"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyokong Umar dilarang sembahyang di masjid oleh pegawai penjara

Sidiqin Omar
KAJANG 22 DIS: Peserta perkhemahan ‘Solidariti Umar Mohamad’ di depan Penjara Kajang yang berkhemah depan pintu penjara sejak malam tadi, dihalang dari menggunakan masjid untuk solat Asar.

Seorang pegawai Unit Keselamatan Penjara (UKP) berpangkat Koperal dengan tanda nama ‘Roslan’ memaklumkan, larangan itu dibuat terhadap mereka yang berkhemah.

Wartawan Keadilan Daily dan Harakah Daily yang berada di lokasi untuk membuat liputan turut dihalang bersolat Asar di masjid itu.

“Ini arahan orang atasan,” kata pegawai yang tidak menyatakan rasional arahan itu.

Diasak soalan, Roslan kemudia mendapatkan bantuan pegawai atasan yang hanya mahu dikenali dengan nama ‘Kamil’.

“Masjid ini untuk kegunaan keluarga staf penjara. Hanya kami yang ada kuasa untuk benarkan atau tidak sesiapa yang mahu sembahyang di sini,” katanya kepada Keadilan Daily.

“Lagi pun ‘bumi Allah’ sendiri adalah masjid. Dekat mana-mana pun boleh sembahyang bukan,” katanya, memberi alasan.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Afendi yang dikenali sebagai kartunis Ronasina memaklumkan, Masjid Penjara Kajang adalah lokasi terbuka yang dibenarkan untuk orang awam.

“Setiap minggu orang solat Jumaat. Pada malamnya, ada tazkirah yang dihadiri orang awam. Sepatutnya tak masalahnya?” kata Ronasina.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang dalam reaksinya selepas dihalang, kesal dengan tindakan pegawai penjara yang sengaja mengambil langkah konfrontasi dengan peserta perkhemahan.

“Kalau satu orang makmun dan satu imam pun dikira sebagai berjemaah. Buat apa bina masjid besar-besar?” katanya.

Semalam, Umar Mohamad, lulusan Diploma Keselamatan Industri yang kini menjalani latihan praktikal di Johor Bahru, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kerana dikatakan menghalang tugas penjawat awam.

Ulasan Dr. Danial berhubung 'AlQuran Menjawab' di TV9

Dr Danial ZA

Salam. Terima kasih atas respon berkaitan surah an-Naml ayat 88 berkaitan 'gunung-ganang bergerak.'

Sebenarnya perbincangan tentangnya lebih panjang dan terpaksa dipotong sebab waktu siarannya terpaksa dipendekkan.

Juga disebabkan kekerdilan Dr Danial sendiri, maka pemilihan kalimat mungkin kurang tepat dan tidak membantu ke arah kefahaman
yang dimaksudkan....

Perbincangan ayat itu dikaitkan dengan ayat 53 surah Fussilat: “Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap u***** (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.” Ayat ini bermula dengan 'sa' yang melambangkan 'akan datang'. Ulama berkata sebahagian bukti yang menyokong kebenaran al-Quran (terutama ttg alam dan kejadian manusia) akan Allah perlihatkan kemudian (akan datang) dan besar kemungkinan tidak diperlihatkan buktinya diwaktu ayat itu diturunkan.

Bagi as-Syeikh Said Hawa ia satu janji Allah kpd kita maka dalam al-Asas fit Tafsir beliau berkata, “Dalam buku saya bertajuk ‘Ar-Rasul’ saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat ini. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah. Saya telah memberikan banyak contoh berhubung perkara ini dan sesiapa yang membaca kitab tafsir ini (iaitu al-Asas fit Tafsir) dia akan memahaminya secara yang lebih jelas.”

Dalam Tafsir al-Azhar pula Hamka berkata, “Dalam ayat ini dinyatakan bahawa al-Quran ini kian lama kian nyata kebenarannya. Bukti kebenaran itu akan muncul di segenap penjuru bahkan pada diri mereka (manusia) sendiri. Mungkin beberapa perkara yang diterangkan Quran tatkala ia mula diturunkan belum difahami tetapi kelak (ketika zaman berubah) dan otak manusia menjadi (semakin maju) akan nampaklah kebenaran itu. Sudah 14 abad Quran diturunkan dan semakin berkembang pengetahuan manusia tentang alam (semakin) bersinarlah rahsia kebenaran Quran.”

Maka isu yg ditimbulkan sebenarnya berkaitan dengan perbincangan ulama seperti yg dipaparkan ini. Mungkin kelemahan saya tidak memampukan saya menyampaikan mesej ayat secara yg mantap. Semoga Allah mengampuni saya.

Najib saman Deepak kalau kamu tak bersalah

Siti Zulaikha Zulkifli
Naib Presiden, PAS Datuk Mahfuz Omar mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan Deepan Jaikishan yang memberi beberapa kenyataan berhubung Najib serta ahli keluarganya.

Mahfuz berkata lagi, tindakan itu perlu dilakukan memandangkan dakwaan yang dilakukan Deepak bukan sahaja memburukkan nama ahli keluarga Najib tetapi juga nama negara.

Dalam pada itu, Mahfuz turut memuji keberanian tindakan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Robert Phang yang berkemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Saya 'salute' dengan Robert Phang yang (mahu) menyaman Tan Sri Musa kerana punya keberanian untuk membersihkan nama dia.

"Rakyat juga sebenarnya ternanti keberanian Najib untuk ambil tindakan pada Deepak yang saya anggap dakwaannya mencalarkan nama baik Najib dan keluarganya. Saya tak tahu sama ada Robert Phang lagi berani dari Najib atau Najib yang takut daripada Robert Phang.

"Saya cabar Najib (ambil tindakan). Ini bukan sahaja mengenai Najib dan keluarganya tetapi tentang negara," kata Mahfuz.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Deepak sebelum ini dalam temuramahnya dengan beberapa media antaranya Malaysiakini mendakwa Najib mempunyai peranan dalam isu penarikan balik pengakuan berkanun (SD) pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam pada tahun 2008.

Deepak juga sebelum ini mendedahkan beberapa perkara antaranya melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Nazim Razak.

Sementara itu, pada sidang media sama, Mahfuz turut melahirkan rasa keraguannya mengenai cadangan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menapis senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Mahfuz berkata, proses tapisan tersebut merupakan proses biasa dan tiada tindakan konkrit akan diambil selepas itu.

