"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Atlet Itali guna tangan tutup zakar yang terkeluar semasa acara larian 400 meter

KOSMO!

Nonino menyertai larian 400 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia B-20 2022 di Cali, Colombia. - Kejohanan Olahraga Dunia 2022

BOGOTA – Larian seorang atlet Itali diperlahankan apabila dia terpaksa menutup kemaluannya menggunakan tangan ketika menyertai pertandingan kerana tidak memakai seluar dalam, lapor laman berita MailOnline semalam.

Kejadian berlaku ketika Alberto Nonino menyertai larian 400 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia B-20 di Cali, Colombia.

Atlet Itali berusia 18 tahun itu memulakan perlumbaan dengan kedudukan yang baik di pusingan pertama bagi memburu kemenangan.

Tidak lama kemudian, Nonino kelihatan tidak selesa, manakala rakaman perlumbaan menunjukkan dia melihat ke bawah untuk memeriksa seluar pendeknya.

Nonino ketika itu menyedari alat sulitnya terdedah secara tidak sengaja. Untuk kekal dalam perlumbaan, dia terpaksa menggunakan tangan  untuk menutup kemaluannya.

Di sebalik usaha yang dilakukan, masalah itu berterusan ketika Nonino berlari mengelilingi dua selekoh terakhir sedangkan perlumbaan belum berakhir.

Nonino mampu mengatasi dua pesaingnya ketika menyelit zakarnya ke dalam seluar pendek. Ketika mula menghampiri garisan akhir, pelari lain mula mengatasinya.

Larian Nonino diperlahankan ketika fikirannya terdesak untuk menjaga maruahnya. Atlet Itali itu ketinggalan ketika tujuh pelari lain melepasi meter akhir.

Dia melepasi garisan penamat di tempat terakhir dengan catatan masa 51.567 saat. Menurut World Athletics, larian 400 meter terbaik Nonino ialah 51.12 saat. – Agensi

Jangan terlalu kompromi industri rokok, sedar tak puluhan ribu nyawa jadi korban tiap tahun

MOHD ALI HASHIM

Dah lebih 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun akibat tabiat merokok, apakah mahu kompromi lagi dengan industri rokok yang telah terbukti banyak nyawa terkorban. 

Malah kata Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, Malaysia tidak boleh menerima sebarang ugutan dari industri rokok kerana kesihatan dan nyawa rakyat yang perlu diberi keutamaan dan bukannya mendahului kepentingan industri tembakau. 

“Adalah sangat penting Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok diluluskan bagi melindungi kesihatan dan nyawa rakyat dan jangan sekali-kali kerajaan berkompromi dengan mana-mana pihak. 

“Telah begitu banyak NGO kesihatan turut berjuang bagi membantah industri ini kerana ia jelas membuktikan 4.8 juta perokok di Malaysia bukanlah satu angka yang kecil dan amat membimbangkan. 

“Usaha melobi daripada gabungan syarikat pengilang rokok yang cuba menghalang sebarang usaha kerajaan mewujudkan undang-undang bagi menghentikan rakyat daripada meneruskan tabiat merokok adalah dibantah keras dan kerajaan tidak harus melayan golongan yang hanya mementingkan keuntungan diatas kesengsaraan rakyat, ” ujar beliau ketika ditemui Malaysia Dateline.

Ugutan PN tarik sokongan, gendang pilihan raya semakin rancak, jentera mula dihidupkan

BORHAN AHMAD

Pilihan raya umum ke 15 kini semakin dekat apabila Perikatan Nasional (PN) dikatakan akan menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri apabila beliau tidak memenuhi persefahaman bertulis atau MoU antara mereka.

Antaranya melantik timbalan perdana menteri dari Bersatu dan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin setaraf dengan menteri mentor.

Jika itu berlaku, PM Ismail hanya ada dua pilihan, menerima tuntutan itu atau membubarkan Parlimen.

Jika tidak, kerajaan beliau akan hilang majoriti dan akan tumbang tidak sampai 10 bulan tarikh tamat tempoh penggal Parlimen kali ini.

Sementara itu, selepas selesai pemilihan pimpinan PKR baru-baru ini, parti-parti dalam Pakatan Harapan mula giat membuat persiapan pilihan raya.

Pagi ini AMANAH akan membuat perhimpunan jentera pilihan rayanya di Shah Alam sebelum membuat majlis makan malam untuk kutipan dana pilihan raya malam ini.

Menurut sumber AMANAH, majlis pelancaran jentera pilihan raya ini akan disempurnakan sendiri oleh Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu.

Malam ini, AMANAH secara rasmi mengajak para dermawan untuk membantu parti itu mempersiapkan jentera pilihan raya mereka dengan memberikan derma untuk mengisi Tabung Pilihanraya mereka.

Gendang pilihan raya mula dipalu oleh Umno apabila mereka mendesak kerajaan mempercepatkan pilihan raya umum ekoran kemenangan besar mereka dalam Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Antaranya Umno membuat perhimpunan khas dan meluluskan resolusi agar parti itu mengadakan pemilihan selepas pilihan raya umum atas alasan untuk mengelakkan perpecahan parti.

Pihak yang tertekan dengan keputusan ini adalah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Akan ada tekanan ke atas Ismail Sabri untuk memanfaatkan kemenangan besar kedua bagi BN semasa pilihan raya negeri sepanjang tempoh masa lima bulan,” kata James Chin, penganalisis politik dari Universiti Tasmania, kepada satu laman web, selepas Umno menang dalam PRN itu Johor.

PKR pula mula mempersiapkan jenteranya untuk menghadapi PRU – 15 dengan mula menamakan pengerusi negeri-negerinya.

Bintang yang kembali semula memimpin parti itu setelah menang Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dilantik mengetuai dua negeri utama PKR iaitu Wilayah Persekutuan dan Johor.

Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Bersatu, Pas dan Gerakan juga mula membuat persiapan dengan membuat perhimpunan negeri-negerinya.

Gabungan itu cuba sedaya mungkin untuk menampakkan mereka mendapat sokongan penuh apabila membuat dua perhimpunan awal di negeri yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perlancaran PN di Kelantan pada awal Julai lalu tergugat apabila didapati perhimpunan itu penuh dengan tindakan tidak wajar termasuk mengumpan dan menipu agar ramai yang datang ke perhimpunan itu.

“Sangat hebat dengan kehadiran luar biasa pada himpunan sempena pelancaran Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri Kelantan di sini, hari ini,” lapor Harakahdaily, lidah rasmi Pas tentang majlis itu.

Selepas sebulan, PN Terengganu pula dilancarkan di sebuah lagi negeri Pas iaitu Terengganu. Ia dilancarkan 30 Julai di perkarangan Masjid Rusila, Marang, kubu kuat Pas.

Pilihan raya umum Malaysia ke-14 (PRU-14) diadakan pada 9 Mei 2018. Ini bermakna, tempoh penggal yang ada akan tamat secara automatik pada 9 Mei 2023 tahun depan.

Jika Parlimen tidak dibubarkan oleh kerajaan Ismail Sabri yang ada, ia akan dibubarkan secara automatik pada tarikh itu dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh 9 Mei itu.

