"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bintang Pop nyaris mati lemas

Bintang Pop, Britney Spears mendedahkan dia pernah mengalami pengalaman menakutkan dan hampir meragut nyawanya ketika bercuti di Hawaii.

Menurut pelantun lagu hits, hits Make Me itu, dia nyaris mati lemas ketika sedang menikmati keindahan pantai palau tersebut.

Katanya, di saat dia sedang asyik menikmati keindahan suasana, tiba-tiba ombak besar datang dan menariknya ke tengah laut.

“Saya seperti ditarik ombak selama lima minit dan hampir tengggelam. Saat itu saya berfikir, ‘di mana para pengawal keselamatan? Apa saya akan mati di sini?’ Tapi tidak lama kemudian ombak lain datang dan menyelamatkan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Britney juga mengakui berdepan kesukaran dalam karier muziknya. Ibu dua anak itu tidak menolak bahawa ramai bintang ‘diva’ yang membuatnya dia cukup terganggu dalam terus memastikan dia kekal di industri seni.

“Banyak orang dalam dunia hiburan, yang mana ketika kita perlu berusaha gigih untuk bersaing dan bekerja bersama mereka, Ramai ‘diva’ di industri musik. Ia menyukarkan saya,” luahnya.
-kualalumpurpost 

Chong Wei pakai tudung? (Gambar)

Chong Wei sedia lawan badminton dengan ‘kembar’
FMT Reporters

PETALING JAYA: Jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata beliau sedia untuk berlawan dengan ‘kembarnya’ yang juga seorang wanita Melayu, Ika Syazwani.


The Star Online melaporkan, Chong Wei berkata setuju untuk berlawan dengan Ika ketika ditanya wartawan selepas satu majlis hari ini sama ada beliau mahu bermain badminton dengan pelajar Universiti Utara Malaysia itu, atau tidak.

“Boleh. Jika kita ada masa, kita boleh aturkan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah XOX Mobile kepada atlet dan jurulatih yang memenangi pingat pada Olimpik Rio, hari ini.

Baru-baru ini, Ika yang mempunyai wajah seiras Chong Wei menjadi sensasi di media sosial selepas gambarnya tersebar.

Ika yang juga peminat Chong Wei berkata beliau menerima kira-kira 4,000 permintaan untuk menjadi rakannya di Facebook dan memang teringin bertemu Chong Wei sejak 2010, serta bermain badminton dengannya.

Dalam laporan berasingan dalam The Star Online pada majlis penyampaian hadiah itu, Chong Wei menafikan khabar angin yang beliau mempunyai aset bernilai RM300 juta seperti didakwa laman web thecelebritiesnetworth.com.

Laman web itu mendakwa Chong Wei, pemenang tiga kali pingat perak di Olimpik mempunyai aset bernilai AS$75 juta dalam bentuk kereta mewah, hartanah dan urus niaga duta jenama.

“Jika saya ada RM300 juta saya rasa saya berhenti main badminton. Saya rasa tak perlu kerja, duduk rumah saja,” katanya.

Chong Wei berkata beliau tidak percaya atlet Malaysia boleh memperoleh pendapatan sebanyak itu dan untuk mendapat RM10 juta pun sukar bagi pemain badminton, tidak seperti pemain golf, tenis atau bola sepak profesional.

Pada majlis itu, XOX Mobile – di mana Chong Wei ialah duta produk itu – menghadiahkannya RM110,000. Sebelum ini, Chong Wei dihadiahkan hadiah wang tunai RM200,000 daripada kerajaan dan pencen seumur hidup RM3,000.

Beliau juga menerima sebuah kondominium bernilai RM1.5 juta daripada seorang syarikat hartanah kerana pencapaiannya dalam Olimpik Rio.

Betulkah petanda 40 hari sebelum mati?

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

MASUK sahaja waktu asar, pusat saya berdenyut-denyut. Bukan setakat itu, semua tanda lain turut ada pada tubuh.

Saya amat kaget kerana semua itu adalah tanda 40 hari sebelum mati sebagaimana yang dibaca dalam sebuah buku

Saya tak tunggu lagi ustaz! Saya bertaubat nasuha atas segala kesilapan dan alhamdulillah saya dah berubah sekarang. Kerisauan itu mendorong saya untuk berubah. Semua tanda 40 hari sebelum mati itu benarkan ustaz?”

Soalan jiran saya ini saya jawab dengan soalan lain: “Tapi sampai sekarang awak belum mati lagikan? Saya kira dari tempoh awak mengesan tanda mati itu, jaraknya sudah lebih dari 40 hari?”

Tazkirah pelik tentang tanda-tanda tujuh, 40 atau 100 hari sebelum mati biasa tersebar sejak dahulu lagi. Sebaran perkara ini menjadi semakin laju dengan perkembangan media sosial. Soalannya, adakah perkara ini benar?

