"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memahami ideologi agama Pas

FATHI ARIS OMAR

Kita, baik penyokong PH atau PN, rasa macam kita sudah cukup faham. Namun, peminat politik dan pemerhati gerakan Islam, ada waktu-waktunya, sukar menanggapi gejala ini.

Pas (baharu) dan Islamisasi 1970-an gejala yang panjang, berlapis-lapis, ruwet dan tebal sejarahnya. Memang tidak akan dapat diselami dengan mudah dan selapis.

Biar saya cuba huraikan dua daripada empat perkara yang dimaksudkan di bawah. Boleh jadi juga tanggapan saya silap, cetek atau lemah. Tanggapan ini untuk diperdebatkan lagi.

1. Pas bukan parti biasa, ia sebuah parti massa seperti warisan pergerakan politik abad ke-20. Diilham daripada gerakan buruh dan Marxisme, banyak parti di banyak negara sejak lebih 100 tahun lalu mengambil pendekatan ini.

Di negara kita, Umno dan Pas menggunakan kaedah ini. Ia mempunyai sistem perkaderan, ideologi, cawangan ke peringkat akar umbi, institusi satelit, disiplin dan kawalan, sistem dana, pelbagai latihan dan sayap-sayap pergerakan.

Banyak parti bercita-cita membentuk sistem seperti ini tetapi tidak selalu berjaya. PKR cuba tetapi tidak sesuai dengan gejala dan semangat abad ke-21.

Parti ini parti media, sokongannya “terapung” mengikut lintasan isu semasa yang dikupas melalui media (internet). PKR ini “mediated party” yang hidup dalam “mediated democracy”. Kita bincang lain kali.

Dalam perlawanan merebut sokongan Melayu dengan Umno (baca: parti kerajaan), Pas juga menyusun struktur, pentadbiran, aliran dana dan institusi parti.

Pasti, Unit Amal, Harakah dan jabatan pelajar sebahagian proses pengukuhan (baharu) tersebut. Ia sebahagian projek “meng-haraki-kan” Pas selepas muktamar 1982.

Lebih unik, Pasti dan jabatan pelajar ini dibentuk (susun semula) akibat krisis dengan dua satelit parti, ABIM dan IRC, yang berlaku sekitar 1983 hingga 1986.

Parti kiri juga ada banyak satelitnya, termasuk intelektual seperti penulis, wartawan, ahli akademik, seniman, penerbit buku dan agamawan teologi pembebasan. ABIM dan IRC pernah berperanan sebagai cabang satelit Pas.

Tetapi Pas bukan parti sekular seperti kesatuan buruh atau gerakan Marxisme. Pas menukar diri sebagai jemaah Islam dengan sasaran mad’unya di kampung atau pinggir bandar.

Jika Marxisme ada kaum buruh dan proletariat, Pas ada orang kampung sebagai penggerak jemaah. Orang kampung sebagai tapak subur tradisi, konservatisme, nasionalisme etnik, kehidupan santai-ringkas-bergelut, bertani dan pergaulan sesama sendiri (monoethnic).

Jika kita lihat bagaimana markaz parti dan Pasti dibentuk, khususnya 1980-an dan 1990-an, kita akan perasan kesan sifat tradisi kampung seperti kerja gotong-royong, mewakaf tanah dan derma.

Ia bukan kegiatan parti yang terpisah daripada masyarakat tetapi menjadi sebahagian kerja orang kampung, setidak-tidaknya dalam kalangan penyokong dan simpatisan Pas.

Kegiatan rutin agama di kampung perlahan-lahan menjadi kehidupan berteraskan atau berlegar di sekeliling penggerak Pas. Tanpa jersi rasmi, watak khusus dan perkampungan khas macam Arqam, Pas diserap secara semula jadi dan organik.

Kuliah maghrib, urusan jenazah, kenduri, solat hajat, bacaan Yaasiin, sakit demam, bencana, bomoh, sambutan nisfu syaaban, israk mikraj dan maulud, bubur Asyura semuanya digerakkan dalam konteks orang Pas tetapi tanpa menampal label dan politik parti.

Begitulah maksud saya dalam hujah 1 di bawah: jemaah Pas sebagai penghayatan budaya.

Di sini pandangan politik, agama dan tasawwur Pas menyusup dalam fikiran massa. Pas sebagai institusi budaya dan proses pembudayaan (sosialisasi).

Pas menggantikan institusi rasmi, kerajaan atau Umno yang pernah mencengkam kehidupan sosio-agama, sosio-budaya dan sosio-ekonomi kampung.

Lama-kelamaan, perlahan-lahan dan senyap-senyap, ideologi agama Pas tidak lagi dianggap ada motif politik tetapi versi sah Islam yang sedia ada, tradisi atau semula jadi.

2. Ramai orang tidak dapat menangkap apa makna Kebangkitan Islam di negara ini sejak 1970-an atau sering digelar Islamisasi (atau dalam istilah negatif Arabisasi). Perlu diakui, gejala ini rumit untuk dibedah, apatah lagi difahami.

Selain buku sejarah Pas seperti Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS, 1951-2003 (Dr Farish A Noor, 2004), saya sarankan kita semua baca The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam (Karen Armstrong, 2000).

Fenomena ini lebih rumit difahami jika kita tidak pernah hidup bersama gerakan usrah pada saat Pas berkembang membudaya (point 1) dan tidak pernah meneliti kajian fundamentalisme agama.

Pada hemat saya, ada tiga perkara besar untuk memahami kebangkitan Islam atau political Islam. Dua daripadanya saling berkaitan (a) hakimiyah Allah dan (b) totalisasi agama (addin atau syumul).

Yang ketiga, (c) sebaran ideologi (a) dan (b) melalui semua proses kehidupan bernegara, termasuk “merampas” (hijack) pertarungan makna-tafsir agama daripada Negara atau institusi rasmi.

Gejala (c) ini wujud hasil berkembangnya pembudayaan ideologi agama Pas seperti point 1 di atas. Sampai di suatu peringkat, Umno tewas, terpaksa tunduk bawah tafsir agama ala Pas.

Saya huraikan beberapa kali sejak lebih 20 tahun lalu. Sebahagian tulisan lama saya tentang ideologi agama dikumpul dalam buku Agong Tanpa Tengkolok (2014).

Ramai intelektual nobatkan AMANAH bakal jadi parti pilihan

AKMAL MANAF 

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu optimis parti yang ditubuhkan sejak 2015 itu, akan menjadi sebagai parti pilihan pada masa hadapan.

Beliau berkata, ramai golongan intelektual daripada universiti berpandangan bahawa parti AMANAH mempunyai masa depan yang agak baik.

“Kami akui, parti AMANAH parti kecil dan pemimpinnya tidaklah hebat. Macam saya ini kerdil, tidak kaya dan naik pun melalui bawah.

“Namun, ramai juga para intelektual universiti melihat AMANAH ini mempunyai masa depan yang agak baik.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, sebenarnya kalau nak diikutkan ciri-ciri kekalahan itu, kami (AMANAH) tidaklah begitu teruk.

“Kita macam pak pandir lah.. bukan anak dia yang mati, anak orang lain pun mati juga,” katanya dalam rancangan bual bicara dalam talian, Skop MG (Malaysia Gazette), semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai strategi AMANAH untuk menarik orang Melayu kekal bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan.

Dalam rancangan itu, Mohamad turut mengimbas kembali kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama yang menyaksikan calon AMANAH, Dr Hafidzah Mustakim menembusi kawasan itu pada PRN yang lalu.

“Kalau kita lihat di Kelantan itu, Alhamdulillah kami muncul (menang) satu kerusi (AMANAH) dan satu lagi kerusi Barisan Nasional (BN). Kalau istilah kerusinya, kami (AMANAH) sama kuat dengan BN.

“Tetapi buat masa ini, kami tetap yakin masa depan ke arah negara stabil, AMANAH akan menjadi pilihan di masa hadapan, insya-Allah,” ujar Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

‘Kalau ambil juara tinju sekali pun tapi tak dapat undi tak menang juga’

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 
AMANAH menepis tanggapan sesetengah pihak kononnya meletakkan calon yang disifatkan sebagai ‘belum cukup kuat’ di Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kuat atau tidak seseorang calon itu bergantung kepada sokongan yang diberikan oleh masyarakat kepada bakal wakil rakyat itu.

Katanya, kekuatan seseorang calon itu dilihat bergantung kepada sokongan yang diberikan rakyat kepada mereka.

“Kalau kita ambil juara tinju sekali pun, tetapi tak ada orang undi dia, tak menang juga. Macam arus yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tempoh hari.

“Tak kira siapa calon yang diletakkan pada hari itu, calon Pas mesti menang. Itulah ‘arus’ yang melanda, ada gelombang di sana.

“Begitu juga kalau calon itu kuat dan hebat macam mana sekali pun. Misalnya dulu kita letak calon Tun Mohamed Salleh Abas bertanding di Lembah Pantai lawan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Tun Salleh kalah.

“Tun Salleh bekas peguam negara dan ketua hakim negara, apa yang tak hebatnya? Beliau kalah sebab ‘arus’ ketika itu tidak kepada pembangkang, ianya lebih kepada pemerintah waktu itu zaman Tun Dr Mahathir,” katanya dalam rancangan bual bicara dalam talian, Skop MG (Malaysia Gazette), malam tadi.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya hos rancangan tentang ‘cakap-cakap’ daripada orang awam bahawa calon yang diletakkan pada PRN kali ini belum cukup kuat untuk diketengahkan.

Tambah Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, persoalan tentang kuat atau tidak seseorang calon itu bukanlah hujah, namun adakah calon itu mendapat sokongan daripada orang ramai atau sebaliknya.

Pada 9 September ini, AMANAH meletakkan Suhaizan Kaiat sebagai calon di Parlimen Pulai yang akan menyaksikan beliau berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan calon Bebas, Samsuddin Mohd Fauzi.

