"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tidak boleh ikut cara Umno main isu gila-gila - Tan Sri Muhammad Mohd Taib

TAN SRI MUHAMMAD MOHD TAIB

Negara hari ini pada pandangan saya belum ditadbirkan berpandu kepada al-Quran dan Sunnah. Persekitaran yang baik cara ajaran Nabi tidak diikuti.

Anak-anak yang lahir ke dunia dan dibesarkan dalam suasana yang ada sekarang tidak akan mengikuti cara yang berpandu pada al-Quran dan Sunnah. Kerana ia memang bukan agendanya.

Media cetak dan elektronik bukan melahirkan suasana yang mengikut al-Quran dan Sunnah. Malah penuh dengan kemaksiatan, spin yang bukan-bukan dan tak nampak Islamiknya. Anak-anak yang keluar dari alam persekolahan tidak nampak impak Islamiknya.

Begitu juga sistem kekeluargaan jauh dari amalan dan pegangan al-Quran dan Sunnah. Kecuali pada masa solat, puasa, naik haji. Cara bertompok-tompok.

Suasana persekitaran lebih pada cara sekular. Sambutan-sambutan apa sahaja termasuk akhir-akhir ini sambutan tahun baru. Tiap-tiap tahun diulang cara yang sama. Penganjur-penganjur tahu itulah cara menyambutnya.

Tiba-tiba isu kalimah Allah, Umno dilihat sangat Islamik. Yang ini kononnya Islamik yang lain tidak pula Islamik.

PAS tidak boleh ikut cara Umno main gila-gila apabila menghadapi satu-satu isu. Sebenarnya pendekatan PAS berpandu kepada al-Quran dan Sunnah adalah tepat sekali.

Dari aspek setinggi-tingginya hingga ke bawah semuanya hendaklah berpandu kepada al-Quran dan Sunnah. Jangan bila isu kalimah Allah ribut tapi lihat isu masyarakat dalam aspek sosialnya dan lain-lain hampir tidak langsung ikut al-Quran dan Sunnah.

Kita boleh tulis beribu-ribu hal dari kampung dan bandar yang kita lihat seolah-olah ajaran al-Quran dan Sunnah tidak diikuti.

Tiba-tiba hari ini Umno berlagak sangat Islamik cuma dengan isu kalimah Allah. Seolah-olah negara sudah begitu Islam cuma dengan tunjuk perasaan depan gereja.

Sebenarnya tanggung jawab mengikuti al-Quran dan Sunnah mencakupi seluruh kehidupan.

Brunei sudah mula mengorak langkah menuju pentadbiran dan kehidupan berpandu kepada al-Quran dan Sunnah. Mudah-mudahan hasrat mereka berjaya.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat.

Ini pula Smartphone terbaik 2013

best_mobilephone
BOLEH dikatakan hampir semua menggunakan telefon pintar untuk memeriksa e-mel, Facebook, merakam gambar, melayari Internet, bermain permainan serta pelbagai kegunaan. Tapi bagaimana kita memilih telefon pintar yang terbaik dan sesuai untuk kegunaan?

Misalnya iPhone menawarkan antara muka yang intuitif dan pelanggan boleh mendapat aplikasi (apps) yang lebih menarik.

Telefon dengan platform Android bagaimanapun menawarkan skrin lebih lebar, lebih ciri menarik dan lebih pilihan peribadi.

Manakala telefon pintar dengan platform Windows sesuai bagi pengguna baru telefon pintar.

Di sini terdapat telefon pintar yang dikelaskan kepada beberapa kategori;
TERBAIK KESELURUHAN
Gabungan telefon dan tablet, Samsung Galaxy Note 3 menampilkan skrin Full HD, pemprosesan Snapdragon 800 super pantas dengan lebih 11 jam hayat bateri.

Samsung juga membuat pelbagai peningkatan kepada perisian pen, menjadikan pengguna lebih mudah mengambil, menyalin serta berkongsi nota.

Pengguna yang sering melakukan pelbagai tugasan pada masa sama bukan saja boleh membuka dua apps bersebelahan tetapi menarik kandungan dari satu tingkap ke tingkap lain serentak.

Apa yang menarik, Samsung Galaxy Note 3 memfokuskan kepada sokongan penggunaan S-Pen dan dilengkapi skrin bersaiz 5.7-inci Super AMOLED HD.

Samsung Galaxy Note 3 menggunakan platform Android 4.3 Jelly Bean, cip pemprosesan empat-teras 2.3GHz dan kamera 13-megapixel.

Galaxy Note 3 juga turut membawakan beberapa fungsi baru, termasuk ScrapBook dan juga MyMagazine, Action Memo, S Finder, Pen Window dan Screen Write.
TERBAIK BAGI KATEGORI APPS DAN KAMERA
iPhone S5 adalah salah satu telefon pintar terbaik dan memberikan kelajuan yang tinggi hasil reka bentuk cip terbaru A7 Apple dan 64 bit.

Ini menunjukkan perkembangan keseluruhan dan kuasa grafik ditambah dengan iPhone 5S menawarkan kamera yang dipertingkatkan dengan piksel lebih besar dengan dua flash.

Ciri Touch ID membenarkan pengguna membuka peralatan dan membuat pembayaran melalui penderiaan cap jari bina dalam.

Secara ringkasnya bateri iPhone 5S boleh tahan lebih 200 jam (masa menunggu), lapan jam melayari Internet 3G dan 10 jam hanya menonton video.

