"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li cadang 'kerakyatan Melayu' untuk semua kaum

M Fakhrull Halim

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar idea yang pernah diperjuangkan tokoh politik yang juga bekas presiden PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy, berhubung idea negara bangsa (nasion) Melayu dapat dihidupkan semula.

Jelasnya, gagasan itu kini bermaksud semua rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan adalah satu negara bangsa Malaysia.

“Dr Burhanuddin pada ketika itu telah mengusulkan supaya kita semua rakyat di Malaya ini, tak kira apa keturunan, akan dinamakan Melayu.

“Kerana kita daripada gagasan Nusantara ini yang sudah jadi Tanah Melayu, wajar difikirkan semula, bahawasanya kita ini adalah orang Melayu,” katanya.

Razaleigh juga memberikan contoh negara bangsa (nasion) Indonesia yang hanya menggunakan satu nama kerakyatan sebagai identiti kebangsaan yang tidak mengira kaum atau keturunan.

“Kita pun (boleh lakukan sebegitu), supaya takkan ada lagi pertikaian antara kaum.

“Saya rasa tak ada apa yang hendak direbutkan. Sama-sama boleh dikongsi,” katanya dalam bual bicara Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia di Kajang hari ini.

Burhanuddin merupakan pemimpin parti politik Melayu pertama selepas perang dunia kedua yang menuntut kemerdekaan, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang kemudian menubuhkan gabungan sayap pertubuhan berideologi kiri Pusat Tenaga Rakyat (Putera).

Sementara itu, Kesatuan Malaya Demokratik (MDU) di Singapura dan beberapa kumpulan lain, membentuk Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) yang bersifat pelbagai kaum.

Gabungan Putera-AMCJA kemudian menggagaskan Perlembagaan Rakyat pada 1947 yang mengandungi 10 prinsip teras bagi menggantikan Malayan Union yang menimbulkan kontroversi hebat di Tanah Melayu pada tahun 1946.

Prinsip keenam Perlembagaan Rakyat menggariskan bahawa: Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup mencurahkan kesetiaannya tanpa berbelah bagi.

Prinsip kesembilan pula berbunyi: Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.

Perlembagaan Rakyat terkubur apabila British mengharamkan pertubuhan-pertubuhan dalam Putera-AMCJA ketika mengisytiharkan darurat 1948.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal hari ini dirangka oleh sebuah suruhanjaya yang dinamakan sempena nama pengerusinya iaitu seorang hakim Mahkamah Rayuan England, Lord William Reid.

Cadangan Suruhanjaya Reid diterima oleh Parlimen British pada Jun 1957 dan berkuatkuasa secara rasminya pada 31 Ogos iaitu selepas kemerdekaan.

Perlembagaan Persekutuan itu kemudian dipinda menjadi Perlembagaan Malaysia apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak lalu membentuk Malaysia.

Ezam umum akan cabar Mahathir dalam PRU depan

Malaysiakini

Bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan akan bertanding melawan Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, dia sedia bersemuka dengan bekas perdana menteri itu sama ada di kerusi disandangnya di Langkawi atau di mana-mana tempat.

“Kita tidak boleh biarkan Mahathir berjaya hancurkan reformasi lagi,” katanya yang kini bergerak melalui platform Gerakan Reformasi 98 (Gerak98).

Gerak98 merupakan platform bagi pendukung semangat gerakan reformasi 1998 yang dicetuskan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas dipecat oleh Mahathir pada tahun 1998.

Mahathir ketika itu menjadi perdana menteri buat kali perdana dan Anwar bertindak sebagai timbalannya.

Ezam yang terkenal dengan pidato lantangnya ketika itu berkhidmat sebagai setiausaha politik Anwar.

Dia bagaimanapun pernah terlibat dengan pelbagai parti, termasuk PKR, Umno dan Bersatu, selepas itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ezam juga berkata Presiden Parti Pejuang Tanah Air yang juga anak Mahathir, Muhkriz, akan turut dicabar oleh tokoh Gerak98 daripada Kedah.

Tak ada masalah, 'PH jalan terus' - Anwar

Di tengah-tengah gesaan Amanah dan DAP untuk "pelarasan semula (reset) politik" atau "gabungan besar," Presiden PKR Anwar Ibrahim percaya semuanya baik-baik sahaja bagi Pakatan Harapan.

Bercakap kepada pemberita di Alor Setar, Kedah hari ini, Anwar berkata Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah memaklumkan hal tersebut kepadanya.

"Dia suruh saya bawa dalam mesyuarat. We move on (jalan terus)...

"Tiada masalah. PH boleh undang yang lain. Kita akan bawa dalam mesyuarat," katanya.

Anwar bercakap kepada wartawan selepas bertemu dengan akar umbi parti. Menurut Anwar, dia telah mengingatkan akar umbi mengenai PKR yang berteraskan Melayu Islam tetapi juga berbilang kaum, bersama misi untuk membasmi rasuah dan menegakkan keadilan.

Anwar tidak menjawab pertanyaan berulang kali yang diajukan kepada: "Adakah anda masih memiliki nombor?"

Ketika ditanya apakah dia yakin akan menewaskan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada PRU15, Anwar menjawab: "Diharapkan dapat ditumbangkan segera."

Pada 23 September Anwar berkata memiliki nombor untuk menumbangkan Muhyiddin. Bagaimanapun, ketika Dewan Rakyat bersidang dari Oktober ke pertengahan Disember lalu, jelas Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

Selepas itu, muncul tuntutan supaya dilakukan "pelarasan semula (reset) politik" atau "gabungan besar" yang menurut Mohamad dan Lim perlu untuk merapatkan saf serta kekuatan pembangkang.

Gabungan PH - yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah - kelihatan tidak memiliki hubungan baik dengan Muda, Pejuang, Parti Sarawak Bersatu dan Warisan yang secara kolektif mempunyai 16 anggota Parlimen.

Tokoh-tokoh Amanah dan DAP baru-baru ini menggesa PKR untuk menjalin hubungan erat dengan parti-parti pembangkang yang lain, walaupun itu bermakna Anwar perlu berdamai dengan Dr Mahathir Mohamad.

Puad ajak ahli parlimen BN tarik balik sokongan pada Muhyiddin

Malaysiakini

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Puad Zarkashi menyarankan ada antara anggota parlimen BN melakukan tindakan berani dengan menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin.

Kata Puad walaupun langkah itu dilihat seolah-olah membunuh diri namun jika ia dilakukan "demi rakyat" maka tidak ada apa salahnya.

"Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai perdana menteri. Nampak macam kamikaze tetapi apa salahnya, demi rakyat.

"Mungkin tidak semua (ahli parlimen BN) sanggup. Lima orang tarik sokongan pun alhamdulillah. Tiga pun OK. Gunakan hati nurani," katanya dalam satu hantaran di media sosial pagi ini.

Puad merupakan bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang lantang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya melibatkan Bersatu.

Muhyiddin merupakan presiden Bersatu yang kini menjadi perdana menteri dengan sokongan majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Awal bulan ini dia berjaya melepasi halangan besar yang dibina pembangkang apabila Belanjawan 2021 berjaya mendapat sokongan mencukupi - walaupun dengan kelebihan tiga undi - untuk diluluskan.

Di sebalik gesaan dibuat Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah serta semua pembangkang, belanjawan berkenaan tetap mendapat 111 undian berbanding 108 menolaknya.

Ada cara untuk bertindak

Belanjawan terbabit turut mendapat sokongan beberapa ahli parlimen Umno yang sebelum itu kelihatan lantang mengkritik serta memberi tekanan kepada kerajaan.

Menurut Puad dengan lulusnya Belanjawan 2021 Muhyiddin memang boleh berasa lega namun rakyat pula berasa sebaliknya.

"Janji mempermudahkan pengeluaran i-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya. Terdapat bank-bank yang liat.

"Rakyat terbelenggu dengan kriteria terutama untuk kategori dua pengeluaran KWSP.

"Moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga industri kecil dan sederhana," katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Najib Razak, kata Puad, berjanji untuk terus menuntut PN menepati janji sehingga dua isu yang disebutkannya itu diselesaikan.

Jika tiada perubahan dan kerajaan terus berdolak-dalik untuk tempoh yang munasabah, katanya, masih ada cara untuk BN bertindak.

"Betul, ahli parlimen akan dipertanggungjawabkan. Mereka saja yang boleh mengundi.

"Harga seorang ahli parlimen memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan keberanian politik," katanya.

Tekanan terhadap Zahid memuncak dalam Umno Oleh BORHAN

BORHAN AHMAD 

Kadudukan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini berikutan keputusannya mahu bekerjasama dengan bekas mentornya Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan baru, namun kemudiannya ditolak oleh pimpinan parti.

Tamparan hebat diterima Zahid selepas menulis surat bersama Datuk Seri Najib Razak kepada Yang Dipertuan Agong menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“No Anwar dan no DAP” telah menjadi polisi kepada Umno selepas mesyuarat Majlis Tertinggi yang membincangkan surat Zahid dan Najib itu.

Beliau dikatakan tersepit antara kembalinya populariti bekas presiden Datuk Seri Najib Razak dan intergriti timbalannya yang bersih Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ekoran itu, tekanan mula dikenakan ke atas bekas timbalan perdana menteri itu agar berundur.

Bekas pengacara TV3, Datuk Dhalan Maamor menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan satu kain rentang menuntut Zahid berundur.

“Perlakuan siapa? Apa tujuan? Wajarkan Datuk Seri Zahid seorang pemimpin nombor wahid dalam Umno diperlakukan begini?” tanya Dhalan, bekas Setiausaha Politik menteri dari DAP, Anthony Loke itu.

Namun, kata Dhalan, tidak penting siapa yang naikan banner menolak Datuk Seri Zahid tetapi kenapa ia muncul secara tiba tiba. Itu lebih difikirkan.

“Saya merasakan ia tidak terlalu penting dan luar biasa “serangan” sebegini kerana ia kejadian biasa dalam politik.

“Sudah pasti penyokong Datuk Seri Zahid akan bangun mempertahankannya dan tak kurang musuh politik akan mengiyakannya selain bertepuk sorak,” kata Dhalan.

Beliau bertanya, apakah kejadian ini juga sebagai penanda akan berlaku perubahan apabila tiba masa pemilihan parti yang semakin dekat.

Semuanya serba mungkin, katanya bahkan, strategi ini boleh menimbulkan banyak spekulasi samada ia datang dari luar atau dalam parti.

Ia adalah “perbuatan” politik yang memang mempunyai tujuan, katanya.

Samada tujuannya memberi amaran kepada Datuk Seri Zahid oleh sahabat “sepermainan” atau daripada musuh yang sudah faham akan “permainan”.

