"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pukul bapa tegur baca doa buka puasa laju

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Hanya kerana menegur membaca doa berbuka puasa dengan laju, seorang lelaki tergamak memukul bapanya dengan kerusi meja makan di kediaman mereka di Bandar Puncak Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 63 tahun cedera di dahi dan tapak tangan kanan.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan suspek berusia 34 tahun membaca doa dengan laju untuk berbuka puasa sebelum ditegur oleh mangsa.

"Suspek yang tidak berpuas hati menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga kaki kerusi itu patah.

"Seorang daripada anak mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi pihak polis sebelum suspek ditangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, polis turut merampas barang kes iaitu kerusi meja makan yang digunakan untuk memukul mangsa.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati mangsa mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan kanan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017 dimana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau dengan kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang dan dibenarkan reman selama tiga hari sehingga 27 Mac ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan," katanya.

Calon MB jadi 'poster boy' PN - Sanusi

Haspaizi Zain

Calon menteri besar merupakan "poster boy" bagi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor.

Jelasnya, PN sudah mempunyai calon menteri besar bagi menghadapi enam PRN yang dijangka akan diadakan paling lewat Ogos tahun ini.

"Di Negeri Sembilan kita akan ada calon menteri besar daripada PN. Di Selangor ada calon Menteri Besar daripada PN.

"Itu 'poster boy' lah. Kita akan highlight (ketengahkan) calon menteri besar kita," katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di sebuah hotel di Ampang, petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Enam negeri yang bakal menghadapi PRN ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

PRN perlu diadakan berikutan keenam-enam negeri berkenaan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

PAS menerajui tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala selebihnya ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, PN sudah memuktamadkan pembahagian kerusi di peringkat negeri membabitkan PAS, Bersatu dan Gerakan.

"Kita sudah memuktamadkan pembahagian kerusi di peringkat negeri. Pada peringkat pusat akan buat 'adjustment' (perubahan) sikit mengikut keperluan," katanya.

Katanya, PN juga melantik mas'ul atau koordinator dalam kalangan pemimpin negeri di negeri yang akan menghadapi PRN.

"Jadi semua isu yang tak perlu sampai ke pusat, pakai mas'ul ini pakat bincanglah. Ia untuk selesai lebih cepat dan pantas kita buat keputusan," katanya.

Kenapa Zahid, Zafrul tak disiasat kes Kertas Pandora

Raveena Nagotra

Ahli ekonomi politik Edmund Terence Gomez membangkitkan persoalan mengapa Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan isu Kertas Pandora.

Pengerusi Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) intu mendakwa setakat ini hanya bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang dipanggil SPRM berkenaan siasatan perkara itu.

Dalam forum bertajuk 'Rasuah sebagai Masalah Ekonomi' di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, hari ini, ia membangkitkan persoalan jika wujud amalan pendakwaan terpilih oleh kerajaan semasa.

"Jika anda panggil Daim, anda juga perlu panggil orang lain yang disebut dalam Kertas Pandora, misalnya (ahli parlimen Selayang) William Leong.

"Ia tidak berlaku, sebab itu saya agak bimbang. Saya gembira bila ada ahli politik yang berdepan dakwaan rasuah dibawa ke mahkamah. Contoh yang jelas adalah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin," katanya.

Pada Februari lalu, SPRM dilaporkan mengambil keterangan seorang bekas menteri berhubung aset luar pesisirnya yang didedahkan dalam dokumen tersebut. Nama individu itu tidak disebut secara khusus - seperti mana amalan lazim untuk individu yang dalam siasatan tetapi belum didakwa di mahkamah.

Namun, bekas menteri itu disifatkan sebagai seorang pegawai kanan pentadbiran Dr Mahathir Moahamd dan dilaporkan diminta untuk menjelaskan antara lain aliran wang dan pelaburan dalam 12 syarikat luar pesisir yang didaftarkan atas namanya dan ahli keluarganya di luar negara.

Kertas Pandora merujuk kepada kebocoran dokumen kewangan dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat shell dan firma pemegang amanah di kawasan cukai di seluruh dunia.

Dokumen itu didedahkan kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ), yang seterusnya memberikan akses kepada rakan kongsinya, termasuk Malaysiakini.

Zahid, Zafrul dan Daim antara individu yang dinamakan dalam dokumen tersebut. Pada 2021, mereka masing-masing berkata bahawa akaun berkenaan telah digunakan untuk tujuan yang sah.

Pentingnya penguatkuasaan bebas

Gomez berkata dia lebih meyakini pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada masa ini berbanding dua pentadbiran sebelumnya, yang masing-masing diketuai Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob.

Namun, dia mendakwa kerajaan sekarang akan terus berdepan dakwaan mengamalkan pendakwaan terpilih sehinggalah SPRM dan Pejabat Peguam Negara (AGC) dijadikan badan yang bebas sepenuhnya.

"Jadikan mereka bebas dan ada kuasa autonomi. Dan tolong buat sesuatu tentang (pelantikan) pesuruhjaya SPRM juga kerana jika pesuruhjaya SPRM tidak dilihat sebagai berwibawa, pasti akan timbul masalah.

"Biar mereka (SPRM dan AGC) jalankan kerja dan serahkan kepada badan-badan autonomi ini untuk membuat pendakwaan terhadap sebarang tuduhan kesalahan," katanya lagi.

Amaran Lim kepada Wan Fayhsal - jenayah buat laporan polis palsu

Malaysiakini 

Pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengingatkan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal bahawa membuat laporan polis palsu merupakan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ahli parlimen Bagan merujuk laporan polis yang dibuat ketua Armada Bersatu itu terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dirinya sendiri.

Menurut Lim, ini kerana dakwaan yang dibuat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa dia membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary adalah 'dakwaan palsu'.

“Anwar bercakap benar apabila dia berkata rekod dengan Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa sebagai Menteri Kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, saya tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Ini disokong oleh kegagalan Muhyiddin menunjukkan bukti atau mengemukakan surat pembatalan daripada saya semasa saya menjadi Menteri Kewangan,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Anwar juga betul apabila menyatakan bahawa pembatalan status pengecualian cukai terletak pada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya perdana menteri atau pun menteri kewangan, kata Lim lagi.

Semalam, beberapa beberapa pemimpin Pemuda Bersatu diketuai Wan Fayhsal membuat laporan polis terhadap Lim dan Anwar kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Wan Fayhsal mendakwa penjelasan Anwar bahawa kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukannya menteri atau perdana menteri mengikut subseksyen 44(6) Cukai Pendapatan Akta 1967 adalah mengelirukan.

Wan Fayhsal seterusnya mendakwa bahawa Anwar yang juga menteri kewangan gagal menyebut subseksyen 44(6) yang membolehkan Lim, yang ketika itu menteri kewangan, merayu sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua pengarah LHDN.

Mengulas lanjut, Lim berkata apa yang ditunjukkan Wan Fayhsal jelas memperlihatkan ahli parlimen Machang itu jahil dan kurang pengetahuan mengenai ekonomi, kewangan atau perkara percukaian kerana seksyen 44(6B) merujuk kepada rayuan kepada menteri dan bukannya menteri yang memulakan pembatalan status dikecualikan cukai.

“Saya tidak melihat fail Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan dan tidak berada dalam kedudukan untuk memutuskan sebarang rayuan kerana tiada satupun dibuat oleh Yayasan Albukhary kepada saya.

“Jelas sekali tiada pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan,” kata Lim.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat sebarang pembatalan sama sekali terhadap status pengecualian cukai Yayasan Albukhary seperti yang didakwa Muhyiddin.

"Jika ada pembatalan sedemikian, maka ia hanya boleh dilakukan semasa tempoh Muhyiddin sebagai perdana menteri,” kata Lim.

Sebaliknya, menurut Lim, Wan Fayhsal perlu memujuk Muhyiddin untuk menunjukkan surat pembatalan sendiri kepada Yayasan Albukhary.

“Jika Muhyiddin gagal berbuat demikian, maka kedua-dua Muhyiddin dan Wan Fayhsal membuat dakwaan kosong yang tidak berasas dan palsu.

Ambil tindakan jenayah, sivil

“Saya telah memulakan tindakan jenayah dan sivil terhadap Muhyiddin kerana pembohongannya yang boleh menjejaskan muhibah kaum dan menjejaskan keharmonian agama.

"Wan Fayhsal harus berfikir dengan teliti sebelum dia ‘berenang di perairan yang sama’ seperti pengerusi PN itu," tambah Lim.

Lim juga membidas Wan Fayhsal kerana mendakwa dalam laporan polisnya bahawa Anwar telah mengelirukan dan mengelirukan Dewan Rakyat dengan menyokong hujah Lim.

“Wan Fayhsal salah kerana cuba membawa polis ke prosiding parlimen.

“Jelas sekali beliau sama ada tidak menghormati atau memahami prinsip keluhuran parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

“Polis atau mana-mana cawangan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menceroboh atau menyiasat perkara yang dibincangkan di parlimen.

"Perkara parlimen hanya boleh diputuskan oleh parlimen dan jika ahli parlimen berbuat sebaliknya menunjukkan dia tidak layak menjadi ahli Dewan Rakyat,” dakwa ahli parlimen veteran itu.

