"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya tak pernah jumpa pengarah pilihan raya bangang macam Tajuddin'

Ramieza Wahid

Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim membidas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Tajuddin Abdul Rahman yang menggelarkannya sebagai ‘bodoh’ kerana mengeluarkan kenyataan berhubung kerjasama Umno dan Bersatu.

Tajuddin mengulas kenyataan Shahidan baru-baru ini yang berkata, meskipun MT Umno telah membuat keputusan, namun yang menentukan sama ada sokongan kepada kerajaan PN ditarik balik ataupun tidak adalah ahli parlimen BN.

“Keputusan MT selama ini semua saya ikut, keputusan terbaru juga saya ikut kerana (putus hubungan dengan Bersatu) hanya akan dilaksanakan pada waktu menjelang pilihan raya umum (PRU).

“Cuma dalam perkataan saya sebut ‘kalau boleh’ (keputusan dibuat ahli parlimen). Tidak boleh tidak mengapalah. Putus, putuslah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Perhimpunan agung Umno (PAU) baru-baru ini bersetuju memberikan mandat kepada majlis tertinggi parti itu untuk menentukan bilakah tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan PN susulan keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Bagaimanapun, Shahidan membuat kenyataan yang disifatkan bercanggah dengan parti setelah menyatakan keputusan itu terletak di tangan wakil rakyat Umno.

Beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan pandangan ahli parlimen Arau itu, yang juga merupakan ahli majlis tertinggi Umno.

Mereka sebaliknya menuntut agar semua anggota parlimen daripada Umno menghormati keputusan majlis tertinggi.

Tajuddin semalam menggesa ahli-ahli parlimen Umno yang tidak setuju dengan keputusan parti agar membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama Umno atau sebaliknya.

Dia juga mempersoalkan kenyataan Shahidan yang digelarkannya sebagai "bodoh".

"Yalah, ahli-ahli parlimen tu dia orang apa partinya? Jadi ahli parti mana? Umno BN-lah. Apa bodoh sangat Shahidan tu?" katanya.

Sementara itu, Shahidan menyifatkan kenyataan Tajuddin itu sangat tidak wajar, dan membidas kembali dengan menggelar ahli parlimen Pasir Salak itu pula sebagai ‘bangang’.

“Jadi apa dia (Tajuddin) kata itu tak wajar sebagai pengarah pilihan raya sampai nak panggil saya bodoh. 

"Saya pun tak pernah jumpalah pengarah pilihan raya bangang macam Tajuddin," katanya.

Pas hipokrit, terima ahli umur 13 tahun tapi Undi 18 tahun tidak matang

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng membidas kenyataan Presiden Pas yang menganggap anak muda 18 tahun tidak matang mengundi sebaliknya kanak-kanak 13 tahun pula cukup matang untuk menjadi ahli Pas dan mengundi.

Bagi Guan Eng, apa yang lebih hipokrit apabila Pas menerima ahli seawal usia 13 tahun, yang boleh mengundi dalam mesyuarat parti Pas.

“Pusingan U oleh Abdul Hadi bukan sahaja menunjukkan pemikiran ekstrem beliau tetapi juga sikap tidak adil dan dua darjat, bahawa perkara ini dibenarkan untuk Pas tetapi tidak untuk orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Sedangkan, katanya, mengikut dasar Islam tidak timbul soal tidak matang untuk menurunkan usia pengundi menjadi 18.

Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang telah bertanya “Bagaimana Hadi boleh begitu jahil sehingga tidak mengetahui bahawa sekitar 90 peratus dari 57 negara dalam Organisasi Kerjasama Islam (OIC) mempunyai usia mengundi pada umur 18 tahun – termasuk Arab Saudi, Iran, Iraq, Turki, Jordan, Algeria, Libya dan Palestin?

Justeru, Guan Eng berkata Abdul Hadi sebagai duta khas Malaysia dengan status Menteri ke Timur Tengah, kejahilan Hadi mungkin adalah sebab mengapa dia gagal membawa pelaburan baru dari Timur Tengah ke Malaysia berbanding dengan kejayaan Indonesia, atau gagal untuk menentang dengan berani beberapa negara Arab yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Muhyiddin PM pemalas: Ia berasaskan pengalaman Ku Li, kata ahli MKT Umno

MALAYSIA DATELINE

Komen veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang yang ‘pemalas’ adalah berasaskan pengalaman beliau bekerja dengan perdana menteri itu dahulu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Muhyiddin adalah timbalan menteri kepada Ku Li ketika beliau adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kementerian yang dipegang oleh Datuk Sri Mohamed Azmin Ali sekarang.

“Komen Ku Li dalam “The Vibes” memang terbuka. Ia berasaskan pengalaman. Ku Li anggap Muhyiddin seorang “pemalas”.

“Menurut Ku Li lagi. Muhyiddin kekurangan inovasi dan idea. Itu pengalaman beliau ketika bersama Muhyiddin di MITI. Muhyiddin adalah timbalan beliau di MITI,” kata Puad, bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN dahulu.

Puad berharap, Muhyiddin akan memberikan jawapan balas terhadap komen Ku Li itu.

“Semoga ada jawapan balas daripada TS Muhyiddin terhadap komen Ku Li,” katanya.

Tetapi, kata Puad, rakyat memang musykil terhadap kemampuan dan kebolehan Muhyiddin.

“Apa hala tuju ekonomi negara di bawah Muhyiddin. Penjualan aset Khazanah yang untung diteruskan juga. Kenapa?” tanya beliau.

Beberapa hari lalu syarikat semikonduktur SilTerra milik Khazanah dijual 100 peratus kepada syarikat usahasama Malaysia-China (60-40).

Sebelum itu SilTerra memang rugi. Tetapi dalam tempoh tiga tahun dari 2015-2017 Kerajaan Najib menjadikannya kembali untung.

Setiap tahun keuntungannya ialah RM204 Juta, kata Puad.

SilTerra memberi fokus kepada teknologi sensor.

Walaupun industri semikonduktor sedang “booming” malang sekali Kerajaan PN tetap menjualnya, katanya.

“Sudah tentu syarikat DNeX yang untung. Sebelum pengumuman jualan, harga saham DNeX ialah 28 sen. Selepas pengumuman naik kepada 92 sen.

“Persoalannya kenapa Kerajaan PN jual 100%? Sebab itu komen Ku Li terhadap Muhyiddin menarik sekali,” kata beliau.

Kluster kabinet ada pakatan singkir Zahid?

