"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ADUN pula dapat AP

Semua ADUN kini masing-masing boleh memohon untuk mendapatkan satu permit AP untuk mengimport kereta ke negara ini.

Dengan itu, mereka kini menyertai ahli parlimen serta peniaga dan pengimport kereta, diplomat dan individu lain yang menikmati kemudahan tersebut untuk memohon AP daripada kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Surat dari bahagian import dan eksport Miti itu, dikeluarkan pada bulan Februari dan dialamatkan kepada setiausaha dewan undangan negeri (DUN) Selangor, Mohd Yasin Bidin, menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan keputusan tersebut pada 25 Oktober 2009.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan para 'yang berhormat' kepada rakyat dan negara, kata surat tersebut.

Menurutnya lagi, kereta yang diimport itu - mesti berusia lima tahun atau kurang - tidak boleh dipindahkan hakmilik kepada pihak lain.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada pemberian AP kepada ADUN itu juga memerlukan mereka membayar yuran RM10,000 untuk permit yang diperolehi itu.

Pembayaran yuran tersebut diumumkan oleh Miti pada bulan Oktober ekoran aduan bahawa AP telah disalahgunakan dengan dijual pada pihak ketiga, daripada digunakan untuk memajukan usahawan kereta bumiputera.
-malaysiakini-

Perihal pengetua SBT ‘bodek’ PM 1Malaysia

Ibu pelajar SBT
Saya rasa terpanggil untuk menulis maklumat yang baru saya terima dari anak saya yang merupakan salah seorang pelajar di salah sebuah sekolah yang telah diumumkan sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) oleh TPM.

Alangkah terkejutnya saya apabila anak saya memaklumkan semua pelajar di sekolahnya diwajibkan menulis surat 1Malaysia ke PM dan bagi pelajar yang tidak menghantar surat tersebut kepada guru berkenaaan pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan 'outing' (keluar untuk sekadar beberapa jam pada Jumaat atau Ahad).

Mengikut anak saya arahan ini dari pengetua sekolah. Surat-surat yang ditulis ditapis oleh guru dan isi kandungannya terikat kepada idea-idea yang dibincangkan dengan guru. Permulaan harus lebih kepada memuji kepimpinan PM.

Persoalannya mengapa harus memaksa pelajar-pelajar menulis surat 1Malaysia kepada PM sedangkan gagasannya masih kabur dan mengapa harus memuji kepimpinan PM dan mengapa harus ditapis kandungannya?

Bukankah lebih baik menggunakan ICT di mana pelajar menulis dan terus email kepada email PM. PM harus tahu dan menerima hakikat mengenai apa sahaja pandangan dari rakyat.

Pengetua pun janganlah hendak jadi 'kaki bodek' dengan cara memaksa pelajar-pelajar dalam hal ini.Seusia ini (13-17 tahun) pelajar telah dipaksa dan tidak diberikan kebenaran menulis, di manakah demokrasi yang dicanangkan sehingga ke Washington.

Ibu pelajar SBT

Nik Aziz tonton filem buat julung kali?

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 27 Feb: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) akan menonton filem “Ketika Cinta Bertasbih” yang akan ditayangkan di Balai Islam Lundang esok, yang menurut pegawainya ini kali pertama beliau berbuat demikian di khalayak ramai dalam hidupnya.

Setiausaha Politik kepada Nik Aziz, Wan Nik Wan Yusuf mengesahkan perkara itu ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

“Setakat ini disahkan tok guru akan hadir,” katanya.

“Jika Tok Guru Nik Aziz hadir menonton filem itu, maknanya ini adalah kali pertama beliau menonton filem dalam hidupnya.

“Sebelum ini beliau memang tak pernah menonton wayang.

“Tok Guru rasa minat nak tengok filem itu kerana mesejnya yang berunsur kerohanian dan keagamaan,” kata beliau.

Tayangan filem tersebut diadakan sempena Hari Hiburan Islam selaras dengan usaha kerajaan negeri yang tidak pernah menyekat persembahan hiburan, yang sebahagiannya menjadi aspirasi rakyat Kelantan khususnya di kalangan remaja.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Baihaqi Atiqullah yang juga selaku pengarah program berkata tayangan filem berkenaan dijangka bermula pukul 9 malam.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dijemput mengupas filem tersebut.

“Saya menjemput orang ramai hadir bersama-sama menonton filem bercorak kerohanian itu selain untuk berhibur, ia juga dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

“Ketika Cinta Bertasbih” sebuah filem yang diadaptasikan daripada novel karya penulis Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi dan merupakan filem “box-office” di Indonesia tahun lalu.

Pada 14 Feb lalu, lebih 1,000 penonton menyaksikan tayangan filem “Ketika Cinta Bertasbih” bahagian pertama yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Sempena program tersebut Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan telah meraikan kunjungan selebriti TV3, Wardina Safiyyah dan Habiburrahman yang juga selaku pengarah filem tersebut.

Nik Aziz menghargai kehadiran mereka ke negeri ini sebagai ikon kepada persembahan hiburan Islam.

-malaysianinsider-

Pemandu teksi berdepan kes bunuh, bersekedudukan

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Pemandu teksi, yang berdepan dengan tuduhan membunuh kerana dipercayai mendera sehingga mati anak perempuan teman wanitanya, juga bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah kerana bersekedudukan dengan ibu mangsa sehingga melahirkan seorang anak luar nikah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Bakhtiar Rashid berkata polis akan merujuk lelaki berumur 28 tahun itu dan ibu mangsa, 25, ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan lanjut setelah didapati tidak berkahwin tetapi hidup bersama sehingga mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan hasil perhubungan selama enam tahun.

“Ibu mangsa masih belum bercerai dengan suaminya tetapi berlagak seperti sepasang suami isteri dengan suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kanak-kanak perempuan, Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat ini kelmarin.

Bakhtiar berkata suspek itu kini ditahan reman tujuh hari sehingga 4 Mac ini di lokap Balai Polis Kuala Kubu Baru bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya polis akan memohon untuk melanjutkan reman sehingga 14 hari terhadap suspek bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, katanya, suspek juga positif dadah setelah ujian air kencing diambil semasa dalam tahanan.

Bakhtiar berkata polis juga akan menahan enam individu termasuk ibu mangsa dan saksi di tempat kejadian yang mempunyai kaitan dengan kes kematian kanak-kanak perempuan itu.

“Kita akan membuat tangkapan secara menyeluruh termasuk kemungkinan menahan emak (ibu mangsa) yang melakukan perbuatan sama mendera anaknya itu. Saksi akan turut diambil keterangan berikutan ada beberapa orang yang melihat kejadian berlaku tetapi tidak melaporkan kepada polis,” katanya.

Selain itu, katanya, polis akan mengambil keterangan bapa mangsa yang kini ditahan reman tanpa boleh dijamin di Penjara Sungai Buloh sejak 2006.

Bakhtiar berkata hasil bedah siasat ke atas mayat Syafia Humairah di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) pada 10.30 pagi ini mendapati kematian kanak-kanak itu adalah akibat kecederaan serius berikutan terdapat pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan juga mendapati terdapat penderaan berterusan pada badan mangsa. Ada kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dilakukan dipercayai dipukul oleh benda keras.