Nurul Izzah kahwin lagi

FMT Reporters

Nurul Izzah dan suami, Yin Shao Loong diapit oleh Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah selepas majlis pernikahan pasangan itu, malam tadi. (Gambar Facebook Nurul Izzah/pinography)

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendirikan rumah tangga dengan seorang penyelidik daripada Khazanah Research Institute, Yin Shao Loong.

Berita gembira itu dikongsi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu di Facebook, tengah malam tadi.

“Pada petang 5 Ogos 2022, berwalikan ayahanda pengantin perempuan, kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat.

“Kami memohon doa kalian semua – agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah,” katanya.

Izzah adalah anak perempuan sulung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Yin sebelum ini adalah pengarah komunikasi strategik Pejabat Menteri Besar Selangor ketika pentadbiran Mohamed Azmin Ali.

Izzah sebelum ini pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Ahmad pada 2003. Namun, pasangan yang mempunyai dua orang anak itu bercerai pada 2015.

Dana awam dan polis digunakan untuk kepentingan politik kerajaan?

Malaysiakini 

Kerajaan digesa jelaskan dakwaan kaitan polis dengan 'troll farm'

Seorang pemimpin DAP hari ini menuntut penjelasan kerajaan berhubung laporan Meta yang baru diterbitkan, yang mengaitkan polis dalam percubaan memanipulasi perbincangan awam dengan mewujudkan troll farm.

Ia selepas Meta, yang merupakan pemilik Facebook dan Instagram, dalam laporan Quarterly Adversarial Threat Report hari ini mendedahkan pihaknya telah memadam ratusan akaun, halaman dan kumpulan di Facebook dan Instagram yang menjadi sebahagian daripada troll farm yang menyasarkan pengguna media sosial di Malaysia.

Troll farm ditakrifkan sebagai organisasi yang mengendalikan akaun palsu untuk membuat hantaran menyinggung dan bernada provokasi untuk mencetuskan konflik atau memanipulasikan pandangan awam.

Meta berkata siasatannya mendapati kaitan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Biro Media Sosial DAP Syahredzan Johan mempersoalkan jika kerajaan menggunakan dana awam bagi kegiatan itu.

"Sekiranya benar, ia mendedahkan suatu usaha bersepadu untuk memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun dan laman palsu bagi manfaat politik kerajaan.

"...Laporan ini menunjukkan kerajaan membiayai troll dan tentera siber menggunakan dana dan sumber awam demi kepentingan politik mereka," katanya.

Syahredzan berkata berkemungkinan ada lebih banyak akaun dan halaman palsu dengan agenda sama, tetapi belum dikenal pasti.

"Tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan bahawa selain daripada akaun dan laman ini, terdapat akaun dan laman lain, merengasi pelbagai platform media sosial, yang juga menjalankan kegiatan sama.

"Sumber awam, termasuklah badan yang sepatutnya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan politik seperti ini.

"Kerajaan dituntut untuk memberi penjelasan telus dan terperinci mengenai apa yang terkandung dalam laporan Meta. Jika tidak, ia akan memberikan persepsi negatif bahawa badan dan sumber awam telah digunakan untuk tujuan politik kerajaan hari ini," kata peguam itu lagi.

'Propaganda prokerajaan, antipembangkang'

Menurut Meta, laporannya memberikan pemahaman terhadap ancaman global yang telah ditangani gergasi media sosial, termasuk di Malaysia, Russia, Israel, Pakistan, India, Afrika Selatan, Greece dan Filipina.

"Kami juga membuang tiga jaringan yang terlibat dalam operasi coordinated inauthentic behaviour (CIB), termasuk satu jaringan yang dikaitkan dengan satu firma perhubungan awam di Israel, dan dua troll farm berbeza - satu di Malaysia yang menyasarkan audiens tempatan dan satu di Rusia yang menyasarkan perbincangan awam berkenaan perang di Ukraine.

"Di Malaysia, kita telah membuang 596 akaun, 180 laman dan 11 kumpulan di Facebook dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar kami berkaitan CIB. Jaringan ini berasal di Malaysia dan menyasarkan audiens di negara itu.

"Individu-individu di belakangnya menguruskan satu troll farm - usaha bersepadu untuk menjejaskan atau memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai berkenaan siapa di belakangnya.

"Mereka aktif merentasi internet, termasuk di Facebook, TikTok, Twitter dan Instagram, dan membuat hantaran meme dalam bahasa Melayu yang menyokong gabungan kerajaan sekarang...," menurut laporan itu.

"Di Facebook, jaringan ini mengendalikan laman-laman, termasuk yang menyamar sebagai entiti berita bebas, menonjolkan (promote) polis dan mengkritik pembangkang.

"Kami dapati jaringan ini selepas menyemak maklumat berkenaan sebahagian kecil aktiviti ini, yang pada mulanya disyaki berasal di China oleh penyelidik di Clemson University. Walapun pihak di belakangnya berusaha menutup identiti dan koordinasi mereka, siasatan kami mendapati ada kaitan dengan PDRM," menurut laporan itu lagi.

Laporan itu menyatakan kira-kira 427,000 akaun mengikuti sekurang-kurangnya satu laman tersebut, sementara kira-kira 4,000 akaun mengikuti sekurang-kurangnya satu kumpulan, dan 15,000 akaun mengikut akaun di Instagram.

"Kira-kira AS$6,000 (sekitar RM26,741) dibelanjakan untuk iklan di Facebook dan Instagram," kata laporan itu lagi.

Malaysiakini telah menghubungi polis bagi mendapatkan respons berhubung laporan ini.

Waspada kumpulan ajaran sesat ini!

Dakwa Tuhan tidak lihat kepada agama, waspada kumpulan ajaran sesat ini!

FAZLI RADZI

Ajaran Hadi Minnallah sekarang dilihat galak menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube atas nama Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Dalam satu video tular, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minnallah Aminnullah Ahmad dan berasal dari Indonesia.

Lelaki berkenaan mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama.

Bahkan, dia turut mendakwa Tuhan tidak melihat kepada agama, selain turut menolak hadis.

Didapati menyelewengkan tafsiran al-Quran dan menganggap dirinya wali, lelaki itu mengharamkan makan daging dan mewajibkan pengikutnya membayar zakat kepadanya sebagai tanda menyucikan diri.

Dilaporkan kawasan sekitar Kuala Lumpur; Kajang, Selangor serta Johor aktif dengan pengikut kumpulan itu yang berpakaian putih.

Sementara itu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan menyekat penularan ajaran itu.

'Saya bayar RM19 juta pada orang Najib untuk hentikan siasatan ke atas Lim'

Malaysiakini 

Seorang saksi utama kes perbicaraan Lim Guang Eng hari ini memberitahu Mahkamah Seksyen bahawa beliau membayar RM19 juta kepada orang tengah yang didakwa rapat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menghentikan siasatan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Parlimen Bagan.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata beliau lakukannya disebabkan beliau tidak mahu ‘bersikap tidak mengenang budi’ kerana Lim yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, telah memberikannya projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 billion.

