"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Pemimpin Pas lemah, benarkan diri diperguna Umno'

KUCHING - Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menyifatkan barisan kepimpinan Pas kini semakin lemah sehingga membenarkan diri mereka dipergunakan oleh Umno, khususnya dalam soal Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Katanya rancangan Umno untuk mengadakan demonstrasi mengenai ICERD dan disokong oleh Pas itu hanyalah helah Umno untuk menyelamatkan pemimpin mereka yang kini seorang demi seorang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Saya pun hairan kenapa pemimpin Pas sanggup membenarkan diri mereka dipergunakan oleh pemimpin Umno,” katanya pada majlis santai Amanah Sarawak bersama media, di sini hari ini.

Khalid yang juga Menteri Wilayah berkata tindakan kedua-dua parti tersebut yang terus memainkan isu ICERD hanya bermatlamat politik.

Ini kerana katanya segala yang dicanang oleh Pas dan Umno termasuk negara ini akan hancur dan institusi raja bakal dihapuskan jika Malaysia meratifikasi ICERD adalah satu pembohongan kerana kerajaan persekutuan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mengulangi penegasan yang dibuat oleh beberapa menteri sebelum ini bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD dibuat sebulat suara dalam mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat. - Bernama

Jangan terlalu harap Najib, Rosmah akan ke penjara

ULASAN | Kemana pun saya pergi sekarang, soalan yang kerap ditanya adalah mengapa bekas perdana menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak tidak dipakaikan kemeja-T oren lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut “dikecualikan” daripada memakai pakaian seragam itu adalah isterinya, Datin Paduka Seri Puan Puti Reno Rosmah Mansor.

Kalau orang biasa yang tanya, saya tak hairan sangat. Ini peguam, pendakwa raya dan menteri kabinet pun tanya.

Ada orang kata, mereka tidak dipakaikan uniform tersebut kerana mereka tidak dikenakan tahanan reman manakala yang lain pula kata, kerana tidak ada bahaya mereka melarikan diri.

Ada yang tanya adakah ini pilih kasih atau ada lagi pihak yang memihak kepada mereka?

Tapi semua kata adalah tidak adil Najib dan Rosmah dikecualikan. Lebih tidak patut kalau alasan sengaja dibuat supaya mereka tidak perlu memperagakan pakaian seragam itu.

Betapa tidak. Beberapa orang kanan Najib seperti (Tan Sri) Isa Samad, (Datuk Seri Panglima) Abdul Azeez Rahim, Datuk Hasanah Abdul Hamid dan (Datuk) Rizal Mansor semuanya “diorenkan”.

Saya kurang pasti kalau Datuk Seri (tengku) Adnan Mansor juga “dibajuorenkan”. Tetapi rasanya tidak. Kalau tidak silap dia pakai baju seakan batik berwarna biru.

Banyak lagi kes SPRM yang menanti Najib dan Rosmah. Jadi kita tunggu dan lihatlah sama ada hasrat orang ramai melihat Najib dan Rosmah memperagakan seragam oren itu akan termakbul.

Hak bersuara

Kemudian orang pun bertanya mengenai Najib yang terus membuat kenyataan seolah-olah dia masih Perdana Menteri dan keengganannya masuk kandang tertuduh ketika sesi pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 16 November lalu.

Berkenaan Najib membuat kenyataan, saya rasa itu hak dia lah. Dia masih bebas dan kita pun menghormati kebebasan bersuara. Nasihat saya, kalau mual dan loya tak payahlah baca komen dia.

Ini cerita orang takut hantu ketika berseorangan pada malam gelap gelita. Lagi takut, lagi kuatlah dia menyanyi atau bercakap sendirian.

Bersabit keengganan dia masuk kandang tertuduh pula, ada orang, termasuk peguam kata, perbuatannya itu menghina mahkamah. Orang putih kata “contempt of court”.

Penyelidikan saya mendapati bahawa di bawah Perkara 26 Jadual Ketiga (Seksyen 99A) Akta Mahkamah Rendah 1947, sabit tuduhan menghina mahkamah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga minggu atau denda.

Tapi saya rasa keengganan masuk kandang itu dibuat untuk menguji kesabaran hakim dan mencabar peraturan mahkamah.

Adalah kebiasaan dalam perbicaraan bagi orang kena tuduh dan peguam mereka menggunakan pelbagai tipu helah dan isu teknikal bagi melengahkan perbicaraan dan sekali gus mencetuskan keraguan.

Kita telah tengok bagaimana kaedah ini digunakan secara berleluasa dalam kes-kes berat atau sensasi, khususnya yang membabitkan orang politik dan orang kenamaan lain.

Silap-silap tertuduh sakit perut, sakit jantung, sakit mata dan macam-macam lagi. Kemudian tukar peguam. Lepas itu bantah itu dan ini.

Mahkamah teliti

Proses mahkamah lazimnya perlahan kerana mahkamah perlu teliti. Ada empat peringkat mahkamah yang perlu dilalui sebelum seseorang itu menjalani hukuman.

Dalam kes Najib ini sudah pasti dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Dengan takdir dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, dia boleh merayu kepada Mahkamah Rayuan. Kalah di Mahkamah Rayuan merayu pula kepada Mahkamah Persekutuan. Kalau kalah juga barulah masuk penjara.

Jadi, nasihat saya, kita jangan terlalu sangat menaruh harapan hendak tengok Najib, Rosmah dan sekutu mereka dicampakkan ke dalam penjara dalam masa yang singkat.

Kalaulah ditakdirkan Pendakwa Raya menang, saya rasa kita berikan sedikit keistimewaan kepada Najib.

Kita benarkan dia dibawa ke Penjara Sungai Buloh atau Kajang dengan menaiki MRT kerana kebetulan dia memilih membina MRT di antara Sungai Buloh dan Kajang yang kedua-duanya ada penjara.

A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Ulama PAS ramal Anwar ditimpa 'hina lebih dahsyat'

Seorang pemimpin kanan PAS memberi amaran kepada Anwar Ibrahim bahawa presiden PKR itu mungkin berdepan "hinaan lebih dahsyat" selepas kali pertama berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata seseorang yang mengkhianati rakan selepas dia diselamatkan tentu akan dihina sekali lagi.

"Ingat, kehinaan kali kedua akan lebih dahsyat daripada kehinaan pertama," katanya.

Beliau yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang turut menjelaskkan Allah sebelum ini memberikan ruang kepada Anwar untuk berfikir dan mengenali mana satu sahabat dan mana pula musuh.

Bagaimanapun kata Mokhtar, Anwar gagall mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

"Allah lepaskan DS (datuk seri) seketika agar DS tahu bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih kepada teman yang pernah menolongmu pada saat DS kelelahan.

"Namun secarik sinar mentari yang memancar telah melalaikan DS sehingga DS lupa gelap malam yang pernah DS lalui," katanya melalui hantaran di media sosial.

Tak terasa pun

Mokhtar berkata demikian sebagai reaksinya terhadap kenyataan Anwar tentang sikap ahli politik dan cendekiawan kerana membiarkan skandal 1MDB berlaku.

"Bukan saja pemimpin politik (tapi) sarjana, penjawat awam bukan sekadar membisu, tapi sanggup bersekongkol untuk mempertahankan kedurjanaan yang menimpa bangsa, rakyat dan negara.

"Berlakunya kebobrokan, kemusnahan sistem, rompakan begitu besar bukan semata-mata kerana nafsu serakah beberapa pemimpin politik, tetapi kerana golongan sarjana yang membisu, yang sanggup jadi perkakasan murahan atas nama kaum atau agama.


"Serban makin besar, janggut makin panjang, degree mungkin berjela tapi tak ada hati nurani dan etika," katanya Universiti Malaya pada 23 Nov.

Skandal 1MDB menjadi antara isu utama yang mencorakkan politik negara sejak beberapa tahun lalu.

Untuk rekod PAS pernah mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi firma pelaburan terbabit pada 7 Ogos tahun lalu dan berpuas hati dengan pelan rasionalisasi dilakukannya.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata partinya berharap isu seumpama itu perlu dipantau parlimen.

"Maknanya, Kementerian Kewangan dan menteri perlu memberi laporan kepada parlimen supaya anggota parlimen dapat mengikuti setiap perkembangan dan tidak timbul masalah baru," katanya.

PAS menjadi antara parti politik paling awal menyatakan sokongan kepada Anwar ketika Dr Mahathir Mohamad memecatnya pada 1998 dulu.

Bagaimanapun ketika itu PAS dipimpin Allahyarham Fadzil Noor.

Mokhtar menambah PAS berlapang dada dengan hinaan dan sindiran Anwar, malah membiarkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu berbuat sesuka hatinya.

Kata Mokhtar beliau yakin sikap sombong dan angkuh pasti tidak akan berakhir dengan kebaikan dan kemuliaan.

"Syeikh... kami tak terasa apa pun sindiran itu bahkan penghinaan sekali pun. Cuma kami terkilan kerana DS tidak pernah cuba untuk berubah, sehingga kami berasa kasihan terhadap DS.

"DS boleh baca dan faham pelbagai tulisan buku, namun DS gagal memahami bahasa takdir.

"Jangan DS ingat kami lemah semangat dan sakit dengan serangan-serangan itu.

"Kami sudah sangat masak dengan pelbagai serangan dan pengkhianatan.

"Kami sudah rasa manisnya perjuangan ini. Apakah DS sudah merasai manisnya perjuangan yang DS pilih?" katanya.

Dijatuhi hukuman mati kerana buat haji










XINJIANG - CHINA. Pihak berkuasa rejim komunis China di barat laut Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan yang juga dermawan etnik minoriti Uyghur terkenal, Abdughapar Abdurusul, kerana mengerjakan haji di Arab Saudi.

Menurut abang mangsa, Abdusattar Abdurusul, Abdughapar yang berasal dari daerah Bakyol di Ili Kazakh ditangkap pada Julai atau Ogos lalu.

“Yang terbaru saya dengar, adik saya dijatuhi hukuman mati dan dia kini sedang menunggu pelaksanaannya. Alasannya ialah dia pergi ke Arab Saudi untuk melaksanakan haji secara persendirian, tanpa menggunakan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Katanya, Abdughapar tidak dibenar melantik peguam ketika perbicaraan, sekali gus menunjukkan bahawa dia telah dihukum secara haram.

Walaupun semua hukuman mati perlu dikaji semula oleh Mahkamah Agung China di Beijing, tetapi dalam kes Abdughapar, tidak dapat dipastikan sama ada kes itu telah disiasat dengan adil.