Bagaimana pendakwa yang galak menulis buku itu tahu dengan terperinci segala tanda berkenaan sebelum mati? Adakah pernah ada orang mati yang hidup semula lalu memberitahu segala tanda yang pernah dialaminya sebelum mati? Usahkan kita, Rasulullah SAW yang saban hari berdamping dengan malaikat Jibril a.s. pun tidak mengetahui perihal ghaib tanpa izin Allah. Firman Allah:
“Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman,” (al-A’raf [7:188]).

HAK EKSKLUSIF ALLAH
Ajal maut adalah rahsia eksklusif Allah yang mustahil diketahui oleh makhluk. Perkara ini ditegaskan secara tuntas oleh Allah:
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya,” (Luqman [31:34]).

Mati juga sudah siap tarikhnya pada pengetahuan Allah. Yang tahu adalah Allah, bukan kita, bukan Rasulullah SAW, bukan tok nujum dan sebagainya:
“Dan (setiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah),” (Ali ‘Imran[3:145]).

Tak cukup dengan itu, mufti wanita dalam kalangan sahabat Rasulullah iaitu isteri baginda, Aishah r.a. turut menegaskan perkara sama:
“Orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW menyembunyikan sesuatu ayat daripada Kitab Allah (tidak disampaikannya). Maka orang itu sesungguhnya telah berbuat kebohongan besar terhadap Allah kerana Allah telah berfirman:
“Wahai, Rasul! Sampaikanlah apa yang diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu! Apabila itu tidak engkau lakukan, bererti engkau tidak menyampaikan risalah-Nya (tidak menjalankan tugas daripada-Nya”),” (al-Maidah[5:67]),
“Dan orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tahu apa yang akan terjadi esok. Orang itu sungguh-sungguh telah mengadakan suatu kebohongan besar terhadap Allah.
“Firman Allah: “Katakan: Tidak seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui apa yang tersembunyi melainkan Allah,” (Naml[27:65]) - Sahih Muslim.

Mungkin ada yang akan berkata:
“Apa salahnya, benda baik. Sekurang-kurangnya tanda itu boleh menjinakkan jiwa manusia yang buas buat seketika. Tambahan pula ia adalah hasil kajian yang arif perihal jasad manusia.”

Mudah sahaja jawapannya:
“Agama ini milik mutlak Allah terutama sekali apabila menyentuh yang ghaib (al-Naml [27:65]). Ia perlu difahami dan dijiwai dalam kehendak Allah. Agama Allah bukan sejenis masakan yang boleh direncahkan “secukup rasa” oleh sesiapa pun walaupun jubahnya meleret menyapu bumi, janggutnya mencecah lutut atau serbannya sebesar bakul.

Dakwaan “tahu tanda mati dalam lingkungan tepat” tujuh, 40 atau 100 hari adalah cubaan meneka rahsia mutlak milik Allah. Ia adalah satu kebiadaban pada hak Allah!”

Usah tunggu tujuh, 40 atau 100 hari sebelum mati untuk menjadi hamba Allah, sebaliknya jadilah hamba Allah sepanjang hidup. Usah takut mati, sebaliknya takutlah jika tidak bersedia untuk bertemu Allah. Mati bukanlah penutup bagi orang beriman tetapi menjadi suatu permulaan untuk hidup akhirat yang kekal abadi.

Daripada kita sibuk “menujumkan” tanda mati lebih baik kita semua bersiap sedia menemui mati yang bakal tiba bila-bila masa sahaja.
Mengingati mati sepanjang masa tanpa menunggu tanda tujuh, 40 atau 100 hari adalah ubat terbaik untuk jiwa manusia sebagaimana sabda Junjungan SAW:
“Perbanyak mengingati pemutus kelazatan (dunia) iaitu kematian,” - Sunan al-Tirmidhi, al-Nasa’i & Ibn Majah).
-detikdaily.net

Sistem bil TNB dinaik taraf mengelirukan, bebankan pengguna

SM Mohamed Idris

Sejak dua bulan lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menerima pelbagai aduan daripada pengguna berhubung bil TNB. Di antara aduan yang diterima termasuklah pusingan bil yang panjang menyebabkan bayaran menjadi terlalu tinggi, tidak menerima bil bulan Julai dan menerima bil dengan catatan nombor akaun bukan milik mereka

Cuma baru-baru ini sahaja CAP menyedari bahawa pengguna berhadapan dengan segala masalah ini berikutan TNB sedang mempertingkatkan sistem bil mereka.

TNB telah mengeluarkan Kenyataan Akhbar yang mengumumkan bahawa sesetengah pelanggan akan lewat menerima bil mereka disebabkan kerja-kerja naik taraf tersebut. Namun kenyataan pada 6/8/2016 itu cuma disiarkan oleh beberapa akhbar sahaja dan agar sukar untuk menamakannya sebagai “memberi maklumat”. Kenyataan TNB juga terlambat dua bulan jika mereka ingin menaik taraf sistem mereka, TNB sepatutnya memaklumkan lebih awal kepada pengguna dan kesulitan yang mungkin mereka alami.

