"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maut depan rumah: Diklasifikasikan sebagai kes bunuh

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kes penganggur dalam status orang pengawasan polis yang ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor di sini, malam semalam, diklasifikasikan sebagai bunuh

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata hasil bedah siasat mayat mangsa yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian lelaki berusia 37 tahun itu adalah disebabkan kecederaan pelbagai akibat objek tumpul.

Menurutnya, kes itu kini diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Susulan tindakan pantas polis, seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun di Chemor berjaya ditahan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, maka kes ini berjaya diselesaikan dalam masa 17 jam selepas laporan polis diterima.

"Pihak siasatan akan melengkapkan siasatan kes ini dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Menurutnya lagi, polis kini masih giat mengesan rakan-rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

PM Anwar pertegas usaha pulangkan semula kekayaan negara yang dipunggah kepada rakyat

ARIF ATAN

Menjelang beberapa jam lagi Tahun Baharu 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa pentingnya berbilion ringgit kekayaan negara yang dipunggah dipulangkan semula kepada rakyat.

Dalam amanat khas yang disiarkan secara langsung sebentar tadi, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memunggah kekayaan tanah air.

“Ada mengatakan harus move on. Kalau ada kesan peribadi kepada saya, malah saya maafkan, kalau berterusan tentu saya akan ambil tindakan.

“Tetapi yang memberi kesan kepada rakyat bukan kuasa PM untuk melepaskan…,” tegasnya sempena program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan turut menempelak sikap pihak pemimpin pembangkang tertentu yang menyerang beberapa pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, tugas menghentikan amalan pemunggahan kekayaan negara ini bukan bermotifkan politik kepartian ketika ramai rakyat berdepan dengan masalah kewangan.

“Rakyat biasa dapat upah RM40 pun sukar, maka kita tidak akan izinkan yang mendapat RM4 juta satu hari memunggah kekayaan negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anwar mengingattkan bahawa rakyat juga dalam masa sama harus bersama Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kekayaan yang begitu besar dipunggah dikembalikan.

“Ini tugas bersama, tugas umat dan rakyat Malaysia bukan politik kepartian. Kita harus ada tekad yang jelas,” tegasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun mengakui sedar bahawa usaha memusatkan perhatian kepada rakyat dan memerangi rasuah bukannya mudah.

“Saya mengajak saudara-saudara selesai pilihan raya, kita harus menguatkan perpaduan… Bersatu itu untuk tujuan yang murni.

“Biar matlamat untuk mendapat berkat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai manusia dan hamba Allah.

“Walaupun saya tidak nafikan kegetiran kesihatan mahupun ekonomi tetapi saya yakin insyaAllah dapat ditangani jika kita ada sikap positif membawa perubahan melibatkan pimpinan politik, penguatkuasaan, penjawat awam dan rakyat,” tambahnya lagi.

Bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu mengakhiri amanatnya dengan menyebut konsep ‘Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur’ yang bermaksud negara baik lagi mendapat keampunan Allah SWT.

HISHAMMUDDIN TAK MUNGKIN BERANI LAWAN ZAHID HAMIDI

Shahbudin Husin

Terdapat dua persoalan utama di sebalik riuh rendah yang kian memuncak tentang pertandingan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang bakal diadakan sebelum Ramadan akan datang.

Pertama, siapa yang mahu bertanding merebut jawatan Presiden UMNO yang kini disandang Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi?

Walaupun kecoh-kecoh kononnya UMNO perlu perubahan kepimpinan dan tidak mahu parti menerima nasib lebih buruk, namun sehingga kini belum ada yang muncul menawarkan diri.

Bila lagi dan mahu tunggu apa lagi?

Kedua, meski Hishammuddin Hussein disebut-sebut bakal bertanding jawatan Presiden UMNO menentang Zahid Hamidi, tetapi beliau juga sehingga hari ini masih berteka-teki mengenainya.

Selain tiada petunjuk yang betul-betul jelas bekas Menteri Pertahanan itu benar-benar mahu menawarkan diri untuk mencabar Zahid Hamidi, yang sedikit malang ialah beberapa pimpinan UMNO bahagian dan aktivis parti yang ditanya pendepat mereka mengenainya, rata-rata mengatakan anak Tun Hussein itu tidak mungkin berani berbuat demikian.

Kata mereka, Hishammuddin terkenal dalam sejarah politiknya sebagai pemimpin “play safe” yang tidak pernah berani untuk menentang arus.

Jelas mereka, pada pemilihan UMNO 2018 dulu misalnya, Hishammuddin tidak sedia untuk bertanding sebarang jawatan semata-mata kerana BN sudah kehilangan kuasa sebagai kerajaan.

Mereka berhujah, di tambah dengan kedudukan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang ini dan dirinya pula tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan, lagilah beliau tidak berani untuk menawarkan diri.

Untuk itu, mereka tidak yakin sama sekali anak bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn itu ada sedia untuk menentang Zahid Hamidi.

Malah kata mereka lagi, untuk menentang Mohamad Hasan yang kini memegang jawatan Menteri Pertahanan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO juga tidak mungkin Hishammuddin berani melakukannya.

Dalam keadaan sekarang, ujar mereka, jawatan yang paling mungkin Hishammuddin berani menawarkan diri hanyalah sekadar Naib Presiden UMNO saja.

Oleh kerana jawatan itu perlu tiga pengisian, ia lebih mudah untuk beliau memenangi salah satu daripadanya, tambah mereka lagi.

Yang penting, kata mereka, dengan jawatan Naib Presiden itu sudah memadai untuk Hishammuddin memastikan survival politiknya terus terjamin dalam PRU16 akan datang, bahkan sesuai dengan imej “play safe” yang dimilikinya.

Bagi kebanyakan pemimpin dan aktivis UMNO, mereka lebih meyakini bahawa Zahid Hamidi sangat berpotensi besar untuk terus kekal memimpin parti tersebut sehingga PRU16 akan datang.

Jawatan dalam kerajaan yang dipegangnya adalah tunjang kekuatan untuk Presiden itu dapat terus mengekalkan jawatannya yang sekaligus membuatkan lawannya jadi “kecut telur” dibuatnya, demikian kesimpulan mereka mengenai ura-ura pertembungan Zahid Hamidi dengan Hishammuddin. – ShahbudinHusin 30/12/2022.

Ivan Beerkus: Pendakian Menara Merdeka 118 paling sukar

NURUL IZZATI ZAINI
Tangkap layar Insta Story di akaun Ivan Beerkus
Pendakian Menara Merdeka 118 paling sukar – Ivan Beerkus
PETALING JAYA – Ivan Beerkus, salah seorang daripada pasangan Russia yang menceroboh dan memanjat puncak pencakar langit Menara Merdeka 118, akui ia merupakan pendakian yang paling sukar dalam hidupnya.
Advertisement

Di dalam Insta Storynya, dia memuat naik beberapa gambar bagi menjawab pertanyaan orang awam tentang bagaimana dia boleh memanjat bangunan itu tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

“Semasa mendaki di tingkat 118 kami rasa seperti kaki kami ‘hilang’. Terdapat kes sebelum ini beberapa orang pernah ditangkap. Tiada siapa yang boleh pergi ke sana tanpa dikesan.

“Keselamatan bangunan benar-benar berfungsi dengan baik. Kami memerlukan banyak masa untuk naik dan turun tanpa tertangkap. Ia adalah pendakian yang paling sukar dalam hidup saya.

“Buat masa sekarang saya tidak boleh cerita keseluruhan bagaimana saya boleh sampai ke puncak ini, tetapi masanya akan tiba nanti,” tulisnya.

Sementara itu, pasangannya Angela Nikolau turut memuat naik video di Insta Story sambil menjelaskan tiada satu pun kunci keselamatan dirosakkan untuk sampai ke puncak tersebut.

Walau bagaimanapun, Angela juga sama seperti Ivan, tidak dapat memberi penjelasan penuh tentang bagaimana dia boleh sampai ke menara puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu, buat masa sekarang.

Aksi Ivan dan Angela di puncak Menara Merdeka 118 yang tular di media sosial sejak kelmarin, menerima kecaman daripada rakyat Malaysia kerana berani menceroboh bangunan tersebut yang masih dalam proses pembinaan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman juga berkata, pasangan berkenaan akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Walau berhak tidak berkongsi petak sejadah, PM Anwar pilih rapat bahu ke bahu

ARIF ATAN

Sejak hari pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim melapor diri di Perdana Putra bagi memulakan tugas Perdana Menteri pada Jumaat, 25 November lalu, penampilan dan karisma beliau memang memancing perhatian rakyat.

Sebelum ini, gaya Anwar berbaju Melayu lengkap songkok dan samping berserta capal ketika memulakan tugas rasminya menjadi bualan warganet, kini posisi negarawan itu di atas sejadah semasa solat Jumaat juga menjadi ‘analisis’ rakyat.

Walaupun nampak seperti hal yang remeh tetapi sebenarnya membawa erti besar.

Pengguna Facebook Md Muaz Jem berkata, dia menyedari Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu konsisten tidak akan duduk sepenuhnya di atas sejadah.