Untuk rekod, Suhaizan merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Naib Pengerusi AMANAH Johor dan Ketua AMANAH Kawasan Pulai.

PRK Parlimen Pulai yang serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Di DUN Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman akan berdepan dengan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.

Cerai isteri jika Anwar masih PM: Lafaz taklik tidak boleh ditarik balik

HarapanDaily.com
Cerai isteri jika Anwar masih PM: Lafaz taklik tidak boleh ditarik balik
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, dari sudut hukum, apa-apa pun taklik tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan.

Ketua Hakim Syarie pertama yang dilantik sebagai Menteri Agama itu berkata,  di bawah peruntukan undang-undang jelas menggariskan bahawa mana-mana permohonan untuk mengesahkan taklik perlu difailkan di mahkamah syariah kerana ia diperuntukkan dalam enakmen semua negeri.

“Jadi, dinasihatkan kepada isteri atau suami terbabit untuk memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengesahkan penceraian tersebut.

“Hanya hakim syarie di mana pasangan terbabit bermastautin sahaja yang boleh menentukan sama ada taklik tersebut jatuh ataupun tidak,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perbuatan seorang lelaki pada Februari lalu yang bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sehingga bulan Ogos.

“Wallahi, saya akan ceraikan bini saya dengan lafaz talak tiga jika PMX dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sampai bulan 8 2023,” kata lelaki itu dalam hantaran yang tular.

Sikap yang dilihat hasil taasub pada parti politik Pas diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menggegarkan orang ramai terutamanya masyarakat Islam sama ada sama ada talak jatuh atau sebaliknya selepas berakhirnya bulan Ogos.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, adalah amat tidak bertanggungjawab apabila taklik dikaitkan dengan penceraian dengan talak tiga kepada seorang isteri kerana isteri tidak boleh dijadikan objek atau pertukaran kepada sesuatu taklik.

“Isteri sepatutnya dinaikkan martabat. Islam sendiri telah menaikkan taraf seorang isteri dan wanita,” tambahnya.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menasihatkan agar golongan suami perlu bertanggungjawab dengan tidak melibatkan maruah isteri dalam lafaz jika melafazkan taklik.

“Yang kedua, kalau nak mengesahkan sesuatu lafaz sama ada jatuh atau tidak jangan rujuk kepada pihak yang ketiga.

“Yang boleh menentukan sama ada lafaz itu jatuh atau tidak adalah hakim mahkamah syariah di mana pasangan itu bermastautin,” katanya lagi.

Dalam hal berkaitan, lelaki yang mahu menceraikan isterinya talak tiga jika Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos itu difahamkan merupakan seorang pengawal keselamatan.

Dalam satu laporan polis bertarikh 2 Ogos lalu yang tular, tertera alamat rumah individu berkenaan di Taman Murni Perdana, Dungun.

Dia berumur berumur 55 tahun 9 bulan ketika laporan polis itu dibuat di Balai Polis Paka, Dungun dan bekerja di kawasan perindustrian Kerteh, Kemaman.

Pengadu berkenaan menafikan bahawa dia menulis hantaran seperti yang disebarkan di media sosial itu.

“Saya berasa terkejut kerana status yang disebarkan itu tidak pernah saya tulis,” katanya dipetik daripada laporan polis itu.

Selangor: 'Petisyen pilihan raya di 4 DUN dikemuka dalam masa terdekat'

Bernama

Petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan lepas akan dikemukakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

“(Petisyen) itu sedang diperhalusi, kita telah bincang untuk pihak PKR dahulu dan memang kita sudah semak semua perkara. Insya-Allah ia akan dikemukakan dalam masa terdekat, kita sedang menunggu proses keputusan pewartaan yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program FIT Malaysia peringkat Selangor 2023 di Kuala Langat, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan keputusan dan penyata pengundian selepas penjumlahan rasmi undi PRN di enam negeri telah diwartakan pada 29 Ogos lepas.

Sebelum ini, PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan adalah rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan majlis pimpinan negeri dengan pasukan peguam akan membuat penelitian lanjut berhubung kes di semua kerusi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kos pembersihan tapak sampah haram di Kapar, Klang adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah terbabit selaku pemilik harta persendirian.

“Tetapi dalam banyak pengalaman kita, akhirnya kerajaan negeri akan masuk campur dan semestinya kita akan beri kos itu kepada tuan tanah dan kalau tidak ada, kita akan melakukan proses perampasan dan sebagainya sebab guna tanah yang tidak sesuai dengan apa yang telah ditetapkan dalam syarat guna tanah,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan jumlah sampah di tapak berkenaan dianggarkan antara 30,000 hingga 50,000 tan metrik dengan kos pembersihan mungkin melibatkan jutaan ringgit.

-Bernama

Beraninya Penjawat Awam Sekarang Menentang Kerajaan?

Shahbudin Husin

Awal hari ini tersebar di media sosial berkenaan sebuah poster melibatkan Adun PN kawasan Ijok, Jefri Mejan yang memohon infaq atau sumbangan bagi penubuhan pusat khidmat masyarakat atas kedudukannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Antara lain, infaq atau sumbangan itu diperlukan bagi membeli set komputer, printer, perabot pejabat, peti ais, signboard, whiteboard, set sofa dan internet.

Bagaimanapun, akaun bank yang digunakan bagi tujuan itu menggunakan nama Bakar Mat Jidi, yang kemudian dikenalpasti seorang guru besar sekolah kebangsaan.

Ramai netizen mengecam tindakan pengumpulan derma itu kerana kata mereka, wakil rakyat sepatutnya menolong rakyat, bukannya memohon pertolongan daripada rakyat.

Lebih menjadi perhatian ialah kerana akuan bank yang digunakan bagi tujuan mendapatkan sumbangan itu melibatkan seorang penjawat awam iaitu seorang guru besar.

Beraninya seorang penjawat awam menunjukkan sokongan secara terbuka kepada blok pembangkang?

Kejadian ini dengan sendirinya mengesahkan dapatan sebuah kajian baru-baru ini yang mendapati majoriti penjawat awam di enam negeri yang mengadakan PRN tidak memberi sokongan kepada calon-calon kerajaan perpaduan.

Sehingga kini belum ada respon daripada Adun Ijok atau guru besar terbabit dalam isu ini.

Secara prinsipnya, penjawat awam atau kakitangan kerajaan mestilah memberi sokongan kepada kerajaan semasa.

Meskipun undi adalah rahsia, tetapi menunjukkah wajah sokongan kepada wakil rakyat pembangkang secara terbuka, malah membenarkan akaun banknya digunakan bagi tujuan pengumpulan dana wakil rakyat berkenaan, barangkali suatu tindakan yang keterlaluan, bahkan mencabar kerajaan.

Maksudnya, terlalu berani penjawat awam berkenaan memperlihatkan pendirian politiknya.

Sehubungan itu, Setiuasaha Politik Menteri Pendidikan, ‘Atiqah Syairah Shaharuddin dengan segera menulis surat kepada Ketua Unit Intergriti Kementerian Pendidikan, Puan Siti Zakiah Che Man agar melakukan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Katanya, beliau telah menerima aduan melalui media sosial dan beberapa saluran lain berkenaan isu tersebut yang melibatkan seorang guru besar yang menggunakan akaun bank peribadinya sebagai saluran bagi pengumpulan dana politik.

Menurutnya lagi, partisipasi atau penglibatan penjawat awam dalam politik kepartian telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa dan juga komuniti.

“Penglibatan pentadbir sekolah juga dilihat akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pembangunan dan pengurusan sekolah,” katanya dalam surat tersebut.

Seterusnya, tegas ‘Atiqah Syairah, “besar harapan saya agar pihak puan dapat memastikan tindakan dan siasatan dijalankan mengikut laras perundangan dan aturan profesionalisme penjawat awam.”

Menggesa siasatan dan seterusnya memastikan tindakan diambil dengan segera terhadap guru besar terbabit tentunya sesuatu yang wajar kerana haruslah difahami, tiada kerajaan dalam dunia ini yang hanya tersenyum saja bila ada kakitangan awamnya tidak menyokong kerajaan yang sedang berkuasa.

Sebagaimana disebut di atas tadi, kakitangan awam mesti bersama dengan kerajaan semasa, walaupun undi ketika pilihan raya adalah rahsia.

Untuk memastikan kerajaan perpaduan ini lebih berwibawa, isu seperti ini haruslah ditangani dengan segera dan tidak harus dibiarkan terus berleluasa.

Membiarkannya tanpa tindakan lebih memungkinankan kerajaan disabotaj dalam segala programnya dan seterusnya akan kalah bila nanti pilihan raya tiba.

Anwar Ibrahim mesti melihat perkara ini dengan serius dan wajib berbuat sesuatu di semua kementerian dan sektor penjawat awam.

Jika tidak ditangani, bersedialah ditimpa kekalahan dalam PRU16 nanti. – ShahbudinHusin 01/09/2023.

Sedarkah, kita sudah ‘dijajah’ semula?

INIKAH imej bandar raya Kuala Lumpur yang ingin kita banggakan, iaitu sebuah ibu kota dibanjiri terlalu ramai warga asing? – UTUSAN/AMIR KHALID
Oleh Meja Rencana

SAUDARA PENGARANG,

PENGUASAAN ekonomi warga asing sudah sampai ke tahap membimbangkan bilamana ia turut dipaparkan dalam media massa oleh wartawan yang membuat tinjauan.

Bukan sahaja isu tapak perniagaan yang dimiliki oleh warga tempatan berpindah kepada warga asing seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Petaling, Jalan Silang dan Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur dan Pasar Harian Selayang, Selangor, malah ia merebak ke tempat-tempat lain di seluruh negara.
Aduan seorang pembaca di ruangan ini baru-baru ini sama ada warga asing yang berniaga di bandar Batu Pahat, Johor memiliki lesen atau tidak.

