"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kebakaran dahsyat bunuh 18,000 lembu

AFP

Texas: Letupan dan kebakaran mengerikan di sebuah ladang tenusu di Texas Amerika Syarikat, membunuh 18,000 lembu dan mencederakan seorang petani.

Kejadian itu berlaku di Southfork Dairy Farms berhampiran bandar Dimmitt, Texas Panhandle, malam Isnin lalu.

Pesuruhjaya Pertanian Texas, Sid Miller menyifatkan kejadian terburuk sejarah ladang Texas.

Katanya, penyiasatan serta pembersihan mungkin mengambil sedikit masa.

Pejabat Sherif Castro berkata, pihaknya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Mangsa berjaya diselamatkan dan diterbangkan ke hospital di Lubbock, katanya dalam Facebook.

Sherif Castro Sal Rivera memberitahu sekutu CBS di Amarillo berkata, sistem untuk mengeluarkan baja dari kandang mungkin terlalu panas hingga menyebabkan tragedi itu.

"Metana mungkin menyala sebelum merebak dengan letupan dan kebakaran.

"Namun, siasatan perlu dilakukan bagi menentukan punca tepat kejadian," katanya.

Sementara itu, Institut Kebajikan Haiwan menggesa pemilik ladang mempertingkatkan langkah keselamatan kebakaran bagi melindungi haiwan ternakan.

Suami tangkap isteri sorok kekasih gelap bawah katil

Kosmo!
Wanita itu berusaha menghalang suaminya memasuki bilik mereka. - TikTok
JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia ditangkap basah oleh suaminya sendiri apabila dia didapati menyembunyikan kekasihnya di bawah katil dalam bilik tidur mereka, lapor laman berita Liputan 6 semalam.

Video kejadian dimuat naik dalam akaun TikTok @ajiwsudarsono.

Si suami bersama beberapa penduduk kampung pada awalnya dilihat mengetuk pintu sebuah bilik. 

Isteri lelaki berkenaan kemudian membuka pintu bilik dalam keadaan mencurigakan. 

Ketika wanita itu disoal siasat, dia cuba menghalang suaminya daripada memasuki bilik itu, malah lampu juga ditutup.

Si suami kemudian membuka lampu bilik dan menyerbu masuk. Penipuan wanita itu terbongkar apabila mereka menemui seorang lelaki bersembunyi di bawah katil.

Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Lama betul menyorok bawah katil,” komen seorang netizen. – Agensi

Kelantan: Angkara pemandu positif dadah, guru besar maut dalam perjalanan agih bantuan

Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my

KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan seorang maut. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan seorang maut. FOTO ihsan pembaca
Pasir Puteh: Guru besar meninggal dunia selepas motosikal ditunggang mangsa terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 12 Jalan Pasir Puteh - Machang - Gerik, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Wan Ab Hisham Wan Noh, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan berkonvoi bersama rakan untuk menyampaikan sumbangan Ramadan kepada anak-anak yatim di Machang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kemalangan membabitkan Perodua Myvi, Perodua Kelisa dan motosikal jenis Yamaha NVX.

Katanya, siasatan awal mendapati Perodua Kelisa dipandu wanita berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Machang ke Pasir Puteh sebelum dirempuh Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 39 dari arah belakang.

"Rempuhan menyebabkan Perodua Kelisa memasuki laluan bertentangan dan merempuh pula motosikal ditunggang mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaizul berkata, mangsa yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali mengalami kecederaan di kepala.

"Pemandu Perodua Kelisa cedera ringan, manakala pemandu serta penumpang Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Katanya, ujian air kencing mendapati pemandu Perodua Myvi positif Methamphetamine.

"Kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan, saksi bebas sudah dikesan dan dirakam percakapan serta tangkapan dibuat terhadap pemandu Perodua Myvi," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Wanita menangis atas jambatan

Nurul Hidayah Bahaudin
bhnews@bh.com.my
Wanita yang ditemukan orang awam dalam keadaan menangis berada di atas Jambatan Wawasan, Presint 2, Putrajaya, semalam. - Foto ihsan pembaca
Wanita yang ditemukan orang awam dalam keadaan menangis berada di atas Jambatan Wawasan, Presint 2, Putrajaya, semalam. - Foto ihsan pembaca
PUTRAJAYA: Tindakan pantas orang awam berjaya memujuk seorang wanita dalam keadaan menangis di atas Jambatan Wawasan, Presint 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya mengesan satu hantaran TikTok menerusi akaun Edywoo mengenai seorang wanita berada di atas jambatan itu dalam keadaan menangis dan mencurigakan, semalam.

"Bertindak atas maklumat selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai, Unit Kereta Peronda Polis (MPV) bergerak ke lokasi dan membawa wanita itu ke Balai polis Presint 7 untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati wanita berkenaan yang juga suri rumah berusia 30-an pergi ke jambatan itu kira-kira 11 pagi, semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asmadi berkata, orang awam yang melalui jambatan itu dikatakan melihat wanita berkenaan dalam keadaan menangis jam 11.40 pagi, sebelum berjaya memujuknya.

"Soal siasat terhadap mangsa mendapati wanita itu mengalami tekanan perasaan kerana keputusan mahkamah ke atas satu kes tuntutan sivil tidak berpihak kepadanya.

"Wanita itu dikehendaki membayar sejumlah wang ekoran keputusan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tujuan wanita berkenaan berada di jambatan itu bukan berniat untuk membunuh diri.

"Difahamkan, dia hanya mahu menenangkan perasaan akibat tertekan kerana keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepadanya.

"Pihak keluarga wanita itu dipanggil untuk membantu siasatan dan dia sudah dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan berhubung dengan pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang masalah serta tidak mengambil tindakan melulu.

Polis buka siasatan kekecohan di Pasar Raja Bot

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
TANGKAP layar video memaparkan kekecohan di Pasar Raja Bot, Chow Kit. FOTO tular
TANGKAP layar video memaparkan kekecohan di Pasar Raja Bot, Chow Kit. FOTO tular
Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan membabitkan beberapa individu di Pasar Raja Bot, Chow Kit, di sini, yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan hantaran yang tag pada Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM), 8.30 malam tadi.

"Hantaran itu milik akaun mambiar24 yang memaparkan satu video Tiktok milik akaun mustafa_khan1992 yang memaparkan insiden kekecohan berkenaan.

"Siasatan awal dilakukan mendapati hantaran asal video itu adalah di platform Tik Tok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan ke atas video sama yang tular pada 11 April lalu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Siasatan sedang berjalan dan beberapa individu serta pihak tertentu sudah dipanggil untuk diambil keterangan.

"Ia bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Penyeludupan 336kg heroin ke Australia: Anwar naik angin dengan kastam

PM arah siasat penyeludupan 336kg heroin ke Australia
Predeep Nambiar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Kastam menyediakan laporan itu dalam tempoh dua minggu. (Gambar Australia Federal Police) (Gambar Australia Federal Police )
SUNGAI PETANI: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Kastam menyediakan laporan penuh berhubung penyeludupan dadah jenis heroin bernilai RM790 juta tanpa dikesan dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Australia pada Mac lalu.

Rampasan 336kg heroin oleh pihak berkuasa Australia itu dilaporkan kedua terbesar di negara itu.

“Jika dibuktikan sah kerana ia dari Pelabuhan Klang ia sangat memalukan. Soalnya bagaimana boleh dalam sistem yang canggih sekarang ini boleh bolos. Ia bukan soal kecil tetapi tunjuk kelemahan dalam sistem kita,” ujarnya.

Kata Anwar, pihaknya memberi tempoh dua minggu kepada Kastam untuk menyediakan laporan penuh berhubung kes penyeludupan berkenaan.

Guru renang mengaku salah rogol, amang seksual anak tiri

Bernama

Seorang pengajar kelas renang didakwa di dua Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini atas 32 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya sejak berusia 12 tahun.

“Saya mengaku salah,” kata tertuduh, 37, selepas pertuduhan dibacakan masing-masing 16 pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mahkamah menetapkan 15 Mei ini untuk menjatuhkan hukuman selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N. Sivashangari memohon tarikh itu untuk mengemukakan fakta kes.

Pihak pendakwaan juga memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan semua kesalahan tersebut di Taman Maju, Jasin antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023.

Dia menghadapi 11 pertuduhan merogol ketika mangsa berumur 12 tahun di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat dan satu pertuduhan merogol semasa mangsa berumur 16 tahun di bawah Seksyen 376(1) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Dia juga berdepan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks tanpa kebenaran mangsa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Lelaki itu turut didakwa atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

- Bernama

Anwar: Penahanan pegawai kanan menteri keputusan SPRM

Bernama

Penahanan beberapa pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan keputusan badan itu sepenuhnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau hanya meminta SPRM untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja sekiranya mempunyai asas untuk berbuat demikian.