“Pada bahagian belakang tubuh badan mangsa pula terdapat lebam selain leher, pipi dan bahunya,” katanya.

Menurutnya keluarga ibu mangsa telah menuntut mayat kanak-kanak itu dari Bilik Mayat HKKB pada kira-kira 1.30 petang tadi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh petang ini.

-malaysianinsider-

Harap Zila Bakarin patuh perintah Allah

Ismail Hashim
SHAH ALAM, 27 Feb:
Pengasas Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan, Ustaz Rosli Abdul Jabar berharap artis Zila Bakarin akan segera mematuhi perintah Allah SWT di dalam semua hal dan melaksanakan hukum-Nya tanpa berdolak-dalik lagi.

Beliau amat prihatin dengan kenyataan artis itu berhubung pemakaian tudung kerana dibimbangi membawa mudarat kepada ketauhidan seseorang Muslim jika dibuat dalam keadaan mempersendakan namun berharap Zila membuat kenyataan itu dalam keadaan ‘tidak tahu’.

“Namun mesti ada usaha untuk memahamkan beliau (Zila) atau menjadi kewajipan beliau sendiri untuk belajar ilmu agama dengan lebih mendalam lagi,” tegas Ustaz Rosli selepas menyampaikan kuliah bulanan di Markas PAS Seksyen 18, dekat sini semalam.

Ini, katanya kerana umat Islam tidak kira dari golongan apa pun wajib menunaikan segala hukum dan perintah Allah SWT dan daripada menurut perintah-Nya dengan ikhlas sahajalah, mereka akan mendapat petunjuk daripada Allah.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Zila yang enggan memakai tudung selagi mana hatinya masih mempunyai rasa tidak baik terhadap orang lain dan memohon Allah SWT memberikan petunjuk kepadanya.

Dengan menyatakan dalil al-Quran yang bererti, “Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasiq”, Ustaz Rosli berkata, beliau hanya memberikan peringatan secara umum kepada semua orang tidak hanya kepada artis itu sahaja dan berharap mereka akan mengikuti jalan benar dengan segera.

Dalam satu laporan portal berita bertajuk ‘Zila Bakarin: Buat Apa Pakai Tudung Kalau Hati Tak Betul’, artis itu berkata: “Misalnya pakai tudung memang saya nak sangat tetapi biarlah saya ubah perkara yang lain dulu. Bagi saya bertudung ini bagus dan harap-harap Tuhan bukakan pintu hati ini”.

“Saya tak nak pakai tudung di luar tetapi hati kita benci dengan orang lain. Saya nak berbaik dengan semua orang dulu. Biarlah orang tak suka saya pun, itu perkara nombor 10,” kata Zila.

Protes laksana GST di ibu negara bulan depan

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 27 Feb: Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim mengalu-alukan kehadiran beramai-ramai rakyat negara ini menyertai protes terhadap keputusan kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di ibu negara pada 15 Mac ini.

Kata beliau, protes akan diadakan di pekarangan bangunan Parlimen yang bersidang mulai pertengahan bulan depan.

"Bantahan ini bukan untuk cetuskan sebarang permusuhan, tetapi demi untuk membela kebajikan rakyat.

“Terutamanya rakyat bawahan yang berpendapatan rendah, petani, nelayan termasuklah ibu-ibu tunggal.

“Kita rasa bertanggungjawab terhadap kesan pelaksanaan GST terhadap mereka. Maka kita tidak akan biarkan rakyat terus ditekan dan ditipu dengan semudah itu oleh kerajaan pemerintahan,” kata beliau pada majlis penerangan mengenai GST.

Majlis tersebut diadakan di Medan Ilmu dekat sini, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Senator Mumtaz Mat Nawi dan Yang Dipertua PAS Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdul Rahman.

Pada majlis berkenaan Mohd Nasir mendedahkan pelaksanaan GST akan mengakibatkan 80 peratus rakyat Malaysia mengalami penurunan pendapatan dan kualiti hidup selain melebarluaskan lagi jurang antara kaya dan miskin rakyat negara ini.

Katanya, pelaksanaan GST tidak ubah sebahagian daripada usaha kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk memindah bebanan cukai daripada golongan kaya dan korporat kepada rakyat biasa.

“Langkah demikian adalah langkah memijak kepala rakyat, bukan langkah untuk mengangkat taraf hidup rakyat ke arah yang lebih stabil.

"Kita rakyat mesti faham sungguh-sungguh konsep akan dilaksanakan dalam GST ini.

“Ingat dan faham, sesungguhnya GST akan memiskinkan lagi rakyat miskin,” katanya.

Sementara itu Saifuddin dengan nada serta gaya bahasa yang mudah menerangkan GST terpaksa dibuat kerana kerajaan Malaysia tidak ada duit akibat keborosan, ketirisan termasuklah rasuah.

“Semua rakyat akan kena dengan GST ini. Tak kira kamu orang susah ke, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang hatta ibu-ibu tunggal sekali pun,” katanya.

Rang undang-undang GST akan dibaca buat kali kedua pada sidang Parlimen yang bermula 15 Mac ini.

-malaysianinsider-

Pakatan: Satu lawan satu di Sarawak

Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu lawan satu antara Pakatan dengan BN.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.

Pilihan raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya Parlimen.

Saifuddin berkata, strategi satu lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

"PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya kepada
Malaysiakini.

Tsunami politik pada 2008 menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN. Manakala DAp, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas, menang sembilan kerusi.

Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.

Majlis itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya bersama.
-malaysiakini-

Pemuda perlu berani berubah dan melakar sejarah baru- Salahudin

Rusli Yasmin
SHAH ALAM, 27 Feb:
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru Pemuda PAS supaya berani membuat perubahan dan melakar sejarah baru dalam suasana politik negara yang penuh mencabar.

"Pemuda pasti berjiwa besar, membuka luas minda, tidak terjebak dalam emosi dan sentimen yang menyempitkan perjuangan.

"Pemuda juga mesti berani berubah, berani untuk melakar sejarah kerana itulah sifat pemuda" katanya yang merupakan mantan Ketua Pemuda PAS pada sesi lepas.

Beliau tidak bimbang soal aqidah dan daya juang yang ada dalam diri pemuda selagi sistem tarbiyyah PAS dipandu dan terus diperjuangkan oleh kepimpinan ulamak yang sedia ada pada hari ini.

Jati diri pemuda juga katanya tidak boleh dibina di atas emosi dan sentimen bagi berhadapan dengan suasana politik yang semakin mencabar.

"Apa yang penting bagi pemuda ialah terus maju ke hadapan, kerana cabaran hari ini tidak sama dengan cabaran 30 tahun yang lalu.

"Hari itu telah berlalu, hari ini era yang baru, politik yang memerlukan pemikiran baru, pemikiran yang lebih bijaksana dalam mengharungi bahtera perjuangan ini.

"Hari ini mesti ada nilai tambah, diri kita mesti terus belajar dan terus belajar" katanya.