Beliau berkata, Abdughapar bapa kepada empat anak memiliki beberapa rangkaian kedai dan perniagaan, dan telah menggunakan wang sendiri untuk membina sebuah masjid.

Selain itu, katanya, Abdughapar juga telah menjual sebuah rumah lama milik keluarga sekitar 1 juta yuan (AS$144,000) pada April atau Mei, sebelum ditangkap, sementara semua aset keluarganya berjumlah kira-kira 100 juta yuan (US$14.4 juta) dirampas.

“Abdughapar seorang dermawan yang suka membantu masyarakat … (tetapi) sekarang kerajaan telah mengambil segala-galanya dan memusnahkan sepenuhnya kehidupan keluarga itu,” kata Abdusattar.

Sebelum ini, anak lelaki sulung Abdughapar, Awzer, ditahan pada 2017 selepas pulang dari belajar di Turki, dan isterinya, Merhaba Hajim ditahan pada April tahun ini, katanya.

Abdusattar berkata, kakaknya Sayipjamal juga sudah hilang untuk tempoh masa yang lama dan dianggap telah ditahan, sementara beberapa kawannya dijatuhi hukuman penjara lebih daripada 18 tahun.

Kakitangan Biro Keselamatan Awam Wilayah Ili Kazakh di bandar Ghulja, enggan menjawab pertanyaan serta menutup telefon apabila dihubungi Radio Free Asia (RFA), mengenai kes Abdughapar.

Menurut agensi itu, seorang rakan lama yang enggan mendedahkan identiti memberitahu dia juga pernah mendengar desas-desus hukuman mati ke atas rakannya itu.

“Seorang kawan saya memanggil saya, mengatakan bahawa Abdughapar telah dijatuhi hukuman mati. Saya juga mendengar bahawa isterinya telah meninggal dalam penjara,” katanya. - Ismaweb

Utusan: Laporan audit 1MDB dipinda atas arahan Najib

Laporan ketua audit negara mengenai 1MDB pada 2016 telah "dipinda" atas arahan perdana menteri ketika itu Najib Razak, menurut Utusan Malaysia.

Memetik sumber, akhbar harian milik Umno itu melaporkan pindaan yang melibatkan mengeluarkan maklumat berkaitan Najib dan Jho Low.

"Menurut sumber, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas perdana menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.

"Pindaan itu, tambah sumber berkenaan, difahamkan dibuat dalam satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.

"Sumber tersebut memberitahu, laporan asal itu mendedahkan bahawa Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB," lapor akhbar itu.

Beberapa pegawai kanan kerajaan turut hadir sama pada mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri itu.

'Mungkin ditipu Jho Low'

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas dari pejabat Najib mengenai dakwaan ini.

Ketua Audit Negara Madinah Mohamad akan menyerahkan laporan audit "asal" mengenai 1MDB pada bulan depan, kata Utusan lagi.

Semalam, Najib memberitahu Sinar Harian dalam wawancara bahawa pentadbirannya mungkin telah ditipu oleh Low berdasarkan maklumat yang diketahui kini.

Pentadbiran Najib telah lama mempertahankan Low tidak ada kaitan dengan 1MDB, walaupun terdapat bukti yang dikemukakan pihak berkuasa negara lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Low didapati telah memainkan peranan utama dalam mendapatkan perkhidmatan bank Goldman Sachs untuk memudahkan pengeluaran bon pinjaman berjumlah berbilion ringgit untuk 1MDB.

Low berhadapan pertuduhan mengubah wang haram di Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat.

Najib, yang juga bekas penasihat 1MDB dengan kuasa eksekutif, kini antara lainnya turut dikenakan pertuduhan pengubahan wang haram di Malaysia.
-malaysiakini

Surat terbuka Cikgu Sani buat 'wartawan kolam'

Muhd Idris Sani Isa
Surat ini surat terbuka saya, sebagai seorang guru kepada semua rakyat Malaysia. Dan khusus kepada wartawan.

Sedih saya melihat situasi Malaysia sekarang. Saya sangat passion terhadap isu-isu pendidikan dan harapan saya setelah wujudnya #malaysiabaru, pendidikan mengambil tempat yang sewajarnya bagi membentuk masyarakat yang lebih bertamadun.

Saya menyokong kesemua usaha baik YB Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan. Beliau membawa idea yang baik dengan mengetengahkan konsep pendidikan yang tidak hanya terpenjara dalam bilik darjah, tetapi pendidikan itu di mana-mana dan semua orang terlibat dalam usaha-usaha pendidikan.

Bukan sedikit usaha yang beliau ketengahkan. Saya mengikutinya satu persatu. Pendekatan bottom-up yang beliau bawa seingat saya sebagai guru, ialah pendekatan yang paling mengambil kira suara kami sebagai guru meskipun apa yang kami utarakan, tidak menggambarkan permasalahan sebenar. Saya faham tentang itu. Yang penting bagi saya ialah beliau mendengar. Jarang kita jumpa menteri yang boleh mendengar saranan dan idea kita ni.

Cuma saya kesal dengan media, atau lebih tepatnya wartawan-wartawan yang bekerja melaporkan apa yang beliau dan kementerian sedang lakukan. Saya tidak pasti bagaimana wartawan-wartawan ini berfikir. Apakah mereka memang berniat mahu memburukkan imej menteri? Atau memang mereka langsung tak terfikir bagaimana tulisan mereka mesti dibaca dan difahami? Bertujuan mendidik atau melaga-lagakan orang? Atau tujuannya cuma untuk mereka disenangi dan mudah mendapat promosi naik pangkat?

Sebenarnya, kenapa mereka membuat laporan?

Tidakkah mereka mahu jadi sebahagian daripada agen pendidik yang membawa mesej yang benar-benar mendidik masyarakat? Tidakkah mereka fikir bagaimana dengan keghairahan mereka mensensasikan sesuatu perkara hakikatnya telah menenggelamkan mesej utama yang sangat penting khususnya buat anak-anak kita di rumah? Atau tidakkah mereka terfikir, anak-anak mereka juga berhak mendapat mesej tersebut?

Saya selalu beritahu rakan-rakan guru yang lain, guru mesti menyelidik dan menilai setiap berita supaya tak mudah hanyut dan mudah terpersona dengan isu-isu sensasi dan trivial. Dan saya sangat berharap wartawan juga berkarakter seperti guru. Mari saya jelaskan apakah beza wartawan kolam – wartawan yang cuma tahu mensensasikan isu, dan wartawan guru - wartawan yang mahu mendidik.

Wartawan kolam

Saya namakan mereka wartawan kolam, atau wartawan kasut, atau wartawan stoking kerana mereka cuma berminat untuk highlight perkataan-perkataan tersebut.

Ketika Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kes mangsa lemas tertinggi dengan purata 700 kes setiap tahun dan 500 daripadanya ialah kanak-kanak, malah ia bererti setiap hari antara 1 atau 2 orang akan menjadi mangsa lemas; yang mereka mahu jadikan tajuk laporan ialah Maszlee mahu hotel bagi kolam renang.

Ketika menuliskan tajuk laporan yang sedemikian, tidakkah mereka sedar mereka telah mencacatkan mesej peka terhadap kepentingan life saving skills ini kepada 700 bakal mangsa lemas akan datang, atau mungkin lebih banyak lagi memandangkan statistik dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus insiden mati lemas tahun lepas dan meningkat lagi tahun ini?

Bagaimana sekiranya anak mereka yang mati lemas atau sedang bermain di tepi lombong ketika mereka membuat laporan berkenaan? Besar kemungkinan, anak mereka ialah anak yang tidak tahu dan peka isu-isu keselamatan dan besar kemungkinan merekalah yang menjadi faktornya.

Wartawan pendidik

Etika kewartawanan sangat perlu ditekankan. Sebagai guru, saya mahu mendapat berita yang sebenar, menyeluruh, dan bertujuan mendidik masyarakat, bukan membuatkan masyarakat membawang kerana laporan kita.

Mereka perlu menulis dengan rasional. Pendidikan terhadap keselamatan aktiviti air sangat perlu ditekankan memandangkan sejak Ogos sampai November, kerap kita mendengar berita mangsa mati lemas.

Di Kanada dan Amerika Syarikat misalnya, aktiviti renang telah menjadi kurikulum yang tetap dan penting. Begitu juga di UK, aktiviti berenang ialah wajib diajar.

Fikirkan kenapa negara-negara membangun menekankan isu ini?

Mereka juga boleh mengkaji manual keselamatan dan kemahiran menyelamatkan nyawa dan bentangkan kepada masyarakat. Supaya at the end of the day, ahli keluarga mereka juga dapat manfaat.

Saya tahu wartawan perlu kreatif, tapi sudah-sudah memberikan bahan membawang hingga menenggelamkan isu sebenar yang melibatkan nyawa dan keselamatan.


MUHD IDRIS SANI ISA atau Cikgu Sani ialah seorang guru yang mahu membantu usaha baik Kementerian Pendidikan.
-malaysiakini

Akhirnya Pas masuk PWTC…

MALAYSIADATELINE
Pas mengakhiri sempadan politiknya dengan Umno apabila pemimpin kanannya akan bersama parti keramat orang Melayu itu untuk mengadakan Kongres Tolak ICERD di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 November (Ahad) ini.

Dalam sepucuk surat perkeliling yang kini ditularkan telah dihantar kepada pimpinan Pas Negeri Selangor, semalam, menunjukkan penganjuran utama adalah Pas Pusat.

Ia turut dianjur bersama dengan Gerakan Pembela Ummah (ummah) dan Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat).

Surat perkeliling yang dikeluarkan oleh Setiausaha Perhubungan Pas Selangor Abdullah Halim Omar itu turut mengarahkan setiap peringkat kepimpinan sayap parti menghantar sekurangnya lima wakil Dewan Undangan Negeri dan Kawasan masing-masing.

Pas menyebut himpunan rakyat ini sebagai ‘Kongres’ manakala Umno pula menyebutnya sebagai ‘Konvensyen’ dalam usaha dua parti itu untuk mempromosi program tersebut kepada ahli parti masing-masing.

Dijangka Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memberikan ucapan.

Turut memberi ucapan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Ucaptama akan dilakukan oleh bekas ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Juga ucapan beberapa pimpinan NGO yang menolak ratifikasi ICERD.

Dijangka Kongres/Konvensyen Tolak ICERD ini akan mengumpulkan resolusi hasil daripada perbincangan sehari yang diadakan itu.

