"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Buang bayi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buang bayi. Papar semua catatan

Pelatih PLKN lahir bayi ditahan


PASIR MAS: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Cancun Park dekat sini ditahan kerana menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian bayinya yang baru dilahirkan di belakang sebuah asrama kem latihan itu semalam.
Remaja berusia 18 tahun itu difahamkan mendaftar untuk menyertai program latihan tersebut pada 15 Mei lalu bagi menjalani latihan siri kedua.
Dia ditahan sepasukan anggota polis sebaik mayat bayi perempuan seberat 2.6 kilogram dan masih bertali pusat itu ditemui terbiar di belakang sebuah asrama di kem latihan itu pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, pelatih PLKN itu kemudiannya dihantar menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan keadaannya dilaporkan stabil.
-kosmo-

Mayat bayi disumbat dalam botol

TAWAU: Mayat seorang bayi yang sudah reput dijumpai disumbat di dalam botol Nescafe bersaiz besar di Sungai Tawau pagi tadi.

Botol itu dijumpai setelah tersangkut di bawah sebuah jambatan di sungai berkenaan di kawasan Blok 10 Kampung Titingan.

Bayi yang jantinanya belum dikenal pasti itu ditemui kira-kira 9.30 pagi oleh seorang penduduk.

"Ketika saya sedang mengupas kelapa, tiba-tiba adik saya datang dan memaklumkan bahawa ada satu botol di bawah jambatan yang sangat mencurigakan.

"Sebaik sampai di jambatan, saya mengambil botol itu dan melihat secara dekat isinya. Selepas membuka botol dan melihat kandungannya, saya cepat-cepat menutup semula botol itu kerana tidak tahan dengan bau busuk yang keluar darinya," kata Ronnie Jude, 32.
-hmetro-

Tangisan bayi di kawasan kubur

MASIH HIDUP... bayi perempuan yang ditemui di  tanah perkuburan Islam.
MASIH HIDUP... bayi perempuan yang ditemui di tanah perkuburan Islam.
KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemui sepasang suami isteri di kawasan tanah perkuburan Islam Danau Kota, Taman Setapak Indah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, pasangan suami isteri terbabit dikatakan mendengar tangisan bayi itu sebelum menghampiri kawasan itu dan terkejut sebaik melihat bayi yang masih hidup di buang di atas rumput.

Difahamkan, bayi itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain batik dan tuala berwarna biru malah, keadaan bayi itu juga masih berdarah dan mempunyai uri.

Bersimpati dengan keadaan bayi perempuan itu, pasangan terbabit kemudiannya bertindak menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil pemeriksaan mendapati bayi itu berkemungkinan baru dilahirkan dalam tempoh tiga jam sebelum ditemui.

“Bayi yang cukup sifat itu kemudiannya diserahkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini dirawat di Unit Rawatan Intensif Bayi (Nicu) bagi rawatan selanjutnya,” katanya.

“Usaha mengesan individu yang bertanggungjawab terhadap pembuangan bayi itu masih giat dijalankan dan polis masih belum menemui sebarang bukti di tempat bayi itu ditemui,” katanya.

Bagaimanapun, bangsa sebenar bayi seberat 2.35 kilogram (kg) dan berkulit cerah itu masih belum dapat dikenal pasti.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
-hmetro-

Tanam bayi perempuan baru lahir

DI SINI... ‘kubur’ bayi baru lahir yang dibuat suspek bagi menutup rahsia kelahiran oleh teman wanitanya.
DI SINI... ‘kubur’ bayi baru lahir yang dibuat suspek bagi menutup rahsia kelahiran oleh teman wanitanya.
HULU SELANGOR: Hanya kerana takut rahsia terbongkar, sepasang kekasih yang sudah terlanjur sejak setahun lalu akhirnya nekad menanam sendiri bayi perempuan yang dilahirkan tidak cukup bulan berhampiran tempat tinggal teman lelakinya itu.

Bagaimanapun, salah seorang jiran lelaki berusia 26 tahun itu yang curiga dengan tindakan pelik pasangan itu bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Difahamkan, polis yang menerima panggilan berhubung kejadian terbabit segera ke rumah lelaki itu sebelum menahannya yang kebetulan berada di dalam rumah berkenaan.

Hasil pendedahan lelaki berkenaan, polis akhirnya menemui ‘kubur bayi’ yang baru dilahirkan teman wanitanya dalam keadaan ditutupi zink bagi mengelakkan dikesan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy berkata, berikutan penemuan itu, suspek yang dipercayai berasal dari Indonesia kini ditahan reman selama empat hari sehingga 12 April bagi membantu siasatan.

“Mayat bayi sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi bedah siasat. Hasil bedah siasat dijangka diperoleh esok (hari ini).

