"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 peserta Bersih cedera parah dirawat di HKL

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Dua peserta Bersih 3.0 yang cedera parah dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur petang tadi.
(Haji Habizal [kiri] dan Su Kwang Hong terlantar di wad kecemasan HKL)
Haji Habizal bin Nadzir cedera pada kepalanya akibat terkena tembakan botol gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis.

Beliau dikatakan parah dan ditempatkan ke wad kecemasan HKL.

Seorang lagi, Su Kwang Hong cedera akibat dilanggar oleh kereta polis ketika bersama-sama orang ramai dalam perhimpunan itu.

Beliau juga dilaporkan parah dan sedang dirawat di wad kecemasan HKL.

Menurut sumber, ramai lagi yang cedera semasa perhimpunan kali ini sedang dirawat di HKL.

Mereka ditempatkan di wad bersebelahan dengan wad kecemasan dan tidak dibenarkan orang awam melawatnya.

Unit Amal beri kawalan terbaik

Harakahdaily
(Barisan pasukan Baju Meron membuat benteng di depan perhimpunan)
KUALA LUMPUR: Sebagaimana perhimpunan yang disertai PAS sebelum ini, Unit Amal sekali lagi memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan peserta terkawal.
(Pemimpin kanan Unit Amal memberikan taklimat kepada Pengerusi Bersama Bersih 3.0 S Ambiga)
Kira-kira 4,000 anggota unit di bawah pantauan Pemuda PAS dari seluruh negara itu dikerahkan ke perhimpunan kali ini.

Malah mereka sudah mula bertugas sejak beberapa malam lalu di Dataran Merdeka bagi mengawal keselamatan mahasiswa yang berkhemah di situ.

Ia dibuat ekoran serangan samseng ke atas perkhemahan mahasiswa yang menuntut pemansuhan pendidikan percuma di situ.

Namun, ekoran peranan mereka, anggota Unit Amal kali ini menjadi sasaran polis.
Gambar sebelah menunjukkan risiko tugas mereka bagi mempasti peserta perhimpunan selamat sedang mereka sendiri terdedah kepada risiko ditangkap.
(Salah seorang anggota Unit Amal ditangkap polis dalam perhimpunan Bersih 3.0 kali ini)
(Anggota Unit Amal membuat benteng manusia menjadikan mereka barisan depan dengan polis)

Orang ramai marah, terbalikkan kereta polis


Haji Habizal bin Nadzir cedera pada kepalanya akibat terkena tembakan botol gas pemedih mata

Su Kwang Hong cedera akibat dilanggar oleh kereta polis
Gambar  dari Harakahdaily
Malaysiakini
6.57pm Berdasarkan gambar dalam laman Facebook polis, dianggarkan lebih 100 ditahan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dekat Jalan Semarak.


6.22pm: Jln Sultan Abdul Samad - Konvoi berkereta polis terpaksa membuat pusingan-U berhampiran Masjid Jamek apabila bertembung dengan penyokong BERSIH yang melemparkan kasut dan objek ke arahnya.


6.10pm Jalan dari SOGO ke Dataran dibuka. Bagaimanapun kira-kira 600 peserta masih berlegar di sekitar.


6pm Jalan TAR - Beratus anggota polis berada di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), yang sesak kerana sekatan jalan raya. Para pemandu membunyikan hon tanpa henti, memaksa polis bersurai dan berkumpul semula di persimpangan Jalan Tun Perak. Mereka mula membenarkan lalulintas di situ.


5.50pm: Naib Presiden PKR Tian Chua dakwa melalui Twitter, beliau ditahan polis bersama Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari. Tian juga dakwa ramai dipukul ketika ditahan.


5.45pm Masjid Jamek - Sesetengah peserta masih mahu masuk ke Dataran Merdeka, tetapi polis datang balik dan mengejar mereka. Beberapa peserta ditahan. Ada di antara mereka yang membaling kasut dan botol ke arah polis.


5.30pm: JLN TAR Wartawan Malaysiakini antara 200 ditahan bersama 200 peserta dan wartawan lain. Mereka ditempatkan sementara di Kelab Diraja Selangor. Barangan dirampas dan ditumbuk polis.


5.21pm Dua anggota polis tercedera dan pistol yang hilang dijumpai semula, kata menteri dalam negeri melalui Twitter.

5.20pm Simpang Jalan Tun HS Lee-Jalan Tun Tan Cheng Lock (berhampiran Pasar Seni) - Anggota polis FRU kelihatan mula berehat-rehat selepas Unit Amal PAS membuat pengumuman mengerahkan peserta BERSIH bersurai.

5:01pm JLN TAR Kelihatan 4 trak polis menuju Jln Chow Kit. Peserta tidak tunjukkan tanda-tanda mahu bersurai.
5.03pm JLN TAR Seorang gadis pengsan dan dibawa mendapatkan rawatan oleh St John Ambulance.

455pm JALAN TAR Tapak pasar malam, sekumpulan peserta BERSIH dan polis bertumbuk.

4.45pm Pistol polis dirampas peserta BERSIH di hadapan SOGO, menurut tweet polis.

4.19pm Jalan TAR - Sekumpulan orang ramai yang marah bertindak menterbalikkan kereta polis selepas ia didakwa melanggar peserta di situ.

4.10pm - Jalan TAR - Sekumpulan peserta duduk di sepanjang jalan TAR yang ditutup. Seorang penjual ais-krim laris perniagaannya apabila menjadi tumpuan peserta untuk menghilangkan dahaga mereka.

FRU melepas tembakan air bercampur kimia ke arah mereka di depan kedai Kamdar di Jalan TAR.

4.04pm Sebelum itu, beberapa wartawan yang berdiri di belakang FRU turut tertolak polis ke arah peserta ketika gas pemedih mata ditembak, mendedahkan mereka kepada gas yang memedihkan mata.