Bagi yang suka FaceTime, iPhone 5 didatangkan dengan Facetime HD yang lebih stabil.
TERBAIK BAGI KATEGORI WINDOWS
Lumia 1020 dari Nokia dengan pakej penderiaan 41 megapiksel bersama-sama dengan enam lensa Carl Zeiss.

Keputusannya Lumia 1020 adalah kamera telefon terbaik, sempurna dengan keupayaan untuk zoom dekat atau jauh pada gambar selepas dirakam.

Pengguna juga gemar app Pro Camera yang tweak pendedahan, fokus dan lebih melalui kawalan. Ini adalah telefon pintar Windows yang terbaik.

Nokia Lumia 1020 memfokuskan kepada teknologi pengimejan dan kamera, ia menyertakan sokongan sensor 41-megapixel, sokongan penstabilan imej, serta Xenon Flash.

Lensa Carl-Zeiss turut disertakan, membolehkan rakaman gambar lebih jelas. Berbeza dengan PureView 808 sebelum ini, ia dikatakan sensor pada Lumia 1020 lebih sensitif.

Menurut Nokia, kamera kini telah menjadi salah satu faktor utama, apatah lagi dengan lebih satu bilion gambar dikongsi pengguna setiap hari.

Dengan teknologi pengimejan Nokia, ia membolehkan gambar dirakamkan pada kualiti yang amat baik, tidak kira pada sebarang keadaan cahaya.
TERBAIK BAGI KATEGORI FUNGSI
Telefon pintar Samsung S4 menampilkan ciri inovatif kepada rekaan paling ringan dengan paparan yang besar dan cantik sebesar 5 inci.

Dengan kamera 13 MP yang hebat, ia memberikan peluang pengguna merakam gambar menggunakan kedua-dua kamera di depan dan belakang pada masa yang sama.

Pengguna juga boleh mengawal S4 menggunakan gestures seperti melambaikan tangan di hadapan kamera di depan skrin bagi menjawab panggilan atau menyelak gambar.

Ditambah pula dalam pemprosesan quad-core yang berkuasa, akses mudah padasetting dan kawalan jauh tv bina dalam dan ia mudah dikenali mengapa Galaxy S4 adalah salah satu telefon pintar terbaik.

Galaxy S4 Active memfokuskan kepada mereka dengan gaya hidup aktif, dan memerlukan peranti yang tahan lasak berbanding Galaxy S4 biasa.

Ia didatangkan dengan binaan kalis air, berbeza dengan beberapa peranti Samsung yang lain.

Ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 5-inci, cip pemprosesan empat-teras 1.9GHz, memori sebanyak 2GB RAM, kamera belakang 8-megapixel, kamera hadapan 2-megapixel serta dilengkapi bateri berkapasiti 2600mAh.

Memandangkan ia kalis air, maka pelbagai port pada peranti ini ditutup, serta Samsung mengatakan ia dilindungi didalam air sehingga 1 meter selama 30 minit.
TERBAIK BAGI KATEGORI REKAAN DAN AUDIO
Kebanyakan pengguna yang melihat HTC One bagi kali pertama tentu terpegun dengan rekaannya.

Peralatan Flagship Android ini menampilkan badan aluminium dengan skrin 4.7 inci 1080p memberikan gambar yang jelas.

HTC One memang indah seperti namanya dengan pembesar suara di dua bahagian hadapan memberikan audio yang mewah dan kuat.

Pemprosesan 1.7 quad core menjadikannya berfungsi dengan selesa daripada antara muka BlinkFeed ditambah dengan kamera Ultrapixel merakam gambar yang terbaik dalam cahaya rendah.

Di Malaysia, dua variasi peranti HTC One ditawarkan, iaitu dalam pilihan 32GB dan juga 64GB.
Sumber: link

Peguam Negara: Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail ada cerita disebaliknya

Syed Imran
Isu menarik dalam tahun 2013 yang membabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak memeranjatkan saya. Ia hanya menunggu masa untuk 'meletup' dan ia sudahpun bermula.

Lima orang Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat telah membuat laporan polis berhubung pendedahan mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.

Kita masih tidak dimaklumkan sama ada pihak polis telah memula atau membuka kertas siasatan. Kita tahu bahawa setiap laporan yang dibuat mesti disiasat. Dalam kes ini, ia membabitkan Peguam Negara dan laporan polis oleh Ahli Parlimen berdasarkan maklumat mantan pegawai kanan polis.

Kita ingin tahu sama ada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Hadi Ho Abdullah, yang akan bersara tidak lama lagi, telah mengarah siasatan dilakukan atau hanya berdiam diri tanpa sebarang tindakan. Maklumlah ia membabitkan Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya.

Jika siasatan tidak dilakukan, maka rakyat boleh menyatakan bahawa wujud dwi-standard dalam siasatan. Tanggapan atau andaian sedemikian mesti dibuktikan tidak betul oleh pihak polis. Setakat ini, siasatan nampaknya belum dijalankan.

Saya masih ingat 'peristiwa' yang membawa kepada pelantikan Gani Patail selaku Peguam Negara kerana pada waktu itu saya bertugas di Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab keatas hal ehwal undang-undang. Jabatan Peguam Negara terletak dibawah seliaan atau tanggungjawab Menteri berkenaan.

Pelantikan Gani selaku Peguam Negara (AG) turut membabitkan latar belakang yang menarik dan seolah-olah satu babak drama tv yang penuh dengan dendam kesumat, iri hati dan ampu-mengampu. Ia bukan satu kebetulan.