Ketika pemeriksaan balas Gobind Singh Deo selaku peguam bela Lim, Zarul juga mengakui yang beliau sanggup melindungi Lim sehingga memberi rasuah kepada Najib, bagi menghentikan siasatan terhadap Lim atas projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi.

Saksi pendawaan ke-23 itu berkata beliau membuat bayaran RM19 juta menerusi seorang ahli perniagaan dikenali sebagai G. Gnanaraja yang didakwa dekat dengan Najib, bagi menghentikan siasatan rasuah tersebut terhadap Lim, berkaitan projek tersebut.

Menjawab soalan seterusnya yang ditanya oleh peguam itu, Zarul bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada duit itu benar-benar sampai kepada Najib atau tidak.

Gobind: Najib adalah perdana menteri dan ketua Barisan Nasional (BN) pada 2017. BN merupakan parti pembangkang untuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Zarul: Ya.

Gobind: Jadi kamu pergi dan bayar ketua mereka (BN) untuk lindungi Lim?

Zarul: Ya.

Bagaimanapun Gobind mempertikaikan bahawa perkara itu adalah mustahil dan tidak masuk akal untuk Zarul membayar Najib demi melindungi Lim, kerana menurut peguam itu, jika beliau (Zarul) mahu melindungi Lim, saksi itu tidak akan membayar Najib, kerana Najib adalah musuh politiknya.

Zarul kemudiannya mengatakan bahawa ia adalah logik kepadanya, kerana pada masa itu beliau terdesak untuk memastikan Lim dilindungi dan kerajaan BN tidak akan buat apa-apa kepada Lim.

Gobind juga mencadangkan bahawa Zarul juga bersedia untuk berbohong dalam usaha menyelamatkan dirinya daripada diambil tindakan undang-undang ketika membuat kenyataan media pada 2018, yang beliau berkata tidak terdapat sebarang elemen rasuah dalam projek terowong bawah tanah itu, kerana ia dibuat secara sah.

Gobind: Bukti anda di mahkamah semalam bahawa anda telah berbohong pada sidang media, dalam usaha melindungi Lim adalah tidak benar.

Zarul: Anda perlu melihat kepada keseluruhan konteks. Saya telah diminta untuk membuat keseluruhan kenyataan.

Gobind: Jadi saya katakan, anda tentunya bersedia untuk berbohong untuk menyelamatkan diri.

Zarul: Saya tidak setuju.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sKuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

- Bernama

Tegur tunggang motosikal secara bahaya, ‘pak guard’ parah ditetak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan parah ditetak selepas menegur seorang lelaki menunggang motosikal secara berbahaya di tapak projek perumahan, Bukit Banyan, Sungai Petani.

Dalam kejadian 4 petang semalam, mangsa berusia 58 tahun cedera di kepala dan tangan kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), untuk rawatan.

Ketua Polis Kuala Muda, Zaidy Che Hassan, berkata ketika kejadian mangsa bertugas di pondok pengawal keselamatan di tapak projek itu.

Katanya, mangsa kemudian ternampak seorang lelaki menunggang motosikal secara berbahaya di tapak projek lalu menegurnya.

“Tidak lama kemudian, tiga lelaki tidak dikenali muncul dan mereka terus bertindak memukul dan menetak mangsa dengan parang,” katanya menurut Kosmo.

Zaidy berkata, sebaik menerima laporan itu, polis berjaya menahan dua suspek di Sungai Petani dan sedang memburu seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Suspek akan direman manakala mangsa dari Taman Ria Jaya, Sungai Petani dilaporkan stabil,” katanya.

PN timbang tarik balik sokongan pada Ismail Sabri

Malaysiakini 

Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menurut laporan The Star.

Laporan itu mendakwa ia kerana Ismail Sabri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik ahli parlimen Bersatu sebagai timbalan perdana menteri.

Ismail Sabri dilaporkan dijadual bertemu delegasi PN semalam berhubung perjanjian itu. Namun ia dibatalkan di saat akhir.

Delegasi PN merangkumi Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut laporan itu lagi, mesyuarat MPT Bersatu pada Selasa lalu "secara umumnya setuju" yang sokongan terhadap Ismail Sabri perlu ditarik jika dia tidak boleh dirunding agar menunaikan persetujuan yang telah dicapai.

Selain berkenaan perjanjian itu, laporan itu turut membayangkan para pemimpin Bersatu tidak gembira dengan aspek lain kepimpinan Ismail Sabri.

Laporan itu turut memetik Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumum sebagai berkata, kerajaan persekutuan telah menyekat dana kepada ahli politik Bersatu.

"Ini tidak adil. Mereka cuba jejaskan pengaruh kami di lapangan. Tetapi ia menjejaskan rakyat," katanya yang juga menteri belia dan sukan.

Laporan itu juga mendakwa beberapa tokoh dalam Bersatu kecewa mereka disingkirkan daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipegang sebelum ini.

Namun menurut laporan itu lagi, Azmin tidak bersetuju dan keluar daripada kumpulan WhatsApp kepimpinan Bersatu selepas mesyuarat.

Azmin memberitahu The Star yang Bersatu perlu terus komited dalam kerajaan Ismail Sabri kerana ia di landasan yang betul.

PENYELEWENGAN PROJEK KAPAL PERANG LCS HANGUSKAN RM890 JUTA – NAJIB, ZAHID DAN H2O WAJIB JAWAB

Saya mengalu-alukan tumpuan masyarakat kepada nasib perajurit negara yang secara langsung berkait dengan dana awam. Isu ini lebih kritikal berbanding skandal-skandal lain kerana ia melibatkan pelbagai dimensi (“multi dimensional”), seperti:

1. Penyelewengan dana rakyat untuk membina sistem pertahanan negara yang dianugerahkan terus kepada syarikat yang dikawal tabung amanah yang sepatutnya menjaga kebajikan perajurit

2. Apabila projek dan dana diselewengkan, bukan sahaja tabung amanah mengalami kerugian, sistem pertahanan negara terdedah kepada pelbagai risiko apabila kelengkapan dan persenjataan menjadi lapuk dan ketinggalan zaman

3. Mangsa seterusnya ialah perajurit yang terus dipinggirkan dan tidak terbela, sedangkan jika berbilion ringgit yang diselewengkan melalui perolehan projek-projek pertahanan ini tidak berlaku, wang itu boleh digunakan untuk memberi elaun dan pencen yang lebih baik kepada perajurit

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC), YB Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mengenai dapatan-dapatan PAC yang meneliti pengendalian projek Littoral Combat Ship (LCS) yang telah berlarutan sejak 2011.

Untuk makluman orang ramai, projek yang dianugerahkan secara terus dalam tahun 2011 telah menelan belanja RM6 bilion setakat 2022 tetapi satu kapal perang pun belum disiapkan. Mengikut jadual kontrak, sepatutnya lima kapal perang telah disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk beroperasi.

Sebenarnya saya telah mengumpul maklumat dan mengkaji skandal ini sejak beberapa bulan lalu atas kapasiti saya sebagai orang awam.