"Isu sekarang, jika ada calon bersih ketika tapisan, tetapi selepas jadi wakil rakyat, menteri itu terbabit dengan isu rasuah, adakah SPRM berani untuk ambil tindakan?

"Soalnya SPRM kena berani ambil tindakan jika wujud kes... bukan sekadar jadi medium penapisan calon. Walaupun cadangan nak tapis calon ini bagus tapi fungsi dan tindakan SPRM selepas itu yang jadi persoalan.

"Lebih baik parti sendiri yang jalankan penapisan calon. Sebab kes yang ada sekarang pun SPRM gagal ambil tindakan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan dicadang mewajibkan parti politik mengemukakan senarai calon PRU-13 untuk proses tapisan SPRM.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaafar dilaporkan berkata, ia antara yang dirangka oleh pihaknya untuk dicadangkan berkuatkuasa menjelang PRU-13 akan datang.

Cadangan ini membabitkan semua parti politik dan individu yang akan bertanding sebagai calon Bebas, termasuk Ahli Parlimen atau ADUN yang bakal dicalonkan semula atau yang pertama kali bertanding.

Ia bagi memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada rasuah, selain mengelakkan tohmahan tidak berasas ke atas individu yang akan bertanding atau partinya.

27 Dis 'hari gelap' peneroka?

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR: Gerakan selamatkan Felda (GSF) merancang untuk berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Felda sewaktu Mesyuarat Agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) berlangsung pada 27 Disember ini.

Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, rancangan itu akan diteruskan jika keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebelahi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membenarkan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad kekal di KPF.

16 peneroka Felda Jengka pada Jun lalu memfaikan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SKM mengekalkan keanggotan Isa dalam KPF walaupun mengakui perlantikan Isa itu salah di sisi undang-undang.

"Kalau mahkamah menyebelahi mereka kita tak ada pilihan melainkan menggerakkan ahli KPF di seluruh negara untuk berkumpul di depan pintu masuk pejabat Felda pada 27 Disember ini sebagai tanda protes kita," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan raja Laut semalam.

Mei lalu, SKM memutuskan tindakan KPF menerima keahlian Isa bercanggah dengan undang-undang kecilnya.

Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam peraturan itu yang membolehkan keanggotaan yang telah diterima oleh lembaga pengarah KPF dibatalkan.Oleh itu, keanggotaan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu diputuskan kekal.

Mazlan berkata, 27 Disember ini dianggap sebagai 'hari gelap' ahli KPF jika Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF.

"Kita dah tahu, kalau KPF jatuh ke tangan Isa, masa depan KPF akan hancur.

"Peneroka akan datang ke pejabat Felda dengan pakaian serba hitam dan membawa bendera hitam, menandakan masa depan yang gelap," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan juga berkata, Anak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum 27 Disember ini terhadap seorang menteri dan SKM kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dalam isu KPF.

“Saya tidak malu atau takut untuk nyatakan bahawa ini konspirasi didalangi mereka yang mempunyai pengaruh besar.

“Komplot itu mahukan Isa Samad jadi Pengerusi KPF. Ini salah guna kuasa yang besar daripada seorang menteri,” katanya.

Peneroka status ibu tunggal terima upah RM5 untuk bulan November

Norutul Ilham
KUALA LUMPUR, 21 Dis: Seorang peneroka berstatus ibu tunggal di Johor hanya menerima RM5 daripada pendapatan sebagai penoreh getah pada bulan November.

Presiden Persatuan Anak peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, ia disebabkan hutang dan pelbagai jenis potongan yang dikenakan Felda ke atas peneroka.

“Kerajaan tidak peka dengan bebanan yang rakyat tanggung. Pengadu beritahu saya, dengan RM5 ini dia nak buat apa? Dah lah dia ini ibu tunggal. Jadi saya tunjukkan bukti lebih teruk daripada RM300 yang diterima peneroka sebelum ini.

“Ini bukti dikeluarkan Felda, saya anggap sesuatu yang tidak bertanggungjawab walaupun saya boleh faham ketika ini musim hujan, peneroka mungkin kurang menoreh,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini semalam.

Katanya, bukan sahaja gagal membela rakyat, bahkan perbuatan tidak bertanggungjawab Felda itu menambahkan keperitan peneroka untuk meneruskan kehidupan.

“Jika kita punya perasaan, tak perlulah buat potongan macam biasa. Kalau selalu kita buat potongan baja ke, pertanian ke, pada waktu-waktu musim tengkujuh bulan 11 (November), bulan 12 (Disember), tak perlu buat potongan wajib yang akhirnya pendapatan mereka ini tinggal RM5,” ujarnya.

Menyifatkan potongan tersebut sebagai tidak wajar, Mazlan berkata beliau telah membangkitkan kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit kepada kerajaan sebelum ini.

“Dah sampai satu tahap, bulan 12 (Disember), peneroka memang kena sedia duit untuk (hantar anak) ke sekolah,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sultan yang akan pilih MB, bukan lagi Najib?

Pendokong UMNO

Semua menteri besar (MB) negeri-negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 akan ditentukan oleh sultan negeri masing-masing dan bukan lagi di bawah kuasa Perdana Menteri. Wow... Itu laporan yang baru aku terima.


Seorang sahabat yang juga orang kuat politik di Terengganu memaklumkan aku bahawa Najib tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Pak Lah Badawi sehingga berlaku kekecohan pelantikan MB di Terengganu dan Perlis dengan mengambil langkah menyerahkan kepada istana untuk memutuskan siapa yang akan mengetuai pentadbiran negeri masing-masing.

Sepengetahuannya, Najib sudah pun bertemu dengan semua sultan di negeri-negeri untuk mendapatkan nama-nama calon MB yang sudah dipilih. Sama ada mereka ini MB sedia ada, calon baru dari kalangan wakil rakyat sedia ada atau calon baru yang fresh dan belum bertanding sebelum ini tidaklah dapat dipastikan. Itu semua bergantung kepada kehendak sultan.

Lalu aku cuba korek rahsia tentang nasib Ahmad Said di Terengganu sama ada menjadi "pilihan" Sultan Mizan lagi kali ini selepas pada 2008 dia mendakwa mendapat perkenan tuanku untuk mengambil alih pentadbiran negeri yang kaya dengan petrolium itu daripada Idris Jusoh.

Sahabat aku enggan mengulas. Dia tidak mengiyakan, tidak juga menafikan.