Batu Pahat adalah bandar ke-16 terbesar di negara ini dari segi jumlah penduduknya. Ia juga bandar kedua terbesar dalam Johor selepas Johor Bahru.

Kita dapat melihat kerakusan warga asing ini ‘menjajah’ Malaysia dengan menjalankan perniagaan sehingga ada yang menjadi bos dan boleh menggaji rakyat tempatan pula.

Penguasaan mereka di sektor ekonomi dilihat banyak membawa keburukan kepada kehidupan rakyat tempatan dan secara langsung menggugat pengusaha tempatan untuk meraih keuntungan dalam perniagaan.

Adakah ini penjajahan bentuk baharu dalam bidang ekonomi dan seterusnya menguasai sesebuah negara tanpa menakluk menggunakan senjata sepertimana era dasar imperialisme Barat dahulu?

Bagi saya, kerajaaan perlulah bertegas dan harus segera menggunakan saluran undang-undang agar isu kebanjiran warga asing melibatkan diri dalam perniagaan secara haram ini dijadikan agenda besar negara.

Antara bidang ekonomi yang dilihat banyak diceburi warga asing adalah menjual pakaian, kedai runcit, membasuh kereta dan menjual sayur-sayuran.

Jika berkunjung ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Petaling, Jalan Silang dan Jalan Chow Kit, kita dapat merasakan seolah-olah berada di luar negara. Ini kerana semua kedai dikendalikan oleh peniaga warga asing.

Adakah suasana ini baik untuk rakyat dan ekonomi negara ini? Adakah semuanya memiliki lesen dan jika ya, persoalannya, kenapa begitu mudah pula diluluskan?

Selain itu, dapat dilihat kedai-kedai warga asing ini jelas telah melanggar peraturan pelesenan seperti tidak menjaga kebersihan. Warga asing dilihat suka-suka mengubah suai premis perniagaan dan membuang sampah merata- rata tanpa menitikberatkan aspek kebersihan.

Selain itu, digunakan bahasa mereka pada papan tanda premis perniagaan tanpa menggunakan bahasa Melayu. Ini sudah melanggar syarat pelesenan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

Inikah imej bandar raya Kuala Lumpur yang ingin kita banggakan, iaitu ibu kota yang kotor dan dibanjiri terlalu ramai warga asing bukan untuk melancong tetapi berniaga?

Selain itu, tiada negara di dunia di mana rakyatnya suka kepada warga asing yang melanggar undang-undang telah ditetapkan.

Akhirnya, kita tidak mahu kegiatan warga asing khususnya yang terlibat dalam perniagaan haram akan merosakkan kehidupan rakyat dan mencetuskan satu malapetaka ekonomi kepada negara.-UTUSAN

APA YANG DIBANGGAKAN
Temerloh, Pahang

KPM diminta siasat akaun guru besar diguna kumpul dana Adun PN

HarapanDaily.com
KPM diminta siasat akaun guru besar diguna kumpul dana Adun PN
Kementerian Pendidikan melalui Unit Integriti perlu menyiasat isu seorang guru besar yang akaun banknya digunakan untuk pengumpulan dana bagi penubuhan pusat khidmat seorang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, ‘Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, adalah diharapkan tindakan dan siasatan dapat dijalankan mengikut perundangan serta aturan tatatertib profesionalisme penjawat awam.

Menurutnya dipetik Suara Keadilan, beliau telah menerima aduan berkenaan akaun bank peribadi seorang guru besar sebagai saluran bagi pengumpulan dana politik.

Katanya, dakwaan penglibatan penjawat awam dalam politik kepartian telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa dan juga komuniti.

“Penglibatan pentadbir sekolah juga dilihat akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pembangunan dan pengurusan sekolah,” kata beliau dalam sepucuk surat kepada Ketua Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Seterusnya beliau dalam surat itu berkata, “besar harapan saya agar pihak puan dapat memastikan tindakan dan siasatan dijalankan mengikut laras perundangan dan aturan profesionalisme penjawat awam,” tegas ‘Atiqah Syairah lagi.

Terdahulu, tular poster melibatkan wakil rakyat PN DUN Ijok, Jefri Mejan yang memohon sumbangan peralatan pejabatnya.

Sumbangan diperlukan bagi membeli set komputer, printer, perabot pejabat, peti ais, signboard, whiteboard, set sofa dan internet Unifi.

Bagaimanapun, akaun bank yang digunakan bagi tujuan tersebut menggunakan nama seorang guru besar sekolah kebangsaan di Selangor.

Warganet mengecam tindakan pengumpulan derma itu kerana wakil rakyat sepatutnya menolong rakyat, bukannya memohon pertolongan daripada rakyat.

Dalam masa sama, orang ramai turut mempersoalkan penglibatan seorang penjawat awam dalam politik kepartian.

Bekas pemimpin PAS, Bersatu bersama 200 ahli akan sertai Amanah

Malaysiakini

Dua orang bekas pemimpin utama PAS dan Bersatu bersama lebih 200 ahli dua parti itu akan menyertai Parti Amanah, kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Aminolhuda berkata majlis penyerahan sebahagian borang keahlian Amanah oleh bekas exco Kerajaan negeri Johor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bersama ahli-ahli mereka akan dilakukan di Sungai Abong, Muar, esok dan sebahagian lagi di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, Perling, di sini Ahad ini.

"Penyertaan mantan Exco dan mantan ADUN daripada Bersatu dan PAS itu adalah satu isyarat yang jelas terhadap penerimaan kepada perjuangan Amanah yang membawa semangat RAHMAH seperti yang ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Kami juga yakin bahawa kemasukan ini menunjukkan rakyat gembira dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminolhuda yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata borang keahlian akan diserahkan kepada Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dalam dua majlis ceramah di kawasan itu.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan dua pemimpin yang dimaksudkan itu.

- Bernama

Tagih sumbangan RM26,100 untuk pejabat ADUN tapi duit masuk dalam akaun Pas

HarapanDaily.com
Tagih sumbangan RM26,100 untuk pejabat ADUN tapi duit masuk dalam akaun Pas
Bukan hanya seorang wakil rakyat dari Pas yang selamba minta tolong rakyat untuk operasi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tular poster sumbangan Pusat Khidmat DUN Sungai Bakap di Pulau Pinang yang menyenaraikan perincian kos peralatan pejabat yang diperlukan.

Sejumlah RM26,100 ditagih merangkumi enam jenis perbelanjaan dengan kira-kira separuh hasil sumbangan itu nanti bagi tujuan menyiapkan partition.

Sumbangan juga diperlukan untuk kelengkapan penyaman udara, meja dan kerusi, signboard berserta spotlights dan set sofa untuk tetamu.

Paling menjadi bahan senda warganet ialah vest petugas Skuad Prihatin  pejabat ADUN itu yang menelan kos RM2,200.
Nor Zamri Latiff

Dalam masa sama, orang ramai mempertikai sumbangan yang disalurkan terang-terang masuk ke dalam akaun bank Pas Kawasan Nibong Tebal.

“Tu dia… terbaiklah ADUN Sungai Bakap. Bukan nak bantu rakyat, dia minta rakyat bantu dia. Sumbangan pulak masuk ke akaun Pas.

“Laaa.. ingatkan undi dapat ADUN, rupanya dapat NGO.

“Dia ni bukan ka tauke roti Arab?” demikian antara komen warganet.

Sungai Bakap antara tujuh kerusi DUN dimenangi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bulan lalu.

Nor Zamri Latiff memenangi DUN N20 itu dengan majoriti 1,563 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Nurhidayah Che Ros.

Dia yang dipanggil ‘Abang Zam’ berusia sekitar 50-an dianggap oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Riduan Mohamad Nor sebagai “ligat mencari dana awam untuk menyantuni masyarakat”.

Penunggang maut digilis dalam nahas 5 kenderaan

Bernama

ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal maut digilis manakala rakannya patah tulang pinggang dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan tiga kereta di KM207 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan).

Ketua Polis Alor Gajah, Arshad Abu, berkata kejadian kira-kira 6.15 pagi tadi menyebabkan mangsa, M Kumaresan, 29, yang merupakan juruteknik kilang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan perut.

“Dipercayai mangsa (Kumaresan) yang menunggang motosikal Kawasaki KR150 bersama rakannya berusia 27 tahun yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati berlaku perlanggaran sesama sendiri antara kedua-dua motosikal terbabit yang menyebabkan mangsa jatuh di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 29 tahun yang berada di lorong tengah terus mengelak ke lorong kanan dan kemudian dilanggar Toyota Alphard.

Katanya, sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger pula melanggar satu daripada motosikal terbabit di lorong kanan dan menyebabkan tayar sebelah kiri hadapan dan belakang kenderaan itu bocor.

Menurut Arshad, pihaknya sedang mengenal pasti kenderaan yang menggilis Kumaresan dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Beliau berkata, rakan Kumaresan pula dirawat di Hospital Melaka dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wanita diperkosa bergilir-gilir: 5 lelaki diburu polis

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima lelaki yang disyaki terbabit memperkosa seorang wanita secara bergilir-gilir di rumah di Wangsa Maju di sini, kelmarin, masih diburu polis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan.

"Polis sudah mengenal pasti suspek terbabit dan setakat ini, belum ada tangkapan dibuat.

"Berdasarkan siasatan awal, hanya kenalan abang ipar mangsa yang merogolnya manakala abang ipar tidak turut serta," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita yang sedang tidur 'diserang' lima lelaki sebelum diperkosa secara gilir-gilir di kediamannya.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun ketika itu sedang tidur di dalam bilik tersedar apabila mulutnya ditutup dengan tangan oleh suspek yang juga dipercayai rakan kepada abang iparnya.

Suspek turut mengikat tangan dan menutup mulut mangsa dengan pita pelekat sebelum mereka memperkosanya dan merakam perbuatan terkutuk itu.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, polis sudah mengenal pasti identiti suspek.