M Fakhrull Halim

Kenyataan Annuar Musa di Facebooknya kelmarin berkenaan calon perdana menteri (PM) dan timbalan perdana meteri (TPM) daripada Umno menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15, mencetuskan pelbagai reaksi.

Paling memancing perhatian, gambar-gambar yang dikongsikan menteri Wilayah Persekutuan itu bersama beberapa tokoh Umno, yang hampir semuanya merupakan menteri dalam kabinet Perikatan Nasional (PN).

Tetapi, tiada gambar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mahupun timbalan presiden, Mohamad Hasan, sedangkan dua jawatan penting negara itu sebelum ini cukup sinonim dengan dua jawatan tertinggi di dalam parti berkenaan

Hantaran itu hadir di tengah suasana tegang antara dua puak di dalam Umno - kluster mahkamah dan kluster kabinet.

Ia menimbulkan tafsiran dan persoalan tersendiri.

Antaranya, ada yang mendakwa ia petanda bahawa ‘kluster kabinet’ - merujuk kepada pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kabinet PN - telah mengatur gerakan untuk menyingkirkan Ahmad Zahid dalam pemilihan Umno akan datang yang masih belum ada tarikh sebenar. 

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Awang Azman Awang Pawi, kemungkinan itu tidak boleh ditolak sepenuhnya, memandangkan memang ada gesaan yang datang daripada kumpulan berkenaan agar pemilihan Umno tidak ditangguhkan.

“Mereka tahu kelebihan yang mereka ada ialah mereka memegang jawatan kabinet yang banyak memberi mereka kelebihan daripada segi tawar-menawar dalam politik, jentera, dan mekanisme mendapatkan sokongan.

“Kita nampak kumpulan ini mungkin sudah merencanakan sesuatu dan memulakan politik berpuak dan boleh menyebabkan perpecahan dalaman parti,” katanya kepada Malaysiakini.

Kenapa tak turut gesa buka parlimen?

Sedangkan, katanya, individu yang sama berada di dalam kabinet itu tidak pula menggesa agar Parlimen kembali dibuka segera bagi membolehkan wakil rakyat bersidang.

Walhal, tambahnya, penyegeraan pemilihan Umno yang didesak oleh mereka itu akan melibatkan lebih ramai lagi orang - dengan jutaan ahli, ribuan cawangan dan ratusan bahagian.

“Ini menjadi satu tanda tanya dalam politik masa kini. Jadi, orang boleh nampak sebenarnya, apa sebenarnya berlaku dan bagaimana hantaran Facebook Annuar Musa itu timbul.

“Nampaknya ia mungkin sudah direncana secara teliti dan mempunyai motif tertentu, dan kian terserlah apabila diseru pula (agar) pemilihan diadakan,” katanya lagi.

Dalam hantaran berkenaan, ada gambar Annuar bersama Hishammuddin Hussein (menteri luar negeri), Ismail Sabri Yaakob (menteri pertahanan), Khairy Jamaluddin (menteri sains, teknologi dan inovasi), serta Shahidan Kassim (pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia - PR1MA).

Sekiranya benar bagai ditelah sesetengah pihak, kata Azman Awang, berkemungkinan Annuar dan Ismail merupakan calon yang akan ditampilkan untuk jawatan presiden, manakala Hishammuddin pula mungkin ditampilkan untuk jawatan timbalan presiden.

Khairy, Shahidan, dan Annuar antara yang menggesa pemilihan Umno diadakan seperti yang dijadualkan pada Jun ini, bersama beberapa individu lain seperti Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Ketua Penerangan Wanita Umno Norshida Ibrahim.

Jika 'kluster mahkamah' merujuk tokoh parti itu yang berdepan pertuduhan di mahkamah (termasuk Ahmad Zahid), 'kluster kabinet' pula merujuk tokoh Umno yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, atau diberikan jawatan tertentu dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Kluster itu turut dikaitkan dengan julukan lain seperti kluster menteri, kluster kuasa dan kluster broker, dan dilihat cenderung untuk mengekalkan hubungan kerjasama dengan PN menjelang PRU-15.

Sekadar luah ketidakgembiraan

Penganalisis politik Dr Rusdi Omar pula tidak melihat kemungkinan berkenaan, sebaiknya melihat hantaran Annuar itu hanyalah sebagai caranya meluahkan ketidakgembiraannya atas keputusan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

“Saya tak rasa mcm itu. Cuma mungkin Tan Sri Annuar Musa kurang gembira dan tak selesa dengan tindakan kepemimpinan utama Umno dalam membuat keputusan untuk tak bersama bersatu dalam menghadapi PRU-15 nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Bahkan, dia tidak melihat pemilihan Umno akan dilakukan dalam masa terdekat kerana ada ura-ura yang mengatakan Majlis Tertinggi (MT) Umno telah menetapkan untuk pemilihan ditangguhkan, seperti dakwaan Tajuddin Abdul Rahman yang dilaporkan beberapa media semalam.

Dalam PAU, Umno telah memuktamadkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan untuk keluar daripada kerajaan PN, tetapi menyerahkan kepada Ahmad Zahid untuk menentukan garis masanya.

Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun dengan kali terakhir Umno mengadakan pemilihan ialah pada 30 Jun 2018. Tempoh mandat kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.

Bagaimanapun, Perlembagaan Umno juga membenarkan MT untuk menangguhkan pemilihan bagi tempoh tidak lebih daripada 18 bulan daripada tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

Sebelum ini, desas-desus timbul bahawa Umno dijangka menangguhkan pemilihan partinya sebagai persediaan mengahadpi PRU-15 yang diramal sesetengah pihak akan berlaku selepas tamat darurat 1 Ogos nanti.

Usul itu dikatakan telah dibawa ke mesyuarat MT pada Februari lalu, namun, keputusan mengenainya dikatakan ditangguhkan sehingga selepas PAU 2020 yang telah melabuhkan tirai Ahad lalu.

Kalau ada pakatan, saya bagitahu

Shahidan ketika dihubungi turut menafikan dakwaan demikian.

“Tak tahu. Kami tak tahu pun. Kami tak pernah jumpa. Anggaplah gambar tu album Tan Sri Annuar Musa sahaja.

“Belum ada pakatan lagi. Kalau ada pakatan, saya bagitahu. Kalau saya ada pakatan, saya tidak pernah takut untuk menceritakan (hal) sebenarnya,” katanya.

Malah, dia turut membayangkan akan membuat pengumuman sedikit masa lagi mengenai pendirian politiknya.

“Dalam masa terdekat ini saya akan bagitahudi mana pendirian saya. Buat masa sekarang, saya bersama kepemimpinan MT (Umno) lah.

