"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRN Johor untuk lumpuhkan pengaruh Ismail, muslihat paksa PRU15 sebelum pemilihan Umno

SHAHBUDIN HUSIN

Menjadi perbualan hangat di seluruh negara bahawa PRN Johor akan diadakan dalam waktu terdekat ini, mungkin dalam tempoh hanya sebulan dua akan datang saja lagi.

Dua faktor dilaporkan sebagai sebab mengapa Umno mahu menyegerakan PRN di Johor dan tidak menunggu ia diadakan bersekali dengan PRU15 yang entah bila tarikhnya.

Pertama, berikutan kematian Adun Kempas mewakili Bersatu, Osman Sapian baru-baru ini, kerajaan negeri pimpinan Hasni Mohamed kini hanya tinggal satu majoriti di Dewan Undangan Negeri atau DUN Johor.

Kedudukan tersebut, selain meletakkan kerajaan negeri tidak stabil, ia juga menyebabkannya sukar menggubal sesuatu dasar yang jelas.

Untuk itu, berdasarkan prestasi di PRN Melaka, Umno dan BN yakin mereka mampu sekali lagi mengulangi pencapaian cemerlang itu, sekaligus membentuk sebuah kerajaan yang kukuh di Johor.

Maka, itulah sebabnya dikatakan keperlukan menyegerakan PRN Johor tidak dapat dielakkan lagi.

Sebab kedua mengapa PRN Johor mahu disegerakan ialah kerana Umno yang menunjangi kerajaan negeri sekarang mahu berkuasa sendiri secara penuh atas nama BN semata-mata.

Dalam kerajaan negeri yang ada sekarang, Umno masih berkongsi kuasa dengan Bersatu.

Tentunya kerana berasakan diri mereka sudah cukup kuat, secara jelasnya PRN itu adalah tiket untuk menyingkir dan mengenepikan Bersatu daripada kerajaan negeri.

Lalu, tercetuslah ungkapan bahawa PRN diperlukan segera untuk menghentikan gangguan pengkhianat daripada Bersatu.

Yang sahih sebenarnya, persekongkolan Umno dan Bersatu membentuk kerajaan negeri sebelum inilah yang menjadikan kedua-duanya adalah pengkhianat – satu pihak khianat kepada rakyat dan satu pihak lain khianat kepada PH yang sebenarnya adalah pemilik mandat.

Sekilas lalu, itulah dua sebab mengapa Umno begitu inginkan PRN segera diadakan di Johor, tambahan lagi BN masih mahu menumpang aura kemenangan di Melaka yang baru saja dicapainya.

Menariknya, jika PRN Melaka diadakan sebab ada Adunnya beralih arah dan menjatuhkan kerajaan sendiri, di Johor pula, jika berlaku PRN, ia adalah disebabkan kerajaan negeri sendiri menjatuhkan kerajaannya sendiri kerana tidak selesa dengan rakan sendiri yang ada dalam kerajaan negeri.

Tetapi, jika diteliti dengan mendalam, ditambah dengan tempoh akhir yang dibenarkan oleh RoS atau Pendaftar Pertubuhan untuk Umno mengadakan pemilihannya iaitu sebelum 29 Disember 2022 serta keinginan utama pimpinannya mahu PRU15 diadakan lebih dulu sebelum pemilihan parti, PRN Johor ini harus diakui merupakan sebahagian daripada agenda ke arah itu.

Agenda Umno melalui PRN Johor ini bukan setakat untuk menyingkirkan Bersatu daripada kerajaan negeri dan melemahkannya dalam PRU15 akan datang, malah dalam masa yang sama juga untuk mengekang dan melumpuhkan pengaruh kuasa Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Sekarang Umno sudah menang bergaya di Melaka dan jika kemenangan bergaya juga dicapai di Johor, Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Najib Razak dan pimpinannya yang lain pasti akan mendabik dada mengatakan sokongan rakyat telah kembali diperolehi dan untuk itu, PRU15 mesti disegerakan.

Ismail Sabri yang merupakan calon Perdana Menteri pilihan Mahiaddin dan diketahui umum lebih condong kepada bekerjsama dengan Bersatu dan PN untuk mendepani PRU15, jika setelah Umno menang bergaya di Johor nanti, dengan sendirinya akan hilang sebahagian kekuatannya untuk melewatkan lagi tarikh pembubaran Parlimen.

Kekuatan Umno dalam kemenangan itu akan lebih dilihat kerana pengaruh Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Najib, Hasni sebagai Menteri Besar Johor dan lain-lain pemimpin yang sealiran pemikiran mahu menolak Bersatu.

Lebih parah lagi hilangnya pengaruh Ismail Sabri itu nanti jika selepas menang di PRN Johor, negeri Perak yang diterajui oleh penyokong kuat Zahid Hamidi sebagai Menteri Besar iaitu Sharani Mohamad turut mengambil langkah yang sama menyegerakan PRN juga.

Akhirnya, dengan satu demi satu negeri mengadakan PRN dan Umno mampu mencipta kemenangan, Ismail Sabri tidak mungkin dapat bertahan lagi daripada desakan pimpinan utama partinya sendiri agar mengadakan PRU15 sebelum pemilihan Umno.

Dengan beberapa negeri sudah diadakan PRN dan dikuasai Umno peluang BN memenangi PRU15 memang nampak lebih cerah dan terbuka, cuma peluang Ismail Sabri saja akan makin tertutup untuk menjadi calon Perdana Menteri dan “poster boy” sebagaimana impian Annuar Musa dan pemimpin kluster kabinet lain yang tiada jawatan dalam hieraki parti.

Keperluan mendesak PRU15 sebelum pemilihan Umno adalah perunjuk utama sama ada Zahid Hamidi mampu bertahan lagi dengan jawatannya atau tidak dalam pemilihan Umno selepas itu nanti.

Pemimpin Umno lawat kawasan PH cetus spekulasi PRN Johor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tanda-tanda kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) Johor diadakan tidak lama lagi bertiup kencang selepas Naib Presiden Umno, Khaled Nordin mengunjungi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya semalam.

Spekulasi itu bertambah hangat selepas Khaled berkongsi gambar bersama Sultan Johor, ketika beliau menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam di Facebooknya.

Dalam catatan Facebooknya, Khaled berkata, beliau meninjau persiapan jentera pusat daerah mengundi (PDM) Keembong di DUN Johor Jaya, yang dikuasai pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Walaupun DUN Johor Jaya dikuasai pembangkang, katanya, ahli Umno kekal setia dan bekerja keras untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menawan semula kerusi berkenaan.

“Saya juga tekankan kepada MCA bahawa sangat penting mereka bekerja kuat dan memainkan peranan membawa semula pengundi kaum Cina kembali kepada BN,” katanya.

Pada masa sama, Khaled menegaskan kepada ahli parti berhubung pendirian jelas dan tidak berubah Umno melalui BN ketika pilihan raya.

“Umno melalui BN akan bertanding solo dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama BN.

“Melalui BN dominan dan kembali mentadbir, kita dapat kembalikan kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.”

Dalam pada itu, Khaled menafikan motif terselindung dalam perkongsian gambar dirinya bersama Sultan Johor di media sosial semalam.