Tapi bila aku tanya macam mana hubungan Ahmad Said dengan Idris, dia kata... "macam itu jugaklah..." Bila aku kata elok dua-duanya Najib spike, dan lantik orang baru sebagai MB, sahabat aku menyokong. "Itulah jalan terbaik!" katanya heee...

Itulah yang tuanku mahukan, bukan? Heee... sahabat aku tersengih!

Dan berdasarkan maklumat, pemerhatian dan ramalan aku, antara negeri yang bakal mendapat MB yang baru pada PRU-13 nanti.

Jadi sesiapa yang bercita-cita besar nak jadi MB tu, himpit-himpitlah sultan di negeri masing-masing, termasuk juga kalangan pemimpin UMNO Selangor! Hee....

Gangnam Style cecah satu bilion tontonan YouTube

Gangnam Style
Tarian Gangnam Style semakin mendapat perhatian lebih daripada 90 juta penonton sejak dilancarkan Julai lalu.
GANGNAM Style muncul video pertama mencatatkan lebih satu bilion tontonan di YouTube.

Trek tarian dari Korea Selatan itu disiarkan dalam talian pada Julai lalu telah membawa kemasyhuran kepada bintang pop, Psy di seluruh dunia.

Malahan, klip video itu telah memberi inspirasi kepada ratusan klip parodi bermula daripada anggota tentera British, tentera laut Thailand hinggalah kepada pemain Minecraft.

Pemilik YouTube dan Google berkata, secara purata video tersebut telah ditonton tujuh hingga 10 juta kali sehari.

Ia mendahului pemegang rekod sebelumnya - muzik video Baby Justin Bieber yang dimuatnaik pada 24 November tahun sebelumnya.

"Kejayaan Psy membuktikan bahawa muziknya yang menarik mampu menarik perhatian masyarakat sejagat dan unik termasuk aksi pergerakan tarian kuda," kata Pengurus Trend YouTube, Kevin Allocca yang dipetik dari blog media berkenaan.

'KUNG FU INFIGHTING' menular dlm Umno: Sabotaj tugas utama, wang asas

Nawawi Mohamad, Wong Choon Mei
'KUNG FU INFIGHTING' menular dlm Umno: Sabotaj tugas utama, wang asas perjuangan
Masih ingat lagi pada lagu 'Everybody was Kung Fu Fighting'?'

Ada satu set lirik lagu (ditulis semula di bawah) yang hangat diperkatakan dan mencerminkan apa yang sedang berlaku dalam UMNO baru-baru ini semasa perhimpunan agung Umno diadakan walaupun Perdana Menteri Najib Razak dan pemimpin parti yang lain mendakwa semangat bersatu lebih menebal dalam Umno dari tahun 2008 apabila UMNO diketuai oleh Abdullah Badawi.

Walaupun mereka berkata demikian, apa yang sebenarnya mahu ditekankan oleh mereka adalah kegagalan teruk pilihanraya umum pada tahun 2008 dibawah pimpinan Abdullah Badawi.

Pertelingkahan ini sememangnya petanda atau bukti bahawa kemelut dalaman Umno semakin parah.

Everybody in UMNO was sabotaging (Semua dalam UMNO sedang mensabotaj)

Those warlords really loved their infighting (Panglima Umno suka bergaduh sesama sendiri)

In fact, it was is little bit frightening (Sebenarnya agak menakutkan)

But they seem to care like nothing (Namun mereka bagaikan tak peduli)

Fokus hanya untuk mensabotaj

Sebenarnya, ia adalah normal bagi dua parti politik yang berbeza untuk mensabotaj antara satu sama lain, tetapi apabila para pemimpin dari parti yang sama meletakkan kepentingan sendiri sebagai keutamaan dengan ghairahnya memperlekehkan ahli yang lain dari pecahan yang bertelagah- ia menandakan bukan sahaja masalah besar yang bakal melanda, tetapi kekalahan tidak akan boleh dielakkan lagi.

Walau bagaimanapun, perteligkahan yang begitu hebat untuk merebut kawasan dan habuan yang bakal diperolehi darinya, bakal dipilih untuk memenangi kerusi pada pilihanraya umum ke 13, menjadikan para pensabotaj dalam Umno tahu bagaimana untuk bermain permainan ini. Inilah yang mendominasi perhimpunan agung ke-66 Umno. Malah, para pengkritik mula menuduh UMNO tidak mampu mengawal pemimpin-pemimpinnya dari segenap peringkat yang nampaknya sudah bersedia untuk memberontak percaya apa yang mereka dakwa selama ini adalah benar.

Malah, Najib sendiri terpaksa menenangkan mereka dalam perhimpunan itu. Ugutan dan ancaman telah gagal memberi sebarang kesan dan sekarang, dia seperti lembu dicucuk hidung- bukan sebaliknya. Dia terpaksa memujuk, memuaskan hati mereka malah merasuah mereka untuk setia kepadanya. Sebagai contoh, apabila lembaga disiplin UMNO baru-baru ini melucutkan 2 ahli dari Sabah, tindakan itu menjadi perhatian. Pertelingkahan masih berterusan malah menjadi semakin parah.

Kenapa ini berlaku? Kenapa ahli UMNO saling mensabotaj? Apabila ahli veteran bertanya, jawapan yang tidak boleh mereka elakkan adalah KENAPA TIDAK? Semua di dalam UMNO berbuat demikian! Jika saya tidak dapat apa yang saya mahukan, kenapa musuh saya boleh- apabila kami berada dalam parti yang sama- faham? Apakah ini sahaja puncanya- keruntuhan akhlak?

Wang asas perjuangan

Sebenarnya, sebahagian daripada sebab itu adalah WANG. Seperti biasa, dalam UMNO, wang tidak boleh dipisahkan dari mana-mana isu. Semuanya kerana wang merupakan budaya UMNO dan ini telah menular seperti barah dalam semua urusan kerajaan BN. Apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan setiap urusan kerajaan BN, pasti ada ganjaran wang disebaliknya. Inilah belang UMNO dan tidak hairanlah dasar parti telah berubah dari menjaga hak orang Melayu kepada mencari harta.

Bagi orang Melayu dalam UMNO, ada 4 cara untuk menjadi kaya; melalui pewarisan, merompak, perniagaan atau menjadi ahli politik UMNO yang berpengaruh. Ada yang lebih sinis lagi dengan mengatakan ianya, politik, politik, politik, politik!