“Kadang-kadang saya macam dilupakan. Orang jumpa pun orang bubuh (hentam) saya, padahal saya pun ada jasa juga,” katanya lagi.

Prospek Ahmad Zahid dalam pemilihan

Bila-bila pun pemilihan Umno akan diadakan, Rusdi melihat Ahmad Zahid masih mempunyai sokongan kuat di akar umbi.

Bagaimanapun, dia berpandangan Ahmad Zahid harus mengambil pendekatan “berjiwa besar” dengan menyerahkan sementara jawatannya untuk dipangku timbalan presiden sementara menunggu kes perbicaraan mahkamahnya selesai.

Manakala Awang Azman pula melihat pemilihan yang akan datang ini akan menyaksikan persaingan sengit, antara kem presiden dengan kem kabinet yang mempunyai kelebihan kerana berada dalam kerajaan.

Katanya, gesaan segelintir pihak di dalam Umno agar pemilihan disegerakan adalah mungkin atas dasar bimbang bahawa mereka tidak akan lagi disenaraikan sebagai calon ahli parlimen, sekiranya pemilihan dibuat selepas PRU-15.

Ini memandangkan keputusan pencalonan itu terletak di tangan presiden, sedangkan ada pihak dalam kalangan kluster kabinet yang begitu lantang mengkritik Ahmad Zahid.

Namun, katanya, perwakilan di akar umbi akan menilai pemimpin mana yang setia di kala Umno kalah PRU-14 dahulu, dan pemimpin mana pula yang memperlekeh serta menjauhkan diri daripada parti dahulu.

Adun Teratai letak jawatan dalam DAP susulan dakwaan hubungan sulit

Malaysiakini 

Adun Teratai Bryan Lai telah meletakkan jawatan sebagai setiausaha penaja DAP Selangor di tengah-tengah dakwaan mempunyai hubungan sulit.

Buat masa ini jawatan itu dipangku oleh Adun Banting, Lau Weng San.

Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo memaklumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini selepas mendapat surat letak jawatan daripada Lai.

"Semalam, saya mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa eksekutif DAP Selangor dan kami memutuskan untuk menerima peletakan jawatannya," katanya.

Katanya lagi, Lai pada masa sama kekal sebagai ahli DAP dan Adun Teratai.

Gobind berkata, jawatankuasa eksekutif DAP akan menyerahkan isu tersebut kepada jawatankuasa disiplin parti untuk tindakan susulan.

Bagaimanapun dia tidak mendedahkan sebab peletakan jawatan Lai mahupun keperluan membawa isu itu kepada jawatankuasa disiplin.

Dalam pada itu, Bendahari DAP Selangor Ng Sze Han mengaitkan isu tersebut dengan spekulasi mutakhir berhubung dakwaan Lai mempunyai hubungan sulit.

Ng berkata, oleh itu jawatankuasa negeri menerima peletakan jawatan tersebut.

"Dalam suratnya, dia menyebut jika isu tersebut menimbulkan masalah kepada parti, dia sanggup memohon maaf kepada parti dan letak jawatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Lai mengesahkan peletakan jawatannya dan berkata dia sedang menunggu arahan lanjut daripada parti.

Ditanya berhubung kaitan peletakan jawatan dengan dakwaan terhadapnya, Lai hanya berkata dia tiada sebarang komen berkenaannya.

Jalan Semakin Cerah Buat PH

Teka-teki politik sudah berakhir. Kini realiti jelas yang muncul. Umno berkerat rotan; berpatah arang dengan Bersatu.PAS pula behenti bermain di dua kolam.

PAS tinggalkan kerjasama dengan UMNO.Pasangan barunya lebih bergetah iaitu Bersatu yang menjanjikan PAS dapat masuk PRU15 dalam kedudukannya di pihak kerajaan, bukan lagi pembangkang seperti selama ini.

Perpaduan Ummah dengan Umno telah PAS lupa sekarang. Muafakat Nasional gugur dalam kandungan.Kepentingan politik pilihanraya lebih mengiyurkan lagi berselera dari slogan muluk-muluk seperti demi bangsa dan demi agama.

Semasa PRU 14 dulu juga ada tiga gabungan, iaitu BN, PH dan GS (Gabungan Sejahtera – PAS, dan parti-parti kecil yang wujud di musim pilihanraya).

Jika keadaan kekal seperti sekarang, maka kemungkinan besar dalam PRU15 ada tiga gabungan politik juga yang akan berentap tiga penjuru,iaitu BN, PN dan PH.

BN (Umno, MCA dan MIC), PN (Perikatan Nasional terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan lain-lain) dan PH (Keadilan, DAP dan Amanah).

Parti-parti di luar BN, PN dan PH ialah Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Warisan, Muda, PSM (Parti Sosialis Malaysia) dan lain-lain.

Jika pertembungan tiga penjuru ini berlaku, yang mendapat faedah yang besar ialah Pakatan Harapan.

Mari kita analisa secara ringkas kekuatan dan kelemahan tiga gabungan ini: BN, PN dan PH

BN itu sebenarnya Umno. MCA dan MIC sekadar melukut di tepi gantang. “Masuk tak penuh. Keluar pun tak kurang.” Jadi kita analisa Umno sahaja.

Siapa tak tahu Umno yang terkait dengan skandal 1MDB ini punya wang yang banyak. Anggota Umno saja seramai 3.3 juta orang sekarang, sebesar Parti Komunis Indonesia pimpinan D.N.Aidit satu waktu dulu.

Umno ini mempunyai organisasi akar umbi yang luas dan tersusun serta bersatu. Yang berpecah ialah di peringkat pimpinannya. Ada Kluster Mahkamah yang imejnya pemimpinnya tercalar kerana sedang didakwa dengan berpuluh tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram.Pemimpin-pemimpin besar mereka itu dalam Kluster ini.

Ada pula kelompok yang dipanggil Kluster Menteri, yang lebih setia dan tunduk pada Perdana Menteri daripada Presiden Parti Umno sendiri.Umno telah isytiharkan dia akan bergerak solo dalam PRU15.

Mungkin parti Umno ini akan muncul sebagai hero atau mungkin juga kecundang Zero. Biarkalah “Si Luncai terjun dengan labu-labunya…”

Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan Darurat untuk terus berkuasa, adalah satu perikatan yang tebal muka dan tak tahu malu. Dia tak kisah orang kata Kerajaan PN ini tak ada keabsahan, tak ada majoriti di Parlimen, Apa dia pedulu?

