"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyokong BERSIH, Baju Merah bertempur di Teluk Intan

Kumpulan Baju Merah dan penyokong BERSIH bertempur buat kali pertama di Teluk Intan hari ini.

Kejadian itu berlaku selepas pemimpin Baju Merah Datuk Jamal Datuk Md Yunos cuba merampas kain rentang daripada kumpulan konvoi berkenaan.

Peserta BERSIH yang dalam perjalanan dari Lumut ke Teluk Intan disekat ketika tiba ke destinasi akhir mereka oleh kumpulan diketuai Jamal.

Usaha BERSIH meminta Jamal memberikan laluan kepada mereka gagal apabila pemimpin Baju Merah Itu tiba-tiba menyambar kain rentang mereka dan memukul salah seorang peserta hingga menyebabkan pergaduhan kecil.

Ini merupakan kejadian kedua antara kumpulan baju merah dan peserta konvoi BERSIH yang berkonvoi dari Lumut.

Terdahulu peserta BERSIH didatangi oleh 30 hingga 40 anggota kumpulan baju merah yang menunggang motosikal.

Geng Baju Merah menarik bendera dari kenderaan konvoi berkenaan, menendang kereta dan menumbuk cermin sisi kenderaan mereka
-malaysiakini

Ustaz PAS akan tanam mufti ini dekat jirat juga ke?

Mufti PP: RUU355 bukan hukum Allah

Mufti Pulau Pinang menyuarakan rasa sedihnya terhadap tindakan segelintir ahli agama yang mengkafirkan orang Islam yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) bagi meminda akta Mahkamah Syariah.

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata beliau tidak menafikan peri pentingnya memperkasa mahkamah syariah, tetapi RUU itu belum lagi dimuktamad dan dibentangkan.

“Biarlah ia dibincang terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan.

“Moga-moga dengan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang yang adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara,” katanya dalam kenyataan yang antaranya diedarkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Kerajaan sebelum ini memberi laluan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkannya RUU persendirian itu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hadi bagaimanapun memohon ditangguhkan untuk sidang bulan depan atas alasan tidak cukup masa untuk dibentangkan.

Baru-baru ini, tersebar meluas video seorang ustaz di Internet yang memberi amaran untuk menanam Presiden PKR Datuk Wan Azizah Ismail di kubur Cina jika tidak menyokong RUU itu.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada mufti Pulau Pinang itu merujuk langsung kepada kes tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Wan Salim juga berkata anggota parlimen tidak wajar dipaksa atau diugut menyokong RUU itu menggunakan alasan terjejas akidah jika menolaknya.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT yang sakral.

“Tetapi RUU 355 bukan hukum Allah SWT. Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti.

“Kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU tersebut yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang,” katanya.

Katanya, sebaiknya pihak kerajaan membentangkannya supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata.
-malaysiakini
---------

RUU 355: PAS Bidas Mufti Pulau Pinang

SHAH ALAM: Kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa Rang Undang-undang 355 tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha manusia, dilihat seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu.

Sambil membidas kenyataan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bagi menegakkan perintah Allah.

“Apa kehendak Allah? Kehendak Allah ialah RUU ini memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menghukum pesalah syariah berdasarkan syariat Allah.

“Adakah selama ini dengan Akta 355 yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah menghukum pesalah syariah hanya sekadar 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan itu bertepatan dengan syariah?

“Adakah mufti memperakui perkara ini? Adakah mufti bersetuju Akta 355 ini bertepatan dengan syariah?,” kata Khairuddin yang dipetik sebuah portal.

Semalam, Wan Salim meminta mana-mana pihak agar tidak mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan usul Hadi yang mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Wan Salim berkata, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT, tetapi RUU 355 hanyalah satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia,” petik kata mufti itu semalam – AP

Gempar Papan Iklan Elektronik Gergasi Di Tengah Kota Siar Filem Lucah

Polis Jakarta Siasat Papan Iklan Elektronik Siar Filem Lucah

JAKARTA: Pihak polis sedang menjalankan siasatan forensik mengenai tayangan filem pornografi menerusi papan iklan elektronik gergasi di kota Jakarta semalam.

Media atas talian hari ini memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kekerasan Polis Daerah Metro Jaya, Hendy Kurniawan sebagai berkata, pihaknya telah menyita dan mengambil beberapa peralatan komputer milik syarikat pengiklanan berkenaan yang terletak di Jakarta Selatan.

Beliau berkata, pihak polis juga telah membuat pemeriksaan menyeluruh di pejabat syarikat berkenaan dan beberapa petugasnya akan disoal siasat bagi membantu siasatan.