3.58pm Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami kesukaran bernafas berhampiran Dataran Maybank akibat gas pemedih mata. Dia pulih selepas diberi rawatan oleh pasukan perubatan.

3.58pm Masjid Jamek - Beratus-ratus peserta sedang berehat di taman di belakang Masjid Jamek untuk pulih daripada serangan meriam air dan gas pemedih mata.

3:49pm - JALAN RAJA LAUT Kira-kira 35 peserta BERSIH ditangkap dan dikumpulkan di hadapan bangunan DBKL.

Turut ditahan ialah seorang wartawan akhbar Cina Oriental Daily kerana disangka salah seorang penyokong.

Bagaimanapun, dia dilepaskan selepas polis mendapat dia sebenarnya wartawan akhbar berkenaan.

3:49pm Seorang peserta perhimpunan cedera di depan bangunan DBKL dan dibawa mendapatkan rawatan oleh St John Ambulance.

3.50pm Pusat membelibelah Sogo - Beberapa peserta berundur dari Dataran Merdeka di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan dikejar polis.

3.42pm Stesen LRT Dang Wangi - Selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata di Jalan Tun Perak, beberapa peserta melarikan diri ke Jalan Dang Wangi dan Jalan Ampang.

Mereka dilihat berjalan ke arah KLCC melalui Jalan Ampang. Kebanyakan mereka dijangka pulang.

3:29pm Majlis Peguam - Selepas arahan untuk bersurai dikeluarkan, tembakan meriam air dan gas pemedih mata dilepaskan ke atas orang ramai di luar bangunan Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar.

3.24pm Masjid Jamek - Di hadapan stesen LRT orang ramai enggan berganjak dan melaungkan "BERSIH" walaupun gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka.

Mereka berundur setiap kali gas pemedih mata ditembak, tetapi kembali semula selepas itu.

3.20pm: Dataran Merdeka - kawat duri di Lebuh Pasar Besar dialih oleh orang ramai. Mereka kemudian mengalihkan penghalang plastik.

Kira-kira 30 anggota polis yang bersenjatakan cota, perisai dan topeng gas bergerak membentuk benteng.

Peserta dan polis kini bersemuka tanpa apa-apa di antara mereka. Ada yang bergambar manakala yang lain duduk di atas jalan menghadap polis.

Komander polis bagi kawasan tersebut duduk di atas trak polis dengan pembesar suara tetapi belum mengeluarkan sebarang arahan.

3.15pm - Lagi gas pemedih mata di tembak di kawasan Coliseum di Jalan TAR.

3.13pm - Sebahagian peserta berundur ke jalan Pudu ekoran tembakan gas pemedih mata.

3.10am Masjid Jamek - lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan berhampiran stesen LRT Masjid Jamek. Difahamkan beberapa peserta yang cuba melanggar larangan memasuki Dataran Merdeka, telah ditangkap.

3.08pm Polis terpaksa lepas gas pemedih mata apabila peserta cuba rempuh halangan, demikian menurut tweet polis.

3.01pm: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air di persimbangan jalan Tun Perak-Jalan TAR. Difahamkan polis bertindak demikian selepas ada peserta melanggar larangan memasuki Dataran Merdeka.

2.45pm Pasar Seni - Orang ramai mula bersurai di sekitar ibupejabat Majlis Peguam, yang dianggarkan sekitar 5,000 orang. Satu kumpulan masih berada di hadapan penghalang dan kawat duri yang memisahkan orang ramai dari Dataran Merdeka di seberang sungai.

Sekitar 50 anggota FRU bersiap sedia. Orang ramai menjerit slogan BERSIH serta "hancur Rosmah" dan "Buka Pintu".

2:34pm Masjid Jamek - Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga berkata perhimpunan BERSIH 3.0 telah berjaya dan menggesa orang ramai supaya bersurai.

Bagaimanapun, orang ramai melaungkan "Dataran! Dataran!"

Sebelum ucapan Ambiga, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan politik kotor.

Anwar adalah sebahagian daripada kumpulan yang berarak dari Masjid Negara.

2.15pm: Puduraya - Kumpulan 10,000 dari Masjid Negara sampai ke Puduraya dalam perarakan panjang ke Dataran Merdeka.

2pm Masjid Jamek - Anggota jawatankuasa MCA bahagian Kelana Datuk Lee Hwa Beng dilihat berhampiran restoran McDonalds.

Katanya, beliau menyertai perhimpunan tersebut atas kapasiti peribadi dan MCA telah menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak menghalang ahli daripada menyertainya.

Ditanya mengapa beliau menyertai perhimpunan tersebut, Lee memetik dari buku barunya - PKFZ: A Nation's Trust Betrayed - bahawa berdiam diri bukan lagi satu pilihan.

2pm Orang ramai kini bertumpu di tiga kawasan utama - Jalan Tun Perak (dari Masjid Jamek ke Dataran Merdeka), Lebuh Pasar Besar (berhampiran ibu pejabat Majlis Peguam) dan Masjid Negara di mana jemaah bersolat Zohor.

Ini bermakna Dataran Merdeka sudah dikelilingi sepenuhnya oleh orang ramai dari Utara dan Selatan.

Kumpulan lain dijangka menyertai mereka dari Masjid Negara selepas solat.

1.55pm: Pasar Seni - Datuk A Samad Said berkata beliau akan meneruskan protes duduk ke atas sebuah jambatan pejalan kaki dekat sini, daripada menyertai peserta lain di Dataran Merdeka.

"Saya menggunakan jambatan ini setiap minggu tetapi ini pertama kalinya dalam hidup saya mereka tidak membenarkan saya lalu, mereka minta saya guna laluan lain. Ini adalah jalan yang saya gunakan untuk pergi ke masjid," katanya mengenai sebab beliau melakukan protes duduk di jambatan itu.