Dr Zakir Naik mungkin dihantar pulang ke India

Agensi

New Delhi: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik berkemungkinan akan dihantar pulang dari Oman ke India.

Portal Telegraph India melaporkan, agensi perisikan India berhubung dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir Naik semasa lawatannya ke Oman yang dijadualkan pada hari ini (23 Mac), kata laporan itu.

Zakir Naik, seorang pendakwah Islam berasal dari India menetap di Malaysia sejak 2017.

Kerajaan Oman, baru-baru ini, menjemput Zakir Naik untuk menyampaikan dua kuliah agama di ibu kota Muscat, pada 23 Mac dan 25 Mac, sempena Ramadan.

Menurut laporan itu, Kedutaan India di Oman berhubung dengan agensi kerajaan negara itu untuk menahan Zakir Naik dan menghantarnya pulang ke India.

India berkemungkinan menghantar pasukan undang-undang untuk tindakan susulan selepas penahanan Zakir Naik, kata laporan itu, sambil menambah bahawa perkara itu sudah dibawa kepada perhatian Duta Oman oleh Menteri Luar India.

Zakir Naik , 57, melarikan diri dari India pada 2016 selepas organisasinya Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) diharamkan di negara itu.

Media sebelum ini melaporkan Zakir Naik dituduh dengan pengubahan wang haram oleh pendakwa raya di India.

Selain pengubahan wang haram, pihak berkuasa India juga menuduhnya menyebarkan ucapan berbaur kebencian dan menghasut keganasan.

Pada 2019, beliau dilarang menyampaikan syarahan di Malaysia.

Selain India, rangkaian TV Peacenya juga diharamkan di Bangladesh, Kanada, Sri Lanka, dan United Kingdom.

20 maut dilenyek lori, treler

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Sebahagian penduduk menyertai bantahan bagi mendesak pihak berwajib menaik taraf jalan utama di kawasan itu susulan kemalangan maut menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Kampung Telok Gong, kelmarin. FOTO IHSAN PEMBACA
Sebahagian penduduk menyertai bantahan bagi mendesak pihak berwajib menaik taraf jalan utama di kawasan itu susulan kemalangan maut menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Kampung Telok Gong, kelmarin. FOTO IHSAN PEMBACA
Klang: Lebih 20 nyawa 'melayang' terutama penunggang motosikal akibat kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat terutama treler di laluan Kampung Telok Gong di sini, sejak lima tahun lalu.

Terbaru seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, sembilan tahun, maut dalam kemalangan membabitkan treler kelmarin.

Susulan itu kira-kira 20,000 penduduk Kampung Telok Gong, di sini, mendesak pihak berwajib menaik taraf jalan utama di kawasan itu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Gong, Rosli Ismail, 58, berkata, kemalangan adalah isu utama yang perlu segera diatasi kerana sudah meragut banyak nyawa.

Beliau berkata, keadaan jalan sepanjang tujuh kilometer itu masih sama sejak sekian lama sedangkan jumlah kenderaan berat semakin meningkat.

"Selain menaik taraf jalan sedia ada, kami memohon bonggol dan pemutus kelajuan dibina bagi mengelak pengguna memandu laju terutama kenderaan berat.

"Masa operasi kenderaan berat menggunakan laluan itu juga perlu dihadkan terutama ketika waktu puncak," katanya ketika ditemui selepas menyertai bantahan aman di kampung itu, tadi.

Terdahulu, beliau bersama 100 penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berdekatan lokasi kemalangan menimpa Nurul Jannatun Assyifa.

Dalam tragedi terbaru itu, murid perempuan terbabit maut akibat digilis treler manakala adiknya,

Alif Zahfran, tujuh tahun, dan pengasuh wanita berusia 54 tahun cedera.

Sementara itu,Kahar Jaafar, 58, yang tinggal di Kampung Teluk Gong sejak 50 tahun lalu tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk pemandu kenderaan berat yang menggunakan laluan itu.

"Namun faktor kemalangan yang agak kerap hingga mengorbankan 20 nyawa perlu dielak daripada berlarutan.

"Semua pihak perlu lebih berwaspada menggunakan laluan itu dan tidak bersikap mementingkan diri dengan memandu laju sehingga berlaku kemalangan," katanya.

Sementara itu, Azmizam berkata, beliau akan membincangkan isu berkenaan secara terperinci dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Memang diakui laluan kampung itu sentiasa sesak dengan kenderaan berat dan mengundang bahaya sekiranya tidak berhati-hati," katanya.

MBPJ digesa beri penjelasan pegawai ‘serang’ warga emas

FMT Reporters

Tangkap layar video tular seorang lelaki warga emas “diserang” pegawai MBPJ ketika operasi menangkap anjing liar.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chun mendesak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi penjelasan mengenai tindakan pegawainya yang dirakam “menyerang” seorang lelaki warga emas ketika operasi menangkap anjing liar.

Lee dalam kenyataan berkata, pejabatnya mengeluarkan satu surat rasmi kepada MBPJ selepas video insiden itu tular.

“Pejabat saya memohon pencerahan daripada MBPJ mengenai SOP sekiranya ada yang digunapakai ketika operasi menangkap anjing liar.

“Ini termasuk tatacara pegawai yang terlibat ketika operasi berkenaan. Saya berharap siasatan secara terperinci dijalankan oleh unit integriti dan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya. 

Dalam video tular itu, seorang lelaki warga emas dilihat “diserang” pasukan penguat kuasa MBPJ ketika cuba melindungi anjing miliknya daripada ditangkap.

Seorang anggota penguat kuasa juga dilihat memukul lelaki itu dengan batang besi yang digunakan untuk menangkap anjing.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Taman Kanagapuram, off Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, malam tadi.

Dalam jawapan kepada NST, MBPJ berkata pihaknya menjalankan siasatan berhubung kejadian dalam video tular itu.

'Muka tak sama dengan IC pun boleh lepas'

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
ANTARA MyKad milik warga tempatan yang disediakan sindiket bagi membolehkan Pati melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.
ANTARA MyKad milik warga tempatan yang disediakan sindiket bagi membolehkan Pati melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.
Kuala Lumpur: Raut wajah dimiliki 100 peratus berbeza berbanding MyKad ditunjukkan. Namun mereka berjaya lolos menaiki pesawat komersil untuk menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia beramai-ramai.

Itu antara komplot terancang di pintu salah sebuah lapangan terbang di Sabah bagi membolehkan beribu pendatang asing tanpa izin (Pati) Filipina menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sepang sejak lebih lima tahun lalu.

Difahamkan semua pendatang haram itu akan dibekalkan MyKad tulen milik warga tempatan yang disediakan sindiket bagi membolehkan Pati melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.

Berdasarkan maklumat diperolehi wartawan Harian Metro, pakatan sulit membabitkan aktiviti penyeludupan manusia itu dipercayai didalangi beberapa sindiket berpangkalan di negeri bawah bayu itu.

"Berdasarkan risikan awal, salah satu sindiket utama itu didalangi dua wanita 'otai' tempatan berusia 40-an dan 50-an. Mereka disyaki memiliki dua kerakyatan berikutan kerap berulang alik ke wilayah di selatan Filipina.

"Risikan mendapati dua beradik wanita ini beroperasi persis tekong darat. Mereka akan menguruskan perjalanan masuk Pati dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan menaiki pesawat komersial," katanya.

Menurutnya, suspek akan menguruskan pengangkutan dan pembelian tiket penerbangan pesawat menggunakan identiti MyKad tulen milik warga tempatan.

"Sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan 'boarding pass' (pas masuk atas nama pemilik asal Mykad) pesawat kepada kumpulan Pati yang menggunakan khidmat mereka.

"Pati warga Filipina terbabit kemudian akan menyamar sebagai rakyat Malaysia ketika melalui pemeriksaan pihak berkuasa di lapangan terbang di Sabah.

"Di sini timbulnya sesuatu tidak kena apabila Pati ini dengan mudah melepasi pemeriksaan petugas keselamatan di lapangan terbang ketika mahu menaiki pesawat. Agak aneh apabila Pati ini tidak ditahan walaupun wajah mereka langsung tidak sama dengan Mykad diberikan bagi pengesahan boarding pass.

"Berdasarkan risikan lebih lanjut, sindiket dipercayai memberi suapan kepada segelintir petugas keselamatan di lapangan terbang bagi melicinkan operasi," katanya.

Sumber berkata, pihak sindiket biasanya akan diberikan jadual masa perjalanan, kaunter dan laluan tertentu ditetapkan 'kaki' di lapangan terbang bagi memudahkan Pati menaiki pesawat.

"Malah dalam beberapa penemuan risikan dilakukan, wujud kejadian aneh apabila boarding pass milik Pati sudah terlebih dahulu dicop (agensi penguatkuasa) sebelum mereka melepasi gate pemeriksaan penumpang.

"Selain itu, tiada maklumat keluar masuk pemilik MyKad terbabit direkodkan di dalam pangkalan data agensi penguatkuasa kerajaan dipertanggungjawabkan di lapangan terbang.

