya, Rafizi berkata purata gaji kakitangan Invoke dalam lingkungan RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Semua caruman KWSP dan Perkeso dibayar melalui syarikat KEIP Resources Sdn Bhd.

“Gaji mereka adalah dalam lingkungan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Jumlah kakitangan yang gajinya melebihi RM3,000 sebulan tidak lebih dari 20 orang pada sesuatu masa dan gaji tertinggi adalah RM4,200 sebulan,” kata Rafizi, dan menambah kakitangan Invoke menandatangani kontrak perjawatan dengan syarikat itu dan mereka membekalkan sumber manusia kepada Invoke mengikut keperluan dari semasa ke seamsa.

Rafizi turut memaklumkan pernah meminjam dana RM100,000 dari seorang rakan untuk membayar gaji kakitangan kerana keuntungan jualan tidak mencukupi untuk membayar gaji kakitangan di awal tahun 2017.

Menjawab soalan tentang kos sewaan pejabat Invoke seluruh negara, Rafizi berkata jumlah sewa bulanan semua pejabat Invoke di luar Kuala Lumpur mencecah RM12,146 sebulan manakala jumlah sewa bulanan pejabat Invoke di Kuala Lumpur mencecah RM11,300 sebulan.

Rafizi berharap penjelasan itu akan membuktikan pengurusanInvoke dijalankan secara telus. “Saya lakukan ini dengan hati yang terbuka kerana saya yakin jika kita tidak menyeleweng, jika kita tidak pecah amanah, kita tidak perlu takut kepada sesiapa untuk berlaku telus.”

“Oleh kerana saya telah berlaku setelus-telusnya dengan setiap perkara yang dibangkitkan, maka wajarlah Datuk Seri Rizal menasihati Datin Seri Rosmah dan Datuk Seri Najib untuk turut berlaku telus seperti saya dalam urusan kewangan dan kerja-kerja politik saya,” katanya sambil memaklumkan akan membuat pertanyaan balas kepada Rizal untuk disampaikan kepada Najib dan Rosmah dalam masa terdekat.

Bekas hakim ini menampakkan ketidakcerdikkannya

Bekas hakim, aktivis Islam berdebat isu pesta arak
Seorang aktivis Islam dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan memberikan pandangan masing-masing mengenai pembatalan Better Beer Festival di sebuah forum anjuran Majlis Peguam malam semalam.

Dikenali sebagai lantang terhadap kumpulan Islam bersayap kanan, Pengarah Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa, bagaimanapun, berkata, pendiriannya mengenai perkara itu condong kepada pendapat ahli parlimen AMANAH, Dr Siti Mariah Mahmud.

Siti Mariah berhujah bahawa festival itu akan menggalakkan penggunaan alkohol dan sebagai seorang doktor, katanya ini membahayakan kesihatan.

Sebuah kerajaan, kata Farouk, harus menggalakkan gaya hidup yang sihat.

"Apabila kita membenarkan orang ramai mengadakan pesta minum-minum arak, mana tanda aras apa yang boleh dan tetapi pesta gay tidak dibenarkan.

"Jika kita berkata, adalah hak asasi mereka untuk mengadakan pesta arak, maka golongan gay pula akan berkata kita mahu adakan pesta gay, jadi kita akan ada masalah di sini."

Menyatakan perspektif sebagai seorang pengamal perubatan seperti Dr Siti Mariah, Farouk berkata "tidak ada yang bagus dengan menjadi mabuk dengan minum alkohol atau dengan mengambil dadah".

"Bagi seorang doktor, perkara paling penting bagi mengetahui latar belakang pesakit dengan menyoal 'kamu minum? Adakah kamu merokok?' kerana kita tahu semua ini menjejaskan kesihatan mereka," katanya.

Bagaimanpun bagi bekas hakim Datuk Gopal Sri Ram, secara berseloroh, katanya, ramai rakannya yang beragama Islam akan kecewa dengan pembatalan pesta arak itu.

"Mereka mahu hadir pesta itu. (Jadi) dari pandangan perubatan danagama, pembatalan itu agak mengecewakan," kata Sri Ram.