1.50pm Masjid Negara - Sekumpulan 10,000 kini berkumpul di masjid, dan telah mula menuju ke arah bangunan Mahkamah Syariah lama melepasi stesen keretapi lama.

Mereka kemudian pusing kiri dan menyeberangi jambatan di atas landasan keretapi menuju ke Dataran melalui belakang stesen keretapi yang mengarah ke Pasar Seni.

Dengan diterajui anggota Unit Amal. orang ramai dipercayai mengambil jalan jauh ke Dataran kerana pihak polis telah menutup laluan terus ke sana dengan membentuk benteng manusia.

1.45pm: Pasar Seni - Kira-kira 30 orang telah memutuskan untuk menyertai Pak Samad 'duduk bantah' di atas jambatan pejalan kaki di Pasar Seni LRT.

1.38pm Masjid Negara - Presiden PAS Abdul Hadi Awang tiba.

1.30pm Dataran Merdeka - Kumpulan yang besar dari Kota Raya dan Petaling Street bergerak mendekati Dataran. Kota Raya dan Petaling Street kini kosong.

Orang ramai yang paling hampir dengan benteng di Dataran Merdeka duduk di atas jalan raya, dengan lebih melaungkan "duduk" dan menyertai mereka. Anggota Unit Amal PAS membentuk benteng di hadapan benteng polis.

Lapisan kawat duri, penghalang plastik dan pagar besi, memisahkan mereka daripada benteng kira-kira 100 anggota polis. Anggota FRU dengan trak meriam air di siap sedia tidak jauh dari situ.

1:33pm Pasar Seni - Polis membuat keputusan untuk meninggalkan sekatan di jambatan pejalan kaki yang menghubungkan stesen LRT Pasar Seni dan Dayabumi. Sesetengah penyokong menyertai Pak Samad bersolat. Pesera mula memenuhi jambatan untuk melihat protes di bawah.

1:30: Pasar Seni - Seorang anggota Unit Amal PAS menjelaskan bahawa Pak Samad tidak ditahan polis tetapi duduk di atas jambatan pejalan kaki sebagai tanda bantahan terhadap tindakan polis menyekat kawasan itu. Dia berdiri di situ atas keputusannya sendiri.


1.40pm Polis keluar kenyataan keadaan sekitar Dataran terkawal. Menurutnya, hingga jam 1pm, peserta 25,000.

Menurut kenyatan pusat media polis kontinjen Kuala Lumpur, mereka dalam keadaan berjaga-jaga dan memantau keseluruhan perhimpunan BERSIH.

"PDRM bertanggungjawab memastikan ketenteraman awam terpelihara agar tidak diganggu oleh mana-mana pihak," kenyataan itu dipetik.

Pasukan keselamatan juga menegaskan akan bertindak kepada pihak yang melampau batas dan melanggar perintah mahkamah yang melarang orang ramai berkumpul di Dataran.

1.23pm: Pasar Seni - Pengerusi bersama BERSIH isytihar perhimpunan berjaya, akan mara sedekat mungkin kawasan dibenarkan sebelum duduk.

1:13pm: Sejam menjelang perhimpunan BERSIH 3.0, jumlah peserta yang hadir setakat ini dianggarkan telah mencecah sekitar 50,000 orang.

- Pudu/Kotaraya/Petaling Street (orang ramai berarak dari KLCC) - 20,000

- Pasar Seni (bergabung dengan orang ramai dari Brickfields) - 15,000
- Masjid Jamek - 10,000
- TAR / Jalan Tun Perak / Jalan Parlimen - 10,000
- Masjid Negara - 5,000

1.09PM MASJID JAMEK Unit Amal membuat benteng manusia bagi memimpin orang ramai berarak ke Dataran Merdeka.

12.50pm Pasar Seni - Kumpulan kedua dari Brickfields, juga berjumlah ribuan orang, tiba di Pasar Seni untuk bersama dengan mereka yang sudah berada di situ.

12.43 thr Masjid Negara - PKR presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba bersama dengan pemerhati antarabangsa.

12.40 thr Pasar Seni - Pengerusi DAP Karpal Singh tiba di hadapan Majlis Peguam, disambut dengan laungan "BERSIH".

12.35 thr Jalan Tun Perak - Senator Australia Nicholas Xenophon hadir, untuk memerhatikan perhimpunan tersebut.

"Ini adalah satu suasana yang menarik dengan lebih daripada 10,000 orang. Setiap orang bersemangat tinggi," katanya.

"Ini adalah perhimpunan aman tanpa sebarang keganasan. Orang muda dan tua bersama-sama berada di sini. Saya pasti rakyat Australia dan rakyat Malaysia memahami bahawa ini adalah demonstrasi untuk pilihanraya yang bebas dan adil."

12.32pm Pasar Seni - Polis membentuk benteng manusia di Hang Kasturi Walk, laluan baru di sebelah Pasar Seni, walaupun beberapa peserta sudah lama melepasi mereka melalui satu kaki lima di situ

Peserta yang berdepan dengan benteng polis itu menyanyikan lagu Negaraku.

12.30pm: Pasar Seni - Pak Samad duduk di atas tikar di belakang barisan polis di jambatan yang menghubungkan stesen LRT Pasar Seni ke Dayabumi, sambil membaca Al-Quran.

Apabila ditanya sama ada beliau ditahan, seorang anggota polis menjawab, "Beliau sedang berehat. Beliau mengambil gambar selama dua jam tadi, beliau letih. "

Apabila Malaysiakini bertanya kepada sasterawan negara itu sama ada beliau ditahan, beliau hanya mengangkat bahunya.

12.14pm Masjid Negara - Beberapa pemimpin kini berada di Masjid Negara - Mohamad Sabu, Lim Kit Siang and Abdul Kadir Sheik Fadzir.