"Senario pelik ini memungkinkan wujud unsur rasuah membabitkan sindiket dan petugas keselamatan di sebuah lapangan terbang di Sabah.

"Keadaan tambah 'membimbangkan' apabila Pati ini yang mendarat di KLIA2 Sepang, tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan identiti sekali lagi," katanya.

Menurutnya, Pati terbabit dengan mudah bolos masuk ke Semenanjung Malaysia dengan pelbagai tujuan tidak diketahui sama ada untuk mencari pekerjaan atau objektif tidak diketahui.

"Setakat ini, sindiket didalangi dua beradik itu dipercayai sudah bergiat aktif sejak tahun 2018 dengan mengaut hasil keuntungan lebih RM1.2 juta.

"Setiap Pati yang menggunakan khidmat mereka hanya dikenakan bayaran sekitar RM2,500 setiap seorang. Jika mengambil kira jumlah wang diperolehi itu, tidak kurang dari 1,000 Pati warga Filipina sudah dibantu sindiket untuk 'terbang' menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia.

"Angka itu bagaimanapun hanya membabitkan satu sindiket. Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar Pati warga Filipina yang berjaya bolos dan kini berkeliaran di Semenanjung Malaysia," katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku ini adalah satu lagi bentuk pengkhianatan besar terhadap negara.

"Mereka menjual kedaulatan tanah air demi wang ringgit. Implikasinya cukup besar membabitkan isu keselamatan negara. Mungkin ada antara Pati itu adalah penjenayah atau pengganas di negara asal.

"Jika kegiatan ini tidak ditangani segera, entah berapa ramai Pati Filipina yang berada di Semenanjung Malaysia. Ini hanya akan memburukkan lagi isu lambakan Pati sedia ada di Malaysia," katanya.

Tambah baik sistem aduan terhadap Pati

Limpahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang memasuki negara ini perlu dianggap satu bentuk ancaman serius terhadap isu keselamatan nasional.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu ini yang sudah sekian lama diperdebatkan belum menemui titik penyelesaian jitu.

Menurutnya, konsep dan dasar keselamatan negara harus dinilai semula melalui pembabitan lebih proaktif dikalangan rakyat.

"Tanpa 'campur tangan' rakyat yang menjadi mata dan telinga, isu ini tidak akan selesai apatah lagi jika ramai bersikap 'tidak ambil kisah'.

"Saluran aduan terhadap kehadiran ataupun ancaman Pati seharusnya ditambah baik. Ini termasuk elemen risikan dan tindakan bagi membenteras Pati secara berterusan.

"Selain itu, kerajaan boleh mewujudkan zon kawalan masa di penempatan tumpuan Pati bagi memastikan golongan ini tidak terlalu bebas," katanya.

Menurutnya, kaedah ini memastikan Pati atau warga asing yang memiliki permit bekerja di negara ini dipantau pergerakan melalui kaedah 'pagar moden'.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan seramai 15,845 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di semua depot imigresen seluruh negara dengan warga Filipina merekodkan tahanan paling ramai iaitu 5,138 orang atau mewakili 32.4 peratus.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 11,983 lelaki, 2,683 orang wanita, 656 orang kanak-kanak lelaki dan 523 orang kanak-kanak perempuan direkodkan hingga 29 Januari lalu.

Beliau berkata, warga Filipina adalah tahanan paling ramai iaitu 5,138, diikuti warga Myanmar termasuk etnik Rohingya seramai 4,424 (27.9 peratus) dan warga Indonesia seramai 4,097 (25.9 peratus).

Pendatang haram mampu bawa anasir pengganas

"Jangan pandang ringan isu kemasukan pendatang tanpa izin (Pati) termasuk warga Filipina. Kita tidak tahu jika ada antara mereka adalah international terrorism (pengganas antarabangsa)," ujar Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim.

Menurutnya, isu penyeludupan manusia mewujudkan ancaman keselamatan yang amat jelas kepada negara.

"Aktiviti rentas sempadan ini akan membuka pintu kepada pelbagai masalah lain membabitkan isu pengedaran najis dadah, penyeludupan senjata api dan juga isu aktiviti pengganas.

"Jumlah pendatang asing termasuk pendatang haram yang terlalu besar akan memberi impak sosial dan ekonomi. Ia turut akan menyulitkan tugas anggota penguatkuasa negara, tambahan pula kecenderungan mereka melakukan jenayah yang cukup tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, keamanan negara bakal terjejas dalam jangka masa panjang selain kemungkinan wujud anasir pengganas dibawa oleh pendatang haram ke negara ini.

Menurutnya, masalah penyeludupan warga asing ke negara ini semakin sukar dibendung jika ia turut membabitkan 'kerja orang dalam' di pintu sempadan.

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap petugas keselamatan di lapangan terbang supaya mereka bertugas dengan penuh beretika, integriti dan profesional.

"Pihak atasan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memantau masalah ini dengan lebih teliti dan mencari penyelesaian segera termasuklah memindahkan segera pegawai yang dilihat berisiko tinggi dan tidak dapat dikawal.

"Selain itu, latihan, pendidikan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa selain kesedaran pentingnya integriti diri kepada keselamatan negara perlu kerap dianjurkan setiap jabatan.

"Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan elaun khas supaya petugas keselamatan ini tidak akan tergoda dengan rasuah ditawarkan. Apa yang nyata kini, gejala rasuah sudah merebak luas daripada 'kepala' hinggalah ke akar umbi.

"Kerjasama antara pelbagai agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah kunci penting yang perlu disegerakan dalam hal membabitkan pengawasan bersama, pertukaran maklumat dan hal kerahsiaan.

"Pegawai di pintu masuk negara perlu diberikan latihan khas berkaitan kesan ketirisan kepada keselamatan negara yang amat serius. Mereka perlu juga dibekalkan dengan teknologi pengesanan terkini dan kemahiran penyiasatan dalam memastikan tugas mereka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.

Menurutnya, prosedur yang lebih ketat perlu diperkenalkan dalam memastikan masalah ini tidak lagi berulang.

'"Individu atau pegawai lapangan terbang yang bebas keluar masuk kawasan larangan perlu melalui semula pemeriksaan latar belakang bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa manipulasi penjenayah," katanya.

Beliau turut menyeru pihak berkuasa Malaysia menjalinkan hubungan lebih akrab dengan negara tetangga bagi mencari penyelesaian yang lebih tuntas dan membolehkan masalah penyeludupan manusia ini diatasi dengan lebih berkesan.

Kecoh dakwaan siasatan SPRM berkaitan Hakim Nazlan bocor di media sosial

SHAFIQAH MUKHSIN

Tular di media sosial mengenai salinan dokumen yang dikatakan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Menerusi akaun Twitter, @mahazalimreturn, laporan tersebut adalah berkenaan pelanggaran kod etika hakim yang dikemuka oleh SPRM kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Berdasarkan maklumat pada muka akhir salinan dokumen tersebut, SPRM mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap Mohd. Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Disebabkan isu tersebut, penganalisis politik, Lim Sian See menerusi akaun Facebook mendakwa Mohd. Nazlan telah melakukan kesalahan menyorok maklumat dan melanggar kod etika hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Dana RM42 juta tidak boleh dipastikan berasal dari SRC International sebab dana RM170 juta telah dibayar oleh Putrajaya Perdana dan anak syarikatnya, Permai Binaraya kepada SRC ketika itu.

“Dana RM170 juta ini berasal dari pinjaman Maybank yang diluluskan ketika Mohd. Nazlan merupakan ketua bahagian undang-undang Maybank,” katanya.

Tambahnya, SPRM juga telah mencadangkan kepada Tengku Maimun agar tindakan diambil ke atas Mohd. Nazlan kerana dipercayai melanggar Kod Etika Hakim.

Tidak hanya itu, Sian See memberitahu, kewujudan laporan daripada SPRM kepada Tengku Maimun pernah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen bulan lalu.

“Namun Tengku Maimun masih belum mengambil apa-apa tindakan atau mengulas tentang laporan ini sejak 20 Februari 2023, iaitu lebih sebulan dahulu,” jelasnya.

Menurut beliau, ia adalah tidak adil kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana perkara-perkara tersebut sepatutnya dipertimbangkan dan dimasukkan sebagai bukti bagi semakan kes beliau yang akan diputuskan pada 31 Mac ini.

“Ketua Hakim Negara, SPRM atau Menteri Undang-undang patut sahkan atau nafikan pembongkaran ini secara umum. Tidak boleh membisu lagi,” katanya.

Mohd. Nazlan merupakan hakim yang mengadili kes SRC melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan pada 28 Julai 2020.

TikTok beri perspektif baharu kepada peranan masjid

Fuad Rahman

Dulunya kita melihat TikTok sebagai ruang untuk anak-anak muda tergedik-gedik menari tiada arah. Lalu kita melabelnya sebagai platform yang mempromosi tingkah laku yang kurang nilai moral.

Tapi sekarang ia berganjak lebih jauh sebagai wadah menyampaikan mesej kepada massa secara lebih berkesan. Kerana had durasi yang pendek, apa saja mesej yang mahu disampaikan kena pada sasaran. Kandungan yang panjang dan berjela-jela membuat para “followers” bosan dan segera “skip” ke konten lain.

