"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita ‘kantoi’ curi daging di pasar

KOSMO!


TANGKAP layar memaparkan senario seorang wanita mencuri daging ketika peniaga leka melayan pelanggan lain. - Instagram

JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan situasi seorang wanita sedang mencuri daging ketika peniaga sibuk melayan pelanggan lain di sebuah pasar, lapor laman berita Suara.com hari ini.

Video yang dirakam menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) itu dimuat naik pada akaun Instagram bernama @terangmedia. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Pasar Pemenang Pare, Kendiri, Jawa Timur.

Menerusi video berkenaan, kelihatan beberapa peniaga sedang sibuk melayan pelanggan-pelanggan lain dengan memotong daging sambil berbual. 

Seorang wanita berpakaian serba hitam dilihat berdiri di belakang mereka ketika menunggu giliran untuk dilayan. 

Kemudian, wanita itu melihat keadaan sekeliling dengan menoleh ke kiri dan kanan sebelum membongkok di tempat dia berdiri.

Tanpa disangka, wanita itu seterusnya dilihat mengambil satu plastik hitam berisi daging seberat lima kilogram lalu meninggalkan pasar itu.

Disebabkan harga daging yang melonjak menjelang musim perayaan, video tersebut mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Daging haram kak,’’ tulis seorang netizen.

“Selain malaikat, dia lupa ada CCTV yang mencatat,’’ komen netizen lain. – Agensi

Banyak negara raya Isnin, tapi Malaysia mungkin Selasa - mufti Perlis

Malaysiakini

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini mungkin jatuh pada Selasa depan, berbeza dengan kebanyakan negara Islam lain yang menyambutnya sehari lebih awal, kata mufti Perlis.

Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia mungkin demikian kerana Malaysia menggunakan kriteria baru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (Mabims).

“Jika mengikut kriteria kebolehnampakan anak bulan yg digunakan sebelum ini, kemungkinan besar Isnin hari raya. Demikianlah kebanyakan negara Umat Islam. 

“Jika pakai kriteria baru Jakim / Mabims, mungkin tak nampak. Maka, kita mungkin raya Selasa,” katanya di Twitter hari ini tanpa butiran lanjut.

Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Ahad, 1 Mei bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah di 29 lokasi terpilih. Tarikh Aidilfitri akan diumumkan selepas itu.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 22 April memaklumkan bahawa Majlis Raja-raja bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Asri ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia tidak mempertikaikan kaedah Jakim.

“Saya tidak pertikai. Saya menjawab soalan tentang kenapa ada perbezaan dalam perhitungan.

“Perlis kita ikut keputusan bersama dalam menentukan hari raya,” katanya.

Hadi: PAS tolak sertai ‘khemah besar’ dengan PH kerana ada ‘tikus’, ‘kucing’

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS berpendirian menolak kerjasama “khemah besar” dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU 15).

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu enggan bersama dengan parti-parti dalam khemah besar PH yang diumpamakan sebagai tikus dan kucing yang boleh bercakaran antara satu lain.

“PAS ada kumpulan sendiri dan kita masih terus melaksanakan agenda perpaduan ummah.

“Kita tidak ikut khemah besar kerana di dalamnya ada tikus, kucing dan macam-macam. Kita bukan khemah, kita bawa agenda perpaduan ummah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Hadi membayangkan agenda perpaduan yang didukung PAS, disertai Bersatu, Umno dan golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Rabu lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak akan menyertai “khemah besar” yang dicadangkan PH mengambil kira pengalaman 20 tahun bersama PKR dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, perbincangan berhubung kerjasama politik itu membabitkan PH dan Perikatan Nasional (PN), dengan PAS hanya komponen dalam PN.

Rancangan mewujudkan “khemah besar” dalam kalangan parti pembangkang kini hangat diperkatakan, terutama PH yang bermatlamat menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Biarpun belum diperincikan, wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan utama PH berhubung konsep gabungan itu apabila Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, konsep yang dipersetujui dalam resolusi Port Dickson adalah kerjasama blok pembangkang tanpa membabitkan PN yang diterajui Bersatu.

Pendirian Anthony itu senada dengan pendapat Presiden Amanah Mohamad Sabu bahawa tidak timbul cadangan untuk menarik penyertaan PN apatah lagi PAS ke dalamnya.

Bagaimanapun, nada Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub sedikit berbeza yang melihat keperluan membuka ruang perbincangan dengan PN, khususnya Bersatu.

SOP MySejahtera baharu mengarut, kata pemimpin kumpulan perniagaan

Esther Yap

PETALING JAYA: Segelintir pemilik perniagaan membantah langkah kerajaan yang mahu mereka menyemak status risiko pengunjung pada MySejahtera bermula 1 Mei, apabila syarat daftar masuk tidak lagi terpakai kepada semua individu.

Rabu lalu, ketika Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan perkara itu, beliau juga berkata pemilik premis perlu menyemak status risiko pengunjung di aplikasi MySejahtera dan tidak membenarkan individu dengan status “High Risk” iaitu kes positif Covid-19 dan dalam tempoh kuarantin daripada memasuki premis.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, keputusan kerajaan itu adalah “SOP paling mengarut” dan ia mungkin mendapat tentangan apabila orang ramai tidak membenarkan telefon mereka diperiksa.

Beliau yang turut memimpin Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Peruncit Bumiputera dan Persatuan Perniagaan Persekutuan Malaysia (FMBA), berkata isu itu kini hangat diperkatakan dalam kalangan mereka.

“Kami bercakap mengenai perkara ini di kumpulan WhatsApp,” katanya.

“Kita tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya. Ia bukan tanggungjawab pemilik pusat beli-belah untuk risau mengenai orang ramai.”

Beliau berkata pemilik perniagaan tidak dirujuk sebelum SOP diumumkan.

Manakala dua pemimpin kumpulan perniagaan menyuarakan mengenai risiko kemungkinan orang ramai memalsukan status MySejahtera untuk masuk ke dalam premis.