Selepas Jitra, YB Pas Ijok pula minta rakyat tolong tapi tarik balik

HarapanDaily.com
Selepas Jitra, YB Pas Ijok pula minta rakyat tolong tapi tarik balik
Semasa berkempen, sibuk berjanji akan tolong menyelesaikan masalah rakyat tetapi apabila sudah bergelar ‘YB’ rakyat pula yang kena bantu.

Itu situasi yang berlaku pada beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas yang selamba memohon bantuan rakyat diwakilinya.

Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah bulan lalu mengaku resah dengan kos sewaan premis agak tinggi, nama ADUN Ijok pula hangat diperkatakan.

Menerusi poster memohon sumbangan yang disiarkan, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN N11 itu memerlukan lapan jenis kelengkapan iaitu set komputer, pencetak dan perabot pejabat.

Turut diperlukan pejabat ADUN pembangkang di Selangor itu ialah peti ais, papan putih, set sofa dan akses internet Unifi.

Malah, mengundang lucu warganet, YB Pas juga memohon sumbangan berupa ‘signboard’ PKM bagi mengisi ‘Tabung Infaq’ yang dilancarkan itu.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu ADUN N11 untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih tersusun dan berkesan,” dipetik dari poster tular itu.

Dilengkapi nombor telefon dan nombor akaun bank, poster itu juga tampil dengan tanda pagar PN Tetap Best, Nafas Baharu Ijok dan Bakti Untuk Ijok.

Walau bagaimanapun, poster itu ditarik balik dari laman Facebook Jefri Mejan Officials selepas dihujani kritikan dan sindiran orang ramai.

“Kami di pihak Pejabat Khidmat Dun N11 Ijok menarik semula poster sumbangan.

“Kami mohon maaf di atas kesilapan teknikal yang terjadi,” kata pentadbir akaun rasmi wakil rakyat Pas berkenaan.

Orang ramai berpendapat pengundi Pas terbukti telah melakukan kesilapan besar apabila dianggap memilih ‘peminta sedekah’ sebagai wakil rakyat.

Ada juga penduduk tempatan di Ijok memberitahu, pemohonan Tabung Infaq bagi memohon sumbangan peralatan pejabat ADUN itu agak ‘pelik’ memandangkan Jefri sebelum ini adalah jurutera.

“Pelik juga, dia ni kontraktor. Rumah besar tapi nak buat pejabat minta duit sumbangan.

“Orang Ijok dah kena ‘lipak’,” dipetik dari tangkap layar yang tersebar di media sosial.

Semakan Harapan Daily mendapati ADUN Ijok, Jefri Mejan, 44, mempunyai Ijazah Sarjana Muda Mekanikal pada 2004 dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Pempengaruh TikTok itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan lalu dengan majoriti tipis 907 undi.

Kemenangan Jefri yang juga bekas Timbalan MSN Selangor itu adalah percubaan kali keduanya selepas PRU14.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Ijok dimenangi bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,920 undi.

Selepas itu, pada PRU13 dan PRU14 pula, kerusi di bawah Parlimen Kuala Selangor tersebut dimenangi Dr Idris Ahmad dari PH.

Bagaimanapun, pada PRN bulan lalu, Dr Idris tidak dicalonkan sebaliknya digantikan dengan Amidi Abdul Manan juga dari PKR.

‘Bendera Machang ke tu?’, poster MP PN mengundang cemuhan

HarapanDaily.com
 
‘Bendera Machang ke tu?’, poster MP PN mengundang cemuhan
Poster ucapan Hari Kebangsaan daripada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengundang kritikan dan sindiran orang ramai malah dianggap menghina Jalur Gemilang.

Cemuhan warganet itu timbul apabila rekabentuk logo pada poster pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu bercanggah dengan ciri-ciri sebenar motif pada bendera Malaysia.

Menerusi poster yang dimuat naik oleh Timbalan Ketua Pemuda PN itu, jalur merah dan putih yang sepatutnya melintang digubah menjadi kelarai dan bertindih.

Selain itu, kedudukan anak bulan dan bintang pecah 14 dalam bulatan berwarna biru pula dilihat sedikit dirapatkan.

Bulatan biru yang mengandungi lambang agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan itu pula ditindihkan di atas kelarai jalur merah dan putih.

Sehubungan itu, orang ramai antara lain menyifatkan Wan Ahmad Fayhsal tidak peka dengan larangan penggunaan bendera dalam penghasilan logo.

Hal ini memandangkan, hanya penggunaan warna asas dan motif bendera iaitu merah, putih, biru dan kuning sahaja dibenarkan dalam gubahan logo.

“Bendera Machang ke tu?

“Siapa ajar kamu buat bendera macam tu?

“Siapa bagi kau hak untuk tukar atau ubahsuai bendera kebangsaan? Kau rakyat negara mana?” demikian antara komentar warganet.

Malah, pentadbir Facebook Komunikasi Keadilan Hulu Langat menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap mana-mana yang menghina Jalur Gemilang.

Rogol anak 14 tahun, lelaki mengaku salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan merogol anak perempuan kandung berusia 14 tahun, pada April lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, 39, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas anak perempuannya di ruang tamu sebuah rumah, di Kuantan kira-kira 4.30 petang, 25 April lalu.

Bagi kesalahan sumbang mahram itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh yang juga pengawal keselamatan tidak diwakili peguam faham sebab dan akibat pengakuan bersalahnya itu.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh merupakan bapa kandung kepada mangsa.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan 13 Sept untuk sebutan fakta dan hukuman bagi kes tersebut.

Ramai ‘ustaz Pas’ tak dapat cari makan, jangan sampai jadi penjaja di pasar minggu

HarapanDaily.com

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat, Mokhtar Senik secara terbuka mengaku bahawa ramai ‘ustaz Pas’ pada masa ini hilang sumber pendapatan.

Beliau yang kalah bertanding di Parlimen Padang Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu berkata, keadaan itu berlaku kerana penceramah terbabit  antara lain tidak mendapat tauliah mengajar agama Islam.

Bahkan, ramai ustaz Pas, dakwanya dihalang memberikan kuliah di masjid dan surau di dua negeri dikuasai parti tersebut iaitu Kedah dan Perlis.

“Sekarang ni ramai ustaz Pas (yang tidak ada kerja tetap) yang dihalang berkuliah di masjid-masjid dan surau kerajaan terutamanya di Selangor, Perak, Kedah dan Perlis atas isu tauliah dan pelbagai lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pimpinan Pas di peringkat kawasan dan negeri mengatur program agar penceramah terbabit dapat menyampaikan kuliah di markas-markas Pas.

Dia juga mengingatkan usaha tersebut perlu dilakukan bagi mengelak ‘ustaz Pas’ melakukan kerja-kerja lain seperti menjadi pemandu e-hailing dan penjaja di pasar minggu.

“Pakat-pakatlah ahli kawasan atau cawangan sumbang kepada tabung kuliah. Lagikan Palestin kita boleh sumbang.

“Takkan kepada asatizah kita yang bertahun-tahun dok curah ilmu dan ajak masyarakat faham Islam serta menyokong Pas, kita jadi beku fikiran dan berat tangan. Tahniah kepada kawasan yang dah buat.

“Maaf saya sebut. Jangan sampai ustaz-ustaz kita dan tok guru kita terpaksa jadi pemandu Grab dan penjaja di pasar minggu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, ramai mengecam kenyataan Mokhtar dengan antara lain mengingatkan pemimpin Pas berkenaan bahawa tidak hina menjadi pemandu e-hailing dan berniaga di pasar.

“Hina sangat ke kalau kerja Grab atau kerja pasar malam? Takkan nak harap duit ceramah saja. Amboi!

“Eloklah jadi pemandu Grab. Hasil pun halal, daripada dapat hasil buat fitnah.

“Bukan ada sangat ilmu pun, ceramah je. Cuba pi dengar ustaz-ustaz Pas, semua sama je,” demikian antara kecaman warganet terhadap kenyataan terbaharu Mokhtar itu.

Fuad, MKT Umno: PAS 'ugly king maker'

Malaysiakini

Seorang pemimpin Umno hari ini tampil membidas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dengan melabelkan PAS sebagai "ugly king maker."

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata demikian selepas Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS mendakwa parti itu adalah "king maker" yang akan menentukan hayat politik Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Menurut Sanusi, hayat politik Zahid boleh panjang jika bekerjasama dengan PAS. Menurutnya lagi PAS adalah King Maker.

"Betul, PAS adalah king maker. Tetapi 'ugly king maker'.

"PAS boleh tukar fatwa untuk menghalalkan tindakan politiknya. PAS tinggalkan siapa sahaja yang dia mahu," katanya pada satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Sanusi dilaporkan berkata hanya PAS yang boleh menyelamatkan kerjaya politik Ahmad Zahid jika presiden Umno itu bekerjasama dengan parti tersebut.

“Kalau Zahid nak buat apa-apa pun, kalau tidak melibatkan PAS, (dia) tidak akan berjaya menyambung hayat politik beliau,” kata Sanusi dalam sidang media di Kedah, semalam.

Dia juga turut membayangkan apa jua gerakan politik tidak akan berjaya sekiranya PAS dipinggirkan.


ADS
“Saya rasa kalau tidak melibatkan PAS secara serius ia tidak akan ke mana-mana.

“Semua gerakan politik di negara hari ini mesti melibatkan PAS, (sebagai) ‘king maker’,” kata Sanusi lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata PAS sanggup melabelkan siapa saja sebagai anti Islam untuk menjadi "king maker."

"PAS akan menghukum dan melabel sesiapa sahaja sebagai anti-Islam untuk menjadi king maker.