Gani Patail adalah AG kelapan selepas Datuk Seri (kemudian Tan Sri) Ainum Mohamad Sa'aid, Tan Sri Mohtar Abdullah, Tan Sri Abu Talib Othman, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, Tan Sri Cecil M. Sheridan dan Thomas Vernor Alexander Brodie.
Datuk Seri Ainum merupakan wanita pertama dilantik AG dan penyandang jawatan paling singkat dalam sejarah tanah air, iaitu selama setahun sahaja. Kenapa dan mengapa ianya berlaku boleh diibaratkan sebagai sebabak drama yang skripnya ditulis selari dengan perancangan. Saya kata ia boleh diibaratkan bukan babak drama sebenar. Harap pembaca faham akan maksudnya.

Saya maklum bahawa mantan AG Tan Sri Mohtar Abdullah, allahyarham, telah memperakukan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, iaitu Gani Patail, dilantik menggantikannya. Sebaliknya, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) memperakukan kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong supaya melantik Datuk Seri Ainum Mohamad Sa'aid.

Pelantikan Ainum dibuat selaras dengan Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu: "Yang diPertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara Bagi Persekutuan."
Rupa-rupanya pelantikan Ainum kurang disenangi oleh segelintir pihak terutama yang berkhidmat dalam Jabatan Peguam Negara. Mereka mula berusaha untuk 'memaksa' Ainum 'keluar' dan bermulalah babak-babak yang halus dan terancang rapi.

Datuk Seri Dr Rais Yatim (sekarang Tan Sri) selaku menteri bertanggungjawab, memilih untuk mencari calon paling sesuai bagi menggantikan Tan Sri Mohtar. Ini dilihat penting kerana beliau berpendapat bahawa Jabatan Peguam Negara memerlukan seorang ketua yang tegas dan pantas buat kerja. Umum mengetahui bahawa institusi udang-undang dan kehakiman ketika itu masih memperkatakan mengenai isu percutian mantan Ketua Hakim Negara Tun Eusof Chin dan Tan Sri Mohtar yang turut membabitkan seorang peguam yang dilihat sebagai 'berpengaruh'. Oleh itu, Dr Rais ingin membawa pembaharuan ke dalam Jabatan Peguam Negara. Tindakan Dr Rais rupa-rupanya tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu termasuk mereka yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara.

Nama Ainum muncul setelah Dr Rais mengadakan rundingan dan perbincangan dengan banyak pihak termasuk dari institusi kehakiman dan beberapa orang peguam kanan. Dr Rais tidak membuat keputusan bersendirian untuk mencadangkan nama Ainum kepada Dr Mahathir Mohamad. Itu cara dia buat kerja, berunding sebelum membuat keputusan.

Ainum ketika itu memegang jawatan timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan sebelum itu, antara lain, pengarah eksekutif Pengkalan Holdings Berhad, dan pengarah bukan eksekutif Sime UEP Properties Bhd.

Pelantikan Ainum sebagai Peguam Negara mengakibatkan beliau berhadapan dengan banyak aral serta rintangan. Beberapa pihak dalam Jabatan itu sendiri yang tidak senang dengan kemaraan beliau. Ini kerana Ainum, dalam jangka masa yang begitu singkat, memperlihatkan yang dia adalah seorang ketua yang penuh integriti dan kewibawaan. Tidak dinafikan ada pihak yang menaruh dendam dan marah terhadapnya.

Ada pegawai dalam Jabatan Peguam Negara tidak selesa dengan taktik serta pentadbiran Ainum yang tegas.

Pejabat Menteri sedar bahawa ada pegawai dari Bahagian Pendakwaan yang menyampaikan berbagai-bagai laporan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Samsudin Osman dan ada yang terus kepada Dr Mahathir. Mereka membelakangi Dr Rais selaku Menteri yang bertanggunggjawab atas hal ehwal undang-undang.

Ada pegawai yang terus berjumpa Dr Mahathir untuk melaporkan apa yang berlaku dari hari ke hari di Jabatan Peguam Negara. Dr Mahathir berjaya dipengaruhi untuk melantik pengganti Ainum.

Dalam tempoh setahun perkhidmatannya selaku Peguam Negara, kami di Pejabat Menteri dapat lihat perubahan pada wajah Ainum, dia jelas kelihatan letih seolah-olah mengalami gangguan kesihatan sedangkan pada awalnya dia begitu cergas dan bersemangat setiap kali ke Pejabat Menteri atas urusan tugas. Perubahan ini membuatkan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Ainum menjadi mangsa ilmu hitam. Saya tidak berani menyatakan sama ada ianya benar atau tidak walaupun ilmu hitam dan amalan-amalan yang dipengaruhi syaitan itu wujud.

Akhirnya, Ainum 'terpaksa mengalah' dan dia 'meletak jawatan' atas sebab kesihatan. Sama ada ianya sesuatu yang benar atau sebaliknya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tetapi yang jelas, kedudukan kesihatan Ainum sihat dan dia tetap cergas dan bertugas hingga sekarang.

Peletakan jawatan Ainum diganti oleh Gani Patail, secara efektif mulai 1 Januari 2002 dan apa yang saya tahu ia adalah kehendak Dr Mahathir sendiri.

Pelantikan Gani menimbulkan banyak kontroversi, terutama dari sektor guaman. Peranan beliau dalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim dipertikai oleh Majlis Peguam dan beberapa parti pembangkang. Tetapi, semuanya tidak memberi kesan kerana Gani telahpun dilantik atas perkenan Yang diPertuan Agong.