“Jangan kita mendahului daripada segi menjangka apa-apa yang lain kerana saya tidak ada pemakluman selain daripada dimaklum tentang penahanan (jika) tak salah tiga orang pegawai di kementerian (sumber manusia),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini.

Media melaporkan pegawai kanan kepada V Sivakumar ditahan SPRM dalam serbuan di kementerian itu pagi semalam sementara seorang lagi pegawai kanan kepada menteri berkenaan ditahan hari ini bagi membantu siasatan.

Penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek telah menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.

- Bernama

Kelantan: Dua anggota polis cedera, ditikam pengedar dadah

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas bergelut dengan pengedar dadah di Kampung Siput, Meranti, di sini, semalam.

Mangsa, Lans Koperal Muhamad Arif Ismail, 28, mengalami kecederaan pada bahagian belakang akibat ditikam selain luka pada pergelangan tangan serta pipi, manakala, Lans Koperal Aminullah Islahudin, 29, cedera di lengan kiri, tangan dan tapak tangan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian kedua-dua anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, itu membuat serbuan ke atas lelaki berusia 30 tahun selepas terserempak suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota, suspek bertindak agresif menyebabkan berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak menyerang kedua-dua anggota menggunakan pisau sehingga berlaku kecederaan.

"Bagaimanapun, suspek yang turut cedera di muka berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan mendapati plastik yang dipegangnya mengandungi 12,000 biji pil kuda dan 282.9 gram heroin bernilai RM232,000.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif Methamphetamine.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang media di IPK Kota Bharu, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kedua-dua anggota yang cedera dalam keadaan stabil dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini

Lelaki mengamuk kerana gagal pikat isteri orang

KOSMO!
Sukanya ditendang pada bahagian wajah oleh suspek. – ThaiRath
BANGKOK – Seorang lelaki menyerang enam individu termasuk seorang  wanita kerana menolak permintaannya untuk mendapatkan akaun aplikasi mesej  Line milik mangsa, lapor laman berita Thaiger semalam.

Menurut salah seorang mangsa yang merupakan suami kepada wanita berkenaan, Adisak Wiatesing, 24, dia membuat laporan polis selepas mereka diserang suspek, Pae pada 10 April lalu.

Adisak berkata, dia ketika itu pergi ke sebuah bar bersama isterinya, Sukanya Thaweechokkamthorn, 27 dan empat rakan mereka. 

Ketika pergi ke tandas,  Sukanya  menanti suaminya di bahagian hadapan bar  itu secara  berseorangan apabila dia didatangi oleh Pae.

Suspek meminta akaun Line wanita itu namun tidak dilayan oleh Sukanya.

Selepas keluar dari tandas, Adisak memberitahu suspek bahawa dia ialah suami kepada Sukanya sebelum mereka kembali ke meja makan.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, suspek mengekori mereka dan memintas kenderaan yang dinaiki pasangan itu. 

Suspek kemudian menyerang Adisak dan rakan-rakannya sejurus mereka keluar dari kereta.

“Saya tidak mengalami kecederaan teruk, namun amat marah kerana suspek menendang muka isteri saya.

“Dia melakukan perkara itu kepada wanita. Saya tidak akan berhenti menuntut keadilan bagi pihak isteri saya,” kata Adisak.

Menurutnya, suspek mengunjungi bar tersebut bersama teman wanitanya, justeru dia tidak memahami mengapa lelaki tersebut cuba mengganggu isteri orang.

Menurut pegawai polis, suspek telah dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis pada 18 April ini. – Agensi

Wanita maut diserang tiga ekor anjing besar

Agensi
MAYAT Hirawani ditemui dikelilingi tiga ekor anjing besar. FOTO Agensi.
MAYAT Hirawani ditemui dikelilingi tiga ekor anjing besar. FOTO Agensi.
Wellington: Mayat seorang penternak ditemui dalam keadaan ngeri dipercayai diserang tiga ekor anjing besar yang dipeliharanya.

Rikiana Hirawani, 33, ditemui mati di rumahnya di Christchurch, New Zealand, pada Selasa lalu.

Polis yang memeriksa kediamannya mendapati mayatnya dikelilingi tiga ekor anjing putih besar.

Jirannya memaklumkan bahawa mayatnya ditemui dalam keadaan perut terburai.

Saksi berkenaan memaklumkan mereka menjerit supaya haiwan itu menjauhkan diri daripada mayat sehingga polis tiba.

Katanya, Hirawani tidak melayan anjing itu dengan baik, sebaliknya menjadikan mereka sebagai "pembuat wang".

Polis dan pihak berkuasa kawalan haiwan akhirnya berjaya mengeluarkan anjing berkenaan dari rumah itu.

Seekor anjing ditangkap di hadapan rumah itu manakala polis menyerbu taman belakang untuk mencari dua yang lain.

Detektif Polis New Zealand Sarjan Kanan Colin Baillie berkata kematian Hirawani tidak dianggap sebagai mencurigakan dan akan dirujuk kepada koroner.

"Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan keadaan yang menyebabkan kematian Hirawani," katanya dalam satu kenyataan.

Lelaki maut jatuh bangunan pusat beli-belah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan maut dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sebuah pusat beli-belah di Jalan Lapan Belas, Kota Kinabalu.

Menurut laporan Harian Metro, lelaki berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, dalam kejadian 3.24 petang.

Ketua Polis Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan di tempat kejadian mendapati lelaki terbabit terjatuh dari bangunan dan berada dalam keadaan meniarap di atas lantai luar bangunan berkenaan.

“Pemeriksaan di tingkat lima mendapati sepasang selipar dipercayai milik mangsa masih berada di situ.

“Mangsa mengalami parah di kepala dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, siasatan berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Budak curi bas pandu lebih 100 kilometer

KOSMO!

SINGAPURA – Seorang budak lelaki mencuri sebuah bas persendirian milik syarikat A&S Transit dan memandunya selama lima jam di serata Singapura pagi semalam, lapor laman berita Mothership.

Ketika kejadian, budak lelaki itu menempuh perjalanan 100 kilometer merentasi Tampines, Bedok, Pasir Ris dan Punggol.

Gambar kejadian dimuat naik di laman Instagram dan dihantar kepada Mothership oleh seorang pembaca.

Dalam salah satu gambar berkenaan, perjalanan budak lelaki itu berakhir dengan dia ditahan oleh anggota polis.

Catatan Instagram dalam akaun sama juga menyebut bahawa budak itu telah menghabiskan kira-kira suku tangki minyak diesel.

Budak lelaki itu didakwa mencuba nasib menghidupkan enjin bas secara rambang pada malam hari kejadian.

Polis Singapura berkata, mereka dimaklumkan mengenai kes curi kenderaan bermotor di sepanjang jalan Tampines Avenue 10 pada 12 April pukul 12:04 tengah hari (waktu tempatan).

Siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan. – Agensi

Bakar bekas kekasih hidup-hidup

LIMA: Seorang lelaki yang disyaki membakar bekas kekasihnya hidup-hidup di Peru, berjaya ditahan selepas dikesan berada di Colombia, menurut kerajaan di Lima, semalam.

Sergio Tarache Parra, 19, didakwa membakar Katherine Gomez, 18, menggunakan petrol pada 18 Mac lalu, beberapa hari selepas gadis itu memutuskan hubungan dengan suspek.

Mangsa yang mengalami lecur 60 peratus tubuhnya, dikejarkan ke hospital, tetapi meninggal dunia enam hari kemudian.

Kementerian Dalam Negeri Peru berkata, suspek akan dipindahkan dari Colombia ke Peru untuk dihadapkan ke mahkamah.

Sebelum ini, rakaman kamera keselamatan menunjukkan penyerang Gomez melarikan diri dari tempat kejadian. Susulan itu, polis Peru menawarkan ganjaran bersamaan nilai AS$12,500 untuk maklumat yang boleh membawa kepada penangkapannya.

Notis merah INTERPOL juga dikeluarkan untuk penahanan Tarache, menurut Konsulat Peru di Bogota. - AFP

Lelaki ditahan cuba cabul, tunjuk kemaluan

Melvin Joni
am@hmetro.com.my

Padawan: Seorang lelaki ditahan kerana cuba mencabul beberapa wanita dan melakukan kelucahan melampau dengan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, jam 1.15 tengah hari tadi di sebuah kilang di Jalan Batu Kawa.

Katanya, tangkapan ke atas suspek hasil daripada maklumat orang awam.

"Setakat ini, polis menerima sebanyak enam laporan kejadian mangsa cuba dicabul kehormatan dan tindakan suspek melakukan kelucahan melampau.

"Suspek mengekori mangsa dan apabila tiba di kawasan sunyi, suspek mengambil kesempatan menunjukkan kemaluannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, polis turut merampas sebuah motosikal, dua topi keledar dan pakaian suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek direman di Mahkamah Kuching esok untuk siasatan lanjut.