Dalam nada lebih serius, Sri Ram berkata semua orang harus sedar bahawa negara ini bersifat sekular.

"Lebih cepat kita menyedari bahawa kita adalah sebuah negara sekular dan bukan negara Islam, maka agama lain tidak harus memaksakan kehendak mereka kepada orang lain.

"Jika tidak, ini melanggar Perkara 3 (Perlembagaan Persekutuan), seseorang mengarahkan saya bagaimana saya harus menjalani hidup saya, ini bukan urusannya!" katanya.

Justeru, kata Sri Ram, pandangan dari sudut undang-undang, ini adalah pelanggaran hak seseorang.

"Perkara seterusnya mereka akan beritahu kamu siapa yang boleh kamu bersalaman, siapa yang boleh kamu kirim kad Hari Raya, (dan) sama ada kamu boleh mengirim kad Deepavali kepada sesiapa sahaja."
-malaysiakini

Ibu terkejut lihat wajah bayi yang baru dilahirkannya (Gambar)


Kelahiran bayi dengan kecacatan sememangnya mimpi ngeri bagi pasangan ibu bapa,namun itulah yang berlaku kepada Karishma dan Arshad.

Pasangan yang menetap di Aligarh, Uttar Pradesh di India ini menempuh saat itu pada awal pagi Selasa.

Bayi lelaki mereka lahir dengan kecacatan pada wajah dan tubuhnya hingga digelar ‘alien’.

Lebih mengejutkan apabila bayi itu lahir tanpa telinga dan hidung, manakala matanya terjulur dan terbeliak, keadaan yang sama sekali tidak normal.

“Matanya merah dan besar, dia memandang saya dan hidungnya pula melekat pada mukanya. Dia juga tidak ada telinga.

“Saya mula rasa sakit untuk melahirkannya lewat malam dan pada pukul 4 pagi dia lahir secara normal.

“Saya memang teruja untuk melihatnya, tetapi sebaik memandangnya saya terkejut kerana tidak pernah melihat bayi sedemikian rupa,” katanya.

Sejak dilahirkan, penduduk kampung tidak henti-henti mengunjungi kediaman mereka untuk melihat bayi ‘alien’ itu.

Bagaimanapun bagi Arshad, dia menerima bayinya itu seadanya dan akan menjaganya sebaik mungkin.

“Dia pemberian Tuhan dan kami tidak akan mensia-siakannya. Kami akan menjaganya,” katanya.
-mStar

Pelanggan terkejut selipar hotel ada kalimah Allah

NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

Seorang pelanggan sebuah hotel di Sitiawan, Perak memegang selipar yang mengandungi kalimah Allah dan dua kalimah syahadah.

LUMUT - Seorang pelanggan sebuah hotel di Sitiawan dekat sini terkejut apabila selipar yang disediakan di dalam bilik hotel berkenaan mengandungi kalimah Allah dan dua kalimah syahadah.

Bertindak atas maklumat berkenaan, pejabat agama dan daerah Manjung telah membuat siasatan terhadap perkara itu.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Manjung, Roslin Om ketika dihubungi berkata, pihaknya mengetahui maklumat mengenainya menerusi laman sosial yang tular semalam.

“Pegawai dan kakitangan Pejabat Agama Daerah Manjung segera melakukan siasatan pada hari yang sama berikutan ia menimbulkan kegelisahan kepada ramai pihak.

“Kami dapati hanya satu selipar sahaja yang terdapat kalimah Allah manakala yang lain hanya tulisan dan gambar biasa,” katanya
-kosmo

Amanah, parti kerdil dengan matlamat besar


Sheridan Mahavera
Amanah, parti serpihan PAS kini sedang berusaha memerangi pegangan ultra konservatif yang menyelusup masuk ke negara, peranan terbesar antara parti dalam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2017.

AMANAH mungkin parti kerdil dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) tetapi kepentingannya menjangkaui keupayaannya meraih undi untuk pembangkang, kata Presiden Mohamad Sabu.