12.10pm Jalan Sultan - Selepas berehat kira-kira sejam, kira-kira 3,000 orang yang pada mulanya berkumpul di Jalan Sultan, sekarang berjalan melalui Jalan Petaling.

12:07pm Jalan Tun Perak - Kira-kira tiga trak FRU dan dua meriam air kelihatan di Dataran.

Sekumpulan 500 penyokong dari Jalan Pudu menuju ke JalanTun Perak sambil melaungkan "BERSIH" dan "Stop Lynas".

12.05 thr Objek diperiksa di Dayabumi didapati bukan bahan letupan, demikian menurut video laporan langsung polis di Youtube. Ia adalah alat ganti kereta di dalam kotak kuning.

12:03 thr Dua jam sebelum perhimpunan BERSIH 3.0, jumlah pesertanya dianggarkan kira-kira 35,000 orang di lokasi yang berlainan di pusat bandaraya di Kuala Lumpur.

Pudu (peserta berarak dari KLCC) - 20,000
Pasar Seni (bergabung dengan peserta dari Brickfields) - 10,000
Jalan Petaling - 3,000
Masjid Negara - 2,000

1155am: Pasar Seni - Peserta yang bergabung sekarang dianggarkan berjumlah 10,000 orang. Tempat letak kereta dibanjiri orang ramai yang menyanyi lagu Negaraku.

11.51am Pasar Seni - Unit Amal PAS (unit keselamatan) meminta peserta berkumpul di luar Pasar Seni kerana perhimpunan BERSIH 3.0 hanya akan bermula pada jam 2 petang.

Kelihatan bersama orang ramai di situ ialah pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga dan pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

11.47am Dekat Dataran Merdeka - Di hadapan Majlis Peguam, kumpulan peserta termasuk aktivis wanita Irene Fernandez menyanyikan beberapa lagu, termasuk 'Rasa Sayang'.

11.46am Pasar Seni - Peserta yang berarak dari Brickfields telah sampai ke Pasar Seni dan menerima sambutan gemuruh dari peserta di situ.

"Reformasi, reformasi Hidup BERSIH!" jerit mereka.

Berikutan itu, jumlah peserta itu di situ mencecah beberapa ribu orang.

1.43am JLN TAR Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ketuai peserta berarak ke Jln Tun Perak sambil bersorak "Tolak SPR"

11.40am Pasar Seni - Dari stesen LRT ke arah HSBC Bank Malaysia Berhad, kebanyakan kedai ditutup dan jalan-jalan kosong, nampak seperti zon perang atau kawasan dilanda bencana. Ratusan penyokong BERSIH dalam kumpulan yang bertaburan. Sesetengah restoran yang dibuka dipenuhi pelanggan berkemeja-T kuning.

Pak Samad tiba di LRT Pasar Seni dan bergambar di jambatan yang menghubungkan stesen Dayabumi dengan berlatar belakang anggota polis yang berkawal di situ. Stesen tersebut beroperasi tetapi mesin tiket tidak berfungsi.

11.38am Dataran Merdeka - Orang ramai di Persimpangan Jalan Tun Perak-Jalan Parlimen, berjumlah ribuan orang, sekarang berarak di sepanjang Jalan Kinabalu menuju ke arah Masjid Negara.

11.35am Brickfields - Peserta berpegang membentuk rantaian manusia untuk memecahkan benteng polis, dan berjaya mara tanpa banyak tentangan dari polis.

11.30am Brickfields - Kira-kira 1,000 orang cuba untuk berarak tetapi dihalang oleh kira-kira 60 anggota polis di Jalan Tun Sambathan.

Kumpulan itu kini duduk di hadapan polis dan menyanyikan lagu Negaraku.

11.25am Jalan Tun Perak - Kumpulan Himpunan Hijau 3.0 sampai ke Menara Maybank, yang terletak tidak jauh dari Dataran Merdeka.

Oleh kerana jalan ke Dataran Merdeka telah ditutup, maka mereka menuju ke arah Pudu Sentral, tumpuan utama perhimpunan BERSIH tahun lepas.

11.19am Masjid Negara - Sembilan trak polis baru melepas Masjid Negara menuju ke Dataran Merdeka. Mereka mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

11.15am Masjid India - Jumlah orang ramai semakin bertambah di luar bangunan BSKL.

11.15am Masjid Negara - Empat trak polis meninggalkan kawasan tersebut.

11:13am Jalan P Ramlee - Peserta Himpunan Hijau berarak dari KLCC ke arah Jalan Raja Chulan.

Mereka melaungkan "Bersih" dan beberapa peserta membantu memudahkan aliran trafik.

Dianggarkan jumlah peserta sudah mencecah 20,000 orang di lokasi berlainan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

11.10am Pasar Seni - Kira-kira 20 anggota Unit Amal telah ditugaskan untuk melindungi Datuk S Ambiga. Turut bersamanya ialah anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Subramaniam Pillay dan Andrew Khoo.

Bercakap kepada media, Khoo berkata BERSIH akan menghormati perintah mahkamah yang menghalang mereka ke Dataran Merdeka tetapi berkata polis telah bertindak di luar perintah mahkamah yang diperolehi.

Beliau mendakwa, pihak polis telah memperluaskan sekatan meliputi kawasan yang tidak termasuk dalam perintah mahkamah tersebut.

"Saya tidak pernah lihat kawat duri digunakan di Kuala Lumpur. Saya hanya melihatnya di negara-negara seperti Pakistan ... Tapi itu zon perang," katanya sambil menambah beliau amat terkejut dengan tindakan polis menghalang hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
11.00am MASJID NEGARA Mat Sabu: Saya dan Isham Rais ke sana untuk mententeramkan peserta BERSIH agar tidak masuk ke kawasan Dataran Merdeka. Kami larang peserta pijak rumput hijau

11.00am MASJID NEGARA Mat Sabu bidas menteri dalam negeri bahawa dia serbu Dataran pagi tadi.