Naib Pengerusi FMBA Raymond Woo berkata orang ramai mungkin menipu dengan menunjukkan tangkapan skrin status risiko rendah.

“Sebagai pemilik kedai, kami akan semak, tetapi tanggungjawab rakyat untuk memainkan peranan mereka,” katanya.

“Sukar untuk perniagaan menyemak sama ada ia daripada aplikasi atau tangkapan skrin.”

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Chin Chee Seong berkata segelintir individu mungkin tidak mengemaskini status MySejahtera jika mereka positif.

“Ia menjadi semakin teruk. Sebelum ini, individu hanya perlu mengimbas telefon mereka untuk daftar masuk. Kini mereka perlu menunjukkan telefon untuk masuk ke dalam premis,” katanya.

Pemandu wanita lawan arus positif dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita tempatan kerana memandu melawan arus hingga menyebabkan berlakunya kemalangan di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian itu menjadi tular di media sosial apabila sebuah rakaman video berdurasi lapan saat menunjukkan kemalangan yang berlaku di laluan sehala.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid, kejadian kira-kira 1.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila wanita berusia 30 tahun itu memandu Toyota Vios secara melawan arus dan melanggar bahagian hadapan dan sisi kanan sebuah kereta.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan namun ujian saringan air kencing suspek yang juga penganggur itu didapati positif dadah jenis amphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Berikutan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan supaya menyalurkannya kepada IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

AMANAH buat laporan polis, gesa siasat komplot mahu jatuhkan badan kehakiman negara

FAZLI RADZI

AMANAH tampil membuat laporan polis secara serentak di seluruh negara mulai petang semalam susulan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menggesa agar pihak polis memulakan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot yang mahu menjatuhkan badan kehakiman negara.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, intimidasi terhadap Mohd Nazlan itu melanggar hak kebebasan badan kehakiman di negara ini dan menunjukkan kelemahan kepimpinan kerajaan BN dan PN diterajui Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Institusi kehakiman yang sangat diberi kepercayaan oleh rakyat sudah dinodai dan dilanggar oleh sebuah badan siasatan

“Kita harap ada siasatan menyeluruh dapat dilakukan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Biro Mobilisasi AMANAH.

“Badan kehakiman di negara kita harus bebas, berintegriti dan dihormati oleh rakyat,” katanya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam.

Untuk rekod, Mohd Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International pada 28 Julai 2020.

Pada 20 April lalu, penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang melibatkan Najib.

Menerusi portalnya Malaysia Today, Raja Petra mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaun.

Ekoran itu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan yang terkandung dalam artikel yang ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya dalam kenyataannya menegaskan artikel itu adalah palsu dan tidak berasas.

Mengulas lanjut, Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Selangor berharap badan kehakiman dihormati dan tidak dicemari.

“Sudahlah rakyat hilang kepercayaan terhadap orang politik di negara ini.

“Jangan pula hilangkan kepercayaan rakyat terhadap satu institusi di negara ini yang sangat penting iaitu badan kehakiman,” tegas Sany lagi.

Ku Li ketuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan

N Faizal Ghazali

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan mengetuai gabungan kerjasama yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dalam usaha menumbangkan kerajaan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed yang mendedahkan program pertama gabungan rentas parti itu akan berlangsung pada 7 Mei depan.

"Tahniah dan terima kasih kepada ayahanda ambo Ku Li (Tengku Razaleigh) kerana sudi mengepalai gerakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang merentas batas kepartian dan kepuakan.

"Amanah Kelantan bersedia bergabung tenaga dan memberi kerjasama yang sepenuhnya demi membawa dan menawarkan satu perubahan kepada rakyat Kelantan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan veteran Umno itu mengerakkan kerjasama dengan parti daripada PH untuk menawan Kelantan pada PRU15.

Malaysiakini difahamkan kerjasama itu akan melibatkan Amanah, DAP, Pejuang dan Putra serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini satu pertemuan dan perbincangan awal di antara ahli parlimen Gua Musang itu dengan pimpinan Amanah negeri turut diadakan di Kota Bharu, disusuli dengan program berbuka puasa bersama.

Untuk rekod, Ku Li merupakan tokoh politik dari Kelantan yang pernah mengasaskan Parti Melayu Semangat 46 pada 1998 sebelum menyertai semula Umno pada 1996.

Sejak pilihan raya umum 1990, Kelantan berada di bawah pentadbiran PAS selama lebih 3 dekad.

Pada 2011, Ku Li menubuhkan NGO masyarakat sivil yang dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, di mana dia merupakan presidennya pada waktu itu.

Beberapa penganalisis politik pada waktu itu berpendapat langkah itu mungkin diambil Ku Li untuk muncul sebagai calon memimpin pembangkang jika Anwar Ibrahim terpinggir.

Bukan keputusan Umno

Sementara itu, Anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa menyifatkan tindakan Ku Li menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dibuat atas kapasiti peribadi dan tiada kena mengena dengan Umno.

Jelasnya, sebarang keputusan membabitkan kerjasama antara Umno dan parti lain hanya boleh diputuskan di peringkat parti.

"Kalau sesiapa saja bertindak atas sifat individu bererti jadilah kerja individu. Kerja individu tak semestinya serupa dengan kerja parti. Setakat yang saya tahu inisiatif yang dikatakan itu kalau betul pun (ia) bersifat peribadi.

"Saya tak tahu lagi ia bermula di mana dan akan berakhir di mana. Kadang-kadang kita bercakap sebagai individu tetapi dilaporkan macam parti buat.

"Bagi saya mudah saja apa-apa perkara parti yang putuskan, itulah yang kita akan pegang dan kita tidak harus membuat sesuatu yang berbeza dengan apa yang parti putuskan," katanya kepada media selepas majlis penyampaian zakat kepada pelajar kurang berkemampuan peringkat parlimen di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

‘PASLeaks’: Mohon maaf dalam tempoh 48 jam atau tunggu saman, Isham beritahu Sanusi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor jika beliau gagal memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya dalam tempoh 48 jam berhubung dokumen “PASLeaks” yang tersebar.