Sebagai seorang yang amat rapat dengan KSN ketika itu, Gani, dalam kebanyakan hal telah melangkaui Dr Rais yang sepatutnya dirundingi terlebih dahulu. Beliau lebih kerap berinteraksi dengan KSN. Ini jelas memperlihatkan kedudukan 'hubungan' antara Peguam Negara dan Menteri.

Dr Rais pernah menyatakan bahawa antara Gani dan Ainum macam bumi dengan langit. Ainum berdiplomasi tetapi tegas. Apa yang dijanjikan lantas dilaksanakan. Gani pula sentiasa menggambarkan autoriti dan diplomasi bukan satu sifat utama beliau.

Dr Rais menyifatkan Ainum sebagai seorang pegawai perundangan yang tegas dan dedikasi.

Apakah benar Ainum menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa meletak jawatan? Saya kurang yakin dan sukar untuk mempercayainya.

Jika benar dia sakit, masakan dia dilantik sejurus selepas itu sebagai Penasihat Undang-Undang Kumpulan, Corus Hotels Group United Kingdom dan kemudian menyertai Laura Ashley United Kingdom sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bersama?

Ainum juga dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Sime UEP Properties Berhad, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pelaburan Hartanah Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad.

Sudah pasti syarikat-syarikat gergasi dan bertaraf antarabangsa itu tidak akan melantik seorang yang menghadapi masalah kesihatan jika dia benar-benar sakit. Itulah jawaban saya kepada pertanyaan sama ada saya yakin dan percaya dengan alasan yang diberi untuk dijadikan alasan kenapa Ainum meletak jawatan sebagai Peguam Negara.

Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail selaku Peguam Negara ada cerita disebaliknya dan apa yang sedang dihadapinya sekarangpun ada cerita, jika pihak polis 'berani' menyiasat laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Budak betina ni dah terpengaruh dengan fatwa sesat mufti

Embedded image permalink

Antara bughah, lughah, lurah

MUHAMAD MAT YAKIM
SEJAK semalam kita heboh dengan cerita ‘bughah’ yang mana puncanya dikatakan berasal usul daripada kenyataan seorang mufti yang dilaporkan berkata kumpulan demonstran pada malam tahun baru di Kuala Lumpur dua hari lalu sebagai ‘bughah’ dan ‘bughah’ mengikut hukum adalah halal darah mereka.

Keras. Memang sangat keras. Dan oleh kerana kerasnya kenyataan itu, saya tidak yakin bahawa apa yang dilaporkan adalah yang sebenar sebagaimana dikatakan oleh mufti berkenaan. Maka saya pun hubungi seorang rakan wartawan Sinar Harian dan minta disahihkan oleh mufti, apa benar begitu kenyataannya sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar.

Ya, saya tahu pendapat saya ini pastinya tidak disukai oleh ramai kawan-kawan wartawan. Akan tetapi sebagai orang Islam, saya tidak dapat terima sikap ambil mudah pada kenyataan seseorang ulama apa lagi yang bertaraf mufti.

Ini kerana apa yang juga yang diperkatakannya, adalah membawa imej, reputasi dan kredibiliti Islam, bukan hanya pada batang tubuhnya sahaja. Maka jika sesuatu kenyataan itu kontroversi sifatnya, biarlah apa yang disiarkan itu 100 peratus sebagaimana yang dikata dan yang 100 peratus itulah juga disiarkan dalam media.

Implikasi daripada hukum ‘halal darah’ adalah sangat berat. Saya berasa teramat sedih melihat kenyataan-kenyataan biadab, maki hamun yang bukan sahaja tidak seharusnya dituju kepada seorang mufti atau ulama malahan juga kepada orang biasa seperti saya yang kini sudah jadi mainan dalam media sosial.

Saya yakin, daripada yang memaki hamun mufti itu, termasuk juga yang baru pertama kali kenal perkataan ‘bughah’ ataupun yang merujuk kepada Google dahulu. Selepas itu, tanpa segan silu terus maki hamun orang lain seolah-olah sudah khatam 20 atau 30 kitab hal ‘bughah’.

Begitulah hebatnya pahlawan-pahlawan papan kekunci kita!

Walau apa pun, saya akui bahawa saya sendiri terkejut melihat kenyataan itu tetapi saya ambil pendekatan tidak mahu terus percaya bulat-bulat. Saya bukan kata keseluruhan tetapi mungkin kenyataan 50 kilometer disingkat kepada 20 kilometer atau 30 kilometer sahaja. Maklumlah, sekarang minyak mahal, bukan?

Tetapi, kenalah ingat, kenyataan halal darah bukan main-main. Apa lagi jika dilaporkan dari mulut seorang mufti. Mufti adalah individu yang layak untuk berfatwa. Sedang Salman Rushdie seorang pun gegak –gempita dunia dibuatnya, inikan pula berpuluh ribu orang!

Walau apa pun, berlakunya konflik yang semacam ini menyebabkan kita secara tidak langsung dapat belajar beberapa istilah baharu dalam bahasa Arab.

Kalau dahulu kita dihadapkan dengan perkataan seperti mubahalah, muqobalah dan macam-macam ‘lah’ lagi, hari ini kita belajar ‘bughah’ pula.

Apa yang pasti, walaupun sudah macam-macam pendekatan dicadang untuk merapatkan jurang sesama kita, hakikatnya, makin lama, makin parah. Muqobalah tidak menjadi sebaliknya yang makin menjadi-jadi ialah ‘mu koho balah’ atau semakin teruk berbalah.