“Sebaliknya, ia sekadar perjumpaan biasa dengan baginda Tuanku Sultan Ibrahim bagi membincangkan isu negeri, termasuk banjir,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Dalam kapsyen yang disertakan bersama gambar itu, pemimpin Umno itu menjunjung kasih kerana diperkenan untuk menghadap Sultan Johor bagi bertanya khabar selepas lama tidak menghadap baginda.

Khabar angin berhubung PRN Johor timbul tidak lama sejurus kematian ADUN Kempas, Osman Sapian, daripada Bersatu pada 21 Dis lalu. Pemergian Osman menyebabkan kerajaan negeri memerintah hanya dengan kelebihan satu kerusi majoriti di DUN Johor.

Positif dadah: Saya sedia sokong PN jika didapati bersalah, kata Adun Pasar Berdamar

MALAYSIA DATELINE

Adun Pasar Berdamar dari DAP, Terrence Naidu menafikan beliau adalah wakil rakyat kerajaan negeri Perak yang ditangkap di kelab dan positif dadah seperti yang disiarkan media.

“Ini adalah tuduhan jahat yang bermotifkan politik.

“Jika benar saya terbukti bersalah, saya bersedia keluar DAP dan menyokong Perikatan Nasional sebagai wadah perjuangan baru dan akan terus membela pengundi di kawasan saya,” kata Terrence dalam satu kenyataan media malam tadi.

Dalam kenyataan media itu juga, Terrence berjanji akan terus berjuang di mahkamah untuk membersihkan nama beliau.

Selepas dipecat, Khairuddin kata mereka yang roboh perpaduan MN bernafsu duniawi

MALAYSIA DATELINE

Selepas dipecat Presiden Pas sebagai ahli jawatankuasa (AJK) Pas Pusat Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dalam entri terkininya terus mempertahankan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada September 2019.

Katanya, mereka yang cuba merobohkan perpaduan Pas Umno adalah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat.

“Mereka yang cuba merobohkan perpaduan ahli dua parti Melayu Islam tentulah mereka yang berkepentingan diri dan berhawa nafsu duniawi bukan demi kepentingan umat,” katanya.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata MN telah berjaya mendamaikan dua kelompok umat Islam Melayu yang “berperang” lebih 41 tahun sejak 1978 kerana politik.

Bahkan katanya ramai yang menangis kesyukuran kerana perpaduan ini berjaya dibentuk setelah sekian lama Pas dan Umno bermusuh.

“Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana pemimpin politik meskipun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum senyum dan tawa tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhaen yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing,” kata beliau.

Beliau juga mengaskan menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperkasakan dan menyuburkan lagi perpaduan yang telah berjaya dibina ini.

Ini kerana tegasnya perpaduan antara umat Islam dari dua kelompok besar melebihi empat juta ahli ini pada hukum Syaraknya wajib diusahakan bukannya sunat.

Hari ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan jawatan Khairuddin Razali sebagai AJK Pas digugurkan.

Pemecatan itu dibuat tidak sampai dua bulan dia dilantik ke jawatan itu, setelah tewas dalam pemilihan pusat parti itu.

Pengguguran Mohd Khairuddin itu dibuat parti pada mesyuarat yang diadakan kelmarin di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur.

Mohd Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK Pas bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Polis sahkan tahan Adun Perak positif dadah

Malaysiakini 

Polis Pulau Pinang mengesahkan menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Perak kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, di Bukit Mertajam malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata lelaki berusia 50-an itu ditahan dalam pemeriksaan pada 9 malam di pusat hiburan berkenaan selepas ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

"Ujian air kencingnya yang pertama mendapati dia positif dadah namun pihak polis akan menunggu laporan sampel air kencing daripada patologi untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Adun yang bukan bergelar Datuk itu direman sehari dan akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi dan kesnya disiasat menurut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata pemeriksaan ke atas pusat hiburan yang menggunakan lesen restoran itu mendapati premis tersebut sebelum ini memang beroperasi sebagai kelab malam malah susun aturnya masih seperti keadaan asal (kelab malam) dan semasa serbuan terdapat 82 individu di situ.

"Polis menahan 48 daripada mereka iaitu 36 orang termasuk Adun itu yang positif dadah terdiri daripada 28 lelaki dan lapan wanita kesemuanya berusia 21 hingga 70 tahun," katanya.

Mustafa Kamal berkata dalam pemeriksaan itu, polis turut menahan 12 wanita warga asing dan pihaknya masih menyiasat peranan mereka di pusat hiburan tersebut sama ada sebagai pelayan pelanggan atau hadir bersama kawan-kawan untuk berhibur di situ.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua wanita warga asing itu ditahan kerana kesalahan berkaitan Akta Imigresen termasuk gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri dan tinggal lebih masa.

- Bernama

Exco Selangor: Imam ‘mandikan’ remaja curi tabung masjid dah letak jawatan

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid, sudah meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini setelah diminta berbuat demikian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad mengenai tindakan wajar yang sudah diambil kepada imam berkenaan.

“Saya baru berhubung dengan Pengarah JAIS dan beliau memaklumkan sudah mengambil tindakan wajar kepada imam berkenaan. Saya kurang pasti tindakan terperinci tetapi saya diberitahu imam berkenaan sudah pun meletak jawatan,” katanya kepada FMT.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis ketika mengulas tindakan imam berkenaan berkata, sebagai tokoh agama tempatan, individu bergelar imam atau nazir tidak sewajarnya menjatuhkan hukuman sendiri sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Sebagai imam atau nazir tidak sewajarnya memberi hukuman sebelum siasatan dilakukan. Patutnya kita beri keterangan kepada polis untuk selesaikan.

“Tugas imam sebagai da’i, beri nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah, bukan buat tindakan (menghukum) sendiri,” katanya.

Remaja berkenaan, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Jan lalu.

Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.

Bagaimanapun, ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.

Isu dimandikan seperti jenazah: Hukuman didorong emosi, amarah tidak boleh diterima

MOHD ALI HASHIM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal dengan tindakan beberapa ahli kariah sebuah masjid yang memandikan seorang remaja lelaki dengan mandi jenazah ekoran kesalahan remaja berkenaan yang cuba mencuri tabung masjid.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun tindakan mencuri sama sekali tidak dapat diterima, tetapi mengikut Islam, perihal kedudukan sebenar latar belakang hidup pelaku harus menjadi pertimbangan sebelum hukuman dilaksanakan.

“Malangnya tindakan pimpinan masjid mengambil tindakan tersendiri bukan sahaja menghukum dengan cara melampau, sebaliknya mengaibkan remaja tersebut dengan menyebar luas tindakan sedemikian.

“Terbukti pendedahan latar belakang remaja mengambil jalan pintas mencuri tabung masjid sangat memprihatinkan setelah kesukaran hidup bersama datuk yang sakit dan susah serta suasana keluarga remaja terbabit.

“Walaupun tindakan remaja ini salah, tetapi tindakan yang dipamerkan oleh pimpinan masjid juga salah dan melampau sedangkan mereka seharusnya sedar tindakan mereka didorong oleh emosi dan kemarahan serta tidak boleh diterima,” ujar beliau.

Malah kata Mohd Azmi lagi, pihak masjid sepatutnya menyerahkan remaja tersebut kepada pihak berkuasa dan sekiranya latar belakang remaja tersebut diambil kira, pihak masjid sewajarnya mencari solusi bagi mendidik dan membantu remaja terbabit.