Sebenarnya, mewarisi kekayaan adalah keistimewaan bagi mereka yang bernasib baik dan ramai orang Melayu UMNO datang dari keluarga yang kurang bernasib baik. Sudah tentu, apa yang mereka warisi hanya sedikit sahaja.

Dari segi merompak pula, orang Melayu UMNO yang melakukannya hanya mampu menyeluk saku dan meragut. Ada juga yang suka mencuri di stesen minyak, restoran makanan segera, kedai runcit dan kedai 24 jam. Mereka ini pencuri tegar, mat-mat rempit yang selalu menjadi orang suruhan UMNO untuk menganggu ceramah parti pembangkang atau ceramah politik.

Bagi menjelaskan lagi betapa terdesaknya pemimpin UMNO untuk mematahkan parti Pembangkang, seorang samseng UMNO telah menikam lelaki yang datang untuk mendengar ceramah Anwar Ibrahim di Gombak. Namun, tiada kemaafan pun yang diberi oleh UMNO, sebuah parti yang telah memerintah Malaysia sejak tahun 1957. Malah, mereka seperti menyokong tindakan itu dengan menyalahkan Anwar kerana menyemarakkan kemarahan yang sebenarnya penipuan belaka.

Orang Melayu UMNO sebenarnya tidaklah begitu pandai dalam bisnes. Jadi, mereka perlu menjadi seorang ahli politik yang berkuasa atau sekurang-kurangnya berpengaruh. Melalui kedudukannya, mereka bukan sahaja boleh melakukannya dengan cara tersendiri malah boleh segera mencari jalan keluar jika berada dalam bahaya.

Namun, sekarang sudah payah untuk berbuat demikian dalam UMNO. Bukan sahaja parti elit ini dimana untuk menjadi orang yang berpengaruh sudah menjadi agak tertutup atau berlaku diatas ‘jemputan’ sahaja, terdapat ramai lagi pemimpin muda atau kelas pertengahan yang lebih berjaya, masih memegang kuasa dan sering memikirkan…ya, betul…MENSABOTAJ mereka yang cuba mendahului mereka.

Jadi, cara yang paling mudah adalah untuk MERASUAH untuk ke atas. Mereka yang sudah sedia memegang kuasa faham benar kerana mereka pernah melakukannya. Mereka sudah merasai kemanisan apabila mereka berjaya. Jadi, tidak hairanlah apabila mereka perang habis-habisan berlaku dikalangan pemimpin ini- ‘jika aku tak boleh dapat, tak seorang pun boleh! PASTIKAN, KAU TAKKAN LUPA!

Negri Sembilan

Beberapa minggu yang lalu, kedua-dua saluran berita dalam media tradisional dan atas talian sibuk melaporkan sabotaj yang sedang berlaku dalam UMNO. Ya, beberapa panglima UMNO cuba menumpukan perhatian pihak media kepada dakwaan sabotaj itu. Namun, tindakan bodoh mereka telah mengundang lebih banyak persoalan dan perhatian kepada pertelingkahan dalaman sesama mereka.

Baru-baru ini, laporan akhbar Melayu dalam Sinar Harian menyebut, Muhamad Hassan, Ketua UMNO Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar telah berjaya mengesan dan menghalang fenomena sabotaj dalam UMNO. Seperti Iskandar Zulkarnain yang agung, Muhamad Hassan berupaya membendung kegiatan mensabotaj dari akarnya. Ramai dalam UMNO


sebenarnya tahu apa yang berlaku sudah pasti tergelak besar apabila mendengar berita yang tidak masuk akal itu.

Muhamad Hassan sebenarnya merupakan antara panglima yang sedang bertelagah dan paling sibuk. Umum sudah mengetahui bahawa Muhamad Hassan sedang bersaing dengan Isa Samad, bekas MB yang sekarang merupakan pengerusi Felda. Isa nampaknya berpihak kepada Najib dan telah berjaya mengekalkan kuasanya dalam UMNO.

Pada ketika ini, ahli keluarga Muhammad Hassan sedang mengawal kawasan Rembau, dimana Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menjadi ahli parlimen disitu. Tetapi Khairy tidak lagi mendapat sokongan Najib yang mahu menguasai Negeri Sembilan. Jadi, dalam usaha membariskan muka baru seperti kemahuan akar umbi dan pengundi, Najib telah memberi lampu hijau kepada Isa untuk menjatuhkan Muhamad Hassan dan ahli keluarganya.

Ini berita lama yang sudah diketahui oleh akar umbi UMNO. Tapi, dengan PRU ke-13 tidak lama lagi, Muhamad Hassan dan kaum kerabatnya tidak senang duduk, adakah mereka akan digugurkan dan berapa orang yang bakal digugurkan- dari senarai calon boleh menang Najib?

Sebenarnya, Najiblah yang sedang mensabotaj Negeri Sembilan. Seperti kata pepatah, ikan mereput dari kepala, apabila orang atasan melakukannya, bagaimana fenomena ini boleh dicegah dalam UMNO? Lagipun, selain Negeri Sembilan, Selangor, Perlis dan Terengganu juga berhadapan dengan masalah yang sama. Najib jangan terlalu berharap dan patut lebih berhati-hati.

Muhyiddin

Timbalan Najib, Muhyiddin Yassin berserta Mahathir dan beberapa pemimpin veteran UMNO yang lain tidak gembira mendengar apa yang sedang dilakukan oleh Najib di belakang mereka. Semestinya mereka juga sedang sibuk mensabotaj Najib sebagai balasan. Dalam UMNO, Najib sudah dianggap umpama berita lama. Pelobi kuasa melihat dirinya sebagai liabiliti dan mereka akan pastikan dia digantikan dengan Muhyiddin.

Walaupun amnya, sokongan dan senyuman manis diberikan kepada Najib, Najib dan isterinya yang kontroversi Rosmah Mansor sudah tahu nasib yang bakal menimpa mereka. Penampilan 'bintang istimewa’ seperti peniaga permaidani Deepak Jaikishan dan juga bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan memberi pengesahan cengkaman kuasa Najib yang rakus. Kedua-dua Deepak dan Musa mengejutkan negara dengan pendedahan berani yang 'tiba-tiba' atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh PM dan sepupunya Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Ketidak sefahaman antara Najib dan Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri, telah jelas dari hari pertama lagi. Bukan sahaja Muhyiddin jarang menyokong dasar Najib, malah dia secara terbuka mengkritik konsep 1 Malaysia PM itu. Apabila poster muncul di Johor baru-baru ini menuntut agar Najib digantikan dengan Muhyiddin, ini menjadi isyarat jelas dari Muhyiddin kepada UMNO bahawa dia bersedia untuk mengambil alih jawatan bosnya. Malah, dalam perhimpunan agung UMNO baru-baru ini, perwakilan bertepuk tangan setiap kali Muhyiddin menyebut nama Mahathir dalam ucapannya dan ini tidak disenangi oleh Najib.