“Saya penuh yakin “game” mula bertukar dan akan terus bertukar dari hari ke hari samada cara atau bentuk politik baru sesuai dengan keadaan masakini,” katanya.

Bagi beliau, apa yang berlaku dalam politik negara mutakhir ini meletakkan Zahid buntu mencari penyelesaian.

“Ke kiri penuh onak, ke kanan penuh duri.

“Beliau seolah tersepit namun kehidupan dan “nyawa” politiknya harus dipertahankan walaupun ramai yang bertanggapan Zahid seperti hampir lemas,” kata Dhalan.

Cerita perempuan dari NBJ

A KADIR JASIN

1. Saya mengikuti bahas media sosial dan arus perdana mengenai perempuan Malaysia yang namanya memberi gambaran dia Muslim, berkahwin dengan seorang ahli sukan India beragama Sikh. Perkahwinan itu dilaporkan berlaku di negeri Punjab, India, mengikut tradisi agama Sikh.

2. Setelah lebih seminggu heboh di sosial media bumi Malaya ini, barulah pemerintah dan pihak berkuasa agama kata, mereka akan siasat latar belakang agama perempuan bernama Illi Najwa Saddique itu. Dalam adat resam kontemporari Melayu Malaya, nama macam itu secara automatik dikaitkan dengan Islam.

3. Bagi kerajaan Melayu-Islam Perikatan Nasional pula, biasalah kalau mereka lambat sikit dalam hal-hal macam ini. Tapi kalau pasal gaji besar, elaun tinggi, kereta mewah dan kontrak rundingan terus mereka lebih pantas daripada Speedy Gonzales.

4. Berbalik kepada cerita berkenaan perempuan dari Negeri Bangsa Johor (NBJ) itu, maaflah kalau saya kata, saya tak berapa “excited” sangat. Mula-mula sekali, perempuan NBJ itu bukan kanak-kanak bawah umur dalam jagaan ibu bapa. Dia sudah besar panjang.

5. Lojiknya, kalau dia dilahirkan Muslim, tentulah ibu bapa dia dan sistem pendidikan Tanah Melayu ini sudah ajar dia asas-asas agama Islam. Jadi kalau dia pilih untuk tidak amalkan ajaran Islam, kita nak kata apa?

6. Lebih baiklah kita fikir tentang kebajikan orang bukan Islam yang masuk Islam di negara kita ini. Banyak orang macam itu yang mungkin terlepas daripada pandangan kita atau belum dapat perhatian yang secukupnya.

7. Tak guna kita berbangga-bangga dan bersuka-ria dengan bilangan saja kalau akidah dan amalan tak ke mana. Cakap berapi-api demi agama, bangsa dan negara tapi rasuah, mencuri dan merompak harta negara berlaku secara berleluasa.

8. Masjid banyak. Surau jangan kira lagi. Yang berjemaah boleh kata ramai juga. Tapi tengoklah orang bangsa mana dan agama apa yang hari-hari pakai kemeja-T Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, duduk dalam kandang orang kena tuduh atau disumbat ke dalam penjara?

9. Cakap tentang kesaksamaan dan balasan dunia serta akhirat. Tapi yang dari tepi jalan akan masuk penjara manakala yang dari kelas dewa-dewa akan bagi berbagai-bagai alasan untuk dilepaskan.

10. Berkenaan Punjabi ini, mereka adalah satu etnik di benua kecil India.Mereka tinggal di India dan Pakistan. Dianggarkan ada 145 juta orang keturunan Punjabi di dunia – 104 juta di Pakistan, 33 juta di India dan selebihnya bercempera di merata dunia. Di negara kita bilangan mereka kecil tapi sangat berjaya. Majoriti orang Punjabi beragama Islam manakala selebihnya beragama Sikh. Yang agama Hindu dan Kristian pun ada.

Mohon maaf. Terima kasih.

Bila Pas Umno memerintah, Islam tidak lagi terancam!

MALAYSIA DATELINE

Sesudah Pas dan Umno menjadi kerajaan, kedudukan Islam sudah dianggap tidak lagi terancam sebagaimana kedudukannya ketika negara ditadbir oleh Pakatan Harapan yang didalamnya ada DAP.

Oleh itu, pelbagai aktiviti yang selama ini dianggap tidak boleh dan mengancam kedudukan Islam sudah dibolehkan, dakwa penulis dan aktivis politik Jamzuri Ardani.

“Bila Islam tidak lagi terancam, pertandingan ratu cantik pun sudah jadi halal, kawin dalam kuil boleh bincang secara ilmiah, kos pergi haji boleh dinaikkan, dividen ASB paling rendah tak kisah, kes Adib tiada pembunuh yang didakwa, hudud kena rujuk perlembagaan, dan banyak lagi manfaat baru untuk umat Islam,” tulis Jamzuri penuh sindiran menerusi facebook beliau.

Sebelum ini, ketika Pas belum mendapat kuasa, penyokong Pas akan menyebarkan apa sahaja isu dengan tag line Islam teracam.

Baru-baru ini, Pemuda Pas menziarahi penganjur pertandingan Ratu Cantik Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 (MPWM 2020) dan bersetuju agar pertandingan itu diteruskan dengan beberapa perubahan termasuk namanya bukan lagi ratu cantik.

“Pemuda Pas memberi cadangan dan berjanji untuk menyokong program kami. Tetapi mereka meminta untuk melakukan beberapa perubahan.

“Kami akan bekerjasama dengan pemimpin Pas untuk menyediakan yang terbaik bagi wanita Malaysia,” kata penganjur pertandingan itu dalam satu hantaran facebook mereka selepas menerima kunjungan Pemuda Pas.

Semalam, Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengumumkan dividen paling rendah dalam sejarah, namun ia tidak menjadi masalah dan mengancam Melayu.

ASB mengisytiharkan dividen paling rendah dalam 30 tahun sejarahnya – sebanyak 3.50 sen seunit bagi tahun kewangan 2020. Campur bonus 0.75 sen jadilah 4.25 sen.

Sebagai saguhati ulang tahun ke-30, ia memberi bayaran ehsan 0.75 sen seunit, terhad kepada 30,000 unit yang pertama.

Tahun lalu ia bayar 5.00 sen dividen dan 0.50 sen bonus menjadikan jumlahnya 5.50 sen, walaupun pasaran saham jatuh.

“Kita boleh salahkan kesan buruk Covid-19 ke atas ekonomi tapi pasaran saham kita naik,” kata tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin mengulas kejatuhan teruk dividen ASB semalam.

Setelah Pas dan Umno bergabung dalam kerajaan, seorang wanita Melayu dari Johor berkahwin dengan Ketua Pasukan Hoki India yang beragama Sikh.

Perkahwinan yang berlangsung di India ‘tidak lagi menjejaskan akidah ummah’ kerana kedudukan Islam tidak lagi terancam di bawah Pas dan Umno.

Bersatu sedang bekerja keras untuk memastikan PRU15 kerusi MB Johor milik mereka

PRU15, MB Johor dari Bersatu

HARUN ZAKARIA

Perlumbaan Bersatu dalam merebut gelaran MB Johor kali ini semakin hangat. Manakan tidak bila rakan mereka Umno sedang leka, mereka menyusun langkah untuk merampas kerusi di Johor untuk PRU akan datang.

Semalam heboh apabila akhbar melaporkan terdapat penyusunan kerusi hingga siap ada nama calon MB dari Bersatu selepas PRU akan datang.

Sebelum ini desas desus yang dinyatakan oleh pelbagai pihak termasuk dari PH dipandang sepi oleh Hasni, kali ini jelas lagi bersuluh.

Bersatu yang ada 12 kerusi termasuk Chong Fat Full yang kini bergelar pribumi apabila menyertai Bersatu pastinya mudah untuk mendapatkan baki lagi tiga kerusi. Contohnya kerusi Pas yang sebelum ini dimenangi oleh parti kerusi tunggal itu disebabkan pembatalan calon dari Bersatu.

Sekarang sudah jadi 13 kerusi. Tujuh lagi kerusi pasti akan cuba diambil Bersatu sama ada kerusi yang dimenangi PH iaitu Senggarang, Semerah, Bukit Naning, Mahkota, Serom dan kerusi yang dimenangi BN sebelum ini.

Sebagai contoh kerusi yang dimenangi BN seperti Rengit dan Parit Raja yang mempunyai potensi serta gerak kerja yang sedang dilakukan oleh Bersatu kini. Ke semua kerusi itu kini memang telah dihinggapi oleh jentera Bersatu dan melalui maklumat mereka telah pun meletakkan calon mereka.

Pastinya Bersatu boleh dan mampu bertanding di kerusi tersebut disebabkan pasaran parti itu yang menumpukan kepada pengundi Melayu. Di sinilah ia akan beraksi serta mengugat kesetiaan rakan mereka dari Umno.

Apa nak kisah sebelum ini pun Bersatu seringkali khianat dan Muhyiddin anak kiyai Yassin cukup mahir dalam konteks itu. Ini adalah misi balas dendam secara diam bila mana Umno membuat langkah menjatuhkan MB Perak Faizal Azumu.

Ada lagi satu cara yang boleh dilakukan Bersatu seperti mana mereka lakukan sewaktu di dalam PH dulu yaitu ‘sailang’ pada selekoh terakhir. Fatwa Muhyiddin anak kiyai Yassin sebelum PRU 14 yang lalu untuk memberikan mandat MB kepada parti Melayu yang paling banyak menang antaranya AMANAH, PKR dan Bersatu.

Akhirnya sailang berlaku dengan menobatkan Bersatu menjadi MB sedangkan waktu itu rakyat Johor rata-rata mendesak agar mandat MB itu diberikan kepada Salahuddin Ayub. Sudah dijelaskan inilah kepakaran Muhyiddin anak kiyai Yassin.

Walau bagaimanapun ketokohan Hasni hari ini pastinya tergugat dengan langkah-langkah Bersatu yang sentiasa menunggu peluang menjatuhkan beliau. Inilah permainan licik dari parti Muhyiddin itu untuk mendapatkan kuasa serta membunuh Umno dalam senyap.

PAS Perak tetap mahu jawatan Exco Agama

Hanya Pas layak pegang Exco Agama

SITI NUR ZAWANI MISCON

Setiausaha Politik Pesuruhjaya Pas Perak, Fairuz Hafiizh Othman tidak bersetuju sekiranya kerajaan Perak di bawah Menteri Besar baharu menukar portfolio yang sudah disandang ahli parti itu.

Beliau berkata, adalah kerja bodoh dan jahat untuk menukar portfolio yang telah berjalan dengan baik selama hampir setahun, lebih-lebih lagi portfolio pendidikan dan Agama yang sudah dipegang oleh Pas.