Beliau berkata, jika Sanusi faham mengenai undang-undang, sudah pasti Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu tidak akan terlepas cakap dengan menuduh minit mesyuarat itu “mungkin ditulis” olehnya, yang dikatakan mempunyai kepentingan atas dokumen itu.

Katanya, walaupun Sanusi menggunakan perkataan “mungkin”, ia tidak melepaskannya daripada kesalahan memfitnah.

“Tidak ada sesiapa yang boleh terlepas daripada undang-undang jika mereka memfitnah, tidak kira sama ada orang biasa mahupun menteri besar. Undang-undang tidak mengira status atau jawatan,” kata Isham di Facebook.

“Saya beri tempoh 48 jam kepada Sanusi untuk meminta maaf kepada saya dan menarik balik apa yang dia kata, jika tidak saya akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya termasuklah tindakan saman seperti yang disarankan oleh netizen.”

Pada sidang media semalam, Sanusi berkata, beliau merasakan dokumen tersebut dibuat oleh laskar siber pihak tertentu yang mahu mendapatkan kepentingan daripada kewujudannya.

“Contohnya, Ketua Penerangan BN Isham Jalil yang ‘dok’ desak Samsuri (Ahmad Samsuri Mokhtar) buat sumpah laknat dan sebagainya. Isham ada kepentingan atas dokumen itu dan dia sedang menggunakan dokumen tersebut.

“Orang macam itu ada potensi untuk buat dokumen tersebut,” katanya.

Minggu lepas, Isham mencabar Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Menteri Besar Terengganu, bersumpah bahawa partinya tidak merancang untuk menjatuhkan pemimpin Umno.

“Kalau betul semua perkara yang dalam minit mesyuarat itu tidak betul, suruh dia buat sumpah laknat,” kata Isham kepada FMT.

Samsuri sebelum itu menafikan wujudnya pakatan untuk menjatuhkan pemimpin Umno susulan laporan mengenai penularan dokumen yang dikatakan minit mesyuarat parti itu.

Dalam pada itu, Isham berkata, beliau menyarankan dua menteri besar itu mengangkat sumpah laknat bagi membuktikan mereka tidak terlibat seperti disebut dalam minit mesyuarat itu dan beliau juga akan turut bersumpah bahawa tuduhan terhadapnya adalah tidak benar.

“Namun saya rasa, Sanusi juga seperti Samsuri akan takut untuk bersumpah laknat. Sebab jika mereka tipu, mereka tahu mereka akan dilaknat di dunia dan akhirat.

“Oleh kerana saya tahu Sanusi akan takut untuk bersumpah laknat dan akan mencari pelbagai alasan untuk mengelak seperti juga Samsuri, saya setuju dengan saranan netizen dan saya akan membuat laporan polis esok dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kesalahan fitnah Sanusi tersebut,” katanya.

Bersedia untuk kemungkinan Hari Raya lebih awal

DR MUSTAFA DIN SUBARI

Hari ini, penentuan tarikh-tarikh bagi puasa 1 Ramadan dan Hari Raya 1 Syawal sudah tidak jadi suspens seperti dulu-dulu.

Sewaktu saya di sekolah rendah pada zaman awal 70-an, kami memang akan menunggu pengisytiharan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, bagi penetapan kedua-dua tarikh penting itu.

Sekarang ini hampir semua orang berfahaman, ikut sahaja tarikh dalam kalendar atau takwim yang dikeluarkan oleh JAKIM, tak lari punya. Kalau mengikut takwim, tarikh raya tahun ini adalah pada hari Selasa 3 Mei.

Rasanya semua sudah buat perancangan bila nak cuti, bila nak bertolak balik kampung, yang naik bas, keretapi atau kapal terbang, dah pun beli tiket siap-siap, yang nak memandu pun dah rancang bila nak bertolak.

Pasal cuti tidak berapa kritikal sebab hari Isnin tu memang dah cuti gantian, sebelum itu pun dan hujung minggu. Yang nak gerak awal, mungkin petang Jumaat lepas kerja dah boleh jalan, yang nak gerak lewat sikit mungkin Isnin baru nak gerak balik.

Berbalik pada isu penetapan tarikh-tarikh puasa dan raya, bagaimanakah ianya ditetapkan? Pada tahun 60-an dan awal 70-an, kaedah penetapan adalah melalui amalan melihat atau merukyah anak bulan, atau rukyah hilal.

Pada masa itu Teluk Kemang di Negeri Sembilan adalah stesen merukyah anak bulan atau hilal yang tersohor, walaupun sebenarnya ada lagi stesen-stesen cerapan di negeri-negeri lain, seperti di Menara Masjid Abu Bakar, Johor Bahru dan di Bukit Melawati, Selangor.

Pada masa itu, memanglah pengisytiharan dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia amat ditunggu-tunggu, khususnya untuk tarikh raya.

Biasanya sekitar jam 8.30 malam, selepas selesai berbuka puasa, mungkin sambil mengisi beras dalam ketupat, atau menumbuk rempah untuk rendang.

Sekiranya jadi raya esoknya, barulah akan ditanak ketupat, dimasak rendang dan penyediaan lain-lain juadah utama bagi menyambut raya. Sekiranya dilanjutkan puasa sehari lagi, maka tak jadilah acara masak-memasak tu.

Kemudian pada awal tahun 70-an, kaedah penetapan ditukar kepada kaedah rukyah dan hisab (lebih kepada kedah hisab sebenarnya). Semua orang suka kaedah ini, sebab senang nak merancang. Semuanya definit. Sudah tiada lagi elemen suspens menunggu pengisytiharan seperti sebelumnya.