Tambahnya, amat dikesali kerana insiden yang tular melalui video tersebut memberi gambaran tidak baik terhadap institusi masjid dan Islam itu sendiri.

Sehubungan itu tegas beliau, kepimpinan masjid diharapkan untuk menilai setiap tindakan dan menjadikan insiden terbabit sebagai contoh dan pengalaman serta mengambil langkah yang wajar memperbetulkan kesalahan mereka.

Cubaan curi tabung masjid: Kisah Khalifa Umar dan pencuri unta

IPOHMALI

Sehari dua ini beredar video tok imam mendera seorang pencuri tabung masjid. Tak apa lah tangkap dia sebab mencuri. Nak hukum sikit-sikit ok lah sebagai pengajaran. Lebih teruk mana prinsip penegakan hukum Islam.

Sebelum ditegakkan hukum, sudah dipermalukan. Video disebarkan. Takkan tok imam tak faham. Ini bukan kali pertama berlaku penderaan kepada pencuri tabung masjid.

Kalau dalam kuliah bukan main hebat menceritakan kehebatan, keadilan hukum Islam. Bagaimana bukan Islam nak yakin dengan keadilan Islam, belum apa lagi dah dihukum tok imam dan kariah masjid.

Mana tidaknya, ustaz yang dijemput bagi kuliah, tak habis-habis gambarkan hukum Islam itu potong tangan. Kalau tak potong tangan maka ianya tak cukup Islam. Kalau tak laksana hudud, negeri tak aman kata ustaz. Siapa ajar Ustaz?

Boleh ustaz cari koleksi hadis Nabi Muhammad, ada sahabat potong tangan pencuri? Jangan kata potong tangan, nak hukum pasangan zina pun dengan pengakuan penzina itu sendiri. Bukan dari skodeng dan tajassus.

Datang penzina mengaku depan Nabi pun Nabi suruh balik. Tak cukup dengan itu kata Nabi: Apakah kamu gila Kalau tok imam bani Melayu dah pasti habis dengan anggota media, polis depa usung dan permalukan. Silap-silap video zina itu disebarkan oleh penguatkuasa sekali.

Nabi tak pernah suruh potong tangan, sebat. Lafaz hudud dalam Quran tak merujuk soal Jinayah (Uqubat). Ia menyentuh hukum dan ketetapan nikah, kahwin dan penceraian. Apa yang dituntut dalam pemerintahan Islam, itulah berlaku adil. Sebab apa? Kerana ia lebih dekat dengan taqwa. “Berlaku adillah karena adil itu lebih dekat pada taqwa”.

Prinsip undang-undang dan hukum dalam Islam itu adalah adil. Kalau banding mahkamah syariah di Malaysia, pendakwaan dia atas dasar skodeng dan tajassus manakala mahkamah US, seperti hakim Frank Caprio di Providence, Rhode Island yang melebihkan belas ihsan dan pengampunan.

Keadilan Hakim Frank Caprio itu lebih dituntut dalam Islam berbanding hakim mahkamah syariah yang melakukan hukuman sebat tanpa pembuktian yang dituntut dalam Islam.

Kisah Khalifah Umar dengan pencuri unta

Bila dengar yang ditahan mencuri itu mahu gunakan duit untuk membeli ubat, sepatutnya kariah masjid, tok imam pastikan dulu kebenaran, baru hukum. Zaman pemerintahan Islam Khalifah Umar Al-Farouq pernah dihadapkan seorang pencuri unta milik bani Muzainah dihadapan Saidina Umar.

Lalu Saidina Umar bertanya kepada pencuri tersebut. ‘Mengapa kamu mencuri?’. Jawab pencuri itu ‘kami kelaparan’. Lalu bertanya Saidina Umar kepada hadirin: Siapakah majikan mereka?

Lalu diberitahu, majikan mereka adalah Hathib bin Abi Balta’ah. Akhirnya Hathib dibawa ke majlis perbicaraan.

Bertanya Saidina Umar kepada Hathib: Benarkah kamu membiarkan mereka kelaparan? Akhirnya Hathib mengakuinya. Kata saidina Umar: Aku hampir hampir tersalah dalam menghukum. Kata saidina Umar ‘ke mana hilangnya sifat rahmah kamu wahai Hathib?’.

Lalu Saidina Umar membacakan ayat 173 dari surah Al-Baqarah: Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (Surah Al-Baqarah: Ayat 173).

Sebab dalam kaedah Fiqh disebut yang diambil dari ayat Quran di atas adalah dalam keadaaan darurat membenarkankan yang dilarang.

Selepas itu Khalifah Umar bertanya kepada tuan unta, berapakah nilai unta yang dicuri. Jawab tuan unta itu 400 Dirham. Lalu Saidina Umar memerintahkan Hathib membayar 2 kali ganda dengan nilai 800 Dirham. Ketika itu pencuri ketakutan menantikan hukuman yang bakal mereka terima, sudah tentu nilainya layak mereka dilaksanakan had (potong tangan) ke atas mereka.

Akhirnya Saidina Umar membebaskan mereka atas sebab adanya unsur syubhah. Apa yang dilakukan Khalifah Umar, seperti mana kata Sheikh Said Ramadhan Bhuti menyentuh soal Uqubat (hukuman dalam Hudud) dengan sabda Nabi: Tolaklah (Qhadi/ hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin semampu kamu.

Undang-undang dua darjat

Ini masalahnya. Pencuri tabung masjid dihukum, dibelasah dan dipermalukan, pencuri duit Tabung Haji disanjung. Lagi teruk ada panggil Bossku. Lebih memalukan hari ini ada penyamun dan penyangak masih mendapat kesitimewaan iringan juru iring pihak polis biarpun disahkan bersalah seleweng hak rakyat.

Nabi tak pernah potong tangan pencuri. Tapi pernah berikan ancaman memotong tangan anaknya Fatimah. Apa yang ditujukkan Nabi adalah prinsip adil. Apa yang difahami taliban dan lebai seperti Pas tentang potong tangan, agaknya inilah dimaksudkan Nabi lebih seribu tahun dulu dalam khutbahnya.

Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sungguhnya aku sendiri yang akan memotong tangannya. Kata Nabi antara kerosakan kaum terdahulu, bila yang kaya, yang berpangkat terlepas dari hukuman. Manakalah mereka yang lemah dihukum. Seraya bangun Nabi dari tempat duduknya dan berkata:

Wahai sekalian manusia, bahawasanya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah, ketika orang-orang besar dari mereka mencuri, mereka membiarkannya (tidak menghukum), sementara jika orang-orang yang rendah dari mereka mencuri, mereka menegakkan hukuman had.

Pesaing ‘gunakan’ Lokman untuk cemarkan hakim dengan dakwaan gangguan seksual, kata peguam

Jason Thomas

PETALING JAYA: Peguam yang mewakili Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar percaya bekas pemimpin Umno Lokman Noor Adam sedang “digunakan” oleh pihak tertentu untuk mencemarkan nama baik anak guamnya dengan dakwaan gangguan seksual.

Peguam Na’im, Akberdin Abdul Kader, berkata individu-individu ini juga “mendalangi” keseluruhan kejadian dengan “menggunakan wanita itu” untuk mengeluarkan anak guamnya daripada jawatannya.