Menurutnya, adalah mustahil untuk mengubah portfolio agama kerana hanya seorang wakil Pas yang memiliki latar belakang agama.

“Menyerahkan portfolio agama kepada bukan ahlinya adalah satu pengkhianatan dan kerja jahat.

“Ia adalah kebinasaan apabila tidak di serahkan kepada ahlinya. Ini yang disebut Rasullullah SAW. Saya tak fikir ada Exco lain yang sanggup memikul amanah tersebut sedangkan ada ahlinya dalam kalangan mereka,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada masa sama, Fairuz berkata Exco terpaksa memerlukan lebih banyak masa untuk mengenal pasti bidang baru mereka sekiranya portfolio sedia ada ketika ini ditukar.

Sementara itu beliau berkata, jika Menteri Besar ikhlas memberi khidmat dan tidak berselindung disebalik agenda lain untuk kepentingan diri dan kelompok, sepatutnya tiada perubahan portfolio sebagaimana tiadanya perubahan Exco.

Bagaimanapun jika ianya berlaku kata Fairuz, kesepakatan antara komponen parti yang membentuk kerajaan di negeri itu pasti akan dilanda curiga sesama mereka.

“Rakyat juga pastinya hilang kepercayaan terhadap janji yang dibuat Umno iaitu hanya langkah menukar Menteri Besar,” katanya lagi.

Hubungan istimewa antara Mat Sabu, Mahathir dan Anwar

ZULKIFLI SULONG

Ramai yang tertanya-tanya, bagaimana bekas Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu yang sangat membenci Tun Dr Mahathir Mohamad tiba-tiba selepas menjadi Presiden AMANAH, beliau dilihat sangat rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Bahkan, ada juga yang tertanya-tanya, bagaimana Mohamad boleh rapat dengan Mahathir sehingga kadang-kadang melebihi hubungan beliau dengan bekas ketuanya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, padahal kedua-duanya adalah pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) manakala Mahathir sudah berada di luar PH.

“Saya mula rapat betul dengan Mahathir apabila kami bersama dalam isu umat Islam antarabangsa. Semua tahu Mahathir ini sangat vokal dalam isu Palestin. Saya pula menjelaskan kepada beliau tentang keyakinan saya tentang isu umat Islam antarabangsa.

“Dari kata sepakat itulah, kami menganjurkan KL Summit yang menggabungkan lebih separuh umat Islam di dunia. Saya yakin, jika kerajaan kita masih kekal, KL Summit akan menjadi program tahunan kita dan memberikan hasil besar kepada dunia Islam,” kata Mohamad ketika penulis bertemu beliau baru-baru ini.

KL Summit menghimpunkan pemimpin utama dari Turki, Iran dan Qatar. Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan juga cuba untuk menyertainya namun diugut oleh Arab Saudi agar jangan berbuat demikian. Presiden Indonesia Joko Widodo juga mahu menyertainya, namun pada saat akhir hanya menghantar Naib Presiden Ma’ruf Amin kerana keletihan.

KL Summit telah diadakan pada 18 hingga 21 Disember 2019 di Kuala Lumpur Convention Centre. Ia dianggap dunia khasnya negara-negara Arab sebagai alternatif kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dikuasai Arab Saudi.

Menurut Mohamad, pandangan beliau dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang dunia Islam hampir sama sejak dahulu hingga sekarang.

“Saya sentiasa sama dengan Ustaz Hadi dalam isu antarabangsa tetapi untuk isu tempatan kami berbeza.

“Saya yakin, kalau Ustaz Hadi tidak ada dalam kelompoknya sekarang dan bersama kami, dia juga akan sepakat dengan saya dan Tun Mahathir,” kata Mohamad tentang bekas ketuanya itu.

Musuh politik Mohamad Sabu sentiasa menyerang beliau dengan isu Syiah. Namun, Ustaz Hadi adalah antara pembela beliau dalam isu ini.

Sejak dalam Pas lagi, musuh politik Mohamad sentiasa menyerangnya kerana hubungannya dengan pemimpin politik Iran. Namun, Ustaz Hadi menjadi pembela beliau.

“Saya rapat dengan pimpinan Iran bukan kerana Syiah mereka tetapi kerana pemikiran politik mereka. Saya yakin, Ustaz Hadi juga bersetuju dengan saya dalam isu ini,” kata Mohamad.

Kerana itulah, kata Mohamad, antara yang beliau ceritakan kepada Mahathir adalah tentang pemikiran politik pemimpin Iran ini dari zaman Shah sehingga membawa kepada kejatuhannya.

“Sebab itulah Iran kami masukkan dalam KL Summit ini,” kata Mohamad menceritakan tentang program yang beliau rancang bersama Mahathir ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan itu.

Mohamad Sabu mula rapat dengan Mahathir apabila bersama dalam isu umat Islam antarabangsa.

Kesatuan pembangkang

Sebelum aktif dalam Pas, Mohamad rapat dengan pemimpin ABIM termasuk Anwar. Apabila berlaku masalah perbezaan pendapat dalam Pas ekoran usaha sekumpulan pemimpin Pas pimpinan Hadi mahu bersama dengan Umno, Mohamad dan rakan-rakannya menentang usaha ini kerana mereka telah bersama dengan pembangkang lain dalam Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar.

Ekoran itu, Mohamad dan rakan-rakannya dalam Pas telah digelar Anwariyyun atau penyokong Anwar. Ada juga yang menggelarkan mereka sebagai Erdogan sempena dengan nama Presiden Turki sekarang, Raccip Tayyib Erdogan. Ini kerana mereka (rakan-rakan Mohamad Sabu) dianggap penyokong Erdogan ketika mereka sendiri (penyokong Hadi) adalah penyokong Erbakan, bekas pemimpin Saadet Partisi yang melawan AKP.

Kerana sejarah hubungan baik antara Mohamad dengan Anwar inilah ramai yang terkejut kenapa dalam keadaan sekarang Mohamad dikaitkan oleh penyokong Anwar sebagai ‘penjilat Mahathir’.

“Sebenarnya, tidak timbul soal sokong Mahathir atau tidak sokong Anwar. Yang kami mahukan adalah kesatuan pembangkang. Anwar adalah bakal PM kami, manakala Mahathir bukanlah musuh kami,” kata Khalid Samad, orang kanan Mohamad dalam satu kenyataannya.

Menurut Khalid, pembangkang perlu bersatu untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno dengan Perikatan Nasional (PN) yang bersatu sekarang.

“Kalau dahulu (semasa PRU-14) kita bersama Bersatu yang solid, kini sebahagian Bersatu sudah bersama PN yang di dalamnya ada Umno dan Pas.

“Kalau kita (PH) tidak bersama dengan penyokong Mahathir dan tidak juga bersama Warisan, secara logiknya sokongan kita akan berkurang, bahkan mungkin kalah dalam PRU nanti,” kata beliau.

Sejak kebelakangan ini, penyokong Anwar dilihat mendakwa AMANAH dan DAP mahu bersama Mahathir dan meninggalkan Anwar.

Mereka yang terperangkap dengan konflik Mahathir-Anwar akan sentiasa melihat jika kamu bersama Anwar, kamu memusuhi Mahathir dan jika kamu bersama Mahathir, maka kamu memusuhi Anwar.

Mesyuarat Majlis Presiden PH baru-baru ini telah dibatalkan selepas Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat kenyataan bersama meminta agar PH mewujudkan gabungan besar (grand coalition) dalam kalangan pembangkang. Kenyataan itu dikatakan punca mesyuarat itu dibatalkan.

Ia telah ditafsirkan oleh penyokong Anwar sebagai usaha AMANAH dan DAP mahu meninggalkan Anwar dan bersama Mahathir. Bahkan, ada yang mendakwa Mohamad mahu lari meninggalkan rakannya sejak sekian lama selepas merasai ‘kerajaan’ di bawah Mahathir.

Apakah itu benar? Saya tidak fikir begitu. Bagi saya, ia hanya pemikiran yang terperangkap dalam dunia “Mahathir dan Anwar” sahaja dan tidak boleh keluar dari situ.

Politik Mohamad Sabu dilihat mahu meramaikan sahabat termasuk mengekalkan sahabat yang telah sedia ada. Manakala Anwar pula sudah tidak boleh bersama Mahathir. Apakah Mohamad perlu juga bergaduh dengan Mahathir ketika Anwar bergaduh dengan Mahathir? Inilah persoalannya.

Bagi Mohamad dan partinya AMANAH, matlamat jangka pendek adalah untuk mengambil semula kerajaan yang dirampas daripada mereka. Matlamat kedua adalah memenangi PRU-15. Kedua-dua matlamat itu boleh dipenuhi dengan berkawan seramai mungkin bukan memusuhi ramai orang apatah lagi yang telah berkawan dengan kita.

Namun, mereka yang terperangkap dengan konflik Mahathir-Anwar akan sentiasa melihat jika kamu bersama Anwar, kamu memusuhi Mahathir dan jika kamu bersama Mahathir, maka kamu memusuhi Anwar.

Berkawan dengan seramai mungkin bukan memusuhi ramai orang demi memenangi PRU-15.

Sebab itu penyokong tegar Anwar sentiasa berfikir, Mohamad dan Lim Guan Eng telah mengkhianati dan tidak menghormati Anwar ketika membuat kenyataan bersama untuk menubuhkan grand coalition.

Namun, pernahkah penyokong Anwar berfikir, adakah mereka menghormati pemimpin AMANAH dan DAP ketika mereka merancang untuk mengambil alih semula kerajaan?

Adakah mereka menghormati pemimpin senior dalam AMANAH dan DAP ketika mereka mengadakan sidang media mengumumkan mereka mempunyai angka yang cukup, kuat dan meyakinkan bagi membentuk kerajaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada mereka sebelum mengumumkannya.

Kerjasama memerlukan kedua-dua belah pihak yang mahu bekerjasama bukan mengenepikan pihak lain ketika mulut terus berkata, kita perlu bekerjasama.

Semoga Allah melindungi kita daripada segala mara bahaya dan membawa kita kepada masa depan yang gemilang…

Politik semakin ‘hangat’ tahun depan, kata pakar

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Sekiranya anda menganggap arena politik pada 2020 cukup menarik, tunggu sahaja tahun depan. Menurut pakar politik, keadaan bakal menjadi lebih ‘panas’.

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata rakyat Malaysia akan melihat lebih banyak “drama” daripada ahli politik dalam usaha mereka menarik pengundi menjelang pilihan raya umum.

“Tahun 2020 akan nampak biasa saja jika dibandingkan dengan tahun depan. Ahli politik akan menggembleng tenaga untuk saling bertanding antara satu sama lain.