Beliau merasmikan majlis penerangan dan pelancaran Polisi Latihan Kompetensi Bersepadu Pemuda PAS di Hotel Qualiti Shah Alam semalam.

Program selama dua hari itu dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Pemuda di bawah dewan Pemuda PAS Pusat.

Pengarah Program, Ahmad Sabki Yusuf menyatakan bahawa latihan ini bertujuan untuk menyediakan barisan kepimpinan di dalam PAS.

Menurutnya, setiap pemuda PAS mesti menjadi seorang yang kompiten, melaksanakan tugas dengan sempurna dan berkesan selain menjadi orang yang beramanah dan berintegriti.

"Kita tidak boleh menjadi orang yang baik semata-mata tetapi tidak boleh melaksanakan tugas dengan baik.

"Adalah menjadi suatu fitnah pada agama kita, sekiranya kita mendokong perjuangan agama ini tetapi diri kita tidak diterapkan dengan 'al-qawiyy' dan 'al-amin'." kata beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Program tersebut dihadiri oleh 200 Pemuda PAS yang merupakan pelapis kepimpinan pemuda yang mewakili setiap negeri.

Turut hadir dalam program semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, bersama exconya Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Ir Hj Mohd Khairil Nizam dan Zuraidin Abdullah.

Khairy Datang kelantan,Hendak Mengajar Ku Li

WFAUZDIN NS
KJ Ketua Pemuda Umno yang masih belum layak jadi Menteri dalam kabinet Najib `merantau' ke Kelantan pula. Di Negeri Serambi Mekah tersebut, KJ bukan bercerita pasal royalti minyak tetapi ingin menjual `tahi minyak'. Ketua Pemuda yang disabitkan dengan rasuah politik wang ini diketahui sebagai pengukir sejarah Ketua Pemuda yang lemah dan tidak berpengaruh. Sewajarnya beliau tidak diberi apa jua jawatan di dalam kabinet Najib

Di dalam Umno yang sedang `nyawa-nyawa' ikan sekarang ini, Ketua Pemuda bukan sahaja mesti pandai bercakap atau berpidato, tetapi sekurang-kurangnya dilihat bijak menarik golongan muda khususnya untuk bersama dengan parti berlambangkan `keris telanjang tanpa sarung' itu. KJ ternyata gagal di dalam hal ini, bahkan beliau tidak berupaya menarik sokongan padu di kalangan Exco dan JK Pemuda Umno itu sendiri. Bukan rahsia lagi bila mana terdapat suara-suara di peringkat Pemuda Umno yang mahukan beliau meletakkan jawatan akibat kegagalan ini.

Berada di bumi Kelantan, KJ tiada sasaran untuk Tok Guru Nik Aziz kerana tokoh Ulamak itu bukan tandingannya. Akhirnya beliau menyerang Ku Li tokoh veteren Umno yang telah lama berjuang dan mengenali Umno semenjak KJ memakai `pampers' lagi, KJ tiada hujah untuk menyatakan Ku Li bersalah kerana tidak sependapat dengan pimpinan Umno berkaitan royalti minyak di Kelantan. Oleh kerana tiada hujah akibat kebebalan Ketua Pemuda ini, maka dituduhnya Ku Li ingin menjadi `Hero'. Lihat berita di akhbar Sinar hari ini. Tidakkah KJ tahu sebenarnya Ku Li bukan bercita-cita untuk menjadi Hero, tetapi rakyat Kelantan telah pun mengiktirafnya sebagai `Hero' di dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat. Umno tidak perlu mengiktiraf Ku Li sebagai Hero kerana Ku Li telah pun menjadi Hero setelah begitu lama menjadi `Gurkha' di dalam Umno.

Siapa pula `Gurkha' Umno sekarang? Jika ada yang merasakan KJ amat sesuai dinobatkan sebagai `Gurkha' Umno, saya boleh bersetuju dengan pandangan itu. Jika ada pula yang berpandangan KJ lebih layak menjadi `pencacai' kepada Umno sebaris dengan Ezam raja sesumpah, pandangan itu pun saya rasa lebih tepat. Hakikatnya hayat politik KJ semakin di penghujung cuma menanti saat Pemuda Umno `menyepak' menantu Pak Lah ini keluar. KJ akan mendapat nasib yang seakan sama dengan bapa mertuanya itu.

wfauzdin.blogspot.com

Ahmad Said dikatakan tidak puashati dengan pemangku raja

Abdullah Ngah

Kita ingat kemelut yang berlaku dalam UMNO Terengganu sudah selesai. Rupa rupanya masih belum selesai lagi.

Kalau selesai mana mungkin timbul cerita Ahmad Said tidak puashati dengan pemangku raja. Kan Sultan Mizan yang angkat Ahmad jadi menteri Besar.

Mustahil Ahmad tak puashati dengan pemangku raja. Ini tentu cerita jahat yang dibawa oleh kumpulan 10 orang wakil rakyat yang boikot persidangan Dewan tiak lama dahulu.

Boleh jadi juga, kerana mereka yang sepuluh orang itu sah tidak boleh jadi calon dalam musim pilihanraya umum ke 13 nanti.

Itulah keziman yang berlaku dalam UMNO. Jadi tidak mustahil yang 10 orang itu akan dicalon semula mewakili UMNO bahagian masing masing.

Silap hari bulan Datuk Seri Idris Jusoh turut jandi mangsa, kerana dialah "master plan" untuk menjatuhkan Ahmad said dari kerusi Menteri Besar.
Saya rasa tidak munasabah Ahmad Said tak puashati dengan pemangku raja. Kalau benar begitu alamat nahaslah dia nanti.

Saya ada dengar cerita terbaru yang Ahmad said akan diturunkan pada Mach ini. Kalau tidak dapat diturunkan juga, maka kekallah dia sampai musim pilihanraya umum ke 13 nanti.

Dua tiga hari lepas ketika minum di salah sebuah kedai kopi di Batu Enam seorang sub kontraktor member tahu saya.

Apa beritanya? Beritanya memang cukup menarik.sungguh ke? Atau berita hanya direka oleh kumpulan yang tidak puashati dengan Ahmad Said.
Cerita yang Ahmad Said tidak puashati dengan pemangku raja terbit dari mulut Datuk Rosol Wahid ADUN Ajil. Sah cerita itu adalah suatu rekaan untuk memburuk buruk reputasi Menteri Besar.

Biasalah bagi orang yang marah marah dengan seseorang. Dia akan reka apa sahaja cerita untuk mencalar reputasi seseorang.

Inilah yang bernama manusia. Kadang kadang tindakannya baik dan kadang kadang tindakan buruk. Lebih lebih lagi apabila syaitan menguasai fikiran manusia.

Isu royalti: Kelantan siar iklan penjelasan balas

KUALA LUMPUR, 27 Feb :Kerajaan negeri Kelantan pula menyiarkan iklan penjelasan balas satu halaman lapan perkara berhubung pertikaian royalti minyak menjawab penerangan dibuat oleh kerajaan pusat di akhbar-akhbar Bahasa Malaysia Ahad lalu.