“Influencer” Firdaus Firabib secara berkesan menggunakan TikTok untuk memperkenalkan masjidnya, Al Busyra Merbok, di Sungai Petani bukan sahaja sebagai pusat ibadat tetapi sebagai hub menjana ekonomi setempat melalui perniagaan rehat dan rawat (R&R) di sekitar perkarangan masjid.

Idea Firdaus yang juga seorang imam untuk ‘membuka’ masjid pada mulanya ditentang AJK. Kini ia dibuka untuk persinggahan musafir, lengkap dengan gerai-gerai makan, tempat cuci kereta, kedai gunting rambut, kemudahan peralatan komunikasi, dan kedai cetak.

Firdaus muncul setiap hari dalam TikTok untuk berkongsi aktiviti harian masjid dan mempromosi aktiviti bakal diadakan. Di sebalik riuh rendah mengajak jemaah sama-sama meraikan majlis, Firdaus sempat muncul di kuliah dan ceramah sama ada di masjidnya mahu pun di luar Sungai Petani.

Paling mengagumkan apabila beliau membuat kutipan RM2 bagi infaq sarapan pagi Jumaat untuk Al Busyra. Tidak sampai 24 jam, sejumlah RM21,000 dikutip melalui TikTok untuk sarapan percuma Jumaat. Kutipan itu diagihkan kepada gerai-gerai di masjid berkenaan bagi membolehkan makanan diberi percuma kepada jemaah.

Usaha ini juga satu ibadah besar. Solat Subuh dipenuhi jemaah macam solat Jumaat. Menteri besar Kedah juga singgah untuk melihat apa sebenarnya berlaku di situ.

Al Busyra diangkat menjadi masjid terbaik di Kedah, malah Ustaz Firdaus ditawar jawatan imam di masjid lain. Tidak ramai orang seperti Firdaus. Banyak halangan dan kecaman yang dihadapinya untuk cuba memperkasakan peranan masjid dalam masyarakat.

Sementara masjid lain lebih Selesa dengan jumlah kutipan yang disimpan, Al Busyra memanfaatkan kutipannya untuk pembangunan masjid. Reaksi masyarakat kepada kempen dana masjid yang dipromosi Firdaus di TikTok tidak pernah gagal. Ia segera memenuhi sasaran.

Terdetik di hati untuk menziarah Al Busyra untuk berkongsi aura para pendukungnya, khususnya “team” Ustaz Firdaus.

Polis buru kumpulan ajaran sesat Sihulk

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang memburu enam ahli kumpulan ajaran sesat Suhaini Muhammad atau Sihulk, selepas dipercayai menghina Islam serta Nabi Muhammad dalam satu video di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata enam individu berusia 20-an hingga 30-an itu dikenal pasti melalui video ajaran sesat tular itu dan kes terbabit dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

“Nasihat saya, lebih baik sekiranya mereka menyerah diri berbanding membiarkan polis datang kepada mereka,” katanya menurut Bernama.

Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dilaporkan berkata, ajaran Sihulk antara 21 fahaman dan ajaran sesat yang diwartakan haram di negeri itu.

Beliau berkata, ajaran Sihulk jelas menyimpang daripada ajaran Islam apabila penganutnya melihat Nabi Muhammad sebagai tuhan, bukannya rasul.

“Ajaran itu mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan, baginda bukan lelaki atau perempuan, dilahirkan atau mempunyai anak yang secara terang-terangan terpesong jauh, sedangkan Nabi Muhammad manusia biasa seperti kita.

“Ini satu penghinaan kepada Islam, ia bertentangan dengan tauhid dan saya percaya orang awam yang memilih ilmu agama sederhana juga boleh sedar ajaran itu sesat.”

Kisah sebenar: Arab Saudi berhabis USD15 Billion buat pusat pelancongan ini tetapi umat islam dilarang datang

MAISARAH AISYA

Kerajaan Arab saudi menhabiskan hampir AS$15 bilion (RM67.125 bilion) untuk membina semula Kota Al Ula yang dilarang Nabi untuk dikunjungi umat Islam.

Buat yang tidak tahu, kawasan ini adalah tempat turunnya azab Allah kepada kaum Nabi Saleh malah dianggap sebagai tempat tinggal roh jahat.

Pengguna Twitter, @addien90s tampil menjelaskan kenapa umat Islam dilarang masuk ke kawasan ini.

Dalam sebuah sejarah diceritakan bahawa semasa hayatnya, Nabi Muhammad sentiasa mempercepatkan langkahnya ketika melalui Kota Al Ula.

Manakala dalam satu kisah, Nabi Muhammad difahamkan tidak akan menoleh ke kanan atau kiri semasa melalui kawasan tersebut.

Selain itu, Ibn Battuta yang telah melalui kota ini dan mencatatkan bahawa kafilah yang bersama dengannya turut keberatan untuk singgah di Al Ula.

Keengganan untuk berhenti ini dikatakan dikaitkan dengan Al Ula digelar sebagai kota hantu atau kota terkutuk.

Kononnya, masyarakat Arab menggelar Al Ula sebagai markas jin yang mesti dielakkan kerana Nabatean enggan meninggalkan kepercayaan mereka.

Mereka dilaknat kerana tidak menyembah Tuhan, tetapi menyembah para dewa-dewi.

Daripada segi saintifik pula jelas lapisan ozon adalah lebih nipis jika mahu dibandingkan dengan tempat lain.

Selain itu, gempa bumi besar yang berlaku ribuan tahun dahulu juga telah menipiskan lapisan ozon bumi.

Para saintis juga menemukan lubang besar di lapisan ozon atmosfera tepat di atas kawasan ini.

Ozon yang nipis boleh merosakkan UV, mendatangkan pelbagai penyakit kulit, kanser, dan kejadian ribut semula jadi.

Penyelidik juga turut bersetuju bahawa tidak selamat bagi manusia untuk tinggal di kawasan ini dalam tempoh masa yang lama.

Ini sesuai dengan larangan yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW tentang tempat tersebut.

Tempat yang menjadi tanda simbol ini, tidak boleh digunakan sebagai tempat keseronokan dan hiburan.

Kurang kasih sayang antara punca murtad di Malaysia

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengaruh negatif rakan sebaya akibat kurangnya perhatian dan kasih sayang keluarga antara satu daripada empat faktor utama umat Islam di negara ini, murtad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan melalui Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sangat memberi penekanan terhadap isu murtad dan penyelewengan akidah membabitkan umat Islam di negara ini dan mengesan faktor penyumbang gejala itu.

"Antara faktor lain menyumbang kepada murtad di negara ini ialah kelemahan pegangan terhadap agama Islam yang disebabkan oleh kurang tarbiah, didikan dan asuhan daripada ibu bapa dan keluarga.

"Pengaruh media massa yang menghidangkan pelbagai budaya dan gaya hidup yang menjurus kepada gejala murtad juga menjadi faktor murtad.

"Selain itu, masalah percintaan, perkahwinan dan perceraian juga antara faktor yang menyebabkan murtad dalam kalangan umat Islam.

"Terdapat juga remaja terjebak dalam amalan percintaan berlainan agama tanpa kawalan sehingga terjebak dalam gejala murtad," katanya pada jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta Perdana Menteri apakah faktor utama berlakunya gejala murtad dan tindakan Jakim membendung isu ini.

Mengulas lanjut Mohd Na'im berkata, pihak Jakim akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh akidah dan pegangan umat islam melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif dan berkesan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (Main), Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) serta agensi lain berkaitan.

"Jakim dan Jain mengeluarkan Teks Khutbah Jumaat yang menjelaskan pelbagai isu semasa berkaitan akidah, syariah, akhlak dan isu-isu semasa yang timbul.

"Bagi membendung gejala murtad dalam kalangan masyarakat, Jakim melaksanakan program penerapan dan penghayatan nilai Islam kepada beberapa golongan sasar seperti anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas, penjawat awam dan swasta," katanya.

Katanya, penghayatan Islam juga turut dilaksanakan kepada pesakit Muslim di hospital melalui program Rakan Masjid Hospital (Ramah) bagi membawa misi pengisian rohani kepada masyarakat.

"Selain itu, kelas pengajian Takmir juga turut diadakan di masjid dan surau bagi memantapkan pegangan dan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

"Jabatan mufti negeri juga turut menjalankan Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) bagi mereka yang didapati terbabit dengan kesalahan akidah dan murtad kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

"Di samping itu, Main juga menyediakan khidmat sokongan pascapemulihan bagi memastikan akidah mereka terus kekal dalam Islam," katanya.

Polis bongkar kegiatan ‘sedut wang’, 7 ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Taktik sekumpulan tujuh lelaki menggunakan platform jual beli barang untuk memperdayakan orang ramai memuat turun Android Package Kit (APK) sebelum “menyedut” wang mangsa, terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Jalan Tun Razak kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan empat warga asing berusia 20 hingga 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

“Fail APK yang dimuat turun itu membolehkan sindiket menggunakan kad debit mangsa kerana mangsa telah memasukkan maklumat perbankan mereka ketika proses memuat turun fail dijalankan.