Berkongsikan beberapa gambar Ahli Parlimen Tambun itu di lokasi masjid berbeza, Muaz berpendapat kesediaan Anwar berkongsi petak sejadah dengan individu di kiri kanannya sebagai memiliki falsafah yang tersendiri.

Malah, ketertiban di saf itulah tanpa ramai menyedari merupakan hal yang paling dituntut oleh Islam dalam mengerjakan sembahyang berjemaah.

“Itulah erti rapatkan saf yang sebenar walaupun dia berhak tidak berkongsi petak sejadah dengan orang lain tetapi dia memilih untuk merapatkan antara bahu dengan bahu,” kata Muaz.

Pendapatnya diakui seorang pelayar Facebook, Aqmar Abqari yang berkata, “Tepat sekali. Dia (Anwar) berilmu dan tahu diri bila nak berhadapan dengan Allah.. Patuh hukum.”

Meraih perhatian lebih luas apabila hasil pemerhatian Muaz itu kemudiannya tersebar di Twitter dengan rata-rata orang ramai bersetuju malah memuji ketokohan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Perincian tahap inilah yang paling baik pernah dikongsikan, menyedarkan kita tentang sesuatu yang tersirat daripada peribadi DSAI dalam erti berdakwah tanpa ramai menyedari.

“Saya yang bukan PM pun mesti pilih kepala saya untuk landing dekat sejadah sendiri, tapi DSAI landing kepala di celah antara sejadah semasa sujud.

“Ya, sepatutnya macam tu. Penat imam ingatkan untuk rapatkan saf, tapi kita selesa dengan sejadah sendiri. Semoga lebih ramai yang akan ikut,” demikian antara ciapan pelayar Twitter.

Bomba bantu tanggalkan cincin pada kemaluan warga emas

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

am@hmetro.com.my
BOMBA membantu menanggalkan sebentuk cincin yang tersangkut pada kemaluan lelaki warga emas. FOTO Ihsan Bomba.

BOMBA membantu menanggalkan sebentuk cincin yang tersangkut pada kemaluan lelaki warga emas. FOTO Ihsan Bomba.
Kuala Kangsar: Khidmat bomba terpaksa digunakan bagi menanggalkan sebentuk cincin yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki warga emas di Hospital Kuala Kangsar, di sini, malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan diterima jam 7.41 malam dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke hospital itu.

Katanya, lelaki berusia 72 tahun berkenaan berkenaan datang sendiri ke hospital.

"Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum cincin berkenaan berjaya ditanggalkan.

"Komander operasi mengarahkan anggota menggunakan pemotong bagi memotong cincin terbabit," katanya dalam kenyataan malam ini.

Berhati-hati dengan golongan ‘ibahiyun’

K PRAGALATH

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menasihati umat Islam agar berhati-hati dengan pemikiran golongan Islam liberal yang digelar sebagai ‘ibahiyyun’ di dalam khutbah Jumaat hari ini.

Ini kerana pemikiran mereka cenderung melanggar ijmak yang telah dipersetujui.

Menurut JAIS, kaedah operasi mereka seakan-akan golongan “mazhab yang tidak bermazhab” yang juga dikenali sebagai “allamazhabiyah”.

Mereka cenderung mengkritik kitab al- Bukhari yang sahih dan mengangkat pandangan mereka sahaja. Mereka juga akan mengikut pandangan ulama di dalam laman sesawang media sosial, bukannya mengikut ajaran ulama yang betul.

JAIS turut mendakwa bahawa kumpulan pejuang hak asasi wanita turut dipengaruhi fahaman Islam liberal. Mereka dikatakan beranggapan bahawa kitab fiqh ulama bersifat patriarki kerana penyusunnya semua terdiri dari kaum Adam.

Kumpulan Islam liberal juga dikatakan menghalalkan perbuatan LGBTQ.

Khutbah Jumaat tersebut turut mengingatkan masyarakat Muslim Selangor berkenaan fatwa berkaitan liberalisme dan pluralisme agama.

Fatwa yang dikeluarkan seawal 2014 menjelaskan bahawa liberalisme dan pluralisme agama sesat dan menyeleweng.

Padah bergurau bawa bom dalam beg, wanita warga asing ditahan di LTAPP

Bernama

GEORGE TOWN: Tindakan seorang wanita warga asing yang bergurau kononnya membawa bom dalam begnya membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di Bayan Lepas, dekat sini semalam.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata wanita berusia 33 tahun itu ditahan pada 4.30 petang selepas dia bergurau dengan menyebut ada bom ketika pemeriksaan barang dalam begnya di kaunter daftar masuk LTAPP.

“Wanita yang bekerja sebagai operator kilang di Ipoh, Perak menyebut dengan lantang “ada bom” sehingga didengari kakitangan di kaunter itu dan orang lain yang sedang menunggu untuk mendaftar masuk penerbangan di lapangan terbang tersebut.

“Semasa kejadian wanita itu bersama dua rakannya dijadualkan menaiki penerbangan ke Medan, Indonesia pada 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya wanita itu kini direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.-

Wanita koma dipukul penyamun

Bernama

GEORGE TOWN: Seorang wanita parah di bahagian muka dipercayai dipukul seorang lelaki dalam kejadian samun di sebuah kedai menjual penapis air di Jelutong, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata mangsa berusia 50-an kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan masih tidak sedarkan diri kerana kecederaan parah.

“Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an telah datang ke kedai wanita tersebut dan suspek memaklumkan mahu bertemu dengan suami mangsa namun suaminya tiada di kedai ketika itu..


“Sebaik dimaklumkan suami wanita itu tiada, suspek bertindak memukul mangsa dipercayai menggunakan senjata tumpul sehingga wanita tersebut cedera parah di bahagian muka sebelum dia menyamun wang tunai sebanyak RM2,000,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, susulan kejadian polis menahan seorang lelaki di daerah Timur Laut sehari kemudian untuk membantu siasatan dan suspek direman mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kedai itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan kerana setakat ini pihaknya belum dapat merekodkan keterangan mangsa ekoran wanita tersebut masih belum sedar.

SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

Hariz Mohd

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkunjung ke pejabat Kementerian Komunikasi dan Digital di Putrajaya.

Difahamkan lawatan itu susulan tindakan Telekom Malaysia (TM) melepaskan kawalan Menara Kuala Lumpur, lokasi tumpuan pelancong yang menguntungkan, kepada sebuah syarikat yang kurang dikenali.

Menurut sumber-sumber, SPRM mendapatkan dokumen berkaitan pemindahan saham dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.

“Beberapa pegawai kementerian juga ditemu bual,” kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kementerian dan Ketua Pesuruhjaya SPRM  Azam Baki berkaitan perkara itu.

SPRM semalam memulakan siasatan terhadap isu penjualan 10 juta unit saham TM dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan Menara KL.

SPRM menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan 100 peratus sahamnya itu pada Oktober lalu.

Minggu ini, isu penjualan saham itu didedahkan dan dipertikai di media sosial kerana syarikat itu sangat menguntungkan dan pembelinya yang tidak dikenali.

TM memberi alasan mahu menumpukan kepada perniagaan teras iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

Menteri bertanggungjawab sebelum ini Annuar Musa berkata dia tiada kena mengena dengan pemindahan saham itu kerana syarikat tersenarai awam dan tidak memerlukan kebenaran menteri untuk berbuat demikian.

Orang ramai dijemput meriahkan munajat tahun baru bersama PM

Malaysiakini 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjemput orang ramai hadir memeriahkan program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra, Putrajaya esok.

Program pengisian malam tahun baharu 2023 itu bermula 6.30 petang dengan aktiviti jamuan makan malam diikuti solat Maghrib, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat pada 7.15 malam.

Perdana Menteri kemudian dijadual memberi ucapan amanat khas pada 8 malam yang turut disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum menunaikan solat Isyak pada 8.30 malam. 

“Pelbagai pengisian acara disajikan untuk kita semua. Kita jumpa di sana, insya-Allah,” menurut Jakim dalam hantaran di Facebook. 

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka yang sepatutnya diadakan esok dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri dilanda musibah banjir. 

- Bernama

Bungkusan atas kereta meletup, pelayan restoran terbunuh

FMT Reporters

Polis menjumpai serpihan bahan letupan di tempat kejadian, serta kesan letupan pada kereta mangsa.
PETALING JAYA: Seorang pelayan restoran terbunuh dalam kejadian letupan yang berlaku di Pandan Indah, Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam kenyataan, Ketua Polis Ampang Jaya Farouk Eshak berkata, pihak berkuasa mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira 8.55 malam.

Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, dipercayai menjumpai bungkusan ditinggalkan di atas bonet keretanya yang diletakkan di hadapan restoran tempat dia bekerja.

“Apabila mangsa memegang bungkusan berkenaan, terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan,” kata Farouk.

Polis turut menjumpai serpihan bahan letupan di tempat kejadian, serta kesan kemik pada kereta mangsa.