Nampaknya, kita tidak pernah ambil pengajaran untuk insaf dan berusaha merapatkan semula perbezaan. Apa yang kita dapat hanya belajar ‘lughah’ atau bahasa Arab!

Sebut pasal sambutan malam tahun baharu, selain ‘bughah’ ada satu lagi yang perlu disentuh iaitu ‘lurah’.

Kita semua maklum bahawa setiap tahun, sudah bertahun-tahun, sambutan tahun baharu diraikan dengan bermacam-macam pesta maksiat.

Bermula dari pertunjukan hiburan di Dataran Merdeka, aksi menunjukkan ‘lurah’ di atas pentas, kemudian berjangkit kepada meraba ‘lurah’ oleh bughah-bughah yang di bawah.

Adegan ini kemudian bersambung-sambung pula ke satu lagi ‘rah’ iaitu hotel murah yang sudah awal ditempah di Chow Kit, Jalan Raja Laut atau di mana-mana sahaja.

Tidak pernah berubah!

Aksi ‘lurah’ yang murah tetapi cara sambutannya tidak pula murah pun ada juga. Tinjaulah di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Sri Hartamas atau Bukit Bintang. Ini pesta ‘lurah’ untuk anak-anak orang kaya lagi kenamaan!

Tahun ini, DBKL peruntukan ratusan ribu ringgit kos untuk sambut tahun baharu pada ketika warga kota sudah mula kebingungan berikutan ura-ura cukai pintu akan dinaikkan.

Dan buat pertama kali, tahun ini ada suara daripada Pemuda Umno supaya sambutan tahun baharu diubah, ditinggalkan acara-acara yang ‘lagha’ sebaliknya ditumpu hanya pada acara yang bersifat agama. Pun, tidak diikut juga!

Akhirnya, yang ‘lurah’ juga yang dibenarkan bebas di bumi bertuah ini!

Jangan mudah menerakakan orang - Dr Mohd Asri

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Antara ciri wasatiyyah (tidak melampau dan tidak cuai) Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah sikap berhati-hati dalam menghukum pihak lain dengan tuduhan kufur, laknat ataupun nereka.

Mereka sedaya upaya mencari keuzuran bagi pihak yang hendak dikenakan tuduhan sedemikian. Ini kerana perkara yang nampak pada zahir, mungkin tidak sama pada hakikat yang sebenar.

Menilai hakikat

Nabi SAW mengajar kita berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir ataupun musuh Allah sewenang-wenangnya.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bahkan dalam hadis, Nabi SAW melarang melaknat seorang sahabat yang meminum arak kerana walaupun pada zahirnya dia berdosa dan minum arak adalah perbuatan yang dilaknat.

Namun setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza. Kejahatan dosa peribadi seseorang tidak semestinya dia sama sekali tidak mempunyai nilai baik yang lain

Mungkin dia lemah pada satu nilai, tapi ada kebaikan lain yang tidak melayakkan dia dilaknat.
Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW mengajar kita hakikat ini:

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Juga pernah Nabi SAW menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak.

“Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat.

“Seorang lelaki berkata: Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap.

“Lantas Nabi SAW pun bersabda: 'Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

Kekufuran

Kemudian, bagi mereka yang membuat kesalahan yang membawa kepada kekufuran ataupun dosa yang besar mungkin tidak sampai kepada mereka ajaran yang sebenar dengan penghujahan yang cukup.

Jangan kita sibuk menerakakan orang sedang Allah menyebut (maksudnya):

“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul.” (Surah al-Israk: 15)
Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali (w 505H) dalam Faisal al-Tafriqah bain al-Islam wa al-Zandaqah menyebut tentang mereka yang diselamatkan dengan rahmat Allah dari hukuman azab nereka, antaranya beliau menyebut:

“Aku katakan bahawa kebanyakan Kristian Rom dan Turki pada zaman ini termasuk dalam rahmat ini –dengan izin Allah- iaitu mereka yang berada di penghujung Rom dan Turki yang tidak sampai dakwah.

“Mereka itu tiga golongan; (golongan pertama) mereka yang tidak sampai kepada mereka nama Muhammad sama sekali. Mereka itu dimaafkan. (Golongan kedua) mereka yang sampai kepada mereka nama Muhammad, sifat-sifatnya dan segala mukjizat (bukti) yang telah nyata.

“Mereka ini berjiran dengan Negara Islam dan bergaul dengan kaum Muslimin. Mereka ini kufar yang nyata. (golongan ketiga) mereka ini antara dua keadaan. Sampai kepada mereka nama Muhammad SAW tetapi tidak sampai ciri dan sifatnya.

“Mereka sejak awal mendengar bahawa seorang pendusta yang mengelirukan bernama Muhammad telah mendakwa menjadi nabi… mereka ini pada pendapatku sama seperti golongan yang pertama.

“Mereka ini sekalipun mendengar nama Muhammad tetapi mereka juga mendengar apa yang bercanggahan dengan sifat-sifatnya. Ini tidak menggerakkan mereka untuk mencari kebenaran....”

Kenyataan al-Imam Ghazali ini sekalipun beliau bercakap pada zaman beliau tetapi juga memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang nyata tentang Islam sekali mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka.

Apatah lagi di zaman kita ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang Muslim juga sering bertindak mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar. Tuhan Maha rahmat kepada sekalian hamba-hamba-Nya.