“PAS jadi angkuh kerana kini dia king maker kepada Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu," katanya lagi

Naratif kerajaan perpaduan yang gagal

Abu Husna Prima

Izinkan saya mengambil sedikit masa bacaan saudara dan saudari untuk berkongsi selayang pandang imej kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Saya juga memohon izin daripada Anwar untuk memberikan satu dua pandangan khususnya terkait naratif perjalanan politik dan pentadbiran yang dia ketuai.

Apakah penilaian orang ramai terhadap kerajaan perpaduan seawal ia ditubuhkan? Saya kira ia boleh dipanggil sebagai 'kerajaan tak sengaja’ kerana kelihatan muncul tanpa perancangan awal.

Justeru bolehlah juga dianggap sebagai ‘kerajaan separa masak’.

Hal itu kerana kerajaan yang kita ada bukan dibentuk melalui manifesto, kerja politik pilihan raya dan idealisme yang digarap bersama sejak awal.

Maknanya, kelemahan sudah ada sejak ia dilahirkan ke atas dunia dan untuk kesejahteraan semua, ia mesti ditangani segera dengan naratif yang betul.

Berasaskan penglihatan saya sebagai seorang rakyat biasa di negara ini, Anwar membina tiga naratif penting yang disebarkan ke seluruh pelusuk negara, dan kepada dunia secara am.

Bukan senjata yang berkesan

Pertama, Malaysia berada di landasan betul untuk kebangkitan ekonomi. Kedua, Malaysia bergerak ke arah status negara berintegriti tinggi terutama apabila melibatkan penentangan terhadap amalan korupsi. Ketiga, Malaysia membawa pemikiran Islam yang sederhana, menolak pemikiran melampau dalam beragama.

Semuanya adalah baik, penting dan mendesak. Namun, apakah ketiga-tiga naratif itu dibentuk dengan baik dan berjalan sempurna sehingga ke hari ini?

Atau ia sekadar lontaran-lontaran idea yang sedap di telinga tetapi tidak menjadi polisi mantap dalam kerajaan yang kini berusia melebihi lapan bulan?

Naratif ekonomi Anwar disambut baik oleh menteri ekonomi dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Juga menteri-menteri lain.

Inisiatif yang digerakkan oleh almarhum Salahuddin Ayub adalah salah satu 'buah' daripada idea kerajaan perpaduan. Namun dua naratif yang lain lagi tidak berkembang baik apabila ia tidak disambut secara berkesan oleh menteri-menteri yang berkaitan.

Naratif kerajaan melawan korupsi tidak menjadi senjata yang berjaya setakat ini. Tiada kes yang benar-benar berjaya diatasi dengan segera. Mungkinlah benar, ia memerlukan masa yang lebih lama jika terkait kes mahkamah.

Tetapi apakah perubahan dasar dan pentadbiran kerajaan tidak boleh dilakukan pada kadar lebih segera? Apakah kejayaan kerajaan perpaduan dalam konteks ini?

Saya tidak nampak, dan kemungkinan besar saya tidak bersendirian atau menjadi kumpulan minoriti dalam hal ini.

Kadang-kadang (malah kerap kali sebenarnya), terlintas di fikiran: apakah setiap inisiatif dan slogan kerajaan ini tidak lebih sekadar slogan yang tidak pun sampai ke tulang pinggul Putrajaya untuk dilaksanakan?

Jika begitu keadaannya, bagaimana ia dapat dihayati rakyat di akar umbi?

Bergelut, lewat bertindak

Satu kemungkinan yang menyebabkan ia berlaku ialah, kerana inisiatif perdana menteri digarap atas asas perlawanan politik antara kerajaan dan pembangkang.

Justeru wujud persepsi bahawa segala kempen membanteras korupsi semata-mata untuk mengenakan lawan politik, bukannya idea sejati untuk membina tadbir urus yang baik (good governance).

Apabila Anwar membicarakan soal integriti bersekali dengan serangan terhadap lawan, naratif asas tenggelam, diragui kejujurannya dan lebih malang ia ditafsir sebagai sekadar bermotifkan politik.

Rakyat dan pandangan umum melihat ia bukan sebuah jihad tulen bagi menentang korupsi, dan tidak juga membina semula sistem kerajaan bermaruah.

Begitu juga naratif amalan beragama yang sederhana tetapi mendasari nilai hakiki yang kelihatan tidak langsung disambut oleh menteri agama serta agensi di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) serta media yang ada bersama mereka.

Barangkali kerana itu sekarang kita nampaklah menteri agama bergelut melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan 10 hari pertama dia menyertai kerajaan,

Antara tindakan yang tidak sepatutnya berlaku ialah apabila menteri agama berjumpa semua agensi di bawahnya untuk menekankan peri pentingnya menjelaskan konsep Malaysia Madani kepada orang ramai sehari sebelum pilihan raya negeri (PRN) berlangsung.

Malu benar kalau difikirkan cara bekerja sedemikian. Bahkan tidak keterlaluan jika ada rakyat menganggap menteri agama seolah-olah tidak wujud dalam kerajaan perpaduan ini.

Sebelum ini Mohd Na'im Mokhtar merupakan seorang hakim mahkamah syariah yang dihormati. Apabila dia dilantik menyertai kabinet, maka tempatnya bertukar ke Jakim.

Namun fungsi Mohd Na'im bukanlah sekadar menjadi pengiring perdana menteri ke majlis kerajaan dan keagamaan, atau menyampaikan ucapan perasmian.

Boleh terjebak hal tak sepatutnya

Ada berbelas-belas agensi di bawah menteri agama yang kini menjadi sasaran rasa rengsa dan rimas orang ramai yang berharap ia dapat digerakkan dengan jauh lebih baik.

Ketika ini naratif agama kerajaan paling teruk simpang siurnya. Benar, Anwar kerap menjemput ulama ke Seri Perdana, selain rajin menghadiri pelbagai seminar dan program agama.

Anwar juga malah memberikan ucapan sangat baik tentang pemikiran Islam sederhana. Masalahnya ialah semua itu tidak mencipta gelombang Islam di arus perdana, apa lagi di peringkat akar umbi.

Selain soal kelemahan pentadbiran agama, penguatkuasaan agensi berkaitan, kelembapan mengatur strategi memberi kesedaran rakyat tentang bahaya takfiri dan ekstremisme, Anwar sendiri perlu melihat kembali struktur pemikiran Islam sederhananya selain peranannya membina modal insan terbaik.

Kenapa orang selalu berkata anda liberal, wahai perdana menteri?

Ya, anda tidak liberal dalam pemahaman dan pelaksanaan Islam. Malah konotasi liberal yang digunakan lawan politik selalunya tersasar daripada hakikat. Salah definisi, ke laut pemahamannya.

Tetapi, rakyat juga tertanya-tanya mengapa perdana menteri yang hebat berfalsafah di pentas akademik dan dunia, juga terhibur dengan program melalaikan yang boleh dielakkan dengan mudah.

Menjadi perdana menteri kepada semua tidak bermakna anda perlu bergaul dengan semua orang di pentas mereka. Jagalah adab sama ada dari aspek agama, ketimuran, ilmuwan, agamawan dan negarawan.

Tidak perlu menjerumuskan diri mencipta isu tidak perlu seperti menyertai program hiburan melalaikan. Konsep madani mesti diperjuangkan secara menyeluruh, bukan sekadar melontar ucapan yang mengandungi makna dan maksud madani.

Madani itu dibuktikan dengan akhlak terpuji seorang pemimpin.

Mungkin sudah sampai masanya untuk Anwar melakukan dua perkara penting sebagai langkah drastik mempertahankan kerajaannya.

Ambil langkah segera

Pertama, bertindak sebagai negarawan dengan mendekati rakyat melalui pelbagai modal madani dan kemanusiaan. Jangan lagi menyerang lawan politik tidak berhenti-henti sehingga rakyat akhirnya menolak untuk mempercayai kata-kata anda.

Biarkan kerja-kerja itu dilakukan oleh menteri seperti Saifuddin Nasution Ismail, contohnya. Atau Rafizi Ramli, Mohamad Sabu dan yang lain-lain.

Biarlah mereka menjadi panglima tempur kerajaan dan saudara menjadi negarawan membina negara dan bangsa sekali gus.

Kedua, menukar segera menteri agama kepada individu yang benar-benar memahami tugasan selaku orang kanan bagi isu-isu pemikiran Islam perdana menteri dan dasar kerajaan perpaduan.

Menteri yang diperlukan kerajaan perpaduan ini ialah tokoh yang berani bertindak dan sedia mengambil risiko demi kemajuan Islam. Watak itu mesti dicari - segera.

Izinkan saya juga mengkritik Saifuddin yang berperanan penting dalam membina naratif kerajaan perpaduan di sepanjang PRN lalu.

Di sebalik kedudukannya yang penting, Saifuddin gagal mencipta gelombong sokongan buat kerajaan kerana terlalu memberi tumpuan kepada individu, yakni Menteri Besar Kedah.

Kesilapan percaturan itu akhirnya menukar peluru menjadi senjata makan tuan.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman luas, Saifuddin seharusnya belajar daripada pengalaman pemimpin PAS yang kerap kalah dalam mahkamah tetapi tetap gah kerana sokongan kepada mereka tidak berkurangan.

Belajar juga dengan pengalaman Muhyiddin Yassin yang tetap disokong sebahagian rakyat walaupun kesnya sangat meyakinkan pasukan penguat kuasa.

Apa makna semua itu?

Kalau kes yang sudah jelas pun tidak memberi bekas terhadap sokongan kepada PN, apalah sangat dengan dakwaan, tuduhan dan soalan-soalan terhadap Menteri Besar Kedah.

Cubalah berfikir lebih jauh sedikit lagi: kenapa para pengundi di bawah seliaan saudara tidak menyokong parti kerajaan?

Sepatutnya saudara lebih banyak memberi fokus kepada isu-isu keselamatan negara dan yang menggugat keharmonian rakyat termasuk berkenaan 3R.