Berikut adalah maklumat penting yang perlu diketahui oleh orang awam:

i. Pada 16 Disember 2011, Kementerian Pertahanan mengeluarkan Surat Lantikan (“Letter of Award”atau LOA) kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina dan membekalkan enam “second generation patrol vessels”(SGPV) “littoral combat ship” (LCS) dengan jumlah kontrak RM9 bilion. Menteri Pertahanan pada ketika itu yang bertanggungjawab menguruskan projek ini ialah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden UMNO sekarang.

ii. Kerajaan Persekutuan menandatangani kontrak akhir dengan BNS bagi kontrak berjumlah RM9 bilion ini pada 17 Julai 2014. Menteri Pertahanan pada ketika itu, yang merundingkan perjanjian akhir ialah Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Kanan kerajaan gabungan PAS-UMNO-Bersatu sekarang.

Perdana Menteri pada ketika LOA dan kontrak projek ini diselesaikan tidak lain dan tidak bukan adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya telah mengumpulkan maklumat berkenaan penyelewengan demi penyelewengan yang berlaku sepanjang sedekad projek ini berjalan. Saya akan kembali mendedahkan satu persatu dalam siri expose sepanjang bulan Ogos ini seperti yang saya pernah lakukan semasa skandal NFC, 1MDB, Tabung Haji dan Felda dahulu.

Saya bermula pada hari ini dengan soalan yang mudah:

Siasatan yang dilakukan secara dalaman setakat ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya RM890 juta telah diselewengkan dari projek ini, baik dari segi penipuan, wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak, duplikasi kontrak dengan tuntutan berganda dan pelbagai penyelewengan ini.

Saya percaya siasatan dalaman ini telah sampai kepada Hishamuddin Hussein. Sebagai menteri yang menandatangani kontrak dalam tahun 2014, beliau juga menteri yang menandatangani perjanjian tambahan (“supplementary contract”) pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek ini.

Sebagai menteri pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini.

Kenapa sehingga sekarang beliau tidak mengambil tindakan untuk menangani penemuan penyelewengan berjumlah RM890 juta itu kerana tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak-pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut?

Skandal ini bakal memerangkap UMNO menjelang PRU15 kerana ia akan membuktikan bagaimana UMNO menuduh Pakatan Harapan menjual aset negara, sedangkan di bawah pentadbiran UMNO:

i. Persenjataan dan pertahanan negara terbengkalai sehingga ketinggalan berbanding jiran kita seperti Indonesia

ii. Nasib perajurit yang kebanyakannya Melayu diabaikan apabila dana yang sepatutnya memanfaatkan mereka hangus akibat penyelewengan

Saya akan terus mendedahkan maklumat terperinci penyelewengan ini satu persatu sehinggalah Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Najib Razak bersuara untuk menjawab.

Skandal kapal perang terbengkalai ini berlaku dibawah pengawasan dan pengurusan mereka, wajiblah mereka tampil menjelaskan kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden Keadilan

4 Ogos 2022.

Guru cedera di mata kiri selepas dipukul pelajar Tingkatan Tiga

DANIAL HAKIM

Seorang guru disiplin wanita di sebuah sekolah menengah di Bukit Sentosa, di Hulu Selangor cedera di mata kiri selepas dipukul seorang pelajar Tingkatan Tiga yang berang kerana rambut panjangnya dipotong.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam itu berlaku semasa guru berusia 52 tahun berkenaan sedang membuat rondaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, guru itu mulanya menerima laporan daripada seorang guru berhubung seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang berambut panjang.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya bertindak menggunting rambut pelajar lelaki tersebut.

“Pelajar lelaki itu marah dan mengugut mahu membunuh, sebelum dia bertindak memukul mangsa dengan penyapu.

“Akibat dipukul, mangsa cedera di mata kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelajar itu kemudiannya ditahan di sebuah rumah serta hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah.

Arsad berkata, pelajar itu ditahan reman bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 (KK).

Along antarabangsa, lagak ala samseng!

Yusmizal Dolah Aling

yusmizal@hmetro.com.my

RAKAMAN kamera litar

Kuala Lumpur: Sebelum ini mereka menimbulkan suasana tidak senang penduduk tempatan kerana jumlah yang begitu ramai sehingga dikatakan menguasai sesuatu kawasan.

Terbaharu, pendatang asing dari tiga negara iaitu Bangladesh, Indonesia dan Myanmar termasuk etnik Rohingya dikesan terbabit dalam perniagaan ceti haram atau along dengan menyasarkan peniaga terutama di Pasar Borong Selayang serta pusat perniagaan Sentul sejak tiga tahun lalu sebagai mangsa.

Mendedahkan kegiatan along 'antarabangsa' itu kepada Harian Metro, Aktivis Kanan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhammad Zharif Johor berkata, pihaknya menerima aduan daripada lebih 10 mangsa terdiri daripada warga tempatan yang diancam ceti haram terbabit.

Katanya, berdasarkan semakan, pihaknya mendapati along berkenaan aktif menjalankan kegiatan sejak tiga tahun lalu dengan menawarkan pinjaman serendah RM2,000 hingga RM20,000 kepada peniaga yang mengalami masalah kewangan.

"Mereka juga bertindak ala samseng dengan mengugut untuk menyita premis perniagaan sebagai hukuman jika tidak melunaskan pinjaman.

"Seperti tidak gentar dengan undang-undang, mereka bertindak liar dengan mengugut mangsa di kedai mereka serta mengancam untuk mengambil alih perniagaan jika wang tidak dibayar," katanya.

Muhammad Zharif berkata, keadaan itu menyebabkan mangsa takut dan mencari jalan keluar kerana bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga.

Hasil semakan mendapati, along berkenaan juga dipercayai berniaga di kawasan sama dan menyasarkan peniaga lain yang dibelenggu masalah kewangan terutama ketika baharu saja kembali beroperasi akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Katanya, along antarabangsa ini juga bertindak seolah-olah mereka 'kebal' daripada peraturan sehingga berani mengugut untuk merampas kedai serta mengambil alih perniagaan sedia ada.

"PPIM bimbang jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia akan menjadi barah terutama ketika ramai usahawan masih bergelut untuk beroperasi semula.

"Kita akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan juga kerana yakin tentu ada dalang di sebalik semua ini. Jika tidak, bagaimana mereka begitu berani menjalankan kegiatan tidak sah dan rakyat tempatan pula menjadi mangsa," katanya.

Dalam pada itu, pemerhatian wartawan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik mangsa mendapati along berkenaan datang secara berkumpulan serta mengugut mangsa untuk membayar pinjaman.

Menurut pengadu yang mahu dikenali sebagai Nasuha, 40-an, dia dikenakan kadar faedah lebih lima peratus menyebabkan jumlah itu meningkat berkali ganda jika dia terlewat membayarnya.

"Apa yang saya risaukan ialah keselamatan diri serta keluarga. Mereka ini bersikap kasar dan mungkin pada bila-bila masa akan datang dan mengugut untuk meminta bayaran," katanya.

Menurutnya, along yang dipercayai daripada Myanmar itu mengugut akan merampas kedainya jika gagal membayar pinjaman seperti yang diminta.

Katanya, dia terpaksa merujuk kes berkenaan kepada PPIM selepas mendapati along berkenaan mengugutnya secara berterusan walaupun dia sudah membayar sebahagian daripada pinjaman sebelum ini.