Dalam laporan polis bulan lalu, seorang wanita yang sudah berkahwin mendakwa dia mendapati hakim itu berbogel di dalam bilik tidurnya ketika dia melawat rumahnya pada Ogos 2020.

Video Facebook Lokman pada Isnin yang memperincikan dakwaan itu kini menyaksikan bekas pemimpin Umno itu berdepan surat tuntutan saman fitnah oleh firma Akberdin, sambil memaklumkan FMT bahawa beliau yakin bekas orang Umno itu tidak bekerja sendirian.

Na’im menafikan dakwaan gangguan seksual dalam laporan polis yang dibuatnya semalam, di mana beliau turut menggesa polis mengambil tindakan terhadap Lokman.

Sambil menyatakan terdapat pihak dalam jabatannya yang mahu menjatuhkannya dan merampas jawatannya, Na’im turut memberikan polis nama individu – individu berkenaan.

“Fokus kami adalah kepada Lokman, dan bergantung kepada sejauh mana kami akan pergi seterusnya, kami akan putuskan tindakan seterusnya,” kata Akberdin ketika ditanya sama ada anak guamnya bercadang untuk menyaman individu berkenaan.

“Ada orang yang iri hati terhadapnya. Beliau (Na’im) naik ke puncak dengan sangat cepat dan memintas orang-orang ini, jadi mereka cemburu.

“Kita akan sediakan writ saman minggu depan dan kemudian melaluinya, kita akan mendapat butiran lanjut siapa yang mempergunakan beliau (Lokman).

“Kami masih mengkaji siapa di sebalik dakwaan ini, dan nanti apabila beliau (Lokman) mahu selesaikan, kami akan tanya beliau untuk butiran lanjut mengikut syarat penyelesaian kami.”

Dalam laporan polis yang difailkan bulan lalu, pengadu, seorang wanita berusia 57 tahun, mendakwa pada satu malam pada Ogos 2020 hakim berkenaan datang ke rumahnya ketika suaminya terlantar sakit dan mohon dibenarkan menumpang bilik tidur untuk solat.

Dalam aduannya wanita itu berkata, dia kemudian mendapati hakim berkenaan berada terlalu lama dalam bilik dan apabila diperiksa mendapati dia sedang tidur di atas katil dalam keadaan bogel.

Akberdin mendakwa individu berkenaan sebelum ini cuba menjatuhkan Na’im dengan mengaitkannya dengan wanita lain, namun percubaan itu tidak berjaya.

“Reputasinya telah rosak teruk, jadi kami perlu bertindak pantas dan menunjukkan kekuatan kami,” kata Akberdin.

“Lokman tidak mempunyai bukti. Anak guam saya memegang jawatan tinggi, Lokman perlu memastikan bahawa beliau bercakap benar dan tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka.”

3 polis ‘kaki paw’ ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga anggota polis bertugas di IPD Ampang Jaya ditahan selepas disyaki terbabit kes pemerasan terhadap seorang ejen jualan kenderaan di Persiaran Pandan Prima, Ampang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Esha, berkata siasatan mendapati mangsa lelaki berusia 30 tahun diugut untuk memberi wang tunai dan secara pindahan dalam talian.

“Pengadu ditahan oleh dua anggota polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) lengkap beruniform dari Balai Polis Ampang (suspek). Suspek seterusnya membuat pemeriksaan telefon pengadu dan mendakwa pengadu mempunyai kesalahan atas milikan sesuatu dokumen.

“Suspek meminta sejumlah wang tunai untuk menyelesaikan masalah itu. Akibat takut, pengadu seterusnya menyerahkan wang secara tunai dan secara pindahan dalam talian melalui akaun bank atas nama seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, tiga anggota polis itu yang berusia 36, 40 dan 44 tahun ditahan semalam dan direman selama empat hari mulai hari ini.

Katanya, semua suspek bebas daripada kesalahan dadah dan tatatertib serta berkhidmat dengan polis lebih dari 10 tahun.

“Modus operandi suspek adalah berjalan mengesan mangsa dan melakukan pemerasan dengan meminta wang supaya tidak ditangkap. Usaha mengesan suspek masih bebas terutama pemilik akaun diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan ia

Adakah undian pindaan akta penyakit berjangkit cetus PRU awal?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Ketegangan semakin memuncak dalam Umno apabila satu pihak berharap dapat mencetuskan pilihan raya umum (PRU) dengan menentang rang undang-undang yang mungkin diundi oleh Dewan Rakyat pada Mac.

Orang dalam Umno berkata, beberapa Ahli Parlimen dari partinya mungkin tidak menyokong pindaan kontroversi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Ini mungkin makin melemahkan kedudukan Perdana Menteri,” katanya kepada FMT.

“Ada yang mungkin merasakan bukan mudah untuk PRU diadakan pada pertengahan tahun ini, tetapi lebih mudah untuk memaksanya (diadakan) jika kepimpinan kekal lemah.”

Keretakan dalam Umno dikatakan semakin mendalam antara pihak yang menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan satu pihak lagi menyebelahi presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Secara tradisinya, dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri adalah juga Presiden Umno. Bagaimanapun, ekoran permainan politik antara Umno dan Bersatu baru-baru ini, Ismail, iaitu Naib Presiden Umno, dinamakan sebagai Perdana Menteri.

Namun, kuasa dalam parti kekal di tangan presiden, yang mempunyai kata putus dalam pemilihan calon bagi sebarang pilihan raya.

Semasa Putrajaya ditadbir Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dari 2020 hingga Ogos 2021, beberapa Ahli Parlimen Umno secara terbuka menyokong beliau, memecahkan Umno kepada dua puak.

Ahli Parlimen Umno yang menyokong Muhyiddin dikatakan berasa tidak senang kerana bimbang Zahid mungkin mahu menghapuskan saingannya dalam parti.

Justeru, mereka dan pihak lain yang menyokong Ismail mahu PRU diadakan tahun depan selepas pemilihan parti dengan harapan Ismail akan diundi sebagai presiden parti.

Sementara itu, orang dalam Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko itu tidak mencapai persetujuan sama ada akan terus menyokong Ismail bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani September lepas.

Orang dalam DAP berkata, Ahli Parlimen dari partinya terperangkap dalam kedudukan yang sukar kerana bawah MoU, mereka akhirnya mendapat peruntukan RM3.5 juta setahun bagi kawasan mereka.

“Namun kami juga tidak selesa kerana terikat dengan kegagalan kerajaan,” katanya merujuk kepada kemarahan terhadap kerajaan baru-baru ini ekoran beberapa perkara, seperti kelewatan tindak balas ketika bencana banjir melanda dan kontroversi yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau berkata, rakyat mula merasakan bahawa “PH tiada tulang belakang” untuk membantah kerajaan, sekaligus melemahkan sebarang kemungkinan semak dan imbang yang betul.

Orang dalam PKR memberitahu FMT, masih tidak jelas sama ada pemimpin parti itu, Anwar Ibrahim, bercadang untuk membatalkan MoU.

Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen PH mungkin tidak akan menyokong pindaan Akta 342 itu.

“Jika kita sokong Akta ini, kita mungkin akan kehilangan sokongan akar umbi dan hadapi kemarahan pengundi,” katanya.