“Sudah pasti tidak akan ada saat yang tenteram,” katanya kepada FMT.

Azmi, bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara berkata UMNO, PPBM dan PAS akan terus memperjuangkan kerusi yang boleh dimenangi pada pilihan raya umum.

Katanya, gabungan memerintah yang mempunyai majoriti tipis itu akan terus berdepan konflik dalaman dan persekitaran yang tidak menentu dalam pada UMNO, PAS dan PPBM cuba bersatu antara satu sama lain dalam gabungan Perikatan Nasional.

Seorang lagi penganalisis Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata rakyat Malaysia boleh menjangkakan “drama politik” yang berterusan dari kedua-dua belah pihak.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan berusaha untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan tetapi tanpa mengesahkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Sebaliknya, Awang Azman berkata, Perikatan Nasional akan cuba memberi ganjaran kepada ahli politik untuk ‘melompat’ bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

Beliau berkata PH akan terus berpecah dalam sokongan mereka terhadap Mahathir dan Anwar dan “mungkin akan kembali kepada kisah Mahathir vs Anwar, siapa antara mereka akan menjadi perdana menteri berikutnya.”

Bagi PN, katanya, hubungan antara UMNO, PPBM dan PAS mungkin menjadi keruh ketika mereka membincangkan pembahagian kerusi. Banyak pertengkaran juga mungkin berlaku kerana ahli UMNO tidak bersetuju untuk tunduk kepada PPBM.

“Ketegangan akan tercetus di antara mereka,” katanya, sambil menambah akuan berkanun dalam kalangan ahli Parlimen berkemungkinan muncul lagi dengan ahli politik memberikan sokongan kepada seorang calon perdana menteri.

“Ahli politik akan berdepan tekanan PRU dan ini akan dirasai rakyat,” tambahnya.

Awang Azman menambah, gabungan yang memerintah juga akan berdepan kehangatan itu ketika orang terus bergegas dari impak Covid-19, ekonomi yang lembap dan peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan.

“Kos sara hidup akan semakin tinggi dan orang ramai tidak jelas mengenai langkah diambil untuk meredakannya. Rakyat juga akan bimbangkan isu pekerjaan, sementara peruncit risaukan perniagaan mereka,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia juga berkata drama politik 2020 akan berlanjutan sehingga 2021, tetapi dengan lebih ketegangan lagi.

“Kita akan melihat ahli politik berusaha mencipta persepsi negatif terhadap lawan mereka, dan mempersoalkan keabsahan kerajaan sekarang,” katanya.

“Dengan majoritinya yang tipis, kerajaan sekarang mungkin akan berdepan banyak konflik,” katanya.

Susulan itu, beliau menganggap jalan terbaik untuk 2021 adalah dengan mengadakan pilihan raya sehingga negara dapat maju ke depan dari suasana politik sekarang.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertahan dalam undian Belanjawan 2021 minggu lalu dengan majoriti tipis tiga undi.

UMNO, dengan 39 ahli Parlimen, pada September mengugut akan menarik diri daripada kerajaan jika parti Muhyiddin gagal melayan mereka sebagai rakan kongsi dengan memberikan mereka kedudukan menteri penting.

Mereka menyasarkan jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio kementerian penting.

Pada Februari tahun ini, kejatuhan mengejut Pakatan Harapan menyaksikan PN mengambil alih Putrajaya dengan Ahli Parlimen melompat parti untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Muhyiddin atau Anwar.

Tiga beranak mengaku tidak bersalah rogol kanak-kanak perempuan 12 tahun

Adie Sufian Zulkefli

KULIM: Tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kulim hari ini atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh, Perumal Subramaniam, 65, dan Sivakumar Perumal, 24, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Musyiri Peet.

Manakala seorang lagi tertuduh Sivanesan Perumal, 37, turut membuat pengakuan yang sama di Penjara Alor Setar selepas kebenaran mahkamah diperolehi apabila tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dikuarantin susulan positif COVID-19.

Tertuduh pertama bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala dua anaknya iaitu tertuduh kedua dan ketiga bekerja sebagai buruh di sebuah tapak pembinaan.

Mengikut pertuduhan pertama ketiga-tiga tertuduh merogol mangsa di sebuah rumah di Kulim, kira-kira jam 12 tengah malam, April 2019.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh merogol mangsa di sebuah rumah kosong di belakang sebuah sekolah sekitar jam 2 petang pada Oktober 2019.

Ketiga-tiga tertuduh sekali lagi bertindak merogol mangsa pada April 2020 di sebuah taman perumahan di di sini sekitar jam 10 malam.

Prlakuan ketiga-tiga tertuduh terbongkar selepas mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa mangsa dirogol pada awal Disember lalu.

Bagi ketiga-tiga kesalahan terbabit kesemua mereka dituduh mengikut seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dari 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan pendakwaraya, Pavitra Satha Sivam.

Mahkamah tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin kerana bimbang tertuduh akan menganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Penguat kuasa syariah dijel 14 bulan cabul, aib rakan sekerja

RUBIAH OMAR

KUALA TERENGGANU - Seorang penguat kuasa syariah dijatuhi hukuman 14 bulan penjara selepas mengaku salah bagi dua pertuduhan mencabul dan mengaibkan rakan sekerjanya tahun lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Keputusan dibuat Majistret Nordiana Abd Aziz selepas tertuduh, Ahmad Fakkarudin Wahab, 30, menukar pengakuan daripada tidak bersalah sebelum ini kepada bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh, sebelum ini pada 15 Disember 2019 di mahkamah sama, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Namun, selepas tiga saksi pendakwaan dipanggil, tertuduh mengambil keputusan menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 40 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa di sebuah pejabat kerajaan di daerah ini, jam 4.20 petang pada 25 November 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Selain itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan mangsa yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan di lokasi sama, jam 10 pagi pada 25 November 2019.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan bagi pertuduhan pertama dan 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh sabitan pada Selasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full, manakala tertuduh diwakili peguam, Othman Bakar.

Terdahulu, Ka Full memohon hukuman yang lebih kepada pencegahan kerana ia adalah gangguan seksual di tempat kerja yang selalu berlaku yang juga dikategorikan sebagai kesalahan jenayah.

Katanya, kejadian itu turut memberikan trauma yang cukup mendalam kepada mangsa yang boleh dilihat menangis sepanjang memberi keterangan di mahkamah sebelum ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kakitangan kerajaan di negeri ini ditahan polis selepas didakwa mencabul seorang rakan sekerjanya ketika wanita itu mahu menunaikan solat.

Lelaki itu ditahan kira-kira jam 3.40 petang pada 6 Disember 2019 di tepi jalan di hadapan stesen teksi dekat Jalan Masjid Abidin di sini.

Idea “grand coalition” disokong, lupakan kejar bayang-bayang sendiri!

ZAKARIA MUSA

Peringatan agar pembangkang mengukuhkan persefahaman sesama sendiri dan memantapkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sekali gus melupakan janji-janji manis Umno untuk menyokong penubuhan kerajaan baharu, amat kena pada masanya.

“Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata dua pemimpin utama PH, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Kenyataan bersama ketua-ketua AMANAH dan DAP itu dikeluarkan selepas tiada seorang pun wakil rakyat Umno menolak Belanjawan 2021, menyaksikan undi 111 menyokong dan 108 menentang.

Pemerhati politik sejak awal lagi menyifatkan jaminan sokongan Umno kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, sekadar memperalatkan PH demi kepentingan politik atau sebagai tawar-menawar dengan kerajaan pintu belakang pimpinan Muhyidin Yassin.

Bukan rahsia lagi, Umno-Bersatu bertelingkah di atas agihan jawatan dan sumber dalam kerajaan. Umno rasa dibuli walaupun mempunyai Ahli Parlimen lebih ramai, manakala ramai pemimpin kanannya berdepan kes mahkamah yang serius.

Kedua-dua parti itu sedang bersaing sengit untuk merampas kedudukan parti Melayu paling berpengaruh. Menjadikan kerajaan PN paling rapuh dan hanya sibuk mempertahankan kuasa dengan majoriti paling tipis, iaitu hanya tiga undi.

Tiga parti teras dalam PH dan pembangkang berjumlah 108 Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 wajar merintis kepada “grand coalition” dalam mendepani PRU15.

Dalam keadaan PN bergolak dalaman, Muafakat Nasional (MN) Umno-Pas turut menerima tempiasnya, saling syak wasangka dan mencurigai langkah masing-masing.

Di pihak PH juga ditusuk penyakit sindir-menyindir dan terbelenggu dengan faktor kem Anwar dan kumpulan Mahathir. Idea yang dilontar untuk mengukuhkan gabungan kerap ditafsir secara negatif. Asas kepercayaan sudah retak teruk.

Hasilnya gagasan sebaik “grand coalition” sesama pembangkang, dengan meletakkan asas daripada 108 Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021, itu pun menimbulkan polemik yang tidak produktif.

Cerita-cerita yang lebih kepada imaginasi liar dijadikan hujah yang menajamkan lagi perbedaan. Memang sikap berhati-hati itu penting tetapi apabila dilakukan secara keterlaluan, ia hanya membataskan wilayah pengaruh dan mungkin menyudutkan PH ke penjuru sempit.

Penyokong Mahathir dan parti-parti kecil di luar kerajaan mempunyai potensi positif untuk pembangkang berdepan dengan PN.

Episod runtuhnya kerajaan PH pada hujung Februari 2020, Langkah Sheraton dan peletakan jawatan perdana menteri sering dijadikan sandaran untuk menuduh Mahathir sebagai “pengkhianat”.

Biarpun ada penafian dan penjelasan, namun ramai percaya Mahathir bertindak sebagai arkitek kepada tumbangnya kerajaan mandat rakyat itu. Bagasi sejarah pemerintahan Mahathir, termasuk selama 22 tahun dahulu, terutama pada era Reformasi, memberi impak besar kepada sebahagian penyokong PH yang kecewa.

Justeru, setiap aksi Mahathir sentiasa dipandang penuh curiga. Beliau didakwa “bapa segala konspirasi” termasuk untuk menjatuhkan kerajaannya dan kerajaan anaknya sendiri di Kedah.

Selain penolakan terhadap Mahathir dan Presiden Warisan, Shafie Apdal, ramai juga yang memandang sinis kepada parti Pejuang dan Muda yang belum diterima pendaftarannya itu.

Yang peliknya, sikap double standard dan pilih-kasih Pendaftar Pertubuhan tetapi dihempukkan bebanan itu kepada mangsa (Pejuang dan Muda).