“Namun, usaha mengesan teman wanita suspek yang juga ibu kepada mayat bayi ditemui itu masih gagal dan kita percaya teman wanitanya itu sudah melarikan diri ke Indonesia,” katanya, semalam.

Terdahulu, dalam penemuan mayat bayi perempuan itu kira-kira jam 10 malam kelmarin, mangsa dipercayai dilahirkan tidak cukup bulan iaitu usia kandungan masih tujuh bulan.

Sebaik dilahirkan, bayi itu dikatakan meninggal dunia menyebabkan pasangan itu panik dan bertindak menanam mayat bayi terbabit di kawasan berhampiran bagi mengelakkan dikesan.

Suspek yang bekerja di sebuah kilang baja ayam sejak setahun lalu dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri menyebabkan suspek takut untuk menghantar bayi itu ke hospital.

Difahamkan, teman wanita suspek yang bekerja di ibu kota sering bertandang ke rumah teman lelakinya itu menyebabkan mereka sering mengadakan hubungan terlarang.
-hmetro-

Mayat bayi dicampak dalam longkang

MAYAT bayi lelaki yang masih mempunyai tali pusat dan uri ditemui di dalam longkang di Ayer Hitam, Batu Pahat semalam.
BATU PAHAT: Penduduk Taman Mekar, Ayer Hitam dekat sini gempar apabila mayat seorang bayi lelaki lengkap dengan tali pusat dan uri ditemui di dalam longkang berair yang masih dalam pembinaan di kawasan perumahan tersebut pagi semalam.

Mayat bayi itu ditemui seorang pekerja kontrak, Hamid Marsuki, 43, pada pukul 8.10 pagi ketika hendak memulakan tugas membina tembok rumah dan longkang di Jalan Mekar 5 di taman tersebut.
-kosmo-

Cara baru buang bayi?

SEREMBAN, 31 Dis: Qurratnaini Amni Jamaludin, 20, sedang menunggu rakannya di Stesen KL Sentral bila tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

Beliau lantas menoleh dan terlihat seorang wanita Melayu dalam lingkungan 20-an mendukung bayi lelaki dipercayai baru berusia seminggu.

Wanita bertudung serta berseluar jean dan berbaju warna hijau lumut itu meminta beliau menjaga bayinya seketika kerana katanya dia hendak ke tandas.

Qurratnaini menunggu seketika untuk wanita itu mengambil semula bayinya.

“Kemudian, saya tunggu, dan tunggu ... hingga kira-kira dua jam!, namun wanita itu tidak juga muncul.

“Saya mula panik, curiga dan bimbang ... Saya hubungi ibu bapa saya di Rantau (Negeri Sembilan).

“Mereka datang dengan kereta untuk mengambil saya dan membawa bayi itu ke Seremban,” katanya di sini hari ini.

Qurratnaini berkata, atas nasihat ibu bapanya, bayi seberat 3.5 kilogram dan berkulit sawo matang itu diserah kepada Hospital Tuanku Ja’afar di sini, sebelum mereka membuat laporan polis.

Sebelum itu, Qurratnaini, pelajar jurusan kejururawatan bersama seorang rakannya menaiki komuter dari stesen keretapi Seremban pada kira-kira pukul 9.15 pagi untuk ke KL Sentral.

Mereka tiba di stesen itu di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 10.00 pagi. -Bernama-

Bayi Lelaki Baru Dilahirkan Dibuang Dalam Semak

BAYI SIAPA?... Bayi lelaki seberat 3 kg, ditemui dibuang dalam semak berdekatan Taska Mawadah Kampung Titi Teduri, Pulai pada pukul 10 pagi ini, sedang berada dalam ambulan untuk dihantar ke hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan akibat jangkitan kuman. Kelihatan, Pegawai Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Faizal Mohd Zabil sedang mendapatkan maklumat daripada jururawat mengenai bayi berkenaan. 

BALING: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dibungkus dengan tuala, ditemui ditinggalkan dalam semak di tepi pagar berdekatan sebuah Taman Asuhan Kanak Kanak (Taska) di Kampung Titi Teduri, Mukim Pulai di sini Selasa.

Bayi yang terdapat kesan luka di badan akibat terkena duri, ditemui pekerja dan pemilik Taska berkenaan pukul 10 pagi ini dan kemudian membuat laporan polis.

Bayi seberat tiga kilogram itu dengan tali pusatnya sudah dipotong ditemui dalam keadaan lemah dan terdapat semut di badannya.

Bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui dan turut ditemui bersama bayi itu adalah urinya yang diletakkan berdekatan bayi itu.Kesan darah turut ditemui dalam kawasan pagar taska itu serta di kawasan bayi ditinggalkan.