Rangka mayat mangsa bunuh ditemui dalam beg di perhentian bas Kulai

Muhammad Aiman Hakeemn

Rangka mayat mangsa bunuh ditemui dalam beg di perhentian bas

Bedah siasat turut menemukan kesan kecederaan di bawah kulit bahagian kepala mangsa, namun punca kematian sedang dikenal pasti. - Gambar/ Astro AWANI

KULAI: Sebuah beg berisi rangka mayat wanita berusia dalam lingkungan 25 tahun yang dipercayai mangsa bunuh ditemui di sebuah hentian bas Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), di sini, pada Rabu.

Beg berkenaan ditemukan oleh orang awam sebelum melaporkannya kepada pihak polis, kira-kira jam 1.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, Pasukan Forensik kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan terhadap rangka mayat terbabit.

Menurut beliau, berdasarkan pemeriksaan awal, keadaan mayat didapati reput 50 peratus, dipercayai telah meninggal dunia selama tempoh dua minggu.

"Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, rangka mayat dalam beg berkenaan sukar untuk dikenal pasti jantina, umur dan tempoh kematian.

"Ia berikutan keadaan mayat yang telah mereput lebih 50 peratus pandangan mata kasar dan telah ada ulat.

"Rangka mayat tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bharu bagi proses bedah siasat.

"Pada Khamis, pakar patologi HSA mendedahkan jantina mayat adalah perempuan berumur anggaran 25 tahun ke atas," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, bedah siasat turut menemukan kesan kecederaan di bawah kulit bahagian kepala mangsa, namun punca kematian sedang dikenal pasti.

Jelas Beng Yow, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, polis turut mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bagi membantu siasatan.

Janganlah buat rakyat rasa terjajah di negara sendiri :Henti terus bawa masuk pekerja

SAUDARA PENGARANG,

TERKEJUT apabila mendengar berita hampir sejuta kuota pekerja asing telah diluluskan setakat ini.

Ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud memberitahu, sehingga 14 Mac lalu sebanyak 995,396 kuota pekerja asing diluluskan Kementerian Sumber Manusia.

Daripada jumlah itu, sebanyak 84.7 peratus kuota pekerja asing dibayar levi oleh majikan.

Mustapha berkata, daripada jumlah kuota diluluskan itu, sektor perkilangan adalah yang tertinggi diikuti pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Alangkah tidak logiknya Malaysia hendak membawa masuk pekerja luar seramai itu sedangkan pekerja asing di dalam negara masih berlambak termasuk berstatus pendatang haram.

Mujurlah permohonan baharu diberhentikan sementara waktu oleh kerajaan. Kalau boleh biarlah hentikan terus pengambilan baharu pekerja asing dalam setahun dua ini.

Ini kerana Malaysia mempunyai lambakan pekerja asing di mana-mana sahaja. Di bandar, kampung mahupun di hutan pun mereka buka penempatan sendiri.

Cubalah berjalan-jalan di ibu kota terutama di Jalan Silang, Pasar Seni dan Kota Raya. Hanya orang mereka di sana. Tidak perlu lagi tunggu hari minggu untuk melihat mereka berkumpul. Di sana sudah seperti berada di Bangladesh dan Nepal.

Lebih memberi kesan kepada rakyat,
golongan pendatang asing mampu membuka kedai secara bebas seolah-olah negara ini milik mereka.

Jadi, jika dilihat, penambahan hampir sejuta pekerja asing akan membuatkan keadaan semakin parah kerana ia lagi sukar untuk dikawal. Bukankah pada masa sama kerajaan sedang menjalankan program pemutihan atau nama baharunya rekalibrasi? Janganlah buat rakyat rasa terjajah di negara sendiri.-UTUSAN

PEMERHATI
Kuala Lumpur

‘MP PAS boleh didakwa menghasut berhubung soalan provokatif’

Malaysiakini 

Sambil menyatakan bahawa tiada kebebasan bersuara mutlak di Parlimen, pemimpin DAP P Ramasamy berkata ahli parlimen PAS Ismail Abd Muttalib boleh didakwa di bawah Akta Hasutan berhubung soalan provokatifnya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dia juga menggesa supaya ahli parlimen Maran itu meletak jawatan, dengan alasan Ismail tidak layak menjadi wakil rakyat.

Pada nota sama, timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu meragui jika kepimpinan PAS atau Perikatan Nasional akan mengambil tindakan terhadap Ismail.

“Kadang-kadang, saya tertanya-tanya sama ada terdapat perbezaan di antara beberapa wakil rakyat kita dan bekas penyokong tegar sistem apartheid di Afrika Selatan.

“Ismail menyoal, apakah benar kerajaan berhasrat untuk memberi pengiktirafan kepada rakyat yang lahir selepas merdeka tanpa mengira warna kulit, mengapa kampung baru Cina masih dikekalkan meskipun masih wujud komunisme di tempat tersebut dan jika kerajaan negeri DAP di Pulau Pinang mendesak supaya laungan azan di negeri itu diharamkan.

“Adalah pelik bahawa selepas lebih enam dekad kemerdekaan, negara yang menjadi penandatangan kepada pelbagai konvensyen PBB mengenai hak asasi manusia, dan menentang sistem apartheid di Afrika Selatan, serta pembela gerakan emansipasi lain, ahli Parlimen hari ini - bukan kejutan seorang ahli PAS - mempunyai keberanian untuk membangkitkan soalan-soalan yang menjengkelkan jika tidak sekalipun benar-benar bodoh,” tambahnya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Ismail antara lain, mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat meminta kerajaan mewajarkan rasionalnya untuk "mengiktiraf" rakyat yang dilahirkan selepas merdeka di Malaysia tanpa mengira "warna kulit".

Ramasamy berkata kewarganegaraan bukan "sains roket" dan proses itu tidak melibatkan warna kulit.

“Bagaimana warna kulit boleh menjadi kriteria penentuan kerakyatan di Malaysia? Rakyat Malaysia tidak berkulit putih tetapi mempunyai pelbagai  warna kulit yang berbeza,” tambahnya.

Sementara itu, Ismail turut mempersoalkan mengapa kampung baharu Cina masih dikekalkan dan jika komunisme masih wujud di tempat tersebut.

Menjawab soalan itu,  Ramasamy berkata kampung baharu itu ditubuhkan semasa darurat untuk menghentikan gangguan komunis terhadap penduduk kampung.

Pemimpin DAP itu berkata, bahawa banyak daripada kampung-kampung berkenaan telah berubah menjadi kawasan bandar yang berkembang maju dan untuk mencadangkan bahawa terdapat pengaruh komunis adalah tidak bijak.

Justeru, Ramasamy berkata Ismail cuba meniupkan api perkauman untuk menghasut masyarakat Cina yang "rajin dan bekerja keras” itu.

“Jika dua soalan sebelum ini tidak cukup buruk, dakwaannya terhadap  kerajaan negeri DAP Pulau Pinang yang kononnya melarang laungan  azan adalah berbaur hasutan dan cuba mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Tidak ada perkara seperti kebebasan bersuara mutlak di Parlimen. Malah, Ismail boleh didakwa atas kesalahan menghasut,” katanya lagi.

Walaupun Ismail tidak menyebut negeri mana yang dimaksudkannya, maklumat palsu berhubung larangan pembesar suara masjid untuk azan di Pulau Pinang telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2011.

Maklumat salah ini telah dibangkitkan berulang kali selama bertahun-tahun untuk menyerang pentadbiran negeri pimpinan DAP walaupun beberapa penjelasan telah dibuat.

Larangan adalah terhadap penggunaan pembesar suara untuk bacaan ayat-ayat al-Quran sebelum solat subuh, dan bukannya terhadap laungan azan itu sendiri.

Pembantu menteri sumber manusia ditahan SPRM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pembantu Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menurut sumber.

Katanya, pembantu itu yang merupakan pegawai kanan Sivakumar, ditahan bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

Difahamkan, penahanan mereka ada kaitan siasatan membabitkan pengambilan pekerja asing.

FMT sudah menghubungi pejabat Sivakumar dan SPRM untuk mendapatkan pengesahan.

Mahfuz tuntut Sanusi mohon maaf

Sinar Harian 

ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar pada Selasa menempelak tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirkannya daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara.

Mahfuz ketika dihubungi Bernama mendakwa ia satu kenyataan yang sangat jahat dan menyifatkan Menteri Besar Kedah itu cuba menarik simpati orang ramai dengan menggambarkan seolah-olah negeri Kedah dianiaya melalui penganiayaan terhadap dirinya.

"Sedangkan dia (Muhammad Sanusi) sendiri menyatakan bahawa dia tidak ada bukti, macam mana dia bercakap tak ada bukti (dan) boleh dilontarkan kepada umum sedemikian rupa? Ini satu perbuatan jahat untuk menggambarkan keburukan dan mencalarkan imej Kerajaan Perpaduan.

"...bagi saya ia sesuatu yang sangat tidak menggambarkan kebijaksanaan, kebertanggungjawabannya sebagai seorang Menteri Besar (yang) bercakap tanpa bukti,...cakap tanpa bukti adalah fitnah,” katanya.