Peniaga tangkap penyamun bersenjata parang

story-image

N Faizal Ghazali

Cubaan dua pemuda untuk menyamun sebuah kedai runcit membawa padah apabila dia diberkas dalam kejadian di Berek 12, Kota Bharu, kira-kira jam 3 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata seorang daripada suspek berusia 20 tahun dan cuba menyamun bersama sebilah parang sebagai senjata.

Pada awalnya, kata Mohd Rosdi, seorang daripada pemuda terbabit berpura-pura untuk membeli di kedai runcit milik warganegara Pakistan itu.

"Ketika itu mangsa berseorangan di kaunter kedai, manakala isteri dan anak anak-anak mangsa berada di bahagian rumah di belakang kedai.

"Suspek bersenjatakan sebilah parang masuk ke kedai dan berpura-pura ingin membeli barangan namun kemudian mengeluarkan parang dan mengacukannya kepada mangsa.

"Namun mangsa bertindak melawan dan berjaya menangkap salah seorang suspek," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Rosdi berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku cuba melakukan samun di kedai runcit milik mangsa bersama rakannya yang dikenali dengan panggilan Afiq.

Rakan suspek yang diberkas itu, katanya, segera melarikan diri menaiki motokar Perodua Myvi warna biru selepas menyedari rakannya kena cekup.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan kecederaan. Usaha mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas dijalankan," katanya.

Menurut Mohd Rosdi, suspek yang ditahan mengalami cedera di bahu kiri dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu

Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Dr M umum bentuk gagasan baharu, Gerakan Tanah Air

story-image

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan gagasan baharu berasaskan Melayu dan Islam serta badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Tanah Air.

Gerakan itu akan memperjuangkan kaum Melayu untuk mempertahan Malaysia.

“Kita pilih nama sesuai gerakan iaitu dipersetujui Gerakan Tanah Air. Ini gerakan rakyat untuk tentukan nasib mereka lebih baik dengan tukar kerajaan yang ada kepentingan diri.

“Kita akan berjuang untuk rakyat dan agama, itu tujuan kita. Nama ini dah dipersetujui dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan dalam talian.

Mahathir selaku pengerusi gerakan itu berkata, gabungan berkenaan terdiri daripada parti Melayu, NGO dan orang perseorangan.

Penjawat awam didakwa pecah cermin kereta, ugut wanita

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

MOHD Nasir didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas dua pertuduhan memecahkan cermin kereta dan melakukan ugutan terhadap seorang wanita di persimpangan lampu isyarat, Kubang Kerian, Khamis lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Kota Bharu: Penjawat awam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memecahkan cermin kereta dan melakukan ugutan terhadap seorang wanita di persimpangan lampu isyarat, Kubang Kerian, Khamis lalu.

Tertuduh, Mohd Nasir Husain, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh mendatangkan ketakutan kepada Wan Nur Athirah Wan Kamal, 35, dengan cara mengetuk cermin kenderaan mangsa menggunakan senjata tajam iaitu scapper hingga berlubang dan retak menyebabkannya mangsa ketakutan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh melakukan khianat terhadap harta milik mangsa sama dengan memecahkan cermin sebelah pemandu kereta Perodua Axia menggunakan sebatang scapper, menyebabkan mangsa kerugian RM300.

Kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Limbat, Kubang Kerian, di sini, pada 5.45 petang Khamis lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Manakala untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Erdabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Ariyani Mohd Aamin.

Terdahulu, Siti Erdabayu memohon jaminan setimpal ditawarkan terhadap tertuduh, manakala Ariyani memohon jaminan minima kerana tertuduh yang bertugas di sebuah hospital hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

2 polis trafik iring anak ahli politik dikenakan tindakan tatatertib

FMT Reporters

Tangkap layar klip video yang tular di media sosial menunjukkan dua anggota polis trafik mengiringi sebuah kenderaan dipercayai milik anak seorang ahli politik.

PETALING JAYA: Dua anggota polis trafik yang mengiringi anak kepada seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan motosikal polis sudah dikenakan tindakan tatatertib, menurut Hamzah Zainudin.

Menteri dalam negeri itu berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Polis Pulau Pinang telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota (polis) trafik itu kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

“PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Terdahulu, Steven Sim bertanyakan status siasatan dan pendakwaan terhadap anak seorang Ahli Parlimen BN yang menyalah guna kemudahan pengiring polis trafik di Pulau Pinang pada Mei.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik itu berhubung kejadian ini.

Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

Klip video yang tular di media sosial itu menunjukkan kedua-dua anggota polis terbabit mengiringi sebuah kenderaan milik orang awam, dipercayai anak seorang ahli politik.

‘Lain kali siat dan tepek kulit perasuah’, orang ramai kecam selera T20 gantung kulit pak belang

DANIAL HAKIM

Orang ramai mengecam ‘selera’ golongan T20 tertentu yang menyimpan dan mempamerkan kulit harimau belang di dinding rumah didiami.

Ada yang secara sinis menyarankan supaya siat dan tepek sahaja kulit geng kayangan terbabit serta perasuah memandangkan Harimau Malaya kini sedang diancam kepupusan.

Dalam masa sama warganet tertanya-tanya juga bagaimana perasaan golongan mereka menggantung lengkap seekor kulit hidupan liar itu.

“Macam mana tuan rumah boleh tenang tengok kulit binatang tergantung di dinding tu? Kalau saya setiap hari akan terbayang saja roh harimau tu,” tulis netizen.

Reaksi itu susulan rampasan kulit harimau Malaya dari sebuah kediaman mewah di Jalan Tun Razak di ibu negara oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Ekoran itu, pemilik kediaman warga tempatan berusia 40-an diberkas untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada kulit harimau itu adalah spesis tempatan selain sumber ia diperolehi.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penemuan kulit harimau itu

dibongkar hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) 2022 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mengejut pada jam 12 tengah hari di kediaman mewah itu melibatkan empat pegawai Perhilitan bersama lima anggota serta pegawai Bahagian Perisikan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Kadir berkata, pihaknya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebelum barang kes dirampas dan dibawa ke pejabat Perhilitan Wilayah Persekutuan.

“Suspek yang disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kini dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya lagi.

Harimau Malaya merupakan spesis terancam kritikal dengan populasinya kini kurang daripada 150 ekor di seluruh Semenanjung.

Populasi haiwan dengan nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni itu diancam pemburu haram dan penggondolan hutan.

Ajal obses nak terlebih

Agensi

VALDIR Segato. FOTO Agensi

VALDIR Segato. FOTO Agensi

Brasilia: Seorang ahli bina badan di Brazil, meninggal dunia enam tahun selepas dia mengambil suntikan berbahaya untuk membesarkan saiz ototnya.

Daily Star melaporkan, Valdir Segato meninggal dunia pada ulang tahun kelahirannya yang ke-55 di Ribeirao Preto, Brazil, baru-baru ini.

Lelaki itu sebelum ini pernah diberi amaran oleh doktor bahawa gaya hidupnya mungkin mempunyai komplikasi yang teruk untuk kesihatan selain berisiko strok dan mendapat jangkitan.