Pemilik taska terbabit, Siti Hawa Othman, 40, berkata dua guru di taska itu terpandang tompokan darah ketika membantu pelajar memberus gigi di kawasan itu sebelum bayi berkenaan ditemui dalam jarak tiga kaki dari mereka berdiri.

Berpandukan tompokan darah di atas simen dalam kawasan Taska terbabit, dua guru terbabit membuat siasatan hingga menemui bayi yang berbungkus dengan sehelai tuala dalam semak di sebelah pagar taska itu.Siti Hawa yang mengambil dan membersihkan kotoran yang terlekat di badan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling Amelia Shatirah Dorahim berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Baling selepas pemilik Taska membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supt Mohd Daut Md Hasan mengesahkan polis menerima laporan penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan ibu bayi itu dan pasangannya serta individu terlibat.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang ini untuk rawatan lanjut berikutan jangkitan kuman.
-Bernama-

Buang bayi: Antara musim mengawan dan menetas

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi
Iklim sosial negara kita kian teruk dan parah. Nilai maruah dan harga diri telah turun semurah sekeping kad prepaid.

Jika seketika dulu dunia dikejutkan oleh tindakan Natalie Dylan dari San Diego USA [22 tahun] melelong daranya dan dibida oleh seorang lelaki Britain dengan harga 2.5 juta pound [RM 13 juta], kemudian Miss Spring [17 tahun] melelong daranya turun pada bidaan serendah RM 1 juta dan Alina Persia [18 tahun] pula menerima bidaan 10 Ribu euro apabila beliau turut melelong daranya.

Tetapi anak-anak gadis Malaysia ada yang melelong daranya dengan mee goreng sepinggan dan kad prepaid sekeping. Demikianlah harga maruah yang semakin susut malah hancur dan binasa.

Apabila maruah dan harga diri boleh dilelong dan digadai semurah itu, apalagi nilai yang ada pada manusia seperti itu untuk dipertahankan. Mereka akhirnya menjadi hamba nafsu yang tidak lagi mengenal syurga dan neraka atau dosa dan pahala. Hidup mereka hanya diabadikan kepada perut dan apa yang berada dibawah perut. Rosak nilai, hancur maruah dan binasa tamadun.

Akhir-akhir ini, negara kita semakin menggerunkan. Sungguh menakutkan apabila statistik jenayah rogol, zina dan buang bayi ini semakin berleluasa seperti tidak menunjukkan tempoh tamatnya. Bermula dengan pergaulan bebas, pil ectasy, dadah, arak, pusat pelacuran, filem porno, laman lucah dan sebagainya sehinggalah sekatan ke atas majlis agama, sekolah agama rakyat [SAR], mengurangkan sukatan pengajian Islam di pusat pengajian tinggi, mengambil tindakan ke atas khatib yang tidak bertauliah telah menyuburkan mungkar dan maksiat yang sedang berleluasa ini.

Saya memerhatikan sejak kebelakangan ini untuk tempoh beberapa tahun seperti menunjukkan satu trend bahawa bulan Julai, August dan Sept adalah bulan yang cukup banyak kes buang bayi dilaporkan dan ditemui. Jika bulan julai, august dan september ini bulan menetas ertinya bulan december sebelumnya adalah musim mengawan. Dalam bahasa mudah, jika bulan julai, august dan september ini adalah bulan buang bayi ertinya bulan december sebelumnya adalah bulan berzina. [sebab tidak mungkin berzina bulan ini, bulan depan buang bayi]

Bulan December adalah bulan terakhir bagi setiap tahun menurut kalendar masihi. Biasanya di negara kita akan menyambut kedatangan tahun baru detik 12.00 am 1 january dan sambutan itu akan rayakan dengan pesta-pestaan, konsert hiburan, tari menari sedari awal malam sehingga ke awal pagi esoknya. Tentunya pula pesta-pesta itu akan diserikan lagi dengan arak, pil ectasy, pil kuda dan pelbagai bahan khayal untuk membekalkan tenaga kepada melakukan maksiat semaksima mungkin.

Pengalaman saya meronda bersama dengan skuad Dewan Pemuda PAS Pusat dan negeri-negeri jelas menunjukkan bahawa malam sambutan tahun baru inilah menjadi musim mengawan beramai-ramai atau besar-besaran pasangan-pasangan yang tidak mengenal lagi batas dosa dan pahala. Sebahagian besar mereka adalah remaja atau anak-anak yang mengawan semahunya memuaskan nafsu liar mereka. Akhirnya 7 atau 8 atau 9 bulan kemudian tibalah masa menetas. Kini kita boleh saksikan bagaimana pesta menetas pula di dada-dada akhbar yang saya yakin akan berkurang sedikit selepas september nanti.

SANDAKAN [3 Julai 2010] Mayat seorang bayi perempuan ditemui di tapak pelupusan sampah di Batu 8 Jalan Fook Kim. Sandakan Sabah.