Proklamasi Darurat memberi PN lesen untuk berkuasa. Pergi jahanam apa itu demokrasi, “check and balance”; pergi jahanam apa itu pengasingan kuasa dan kebebasan parlimen, kedaulatan undang-undang ataupun keluhuran Perlembagaan.

Yang penting dia ada Ordinan Darurat dengan kuasa-kuasa perlu yang didikri satu persatu.

Kerajaan PN yang berperangai sedemikian akan menghadapi rakyat dalam PRU15 nanti. Menarik untuk melihat apa sikap dan pendirian para pengundi nanti terhadap Kerajaan PN yang berani buka pasar malam, berani buka panggung wayang, berani buka sekolah tetapi tidak berani buka Parlimen.

Tetapi siapa boleh menafikan PN mempunyai jentera kerajaan apabila dia mengadakan PRU15 nanti. Muhyiddin Yassin yang menjadi Pengarah Pilihanraya BN di bawah PM Najib Razak dalam PRU13 amat faham apa ertinya jentera kerajaan untuk membantu parti politik dalam pilihanraya.

Tetapi Perdana Menteri kelapan itu amat faham bahawa kerajaan PN mempunyai kepimpinan yang amat lemah. Selain daripada Muhyiddin siapa lagi para general PN yang berwibawa?

Muhyiddin dikelilingi oleh para pemimpin melompat daripada Umno dan Keadilan. 13 juara melompat dari Umno dan 15 juara melompat dari Keadilan.

Mereka ini digelar pengkhianat oleh orang-orang Umno dan Keadilan. Dalam hal episod lompat si katak lompat ini, nasib Umno dan Keadilan tak banyak berbeza.

Persoalannya, adakah rakyat akan sokong PN yang terdiri daripada Bersatu dan PAS yang berpasangan semata-mata untuk faedah menjaga kepentingan politik masing-masing untuk terus hidup dan berkuasa?

Adakah PN ini ada Prinsip Asas Bersama atau “common flatform” atau “common philosophy” atau “Ideology yang sama”?

Mungkin ada.Pemimpin Bersatu dan PAS akan menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah bersandarkan kepada “perpaduan Melayu” atau “Malay Unity”.

Satu soalan boleh ditanya kepada Bersatu dan PAS, iaitu adakah mungkin slogan “perpaduan Melayu” itu memberi sebarang makna tanpa ada Umno bersama?

Kita telah lihat serba kekurangan dan kelemahan Umno dan PN seperti dijelaskan di atas. Jadi PH perlu atur baik-baik strateginya untuk menghadapi PRU15.

PH sekarang terdiri hanya tiga parti iaitu Keadilan, DAP dan Amanah. Cukup dengan tiga parti itu. Jangan tambah-tambah, dan jangan kurang-kurang.

Mahathir Mohamad dan Pejuang tidak dalam PH. Itu bagus dan tepat. Yang sudah-sudahlah. Tanpa Mahathir, PH mempunyai peluang yang lebih baik menghadapi PRU15 nanti.

Tetapi ada faktor yang penting yang akan menetukan sebelum dan selepas PRU15 nanti. Iaitu faktor kekuatan-kekuatan politik dari Malaysia Timur, Sarawak dan Sabah. Ini perlu diberi perhatian serius dan bijaksana oleh PH.

Siapa yang hendak jadi kerajaan dan hendak berkuasa di Putrajaya pada PRU15 nanti, maka mestilah mendapat sokongan dari Parti GPS Sarawak (Gabungan Parti-Parti Sarawak) dan juga parti Warisan dari Sabah.

Yang jelas gabungan Bersatu dan PAS dalam PN di peringkat pusat dan nasional besar kemungkinan sukar diterima oleh rakyat Sarawak dan Sabah.

Maka inilah masanya PH perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang akan turun mengundi dalam PRU 15 nanti.

Pertama PH jelas mempunyai falsafah perjuangan yang sama iaitu agenda Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang agama yang boleh diterima di Semenanjung dan di Malaysia Timur.

Malaysia yang adil untuk semua, merapatkan jurang kaya miskin antara kaum, dan antara wilayah.PH yang akan mengemukakan manifesto pilihanraya yang lebih realisik, pragmatik, dan mudah dihadam oleh rakyat dengan keutamaan diberi kepada isu ekonomi untuk menjana pertumbuhan, gaji pekerja yang lebih adil dan peluang pekerjaan baru untuk generasi muda dan yang menganggur.

Di samping itu agenda reform terhadap usaha memperbaiki institusi-institusi penting negara tidak dilupai iaitu seperti kebebasan parlimen, kebebasan Kehakiman, SPR yang adil dan bersih, SPRM dan PDRM yang profesional serta berintegriti.

Dengan keyakinan bahawa PH mempunyai masa yang cerah dengan perkembangan politik yang berlaku kini, maka PH mesti kekal bersatu padu dan fokus dalam usaha menghadapi PRU15 yang semakin ketara dekat waktunya.

Segala “duri dalam daging” perlu dicabut. PH yang mempunyai kepimpinan yang kuat dan teruji; PH yang mempunyai pengalaman memerintah walaupun sekadar 20 bulan, yang dapat mengenal kelemahan dan kekuatannya semasa menjadi kerajaan dulu;

PH yang berbilang kaum dan berbilang agama; PH yang muncul dengan agenda reformasi dan bersikap sederhana serta bijaksana adalah resepi untuk kejayaan dalam PRU15 nanti.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

1 April 2021 (Khamis)

Hadi tuntut Zahid tunai janji terima PPBM dalam Muafakat

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menuntut PPBM tetap dijadikan ahli komponen Muafakat Nasional, di sebalik penegasan Umno mahu menamatkan kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin.

Beliau juga menekankan bahawa Perikatan Nasional yang ditunjangi PPBM adalah sebuah gagasan berdaftar, sekali gus membayangkan kerjasama semua kumpulan Melayu-Islam harus diasaskan menerusi gabungan itu.

Pada sidang media di Marang, Hadi merujuk kepada perjanjian yang dimeterai Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengenai penglibatan PPBM dalam Muafakat Nasional.

“Kita sudah bersetuju (dan) sudah tandatangani. Saya tandatangan, Zahid tandatangan, undang Muhyiddin (ke) dalam MN. Itu perlu dilaksanakan. Saya boleh tunjuk surat,” katanya.

Ditanya adakah kerjasama dengan Umno diteruskan, susulan kenyataannya pagi tadi yang mengajak semua kumpulan Melayu-Islam menyertai PN, Hadi menegaskan apa sahaja nama kerjasama itu “tak penting”.

“Yang penting kerjasama. Sekarang ini PN sudah didaftarkan,” katanya.

