Shahbudin Husin
Nama Syed Mokhtar Al Bukhary, orang Melayu paling kaya di Malaysia disebut lagi di Parlimen. Kali ini ia disebut oleh orang yang senama dengannya iaitu Bung Mokhtar, Ahli Parlimen UMNO Kinabatangan yang memang terkenal dengan kelantangan dan ucapan yang kontroversi.
Bung Mokhtar membangkitkan tentang monopoli perniagaan yang diperolehi oleh Syed Mokhtar daripada kerajaan sejak akhir-akhir ini. Selama ini katanya, usahawan itu sudah memperolehi perniagaan di darat, laut serta udara dan tidak mustahil selepas ini di atas kubur pula.
Jika sebelum ini Ahli Parlimen pembangkang sering melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Syed Mokhtar terutama berkaitan kenaikan harga gula dan penganugerahan beberapa projek mega sejak Najib menjadi PM, kini Ahli Parlimen BN juga bagaikan senada dengannya.
Memanglah diakui, sejak Najib menjadi PM pada 2009, hampir semua projek mega diberikan kepadanya. Beliau kini menguasai monopoli perniagaan gula dan beras dan dianugerahkan pula penswastaan dalam perniagaan pelabuhan, IPP, Proton, MRT, Keretapi Tanah Melayu dan banyak lagi.
Sayap perniagaan Syed Mokhtar kini melebar hampir kepada semua jenis perniagaan halal di Malaysia.
Melihat stail kepimpinan Najib, adalah dijangkakan lebih banyak lagi penganugerahan projek mega dan penswastaan akan diberikan kepada Syed Mokhtar, terutamanya jika beliau terus menerajui Malaysia selepas PRU 13 ini.
Dalam konteks perniagaan gula yang dimonopolinya, telah berlaku empat kali kenaikan sejak Najib menghuni Seri Perdana dan ini antara isu yang menimbulkan kemarahan rakyat terhadap beliau.
Syed Mokhtar, usahawan berasal dari Kedah ini mula menjadi primadona kepada kerajaan sejak era kepimpinan Tun Mahathir lagi walaupun sebenarnya beliau mula bertapak kukuh dalam dunia perniagaan di Johor ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar di penghujung tahun 80an dahulu. Di era Pak Lah juga beliau kekal mendapat perhatian yang tinggi daripada kerajaan. Tetapi pemberian kontrak kerajaan atau penswastaan paling banyak diperolehinya di era Najib ini.
Hampir semua projek besar dan mega yang diumumkan kerajaan, ia akhirnya akan jatuh ke tangan Syed Mokhtar. Malahan sebaik saja Najib mengumumkan sesuatu projek mega, wujud tanggapan rakyat atau lelucon bahawa ia pasti menjadi milik Syed Mokhtar akhirnya.
Longgokan terlampau banyak projek mega kepada Syed Mokhtar menggambarkan seolah-olah nama usahawan Melayu lain tidak pernah wujud di hati Najib. Di hati Najib hanya ada nama Syed Mokhtar saja.
Bagi rakyat biasa, lambakan terlampau banyak projek kepada Syed Mokhtar menimbulkan perasaan tidak puas hati kerana seolah-olah usahawan lain tidak layak diberikan peluang yang serupa. Lebih dari itu, ia juga dilihat menggambarkan kegagalan Najib sendiri untuk melahirkan lebih ramai usahawan Melayu yang berwibawa.
Rakyat juga sedikit marah dengan Syed Mokhtar kerana monopoli gula yang dikuasainya telah menyebabkan rakyat dibebankan dengan kenaikan sebanyak empat kali dalam tempoh tidak sampai empat tahun berbanding tiada kenaikan ketika dikuasai oleh Robert Kouk.
Bagi pihak pembangkang pula, mereka melihat isu Syed Mokhtar ini sebagai paparan kelemahan Najib dalam mengurus ekonomi dan negara. Najib dilihat seperti sudah terikat dan termakan budi dengan usahawan itu sehingga tunduk dan akur terhadap apa saja permintaannya.