Hujah

Mungkin penjelasan mengenai Islam dengan satu pendekatan yang pada zaman dahulu memadai, pada zaman ini sudah tidak memadai lagi.

Mungkin memadai untuk segolongan manusia tetapi tidak bagi golongan yang lain. Maka, Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya.
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:

“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya.

“Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala.

“Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul.

“Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi: Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain.

“Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain.” (mss 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)

Ilmuwan

Sementara bagi golongan ilmuwan pula kadang-kala berlaku perbezaan pendapat antara mereka sehingga dalam masalah akidah sekalipun.

Kita tidak boleh sewenang-wenang menghukum murtad dan kufur atas ijtihad mereka yang berasaskan hujah-hujah mereka yang bertujuan mencari kebenaran yang diredai Allah.

Demikian Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (w 728H) dalam karyanya Daru Ta’arud al-‘Aql wa al-Naql ketika menjawab golongan ulama yang berbeza pendapat dan aliran fikir dengannya, namun beliau tetap memberikan keuzuran untuk mereka dengan penuh kesantunan, katanya:

“Kemudian, bahawa tiada seorang pun dalam kalangan mereka kecuali mempunyai sumbangan yang berharga, kebaikan yang dipuji juga usaha menjawab ramai golongan mulhid dan bidah serta membela ramai Ahlus Sunnah.

“Ini sesuatu yang jelas untuk sesiapa yang tahu hal keadaan mereka, berbicara mengenai mereka dengan ilmu, benar, adil dan insaf. Ini (penilaian sebegitu) bukan khusus untuk mereka sahaja bahkan hal seperti ini berlaku kepada beberapa golongan dalam kalangan ahli ilmuwan dan agamawan.

“Allah SWT itu menerima kebaikan dari semua hamba-Nya yang beriman, Dia memaafkan kesalahan-kesalahan.

“Ini seperti doa dalam firmannya: Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam jantung hati kami perasaan hasad dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha melimpah belas kasihan dan Maha Penyayang.” (Surah al-Hasyr, 10)

Sambung beliau lagi: “Tiada syak lagi sesiapa yang mencari kebenaran dan agama dari jalan al-Rasul SAW. kemudian tersilap dalam beberapa perkara maka Allah mengampuni kesalahannya sebagai penunaian kepada doa yang Allah sahut untuk Nabi-Nya dan mereka yang beriman tatkala mereka menyebut: (maksudnya) Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersilap”. (Surah al-Baqarah: 286)

Ahbash

Demikian kesantunan ilmu yang berlapang dalam perbezaan pendapat. Hal ini perlu ditegaskan di Malaysia terutama sejak kemunculan golongan Ahbash dan pengikut Hasan Saqqaf yang sering mengkafirkan sesiapa yang berbeza pendapat dengan mereka.

Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut: “Semenjak beberapa tahun yang lalu aku ada mendengar tentang satu jemaah yang zahir di Lebanon, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di sana dengan pandapat-pendapat yang pelik, menyeleweng dan pandangan-pandangan yang berbahaya dalam persoalan akidah, fikah dan akhlak….

“Dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dalam kalangan umat Islam hari ini atau yang terdahulu.

“Mereka mengkafirkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti tokoh tajdid tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab.

“Demikian juga mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-'Allamah al-Syeikh 'Abdul 'Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya…

“Golongan Ahbash yang pelampau dan menyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abu al-Hasan al-'Asy'ariy segi akidah, mazhab al-Imam al-Syafie segi Fikah, dan mengikut Tarikat al-Rifa'iyyah dalam berakhlak.

Akan tetapi hakikatnya mereka amat jauh dari manhaj kesemua para imam itu sama ada dalam pemikiran, adab dan akhlak...

“Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lebanon, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habshah (Ethopia) berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belahkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini. (Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Muasarah 3/685-686, Dar al-Qalam)

Umat Islam di Malaysia hendaklah kekal dengan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang mengamalkan pendekatan yang sederhana dan penuh kesantunan serta insaf dalam menilai pihak yang lain.

Teguran Keras Dr Maza Buat mufti gila babi

DrMAZA.com
..untuk semua agamawan di negara mana pun mereka berada patut ditanya: apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan atasan –samada sultan ataupun menteri- ayat-ayat Tuhan tidak terkena mereka? rakyat sahajakah yang patut selalu diingat agar taat pemerintah?! Bukankah pemerintah lebih utama diingatkan agar takutkan Allah dalam pengurusan harta rakyat jelata.. kedamaian negara terletak di tangan pemerintah bukan hanya di tangan rakyat..

..ada agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan untuk bunuh. Padahal bughah adalah istilah yang mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah pada rakyat yang berkumpul tanpa senjata. .. apakah bughah rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?

..kita boleh saja untuk tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan darah rakyat awam yang menyertainya atas alasan selekeh sedemikian rupa?

..menghalalkan darah rakyat atas nama agama adalah satu jenayah yang sangat besar..sesiapa yang memanipulasi agama untuk kepentingan tertentu telah merosakkan nama Tuhan dan utusanNYA yang mulia..

Ikan Gergasi Terdampar Di Sabah (Gambar)

https://fbcdn-sphotos-c-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/1486733_10152118971235817_1720189689_n.jpg
Gambar ikan gergasi yang terdampar di KG Forest, Sandakan, Sabah pada
petang Rabu (1 Januari 2013).. Info lanjut mengenainya masih diusahakan.