Sewajarnya, tangan kita terbuka untuk merangkul sekutu yang lebih ramai tanpa memperlekeh parti-parti yang nampak kecil. Lihatlah sejarah Barisan Nasional (BN) semasa berkuasa dahulu, merangkumi 14 parti termasuk yang kurang berpengaruh tetapi sumbangan masing-masing masih diraikan.

Idea pembangkang kuat hanya dengan tiga parti reformasi — PKR, AMANAH dan DAP — merupakan cebisan daripada perasaan terlalu yakin diri yang perlu diperbetulkan.

Memang penyokong Mahathir dan parti-parti kecil di luar kerajaan itu ada karenah tersendiri dan perlu diurus dengan bijaksana, tetapi ia juga mempunyai potensi positif.

Pembangkang perlu terbuka untuk merangkul sekutu seperti Pejuang dan Muda.

Pimpinan utama PH pula sudah teruji kebijakan masing-masing untuk merundingi agihan kerusi PRU15 nanti. Usah mudah labelkan mereka dengan jolokan negatif.

Sekurang-kurangnya, PN kini menghimpunkan parti-parti besar Melayu. Justeru, di pihak pembangkang, PH yang nampak agak lemah dalam konstituensi Melayu perlu bergerak lebih pantas; masa tidak menyebelahi mereka.

“Grand coalition” memerlukan waktu yang munasabah sebelum ia serasi bergerak sebagai satu pasukan yang ampuh. Rujuklah perjalananan dan eksperimen PH sebelum PRU14 dahulu.

Memang segalanya tidak mudah, ada-ada sahaja pancaroba dan mehnahnya. Penyokong pula bebas meluahkan pendapat atau mempertahankan pendirian masing-masing.

Zaman langit terbuka tentu ada bingit dengan simpang-perenang idea. Akhirnya pimpinan terpaksa memutuskan yang terbaik untuk menyelamatkan negara dan melonjakkannya ke liga lebih atas.

Dan saya mohon menyokong gagasan “grand coalition” ini, dengan penentuan agenda lebih jelas dan tegas!

‘Bukan isu Muhyiddin jadi PM tapi PN langgar sistem’

ARIF ATAN

Pendirian menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan kerana isu seperti Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar berkata, perkara paling penting ialah PN melanggar sistem demokrasi di negara ini.

“Kita menentang PN bukan bermula dengan isu anak saudara siapa entah pergi berkahwin dengan warganegara India. Bukan.

“Kita bertembung dengan PN juga bukan kerana isu hiliran seperti tidak terima Muhyiddin jadi Perdana Menteri (PM).

“Isunya ialah Muhyiddin jadi PM tidak ikut sistem. Samalah dengan analogi bawa lari anak dara orang kemudian berkahwin di Siam.

“Bukan masalah sah atau tidak sah. Masalahnya, langgar sistem menyebabkan ada yang terluka.

“Ada yang tercalar (perasaan). Ada yang sampai bertahun tidak boleh jumpa ibu bapa mentua,” katanya dalam Tanwir Politik anjuran AMANAH Kawasan Bukit Gelugor di Pulau Pinang malam tadi.

Menurut Ustaz Ridzwan, hal seperti itulah dialami PN dalam berdepan PN pada masa ini sejak akhir Februari lalu.

Tegasnya, PN ditolak kerana telah menganggu sistem yang kemudiannya mendatangkan pelbagai akibat.

“Dia (PN) hancurkan sistem. Sejak merdeka kita setuju kerajaan dipilih menerusi cara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Sistem itulah yang disepakati sejak daripada Pilihan Raya Umum pertama 1955 hingga PRU-14 dua tahun lalu,” ujarnya lagi.

Surat terbuka kepada Presiden AMANAH dan saf kepimpinan

Kepada Ayahnda Abg Mat, Kepimpinan AMANAH serta rakan2 dan Sahabat².

Assalamualaikum Warohmatullah Hiwabarokatuh

Saya Aqila Umairah Binti Khan sebagai ahli Amanah dan sayap AWAN dalam parti Amanah terpanggil ingin membuat sesikit teguran/pandangan/cadangan kepada kepimpinan.

Aqila jarang membuat teguran secara terbuka malah lebih kepada Silent Reader atau CCTV dalam melihat kemelut politik muktahir ini kerana sebagai ahli parti yang akur keputusan parti sebelum menjadi kerajaan, selepas menjadi kerajaan dan kembali menjadi pembangkang kami tetap setia dengan mulia wadah ini.

Saya antara yang terawal menyertai AMANAH dan sebelumya PASMA kerana mahu melihat dinamika politik negara yang lebih inklusif, prograsif mengikut neraca Politik Siyasah sebenar menuntut agar politik jummud dan extrime perlu di ketepikan.

Ramai yang menyertai AMANAH kerana dipimpin oleh pemimpin2 Senior walaupun parti baru setahun jagung. Kepimpinan selalu mengigatkan supaya kita mengikis sifat jummud dan wala mengkhinzir buta.

Atas ijtihad politik yang lebih inklusif memilih supaya sifatnya berbeza berbanding parti sejarah (malas nak ulas bab parti sejarah)

Jika di selusuri sejarah awal penubuhan, ketika bergelar pembangkang kita TEGUH bersama membuat keputusan, apa juga perancangan di bincangkan daripada bawah sehingga ke peringkat tertinggi parti.

Tidak kurang juga pandangan² Ulama seperti Ust Ahmad Awang dan Ust Ghani sebagai rujukan.

Malah kenyataan RASMI parti hanya di keluarkan oleh SU Parti Pakngah Anwar Tahir. Tetapi Sekarang 360⁰ berubah .

Sekarang amat² berbeza. Banyak keputusan, kenyatan media, kenyataan parti tidak melalui saluran, ada yang keluar drpd presiden parti tanpa membuat perbincangan dengan Majlis Tertinggi Parti,

Tidak melalui lagi SUA parti, malah yang menyedihkan kami, parti kini langsung tidak merujuk kepada Ulama yg ada dlm parti.

Apa fungsi mereka sekarang bagi parti?seolah² mereka terus di pinggirkan begitu sahaja. tidak kira lagi kejadian memalukan parti dalam pengundian menolak bajet kerajaan tebuk atap? ada yg bangun ada yg duduk.

Perancangan pincang dan tidak sistematik mengambarkan sistem penyampaian parti hancur.

Teguran Dato Husam juga tidak di ambil serius dan diambil kira. Presiden kebanyakkannya membuat keputusan hanya berbincaang dgn SUA DAP tetapi tidak dengan parti

Sehinggakan beliau merajuk dan meletak jawatan sebagai Naib Presiden Parti. Apa guna parti mempunyai MT tetapi lebih banyak berbincang dengan parti lain dalam membuat keputusan parti?

Yang terbaru kenyataan bersama presiden parti dan SUA DAP saudara Lim Guang Eng. Media dahulunya mesra Pakatan kini dilihat mula memetik berita dengan tajuk mengelirukan dan merugikan parti.

Malah boleh mengguris perasaan sahabat kita yang dahulunya bersama² berjuang menentang Kleptokrasi kuno sehingga terpenjara dan di inaya berulang kali. tidak salah hendak membuat keputusan tetapi berbincanglah dengan parti.

Jangan menambah dan membuatkan ahli menjadi keliru dengan setiap keputusan parti melalui hanya melalui kenyataan prasiden parti. Kami ahli di ajar jangan wala membuta tuli dalam sebarang hal.

Sikap Pemimpin juga di lihat tidak mengindahkan percakaran antara CT Amanah dan CT sahabat² lain. Tiada Arahan supaya ia di hentikan malah di lihat seolah² merelakan percakaran ini berterusan.

Masing² menghala senjata ke arah sesama sendiri dengan laras bahasa yang dilihat bukan bahasa yang baik² lagi. Maki hamun dan mengelar sesama rakan sekutu sudah melampaui semangat persahabatan sehingga saya lihat benarkah mereka sahabat atau seteru?

Pemimpin harus TEGAS mengawal ahli jika di biarkan berterusan kita bakal mencipta musuh dalam pakatan bukan menambah kawan. kini siapakah musuh kita sebenarnya? ahli pun dah keliru.

Saya menyeru kawan2 dan kepimpinan kembali muhasabah, kembali melihat bagaimana susah payah kita membina parti ini, mengikat persahabatan, memupuk persefahaman, meperkukuhkan Pakatan Harapan sepertimana semangat kita mula2 bina dahulu.

Usah di cari jurang perbezaan kerana perbezaan tetap akan wujud. jika kita cari titik persamaan, jurang yang luas kita boleh rapatkan. Bulatkan tekad, Kuatkan kesatuan. kita bakal berdepan cabaran PRU 15. jika iktibar ini tidak di peduli jangan gundah, kita kekal sebagai pembangkang lagi dan jgn bermimpi nak tawan putrajaya.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat al-Bukhari, No.2442, 6901, Muslim, No.2580)

Wallahuaklam

Aqila Umairah Khan.

Umno yang permainkan Anwar bukan Mahathir

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bukan Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba memecah-belahkan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya ia adalah rancangan Umno yang secara jelas telah mempermainkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.) 

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, Umno telah memberikan janji palsu apabila menyatakan akan bersama pembangkang dan Anwar untuk menolak Belanjawan 2021.

Bahkan katanya, Akuan Bersumpah (SD) yang dikatakan telah ditandatangani untuk menyokong Anwar, tidak lagi boleh dipercayai.

“Sekarang dah Disember, hari Anwar buat pengumuman bersama Datuk Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Saifuddin Nasution adalah pada 23 September yang mengatakan dia sudah ada sokongan. Tiga bulan dah (umum).

“Lalu, ini bukti jelas tidak perlu kita nafikan. Anwar dipermainkan. Sikap kita kena lebih tegas terhadap Umno sebab dia telah permainkan Anwar dengan janji yang tidak dikotakan.

“Bukan Tun yang nak pecah belahkan PH, tapi Najib dan Zahid,” tegasnya dalam slot bicara bersama Jom Channel malam tadi. 

Khalid dan moderator, Shaiful Roseman dalam slot bicara di Jom Channel malam tadi.

Pada masa sama, Khalid berkata, bekas Perdana Menteri itu boleh sahaja membawa beberapa Ahli Parlimen dari PH Plus untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) jika benar tujuannya mahu memecah belahkan PH.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menyifatkan strategi mengenepikan gabungan pembangkang dan mencari sokongan pihak lawan adalah tidak wajar.

Justeru katanya, PH perlu kembali menumpukan usaha untuk mengekalkan 108 sokongan Ahli Parlimen seperti yang disaksikan di Dewan Rakyat pada 15 Disember lalu. 