Farouk berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan dibawa oleh orang awam ke Hospital Ampang. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia pada kira-kira 9.45 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

DUN Perak hangat, ADUN Hulu Kinta bangkit isu Presiden Pas 'ponteng' Parlimen

Amirrul Rabbani

DUN Perak hangat, ADUN Hulu Kinta bangkit isu Presiden Pas 'ponteng' Parlimen

Dari kiri Muhamad Arafat Varisai Mahamad, Mohd Akmal Kamarudin dan Nadziruddin Mohamed Bandi saling berbahas semasa sidang Dewan Undangan Negeri Perak, pada Khamis. - Gambar ihsan Korporat SUK Perak

IPOH: Persidangan Dewan Undangan (DUN) Perak bertukar ‘hangat’ sepanjang 20 minit selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad bertikam lidah dengan beberapa ADUN pembangkang.

Ia bermula selepas Muhamad Arafat membangkitkan isu Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak hadir pada sesi pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkenaan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Di peringkat Pusat, RUU itu telah dibahas dan diluluskan. RUU itu juga telah disokong oleh parti-parti yang mempunyai prinsip dan moral terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)

“Untuk pengetahuan Ketua Pembangkang, ketika sesi perbahasan dan pengundian RUU berkenaan di Parlimen, Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas tidak hadir, malah ‘ponteng’ sesi Parlimen.

“Oleh itu, sebagai pemimpin kena tunjuk sokongan kepada akta lompat parti. Ini, tidak hadir tanpa alasan. Kalau ada alasan tiada masalah, tidak mengapa kalau tidak sihat. (Tapi) kita faham, Marang rekod kehadirannya selalu ‘ponteng’," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan RUU meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak bagi larangan ADUN bertukar parti di sini pada Khamis.

Dakwaan Muhamad Arafat itu kemudian tidak dipersetujui Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) yang mempertikaikan kenyataanya selain menyifatkan dakwaan Muhamad Arafat sebagai dangkal.

"Saya tidak bersetuju tentang (dakwaan ke atas Ahli Parlimen) Marang, kita mahu tahu data (berkenaan kehadiran Abdul Hadi) dapat daripada mana yang menyatakan ponteng?

“Kalau kita tengok Hulu Kinta berapa kali dia tidak ada dalam Dewan dan berapa kali juga keluar, jadi jangan mudah sebut (tuduh). YB (Yang Berhormat) pun bukan ada dalam Parlimen hingga mahu sebut tentang Marang," ujarnya.

Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama) kemudiannya mencelah dan meminta Muhamad Arafat untuk menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan BN selepas puluhan tahun menghentam parti itu dalam siri-siri ceramah.

"Rakyat pilih YB kerana percaya YB anti BN ketika itu, tetapi tiba-tiba berlaku seperti mana sekarang, jadi siapa yang gadaikan prinsip sebenarnya? Pembohong dan penipu, itu khianat kepada rakyat dan pengundi," katanya.

Kehangatan persidangan DUN itu kemudiannya terheret selepas ADUN Hulu Kinta itu membangkitkan isu Perikatan Nasional (PN) yang didakwa cuba ‘mencuri’ wakil rakyat daripada BN ketika proses membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Nadziruddin Mohamed Bandi (PN-Changkat Jong) kemudian mencelah dan mengatakan ucapan itu sebagai satu tuduhan palsu dan tidak sepatutnya disampaikan dalam Dewan Negeri.

Beberapa ADUN juga bangkit memberi respon antaranya Rahim Ismail (PN-Changkat Jering), Mohd Fakhruddin Abd Aziz (PN-Kamunting), Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning), Tiw Tiee Siang (PH-Tronoh) dan Thulsi Manogaran (PH-Buntong).

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid cuba menenangkan situasi kecoh tersebut dengan meminta Muhamad Arafat untuk menyelesaikan perbahasannya segera berikutan

Tong sampah gagal diurus, cukai tetap dikutip di Kelantan

ARIF ATAN

Ternyata tong sampah yang perlu ditukar sudah pun ditukar malangnya tong sampah sampai pecah teruk belum ditukar sadangkan ianya jarak satu kilometer sahaja, kata seorang netizen dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

Salah seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Faizal Ghazali menceritakan detik-detik itu, sekitar tiga lalu yang mana seorang Exco Kerajaan telah menukar tong sampah di Taman Wadi Imam Kok Lanas.

“Aku maklumkan dan minta Exco tukarkan tong sampah di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, kerana tong sampah pecah teruk.

“Ada dua lokasi tapi aku lapor satu lokasi saja sebab tak tau tong satu lagi pun teruk.

“Alhamdulillah kemudian kami dapat tong sampah baru di lokasi dilaporkan itu,”kata beliau.

Malangnya, kata beliau tong sampah terletak dilokasi yang kedua juga pecah teruk dan hanya terletak satu kilometer sahaja daripada lokasi pertama.


“Lokasi kedua juga pecah tong sampahnya. Jarak antara dua lokasi ini sekitar sekilometer saja.

“Tapi PBT hanya tukar yang dilapor saja. Yang lokasi kedua ni aku terpaksa lapor sekali lagi, dan Exco tak jawab apa-apa berbanding laporan pertama dia jawab ‘k’,”luah pemuda ini.

Isunya kata pemuda terbabit,”takkanlah tong sampah rupa macam itu pekerja PBT tak boleh lapor dan tukar kepada tong baru”.

“Ya, tuan-tuan yang mulia, kami duduk di perumahan tersusun (pakej banjir) di Kelantan ni tiada lori sampah kutip depan rumah satu per satu.

“Kalau ada pun terhad di kawasan sekitar bandar Kota Bharu saja. Penduduk kena angkut sendiri sampah dari rumah ke tong sampah yang disediakan,” kata Faizal.

Katanya rakyat Kelantan merupakan pembayar cukai tetapi akan terus melihat keadaan berterusan untuk 1,000 tahun lagi.

Netizen melahirkan rasa tidak puas hati kerana kerajaan mengutip cukai dengan pantas dari rakyat tetapi kutipan tersebut tidak dizahirkan dalam perkhidmatan yang disediakan.

“Bab cukai laju siap ada bayaran tong sampah, tong sampah berlubang,”komen Azim Anuar.

“Bayar lesen kedai RM600 lebih, sampah kena buang sendiri.. Lori lalu saja… sambil tekan minyak dan curah air wangian depan kedai,” komen Amir Hamzah Abdul Shukur.

Polis tahan lelaki rosakan kubur di Sibu

Bernama

Ketua Polis Daerah Sibu Zulkipli Suhaili berkata lelaki itu ditahan susulan laporan kerosakan 11 kubur di mana batu nisan dicabut dan dipatahkan. (Gambar Facebook)

SIBU: Polis menahan seorang lelaki yang memiliki sejarah masalah mental hari ini, kerana disyaki menceroboh dan merosakkan kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim yang berusia lebih 100 tahun, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu Zulkipli Suhaili berkata suspek berumur 49 tahun itu ditahan di Jalan Channel di sini kira-kira pukul 1 tengah hari tadi dan dirujuk ke wad psikiatri Hospital Sibu.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat kira-kira 1.58 tengah hari Sabtu lepas dan siasatan awal mendapati 11 lot kubur dengan batu nisannya dicabut dan patah manakala empat lot lagi mengalami kerosakan.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan di tempat-tempat perkuburan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes itu agar menghubungi pegawai penyiasat Ahmad Hakimi Abd Azid menerusi talian 011-31873715.

Bersatu maklum kepada Speaker kononnya 4 kerusi di Sabah kosong

NASUHA RAHMAN

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan bahawa telah berlakunya kekosongan empat kerusi ‘luar jangka’ dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ini kerana, pemenang di keempat-empat kerusi itu telah keluar dari Bersatu walaupun mereka telah bertanding atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya umum lalu.

Naib Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, mereka telah melanggar Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai GRS.

Menurutnya, permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Mengulas lanjut Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan dan tidak menyokong Bersatu merupakan tindakan “crossing the floor” dan ia melanggar janji pilihan raya kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat Bersatu bertarikh 21 Dis 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Pada 10 Dis, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Jelasnya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi GRS Jeffrey Kitingan, berkata empat Ahli Parlimen itu tidak dikira melompat kerana bertanding atas tiket GRS, sambil menambah mereka menerima ‘surat watikah’ bertanding PRU15 daripada GRS, bukannya Bersatu.

Beliau juga merujuk kedudukan mereka dalam Bersatu terhenti selepas menjadi ahli GRS, pada 27 Okt, memandangkan perlembahaan dalam Bersatu sendiri menyatakan keanggotaan gugur secara automatik sekiranya menjadi ahli parti lain.

Tak wajar orang Islam guna gelaran priest, kata mufti

Muhammad Tasnim Abd Halim

Umat Islam dinasihat agar mengelak diri masing-masing daripada terlibat dengan tindakan yang boleh disalah faham atau dikaitkan dengan agama lain.

Walaupun pada asasnya sesuatu tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai syubhah, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata keadaan boleh menjadi lebih buruk apabila membawa kepada haram.