Ahad lepas, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa ada usaha untuk menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara, dan beliau turut mendakwa gerakan itu berlaku akibat kelantangannya mengkritik Kerajaan Persekutuan.

Mahfuz menegaskan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keanggotaan Majlis Kewangan Negara adalah terdiri daripada seorang Perdana Menteri atau mana-mana menteri dilantik dan seorang wakil dari setiap negeri yang diperkenan oleh Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, itu bermakna hanya Sultan Kedah boleh menyingkirkan Menteri Besar Kedah daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara, sekali gus dakwaan Muhammad Sanusi itu seolah-oleh merendahkan keupayaan dan martabat seorang Sultan.

"Maknanya ikut kuasa mutlak Sultan untuk nak letak siapa pun bagi mewakili Kedah ke dalam Majlis Kewangan Negara. Jadi bila dia (Muhammad Sanusi) menyatakan bahawa ada orang yang sedang melobi Sultan, dia merendahkan Sultan, seolah-olah seorang Sultan ini tidak boleh buat keputusan dan nilai sendiri siapa yang mewakili negeri,” katanya.

Pengampunan untuk Najib akan menghakis keyakinan terhadap proses kehakiman, menjejaskan kedaulatan undang-undang dan mempersendakan pentadbiran keadilan

Pengampunan Najib: Aliran mahu Anwar tarik diri
Malaysiakini 

Pertubuhan Aliran berpendapat Anwar Ibrahim wajar menarik diri daripada sebarang pembabitan dalam lembaga pengampunan yang meneliti permohonan membebaskan Najib Razak.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, jawatankuasa eksekutir badan itu berkata Anwar boleh berada dalam keadaan memiliki konflik kepentingan dalam isu tersebut.

Kata Aliran, selepas PRU pada Nov tahun lalu ramai yang menganggap perdana menteri ke-10 itu berada di bawah tekanan untuk menggunakan pengaruhnya bagi membebaskan bekas presiden Umno berkenaan.

"Kami berharap bukan itulah yang berlaku, namun begitulah tanggapan yang wujud di luar sana dalam kalangan sesetengah pihak," katanya.

Aliran juga melihat Umno begitu tergesa-gesa mendesak agar untuk mendapatkan "pengampunan awal bagi penjenayah, Najib Razak" menggunakan hujah seorang daripada 14 hakim yang meneliti kes tersebut.

Siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pula, menurut Aliran, menunjukkan agensi terbabit sudah melangkaui bidang kuasa yang ada padanya.

"Sungguh ironis apabila SPRM berpendapat mereka wajar untuk terlibat di dalam hal ini (siasatan ke atas hakim Mohd Nazlan) apabila ketuanya sendiri, Azam Baki, masih terperangkap dalam kontroversi yang tidak dapat diselesaikan berhubung pembelian sahamnya.

"Kontroversi ini sangat mencemarkan nama baik SPRM," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh Aliran:

Umno nampaknya tergesa-gesa untuk mendesak pengampunan awal bat penjenayah, Najib Razak, menggunakan hanya satu perbezaan pendapat dalam keputusan bersalah oleh 13 hakim lain di mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan serta dalam dua panel Mahkamah Persekutuan.

Kami bimbang dengan perkembangan semasa yang kelihatan seperti kempen bersepadu dalam memanipulasi fakta dan maklumat yang salah tentang bagaimana sistem pentadbiran keadilan berfungsi, serta percubaan menjejaskan kemuktamadan proses di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pertama sekali, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya terlibat menyiasat hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas dakwaan percanggahan kepentingan.

Menteri undang-undang, Azalina Othman, perlu menjelaskan keadaan itu. Peguam Najib menegaskan bahawa dalam jawapan Azalina - pada 20 Mac lalu - kepada Muhammad Shafee Abdullah, menteri terbabit menyatakan bahawa “jawapan kepada soalan (yang telah diujarkan) adalah afirmatif”.

Shafee telah mengemukakan tiga soalan dalam suratnya bertarikh 15 Mac, termasuklah sama ada Mohd Nazlan mempunyai percanggahan kepentingan.

Namun, sebarang siasatan terhadap hakim yang telah mensabitkan Najib sepatutnya diserahkan kepada badan kehakiman yang mempunyai prosedur serta kod etika sendiri.

Putar belit tertutup

Pada 24 Feb semua tujuh hakim dalam panel di Mahkamah Persekutuan - diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat - memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan telah mengabaikan kebebasan dan protokol kehakiman.

Itu jelas menunjukkan SPRM telah melampaui bidang kuasanya. Sungguh ironis apabila SPRM berpendapat mereka wajar untuk terlibat di dalam hal ini apabila ketuanya sendiri, Azam Baki, masih terperangkap dalam kontroversi yang tidak dapat diselesaikan berhubung pembelian sahamnya. Kontroversi ini sangat mencemarkan nama baik SPRM.

Umno tidak seharusnya memintas dan membuat permohonan pengampunan sekarang dengan mendapatkan temu janji dengan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu harus diserahkan kepada lembaga pengampunan dan harus mengikut laluan biasa, bukannya jalan pintas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula harus menarik diri daripada sebarang pembabitan dalam lembaga pengampunan kerana beliau sendiri boleh berada dalam keadaan percanggahan kepentingan.

Banyak selok-belok dan putar belit yang berlaku secara tertutup selepas PRU pada Nov tahun lalu.

Ramai yang mengatakan wujud kemungkinan Anwar telah ditekan untuk menggunakan pengaruhnya dalam memohon pengampunan Najib sebagai balasan kepada kerjasama Umno dalam kerajaan perpaduan Anwar.

Kami berharap bukan itulah yang berlaku, namun begitulah tanggapan yang wujud di luar sana di kalangan sesetengah pihak.

Kami perhatikan bahawa pendapat umum sangat menolak pengampunan terhadap Najib dengan kira-kira 140,000 sudah pun menandatangani petisyen menentang pengampunan itu (bagi menandatangani petisyen) dengan hanya kurang daripada 10 peratus daripada yang menandatangani itu menyokong Najib dibebaskan (dalam petisyen lain).

Kami menggesa semua pihak untuk berhenti memberikan tekanan bagi Najib untuk dibebaskan awal. Keadaan itu hanya akan mengakibatkan kemudaratan yang tidak terkira kepada imej antarabangsa Malaysia serta keyakinan pelabur.

Ingat, ini adalah sebahagian daripada skandal kewangan terbesar di dunia. Ia sangat mencemarkan imej negara dan membebankan Malaysia dengan hutang yang sangat besar.

Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk meringankan penderitaan berjuta-juta rakyat biasa.

Ancam imej kerajaan Anwar

Pengampunan untuk Najib akan menghakis keyakinan terhadap proses kehakiman, menjejaskan kedaulatan undang-undang dan mempersendakan pentadbiran keadilan di Malaysia.

Ia bukan sahaja akan menjadi duluan (precedent) yang berbahaya, ia juga akan mempunyai kesan serius terhadap bagaimana undang-undang itu dilihat.

Ia akan memberi tanggapan bahawa jenayah kolar putih yang serius – walaupun melalui proses yang ketat melalui sistem perundangan Malaysia, melibatkan tempoh perbicaraan yang bertahun-tahun lamanya serta melibatkan sumber negara yang besar – boleh diampunkan dengan mudah hanya kerana status ‘kayangan’ seseorang penjenayah itu.

Ia akan menjadi sebuah kemenangan dalam percubaan memanipulasi serta pengolahan maklumat salah yang cuba menjejaskan keyakinan terhadap badan kehakiman.

Ia juga akan menghancurkan imej pentadbiran Anwar sebagai kerajaan reformis yang telah meletakkan sasaran bagi meningkatkan tadbir urus yang baik serta membaiki kerosakan besar yang berlaku pada masa lalu.

Diharapkan keadilan dan kebijaksanaan akan berlaku.

Polisi bodoh kerajaan bawa bencana: ‘Halalkan’ mercun, nikotin cemar kesucian hari raya

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

“Pendidikan dan pemba­ngunan jiwa anak bangsa perlu seiring dengan polisi yang digariskan kerajaan. Susah benar jika rakyat bawahan dan cerdik pandai mahu ke kanan, manakala pembuat polisi bertegas mahu ke kiri kerana sedikit laba yang dilihat mampu mengembungkan poket.”

Hidup sebagai ibu bapa atau anggota masyarakat semakin mencabar. Saban hari ada sahaja ujian baharu menerpa secara sedar atau tidak. Terbaharu kita dikejutkan dengan keputusan kerajaan membenarkan penjualan 45 jenis mercun dan bunga api dengan permit khas sempena musim perayaan dan tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 bagi mengenakan cukai kepada cecair vape.