“Sekarang dah jelas siapa kawan siapa lawan. Tun kalau dia nak jadi Perdana Menteri, dah lama dia bawa Datuk Seri Shafie Apdal dan duduk bersama dengan Najib dan Zahid. Majoriti PN nanti bukan sekadar 113, tapi jadi 129 (majoriti ahli Parlimen).

“Formula dah ada. Tapi hakikatnya Tun tak khianat. Dia juga yang berusaha mendapatkan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan juga Ahli-ahli Parlimen Parti Sarawak Bersatu (PSB),” kata Khalid.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga berpendapat gabungan segmen pengundi Melayu yang menyokong Mahathir dan Anwar akan menjadikan pembangkang lebih mantap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Anwar Ibrahim – nasib baik dan nasib tidak baikny

Mohsin Abdullah

Anwar Ibrahim tidak bernasib baik apabila dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berada hanya satu tapak sahaja lagi sebelum ke puncak pentadbiran negara. Peristiwa berlaku pada September 1998.

Kita tahu ketika itu Anwar ialah timbalan kepada Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri.

Bukan sahaja Anwar dipecat, beliau dilempar pelbagai tuduhan mengaibkan termasuk melakukan liwat dan dituduh juga agen Amerika Syarikat dan Yahudi. Nasib tidak baik bertambah buruk. Ditangkap, dipukul dalam tahanan, dan kemudiannya dipenjara kerana mahkamah mendapati beliau bersalah kerana meliwat – satu tuduhan menurut beliau direka.

Namun Anwar bernasib baik apabila ribuan rakyat turun ke jalan raya membantah apa yang mereka lihat sebagai kekejaman keatasnya. Benar mereka menuntut reformasi atau perubahan dalam urus tadbir kerajaan tetapi demonstrasi setiap minggu yang diadakan khususnya di Kuala Lumpur dilihat sebaga bukti ribuan rakyat tidak percaya akan tuduhan yang dilempar ke atas beliau.

Berdasarkan itu saya kata beliau “bernasib baik” kerana ribuan menyebelahinya. Bukan sesuatu yang mudah rakyat tidak “termakan” tuduhan yang disajikan setiap hari melalui media massa dan sebagainya.

Turun ke jalan raya beramai-ramai menentang kerajaan bukan sesuatu yang lazim bagi masyarakat Malaysia. Apa lagi berdepan dengan kekerasan pasukan polis simpanan, gas pedih mata, dan pancutan air.

Anwar bernasib baik juga kerana akibat pemecatannya satu gelombang kebangkitan sebahagian besar rakyat tercetus dan beliau berjaya menggabung parti politik pembangkang. Maka lahirlah Barisan Alternatif, kemudiannya Pakatan Rakyat, dan disusuli Pakatan Harapan.

Yang menyokong Anwar terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang datangnya bukan sahaja parti politik tetapi juga pelbagai NGO dan kumpulan aktivis dengan bermacam fahaman.

Mereka bergerak sebagai satu “force” and tampil juga membantu keluarga Anwar yang amat memerlukan sokongan dan bantuan ketika itu.

Rata-rata mereka membantu tanpa mengharapkan balasan dan tanpa menuntut ganjaran. Memang Anwar bernasib baik.

Apabila beliau bebas dari penjara dan bergerak aktif semula dalam arena politik, Anwar mendapati dirinya dalam keadaan perlu membuat keputusan kritikal dan penting.

Lantas ada orang yang “setia dan banyak berkorban untuknya” diketepikan, atau “terpaksa diketepikan”. Tentunya bagi Anwar, beliau telah berbuat keputusan paling adil dan yang terbaik. Pun begitu tidak boleh dinafikan beliau tentu ada juga membuat kesilapan ketika memilih aanggota psukannya. Tidak boleh dinafikan kemungkinan “ada orang baik” yang diketepikan dan ada perkara penting yang beliau “terlepas pandang”.

Pada situasi begini, beliau tidak bernasib baik kerana ada orang bagus kecewa, makan hati, dan bertindak meninggalkannya.

Rafizi Ramli, antara tokoh PKR yang terkemuka, baru-baru ini mendakwa pernah menasihati Anwar berhati-hati dan jangan membiarkan dirinya dikelilingi dengan apa yang beliau sifatkan sebagai golongan “oportunis” dan “kaki ampu”.

Kata Rafizi, presiden PKR itu pernah memilih dan mempercayai Azmin Ali “dan lihat apa yang terjadi”. Azmin kita tahu pernah menjawat posisi timbalan presiden PKR tetapi berpaling tadah.

Gambaran yang diberi Rafizi ialah nasihatnya kepada Anwar tidak dituruti.

Jika apa yang Rafizi katakan itu benar, Anwar tidak bernasib baik kerana dikelilingi golongan “oportunis dan kaki ampu”.

Namun tidak boleh disangsi juga ada golongan setia dan bagus di sisi Anwar sekarang. Oleh itu beliau dalam keadaan bukan tidak bernasib baik, tetapi sukar kerana terpaksa membuat pilihan tepat – memilih mana kaca mana permata.

Anwar nama besar. Di universiti beliau terkenal sebagai pemimpin pelajar yang hebat pada 1970-an. Namun ramai generasi muda tidak tahu akan kehebatan zaman lampaunya. Era reformasi juga ramai orang muda yang tidak tahu.

Oleh itu ada pemerhati politik beranggapan orang muda masa kini tidak ramai yang boleh “relate” dengan Anwar.

Begitu juga peranannya dalam penubuhan apa yng dikenali sebagai Yayasan Anda. Ia satu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan siswazah universiti tempatan dan dipelopori Anwar.

Antara lain Yayasan Anda menyediakan peluang kepada pelajar khususnya pelajar Melayu miskin yang tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Lalu bagi saya, Anwar tidak bernasib baik kerana generasi sekarang tidak tahu itu semua. Terpulanglah kepada Team Anwar untuk memperbetulkan jika mereka mahu orang zaman ini tahu akan itu semua.

Anwar juga tidak bernasib baik kerana Mahathir “keberatan” untuk serahkan kuasa kepada beliau walaupun ada pejanjian yang dimeterai dalam kalangan Pakatan Harapan.

Bagi Mahathir pula, Anwar tidak boleh jadi perdana menteri kerana partinya PKR dianggotai pelbagai bangsa dan agama. Menurut beliau, seorang PM mesti datang dari parti Melayu.

Maknanya apa yang dikatakan beliau ialah PKR bukan parti Melayu dan Anwar tidak cukup Melayu dan terlalu “liberal” dan akan banyak “memihak” kepada masyarakat bukan Melayu. Sekali gus Anwar tidak boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan Melayu.

Anwar memang banyak bercakap dalam konteks “keadilan buat semua bangsa”. Namun ada golongan bukan Melayu mengganggap Anwar “terlalu Melayu”. Nasihatnya kepada orang bukan Melayu supaya jangan “menakut-nakut” orang Melayu dengan membuat pelbagai tuntutan kepada Pakatan Harapan (yang ketika itu memerintah Malaysia) dilihat sebagai “pro-Malay” dan “anti-non-Malay”.

Malah oleh kerana Anwar “berasal” daripada ABIM sebelum menyertai kerajaan Mahathir pada 1982, ada golongan bukan Melayu (termasuk ada orang Melayu sendiri) yang menyalahkan beliau akan wujudnya kumpulan “hardline Muslims” dalam masyarakat Malaysia. Kata mereka Anwar bergerak aktif dalam kempen penerapan nilai Islam anjuran pentadbiran Mahathir.

Mereka juga tidak lupa penekanan yang Anwar beri terhadap Bahasa Melayu semasa beliau menjadi menteri pendidikan dalam Jemaah Menteri Mahathir dan menggalakkan juga penggunaan sebutan baku.

Ertinya dituduh oleh orang Melayu sebagai pro-bukan Melayu dan tidak cukup Melayu, dan dilihat golongan bukan Melayu sebagai terlalu Melayu dan anti-bukan Melayu. Jelas pada aspek ini Anwar tidak bernasib baik.

Kini Anwar mendapati kedudukannya sebagai ketua pembangkang dipertikai dalam kalangan pembangkang sendiri walaupun diakui sokongan terhadap beliau masih ada. Lumrah ada yang sokong ada yang tidak. Persoalannya mana yang lebih ramai?

Semuanya kerana kegagalan menumbang kerajaan sedia ada khususnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melalui pengundian Belanjawan 2021.

Sokongan Ahli Parlimen UMNO untuknya tidak terjadi.

Pengumumannya sebelum ini mendakwa mempunyai “the numbers” untuk mengambil-alih Putrajaya juga tidak menjadi. Sekali lagi yang menjadi sandaran ialah sokongan Ahli Parlimen UMNO.

Dakwaannya mempunyai sokongan yang “kuat, utuh, meyakinkan” atau “strong, forminable, convincing” kini dipersendakan.

Beberapa penganalis dan pemerhati politik percaya semasa Anwar membuat pengumuman sedemikian beliau yakin (mungkin terlalu yakin) akan sokongan yang (akan) diperolehi tetapi “orang UMNO buat U-turn” dan janji tinggal janji.

Anwar tidak bernasib baik kerana (menggunakan istilah kasar) “kena game” dua kali.

Sekarang ada pihak dalam pembangkang mahu satu “reset” atau ketetapan semula strategi politik mereka. Ada yang mahu fokus diberi terhadap persediaan menghadapi PRU-15. Ada yang kata Anwar masih ada strategi yang boleh menumbangkan Muhyiddin tanpa PRU.

Walaupun ada pihak yang mahu jawatannya sebagai ketua pembangkang dilucutkan, Anwar bernasib baik kerana ramai dalam kalangan pembangkang dan juga pemerhati politik yang mengakui pembangkang tidak ada pilihan selain beliau untuk mengepalai gabungan oposisi. Tetapi dengan membuat beberapa perubahan kata mereka. Mungkin daripada segi pendekatan dan sebagainya.

Yang jelas Anwar punyai matlamat besar. Untuk mengubah nasib tidak baik menjadi nasib baik.

‘Umno sokong Anwar kerana sangat bencikan Muhyiddin’

ARIF ATAN

Sokongan Umno kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk mencapai jumlah majoriti di Parlimen, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, Umno menyokong Anwar bukan kerana menerima Pakatan Harapan (PH) sebaliknya didorong bencikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Umno bersama menyokong Anwar, kononnya. Saya tidak tahu lebih dari itu, tapi saya yakin usaha Anwar (membentuk kerajaan) sudah mencapai tahap perkembangan yang besar.

“Umno menyokong Anwar bukan kerana sokong PH. Mereka sokong Anwar untuk memastikan ada majoriti di Parlimen.