Tetapi pada akhir 70-an, kaedah rukyah digunakan semula sehingga pertengahan tahun 80-an. Pada tahun 1984 pula, kaedah penetapan ditukar kepada kaedah hibrid, yang dikenali sebagai kaedah rukyah hisab (rukyah dan hisab).

Untuk memahami kaedah hibrid ini, kita perlu memahami dahulu bagaimanakah kaedah hisab itu. Secara umumnya kaedah hisab adalah membuat perhitungan bagi menentukan sama ada anak bulan atau hilal boleh kelihatan atau tidak pada hari merukyah.

Bagi menentukan kebolehnampakan hilal ini, satu kriteria telah digunakan. Kriteria ini

dipanggil sebagai kriteria kebolehnampakan hilal (visibility criterion) atau arabnya inkanur-rukyah.

Kriteria ini menentukan tahap minimum untuk hilal boleh dilihat secara fizikal. Sekiranya pada hari merukyah, hilal masih di bawah kriteria, maka kemungkinan untuk dilihat adalah negatif.

Sebaliknya, jika hilal sudah memenuhi kriteria atupun sudah melebihi kriteria, maka kemungkinan untuk dilihat adalah positif.

Kesemua ini adalah dengan anggapan bahawa keadaan kaki langit di kawasan kenampakan hilal itu adalah cerah dan tidak dilitupi awan. Persoalannya, apakah kriteria itu dan bagaimana kriteria ini dibentuk? Ada banyak kaedah atau cara bagaimana kriteria ini boleh dibentuk.

Kriteria semasa adalah berdasarkan kepada geometri hilal pada waktu matahari terbenam pada hari rukyah. Ada dua parameter, iaitu ketinggian hilal di atas ufuk (altitud) dan juga sudut elonggasi (sudut pisahan) antara bulan dan matahari.

Nilai yang digunakan untuk kriteria semasa adalah 3 darjah dan 6.4 darjah (kriteria sebelum ini menggunakan nilai 2 darjah dan 3 darjah). Nilai-nilai altitud dan elonggasi ini diperoleh secara kaedah empirikal berdasarkan rekod dan data cerapan puluhan tahun di seluruh dunia.

Namun untuk negara-negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (negara-negara di bawah MABIMS), data cerapan yang digunakan kebanyakannya adalah dari empat negara berkenaan.

Sudah tentu kriteria ini boleh berubah, berdasarkan data-data dan juga hasil pencerapan baharu

yang diperoleh dari semasa ke semasa, kerana ianya adalah satu proses kajian saintifik.

Namun, ianya tidaklah ditukar dalam jangka masa yang dekat, umpamanya kriteria imkanur rukyah kita hanya ditukar selepas hampir 20 tahun digunakan.

Keadaan hilal

Berbalik kepada hal berkaitan penetapan 1 Syawal tahun ini, keadaan hilal pada hari rukyah (Ahad 1 Mei) ketika waktu terbenam matahari adalah pada altitud 5.25 darjah dan elonggasi 5.46 darjah.

Keadaan ini sudah hampir, namun masih tidak memenuhi kriteria kenampakan (altitud 3 darjah dan elonggasi 6.4 darjah).

Sekiranya diambil keadaan ini menurut hisab, maka hilal tidak akan kelihatan, dan Ramadan akan digenapkan 30 hari, maka raya jatuh pada hari Selasa, 3 Mei.

Namun, apa yang menarik ialah keadaan hilal pada hari rukyah itu sudah jauh melebihi kriteria kenampakan yang lama (altitud 2 darjah, elonggasi 3 darjah), maka secara teorinya, kemungkinan untuk hilal akan kelihatan adalah positif.

Dengan kaedah penetapan rukyah hisab semasa, kaedah rukyah masih menjadi kaedah penentuan

utama, ie. sekiranya hilal kelihatan apabila dirukyah, maka hasil rukyah akan digunakan, walaupun secara hisab ia masih belum memenuhi kriteria inkane-rukyah.

Dengan adanya 29 stesen rasmi cerapan hilal di seluruh negara pada masa ini, kemungkinan untuk hilal kelihatan apabila dirukyah di salah satu stesen cerapan, adalah besar.

Sekiranya ini benar-benar terjadi, ie. hilal kelihatan, maka Hari Raya akan jatuh pada hari Isnin, 2 Mei.

Penulisan ini hanya bertujuan untuk memahamkan kita semua bahawa penetapan awal puasa dan raya yang menggunakan kaedah rukyah hisab ini tidak semestinya akan mengikuti hasil hisab (ikut taqwim).

Ada kemungkinan hasil rukyahlah yang akan menentukan bila sebenarnya tarikh-tarikh puasa dan raya nanti. Harap-harapnya kita akan mengambil kira kemungkinan ini dalam perancangan untuk balik kampung dan beraya.

'Kalau ikhlas lawan Umno kenapa Bersatu masih dalam kerajaan?''

Haspaizi Zain

⋅Pemimpin DAP menyoal keikhlasan Bersatu untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menentang BN dalam PRU15 sedangkan mereka masih lagi bersama Umno dalam kerajaan.

Bekas ketua pemuda DAP, Howard Lee berkata sekiranya Bersatu ikhlas ingin melihat tadbir urus negara yang lebih baik, mengapa tidak memikirkannya sebelum mengkhianati Pakatan Harapan (PH).

"Harus ditegaskan bahawa, Bersatu merupakan rakan gandingan bersama Umno dalam kerajaan sekarang.

"Sekiranya ikhlas hendak melawan Umno, dan hendak menunjukkan ketulusan berjuang demi kepentingan negara, mengapa masih bersama mereka dalam kerajaan?

"Sekiranya perbincangannya adalah berdasarkan agenda pentadbiran dan dasar membangunkan negara yang menang-menang, pintu tidak pernah ditutup.

"Sekiranya ia berdasarkan menang-menang politik, mengapa tak fikirkannya sebelum mengkhianati PH dan mandat rakyat," katanya kepada Malaysiakini.