10.55am Masjid Negara - Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tiba di Masjid Negara dan diberikan sambutan wira oleh orang ramai.

10.54am KLCC - Beberapa orang ditangkap di sini selepas orang ramai, dianggarkan 10,000 orang, mula berarak ke arah Masjid Jamek.

Mereka memecah benteng polis di Jalan Ampang.

10.53am Masjid India - Para anggota Unit Amal menerajui kira-kira 5,000 peserta untuk melepasi benteng polis di persimpangan di luar Public Bank, berhampiran hujung utara Dataran Merdeka.

10.51am Tiga jam sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada jam 2 petang, dianggarkan 15,000 peserta sudah berada di lokasi berlainan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur.

KLCC - 5,000
Jalan Sultan - 4,000
Masjid Jamek - 2,000
Masjid Negara - 1,000
Berhampiran Dataran Merdeka - 3,000

10:44am JLN TUN PERAK Warga emas Cik Ani berkerusi roda turut berhimpun.

"Kalau FRU kejar, saya takkan lari... Angkat saya masuk lokap," kata Cik Ani, 56, di Jln Tun Perak.

10.40am: KLCC - Kumpulan Himpunan Hijau 3.0 mula bergerak.

Pengerusinya, Wong Tack dan ahli jawatankuasanya mengetuai kira-kira 5,000 orang berarak di sepanjang Jalan Ampang menuju ke Suruhanjaya Tinggi Australia.

10:40am: Masjid Negara - Datuk S Ambiga dilihat berjalan ke arah stesen lama keretapi lama sekarang.

10.34am Setakat ini, tidak kelihatan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di pusat bandar. Juga tidak kelihatan trak meriam air setakat ini.

10.31am Tweet dari PDRM - 8 objek disyaki bahan letupan dikesan di luar Menara Dayabumi.

Sementara itu, polis KL mengumumkan di Facebook bahawa mereka telah menutup 58 jalan di bandaraya KL bermula dari jam 6 pagi sehingga notis selanjutnya.

10.20am: Masjid Negara - Kira-kira 100 orang mendengar ucapan di halaman masjid tersebut.

10.19am Brickfields - Peserta mula mengedarkan belon dalam bentuk permainan popular komputer - Angry Birds.

10.16am Dataran Merdeka - Benteng polis berhampiran ibu pejabat Majlis Peguam menjadi tumpuan pelancongan untuk bergambar di situ.

10.15am Bangsar - Pengerusi Bersama BERSIH Datuk A Samad Said baru menaiki LRT yang penuh sesak di stesen Bangsar. Orang ramai bertepuk ketika beliau masuk ke dalam koc.

10.05am Brickfields - Kira-kira 50 peserta memaki baju-T BERSIH berhimpun di luar luar Old Town Coffee Shop di Jalan Thambypillai.

Menurut sesetengah peserta, mereka sama ada bermalam di hotel berdekatan atau ikut orang ramai apabila tiba di KL Sentral.

"Saya tidak tahu bagaimana nak ke di Brickfields. Saya hanya ikut yang lain apabila saya keluar dari stesen kereta api." kata Kelly Tui.

10:03am JLN TUN PERAK Suasana makin meriah dengan sorakan, persembahan silap mata.

9.57am Central Market - Sekumpulan kecil sibuk meneliti salinan perintah mahkamah yang ditampal di tiang lampu. Perintah mahkamah itu melarang ahli jawatankuasa pemandu BERSIH memasuki Dataran Merdeka.

9.40am Dataran Merdeka - Simpang Jalan Tun Perak-Jalan Tunku Abdul Rahman merupakan titik perhimpunan utama dengan orang ramai mencecah kira-kira 3,000 orang yang menyanyi dan melaungkan slogan.

Kelihatan ratusan anggota polis tetapi tiada kelihatan anggota FRU.

9.42am - Pasar Seni: 60 anggota polis telah membentuk barisan di Leboh Pudu, bagi mencegah kenderaan masuk ke Medan Pasar dan Jalan Lebuh Pasar. Walau Bagaimanapun, peserta berjalan kaki dibenarkan lalu.

9.37am KLCC - Anggota jawatankuasa anti-cyanide Bukit Koman dari Raub, Pahang membawa kain rentang dan poster untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap syarikat perlombongan emas Australia yang menggunakan cyanide untuk mengekstrak emas.

Jumlah orang ramai di KLCC meningkat kepada 1,000 dan emosi mereka tinggi dan semakin tinggi.

9.36am Jalan Sultan - Sekumpulan kira-kira 50 anggota polis membentuk benteng manusia di Jalan Sultan dan Jalan Hang Jebat untuk menghalang orang ramai daripada menuju ke Yan Keng Benevolent Dramatic Association di mana penggambaran video muzik untuk lagu tema 'Protect Jalan Sultan' akan diadakan pada jam 10 pagi, oleh pengarah filem Pete Teo.

9.35am: Masjid Negara - Jalan menuju ke Jalan Sultan Hishamuddin dari Jalan Travers ditutup.

Terdapat kira-kira 500 peserta berhimpun di sini bersama dengan Unit Amal PAS yang berpakaian merah hati. Lebih ramai datang dari arah stesen KTM untuk menyertai mereka.

Kira-kira 50 anggota polis dan sebuah trak polis dilihat berada di situ.

9:36am JLN TUN PERAK Peserta dihiburkan dengan nyanyian lelaki Cina. Seorang OKU India berucap kepada peserta

9.35am JLN SULTAN/JLN HANG JEBAT Polis buat perisai manusia halang orang ramai ke Yang Keng Benevolent Dramatic Association.