Orang ramai dan pengguna jalan raya menjadi kecoh apabila melihat sebuah papan iklan elektronik sebesar 24 meter persegi di Jalan Pangeran Antasari, Jakarta Selatan menayangkan filem lucah.

Seorang penjual soto ditepi jalan di situ yang dikenali sebagai Domang kemudiannya mengambil tindakan berani dengan memotong wayar elektrik di papan iklan berkenaan setelah filem itu ditayangkan kira-kira 20 minit.

Dia yang membuka gerai di belakang papan iklan berkenaan berkata setelah mengetahui papan iklan itu menayangkan filem lucah, dia lalu mencari suis elektrik papan iklan itu dan menutupnya.

Sementara itu wakil syarikat papan iklan tersebut dilapor sebagai berkata, pihaknya kesal dengan insiden itu dan menyerahkan kes kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

Katanya, syarikatnya percaya ia merupakan jenayah siber dan kemungkinan jaringan Internet syarikat itu telah diceroboh serta menafikan ia merupakan perbuatan petugas syarikat berkenaan.
-Bernama

Lihatlah betapa parahnya rasuah di Malaysia: Inspektor polis sarat mengandung dipenjara dua tahun

BERNAMA

Seorang pegawai polis wanita yang sarat mengandung menangis teresak-esak selepas dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini akibat bersetuju menerima rasuah RM4,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran terhadap pembebasan Inspektor Suriati Mohd Shafie, 35, yang hamil sembilan bulan, daripada pertuduhan itu.

Selepas mendengar keputusan itu Suriati menangis teresak-esak dan dia kemudiannya ditenangkan oleh rakan-rakan wanitanya.

Ab Karim berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Nasir Nordin, telah terkhilaf semasa membuat keputusan di akhir kes pembelaan yang melepas dan membebaskan Suriati pada 23 Jan 2015.

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata rasuah adalah kesalahan serius terutama bagi mereka yang menjaga keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang kerana melibatkan amanah dan integriti bukan sahaja kepada seseorang bahkan kepada jabatan dan masyarakat.

"Sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor yang menjalankan penyiasatan, kamu seharusnya memegang amanah untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti, malangnya, kamu tidak berbuat demikian.

"Kesalahan rasuah jika tidak dibendung akan menular seperti kanser dan akan melumpuhkan pentadbiran negara," katanya.

Terdahulu, peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili Suriati selaku responden, merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya sedang mengandung sembilan bulan selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

Suriati yang berkhidmat 10 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa bersetuju menerima rasuah RM4,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, warga Cameroon yang disyaki terlibat kes samun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), antara 8.30 malam dan 9.30 malam pada 22 Jan 2013.

Pegawai polis itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu mahkamah turut memerintahkan Suriati membela diri terhadap satu lagi pertuduhan meminta suapan RM6,000 daripada Nurullizean sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya itu pada 1 tengah hari, di tempat dan hari sama, mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi pegawai polis ASP S. Ravintharan, 53, yang turut didakwa bersama-sama Suriati bagi pertuduhan bersetuju menerima rasuah di tempat dan tarikh sama, antara 8.30 malam dan 9.30 malam juga diarah membela diri.

Ravintharan selaku responden yang diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent sebelum ini turut dilepaskan dan dibebaskan.

Mahkamah menetapkan 6 Okt untuk Suriati dan Ravintharan membela diri.

Lebih 100 Cedera, Komuter Rempuh Stesen


NEW JERSEY: Sebuah tren komuter merempuh merempuh stesen Hoboken di sini semasa waktu puncak pada awal pagi Khamis hingga menyebabkan ratusan orang cedera.

"Oleh kerana berlaku kegelinciran tren di Stesen #Hoboken, NJ, semua perkhidmatan kereta api PATH masuk dan keluar dari Stesen Hoboken digantung," demikian menurut sistem maklumat kecemasan rasmi New York menerusi Twitter.

Difahamkan lebih daripada 100 orang cedera.

ABC News berkata mereka yang cedera termasuk jurutera tren yang sedang menjalankan tugas dan beberapa penumpang./mstar

RUU 355 PAS tiga kali kantoi

1. Jangan kafirkan sesama Islam kerana RUU 355, Mufti tegur Pas 

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegur segelintir agamawan yang secara berwewenang mengkafirkan orang Islam yang tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) sedangkan ia belum dibentangkan di Dewan Rakyat.


Menurut beliau, adalah tidak wajar mana-mana ahli Parlimen dipaksa menerima RUU 355 termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah sedangkan RUU itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif bagi tujuan penambahbaikan.