Rang undang-undang itu mencadangkan denda maksimum RM10,000 dikekalkan bagi kesalahan bawah Akta 342, tetapi kompaun maksimum bagi syarikat dikurangkan separuh kepada RM500,000.

Ini bagi memastikan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pada masa ini, semua denda kompaun yang dikeluarkan bawah akta itu tertakluk kepada had RM1,000.

Kunjungan ketua-ketua hakim syarie kepada Jamil Khir jadikan mereka ‘low class’

MALAYSIA DATELINE

Tindakan lima ketua hakim syarie dari lima buah negeri mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipertikaikan dan dikecam kerana ia boleh menjatuhkan maruah para hakim.

Tindakan ini juga antara penyebab mengapa hakim syarie tidak dihormati dari segi integritinya, kata seorang bekas pengajar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr Mohamed Hadi.

“Saya tak pasti apa yang ada dalam fikiran ketua-ketua hakim syarie ini. Pertemuan ini berlangsung bulan lepas, baru lagi. Malah status asal pun masih ada di Facebook Umno Kedah.

“Mereka ialah ketua hakim syarie negeri. Saya tidak mengenali mereka secara peribadi, bukan ada keperluan pun.

“Tapi bagaimana ketua-ketua hakim syarie boleh mengadakan “kunjung hormat” ke pejabat “entah siapa-siapa pun. Ya, bukan pejabat menteri agama pun. Malah kalau pejabat menteri sekalipun, dari sudut etika sudah salah.

“Pernahkah anda lihat Ketua Hakim Negara atau hakim-hakim kanan terhegeh-hegeh membuat kunjung hormat ke pejabat Menteri Undang-Undang?” kata Mohamad Hadi menerusi facebook beliau.

Kritikan ini timbul ketika seorang lagi ketua hakim syarie berdepan dengan tuduhan dan disiasat oleh polis atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh di rumah orang.

Ada sesetengah pihak mengaitkan dakwaan ini timbul selepas kunjungan hakim-hakim syarie ini ke pejabat Pengerusi Perhubungan Umno Kedah ini.

Terdahulu, lima ketua hakim syarie dari Kedah, Pahang, Terengganu, Johor dan Perak membuat kunjung hormat ke atas Jamil Khir dan disiarkan dalam facebook Badan Perhubungan Umno Kedah pada 15 Disember lalu, tiga minggu sebelum kes hakim syariah tidak senonoh ini timbul.

Bagi Mohamad Hadi, jawatan hakim yang mulia, duduknya di atas, dihormati martabatnya dan bukannya bersepah menjual muka di sana-sini.

Apatah lagi, katanya, ketua hakim syarie beramai-ramai membuat kunjung hormat ke pejabat penasihat agama Perdana Menteri.

“Eh, dia ni 10 tahun jadi menteri agama apa dia dah buat untuk perkasakan mahkamah Syariah? Apa jasa dia selain “Dato’ Sri Najib kirim salam”?

“Masa jadi menteri agama tak buat apa-apa, adakah bila jadi penasihat agama tiba-tiba ada kuasa macam The Avengers pulak?” tulis beliau.Bagi beliau, kKunjung hormat tertutup tak mengapalah.

“Kita pun tak nak tahu urusan mereka. Kalau tak share kat Facebook pun kita tak tahu berlaku pertemuan tersebut.”

“Tapi sudahlah dicanang kepada umum, kemudian bergambarlah ketua-ketua hakim sambil mengelilingi penasihat agama ibarat samseng penambang mengelilingi tauke sampan Ahmad Nisfu.

“Lagi bongok, hakim-hakim pergi berdiri, penasihat pulak yang duduk. Macam cerita Tiga Abdul pun ada.

“Kenapa ketua-ketua hakim syarie merendahkan maruah mereka sampai ke tapak kaki? Mana pergi adabul qadi yang mengaji sampai penuh hashiyah kitab dulu tu?” tanya beliau lagi.

Menurut beliau, tindakan sebeginilah antara punca institusi mahkamah syariah dipertikaikan.

“Dan kita konon tertanya-tanya kenapa institusi mahkamah Syariah selama ini dipandang lekeh. Sebenarnya, mereka sendirilah yang memperlekehkan kedudukan institusi mahkamah Syariah itu sendiri.

“Bak kata cikgu Shaari, “Low class!” kata Mohamad Hadi lagi.

Hakim nafi dakwaan ‘berbogel’ di bilik isteri orang, mahu saman Lokman Adam

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Seorang hakim yang didakwa mengaib kehormatan seorang wanita di rumahnya telah memfailkan laporan balas terhadap pengadu terbabit.

Hakim itu juga memfailkan satu lagi laporan polis hari ini terhadap seorang ahli Umno, berhubung satu klip video di media sosial mengenai dakwaan berkaitan.

Laporan balas terhadap pengadu dibuat di Balai Polis Ampang, pada 12 Dis lalu, menurut laporan polis hari ini yang dilihat FMT.

Dalam laporan terkini hari ini, hakim itu menafikan sama sekali tuduhan terhadapnya. Beliau juga telah memberikan kerjasama dengan polis dalam siasatan mereka, katanya.

Hakim itu mendakwa laporan pengadu pada Disember lepas adalah laporan palsu yang didalangi oleh beberapa individu yang mahu menjatuhkan beliau dan merampas jawatannya.

Dalam laporan terhadap ahli Umno terbabit, hakim itu mendakwa tindakan individu itu berniat jahat dan berunsur fitnah jenayah.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili hakim itu memberitahu FMT, surat tuntutan fitnah akan dihantar kepada ahli Umno itu esok, disusuli writ saman yang akan difailkan di mahkamah di Kuala Lumpur.

Semalam, FMT melaporkan seorang wanita berusia 57 tahun memfailkan laporan polis terhadap hakim itu yang didakwa telah mengaib kehormatannya.

Kejadian dikatakan berlaku pada Ogos 2020, menurut laporan polis yang dilihat FMT.

Pengadu mendakwa hakim berkenaan datang ke rumahnya ketika suaminya terlantar sakit dan mohon dibenarkan menumpang bilik tidur untuk solat.

Dia kemudian mendapati hakim berkenaan berada terlalu lama dalam bilik dan apabila diperiksa mendapati lelaki itu sedang tidur atas katil dalam keadaan bogel.

Ingatkah kita lagi kepada bekas Ketua SPRM yang menangis di New York

MALAYSIA DATELINE

Ingatkah kita kepada Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull, apabila meletakkan tekad menyiasat dan mendedahkan skandal SRC International Sdn Bhd beberapa tahun yang lalu.

Beliau diekori serta dijejak hingga ke luar negara serta diugut seolah-olah seperti menyaksikan babak dalam filem aksi.

Mohd Shukri menempuhi jalan yang berliku hanya kerana memilih untuk jujur dalam melaksanakan tugasnya ketika itu.

Beliau bersama Tan Sri Abu Kassim berjuang bersungguh-sungguh untuk menyiasat dan dapatkan balik wang rakyat yang dicuri tetapi kesudahannya, mereka pula dituduh pembelot.

“Saya terpaksa melarikan diri ke Washington, Amerika Syarikat. Sampai di sana pun ada orang ekori saya, memaksa saya lari ke New York pula.