“Akibatnya, kad debit mangsa akan digunakan melalui aplikasi pembayaran elektronik tanpa mangsa sedari dan siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama tiga bulan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Bernama.

Dalam serbuan itu, Azmi berkata polis turut merampas 28 buah telefon bimbit dan lima unit komputer yang dipercayai digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan berkenaan.

Katanya, semua ahli sindiket yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan tawaran gaji RM4,000 itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Berikutan itu, Azmi menasihatkan orang supaya jangan mudah terpedaya tawaran daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali selain sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang fail daripada sumber yang tidak sah.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada National Scam Response Center di talian 997 jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan.

Masjid Ibnu Sina terbakar, jemaah tak sempat tarawih

FMT Reporters
Masjid Ibnu Sina di Taman Tasik Titiwangsa musnah 90% dalam kebakaran malam tadi. (Gambar FB)
PETALING JAYA: Kariah Masjid Ibnu Sina di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, tidak sempat menunaikan solat sunat tarawih pertama malam tadi selepas masjid berkenaan musnah dalam kebakaran.

Kejadian dipercayai berlaku pada 7 malam menyebabkan 90% ruangan dalam masjid itu musnah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, Jalan Tun Razak dan Hang Tuah dengan kekuatan 21 anggota, bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Kebakaran melibatkan ruangan solat di dalam masjid dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90%,” katanya menurut Bernama.

Katanya, api dapat dikawal pada 7.27 malam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 9.36 malam.

Tiada jemaah masjid berada di situ semasa kejadian, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Kelab Malam jemput ‘Thai Hot Guys’, rupanya baru dibuka semasa PN jadi kerajaan

SHAFIQAH MUKHSIN

Tular mengenai Privacy Tun Razak yang dikatakan pernah menjemput ‘Thai Hot Guys’, lebih mengejutkan kelab malam ini wujud semasa pemerintahan Perikatan Nasional lagi.

Seorang pengguna Facebook, Adrian Lim Chee En mempersoal apa yang dilakukan oleh PN sepanjang 22 bulan memerintah.

“Privacy Tun Razak ialah premis yang menjemput “Thai Hot Guys”, rupa-rupanya dibuka sejak 23 September 2022.

“Menteri Agama dan Menteri dalam Negeri ketika itu adalah dari PN, segalanya terbongkar selepas Kerajaan Perpaduan ambil alih,” katanya pada hantaran tersebut.

Adrian berkongsi bagaimana premis tersebut sebenarnya tidak mempunyai lesen hiburan dan hanya ada lesen restoran di bawah Beijing 9 Sdn Bhd.

Bagaimanapun lesen restoran tersebut dikatakan telah tamat tempoh sejak Februari 2021, bermakna premis tersebut beroperasi tanpa lesen selama ini.

“Maka Kerajaan Perpaduan pun mengambil tindakan. Tetapi pembangkang sekarang semasa berkuasa buat apa,” soalnya.

Inkues kes kematian Baby Syifaa, kesan darah pada kain buai

Kesan darah Baby Syifaa pada kain buai
Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Kain buai tempat Baby Syifaa ditemui maut di pusat asuhan dibasuh saksi ke-21, pemilik dan pengasuh kedua taska, Nadzirah Ahmad Damanhuri, 30, selepas kejadian pada 22 Februari lalu.

Bagaimanapun, dalam inkues kes kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri yang masuk hari keenam hari ini, saksi ke-22 memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa masih terdapat penemuan kesan darah pada kain berkenaan.

Ahli Kimia, Nurul Hamizai Abdul Hamid, 39, yang bertugas di Bahagian DNA Forensik Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya berkata, hasil keputusan makmal mendapati DNA pada kesan darah itu sepadan profil DNA bayi berkenaan.

"Kesan tompokan darah itu 'smear' sangat kecil dianggarkan berdiameter lima milimeter (mm) di bahagian kepala kain buaian.

"Bagi ekshibit (barang kes) lain iaitu pakaian mangsa dan permaidani (diambil dari taska) tidak menunjukkan kehadiran kesan darah," katanya.

Menurut Nurul Hamizai, beliau hanya mengetahui bahawa kain buaian itu sudah dibasuh sebelum dihantar ke makmal ketika memberi keterangan, hari ini.

Ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali inkues, Zahida Zakaria adakah DNA boleh termusnah atau menyusut sekiranya dibasuh, Nurul Hamizai berkata, ia bergantung pada tahap basuhan sama ada kesan darah itu masih dapat dikesan atau tidak.

Dalam pada itu, Nurul Hamizai memberitahu, terdapat penemuan kromosom XY sekurang-kurangnya tiga individu yang tidak mempunyai kaitan kekeluargaan pada pakaian Nour Rania Asyifaa yang diperoleh daripada keputusan DNA surih.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan siapa pemilik DNA itu, tetapi dia bersetuju terdapat kromosom lelaki.

Pada prosiding yang bersambung jam 2.30 petang, Nadzirah memberitahu dia membasuh kain buaian itu kira-kira jam 6 lebih kerana ia adalah rutin, malah tidak mengetahui ia punca kejadian.

Dia turut tidak bersetuju cadangan Peguam mewakili keluarga Syifaa, Gaithri Thomas yang mendakwa tindakannya membasuh buaian terbabit kerana mahu menghilangkan kesan darah padanya.

Peguam Hafiz Norkhan turut menyoal sama ada Nadzirah nampak kesan darah pada kain buaian itu ketika membasuhnya.

"Saya tak nampak apa-apa kesan darah kerana saya rabun dan tidak memakai cermin mata pada waktu itu," katanya.

Ketika ditanya soalan Hafiz mengenai cara membasuh kain buai, Nadzirah berkata dia meletakkannya di lantai bilik air sebelum meletakkan sabun dan menyiramnya dengan air sebelum membilasnya sehingga hilang buih.

Nadzirah juga memberitahu, polis yang datang ke taska berkenaan untuk membuat siasatan pada hari kejadian tidak bertanyakan berkenaan kain buaian itu yang didapati basah kerana dibasuh.

'Rupanya dia cuma tiang kayu sepanjang jadi PM4'

Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@bh.com.my

KUALA LUMPUR: 'Perang' membabitkan dua bekas perdana menteri di media sosial berterusan dengan terkini Datuk Seri Najib Razak meminta Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti daripada terus menggunakan sentimen Melayu sebagai tunggangan.

Najib menerusi hantaran di Facebook berkata, sudah tiba masanya untuk Mahathir berhenti menggunakan orang Melayu untuk meneruskan agenda politiknya.

"Bila tiada kuasa - Melayu dipinggir, Melayu ditindas, jom buat proklamasi.....Bila ada kuasa - Melayu malas, Melayu mudah lupa, Melayu tak pandai berpolitik, Melayu perlu ikat perut, jangan iri hati orang kaya (termasuk kroni-kroni bukan Melayu), anak-anak saya contoh Melayu pandai berniaga.

"Cukuplah, cukup. Jangan tunggang nama orang Melayu lagi," katanya melalui muat naik semalam.

Melalui satu lagi muat naik di akaun Facebook sama, Najib menyindir kenyataan dibuat Mahathir yang menyatakan Ops Lalang yang berlaku ketika dirinya menjadi Perdana Menteri bukan atas arahan beliau.

"Tragedi Memali, dia salahkan (Tun) Musa Hitam. Pemecatan (bekas Tuan Yang di-Pertua Mahkamah Persekutuan) Tun Salleh Abas, dia salahkan Abu Talib (bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib) dan Yang di-Pertuan Agong.

"Hari ini tangkapan besar-besaran ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) bawah Ops Lalang, dia salahkan Tun Hanif Omar.

"Semua bukan salah dia (Mahathir). Rupanya dia cuma tiang kayu saja sepanjang 22 tahun dia jadi PM4 (perdana menteri keempat)," katanya.

Terdahulu Mahathir ketika mengulas melalui Ops Lalang berkata sebagai Perdana Menteri beliau perlu mendengar pandangan polis kerana mereka bertanggungjawab atas keselamatan negara.

"Pandangan dan nasihat mereka (polis) tidak boleh ditolak begitu saja, malah perkara itu sudah dijelaskan oleh Mohamed Hanif (Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohammed Hanif Omar) berhubung keputusan dibuat polis.

Muat naik terbaharu Najib itu menyusul selepas beliau menyindir Mahathir yang menuduh Anwar sebagai diktator kerana menghalang kebebasan bersuara dan mengambil tindakan untuk menyekat parti pembangkang.

Najib berkata adalah pelik apabila seorang diktator memanggil orang lain dengan gelaran itu.

Kiriman Facebook dipercayai dikendalikan pentadbir akaun Najib itu, turut menyenaraikan apa yang dilakukan kerajaan pimpinan Mahathir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terutama terhadap Najib dan keluarganya.

Rafizi: 'Kita tak akan jadi lebih teruk berbanding ketika Pagoh jadi PM'

Yasmin Ramlan, Geraldine Tong & Puteri Aisya Sufian

PARLIMEN | Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyindir Muhyiddin Yassin hari ini dengan berkata pencapaian kerajaan sekarang tidak akan menjadi lebih buruk daripada ketika ahli parlimen Pagoh itu mentadbir negara.