Kongres/Konvensyen Tolak ICERD oleh Pas dan Umno ini yang akan berlansung sehari sahaja itu adalah susulan daripada persepakatan pimpinan Pas dan Umno untuk mengadakan demontrasi rakyat secara besar-besaran pada 8 Disember depan untuk membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kerajaan PAS Terengganu lebih teruk dari Zionist? (Gambar)



PAS masih belum buang perangainya yang rakus diamalkan apabila berkuasa dibumi Terengganu?

Seramai-ramai yang pimpinan PAS di Terengganu yang berserban dan berkopiah tidak mampu untuk berbicara dengan seorang rakyat?

Bila berbicara dengan kapitalis tahu pula lemah lembut.

Isunya bukan soal siapa salah siapa betul, isunya ...Inikah islam yang kalian amalkan?

Bila berceramah kan main lagi hadis, sirah dan nas kamu lontarkan. Bila bertindak kamu sandarkan undang-undang bagi menghalalkan kezaliman kamu...

Hipokrit!

Tindakan merobohkan kediaman itu dilakukan kira-kira jam 9 pagi tadi oleh dua buah jentolak.

Ketika kediaman itu dirobohkan, pemiliknya, Wan Mokhtar Wan Yusof, 64, ada di rumah itu.

Kekecohan yang berlaku ketika kerja-kerja merobohkan rumah itu menyebabkan orang ramai turut mengerumuni kawasan itu.

Menurut Wan Mokhtar, beliau diberikan notis mengosongkan kediaman yang dibina sejak awal 1900 itu, tiga hari lalu.

Katanya, sebelum ini, beberapa notis arahan supaya mengosongkan kediaman yang telah diberikan, namun, beliau enggan patuh atas sebab pampasan yang diberikan tidak setimpal.

"Saya tidak mahu keluar kerana ini adalah rumah saya dan pampasan yang dijanjikan akan diberikan sebanyak RM20,000 tidak memadai.

"Walaupun ia telah dirobohkan, tuntutan hak saya berkenaan kediaman ini diteruskan di mahkamah dan akan terus berjalan," katanya.
Sumber fb Johar Ismail

Bekas tentera dihukum 5,000 tahun penjara


Santos Lopez Alonzo disabit bersalah membunuh 171 orang penduduk kampung pada 1982.
GUATEMALA CITY - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah mahkamah di Guatemala menjatuhkan hukuman 5,130 tahun penjara ke atas seorang bekas tentera yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat.

Hukuman penjara maksimum terhadap pesalah di negara Amerika Tengah itu adalah 50 tahun.

Santos Lopez Alonzo disabit bersalah membunuh 171 orang penduduk kampung lebih tiga dekad lalu.

Alonzo yang dituduh menganggotai skuad elit dikenali sebagai 'Kaibiles' melakukan jenayah itu pada 7 Disember 1982 di utara bandar Dos Erres.

Mahkamah semalam mengisytiharkan Alonzo, 66, bersalah atas dakwaan membunuh dan jenayah kemanusiaan.

Dia juga menculik seorang budak lelaki berusia lima tahun selepas membunuh seluruh keluarga kanak-kanak malang terbabit.

Menurut Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 200,000 orang terbunuh dan 45,000 lagi hilang semasa perang saudara pada 1960-1996 di Guatemala.

Kebanyakan mangsa dibunuh oleh tentera, sebahagian pula dibunuh gerila berhaluan kiri. - AP

Bersenam, kawal gula kalau nak hidup lama

Bernama
Sesuatu yang manis itu bukan semestinya baik untuk kesihatan dan kebenaran kata-kata ini tentunya lebih dirasai penghidap diabetes atau penyakit kencing manis.

Penulis sememangnya tidak tahu tentang penyakit ini semasa kecil berbanding sekarang. Apabila banyak membaca tentang diabetes, lalu teringat kepada jiran sewaktu tinggal di sebuah taman perumahan di Pulau Pinang. Ketika itu umur saya sekitar 10 tahun dan jiran saya itu penggemar tegar minuman berkabonat atau popular dengan panggilan minuman bergas.

Peti sejuk pasangan ini sentiasa penuh dengan minuman ini yang pelbagai jenama dan warna. Boleh dikatakan, bekalannya sentiasa ada. Kalau saya berkunjung ke rumah mereka, pasti pasangan ini, suaminya penulis panggil Pakcik Mail (bukan nama sebenar) dan isterinya, Makcik Yah (bukan nama sebenar) suruh penulis pilih apa sahaja air berkarbonat yang ada. Memanglah sedap minuman itu apatah lagi bila disimpan dalam peti sejuk. Anggapan penulis ketika itu alangkah indahnya hidup ini kalau dapat menikmati air bergas setiap hari seperti kehidupan pasangan ini.

Kira-kira 10 tahun kemudian saya mendapat khabar air berkarbonat yang “bertahun-tahun memaniskan kehidupan pasangan ini” akhirnya membawa padah apabila Makcik Yah meninggal dunia akibat komplikasi diabetes.

Hakikatnya, trend pengambilan gula berlebihan serta gaya hidup masyarakat hari ini yang dilihat lebih cenderung mementingkan ‘kesedapan’ berbanding amalan pemakanan sihat dan penjagaan kesihatan sebenarnya adalah sangat menakutkan.

Biarpun sudah ramai sedia maklum mengenai bahaya ‘gula’ yang menjadi punca utama kepada pelbagai penyakit termasuk diabetes, namun boleh dikatakan majoriti masyarakat kita masih lagi bersikap acuh tidak acuh dalam perihal kesihatan mereka.

Malah, terdapat satu laporan berita yang menyatakan rakyat Malaysia berada pada kedudukan ke-8 dunia dalam carta pengambilan gula iaitu 26 sudu setiap hari, hampir 5 kali ganda berbanding had ideal yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Justeru, tidak menghairankanlah apabila diabetes yang merupakan antara satu penyakit tidak berjangkit (NCD) yang dihadapi rakyat negara ini berada pada kadar agak membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Berdasarkan data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, diabetes adalah antara NCD yang meningkat setiap tahun dalam kalangan masyarakat negara ini iaitu sebanyak 17.5% dengan anggaran 3.5 juta penduduk dikesan menghidap penyakit tersebut.

Akan tetapi, apa yang lebih membimbangkan adalah data diperolehi ini diambil daripada lapisan masyarakat yang berusia lebih 18 tahun! Secara jelas ini menunjukkan trend penyakit kronik ini yang sebelumnya sinonim dengan warga emas sudah mula menular dalam kalangan generasi muda.

Hal ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika didiagnos kencing manis pada usia muda bererti seseorang itu akan menanggungnya sehingga ke akhir hayat disebabkan diabetes adalah penyakit yang tidak boleh disembuhkan.

Pastinya juga keadaan akan menjadi lebih tragis apabila diabetes yang tidak terkawal berisiko mengundang pelbagai komplikasi yang sinonim dengannya seperti kegagalan buah pinggang, buta dan penyakit jantung.

Sekitar Mac 2017 terdapat satu laporan akhbar yang menyebut jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang dari tahap satu hingga tahap 5 pada masa ini dianggarkan mencecah 400,000 orang!

Manakala hasil kajian NHMS 2016 mendapati kira-kira 15,000 hingga 39,000 orang hilang penglihatan disebabkan diabetes yang tidak terkawal. Ini membuktikan bahaya komplikasi penyakit kronik ini yang sebenarnya mampu menjejaskan produktiviti individu termasuk golongan muda serta masa depan mereka.

Dr Muhammad Hakim Noordin, Presiden Kelab Doktor-Doktor Malaysia dalam satu rencana yang diterbitkan dalam satu akhbar menjelaskan mengenai komplikasi kencing manis.

Beliau mahu masyarakat memahami dengan sebaik-baiknya bahawa komplikasi akibat penyakit kronik ini secara umumnya akan berlaku bukan dalam masa terdekat, sebaliknya dalam tempoh 15 hingga 30 tahun akan datang. Bagaimanapun, sekiranya penyakit ini tidak dirawat atau ditangani lebih awal, maka tanda komplikasi boleh muncul lebih awal sekitar 10 hingga 15 tahun.

Sewajarnya, data kajian ini membuka mata masyarakat untuk lebih sedar akan bahaya diabetes tetapi perkara sebaliknya berlaku. Masih ada lagi masyarakat yang bukan sahaja mengambil mudah pengambilan makanan tidak sihat termasuk yang mengandungi gula berlebihan bahkan malas bersenam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap di majlis Kempen Promosi Hidup Aktif atau WALK (When Active Living Kicks) peringkat kebangsaan Kementerian Kesihatan baru-baru ini berkata hasil NHMS 2015 mendapati satu daripada 3 orang dewasa adalah tidak aktif.

Tidak dinafikan, gaya hidup sebahagian anggota masyarakat hari ini lebih cenderung untuk ‘berkepit’ dengan telefon pintar berbanding melakukan aktiviti fizikal selain suka melepak makan waktu tengah malam menjurus kepada risiko berat badan berlebihan.

Ini mungkin disebabkan masih ada lagi tidak menyedari obesiti adalah pemangkin kepada penyakit kronik NCD dan kira-kira 73% kematian di hospital kerajaan berpunca daripada NCD!

Persoalannya, sampai bila masyarakat hendak berterusan mengamalkan kehidupan tidak sihat ini?

Kerajaan memandang serius akan perkara ini, justeru sangat memberi penekanan aspek pencegahan dengan terus-menerus mendidik orang ramai serta melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah NCD termasuklah diabetes.

Namun, semua ini tidak akan berkesan sekiranya ia hanya melibatkan sebelah pihak sahaja. Cabaran paling besar dan penting adalah individu itu sendiri kerana kualiti kesihatan seseorang bergantung kepada cara penjagaan dan kawalan pemakanan masing-masing.

Kita harus sedar hospital kerajaan kini semakin hari semakin sesak kerana terlalu ramai yang mahu mendapatkan rawatan berbanding pusat perubatan swasta yang tinggi kosnya.

Statistik klinik kesihatan kerajaan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja menunjukkan terdapat 33,000 pesakit diabetes di kawasan berkenaan.

Ini pastinya akan meningkatkan pembelanjaan kerajaan dan walaupun Kementerian Kesihatan menerima peruntukan RM29 bilion dalam Belanjawan 2019 dan merupakan yang tertinggi diterima sepanjang sejarah belanjawan negara, namun jumlah ini belum dapat menampung sekiranya masih ramai tidak peduli aspek pencegahan.

Justeru, mungkin cadangan antaranya memperkenalkan duti eksais bermula 1 April, 2019 pada kadar 40 sen seliter bagi 2 kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum mampu memupuk gaya hidup lebih sihat.