Iklan itu disiarkan dalam akhbar PAS Harakah dalam edisi terbarunya yang berada di pasaran sejak semalam.

Sebagaimana iklan penjelasan kerajaan pusat, penerangan kerajaan negeri Kelantan juga menjawab dengan menyentuh lapan perkara.

Iklan penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini memulakan penerangannya dengan berkata “asas tuntutan bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai Kelantan”.

Ia menambah, “Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang mula berkuat kuasa pada 1 Okt 1974, membawa kepada tertubuhnya Petronas dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperoleh di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas.

“Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, setiap daripada 13 negeri di Malaysia telah menandatangani perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

“Kami tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan dalam iklan dibuat atas nama kerajaan persekutuan baru-baru ini,” katanya.

Oleh itu kata iklan penjelasan itu, kerajaan negeri Kelantan memutuskan untuk menjawab lapan soalan iaitu “Menurut Akta Pembangunan Petroleum1974, apakah istilah yang digunakan untuk pembayaran yang dibuat untuk pengeluaran minyak dan gas?”, “Mengikut Perjanjian di antara Petronas dan kerajaan negeri dalam tahun 1975/1976, apakah syarat untuk mendapatkan hak lima peratus bayaran tunai kepada kerajaan negeri?”, “Apakah kedudukan di Sabah dan Sarawak mengenai isu pembayaran royalti?” dan “Apa yang dimaksudkan dengan bayaran “Wang Ehsan”?”.

Empat persoalan lain ialah “Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau kerajaan negeri lain di Semenanjung Malaysia mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai tersebut daripada Petronas?”, “Mengapa Wang Ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan untuk Kelantan hanya dalam jumlah RM20 juta?”, “Apa kedudukan kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengerusi Petronas, YB Tengku Razaleigh Hamzah bahawa royalti yang harus dibayar untuk Kelantan berdasarkan pengeluaran petroleum diperolehi daripada di luar perairan negeri serta mempersoalkan pemberian Wang Ehsan?” dan “Adakah Ketua Pembangkang mengetahui mengenai kedudukan hak-hak kerajaan negeri dalam masalah ini?”

Iklan penjelasan kerajaan pusat pada 21 Feb lalu juga menggariskan lapan persoalan, yang menurut Tengku Razaleigh sebelum ini sebenarnya ia menimbulkan implikasi baru dan mengelirukan.

Penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini telah diumumkan oleh Exconya Datuk Husam Musa selaku pengerusi jawatankuasa khas pertikaian bayaran royalti dibentuk oleh Kota Baru, 23 Feb lalu.

-malaysianinsider-

Indonesia didenda RM17,000 tidak hormati ‘Negaraku’

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Aksi penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, “Negaraku” ketika pasukan kebangsaan Malaysia menentang Vietnam dalam pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di sini Isnin lepas, mengakibatkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM17,000).

Tindakan itu diambil oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) setelah pengurus pasukan Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian itu.

Hamidin berpendapat tindakan mereka telah mencemarkan maruah sebuah negara.

Bernama melaporkan walaupun Indonesia menempah tempat ke pusingan akhir Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Uzbekistan, Mei ini aksi penyokongnya itu sedikit sebanyak mencemarkan kejayaan pasukan republik itu.

Pasukan tuan rumah layak ke pusingan akhir di Uzbekistan setelah menewaskan Malaysia 5-3 di peringkat separuh akhir pada Rabu lalu.

Dalam kejadian pada Isnin lalu di Stadium Tenis Tertutup Senayan itu, sejurus pasukan negara memasuki stadium dan lagu “Negaraku” dimainkan, para penonton telah menyanyikan lagu kebangsaan mereka, “Indonesia Raya”.

Nyanyian oleh penonton yang ramai itu menyebabkan lagu “Negaraku” menjadi tidak kedengaran.

Para penonton juga tidak bangun menghormati ketika lagu kebangsaan negara lain dimainkan.

Semasa permainan berlangsung pula, ada penonton meneriak perkataan “maling” (pencuri) dan “banci” (pondan) kepada pemain pasukan Malaysia.

Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andi Malarangeng telah memohon maaf berhubung kejadian itu.

Penganjur juga kemudiannya mengingatkan para penonton supaya tidak membuat bising dan bangun menghormati lagu kebangsaan negara lain ketika ia dikumandangkan, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan seterusnya yang membabitkan Malaysia.

Pasukan negara pulang ke tanah air dengan rasa hampa setelah tewas kepada pasukan Vietnam 3-6 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat kelmarin, dan dengan kegagalan itu juga bermakna Malaysia gagal menempah tempat ke Uzbekistan.

-malaysianinsider-

Apa Tunggu Lagi Ku Li

Sofi Wahab

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tengku razaleigh hamzah interview with malaysiakini 4semalam mengakui dirinya masih setia kepada perjuangan Umno walaupun terus menyuarakan hak Kelantan dalam tuntutan royalti minyak.

Beliau menolak dakwaan pelbagai pihak yang menyatakan beliau tidak setia kepada perjuangan Umno berikutan tindakannya memperjuangkan hak Kelantan untuk mendapat bayaran royalti minyak.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang memberitahu pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan Umno bahagian itu di Bukit Chekati dekat Gua Musang bahawa beliau masih setia kepada perjuangan parti itu.
Bagi saya Ku Li telah membuat kesilapan besar sekali lagi kerana masih mahu bersama Umno sedangkan beliau sendiri sedar Umno sudah tidak boleh dipercayai lagi.
Kalau Ku Li secara terang menempelak Umno dalam isu royalti minyak mengapa beliau masih tidak mahu keluar dari Umno yang boleh diibaratkan sebagai sebuah sampan bocor yang bila-bila sahaja boleh tenggelam.

Sudah sampai masanya beliau keluar dari Umno dan memilih haluan politik baru bagi sama-sama menyelamatkan rakyat dan negara.

Khidmat PAS bantu penghuni Lorong Haji Taib

Rusli Yasmin
KUALA LUMPUR, 27 Feb:
"Taufik dan hidayah datangnya dari Allah, kita ni berusaha untuk menyentuh hati-hati mereka," kata Dr Lo'Lo' Ghazali dengan penuh harapan dapat memberi kebaikan dan bantuan kepada penghuni di sekitar lorong Haji Taib, di sini.
Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat melancarkan kaunter perkhidmatan kebajikan PAS di hadapan pejabat agungnya, petang semalam.

Antara kaunter yang dibuka ialah kaunter khidmat guaman, khidmat kesihatan, khidmat kaunseling dan khidmat perubatan Islam selain memberi makanan dan minuman percuma kepada masyarakat di sekitar situ.

Lebih kurang 100 masyarakat sekitar yang hadir bagi mengambil peluang mendapatkan khidmat-khidmat yang disediakan turut menarik perhatian kenderaan yang lalu di Jalan Raja Laut, berhadapan dengan Pejabat Agung PAS.

"Kita mengharapkan warga Lorong Haji Taib kini yang agak terbiar, dan ada yang telah tersasar, dapat kita dekati, dapat kita santuni dan insyaAllah kalau boleh kita merubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik," kata Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatn PAS Pusat ketika ditemui.