Umpamanya kita cuba membersihkan sungai yang dicemari sisa industri bagi menjamin kebersihan dan kesihatan air dalam rumah kita. Namun pihak berkuasa pula memberi lesen kepada pemain industri untuk membuang sejumlah sisa kilang ‘tertentu’ daripada mereka ke dalam sungai, atas alasan ia jadi sumber pendapatan kerajaan dengan “sewa guna arus sungai sebagai pembawa sisa berbahaya ke laut” yang kemudiannya memudaratkan penduduk seluruh kawasan.

Pada hemat saya, kedua-dua keputusan tersebut umpama membuka pintu bencana yang besar pada negara. Hayati larangan nabi SAW yang bermaksud: Tidak boleh mencetus mudarat (untuk kepentingan diri) dan dan tidak boleh menimbulkan mudarat (kepada orang lain tanpa sebab). (Sunan Ibn Majah, 2331).

Teguran dan pandangan adil berbagai pihak perlu diambil kira pihak berkuasa. Ini kerana tanpa teguran yang wajar, kemusnahan besar boleh berlaku.

Inilah yang semangat yang dibangkitkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini (dengan berbagai bencana); akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam. (al-Baqarah: 251)

Selain itu, sebarang keputusan kerajaan perlu mengambil kira aspek pengurusan risiko yang mantap dan menyeluruh. Islam menetapkan satu kaedah penting iaitu:

“Menghindari kerosakan lebih utama berbanding mendatangkan manfaat.” Melalui kaedah ini, pihak kerajaan perlu mengukur keburukan yang mungkin timbul akibat sebarang pelaksanaan polisi.

Menjelang musim perayaan, kes ‘kitar semula’ kecederaan parah akibat letupan mercun buatan sendiri sering dipaparkan media. Pada 4 dan 11 April lalu, dua kes dilaporkan di Terengganu, meragut tangan dan mata sekumpulan kanak-kanak dan orang dewasa.

Pernah juga beberapa tahun lepas dilaporkan seorang remaja berusia 14 tahun di Panji, Kelantan, buta mata kanan dan hancur semua jari tangan kiri terkena belerang mercun bola yang diletakkan dalam botol kaca. Bagaimana agaknya nasib anak ini yang sudah meningkat dewasa sekarang?

Mercun menjadikannya Orang Kurang Upaya (OKU).

Saya sangat risau jika kebenaran menjual 45 jenis mercun itu akan menambah statistik rakyat kita menjadi OKU. Mohon dijauhkan Allah.

Jika mahu ditimbang tara, mudarat mercun atau bunga api ternyata jauh lebih besar berbanding manfaatnya ketika musim perayaan. Pun begitu, ada yang cuba menjustifikasi kebenaran penjualan mercun terpilih dengan cadangan undang-undang tambahan seperti larangan membakar mercun selepas lewat malam.

Namun yang berlaku, penggila mercun sanggup bersengkang mata bergembira meletupkan suasana tenang malam mengganggu orang tidur.

Secara tidak langsung pihak berkuasa seperti polis pula diberi kerja tambahan yang remeh, memantau orang dan menangkap pemain mercun lewat malam?

TAMBAH KONFLIK

Selain itu, saya sering berfikir apa manfaat besar mercun untuk negara? Adakah KDNK negara akan meningkat setanding negara maju kerana jualan 45 jenis mercun tersebut dibenarkan? Atau kebenaran tersebut hanya menambah konflik dalam masyarakat?

Berapa banyak pergaduhan dalam kejiranan berlaku kerana isu gangguan bunyi luar biasa dari mercun? Nabi SAW sangat tegas melarang sebarang gangguan kepada orang lain.
Sabda baginda SAW yang bermaksud: Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan). (Sunan Abu Dawud, 4351).

Orang Islam yang menjiwai akhlak Islam pastinya menjaga hak orang lain kerana itulah makna sebenar di sebalik Islamnya. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud:

Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Antara maksud kejahatan tangan yang boleh difahami dalam hadis di atas adalah kejahatan menjual dan membakar mercun sehingga menggangu atau mencederakan ‘gegendang telinga’ atau anggota badan orang lain. Oleh itu, langkah membenarkan penjualan mercun sangat tidak kena dengan misi melahirkan masyarakat yang sihat.

Selain mercun, tindakan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 bagi mengenakan cukai kepada cecair vape juga perlu dinilai semula secara adil dan menyeluruh.

Jangan hanya melihat sudut ekonomi sahaja dalam membuat keputusan.

Timbang semula antara manfaat cukai kepada negara berbanding lambakan pesakit berkaitan nikotin yang bakal meningkat pada masa hadapan.

Pada 6 April lalu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tan Sri Prof. Emeritus Dzulkifli Razak dalam Kolum UIAM Berhujah menyatakan kerisauannya terhadap langkah kerajaan ini yang mungkin menimbulkan berbagai impak negatif dalam masyarakat.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil kira pandangan pakar kesihatan kerana pucuk pimpinan kerajaan tidak akan melepaskan jawatan setelah tempoh mentadbir mereka habis, sebaliknya apa sahaja keputusan atau polisi yang mereka buat akan menjadi legasi harum atau busuk di dunia dan di akhirat kelak.

Jika nantinya ada rakyat yang rosak hidupnya menjadi mangsa ketagihan nikotin susulan keputusan terbaharu ini, adakah anda boleh bebas daripada audit Allah di akhirat kelak?

Pastinya dosa akibat polisi berimpak besar sebegini tidak akan diampunkan Allah hanya dengan duduk beristighfar selepas solat atau melancong sambil menyucikan dosa di Mekah sahaja. Fikirkanlah semasaknya.

Saya tutup tulisan ini dengan ayat Allah yang boleh menjadi panduan berguna kepada kita semua terutama pemegang amanah pimpinan negara berkenaan dua isu yang disentuh kali ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya. (al-Ma’idah:100)

Abdullah Bukhari Abdul Rahim
al-Hafiz, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Mayat warga emas terjun jambatan ditemui selepas 28 jam

FARAHWAHIDA AHMAD
MAYAT warga emas ditemui oleh pasukan bomba selepas terjun dari jambatan dipercayai dalam cubaan membunuh diri di Jambatan 1, Sungai Muar, Bandar Maharani, Muar, Johor.
MUAR – Mayat warga emas yang nekad terjun dari jambatan dipercayai dalam cubaan membunuh diri di Jambatan 1, Sungai Muar, Bandar Maharani, awal pagi semalam ditemui hari ini selepas 28 jam hanyut.

Menurut Komander Operasi Shahrizal Mokhtar, mayat mangsa warga emas lelaki yang berusia 77 tahun itu telah ditemui kira-kira pukul 10.18 pagi ini.

“Sejak semalam, usaha carilamat giat dijalankan oleh pihak bomba dengan membuat pencarian permukaan di kawasan sekitar jeti Marina dan Dataran Tanjung Mas dalam jarak 16 kilometer (km) dengan menggunakan satu bot aluminium.

“Pencarian di persisiran pantai laman Maharani juga dijalankan dalam jarak 10 km dengan menggunakan utiliti hilux dan mayat mangsa telah dijumpai pukul 10.18 pagi ini oleh pasukan penyelamat di belakang pejabat daerah istana tanjung pada jarak lebih kurang satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian di bawa ke jeti dengan menggunakan bot penyelamat dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Semalam, media melaporkan seorang warga emas dipercayai dalam cubaan membunuh diri dengan terjun dari jambatan 1, Sungai Muar, Bandar Maharani pada pukul 6.03 pagi. – KOSMO! ONLINE

Polis tahan individu disyaki hina institusi diraja

Bernama

Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menghina institusi diraja di laman sosial Facebook.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM)Noorsiah Mohd Saaduddin berkata suspek berusia 42 tahun itu yang merupakan pemilik akaun Facebook bernama ‘Raja Hairun’, ditahan di Temerloh, Pahang, hari ini.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat di lokap berpusat Kuala Lumpur, esok.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Noorsiah menasihatkan masyarakat agar sentiasa menghormati institusi beraja yang telah dijamin oleh Perlembagaan, demi kestabilan negara, bangsa dan agama.

"Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan menghina dan memperlekeh institusi beraja akan diambil tindakan tegas," katanya.

- Bernama

Lelaki tertelan ‘earphone’ ketika tidur

KOSMO!
Imbasan x-ray menunjukkan kedudukan fon telinga dalam usus Xiaoyong. - Houlang video/Weibo
BEIJING – Seorang lelaki di China terkejut apabila menyedari dia tertelan fon telinga tanpa wayar selepas bangun dari tidur, lapor akhbar Daily Star semalam.

Lelaki yang dikenali dengan nama samaran Xiaoyong itu berkata, dia menyedari salah satu fon telinganya hilang selepas bangun tidur sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan) untuk ke tandas pada 6 April lalu.

Xiaoyong kemudian memainkan muzik yang disambungkan ke fon telinga itu untuk mencarinya tetapi terkejut apabila mendengar bunyi dari dalam badannya.

Dia kemudian mendapati telah tertelan fon telinga itu ketika tidur. 