Gambar fail, MP DAP bertemu Muhyiddin ketika era pentadbiran PH.

Pada 25 Apr lalu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata parti itu sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan BN berdepan saingan satu lawan satu pada PRU15 akan datang.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Muhyiddin berkata ketika ini parti itu masih di peringkat awal rundingan bagi menawarkan formula “menang-menang” antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata persefahaman antara parti politik itu penting bagi mengelak perpecahan undi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

"Kalau matlamat kita yang penting untuk negara, maka pimpinan parti lain seharusnya boleh berfikiran sama dan mereka sudah menunjukkan reaksi yang agak positif tapi belum lagi kita perhalusi untuk macam mana cara jalinan kerjasama itu hendak dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersatu di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Howard berkata DAP memilih wadah PH dan parti itu terikat secara rela dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Strategik Amanah, Khalid Samad secara sinis mempersoal janji Bersatu yang sukar untuk dipercayai.

Katanya, kesetiaan Bersatu sukar untuk dipercayai selepas pengkhianatan yang dilakukan terhadap PH.

"Sejauh mana Bersatu boleh dipercayai? Masalah utama adalah kebolehpercayaan Bersatu.

"Mereka telah khianati PH dulu. Apa jaminan merka tidak akan khianati kita se

Marah sebab duit, bapa tetak anak

Bernama

BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menyerang dan menetak anaknya kerana perselisihan faham berkaitan duit dalam kejadian di Kampung Awak, Teluk Bahang, di sini, malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam di rumah mereka, apabila suspek yang berusia 40-an memarahi anak lelakinya, dipercayai berkaitan dengan duit, sebelum berlaku perang mulut antara mereka.

Menurut seorang saksi, lelaki yang berang itu kemudiannya menyerang anaknya yang berumur 20-an, dan menetaknya dengan ‘senjata tajam’.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, berkata suspek ditahan di lokasi kejadian oleh penduduk setempat sebelum ketibaan polis.

“Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek yang bekerja sendiri itu negatif dadah, dan dia kini direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera di bahagian belakang dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut.

Mengapa KL masih dilanda banjir walau bilion ringgit habis untuk tebatan banjir?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoal mengapa tiada penjelasan diberikan oleh kerajaan berhubung banjir kilat yang kerap berlaku di ibu kota biarpun berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk tebatan banjir, mendalamkan sungai, dan membina terowong SMART.

Beliau berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man perlu memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk mangsa yang terkesan mengapa kedua-kedua kementerian itu tidak berkesan dalam mencegah bencana banjir kilat.

“Setiap kali hujan lebat tidak sampai setengah jam pun, warga KL sudah tidak boleh terlepas daripada banjir besar. Kereta mereka perlu dibaiki, rumah perlu dibersihkan. Bagi setiap banjir, kerugian harta benda berjumlah berjuta-juta.

“Cukup-cukuplah. Banjir pada Disember tahun lepas sepatutnya sudah cukup teruk, tetapi banjir semalam lebih teruk. Ia juga berlaku dalam tempoh kurang daripada empat bulan dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk Kuala Lumpur.

“Untuk ini, kita mahu menteri wilayah dan menteri alam sekitar dan air menjelaskan mengapa kedua-dua kementerian itu tidak berkesan dalam mencegah banjir kilat, jika semua projek tebatan banjir telah berjaya dijalankan,” katanya.

Sementara itu Lim berkata, bandar maju memerlukan pembangunan mampan, bukan hanya membina lebih banyak kondominium, menara pejabat, pusat membeli-belah dan bangunan pencakar langit.

“Jika projek-projek ini diteruskan tanpa henti, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Orang yang akhirnya terpaksa menanggung akibatnya ialah rakyat yang tinggal di bandar Kuala Lumpur,”

Hembus nafas terakhir pada rakaat ke-20 tarawih

MALAYSIA DATELINE

Seorang bapa kepada tujuh anak menghembuskan nafas terakhir pada rakaat ke-20 solat tarawih berjemaah di Masjid Tunku Intan Safinaz, Kampung Lanai, Baling di Kedah kelmarin.

Sebelum itu, Zamri Saad, 51, pada sebelah petangnya ada mengadu pada jemaah lain bahawa beliau mengalami sakit dada.

Penduduk kampung, Hashim Osman, 51, berkata, ketika berbuka puasa arwah ada beritahu bahawa tidak boleh makan kurma kambing tetapi minta kebenaran untuk bawa balik sedikit lauk itu untuk anak-anak makan.

“Ketika solat arwah berada di barisan kedua di belakang imam, pada rakaat ke-20 sebelum tasyahud akhir, tiba-tiba dia rebah dan kami terdengar bunyi dengkuran yang agak kuat.”

“Jemaah sempat menghabiskan solat dan terus mendapatkan arwah yang ketika itu sedang nazak dan kami sempat mengajarnya mengucap syahadah,” lapor BH.

Sementara itu, isteri arwah, Rohani Mohd Noor, 51, berkata, suaminya ada mengajaknya untuk solat tarawih di masjid tetapi dia menolak kerana mahu solat di surau berdekatan rumah mereka.

“Sepanjang Ramadan, inilah kali pertama suami tergerak hati berbuka puasa di masjid, tak sangka dia akan dijemput Ilahi ketika solat tarawih di masjid itu,” ujarnya.

Rohani memberitahu suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali anak-anaknya mula perasan bapa mereka agak pendiam sejak akhir-akhir ini.

“Kira-kira pada jam 10 malam, abang ipar datang beritahu suami saya jatuh dan pengsan ketika solat.

“Saya terus mengajak anak kedua Nazirol, 20, ke masjid, anak saya masuk dahulu ke dalam masjid dan keluar semula beritahu bapanya sudah tiada,” jelasnya.