"Mungkin kita kata mereka ni setengahnya sudah agak tegar, pekerja seks tegar, tetapi kita masih lagi meletakkan harapan, Allah Maha Pengampun, dan kita juga hendaklah bersikap begitu.

"Saya harap masyarakat juga memberi peluang kepada mereka sebab kita tahu antara mereka ada yang telah bertaubat (dan) meninggalkan perangai buruk mereka ni," tambahnya.

Dr Lo' Lo' juga mengharapkan program itu digerakkan di peringkat negeri-negeri dan kawasan-kawasan.

Kelantan sedia bincang lancar filem dakwah

Mohd Nor Yahya
KUBANG KERIAN, 27 Feb
: Sikap keterbukaan kerajaan Kelantan dalam aspek hiburan diteruskan lagi apabila bersetuju mengadakan perbincangan dengan mana-mana penerbit filem di negara ini bagi menjadikan negeri ini sebagai tapak pelancaran filem-filem yang berasaskan dakwah mahupun pengajaran.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kerajaan juga sedang mengkaji jenis filem yang akan dipilih untuk ditayangkan kepada masyarakat di negeri ini dan ia semestinya membawa unsur-unsur dakwah dan juga bermoral tinggi.

“Mungkin agak sukar untuk kita berbincang dengan penerbit filem di negara kita sekiranya filem yang mereka keluarkan hanya bermotifkan keuntungan, kerana kalau filem berunsurkan dakwah boleh dikatakan tidak semua remaja meminatinya dan itulah yang kita sedang mengkaji terlebih dahulu,” katanya lagi.

Beliau menyatakan demikian semasa ditemui di Majlis Jalinan Mesra Bersama Masyarakat Tionghua di Kampung Sungai Limbat dalam Dun Pasir Tumboh, semalam.

Sebanyak 30 keluarga masyarakat Tionghua mengadakan sesi dialog bersama wakil rakyat sempena Tahun Baru Cina. Ahmad Baihaki juga turut menyampaikan hamper kepada keluarga yang hadir. (gambar)

Sebelum ini Kelantan telah mengadakan hari hiburan Islam dengan menayangkan sebuah filem dari Indonesia ‘Ketika Cinta Bertasbih’ yang diadaptasikan daripada novel tulisan Habiburrahman El-Syirazi dan mendapat sambutan menggalakkan.

Ahmad Baihaki juga berkata, Kelantan dahulu lagi tidak menyekat hiburan tetapi terpaksa mengkaji dahulu jenis hiburan yang sesuai dengan kehendak Islam.

“Kita tidak mahu hiburan yang boleh melalaikan remaja di Kelantan dan sebab itulah kita mengambil langkah menutup panggung wayang dan kalau kita nak tayangkan pelbagai filem, ia boleh dibuat di dewan-dewan tertutup seperti di Balai Islam, Pusat Dagangan Kelantan( KTC) maupun di dewan Pusat Tarbiah PAS Kelantan(Putik),” ujarnya.

Judi adalah HARAM di sisi agama Islam, TETAPI...

Roslan Harun
“JUDI adalah haram di sisi agama Islam. Orang-orang Islam, mereka yang berumur di bawah 21 tahun, atau murid-murid sekolah yang berpakaian seragam tidak dibenarkan memasuki premis/ruang ini.”

Saya melihat notis ini tertera di dinding tiga kedai Sports Toto yang terletak sebelah menyebelah ketika membuat tinjauan pada kira-kira jam 3 petang suatu Sabtu.

Saya berada di depan kedai itu selama lima minit, melihat-lihat siapa yang keluar masuk. Sungguh terkejut saya kerana hampir separuh yang masuk dan membeli nombor ramalan, berkulit sawo-matang seperti saya. Ramai yang melindungi wajah dengan memakai topi keledar.

Suatu ketika pula saya melewati bangunan Magnum dekat Hentian Puduraya, saya terpandang beberapa pemuda Melayu beruniform bertugas sebagai pemandu van syarikat berkenaan. Nampaknya mereka tidak berasa apa-apa bekerja dengan syarikat judi.

Apabila membuka laman-laman web syarikat perjudian yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), ditemui pula nama-nama individu Islam (tokoh ternama) mengepalai syarikat-syarikat judi ini.

Pembabitan orang Islam Islam dalam kegiatan perjudian ini, sama ada secara langsung atau tidak, mengingatkan saya dakwaan seorang tokoh masyarakat Islam dalam sebuah rancangan TV tempatan tidak lama dulu bahawa kononnya kewujudan pusat-pusat maksiat ini khas untuk orang bukan Islam.

Jika dilihat apa yang berlaku, dakwaan itu ternyata salah kerana sebahagian pengunjung pusat-pusat ini adalah orang Islam sekalipun sudah ditulis notis – “orang Islam dilarang memasuki premis (tempat berjudi) ini."

Satu perkara yang perlu diperhalusi lagi, adakah benar dakwaan kononnya pusat hiburan (perjudian) ini adalah khas untuk orang bukan Islam kerana tidak menjadi kesalahan untuk mereka berjudi atau terbabit dalam kegiatan seumpama ini.

Memandangkan perkara ini membabitkan masyarakat bukan Islam, golongan ini perlu ditanya sama ada dakwaan ini betul atau rekaan saja oleh sesetengah pihak bagi membolehkan mereka berjudi.

Satu lagi perkara menjadi tanda tanya berhubung perjudian ini ialah mengapa ada istilah ‘halal’ dan ‘haram’ dalam industri ini dalam konteks negara kita. Kita ingin tahu apakah yang ‘halal’ dan apa yang ‘haram’ sedangkan dalam Islam judi itu sudah jelas keharamannya sepert sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memfardukan beberapa perkara lalu, janganlah kamu melalaikannya, Allah juga telah mengharamkan banyak perkara, maka janganlah kamu mencerobohnya.” (Riwayat Darul Qutni, hadis Hasan)

Seperkara lagi yang ingin diketahui ialah bagaimana kedudukan wang hasil kegiatan perjudian seperti cukai industri ini di sisi negara dan agama. Bagi menjawab persoalan ini, tentulah kita memerlukan penjelasan ulama dan tokoh berautoriti dalam bidang ini.

Kemudian kita ingin bertanya, apakah industri judi ini subur di kalangan orang Melayu/Islam kerana pengusaha akhbar-akhbar Melayu begitu ghairah menyiarakan keputusan empat nombor ekor dan SMS mengenainya dalam akhbar-akhbar mereka.

Demikianlah, semua orang mengakui bahawa judi adalah HARAM di sisi agama Islam, TETAPI...

PR, bersedialah untuk gantikan BN

Zolkharnain Abidin
SATU - Media melaporkan, Mahmood Zuhdi (Prof Datuk Dr) dipilih penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul. Sekalung tahniah. Beliau memang layak. Sumbangannya dalam perkembangan pemikiran Islam di negara ini memang besar.