Bagaimanapun, Segato yang sudah mengumpul 1.6 juta pengikut di TikTok, tetap menyuntik dirinya sendiri dengan sejenis minyak berbahaya.

Dia enggan berhenti melakukan tabiatnya itu dengan alasan sukakan perhatian.

Segato mempunyai saiz bisep luar biasa iaitu 23 inci dan lelaki berasal dari Sao Paulo itu mengagumi bentuk badan karakter The Hulk dan pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger.

"Mereka memanggil saya Hulk, Schwarzenegger dan He-Man sepanjang masa dan saya suka itu.

"Saya sudah menggandakan bisep saya tetapi saya masih mahu menjadi lebih besar," katanya pada 2016.

Di Instagram (IG), Segato yang menggunakan nama 'Valdir Synthol' dan mempunyai ramai pengikut.

Tetapi media tempatan melaporkan bahawa sebenarnya lelaki itu hidup menyendiri.

Difahamkan, dia menyewa sebuah hartanah yang dibina di belakang rumah seorang lelaki bernama Moises da Conceicao da Silva.

Moises berkata, pada hari dia meninggal dunia, Segato meminta bantuan kerana mengalami masalah pernafasan.

"Kira-kira jam 6 pagi, dia datang ke rumah. Kemudian, dia mengetuk tingkap rumah ibu saya berulang kali kemudian bangun dan berkata, tolong saya, tolong saya kerana saya hampir mati," katanya kepada saluran televisyen Brazil, Globo.

Malangnya, Segato tidak dapat diselamatkan, walaupun dia dikejarkan ke unit rawatan kecemasan.

-hmetro 

Rakyat tidak harus terpesona dengan imej warak, jangan izinkan lagi agama dijual

DR SHAHNOR BASRI

Sudah Hilang Akal atau Tiada Akal?

Sistem demokrasi membolehkan proses memilih wakil rakyat dilakukan secara terbuka dan rakyat mempunyai hak sepenuhnya mengundi berasaskan keyakinan mereka terhadap misi dan visi sesorang calon dan parti yang diwakilinya.

Sistem Westminister yang diamalkan di United Kingdom telah menyaksikan selama ratusan tahun, Parlimen berfungsi dan parti memerintah silih berganti tanpa menjahanamkan negara tersebut.

Rakyatnya masih rakyat Great Britain dan kerajaannya masih Kerajaan “Her Majesty”. Cuma yang berubah parti yang memerintah. Inilah gambaran sebuah sistem matang dan rakyat matang dalam membuat pilihan terhadap kepimpinan negara.

Berbanding dengan Malaysia, beberapa pimpinan parti politik menampakkan kedangkalan fikiran, mundur hujah dan tidak demokratik. Kelesuan pemikiran dan kedangkalan akal ini menggambarkan betapa kusutnya pemikiran dan halatuju politik mereka.

Walaupun mencanangkan politik matang dan setahtera, namun di sebaliknya mempromosi politik cetek, memaksa rakyat mengiyakan mereka, kempen penuh kedunguan dan lontaran idea jelek malah kadangkala kelihatan bodoh.

Pengundi PH jahil agama?

Kenyataan baru-baru ini bahawa pengundi PH sebagai ‘jahil agama’ menunjukkan salah-satunya betapa jahil pemikiran pemimpin tersebut.

Pada suatu ketika tidak berpeluk bercium dengan Umno, pemimpin yang sama mengeluarkan kenyataan haram mengundi Umno hingga kiamat. Kini berdamping dengan Umno satu selimut pula, segalanya menjadi halal.

Minda celaru yang dikemukakan ini dilakukan semata-mata untuk memaksa minda rakyat supaya menobatkan bahawa politik mereka yang terbaik dan memilih calon mereka adalah dalam kalangan mereka yang cerdik beragama. Benarkah begitu?

Jangan izinkan lagi agama dijual

Politik jual agama dan pamir jubah serban sebagai identiti kepimpinan ummah sebenarnya idea usang. Menjual agama menurut acuan dan kehendak organisasi sendiri tidak lagi harus diizinkan.

Dengan menyatakan orang lain jahil dan tidak mempunyai nilai sebenar agama, adalah satu usaha untuk mematikan akal, membenam demokrasi atau mengacuankan demokrasi menurut kehendak mereka semata-mata. Ini tidak harus lagi diizinkan.

Inilah bahaya politik kolot, dangkal dan membina ketaksuban melampau kepada ahli semata-mata untuk berkuasa. Tanpa memikirkan masa hadapan generasi akan datang yang lebih matang, terbuka dan tanpa meninggalkan nilai budaya timur dan agama.

Ini adalah satu percubaan untuk merosakkan pemikiran dan minda rakyat. Maka, rakyat harus menolak secara total parti dan kepimpinan sebegini.

Dalam isu lain pula, momokan bahawa gabungan yang telah mengatasi mereka dalam PRU14 sebagai gagal dan berbohong dalam perlaksanaan menifesto, juga menggambarkan kecetekan hujah politik.

Tiada berjaya atau gagalnya dalam pelaksanaan menifesto secara mutlak. Tambahan pula bila peluang hanya diberikan selama 22 bulan. Apakah yang boleh dicapai dalam tempoh tersebut dengan kemudian dikhianati dari dalam dan luar pakatan?

Selama lebih dari 60 tahun, 13 pilihanraya umum telah kita lalui. Seiring dengan itu, ratusan kegagalan, penyelewengan dan penipuan juga telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Ditambah pula dengan amalan kronisma dan nepotisma, kerakusan kuasa, penyelewengan demi penyelewengan, skandal demi skandal dan kemuncaknya berakhir dengan episod skandal 1MDB. Sebuah skandal peringkat tertinggi yang hampir menjahanamkan ekonomi negara.

Walaupun cuba dinafikan dan ditutup dengan pelbagai cara dan alasan namun dunia mengetahui betapa skandal ini merupakan skandal peringkat tertinggi yang mengerikan.

Bukan setakat skandal tetapi menafikan hak-hak negeri yang tidak mereka terajui adalah merupakan amalan mutlak mereka. Ini termasuk hak royalti yang dihebohkan beberapa tahun sebelum berlaga pipi dan bibir antara Umno dan Pas.

Ini hanya sebahagian kecil sahaja yang boleh kita perhatikan. Maka, rakyat perlu menolak pimpinan terencat atau hilang akal dan tidak memahami semangat demokrasi.

Rakyat tidak harus terpersona dengan lagi dengan imej seolah-olah menampilkan kewarakan tetapi kajilah dengan lebih mendalam lagi dari pelbagai sudut yang boleh membebaskan kita dari belengu idea kolot, caca-marba dan tidak maju.

Agama bukan milik mereka dan mereka tidak boleh menterjemahkan agama menurut pandangan dan kehendak mereka.

Sudah pasti agama perlu dipertahankan tetapi bukan mempertahankan mereka yang menjadikan agama sebagai bahan dagangan untuk kepentingan kekuasaan.