Diminta wartawan menjelaskan status hubungan PAS dengan Umno, Hadi hanya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan bersama Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin, kelmarin.

Kenyataan itu menggariskan komitmen dua parti berkenaan untuk mengukuhkan kerjasama menghadapi PRU15, termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa pusat bagi menangani soal pengagihan kerusi. 

Kenyataan dua parti itu setelah Perhimpunan Agung Umno meluluskan usul menamatkan kerjasama dengan PPBM, dan menarik keluar daripada kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

Didesak wartawan untuk memberi pendirian jelas berhubung kerjasama dengan Umno, Hadi berkata: “Kita sudah kerjasama. Orang yang tak kerjasama biarlah masyarakat tengok siapa yang kerjasama dan siapa yang tidak bekerjasama.”

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan tidak perlu mana-mana pihak mempertikaikan keikhlasan PAS dalam soal kerjasama.

“Kita sudah buat sebaik-baiknya. Kita ada banyak pengalaman. Kita pernah kerjasama dengan semua. Bacalah sejarah siapa kerjasama dengan kita, siapa yang tak nak kerjasama, sama ada sudah mati ataupun berkecai, terkulai tak perlu saya sebut nama,” katanya.

Ahad lalu, semasa merasmikan PAU, Zahid dan pemimpin Umno lain dilihat menggesa PAS untuk memilih sama ada mahu bersama Umno atau PPBM sebagai sekutunya pada PRU nanti.

PAS bidas Umno kerana menyimpang dari Muafakat Nasional

Malaysiakini 

PAS menolak mufakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional (MN) yang asal, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.

Ini susulan tekanan daripada Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya mahu memfokus ke arah MN.

“PAS menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.

“PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.

“Selain itu juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun tidak menyebut Umno secara khusus, kenyataan Abdul Hadi itu dilihat merujuk kepada kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa PAS untuk menghormati piagam MN.

Semalam, Zahid membuat kenyataan tersirat, dipercayai merujuk kepada PAS supaya tidak mengulangi kegagalan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Semangat 46 dengan memilih sekutu yang salah dalam pilihan raya kelak.

Hal ini selepas Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

PAS bagaimanapun memutuskan untuk kekal bersama PN menjelang PRU.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat lebih lantang menyuarakan pandangannya.

Tuan Ibrahim berkata, mereka telah sepakat membentuk kerajaan PN bersama-sama, dan persoalan tentang lompat parti tidak timbul saat itu kerana semuanya 'gembira' atas kerjasama tersebut.

“Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan MN waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama.

“Hebatkah kita kerana merasai kita kuat dengan ahli berjuta, lalu kita rasa dahulu sama dengan sekarang.

“Apakah dua parti lebih baik dari tiga kerana mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding, lalu kita berangan-angan akan pasti menang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga merujuk kepada keengganan Umno memberi laluan kepada Bersatu berhubung isu pengagihan kerusi dan rancangan untuk bertanding di semua kerusi parti itu.

Tambahnya, PAS masih berpendirian bahawa kerjasama antara tiga parti Melayu itu adalah jalan yang terbaik.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa Umno dan PAS telah bersetuju untuk menjemput Bersatu menyertai MN.

“Sayangnya surat persetujuan (Bersatu) itu tidak disambut sehingga kini.

“Ia terjadi kerana Umno kecewa bila PN didaftarkan sebagai gabungan parti. Ia dilihat penting bagi kerajaan PN kerana ada parti yang mendukung kerajaan,” katanya.

Untuk rekod, ketika PAS dan Umno bersetuju mengukuhkan MN, ia dipersetujui dan ditandatangan oleh hanya kedua-dua parti itu tanpa melibatkan Bersatu.

“Ramuan untuk kerajaan negeri Kelantan bertukar hampir sempurna”

AFIF BASHARUDIN

Ramuan untuk menukar kerajaan yang ada di Kelantan hampir sempurna sebagaimana rakyat menukar kerajaan negeri pada pilihan raya umum tahun 1990 dahulu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Ustaz Muhammad Husain.

Katanya, kemarahan rakyat terhadap sikap angkuh, sombong dan kegagalan Pas dalam mentadbir kerajaan Negeri Kelantan kini, lebih kurang sama dengan situasi yang berlaku pada 1990 yang lalu.

Muhammad bergambar dengan Ketua Pemuda AMANAH Kelantan serta jawatankuasa pembentukan Pemuda AMANAH Pasir Puteh malam tadi.

Ketika tahun 1990 dahulu, berlaku perpecahan besar di kalangan Umno yang sedang memerintah Kerajaan Kelantan, ditambah dengan kegagalan pengurusan yang banyak mengabaikan kebajikan rakyat.

Akibatnya rakyat begitu marah kepada kerajaan negeri sehingga mereka menukar kerajaan Umno ketika itu kepada Angkatan Perpaduan Ummah, kata Pengerusi AMANAH Kelantan itu ketika mengimbau situasi sebelum PRU 1990.

“Kini, takdir dan sejarah bagaikan berulang kembali, gelombang kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Pas Kelantan semakin membesar, akibat sikap sombong dan angkuh yang ditunjuk oleh Pas, selain dari gagal menjalankan urustadbir kerajaan negeri yang baik,” kata Muhammad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Penajaan Pemuda AMANAH Kawasan Pasir Puteh malam tadi di hadapan kira-kira 50 pemuda yang hadir.

Beliau yakin dengan perpecahan yang berlaku di antara Pas dan Umno di dalam Muafakat Nasional, ditambah dengan sikap Pas yang kini dilihat mengkhianati perjanjian bersama Umno dalam MN, kerajaan negeri yang ada boleh tumbang.

Katanya, kesungguhan Pas mempertahankan Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) yang merupakan musuh utama Umno, menjadi faktor pemangkin kepada penolakan rakyat terhadap Pas di Kelantan.

“Umno kini sama taraf dengan AMANAH dan Pakatan Harapan di Kelantan sebagai pembangkang.

“Bezanya kini AMANAH dan PH lebih jelas menentang kegagalan urustadbir Pas memerintah Kelantan, manakala Umno setakat ini belum ada kata putus berhubung dengan status kerjasama mereka bersama Pas,” kata beliau.

Sekarang ini, katanya, majoriti rakyat di Kelantan mula berani meluahkan kemarahan dan kebencian kepada kegagalan urustadbir Pas dalam menyelesaikan masalah bekalan air, masalah penyelenggaraaan jalan dan longkang dan perkhidmatan kerajaan tempatan.