Ia selepas Muhyiddin mencadangkan agar kerajaan menyediakan pakej rangsangan ekonomi dan memperuntukkan RM100 bilion hingga RM200 bilion di dalamnya.

Rafizi menyifatkan cadangan itu akan memberi beban tidak wajar dan ekonomi masih boleh berada dalam keadaan baik tanpa pakej rangsangan.

"Berdasarkan kepada unjuran prestasi ekonomi sekarang, insya-Allah kita tidak akan menjadi lebih teruk daripada semasa Pagoh menjadi perdana menteri.

"Kalau, contohnya, kementerian mengambil hutang sehingga RM100 bilion ke RM200 biluon seperti yang disebut Pagoh, kita mengambil hutang dalam suasana kadar faedah antarabangsa lebih tinggi...sehingga RM40 bilion setiap tahun semata-mata untuk membayar hutang," kata Rafizi.

Ia mengundang ejekan daripada pihak pembangkang, menyebabkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul masuk campur.

Selepas itu, Mohammad Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) menyuarakan kebimbangannya kepada Rafizi bahawa perbelanjaan kerajaan tidak memadai. Rafizi kemudian menegaskan bahaw Belanjawan 2023 adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

"Maksudnya kerajaan telah berbelanja. Tidak timbul soal kerajaan tidak berbelanja, yang penting ialah kerajaan berbelanja secara berhemah dan dapat nilai yang terbaik - bukannya berbelanja dengan hutang secara buta.

"Kerajaan akan terus berbelanja besar tetapi tidak semata-mata untuk mendapat sokongan rakyat, mengambil hutang besar supaya perdana menteri nampak popular," katanya.

Rafizi berkata kerajaan akan berbelanja untuk mengatasi defisit fiskal pada tahap bahaya yang akan turut memberi kesan kepada hutang yang akan diambil kerajaan di masa akan datang.

Dia berkata jika kerajaan tersasar daripada sasaran defisitnya, ia bermakna penarafan hutang adalah lebih tinggi.

Bagaimanapun dia senada dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sebelum ini berkata kerajaan komited untuk menurunkan kadar defisit fiskal kepada 3.2 peratus pada 2025.

Dia kemudian menegaskan setiap kali kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negara, pendekatan berhutang digunakan tanpa menguruskan penarafan defisit yang menyebabkan kadar faedah meningkat dengan begitu banyak.

"Kalau sekarang RM40 bilion, dalam tempoh lima tahun lagi jadi RM60 bilion," kata Rafizi.

Murid perempuan pulang dari sekolah maut digilis treler

Seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolahnya di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 11.25 pagi.

Dia berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

"Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.

"Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Morni berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan lanjut.

- Bernama

Batalkan serta merta penganjuran acara tidak bermoral - Pemuda Amanah

MAISARAH AISYA
story-imagePemuda AMANAH Nasional membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar iaitu Privacy Club Tun Razak yang dianggap sebagai tidak bermoral.

Bar tersebut dikatakan bakal dibuka pada 30 Mac ini bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Mohd Hasbie Muda telah membuat satu kenyataan media menolak pembukaan bar tersebut.

“Pemuda AMANAH Nasional memandang berat penganjuran acara sebegini sebagai satu yang menjijikkan, biadab serta tidak menghormati sensitiviti majoriti masyarakat Malaysia.

“Apatah lagi diadakan dalam bulan suci umat Islam di negara ini dan acara ini seolah-olah membawa anasir kebebasan yang songsang dalam negara,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, pihak Pemuda AMANAH Nasional akan menghantar satu surat bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL perlu segera menguatkuasakan larangan acara terbabit serta acara seumpama ini pada masa-masa yang akan datang.

Pemuda AMANAH Nasional percaya Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan DBKL akan mengambil langkah-langkah tegas menangani hal ini.

Gempa bumi kuat di Pakistan dan Afghanistan, 11 maut

AP
ORANG ramai keluar dari restoran di Lahore, Pakistan, susulan gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
ORANG ramai keluar dari restoran di Lahore, Pakistan, susulan gempa bumi berkenaan. FOTO Reuters
Islamabad: Gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegarkan sebahagian besar Pakistan dan Afghanistan pada Selasa, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang di kedua-dua negara.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Pakistan memberitahu The Associated Press, lebih 100 mangsa dibawa ke hospital di wilayah lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan.

"Kebanyakan mangsa tidak sedarkan diri dan sebahagiannya tidak sedarkan diri kerana panik akibat gempa bumi. Kebanyakan mereka sudah dibenarkan keluar hospital," katanya.

Faizi dan pegawai lain berkata, sembilan terbunuh apabila bumbung runtuh di barat laut Pakistan, manakala puluhan lain cedera dalam gempa bumi berpusat di Afghanistan yang turut dirasai di sempadan Tajikistan.

Gempa bumi mencetuskan tanah runtuh di beberapa kawasan pergunungan sehingga mengganggu lalu lintas.

Jurucakap Pengurusan Bencana wilayah di barat laut, Taimoor Khan berkata, sekurang-kurangnya 19 rumah runtuh di kawasan terpencil dan beberapa pangsapuri retak, namun pihaknya masih mengumpul data mengenai kerosakan.

Gegaran kuat menyebabkan ramai orang meninggalkan rumah dan pejabat mereka di ibu kota Pakistan, Islamabad, dengan sebahagiannya membaca ayat al-Quran.

Di Afghanistan, jurucakap Kementerian Kesihatan Sharafat Zaman Amar berkata, setakat ini, sekurang-kurangnya dua maut dan kira-kira 20 cedera dalam gempa bumi di Kabul dan bahagian lain di Afghanistan.

Beliau berkata, kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa dan semua hospital serta kemudahan kesihatan berusaha menyelamatkan mangsa.

Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bermagnitud 6.5 di 40 kilometer tenggara Jurm di wilayah pergunungan Hindukush, Afghanistan, bersempadan Pakistan dan Tajikistan.

Gempa bumi melanda 188 kilometer jauh di bawah permukaan bumi menyebabkan ia dirasai di kawasan luas.

Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif dalam satu kenyataan meminta pegawai pengurusan bencana supaya terus berwaspada untuk menangani sebarang situasi.

Pada tahun lalu, gempa bumi bermagnitud 6.1 melanda kawasan di tenggara Afghanistan yang mengakibatkan 1,150, terkorban dan ratusan lagi cedera.
-hmetro 

Tajuddin Abdul Rahman: BN-PH semakin serasi? Tunggu PRN nanti

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman sangsi dengan keyakinan pemimpin partinya yang mendakwa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) boleh menjamin kelangsungan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada FMT, bekas pengarah pilihan raya Umno itu tidak yakin PH yang menjadi rakan BN dalam kerajaan perpaduan akan mudah memberi laluan terutama di kerusi mudah menang.

“Mustahil mereka boleh kata ‘Umno ambillah kerusi ini, kami tak bertanding’ padahal itu kerusi DAP punya,” katanya, yang secara sinis berkata keserasian PH dan BN akan boleh dilihat pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata terdapat keserasian antara PH dan BN di peringkat pusat, dan beliau meminta kerjasama itu diterjemahkan di peringkat DUN menjelang pilihan raya.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu melihat kerjasama dengan PH lebih kepada memberikan jawatan dalam Jemaah Menteri kepada pemimpin tertentu, bukan menjamin kelangsungan dan kemenangan Umno pada masa depan.

“Saya rasa itu tanggapan salah sama sekali (PH beri kerusi kepada Umno-BN). Ingat PKR nak bagi kita percuma (kerusi boleh menang)?” katanya yang mendakwa PH mungkin hanya mampu menyokong Umno dari segi perbelanjaan pilihan raya.

Pada 28 Dis lalu, Zahid dilaporkan berkata mereka memilih bekerjasama dengan PH kerana ia akan menjamin kelangsungan politik parti itu.

Beliau menjelaskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) akan membawa lebih banyak mudarat untuk jangka panjang memandangkan kedua-duanya bersaing di kerusi sama.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata perkara paling mustahak perlu dilakukan Umno kini adalah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan mengelakkan kemerosotan kepercayaan seperti dialami ketika dipimpin Najib Razak.

“Rakyat tidak percaya sedangkan banyak pembangunan kita bawa, tetapi pembangunan saja tidak cukup.

“Dalam PRU keyakinan rakyat kepada kita menentukan kemenangan, ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit atau projek,” katanya.

Kekeliruan Abdul Hadi dalam siasah

ABU MISHKAT

Dalam satu tulisan yang bertajuk ‘PKR lawan al-Quran’, Tan Sri Hj. Abdul Hadi Awang berkata para ulama mentafsirkan perkataan خليفة dlm al-Baqarah ayat 30: (Ingatlah ketika Tuhanmu berkata kpd para malaikat “sesungguhnya Aku menjadikan khalifah di muka bumi…”) sebagai siasah (politik).