JOHOR BHARU [12 Julai 2010]
Mayat bayi lelaki yang disimpan di dalam sebuah beg plastik di kawasan semak ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu. Johor Bharu.

JOHOR BHARU [22 Julai 2010] seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg berhampiran hentian bas dekat Hospital Sultan Ismail sebelum ditemui seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi jalan pesiaran Mutiara Emas yang mengesyaki sesuatu apabila melihat sebuah beg bergerak-gerak.

KUALA LUMPUR [24 Julai 2010] Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri Kelantan Bandar Baru Sentul. Mayat yang masih bertali pusat dan diselimuti dengan kain batik itu ditemui dalam tong sampah oleh pengutip barangan lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu.

NIBONG TEBAL [31 Julai 2010]
Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditinggalkan berbalut dengan plastik dan kertas surat khabar di kaki lima sebuah bangunan kedai di taman Cegar Simpang Ampat.

KUALA LUMPUR [6 August 2010]
seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditinggalkan dalam sebuah lubang paip dalam longkang berhampiran sebuah stesen minyak di Klang Gate.

GEORGE TOWN [9 August 2010]
Janin bayi lelaki dipercayai digugurkan ditemui seorang lelaki pemungut tin kosong dalam tong sampah di Pasar Borong Pulau Mutiara Jalan Makloom.

TAMPIN [10August 2010]
Tidak sampai 4 jam selepas dilahirkan, seorang bayi perempuan terpaksa menahan sejuk lapar sambil menangis akibat ditinggalkan dihadapan sebuah rumah di Air Kuning Selatan dekat Gemencheh.

TANAH MERAH [12 August 2010]
Bayi perempuan masih bertali pusat dipercayai dibuang sejak seminggu lalu ditemui seorang murid di dalam lubang kumbahan najis di belakang asrama sebuah kolej di bandar Bukit Bunga.

MELAKA [12 August 2010]
Bayi baru dilahirkan dan masih hidup ditemui dalam tong sampah berdekatan pondok kawalan sebuah kilang plastik di Ayer keroh. Bayi perempuan yang masih bertali pusat itu dimasukkan dalam sebuah beg pakaian berwarna hitam sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

KELANTAN, MELAKA DAN KUALA LUMPUR [13 August 2010]
3 kes lagi pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam di kelantan , Melaka dan Kuala Lumpur .

PETALING JAYA 15 August 2010]
Meskipun kerajaan telah mengumumkan akan bertindak tegas terhadap pesalah kes buang bayi, ia masih gagal memberi kesedaran malah perbuatan itu berlaku lagi. Kali ini, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah beg sandang yang tersangkut di tebing Sungai Tambun, Kota Damansara di sini hari ini.

Insyaallah Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan satu Sidang Meja Bulat di Anjung Rahmat Gombak pada 22 hb August 2010 [jam 2 pm hingga 5.30 pm] bagi membincangkan isu Jenayah rogol, zina dan buang bayi serta jalan penyelesaiannya. Sidang meja bulat ini akan turut mengundang parti-parti politik, ngo-ngo dan tokoh-tokoh tertentu.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Mayat Bayi Ditemui Dalam Pembentung Najis Belakang Asrama di Jeli

JELI: Polis menemui mayat bayi perempuan dalam sebuah pembentung najis di belakang sebuah asrama kolej komuniti, Bukit Bunga, dekat sini Khamis. Mayat bayi yang sudah membengkak itu ditemui pada 5 petang dalam pembentung najis itu dengan keadaan tertiarap.

Jurucakap polis berkata mayat bayi itu ditemui oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ketika sedang bermain mercun bersama rakan sebayanya.

Sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi terbabit sejurus menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi perempuan terbabit.

"Mayat berkenaan dipercayai sudah berada di situ lebih 24 jam berdasarkan keadaan fizikalnya yang dikatakan sudah membengkak," katanya.

Anggota forensik polis mengeluarkan mayat berkenaan dari lubang pembetung itu kira-kira 7.50 malam sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
-Bernama-

Bayi berbalut akhbar ditinggal depan kedai

Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditinggalkan berbalut dengan kain dan surat khabar di hadapan sebuah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat di Nibong Tebal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata bayi yang masih bertali pusat itu ditemui pukul 7.56 pagi ketika pemilik kedai berkenaan hendak membuka kedainya.

"Bayi ini dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum dijumpai dan masih bertali pusat. Bagaimanapun keadaannya ketika itu agak lemah dan kebiruan kerana kesejukan," katanya kepada pemberita di Nibong Tebal.

Beliau berkata bayi seberat 2.58 kilogram itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap di Nibong Tebal untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini kita belum dapat kenal pasti keturunan bayi itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekat bagi membantu siasatan.

-Bernama-