Berbanding rakan sekutunya yang lain, Amanah melihat dirinya sebagai perisai kepada kebangkitan ultra-konservatif Islam yang menyelusup masuk ke seluruh pelusuk Malaysia dan sedang berusaha melemahkan ikatan pelbagai kaum dan agama masyarakat negara ini.

Amanah, kata Mohamad, juga mahu menjadi perintis kepada ideologi Islam progresif yang menekankan kepada tadbir urus negara yang baik berbanding tadbir urus sedia ada yang menekankan kepatuhan berbanding nilai moral.

Disebabkan pendekatan ultra konservatif Islam inilah, ramai orang Melayu Islam takut untuk menukar pemimpin mereka biarpun pemimpin itu terbukti korup dan tidak cekap, katanya lagi.


"Masalah utama di dalam negara ini adalah orang agama. Bukan agama itu sendiri tetapi orang agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Bagi orang yang mengelar diri mereka Islamis, rasuah itu bukan isu besar di dalam negara yang majoritinya Muslim. Padahal dalam Islam itu sendiri, rasuah itu sesuatu yang jijik dan kotor, sehingga yang memberi dan menerimanya, tempat mereka dalam neraka. Ini yang Amanah mahu tukar.

"Sekarang mereka main isu Melayu-Islam... Iaitu kalau Melayu buat rasuah kita kena pertahankan kerana takut Cina memerintah."

Pemimpin Amanah seringkali menjadi kumpulan pertama yang mengecam kelompok ulama dan ilmuan agama yang totok termasuklah yang mempunyai kaitan dengan parti pemerintah Umno dan parti Islam, PAS.

Yang menjadikan Amanah sesuai untuk bercakap tentang Islam adalah kerana ramai pemimpinnya lulusan pengajian Islam atau mengenali konsep Islam memandangkan pengalaman mereka selaku bekas ahli PAS.

Pemimpin parti seperti Mujahid Yusof Rawa, Hanipa Maidin, Khalid Samad dan Mohamad Sabu sendiri sentiasa menjadi mereka yang pertama mengeluarkan pandangan dalam isu agama yang menjadi pertikaian.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata orang Islam tidak boleh terperangkap dalam budaya takfiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2017.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata orang Islam tidak boleh terperangkap dalam budaya takfiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2017.
Ini termasuklah isu undang-undang untuk menghentikan penukaran agama kanak-kanak bawah umur, usaha untuk mewujudkan Kod Keseksaan Islam (hudud dan qisas), tuduhan Kristianisasi dan murtad dituju kepada DAP.

Mereka juga bersedia menolak amalan takfiri yang berleluasa, apabila beberapa tokoh Islam seringkali mengkafirkan orang Islam yang lain.

Mohamad dan beberapa pemimpin Amanah turut menjadi mangsa amalan ini, menerusi dakwaan beberapa orang Islam menggunakan media sosial yang mendakwa beliau dan pemimpin Amanah yang lain boleh dibunuh.

"Budaya takfiri in telah menghancurkan Syria, Iraq, Somalia dan Afghanistan. Orang Muslim dikatakan boleh bom masjid, gereja, pasar awam. Ia satu ajaran yang akan menghancurkan dunia Islam, di mana orang Muslim diajar bunuh orang Muslim yang berlainan fahaman,” kata Mohamad.

"Saya tak mau gerakkan Islam berakhir dengan takfiri, sudah ada fatwa boleh bunuh orang, darah halal. Rakyat Syria dan Iraq dah terjerumus, kita sekarang (di Malaysia) pada peringkat permulaan.

"Sebab itu Amanah adalah parti yang dianggap akan mencegah budaya itu. Kalau tidak kita akan terperangkap dalam takfiri."

Amanah diasaskan oleh beberapa bekas pemimpin PAS seperti Mohamad yang meninggalkan parti Islam berusia 66 tahun itu pada 2015.

Tahun itu juga, beberapa tokoh utama PAS kehilangan jawatan parti mereka dalam pemilihan yang menyaksikan kumpulan ultra konservatif mengambil alih pentadbiran parti.

Amanah kini merupakan sebahagian daripada PH, bersama-sama dengan parti pelbagai kaum PKR dan DAP, serta parti Bumiputera, Bersatu.