Saya cuba mencari kitab tafsir manakah yg dirujuk Abdul Hadi, kerana beliau tidak memberikan rujukan untuk dakwaan tafsir begitu. Apabila beliau mengatakan para ulama, bermaksud ramailah ulama mentafsirkan perkataan khalifah iu sebagai siasah.

Saya membaca rujukan turath /klasik Tafsir al-Quran al-‘Adzim Ibn Kathir dan rujukan moden al-Tafsir al-Munir Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Kedua-dua rujukan tafsir itu dianggap antara ensiklopedia tafsir yang terbesar, selain Tafsir al-Tabari. Sesiapa yang membaca Tafsir Ibn Kathir sudah memadai dan tak perlu lagi mencari dalam al-Tabari. Apa yang sahih dalam al-Tabari pasti ada dlm Tafsir Ibn Kathir selalunya.

Kitab al-Tafsir al-Munir pula merupakan tapisan kepada ilmu tafsir daripada puluhan (kalau tidak ratusan) kitab tafsir yang dirujuk oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Setelah menukilkan banyak pendapat ulama tafsir zaman Sahabah dan Tabi’in, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily menyimpulkan dlm Al-Tafsir al-Munir, “ada 2 tafsiran bagi perkataan khalifah itu, iaitu Nabi Adam ataupun anak keturunan Adam a.s.”

Tiada seorang ulama tafsir pun yang menyebutkan tafsiran khalifah itu siasah. Saya percaya, kalau ada tafsiran begitu, ia adalah tafsiran syaz / janggal yang tidak harus diikuti. Mungkinkah Abdul Hadi merujuk tafsir Syiah?

Ayat itu adalah dalil pertama Abdul Hadi untuk menghukum PKR sebagai melawan al-Quran. Ia adalah dalil yang didalihkan Abdul Hadi, bukan dalil sahih.

Ayat-ayat lain yang dibawakan Abdul Hadi tiada wajh istidlal yang boleh diambil untuk mensabitkan PKR sebagai melawan al-Quran. Semua ayat itu berkisar tentang nabi-nabi terdahulu menjadi pemerintah atau terlibat dengan politik di zaman mereka. Namun tiada bukti ahli PKR menolak kisah2 nabi terdahulu yang menjadi raja atau pemerintah di zaman itu.

PKR dan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan hanya menolak sikap Pas yang menunggang dalil sesuka hati (seperti tunggangan yang dibuat Abdul Hadi terhadap ayat 30 surah al-Baqarah itu), bukan menolak atau memisahkan politik daripada ajaran Islam.

Itu adalah kekeliruan pertama Abdul Hadi.

Kekeliruan kedua Abdul Hadi dalam tulisan yang sama ialah dakwaannya raja atau sultan tidak dibenarkan berpolitik berdasarkan sistem warisan penjajah.

Dakwaan ini agak dangkal. Secara hakikatnya raja atau sultan juga memainkan peranan mereka dalam politik, seperti menasihat dan memperkenankan pembentukan kerajaan perpaduan gabungan PH BN GPS GRS.

Kerana raja atau sultan memainkan peranan dalam politiklah maka Abdul Hadi pernah mengkritik raja sebagai melambat-lambatkan penamatan permainan untuk memberi kemenangan kepada pihak yang kalah.

Kritikan yang berupa sindiran itu dibuat Abdul Hadi sebagai membantah peluang yang diberikan YD Agong kepada PH untuk mendapat sokongan setelah Tuanku tidak berpuas hati dengan Statutory Declaration yang dibawa PN.

Rupanya Abdul Hadi keliru dan tidak dapat membezakan di antara politik pemerintahan dan politik kepartian.

Raja atau sultan tidak terlibat dalam politik kepartian, tetapi terlibat dalam politik pemerintah di peringkat pembentukan kerajaan, pengisytiharan darurat, hubungan kerajaan dengan kerajaan dalam bentuk lawatan negara, titah ucapan pembukaan mesyuarat Dewan Rakyat dan lain-lain lagi.

Jangan difikir tuan guru alim dan mahir semua perkara. Bahkan dalam bidang siasah pun, walaupun tuan guru dikatakan berkelulusan siyasah syar’iyah / politik Islam, tuan guru tidak mengemas kini ilmunya.

Cukup-cukuplah kita menjadi taksub pada seorang guru. Ia merugikan kita.

Mayat reput di tebing sungai

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
MAYAT reput yang ditemui. FOTO Ihasn Polis
MAYAT reput yang ditemui. FOTO Ihasn Polis
Kuching: Mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di tebing Sungai Salak, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada 1.21 tengah hari.

Berikutan itu katanya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

"Setibanya di lokasi didapati mayat itu tidak sempurna dan sudah mereput.

"Berdasarkan keadaan itu, mayat dipercayai sudah meninggal dunia melebihi 72 jam," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Merbin berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematiannya.

"Orang ramai yang kehilangan keluarga dalam tempoh lebih 72 jam diminta tampil le balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kerana kes ini masih dalam siasatan dan ketika ini polis mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut," katanya.

Khutbah Jumaat berunsur politik, PH Kedah gesa siasatan

JAMLIAH ABDULLAH

MAHFUZ OMAR (duduk, dua kiri) bersama pemimpin Amanah dan PH Kedah ketika hadir menyerahkan memo bantahan khutbah Jumaat berunsur politik kepada Pengarah JHEAIK, Datuk Abd. Ghani Zulkifli (duduk, tengah) di Pejabat JHEAIK, Alor Setar.

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah menggesa pihak berkaitan supaya menjalankan siasatan terperinci ekoran isu seorang khatib menyampaikan khutbah sehingga menyentuh unsur politik di sebuah masjid di Padang Serai, Jumaat lalu.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan khatib berkenaan menjadikan mimbar masjid sebagai medan berpolitik kepartian adalah tidak wajar terutama ketika umat Islam membuat persediaan menyambut Ramadan.

“Antaranya dalam khutbah itu, dia menyeru menyokong kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang disebut jelas. Kedua, berkaitan isu kezaliman Kerajaan Perpaduan dan kegagalan kebenaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan (Lapangan Terbang) KXP.

“Jadi kita minta jabatan agama bertindak supaya perkara ini tidak akan menjadi masalah perpecahan kepada perpaduan umat Islam apabila ada satu pihak mengecam parti yang lain.  Itu yang kita minta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) di sini untuk menyerahkan memo bantahan khutbah Jumaat yang disifatkan satu kempen politik kepartian itu.

Mengulas lanjut kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, pihaknya juga akan mengadap Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Kedah bagi menyuarakan kebimbangan berhubung isu berkenaan.

“Saya juga minta jabatan agama mesti panggil semua imam dan pengerusi kariah ini supaya tidak ada lagi ustaz yang mengunakan medan mimbar masjid kuliah dan khutbah itu untuk menyebarkan politik kepartian yang boleh membawa kepada perpecahan,” katanya.

Tambah beliau, semua parti dan pemimpin perlu mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang memecah belahkan umat Islam sempena kedatangan Ramadan ini. –UTUSAN

KJ: Najib masih mempunyai pengaruh dalam UMNO

‘Bossku’ masih kuasa perlu dipertimbangkan, kata KJ

Jason Thomas

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan pengaruh Najib Razak “belum selesai” dalam Umno, dengan ramai “penyokong tegar” bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu baru dipilih menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Walaupun Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi masih mengawal parti itu, katanya, “suara di sebalik jeriji besi” itu masih memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan Umno.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa dalam kalangan 25 ahli MKT Umno baru dipilih yang merupakan penyokong kuat Najib ialah Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim dan Lokman Noor Adam.

Khairy, yang dipecat Umno Januari lalu, turut menamakan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil yang merupakan bekas pegawai khas Najib, dan Johan Abdul Aziz, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Hulu Langat pada PRU15, sebagai penyokong Najib dalam MKT.

“Saya rasa cerita Bossku (Najib) belum selesai. Bossku belum selesai,” kata Khairy dalam podcast “Keluar Sekejap” bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

“Pandangan saya…dan pendengar juga tahu pandangan (kritikan) saya terhadap Bossku selepas kami (BN) kalah (PRU14) pada 2018…Tetapi, saya katakan Bossku adalah satu kuasa yang perlu dipertimbangkan.

“Kalau kita lihat, ada cap jari Bossku dalam senarai pemenang (MKT). Bukan Zahid sangat yang mempengaruhi Umno, tetapi Zahid dan Bossku…Jadi, sebab itu saya kata cerita Bossku belum selesai.”

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020, selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Sabitan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan disahkan Mahkamah Persekutuan Ogos lalu. Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Pun begitu, Khairy berkata, Najib kekal sebagai tokoh masyarakat popular kerana ucapan terima kasih mencurah-curah kepada bekas perdana menteri itu minggu lalu apabila laluan MRT Putrajaya – yang dicadangkan Najib ketika beliau memerintah – dilancarkan sepenuhnya.

JAINJ, PDRM buru pengikut ajaran sesat Si Hulk

NOR AZURA MD AMIN
Video tular memaparkan empat lelaki menyokong ajaran Si Hulk.
ISKANDAR PUTERI - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengesan kumpulan ajaran sesat Si Hulk yang menyebarkan video tular menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak Isnin.

Tegasnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

"Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

"Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Selasa.

Video tular berdurasi seminit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Dalam pada itu, Mohd Fared memberitahu, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

Antaranya ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

"Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

"Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat," katanya.

Bunuh isteri demi skandal

AP
JAMES Craig. FOTO AP
Denver: Seorang doktor pergigian Colorado yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain disyaki membunuh isterinya dengan minuman membina otot yang bercampur arsenik dan sianida, untuk bersama kekasihnya itu.

James Craig, 45, ditahan pada Ahad kerana disyaki membunuh isterinya.

Craig dijadual hadir ke mahkamah pada Khamis bagi mengetahui sama ada pihak pendakwaan memutuskan untuk memfailkan pertuduhan terhadapnya.

Ketika Angela Craig berada di hospital, doktor tidak dapat mengetahui apa yang salah dengannya namun polis di pinggir bandar Denver, Aurora, mendakwa suaminya itu bertemu dengan rakan rakan doktor gigi.

Berdasarkan bukti waran tangkap, polis mula menyiasat Craig selepas rakannya yang menjalankan amalan pergigian, Ryan Redfearn memberitahu seorang jururawat bahawa Craig memesan kalium sianida walaupun tidak memerlukannya untuk kerja mereka.

Polis percaya Craig meletakkan arsenik dalam minuman membina otot yang selalu dibuat kepada isterinya untuk latihan pada 6 Mac lalu.

Dia dikatakan mengarahkan penghantaran kalium sianida dengan memberitahu pembekal kononnya diperlukan untuk pembedahan.

Craig meminta seorang pengurus pejabat untuk tidak membuka bungkusan itu tetapi pekerja lain melakukannya yang membawa kepada penemuan dan akhirnya mendedahkan perkara itu kepada pihak berkuasa, kata dokumen itu.

Menurut dokumen itu, penghantaran ketiga yang didakwa dipesannya, oleandrin bahan beracun yang terdapat dalam daun tumbuhan oleander dirampas pihak berkuasa selepas mereka mula menyiasatnya.

Berdasarkan afidavit, Craig memberitahu Redfearn bahawa dia memesan kalium sianida untuk isterinya dan memberitahu pekerja sosial bahawa isteri membunuh diri selepas tertekan sejak meminta cerai pada Disember, walaupun kedua-dua anak mereka tidak berkata apa-apa mengenai cubaan membunuh diri itu.

Redfearn juga memberitahu penyiasat bahawa Craig berada di ambang muflis dan menghadapi masalah perkahwinan, menurut dokumen itu.
-hmetro 

Di mana betulnya pandangan Hadi?

Hasbie Muda

Memang benar tulisan Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan yang menjawab tuduhan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan penggulungan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Mac lalu yang mewajarkan Abdul Hadi membuat tuduhan berat kononnya parti itu melawan al-Quran.

Tiada dalam mana-mana bahagian ucapan Saifuddin yang “menyeru ahli-ahli PKR bersikap 'menyerang' terhadap kenyataan-kenyataan ahli politik yang berkeras untuk mempolitikkan agama” seperti yang dipetik presiden PAS.

Amat malang apabila Abdul Hadi melakukan kesilapan besar dengan membuat komentar ke atas sesuatu perkara sepenting itu tanpa tabayyun sedangkan ia boleh dirujuk dengan mudah di internet.

Tanpa usul periksa dan semakan teliti, Abdul Hadi menggunakan seruan yang kononnya dibuat Saifuddin untuk menyerang PKR dengan kata-kata “hal ini jelas menunjukkan kejahilan dan sifat buta al-Quran yang lebih parah daripada sifat buta huruf”.

Lebih malang lagi, seruan itu didakwa Abdul Hadi sebagai membuktikan PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah kerana “masih mengekalkan warisan penjajah dengan memisahkan politik daripada agama dan memisahkan raja-raja daripada politik”.

Arah pertahankan kerajaan

Dakwa Presiden PAS: apa yang dipertahankan oleh PKR itu merupakan ajaran yang dinyatakan oleh Bible (Injil) yang dipesongkan dari agama para anbiya, sepertimana yang disebutkan dalam petikan: “Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew 22: 21)

Minda Presiden PAS ditutupi oleh gesaan: “Kita berharap supaya mereka (PKR) kembali kepada al-Quran; petunjuk Allah SWT yang kekal terpelihara sepanjang zaman.”

Amat tidak betul apabila presiden PAS mendakwa Saifuddin sebagai jahil dan buta al-Quran, atau PKR melawan al-Quran sekali gus melawan Allah dan perlu kembali kepada al-Quran, atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama.

Jika Presiden PAS membuat semakan terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya menugaskan pegawainya mencatatkan keseluruhan ucapan tersebut, jelas bahawa Saifuddin berucap mengenai kewajipan ahli PKR mempertahankan kerajaan perpaduan melalui pelbagai cara.

Salah satu cara itu ialah perlu menghebahkan dasar dan program kerajaan hari ini menggunakan mode menerang, dan menyerang (offensive).

Misalan yang diberikan oleh Saifuddin ialah tindakan presiden PAS yang tidak berpegang kepada prinsip kedua Rukun Negara, iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

Berikut adalah kenyataan Saifuddin: “Hari ini kita boleh tengok dalam kalangan pemimpin politik pembangkang apabila raja atau sultan sebagai ketua agama menganjurkan supaya masjid jangan digunakan sebagai pentas politik... kita tengok seorang tokoh pembangkang tanpa rasa bersalah (berkata), “Saya akan teruskan kuliah saya dan ceramah saya dalam masjid sebab dalam Islam ada politik.

Jelas Saifuddin: “Tak ada siapa pun menafikan sebagai agama yang lengkap memang politik ada dalam Islam. Agama yang lengkap, sempurna, Allah Ta’ala reda (Islam) menjadi agama kita untuk dianuti. Jelas, memang dalam Islam ada politik. Kita dituntut berpolitik secara agama.”

Sebaliknya, kata Saifuddin, umat Islam tidak dituntut mempolitikkan agama.

Sifat terlalu angkuh

Berpolitik secara agama, terang Saifuddin, ialah apabila “agama menganjurkan keadilan, orang yang ada kuasa politik dengan dasar itu dia laksanakan keadilan, agama menganjurkan berpolitik secara mutual respect, saling hormat-menghormati, saling kenal-mengenal”.

Ini berbeza dengan mempolitikkan agama yang bermaksud kalau "kamu tak sokong aku, kamu tak terima pandangan aku - neraka tempat kamu”.

Inilah yang diminta oleh Saifuddin agar ahli-ahli PKR jelaskan kepada rakyat.

Contoh kedua yang diberikan oleh Saifuddin ialah pelanggaran prinsip kesetiaan kepada raja dan negara apabila presiden PAS terus-terusan menyebut akan terus berusaha untuk mengambil alih kerajaan walaupun titah Yang di-Pertuan Agong mengatakan harapan baginda agar penggal kerajaan ini cukup lima tahun.

Jelas Saifuddin: “Maka disanggahnya, 'pandangan tuanku bukan qat’ie bukan penamat bukan putus'. Ini nada angkuh, maknanya kalau pandangan tuanku bukan qat’ie maka pandangan tuanku boleh disanggah. Ini kerana terlalu angkuh sampai tak ada orang yang sedia menegur lagi.”

Di mana betulnya hujah Abdul Hadi apabila menuduh Saifuddin melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) yang memisahkan politik daripada agama apabila Saifuddin sendiri menyebut memang dalam Islam ada politik, dan tiada pemisahan politik daripada agama?

Apa yang ditegaskan sebagai tidak betul oleh Saifuddin hanyalah perbuatan mempolitikkan agama, khususnya apabila seseorang itu mempertikaikan tahap keislaman orang lain semata-mata kerana perbezaan pendekatan dalam melaksanakan ajaran agama.

Titah raja-raja yang tidak mahu ahli-ahli politik tanpa tauliah berceramah di masjid dan surau pula ialah kerana tidak mahu perbuatan “mempolitikkan agama” berterusan.

Apakah kerana larangan itu maka Abdul Hadi akan menganggap raja-raja juga melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil)?

Saya juga setuju dengan tulisan Amidi bahawa Minda Presiden PAS itu menunjukkan Abdul Hadi sedang memperkukuh fahaman bercitra Khawarij yang ditolak oleh ahli sunnah wal jamaah.

Menuduh sesuatu golongan Muslim lain melawan al-Quran atau mempertahankan ajaran Bible (Injil) adalah perbuatan menimbulkan kebencian yang berbahaya.

Saya pernah berada lama dalam parti menggunakan nama agama itu dahulu dan cukup faham dengan perbuatan seperti dilakukan Abdul Hadi.

Atas sebab itulah saya keluar dari parti tersebut dan yakin kepada pendekatan rahmah yang kami amalkan dalam Amanah sehingga sekarang.

Jika perbuatan Abdul Hadi tidak dibendung segera, negara boleh kembali ke zaman ekstremisme agama yang membawa huru-hara seperti yang pernah berlaku dulu.

HASBIE MUDA ialah anggota Dewan Negara dan ketua Pemuda Amanah nasional.