9.32am: kemaskini pengangkutan awam - Tweets dari RapidKL, perkhidmatan seperti biasa, semua jalan menuju ke bandaraya KL ditutup.

"Bas akan menurunkan penumpang di stesen LRT berdekatan dengan bandaraya KL. Tiada bas masuk ke dalam bandaraya KL."

9:30am Jalan Sultan - Di pasar mini KK, Dr Wong Fort Ping, 57, mula menyanyikan lagu Negaraku, dan kemudiannya diikuti ratusan peserta.

Wong kemudian memberitahu orang ramai bahawa beliau turut menyertai perhimpunan BERSIH pertama dan kedua dan memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy.

9.36am: Jalan Tun Perak - Seorang lelaki, yang bersama Saw, menyanyi di hadapan orang ramai, dan mendapat tepukan gemuruh.

Terdapat kira-kira 500 peserta di persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman-Jalan Tun Perak Jalan Raja-Jalan Parlimen.

Seorang lelaki kurang upaya kelihatan memberikan ucapan kepada sekumpulan lagi peserta yang duduk berhampiran di persimpangan tersebut.

9.25am Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) - Beratus-ratus penyokong BERSIH telah berkumpul di lorong belakang Jalan TAR berhampiran Masjid India, ramai di antara mereka memakai baju-T BERSIH atau baju kuning.

Terdapat sekumpulan orang muda yang mendiri sebuah gerai di sini untuk menjual baju-T BERSIH dan 'Free Education'.

Polis menutup Jalan TAR dan Jalan Parlimen. Manakala kira-kira 100 anggota polis membentuk benteng manusia do Jalan TAR, di hadapan Sogo, peserta dapat mengelak benteng polis dengan menggunakan lorong belakang untuk pergi ke Masjid India dan Jalan Tun Perak.

Orang ramai melepak, duduk di hadapan kedai dan berbual sementara menunggu perhimpunan duduk bantah bermula.

9.21am Jalan Tun Perak - Kira-kira 1,000 orang berkumpul di sepanjang jalan tersebut yang ditutup kepada kenderaan.

Ramai yang duduk di sepanjang laluan kaki lima dan berdiri di tengah-tengah jalan.

9.20am Masjid Jamek LRT - Sekumpulan peserta BERSIH yang berpakaian kuning, berkumpul di luar stesen LRT, ada yang duduk di tepi jalan.

Jalan menuju ke Jalan Tun Perak dan Bangkok Bank ditutup kepada semua kenderaan. Terdapat kira-kira 50 anggota polis di kawasan itu. Kelihatan tiga trak polis dan sebuah van.

9.15am MASJID NEGARA 500 orang berkumpul di perkarangan masjid.

9.18am Pasar Seni - Kira-kira 100 anggota polis berbaris di belakang benteng di Lebuh Pasar Besar.

Orang ramai yang berada di depan sekatan jalan bertambah kepada 100 orang. Mereka menonton aktivis mengadakan persembahan muzikal.

920am MASJID JAMEK Jln dari Jln Tun Perak ke Bangkok Bank ditutup. Peserta berhimpun di LRT

9.15am KLCC - Pintu masuk ke KLCC menghadap Bangunan Public Bank dan pintu masuk utama ke Menara Berkembar ditutup.

Ketua Pemuda MCA Indera Mahkota David Choi, walaupun menghadapi tindakan disiplin parti kerana menyokong Himpunan Hijau, dilihat berada di kalangan orang ramai.

Pemuda MCA Bahagian Indera Mahkota merupakan satu-satunya bahagian parti itu yang menentang loji nadir bumi yang terletak di Gebeng, Pahang.

Peserta yang kini berjumlah kira-kira 500 orang selepas disertai kumpulan lain yang berada di taman KLCC mula melaungkan "Stop Lynas".

Kira-kira 100 anggota polis membentuk tembok manusia untuk menghalang orang ramai daripada berhampiran pintu masuk.

9:14am JAN TUN PERAK menghala Jln Datuk Onn ditutup. 50 polis kelihatan berkawal.

9.00am JLN PETALING, DEKAT HOTEL LOK ANN Seorang gadis berbaju kuning beri bunga polis bernama Yap, minta sokong BERSIH. Yap tak ambil dan hanya tersenyum. Orang ramai dan anggota polis lain bertepuk tangan.

Anggota polis dilihat mengawal beberapa lokasi utama, termasuk Yang Keng Benevolent Dramatic Association di persimpangan Jalan Sultan dan Hang Jebat.

9.09am KLCC 500 berkumpul di taman dekat pintu masuk Suria & mula melaungkan slogan anti-Lynas.

859am MASJID INDIA Penyokong mula penuhi tempat & bersarapan. Ada juga berdekatan Jalan TAR. 150 polis mengawal.

8.55am SIMPANG MRR1 ke Jln Sultan Salahuddin, sekatan jalan raya. Kenderaan tidak dibenarkan masuk

851am JLN DUTA Sekatan jalan raya, semua kereta dihalang memasuki Jln Parlimen.
8.48am PERSIMPANGAN DEPAN SOGO ditutup. Jalan menuju Dataran ditutup, pemandu dilencongkan ke Jln Dang Wangi. 150 polis berkawal.

840am JLN IMBI, JLN BKT BINTANG menuju Jln Sultan Ismail, lancar tanpa sekatan jalan raya.

8.32am KLCC AVENUE K Ratusan penyokong Himpunan Hijau berkumpul. 150 polis berseragam mendengar taklimat daripada atasan mereka.

8.30am JLN TUN SAMBANTHAN menuju Pasar Seni di tutup. Helikopter berlegar di udara.

8.24am JALAN TRAVERS//BRICKFIELDS Trafik lancar tanpa sekatan jalan raya. Peserta belum kelihatan.