Pemilihan parti UMNO akan diadakan pada tahun depan selepas PRU ke-13 dan pembuat dasar UMNO masih lagi Mahathir. Oleh kerana itu, ramai yang mahu tahu siapa yang disukai Mahathir dan siapa yang akan kekal. Najib juga telah sedaya-upaya memuji Mahathir dan dia tidak diabaikan sepenuhnya, namun dia gagal menarik minat delegasi dan ini jelas apabila Hishamuddin telah dikerahkan untuk mengulangi apa yang diutarakan olehnya dalam setiap ucapan kepada pemberita yang membuat liputan ke atas acara itu.

Najib tidak akan membiarkan Muhyiddin lebih menyinar daripadanya walaupun dia mungkin tidak akan berupaya melakukan apa-apa dalam perhimpunan parti yang akan datang!

Selangor

Di Selangor, di mana Najib mengetuai bahagian UMNO, pengkhianatan dan tipu daya yang selama ini tersembunyi hanya menunggu masa sahaja untuk meletup. Timbalan Najib di Selangor merupakan Noh Omar yang telah dapat melakukan beberapa kemajuan dalam memperkukuhkan UMNO bahagian negeri itu. Tetapi Noh menyokong Muhyiddin dan tahu bahawa Najib tidak akan percaya padanya dan juga pengikut-pengikutnya.

Yang pasti, walaupun UMNO kembali memerintah kerajaan negeri Selangor, Noh tidak akan dinamakan sebagai menteri besar atau ketua menteri. Jadi, jika nama Noh tidak tersenarai atau terlalu ramai penyokongnya digugurkan, ada kemungkinan Noh Omar tidak akan teragak-agak untuk mensabotaj.

Seorang lagi pemimpin UMNO Selangor yang ‘berkemungkinan mensabotaj' adalah Mohd Zin, yang tidak begitu popular kecuali dalam kawasannya sendiri. Mohd Zin tidak mampu untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli BN yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Selepas pelantikannya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, Mohd Zin tidak melakukan apa-apa untuk memastikan UMNO-BN mampu merampas semula Selangor. Pengkritik mengatakan dia lebih berminat untuk memperbaiki kedudukannya supaya dia boleh mendapatkan tempat dalam senarai boleh menang Najib walaupun ia bermakna terlibat dalam perbalahan untuk mendapat kelebihan dari rakan-rakan parti yang lain. Kerana tidak mampu berfikir secara rasional, orang dalam yakin Najib mungkin tidak mempunyai pilihan selain menjadikan Mohd Zin sebagai seorang calon atau dia akan mensabotaj!

Pensabotaj terbesar adalah…

Bagi Najib sendiri, terdapat ramai pemerhati UMNO yang mengatakan bahawa dia akan menjadi orang yang pertama mensabotaj UMNO Selangor. Betul - Najib lebih suka untuk memulakan sesuatu yang baru dan memilih set calon-calonnya sendiri yang ‘segar’. Pasukan UMNO Selangor yang sedia ada bukan sahaja dibelenggu oleh skandal rasuah tetapi dipenuhi dengan ‘talam dua muka’ yang berani untuk berkomplot dan merancang demi kepentingan mereka sendiri.

Siapa kata Najib tidak boleh melakukannya? Ini kerana perwakilan UMNO sendiri telah memberinya kuasa untuk menentukan senarai calon pada perhimpunan tahun lepas walaupun mereka mungkin menyesalinya sekarang. Tindakannya memberi Raja Nong Chik peluang di kerusi Lembah Pantai dan meminggirkann Shahrizat Jalil, Ketua Wanita UMNO yang jatuh berikutan pendedahan skandal NFC RM250 juta adalah pembuka mata, tegas pemerhati Umno.

Baru-baru ini telah dilaporkan dalam akhbar milik UMNO, NST bahawa Najib dan Hishamuddin telah menyenaraikan nama-nama untuk calon boleh menang di Selangor. Bukankah ini perbuatan mensabotaj dan merampas proses pemilihan UMNO yang paling teruk dengan meletakkan ‘orang mereka sendiri' dahulu? Adakah Najib sanggup kehilangan Selangor jika UMNO-BN boleh menang di negeri-negeri lain dan dia masih boleh memegang kuasa selepas pemilihan parti UMNO kerana sokongan dari orang-orang yang telah dipilihnya sebagai calon?

Walaupun ia sedang diwar-warkan oleh media UMNO, jelas Najib sebenarnya tidak yakin boleh merampas Selangor semula, jadi dia tidak akan rugi apa-apa pun. Satu lagi berita mengejutkan dari akar umbi UMNO dan inilah sebabnya kenapa Najib gagal membubarkan parlimen walaupun khabar angin bertiup kencang bahawa ia akan dilakukan pada bulan November yang lalu. Dia sebenarnya belum membuat keputusan siapa yang akan dimasukkannya dalam senarai itu. Najib masih belum membuat keputusan dan bagi Selangor, kawasan yang paling kritikal untuk dimenangi semula, namun begitu, usaha-usaha masih diteruskan.

Kemalasan ini akan menjadi satu lagi faktor dalam kejatuhan Najib. Jika panglima UMNO merasakan bahawa Najib mengkhianati mereka, dia akan dipaksa dengan ugutan mensabotaj yang akan menghancurkan mereka yang mahu berkuasa. Dan apabila Najib gagal mengotakan janjinya, mereka yang baru ini akan mensabotaj Najib pula. Mereka sudah pasti akan kecewa kerana dipermainkan dan akan membuat kacau di Selangor kerana impian mereka telah di permainkan oleh Najib dan sudah berkecai.

Walau dengan cara apa sekalipun anda melihatnya, Najib sedang berhadapan dengan dilemma. Malah, dia patut lupakan sahaja perasaan ‘feel good’ yang akan membantu UMNO dalam PRU ke-13 nanti. Sebenarnya, kes mensabotajlah yang akan BERLELUASA!