Menurut Rohani, suaminya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dan pernah dimasukkan ke Hospital Taiping pada 2019 kerana penyakit jantung.

“Suami saya sekarang sudah tidak bekerja kerana bimbang dengan keadaan kesihatannya, dia juga seorang suami yang sangat pentingkan keluarga.

“Anak-anak juga sudah membeli baju raya warna sedondon namun dia pergi dahulu, apa pun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Ditanya mengenai amalan suaminya, Rohani berkata, sepanjang Ramadan setiap tahun arwah sentiasa bangun malam menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat lain sehinggalah sampai waktu sahur .

Kartel ibarat raja, kuasai 70 peratus bekalan ayam harian

FAHMI FAIZ

PETALING JAYA: Sebanyak lima kartel didakwa telah berpuluh tahun menguasai keseluruhan rantaian industri ayam di negara ini dan bermaharajalela memonopoli sektor penting makanan negara bernilai RM10 bilion setiap tahun itu. 

Sumber dalaman industri men­dedahkan kepada Utusan Ma­laysia, kartel-kartel ini menguasai hampir 70 peratus daripada keseluruhan bekalan 2.2 juta ekor di pasaran setiap hari pada masa ini, iaitu kira-kira 1.5 ju

Lelaki bakar rumah sendiri, empat beranak rentung

KOSMO!

RIYADH – Polis wilayah Qatif, di timur Arab Saudi menangkap seorang penduduk tempatan yang mencurah minyak petrol dan membakar rumahnya sehingga mengakibatkan empat ahli keluarganya terbunuh, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.

Menurut polis, tindakan undang-undang diambil terhadap lelaki berkenaan.

Suspek kata polis, juga telah dirujuk kepada pendakwa raya.

Siasatan awal mendapati suspek berada di bawah pe­ngaruh dadah jenis methamphetamine (syabu).

Kejadian tragies itu berlaku pada Khamis lalu apabila sebuah rumah di bandar Safwa, wilayah Qatif terbakar menjelang waktu berbuka puasa.

Kebakaran itu mengakibatkan kematian ibu bapa suspek dan masing-masing seorang adik lelaki dan seorang adik perempuannya. Api berjaya dipadamkan oleh Pasukan Keselamatan Awam, manakala suspek ditahan untuk siasatan. 

Suspek ialah seorang lelaki berusia 20 tahun dan merupakan ahli keluarga kepada empat manga yang terkorban.

Maklumat mendapati dia bertindak mengurung semua ahli keluarganya di dalam sebuah bilik dan menghalang mereka melarikan diri termasuk mengunci bilik itu daripada luar.

Lelaki itu tidak mengendahkan rayuan mangsa ketika kejadian. Badan empat mangsa tersebut didapati rentung. Motif kejadian masih dalam siasatan – Agensi

Dua halangan ganggu Ismail Sabri cipta kejayaan dalam PRU-15

SHAHBUDIN HUSIN

Apabila MT Umno membuat keputusan menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15, selain ia merupakan gambaran yang memperlihatkan kesepakatan parti itu, ramai juga yang melihatnya sebagai peluang lebih cerah untuk BN mengecap kemenangan.

Diperkatakan bahawa dengan watak Ismail Sabri yang tidak kontroversi, tiada isu mahkamah atau keluarga yang menyusahkannya serta sikapnya yang suka memilih jalan damai berbanding berbalah dengan blok pembangkang, tidak kurang yang melihat beliau mungkin mampu mengulangi kejayaan cemerlang BN seperti PRU tahun 2004 dahulu.

Pada 2004, Umno dan BN ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi yang baru mengambil alih pentadbiran parti serta kerajaan pada 2003 daripada Tun Mahathir Mohamad.

Pertama kami mengetuai PRU, BN ketika itu telah berjaya memenangi 198 daripada 222 kerusi Parlimen dan merupakan rekod paling cemerlang setakat ini.

Sebagaimana sokongan rakyat kepada Tun Abdullah kerana wataknya yang baik dan tidak kontroversi, tidak dinafikan persamaan perwatakan itu kini ada pada Ismail Sabri. 

Cuma, yang membezakan ialah suasana dan cabaran politik ketika itu tidak sama seperti sekarang ini.

Namun, jika perbalahan dan pertembungan sesama sendiri di kalangan blok pembangkang dan mereka yang tidak mahu melihat kemenangan Umno tidak menemui jalan penyelesaian, tidak mustahil pengundi akan memilih mereka kepada BN sebagai jalan selamat agar kerajaan yang dipilih nanti mempunyai majoriti yang kukuh.

Bagi sesetengah pihak, dalam keadaan blok pembangkang berkecamuk dan berpecah, adalah tidak berguna memberi undi kepada mereka kerana ia akhirnya tidak mungkin juga membuatkan kerajaan baharu dapat ditubuhkan.

Pilihan lain, sebagai protes dan bosan, tidak mustahil pilihan yang dibuat ialah tidak keluar mengundi sebagaimana berlaku dalam PRN Melaka dan Johor baru-baru ini.

Begitu pun, sementara laluan untuk Ismail Sabri mencipta kemenangan buat Umno dan BN terlihat lebih cerah, halangan dalaman yang dihadapinya tetap ada. 

Sekurang-kurangnya ada dua halangan yang boleh mengganggu atau menghalang Ismail Sabri sebagai “poster boy” BN dan calon Perdana Menteri daripada mencipta kemenangan dalam PRU-15 akan datang ini.

Pertama, beliau mestilah dilihat sebagai Perdana Menteri yang sebenar selepas PRU-15 itu nanti, bukan sekadar calon Perdana Menteri semata-mata.

Dalam istilah moden, janganlah sampai barang lain yang ditempah, tapi barang lain pula yang diterima.

Ini bermakna, Ismail Sabri mesti diberi peranan untuk mengetuai PRU-15 itu dan berkuasa meletakkan orang-orang yang dipercayainya sebagai calon sebagai persiapan untuk pasukannya membina kerajaan.