Biarpun ada pihak bising mempertikaikan kewajaran duti eksais ini tetapi langkah ini dilihat sedikit sebanyak mampu dijadikan alternatif mengurangkan penghidap diabetes di Malaysia.

Delegasi Pas hilang?

MALAYSIADATELINE

Ustaz Ahmad Awang ketika ditemui Malaysia Dateline di Wisma Amanah baru-baru ini

Delegasi Pas yang diundang ke Muktamar Tahunan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) kali ke-5 di Istanbul pada 3 hingga 9 November baru-baru ini didakwa ‘hilang’.

Sekumpulan pimpinan Pas yang diketuai Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan di persidangan itu sama ada di sidang pleno atau bengkel sepanjang muktamar berlangsung.

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Ahmad Awang yang diundang ke muktamar kali ini walaupun agak lewat sampai ke Istanbul bagaimanapun mengikuti sepenuhnya persidangan itu sehingga hari terakhir, 9 November.

Namun beliau hanya terserempak dengan kumpulan itu sewaktu makan tengah hari kerana dewan makan waktu itu
hanya dibuka khas kepada peserta muktamar sahaja.

“Jadi tidak ada orang asing melainkan orang yang bermuktamar sahaja. Saya terserempak dengan satu kumpulan
yang Ustaz Hadi ada sekali terus saya berjabat salam.

“Mereka ada meja khas salah seorang daripada mereka datang lebih awal untuk ‘booking’ meja, jadi terus kumpulan itu memenuhi meja,” katanya kepada Malaysia Dateline dalam satu temubual ekslusif berkenaan perjalanan Muktamar Tahunan KUIS awal November lalu.

Ahmad Awang ketika menghadiri Persidangan Kuis di Turki yang berlangsung pada 3 hingga 9 November 2018

Bahkan Ahmad yang mengikuti hampir kesemua bengkel yang diadakan juga tidak dapat bertemu dengan Abdul Hadi.

“Kebetulan saya tidak mendaftarkan diri dalam bengkel-bengkel yang disediakan dan saya boleh masuk setiap bengkel yang ada. Jadi kalau ada orang Malaysia memang saya jumpalah tetapi bukan kumpulan Ustaz Hadi.

“Jadi maknanya sebahagian besar mereka tidak ada di dalam bengkel-bengkel itu,” katanya.

Ahmad turut dimaklumkan delegasi Pas hanya hadir pada hari pertama muktamar kemudian difahamkan mereka menghadiri Persidangan Muslim Sedunia yang diadakan di sekitar Istanbul juga.

Beliau melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama-sama bagi membincangkan isu umat Islam khasnya ketika berlangsungnya Muktamar KUIS baru-baru ini.

“Kesal saya. Ingat disitulah tempat nak jumpa tetapi kelihatan tidak ada peluang. Tidak seronoklah, sebab delegasi Malaysia paling ramai tiba-tiba yang ada lebih kurang 10 orang sahaja tidak termasuk kumpulan Ustaz Hadi,” katanya.

Lagipun katanya, sebelum pemilihan dan pelantikan pimpinan baru berlaku Abdul Hadi masih lagi Naib Ketua
Kuis dan beliau sepatutnya terlibat secara langsung di muktamar itu.

Harakahdaily turut melaporkan jadual padat Presiden Pas sepanjang berada di Turkey antaranya, memenuhi
jemputan Presiden Parti Saadet, Temel Karamollaoglu ke Majlis Ramah Mesra bersama pemimpin gerakan Islam,
dan diberikan peluang untuk menyampaikan ucaptama dalam majlis tersebut.

Abdul Hadi juga menghadiri Persidangan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Islam (IFIP) di Istanbul. Beliau turut berkongsi sejarah penglibatan PAS dalam sistem demokrasi pilihan raya, ijtihad-ijtihad politik PAS dan situasi semasa di Malaysia.

Beliau juga dilaporkan mengadakan kunjungan hormat bertemu Ahmet Davutoglu, Mantan Perdana Menteri
Turki di pejabat beliau selama dua jam selain itu, berkesempatan bertemu Ibrahim Kalin, Jurucakap Presiden
Turki bagi mengucapkan terima kasih kerana melawat beliau ketika menerima rawatan di Istanbul beberapa tahun
lalu.

Beliau juga turut bertemu sahabat lama daripada Parti Saadet, Harun Macit, dan mengucapkan terima kasih di
atas layanan istimewa yang diberikan setiap kali berkunjung ke Turki.

Muktamar Agung ke-5 Kuis yang berlangsung dari 3 hingga 9 November di Istanbul, Turki baru-baru ini turut
mengadakan pemilihan.

Namun pada pemilihan kali ini, Abdul Hadi tidak mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Kuis.

Lebih 1,500 ulama dan ilmuan dari 80 negara menyertai perhimpunan itu, yang merupakan penyertaan terbesar
sejak penubuhan Kuis.

Ulama Maghribi, Syeikh Ahmad al-Raysuni, dipilih sebagai Ketua Kuis bagi tempoh 2018-2022, menggantikan Dr
Yusuf Al-Qaradhawi.

Al-Raysuni, yang juga calon tunggal bagi jawatan tersebut, menerima sokongan 93.4 peratus daripada jumlah
keseluruhan anggota kesatuan itu.

Turut dipilih empat timbalan kepada jawatan Al-Raysuni, iaitu Sheikh Khairuddin Kahraman (Turki), Ahmad bin
Hamad Al-Khalili (Oman), Sheikh Issam El-Bashir (Sudan) dan Habib Salem Saqaf Al-Jufri (Indonesia).

Kuis, yang diasaskan Al-Qaradhawi, adalah sebuah badan bukan kerajaan Islam yang menghimpunkan para ulama
dari seluruh dunia, termasuk negara minoriti Islam.

Tujuan penubuhan Kuis ialah bagi memelihara identiti Islam yang sebenar serta menguruskan isu berkaitan
agama tanpa sebarang pengaruh kerajaan dan institusi swasta.

Anak kambing separuh khinzir, separuh manusia (Gambar)










Ia bagaimanapun mati sejurus dilahirkan.
MANILA – FILIPINA. Seorang petani di Filipina terkejut selepas mendapati kambing belaannya melahirkan anak ‘separuh khinzir, separuh manusia’.

Dia kini bimbang haiwan pelik itu mungkin satu sumpahan dan akan membawa nasib buruk kepada keluarganya.

Beberapa penduduk turut menggelar ia sebagai ‘iblis mutan’.

Josephine Repique, 40, berkata, kambing tersebut melahirkan anaknya pada 2 November lalu di sebuah ladang kecil di Sultan Kudarat.

Pembedahan terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan dua anaknya itu, namun ketiga-tiganya mati.

“Kami sangat terkejut. Salah satu anaknya itu menyerupai khinzir dan mempunyai pusat seperti manusia,” ujarnya. - The Mirror

Rafizi jadi setiausaha agung PKR? Saifuddin jawab tunggu Anwar umum

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR
: Cakap-cakap bahawa Rafizi Ramli akan menggantikan Datuk Saifuddin Nasution sebagai setiausaha agung parti masih misteri.

Saifuddin berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Siapa yang bagi tahu? (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim? Takkan saya nak jawab spekulasi,” katanya kepada FMT hari ini.

Katanya, beliau tidak ada sebarang maklumat mengenai dakwaan itu.

“Tunggu sampai Anwar umum,” kataya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sementara itu, Rafizi, ketika dihubungi, menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin.

“Belum ada perbincangan apa-apa dengan Anwar,” katanya.

Ahad lalu, Anwar ditanya sama ada Rafizi akan dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR, susulan pembentukan barisan kepimpinan baharu PKR.

Anwar memberitahu, beliau belum memutuskan apakah jawatan yang akan ditimbangkan untuk pengasas Invoke Malaysia itu.

Rafizi tidak menyertai barisan kepimpinan baharu PKR selepas tewas dalam pertandingan sengit untuk jawatan timbalan presiden PKR dengan penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Kira-kira 800,000 ahli memilih pemimpin tertinggi parti dalam pemilihan yang berlangsung dari 14 September hingga 10 Oktober lalu.

Pada 25 November 2016, Rafizi, yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan memutuskan meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung PKR serta-merta selepas dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 2 tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Teknologi tinggi: Pilihlah jalan yang sukar, Tun

Timmy Say

Salam Tun,

Baru-baru ini, negara dikejutkan oleh laporan sebuah akhbar tempatan mengenai kelemahan sistem imigresen Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) yang meluluskan permohonan visa meskipun sekeping gambar beruk digunakan semasa permohonan dibuat.

eNTRI adalah satu sistem saringan atau tapisan awal untuk rakyat China dan India memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari. Sistem ini tidak dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri, sebaliknya hak esklusif dan akses penuh diamanahkan kepada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk mengurusnya.

Insiden ini menunjukkan betapa lekanya kerajaan terhadap sistem teknologi tinggi, hatta yang digunakan dalam sistem sekuriti negara seperti Imigresen.

Kelekaan kerajaan terhadap sistem teknologi tinggi selama ini juga terserlah apabila baru-baru ini, Tun meminta pertolongan Rusia bagi menyelenggara pesawat yang dibeli daripada Moscow.

Tun dilaporkan berkata: “saya berpendapat kami perlu mempelajari lebih banyak tentang cara untuk menyelenggara dan membaiki pesawat berkenaan”.

Alangkah baiknya kalau pemikiran Tun sebegini diterap dalam kerajaan 20 atau 30 tahun yang lalu. Hari ini mungkin Malaysia sudahpun boleh membina jet pesawat perang sendiri.

Tun,

Sebenarnya itulah sikap yang harus ada pada kerajaan mulai hari ini berhubung sistem berteknologi tinggi, terutamanya dalam bidang pertahanan, sekuriti negara, perubatan, internet of things (IoT) dan komunikasi.

Kita harus belajar secepat mungkin cara menyelenggara, membuat “reverse engineering” dan menggalakkan pembinaan semula segala peralatan berteknologi tinggi yang diimport secara tempatan.

Contohnya, apakah ada sesiapa yang menyemak peranti elektronik yang digunakan untuk membina sistem eNTRI dan peralatan pertahanan yang diimport? Negara manakah penciptanya? Siapakah pembekal cip IC di dalamnya? Apakah cip IC yang digunakan selamat digunakan tanpa sebarang unsur pengintipan?

Apakah teknologi ini telah diuji sepenuhnya – contohnya dari aspek tiadanya jalan belakang yang dibina di dalam sistem ini untuk menghantar maklumat sulit kembali kepada pembekalnya tanpa diketahui pengguna – terutamanya peralatan pertahanan?

