Alif Hakim, 15, trauma selepas menjadi mangsa kepada seorang ustaz bernafsu songsang. – The Malaysian Mirror, 24 Mei, 2016.
Harapan seorang ibu, Norhafiza Zabiri, 39, untuk melihat anaknya menjadi seorang Tahfiz hafaz Al-Quran berkecai gara-gara seorang ustaz yang mempunyai nafsu songsang bertindak mencabul anak lelakinya, Alif Hakim sehingga terpaksa melarikan diri dari sekolah.
Lebih mengecewakan ibu kepada 8 orang anak itu, pihak sekolah Madrasah Tahfiz Darul Riyadh Rantau Panjang tersebut tidak mengambil tindakan terhadap ustaz yang tidak bertanggungjawab tersebut sebaliknya mendakwa anaknya berbohong mengenai insiden tersebut.
Menceritakan kisah hitam dialami anaknya itu, Norhafiza yang berang dengan pihak pengurusan tersebut sudah membuat laporan polis namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan susulan diambil.
Sebaliknya, pengetua madrasah tersebut menyuruh Norhafiza supaya menarik semula laporan polis dibuatnya atas alasan ia akan menjejaskan dana yang diterima oleh sekolah tersebut.
Anak lelakinya itu memulakan persekolahan di madrasah tersebut pada 9 Januari 2015 sehinggalah melarikan diri pada 29 Januari 2016.
Difahamkan, madrasah tersebut mendapat dana dan sumbangan daripada kerajaan negeri.
Diraba dan dicium ustaz bernama Wan Mat
Alif, ketika insiden itu berlaku berusia 14 tahun berkongsi pengalaman kisah hitamnya diraba dan dicium oleh ustaz tersebut yang berusia sekitar 40 tahun.
Pada permulaan, ustaz tersebut mula merapatkan diri dengan Alif dan mengambil berat tentang persekolahan remaja tersebut, kemudiaan ustaz tersebut mula mengajak Alif ke biliknya dan daripada situ bermula episod hitam dalam hidup remaja tersebut.
“Pada mulanya, dia ambil berat pada saya dan banyak bertanya tentang keluarga serta bertanya sama ada terdapat pelajar senior yang mengganggu saya atau tidak.
“Ustaz mula ajak minum bersama dan bawa saya naik motor bersama,” kata Alif menceritakan pengalamannya.
Alif tidak mempunyai prasangka buruk terhadap ustaz tersebut sehinggalah sebulan selepas ustaz itu mula menunjukkan dirinya yang sebenar.
“Semasa dalam bilik, ustaz mula menunjukkan sifat buruknya itu.
“Dia mula meraba-raba dan mencium saya. Berkali-kali dia cium dileher dan banyak tempat lain lagi,” kata Alif yang jijik dengan perbuatan terkutuk ustaz tersebut.
Alif menjauhkan diri daripada ustaz
Selepas insiden jijik dalam bilik ustaz tersebut, Alif berasa marah dan kecewa dengan tindakan terkutuk tersebut dan mula menjauhkan diri sehingga mula ponteng sekolah kerana tidak mahu melihat wajah ustaz tersebut.
“Selepas itu saya mula ponteng sekolah dan tidak ke kelas,” katanya.
Alif juga menceritakan ustaz tersebut tidak berpuas hati dengan tindakannya menjauhkan diri dan membuat tuduhan mengatakan terlibat mencuri barang pelajar serta menghukumnya dengan merotan.
Ramai pelajar berpindah kerana insiden sama
Menurut Alif, ramai pelajar lain yang senasib dengan beliau dan ibu bapa terpaksa mengambil keputusan memindahkan anak mereka ke sekolah lain.
“Ramai pelajar lain yang mengalami insiden sama dan berpindah ke sekolah lain,” katanya.
Menurut Norhafiza, ibu bapa pelajar yang mendapati anak mereka menjadi mangsa perbuatan terkutuk enggan mengambil tindakan kerana malu anak mereka diperlakukan sedemikian dan tidak mahu memperbesarkan isu.
“Ramai ibu bapa di sekolah itu anak mereka mengalami insiden sama, tapi mungkin mereka malu dan tidak mahu memperbesarkan isu,” kata beliau.
Alif trauma, 2 kali berjumpa pakar dapatkan rawatan
Insiden tersebut nyata memberi kesan psikologi kepada Alif, menurut Norhafiza, anaknya itu sudah berjumpa dua kali dengan pakar psikiatri bagi mendapatkan nasihat dan rawatan lanjut untuk menstabilkan semula emosinya yang terganggu.
“Setakat ini, Alif sudah dua kali menjalani rawatan psikiatri di Puaat Rawatan UiTM, Selayang,” kata beliau.
Selepas menjalani dua kali rawatan, Norhafiza berkata anaknya sudah nampak ada perubahan dan tidak murung sentiasa seperti sebelumnya sejak melarikan diri daripada sekolah pada Januari lalu.
Ibu kecewa dan berhasrat untuk menyaman pengurusan madrasah
Norhafiza nyata marah dan tidak berpuas hati dengan pengurusan madrasah tersebut, menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak ada sebarang tindakan diambil.
Norhafiza menuntut keadilan bagi anaknya yang tertekan tidak dapat menerima tindakan ustaz bernama Wan Mat.
“Saya sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas madrasah anak saya tapi saya menyedari kos yang tinggi perlu ditanggung,” katanya.
Beliau juga mengalu-alukan pihak sukarelawan guaman untuk membantunya mengambil tindakan undang-undang terhadap madrasah itu. – 24 Mei, 2016.