Dihubungi Malaysiakini Wan Salim berkata menggunakan gelaran seperti priest boleh disalah anggap kerana ia biasanya merujuk kepada pembesar dalam agama lain.

“Ia dipanggil syubhah (kerana) itu nama panggilan kepada pembesar dalam agama lain. Maknanya nama yang mengelirukanlah,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial mengenai seorang lelaki Muslim yang menggunakan gelaran Moslem Priest dan dipercayai seorang deejay kelab malam.

Dia juga didakwa mempunyai kaitan dengan seorang tokoh kenamaan dalam negara.

Malaysiakini sedang cuba untuk menghubungi pihak lelaki terbabit untuk mendapatkan komennya.

Mengelirukan, undang fitnah

Wan Salim berkata, gelaran priest selalunya digunakan untuk pemimpin agama Kristian.

“Dalam Islam tak ada istilah ada paderi atau priest, yang ada haji, ataupun ulama kalau seseorang itu ada ilmu.

“Justeru istilah priest itu digunakan dalam agama selain daripada Islam... tepatnya agama Kristianlah,” tambahnya lagi.

Pandangan sama turut dikongsi Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad, yang berpendapat seseorang yang mengaku Islam tidak boleh berbuat perkara yang berkaitan agama lain pada diri mereka.

Misalnya, kata Mohamad Shukri, seseorang yang mengenakan pakaian kuning sehingga boleh dianggap seumpama sami Buddha.

"Memang salahlah kerana membuat perkara-perkara yang ada kaitan dengan agama lain,” katanya.

Dia juga mempersoal tujuan di sebalik nama itu digunakan, sama ada sekadar tujuan bersuka-suka satau atau sebaliknya berbangga-bangga dengan gelaran tersebut.

“Kalau dia dah berbangga-bangga dengan agama itu, memang dilarang Islam," katanya.

Cuma tambah Mohamad Shukri tindakan tersebut mungkin dimaafkan jika individu terbabit bertindak sedemikian dalam keadaan jahil.

Pun begitu kata Mohamad Shukri pada umumnya tidakan seumpama itu memang dilarang Islam kerana boleh membawa kesan buruk termasuk mengelirukan serta mengundang fitnah.

”Dalam hadis nabi ada disebutkan bahawa sesiapa yang cuba menyerupai perbuatan agama lain, maka dia sebahagian daripada mereka itu.

"Itu tanda kemarahan (larangan keras) Islam, dengan bahasa lain, ia ditegah," katanya.

Mohamad Shukri juga menasihati orang Islam agar lebih berhati-hati dengan sebarang tindakan membabitkan agama.

Katanya, memadailah untuk seseorang Muslim berbangga dengan ciri serta ajaran Islam dan tindakan mencampur-adukkannya dengan agama lain boleh dianggap sebagai mempersenda Islam.

"Kita seolah-olah sudah menghina agama kitalah kerana Nabi Muhammad kata Islam itu berada di tempat paling tinggi, maka tidak ada alasan lain yang boleh mengatasi Islam,” jelasnya lagi.

SPRM siasat penjualan Menara KL

BORHAN AHMAD

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap dakwaan urus niaga membabitkan pemindahan hak milik bagi pengurusan bangunan ikonik Menara KL.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut berkenaan siasatan berkenaan, lapor The Malaysian Insight.

KKD sedia untuk membantu siasatan mengenai perkara ini, kata Fahmi Fadzil.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil mengesahkan saham syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur, Menara KL Sdn Bhd telah dijual oleh TM Malaysia (TM) kepada sebuah syarikat kosmetik yang hampir ditutup bernama Hydroshoppe Sdn Bhd.

“KKD memantau rapat isu ini dan bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu ini,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Seorang bernama Abdul Hamid Shaikh b Abdul Razak Shaikh, 48, dari Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Sementara itu, pengarah kedua ialah Nazarina Mohamed Nasir, 42, dari Shah Alam, Selangor.

Sumber mendedahkan bahawa aktiviti perniagaan utama Hydroshoppe ialah peralatan kosmetik dan bukannya sebuah syarikat hartanah.

Selain itu, Nazarina dikatakan rapat dengan mantan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang tidak dipertandingkan oleh Umno untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dalam PRU 15 lalu.

Siapa pencabar Zahid?

Mohsin Abdullah

Andainya jawatan presiden dipertandingkan pada pemilihan Umno tahun depan adakah Zahid Hamidi akan mempertahankannya? Hampir pasti ya. Maka persoalan seterusnya adakah beliau akan dicabar? Jika iya siapakah pencabarnya?

Sebelum itu, persoalan yang tidak kurang penting ialah mengapa Zahid perlu dicabar, selain alasan lazim ‘menjunjung amalan demokrasi’?

Menurut desas-desus, sebab utama ialah kerana strategi beliau untuk Umno menghadapi PRU15 dikatakan telah mengakibatkan Umno kalah teruk. Maksudnya senjata makan tuan. Tak kiralah orang Umno yang berkata demikian turut angguk kepala apabila Zahid mengorak langkah pra-pilihan raya, malah ada yang menyatakan sokongan secara terbuka.

Lupakan itu. Berbalik persoalan besar – siapa yang mahu atau akan cabar Zahid untuk merebut jawatan presiden Umno?

Perlu diingat sebagai penyandang, Zahid mempunyai kelebihan. Apatah lagi beliau kini timbalan perdana menteri dan menteri kemajuan desa dan wilayah. Itu bak kata Inggeris, “carry a lot of weight”.

Penyokong beliau kerap mengingatkan khalayak bahawa Zahid telah menjaga dan membina semula Umno “‘time’ susah dulu”, semasa Umno-BN tumbang pada PRU14 yang memaksa Najib Razak melepaskan jawatan presiden. Pasti ahli Umno akan terus menerus diperingat akan ‘jasa Zahid’ ini. Dalam perkataan lain ini akan dijadikan modal kempen.

Oleh itu siapakah yang mampu berdepan kelebihan Zahid dan menentangnya?

Tak mungkin Mohamad Hasan mahu ‘lawan towkay’. Pemerhati dan penganalisis politik berpendapat Tok Mat selesa di jawatan nombor dua parti dan rasa senang bersama Zahid dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan selaku menteri pertahanan.

Annuar Musa bekas setiausaha parti dan Shahidan Kassim bekas orang kuat Umno Perlis dikatakan seteru yang mahu lihat Zahid disingkirkan, tetapi kedua-duanya sudah berada di luar Umno – seorang disingkir, seorang lagi tersingkir dengan sendirinya. Jika mereka masih dalam Umno sekali pun, belum tentu mereka mencabar presiden parti. Peluang mereka mengalahkan Zahid boleh dikatakan mustahil. Sekarang penyokong mereka yang masih dalam Umno mungkin diharapkan membantu sesiapa yang mencabar Zahid kelak. Itulah yang paling hebat yang boleh mereka lakukan namun jumlah mereka tidak dapat ditentukan, begitu juga tahap keberkesanan mereka.

Sinar Daily memetik penganalisis berkata tidak ada “contender” kuat yang boleh mencabar Zahid. Antaranya yang ditemubual portal berita tersebut ialah Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dari UIAM. Nik Ahmad dipetik berkata beliau tidak nampak sesiapa yang boleh mencabar apatah lagi mengganti Zahid sebagai presiden Umno.

Bagaimanapun beliau menamakan tiga pemimpin kanan yang boleh mencuba nasib, termasuk Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dan ketua pemuda semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi presiden dulu, iaitu menantu beliau, Khairy Jamaluddin.

Saya akui Ismail tidak boleh dipandang remeh. Lihat sahaja keputusan pertandingan naib presiden pada pemilihan 2018. Beliau muncul pemenang teratas diantara tiga naib presiden yakni dengan jumlah undi paling banyak. Hanya seorang yang mempunyai “networking” dan sokongan padu akar umbi boleh melakukan itu.

Namun apabila menjadi perdana menteri, prestasinya tidak menyerlah malah dilihat orang Umno sebagai lemah. Ini akan sangat menyulitkan jika beliau mencabar Zahid untuk jawatan presiden.

Khairy atau KJ memang diakui berkebolehan dalam Umno dan ketika menjadi anggota Jemaah Menteri Muhyididn Yassin dan Ismail dahulu. Tetapi sejak kalah PRU15 tidak dapat dipastikan sejauh mana kekuatannya dewasa ini.

Imbas kembali pemilihan Umno 2018. Khairy bertanding jawatan presiden dalam perlawanan tiga penjuru membabitkan Zahid dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li. Zahid menang, tetapi tim Ku Li mendakwa Khairy ibarat kacau daun. Jika perlawanan satu lawan satu menurut mereka lain ceritanya. Tim KJ pula mendakwa Ku Li lah yang kacau daun.