Hanya selepas kami membaca artikel yang dimuatkan dalam salah satu akhbar berbahasa Malaysia beberapa hari lalu baharulah kami akhirnya mendapat serba sedikit penjelasan mengenai aduan yang kami terima, antaranya:-

· Pusingan bil yang panjang menjadikan bil TNB lebih mahal

Jika pusingan bil melebihi 31 hari bagi sebarang bulan, TNB akan mengenakan bayaran kepada pelanggan berdasarkan faktor ‘prorate’ tersebut – nisbah antara tarikh bil dan jumlah hari dalam bulan berkenaan – bagi mereka yang berada dalam lingkungan blok Tarif Domestik dan blok Tarif Komersial Voltan Rendah.

· Tidak menerima bil bulan Julai

Disebabkan kerja-kerja menaik taraf sistem bil, pelanggan akan lewat menerima bil masing-masing dan sesetengahnya akan menerima bil Julai dan Ogos sekali gus dalam bulan Ogos.

· Menerima bil dengan nombor akaun bukan milik mereka

Menaik taraf sistem bil menyebabkan nombor akaun TNB bertukar dari sistem 14 digit ke sistem 12 digit. Justeru, nombor akaun yang kelihatan ganjil pada bil TNB terkini sebenarnya adalah nombor akaun 12 digit pengguna yang baharu.

Memberikan segala maklumat ini kepada hanya satu akhbar berbahasa Malaysia adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab di pihak TNB kerana jumlah pembacanya tidak meluas. Maklumat sama perlu diberikan kepada semua akhbar utama dan stesen berita beberapa bulan lalu bagi memastikan orang awam lebih bersedia menghadapi kesan dari perubahan ini. Kami berasa agak kecewa dengan pendekatan TNB berhubung perkara ini yang ternyata telah mengelirukan pengguna.

Kami juga membantah keras hakikat bahawa ramai pengguna akan menerima bil Julai dan Ogos mereka sekali gus dalam bulan Ogos. Di dalam artikel tersebut, TNB dikatakan tidak akan memotong bekalan elektrik bagi mereka yang lewat menerima bil bulan Julai mereka, namun ini nampaknya tidak ada sebarang kaitan. Peribahasa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ bertepatan dengan kedudukan kewangan semasa ramai penduduk Malaysia. Satu hal yang perlu disoal ialah apa akan berlaku kepada pengguna yang dibebankan dengan dua bil dalam sebulan dan tidak mampu membayarnya sekali gus? Bolehkah mereka mendapat jaminan bahawa bekalan elektrik mereka tidak “dipotong”?

Kami berkata ia sepatutnya begitu. Apatah lagi pihak TNB tidak mengambil langkah-langkah proaktif dalam menangani kesulitan pengguna apabila ia menaik taraf sistem bil tersebut. Oleh itu kenapa orang awam perlu menanggung beban ekoran tindakan mereka?

Satu-satunya cara TNB boleh bertanggungjawab terhadap tindakan mereka ialah dengan memansuhkan bil bulan Julai pengguna domestik. CAP meminta pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau hal ehwal “tenaga” seperti Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Suruhanjaya Tenaga memastikan tindakan ini diambil. Lebih baik lagi, TNB perlu melakukannya secara sukarela sebagai cara mengganti rugi pelanggan mereka.

SM Mohamed Idris
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Seluar dalam selepas seks jadi kegilaan di Singapura

Detikdaily
PETALING JAYA: Seluar dalam wanita terpakai selepas seks kini menjadi kegilaan di Singapura. Akhbar tempatan The New Paper baru-baru ini melaporkan mereka yang fetisy boleh mendapatkan seluar dalam wanita terpakai selepas seks pada harga S$80 (RM240) sepasang, menerusi lelongan secara online.

Dengan harga yang sesuai, pembeli akan menerima pakaian dalam itu dihantar sendiri oleh gadis yang memakainya sebelum itu.

Menurut laporan itu, laman web yang menawarkan barangan itu, muncul di media sosial dengan gambar seluar dalam, turut serta dengan pemakainya.

Golongan pelajar turut mengambil kesempatan atas kegilaan itu untuk mencari duit, dengan seorang gadis 18 tahun “lepas sekolah menengah”, menawarkan seluar dalamnya untuk dijual dengan harga permulaan S$20 (RM60).

Salah satu post berkata seluar dalam itu “dijamin memberi kepuasan kepada fetisy gadis sekolah anda dan lebih lagi”.

Dilaporkan, harga semakin mahal berdasarkan kepada masa seluar dalam itu dipakai, dan sama ada aksi seks dibuat semasa memakainya.

Seorang penjual, yang memuat naik seluar dalamnya, mendakwa dia memakainya untuk 12 jam, dijual pada harga SGD80, turut mengambil gadis “berfikiran serupa” untuk menjual seluar dalam mereka, kata laporan itu.

Apabila seorang wartawan lelaki daripada akhbar itu menyamar sebagai gadis yang minat menyertai perniagaan itu, dia diminta memakai seluar dalam dan melakukan aksi seks, dan ia perlu dirakamkan untuk melonjakkan lagi harga.