Sementara itu pakar-pakar ekonomi juga tidak bersetuju dengan lambakan terlampau banyak projek kepada seseorang individu kerana ia lebih mudah memberi kesan langsung terhadap ekonomi negara. Dengan Syed Mokhtar sekarang ini menguasai sebahagian besar segmen ekonomi negara, jika beliau terbersin misalnya, kesan selsemanya pasti akan dirasai oleh ramai orang.
Ahli dan pimpinan UMNO juga sebenarnya tidak berapa setuju dengan kaedah Najib yang memberikan terlampau banyak projek kerajaan kepada Syed Mokhtar, namun kebanyakannya hanya berdiam diri atau bersuara di belakang kerana akur ianya adalah pilihan dan kuasa Najib sebagai PM.
Suara yang dibawa oleh Bung Mokhtar sebenarnya adalah suara yang sudah lama terpendam di hati ahli UMNO.
Ramai ahli dan pimpinan UMNO tidak gembira dengan Syed Mokhtar kerana beliau dilihat mempunyai pasukannya yang tersendiri untuk melaksanakan semua projek yang diberikan oleh kerajaan. Dan ada pula dakwaan mengatakan semua pasukannya terdiri daripada bukan Melayu. Tidak ada setitis pun tempias atau terpercik projek yang diperolehinya akan jatuh kepada usahawan dari kalangan ahli serta pemimpin UMNO.
Lebih dari itu, Syed Mokhtar juga meletakkan dirinya terlalu eksklusif sehingga tidak mahu menjalin sebarang hubungan dengan mana-mana pihak lain dalam UMNO selain Perdana Menteri. Ini bermakna, meskipun Syed Mokhtar memperolehi banyak nikmat dari UMNO tetapi tidak ada mana-mana pihak dalam UMNO yang dilayannya untuk memperolehi sebarang sub kontrak atau bantuan perniagaan.
Syed Mokhtar juga tidak bergaul dalam majlis-majlis sosial yang melibatkan UMNO sebagaimana yang biasa dilakukan oleh usahawan lain yang memperolehi kontrak daripada kerajaan sebelum ini seperti Allahyarham Tan Sri Yahya, Halim Saad, Tajuddin Ramli, Rozali Ismail, Abu Shahid serta ramai lagi. Tiada ruang kepada sesiapa dalam UMNO menjalin kerjasama, mengemukakan cadangan, mengadu masalah atau meminta bantuan daripadanya berikutan sifat eksklusif yang diamalkannya itu.
Ruangnya hanya terbuka untuk Najib dan Seri Perdana sahaja.
Inilah antara isu yang selama ini dipendam oleh ramai ahli dan pemimpin UMNO terhadap Syed Mokhtar.
Di sebalik ada yang bangga dengan kejayaan Syed Mokhtar dalam perniagaan, tidak dapat dinafikan monopoli dan lambakan terlalu banyak projek kerajaan ditangannya turut mencetuskan rasa tidak puas hati sebahagian besar segmen dalam masyarakat. Tidak saja pembangkang, rakyat biasa dan pakar-pakar ekonomi, malahan ahli dan pemimpin UMNO juga turut tidak menyenangi beliau.
Digelar sebagai orang Melayu terkaya dan kini raja kroni di era kepimpinan Najib, rasa tidak puas hati yang kian tak terbendung sekarang di mana Ahli Parlimen BN sendiri mula mengkritiknya dan kesatuan sekerja kakitangan Keretapi Tanah Melayu juga melakukan demonstrasi terhadap rancangan penswastaan KTM kepadanya serta protes senyap rakyat yang sudah lama terpendam, semua penolakan itu mungkin terhambur ke peti undi yang akan memudarkan lagi peluang Najib untuk kekal di Seri Perdana.