“Bayangkan, saya menangis macam budak-budak di New York, di depan Mat Saleh di sana. Saya terlalu sedih kerana sayangkan SPRM, saya rasa sangat bersalah,”katanya.

Beliau yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, bersama Tan Sri Abu Hassan, menemui ramai menteri dengan harapan ada sesuatu yang dapat dilakukan mereka.

“Saya bukan sesiapa, saya tak ada kepentingan pun. Saya dan Tan Sri jumpa begitu ramai menteri dan suarakan kebimbangan serta maklumat yang kami ada. Kami cuba yakinkan mereka, kes 2.6 bilion ini bukan kisah dongeng,” katanya.

Isu Azam Baki: Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak terpakai kepada Lalitha

ZULHAZMI SHARIFF

Sekarang masing-masing heboh dengan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki. Semua tahu isu tersebut sama ada secara terperinci atau pun sekadar menumpang bicara.

Azam yang terpalit dengan isu pemilikan saham telah dibersihkan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang. Kemudiannya enam anggota LPPR menafikan bersetuju dengan pembersihan Abu Zahar.

Ekoran pembersihan oleh Abu Zahar, Azam Baki mengeluarkan notis tuntutan kepada Lalitha Kunaratnam iaitu individu yang mula mempersoalkan integriti Azam, mendakwa Azam memiliki sejumlah saham dan sebagainya.

Ada yang mempersoal dan mempertikai kenapa Lalitha tidak dilindungi oleh Akta Pemberi Maklumat 2010?

Untuk makluman semua, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whitlseblower Protection Act 2010 – Akta 711) digubal untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat.

Perlu diambil perhatian bahawa Lalitha membuat dakwaan atau pun pendedahan awam di media sosial sama ada akaun Twitter dan/atau media sosial yang lain, justeru Akta 711 TIDAK TERPAKAI kepada Lalitha.

Tujuan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat ini adalah untuk melindungi pemberi maklumat daripada pihak yang mana beliau dedahkan salahlaku. Dengan kata lain supaya identiti pengadu TIDAK DIKETAHUI oleh pihak yang diadukan.

Contohnya, seorang pegawai di kementerian mengetahui bahawa seorang Pengarah di sebuah Jabatan telah melakukan rasuah atau salahguna kuasa, lalu membuat laporan atau aduan kepada SPRM.

Dalam keadaan ini, SPRM akan menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat terhadap pengadu iaitu melindungi pengadu daripada diketahui oleh pihak yang diadukan supaya pengadu tidak terdedah kepada sebarang tindakan dari pihak yang diadu.

Lalitha boleh dilindungi oleh Akta 711 ini hanya jika Lalitha membuat aduan berkaitan Azam Baki kepada polis atau mana-mana agensi penguatkuasa lain tanpa menghebahkan kepada awam. Untuk melindungi Lalitha daripada Azam Baki, maka polis menggunakan Akta 711 untuk melindungi Lalitha.

Sekarang, Lalitha sendiri mendedahkan identitinya dalam membuat pendedahan, jadi Akta 711 tidak terpakai. Jadi, apabila Azam hendak membuat tuntutan sivil terhadap Lalitha, Lalitha perlu bersedia untuk hadap.

Ramai peguam yang menawarkan khidmat secara pro-bono. Tidak perlu pertikai Akta 711 kerana tindakan Lalitha mendedahkan secara awam telah menafikan haknya di bawah Akta 711.

Saya melihat beberapa pihak termasuk peguam, parti politik malah Ahli Parlimen (malangnya dari parti saya) yang mengutuk dan mempertikai kenapa Lalitha tidak dilindungi Akta 711.

Sebagai Ahli Parlimen yang menggubal undang-undang, sepatutnya lebih faham undang-undang yang mereka gubal itu untuk apa.

Sebagai peguam, kaji undang-undang, fahamkan dan nasihatkan orang awam tentang undang-undang.

Kita perlu bertanggungjawab. Jangan main sedap nak sebut hingga mengelirukan masyarakat. Jangan sampai orang kata jadi Ahli Parlimen pun tak tahu undang-undang yang dia sendiri gubal.

Malulah. Takkan bahana MoU sampai macam ini sekali?

Thailand boleh, mengapa Malaysia tidak haramkan pembalakan komersial?

MALAYSIA DATELINE

Kerajaan mesti mengharamkan pembalakan komersial bagi mengelakkan bencana banjir yang mendatangkan banyak kemusnahan, tegas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Menurutnya, Malaysia perlu menuruti tindakan Thailand yang mengharamkan pembalakan komersial sejak 1989 ekoran bencana banjir besar yang mengorbankan lebih 350 rakyatnya.

Larangan aktiviti pembalakan sejak 33 tahun itu adalah susulan perintah yang dikeluarkan oleh Raja Thailand.

“Kita patut melakukan perkara sama. Thailand amat serius dalam menjaga hutannya.

“Mana-mana orang yang ditangkap melakukan pembalakan di Thailand akan dihukum tembak,” dipetik FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pembalakan yang dikaitkan dengan bencana banjir besar baru-baru ini.

Terdapat beberapa dakwaan bahawa aktiviti pembalakan secara berleluasa mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan sembilan negeri.

Walau bagaimanapun, beberapa penguasa negeri telah menyangkal dakwaan tersebut walaupun penempatan mangsa banjir dipenuhi sisa kayu balak termasuk yang dipotong dalam keadaan baik.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina mengakui bahawa pengharaman aktiviti pembalakan akan menjejaskan hasil pendapatan negeri namun katanya, pemimpin politik yang mengeluh mengenai perkara itu tidak berfikir panjang.

“Pembalakan mendatangkan hasil berjuta-juta, tetapi apabila semua pokok hilang, siapa yang mahu datang ke negara kita?” tempelaknya.

Beliau menegaskan hutan hujan di negara ini adalah antara yang terindah di dunia.

“Apabila hutan hilang, tidak akan ada lagi pelancongan eko yang bersifat jangka panjang dan mampan,” ujar Shariffa Sabrina lagi.

Kit Siang: Musa Hitam, PM terbaik yang tak pernah Malaysia ada

Imran Ariff

KUALA LUMPUR: Musa Hitam dianggap sebagai Perdana Menteri terbaik yang tidak pernah dimiliki Malaysia, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Bekas Ketua Pembangkang itu bersetuju terhadap cadangan membabitkan Musa, selepas diajukan soalan daripada hadirin ketika sesi soal jawab dalam pelancaran buku biografinya, “Lim Kit Siang: Malaysian First”.

Musa, yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, pada awal pertengahan 1980-an, juga hadir dalam majlis pelancaran berkenaan yang diadakan di Dewan Konvensyen Sogo, di sini, hari ini.

“Tiada kesangsian berhubung perkara itu,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri dengan nada teruja menjawab, sambil merujuk kepada Musa. 

Walaupun Lim tidak mengulas lanjut dan Musa juga enggan memberi komen, antara rakan panelis Lim, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata hubungan kedua-dua mereka menjadi simbol persekitaran politik baik sekiranya negara ini mahu maju ke depan.

“Saya cukup yakin mereka sentiasa bertegang leher ketika muda dahulu. Jika anda membaca banyak buku tulisan Kit Siang, ia agak jelas,” kata Ahli Parlimen Muar dan Presiden MUDA itu.