Gadis itu mendakwa sepasang seluar dalam boleh dijual sehingga RM600 secara purata, dan akan dapat dijual dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun, gadis itu berhenti berhubung dan menutup akaun media sosialnya selepas wartawan berkenaan mendedahkan identitinya kepada gadis terbabit.

Aset Chong Wei cecah RM300 juta

ONG BOON TECK

ATAS kesungguhannya yang tidak mengenal erti kekalahan, kejayaan dalam dunia badminton akhirnya terbalas apabila membawa pelbagai kejuaraan dan hadiah wang lumayan kepada pemain kesayangan negara ini.

Manakala di luar gelanggang, namanya kerap jadi sebutan. Beliau diminati oleh jutaan peminat di dalam dan di luar negara. Bagi syarikat-syarikat korporat, nama dan wajahnya juga bernilai untuk dikomersialkan bagi tujuan melariskan produk mereka.

Itulah anugerah dan hasil usaha yang diraih oleh Lee Chong Wei. Biarpun sebagai pemain badminton, Chong Wei terbukti juga tidak kurang hebatnya dalam dunia korporat. Tidak mustahil suatu hari nanti, setelah meninggalkan lapangan badminton, beliau akan bergelar pula sebagai seorang tokoh korporat yang berjaya di negara kita.

Mungkin tidak ramai yang tahu Chong Wei memiliki sebuah syarikat pemaju perumahan di Kuala Lumpur. Nama syarikatnya ialah Chong Wei Binajaya dengan beliau sendiri memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif.

Selain itu, beliau turut mempunyai sebuah kompleks sukan yang diberi nama Sports Arena Sentosa yang terletak di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Bagi peminat badminton di sekitar Lembah Klang, kompleks sukan ini memang sudah tidak asing lagi bagi mereka.

Menurut sebuah portal, thecelebritiesnetworth.com, kekayaan Chong Wei kini telah mencecah AS$75 juta (RM300 juta) hasil daripada hadiah kemenangan, sektor perniagaan, duta kepada puluhan produk di peringkat antarabangsa dan tempatan, hartanah dan koleksi kereta mewah yang dimilikinya.

Manakala menurut portal Sport Rich List (senarai kekayaan atlet dunia), aset Chong Wei pada 2011 ialah sebanyak AS$267,300 (RM1.7 juta) dan meningkat kepada AS$59 juta (RM237 juta) pada 2013.

Bagi kenalan rapat Chong Wei, mereka sudah lama mengetahui beliau cukup gemar membeli kereta mewah sebagai koleksi peribadinya. Sehingga hari ini, antara jenis kereta mewah yang dimiliki Chong Wei ialah Skyline R35 GTR, BMW X6 Coupe,

Ferrari F430, Lamborghini Aviator, Audi R8 dan Bentley Continental GT1, dengan harga kesemua kereta ini bernilai jutaan ringgit setiap sebuah.

Selain itu, satu lagi barangan yang digemari Chong Wei ialah jam tangan. Difahamkan, terdapat pelbagai jenama jam tangan yang dibelinya dan disimpan dalam tiga kotak besar.

Akhbar Dongguan Shibao dari China sebelum ini pernah melaporkan, jenis kediaman yang diduduki oleh Chong Wei tidak jauh bezanya dengan kebanyakan orang, namun pastinya ramai akan terperanjat apabila melihat koleksi kereta yang disimpannya.

Pelantikan Chong Wei sebagai duta produk merupakan satu lagi sumber pendapatan utamanya. Bagi setiap produk, bayarannya yang diterima dipercayai mencecah sehingga jutaan ringgit.

Antara syarikat-syarikat yang melantik Chong Wei sebagai dutanya termasuk Yonex, Samsung, KDU Educations Group, XOX, syarikat pengeluar kopi, kerusi urut, resort dan banyak lagi.

Pemimpin politik maut dikelar ahli keluarga


Pemimpin politik maut dikelar ahli keluarga
MELAKA TENGAH - Tiga beranak termasuk seorang pemimpin politik di Tangga Batu maut dipercayai dikelar oleh seorang lelaki disyaki ahli keluarganya di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa Mariah Baharin, 62, maut bersama suami dan anak lelaki berusia 70 dan 22 tahun dipercayai diserang suspek berusia 26 tahun yang juga menetap di rumah tersebut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, terdapat tiga lagi ahli keluarga di rumah tersebut ketika kejadian yang kemudian dihantar ke Hospital Melaka termasuk dua daripadanya cedera parah.

"Kesemua mangsa maut dan yang mendapatkan rawatan di hospital mengalami kecederaaan di bahagian tengkuk ke atas dipercayai dicederakan suspek menggunakan senjata tajam.

"Kita sedang memburu suspek dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh," katanya.
-sinarharian

Serangan seksual, MAS disaman RM616,000

Malaysia Airlines Bhd (MAS) telah disaman di bawah Konvensyen Montreal lebih A$200,000 (RM616,000) oleh seorang wanita Australia yang mendakwa dia telah diserang secara seksual oleh ketua pramugara semasa dalam penerbangan ke Paris.