Salah satu ideanya yang masih segar dalam ingatan saya ialah melahirkan kitab Fiqh Malizi. Apa maksudnya? Kitab-kitab fiqh yang ditadah oleh pelajar-pelajar di negara ini disemua peringkat adalah kitab fiqh untuk realiti negara Arab sebab pemikiran ilmu itu asalnya berkembang di sana.

Dalam beberapa hal, ia mungkin agak asing bagi masyarakat negara ini. Justeru, sebuah kitab fiqh berasaskan realiti Malaysia perlu dilahirkan supaya sesuai dengan masyarakat di negara ini tanpa membuang asas-asas fiqh yang asal tadi.

Namun, setahu saya sehingga kini itu belum menjadi keupayaan. Nampaknya, bukan senang melakukan kerja yang dilakukan oleh orang terdahulu. Kita kaya dengan teknologi tetapi mereka kaya dengan kecintaan kepada ilmu dan pengorbanan mengembangkan ilmu.

Tak apa, saya tidak teruja sangat dengan itu semua.

DUA - Saya lebih teruja apabila media melaporkan seorang Pegawai Penyelidik Prinsipal Dr Tan Swee Lian turut dipilih menerima anugerah itu. Berdasarkan nama dan rupanya, saya berpendapat dia seorang wanita Cina non Muslim (maafkan saya kalau tersalah).

Tentu sangat besar ertinya buat SL Tan, dia menerima anugerah itu sempena Maulidur Rasul. Anugerah itu disandarkan kepada makhluk paling mulia, Muhammad Rasulullah (saw). Jika dibandingkan dengan semua anugerah lain, anugerah yang disandarkan kepada rasul mengatasi semuanya.

Walau pun tiada gelaran khusus untuk penerima anugerah ini dipangkal namanya, itu bukan menjadi keutamaan.

Bagi orang Islam, anugerah ini membawa makna besar. Ya, rasul adalah rahmat untuk semua samada Muslim atau bukan. Rahmat pengutusan rasul tiada batas masa dan ruang. Rahmatnya menyelinap dan memberi kesan kebaikan kepada segenap sudut kehidupan.

Amalan ini wajar diteruskan. Banyak lagi diluar sana mereka yang menyumbang kepada pembangunan untuk kesejahteraan manusia yang terdiri daripada non Muslim. Bukan nilai anugerah yang diperhatikan tetapi kesentimentalan anugerah sangat besar kesannya.

Bayangkan, plak atau sijil anugerah Maulidur Rasul akan terpampang atau paling kurang tersimpan di rumah SL Tan. Dia akan ditatap oleh keturunan beliau selama itu semua masih wujud. Kesannya dari segi dakwah sangat besar dalam tempoh jangka masa panjang.

Saya yakin, 20 atau 30 puluh tahun lagi, suara-suara perjuangan berasaskan ras akan semakin mengecil dan pupus. Nilai-nilai kemanusiaan dan keintelektualan akan mengambil tempat sentimen perkauman. Pada waktu itu, orang tidak bercakap soal bangsa tetapi orang bercakap soal kemanusiaan dan ilmu.

Samada kamu Islam atau tidak, kamu berbangsa apa pun, selama kamu adalah manusia dan berilmu, kamu tetap ada tempat istimewa dalam masyarakat manusia.

Kera dihutan hidup bersekali tanpa mengira spesis. Kalau ada manusia yang mahu hidup berasaskan bangsa, dia bukan sahaja tiada tempat dalam tamadun manusia malah tiada tempat juga di dalam tamdun kera.

Maaf, kalau dikaitkan ini dengan politik kepartian di Malaysia, saya katakan 20 atau 30 tahun lagi Umno, MCA dan MIC akan pupus selama mereka berpaut pada dahan sentimen bangsa. Dahan itu sudah mulai mereput sekarang.

Ayuh, Pakatan Rakyat bersedialah untuk menjadi alternatif kepada kereputan BN itu.

Isu royalti: Anggota MT persoal mengapa Ku Li ‘bebas’

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Jika Umno pernah mengambil tindakan tegas ke atas ahli-ahlinya yang membelakangkan semangat parti masa-masa lalu, mengapa tidak ke atas ahli seumur hidup Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), yang memperlihatkan pendirian yang bercanggah dengan kerajaan pusat pimpinan Umno-BN, khususnya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan.

The Malaysian Insider difahamkan itu sebahagian pendirian anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menghadiri mesyuarat lebih tiga jam malam Khamis.

Malah, difahamkan ini juga kali pertama MT kembali kepada ahli-ahlinya memberikan pandangan atas kapasiti Tengku Razaleigh bukannya ahli biasa tetapi dilihat sebagai seorang pemimpin veteran parti.

“Ada syor agar tindakan dikenakan ke atas Tengku Razaleigh... tetapi bukan saranan agar diambil tindakan yang tegas,” kata seorang anggota MT yang enggan namanya disiarkan.

“Ada pandangan mengapa parti tidak mengenakan tindakan ke atas Tengku Razaleigh sedangkan parti pernah bertindak tegas ke atas ahli-ahli parti yang bertindak bertentangan dengan dasar parti,” kata seorang lagi anggota MT yang enggan namanya didedahkan kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun isu berkaitan dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan agenda utama mesyuarat malam tadi.

“Ia ada disentuh tetapi bukan isu utama perbincangan,” katanya lagi.

“Ada juga ahli yang berpendapat isu ini perlu ditangani dengan cermat,” kata sumber itu dengan mengambil kira situasi semasa dan juga kedudukan Tengku Razaleigh yang merupakan bukan ahli biasa dalam Umno.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bentuk tindakan terhadap Tengku Razaleigh akan ditentukan selepas menerima pandangan daripada ahli-ahli parti.

“(Kami) nak dengar pendapat ahli-ahli dulu,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Beberapa jam sebelum mesyuarat MT semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya bahawa beliau hairan dengan tindakan dan kenyataan Tengku Razaleigh yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan persekutuan mengenai isu royalty minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Muhyiddin pernah menyatakan bahawa Tengku Razaleigh perlu menyatakan pendiriannya dalam isu tersebut.

Selain Muhyiddin, segelintir ahli dan pemimpin khususnya dari Kelantan pernah menggesa agar Tengku Razaleigh melepaskan kerusi Parlimen Gua Musang selain dikenakan tindakan disiplin.

The Malaysian Insider difahamkan jawatankuasa pengurusan Umno belum membincangkan isu tersebut secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh ketika dihubugi The Malaysian Insidermenjelaskan pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh bagi ahli-ahli Umno untuk memberikan pandangan mengenai isu Tengku Razaleigh.

“Mana-mana ahli ataupun cawangan boleh memberikan pandangan mereka... kami tidak menetapkan sebarang tempoh (untuk mengemukakan pandangan mereka).

“Cawangan boleh hantar kepada bahagian, bahagian boleh hantar ke Badan Perhubungan Negeri dan seterusnya kepada ibu pejabat,” kata beliau sambil menambah, belum ada petanda jelas tentang pandangan akar umbi berhubung pendirian Tengku Razaleigh.