Kenyataan Dr Wan Salim yang dikeluarkan hari ini dipercayai merujuk kepada kontroversi kuliah Yang Dipertua Pas Padang Serai Shaharuddin Ibrahim yang menyifatkan ahli parlimen yang tidak menyokong RUU 355 sebagai 'jatuh akidah' (rosak akidah) dan layak dikebumikan di jirat (tanah perkuburan Cina).

RUU 355 dijadual dibentangkan Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Oktober ini.

"Saya amat sedih mendapati segelintir agamawan di negara ini yang dengan sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang bertujuan memperkasa serta memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah.

"Saya tidak menafikan tentang peri pentingnya gagasan sedemikian dilaksanakan dan justeru sepatutnya ia mendapat sokongan semua pihak. Tetapi yang perlu difahami RUU 355 belum lagi dimuktamadkan dan hanya akan dibentangkan oleh Ahli Yang Berhormat Marang di Parlimen yang akan mulai bersidang pada pertengahan bulan Oktober ini.

"Biarlah ia dibincang terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan. Moga-moga dengan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang yang adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara," kenyataan Dr Wan Salim dipetik.

Beliau menambah, seorang Muslim sememangnya wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT namun RUU 355 bukanlah hukum Allah SWT dan hanya satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Dr Wan Salim menjelaskan, kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU 355 yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.

"Sebaiknya pihak kerajaan sendiri mengambil daya usaha membentangkannya seperti sebelum ini supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan permintaan maaf Shaharuddin atas keceluparannya 'mengkafirkan' Presiden Keadilan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak menyokong RUU 355 di Dewan Rakyat kelak.

Bagaimanapun Shaharuddin menjelaskan permintaan maaf itu dibuat untuk tidak memanjangkan isu itu.

"Dalam kuliah saya baru ini, saya ulas dengan panjang, tak ada tuju khusus kepada siapa-siapa, harap mana-mana pihak yang mahu petik ceramah atau kuliah, dengar sampai habis supaya faham," ujarnya membela diri.

Sahaharuddin sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Pulau Pinang menghalang azan daripada dilaungkan.

Bagaimanapun setelah diberi amaran akan diambil tindakan mahkamah, 'ulamak Pas' itu memohon maaf kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan DAP kerana tuduhan berunsur fitnah itu.

2
Sinar Harian bertarikh 29 September 2016 memuatkan berita permohonan maaf Shaharuddin


3

Pelajar Malaysia hilang di Paris selamat pulang

Bernama 

SUNGAI PETANI: Pelajar Malaysia yang hilang di Paris sejak Jumaat lalu, Nur Sakinah Naim, 19, dilaporkan selamat dan pulang ke bilik kediamannya di Paris, tengah hari tadi.

Ibunya, Nor Halizah Ahmad, 43, berkata khabar gembira itu disampaikan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang datang ke rumahnya sebentar tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu di sini hari ini.

Pelakon Aidil Aziz Berdepan Gantung Sampai Mati Simpan Ganja Dan Pedang Samurai


Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 28. ditahan bersama dua lagi suspek di sebuah kediaman di Jalan Ampang pada jam 12.40 tengahari, Ahad dan telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju untuk siasatan.

Pelakon Aidil Aziz Ditahan Disyaki Tanam Pokok Ganja

Menerusi salinan laporan polis yang diterima Astro Gempak, ketika serbuan pasukan risikan telah merampas beberapa pokok yang ditanam dalam pasu dan dedaun kering dalam bekas kaca yang disyaki ganja serta satu bekas pengisar mengandungi dedaun kering disyaki daun ganja.

Selain itu turut ditemui lampu spotlight, baja, penyembur air, biji benih pokok ganja, tujuh bilah pedang samurai, 21 bilah pisau, tiga buku lima, empat pucuk pistol angin, dua laras senapang angin, sebilah kapak dan sehelai vest Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM25,000 dan kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 6B AKta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 4 Akta Senjatapi 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Dua suspek yang ditangkap bersama Aidil ialah seorang penganggur Omar Sayeed Ghulam Mohammad, 36 dan pekerja pengurusan IT warganegara Fillipina, R.Guevara Cortez, 33.

Sumber: beritapremium

Pembangkang, jangan buang masa menunggu PAS! - SUBKY LATIF

SUBKY LATIF
APA yang sekalian pembangkang hendak buat bagi menghadapi PRU14 dan hendak menjatuhkan PM Najib dan BN buatlah. Usah pedulikan PAS dan usah tunggu PAS!