Selepas perjalanan pantas ke hospital pada kira-kira pukul 4 pagi, sangkaan Xiaoyong disahkan melalui imbasan x-ray yang mendapati fon telinga itu berada di dalam perutnya.

Semasa menunggu di hospital, Xiaoyong mendokumentasikan aduan peliknya itu. Dia memainkan muzik menerusi fon telinganya kepada pengikutnya dalam talian.

Lagu popular yang biasa didengari pada aplikasi Douyin boleh didengari dari dalam badan lelaki tersebut.

Menurut Xiaoyong, doktor memberinya beberapa ubat untuk membolehkan ususnya dikosongkan. 

Sekiranya tidak berjalan seperti yang dirancang, Xiaoyong perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan alat itu dari ususnya. – Agensi

Lebih 42,000 pelajar sekolah hamil

AFP 

DAR ES SALAAM (TANZANIA): Sekurang-kurangnya 42,954 pelajar perempuan berhenti sekolah antara Julai 2021 dan Jun 2022 kerana hamil, menurut laporan terbaharu oleh Pengawal dan Ketua Audit Negara (CAG) Tanzania.

Menurut laporan CAG 2021/2022 yang dibentangkan di Parlimen di Dodoma, daripada 42,954 pelajar yang hamil, 23,009 terdiri pelajar sekolah menengah dan 19,945 murid sekolah rendah, lapor Xinhua.

Pelajar sekolah menengah yang hamil menyumbang 28 peratus daripada 82,236 pelajar yang dijadualkan menamatkan pendidikan peringkat biasa pada 2021.

Menurut laporan itu, sekolah menengah yang mempunyai bilangan pelajar paling ramai hamil adalah dari perbandaran Kinondoni di wilayah Dar es Salaam iaitu seramai 4,652 orang, diikuti di wilayah Mtwara seramai 3,783 dan di wilayah Mwanza seramai 2,570.

Bagi sekolah rendah, bilangan murid paling ramai hamil dilaporkan di daerah Kwimba iaitu 9,045 orang diikuti di daerah Uvinza seramai 2,172 orang, menurut laporan itu. - BERNAMA-XINHUA

Terus bersengketa dengan Kerajaan Persekutuan, Sanusi telah merugikan rakyat

MALAYSIA DATELINE

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta belajar daripada Menteri Besar Perikatan Nasional (PN) di Perlis dan Kelantan yang lebih berhemah dalam menjaga hubungan dengan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata jika Muhammad Sanusi terus dengan sikapnya untuk bersengketa dengan kerajaan pusat, ia akan merugikan rakyat Kedah yang mahu melihat kelancaran program pembangunan di negeri ini.

“Bagi saya (sepatutnya) dia belajarlah daripada orang-orang dia yang lebih berpengalaman. Malah saya lihat orang baharu Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri Ramli), dia ini ‘low profile’ tetapi dia lebih berhemah untuk mendapat perhatian daripada kerajaan pusat dengan cara yang tidak kasar, dengan cara yang lemah lembut.

“… atau dari orang lama macam (Menteri Besar Kelantan) Datuk Ahmad Yakob, ini sepatutnya dilakukan kerana bagi saya satu kerugian kalau ia (persengketaan dengan kerajaan Persekutuan) terus berlarutan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Menurut Mahfuz, sebarang ketegangan hubungan antara kerajaan negeri Kedah dengan kerajaan Persekutuan juga boleh menimbulkan kegusaran pelabur sama ada yang telah melabur atau pun mereka yang berhasrat menanam modal di negeri ini.

Beliau berkata Muhammad Sanusi juga sepatutnya perlu lebih banyak menggunakan kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri untuk menerangkan kepada umum misi dan visinya bagi memajukan Kedah dan bukannya untuk mengeluarkan dakwaan atau sentimen politik demi kepentingan dirinya.

Justeru Mahfuz menggesa Muhammad Sanusi menyahut titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, baru-baru ini yang menekankan pentingnya keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Kedah Nor Azrina Surip dalam kenyataan berkata Muhammad Sanusi perlu berhenti melakukan pembohongan berkait Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Menteri Besar adalah figura penting dalam sebuah negeri, bukan sahaja mewakili rakyat negeri Kedah secara keseluruhannya bahkan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti politik yang menyokong atau tidak menyokong kepadanya sekarang diwakili oleh beliau di peringkat Persekutuan,” katanya.

Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan membuat beberapa dakwaan termasuk kononnya dihalang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran kerajaan Persekutuan serta mendakwa ada usaha menyingkirnya mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

Mahfuz: Sanusi perlu belajar daripada MB Perlis, Kelantan

Malaysiakini 

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta belajar daripada Menteri Besar Perikatan Nasional (PN) di Perlis dan Kelantan yang lebih berhemah dalam menjaga hubungan dengan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata jika Muhammad Sanusi terus dengan sikapnya untuk bersengketa dengan kerajaan pusat, ia akan merugikan rakyat Kedah yang mahu melihat kelancaran program pembangunan di negeri ini.

"Bagi saya (sepatutnya) dia belajarlah daripada orang-orang dia yang lebih berpengalaman. Malah saya lihat orang baharu Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri Ramli), dia ini 'low profile' tetapi dia lebih berhemah untuk mendapat perhatian daripada kerajaan pusat dengan cara yang tidak kasar, dengan cara yang lemah lembut.

“... atau dari orang lama macam (Menteri Besar Kelantan) Datuk Ahmad Yakob, ini sepatutnya dilakukan kerana bagi saya satu kerugian kalau ia (persengketaan dengan kerajaan Persekutuan) terus berlarutan," katanya ketika ditemui pemberita di Alor Setar malam tadi.

Menurut Mahfuz, sebarang ketegangan hubungan antara kerajaan negeri Kedah dengan kerajaan Persekutuan juga boleh menimbulkan kegusaran pelabur sama ada yang telah melabur atau pun mereka yang berhasrat menanam modal di negeri ini.

Beliau berkata Muhammad Sanusi juga sepatutnya perlu lebih banyak menggunakan kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri untuk menerangkan kepada umum misi dan visinya bagi memajukan Kedah dan bukannya untuk mengeluarkan dakwaan atau sentimen politik demi kepentingan dirinya.

Justeru Mahfuz menggesa Muhammad Sanusi menyahut titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, baru-baru ini yang menekankan pentingnya keharmonian hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Kedah Nor Azrina Surip dalam kenyataan berkata Muhammad Sanusi perlu berhenti melakukan pembohongan berkait Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menteri Besar adalah figura penting dalam sebuah negeri, bukan sahaja mewakili rakyat negeri Kedah secara keseluruhannya bahkan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk parti politik yang menyokong atau tidak menyokong kepadanya sekarang diwakili oleh beliau di peringkat Persekutuan,” katanya.

Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan membuat beberapa dakwaan termasuk kononnya dihalang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran kerajaan Persekutuan serta mendakwa ada usaha menyingkirnya mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

- Bernama

'Minta MB Kedah Sanusi dedah perkara sebenar'

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menghentikan pembohongan berkait Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah, Nor Azrina Surip berkata, menteri besar itu sepatutnya menjadi sosok yang menenangkan semua pihak agar urusan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan.

Menurutnya, ia bertepatan dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac yang mahukan agar politik secara berlebihan dielakkan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, Muhammad Sanusi dilihat mengeluarkan kenyataan yang mengeruhkan hubungan ini termasuk isu larangan terhadapnya menghadiri mana-mana majlis kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23)," katanya dalam satu kenyataan.

Namun, Nor Azrina berkata, melalui respon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri menafikan tiada arahan sebegitu bahkan beliau menyarankan agar Muhammad Sanusi menyebarkan bukti Pekeliling yang menyatakan seperti apa yang beliau dakwa.

"Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari turut menyatakan Menteri Besar Kedah dijemput ke Majlis Pelancaran LIMA’23 dan beliau hadir baru-baru ini di Kuala Lumpur.

"Terkini, tular lagi isu Menteri Besar Kedah dalam ucapannya di satu majlis, ada usaha terancang untuk menggantikan beliau dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam Majlis Kewangan Negara.

"Walhal dalam Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

"Jelas menunjukkan tiada kuasa perdana menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang diperkenan sultan jika mengambil konteks dalam negeri Kedah,"katanya.

Menurut Nor Azrina, dari pandangan di atas jelas menunjukkan bahawa pembohongan seperti itu tidak wajar dilakukan meskipun bertujuan berjenaka untuk menarik perhatian atau sokongan orang.

"Saya mengharapkan agar kepimpinan Menteri Besar Kedah mampu menterjemahkan kebenaran dalam ruang lingkup tindakan dan juga perkataan meskipun berdepan dengan sesuatu yang dianggap permusuhan," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai menteri besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

Tiada bukti sabotaj punca tragedi Double Six, menurut laporan nyahklasifikasi.

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiada bukti sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kemalangan tragik pesawat terhempas pada 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain, menurut laporan tragedi yang dinyahklasifikasi.