Laura Bushney, 28, menaiki pesawat MAS itu dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos 2014.

Penyerang yang didakwa itu, ketua pramugara Mohd Rosli Ab Karim, kini dalam jaminan di Perancis dan sedang menunggu perbicaraan selepas didakwa mengaku melakukan jenayah tersebut dan telah didakwa oleh pihak berkuasa Perancis, laporan news.com.au.

Portal berita itu berkata pernyataan tuntutan Bushney itu yang difailkan oleh peguam Shine di Mahkamah Persekutuan Australia Barat, memperincikan dakwaan pengalaman pahit itu yang dikatakan berlaku selama beberapa jam semasa penerbangan selama 13 jam itu.

Pengalaman pahit itu, menurut pernyataan tersebut, bermula selepas Bushney memaklumkan kepada krew kabin mengenai ketakutannya terbang dan Mohd Rosli berjanji untuk "melihat keadaannya" semasa dalam penerbangan itu.

Bushney mendakwa sepanjang penerbangan itu, ketua pramugara tersebut menyentuhnya, dengan menggosok perut dan pahanya, kemudiannya memasuk tangannya ke dalam seluarnya dan menyentuh bahagian sulitnya.

Selepas tiba di lapangan terbang Charles de Gaulle di Paris, Bushney berkata dia memberitahu seorang pegawai MAS bahawa dia telah diserang secara seksual dan dikatakan telah diberitahu bahawa "akan ada akibat terhadapnya jika dakwaan itu palsu".

"Pemohon menyatakan bahawa dia mahu membuat aduan itu (dan) polis Perancis membawa ketua pramugara itu ke balai polis di dalam lapangan terbang tersebut.

"Pemohon (Ms Bushney) bersetuju untuk menjalani ujian DNA," kata pernyataan itu.

Polis Perancis mendakwa Mohd Rosli dengan tuduhan melakukan serangan tidak senonoh selepas beberapa bulan siasatan dan kini dia dalam jaminan.
News.com.au berkata MAS menamatkan perkhidmatan Mohd Rosli dua minggu selepas kejadian yang dikatakan itu dan pada 25 Ogos 2014, Bushney mendedahkan pengalaman pahitnya itu di televisyen di Australia.

Di bawah Konvensyen Montral, Bushney mempunyai dua tahun untuk mendapatkan pampasan, berdasarkan kecederaan fizikal yang dialaminya dan juga kerugian kewangan.

Pegawai DBKL 31 kondo, menteri bagaimana?’

FMT Reporters
PETALING JAYA: Selepas pendedahan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memiliki 31 buah kondominium mewah bernilai RM15.5 juta, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mempersoalkan pendirian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai desakan supaya menteri turut mengisytiharkan harta secara terbuka.

“Kita tertanya-tertanya, berdasarkan laporan ini, berapa banyak pula rumah banglo dan kereta mewah yang dimiliki Menteri Wilayah Persekutuan, (Datuk Seri) Tengku Adnan Mansor, yang enggan mengisytiharkan hartanya itu?

“Bagaimana pula dengan menteri kabinet yang lain? Adakah pihak berkuasa, terutamanya SPRM langsung tidak mahu tahu?” soal Lim.

Semalam, Utusan Malaysia memetik sumber SPRM yang mendedahkan seorang pegawai DBKL bergelar “Datuk Seri” yang diberkas baru-baru ini mempunyai 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta yang dibeli daripada 5 pemaju projek perumahan.

“Apabila rumah siap, suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah pada harga semasa dengan anggaran RM500,000 setiap satu dan mendapat untung atas angin,” kata sumber itu.

Susulan penangkapan pegawai itu, Tengku Adnan mengarahkan semua pegawai di bawah kementeriannya mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, beliau menolak gesaan beliau sendiri mengisytihar kekayaan peribadinya kepada umum kerana bimbang menjadi mangsa rompakan.

“Saya tidak akan isytihar kepada orang ramai kerana saya dahulu adalah seorang ahli perniagaan. Saya ada banyak aset.”

Lim berkata sekiranya Tengku Adnan enggan mengisytiharkan hartanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengawal soal integriti, Datuk Paul Low, harus memberikan teladan.

“Saya harap menteri ‘integriti’ Paul Low boleh mengotakan katanya dan menjadi menteri kabinet pertama mengisytiharkan harta lantas menjadi contoh kepada anggota kabinet yang lain,” katanya

FBI cari baginda tuanku?

Hishamuddin Rais 
Minggu ini gua jadi kelam kabut. Gua tidak tahu apa yang wajib gua lakukan. Hendak ketawa gua rasa bersalah. Hendak menangis air mata enggan keluar. Atau gua terus jadi marah hingga tercabut uban.Tapi gua risau juga jika kelihatan botak.

Keadaan gua bercelaru seperti ini timbul kerana persoalan siapa dia yang dipanggil Malaysian Official 1 (MO1) oleh peguam negara Amerika belum selesai. MO1 ini terus menjadi buah mulut yang berpanjangan. Gua sendiri tercari-cari dan tertanya-tanya.