Sehubungan itu kata Rauf, pandangan mereka akan dipertimbangkan oleh pucuk kepimpinan kemudian.

Ketika ditanya sama ada pandangan itu diharapkan hasil mesyuarat agung tahunan cawangan, Rauf berkata: “Tidak. Ahli dan cawangan boleh memberikan pandangan bila-bila masa.”

Cawangan-cawangan Umno akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing mulai 1 Mei hingga 15 Jun ini.

Tengku Razaleigh, yang menjadi tumpuan dalam isu ini sejak Pakatan Rakyat menawarkan beliau agar mengetuai kokus pertikaian royalty minyak sejak November lalu, telah pun menyatakan pendiriannya bahawa terserah kepada Umno untuk membuat keputusan tindakan disiplin termasuk kemungkinan memecatnya.

-malaysianinsider-

Harta RM4.7 bilion milik Thaksin dirampas

BANGKOK, 26 Feb: Mahkamah Agung Thailand malam ini membuat keputusan untuk merampas 46.3 bilion baht (RM4.7 bilion) daripada sejumlah 76.6 bilion baht (RM7.8 bilion) aset yang dibekukan milik perdana menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra dan keluarganya.

Jumlah harta yang dirampas itu bersamaan dengan 60 peratus nilai kekayaan dimiliki mereka termasuk kadar faedah yang ditimbangkan.

Panel sembilan hakim memutuskan untuk merampas harta keluarga Thaksin dan saudara-maranya, yang diperoleh hasil jualan Ship Corp kepada Temasek Holdings, syarikat pelaburan milik Singapura pada 2006.

Para pemerhati melihat keputusan itu dijangka membangkitkan balik kemarahan para penyokong Thaksin, yang kini berada dalam buangan kendiri, dan mencetuskan semula kebangkitan gelombang politik baru di Thailand.

Menurut para hakim, mereka menentukan kadar harta dirampas itu yang bersamaan dengan perbezaan dalam nilai saham-saham Shin Corp daripada tarikh sebelum Thaksin menjadi perdana menteri dan nilai apabila ia dijual kepada Temasek Holdings empat tahun lalu.

“Jumlah wang yang dirampas ini dianggap sebagai kekayaan tambahan diperoleh beliau ekoran penyalahgunaan kuasa,” kata hakim-hakim berkenaan dalam kenyataan dikeluarkan.

Mahkamah mendapati Thaksin telah memanfaatkan syarikat-syarikat dikawal Shin Corp dengan mengubah pembayaran royalti Advanced Info kepada operator telekomunikasi milik kerajaan dan meluluskan pinjaman kerajaan kepada Myanmar, sebahagiannya digunakan untuk membeli kelengkapan daripada Thaicom.

Mahkamah juga mendapati Thaksin merupakan pemilik sebenar Shin Corp meskipun ketika memegang jawatan perdana menteri, yang sekali gus melanggar undang-undang.

Thaksin digulingkan pada September 2006 ketika berada di New York.

Thaksin juga didapati bersalah menyalahgunakan kuasa sebagai ketua kerajaan dalam memberikan keistimewaan kepada unit-unit Shin Corp.

Thaksin mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan berhubung keputusan hari ini jika beliau menemui bukti baru kesnya.

“Beliau akan menggunakan kesemua ospyen dengan terbuka,” kata Noppadon Pattama, bekas menteri luar dan salah seorang anggota pasukan peguam Thaksin sebelum penghakiman diumumkan.

“Ia satu kompromi penyelesaian, kemungkinan penyelesaian terbaik kepada semua,” kata ketua pegawai eksekutif Asia Plus Securities Pcl di Bangkok, Kongkiat Opaswongkarn dipetik Bloomberg.

“Perpecahan dalam masyarakat tidak boleh diselesaikan dalam sehari tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh bernafas untuk buat sementara waktu,” katanya.

-malaysianinsider-

Gegar

Sejak akhir-akhir ini, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) mendapati ramai ahli politik menggunakan pertimbangan politik kepartian semata-mata untuk mengadili isu tuntutan royalti petroleum oleh rakyat dari negeri yang berhak mendapat royalti.

GEGAR amat kesal dengan perkembangan ini dan menggesa pemimpin politik supaya lebih rasional dan mendahulukan kepentingan rakyat dan negara dalam isu melibatkan wang berbilion ringgit ini.

GEGAR menolak pandangan berikut yang amat memalukan, tidak berasas dan berunsur sentimen politik seperti yang disebut oleh Datuk Dr Awang Adek dalam temubual di TV1 pada 22 Feberuari baru-baru ini serta iklan tajaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia di akhbar bertarikh 21 Februari 2010:

1. Bahawa pemberian royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu selama ini (sejak dari 1978 hingga Mac 2000) adalah sesuatu yang tidak menurut undang-undang kerana Terengganu tidak layak mendapat royalti.

Sedangkan premis pemikiran sebegini tidak timbul sama sekali sebelum ini malahan, asas undang-undang dan hak royalti 5% yang digunakan untuk pembayaran royalti kepada Terengganu.

2. Pemberian royalti kepada Sabah dan Sarawak adalah atas kerana sejarah dan hak istimewa semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963 dan bukan kerana kelayakan mendapat royalti.

Apakah wujud perjanjian dan peruntukan undang-undang mengenai pemberian keistimewaan yang begitu besar dan tanpa had masa sedang negeri lain mesti mengambil kira asas undang-undang? Bagaimana pula dengan perjanjian yang ditandatangani oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Tun Datuk Patinggi Hj. Abdul Rahman Ya’kub yang berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974?

3. Kerajaan Kelantan tidak berhak kepada bayaran tunai atau royalti tetapi sekadar hang ihsan.

Tetapi hakikat sebenar ialah tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan pemberian wang ihsan kepada negeri.

4. GEGAR menganggap kenyataan di atas dibayangi emosi politik semata-mata. Kenyataan ini amat tidak wajar dan berpotensi menimbulkan kekeliruan yang besar, konflik perhubungan Negeri-Persekutuan dan meletakkan negeri pada budibicara kerajaan Persekutuan sepanjang masa walhal ia melibatkan wang berbilion ringgit dan kepentingan rakyat jelata.

Hakikatnya, pada tahun lalu PETRONAS telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah. Bolehkah bayaran semahal ini terletak pada budibicara sahaja. Dan, bolehkah ia dibuat atas dasar simpati kerana petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.

Justeru, GEGAR menggesa Kerajaan Persekutuan berpegang kepada peruntukan undang-undang dan perjanjian yang bertunjangkan undang-undang dalam membayar royalti petroleum. Oleh itu, GEGAR ingin menegaskan empat perkara berikut:

1. Akta Kemajuan Petroleum 1974, dan 13 perjanjian dengan negeri-negeri mahupun 13 Geran Penyerahan Hak tidak menyatakan sama sekali sebarang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasar kepada jarak dari pantai.

2. Seksyen 13 (1) Akta Darurat Kuasa-kuasa Perlu 79 telah pun memansuhkan penggunaaan pemakaian ordinan darurat kuasa-kuasa perlu 1969 dan oleh itu ordinan tersebut adalah tidak relevan.