Tafsiran dan tohmahan ke atas golongan yang tidak mengikut kehendak mereka adalah pandangan yang sangat kolot dan perlu dinyahkan dalam proses pendemokrasian yang lebih matang.

PRU15, jika rakyat sedar dengan keperluan membina negara yang sejahtera, ekonomi yang mampan, kemajuan yang terurus dengan baik, pembasmian rasuah ke angka sifar, penolakan total amalan kronisma dan nepotisma, maka ia akan mengorak langkah mengembalikan negara mengatasi kembali negara jiran seperti Indonesia, Singapura atau Thailand.

Ahli politik khianat dan tidak jujur atau merasakan dialah sahaja boleh mengembalikan kemakmuran negara (walau telah dua kali menjadi Perdana Menteri) tidak lagi diperlukan dimasa akan datang.

Khurafat politik yang selalu dibawa oleh parti yang mengakui menjadi peneraju Islam dulu, kini dan selamanya harus di redam dari arus politik negara.

Ini kerana mereka bukan sahaja membawa khurafat politik tetapi telah puluhan tahun berdusta kononnya mahu memartabatkan Islam memperkenalkan rang undang-undang mengenai hudud dan sebagainya, hakikatnya adalah apbila berada di puncak kekuasaan meraka lah pendusta politik.

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walau bagaimanapun penulisan ini adalah pendapat penulis dan tidada kaitan dengan pendirian akademi.

1MDB – SATU MALAYSIA DALAM BAHAYA, FAEDAH HUTANG TAHUN INI SAJA RM1.57 BILION

Shahbudin Husin 

Lebih RM1.57 bilion akan dibelanjakan kerajaan pada tahun ini bagi membayar faedah daripada hutang 1MDB.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu anggaran itu dibuat dengan andaian kadar tukaran mata wang ringgit Malaysia dengan dolar AS ialah pada kadar RM4.50 bagi setiap AS$1.

“Pembayaran faedah dibuat dua kali setahun mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat mengenai hal itu sebagai jawapan kepada soalan Pang Hok Liong (PH-Labis).

Terdahulu Pak bertanya kepada Kementerian Kewangan mengenai bayaran faedah bulanan yang diperlukan kerajaan untuk membayar hutang 1MDB.

Sebelum ini media melaporkan setakat 30 Jun lalu, baki komitmen hutang 1MDB ialah sebanyak RM32.08 bilion.

Kata Tengku Zafrul antara April 2017 dan Mei 2022 kerajaan menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah RM10.85 bilion melalui Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk melunaskan komitmen hutang dan faedah 1MDB.

Zafrul berkata sehingga 30 Jun, jumlah dana 1MDB yang berjaya diperolehi semula ialah berjumlah RM19.28 bilion termasuk dalam pelbagai mata wang asing, seperti dolar AS, dolar Singapura dan dolar Australia.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/630536

Inspektor, dua koperal polis dicekup disyaki curi wang RM45,000

ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes curi wang tunai sebanyak RM45,000 selepas mereka menyerbu rumah seorang pengedar pil kuda di Kampung Pasir Kelang Baru dekat Kuala Krai pada Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki berkata, pegawai yang berpangkat inspektor berusia lewat 30-an bersama dua anggota berpangkat koperal berusia 20 dan 30 tahun itu dicekup pada Jumaat lalu selepas pemilik rumah tersebut yang juga ibu kepada lelaki tersebut membuat laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 petang selepas tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai ke rumah mangsa.

“Ketiga-tiga suspek masuk ke dalam rumah sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga anak kepada pemilik rumah tersebut.

“Dalam serbuan itu, ketiga-tiga polis telah merampas sebanyak 1,000 biji pil kuda yang ada berada bersama lelaki itu. Susulan daripada tangkapan itu, ibu kepada lelaki yang diberkas itu mendakwa wang sejumlah RM45,000 yang berada di dalam rumah dipercayai turut hilang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, selepas kejadian tersebut, wanita itu terus tampil membuat laporan di IPD Kuala Krai.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk dakwaan yang mengatakan wang sejumlah RM45,000 hilang selepas serbuan dijalankan.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE


Asyik tuduh PH tapi Hadi tak sedar kes ibu curi Milo berlaku di Marang, Hadi perlu jawab 6 soalan ini

SITI NUR ZAWANI MISCON

Dalam majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Negeri Terengganu yang diadakan baru-baru ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa melemparkan pelbagai tuduhan buruk dan memfitnah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan terdahulu berhubung manifesto PH.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dalam kenyataan balasnya hari ini mengkritik tindakan tersebut kerana menurutnya adalah sangat tidak adil memandangkan PH hanya mentadbir selama 22 bulan berbanding dengan kerosakan 60 tahun yang dilakukan pemerintahan kerajaan BN sebelum ini.

“Dalam tempoh 22 bulan, tidak sampai separuh penggal pun PH berkuasa apabila kami digulingkan, kami telah dituduh bohong tidak tunai manifesto. Di sini kami perlu jawab,” katanya.

Beliau berkata, sebenarnya banyak perkara yang sempat ditukar dalam tempoh singkat itu antaranya membabitkan isu besar yang pernah dijadikan kontroversi iaitu penyelamatan aset Tabung Haji yang di akui oleh Audit Negara sendiri selain menyelamatkan RM555 juta wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang diumum di Parlimen baru-baru ini.

Beliau kemudian memulangkan paku buah keras dengan bertanyakan semula kepada Hadi mengapa hingga sekarang masih tiada kedengaran langkah permulaan untuk membentangkan isu RUU355 yang pernah digembar gemburkan dahulu.

Selain itu ada 6 lagi soalan yang perlu dijawab Hadi;

1) Persoalan kami pula kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Perikatan Nasional. Mengapa hingga sekarang tiada kedengaran langsung langkah permulaan isu RUU355, hukum hudud serta perundangan Islam lain yang digembar-gemburkan dahulu di seluruh negara? Tiada kedengaran apa apa langkah permulaan pun.

2) Ditakdirkan Allah, satu hukuman yang amat berat dan tidak padan dengan kesalahan telah dijatuhkan oleh Mahkamah Marang di kawasan Presiden Pas ke atas seorang wanita baru baru ini.

Hukuman penjara 14 bulan telah dijatuhkan ke atas seorang ibu yang mengambil dua paket Milo bernilai RM73 untuk anaknya yang lapar.

Di manakah suara dan pembelaan wakil rakyat Pas dan PN dari kerajaan yang menggelar diri sebagai kerajaan pembela Melayu-Islam tentang isu ini? Terutama isu ini berlaku di bumi Parlimen Marang kawasan Presiden Pas dan Menteri Besar Terengganu sendiri.

Ini bukan tuduhan tetapi ini adalah fakta realiti perkara yang telah berlaku dan wakil wakil rakyat kerajaan yang kekal membisu.

3) Presiden Pas juga mendakwa PN telah berjaya mengatasi masalah ekonomi padahal masalah bekalan ayam dan telur ayam di Terengganu begitu buruk hingga pada suatu masa putus bekalan telur ayam.

11 orang penjual ayam di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu telah dikenakan kompaun RM500 seorang kerana menjual ayam pada harga lebih RM8.90 satu kilo di mana tidak lama selepas itu kerajaan sendiri menaikan harga kepada RM10.30.