Apakah pihak kerajaan telah mengambil inisiatif bersama-sama syarikat berteknologi tinggi tempatan untuk membuat “reverse engineering” secara rahsia terhadap teknologi yang diimport untuk memastikan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara tidak terjejas?

Apakah ada usaha untuk membina teknologi yang dibeli secara tempatan agar negara dapat menguasai teknologi dan ilmu baru serta penjimatan dapat dicapai melalui pengurangan import?

Kerajaan perlu membuang sikap suka mengambil jalan mudah dalam bidang teknologi tinggi, terutamanya sikap bergantung sepenuhnya kepada pembekal untuk “menjaga” dan “menggunakan” peralatan tanpa sebarang inisiatif untuk menguasai teknologi tersebut, meskipun ia dibeli dengan berjuta-juta ringgit duit rakyat Malaysia.

Berapa banyak lagikah projek berteknologi tinggi seperti eNTRI dan pembelian peralatan pertahanan seperti Sukhoi – dengan kerajaan bergantung sepenuhnya pada pihak ketiga untuk pemasangan, pengendalian dan pengoperasian sistem tersebut tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk menguasai dan menggalakkan teknologi itu dibina secara tempatan?

Sudah pasti tidak terkira banyaknya.

Sikap negatif inilah yang merencatkan langkah negara ke arah menjadi negara maju dan membantutkan perubahan daripada negara yang berasaskan “manufacturing” ke negara yang berasaskan berteknologi tinggi.

Tun, sebenarnya sikap negatif ini sama bahayanya dengan amalan rasuah yang berleluasa.

Oleh sebab itu, sikap negatif ini perlu dikekang terlebih dahulu. Ini bermula daripada sikap dan polisi kerajaan terhadap teknologi tinggi. Apakah kerajaan mahu Malaysia kekal menjadi pengguna dan hamba teknologi orang lain atau kita mahu menjadi pembina teknologi sendiri?

Jika sikap ini terus berleluasa, Tun boleh lupakan sahaja projek kereta nasional ketiga.

Dengan meletakkan polisi kerajaan yang baik untuk menyuburkan industri teknologi tinggi, mikroelektronik dan IC Design sebelum Tun bersara, sekurang-kurangnya Tun telah meletakkan kompas dan kemudahan yang cukup untuk negara belayar ke arah yang betul untuk 20 ke 30 tahun akan datang dan memastikan nasib Malaysia tidak akan menjadi seperti nasib Cyberjaya hari ini.

Konsep “beli dan guna” teknologi sememangnya jauh lebih mudah daripada “belajar, tiru, kaji, bina dan jual” teknologi – namun Tun, jalan sukar itulah jalan keluar untuk negara dan generasi akan datang selepas segala sumber asli negara habis digunakan.

Ya, ia memerlukan duit, jalannya berliku dan mengambil masa – tapi yakinlah, ia akan berbaloi akhirnya untuk Malaysia.

Isteri orang dicekup bersama kekasih

RUBIAH OMAR

Anggota penguat kuasa sedang menyoal siasat pasangan itu yang menyewa bilik di sebuah hotel tiga bintang di bandaraya di sini.
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita yang berstatus isteri nombor dua dicekup dalam keadaan mengaibkan bersama kekasih selepas bilik di sebuah hotel tiga bintang di bandaraya di sini, di sewa mereka di serbu Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kuala Terengganu, pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 7.40 pagi itu, wanita berusia 22 tahun dari Kemaman dikatakan sanggup memandu sejauh lebih kurang 160km semata-mata hendak melepaskan rindu kepada buah hatinya, 24, yang bujang.

Menurut sumber, pasangan yang mengaku sudah menjalin cinta ketika belajar sama-sama di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kemaman menyewa bilik hotel berkenaan sejak petang semalam dan berhasrat kononnya untuk keluar hari ini.

Jelas sumber, mereka mengaku mengambil kesempatan cuti umum sempena Maulidur Rasul hari ini untuk berjumpa kerana sebelum ini masing-masing sibuk dengan urusan.

Kata sumber lagi, penguat kuasa terpaksa mengambil masa lebih kurang enam minit menunggu pintu utama dibuka setelah beberapa kali mengetuknya dan memberi salam.

"Sejurus pintu dibuka, pemeriksaan lanjut dijalankan sebelum mendapati pasangan itu berada dalam keadaan mengaibkan tanpa seurat benang di atas katil.

"Setelah disoal siasat, mereka juga mengaku sebelum ini pernah beberapa kali terlanjur dan kononnya sedang merancang untuk berkahwin sementara menunggu wanita itu bercerai dengan suaminya," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Azam Awi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan pasangan itu.

"Pasangan itu akan didakwa di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana percubaan melakukan persetubuhan luar nikah," katanya.

PKR kemungkinan berpecah selepas pemilihan, kata penganalisis

PKR kemungkinan berpecah selepas pemilihan, kata penganalisis
Robin Augustin - November 21, 2018 10:40 AM
137
Shares
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata PKR kemungkinan akan berpecah selepas pemilihan yang diragui walaupun berlaku adegan berpelukan antara Rafizi Ramli dengan pesaing sengitnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada kongres parti itu, Sabtu lalu.

Bercakap kepada FMT, Andrew Aeria berkata cabaran terdekat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah menyatukan puak dalam parti itu.

“Dengan proses pemilihan yang sangat mencurigakan oleh ketidak teraturan yang serius, perbincangan reformasi PKR kini tidak meyakinkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan pemilihan PKR dan kongres baru-baru ini.

Aeria berkata, PKR kini menuai apa yang ditanamnya kerana ia tidak cukup melabur dalam mendidik ahli-ahlinya atau membina institusi parti tetapi hanya memberi tumpuan kepada mengambil alih Barisan Nasional.

“Anwar kini perlu memberi tumpuan untuk menguatkan parti dan mendidik ahlinya mengenai demokrasi. Pembangunan ideologi tulen diperlukan,” kata Aeria yang juga bekas pensyarah Universiti Malaysia Sarawak.

Bagaimanapun, beliau berkata ini mungkin mencabar kerana Anwar dilihat oleh beberapa pihak sebagai memilih puak semasa pemilihan parti.

Sementara itu, Prof James Chin, pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania berkata keputusan pemilihan dilihat oleh mereka yang dikaitkan dengan Azmin yang memenangi kebanyakan jawatan, akan memberi implikasi besar terhadap puak Rafizi.

“Bagaimana mereka boleh berfungsi apabila semua jawatan penting berada di bawah puak Azmin? Bagaimana anda membina semula dalam parti? Itulah sebabnya anda mendengar khabar angin mereka akan meninggalkan parti itu.”

Chin berkata ia terpulang kepada Anwar untuk memulihkan keruntuhan parti tetapi menambah Rafizi perlu diberi kuasa, sama ada melalui pilihan raya atau ahli dewan negara.

Beliau berkata Rafizi tidak boleh diabaikan kerana beliau memperoleh hampir separuh undi dalam parti itu.

Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, pula berkata pemimpin dan ahli PKR mesti menerima mereka yang akan berada di bawah kepimpinan yang lebih mantap dan tegas di bawah Anwar, berbanding bekas presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dianggap “lebih lembut” dan lebih bersedia untuk “memberi muka” kepada semua pihak.

Beliau juga berkata tidak ada isu kepimpinan parti dikuasai oleh “orang” Azmin kerana tidak ada lagi kem dalam parti itu seperti yang dikatakan Anwar dalam ucapannya pada kongres tersebut.

“Sekarang, Anwar adalah pemimpin kepada semua dalam PKR.”

Bagaimanapun, Awang Azman berkata beliau menjangkakan Anwar melantik orang tertentu ke jawatan tertentu dalam kepimpinan parti, yang akan menghapuskan persepsi bahawa parti itu dikawal oleh “orang” Azmin.

“Saya menjangkakan selepas pelantikan, kepimpinan parti akan terdiri daripada kebanyakan mereka yang setia kepada Anwar.”

5 ‘no-no’ jika anda cuba kurangkan berat badan

FMT Reporters

Diet sudah, bersenam pun sudah, tapi ramai yang tidak berjaya menurunkan berat badan.
Satu sebab mungkin kerana ‘makanan sihat’ yang anda pilih seperti fruits bar dan kacang, madu, atau smoothie, tidak sesihat yang anda fikirkan.

Baca 5 tips dibawah supaya anda tidak tersalah konsep pemilihan makanan kerana ada antaranya yang mengandungi lemak, gula atau garam tersembunyi.

1. ‘Semua salad adalah baik untuk anda’
Sayuran memang baik untuk anda, sememangnya. Tetapi salad juga mengandungi bahan-bahan lain, yang akan meningkatkan kiraan kalori.

Hijaunya salad Caesar juga punya lemak tersembunyi dari keju Parmesan dan dressing salad berkrim. Malah crouton digoreng untuk kerangupan tambahan.

Berhati-hati dengan dressing, sos, atau kuah yang melonjakkan kalori!

2. ‘Saya tidak makan junk food, hanya’ makanan ringan ‘yang sihat’
Bar yogurt, buah dan kacang yang anda ambil boleh mengandungi sehingga 4,6 sudu teh gula.

Ramai orang membuat kesilapan menukarkan makanan ringan dengan ‘snek sihat’, seperti bar muesli dan bola protein.

Bar muesli mengandungi bahan-bahan yang sihat seperti oat, kacang dan biji. Tetapi ingat, gula masih diperlukan bagi ‘melekatkan’ semua semua bahan-bahan untuk membentuk bar.

Gantikan bar muesli anda dengan sebilangan kecil kacang dan bijirin. Ini akan memberi anda vitamin dan mineral yang bermanfaat – tanpa gula.

3. ‘Pemanis semulajadi lebih baik daripada gula’
Gula semulajadi seperti madu tidak berbeza dari menambah gula ke sajian, katakan pakar. Sebaliknya, tambah buah untuk manis

Ia mungkin rasa yang berbeza, tetapi anda masih menambah gula.

Kopi susu, cuba gantikan susu pekat anda dengan susu soya..

4. ‘Apa-apa sahaja berasaskan buah mesti sihat’
Smoothie buah-buahan. Bunyinya sangat sihat. Tetapi perlu ingat, smoothie biasanya ditanbah gula sirap dan aiskrim.

Jus buah pula biasanya mengandungi hanya 25% jus buah dan sangat tinggi kandungan gula. 100% jus buah pula buat anda kehilangan serat penting daripada buah-buahan.

5. ‘Minuman beralkohol tidak boleh mempunyai terlalu banyak kalori… betul?’
Kesilapan yang paling mudah adalah tidak menilai kalori dalam minuman/bentuk cecair.