Kurangkan masa untuk mencipta hero baru buat PN.

Kesimpulannya iakah, kerajaan perpaduan perlu bangkit segera. Empat tahun berbaki sebenarnya sangat singkat untuk sebuah naratif yang berkecamuk.

RTM pula seakan-akan tidak boleh diharapkan - kalau pun tidak sehingga ke tahap langsung tidak berguna - untuk membetulkan salah faham rakyat terhadap idealisme takfiri dan fanatisme agama.

Entahlah, adakah ia disedari Fahmi Fadzil atau pun tidak. Dia pun satu hal juga. Ramai benar yang bercakap kepada Fahmi tetang peranan RTM dan agensi berita di bawahnya, tetapi dia memilih untuk mengayuh basikal dalam pejabatnya. Berpusing-pusing entah mahu ke mana.

Tukarlah Fahmi sekali, saudara Anwar, jika mahu selamatkan kerajaan perpaduan dan kerjasama PHBN.

Terimalah teguran dengan rasa hormat. Ia merupakan antara tuntutan Malaysia Madani.

Rombakan kecil atau besar?

Wai Tee

Lebih sebulan Salahuddin Ayub, menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN) meninggalkan kita. Jasa dan impak yang ditinggalkannya masih terasa. Legasi beliau terus hidup dalam denyut nadi rakyat terutama B40 dan M40. Rahmah jadi sinonim dengan namanya. Payung Rahmah, Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan banyak lagi inisiatif Rahmah merupakan trademark almarhum.

Tetapi mengapa sampai sekarang tiada penggantinya? PRN enam negeri dah pun selesai. Di sambung pula dengan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Kedua-duanya tapak peninggalan almarhum. Beliau menang dengan majoriti yang selesa walaupun ditentang oleh BN dan PN ketika itu.

Di atas kertas kerajaan perpaduan seharusnya dapat mempertahankan kedua-dua kerusi itu memandangkan BN kini sudah bersama PH dalam satu kerajaan. Itu teori. Realiti mungkin berbeza. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi pengundi seperti yang berlaku di PRN enam negeri. Apakah Johor berbeza dengan Terengganu, Kelantan, dan Kedah? Kita akan tahu pada 9 September nanti.

Apakah PMX akan menunggu sehingga keputusan PRK Pulai? Apakah PRK Pulai memberi petunjuk kepada pengganti almarhum? Rombakan kecil atau rombakan besar? Mungkinkah peluang ini akan digunakan untuk memperkemaskan jentera Kabinet bagi menangani cabaran yang lebih besar empat tahun ke hadapan?

Apakah rombakan ini hanya melibatkan pengisian jawatan menteri KPDN sahaja? Atau ianya melibatkan pergerakan beberapa Ahli Parlimen dan perubahan beberapa portfolio dan jabatan yang dikatakan lemah terutama ketika menghadapi serangan dari PN-PAS semasa PRN lalu?

Jentera propaganda kerajaan di PMO, JKOM, JAPEN mahupun KKD menerima banyak kritikan. Jentera kerajaan bukan sahaja tidak dapat menangkis dan mematahkan serangan PN-PAS, malah amat jauh untuk menyaingi jentera propaganda pihak lawan.

Natijahnya rakyat seolah-olah tidak mengetahui atau tidak yakin apa yang kerajaan perpaduan buat sejak lapan bulan memerintah. Atau rakyat begitu mudah termakan dengan fitnah dan pembohongan?

Biar apa pun, jawatan menteri KPDN tidak boleh dibiarkan kosong terlalu lama. Ini akan membentuk persepsi yang kerajaan seolah-olah ketandusan bakat yang layak dan berkaliber. Kerajaan juga tidak seharusnya melakukan rombakan besar-besaran kerana pembangkang boleh “spin” mengatakan Kabinet yang terdahulu banyak ‘mangkuk hayun’ yang tidak berfungsi.

Penentuan dan perlantikan menteri Kabinet secara tradisi mengikut peruntukan berdasarkan parti komponen dan jawatan Ahli Parlimen dalam sesebuah parti. Itu peraturan yang tidak bertulis. Tetapi hak mutlak di tangan perdana menteri.

Jika kita amati barisan Kabinet sebelum ini, Amanah diperuntukkan dua jawatan menteri dan dua jawatan timbalan menteri. Jawatan-jawatan itu diisi oleh presiden dan timbalan presiden sebagai menteri, naib presiden dan ketua Wanita sebagai timbalan menteri. Jika kaedah ini masih dikekalkan, siapakah Ahli Parlimen Amanah yang akan mengisi jawatan menteri KPDN?

Dari senarai Ahli Parlimen yang menang semasa PRU15 lalu, YB Kuala Selangor, YB Sri Gading, YB Shah Alam dan YB Hulu Langat adalah Ahli Parlimen Amanah yang belum ada jawatan menteri atau timbalan menteri. Daripada keempat-empat YB tersebut, YB Kuala Selangor merupakan yang paling “senior” dan menjawat jawatan pengarah strategik Amanah.

Apakah YB Kuala Selangor akan dipilih menerajui KPDN? YB Kuala Selangor pernah menjadi menteri kesihatan di zaman PM7 Tun Mahathir. Pengalaman menjadi menteri kesihatan ketika itu pastinya memberi kelebihan kepada beliau.

Ada juga pengkhabaran yang mengatakan PMX akan melakukan rombakan kecil? Berdasarkan jawatan dalam Amanah atau berdasarkan cadangan dari presiden Amanah, YB Alor Gajah yang sekarang menjadi timbalan menteri pertahanan akan dinaikkan pangkat ke jawatan menteri KPDN?

Jawatan timbalan menteri pertahanan boleh diisi oleh salah satu Ahli Parlimen dari Amanah. Itu semua satu kemungkinan. PMX yang akan memutuskan akhirnya. Ini mesti dilakukan secepat mungkin sebelum pembentangan Belanjawan 2024 akan datang.

Sepatutnya Ahli Parlimen Amanah dikekalkan sebagai pengganti almarhum di KPDN. Ini bagi memastikan legasi Rahmah yang viral daripada Salahuddin dapat diteruskan dengan penambah-baikan yang lebih “WOW”. Menteri baharu tidak mempunyai banyak masa untuk menghadam dan meneruskan legasi tersebut.

Perancangan PMX memberikan portfolio KPKM dan KPDN kepada presiden dan timbalan presiden Amanah sangat tepat bagi melicinkan perancangan dan pengurusan keseluruhan rantaian bekalan dan rantaian nilai keselamatan makanan negara.

Banyak lagi kerja-kerja yang belum terlaksana dan KPDN memerlukan kepimpinan yang berkebolehan dalam menangani titik bengit isu kepenggunaan dan kos sara hidup yang tidak menentu dalam iklim ekonomi dunia sekarang ini.

Isu harga kawalan ayam, telur bersubsidi, minyak masak, gula, beras, dan barang keperluan lain memerlukan menteri KPDN yang memiliki ilmu dan kepakaran ekonomi, perdagangan, dan kepenggunaan. KPDN harus mengimbangi keperluan perniagaan untuk terus berkembang dalam iklim pasaran bebas supaya bekalan barang keperluandi pasaran stabil dan tidak terbantut dan di masa yang sama harga yang ditawarkan tidak membebani rakyat.

Pastinya ketika almarhum masih hidup, koodinasi dalam bentuk pembentukan jawatankuasa bersama kedua-dua kementerian diwujudkan. Dengan keperluan untuk menguruskan subsidi ke tahap yang lebih lestari, mengurangkan ketirisan dan benar-benar sampai dan dinikmati oleh golongan yang disasarkan, kedua-dua kementerian ini harus bekerjasama lebih erat dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Terlalu banyak cabaran yang akan dihadapi oleh menteri KPDN yang baharu. Siapakah dia?

Lelaki miliki 12 rekod jenayah mati ditembak

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
LELAKI mati ditembak di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang Klang. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI mati ditembak di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang Klang. FOTO Ihsan PDRM
Klang: Seorang lelaki maut ditembak ketika berada di kawasan Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, polis menerima aduan berkaitan satu kejadian tembakan yang berlaku di kawasan Kapar, di sini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, pada 10.35 malam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara ke lokasi kejadian, berhadapan dengan rumah kedai dua tingkat.

"Siasatan awal mendapati, saksi awam terdengar bunyi beberapa das tembakan dan ada kemalangan kecil di sekitar lokasi tempat kejadian.

"Mangsa berusia 36 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau jenayah berkaitan dadah dan jenayah kekerasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, polis sedang mengesan beberapa saksi bebas di tempat kejadian.

"Usaha mengesan bukti dan kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan suspek terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Nak tunjuk samseng sangat...

Melvin Joni
am@hmetro.com.my
Tangkap layar daripada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek bersenjatakan parang pemotong daging ketika berada di kawasan Lot 6810 Blok Jalan Stephen Yong Link, Padawan. foto MELVIN JONI
Tangkap layar daripada kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek bersenjatakan parang pemotong daging ketika berada di kawasan Lot 6810 Blok Jalan Stephen Yong Link, Padawan. foto MELVIN JONI
Padawan: Berang wajahnya ditularkan di media sosial membabitkan kes curi, seorang lelaki cuba menyerang pemilik kedai menggunakan parang di Jalan Stephen Yong Link, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 26 tahun itu mengundang padah apabila dia dibelasah orang awam sebelum diserahkan kepada polis, kira-kira 11.10 malam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata, pada 25 Ogos lalu, wajah suspek ditularkan di laman sosial Facebook kerana disyaki melakukan kes kecurian di kawasan itu.

"Suspek mengesyaki individu yang menularkan wajahnya di laman sosial itui ialah pemilik kedai di premis yang cuba dipecah masuk olehnya sebelum itu.