8am - JLN PETALING - Peserta mula berkumpul, termasuk sekumpulan seniman dengan alat muzik. Gerai sekitar penuh sesak.

8am - JLN PETALING - Peserta mula berkumpul, termasuk sekumpulan seniman dengan alat muzik. Gerai sekitar penuh sesak.

Guna LRT, Monorail dan Komuter ke Dataran Merdeka

Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Penyokong Bersih yang menuju ke Dataran Merdeka dinasihatkan menggunakan kenderaan awam khasnya LRT dan Komuter kerana hampir kesemua jalan raya menuju ke pusat bandar kerana disekat atau sesak.

Menurut laporan-laporan yang dibuat melalui twitter dan laporan dari orang ramai, kenderaan yang menuju ke pusat bandar diarahkan keluar dari menuju ke situ.

Antara jalan yang dilaporkan di sekat adalah jalan Ampang menuju ke KLCC.

Kawasan Petaling Street dilaporkan sudah mula penuh dengan manusia berbaju kuning walaupun perhimpunan rasmi hanya akan bermula jam 2 petang.

Tony Pua dalam pesanannya meminta orang ramai menggunakan LRT dan Komuter untuk ke Dataran Merdeka kerana jalan menuju ke situ ditutup.

Kenderaan yang menuju ke pusat bandar pula diarahkan oleh polis yang bertugas agar keluar dari pusat bandar.

Seorang pengguna Twitter, Justine Mei Ern pula melaporkan, Lebuhraya Persekutuan penuh dengan kenderaan yang menuju ke pusat bandar.

Mandy Oii pula melaporkan, Monorail yang beliau naiki juga berjalan dengan baik.

Beliau turun di stesen Maharajalel dan berjalan kaki menuju ke Dataran Merdeka.

Louise La Frouse pula melaporkan, komuter yang beliau naiki pula penuh dengan manusia.

"Kelihatan kesemua orang di atas komuter ini menuju ke perhimpunan Bersih," tulis beliau.

Ribuan sudah banjiri Kuala Lumpur

Harakahdaily
(Ribuan manusia sudah penuhi perkarangan Masjid Jamek, Kuala Lumpur menjelang himpunan Duduk Bantah jam 2 petang ini)
KUALA LUMPUR: Ribuan manusia sudah mula berkumpul di sekitar ibu kota Kuala Lumpur bagi menyertai perhimpunan Duduk Bantah Bersih 3.0 walaupun perhimpunan rasmi hanya bermula jam 2 petang ini.

Malam tadi, lebih 1,000 datang ke Dataran Merdeka dengan pelbagai ragam bagi menyatakan sokongan mereka kepada tuntutan untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Sehingga jam 9.15 pagi ini, ribuan orang sudah mula memenuhi pelbagai pusat perkumpulan sebelum mereka menuju ke Dataran Merdeka.

Di Masjid Jamek, Kuala Lumpur, lebih 2,000 sudah berkumpul di situ.

Mereka melaungkan takbir, hidup Bersih dan sebagainya.
(Dalam Komuter dari Seremban menuju Kuala Lumpur)

Jalan-jalan menuju ke pusat bandar juga penuh dengan kenderaan yang merangkak menuju ke Dataran Merdeka.

Kebanyakan jalan menuju ke pusat bandar pula ditutup menyebabkan jalan yang terbuka penuh dengan kenderaan.

Ekoran itu, orang ramai diminta menggunakan kenderaan awam khasnya LRT, Komuter dan Monorail yang nampaknya beroperasi dengan baik.

Taufek Ghani, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan melaporkan, komuter yang beliau naiki penuh dengan manusia khasnya orang muda.

Ramai antara mereka pula memakai baju kuning dan kebanyakan mereka nampaknya menuju ke Dataran Merdeka.

Hijau dan Kuning
(Para aktivis perhimpunan Hijau membantah Lynas mula berkumpul MBPJ New Urban Parks, Damansara Damai)
Sementara itu, pihak yang membantah pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan juga mula berhimpun pagi ini.

Mereka akan menuju ke KLCC dan dijangka perhimpunan akan bermula di sana jam 11 pagi.

Selepas itu, mereka juga akan berarak ke Dataran Merdeka untuk menjadikan perhimpunan kali ini adalah Hijau dan Kuning.

Curi organ mangsa tembak: Hishamudin mesti kena jawab

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein mesti menjawab dakwaan hilangnya organ dalaman dari mayat tenaga kerja Indonesia yang di tembak mati baru-baru ini.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya berkata, Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) mendakwa organ tubuh tiga warga Indonesia yang ditembak mati baru baru ini didapati hilang.

Isu ini mendapat liputan meluas dari media Indonesia.

"Sekiranya dakwaan ini benar, kami mengecam perbuatan jelek ini serta menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan untuk menyiasat dakwaan berkaitan insiden kematian tiga warga Indonesia tersebut serta samada organ dalaman dikeluarkan dari tubuh mereka," kata Anwar dalam kenyataannya itu.

Oleh kerana polis didakwa terlibat makanya hanya satu siasatan yang bebas akan menjernihkan nama baik dan persepsi umum terhadap pihak Polis, katanya.

"Manakala demi memastikan hubungan baik rakyat Malaysia-Indonesia, serta nama baik Pasukan Polis, Parti Keadilan Rakyat bersedia menawarkan bantuan guaman," katanya.

PKR juga, katanya, bersedia bekerjasama dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia bagi menemui kebenaran di sebalik kematian tiga warga Indonesia tersebut dan samada mayat mereka diuruskan secara tidak bertanggungjawab.

1,000 berkumpul dekat Dataran hingga 2.30 pagi

Harakahdaily



KUALA LUMPUR, 28 April: Kira-kira 1,000 orang masih berkumpul berhampiran Dataran Merdeka sehingga jam 2.30 pagi ini.