“Ia ditambah dengan ketidakcaknaan Kerajaan Pas Kelantan kepada kebajikan rakyat yang semakin terabai.

“Dalam masa yang sama boleh pula beli kereta mewah jenama Mercedes yang baharu dan menaikkan pula gaji para Exco dan Adun mereka,” kata beliau.

Dalam majlis itu, beliau sekali lagi mengulangi kesediaan AMANAH untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama mahu memberikan pentadbiran dan kerajaan yang lebih baik untuk rakyat Kelantan.

“Kita dalam PH sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong prinsip PH dalam menewaskan Pas seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik di Kelantan pada PRU 15 akan datang,” katanya.

Zahid sindir Pas, ungkit nasib APU dan Semangat 46

ARIF ATAN

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini membangkitkan kembali nasib Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 ketika mengingatkan rakan politiknya.

Tanpa menyebutkan nama Pas, Presiden Umno itu berkata, pembentukan gagasan Muafakat Nasional (MN) bukannya mudah.

“Justeru, saya berharap rakan politik Umno dalam Muafakat Nasional berfikirlah sejelas-jelasnya mengenai kepentingan untuk mempertahankan gagasan Muafakat Nasional yang asli.

“Belajarlah daripada kisah Angkatan Perpaduan Ummah dan Semangat 46 dahulu yang semuanya gagal kerana gabungan politik dibentuk tidak jujur dan ‘genuine’,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Untuk rekod, APU yang bubar secara rasmi selepas Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) disertai Pas, parti serpihan Umno Semangat 46, Berjasa, Hamim dan Kongres Muslim India Malaysia (Kimma).

Dalam catatan sama, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pelbagai kejayaan dilakar bersama Pas dan Umno sejak Piagam MN dimeterai pada 14 September 2019.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan tentang “Muafakat Nasional yang sebenar” yang telah mendapat keyakinan rakyat tetapi kini sudah berubah hati.

“Mereka (rakyat) percaya kepada Muafakat Nasional yang itu, bukan yang ini.

“Kerana sinergi yang terbentuk antara Umno dan rakan partinya dalam sebuah gabungan penuh tulus ikhlas,” katanya lagi.

Beliau turut menyertakan pautan laporan berita bertarikh 5 April 2019 yang memetik Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kemungkinan muafakat Pas dan Umno boleh memenangi 132 kerusi Parlimen.

Kenyataan terbaharu Zahid itu dilihat susulan sikap Pas yang masih terus “bermain dua kolam” dengan pendirian terus mengekalkan hubungan dengan Bersatu dan Umno.

Pas diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai gabungan politik Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu iaitu musuh Umno.

Dalam masa yang sama, Pas dengan tiga pemimpinnya sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin masih mengekalkan hubungan dengan MN.

Walhal, Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini telah memuktamadkan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Bersatu dan PN sebaik PRU15 bermula.

Namun, pemimpin Pas dilihat terus mengambil sikap untuk bekerjasama dengan Umno dan Bersatu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, partinya bersikap untuk berdamai dengan Umno dan Bersatu walaupun kedua-dua parti itu tidak saling bekerjasama pada PRU15.

“Kita ikut pendirian yang ditetapkan presiden, kita tetap lakukan usaha damai sebab berdamai sangat penting untuk kebaikan ummah dan perpaduan,” kata Pesuruhjaya Pas Kelantan tersebut hari ini.

Pencuri terlena di rumah mangsa (Gambar)

Agensi

ATHIT tertidur kerana keletihan selepas memecah masuk rumah seorang individu di wilayah Phetcabun, Thailand. FOTO FB

ATHIT tertidur kerana keletihan selepas memecah masuk rumah seorang individu di wilayah Phetcabun, Thailand. FOTO FB

Bangkok: Disebabkan terlalu letih, seorang perompak lelaki terlena di bilik tidur pemilik rumah yang dicerobohnya di wilayah Phetcabun, Thailand.

Akibatnya, suspek dikenali Athit Kin Khunthud itu bukan hanya gagal untuk melarikan barang, malah ditahan dengan mudah oleh pihak polis.

India Times melaporkan insiden itu berlaku pada 22 Mac lalu ketika Athit memecah masuk rumah seorang individu dengan niat untuk mencuri barangan berharga.

Namun, Athit tertidur kerana kepenatan hingga tidak sedar apa yang berlaku selepas itu.

Menyedari perompak di dalam bilik tidur, pemilik rumah berkenaan terus menghubungi pihak polis untuk membuat tangkapan.

Sementara menunggu polis tiba, pemilik berkenaan terus membiarkan Athit tidur di biliknya.

Tidak lama selepas itu, pegawai polis, Jiam Wichian tiba dan terus menjerit nama Athit dengan kuat bagi mengejutkannya daripada tidur.

Jeritan itu membuatkan Athit tersedar dan terjaga dalam keadaan terpinga-pinga.

Lebih melucukan apabila Athit sendiri seakan bingung sebab dirinya ditahan oleh pihak polis.

Difahamkan, sebelum kejadian, Athit berlegar-legar di sekitar kawasan perumahan berkenaan sebelum memecah masuk rumah terbabit.

-hmetro online 

‘Adham ni tinggal di kayangan kot’

'Adham ni tinggal di kayangan kot’ – Menteri dikritik dakwa tiada yang mohon kurangkan kompaun

SITI NUR ZAWANI MISCON

Orang ramai mengkritik kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang menyatakan masih tiada individu yang memohon pengurangan kompaun RM10,000 sejak ia dikuatkuasakan pada 11 Mac lalu.

Di Twitter, warganet meminta Adham untuk sedar diri dan lihat di dunia nyata.

Mereka beranggapan Menteri PN itu sedang berada di kayangan kerana tidak tahu bagaimana kesusahan lebih 1,000 rakyat Malaysia yang bertungkus lumus untuk merayu pengurangan kompaun.

Tidak ketinggalan, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii juga mendakwa beliau sendiri telah membantu berpuluh individu di kawasannya untuk membuat rayuan di Pejabat Kesihatan.

“Adham Baba ni tinggal di alam semesta mana?” soal pengguna Twitter.

“Menteri tinggal di kayangan kot,” ciap Kelvin.

Pada masa sama, Kelvin juga menyarankan Adham meletakkan jawatan selepas satu per satu masalah yang ditimbulkan menteri itu.

Sementara itu di Facebook, beberapa pengguna menyuarakan ketidakpuasan hati mengapa sehingga hari ini masih tiada menteri yang dikenakan kompaun RM10,000.