** Namun menurut salah seorang penduduk kampung yang mahu identitinya
dirahsiakan berkata "Ikan ini ditemui terdampar di sini pada petang tadi..
Tidak pasti apa puncanya tapi mengikut andaian saya, ikan ini mengalami
tekanan hidup di laut kerana kos sara hidup yang makin tinggi.. Menteri-
menteri ikan di laut cakap, kalau tidak tahan pergi naik ke darat.. Kerana itu
ikan ini naik ke darat kerana baginya mungkin, mati lagi senang..."
**

**Rekaan semata-mata
Sumber: Facebook myzone 

Apa pula selepas Turun ...

AHMAD LUTFI OTHMAN
Himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) pada malam 1 Januari 2014, bagi saya, memang istimewa. Jarang demonstrasi aman diadakan pada waktu malam, apatah lagi bersama sambutan ambang tahun baru, di Dataran Merdeka pula, yang turut menyaksikan konsert anjuran DBKL.

Tentu sekali ia bukan semata-mata perarakan santai melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan Raja Laut, dalam suasana agak kondusif -- tak perlu perlu berpeluh di bawah panas terik -- sambil bertemu ramai kenalan lama dan baru, bertukar-tukar cerita, di samping peniaga kecil mendapat laba lebih besar disebabkan permintaan meningkat dengan mendadak.

Isu kos sara hidup yang mencanak naik bukan hal remeh. Ia isu besar yang rgent, kritikal, menyentuh denyut nadi kehidupan majoriti rakyat, mengasak penghuni kosmopolitan dan juga menghimpit warga desa.

Justeru, sejak mendapat tahu Gabungan Mahasiswa Islam Mahasiswa (Gamis), diterajui Azan Safar, mahu mengangkat persoalan kenaikan kos sara hidup sebagai agenda nasional yang mesti diberi perhatian serius, tanpa ragu saya memberikan sokongan sepenuhnya.

Sesungguhnya saya sentiasa percaya bahawa golongan mahasiswa, dalam apa juga zaman dan situasi, mempunyai peranan terpenting, bagi membela dan memperjuangkan nasib rakyat yang menjadi mangsa kerakusan dan ketamakan elit penguasa.

Ya, semangat dan inspirasi "demonstrasi Baling 1974" yang juga digerakkan mahasiswa rupanya belum berakhir. Kemiskinan yang dahulunya membarah di kawasan kampung terpencil kini menyesakkan nafas penduduk kota-kota besar.

Ada kalanya kemelaratan di bandar lebih menyeksakan. Dan itulah yang dialami sekarang. Pendapatan bulanan sekitar RM4,000 belum dapat membebaskan keluarga daripada jerutan kehidupan seharian.

Malah kenaikan barangan dan perkhidmatan, termasuk kadar tol, tarif elektrik, cukai pintu, juga keperluan dapur yang tidak pernah turun-turun lagi -- diikuti senarai kenaikan yang lebih panjang -- menyebabkan rakyat makin gelisah dan resah.

Isu yang dibangkitkan Turun ini benar-benar real dan mendesak sekali. Ia lekat kukuh di sanubari rakyat. Buktinya, meskipun "media talibarut", khususnya Utusan Malaysia dan TV3, melancarkan siri fitnah melampau -- lebih mengaibkan, ada sumbernya daripada pihak polis sendiri -- namun sambutannya luar biasa. Masyarakat terpanggil untuk turun menyuarakan hasrat hati yang terbuku.

Malam Rabu lalu, sebelum bertolak dari Ampang ke ibu kota, menggunakan perkhidmatan LRT, untuk menyaksikan dari dekat amarah rakyat di himpunan Turun, sempat saya menonton Buletin Utama, yang tentunya akan terus "menghasut".

Di saat-saat akhir, ketika Dataran Merdeka mula menjadi tumpuan, TV3 tetap cuba "memujuk" dan "mengugut" agar menghindari demonstrasi. Himpunan mendesak kerajaan supaya prihatin dengan isu kenaikan kos sara hidup dan bertindak menurunkannya digambarkan sebagai usaha menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.

"Guling" tiba-tiba saja menjadi istilah yang cukup popular. "Mana tahu, dek kerana kerap sangat diratibkan oleh TV3 dan Utusan, maka dalam PRU14 nanti, terguling betul kerajaan BN ini!" sambut seorang rakan dalam Facebook.

Semasa tren LRT melintasi persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, berdepan Dataran Merdeka, saya melihat ke bawah, ada sekatan polis menghalang peserta Turun. Ramai juga berkumpul. Sengaja saya berhenti di stesen LRT Bandaraya, dan bukannya Masjid Jamek, untuk melihat suasana berdekatan Kompleks Sogo.

Mungkin ada perarakan dari Pejabat Agung PAS dan bertemu dengan orang ramai yang biasanya selesa dengan kawasan sekitar Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ia juga mengingatkan kenangan ledakan era reformasi 1998 yang bersejarah dan kemudiannya membuka lembaran politik baru tanahair.

Ditemani dua anak lelaki, saya yang masih bertongkat mengheret kaki perlahan, menikmati lingkungan yang cukup menyenangkan. Jalan tiga lorong sesak di kiri kanan, dengan gemuruh tiupan "trumpet plastik".

Rata-rata adalah anak-anak muda, lelaki dan wanita, pelbagai bangsa. (Saya kira sebahagiannya pelajar universiti dan agak ramai juga yang pernah saya temui). Tetapi tidak terkecuali keluarga besar -- saya perhatikan ada anak, ibu-ayah dan juga datuk-nenek -- yang berjalan secara berkumpulan, hatta ada ibu muda yang mendukung bayi kecil.