Dua gelas wain memberikan jumlah kalori yang sama seperti anda memakan dua cawan penuh cip jagung. Begitu juga untuk bir

Mungkin kesilapan paling biasa ketika cuba menurunkan berat badan adalah terlalu banyak makan. Kita perlu memilih makanan dengan jumlah kalori yang betul. Antara cara lain adalah mengunyah makanan anda secara perlahan.

Dr M: Gerakan belakang tabir PAS-Umno punca keputusan PRU14 lambat

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa kelewatan pengumuman kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada malam pilihan raya umum (PRU) ke-14 adalah disebabkan gerakan belakang tabir oleh Umno dan PAS untuk memancing wakil rakyat Melayu-muslim untuk lompat parti.

Dalam wawancara dengan Mekong Review bulan lalu, Dr Mahathir berkata ketika kekalahan mengejut BN pada 9 Mei lalu, Umno dan PAS berharap dapat menyusun gerakan untuk mendapatkan semula majoriti parlimen dan membentuk kerajaan yang terdiri daripada wakil rakyat Melayu-muslim.

Jelas Dr Mahathir, ini demikian kerana terdapat pihak tertentu yang bimbang PH akan menjuarai isu orang Islam "seperti kerajaan terdahulu".

"[....] Ada idea yang menggambarkan sekiranya pembangkang yang terdiri dari Umno dan PAS yang merupakan parti Melayu-Islam bersatu, mereka boleh menarik parti Melayu-Islam lain dari PH, mendapat majoriti dan seterusnya menubuhkan kerajaan Melayu-Islam. Namun mereka dinasihati agar tidak berbuat demikian.

"Ini yang menyebabkan kelewatan pengumuman kemenangan PH. Kami tahu kami menang seawal 8.30 malam lagi tapi kami tidak mendapat pengumuman rasmi sehingga pukul 2 pagi kerana dalam tempoh itu terdapat gerakan yang disusun yang tidak dilihat oleh umum.

"Kami sudah tahu, dan selepas itu kami tahu lebih lanjut berhubung perkara itu," katanya dipetik sebagai berkata dalam wawancara berkenaan.

Tambah anggota parlimen Langkawi itu, peralihan kuasa yang berlaku pada PRU ke-14 "tidak selancar" yang dilihat dari luar.

"Kami menghadapi banyak kesukaran, termasuk percubaan dari dalam untuk menolak kemenangan kami, tapi akhirnya kami berjaya," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun enggan menamakan wakil rakyat PH yang dikatakan cuba dipujuk untuk lompat parti.

Ketika isyarat perkauman menyala

Dr Muhaimin Sulam
Beberapa tahun sebelum merdeka, Usman Awang menulis sebuah cerpen yang bertajuk Untuk Malaya Merdeka. Cerpen itu terdapat dalam antologi Turunnya Sebuah Bendera.

Secara keseluruhan ada 18 cerpen tulisan Usman Awang dalam antologi itu. Semua cerpen itu ditulis sebelum merdeka.

Tentu saja kebanyakan cerpen sasterawan negara itu berkisar soal masyarakat yang berhadapan kewujudan sebuah negara yang akan merdeka.

Kemerdekaan akan membebaskan negara dan masyarakat daripada penjajahan. Kemerdekaan akan memberi peluang dan kuasa kepada anak tempatan membentuk rupa bentuk negara baru mengikut acuan sendiri.

Setelah lebih enam dekad merdeka dan membina rupa bentuk kebangsaan negara, hari ini kita masih terkial-kial. Sekejap membangunkan bersama, sekejap kemudiannya meruntuhkan bersama.

Ada perubahan yang tidak diperlukan. Begitulah juga di sebaliknya.

Antara pendekatan untuk membangun rupa bentuk kebangsaan adalah melalui pendidikan. Inilah pendekatan yang paling kritikal dan utama dibahaskan sepanjang pembinaan negara bangsa Malaysia.

Rasa perkauman memang disemai

Sekolah, universiti, jabatan serta kementerian adalah perkakas untuk pembentukan rupa kebangsaan.

Dalam cerpen tersebut, watak utama menghadiri kelas bahasa Inggeris. Kelas itu terdapat pelajar pelbagai kaum. Penulis yang menjadi watak utama melahirkan pandangannya tentang kelas tersebut kepada rakan sekelasnya.

Katanya:

"Kalau sekolah-sekolah di Malaya ini dapat merupakan dasarnya seperti kursus kita ini, rasa perkauman lebih cepat dihapuskan."

Sebenarnya rasa perkauman di Malaya telah wujud sejak lama dulu. Rasa perkauman itu disemai dengan dasar pecah-perintah penjajah dan ditambah pula dengan sentimen dinyalakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Dalam hal ini, Usman secara jelas menyalahkan kerajaan yang membiarkan wujudnya sekolah yang pelbagai aliran dalam sebuah negara merdeka.

Anak bangsa terus dipisah-pisahkan mengikut etnik mereka.

Kerajaan peralihan pada masa itu diketuai Tunku Abdul Rahman yang menjadi perdana menteri. Pesuruhjaya Tinggi British, Donald Mac Gillivary masih berkuasa.

Usman menulis:

"Salah pihak kerajaan juga yang mahu mengadakan sekolah Melayu untuk orang Melayu, Cina untuk Cina dan India untuk India."

Usman melihat kerajaan sebagai satu daripada faktor penyebab pengasingan etnik ini berlaku. Kerajaan di mata Usman tidak berpendirian tegas.

Pada 1951, satu laporan pendidikan dibuat bagi mencari formula sistem pendidikan untuk negara baru ini. L J Barnes mengetuai jawatankuasa tersebut.

Usman di dalam cerpen turut menyatakan persetujuannya dengan saranan Penyata Barnes melalui kenyataan watak utamanya:

“Aku sangat setuju dengan Penyata Barnes yang mencadangkan sekolah kebangsaan bagi menggantikan sekolah perkauman yang ada sekarang di mana kanak-kanak dari segala bangsa dapat bersama-sama belajar dalam suasana ramah-mesra di dalam suatu tempat”.

Cadangan Penyata Barnes ternyata berpandangan jauh dalam usaha membentuk sebuah masyarakat baru dalam sebuah negara merdeka yang pelbagai kaum.

Sekolah-sekolah vernakular ini mestilah dihapuskan dan hanya ada sekolah kebangsaan sahaja. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar.

Praktik politik populis

Cerpen-cerpen yang dikumpulkan itu bukan sekadar memperkenalkan pembaca kepada kehidupan bangsa pada zaman penjajahan yang tidak pernah dilalui oleh generasi kini.

Ia juga mengingatkan kepada penderitaan dan pengorbanan generasi masa lalu pada pembentukan negara bangsa yang merdeka.

Sekolah vernakular adalah warisan penjajah yang terus kekal mewarnai sistem pendidikan dan proses pembentukan negara bangsa Malaysia.

Biarpun perubahan demi perubahan di sekolah vernakular dilakukan oleh pelbagai pihak, hakikatnya perubahan itu tidak lebih bersifat kosmetik untuk kelangsungan politik populis.

Berhujah apa juga hujah yang ada, pada akhirnya hujah politik populis lebih menguntungkan.

Usman adalah antara sasterawan yang berani menyuarakan ketidakadilan. Ia menjadikan dirinya sentiasa dikenang sebagai pengarang besar. Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh pernah menulis sebuah puisi yang berbunyi:

"......

terima kasih, Usman

kerana berada di depan

kerana berani berkata

pada zaman bisu

terima kasih kerana berani berdiri

sewaktu ramai orang melarikan diri.

Kita masih perlu kepada sasterawan dan penulis biasa yang menyambung bicara Usman yang semakin kelemasan dalam amuk perkauman.

Setiap kali sesuatu kelompok mengalami kegetiran dalaman mereka, sentimen-sentimen perkauman akan dipalu. Ada pula yang menari mengikut paluannya.

Amuk perkauman ini boleh disalut dalam bahasa agama, bahasa bangsa, bangsa niaga, bangsa demokrasi, bangsa hak asasi dan apa jua bahasa yang dirasa menguntungkan pada tempoh semasa.

Namun bahasa isyarat yang sudah menyala-nyala merah perlu diambil serius.

DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

ICERD: Perlukah lagi bantahan 8 Disember, soal Dr Agus

MALAYSIADATELINE
ICERD: Perlukah lagi bantahan 8 Disember, soal Dr Agus
Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff mempersoalkan hasrat Umno dan Pas untuk mengadakan bantahan berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)pada 8 Disember depan.

“Pemimpin Amanah, Bersatu, dan PKR telah pun menyatakan ketidaksetujuan mereka untuk ICERD dilaksanakan. DAP sendiri telah menyatakan mereka menyerahkan soal ICERD ini kepada keputusan PM. Dari Port Moresby, PM telah menyatakan mustahil ICERD dilaksanakan kerana pelaksanaan ICERD melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, setelah perhimpunan di Pasir Salak, perlukah lagi pembangkang mengadakan perhimpunan membantah ICERD pada 8 Disember ini? ,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Umno-Pas tidak perlu mencetuskan keharmonian kaum dalam keadaan pemimpin kerajaan telah bersuara untuk tidak meratifikasikannya.

“Jangan ditegangkan lagi suhu politik negara dengan ucapan seperti sanggup bermandi darah dan lainnya yang membahayakan negara. Jangan dijadikan isu ICERD ini sebagai modal politik untuk membangkitkan politik perkauman.

“Jika hendak diadakan juga perhimpunan pada 8 Disember ini, tukarlah perhimpunan tersebut kepada perhimpunan mengangkat isu rakyat.

“Pekebun kecil menangis sekarang dengan harga kelapa sawit dan getah yang murah, peniaga terhimpit dengan kuasa beli rakyat yang rendah, anak muda resah dengan janji peluang 1 juta pekerjaan yang tidak ada, janji PTPTN yang tidak terlaksana, dan rakyat seluruhnya cukup gelisah dengan kos hidup yang tidak turun,” ujarnya.

Soal beliau lagi, tidakkah mengadakan perhimpunan memperjuangkan nasib hidup rakyat itu lebih baik daripada membangkitkan sentimen ICERD yang bukan pun isunya lagi?

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah menetapkan 8 Disember ini untuk menganjurkan satu himpunan besar-besaran bagi membantah ICERD di Kuala Lumpur.

Lebai sekor ni tak serik: Guan Eng bakal ambil tindakan terhadap Bendahari Pas

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Lim Guan Eng bakal mengambil tindakan perundangan terhadap Bendahari Pas Razman Zakaria, berhubung dakwaannya terhadap DAP, dalam isu kononnya parti itu anti Raja Melayu kerana tidak menerima gelaran dan pangkat dari istana.