“Namun, akhirnya, mereka berkongsi visi sama mahu membina Malaysia ke arah maju dan bermaruah. Sekarang, mereka boleh duduk, makan bersama dan bersantai. Inilah suasana politik yang kita patut beri tumpuan.”

Musa berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, bermula 1981-1986, namun bersara susulan krisis kepimpinan Umno, pada 1987. Beliau seangkatan dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau ‘Team B’, yang mana kalah kepada ‘Team A’, pimpinan Mahathir dalam pemilihan parti pada tahun sama.

Tengku Razaleigh kemudian menubuhkan Semangat 46, tapi tidak bagi Musa yang enggan kembali ke arena politik, malah terjun ke dunia korporat.

Patutnya Hadi sokong media pendedah rasuah

Imlan Adabi

Sepatutnya Abdul Hadi Awang memuji wartawan yang bebas melaporkan kes-kes rasuah. Bukan sebaliknya. Sepatutnya Abdul Hadi memberikan sokongan kepada media yang mendedahkan salah guna kuasa, bukan mengggunakan hadis atau al-Quran untuk menghukum pendedahan membabitkan individu berkuasa.

Abdul Hadi sebagai ulama bertaraf dunia sepatutnya menyarankan kepada perdana menteri agar menggantung tugas mana-mana individu yang dikaitkan dengan penyelewengan sementara menanti proses siasatan adil berjalan.

Jika ada kes, ia perlu segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang di mahkamah.

Suara Abdul Hadi mudah didengar dan dipercayai oleh Ismail Sabri Yaakob kerana kealimannya ketika memberi pandangan bernas dan tepat. Sejak memperkenalkan Amanat Haji Hadi pada awal dekad 1980-an, Abdul Hadi adalah pimpinan luar biasa dan setiap tutur katanya kaya dengan falsafah, perbandingan dan ilmu mantik yang tinggi.

Abdul Hadi bukan bertaraf Mohamad Sabu atau Rina Harun. Sebagai pimpinan parti Islam terbesar di Malaysia, Abdul Hadi bukan lagi tuan guru bertaraf Mokhtar Senik atau Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Hadi tokoh besar dunia Islam yang diakui keilmuannya. Ilmu agama Abdul Hadi tinggi, tilikannya tentang ilmu siasah amat mendalam.

Memperlecehkan Abdul Hadi sama seperti merendahkan barisan saf di Masjid Rusila yang bersejarah itu.

Malangnya Abdul Hadi mengambil sikap tidak munasabah apabila mempertikaikan laporan media tentang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengizinkan adiknya membeli saham menggunakan akaunnya.

Sesuai dengan status diplomat

Umumnya media hanya melaporkan bukti-bukti yang ada: Pembelian saham memang ada, guna nama orang lain untuk beli saham memang wujud. Cuma wartawan tidak boleh membuktikan wang yang digunakan untuk pembelian itu milik adik atau abang.

Isu ini menarik perhatian massa apatah lagi dikaitkan individu profil tinggi agensi kerajaan.

Sikap Abdul Hadi amat pelik dan luar biasa apabila dia tidak seronok wartawan mendedahkan isu yang ada kepentingan awam. Sebagai pengamal media lebih 30 tahun, saya lihat kewajaran media untuk melaporkan sesuatu isu yang boleh memberi kesan kepada kerajaan yang Abdul Hadi sokong.

Abdul Hadi sebagai pejuang Islam sejak 1970-an wajar bersuara dan dengan statusnya sebagai duta khas ke Timur Tengah, dia wajar mendesak individu yang dikaitkan dengan isu tersebut bercuti bagi memberi ruang proses undang-undang berjalan lancar.

Perbuatan rasuah dan salah guna kuasa adalah bercanggah dengan prinsip ajaran Islam. Abdul Hadi yang kelilingi ulama lain dalam partinya dan kerajaan wajar tegas bersuara kerana Islam mengutamakan amar maaruf nahi mungkar.

Rasuah adalah perbuatan mungkar seperti meminum arak, berjudi, menyembah berhala dan bertenung nasib.

Abdul Hadi wajar kesipuan apabila melihat banyak negara sekular bahkan memiliki tahap integriti tinggi, dan pada masa sama mempunyai kadar rasuah yang amat rendah. Switzerland, Finland dan Sweden tidak ada ulama bertaraf dunia seperti Malaysia, namun mempunyai kes rasuah yang kecil.

Malaysia dan Indonesia yang kononnya bangga dengan susila Melayu dan amalan Islam sebaliknya mempunyai kes rasuah yang tinggi.

Tidak pelik orang yang bersolat, berzakat, pergi haji dan umrah berkali-kali namun tidak segan silu untuk beramal dengan rasuah dan bersedap-sedap menyalah guna kuasa.

Adakah Abdul Hadi tidak sedar bekas perdana menteri Malaysia yang dulu menjadi sekutu rapat PAS sudah dihukum 12 tahun penjara kerana salah guna kuasa?

Senarai negara 'kotor'

Adakah Abdul Hadi tidak sedar banyak kawasan hutan di Lojing dan Gua Musang kian gondol dan menakutkan, malah mungkin suatu hari nanti Kelantan tidak mempunyai banyak bezanya dengan Pahang dalam kesangsian isu pembalakan haram?

Ada negara yang melaksanakan hukuman mati terhadap perasuah dan salah guna kuasa. China tegas dalam isu ini tetapi gagal menghentikan amalan yang sudah membudaya di negara itu.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 oleh Transparency International, China menduduki tempat ke-78 paling kotor dalam kalangan 180 negara yang diselidik.

Sebagai bandingan, Malaysia yang tiada hukuman mati untuk pesalah rasuah berada di tempat ke-57. Atau dalam kata lain, 21 tempat di depan China. Lebih menarik lagi antara 10 negara paling bersih, New Zealand dan lapan negara Eropah (Denmark, Finland, Sweden, Switzerland, Norway, Belanda, Jerman dan Luxemburg) langsung tiada hukuman mati.

Satu-satunya negara sebelah timur - Singapura - yang mencapai tempat ketiga mempunyai hukuman mati tetapi tidak menggunakannya untuk rasuah.

Semua 10 negara yang paling bersih adalah negara maju dengan demokrasi pelbagai parti yang mampan. Sebaliknya, 10 negara paling kotor (Sudan Selatan, Somalia, Syria, Yaman, Venuzuela, Sudan, Guinea Khatulistiwa, Libya, Korea Utara dan Haiti) adalah negara yang miskin, sesetengahnya diperintah oleh kerajaan kuku besi, dan dibelenggu peperangan atau krisis politik.

Malaysia yang ramai ulama, kaya dengan kepelbagaian budaya dan kaum mempunyai banyak recam politik, dan rasuah. Abdul Hadi perlu sedar rasuah untuk diperangi bukan untuk disokongi apatah lagi apabila ia membabitkan kepentingan lain.

Tumbang kerana korup

Kegagalan China untuk membanteras rasuah bukan kerana hukuman yang ada tidak berat, tetapi kerana ganjaran rasuah besar dan kebarangkalian dihukum rendah. Kedua-duanya berkaitan dengan sifat China sebagai negara satu parti.