Ada juga di antara mereka yang berkata mahu menunggu pilihanraya dan melihat siapa yang akan membuat rayuan untuk meminta sokongan rakyat.

“Jangan risau nanti dekat PRU saman akan dimansuhkan,” kata pengguna Facebook.

Pada semalam, Adham mendakwa lebih 1,000 individu yang dikenakan kompaun RM10,000 masih belum tampil mengemukakan rayuan pengurangan sejak Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan. 

Zahid seperti “harimau tak bertaring”

Umno dulu disegani, sekarang jadi bahan jenaka, kata Zaid

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Umno yang dahulunya disegani kini menjadi bahan jenaka selepas para menteri parti itu enggan melepaskan jawatan dalam Jemaah Menteri Perikatan Nasional, kata Zaid Ibrahim.

Bekas menteri undang-undang itu berkata keputusan mereka untuk kekal dalam kerajaan tidak mahu akal ketika pendirian parti mereka dalam perkara tertentu ketara bertentangan dengan pendirian pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Zaid menjelaskan menteri berkenaan tidak boleh kekal dalam Umno dan dalam masa sama bersetuju dengan penggantungan Parlimen dan ordinan darurat baharu yang membolehkan Putrajaya meluluskan belanjawan tambahan dan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa perlu melepasi Parlimen.

Pemimpin Umno berulang kali menggesa Parlimen bersidang semasa darurat, sementara bekas perdana menteri Najib Razak mengkritik ordinan baharu itu.

“Menteri kata tidak mahu lepas jawatan kerana mahu berkhidmat kepada rakyat. Jadi, janganlah bersama Umno, sertai PPBM,” kata Zaid kepada FMT.

“Pendirian parti jelas – samada ada letak jawatan atau sertai perdana menteri. Inilah sebabnya kenapa politik kita begitu serabut kerana parti menghantar isyarat berbeza-beza.”

Beliau setuju dengan pandangan Ahli Parlimen Nazri Aziz dan mendesak Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan menteri Umno segera keluar dari Jemaah Menteri.

Semalam, Nazri mengecam Zahid kerana kurang sifat kepemimpinan dan menampakkan parti itu seperti “harimau tak bertaring” selepas “mengaum” di Perhimpunan Agung Umno (PAU2020) minggu lepas.

“Jelas mereka patut letak jawatan tetapi presiden tidak ada kepemimpinan untuk mengarahkan mereka berbuat demikian. Adakah beliau bimbang mereka tidak mahu dengar arahan beliau?”

Terdapat seruan supaya menteri Umno keluar dari Jemaah Menteri susulan perhimpunan parti itu, walaupun ia belum memutuskan bila parti itu akan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan semua menteri Umno akan kekal berada di Jemaah Menteri selepas menasihati mereka untuk berbuat demikian demi kepentingan rakyat dan negara.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican menyokong keputusan itu, mendakwa peletakan jawatan dari Jemaah Menteri akan mencemarkan nama dan imej Umno.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba juga berkata mereka tidak akan meletakkkan jawatan segera berikutan mereka memikul tanggungjawab berat untuk membantu kerajaan PN menangani wabak Covid-19 dan ekonomi negara.

Ketika rakyat susah mahu makan, Kedah lancar litar lumba RM1.3 bilion

BORHAN AHMAD

Ketika rakyat susah untuk makan ekoran wabak Covid-19, langkah kerajaan Kedah pimpinan Pas memberikan keutamaan kepada pembinaan litar lumba berharga RM1.3 juta di Bukit Malut, Langkawi dikesali.

Ini kerana, bantuan dari kerajaan sangat diperlukan sekarang untuk membolehkan pelbagai pihak menghadapi pandemik ini dan bukan litar lumba itu yang diperlukan sekarang.

Projek ini pula dengan bangganya disiarkan oleh Harakahdaily (gambar atas), lidah rasmi Pas tanpa mengira perasaan rakyat negeri Kedah yang memerlukan bantuan bagi melepasi bebanan akibat wabak ini.

Semalam Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menandatangani perjanjian usahasama projek litar lumba dan Resort Bersepadu Open Road, Langkawi, projek yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi itu.

“Pelaburannya berjumlah RM1.3 bilion dan jangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Kerajaan negeri akan memberi sepenuh kerjasama sama ada melibatkan agensi tertentu, Majlis Bandaraya Langkawi dan Pejabat Daerah agar ia siap mengikut jadual,” ujar beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman.

Menurutnya juga proses persetujuan dan perjanjian antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Open Road Asia Sdn Bhd hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja.

Projek Open Road International Circuit dan Integrated Resorts dibangun di kawasan seluas 183 ekar tidak melibatkan penempatan Melayu Islam Kedah (MIK) di Bukit Malut.

Sebaliknya ia dibangunkan di tanah mengadap laut di kawasan terbabit. Projek merangkumi sukan permotoran dan resort bersepadu yang akan mengandungi kediaman mewah dan outlet penjualan barangan mewah.

Selain itu hotel bertaraf lima bintang, pusat pengedaran kereta 4-S, gudang penyimpanan kereta untuk 990 unit, stesen minyak dan pelbagai lagi tarikan pelancong termasuk restoren kelas dunia.

“Projek terbabit akan memberi manfaat kepada Langkawi dan penduduknya serta menjadi tarikan baru sektor pelancongan selain tarikan sedia ada,” kata Sanusi.

Ketika berucap sebelum itu Sanusi mengaku komponen yang dibuat dalam projek itu adalah mewah.

Litar lumba sepanjang 5.8 kilometer dilengkapi litar lurus terpanjang, anjakan selekoh serta hairpin turun bukit yang menyerupai litar Nurburgring, Jerman.

PINDAH PENDUDUK BUKIT MALUT

Sanusi juga berkata, kerajaan negeri bersetuju dua lokasi yang dikenal pasti pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk dijadikan penempatan baharu penduduk Bukit Malut itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penduduk Melayu Islam Kedah (MIK) di lokasi itu perlu dipindahkan segera berikutan kawasan berhampirannya akan dibangunkan projek litar lumba antarabangsa dalam tempoh terdekat.

Katanya, sama ada penduduk berkenaan bersetuju atau tidak mereka tetap akan dipindahkan.

“Mahu tak mau mereka kena pindah. Tetapi rumah itu mereka kena beli macam orang lain juga,” katanya pada sidang media di Wisma Darulaman hari ini.

PENDUDUK BUKIT MALUT BUKAN ROHINGYA

Tun Dr Mahathir bertemu dengan penduduk Bukit Malut. Gambar FB Tun Mahathir.