Sebenarnya ada dua lagi calon tetapi tidak dapat sebarang undi. Untuk rekod Zahid mendapat 99 undi, KJ 61, Ku Li 30. Seorang lagi pencabar untuk pertandingan presiden kali ini, yang Nik Ahmad kata boleh cuba nasib, ialah Hishamuddin Hussein. Pengarah Program Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, dipetik berkata ada khabar angin kononnya Hishammuddin berpeluang mencabar Zahid tetapi keadaan samar-samar sehingga kini.

Hakikatnya, menurut beliau, keadaan masih tidak jelas siapa yang akan menentang Zahid.

Bercakap mengenai Hishammuddin, ramai dalam Umno masih ingat waktu Umno-BN tumbang pada PRU14, Hishammuddin yang ketika itu memegang jawatan naib presiden mengumumkan tidak mahu bertanding sebarang jawatan peringkat pusat pada pemilihan parti 2018.

Walaupun beliau mendakwa mahu bekerja keras untuk bantu semula Umno “bermula di Johor”, langkah beliau tidak mahu bertanding waktu itu dilhat sebagai ‘menjauhkan diri’ daripada parti dan ‘lepas tangan’ dalam keadaan Umno sedang susah.

“Bila Umno pulih, dia datang mengendeng pada waktu senang,” kata sumber yang rapat dengan Zahid. Ini akan menghantui Hishammuddin jika beliau cuba merebut jawatan presiden Umno.

Selain itu, Hishammuddin juga rapat dengan Azmin Ali (bekas presiden PKR yang sekarang naib presiden Bersatu), sesuatu yang majoriti orang Umno ‘tidak berkenan’.

Zahid nampaknya dalam keadaan selesa. Tetapi seperti kita tahu dalam politik semua boleh terjadi. Politik serba kemungkinan. Zahid semalam dikhabarkan berkata perwakilan Umno akan memutuskan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan kali ini.

Apa pun kata beliau pemilihan parti mungkin dipercepatkan. Umno perlu melangsungkan pemilihan paling lewat Mei 2023 bagi memenuhi syarat tempoh enam bulan selepas PRU15. Kata beliau, semua 191 Umno bahagian akan mengadakan persidangan serentak pada hari yang sama di seluruh negara dan mengadakan pemilihan kepimpinan bahagian dan pusat pada ketika itu.

“Ertinya tidak perlu tunggu cukup tempoh enam bulan untuk pemilihan parti, ia mungkin diadakan awal. Kita kena ingat bahawa 22, 23 Mac masuk Ramadan, lepas itu Syawal, lepas itu bulan haji; jadi jangan fikir tentang banyak-banyak, jangan pusing-pusing kepala,” begitu kata Zahid.

Macam konfiden je nampak.

Pelakon ditahan pandu melulu selepas gaduh dengan kekasih

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my
WANITA (dalam bulatan) yang tercampak dari kenderaan selepas Perodua Myvi dipandu kekasihnya terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.

WANITA (dalam bulatan) yang tercampak dari kenderaan selepas Perodua Myvi dipandu kekasihnya terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.
Ampang Jaya: Tindakan seorang selebriti memandu kereta secara melulu menyebabkan seorang penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaan itu dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang berhampiran jejambat susur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan yang turut tular di media sosial membabitkan dua kenderaan itu berlaku jam 5.30 petang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu selebriti lelaki yang juga pelakon sambilan berusia 30 tahun itu menukar lorong secara zigzag hingga hilang kawalan.

"Kereta itu kemudian hingga terlanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pelanggaran itu turut menyebabkan penumpang hadapan yang juga kekasihnya berusia 25 tahun tercampak keluar dan mengalami cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

"Difahamkan ketika kejadian, lelaki itu bertengkar dengan kekasihnya yang juga penumpang wanita yang tercampak dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, pemandu kedua-dua kenderaan itu sudah tampil membuat laporan, hari ini.

"Pemandu Myvi itu ditahan untuk siasatan lanjut. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah (KPJ) akan dipohon, esok.

"Hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap suspek berkenaan didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 42 saat yang menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu secara melulu di MRR2 tular di media sosial, hari ini.

‘Langkah Tapah’: Mutalib sebagai pengerusi Perak, gantung keahlian 3 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mutalib Uthman digugurkan sebagai pengerusi Muda Perak serta digantung keahlian selama tiga tahun berkuat kuasa 27 Disember.

Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, tindakan itu susulan perlakuan Mutalib melanggar arahan dan disiplin parti.

Antara kesalahan dilakukan Mutalib ialah menaikkan poster di akaun media sosial peribadi dan Muda Perak untuk mengumumkan bertanding di Parlimen Tapah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), tanpa persetujuan parti.

“Beliau didapati telah meminta akses akaun rasmi Muda Perak dan menukar kata laluan, yang menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti.

“Beliau juga, selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan, dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Amir berkata keputusan ke atas Mutalib dibuat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda yang bersidang 17 Disember lalu selepas menerima laporan daripada Lembaga Disiplin parti itu.

“Sebarang keputusan rayuan…akan diputuskan usai rayuan diterima,” katanya.

Mengulas keputusan Muda mencalonkan Mutalib di Parlimen Masjid Tanah pada PRU15, Amir berkata ia dibuat sebelum pelanggaran arahan parti berlaku.

“Kerusi Masjid Tanah yang beliau tandingi dalam PRU-15 sememangnya sedang diusahakan jawatankuasa terlibat, sebelum pun beliau mengeluarkan poster tersebut. Justeru ia diteruskan disebabkan masa yang singkat, dan beliau diletakkan sebagai calon,” katanya.

Oktober lalu, Mutalib membuat kejutan dengan mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah.

Bagaimanapun, kenyataan itu segera dinafikan kepimpinan Muda yang menyatakan parti itu komited untuk mengelakkan sebarang pertembungan dengan PH.

Sehari kemudian Mutalib tampil membuat permohonan maaf dan mengesahkan kerusi Tapah milik PKR.

Dalam perkembangan lain, Amir memaklumkan Muda turut menerima surat peletakan jawatan Pengerusi Muda Pahang Malani Manimaharan serta Pengerusi Muda Pulau Pinang Jazz Tan. Jawatan itu akan dipangku individu lain.

Polis siasat pasangan Rusia panjat Menara Merdeka 118

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menyiasat pasangan dari Rusia selepas mereka merakam dan memuat naik gambar ketika berada di puncak Menara Merdeka 118, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman berkata, pasangan itu yang dikenali sebagai Ivan Beerkus dan Angela Nikolau disiasat kerana disyaki menceroboh bagi memanjat bangunan berkenaan, lapor Berita Harian.

“Polis akan memanggil pasangan berkenaan untuk dirakam keterangan mereka.

“Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Menurut laporan Berita Harian, gambar Ivan dan Angela dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’.

Sementara itu, Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.

“Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan, tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” katanya.

Pasangan itu sememangnya dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia.

“Bye bye, Zuraida Kamaruddin”

K PRAGALATH

Pada 27 Disember 2022, mantan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin bersama ahli-ahli yang sehaluan dengan beliau dipecat dari Parti Bangsa Malaysia oleh presiden parti, Larry Sng.

Pemecatan ini dibuat ekoran daripada kemelut perebutan kuasa di antara Sng dan Zuraida. Ia juga berpunca dari tindakan Zuraida menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pimpinan Tan Sri Annuar Musa, Muafakat Nasional (MN).

Selain Zuraida, pemimpin lain yang turut dihambat keluar dari parti tersebut ialah pemimpin seperti mantan Adun Lembah Jaya, Haniza Talha dan anggota NGO Penggerak Komuniti Negara – NGO pimpinan Zuraida.

Kemelut di atas sebelum PRU15 ketika parti tersebut bercadang menyertai Barisan Nasional namun permohonan tersebut gagal direalisasikan. Pasca PRU, Sng menyokong kerajaan pimpinan Anwar meskipun laporan media melaporkan pendirian itu tidak diputuskan oleh jawatankuasa pusat PBM.

Begitu cepat sekali hukum gerakan Newton bertindak dalam kerjaya politik Zuraida.

Hukum gerakan Newton ketiga menyatakan bahawa untuk setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas pada magnitud sama dari arah bertentangan.

Beliau terlibat dalam Langkah Sheraton yang meranapkan kerajaan Pakatan Harapan. Dua tahun yang lalu, secara tepatnya 25 Februari 2020 beliau mengucapkan selamatkan tinggal kepada partinya yang pertama – PKR apabila beliau dipecat bersama mantan timbalan presiden PKR – Azmin Ali.

“Bye bye PKR”, katanya bersama sekumpulan anggota yang turut dipecat. Ekoran itu beliau bersama Azmin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di mana beliau turut dilantik menjadi ahli majlis tertinggi.

Ia satu kejanggalan kerana beliau berpindah dari parti pelbagai kaum ke parti eka kaum pada 9 Mac 2020. Kehadirannya di dalam Bersatu tidak lama dan hayat politiknya turut terjejas apabila beliau berbeza pandangan dengan Azmin yang kekal di dalam Bersatu. Pada 12 Mei 2022, beliau dipecat dari Bersatu kerana penglibatannya dalam membentuk PBM. Sebulan selepas itu beliau menyertai PBM dengan harapan menjadi presiden parti.