Menjawab tuduhan Razman berkenaan, Guan Eng berkata tuduhan itu tidak berasas kerana bukan hanya DAP yang berbuat demikian.

Katanya, Tun Ghaffar Baba daripada Umno sebelum ini pernah menolak untuk menerima pingat Datuk ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Kenyataan saya telah diputar-belitkan oleh Pas dengan menyatakan bahawa nasihat sedemikian adalah biadab dan anti Melayu anti Raja Melayu.

"Kalau begitu macam Ghaffar Baba semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri pun tidak mahu terima gelaran Datuk dengan hanya mahu dikenali sebagai encik Baba adakah itu pun dianggap sebagai satu tindakan anti raja atau anti Melayu. Saya harap jangan bangkitkan permusuhan antara kaum.

"Jadi saya akan kaji dari segi perundangan dan juga dari segi jenayah tuduhan ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Razman yang mendakwa bahawa keputusan DAP untuk tidak menerima gelaran dan pangkat dari istana adalah tanda kebiadaban parti terbabit kepada raja-raja Melayu.

Razman Zakaria berkata demikian semasa menyampaikan ucapan bersemangat di Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah, Pasir Salak tidak jauh dari Teluk Intan malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyindir Pas dengan menyifatkan bahawa Pas telah hilang modal untuk melawan musuh politiknya.

"Ini masalah sebuah parti yang nampaknya sudah hilang atau sudah hilang modal sampai gunakan perkara yang tak wujud langsung untuk bangkitkan permusuhan dan itu sesuatu yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Ulama PAS mahu kerjasama PAS-Umno disegerakan

Seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS hari ini menyuarakan sokongan terhadap kerjasama antara parti itu dengan Umno, menyifatkan ia tak boleh ditangguh lagi susulan perkembangan semasa negara.

Mokhtar Senik berkata, kerjasama itu akan menghasilkan tsunami yang akan meranapkan "mimpi politik" DAP.

"Saya menyeru kaum Melayu Islam (dalam) Umno dan PAS - mari kita gerakkan usaha kesedaran kembali kepada Islam sebagai tonggak kekuatan kita. Allah telah dedahkan kepada kita cita-cita sulit DAP terhadap negara ini.

"Ayuh kita gerakkan tsunami politik ini mulai sekarang. Jangan berlaman-laman (berlama-lama) kerana tanah air ini sudah bosan dengan kezaliman, penindasan dan pembohongan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerjasama antara PAS dan Umno semakin giat terutama selepas kedua-duanya berada di pihak pembangkang selepas PRU ke-14.

Terbaru, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh kedua-dua parti bagi mencari titik persamaan dalam soal Melayu dan Islam.

Mereka juga bakal menganjurkan perhimpunan bersama bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada 8 Disember depan.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Mokhtar - yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang - menggesa ke arah kerjasama dua parti itu.

Katanya, PAS dan Umno perlu mengambil iktibar daripada sejarah sendiri - PAS dengan pengalaman bersama DAP dan Umno sebagai parti Melayu sekular selama 60 tahun.

"Perjuangan Islam tidak boleh mengharapkan sokongan liberal sekular seperti DAP. Perjuangan berteraskan nasionalisme Melayu semata akhirnya akan lemah dan runtuh," katanya lagi sambil menambah kerjasama kedua-dua parti itu perlu berpaksikan agama.

Mengulas lanjut tentang DAP, Mokhtar mendakwa DAP kini semakin berani mengejar "cita-cita sulit" mereka selepas menang pada PRU ke-14.

"Apabila mereka melihat kebanyakan orang bukan Islam berpihak kepada mereka, dan sebahagian orang Melayu dapat mereka kuasai dengan janji manis, mereka secara terang mula melangkah untuk mencapai hasrat politik mereka.

"Banyak sudah ucapan dan tindakan mereka yang memperlekeh Islam dan Melayu," katanya lagi.

Keluar Parti Islam Maka Keluar Islam ?

UST ZUL HILMEI MOHAMAD ROHANI
Keluar Parti Islam Maka Keluar Islam ?
Oleh kerana kepelbagian parti politik islam itu bersifat variasi dalam usaha menegakkan kalimah Allah, maka adalah tidak wajar untuk membuat tuduhan bahawa hanya sesuatu jemaah sahaja yang benar manakala yang lain adalah batil. Masing-masing memiliki tujuan yang sama hanya variasinya sahaja yang membezakan.

Oleh kerana ia menyentuh persoalan aqidah dan amalan setiap individu Muslim, Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil Fatwa Dr Yusof al-Qardawi bertarikh 31 Mei 2015 sebagai panduan umat Islam khususnya yang berada di Malaysia, berkenaan dakwaan haramnya menubuhkan parti Islam yang lain, jika sudah terdapatnya parti Islam dalam sesebuah negara.

Fatwa tersebut adalah seperti berikut:

Terdapat satu pandangan lain yang bercanggah dengan pandangan ini; iaitu yang berpandangan kerja jemaah itu wajib dan kewajipan itu hanya eksklusif kepada satu kumpulan tertentu dengan anggapan bahawa kumpulan itu sahajalah yang benar manakala yang lain adalah batil atau sesat.

Maksud firman Allah: “Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran? (Yunus: 32)

Dalam erti kata lain. kumpulan ini menjenamakan diri mereka sebagai “Jemaah orang-orang Islam”. Selama mana jenama itu mereka gunakan, maka setiap yang mengeluarkan diri daripada jemaah tersebut, dianggap telah terkeluar daripada umat islam seluruhnya. Termasuk yang tidak melibatkan diri dalam jemaah tersebut, dianggap tidak berada di dalam jemaah umat Islam.

Maka setiap hadith mengenai jemaah atau wajib bersama jemaah dan meninggalkan jemaah dijenamakan sebagai jemaah mereka. Ini adalah merupakan sebahagian cara mengeluarkan dalil tetapi menjenamakan nas-nas dengan perkara yang tiada kaitan adalah merupakan pintu kejahatan kepada ummah.

Ini adalah kerana, dalil-dalil tersebut diletakkan bukan pada tempatnya. Sebahagian mereka ada yang meletakkan ‘kebenaran’ itu pada jemaah mereka atau parti politik mereka dan menafikan penjenamaan itu diberikan kepada jemaah selain daripada mereka.

Kebanyakan mereka memberikan jenama dari pelbagai sudut. Sama ada secara fikrahnya (fikrah yang betul hanya jemaah mereka sahaja), amalannya (amalan yang betul hanyalah amalan mereka sahaja), akidahnya (akidah yang betul adalah akidah mereka sahaja) ataupun akhlaknya (akhlak yang betul adalah akhlak mereka sahaja).

Mereka cuba membataskan penjenamaan tersebut dengan mengatakan bahawa “jemaah yang benar” atau “parti yang benar” itu wujud dan ada pada jemaahnya dan bukannya ke atas jemaah yang lain. Kaedah begini sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal dan disiplin ilmu.

Sementara terdapat juga yang menjadikan ‘jemaah yang paling awal ditubuhkan’ sebagai kayu pengukur. Mereka menganggap jemaah yang ‘paling awal ditubuhkan’, maka kita boleh menentukan sesebuah jemaah itu pembawa obor kebenaran atau penipu kebenaran.

Fenomena ini menyebabkan timbulnya anggapan sebahagian parti-parti politik di sesetengah negara-negara umat islam, hanya dialah sahaja yang membawa kebenaran; atas alasan ia adalah parti politik yang pertama ditubuhkan, manakala setiap parti politik yang mahu ditubuhkan selepas itu, wajib dibatalkan penubuhannya dan tidak layak untuk kekal.

Hujah yang mereka gunakan ialah apabila berlakunya penerimaan orang awam terhadap parti yang pertama tadi, maka ia adalah penanda aras bahawa seluruh rakyat telah memberikan baiah kepada mereka!

Mereka berhujah dengan maksud hadith Nabi Muhammad s.a.w: “Apabila dua orang telah dibaiah untuk dijadikan khalifah, maka hendaklah kamu bunuh salah satu daripada keduanya (riwayat Ahmad dan Muslim daripada Abu Said; juga terdapat dalam Kitab Jami’ Al-Syoghir 421)

Wajar diberikan penegasan, bahawa fatwa-fatwa bodoh dan berani ini, datang daripada kalangan mereka yang tidak memiliki asas-asas yang kukuh dalam ilmu syariat. Fatwa bodoh ini telah mengheret ummah ke lembah kejahatan dan meletakkan mereka kepada kerosakan yang paling jahat.

Oleh itu, sesetengah fuqaha’ di zaman silam pernah memberikan pandangan mereka terhadap fatwa-fatwa yang dikeluarkan sebahagian orang yang kononnya memiliki title ustaz, ustazah, ulamak atau prof: “Bahawa adalah wajar sebahagian orang yang mengeluarkan fatwa pada hari ini untuk dimasukkan ke dalam penjara jika dibandingkan dengan kelompok pencuri! Ini adalah kerana kelompok pencuri hanya merosakkan kehidupan dunia orang awam, sementara mereka (kelompok agama tapi tidak layak berfatwa) merosakkan agama mereka dengan fatwa-fatwa palsunya.”

Bagaimana jika fuqaha’ terdahulu melihat terhadap apa yang kita baca dan apa yang kita dengar pada zaman ini? Tiada kekuatan dan tiada upaya kecuali dengan Allah.

Ulasan: Fatwa ini menjelaskan bahawa menuduh seseorang sudah terkeluar islam kepada mereka yang keluar parti Islam adalah tidak berasas sama sekali, jika mereka memilih manhaj dan gaya berfikir yang berbeza yang dibenarkan oleh syarak. Apa yang berlaku sebenarnya ialah umat Islam dilihat lebih kaya dengan pelbagai variasi dalam usaha mendaulatkan islam.


*** Penulis adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Negeri Johor

Pemilihan PKR berakhir, perseteruan Azmin-Rafizi belum reda

Wartawan Malaysiakini
KONGRES PKR | Pemilihan PKR tahun ini menyaksikan Anwar Ibrahim memenangi jawatan presiden tanpa bertanding.

Bagaimanapun saingan sengit bagi jawatan timbalan presiden antara Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli yang berlangsung selama hampir dua bulan merupakan tumpuan utama pemilihan kali ini.

Saingan antara kedua-dua pemimpin PKR itu menyaksikan tuduhan politik wang, kehilangan undi, pengurusan pemilihan yang tidak adil, dan percubaan mensabotaj pengundian yang melanjutkan lagi tempoh proses pemilihan.