Sidang akhbar Puan Loretta Lynch berlangsung pada 21 Julai yang lalu telah lebih satu bulan. Tapi siapakah yang dimaksudkan oleh peguam negara Amerika ini sebagai Malaysian Official 1 masih menjadi tanda tanya di Malaysia.

Rakyat satu Malaysia hanya berhenti bertanya siapa MO1 ini ketika ada pertarungan badminton di Rio. Sebaik sahaja Chong Wei selesai bertarung dan meletakan raket di tepi dinding, satu Malaysia terus heboh bising. Heboh memberi pendapat dan teori siapa dia MO1 itu?

Sekarang sukan Olimpik Rio telah tamat. Sebaik sahaja Olimpik selesai Malaysia menjadi heboh kembali. Seheboh murai mencari bini. Persoalan siapa MO1 meledak kembali.

Paling terbaru ialah kenyataan dari Langkawi. Ini bukan kenyataan dari cucu cicit Mahsuri tapi dari Tuan Haji Nawawi yang mengakui dirinya sebagai Yang Berhormat. Hormat macam mana itu gua sendiri kurang arif.

Mengikut laporan portal media yang amat cepat lagi pantas - Tuan Haji YB ini telah menulis dalam Facebook miliknya. Mengikut tuan empunya surah Tuan Haji YB ini telah menganalisa Perlembagaan Persekutuan. Tuan Haji YB ini berpendapat mengikut kajian yang dilakukan - terang dan jelas - MO1 ini ialah Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong! Ya ampooon. Sultan Kedah yang kini Yang di-Pertuan Agong kita semua yang dimaksudkan oleh YB Langkawi ini. Tuanku inilah mengikut kajian Tuan Haji YB yang sebenarnya Malaysian Official 1, bukan Official 2 dan bukan Official 3.

Berita ini meledak. Berita ini membawa gempar. Berita ini amat amat menakutkan. Apa maknanya kenyataan dari Tuan Haji Nawawi ini? Bayangkan jika sahih Yang di-Pertuan Agong menjadi MO1 - apa akan terjadi.

Maknanya FBI akan masuk ke Istana Negara. Maknanya FBI akan menangkap raja kita untuk dibawa ke Amerika. Maknanya - di mana muka kita sebagai rakyat hendak kita sorokkan. Maknanya PERKASA dan Jaringan Melayu akan melaungkan semboyan perang menentang Amerika. Maknanya Jamal Ikan Bakar akan dapat bajet untuk berdemo depan kedutaan Amerika. Maknanya Ali Tinju akan bergaduh dengan Jamal untuk merebut dana Baju Merah. Maknanya Tajuddin Rahman dari Pasir Salak akan bersilat sekali lagi di Jalan Petaling kali ini memakai cawat merah.

Penyokong Ali Tinju akan menghantuk-hantuk kepala sekali lagi di hadapan Sogo. Kali ini mungkin menggunakan buah kelapa. Semua NGO Melayu siap siaga untuk melawan Amerika. Bayangkan - semua ini muncul hasil dari kenyatan Tuan Haji YB Langkawi.

Apakah kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan Amerika? Soalan macam ini menjadikan gua terus kelam kabut.

Dalam keadaan ini gua menjadi marah. Gua marah kepada Puan Loretta Lynch. Kenapa tidak bercakap dengan terus terang. Kenapa gunakan Malaysian Official 1? Kenapa tidak tuliskan siapa nama Malaysian Official 1 ini.

Gua tidak tahu apa sebab musabab pihak Department of Justice America (DOJ) tidak mahu menyebut si polan bin si polan sebagai Malaysian Official 1. Adakah seekor gajah sedang berselindung di belakang Puan Loretta Lynch? Atau adakah ini strategi Encik Andrew MacCabe, timbalan pengarah FBI untuk memerangkap Riza Aziz a.k.a anak Najib dan Jho Low a.k.a cina tembam. Wallahualam.

Ketika rasa marah kepada DOJ membuak, gua juga merasa kagum dengan Tuan Haji YB. Di Malaysia ini ada 30 juta penduduk. Tetapi tidak seorang pun seperti Tuan Haji YB ini. Beliau menyelesaikan persoalan dengan tuntas lagi ilmiah. Bukan dengan pukul curi. Bukan dengan agak-agak. Beliau membuat kajian ilmiah dan membuktikan bahawa Agong kita ialah Malaysian Official 1. Syabas.

Bayangkan - kenyataan dari FB ini telah menjemput pelbagai jawapan. Ramai yang mengatakan bahawa Tuan Haji YB ini bangang lagi bodoh. Ramai yang mengutuk dan menghina Tuan Haji YB ini. Para royalis dan feudalis semuanya marah kerana nama Yang di-Pertuan Agong dipalitkan dengan kes rompakan 2.6 bilion ringgit.

