MALAYSIA DATELINE
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin telah mengecewakan rakyat Malaysia dengan pengumuman bahawa vaksin COVID-19 tidak akan tersedia untuk sebahagian besar rakyat Malaysia sehingga suku ketiga tahun ini.
Khairy juga mendedahkan bahawa pelan vaksinasi Malaysia akan mengambil masa sehingga 18 bulan dari penghantaran vaksin pada akhir Februari 2021, dua bulan kemudian berbanding Indonesia dan Singapura.
Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, kelewatan dua bulan dalam mendapatkan penghantaran vaksin berbanding dengan Indonesia dan Singapura, dan rancangan vaksinasi selama 18 bulan tidak dapat diterima.
“Banyak nyawa akan hilang tanpa perlu dan rakyat akan menderita lebih lama akibat kesan ekonomi yang teruk,” katanya dalam kenyataan.
Memandangkan kelewatan yang terlalu lama dalam mendapatkan penghantaran vaksin lebih awal, Guan Eng berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin harus segera campur tangan untuk mengembalikan ujian saringan penuh semua kontak rapat pesakit COVID-19, walaupun kontak rapat itu tidak bergejala.
“Pelaksanaan penuh 3T iaitu saringan, pengesanan dan rawatan, termasuk ujian saringan penuh adalah paling berkesan untuk membendung penularan COVID-19,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah mengesahkan bahawa ujian saringan tidak lagi akan dilakukan pada setiap individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, dan sebaliknya hanya menyaring mereka yang menunjukkan gejala.
“Kelonggaran” terhadap arahan sebelum ini yang memerlukan ujian saringan penuh yang melibatkan semua kontak rapat tanpa gejala, adalah hasil daripada sistem penjagaan kesihatan kita yang tidak mampu menangani lonjakan jumlah pesakit Covid-19,” katanya.
Justeru Setiausaha Agung DAP berkata, Menteri Kabinet telah culas dalam tugas mereka sehingga gagal memberikan sokongan dan sumber penuh, dari segi peralatan dan tenaga kerja, untuk wira barisan hadapan negara dalam pertempuran hidup dan mati melawan COVID-19.
“Tidak ada alasan untuk tidak menggunakan Dana Covid-19 bernilai RM17 bilion yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan 3T sepenuhnya.
“Tanpa 3T, lebih ramai rakyat Malaysia akan dijangkiti COVID-19 dan lebih banyak nyawa akan terkorban sia-sia.
“Bolehkah Perdana Menteri dan Menteri Kabinetnya bangkit daripada tidur mereka sekarang”? tegas beliau.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hanya menandatangani kontrak untuk mendapatkan tambahan 12.2 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech pada 11 Januari, dan dengan jumlah 25 juta dos Pfizer, akan meliputi hanya 39% populasi negara pada tahun 2021.
“Bolehkah kerajaan menjelaskan sama ada 61% populasi selebihnya harus menunggu hingga tahun 2022, atau mereka akan diberi vaksin dengan vaksin dari negara lain yang keberkesanannya telah dipersoalkan?” soal beliau.
Berdasarkan pelan vaksinasi selama 18 bulan ini, ancaman COVID-19 pada Malaysia akan kekal ada hingga akhir tahun 2022.