Kerjaya politik Zuraida bermula di dalam PKR di mana beliau bukan saja menjadi ketua wanita PKR yang pertama malah jawatan tertinggi yang disandang beliau ialah naib presiden.

Di dalam parti ketika itu, beliau penyokong kuat Azmin. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peranan beliau mirip kepada peranan Tan Sri Rafidah Aziz dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin negara sebagai perdana menteri keempat Malaysia.

Beliau juga menjadi Ahli Parlimen Ampang selama tiga penggal iaitu sejak PRU ke 12 dalam tahun 2008 bilamana gelombang Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan negeri di empat buah negeri termasuk Selangor.

Apabila Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan buat kali pertama, penyokong kuat Azmin ini turut sama dilantik menjadi ahli kabinet. Di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Mahiadeen Yassin, Zuraida menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Beliau menjadi Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zuraida turut bertanding di dalam PRU15 untuk mempertahankan kerusi Ampang tapi kecundang di bawah PBM. Ada pengajaran penting di sini.

Untuk membangun di dalam politik, individu perlu mendapat sokongan jentera parti yang lancar. PBM baru setahun jagung dan aura kepimpinan individu seperti Zuraida tidak memadai untuk menambat pengundi. Ini kerana rakyat mengundi untuk parti, bukan individu.

Apakah akan ada kemungkinan Zuraida membuat satu “political comeback”? Ada kemungkinannya sekiranya MN bertukar menjadi parti politik tetapi itu juga bergantung kepada samada para pengundi akan memilih Zuraida dan MN. Hanya masa akan menentukannya.

Buat masa ini, kita boleh mengucapkan “bye bye Zuraida Kamaruddin”.

Penyamun panik mesin wang tidak boleh dibuka

Muhamad Lokman Khairi

am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Cubaan lelaki menyamun sebuah kedai runcit untuk mendapatkan wang tunai gagal selepas mesin wang premis terbabit di Sungai Sumun dekat sini, kelmarin tidak boleh dibuka.

Menerusi satu video tular, penyamun yang memakai topi keledar itu mengacu sebilah parang ke arah juruwang yang berada di kaunter sambil mengugut mangsa mengeluarkan wang tunai dari mesin wang berkenaan.

Penyamun berkenaan dikatakan mula panik apabila mesin wang berkenaan tidak boleh dibuka dan seorang penjaga kaunter lain berlari keluar kedai.

Bagaimanapun, penyamun berkenaan bertindak melarikan telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri dengan membonceng motosikal rakannya yang sudah menunggu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis yang menerima laporan mangsa kemudiannya menjalankan gerakan memburu suspek sebelum berjaya menahan mereka semalam.

"Mereka ditahan di rumah mereka dan berjaya menemui semula telefon bimbit mangsa bernilai RM500.

"Hasil siasatan mendapati kedua suspek warga tempatan berusia 33 tahun itu positif dadah jenis syabu.

"Ketika siasatan juga, suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

CUBAAN seorang penyamun bersenjatakan parang terbantut akibat terlalu panik. FOTO TULAR

CUBAAN seorang penyamun bersenjatakan parang terbantut akibat terlalu panik. FOTO TULAR

Beliau berkata, kedua suspek direman bermula semalam sehingga 30 Disember ini dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dengan cadangan pertuduhan.

Bukan Penyokong PH Pun Sama Ghairah Mahu Berebut Ghanimah

Shahbudin Husin 

Minggu-minggu kebelakangan ini, terutama selepas perlantikan menteri-menteri, keghairahan terbaru yang terlihat begitu menonjol ialah munculnya golongan tertentu yang tidak segan-segan menawarkan diri mahu berkhidmat dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Sasaran mereka bukan saja untuk mengetuai agensi tertentu yang berpengaruh di Putrajaya, malah juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan tidak kurang pula yang ingin berkhidmat secara langsung di pejabat Perdana Menteri.

Termasuk yang sama ghairah lagi lincah untuk berebut jawatan dan ghanimah atau “harta rampasan perang” itu ialah mereka yang sebelum ini memang diketahui tidak pernah menyokong serta terang-terang menolak Anwar.

Mereka itu sebelum PRU15 lalu secara terbuka menunjukkan kecondongan kepada parti selain PH, malah dengan berani mengatakan Anwar tidak mungkin berjaya jadi Perdana Menteri.

Jika sudah begitu kecondongannya, sudah tentulah mereka terbabit juga tidak memberi undi kepada PH.

Tetapi kini mereka itulah antara yang sama ghairah menonjol-nonjolkan diri dan melobi untuk mendapatkan kedudukan mengetuai agensi tertentu kononnya dengan kemampuan, kewibawaan dan “bersihnya” diri mereka itu akan membantu Anwar menjelmakan sebuah kerajaan yang lebih baik di mata rakyat.

Untuk mengetuai agensi kerajaan tertentu, selain ia adalah hak mutlak Anwar selaku Perdana Menteri membuat pilihan, adalah penting untuk beliau menyemak dengan teliti latar belakang calon yang mahu dilantiknya itu.

Orang yang mahu dilantik itu biarlah mereka yang benar-benar berwibawa, bukan yang suka membawa-bawa atau menjaja penonjolan diri sendiri serta sekurang-sekurangnya memahami aspirasi reformasi yang mahu diusahakan dalam kerajaan.

Tidak terkecuali ingin sama merebut peluang menikmati ghanimah ialah mereka yang selama ini tidak diketahui kecondongan politiknya dan tidak pernah namanya muncul di mana-mana.

Aduhhh…agak-agaknya kalau orang lain jadi Perdana Menteri, adakah mereka akan melobi dan menonjol-nonjolkan diri juga?

Bagi jawatan lain seperti pengerusi GLC, di pejabat menteri dan sebagainya, adalah lumrah bagi mereka yang menyokong, bersama, mengundi dan setidak-tidaknya turut sama mengeluarkan peluh untuk membantu kemenangan PH serta Anwar pada PRU15 lalu untuk mengharapkan jawatan tersebut jatuh menjadi milik mereka.

Ketika UMNO dan BN menerajui kerajaan sebelum ini, itulah yang berlaku dan ia sebahagiannya membantu mengukuhkan kedudukan parti tersebut sehingga berjaya menjadi kerajaan lebih 60 tahun lamanya.

Ketika PN, Bersatu dan Pas berada dalam kerajaan, amalan yang sama turut berterusan.

Pokoknya, bukanlah sesuatu yang pelik, ganjil atau luar biasa jika kali ini penyokong PH pula menikmati jawatan serta kedudukan dalam kerajaan.

Hakikatnya, mereka yang bersusah payah, memberi sumbangan kepada kemenangan dan turut mengundi PH adalah lebih berhak memperolehi sedikit sebanyak bahagian daripada ghanimah itu, malah dengan jawatan serta kedudukan tersebut, mereka akan lebih berperanan memastikan kemenangan PH pada PRU lima tahun akan datang.

Yang tidak menyokong, tidak mengundi dan terang-terang menolak PH hendaklah duduklah diam-diam di tepi dulu buat sementara waktu.

Bagilah laluan dahulu kepada penyokong, pengundi dan mereka yang memang bersama PH untuk memperolehi apa yang sewajarnya, sesuai dengan pengorbanan dan tungkus lumus mereka selama 24 tahun ini.

Namun demikian, asas kelayakan, kemampuan dan kebolehan dalam lantikan semua jawatan itu tidaklah harus diketepikan atau diabaikan begitu saja.

Tetapi, mereka yang bersalin kulit dengan menonjol-nonjolkan diri sambil berwajah manis serta sanggup melobi secara berlebihan itu adalah mereka yang hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri saja sebenarnya.

Mereka bukan pun ingin membantu Anwar mengisi perjuangan reformasi kerana siapa pun parti dan pemimpin yang naik, mereka sentiasa sanggup menebalkan muka untuk mengejar apa yang dihajati. – ShahbudinHusin 27/12/2022.

Waspada dengan orang macam ini

Malaysiakini 
story-image
Ramesh Rao minta maaf pada Anwar atas 'kebiadaban, terlanjur kata'

Pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Ramesh Rao membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Anwar Ibrahim ke atas segala "keterlanjuran kata-kata dan kebiadabannya" terhadap perdana menteri itu.

Ramesh merupakan pemimpin NGO pro-BN yang lantang mengkritik Anwar pada masa lalu. Semalam, dia mula menjalankan tugas sebagai pegawai khas Zahid untuk hal ehwal masyarakat India.

"Setelah meneliti hala tuju kerajaan perpaduan ini, saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Anwar kerana keterlanjuran kata-kata dan kebiadaban saya terhadapnya pada masa lalu.

"Saya langsung tak terfikir kebijaksanaan Anwar dalam bagaimana dia nak bina semula negara ini. Saya memang cukup terharu melihat perancangan yang dia telah sediakan untuk Malaysia.

"Terbukti sejak dia menjadi perdana menteri, ringgit semakin kukuh, pelabur mula masuk, dunia memuji Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam video yang disiarkan di saluran Youtube Minda Prihatin.