Yang sah dan sedia ada sekarang pembangkang sudah ada pakatan tiga buah parti sama bilangannya dengan Pakatan Rakyat yang ditinggalkan PAS atau Pakatan tinggalkan PAS. Ia masih sama dengan kedudukan Pakatan antara tahun 2008 hingga tahun 2013.
Pakatan atas apa jua nama yang diberi tidak luak tanpa PAS. Dengan kedatangan baru Dr. Mahathir dan TS Muhyiddin Yassin atas apa jua nama partinya, bercampur dengan Pakatan itu, menambah kuat lagi tentang terhadap BN.

Nak fikir tentang satu lawan satu, atau apa jua yang difikir baik, buatlah!

Dari menyindir dan mengata PAS begitu dan begini, membuang masa pembangkang saja. Tiada apa gunanya memikirkan PAS dipercayai atau tidak jika diadakan perbincangan dengannya bagi mengajaknya bersama.

Pada pandangan saya PAS telah membuat keputusan tegas bila membatalkan tahalufnya dengan DAP. Dia tahu risiko dan untungnya berpisah dengan DAP. Ia telah nekad untuk menghadapinya. Selagi DAP dipimpin oleh Lim Kit Sing dan anaknya Lim Guan Eng, tiada kemungkinan tahaluf disambung semula.

Dan dalam gabungan baru pembangkang itu pula ada kumpulan bekas pemimpin dan ahli PAS yang PAS kira mereka adalah pemberontak dan meninggalkan jamaah. Mana logiknya jamaah dapat duduk bersama dengan kumpulan yang meninggalkannya duduk bersama bagi menghadapi/mencari kebaikan bersama sedang tanpa mengaku mereka bersalah?

Sekalipun mereka 100 peratus betul bertindak memecah parti, tetapi yang dibangsakan meninggnalkan jamaah, tetapi dikira salah oleh jamaah yang ditinggalkan. Maka harapan jamaah untuk duduk sebagai abang adik adalah tidak mungkin. Kemungkinan yang tidak mungkin itu mungkin kiranya jamaah jadi lemah dan lumph setengah ia ditinggalkan. PAS tidak terasa tinggal nyawa ikan dengan tindakan keluar mereka.

Umno tidak akan sudi berbincang dengan Dr. Mahathir dan Muhyiddin bagi menghadapi PRU14. Umno sedia berbincang dengan Tengku Razaleigh dulu kerana Ku Li sedia membubarkan S46 dan semua ahlinya kembali dalam Umno.

Jika Parti Komunis Malaya dulu berdepan dengan pemberontak seperti itu, jangankan hendak bertemu, mereka akan tembak semuanya.

Maka selagi DAP dan pelarian PAS ada dalam pakatan pembangkang, PAS tidak akan menjadi sebahagian daripadanya. Mungkin dalam dua keadaan PAS boleh kembali ke pangkuan Pakatan. Pertama, DAP sedia terima perjuangan menegakkan hudud yang tidak melibatkan bukan Islam. Dan kedua tolak penyertaan pemberontakan PAS dalam gabungan pembangkang.

Kedua-duanya tidak mungkin. Tiada siapa yang bijak dan arif dapat membawa PAS kembali dalam muafakat pembangkang sekalipun mengalahkan BN Umno kali ini adalah satu cita-cita yang mulia.

Sekalipun Mahathir dan Anwar dapat cantumkan otak mereka yang bergeliga itu, PAS tetap macam sepat tak makan pancing berumpan emas. Biar kucing bertanduk, cacing dapat telan ular, PAS bersama rakan-rakannya selesa bersendiri.

Pembangkang buatlah apa yang patut! Jangan buang masa menunggu PAS!

Ibu rayu henti sebar video bogel anak


Gambar mangsa yang menjadi viral di laman sosial. 
KOTA BHARU – Keluarga wanita yang dipukul dalam keadaan berbogel mohon penyebaran video dihentikan segera.

Ibunya yang berusia 49 tahun merayu semua pihak berbuat demikian kerana sudah tidak sanggup lagi melihat keaiban anaknya di jaja dan terus menjadi tatapan umum.

“Cukup-cukuplah. Saya dah tak sanggup (nak tanggung) lagi dah. Tak sanggup tengok gambar anak saya dalam keadaan (bogel) sedemikian.

“Ini maruah anak saya, maruah keluarga kami. Tolonglah kesian pada anak saya dan kami sekeluarga. Dia tidak bersalah, tolonglah padam,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Beliau berkata, dia juga sudah tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaan kawan-kawan mengajukan soalan dan menunjukkan rakaman berkenaan kepadanya.

“Dia anak saya, dia anak yang tidak ada masalah. Cukuplah tu sebab sekarang dia dalam keadaan ketakutan, kurang bercakap dan tidak dapat makan kerana trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Wanita berkenaan turut menggesa pihak polis supaya tindakan tegas diambil kepada pelaku yang berbuat demikian terhadap anaknya.