ADUN DAP buat laporan polis selepas terima 'bahan lucah'

Dua pemimpin DAP hari ini membuat laporan polis selepas masing-masing menerima sampul surat yang mengandungi dokumen dan cakera video digital (DVD) dipercayai mengandungi bahan lucah seorang individu yang didakwa menyerupai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan dan seorang wanita.

Laporan polis itu dibuat oleh dua pemimpin DAP Perak iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Buntong, A.N Sivasubramaniam di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, petang tadi.

Menurut laporan polis itu kedua-dua pemimpin DAP tersebut menerima sampul surat yang dialamatkan kepada mereka pada 10.30 pagi.

Sampul surat yang mengandungi dokumen dan DVD lucah itu dihantar melalui perkhidmatan Pos Laju ke Ibu Pejabat DAP Perak dan disampaikan oleh seorang petugas pejabat berkenaan ketika mereka berada di persidangan DUN.

Bercakap pada sidang media, Sivakumar berkata laporan polis itu dibuat supaya ia tidak menjejaskan imej speaker dan DUN Perak.

Beliau turut mendakwa pengirim pada sampul surat yang diterima beliau itu tertulis Badan Perhubungan MIC Perak.

Sementara itu, Ganesan yang ditemui di pejabatnya berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

"Saya akan melaporkan perkara itu kepada polis dan saya meminta pihak polis menjalankan penyiasatan. Saya tidak tahu tentang semua perkara ini," katanya.
- Bernama

Mati tertelan gigi palsu ketika minum

SINGAPURA: Ajal memang tidak boleh dielak walaupun dengan kejadian yang tidak pernah diduga.

Ini yang berlaku pada Zhang Qishan, lelaki berusia 82 tahun yang meninggal dunia selepas tertelan gigi palsu ketika meminum susu.
Isterinya, Peng Ahchun berkata, dia melihat sendiri suaminya mati kerana tertelan gigi palsu itu.

“Dia tiba-tiba saja tersedak dan saya tidak tahu apa yang tidak kena,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan, semalam.

Peng yang sedar suaminya tertelan gigi palsu itu terus meminta lelaki itu memuntahkan kembali gigi itu tetapi dia terlalu lemah dan mukanya kemudian berubah menjadi biru.

Peng, 75, terus memanggil jiran dan menghubungi ambulans, namun tindakannya sudah terlambat. Suaminya telah meninggal dunia.

“Kadang-kadang perkara yang tidak diingini berlaku dalam hidup,” katanya dengan sedih.

Menurut Peng, kesihatan suaminya memang lemah kerana mengalami kesukaran bernafas dan lemah jantung. 
-ST

Setiausaha Politik Najib Dilarang Jadi Calon...

Shahbudin Husin
Harapan serta impian Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Najib untuk bertanding dalam pilihanraya umum akan datang bakal menjadi "angan-angan tak sudah" kerana mereka mungkin tidak dibenarkan bertanding oleh Najib sendiri, sebaliknya akan diminta menumpukan perhatian kepada kemenangan UMNO dan BN secara keseluruhannya.

Semua mereka ini dipercayai akan diberitahu sendiri oleh Najib mengenai perkara itu.

Dari Bangunan Perdana Putra dan Seri Perdana, di mana tempat berpusatnya kuasa, berhembus khabar bahawa Najib telah dinasihatkan oleh penasihat-penasihatnya agar melarang semua setpol dan pegawai khas daripada menjadi calon pilihanraya bagi mengelakkan petaka lebih buruk menimpa Najib, UMNO dan BN.

Sebaliknya, semua setpol dan pegawai khas Najib akan dikerah memastikan kemenangan selesa Najib di Pekan, merampas semula Selangor, memberi lebih tumpuan kepada Johor, Sabah serta Sarawak dan memastikan kemenangan yang lebih baik bagi BN di peringkat Pusat.

Para penasihat itu berpendapat adalah tidak wajar setpol dan pegawai khas turut sama menjadi calon kerana mereka sepatutnya membantu Najib, UMNO dan BN memperolehi kemenangan, lebih-lebih lagi lagi PRU 13 ini adalah cabaran paling getir dan bukannya sama sibuk menonjolkan diri masing-masing untuk menjadi wakil rakyat dan megah dipanggil YB.

Sebelum ini, heboh diperkatakan bagaimana sebahagian besar setpol dan pegawai khas Najib dikesan sedang berusaha menonjolkan diri untuk dipilih sebagai calon pilihanraya akan datang. Sebahagian mereka yang ghairah itu baru saja memegang jawatan-jawatan utama di peringkat UMNO bahagian setelah Najib menjadi PM manakala selebihnya tidak pun memegang apa-apa jawatan dalam UMNO, sebaliknya hanya menggunakan pengaruh sebagai orang yang dekat dengan Perdana Menteri.

Antara setpol dan pegawai khas Najib yang heboh diperkatakan bakal menjadi calon ialah Fatmi Che Salleh di Kota Bharu, Kelantan, Shafie Abdullah di Wangsa Maju, Sahlan Ismal di Pokok Sena, Kedah, Jailani Ngah di Terengganu, Ghazali Ibrahim juga di Kedah, Latt Shariman di Kuala Kedah dan Farid Ridzuan dilaporkan mungkin bertanding di Perak.

Sebahagian mereka ini dilaporkan begitu giat turun padang dan melobi untuk menjadi calon, sehingga kadangkala tindakan mereka dilihat begitu berlebih-lebihan di mana terdapat seorang setpol Najib yang telah menumbangkan lebih 40 ekor lembu ketika Raya Korban, baru-baru ini.

Bagaimanapun dilaporkan juga bahawa disebalik larangan itu, hanya Fatmi yang diberi lampu hijau untuk bertanding di Parlimen Kota Bharu kerana beliau dikatakan tidak mempunyai konflik di dalam UMNO Kota Bharu yang diterajuinya, selain harapan UMNO untuk menang di situ juga agak tipis.

Manakala di bahagian lain, misalnya Shafie di Wangsa Maju, Latt Shariman di Kuala Kedah dan Sahlan Ismail di Pokok Sena, ketiga-tiga mereka dilaporkan menghadapi konflik yang agak serius di bahagian masing-masing yang memungkinkan kekalahan lebih pasti berbanding kemenangan jika mereka dipilih sebagai calon.

Meletakkan Sahlan sebagai calon di Pokok Sena dan Latt Shariman di Kuala Kedah lebih mendedahkan kepada rasa tidak puas hati akar umbi dan ini memungkinkan berlakunya sabotaj ketika pilihanraya nanti. Shafie pula selain menghadapi kemungkinan sabotaj daripada kelompok UMNO sendiri, pemilihannya sebagai calon juga menipiskan lagi peluang untuk mendapat undi Cina yang berjumlah lebih 38 peratus kerana beliau masih bermasam muka dengan Ketua MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look.