Jika perkara itu tidak terlihat di mata pengundi, tambahan lagi jika kluster mahkamah masih bertanding dan meletakkan orang-orang yang diketahui rapat dengan kumpulan tersebut, ia pasti akan menimbulkan penolakan daripada pengundi.

Bagi pengundi, tidak guna mereka memenangkan BN kalau ternampak begitu jelas akhirnya kumpulan lain yang lebih menguasai kemenangan yang dicapai nanti.

Untuk itu, jika BN mahu Ismail Sabri benar-benar diyakini oleh pengundi, penglibatannya dalam pemilihan calon dan peranan ketika kempen hendaklah benar-benar dilihat meyakinkan.

Kedua, sementara pencalonan Ismail Sabri merupakan gambaran kesepakatan Umno, ia juga secara tersiratnya menunjukkan kepimpinan Umno membuka jalan kepadanya untuk mengambil alih kepimpinan parti selepas itu.

Secara tradisinya, belum pernah calon Perdana Menteri Umno tidak dijadikan Perdana Menteri atau diketepikan setelah kemenangan diperolehi.

Dalam hal ini, selain gambaran Ismail Sabri akan tetap dijadikan Perdana Menteri mesti diperlihatkan dengan sejelas-jelasnya, langkah terbaik membuktikannya kepada pengundi ialah dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengundur diri dan tidak lagi bertanding sebagai calon dalam PRU-15 akan datang.

Untuk apa lagi mereka mahu bertanding, sedangkan Ismail Sabri sudah ada sebagai calon Perdana Menteri?

Kalau benar sayangkan Umno dan ingin parti beroleh kemenangan, tidak bertanding bukan saja suatu pengorbanan yang seharusnya mereka lakukan, bahkan itulah yang sepatutnya dilakukan.

Tambahan lagi, dalam tradisi Umno juga, belum pernah mereka yang ada kes mahkamah terus diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Mereka biasanya akan direhatkan sehinggalah kes masing-masing selesai di mahkamah.

Tradisi itu jika dimungkiri, percayalah, sebagaimana BN ditolak dalam PRU-14 yang secara kebetulan Najib dan Zahid Hamidi juga mengetuai BN dan kerajaan ketika itu, sejarahnya pasti berulang lagi.

Kepada Zahid Hamidi dan Najib, mahukan mereka BN kalah sekali lagi ketika kemenangan begitu terbuka melalui Ismail Sabri?

Pertarungan antara Zahid Hamidi dan Annuar Musa berterusan

PasLeak: Jangan derhaka pada parti tanpa parti tiada jawatan menteri, kata Zahid kepada Annuar

NASUHA RAHMAN

“Apakah kandungan ‘PasLeak’ dianggap bukan luar biasa? soal Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan dokumen ‘PasLeak’ bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Menurut Zahid, ahli parti yang setia akan memastikan keutamaan parti sendiri adalah nombor satu manakala kepedulian parti luar lebih-lebih lagi yang telah mengkhianati muafakat parti tidak wajar diberikan tempat dalam keutamaan parti.

“Sekali kita bersetia, janganlah berderhaka kepada parti. Tanpa parti tiadalah jawatan Menteri atau lantikan politik

“Tepuk dada tanya selera!” katanya.

‘Pas Leak’ didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin Umno tular di media sosial sebelum ini.

Ia adalah beberapa keratan didakwa minit mesyuarat Pas yang menggariskan pelan untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukkan Ahmad Zahid ke penjara.

Zahid juga berkata, ahli parti yang setia akan sentiasa berwaspada setiap kenyataan, setiap langkah, pendirian dan tindak tanduk pemimpin mereka dan pemimpin lawan mereka.

“Ketika musuh luar parti bermuslihat dan dengan licik cuba memperdaya parti lawan menggunakan pelbagai taktik dan strategi, kita sebagai orang parti dari ahli biasa ke peringkat bahagian parti perlu lebih bijaksana dalam membaca gerak geri lawan.

“Jangan pula tindak tanduk kita umpama musuh parti luar yang sama menari ikut rentak mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sekali dua kenyataan bertentangan dengan dasar parti dapatlah dianggap kebetulan, namun sudah beberapa kali itulah namanya bukan kebetulan lagi

“Semoga ahli parti terus merapatkan barisan, mengukuhkan kesiapsagaan dan menolak musuh parti,” ujarnya lagi.

Terdahulu Annuar Musa menyifatkan dokumen ‘PasLeak’ yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin Umno bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata berdasarkan pemahamannya setelah meneliti dokumen itu, ia hanyalah catitan pemimpin Pas dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

Pemimpin tertentu Umno perlu jalani ‘pantang’ PRU15?

Bakar Suar

Benarkah Umno sudah menemui formula untuk terus mengungguli politik Malaysia pasca PRU15?

Rata-rata rakan taulan dan juga para pemimpin Umno nampaknya selesa dengan keputusan majlis tertinggi parti itu menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri jika ia menang PRU15.

Malah ada pihak yang tidak dapat menyembunyikan rasa kagum keputusan itu dapat dicapai dan menganggapnya suatu “tahap solidariti luar biasa Umno”.

Luar biasa? Apakah selama ini Umno tidak mampu mencatat solidariti sebulat suara sebegini?

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, berkata keputusan itu menunjukkan kematangan Umno mengutamakan kesepakatan bagi memastikan Barisan Nasional dapat membentuk kerajaan yang stabil.

Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata keputusan itu menandakan parti komponen sebulat suara dengan hasil analisis kepimpinan (Ismail) sebagai suatu kepimpinan menyerlah. “Saya menyokong keputusan politik ini dan pada masa sama kerajaan dapat diperkukuhkan. Apa yang penting ia mengembalikan kegemilangan BN seperti sedia kala,” katanya.

Bagi kebanyakan pemimpin Umno menjadikan Ismail “poster boy” BN akan menjamin kejayaan yang diharapkan sekaligus menamatkan ketidaktentuan dalam rumah tangga Umno sendiri.