Paling menakutkan ialah soalan yang mucul dari mulut Mahathir. Bekas perdana menteri ini telah bertanya sambil menyoal - jika Agong ini Malaysian Official 1 apakah Riza Aziz itu anak tiri baginda. Ya Ampooon. Meremang bulu tengok gua apabila membaca soalan dari Tun M ini. Badan gua menggigil takut kerana apa yang sedang berlegar dalam kepala gua ini amat-amat menakutkan gua sendiri.

Gua tergambar katil besi dan anak gajah. Yang lainnya demi Zeus gua tak berani nak tulis. Ya Ampooon - dijauhi malaikat empat puluh empat. Riza Aziz bukan anak tiri Agong. Tak mungkin. Mustahil.

Tup tup Istana membuat kenyataan meminta jangan dibabitkan Istana dengan kes rompakan yang telah dijalankan oleh anak Najib dan Cina tembam. Maaf. Istana tidak menggunakan istilah atau menyebut Cina tembam. Ini bahasa gua kerana gua merasa amat marah apabila Agong dipalitkan dengan kes rompakan. Ampon Tuanku.

Kenyataan dari Istana ini tidak diambil pot oleh Tuan Haji YB. Yang Berhormat dari Langkawai ini berkata - apa perlu minta maaf kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan. Betul tepat. Kenyataan YB ini muncul dari kajian bukan ciplakan seperti lagu Terang Bulan. Memang hebat Tuan Haji YB ini. Gua amat yakin dalam urat lidah Tuan Haji ini ada mengalir darah Pahlawan Bugis. Kerana itu beliau cekap bersilat lidah. Ampon Tuanku.

Pusing punya putar kita kembali persolaan hakiki kurun ini - siapa dia MO1 ini.

Kalau di Greece empat ribu tahun dahulu - apabila warga kota Athens ingin tahu sesuatu mereka akan pergi bertanya kepada Delphi. Tempat bersemayam dewa dewi ini terletak diatas bukit tepi kota Athens. Delphi yang dianggap pusat dunia ini akan memberi jawapan kepada apa saja soalan.

Manakala warga Mesir di zaman Firaun jika dalam kesusahan dan ingin bertanya sesuatu mereka akan pergi berjumpa Abu al-Hual atau Sphinx di Giza. Mengikut surah yang disurahkan semua persoalan dapat dijawab oleh Abu al-Haul ini.

Bani Melayu juga ada tradisi seperti ini yang diturun temurunkan dari Orang Asal suku Biduanda. Gua difahamkan jika bani Melayu ingin mengetahui sesuatu maka perlu ditilik melalui air dalam tempurung. Air ini wajib datang dari tujuh perigi. Jampi serapah wajib dibacakan untuk memanggil segala dewa dan dewi seru sekelian alam. Jika niat suci maka akan muncul bayangan jawapan itu dalam tempurung yang berisi air.

Memang gua sudah bersedia untuk menilik air dalam tempurung. Gua ingin menyelesaikan dengan tuntas - siapakah dia MO1 ini. Untuk melunaskan ini gua telah dapatkan tempurung kelapa. Gua telah dapatkan manek urai. Gua telah dapat kemenyan batu. Gua telah mengumpul tujuh batang serai gajah. Malah dua ekor ayam dara hitam berkaki hitam juga ada dalam simpanan gua. Semua barang ini - walau pun pelik bunyinya - amat diperlukan untuk membuat kerja ‘menurun dan menilik’. Ini syarat turun temurun ajaran tok batin Gunung Sibuntang.

Mencari bomoh dan pawang bukan satu masalah dalam kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur ini. Memang ramai pawang dan bomoh di Kuala Lumpur. Pergi sahaja ke tempat jual beli saham Toto Vincent Tan kita pasti akan bertemu dengan tok bomoh yang membuka pejabatnya di tepi kedai milik Vincent Tan. Amin.

Yang paling susah untuk gua mentuntaskan malam menilik MO1 ini ialah mencari air dari tujuh buah perigi. Gua gagal. Hingga ke hari ini gua baru bertemu dengan dua perigi.

Sayang sekali - baru gua sedar dan faham kenapa semua ubat dan jampi serapah tok bomoh hari ini sudah tidak mujarab lagi - tidak boleh dipakai. Tok bomoh hari ini menggunakan air paip. Jampi dan serapah telah bercampur dengan klorin.

Kisah punya kisah kita masih belum dapat gua menyelesaikan masalah induk. Persolaan hakiki kurun ini masih belum ada jawapan.

Tun Mahathir telah berkata bahawa hanya orang bangang sahaja yang tidak tahu siapa dia Malaysian Official 1 ini. Bila gua terbaca kenyataan Tun ini berdesing juga telinga gua kerana Tun pun sama seperti Puan Loretta Lynch tidak menyebut nama tepat si malaon ini.

YB Rahman Dahlan dari Kota Belud pun sama macam Tun Mahathir. YB Kota Belud ini telah berkata bahawa : siapa dia Malaysian Official 1 amat jelas. Dalam jelas-jelas ini tidak juga diberi nama siapa sebenarnya si malaon ini.