“Sejak kejadian itu, kami sekeluarga masih tidak dapat bertenang dan ada sahaja ugutan seolah-olah pihak yang menyerang itu masih tidak berpuas hati dengan perkara yang sudah dilakukan kepada anak saya.

“Jadi, saya mohon pihak polis supaya tangkap mereka semua dan tidak ganggu anak saya lagi,” katanya.
-sinarharian

Lokasi semadi Haron Din bukti kehebatan Allah

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

SIAPA sangka? Lahir di Iraq tapi dikebumikan di Kampung Sungai Pusu Gombak, Selangor! Itu yang berlaku kepada Prof. Dr. Irfan dan Dr. Baha’uddin, dua pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berasal dari Iraq. Siapa sangka lahir di Malaysia tetapi meninggal dunia di ruang udara Ukraine. Itu pula yang berlaku kepada mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17.

Siapa pula tahu, tokoh agama, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, lahirnya di Perlis tapi disemadikan di California, Amerika Syarikat (AS). Jarak antara dua lokasi ini beribu kilometer jauhnya.
Apabila mengenang lokasi persemadian arwah Haron, iman kita kepada Allah sepatutnya mencanak naik. Hebat sekali Allah SWT yang merencanakan segala sesuatu. Benar sekali firman Allah ini:

“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya,” (Luqman[31:34]).

Siapa tahu? Ketika malaikat diarah meniup roh ke dalam janin Allahyarham pada usia empat bulan, tarikh dan tempat matinya sudah ditetapkan Allah berlaku di bumi California, AS yang nun jauh di sana. Benar sekali sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis empat perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya roh,” - Sahih Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad.

Ketika mengulas ayat misteri tempat mati yang ditetapkan bagi manusia, Imam Ibn Kathir membawa sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya apabila Allah mahu mencabut roh hamba-Nya di sebuah bumi, dijadikan bagi hamba-Nya itu sesuatu hajat (urusan) di bumi tersebut,” - Musnad Ahmad, Sahih Ibn Hibban, hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani.

Ketika mengulas ayat 34 surah Luqman di atas, para mufassir membawa sebuah riwayat yang mengisahkan satu peristiwa ajaib pada zaman Nabi Sulaiman a.s. 
“Pada suatu hari Malaikat Maut bertemu dengan Nabi Sulaiman a.s., Malaikat Maut terpaku melihat seorang lelaki dalam majlis baginda. Lelaki itu bertanya kepada Nabi Sulaiman: “Siapakah dia ini?” baginda menjawab: “Dia adalah Malaikat Maut.” Lelaki itu berkata: “Seakan-akan dia mahu mencabut nyawaku, wahai tuanku suruhlah si angin agar membawaku jauh ke negeri Hind.” Nabi Sulaiman pun melaksanakan permintaan lelaki tersebut. Sesudah itu Malaikat Maut berkata: “Sebenarnya aku melihatnya kehairanan kerana aku diarahkan Allah agar mencabut nyawanya di negeri Hind sedangkan (dalam beberapa ketika sebelum matinya) dia masih berada bersamamu.” (Tafsir al-Alusi, Tafsir al-Baydawi dan Tafsir al-Nasafi).

Mati adalah misteri Allah. Tiada siapa tahu tarikhnya dan di bumi mana akan dikebumikan. Apa yang pasti, ikatan sempadan negara hanya berlaku dalam alam zahir ini. Alam barzakh yang menjadi negeri persinggahan sementara sebelum ke akhirat pastinya tiada sempadan ruang dan masa seperti alam dunia.

Orang beriman seperti Allahyarham mungkin sedang berbahagia di sana bersama rakan-rakannya yang lain.

Ya Allah! Walau di bumi mana pun dia disemadikan, jadikan kubur guru kami itu sebagai sebuah taman antara taman syurga-Mu. Insya-Allah.

Wartawan berhijab tampil dalam majalah Playboy? (Gambar)


Tagouri dikritik selepas tampil dalam Majalah Playboy. - Foto Instagram
MAJALAH Playboy adalah sebuah majalah dewasa yang terkenal dengan foto-foto wanita yang kurang menyenangkan malah amat tidak bersesuaian untuk golongan bawah umur serta masyarakat Islam.

Namun begitu, wartawan Amerika Syarikat, Noor Tagouri telah mengubah semua itu selepas tampil dalam penerbitan majalah berkenaan edisi Oktober yang dipanggil Renegades dengan penampilannya berhijab.

Selain berhijab, gadis berkenaan turut memakai seluar jeans, jaket kulit dan kasut Converse dalam edisi berkenaan.