4) Apabila flashmob membantah kenaikan harga barang di adakan di Kuala Terengganu, jalan-jalan utama telah ditutup dan ada yang dikenakan kompaun RM1,500 serta ramai dipanggil pihak polis untuk soal siasat di balai polis. Tiada tindakan seperti ini berlaku di negeri lain.

Apa yang kerajaan Melayu Islam takut sangat di Terengganu ini sehingga bertindak begitu sekali?

5) Perkara paling aneh dan mencuit hati adalah tuduhan kononnya manifesto PH yang dikatakan berbohong, keluar dari mulut Presiden Pas semasa Tan Sri Mahiaddin sendiri berada sebelah beliau di atas pentas program Pelancaran Perikatan Nasional di Terengganu.

Ironinya Tan Sri Mahiaddin adalah Presiden PBBM yang bertanggungjawab bersama menyediakan manifesto PH dan kini menjadi rakan akrab Pas dalam PN.

Dengan tuduhan-tuduhan di atas dan beberapa tuduhan serius lain, Pakatan Harapan sedang mengkaji untuk tindakan seterusnya.

6) Selain dari janji-janji manis tidak tertunai seperti RUU355 dan hudud, kerajaan Melayu-Islam PN patut memberi sedikit perhatian ke atas pembelaan hukuman berat 14 bulan penjara seorang wanita Melayu bernama Suhaini Mohd yang beragama Islam yang didakwa di Mahkamah Marang, iaitu di kawasan Presiden Pas dan juga Menteri Besar Terengganu- YB Datuk Seri Shamsuri.

Bagaimana nasib malang dan kemiskinan begitu rupa boleh dibenarkan berlaku di kawasan Presiden dan Naib Presiden Pas di Marang sendiri tanpa pembelaan yang sepatutnya?

Kerana itulah kami perlu mengingatkan kerajaan melalui flashmob tentang kesusahan rakyat di mana kerajaan tidak sepatutnya menghalang kami dari bersuara tentang penderitaan mereka dengan mengadakan berbagai sekatan dan halangan.

Polis cium tangan Najib jadi ilham karya satira

Malaysiakini 

story-imageRakaman seorang anggota polis trafik mencium tangan Najib Abdul Razak yang tersebar meluas mengundang penghasilan beberapa karya sindiran.

Video kejadian di parlimen bulan lalu itu dikongsi ke media sosial oleh pegawai khas Najib, Mukhlis Maghribi.

Walaupun sudah dipadam, rakaman skrinnya kini dikongsi meluas di media sosial.

Kartunis Zunar antaranya menyindir melalui kartunnya yang memaparkan seorang anggota polis mengejar pencuri. 

Bagaimanapun, setelah berjaya ditangkap dia mencium tangan lelaki itu.

Seniman grafik Fahmi Reza pula menyiarkan kartun seorang pegawai polis mencium tangan lelaki yang mirip Najib dengan kapsyen “cash is king” (wang tunai itu raja) dan “mengampu adalah budaya kita”.

Sementara itu, jurucakap Bukit Aman berkata sedang “mendapatkan maklumat daripada jabatan berkaitan”, ketika diminta mengulas perkara itu boleh pihak media.

Kerajaan BN tumbang buat kali pertama pada 2018 ketika dipimpin Najib yang diasak hebat dalam isu skandal 1MDB.

Dia kini berdepan beberapa pertuduhan rasuah berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

Pada Julai 2029, dia didapati bersalah atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. 

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember lalu.

Kes itu kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan, mahkamah tertinggi di negara ini. Pendengaran rayuan akhir itu akan didengar selama 10 hari bermula 16 Ogos depan.

Dah terdesak sangat nakkan undi orang Cina dalam PRU nanti agaknya

Kementerian Malaysia lancarkan Bulan Jenis Kebangsaan China?

ARIF ATAN

Ketika ramai orang Cina di negara ini membuat kandungan cerita pendek di media sosial berkenaan pelbagai tips bermanfaat di TikTok menggunakan bahasa kebangsaan, lain pula ceritanya di Putrajaya.

Pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Malaysia itu dilihat mencemarkan semangat Hari Kebangsaan bulan ini dengan meminta salah seorang pengacara menyelitkan penggunaan bahasa Mandarin.

Walhal, pengisian Bulan Kebangsaan bermula daripada majlis pelancaran wajib menggunakan bahasa kebangsaan.

Bahkan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan penyatuan rakyat Malaysia telah dimantapkan melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Tindakan kerajaan yang membenarkan ‘pemerkasaan’ bahasa Mandarin semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara menunjukkan tahap patriotisme yang lemah dalam kalangan kuasawan dan pembuat dasar di negara ini.

Hal ini memandangkan, bahasa Mandarin itu adalah bahasa rasmi Republik Rakyat China (RRC) yang tidak wajar sama sekali walau apa dalih sekali pun untuk “didaulatkan” bagi acara sempena Bulan Kebangsaan Malaysia.

Ikuti kupasan lanjut ISLAH WAHYUDI menyentuh bagaimana bermasalahnya pemahaman menteri dan sebahagian pegawai atasan di Putrajaya sendiri berhubung semangat dan makna “kebangsaan” Malaysia itu sendiri:

Apa itu kebangsaan Malaysia?

Dalam perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjadikan negara ini Malaysia, tak ada sepatah pun perkataan Cina, India, Bangla, Nepal, Uganda bla bla.

Identiti kebangsaan Malaysia adalah bersandarkan identiti , sejarah dan budaya orang asal tanah ini iaitu Melayu, Orang Asli dan Dayak Sabah Sarawak.

Identiti Malaysia bukannya Melayu Cina India DLL. Bahasa kebangsaan Malaysia adalah Bahasa Melayu.

Nak pakai bahasa Mandarin ke Hakka ke Hokkien ke, buatlah masa sambutan Tahun Baru Cina.

Ini sambutan Bulan Kebangsaan Malaysia.

Selitkan bahasa Iban / Dusun / Kayan / Orang Sungai dan lain-lain bahasa Dayak adalah lebih utama daripada bahasa Mandarin iaitu bahasa kebangsaan negara China.

Keturunan Cina dulu yang datang ke Tanah Melayu / Sabah / Sarawak ni tak cakap bahasa Mandarin pun!

Maka dengan kebodohan kerajaan sendiri, tidak hairanlah berjuta-juta warga China / India seronok duduk secara haram dekat Malaysia ni.

Umum tahu, populasi Cina dan India adalah nombor 1 dan nombor 2 terbesar di dunia.

Esok lusa bila jumlah pendatang ini melimpah lagi banyak daripada orang asal tanah air ni tanpa sebarang asimilasi, siapa nak jawab?

Kau juga yang pancing dia datang.

Tahun 1824, lepas Perjanjian Inggeris Belanda dibuat, pendatang Cina mula membanjiri Singapura bila pulau Melayu itu berada bawah kawalan British.

Dua tahun kemudian saja, jumlah pendatang Cina sudah dua kali ganda daripada jumlah Melayu Singapura.

Belajarlah dari sejarah.