3. Memetik handsard Parlimen Malaysia bertarikh 12 November 1975, Tun Razak, Perdana Menteri ketika itu telah menyatakan bahawa negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui atau dikeluarkan daripada negeri-negeri sama ada di dalam atau di luar perairan negeri.

4. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Akta Interpretasi, Akta Prosedur Kewangan dan juga Akta Kemajuan Petroleum, istilah negeri adalah merujuk pada kerajaan negeri dan bukan agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan yang beroperasi di negeri. Oleh itu, pembayaran kepada negeri bermaksud kepada kerajaan negeri.

Ringkasnya GEGAR menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira kerajaan atau pembangkang supaya menghentikan polemik ini dan mempermain-mainkan minda rakyat umum dengan memutar belit fakta dengan niat yang tidak jujur.

Sebaliknya, GEGAR menyeru pemimpin politik supaya berjiwa besar, bersikap amanah dan jujur untuk menerima fakta dan kebenaran demi kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan politik, wilayah, negeri kaum dan agama.

Kebenaran tetap akan terserlah dan kebathilan akan tetap lenyap dan hancur. Pemimpin hendaklah menjadi contoh dalam berpegang kepada kebenaran, menunai janji dan amanah kerana ia adalah tuntutan agama dan syarat kepada iman kepada Allah.

GEGAR sekali lagi mendesak kerajaan Persekutuan menunaikan amanah perjanjian yang telah dipersetujui berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang mengkhendaki pembayaran wang tunai (atau istilah popular royalti) kepada kerajaan negeri untuk kepentingan rakyat jelata. Tidak ada langsung justifikasi dari aspek undang-undang untuk menidakkan pembayaran wang tunai 5% kepada negeri.

Yang benar,

Dr Abdul Halim Bin Yusof

Mohamad Fauzi Bin Abu Samah

Pengerusi Bersama

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat

Kota Bharu

25 Februari 2010

Elaun Cuti Bersalin Guru Kafa Di Johor Dihapuskan, Bayaran Terdahulu Mesti Dipulangkan

Khairul Faizi

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah menerima satu salinan surat yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Agama, Jabatan Agama Johor bertarikh 17 Februari 2010 dengan bilangan surat Bil (3) PPAJ/06/02/07(32) berkaitan dengan tindakan terlebih bayar elaun Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang telah bersalin.

Surat yang difotokopi dan diserahkan kepada semua guru KAFA yang terlibat ini iaitu mereka yang telah mengambil cuti bersalin sejak tahun 2007 dan mereka telah menerima bayaran elaun selama dua bulan sepanjang tempoh cuti tersebut.

Apa yang mengejutkan setiap guru yang telah menerima elaun tersebut telah diarahkan untuk membayar kembali elaun yang telah diterima kepada Bahagian Pendidikan Agama JAJ dan perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada atau sebelum 1 Mac 2010.

DPPNJ mendapat maklumat bahawa :-

  1. Elaun yang diterima oleh guru KAFA di Johor yang mengajar selama empat setengah jam akan menerima RM812 sebulan manakala guru KAFA yang mengajar selama tiga jam akan menerima elaun sebanyak RM612 sebulan.
  1. Sebelum tahun 2007, guru-guru KAFA yang bercuti kerana bersalin menikmati elaun penuh selama enam puluh hari cuti bersalin. Selepas itu, guru KAFA terpaksa mengambil cuti bersalin tanpa gaji.
  1. Pada 26 Jun 2008, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, YB Zainal Abidin Osman telah menjawab soalan YB Halim Suleiman (BN-Puteri Wangsa) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri menerima peruntukan sebanyak RM14.1 juta setahun daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuan pembayaran elaun kepada 1,850 guru dan penyelia Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini dan kerajaan Johor telah menambah peruntukan tersebut sebanyak RM5.6 juta setahun.
  1. Laporan Audit Negara seperti mana yang telah dibentang oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin yang telah dikeluarkan pada tahun 2009 telah menyatakan bahawa kesemua guru KAFA di Johor tidak menikmati imbuhan tahunan kakitangan awam walaupun mereka berhak menerimanya seperti diumumkan kerajaan melalui pekeliling pada 2006 dan 2008 dan ia boleh menjejaskan motivasi guru-guru terlibat sehingga mengganggu perjalanan sistem KAFA.

Terdapat beberapa perkara yang saya ingin mempertegaskan di sini iaitu :-

  1. Guru KAFA di Johor yang telah terlibat dalam perkara ini terpaksa membayar kembali elaun yang mereka telah terima sebelum daripada ini sedangkan mereka tidak tahu menahu bahawa JAJ telah menghapuskan peruntukan kepada guru KAFA yang bersalin. Dengan elaun yang kecil, guru-guru ini sudah tentu tertekan dengan surat yang ingin mereka membayar kembali elaun tersebut. Secara tidak langsung ia adalah satu penindasan kepada guru KAFA di Johor sedangkan guru KAFA di Selangor menikmati elaun penuh semasa cuti bersalin.
  1. Kerajaan negeri Johor sepatutnya mengambil iktibar di atas sikap kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat yang telah mengambil tindakan paling awal ketika berjaya membentuk kerajaan baru dengan tambahan elaun khas kepada Guru-Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Pulau Pinang sebanyak RM863 ribu bagi jumlah 1,450 guru dan 11 penyelia guru KAFA. Menurut YAB Lim Guan Eng, beliau meletakkan nombor satu tentang soal pendidikan kerana guru KAFA sanggup meluangkan masa untuk mengajar anak-anak bangsa ke arah pembentukan akhlak.
  1. Saya bimbang dengan perkembangan ini kerana ia secara tidak langsung menggambarkan kedudukan ekonomi negeri Johor yang semakin merosot sehingga menyebabkan JAJ terpaksa mengambil keputusan untuk menghapuskan elaun cuti bersalin kepada guru-guru KAFA di Johor. Apakah kerana desakan ekonomi yang semakin merudum ataupun kerana tidak ada rasa keprihatinan terhadap kaum wanita yang sanggup berkorban untuk mendidik anak-anak ke arah yang lebih baik. Sedangkan, negeri yang lain seperti Selangor memberikan cuti bersalin bergaji selama enam puluh hari.

Maka, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor :-

1. mendesak supaya JAJ memperjelaskan perkara ini kepada umum tentang elaun guru KAFA yang dihapuskan dan mengapa perlu membayar semula elaun cuti bersalin yang telah diberikan terlebih dahulu sedangkan JAJ tahu bahawa ia adalah berpunca daripada kelemahan JAJ sendiri.

2. mendesak agar elaun cuti bersalin yang telah diterima oleh guru KAFA yang terlibat dengan bersalin tidak ambil kembali dan perlu diberikan kembali elaun tersebut pada masa akan datang.

DPPNJ akan membuat tindakan susulan terhadap perkara ini dalam masa terdekat termasuklah penyerahan memorandum kepada Jabatan Agama Johor.

Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

http://minda-kembara.com/

http://www.facebook.com/khairul.faizi1