Tapi gua rasa semua ini akan selesai dengan tuntas pada hari Sabtu 27 haribulan Ogos ini. Gua diberitahu bahawa satu gerakan anak muda akan mengadakan perhimpunan besar. Diuar-uarkan 10,000 anak muda, pelajar dan mahasiswa akan turun ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang di hari tersebut. Tujuan perhimpuan ini ialah untuk menangkap Malaysian Offcial 1. Aduh ini hebat.

Untuk saat ini gua tidak berani menuduh secara melulu. Gua takut dianggap tulah kepada sultan. Gua tidak mahu derhaka terhadap Agong. Gua gentar akan didakwa sekali lagi di bawah Akta Hasutan 1948 kalau gua katakan bahawa Malaysian Official 1 ialah…..

Tapi gua akan hadir pada petang sabtu 27 haribulan ini. Gua nak lihat muka Malaysian Offcial 1 yang akan ditangkap oleh mahasiswa. Kalau nak tahu siapa dia Najib opps… silap, siapa dia Malaysian Official 1 mari bersama ke Dataran Merdeka.

Cara Tanggalkan Road Tax Tanpa Meninggalkan Kesan Gam Pada Cermin Kereta

Tranungkite
Selepas setahun, road tax pada cermin kereta pastinya perlu ditanggalkan bagi menggantikan dengan road tax yang baru.

Nak tanggalkan road tax tu memanglah mudah, tapi yang menyampahnya bila kesan gam road tax tu masih melekat pada cermin kereta anda.

Dah jangan stress! Berikut merupakan tips untuk menanggalkan road tax tanpa meninggalkan kesan gam pada cermin kereta anda:

1. Rendam kain dengan air panas.
2.Letakkan kain tadi diluar cermin kereta, betul-betul “Road Tax” yang hendak ditanggalkan.
3.Biarkan 5-10 minit sehingga gam berkenaan cair.
4.Selepas 5-10 minit. tanggalkan “Road Tax” berkenaan perlahan-lahan.
5. Dan hasilnya, tiada sedikitpun bekas gam yang ditinggalkan.

(Video) Mukhriz dedah Najib minta tanah di Kedah dan jual kepada pihak asing


Ahli Jawatankuasa Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ketika beliau menjadi Menteri Besar Kedah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada meminta tanah di negeri itu untuk bangunkan projek, katanya di sidang media Barisan Penaja Bersatu di Bangsar, hari ini.

-Sinar TV

Amukan durian tidak masak, peniaga maut ditikam pembeli

BUKIT MERTAJAM, 20 Ogos — Seorang pembeli durian mengamuk, lalu menikam penjualnya gara-gara sebiji buah yang didakwa tidak masak tetapi tidak diganti baru.

Ong Ting San, 61, cedera parah di rusuk dan belakang akibat tikaman seorang lelaki pada jam 5 petang kelmarin berhampiran gerainya di Taman Sri Kijang, Machang Bubok di sini.

Peniaga itu lari ke rumah berdekatan untuk menyelamatkan diri sewaktu diserang dengan pisau. Mangsa mati kira-kira lima jam kemudian di Hospital Seberang Jaya, lapor Harian Metro hari ini.

Insiden itu dikatakan tercetus apabila suspek, 60 tahun, yang tinggal berdekatan dan mengenali peniaga itu membeli beberapa biji durian beberapa hari sebelumnya.

“Lelaki berkenaan mendakwa satu daripada durian dibelinya belum masak dan tidak boleh dimakan menyebabkan dia mahu menukarnya.

“Bagaimanapun, mangsa meminta lelaki berkenaan memulangkan semula buah itu sebagai bukti sebelum diganti dengan durian lain,” kata saksi, yang enggan dikenali.

Namun suspek gagal menunjukkan buah yang tidak masak tersebut, lalu peniaga itu enggan menggantikan buah baru.

Suspek ditahan ketika menyerah diri di ibu pejabat polis Seberang Perai Tengah jam 1.15 petang semalam.
-themalaymailonline.com

Gambar wanita tikam suami sendiri

Beijing: Seorang wanita dilaporkan menikam suaminya sendiri, di sebuah jalan di China gara-gara kena tipu.

Memetik laporan daripada portal Mirror.uk melaporkan, wanita itu bertindak mengheret suaminya di jalanan, sebelum mengeluarkan pisau dan menikamnya sehingga berdarah.

“Lelaki itu, cuba beberapa kali untuk melarikan diri namun tidak berjaya kerana kakinya tersadung dan terjatuh.

“Orang yang melihat cuba menenangkan keadaan, namun dimarahi wanita itu,” petik kenyataan beberapa saksi kejadian itu.

Kejadian yang berjaya dirakam memperlihatkan lelaki itu merayu kepada isterinya, tetapi rayuan itu tidak diendahkan.

Namun, laporan tidak menyatakan secara jelas tentang insiden itu, dan apa yang berlaku terhadap pasangan terbabit selepas insiden berkenaan.
-kualalumpurpost