Menurut laporan itu, pesawat itu diselengara mengikut jadual dan terbang dengan had berat yang dibenarkan.

Bagaimanapun, kedudukan pusat graviti pesawat diluar had buritan kapal, kata laporan itu.

Kata laporan itu, jelas prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional.

Dua OKT warga Indonesia buka gari berantai, larikan diri

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
DUA OKT warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang ke Penjara Ledang. FOTO Ihsan Polis
DUA OKT warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang ke Penjara Ledang. FOTO Ihsan Polis
Kulai: Polis giat mengesan dua Orang Kena Tahan (OKT) warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Tangkak, hari ini.

Suspek Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40 tahun melarikan diri ketika dalam perjalanan di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, berhampiran Jambatan Kerata Api di sini, kira-kira 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, sebelum itu, pada 8 pagi, empat OKT warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi dan dituduh mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Beliau berkata, kesemua OKT itu ditangkap oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah masuk ke Malaysia.

"Lebih kurang 11.20 pagi, tiga anggota APMM ditugaskan membawa empat OKT dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang selepas selesai pertuduhan.

"Ketika dalam perjalanan, dua daripada OKT terbabit berjaya membuka gari berantai lalu membuka pintu belakang van, kemudian melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran Jalan Raya di Jakan Felda Inas menghala ke Sengkang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, unit pengesan anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang membantu mengesan kedua-dua suspek di tempat kejadian.

"Op Tutup dijalankan dan pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai dikerah bagi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. Polis meminta kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek untuk menghubungi Bilik Gerakan Daerah Kulai di talian 07- 6637222," katanya.
VIDEO tular memaparkan anggota polis dalam usaha mencari suspek. FOTO tular

Sebelum ini, tular video pendek berdurasi 26 saat memaparkan beberapa anggota polis berada di tepi Jalan Sengkang dalam usaha mencari kedua-dua suspek.

Fuad A Kiram (Gambar), Waris Sultan Sulu disenarai sebagai pengganas

'Ainin Wan Salleh

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang mengaku waris kesultanan Sulu diisytihar sebagai pengganas oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Khairul Dzaimee Daud berkata, Kementerian Dalam Negeri menyenaraikan Fuad A Kiram sebagai pengganas.

Katanya, Fuad dikaitkan dengan satu entiti yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas iaitu Tentera Diraja Sulu di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pengisytiharan itu berkuatkuasa bermula 6 April.

Fuad antara lapan individu yang mendakwa waris Sultan Sulu yang membuat tuntutan terhadap beberapa aset milik Malaysia di luar negara pada tahun lalu.

Khairul berkata, kerajaan perpaduan akan mengambil pendekatan baharu dalam menangani tuntutan waris Sulu.

“Sebelum ini, pendekatan (untuk menangani kes itu) adalah dalam bentuk ‘memadam api’ berhubung negara terbabit,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan akan merayu terhadap keputusan mahkamah luar negara dan berusaha mengetepikan anugerah diberikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, di bawah kepimpinan baharu, pendekatan itu telah ditukar kepada mod “serangan”, sambil menambah bahawa “pertahanan terbaik adalah (untuk) menyerang”.

Khairul juga berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan pelantikan firma perhubungan awam berpangkalan di UK untuk menguruskan naratif global dan strategi media berhubung kes itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama firma itu.

Beliau menambah, bahagian hal ehwal undang-undang akan berhubung dengan pihak berkepentingan di Sabah mengenai kes itu.

Beliau juga berkata, Wisma Putra telah menghantar nota diplomatik kepada 171 negara di mana anugerah USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh mahkamah timbang tara Perancis kepada waris sultan Sulu terakhir boleh dikuatkuasakan di bawah Konvensyen New York.

Khairul berkata, menteri dalam negeri juga akan membuat lawatan ke empat negara terlibat dalam timbang tara kes itu iaitu Perancis, Sepanyol, Luxembourg dan Belanda untuk menjelaskan kepada rakan sejawatannya mengenai isu dan fakta menyelubungi tuntutan itu.

Pemimpin PKR 'sekolahkan' Sanusi: PM tiada kuasa lantik Majlis Kewangan Negara

Malaysiakini 

Perdana menteri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melantik sesiapa sahaja dalam Majlis Kewangan Negara selain daripada yang dicadangkan oleh sultan sesebuah negeri itu, kata Naib Pengerusi PKR Kedah Nor Azrina Surip.

Dia merujuk kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam yang mendakwa terdapat komplot untuk memecatnya sebagai wakil rakyat negeri dalam Majlis Kewangan Negara.

"Walhal di dalam Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang Di-Pertua Negeri. 

"Jelas menunjukkan tiada kuasa perdana menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang diperkenan Sultan jika mengambil konteks dalam negeri Kedah,” kata Nor Azrina (gambar, bawah) pada satu kenyataan hari ini.

Justeru, dia menggesa Sanusi supaya berhenti berbohong mengenai kerajaan persekutuan atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Nor Azrina mengingatkan Sanusi mengenai titah baginda Tuanku Sultan Kedah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac.

Katanya, baginda telah berpesan supaya mengelak berpolitik secara berlebihan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Jelas menunjukkan harapan yang tinggi agar mengekalkan profesionalisme demi rakyat Kedah," katanya.

Sultan Kedah juga, kata Nor Azrina menekankan bahawa negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang.

"Namun, Sanusi telah berulang kali membangkitkan isu yang boleh menyebabkan pergeseran antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seperti mendakwa bulan lalu bahawa beliau telah dihalang daripada acara persekutuan.

"Saya yakin Yang Amat Berhomat Menteri Besar amat memahami bahawa Islam mengajar umatnya agar sentiasa berlaku jujur dalam apa jua perbuatan termasuklah pertuturan. 

"Memetik pandangan Imam Al-Nawawi Rahimahullah, dalam Syarah Sahih Muslim, Al Nawawi bohong ini didefinisikan sebagai - mengkhabarkan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja atau tidak dan sama ada perkhabaran itu akan perkara yang telah berlaku atau akan datang.”

"Dari pandangan di atas jelas menunjukkan bahawa pembohongan seperti itu tidak wajar dilakukan meskipun bertujuan berjenaka untuk menarik perhatian atau sokongan orang," kata Nor Azrina lagi.

Sanusi semalam mendakwa terdapat komplot untuk memecatnya sebagai wakil negeri dalam Majlis Kewangan Negara.

Sanusi berkata gerakan itu cuba menggantikannya dengan Setiausaha Kerajaan Kedah Norizan Khazali.

Dia bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti dakwaannya.

Dia juga sebelum ini mendakwa disekat hadir majlis kerajaan persekutuan termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima 2023) bulan depan.

Seorang lagi anggota polis didakwa bunuh pemandu e-panggilan

Bernama

TAWAU: Seorang anggota polis yang sebelum ini menjadi saksi kes pembunuhan pemandu e-panggilan di Tawau pada Jan lalu, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh bagi kes yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, John Kennedy Sanggah, 44, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus.

Berdasarkan pertuduhan, John Kennedy bersama enam individu yang telah dituduh, didakwa mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, Tawau pada 13 Jan lalu.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, Muhammad Ilmami Ahmad, Low Win Hui dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Tertuduh John Kennedy diwakili barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai ini.

Pada 8 Feb lalu, John Kennedy bersama anggota polis Usman Lanaga serta seorang awam, Shim Vui Nyen diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan, manakala lima anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Dennis Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan orang awam, Vivien Fabian, 34, dituduh di Mahkamah Majistret Tawau dengan niat bersama membunuh Nurman.

Pada hari sama, seorang pegawai kanan polis iaitu Mat Zaki Md Zain, 58, turut didakwa bersubahat dengan enam individu berkenaan untuk membunuh lelaki tersebut.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret sama, Dzul Elmy turut menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas Mat Zaki bagi pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang di baca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, Majistret Leona Dominic Mojiliu juga menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes ke atas Rosdi, Dennis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien bagi pertuduhan membunuh mangsa yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahfuz bidas Sanusi dakwa disingkir dari Majlis Kewangan Negara

Malaysiakini 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar hari ini menempelak tindakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirkannya daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara.

Mahfuz ketika dihubungi Bernama mendakwa ia satu kenyataan yang sangat jahat dan menyifatkan Menteri Besar Kedah itu cuba menarik simpati orang ramai dengan menggambarkan seolah-olah negeri Kedah dianiaya melalui penganiayaan terhadap dirinya.

“Sedangkan dia (Muhammad Sanusi) sendiri menyatakan bahawa dia tidak ada bukti, macam mana dia bercakap tak ada bukti (dan) boleh dilontarkan kepada umum sedemikian rupa? Ini satu perbuatan jahat untuk menggambarkan keburukan dan mencalarkan imej Kerajaan Perpaduan.