Ghazali Ibrahim pula sudah pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini dan beliau akan dinasihatkan untuk fokus membantu jentera UMNO di Kedah manakala Jailani dan Farid Ridzuan pula dilaporkan belum sampai ketikanya untuk menjadi calon pilihanraya dan diminta menumpukan kepada tugas sedia ada.

Najib sendiri dikatakan tiada halangan jika dari sekian banyak setpol dan pegawai khasnya yang sedang ghairah dan bercita-cita tinggi itu, hanya Fatmi seorang yang dibenarkan bertanding kerana beliau sendiri semakin terhimpit dengan pelbagai kemelut politik yang merimaskan sejak akhir-akhir ini.

Najib tentunya memerlukan para pegawainya lebih fokus dan mendampinyai selalu.

Di ketika Najib begitu mengharapkan kemenangan dan tidak mahu kehilangan walau satu kerusi pun yang dalam jangkaan boleh menang, jalan terbaik yang dilihat ketika ini ialah dengan melarang semua setpol dan pegawai khas itu daripada menjadi calon pilihanraya.

Para penasihat itu juga menekankan kepada Najib bahawa jika terlalu ramai setpol dan pegawai khas yang dilihat ingin mengambil kesempatan menonjolkan diri sebagai calon, ia juga membuka ruang yang lebih terbuka kepada serangan pembangkang, selain mengundang persepsi tidak enak di kalangan pengundi.

Namun, hujah yang lebih lembut untuk mewajarkan mereka itu tidak dipilih sebagai calon ialah kerana sebagai setpol dan pegawai khas, mereka sepatutnya menjadi "tangan tambahan" kepada Najib yang kini sedang berhempas pulas untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN.

Para penasihat itu menekankan bahawa walaupun sebahagian setpol dan pegawai khas Najib itu menjadi Ketua UMNO Bahagian, mereka seharusnya meletakkan jawatan sebagai setpol dan pegawai khas jika benar ingin menjadi calon dan bergelar YB supaya tugas membantu Najib dapat dilakukan oleh individu lain yang tidak terlalu mempunyai kepentingan peribadi.

Tidak mustahil lebih ramai golongan agamawan Islam sertai DAP

Nazli Ibrahim
dr mazleen Golongan Agamawan Sertai DAP 01SHAH ALAM, 21 DIS: Tidak mustahil lebih ramai golongan agamawan Islam seperti ustaz menyertai DAP suatu hari nanti kerana parti itu merupakan parti yang berbilang kaum seperti PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Penyertaan golongan agamawan di dalam DAP juga tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang menghairankan kerana DAP hari ini dilihat sebagai sebuah parti sosial demokrat yang memperjuangkan tadbir urus yang baik seperti mana PKR dan PSM.

Demikian menurut Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Dr Maszlee Malik kepada TV Selangor.

“Sebagai parti yang majmuk mereka perlu ada kepelbagaian wajah, maksud saya bukan sahaja golongan agamawan Islam sahaja, sekarang ini pun dah ada aktivis Kristian dan Buddha, mengapa tidak ada ustaz-ustaz atau aktivis Islam di dalamnya.

“DAP sendiri, setahu saya sudah ada kumpulan ustaz yang dah masuk DAP seperti Abdul Hakim, Mustakim dengan Fakri,” kata Dr Maszlee.

“Dalam PKR dan PSM yang sama seperti DAP nak tegakkan keadilan, ‘good governance’ dah ada golongan seperti Dr Manuaty, Dr Badrol Amin dan lain-lain,” ujar Dr Maszlee.

Sebelum 1998, masyarakat Melayu dilihat seolah-olah ‘takut’ mendekati parti DAP apabila selama lebih 50 tahun media arus perdana berjaya mainkan peranan mereka dengan memberikan gambaran bahawa DAP sebagai sebuah parti perkauman orang-orang Cina.

Bagaimanapun tembok pemikiran lama masyarakat Melayu terhadap DAP mulai runtuh sedikit demi sedikit apabila tercetusnya kebangkitan gerakan Reformasi pada 1998.

Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap DAP dilihat semakin bertambah apabila parti itu menjalin kerjasama selepas pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di parlimen.

Malahan PAS yang turut menjadi mangsa media arus perdana dengan label ekstrimis Islam turut bersedia menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR, seuatu yang dianggap mustahil sebelum tahun 1998.

TGNA ziarah kanak-kanak lumpuh dirempuh lori (Gambar)

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkesempatan menziarahi kanak-kanak malang, Hakim Aizuddin Ismariza, 7, semalam.

Adik Hakim, lumpuh seluruh badan dan tidak mampu bercakap setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila dirempuh sebuah lori kecil pada 10 September lalu.

Atas rasa simpati, Tuan Guru turun menziarahi anak kecil yang kini tidak memberikan sebarang tindak balas.

Jauh untuk tersenyum, menangis apa lagi bercakap.

Tuan Guru melahirkan rasa simpati terhadap nasib menimpa anak ketiga daripada lima orang adik beradik sejak September lalu.

“Saya berharap semoga keluarga ini lebih tabah menerima ketentuan Ilahi, insya Allah besar ganjarannya,” ujarnya dengan wajah sugul.

Tuan Guru turut beramah mesra dengan kedua ibu bapa Hakim, Norhakimah Ghazali, 36, dan Ismariza Dollah, 36 yang tinggal di Kampung Kedondong, Kota Jembal dekat sini.

Norhakimah ketika ditemui memberitahu, anaknya kini hanya minum susu melalui tiub dan menggunakan lampin pakai buang.

“Dia dulu seorang anak yang aktif, riang sentiasa, tetapi kini dah tak ada lagi,” ujarnya yang juga seorang guru.

Pada masa yang sama, Tuan Guru turut menziarahi datuk kepada Hakim, Dollah Awang, 75, yang mengidap angin ahmar dan masalah buah pinggang.

Siswa berhimpun di depan Penjara Kajang tuntut bebaskan Umar

ARIF ATAN
NONE
KUALA LUMPUR: Hampir 100 anak muda dan mahasiswa berhimpun di hadapan pagar Penjara Kajang pada malam 21 Disember sebagai membantah tindakan memenjarakan Umar Mohd Azmi selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada sebelah siangnya.

Hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 itu atas alasan beliau kononnya mengganggu penjawat awam DBKL ketika 'Occupy Dataran' mendesak mansuhkan PTPTN pada April lalu.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang ketika dihubungi Harakah pada jam 11 malam tadi berkata, sebanyak lima khemah sedang didirikan sebagai simbol membantah keputusan tidak adil tersebut sementara kes dijadualkan disebut semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin ini.

"Buat masa ini polis mengawal dan memerhati sahaja. Mulai pagi esok (Sabtu) pula kami akan bergerak lancarkan kempen Bebaskan Umar di sekitar bandar Kajang supaya rakyat sedar penindasan yang sedang berlaku," katanya.

Dalam himpunan di hadapan penjara itu, selain ucapan daripada Safwan, Abby Abadi dan wakil dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyampaikan rasa tidak puas hati membantah tindakan yang dikenakan pada Umar seorang mahasiswa tahun akhir di sebuah IPTS di Klang itu.

Turut hadir menyokong aktivis mahasiswa lain daripada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), siswa Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) serta aktivis Asalkan Bukan Umno (ABU) dan sebagainya.

Kes tersebut sekali lagi menjadi bukti penindasan kerajaan Umno-BN terhadap gerakan mahasiswa sebagai agen perubahan rakyat semakin terserlah.

Pukulan yang tepat!

Salena Tay
Sebuah akhbar harian Bahasa Inggeris bertarikh Ahad, 16hb Disember 2012 telah melaporkan Perdana Menteri Najib Tun Razak sebagai berkata, "The Opposition only thinks about chaos. A vote for them is a vote for riots, disturbances and demonstrations".

Diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia ia bermaksud "pihak pembangkang hanya berpikir perihal huru-hara. Satu undi untuk mereka ialah satu undi untuk rusuhan, kacau-bilau dan tunjuk perasaan."
Kenyataan PM Najib diatas jelas menunjukkan bahawa beliau sedang bertungkus-lumus cuba mempengaruhi minda rakyat bahawa pihak pembangkang ialah puak yang jahat. Adakah beliau telah kehabisan idea yang bernas untuk berhujah dengan fakta dalam usaha beliau untuk mendapat sokongan rakyat?

Dimanakah perlaksanaan konsep 'kesederhanaan' yang selalu diuar-uarkan oleh beliau?

Adakah kenyataan diatas ini dibuat oleh beliau sebab beliau kurang yakin BN akan memperolehi pencapaian yang cemerlang dalam pilihanraya yang akan datang nanti?

Selain dari itu, pemimpin-pemimpin BN juga telah berkata bahawa pemilihan parti DAP gagal mencerminkan konsep 'Malaysian Malaysia' yang selalu diuar-uarkan oleh para pemimpin DAP dan juga tidak terdapat ramai orang Melayu dalam parti DAP.

Seorang penyokong PAS menjawab pemimpin BN dalam Facebook 'Road To Putrajaya' dengan mengatakan demikian: "Bagaimana pula dengan Umno? Adakah Umno mempunyai pemimpin Cina yang terkemuka di peringkat atasan? Bagaimana pula dengan MCA? Adakah MCA mempunyai pemimpin Melayu?"

Penyokong PAS tersebut juga berkata dalam DAP tidak terdapat ramai orang Melayu sebab ramai orang Melayu telah menyertai PAS ataupun KeADILan.

Memang penyokong PAS bijak meneliti situasi politik tanahair dan beliau telah memberi satu pukulan yang tepat kepada BN!

Hina Habibie: Susilo tolak alasan bodoh Najib

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Dakwaan kontroversi bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bahawa bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie pengkhianat kepada negaranya, terus hangat minggu ini apabila Presiden Susilo Bambang Yudhoyono membangkitkan perkara itu semasa pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Presiden Indonesia itu menyentuh perkara berkenaan semasa lawatannya ke Kuala Lumpur pada 18 dan 19 Disember, dengan memberitahu Najib bahawa beliau kesal kerana seorang pegawai Malaysia boleh dipetik berkata sedemikian terhadap bekas Presiden Indonesia dalam akhbar tempatan.

“Saya berharap, dan saya menyuarakan ini kepada Najib, bahawa kita boleh mencegah perkara-perkara seperti ini daripada terus berlaku,” kata Susilo dalam satu sidang akhbar di Lapangan Terbang Halim Perdanakusumah di Jakarta Timur, dipetik Malaysia Kini yang memetik The Jakarta Globe.

Perdana Menteri Malaysia dilaporkan memberitahu Susilo bahawa kenyataan Zainuddin adalah pendapatnya sendiri dan telah dibuat selepas bekas menteri itu bertemu dengan Habibie.

Najib memberitahu presiden Indonesia itu bahawa ia adalah musim pilihan raya di Malaysia dan banyak isu telah menjadi sensitif.

Susilo memberitahu sidang akhbar tersebut bahawa beliau tidak nampak sebarang sebab untuk menghina bekas presiden Indonesia itu.

“Bagi saya, sama ada akan ada pilihan raya atau tidak, semua orang saling harus melindungi satu sama lain dan tidak perlu memburukkan ketua negara atau bekas ketua negara lain,” katanya.

Zainuddin telah dipanggil Habibie pengkhianat kepada negara yang tunduk kepada tekanan Barat untuk mengeluarkan satu referendum yang membenarkan Timor Timur keluar daripada republik itu, demikian menurut petikan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Zainuddin memanggil Habibie dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “anjing imperialisme”.

Markas PAS Bentong jual ‘biskut telinga cap Adnan’

Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR, 21 DIS: Jualan ‘biskut telinga cap Adnan’ akan dibuat di Markas PAS Chegar Mendang, Bentong sempena konvoi Himpunan Hijau dari Kuala Lumpur ke Kuantan pada 31 Disember 2012

“Kita akan buat jualan biskut telinga cap Adnan,” kata Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Pada 30 November lalu, Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob mendakwa mahu memotong telinganya dan terjun Sungai Pahang kononnya kerana yakin isu Lynas tidak menjejaskan peluang BN di negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika membuat pengumuman mengenai konvoi Himpunan Hijau dari Kuala Lumpur ke Kuantan akan diadakan pada 31 Disember 2012.

Konvoi ‘Protes Anti-Lynas dari Kuala Lumpur ke Kuantan’ bermula jam 8 pagi 31 Disember 2012 di Markas PAS Taman Melewar, Gombak.