“Umno bukan sokong agenda PH tetapi mereka melakukan sedemikian kerana sangat membenci Muhyiddin, Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih besar daripada dia (Umno) tidak suka kepada kita (PH),” katanya dalam bicara secara langsung menerusi Facebook beliau malam tadi.

Mujahid mengingatkan penyokong PH terutamanya, bahawa hal itulah sebenarnya motif sokongan Umno kepada Anwar.

“Biar kita jelas. Umno lagi tidak suka Muhyiddin dan Bersatu. Bagi Umno, lebih baik berkawan dengan Datuk Seri Anwar di Parlimen untuk mendapat majoriti daripada dia (Umno) terus menyokong Muhyiddin dan Bersatu,” katanya.

Dalam slot bicara selama 1 jam 20 minit itu, Mujahid berkata, Bersatu hendak memastikan Umno mati secara keseluruhannya meliputi seluruh akar umbi dan segala organisasi berkaitan parti keris itu.

“Hanya dengan itu, barulah Bersatu boleh ganti Umno. Inilah yang orang Umno tidak boleh terima. Bagi Umno, Bersatu adalah musuh nombor satu.

“Pada masa ini, Umno melihat sokongan kepada Anwar adalah lebih baik dalam mengekalkan kewujudan Umno berbanding kekal dengan PN.

“Jadi, jangan kata Umno sokong Anwar kerana mereka setuju dengan perjuangan PH,” kata Mujahid.

Sehubungan itu, jelasnya, sokongan Umno hanya berlaku dalam kalangan 222 Ahli Parlimen parti untuk membolehkan PH mempunyai majoriti.

“Sokongan MP-MP Umno supaya kita (PH) mencapai majoriti yang membolehkan kita menjadi kerajaan adalah berlaku di dalam Parlimen di kalangan 222 Ahli Parlimen. Itu sahaja.

“Ia tidak melibatkan perjanjian pilihan raya, pembahagian kerusi, manifesto, atau apa-apa persetujuan politik di luar Dewan Rakyat.

“Hal inilah penyokong PH dan Umno mesti faham betul-betul,” kata Mujahid yang juga Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia AMANAH itu lagi.

PKR Sarawak goyah lagi, Larry Sng timbang keluar parti

Goh Pei Pei

KUCHING: PKR Sarawak bertambah goyah susulan pengumuman Ahli Parlimen Julau Larry Sng bahawa beliau mungkin terus keluar daripada parti itu setelah meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak pagi tadi.

Sng akan menemui presiden parti Anwar Ibrahim sebelum membuat keputusan muktamad bersabit keahliannya dalam parti itu.

Beliau berkata keputusannya meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak sudah dimaklumkan kepada Anwar menerusi pesanan teks.

Sng enggan mengatakan kenapa beliau menimbang untuk terus keluar PKR tetapi menegaskan “saya akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa Anwar dalam beberapa hari,” sebelum membuat keputusan sama ada terus bersama PKR.

Beliau menafikan tindakannya berundur sebagai pengerusi PKR Sarawak adalah kerana pertikaian dalaman Pakatan Harapan bersabit pengagihan kerusi untuk pilihan raya negeri itu pada tahun hadapan.

Sng berkata pengagihan kerusi antara parti komponen PH berjalan lancar dan dijangka selesai tidak lama lagi.

“Perletakan jawatan saya tidak ada kaitan dengan rundingan pengagihan kerusi atau mengenai niat DAP untuk bekerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB). Malah saya menyokong PH untuk bekerjasama dengan PSB,” beliau memberitahu FMT.

Mei lalu, PKR Sarawak goyah apabila bekas pengerusinya Baru Bian menyertai PSB kerana tidak sehaluan dengan Anwar dan pimpinan PKR negeri. 

Sng berundur sebagai pengerusi PKR Sarawak kerana yakin parti itu boleh mencapai prestasi lebih baik jika diterajui oleh pemimpin keturunan Dayak.

“Kaum Dayak tidak diwakili dengan secukupnya dalam kepimpinan tertinggi di dalam kerajaan dan parti pembangkang sungguhpun mereka merupakan kaum majoriti di Sarawak,” kata beliau.

“Justeru saya mahukan kepimpinan PKR Sarawak diterajui pemimpin Dayak dan saya akan mencadangkan beberapa nama kepada Anwar,” tambah beliau.

Pengunduran Sng sebagai pengerusi PKR Sarawak dijangka menjejaskan persiapan dan perpaduan parti dalam menghadapi PRN negeri sebelum Jun depan.

Beliau dilantik pengerusi PKR Sarawak Mac lalu, menggantikan Baru yang juga bekas menteri kerja raya.

Sng sebelum ini dilaporkan berkata PKR akan bertanding di 44 kerusi DUN pada PRN Sarawak, manakala DAP bersaing di 26 kerusi dan Amanah, 12.

‘Ustaz Budak’ didakwa cium pipi, cabul lelaki

MALAYSIA DATELINE 

Seorang ustaz yang juga pengurus madrasah didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel minggu lalu.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 32, yang lebih dikenali sebagai ‘Ustaz Budak’ bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pertuduhan terhadap penceramah Pas itu dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Menurut pertuduhan, ‘Ustaz Budak’ didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi mangsa pada jam 1.15 pagi, 16 Disember lalu di sebuah bilik hotel dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Atikah memohon jaminan minimum ditawarkan kerana tertuduh yang juga pengusaha madrasah di Machang perlu menguruskan 150 pelajar.

“Pendapatan tertuduh hanya RM2,500 hingga RM3,000 sahaja selain perlu menanggung ibu yang merupakan orang kurang upaya dan enam adik-beradik dengan ada yang masih bersekolah,” dipetik Bernama.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta sebutan semula kes pada 21 Januari depan untuk serahan dokumen.

Minggu lalu, polis menahan seorang guru agama berusia 32 tahun di sebuah madrasah di Machang yang dituduh mencium pipi dan mengesel kemaluan di paha seorang ahli perniagaan lelaki berusia 30 tahun di sebuah hotel di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Untuk rekod, Ustaz Budak yang merupakan bekas pelajar sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Madrasah Syamsul Maarif, Pulai Chondong, Machang dikatakan mula berceramah di masjid sejak berumur belasan tahun.

Penceramah yang dikenali dengan suara nyaring itu difahamkan pernah menyambung pengajian di Yaman.

Kerap berceramah di pentas Pas dengan lantang menyerang Umno, Ustaz Budak pernah menggemparkan negara apabila didakwa menyamakan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Nabi Muhammad S.A.W.

Bagaimanapun, dia kemudiannya menafikan dakwaan tersebut. Ustaz Budak menjelaskan ceramahnya itu mengaitkan kepimpinan dan pemerintahan Mursyidul Am Pas berkenaan sebagai mencontohi Rasulullah.

Amanah setia Anwar pimpin PH, kata Mujahid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Naib Presiden AMANAH Mujahid Yusof Rawa berkata, Amanah setia berada di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim dalam mempertahankan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, sekarang bukanlah masa untuk saling memberi tekanan, sebaliknya perlu berganding bahu dan membantu Anwar meneruskan perjuangan gabungan pembangkang itu.

“Masa ini bukan untuk memberi tekanan, masa ini adalah untuk menyokong, membantu berganding bahu sehingga keputusan bersama sampai di penghujungnya.

“Saya yakin kita bersama kepimpinan Anwar Ibrahim di dalam keluarga besar ini bukan kerana namanya Anwar Ibrahim, tetapi kita bersama kerana agenda besar yang beliau pertahankan, dipenjara kerananya dan menderita kerana beriltizam dengannya,” katanya.

Mujahid berkata, parti itu selesa dan yakin bahawa dasar prinsip “Rahmatan Lil Alamin” (RLA) adalah seiring dengan agenda reformasi yang diinstitusikan oleh Anwar, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Ahli setiap parti harus jelas perjalanan ini dan tak perlu tergesa-gesa menekan kepimpinan parti masing-masing dengan meletakkan tarikh dan usaha tertentu sebagai tanda kegagalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa PH berada di bawah kepimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, ramai ahli PPBM gagal memahami agenda besar itu sehingga membawa kepada pembelotan.

“Pembelotan mereka adalah terhadap agenda besar dan erti kesetiaan. Mereka memilih untuk khianat, bukan kita menghalau mereka,” katanya merujuk kepada langkah Presiden PPBM Muhyiddin Yassin keluar PH sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan pimpinan Mahathir pada Mac tahun ini.

CUKUPLAH SEKALI SAJA PH BEKERJASAMA DENGAN MAHATHIR, JANGAN BUANG MASA

Shahbudin Husin

Bagi mereka yang mengikuti dan faham perjalanan politik Tun Mahathir Mohamad, rata-rata dapat merasakan perseteruannya dengan Anwar Ibrahim hanya akan berakhir apabila nyawa terpisah daripada jasadnya.

Selagi bernyawa, beliau dipercayai akan terus bermusuh, sedaya upaya menyekat atau setidak-tidaknya mengganggu kemaraan politik Presiden PKR itu.

Di sebalik Anwar diketahui memang sudah lama memaafkan Tun Mahathir, malah sedia menyambut huluran tangan bekas Perdana Menteri itu untuk berbaik dan seterusnya bekerjasama menjelang PRU 2018 lalu, hubungan baik mereka ternyata tidak bertahan lama.

Sebaik berkuasa semula, bibit-bibit ke arah “mengencing” Anwar sudah mula terlihat daripada gerak-geri, tingkah laku dan nadanya bersuara..

Tidak perlu dihuraikan panjang lebar bagaimana segalanya itu berlaku, tetapi yang nyata bukan daripada Anwar ia berpunca.

Mengimbas sebelum itu, selepas bersara pada 2003 dan kemudian keluar daripada persaraan untuk menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi, meskipun ada permintaan agar beliau kembali semula ke dunia politik, Tun Mahathir dengan tegas menolak gesaan tersebut.

Alasannya, beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun lamanya.

Begitu juga, ketika pentadbiran Najib Razak yang ditonjolkannya untuk menggantikan Tun Abdullah mula bermasalah, khususnya berkaitan karenah Rosmah Mansor, pembaziran, suka bermewah, merebaknya budaya “cash is king” dan seterusnya skandal 1MDB, di sebalik beliau mula melakukan serangan dan kritikan, Tun Mahathir tetap menolak gesaan untuk bertanding semula.

Beberapa kali permintaan itu diajukan kepadanya, tetapi jawapannya tetap sama iaitu beliau telah menjadi Perdana Menteri selama 22 sebelum itu.

Hanya apabila skandal 1MDB semakin meresahkan rakyat, Najib semakin ditolak dan terlihat kemungkinan PH ada peluang meraih kemenangan, barulah beliau memulakan langkah berubahnya.