Gadis berusia 22 tahun itu turut memaklumkan bahawa matlamat utamanya tampil dalam majalah berkenaan adalah sebagai pelopor gadis bertudung pertama di dalam televisyen komersial Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Tagouri percaya pengalaman yang dimilikinya sebagai wartawan wanita Islam telah menjadikan beliau seorang wartawan yang lebih baik.

“Secara jujur, saya fikir sebagai seorang wanita Islam yang berhijab, ia membantu saya mendapatkan kepercayaan (dari subjek temu ramah).

“Saya tahu bagaimana mempunyai naratif daripada masyarakat kita yang kurang jelas dan dieksploitasi oleh media.

“Saya tahu yang ia adalah salah seperti yang dinyatakan dalam media dan saya ingin memaklumkan cerita ini kerana ia penting untuk mendapat keadilan,” katanya kepada Playboy.

Walaupun Tagouri menerima banyak kecaman dan kritikan secara atas talian, dia tidak membacanya atau memberi sebarang perhatian berhubung tindakan tersebut.

“Ia hanya sifat negatif yang tidak sihat dan saya hanya melakukan apa yang terbaik dengan tidak merisaukan kritikan pihak berkenaan yang tidak sukakan apa yang saya pakai atau cakap,” katanya.- news.com.au
-sinarharian

Harga sekerap naik, tanda PRU makin hampir?

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
JIKA harga sekerap naik, itu alamat besar pilihan raya semakin hampir. Sudah jadi trend politik Malaysia, BN akan guna apa saja hasil mahsul negara untuk membeli undi, dalam pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya umum.

Dana IPG RM200 juta yang dighaibkan, dana khas RM194 juta yang 'diselinap' menjadi kecil penerimanya, boleh digunakan untuk menampung belanja untuk menaikkan sementara harga sekerap sehingga selesai pilihan raya.

Pada harga pasaran semasa cuplump (sekerap) RM2.50 sekilo, dana itu boleh digunakan untuk menampung harga RM3 sekilo sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-14.

Orang motong akan merasa lega bukan kepalang, boleh hilang derita yang ditanggung bertahun-tahun. kenaikan harga sekerap boleh dilakukan kerana sesuatu yang berharga ditangan orang motong mahu disambar...UNDI! Ia boleh dibeli sekali lagi?

Orang BN akan berkata, apa la hang ni, dasar pembangkang... naik harga pun tak kena, turun harga pun hang bising. Kita beri alasan...

Menaikkan harga sekerap tidak boleh ambil kira masa nak piliha raya saja, kemudian menjunam semula, derita lagi. Orang motong tidak membeli beras dan anak-anak mereka tak ke sekolah menjelang pilihan raya saja. Sakit demam orang motong tak tentu hari. Ramai yang terlantar sekarang ini pun.

Undi orang motong tak boleh dijual beli begitu. Tanggungjawab kerajaan dengan amanah rakyat terpikul setiap detik, bukan bermusim. Kerajaan jenis apa kalau hanya buat baik untuk menagih balasan menjelang pilihan raya? Gaji semua menteri itu kan dibayar tiap-tiap bulan sepanjang tahun?

Berikan peruntukkan RM1.6 bilion dalam bajet negara 2017, ia boleh menstabilkan harga sekerap pada kadar cukup makan, persekolahan dan perubatan sepanjang tahun. Langkah ini lebih mulia dan beramanah. Orang motong lega, kerajaan ada maruah.

Yang baik tentang kematian Almarhum Haron Din

SUBKY LATIF
APA yang menarik tentang kematian Almarhum Datuk Dr. Harun Din, Mursyidul Am PAS yang ketiga itu? Almarhum bertemu ajal di California dan dikebumikan di bumi beliau menemui ajalnya. Jenazahnya tidak diterbangkan kembali ke tanah air sekalipun terkumpul banyak kemudahan untuk membawanya pulang.
Apa yang dikehendaki setiap ibu bapa yang beriman solat jenazahnya diimamkan oleh waris terdekatnya sendiri atau bapanya bagi yang masih berbapa atau suami bagi seorang isteri.

Solat jenazahnya di California diimamkan oleh anaknya sendiri dan solat ghaib yang terbesar dalam negara di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah Alam diimamkan oleh cucunya yang belum berusia 20 tahun. Di belakang cucu yang mengimaminya itu berbaris ulama terkemuka tanahair.

Moga-moga bahagia rohnya apabila cucunya menjadi imam kepada sekian ramai ulama. Tiadalah yang lebih bahagia bagi ibu bapa apabila mereka didoakan oleh anak-anak yang soleh di samping dirinya memiliki ilmu yang berguna.