Wajah mereka nampak ceria dan gembira, seolah-olah bersiar-siar menghidup udara segar. Mungkin ada yang mahu menghabiskan cuti hujung tahun bersama demonstrasi aman, yang disifatkan Utusan Malaysia dan TV3 sebagai aksi menggulingkan kerajaan.

Seingat saya, malam itu, empat kali terserempak dengan sekawan pelancong asing, yang kelihatan ingin tahu apa yang berlaku. Adakah perhimpunan aman tanpa senjata menakutkan mereka? Bukankah demonstrasi bagi masyarakat maju adalah lumrah dan sebahagian daripada amalan demokrasi yang matang?

Beberapa anak muda bermotosikal, dengan sopan mempelawa saya membonceng, mungkin simpati melihat saya bertongkat berjalan perlahan. "Tak apa, terima kasih, dik, sengaja nak senaman dan ambik angin malam," saya menolak.

Sebenarnya sejak diserang strok, kaki saya sukar "dilentur" dan keadaan ini menghalang saya membonceng, apatah lagi menunggang motosikal.

Boleh dikatakan setiap kali menyertai perarakan besar, misalnya siri Bersih, Himpunan Kebangkitan Rakyat dan Black 505, pasti ada anak muda, khususnya anggota Unit Amal PAS, yang menawarkan khidmat untuk memudahkan saya sampai ke destinasi, sedangkan saya lebih gemar menikmati kemeriahan berarak beramai-ramai.

Bukan sekadar terjumpa sahabat lama, yang puluhan tahun tidak ketemu, tetapi lebih mengujakan bila disapa pembaca Harakah yang datang dari seluruh pelosok negara dan dapat bertukar-tukar idea spontan dengan mereka Saya jangkakan, publisiti negatif media dan polis banyak membantu promosi Turun!

Ketika menghimpit masuk ke Dataran Merdeka, selepas diberi laluan oleh anggota polis yang budiman, seorang lelaki tua, mungkin dalam usia 70-an, menarik tangan saya. Dari utara Perak dia datang. Bersemangat sekali berkongsi rasa, menegur gaya hidup PM dan isterinya.

Sebelumnya, berdepan Restoran Insaf, sempat bersembang dengan anak muda dari Pasir Puteh, Kelantan. Rombongan kecil dari Tanjong Karang turut menunjukkan tanda sokongan. "Kami dah tua, terpaksa duduk saja, tak larat nak jalan ke depan lagi," kata seorang daripadanya, walaupun nampak uzur, tetapi cerah wajahnya, bercahaya matanya.

Seorang Yang Dipertua PAS kawasan dari selatan tanahair membisik: "Kalau ada arahan rasmi pimpinan supaya kita turun malam ini, tentu lebih ramai, 'kan? Kenyataan Ketua Pemuda pun dibuat di saat-saat akhir. Saya tak nampak mengapa PAS perlu jarakkan diri dengan program rakyat ini."

Sebenarnya tiga atau empat orang juga yang bertanya saya, siapa pimpinan tertinggi Pakatan yang turun malam itu. "Rasanya ada Salahuddin Ayub dan Rafizi Ramli, selain Suhaizan Kaiat," jawab saya, agak ragu-ragu. Mereka seolah-olah tidak berpuas hati dengan kehadiran VVIP.

"Ini inisiatif anak muda, sebahagiannya pimpinan mahasiswa. Mungkin Pakatan ada perancangan lain, yang lebih besar, macam demo Bersih, juga tangani isu kenaikan kos hidup ini, dengar kata menjelang Hari Pekerja, 1 Mei nanti," saya cuba memuaskan hati mereka.

"Saya nampak kurang sangat banner, bunting dan poster yang dipamerkan malam ini, begitu juga risalah mengenai tuntutan kita," seorang daripada mereka mengeluh. "Jangan ambik mudah hal ini," katanya.

Saya terpaksa pulang awal, sebelum jam 12 tengahmalam. Pertama, untuk mengelak kesesakan berhimpit dalam LRT. Kedua, menyiapkan deadline Harakah sebelum Subuh 1 Januari 2014.

Tiba-tiba bertembung dengan seorang rakan, wartawan. "Kita sibuk menjerit dan marah dengan kenaikan kos hidup malam ini, tetapi siapa yang dengar? Najib (Razak) bukan saja tak ada di Dataran Merdeka untuk "countdown" tapi dia dan ramai lagi menteri lain masih bercuti di luar negara," ujarnya. "Khabarnya Najib ke Australia dan Amerika," tambahnya lagi.

Saya tidak kisah sama ada Najib dan isterinya, Rosmah Mansor bercuti di Sydney mahupun Los Angeles ketika lebih 50,000 berdemonstrasi pada malam tahun baru, namun yang pasti langkah yang diumumkannya untuk mengurangkan belanja kerajaan dan elaun keraian tidak dapat membendung rasa tidak puas hati rakyat.

Pemborosan, pembaziran dan rasuah masih tidak ditangani secara serius. Dana awam masih menjadi lubuk untuk para kroni dan elit penguasa membolot khazanah negara.

Cuma, jika Najib belum tersentak dengan himpunan Turun ini, maka perlu difikirkan langkah susulan dalam kadar segera. Dan lupakan tohmah dan mehnah media -- sekadar menurut skrip lama -- yang pastinya akan memburuk-burukkan secara berterusan apa jua himpunan rakyat sebagai "keganasan" meskipun ia berjalan aman.