Beberapa hari sebelum keputusan rasmi diumumkan, Rafizi akhirnya mengaku kalah kepada Azmin, yang menurutnya adalah demi kepentingan parti.

Meskipun beberapa kenyataan yang dibuat bagi meredakan ketegangan sepanjang pemilihan, ucapan Azmin dan Rafizi dalam Kongres Nasional PKR di Shah Alam memberi gambaran kedua-dua mereka akan terus menjadi seteru dalam parti.

Malah, kongres berkenaan dilihat dibayangi ketegangan antara kedua-dua kem berkenaan.

Sabtu lalu, perwakilan PKR Perlis Tengku Nazeri Tengku Aldin dalam ucapannya menggesa Rafizi dan Azmin agar menghentikan perseteruan mereka bagi menyatukan parti.

"Saya menggesa pasukan Rafizi dan pasukan Azmin, sudah sampai masanya untuk menghentikan semua (perseteruan) ini," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin yang bersetuju dengan gesaan itu.

Susulan itu, Azmin melangkah ke arah Rafizi dan kedua-dua mereka bersalaman sebelum sama-sama mengangkat tangan. Kedua-dua pemimpin PKR itu kemudian saling berpelukan.

Bagaimanapun, ucapan kedua-dua mereka mereka dalam kongres hari ini mengandungi sindiran antara satu sama lain.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai naib presiden, Rafizi mengingatkan berhubung segelintir pemimpin kanan parti itu yang menurutnya memperlekehkan usaha mengangkat Anwar Ibrahim selaku perdana menteri kelapan.

Selain itu, Rafizi juga berkata bahawa beliau boleh membuat rayuan berhubung keputusan pemilihan PKR, namun tidak berbuat demikian kerana ia akan menyebabkan kritikan ke atas Anwar dan parti mereka.

Azmin pula, yang akhirnya berjaya mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR yang dipegangnya sejak 2010, berkata antara faktor beliau kekal mempertahankan kedudukan nombor dua itu adalah kerana mampu berdepan cabaran dengan tenang.

Azmin turut berjenaka bahawa beliau bukan dicabar Rafizi, tetapi bekas anggota parlimen Pandan itu hanya "menawarkan khidmat kepada parti".

"Tak ada masalah, saya tenang saja. Anwar pesan 'Azmin, tenang'. Saya kata 'tenang macam mana, Datuk Seri? Aku kena serang kiri kanan'.

"Orang yang tenang InsyaAllah akan berjaya selama-lamanya," katanya lagi.

Dengan keputusan rasmi yang sudah diumumkan, pasukan Azmin dilihat mendominasi pemilihan kali ini.

Selain dua pasukan Rafizi iaitu Nurul Izzah Anwar yang menang jawatan naib presiden dan Akmal Nasir bagi jawatan ketua Pemuda, jawatan lain di peringkat kepimpinan tertinggi dimenangi pasukan Azmin.

Satu hal yang pasti, kedua-dua pihak, baik pasukan Azmin mahupun Rafizi dilihat menggesa agar pembaharuan dan penambahbaikan dilakukan berhubung sistem pemilihan.

Bekas ketua pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini mencadangkan agar parti itu mempertimbangkan menggunakan sistem "satu ahli, satu undi" bagi memilih pemimpin tertinggi dan mengembalikan semula sistem perwakilan bagi jawatan lain.

Nik Nazmi menyifatkan sistem yang digunakan dalam pemilihan baru-baru ini tidak praktikal kerana terlalu banyak undi yang perlu dikira.

Naib presiden PKR, Tian Chua juga menggesa pembaharuan dalam sitem pemilihan dengan mencadangkan agar semua anggota perlu sekurang-kurangnya menyertai parti setahun sebelum dibenarkan mengundi.

Anwar sendiri menyatakan rasa tidak puas hati terhadap proses pemilihan kali ini dengan berkata bahawa beliau berhasrat untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji rombakan dalam sistem pemilihan sedia ada.

Amanah sedia terima wakil rakyat PAS, kata Mohamad Sabu

PETALING JAYA: Amanah tidak akan menghalang Ahli Parlimen PAS daripada menyertai parti itu sekiranya parti Islam tersebut berpakat dengan Umno, kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, mendoakan supaya 2 parti itu bergabung “di hadapan mata semua orang”, lapor akhbar The Star.

“Saya mahu mereka bersatu,” kata Mohamad, lapor akhbar berbahasa Inggeris itu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan konvensyen Amanah Selangor hari ini.

Terdahulu, Mohamad menempelak Umno dan PAS kerana mahu bekerjasama walaupun selepas kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Katanya, kedua-dua parti itu telah pun bercakap tentang pergabungan semasa beliau masih di dalam PAS.

Mohamad menyertai PAS 1981 sehingga menjadi timbalan presiden parti itu.

Pada 2015, bersama-sama beberapa Ahli Parlimen PAS yang lain, Mohamad keluar parti untuk menubuhkan parti Gerakan Harapan Baru, sebelum nama itu ditukar kepada Parti Amanah Negara.

Malam tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan gabungan dengan PAS, dengan menggesa 2 parti itu mengetepikan perbezaan antara mereka atas “nama Islam, Melayu, Malaysia dan Bumiputera”.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, adalah silap sekiranya 2 parti itu bertelagah.

Zahid berkata demikian pada satu himpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Pasir Salak, Perak.

Pemimpin kanan PKR perlekeh usaha angkat Anwar jadi PM

Haspaizi Zain
KONGRES PKR | Bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan ada segelintir pemimpin kanan parti itu memperlekehkan usahanya mengangkat Anwar Ibrahim selaku perdana menteri kelapan.

Rafizi berkata, ada dalam kalangan mereka menyifatkan masa Anwar untuk dinobatkan sebagai pemimpin utama negara sudah berakhir.

Jelasnya, walaupun parti itu meraikan perbezaan pendapat, namun dalam soal teras - iaitu mengangkat Anwar sebagai perdana menteri - seharusnya disepakati oleh semua anggota PKR.

"Ada pimpinan kanan yang memeperlekahkan usaha untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

"Ada yang kata (menulis di media sosial) bahawa masa Anwar sudah berakhir, ada kata perlu kepada pilihan yang baru," katanya ketika menyampaikam ucapan penggulungan pada Kongres PKR Ke-13 di Shah Alam, hari ini.
-malaysiakini

Zahid ajak PAS bercantum

Untuk kali pertama secara terbuka Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara jelas mempelawa PAS untuk bersama-sama dengan mereka dalam gerakan politiknya.

Bertempat di pekan Kampung Gajah Ahmad Zahid berkata Umno mengakui mereka tersilap kerana bermusuhan dengan PAS selama ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu bagaimanapun menyalahkan seorang "atok" atas permusuhan itu.

"Selama 61 tahun Umno memerintah, 22 tahun adalah di bawah kepimpinan beliau.

"Dia ajar kami membenci PAS, dia ajar kami membenci DAP tapi sekarang mereka sedang bercium mulut sesama sendiri," katanya yang jelas merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.

Namun Ahmad Zahid segera mahu melakukan 'pembetulan'. Katanya kesilapan itu tetap membawa hikmah.

Ketepi perbezaan atas nama Islam, Melayu

"Ya sheikh Tun Guru Haji Abdul Hadi Awang, insya-Allah Umno di bawah kepimpinan saya, kita bercantumlah.

"Kita bercantum, kita ketepikan perbezaan di kalangan kita atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan bumiputera," katanya disambut tepukan dan takbir orang ramai.

Ahmad Zahid berkata demikian pada suatu majlis ceramah "Himpunan perpaduan ummah" anjuran dua parti itu di Pasir Salak, malam ini.

Bagaimanapun Abdul Hadi yang mengambil giliran berucap selepas Ahmad Zahid tidak mengulas langsung mengenai pelawaan Ahmad Zahid itu.

Sebaliknya presiden PAS itu sekadar mengulangi tentangan parti terbabit kepada Icerd dan memberi amaran untuk turun ke jalan raya jika kerajaan tetap mahu mengiktiraf konvensyen berkenaan.

Himpunan itu turut dihadiri ramai pemimpin kanan Umno termasuk Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung Annuar Musa dan Noh Omar.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan seorang lagi naib presiden Khaled Nordin tidak kelihatan.

Rafizi antara nama calon untuk PRK Rantau, kata Anwar

Mohamad Fadli
SHAH ALAM:
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rafizi Ramli adalah antara calon yang dicadangkan oleh PKR untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan.

Bakal presiden baru PKR itu berkata bagaimanapun calon yang akan dipertaruhkan itu nanti mestilah terlebih dahulu melalui proses pemilihan dalam parti.

“Macam ini, pertama, prosesnya bermula dari cabang, negeri, biro politik dan kemudian baru (akan diputuskan) presiden (PKR) pada masa itu.

“Jadi proses sekarang ini, saya tidak ambil apa-apa sikap (pendirian lagi). Nama Rafizi ada dibangkitkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Kongres Nasional PKR ke-13 di Ideal Convention Center Sdn Bhd (IDCC), di sini, hari ini.

Beliau menambah, PKR akan mematuhi proses dalaman parti dalam menamakan calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) Rantau.

Beliau bagaimanapun berkata, Rafizi lebih layak bertanding di kerusi lebih tinggi daripada kerusi DUN.

Semalam, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau Mei lepas, tidak sah dan terbatal, selepas hakim membenarkan petisyen difailkan bekas calon PKR, Dr Streram Sinnasamy.

Pada hari pencalonan 28 April lalu, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satu pencabar beliau, Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas masuk yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pakar bius itu kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei bagi memohon satu PRK diadakan di kerusi terbabit kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.

Hakim Datuk Azimah Omar menerima petisyen yang difailkan Streram untuk membatalkan keputusan pilihan raya kerusi berkenaan.

Azimah berkata, Mohamad tidak dipilih secara sah, dan kerusi tersebut akan ditandingi sekiranya Streram dibenarkan memfailkan kertas pencalonannya pada 28 April lepas, sekali gus membuka jalan kepada PRK diadakan di situ.

Dalam pada itu, bekas ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyuarakan bantahan sekiranya Streram dicalonkan semula untuk bertanding di DUN tersebut.

Sebaliknya, Zuraida mencadangkan PKR menamakan seorang calon wanita untuk bertanding menggantikan Streram.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak akan bertanding, selepas Umno mengumumkan akan menurunkan Mohamad untuk mempertahankan kerusi DUN yang dimenanginya sejak 2004.