Bermula dengan Deklarasi Rakyat, mendekati pemimpin-pemimpin PH, bertemu Anwar di mahkamah, menubuhkan Bersatu, menawarkan diri mengetuai PH, bertanding dalam PRU15 dan menuntut perlunya Bersatu diberi kerusi majoriti untuk ditandingi.

Walaupun mungkin berubahnya perdirian beliau itu kerana ingin menjatuhkan Najib, tetapi ia juga tentu disebabkan untuk menghalang kemaraan Anwar.

Tun Mahathir tidak mustahil dapat merasakan peluang PH untuk menang PRU14 sangat cerah kerana penolakan rakyat terhadap Najib atas isu 1MDB amat besar, maka jika beliau tidak berada dalam PH, ia pasti kemudiannya akan memberi laluan mudah untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selepas memegang jawatan Perdana Menteri, walau bersetuju dengan janji peralihan kuasa, nyata Tun Mahathir mula berdolak-dalik mengenainya, mula memecah-belahkan PKR melalui Azmin Ali, melemahkan PH secara halus dengan antaranya enggan menunaikan beberapa janji manifesto pilihanraya, membawa kumpulan penentang Anwar dalam UMNO untuk menyertai Bersatu dan macam-macam lagi.

Semuanya itu dilakukan dengan hanya satu tujuan – untuk menyekat Anwar menjadi Perdana Menteri.

Tindakan Tun Mahathir meletak jawatan tanpa berunding dengan PH adalah strateginya untuk kembali berkuasa tanpa terikat lagi dengan janji peralihan kuasa kepada Anwar.

Walhal, sebelum Langkah Sheraton itu, bukan saja semua gerakan mengumpul sokongan untuk beliau terus menjadi Perdana Menteri melalui pembentukan kerajaan baru adalah dengan restu dan lampu hijaunya, malah pada petang hari Langkah Sheraton itu diadakan juga semua pemimpin parti yang menyokongnya mengadakan perjumpaan di kediamannya.

Tun Mahathir setuju dengan semua gerakan itu kerana ia bertujuan mengekalkannya sebagai Perdana Menteri sambil Anwar tidak lagi menjadi penggantinya.

Selepas meletak jawatan dan dilantik sebagai Perdana Menteri interim, beliau terus tampil dengan idea kerajaan perpaduan yang akan menjadikannya memiliki kuasa tanpa had dan berjaya mengenepikan Anwar sebagai penggantinya.

Mujur idea kerajaan perpaduan itu ditolak UMNO dan Pas kerana ia akan melibatkan DAP sama.

Selepas kegagalan itu, beliau terus cuba bersaing untuk menjadi Perdana Menteri, meski dalam tembual semua Ahli-Ahli Parlimen dengan Agong, beliau hanya mampu memperolehi undi paling sedikit sekali.

Bagi undian kali ketiga selepas itu, beliau terus mahu menjadi Perdana Menteri lagi dan meskipun Anwar sedia beralah dengan memberi sokongan kepadanya, Tun Mahathir tetap enggan melatakkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Lihat, betapa pendendam dan busuk hatinya.

Begitu pun, semuanya sudah terlambat apabila Muhyiddin Yassin akhirnya, dengan disokong UMNO dan Pas, lebih dulu diyakini oleh Istana Negara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam beberapa cubaan untuk blok pembangkang mengembalikan mandat rakyat seterusnya, Tun Mahathir kemudiannya tetap berkeras untuk dirinya dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Apabila namanya tidak dipersetujui dan beberapa rundingan dengan PH menemui kegagalan,!beliau selepas itu menonjolkan nama Shafie Apdal pula.

Maknanya, nama untuk memberi laluan dan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak sama sekali akan dilakukan oleh Tun Mahathir.

Kemudian, apabila setiap kali Anwar cuba berusaha untuk mengambil alih kuasa, pasti ada saja gerakan dan gangguan yang cuba dilakukannya, terakhir sehari sebelum pengundian bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 baru-baru ini di mana Tun Mahathir tampil dengan Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk memimpin negara secara percuma dan tanpa gaji.

Sekarang ini, di sebalik Anwar dipercayai akan terus berusaha mengembalikan mandat rakyat berdasarkan keyakinan PH terhadapnya, tiba-tiba muncul pula suatu gerakan lain ke arah mewujudkan semula PH Plus, perlunya dibentuk gabungan besar pembangkang, tetapi diselitkan syarat PH harus menukar penerajunya.

Tidak lain, semua ini adalah agenda untuk membawa semula Tun Mahathir menerajui blok pembangkang dan sekali lagi tujuan lainnya ialah bagi mengenepikan Anwar.

Dengan kemelut PN dan MN, UMNO dan Bersayu yang terus berpanjangan di mana pembahagian kerusi bakal menjadi masalah besar, pertandingan tiga penjuru – BN, PH dan PN – dalam PRU akan datang adalah sukar dielakkan.

Dalam hal ini, Tun Mahathir sedar peluang PH menang pilihanraya adalah cerah, kalau pun tidak secara bersendirian, mungkin dengan mewujudkan kerajaan campuran selepas itu.

Dalam erti kata lain, peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tetap ada dan terbuka.

Sebab itu, selain sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang, namun kemudian menarik balik keputusan itu, Tun Mahathir kini tidak lagi pernah menyebut soal persaraannya.

Disebabkan Anwar masih ada, beliau seolah-olah sudah lupa untuk bersara.

Percayalah, Tun Mahathir tidak akan berhenti berpolitik selagi Anwar ada, lebih-lebih jika ruang untuk Pengerusi PH itu menjadi Perdana Menteri sentiasa terbuka.

Harus juga jangan lupa, dalam sidang media bersama Ku Li baru-baru ini, Tun Mahathir turut menyatakan dirinya tidak perlu tunduk dan taat kepada Anwar, meskipun beliau berada di blok pembangkang.

Soalnya, adakah pihak tertentu dalam PH sendiri sekarang sudah buta, kalau pun tidak “gila”, sehingga mahu membuang masa bekerjasama semula dengan seseorang yang mempunyai ciri khianat dan dendam paling dahsyat seperti Itu?

Bukankah lebih baik dibiarkan beliau mereput begitu saja? (Shahbudindotcom 20/12/2020)

Netizen serang Nasrudin bila kata mahu pertahan akidah ummah

MALAYSIA DATELINE

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) yang juga AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan diserang oleh para netizen apabila berkata “Yadim akan perhebatkan gerakan pertahan aqidah ummat melalui dakwah dan program pengukuhan aqidah.”

Di dalam ruangan komen terhadap posting beliau itu, penuh dengan kata-kata sindiran terhadap beliau berikutan kes anak saudara seorang menteri wanita dari Johor yang berkahwin dengan ketua pasukan hoki India berketurunan Sikh.

Gambar keratan laporan yang digunakan untuk menyerang Nasrudin Hassan.

Nizam Toha menulis, “Akidah (isteri) pemain hoki terbela di zaman PN”. Ia dipercayai ditujukan kepada kes wanita Malaysia dari Johor yang berkahwin dengan pemain hoki India berbangsa Sikh itu.

Shamsul Effendey pula menulis, “Itu je???? Xde demo² dah ke?”. Beliau dipercayai menyindir tindakan Nasrudin dan Pas sebelum ini yang mengadakan pelbagai demonstrasi kononnya untuk mempertahankan akidah Islam tetapi selepas menjadi kerajaan yang berkuasa, ia sudah tidak ada lagi.

Fareez Kezam pula mengulas, “Ejas buat himpunan padang merbok ustaz. Ana nak pegi jual baju. Dah lama tak cedok ni.”

Fareez dipercayai menyindir Nasruddin yang sebelum ini menganjurkan perhimpunan menyokong Rang Undang-undang 355 RUU355) di Padang Merbok dengan mencetak baju-T dengan banyak tetapi selepas menjadi kerajaan dan Menteri Undang-undang dari Pas, RUU355 sudah senyap entah ke mana.

Ad Irwan pula menulis, “Din, ulas sikit isu gadis melayu sedara mara menteri Umno yang kawen dengan lelaki Sikh tu..kira murtad ke macam mana tuh?? Xcukup kuat dakwah tu Din sapa ada hok murtad secara terang terangan doh..”

Mohd Muhammad menulis “ejas molek2 bende ni, kalau perlu tipu orang kampung berhimpun balik kat Padang Merbok buat je din.. nampk sikit buat kerje” sambil menyiarkan gambar perkahwinan ketua pasukan hoki India itu.

Tengas Bara Tengas menulis, “Apa tindakan yadim dlm isu ni? Sebab apa yg aku nampak sepatah haram pun tak buat statement berkaitan isu ni..” sambil menyiarkan gambar perkahwinan itu.

PKR yakin Anwar masih ada 'nombor'

Malaysiakini

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail percaya bahawa presiden parti itu, Anwar Ibrahim masih mampu mendapatkan jumlah yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baru.

Dia berkata perkara itu boleh dilakukan sama ada melalui Akuan Berkanun (SD) atau melalui Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Sinar Harian, Saifuddin berkata Anwar sentiasa memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PH.

"Saya tidak bersedia berkongsi jumlahnya (SD). Saya tahu siapa yang kita jumpa, berapa yang kita dapat dan sebagainya.

"Mengenali cara Anwar menjalankan tanggungjawab, beliau sentiasa memaklumkan progres terhadap usaha beliau kepada pimpinan utama PH," katanya.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu Utusan Malaysia semalam bahawa usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat akan berlanjutan apabila dewan bersidang semula pada Mac.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno Ketereh, Annuar Musa mendakwa terdapat usaha berterusan dari dalam parti itu untuk menyokong Anwar.

Bekas perdana menteri Najib Razak juga melobi BN agar menyokong presiden PKR itu pada Okt lalu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini meminta pembangkang supaya tidak membazirkan tenaga dan membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan yang disifatkan mereka sebagai 'oportunis'.

Ini selepas tiada ahli parlimen kerajaan yang mengundi untuk menolak Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata presiden PKR telah diberi mandat untuk mendapatkan jumlah sokongan bagi membentuk kerajaan dan tidak seharusnya dipersalahkan.

"Ini menepis dakwaan atau tohmahan yang timbul bahawa ini adalah keputusan dan agenda peribadi Anwar. Saya menafikan sekeras-kerasnya ini usaha peribadi Anwar.

"PH telah calonkan Anwar (sebagai ketua pembangkang) untuk ambil semula mandat (kerajaan). Bukan dosa untuk seorang yang telah dicalonkan berusaha," katanya kepada Sinar Harian.