Ramesh malah menyifatkan Anwar sebagai "anugerah tuhan" dan berkata negara kerugian kerana dia tidak menjadi perdana menteri lebih awal.

Dia turut menggesa rakan-rakannya yang lain yang sebelum ini menentang Anwar agar mengubah pendirian mereka, serta menyalahkan Dr Mahathir Mohamad atas "kebencian" mereka terhadap Anwar dan DAP.

"Mahathirlah yang menghasut kami untuk membenci Anwar dan DAP.

"Tapi hari ini, apabila kebenaran terbongkar, sebagai manusia saya harus memohon maaf kepada Anwar. I'm sorry, sir," katanya lagi.

Ramesh mula mendapat perhatian ketika pentadbiran Najib Razak sebagai pemimpin NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) yang sering membaut laporan polis terhadap pengkritik kerajaan.

Dia juga terlibat mendakwa Anwar melakukan liwat pada 2020, apabila mengaku telah memujuk individu yang didakwa menjadi mangsa untuk membuat akuan berkanun (SD) berkenaan dakwaan itu.

Dia juga menganjurkan sidang media untuk balu kepada penyiasat persendirian P Balasubramaniam, A Santamil Selvi untuk memohon maaf kepada Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Ini untuk membayangkan pasangan itu tiada kaitan dengan kematian suaminya.

Ramesh didakwa memberi wang kepada Santamil Selvi untuk mengadakan sidang media itu. Namun kedua-duanya menafikan dakwaan itu.

Pada 2008, Balasubramaniam membuat SD mendakwa Najib kenal model warga Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.

Dia bagaimanapun membuat SD kedua untuk menarik balik dakwaan itu, sebelum keluar dari negara.

Balasubramaniam meninggal dunia pada 2013.

Enam warga asing melecur dapur gas meletup

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

SALAH seorang mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kuala Terengganu. FOTO Rosli Ilham.
SALAH seorang mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kuala Terengganu. FOTO Rosli Ilham.
Dungun : Enam lelaki warga Nepal dan seorang warga Bangladesh melecur teruk selepas dapur gas di rumah kongsi mereka di Felda Kerteh 2, secara tiba-tiba meletup malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kesemua mangsa dikatakan sedang memeriksa sebuah dapur selepas tercium bau gas yang kuat di tempat kejadian.

Mereka yang cedera ialah, Ganesh Pariyar, 21, Surendra Kumar Yadav, 39, Hari Narayan Yadar,38, Jhuplal Pun,37, Lal Bahadur Sidali,24, dan seorang warga Bangladesh, Islam Mohammad Tajur, 37.

Diplay Kumar Yadar,23, ditahan wad di Hospital Dungun untuk rawatan lanjut sementara Baijanath Khatbe,39, dan Nadhal Sah Haluwai,41, diberi rawatan sebagai pesakit luar.

Seorang mangsa, Baijanath Khatbe, 39, berkata, ketika kejadian, dia bersama 19 rakan lain sedang berehat di rumah kongsi terbabit selepas selesai makan malam.

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang daripada mangsa tercium bau gas yang kuat di bahagian dapur sebelum membuat pemeriksaan.

"Ketika membuat pemeriksaan, rakan gagal mengesan punca bau gas itu sebelum memanggil rakan lain untuk membantu.

"Saya ketika itu bersama lapan rakan pergi ke dapur membuat pemeriksaan dan ketika itu, saya berada di belakang rakan-rakan lain," katanya.

Katanya, tiba-tiba berlaku letupan yang sangat kuat sebelum api besar menyambar dan ketika itu keadaan mereka semua terduduk di lantai .

"Saya tidak tahu bagaimana letupan itu boleh berlaku, kerana ketika itu tiga rakan sedang cuba membaiki dapur gas.

"Kami ketika itu panik kerana masing-masing mengerang kesakitan sebelum rakan-rakan lain yang sudah masuk tidur bergegas ke dapur membantu kami," katanya yang melecur pada bahagian bahu kanan.

Sementara itu, Nandlal Sah berkata, berikutan kejadian itu, dia bersama kesemua mangsa yang melecur dihantar majikan mereka ke Hospital Dungun.

Katanya, dia bersama rakan-rakannya itu baru empat hari datang ke situ untuk bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit.

Menurutnya, letupan itu sangat kuat sehingga menyebabkan dia melecur di bahagian muka, kedua-dua belah kaki dan tangan.

"Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku sehingga mengeluarkan api yang sangat besar dan menyambar kami semua," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Seorang mangsa pula ditahan di wad Hospital Dungun untuk rawatan lanjut manakala dua lagi yang melecur ringan diberi rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Zahid: Mudarat bekerjasama dengan PN jauh lebih bahaya berbanding PH

ARIF ATAN

Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan memilih PH bagi membentuk kerajaan adalah selepas mengambil kira mudarat jauh lebih berbahaya apabila bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, BN tidak membuat keputusan sembrono sebaliknya bersandarkan dapatan analisis politik untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang.

Beliau menjelaskan perbincangan berhubung membuat keputusan membentuk kerajaan dilakukan dalam Dewan Tertinggi BN dan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Kita lihat daripada segi mudarat, mana lebih besar dengan PN atau dengan PH.

“Kami melakukan analisis bukan hanya analisis politik sekarang tetapi analisis politik untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang untuk tentukan mudarat mana yang kurang, yang boleh terus merelevankan Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara, “Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara?” malam tadi.

Untuk rekod, PH menang 82 kerusi pada PRU15 bulan lalu manakala BN 30 dan PN menguasai 74 kerusi.

Jelas Ahmad Zahid, keputusan MT Umno mengambil kira kawasan yang mempunyai kelompok pengundi Melayu atau disebut sebagai The Malay Belt.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, berbanding PH, bekerjasama dengan PN akan menyaksikan BN berebut kelompok pengundi sama dalam pilihan raya akan datang.

“Mereka (PN) menang 74 kerusi dan tentunya kita akan berperang di gelanggang yang sama.

“Di dalam PH, kita lihat dari segi analisis politik dan kita melakukan beberapa unjuran bahawa potensi besar untuk kita menang semula kawasan yang kita kurang undi dahulu boleh kita gali semula potensinya.

“Saya tidak riak, tidak takbur, tidak ujub tetapi saya fikir hal ini lebih baik kalau kita bersama dengan PH untuk survival, kesinambungan jangka panjang untuk Umno serta BN,” tambahnya lagi.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan termeterai melalui perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya yang ditandatangani pada 16 Disember lalu.

Lima gabungan politik utama terlibat iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang juga Pengerusi PH itu meraih sokongan majoriti 148 Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 dalam usul percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

Sokongan kukuh itu melibatkan PH 82 kerusi Parlimen, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 1, PBM 1, serta Bebas 2 kerusi.

Zuraida dan sepuluh yang lain dipecat dari PBM

Malaysiakini

Parti Bangsa Malaysia memecat Zuraida Kamaruddin yang dikatakan bakal presiden parti itu dan sepuluh anggota lain.

Ini di tengah-tengah pertikaian kepimpinan dengan presiden pengasas PBM Larry Sng.

Sementara itu, timbalan presiden PBM Haniza Talha dan ketua wanita Daroyah Alwi telah dilucutkan jawatan tetapi kekal sebagai ahli parti.

Pemecatan itu berlaku selepas Zuraida dan sekutunya tidak menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada mereka pada 19 Dis.

Kenyataan unit penerangan PBM berkata jawatankuasa disiplin parti itu memutuskan untuk menamatkan keahlian mereka berkuat kuasa serta-merta.

Tiada alasan dinyatakan mengapa Haniza dan Daroyah terlepas daripada penyingkiran ini.

Antara yang dipecat ialah setiausaha agung PBM Nor Hizwan Ahmad, ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid, tiga naib presidennya dan ketua pemuda parti Na'im Brundage.

Perhimpunan Agung Tahunan PBM pada awal Oktober telah memutuskan bahawa Zuraida - yang dianggap bakal presiden parti - secara rasmi akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Sng.

Langkah itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat majlis tertinggi PBM.

Bagaimanapun, Sng menyekat peralihan kuasa itu, berkata dia masih presiden parti menurut Pendaftar Pertubuhan.

Dia kemudian mengisytiharkan mesyuarat majlis tertinggi PBM yang meluluskan peralihan jawatan presiden kepada Zuraida tidak sah dan menggantung jawatannya sebagai pengganti dan 12 anggota parti lain.

Pun begitu, pertikaian mereka diketepikan sementara pilihan raya umum ke-15 berlangsung yang menyaksikan Sng sebagai calon PBM menang kerusi parlimen Julai.

Dalam pada itu, Zuraida dan sekutunya timbalan presiden PBM Haniza Talha kalah PRU15 dengan hilang wang pertaruhan.

Pertikaian itu timbul semula pada hujung minggu lalu dengan Zuraida dan Haniza menuduh Sng menyalahgunakan kuasanya.