Mereka mulai memasuki kawasan berkenaan sejak jam 9.00 malam tadi bagi menyertai himpunan ‘Duduk Bantah’ Bersih 3.0 yang akan bermula tengah hari nanti.

Ucapan spontan disampaikan oleh beberapa orang yang berada di kawasan itu.

Mereka yang menyertai Himpunan Hijau Anti Lynas juga menyertai orang ramai yang berkumpul di kawasan persimpangan menuju ke Dataran Merdeka itu.

Kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hanan turut hadir ke situ sekitar jam 1.30 pagi ini.

Sementara itu, beberapa jalan menuju ke Dataran Merdeka mulai ditutup secara berperingkat-peringkat sejak jam 12.00 tengah malam.

Sehingga jam 2.30 pagi ini, anggota polis trafik masih mengawal jalan-jalan berkenaan.

Rakyat dimusuhi berhimpun di Dataran Merdeka

Mohd Azmi Abdul Hamid

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal sikap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang beria-ia untuk tidak mahu membenarkan rakyat berada di Dataran Merdeka sepanjang 4 hari kerana Bersih 3.0.


Bertindak sehingga mendapatkan arahan mahkamah untuk menghalang rakyat berhimpun di Dataran Merdeka menunjukkan bahawa undang-undang diguna semaksimanya untuk menyekat suara rakyat yang mahu menggunakan ruang demokrasi yang sah di negara ini.

Dataran Merdeka yang asalnya adalah khazanah rakyat kini menjadi milik parti pemerintah secara mutlak atas nama undang-undang.

DBKL nampaknya bersungguh-sungguh mahu menjadi agensi kepada parti pemerintah bukan kepada kerajaan semata-mata.

Hanya kerana rakyat memilih mahu berada di Dataran Merdeka seluruh bala tentera polis dikerah bukan kerana suatu jenayah bakal berlaku, bukan kerana ada ancaman keselamatan, bukan kerana KL akan menjadi kota kacau bilau.

Hanya satu alasan sahaja. Datuk Bandar menerima arahan dari parti pemerintah.

Nampaknya kerajaan yang sepatutnya menjadi pelindung kepada hak rakyat kini menjadi punca masalah kepada hak rakyat dinafi. Kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan rakyat boleh menyuarakan pandangan untuk mendapat jaminan pilihanraya yang bersih, ditohmah malah dilihat sebagai musuh yang perlu dihancurkan.

Apakah dosa rakyat sehingga suara mereka dilihat dengan prasangka buruk oleh pegawai kerajaan yang sebenarnya digajikan dari cukai rakyat sendiri. Kenapa pegawai kerajaan harus mengambil langkah memusuhi rakyat, padahal akhirnya rakyatlah yang akan menentukan siapa akan membentuk kerajaan.

Sikap Datuk Bandar yang menghalang rakyat berada di Dataran Merdeka akan tercatat dalam sejarah sebagai hari hitam dalam sejarah negara. Simbol kemerdekaan yang dilambangkan oleh dataran tersebut kini dirampas dan dimusnah oleh pegawai kerajaan sendiri yang lebih selesa mendengar arahan politik pemerintahan dari memelihara hak rakyat yang dijamin dalam Perlembagaan. Tidak ada bezanya tindakan itu dengan tindakan penjajah British dahulu.

Seluruh saluran undang-undang dicari untuk menghalang hak asasi rakyat untuk berhimpun. Suara rakyat yang sah untuk menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus, terang-terangan tidak dihirau malah rakyat diugut dengan tindakan polis dan tangkapan.

Mapim mengingatkan kepada semua pihak yang menjadi dalang menafi hak rakyat bahawa pada satu masa nanti semua konspirasi antara pegawai kerajaan dan pemimpin politik pemerintah dan pihak keselamatan akan terbongkar.

Semua alasan yang direka pada suatu waktu nanti akan terdedah. Politik angka yang cuba dimanipulasi melalui pendaftaran warga asing suatu hari akan dimaki oleh generasi akan datang sebagai kerajaan dan parti pemerintah yang mengkhianati amanah dan menjual kedaulatan negara demi mengekalkan kuasa.

Apa erti berkuasa jika ia datang dari sokongan dari warga asing yang sangat rapuh. Apa erti kemenangan jika ia dicapai dengan penipuan yang tidak akan dapat dirahsiakan selama-lamanya.

Semua harus tahu bahawa ketika kuasa imperialis British mengguna seluruh kuasa mereka untuk menghitamkan kambing rakyat yang mahu mencapai kemerdekaan, akhirnya terpaksa berhadapan dengan gelombang rakyat yang melancarkan pemberontakan melalui gerakan bawah tanah.

Kerajaan yang ada sekarang juga akan menerima akibat yang sama bila mereka merasa terlalu kuat dan menguasai semua perkakas kerajaan untuk membendung kebangkitan rakyat.

Pengalaman kebangkitan rakyat di Asia Barat harus dipelajari dengan cermat kerana ketika golongan elit politik yang kaya raya merasa selesa dan kekalahan dianggap bukan suatu pilihan, akhirnya berhadapan dengan gabungan kekuatan rakyat marhaen, petani dan buruh, professional dan pelajar, ahli seniman dan budayawan, kelompok mustadhafin dan golongan ulama, bergabung untuk bangkit menentang kezaliman.

Mapim menyeru agar semua kakitangan kerajaan dan pihak keselamatan menginsafi bahawa perubahan tidak mungkin boleh dibendung dengan kekerasan sepanjang masa. Suatu masa akan wujud dimana sejarah kuasa rakyat kembali berulang dan segala benteng akan pecah, dan mereka yang bertanggungjawab memukul dan menganiaya rakyat dengan belantan dan gas pemedih mata akan diadili rakyat di mahkamah rakyat nanti.

Penulis ialah Setiausaha Agung Mapim.