“...bagi saya ia sesuatu yang sangat tidak menggambarkan kebijaksanaan, kebertanggungjawabannya sebagai seorang Menteri Besar (yang) bercakap tanpa bukti, ...cakap tanpa bukti adalah fitnah,” katanya.

Ahad lepas, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa ada usaha untuk menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara, dan beliau turut mendakwa gerakan itu berlaku akibat kelantangannya mengkritik Kerajaan Persekutuan.

Mahfuz menegaskan Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keanggotaan Majlis Kewangan Negara adalah terdiri daripada seorang Perdana Menteri atau mana-mana menteri dilantik dan seorang wakil dari setiap negeri yang diperkenan oleh Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata itu bermakna hanya Sultan Kedah boleh menyingkirkan Menteri Besar Kedah daripada menganggotai Majlis Kewangan Negara, sekali gus dakwaan Muhammad Sanusi itu seolah-oleh merendahkan keupayaan dan martabat seorang Sultan.

“Maknanya ikut kuasa mutlak Sultan untuk nak letak siapa pun bagi mewakili Kedah ke dalam Majlis Kewangan Negara. Jadi bila dia (Muhammad Sanusi) menyatakan bahawa ada orang yang sedang melobi Sultan, dia merendahkan Sultan, seolah-olah seorang Sultan ini tidak boleh buat keputusan dan nilai sendiri siapa yang mewakili negeri,” katanya.

Mahfuz seterusnya menuntut Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf kerana menurutnya perbuatan Menteri Besar Kedah itu adalah satu tindakan biadap, kerana seolah-olah memperlekehkan kuasa Raja dan Sultan.

- Bernama

FAHAMI APA YANG RAKYAT MAHU DALAM ISU NAJIB DAN ZAHID HAMIDI

Shahbudin Husin

Tulisan kali ini saya titipkan khas buat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan doa agar kekal istiqamah melawan rasuah.

Saya tidak pasti sama ada beliau punya masa membaca tulisan saya kali ini, tetapi saya yakin orang-orang kanan Anwar dan pegawai-pegawainya yang sebahagiannya merupakan kawan-kawan saya pasti membaca tulisan ini.

Terserahlah kepada mereka mahu menyampaikannya kepada Anwar atau tidak, tetapi jika mereka kekal sayang kepadanya, pasti mereka tidak berlengah untuk berbuat demikian.

Dalam isu yang sedang diperbualkan masyarakat ketika ini iaitu pengampunan Najib Razak dan permohonan Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 kes mahkamahnya, saya ingin memaklumkan kepada beliau apa yang sebenarnya keinginan atau kemahuan rakyat dalam perkara tersebut.

Mungkin dapatan saya ini tidak berapa tepat atau tidak memenuhi kaedah yang betul dalam metodologi kajian yang betul-betul akademik.

Tetapi, sejak isu ini timbul, saya telah bercakap dengan ramai orang daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, sambil dalam masa yang meneliti kecenderungan di hampir semua platform media sosial sejak beberapa hari lalu berkenaan dua isu terbabit.

Kesimpulan mudah yang didapati dalam kes pengampunan Najib ialah rakyat menolak dan tidak setuju pengampunan diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu dalam waktu terdekat ini.

Rata-rata mahukan beliau terus berada di penjara untuk suatu tempoh tertentu sebelum pengampunan hendak diberi atau dicadangkan.

Ada yang mahu beliau berada di penjara sekurang-kurangnya selama 4 tahun dan ada yang mahu 6 tahun sebelum pengampunan diberikan, bahkan tidak kurang yang ingin biarlah sehingga “tamat pengajian” di Penjara Kajang selama 12 tahun.

Ini kata mereka, untuk keadilan kepada rakyat yang terpaksa menanggung beban hutang 1MDB, selain kerana seriusnya kesalahan yang telah beliau lakukan atas jawatannya selaku Perdana Menteri ketika itu.

Begitu pun, sebahagian besar bersetuju, kalau pun pengampuan hendak dicadangkan, masa yang munasabah ialah selepas PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

Diharapkan Anwar tidak sukar memahami kemahuan rakyat dalam hal ini dan jika beliau masih ada keraguan, bolehlah cuba membuat hantaran di FB atau Twitter dengan ayat – Berapa lama rakyat Malaysia mahu Najib berada di penjara? – dan kemudian lihatlah sendiri komen-komen yang diperolehi.

Dalam kes Zahid Hamidi pula, oleh kerana 47 kes pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapinya sudah dalam peringkat membela diri, rakyat tidak setuju sama sekali jika Peguam Negara bertindak menggugurkannya.

Menggugurkan kes tersebut akan dilihat pelik sedangkan Mahkamah Tinggi pada Januari 2022 membuat keputusan membela diri itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua 47 tuduhan terhadap Zahid Hamidi.

Di mana logiknya setelah pihak pendakwa berjaya membuktikan kes frima facie, tetapi tiba-tiba Jabatan Peguam Negara mahu menggugurkannya pula?

Sepatutnya, representasi yang dikemukakan Zahid Hamidi itu dibantah keras oleh pihak pendakwa demi menjaga kewibawaan Jabatan Peguam Negara, bukan dengan mendiamkan diri tidak membantah sama sekali ia dikemukakan beserta penangguhan perbicaraan.

Apa yang rakyat mahukan ialah biarlah semua kes yang sedang dihadapi Zahid Hamidi itu berjalan tanpa gangguan dan kemudian terserah kepada hakim mahkamah menentukan sama ada bersalah atau sebaliknya.

Dalam hal ini, oleh kerana Jabatan Peguam Negara terletak di bawah dagu kuasa seorang Perdana Menteri, adalah penting untuk Anwar selaku seorang reformis memastikan kewibawaan jabatan tersebut tidak tercemar dan dikotori sebagaimana dana Yayasan Akalbudi yang matlamatnya untuk tujuan suci tetapi telah didedahkan di mahkamah dengan pelbagai perbelanjaan di luar kewajaran.

Sama seperti kes pengampunan Najib, jika Anwar turut meragui sentimen kemahuan rakyat dalam isu permohonan Zahid Hamidi untuk menggugurkan kesnya, beliau boleh juga membuat hantaran di FB dan Twitter dengan ayat – Kes mahkamah Zahid Hamidi wajar digugurkan atau diteruskan? – dan kemudian lihatlah sendiri apa komen rakyat mengenainya.

Namun demikian, di sebalik dua kemahuan itu, rakyat juga secara umumnya mahu Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

Tanyalah di mana-mana dan kepada siapa saja, pelbagai lapisan rakyat pasti tidak ragu-ragu memberi jawapan mereka sudah letih dengan episod pertukaran tiga Perdana Menteri sebagaimana berlaku selepas PRU14 sebelum ini.

Mereka kini mahu Anwar kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, malah tiada masalah jika bersambung lagi selepas PRU16 nanti.

Cuma, syarat utamanya hanya satu – Jangan sesekali berkompromi dalam isu Najib dan Zahid Hamidi!! – ShahbudinHusin 11/04/2023.

'Saya tak pernah terima RM100,000 daripada Ebit Lew'

Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
THEIN Ko dan Nabila menafikan menerima sumbangan RM100,000. FOTO Ahmad Ismail
THEIN Ko dan Nabila menafikan menerima sumbangan RM100,000. FOTO Ahmad Ismail
Muar: Keluarga empat kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini, menafikan dakwaan mereka menerima wang sumbangan sebanyak RM100,000 daripada pendakwah terkenal Ebit Liew.

Thein Ko Htut, 31, berkata, dia dan isterinya, Nabila Sedu, 30, sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.

"Saya tak terima sejumlah wang seperti didakwa itu. Kalau ada pihak boleh bukti, tunjukkan bukti, nak cakap senang.

"Kalau Ebit Liew bagi duit sejumlah itu dekat saya tunjuklah kerana saya tidak pernah terima duit sebanyak itu," katanya ditemui di sini, malam tadi.

Pekerja kedai makan itu berkata, dia bersedia pada bila-bila masa untuk disiasat oleh pihak berkuasa atau sesiapa saja berkaitan isu itu.

"Ada tuduhan yang dibuat terhadap saya dan isteri kononnya sudah kaya ada dapat RM100,000 dari pendakwah terkenal dan terus simpan di bank.

"Kena tunjuk bukti dalam akaun bank saya. Pergilah cari periksa akaun bank saya, tiada masalah," katanya.

Menurutnya, dia kesal kerana menjadi mangsa fitnah orang yang tidak dikenali.

"Memang sedih teramat, tetapi bila fikir balik, tak perlulah nak layan perkara seperti ini. Lagipun, Allah lebih kenal saya, tidak perlu kenal pun individu yang mereka-reka cerita," katanya.

Ebit Liew menziarahi keluarga itu pada 30 Mac lalu dan mengaku sebak melihat tangisan ibu bapa mangsa sepanjang urusan pengurusan jenazah di Muar.

Dalam kejadian 7.49 malam, 29 Mac lalu, Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.

Empat beradik itu maut ketika cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di bilik air di dapur.