Dibandingkan dengan rakannya yang lebih lama tertubuh dan mempunyai lebih ramai ahli, Amanah mempunyai hampir 100,000 ahli di seluruh negara.

Walaupun salah satu matlamatnya adalah untuk menyebarkan pendekatan “Islam itu rahmatulil alamin”, Amanah juga membuka pintu kepada orang bukan Islam menjadi ahli parti, mempunyai hak yang saksama dengan ahli beragama Islam. Ahli bukan Islam boleh mengundi dan memegang jawatan di peringkat tertinggi parti itu.

Dibandingkan dengan Umno yang hanya terbuka kepada orang Melayu Islam dan PAS yang hanya memerap ahli bukan Islam dalam salah satu sayapnya sahaja.

"Amanah mahu menukar akhlak orang Islam. Ia satu cita-cita yang panjang dan lebih besar dan saya mungkin tak akan nampak pada era saya. Tetapi ini yang Amanah nak buat kerana (good governance) adalah satu trend yang semakin menjadi di kalangan negara Muslim." – 21 September, 2017.

Ketagih lucah, seks luar nikah, masalah baru remaja Malaysia

Nabihah Hamid
Ketagih lucah, seks luar nikah, masalah baru remaja Malaysia
Rumah Perlindungan Raudathus Sakinah berperanan sebagai pusat perlindungan dan pendidikan untuk remaja yang mempunyai masalah sosial, terutama mereka yang mengandungkan anak tidak sah taraf. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2017.

KESERONOKAN hanya di hujung jari. Itulah yang difkirkan oleh Juliana Abas (bukan nama sebenar) ketika pertama kali terjumpa video lucah di Internet semasa berkunjung ke rumah kawannya.

Pada umurnya hanya 12 tahun, Juliana tidak mengerti apa itu hubungan seks tetapi merasakan gambar dan video yang dimuat turun itu sangat mengasyikkan. Tidak lama selepas itu, dia jadi ketagih kepada bahan lucah, sama seperti budak-budak lelaki yang sebaya dengannya.

"Saya mula dengan tonton video lucah waktu darjah 6. Waktu itu saya dengan kawan di rumah dan buka Internet. Kami hendak download lagu dan keluar video lucah.

"Waktu itu saya tidak tahu apa itu seks. Masa itu bila dah tahu, saya jadi ketagih, dan mula di rumah ada wi-fi jadi boleh cari bila-bila masa,” katanya kepada The Malaysian Insight dengan nada tersekat-sekat, malu hendak berkongsi kisah lampaunya.

Tidak seperti kebanyakan rakyat Malaysia, Juliana tidak ada kemudahan Internet semasa tinggal di sekolah asrama. Tetapi begitu dia pulang ke rumah pada hujung minggu atau semasa cuti sekolah, remaja yang kecil molek ini akan segera mencari video lucah.

"Saya balik rumah. Mak ayah tidak pernah tahu apa yang saya buat. Lagipun mereka macam tak pentingkan sangat didikan agama," katanya, apabila ditanya kenapa dia tidak dipantau di rumah.

Kerajaan tahun pada Mei tahun lalu mendedahkan kajian 4.8% remaja Malaysia berusia 13 hingga 24 tahun pernah melakukan hubungan seks.

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut mendapati 35.3% remaja mengaku pernah menonton pornografi, yang mana 60% bahan lucah itu diperoleh menerusi Internet.

Pengaruh kawan

Ketagihan Juliana pada bahan lucah ini memuncak apabila dia masuk sebuah kolej swasta di Shah Alam. Dia menyewa rumah dengan kawan-kawannya selepas tamat tahun pertama pengajian. Tidak lama selepas itu, teman lelakinya ikut pindah sama.

"Waktu itu kawan-kawan sewa rumah bawa masuk boyfriend ke rumah. Jadi saya pun selamba bawa masuk teman lelaki tidur sebilik.

"Kami banyak kali buat seks. Tak boleh kira."

Dunia Juliana berubah pada 2015 apabila dapat tahu dia hamil empat bulan.