Hari matinya pula dikira baik baginya, beberapa jam sebelum masuk waktu Jumaat di Malaysia dan beberapa jam sebelum masuk maghrib Jumaat di California. Mati hari Jumaat adalah baik dan Almarhum moga-moga dapat apa yang baik itu.

Ajal dan tanah kubur tidak siapa ketahui. Hak Allah menentukannya. Ramai yang bertemu ajal jauh dari kampung dan negara, jenazah diusahakan dibawa balik kecuali bertemu ajal di Mekah dan Madinah. Almarhum berwasiat kepada anak-anaknya. Kebumikan jenazahnya di mana dia menemui ajal.

Jika ajalnya di Kuala Lumpur, kerana rumahnya di Bangi, tidak perlu dibawa ke Perlis. Jika ajalnya di Kuantan tidak perlu dibawa balik ke Bangi. Kebumikan saja di Kuantan.

Muslihatnya ialah jenazah mesti disegarakan pengkebumiannya dan yang terbaik ialah di kubur yang terdekat dengan tempat kematian itu.

Wasiatnya telah diperkenan warisnya. Dr. Haron Din telah menunjukkan contoh yang baik. Justeru kuburnya jauh di California. Dipercayai balunya tidak menemui ajal di sana. Di mana saja balu itu menemui ajal, tidak perlu jenazahnya dihantar ke California untuk semadikan di sebelah kuburnya. Kebumikan saja di mana saja.

Roh suami isteri yang beriman tidak disatukan di kubur yang sebelah-menyebelah. Sejauh mana jua jarak kubur masing-masing nescaya Allah ketemukan di taman syurga. Kubur orang-orang soleh adalah ibarat taman di syurga sebelum ditempatkan di syurga yang sebenar. Apabila syurga dibuka kepada penghuninya dari situlah mereka dibawa ke syurga yang menunggunya.

Beliau menemui ajal kerana komplikasi jantung yang dialaminya lama. Kebanyakan pesakit menjalani rawatan sekali atau dua kali. Beliau diuji dengan berkali-kali. Lima enam kali. Orang lain tidak tahan, tetapi Allah melimpahkan rahmat buatnya, berjaya setiap kali rawatan di Amerika.

Ujian dan rawatan pun ada hadnya. Sekalipun setiap kali berjaya, tidaklah setiap kali mesti berjaya. Kalau setiap kali sakit berjaya dirawat, tak bertemu ajallah Anak Adam. Sedang tiada siapa menongkat langit.

Sampai saat terakhir beliau mendapatkan rawatan. Berikhtiar. Bukan takut mati tetapi mahu mewakafkan bagi usianya untuk kerja Islam.

Dalam politik beliau sederhana dan lincah. Disegani dan disukai lawan. Kerana lawan suka kadang-kadang kawan tak suka. Politiknya sepanjang masa ialah PAS. Sekalipun dalam 40 tahun beliau timbul dan tenggelam tetapi istiqamah dengan PAS. Beliau tidak sekadar dipilih jadi Mursyidul Am, tetapi Allah pilih matikan dalam PAS

Hati-hati jangan terbeli sambal kerabu daging ular - PPIM

Adam Abu Bakar
PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa umat Islam di negara ini meneliti dan menyelidik mana-mana makanan terlebih dulu sebelum membeli.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan bukannya diletakkan di bahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semata-mata.

“Kalau hendak beli barang, kena tengok lebih sikit. Jangan beli dengan hidung, beli dengan mata. Jangan sekadar bau makanan itu sedap, terus beli.

“Makanan yang masuk ke dalam perut adalah perut kita bukannya perut Jakim. Jadi, beringatlah sebelum makanan sesuatu makanan,” katanya kepada FMT.

Nadzim berkata demikian bagi mengulas kenyataan dikeluarkan Jakim yang menasihatkan agar pengguna tidak menggunakan sambal ikan nasi kerabu segera dalam paket keluaran negara asing.

Ia kerana, sambal ikan nasi kerabu segera yang dijual dalam paket tersebut dikatakan diperbuat daripada daging ular sawa dan lebih mengejutkan ialah logo halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim turut tertera di paket itu.

Nadzim berkata peniaga beragama Islam juga perlu sedar risiko yang menimpa sekiranya mengambil bahan dari luar terutama negara bukan Islam seperti Thailand.

“Pengusaha kita tidak perlu bahan dari Thailand. Makanan atau bahan dari Malaysia saja sudah mencukupi.

“Bukan setakat sambal ikan nasi kerabu ini saja, tetapi kadang-kala sos dari Thailand juga perlu diteliti kerana kita tidak tahu sama ada ia menepati kehendak agama atau tidak,” katanya.