Penyokong PN didakwa melucah di media sosial

SITI NUR ZAWANI MISCON

Seorang penyokong Perikatan Nasional (PN) menjadi sasaran kritikan ramai selepas didakwa mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang wanita di media sosial.

Perkara itu dikongsi seorang pengguna Twitter CikYanie yang memuat naik tangkap layar komen mengaibkan dari individu yang dikatakannya lsebagai penyokong PN.

Individu tersebut difahamkan menggunakan akaun palsu dan tidak dapat dikesan selepas itu. Dia dipercayai mengeluarkan kata-kata kurang sopan tentang pemakaian wanita berkenaan.

“Just nak tunjuk betapa lucahnya mentaliti penyokong PN. Gambar pertama tu, itulah cara saya pakai tudung dia boleh melucah. Saya cuba cari akaun dia tak jumpa. Tak sabar nak check orang disebalik akaun tu sebenarnya,” kata CikYanie.


Meninjau ke ruangan komen, ramai yang mengkritik tindakan individu berkenaan kerana meninggalkan komen tidak sepatutnya pada seorang wanita.

Mereka juga meminta agar pihak yang tidak sehaluan dalam politik, tidak melemparkan kata-kata sedemikian selain menuntut individu berkenaan memohon maaf.

Pada masa sama, ada juga beberapa pihak yang meminta untuk tidak mengaitkan tindakan individu tersebut dengan parti kerana apa yang diucapkan individu adalah peribadinya sendiri dan tiada kaitan dengan parti.

Bagaimanapun, individu lain membidas perkara itu mengatakan PN selama ini turut menggunakan naratif menyerang peribadi pemimpin dan mengaitkan dengan parti.

“Orang PN sini cakap itu individu, apa kena mengena dengan parti.. tak rasa sama ke dengan naratif PN? Dok serang peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai ke Parlimen. (Lempar fitnah) jangan undi PH sebab sokong LGBT. Tang orang, pandai pula kata apa kena mengena dengan parti eh,” kata pengguna Twitter.

Mahiaddin tidak tahu fakta isu pelantikan kariah masjid

AMIRUL AZHAN

Dr Azman Ismail membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin yang disifatkan tidak menghormati keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) selepas dilihat bertindak mempertikaikan tindakan terhadap pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang berlainan fahaman politik.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata, Mahiaddin tidak perlu untuk membela tindakan salah yang mereka lakukan sehingga tidak memungkinkan untuk dilantik sebagai calon jawatankuasa kariah masjid penggal 2023 hingga 2025 di Pulau Pinang.

Menurutnya, berlaku pelanggaran etika pentadbiran dengan melakukan perkara berbentuk politik parti seperti membenarkan program kutipan dana pilihan raya, pelancaran jentera pilihan raya parti dalam dewan masjid dan membiarkan masjid menjadi pentas politik kebencian.

Sebaliknya kata beliau, kesalahan-kesalahan yang dilakukan sememangnya suatu perkara atau perbuatan yang tidak betul untuk dilakukan meskipun di mana-mana masjid kelolaan Majlis Agama Islam di mana-mana negeri sekali pun.

“Ini satu kenyataan melulu Mahiaddin tidak berdasarkan fakta sebenar, kalau tindakan salah kena diambil tindakan termasuk kepada mana-mana parti politik sekalipun.

“Tidak seharusnya mempolitikkan masjid dengan menggunakan masjid atas dasar politik. Perkara ini tidak boleh berlaku kerana akan memecah-belahkan masyarakat,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tegasnya, rakyat tertunggu-tunggu juga sebarang pandangan dan kritikan lain daripada calon Perdana Menteri PN itu tentang isu-isu besar negara dan bukannya mempolitikkan sebarang isu.

“Apa penyelesaian Mahiaddin misalnya tentang isu kenaikan kos sara hidup rakyat yang tinggi?

“Takkan calon Perdana Menteri PN tidak ada apa-apa idea?” bidasnya lagi.

Annuar Musa: Keputusan jual Menara KL tiada kaitan dengan kementerian

Hariz Mohd

Kementerian tidak terlibat dalam keputusan Telekom Malaysia Bhd (TM) menjual anak syarikat yang menguruskan Menara Kuala Lumpur, kata bekas menteri komunikasi dan multimedia  Annuar Musa.

Katanya perjanjian itu melibatkan syarikat tersenarai awam, bukan kerajaan.

“Tiada kaitan dengan menteri komunikasi,” katanya

“Tanya TM, kalau syarikat untung RM25 juta kenapa mereka tak nak, dan kenapa nak bagi orang?”

Rundingan pada 31 Oktober itu kini hangat dibincangkan di media sosial.

Telekom dikatakan menjual 10 juta saham dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

Sebelum ini, tular dakwaan TM melepaskan pegangan kepada syarikat yang kurang dikenali Hydroshoppe Sdn Bhd.

Ia menimbulkan tanda tanya memandangkan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd adalah syarikat yang amat menguntungkan.

Seorang pengguna Twiiter antaranya mendakwa Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd sudah menjadi cash cow atau perniagaan yang memberikan keuntungan konsisten.

Katanya, syarikat itu membuat untung RM66 juta, dengan RM25 juta untung bersih.

Menurut semakan dengan sistem Suruhanjaya Syarikat, Hydroshoppe didaftarkan pada 2008 dengan modal keseluruhan RM1 juta.

Malaysiakini sudah menghubungi unit media TM dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil, yang menggantikan Annuar, berkata kementerian akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

KRONI? Rupanya Menara Kuala Lumpur bukan lagi milik Telekom Malaysia

Pemilik Menara KL syarikat kosmetik di ambang kemuflisan?

K PRAGALATH

Menara Kuala Lumpur yang pernah dimiliki oleh Telekom Malaysia sekarang merupakan menara yang dimiliki oleh sebuah syarikat kosmetik – Hydroshoppe Sdn Bhd.

Dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyenaraikan dua individu sebagai pengarah syarikat tersebut.

Seorang bernama Abdul Hamid Shaikh b Abdul Razak Shaikh, 48, dari Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Sementara itu, pengarah kedua ialah Nazarina Mohamed Nasir ,42, dari Shah Alam, Selangor.

Sumber mendedahkan bahawa aktiviti perniagaan utama Hydroshoppe ialah peralatan kosmetik dan bukannya sebuah syarikat hartanah.

Selain itu, Nazarina dikatakan rapat dengan mantan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang tidak dipertandingkan oleh Umno untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh.

Baru-baru ini, seorang pengguna laman web sosial mendedahkan bahawa Menara Kuala Lumpur yang dimiliki Telekom Malaysia Berhad telah ditukarkan hak miliknya kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada 31 Oktober lalu.

Pendakwah jawab isu ‘ustaz Pas’ kena sekat kuliah di Pahang

FAZLI RADZI

Pendakwah Ustaz Suhaimi Md Saad menempelak pihak yang tidak berpuas hati dengan sekatan yang dikenakan terhadap penceramah tertentu untuk berkuliah.

Menurutnya, ketika beliau sendiri disekat berkuliah sebelum ini, pelbagai pandangan dilontarkan termasuk memintanya supaya redha dan menerima keputusan itu sebagai takdir.

“Bagi sahabat-sahabat saya yang terbuka dan berjiwa besar yg mempertahankan saya berkuliah di masjid dan suraunya, anda layak untuk bercakap dan menegur dalam isu ini.

“Tetapi yang bersekongkol dan menyokong kuliah saya dihentikan, harap dapat cermin muka dulu.

“Takkan dah lupa? Ketika sekumpulan asatizah disekat berkuliah, pelbagai dalil digunakan untuk menghalalkan tindakan menyekat kuliah ketika itu,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, Suhaimi mengingatkan bahawa segala yang berlaku hanya bersifat sementara.

“Ibarat roda yang berputar, yang di bawah tak kekal, ia akan naik ke atas, yang di atas akan turun ke bawah. Demikianlah silih berganti,” katanya lagi.

Reaksi beliau itu susulan wujudnya kekecohan berhubung sekatan terhadap penceramah tertentu untuk berkuliah di masjid.

“Macam nak tergelak pun ada. Bukan nak tergelak pada Ustaz yang kena sekat tu. Doa saya, moga Allah permudah urusan Al-Fadhil Ustaz Mujib.

“Tapi saya nak tergelak pada gerombolan manusia yang beri komen marahkan isu ini. Saya kenal sangat orang-orang yang memberi komen berapi tu,” tambah Suhaimi lagi.

Dalam hal berkaitan, pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol menjelaskan isu pengguguran beberapa pengerusi masjid di negeri itu.

Menurutnya, mereka terbabit pada PRU15 lalu telah membenarkan program kutipan dana pilihan raya dalam dewan masjid.

Malah, mereka juga didapati terlibat dalam pelancaran jentera pilihan raya parti dalam dewan masjid.

“Anda nilailah sendiri,” ciapnya di Twitter berkongsikan hantaran Facebook seorang penyokong Pas, Jamsari Jam berkenaan pelancaran jentera pilihan raya Pas Permatang Pauh menjelang PRU15 lalu.