Selepas melahirkan bayi kandungannya, dia menyerahkan anak itu kepada sebuah keluarga angkat. Dia kemudian memutuskan untuk membina hidup baru dan bersetuju masuk sebuah rumah perlindungan.
Remaja wanita yang memasuki Pusat Perlindungan Raudathus Sakinah akan diberi pendidikan agama agar tidak kembali terjebak kepada perkara tidak diingini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2017.
Remaja wanita yang memasuki Pusat Perlindungan Raudathus Sakinah akan diberi pendidikan agama agar tidak kembali terjebak kepada perkara tidak diingini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2017.
Juliana adalah seorang di antara sekian banyak remaja wanita yang ketagih porno dan seks dan kini menerima bimbingan dan kaunsedin di Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah, di Kundang, Selangor.

 Cinta dan didikan untuk ibu tanpa nikah

"Kalau sesat di hutan, kita kena cari tempat tinggi untuk jumpa jalan keluar. Kalau sesat dalam kehidupan, kita kena cari Allah, yang Maha Tinggi ,” katanya, yang sudah 14 bulan tinggal di rumah perlindungan itu.

Di Raudhatus Sakinah, Juliana bertemu dengan perempuan tinggi lampai, Maryam Sufie (bukan nama sebenar), 19, yang lapan bulan mengandung.

Kata Maryam, dia dirogol oleh teman lelakinya ketika berumur 13 tahun.

“Saya waktu itu tidak fikir panjang. Pada asalnya saya tidak rela tetapi lama-kelamaan sudah terbiasa,” kata gadis berkaca mata bulat itu.

Dia mengaku ketagih seks selepas berkenalan dengan bahan lucah yang ditemuinya di Internet semasa berumur 14 tahun.

“Dulu saya suka tengok video lucah. Bila dah selalu tengok, saya tertarik untuk mencuba,” katanya, yang pertama lagi melakukan hubungan badan semasa di Tingkatan Tiga.

Sistem pendidikan tempang

Ahli sosiologi Dr Kartini Aboo Thalib @ Khalid berkata peningkatan angka salah laku juvana, termasuk ketagihan pada bahan lucah dan seks, boleh disurih pada sistem pendidikan yang hanya mengutamakan pencapaian akademik.

"Sistem sekolah harus menyeluruh dan praktikal untuk menanam nilai hidup yang baik," kata Dr Kartini kepada The Malaysian Insight.

Katanya kerajaan juga perlu mengakui keperluan untuk menangani peningkatan isu-isu kesihatan mental dalam kalangan generasi muda.

Remaja yang ada masalah pornografi ini tergolong dalam kategori sakit mental kerajaan perlu menyediakan rawatan dengan campur tangan melalui pemulihan diri jasmani akhlak dan sebagainya," kata timbalan pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

"Remaja seperti ini menghadapi tekanan perasaan dan mencari ruang untuk mengisinya… maka jika tidak dibimbing hari-hari menonton video lucah maka mental dan hati jadi rosak."

Menurut Juliana, keinginannya kepada seks bermula apabila dia tidak lagi dapat mengawal diri dahagakan pornografi.

"Pornografi adalah permulaan pada seks bebas," katanya.

"Memang ibu bapa kena sekat dan mereka kena periksa telefon anak-anak. Mereka perlu ambil tahu apa yang anak mereka buat."

Itulah juga amaran Maryam kepada ibu bapa dan remaja sebaya dengannya.

Dia bersekedudukan di rumah teman lelakinya tahun lalu tetapi apabila dapat tahu dirinya mengandung awal tahun ini, hubungan itu terputus. Dia kemudian berpindah ke Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah untuk mendapatkan sokongan dan bantuan sementara menunggu bayi kandungannya lahir.

Kini, gadis asal Kuala Lumpur itu sudah bertaubat dan mahu membina hidup baru selepas melahirkan anaknya.

“Anak ini saya akan berikan kepada keluarga angkat. Mula-mula memang rasa hendak jaga tapi saya masih kecil dan tak mampu.

"Biarlah orang lain yang jaga untuk masa depan dia,” kata Maryam sambil mengusap perutnya. – 21 September, 2017.