Jakim dalam kenyataannya semalam menyatakan produk berkenaan bukan lagi pemegang sijil halal dari The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT). Malah tindakan mahkamah diambil kerana pengalahgunaan logo halal.
-fmt

Keluarga tunggang terbalik


Bangladesh: Keluarga tunggang terbalik. Itu gelaran yang tepat untuk seorang lelaki Shailesh Dalbot, 60, yang bukan sahaja mengahwini ibu saudaranya malah turut berkahwin dengan anak wanita berkenaan, sebagai sebahagian daripada tradisi puak Mandi yang menetap di kawasan pergunungan di Bangladesh.

Shailesh, baru berusia 15 tahun apabila dia terpaksa berkahwin dengan ibu saudaranya, Shormi Nokrek, yang ketika itu berusia 45 tahun selepas wanita terbabit kematian suami.

Mengikut adat Mandi, seseorang balu itu perlu berkahwin dengan keluarga mendiang suaminya dan satu-satunya lelaki bujang ketika itu ialah Shailesh.

Bagi mengelakkan Shailesh curang kepada isterinya itu, dia turut berkahwin dengan anak Shormi iaitu Jelita yang pada masa itu baru berusia tujuh tahun.

Namun Shailesh dan Jelita hanya melakukan seks selepas Jelita berusia 17 tahun dan kini mereka mempunyai empat orang anak.

Sementara dengan Shormi pula, Shailesh menjalani kehidupan suami isteri dengan wanita berkenaan selama 10 tahun, namun mereka tidak mempunyai anak.

“Saya tidak begitu mengingati perkahwinan itu kerana ia berlaku pada 1971 namun tiba-tiba kami diumumkan sebagai suami isteri dan majlis berakhir. Ibu saudara saya kemudiannya menjadi isteri saya.

“Kami sudah biasa dengan tradisi ini dan saya tidak melihatnya sebagai pelik, ia normal pada kami. Ia juga mempunyai alasan yang baik kerana dapat menyelamatkan keturunan kami selain menjadikan hubungan kami kukuh,’’ katanya yang menghormati Shormi sebagai orang yang lebih tua daripadanya.

Sementara itu, Jelita yang kini sudah berusia 52 tahun, dilihat sebagai ketua keluarga.

“Saya dapati saya telah berkahwin ketika masih muda dan saya ok dengannya. Saya tahu dia lelaki yang baik dan kami mengikut adat. Kami amat gembira dengan apa yang berlaku.

“Saya dan ibu saya sebenarnya tidak berkongsi suami. Shailesh tidak lagi bersama ibu saya selepas dia mendapat saya. Itulah tradisi kami dan kami tiada pilihan,’’ kata Jelita.

Bagi puak Mandi, kebiasaannya kaum wanita akan memilih suami mereka dan mengikut adat, wanita akan menjadi ketua keluarga dengan semua harta akan jatuh kepada anak perempuan.

Ramai puak Mandi yang berkahwin dengan ibu dan anak demi memastikan harta keluarga mereka tidak jatuh ke tangan pihak lain.
-kualalumpurpost

Pegawai kerajaan dipecat gara-gara gambar ini



Gambar viral yang menyebabkan Bao dipecat

TAISHUN - CHINA . Seorang pegawai kerajaan dibuang kerja ekoran sekeping gambarnya diangkat oleh dua orang lelaki ketika melalui kawasan berlumpur viral dan mengundang kecaman.

Bao Xuwei, biro rasmi pendidikan di Taishun, daerah Zhenjiang, dirakam diangkat ketika melalui kawasan berlumpur selepas Taufan Meranti.

Ekoran penyebaran gambar tersebut yang viral di laman sosial, biro pendidikan tempatan mengumumkan mereka menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan dan pegawai berkenaan telah dipecat daripada jawatannya.

Menurut ECN, Bao mendakwa tindakan disabitkan oleh mahkamah pendapat awam adalah sesuatu yang salah.

Bao berkata, pada hari berkenaan dia terus pergi ke kawasan yang dilanda bencana selepas menghadiri mesyuarat dan tidak mempunyai masa untuk menukar kasut kepada kasut yang bersesuaian.

Semasa dia cuba mengelakkan dari terpijak lumpur, dua pekerja insurans mendekatinya dan mengangkatnya melalui kawasan tersebut dan ianya hanya untuk beberapa saat.

Sementara itu, pekerja berkenaan kemudian mengatakan mereka turut melakukan perkara itu kepada beberapa individu lain.

Dalam pada itu, jurugambar yang mengambil gambar berkenaan memohon maaf di atas kontroversi yang timbul dan berkata dia hanya mahu mengambil foto bagi menunjukkan sikap saling tolong-menolong.

  1. -sinarharian