Sejak tewas PRU14, keadaan Umno agak porak peranda apabila struktur kepimpinannya menjadi agak kabur lantaran polemik pemimpin-pemimpin utamanya terbabit dalam kontroversi. Najib Razak terpaksa melepaskan jawatan presiden dan beliau bersama penggantinya, Zahid Hamidi, juga terpalit beberapa kes mahkamah. 

Khalayak Umno jadi serba salah dan agak kelam kabut mahu memilih alur pimpinan yang perlu diakuri, sehingga apabila peluang terbuka untuk Umno mengisi jawatan perdana menteri hasil Langkah Sheraton, Umno terkapai mencari calon sesuai.

Namun untuk menghadapi PRU15, isu ini terbit lagi – siapa bakal memimpin Umno dan BN?

Yang pasti Umno tidak boleh bawa terlalu banyak bagasi masuk gelanggang. Apatah lagi jika ia membabitkan keluhuran imejnya sebagai sebuah parti tradisi politik untuk pengundi Melayu dan Islam.

Sekurang-kurangnya unsur kleptokrasi yang kini meliliti wibawanya wajib dirungkai dan disertu bak orang bertaubat yang menyesali keterlanjurannya dan dibaluti dengan azam tidak mahu mengulanginya lagi.

Langkah pertama proses “thaharah” perjuangan Umno ialah, ia harus “mensejukbekukan” hubungan langsung dengan semua peribadi dan watak yang dicemari “kerak” kleptokrasi ini. Ini memerlukan usaha dua pihak.

Pertama, pimpinan Umno sekarang perlu menonjolkan barisan pimpinan yang bersih; tiada kontroversi dan berani. Jika masih ada campurtangan dalam hal ini, pasti ada “cai” lama pilihan mereka. Jika ini berlaku, secara langsung ia menutup pintu Umno melaksanakan proses peremajaan parti yang menjadi faktor utama kemenangan besar dalam PRN Johor lalu.

Kedua, pihak ‘kluster mahkamah’ juga harus “berpantang” daripada aktiviti politik dalam fasa pilihan raya umum. Ibaratkan ini sebagai tempoh “berpantang” selepas Umno melahirkan strategi baru bahawa presiden bukan automatik menjadi perdana menteri pasca PRU.

Tentunya Umno baharu ini akan kelihatan lebih kukuh watak dan peribadinya. Kemudian, jika perlu kluster mahkamah ini boleh kembali selepas keadaan tenteram.

Sesungguhnya imej dan aura Umno masih besar. Ketidakhadiran beberapa watak atau tokoh Umno dalam PRU15 tidak akan banyak menjejaskan prestasi Umno. Malah sebaliknya mungkin boleh berlaku.

Ambil iktibar daripada PRN Melaka dan Johor. Secara rasminya pasukan pimpinan Umno dalam kedua-dua PRN itu dipimpin oleh “waris-waris” sah Umno jua dan Umno menang bergaya. Jika benar mereka sayangkan Umno, tokoh-tokoh kontroversi perlu menguruskan desakan “gian” mahu mencampuri urusan parti ketika parti mengharungi PRU15!

Jika beban bagasi ini dapat ditinggalkan di pinggir arena PRU15, peluang Umno merampas semula kuasa bersama kerabat Barisan Nasional adalah lebih besar.

Tanpa dibelenggui stigma kleptokrat, Umno akan lebih disenangi dan disegani sebagai entiti politik yang berjasa memerdeka dan membangun Malaysia. Demikian reputasi Umno. Manfaatkan dividen sejarah ini sepenuhnya.

Oleh itu inisiatif untuk “menenang” unsur yang mungkin boleh mencemar nama baik Umno itu adalah langkah wajar, wajib, dan munasabah.

Biar Ismail disebarkan sebagai “poster boy” dalam kempen PRU15. Sosoknya tidak seperti politikus rakus mahu menonjolkan diri. Pelantikannya sebagai perdana menteri pun bukan satu komplot parti.

Sikapnya tidak kasar. Perwatakannya dilihat merakyat. Dan, Ismail bersikap budiman. Kecenderungannya mencari jalan damai dalam kemelut politik juga berjaya memberikan wajah jujur pada Umno keseluruhannya.

Sikap kelunya dan tidak secara oportunis “membantai” personaliti yang dikaitkan dengan kleptokrasi Umno mempotretkan karakternya sebagai watak yang menghargai pemimpin yang mendahuluinya.

Beliau juga bertuah kerana menjadi jurucakap kerajaan ketika negara dilanda Covid-19. Walau kadangkala kelihatan tertekan tetapi kemunculan saban hari di kaca televisyen dan akhbar memudahkan personalitinya difahami rakyat.

Imej pemimpin kuat kerja Ismail berbeda dengan Muhyiddin Yassin yang cuak menghadapi sidang media ketika negara menghadapi musibah, banyak membantu Ismail mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin yang boleh dipercayai.

Suka tidak suka, Umno harus menganggap ia parti bertuah mempunyai calon perdana menteri yang tidak banyak kerenah.

Kini nasib baik Ismail ini nampaknya diperakui oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno sebagai calon selamat yang tidak berpotensi mengkocakkan rumah tangga parti. Namun persoalannya bolehkan pemimpin-pemimpin yang diminta berehat sementara ini mengekang diri daripada menggaru “kegatalan politik” ketika suasana hiruk pikuk pilihan raya?

Yang paling utama sekali ialah, adakah ‘perakuan’ atau “endorsement” terhadap pencalonan Ismail ini juga bererti tanggungjawab sepenuhnya “poster boy” ini juga diserahkan kepadanya?

Tandatangan siapakah yang akan “mengabsahkan” pencalonan setiap watikah calon Umno? Atau, masih ada lagi kira-kira lain yang akan ditokok tambah kemudian?