"Suspek mengaku datang ke lokasi berkenaan dengan bersenjatakan parang pemotong daging untuk mencari individu terbabit namun ditahan oleh orang awam terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata, ketika diserahkan kepada polis, suspek mengalami kecederaan di kepala dan badan.

"Suspek dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar sahaja.

"Perintah reman sudah dikeluarkan terhadap suspek sehingga 1 September ini dan kini kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut," katanya dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Merbahaya (ABKL) 1958.

'Alhamdulillah, dah mati pun ayah mak aku'

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: "Alhamdulillah, dah mati pun ayah mak aku." Begitulah reaksi segelintir anak si tanggang yang menyatakan rasa lega selepas dimaklum berkaitan khabar kematian ibu bapa mereka yang ditempatkan di sebuah pusat jagaan di Kempas di sini.

Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin berkata, segelintir waris penghuni juga gagal tampil bagi mengurus pengebumian ibu bapa mereka dengan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

Beliau berkata, malah selepas selesai dikebumikan, ahli keluarga akan tampil semata-mata bagi menuntut kad pesara, kad pengenalan, sijil kematian dan dokumen berkaitan.

Malah, seorang anak kepada penghuni yang kebiasaannya akan tampil bagi mendapatkan duit poket daripada bapanya juga bersikap lepas tangan selepas menerima berita kematian bapanya.

"Dia yang memiliki kereta Aplhard biasa ke sini sebulan sekali bagi mendapatkan duit poket RM200 daripada bapanya dan apabila kami memaklumkan bapanya sudah tiada, dia berasa lega dengan menyatakan kesyukuran.

"Akibat keluarganya tidak menunjukkan minat bagi mengendalikan urusan terakhir bapanya, kami menanggung segalanya.

"Kami tidak pernah menganggap ia sebagai bebanan namun kesal dan khuatir sekiranya ia akan menjadi trend dan budaya generasi pada masa depan," katanya.

Norijah berkata, buat masa kini hanya 30 peratus waris yang bersikap tanggungjawab bagi menjelaskan yuran bulanan bagi penjagaan diberikan dan pihaknya menggunakannya bagi pembayaran gaji pekerja.

Menurutnya, segelintir waris pula ingin berlepas tangan dengan merujuk ibu bapanya ke agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan bulanan untuk menampung yuran walaupun mereka sebenarnya mampu.

"Kos bulanan kami bagi menampung pemakanan dan penjagaan kumpulan warga emas berkenaan mencecah RM22,000.

"Buat masa ini kami memiliki 68 penghuni di cawangan di Denai 1, Kempas, seramai 43 penghuni di Denai 2, Kempas serta 58 penghuni di cawangan Parit Bunga, Ladang, Muar," katanya.

Norijah berkata, pihaknya berharap waris semua penghuni lebih bertanggungjawab demi kebajikan ibu bapanya.

"Kami memiliki perancangan untuk memberi dan mengubahsuai bangunan lama di Denai 2 bagi keselesaan penghuni, ia dijangka memakan kos sejumlah RM1.5 juta.

"Kami kekurangan dana dan menubuhkan tabung bagi tujuan kutipan sumbangan serta berharap bangunan lama itu akan berwajah baharu," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Pusat Jagaan Nur Ehsan di akaun Maybank 551137548840.

Jika tidak SKMM sekat, ‘bom jangka’ boleh meletus bila-bila masa

HarapanDaily.com

ARIF ATAN 

Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan sekatan terhadap beberapa portal berita yang menyiarkan kandungan tidak wajar perlu difahami dibuat berdasarkan kepentingan negara.

Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin berkata, sebarang tindakan yang diambil SKMM bukan secara sembrono atau diputuskan hanya atas lagak sebagai ‘abang besar’ tanpa pertimbangan atau kajian.

“SKMM bersifat budiman dan membuat pertimbangan yang matang demi menjamin keharmonian negara.

“Jauh sekali tindakan itu diambil semata-mata kerana kritikan yang dibuat terhadap kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang pernah menjadi Penerima Anugerah Kajai dan Penerima Anugerah Belia Negara (Kategori Wartawan) berkata demikian mengulas teguran sekumpulan wartawan veteran yang membantah tindakan SKMM terhadap beberapa portal berita.

Kumpulan itu terdiri daripada bekas Pengerusi Media Prima, Johan Jaaffar; Tokoh Wartawan, A Kadir Jasin; pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hussamuddin Yaacob dan bekas Pengurus Besar Bernama, Azman Ujang.

Turut menegur kerajaan Madani melalui SKMM ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Chamil Wariya; bekas Ketua Pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab serta bekas pengarang yang kini penganalisis politik, G Manimaran.

Mengulas lanjut, Noraini yang juga perunding media berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara umumnya adalah sangat terbuka dan sedia menerima kritikan.

“Bahkan, (Kerajaan Perpaduan) kerapkali dihentam atau dibalun dengan keras oleh pelbagai pihak melalui pelbagai platform media.

“Tetapi, demi kepentingan negara dan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk jangka panjang, kandungan yang mengelirukan, tidak tepat serta boleh membawa kesan buruk sudah semestinya harus dipantau dan disekat.

Kandungan palsu dan fitnah patut disekat bagi memelihara ketenteraman dan keharmonian rakyat.

“Ini kerana, jika tidak diawasi dan disekat, ‘ bom jangka’ ‘pergaduhan dan ‘rusuhan’ boleh meletus bila-bila masa saja.

“Jika sampai itu yang berlaku, siapa yang rugi akhirnya?” soalnya lagi.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat berkata, dalam apa juga perkara, kebebasan mutlak lebih mungkin membawa keburukan daripada kebaikan.

“Di rumah, di sekolah, di tempat kerja dan pelbagai aktiviti lainnya, semua mesti ada peraturan atau kepatuhan yang mengawalnya.

“Dengan dikenali sebagai bekas wartawan ternama lagi dihormati dan ‘tauke’ media, lapan tokoh yang memberi teguran terhadap SKMM itu tentu masih ingat bahawa ketika mereka menjadi ketua sebelum ini atau masih lagi mengetuai media sehingga sekarang, tulisan wartawan bawahan mereka pun perlu ditapis dan disunting terlebih dahulu sebelum disiarkan,” hujahnya.

Sehubungan itu, beliau yang berpengalaman sebagai wartawan akhbar arus perdana lebih 25 tahun berpendapat proses yang sama juga dilakukan SKMM dalam ‘dunia langit terbuka’ pada masa ini berikutan kebanjiran portal bebas atas talian.

“Tanpa sebarang awasan atau sekatan, bebas melapor dan menulis apa saja, seterusnya bebas pula dibaca oleh semua, percayalah, bukan lebih banyak tamadun akan terbina, sebaliknya hanya kemusnahan yang akan menjelma.

“Dalam hal ini, tiada sikap ‘abang besar’ dalam tindakan SKMM itu, sebaliknya untuk memastikan agar negara ini terus selamat untuk diwarisi kepada anak cucu kita semua,” kata Noraini lagi.

Ulama Pas tuduh mahkamah tidak adil, tetap anggap aset TH dijual

HarapanDaily.com

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani dilihat tidak puas hati terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Walhal, Dusuki sendiri menarik balik rayuannya berhubung saman fitnah terhadap Mujahid di Mahkamah Rayuan Putrajaya, kelmarin.

Malah, dia yang pernah kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menganggap mahkamah tidak adil.

Namun, Dusuki dilihat ‘koyak’ apabila secara tiba-tiba mengaitkan kekalahan Mujahid mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dianggapnya sebagai ‘menyayat hati’.

“Saya tidak rasa akan dapat keadilan sewajarnya dan saya percaya walaupun tuntutan saya ditolak ia tidaklah sebesar ditolak sebagai calon Parlimen Parit Buntar apabila Mujahid kalah dalam Pilihanraya ke 15 kepada Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki dari Perikatan Nasional (PN). Itu lebih menyayat hati,” katanya.

Walaupun fitnah aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam sepatutnya sudah berakhir tetapi Dusuki mendakwa Mujahid sendiri mengaku dan setuju ada menjual aset TH semasa sesi soal balas di mahkamah.

“Di dalam mahkamah dunia, mengaku bahawa ada aset TH dijual kepada bukan Islam.

“Dalam kenyataan di luar beritahu orang lain akur tak jual kepada bukan Islam, berbelit molek, belajar dari gurunya yang suka berbohong, saya ulammm!” katanya menerusi hantaran di Facebook sambil menyindir penegasan ‘ulang’ yang lazim diucap Anwar semasa ceramah.

Dusuki hari ini menerusi kenyataan balasnya di luar mahkamah turut melampirkan petikan ‘perenggan’ dari Nota Keterangan, ‘elemen’ dan ‘soal balas’nya.

“Mahkamah juga memutuskan bahawa saya (Plaintif) tidak boleh bergantung kepada laporan Parlimen kerana laporan Parlimen dibuat sebelum kata-kata tersebut disiarkan oleh Mujahid (Defendan).

“Sedangkan, laporan Parlimen itu sendiri mengesahkan terdapatnya penjualan aset Tabung Haji.

“Ianya telah pun dibahaskan di peringkat Parlimen. Jadi, benar aset Tabung Haji dijual!” katanya yakin.

Sebelum ini, Dusuki yang memulakan saman fitnah dan bukannya Mujahid walaupun yang menjadi mangsa fitnah ialah Dr Mujahid kononnya menjual aset TH kepada bukan Islam.

Saman fitnah itu susulan kenyataan Mujahid di Twitter pada 22 November 2020 iaitu, “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”

Kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu selepas tersebarnya video ceramah Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam.

Dusuki kemudiannya kalah di Mahkamah Sesyen apabila penghakiman memutuskan bahawa kata-kata Mujahid itu adalah lebih kepada teguran dan bukannya fitnah.

Pada 14 September 2022 itu, Mujahid berjaya mengetepikan saman fitnah yang dikemukakan Dusuki dan mahkamah mengarahkan pemimpin Pas berkenaan membayar kos sebanyak RM11,000 kepada Mujahid.