Kerajaan China mempunyai kuasa besar kerana tiada pembangkang, tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melantang dan tiada media yang bebas. Maka, sekalipun jika pemimpin negara bersih, pemimpin di peringkat tempatan dan badan berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai kuasa besar untuk dapatkan ganjaran besar melalui rasuah.

Masalah lebih besar ialah China tiada badan pendakwaan dan badan penghakiman bebas.

Pegawai didakwa dan dihukum hanya setelah mereka hilang kuasa, sesetengahnya memang kerana rasuah, sesetengah hanya setelah gagal dalam perebutan kuasa.

Sejak 2012, baru seorang berpangkat timbalan menteri - Lai Xiao-ming pada Jan tahun lalu - dijatuhi hukuman mati kerana rasuah. Bekas ketua syarikat pengurusan aset terbesar milik kerajaan dijatuhkan hukuman mati kerana menerima rasuah berjumlah AS$260 juta (RM1.04 bilion).

Di Malaysia, suara menentang rasuah begitu lantang sehinggakan kerajaan yang terkenal korup tumbang pada Mei 2018. Kini Abdul Hadi yang menjadi sekutu kepada rejim yang sedang berkuasa sekarang wajar memainkan peranan.

Sokonglah wartawan yang mendedahkan skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Wartawan sejati ialah pelapor perubahan zaman dan pencetus pembangunan akhlak rakyat. Wartawan sejati bukan pelapor majlis ceramah politik yang kemudian mengedarkan kopiah dan tin Milo untuk mengutip derma yang kononnya jihad.

IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Netizen persoal tayang gambar solat Jabatan Amal, sukarelawan lain tak buat pun

FAZLI RADZI

Orang ramai dilihat mempersoal sikap Pas melalui unit sukarelawan parti itu, Jabatan Amal yang dianggap cenderung menayang gambar mereka sedang mengerjakan sembahyang.

Rata-rata warganet berpendapat sukarelawan lain sama ada individu mahupun NGO tidak pula berbuat demikian.

Reaksi netizen itu susulan tindakan Yang Dipertua Pas Selayang, Zaidy Abdul Talib memuatnaik gambar sekumpulan anggota Jabatan Amal yang terlibat dengan bantuan banjir bersolat secara berjemaah.

Zaidy yang juga bekas Adun Taman Templer menerusi hantaran itu di Facebook berkata, mereka itulah pemuda Islam yang dilahirkan daripada sistem tarbiyah Jabatan Amal Malaysia yang paling cepat menghulur bantuan.

“Mereka beramal kerana Allah seperti mana dendangan lagu tema Al Amal, tiada sebarang ganjaran duniawi, terus berkerja dan bekerja, kerana mereka faham ianya juga adalah ibadah disamping ibadah khususiah, solat tetap terjaga.

“Tabik spring Jabatan Amal Selayang dan seluruh Jabatan Amal Malaysia yang terlibat dengan bantuan banjir,” katanya.

Pengguna Facebook, Zulkifli Harun dalam komentarnya mempertikaikan apa istimewanya Jabatan Amal berbuat demikian.

“Apa faedah nak tunjuk depa solat. Orang lain pun solat juga lepas bantu mangsa. Cari publisiti nak menunjuk-nunjuk,” katanya.

Hal sama juga dibangkitkan Fahmi Bai yang menulis, “Orang lain pnn sembahyang juga” manakala Zainuddin Zainuddin pula secara sinis berkata, “Abdullah bin Ubay pun dulu solat saf depan.”

Sementara itu, Kustila Anum bertanyakan, “Kenapa Unit Amal ni bagi bantuan suka up gambar solat? Sukarelawan lain tak post, ok saja.”

Persoalan Kustila itu kemudiannya dijawab pengguna Facebook yang menggunakan akaun, John Cruise, “Sebab diorang ahli politaik, kenalah tunjuk bagus.”

Bagi Kamaludin Ibrahim, tidak perlu tunjuk mengerjakan sembahyang itu kerana dibimbangi timbulnya fitnah ibarat tangan kanan memberi tangan kiri tidak tahu.

“Buat tu (solat) kerana Allah ‘kan? Bukan kerana politik,” ujarnya lagi.

‘Saya mengaku tak vaksin dan bawa orang tak vaksin ke Saudi’ – Penceramah bebas

TANGKAP layar dari Instagram seorang penceramah bebas mengenai vaksin. - INSTAGRAM

Media Mulia

PETALING JAYA: Seorang penceramah bebas dikecam selepas membuat pengakuan secara terbuka di Instagram bahawa dia tidak divaksin dan kemudiannya membawa orang yang tidak divaksin ke Arab Saudi.

Dalam akaun Instagram itu, dia menulis: “Saya mengaku saya tidak vaksin dan bawa orang yang tak vaksin ke Saudi. Vaksin MM. Sebab vaksin ini dah pupus. Ramai juga jemaah tak ambil pun vaksin ni. Seperti segala jenis vaksin lain akan pupus dan tamat tempoh. Vaksin juga adalah duit dan mata pencarian untuk mereka bergelar ‘pakar'”.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata, pihak kementerian mengesan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah tidak menerima suntikan vaksin.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang meneliti alasan 17 jemaah terbabit mengenai perkara itu.

“Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard kerana hanya mereka yang divaksin saja sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan. Kita akan bincang dengan kementerian terlibat supaya agensi pelancongan dapat patuh dengan syarat kita letakkan,” katanya.

Kenyataan terbuka penceramah bebas itu membuatkan akhmal_zainudin menulis: “Jangan disebabkan ustaz, Malaysia kena banned (dilarang) dariapda menunaikan haji”.

Di platform Twitter pula, ramai yang mahu polis menyiasat kenyataan ustaz terbabit.

‘Menteri Pasola’ jual gambar lucah, kena denda RM6,000

Bernama

Mohd Azri Zahari, 34, yang juga seorang jurutera didakwa menjual gambar lucah bagi tujuan komersial pada harga RM100. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Padah menjual gambar lucah seorang wanita dengan harga RM100 menerusi aplikasi Telegram dua tahun lalu, seorang jurutera didenda RM6,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azri Zahari, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial (menjual) kepada seorang lelaki melalui aplikasi Telegram menggunakan akaun “Menteri Pasola”.

Komunikasi lucah dalam bentuk gambar itu kemudian telah dilihat di sebuah rumah di Jalan PJS 10/12, Subang Indah, Bandar Sunway, dekat sini pada 8.21 malam, 4 Mac 2019.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Menjawab pertanyaan Norshila sama ada tindakan OKS menjual gambar lucah itu untuk menambah pendapatannya, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Mohd Azri berkata, “tidak”.

Syed Amirul berkata, ketika kejadian itu anak guamnya tertekan berikutan masalah rumah tangga.

“Mahkamah memberikan kamu peluang kedua untuk bertaubat. Sekiranya kejadian ini berulang semula, mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang lebih tinggi,” kata Norshila kepada Mohd Azri.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Nazrul Hizam Mohd Zameri, memohon hukuman denda setimpal mengambil kira faktor OKS menjual gambar lucah mangsa dengan harga RM100 seolah-olah menjual harga diri mangsa.

Syed Amirul pula memohon denda minimum atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan telah insaf, selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.