Bagaimanapun, Dusuki hari ini tetap berkeras mendakwa bahawa telah memberikan bukti secukupnya bahawa kenyataan Mujahid di Twitter itu adalah fitnah.

“… sedangkan saya (Plaintif) telah memberikan bukti secukupnya bahawa kata-kata tersebut adalah fitnah kerana sememangnya terdapat aset Lembaga Tabung Haji dan/atau Tabung Haji dan/atau syarikat berkaitan dengannya yang dijual dan keterangan ini disokong oleh dokumen yang dijadikan eksibit ataupun bukti semasa perbicaraan,” kata Dusuki hari ini.

Seterusnya, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mei lalu menolak rayuan Dusuki berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang telah menolak saman fitnah yang difailkannya terhadap Mujahid itu.

Mengulas keputusan tersebut, Dusuki hari ini turut melampirkan tiga elemen penghakiman.

“Sah! Kata-kata Mujahid itu sebenarnya menjurus kepada fitnah dan menuduh saya sebagai seorang yang tidak bermaruah dan tidak berintegriti.

“Tapi, Mahkamah Tinggi hanya mengambil keterangan bahawa Hotel Tabung Haji tidak dijual sedangkan apa yang saya ceramahkan adalah berkenaan aset yang merangkumi hartanah seperti ladang dan syarikat.

“Dan hanya sebab itu, rayuan di Mahkamah Tinggi ditolak,” dakwa Dusuki.

Dia menegaskan bahawa apa yang sebenarnya berlaku terdapat bukti yang disokong di mahkamah yang mengatakan ladang atau syarikat milik TH yang dijual kepada syarikat bukan Bumiputera.

Ekoran rasa ‘ketidakadilan’ yang dihadapinya di mahkamah, Dusuki memberitahu bahawa dia akan bermunajat sendiri ‘pelaku’ yang dianggapnya “tidak boleh melaksanakan keadilan Islam.”

“Akan keadilan pada saya biarlah saya munajat sendiri kepada pelaku yang tidak boleh melaksanakan keadilan Islam.

“Benarlah, sesungguhnya keadilan itu hanya dari Allah S.W.T,” kata Dusuki lagi.

Pegawai kanan polis antara tiga ditahan SPRM Diterbitkan: Aug 30, 2023 3:17 PM ⋅ Dikemaskini: 3:17 PM ADS Seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Muar, Johor. Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu, berkata perincian lanjut mengenai penahanan mereka akan dibuat oleh Ketua Polis Johor. "Saya sahkan penahanan mereka namun perincian penuh boleh dapatkan daripada Ketua Polis Negeri Johor (Datuk Kamarul Zaman Mamat)," katanya ringkas kepada Bernama hari ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi berkata JIPS akan membuka kertas siasatan selari seperti biasa berhubung tangkapan oleh SPRM itu. - Bernama

Malaysiakini

Seorang pegawai kanan dan dua anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Muar, Johor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu, berkata perincian lanjut mengenai penahanan mereka akan dibuat oleh Ketua Polis Johor.

"Saya sahkan penahanan mereka namun perincian penuh boleh dapatkan daripada Ketua Polis Negeri Johor (Datuk Kamarul Zaman Mamat)," katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi berkata JIPS akan membuka kertas siasatan selari seperti biasa berhubung tangkapan oleh SPRM itu.

- Bernama

Isu kerakyatan China: Razali, Pas diberi 24 jam buat permohonan maaf

HarapanDaily.com
Isu kerakyatan China: Razali, Pas diberi 24 jam buat permohonan maaf
SITI NUR ZAWANI
Seorang wakil rakyat DAP memberi tempoh 24 jam kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Pas untuk membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik semula dakwaan berhubung pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

Ia selepas Bersatu tetap mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pemberian kerakyatan besar-besaran walaupun tiada bukti yang kukuh.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kenyataan berbaur fitnah serta memperlekehkan kedaulatan negara itu masih diteruskan oleh Razali dan Pas, walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah pun menafikannya.

“Pihak kerajaan telah pun menafikan dakwaan tersebut kali pertama ia tersebut muncul di ruang-ruang maya pada awal bulan ini.

“Oleh yang demikian, kenyataan Razali dan Pas adalah berbaur fitnah, penuh pembohongan serta memperlekehkan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Razali berkata Bersatu tetap mahu SPRM menyiasat dakwaan tersebut.

Gesaan yang sama dibuat di akaun Twitter Pas Pusat pada sehari sebelumya, 28 Ogos.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum ini menjelaskan bahawa angka 54,000 adalah permohonan dari 2017 hingga 2022. Ia sama sekali tidak membabitkan tahun 2023.

Beliau juga menegaskan, daripada jumlah itu, hanya 45 individu sahaja diberikan kerakyatan.

Sementara itu Lim menambah, kenyataan Razali dan Pas telah pun melanggar akta-akta antara lain; Seksyen 499, 504, 505 (b) dan 505 (c) Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) dan 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Justeru itu, saya memberi tempoh 24 jam kepada Razali dan Pas yang membuatkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat tersebut supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan berkaitan atau pihak saya akan membuat laporan polis terhadap mereka.

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” ujarnya.

Penahanan 'Rasul Melayu' adalah sah

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Putrajaya: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berjaya dalam permohonannya selepas Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan agensi agama itu menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya 'Rasul Melayu' dan 13 pengikutnya pada 2020 adalah sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi secara sebulat suara membenarkan rayuan Jais dan lima responden lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penahanan Abdul Kahar Ahmad, 71, dan 13 yang lain melanggar Perlembagaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk S Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah turut menolak rayuan semua 14 individu itu berhubung isu pampasan RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

"Kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 14 April 2022 manakala rayuan Abdul Kahar dan 13 yang lain, ditolak. Mahkamah ini tidak membuat perintah terhadap kos," katanya dalam penghakiman, hari ini.

Selain Jais dan ketua pengarahnya, empat perayu lain terdiri daripada ketua pegawai penguatkuasa agama Islam Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Masnizar @ Mohd Nizar Mohtar, kerajaan negeri dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Shanizah Ngatiman.

Ketika membacakan keputusan itu, Azizah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memutuskan Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pada hemat panel itu, seksyen berkenaan tidak terbatal atau melanggar hak keperlembagaan untuk kebebasan dan kesaksamaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut berpendapat, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana menyamakan seksyen berkenaan dengan perintah tahanan reman.

Menurut Azizah, penahanan semua responden dan selanjutnya dihantar ke pusat tahanan dilakukan berdasarkan undang-undang kerana kegagalan mereka mematuhi terma-terma syarat jaminan.

Katanya, jika mereka tidak berpuas hati dengan syarat jaminan, mereka boleh memfailkan permohonan semakan atau mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Panel tiga hakim itu turut berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepikan perintah Mahkamah Syariah kerana mahkamah sivil dan syariah adalah dua sistem kehakiman yang berasingan.

Azizah berkata, Mahkamah Syariah bukan tribunal bawahan sebaliknya mempunyai bidang kuasa yang kompeten dan mempunyai kuasa semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Aturan-Aturan Mahkamah 2012.

"Mahkamah Sivil tidak boleh menyemak keputusan Mahkamah Syariah berdasarkan Aturan 53. Hakim dalam kes ini hanya boleh mengisytiharkan keabsahan Seksyen 22 enakmen itu," katanya.

Dalam penghakimannya, panel itu selanjutnya menjelaskan peruntukan Sekyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memberi kuasa imuniti dan melindungi hakim serta pegawai kehakiman.

Katanya, seksyen itu menyatakan tindakan saman tidak boleh dikenakan terhadap hakim syarie sama ada di mahkamah sivil atau mahkamah syariah berhubung perintah yang dikeluarkan ketika menjalankan tugas kehakiman, asalkan beliau berniat baik dan percaya sudah menjalankan tugas di bawah ruang lingkup bidang kuasanya.

"Perlindungan terhadap hakim syarie adalah sama (pari materia) dengan Seksyen 14(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang diperuntukkan kepada hakim mahkamah sivil," katanya.

Sehubungan itu, panel berpendapat, defendan keempat dan keenam selaku hakim-hakim mahkamah rendah syariah melaksanakan tugas kehakiman dan dilindungi di bawah Seksyen 76.

Dalam rayuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib hadir mewakili perayu-perayu manakala peguam Fahri Azzat mewakili Abdul Kahar dan yang lain.

Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Jais menahan Abdul Kahar yang pernah mendakwa dirinya 'Rasul Melayu' pada 2020 adalah menyalahi undang-undang.

Mahkamah sivil itu turut membatalkan peruntukan dalam enakmen syariah Selangor yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah negeri untuk mengenakan ikat jamin kepada individu yang disyaki.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada 14 April tahun lalu apabila membenarkan Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain mencabar penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri pada malam 20 September 2020.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan bahawa Jais menahan Abdul Kahar dan beberapa yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada tarikh itu atas dakwaan menghidupkan semula ajaran 'Rasul Melayu'.

Harian Metro turut melaporkan Mahkamah Syariah Shah Alam membebaskan Abdul Kahar dan tiga pengikutnya dengan ikat jamin.

Abdul Kahar mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985 berhubung ajaran sesat 'Rasul Melayu' pada 24 September 2009.

Tertuduh yang ketika itu berusia 62 tahun kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan kerana menyebarkan ajaran sesat.

Pada 2016 ketika Majlis Istitabah yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Abdul Kahar memohon taubat secara terbuka kerana mengisytiharkan dirinya sebagai rasul.

Selepas dibebaskan daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk mencabar kesahihan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari ditahan.

Mereka tidak pernah didakwa di Mahkamah Syariah atas sebarang kesalahan yang dikaitkan dengan serbuan pada September 2020 oleh Jais.