Dua hari lepas, ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, penduduk di kawasan penempatan Bukit Malut, Langkawi bukanlah warga Rohingya.

Sebaliknya beliau berkata, mereka adalah penduduk asal negeri Kedah yang merantau ke Thailand dan Myanmar kemudian kembali semula ke Langkawi.

“Orang Bukit Malut ini bukan orang Rohingya, mereka ini orang Melayu yang berhijrah ke Thailand dan Myanmar dan balik semula ke sini, mereka fasih berbahasa Melayu.

“Masyarakat yang tinggal di sini ialah orang Kedah yang merantau keluar dan balik semula dan buka penempatan di sini.

“Asalnya tidak ramai tapi setelah beranak pinak jadi bertambah. Bertambah bukanlah orang baharu tetapi orang asal sini,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya pada Selasa lepas.

Ketua Umno Pasir Puteh paling jantan, letak jawatan GLC

MALAYSIA DATELINE

Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman, menjadi pemimpin Umno pertama yang meletakkan jawatan dari syarikat milik kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas partinya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Beliau mengumumkan meletak jawatan serta-merta sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dalam satu majlis malam tadi di Pasir Puteh (Gambar atas – Astro Awani).

Zawawi yang juga Adun Semerak, membuat pengumuman itu dalam Majlis Penerangan Isu Semasa di Dewan Kompleks Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh malam tadi, lapor Astro Awani.

Bagaimanapun, beliau belum menghantar surat peletakan jawatan dan akan melakukannya dalam masa terdekat.

“Surat rasmi peletakan jawatan akan diuruskan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, peletakan jawatannya itu sebagai menyahut seruan dan amanat pemimpin Umno yang membuat keputusan untuk tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, beliau menyeru pemimpin Umno yang lain supaya melepaskan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kepentingan lain selaras dengan usul yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020).

Zawawi dilantik sebagai Pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd, pada 26 Oktober tahun lepas.

Pas kini parti nasionalis, bukan lagi ‘Pas for all’

MOHD ALI HASHIM

Pas kini dilihat cenderung sebagai sebuah parti nasionalis dan bukan lagi parti yang mengamalkan politik Islam yang menitikberatkan keadilan untuk semua sebagaimana yang pernah mereka canang-canangkan sebelum in ‘Pas for all’.

Malah dalam isu persempadanan semula kawasan pilihanraya pun Pas secara terbuka mengaku akan mempraktikkan ‘Gerrymandering’ yang telah dianggap sebagai korupsi kepada proses demokrasi (Gerrymandering is almost always considered a corruption of the democratic process).

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, tindakan tersebut merupakan satu tindakan politik dimana matlamat menghalalkan cara dan tujuan ‘Gerrymandering’ sebetulnya adalah untuk memberi kelebihan kepada parti tertentu khususnya pemerintah dengan cara memanipulasi sempadan kawasan pilihanraya terutamanya dalam sistem pilihanraya ‘first past the post’ seperti di Malaysia.

“Kritikan utama atau kelemahan ketara sistem pilihanraya ‘first past the post’ adalah kesan undi yang tidak bermakna atau juga dikenali sebagai ‘wasted vote effect’ apabila ia memberi kelebihan sangat besar kepada parti pemerintah.

” Bagi ‘Gerrymandering’ sepertimana yang diidamkan oleh Pas, kawasan ini dibahagikan kepada empat kawasan bukan berbentuk empat segi empat yang sama, tetapi macam-macam bentuk yang mengumpul, memindah, mengeksploitasi pengundi yang akan memberi kelebihan kepada parti pemerintah. 

“Sementara itu bagi sistem ‘first past the post’, kelebihan satu undi pun dikira menang. Yang pentingnya ialah kemenangan dan bukannya jumlah majoriti berpuluh ribu yang dimenangi dan itulah yang dimaksudkan dengan ‘wasted vote effect,” ujar beliau.

Justeru itu cambah Dr Zaidi, ia tidak memberi apa jua makna walaupun menang majoriti yang sangat besar berpuluh ribu undi tetapi hakikatnya tetap kalah.

Ia juga berkata, tindakan angkuh Pas secara terbuka mengakui akan lakukan ‘Gerrymandering’ dengan tujuan untuk meningkatkan kawasan majoriti Melayu-Muslim sekiranya menang dua pertiga kerusi Parlimen merupakan pengakuan ‘menodai proses demokrasi yang adil’ menurut amalan matlamat mengamalkan cara.

Tegas beliau, sudah tentu ‘selimut Islam’ akan digunakan sebagai hujah bagi merealisasikan impian tersebut agar ia menjadi realiti menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

'Gerak ke depan' fokus PRU15, bukan lagi jumlah MP - Anwar

Kow Gah Chie

Pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim nampaknya kini menumpukan terhadap pilihan raya umum akan datang berbanding rancangan mengambil alih pentadbiran negara dengan sokongan ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Dia menyampaikan pesanan berkenaan ketika sidang media bersama veteran DAP Lim Kit Siang di Kuala Lumpur petang ini.

"Kita harus menumpu perhatian terus ke hadapan, mempersiapkan jentera kita untuk membawa idea-idea benas ke tengah rakyat, dan medan pertempuran di kalangan rakyat itu adalah medan PRU.

"Dan inilah yang menjadi, bagi kita fokus PH," katanya.

"Tapi saya rasa kita munfaatkan untuk melihat ke depan, dan ke depan itu ialah untuk menjadikan idealisme ini, kukuh dan mantap untuk kita menterjemahkan dalam bentuk undi rakyat pada PRU akan datang," jelas Anwar.

Sejak September tahun lalu, presiden PKR mendakwa memiliki nombor ahli parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Kerjasama PAS-Umno tergugat? Parti Islam perkukuh kerjasama dengan PPBM, tolak cubaan bentuk kerajaan baharu dengan PH

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dalam apa yang dilihat petanda paling jelas kecenderungan PAS terhadap PPBM, kedua-dua parti itu mengumumkan mereka akan mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi PRU15 dan menolak sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu yang melibatkan Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti itu turut bersetuju menubuhkan mekanisme peringkat pusat bagi memutuskan pengagihan kerusi untuk PRU.

Kenyataan PAS-PPBM itu menyusul mesyuarat presiden PAS Abdul Hadi Awang dan presiden PPBM Muhyiddin Yassin semalam, ekoran perhimpunan agung Umno hujung minggu lalu.

PAU 2020 menetapkan Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15, malah beberapa pemimpin kanan parti itu turut menggesa PAS memilih antara Umno atau PPBM sebagai sekutunya untuk bertanding pada PRU.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan bersendirian dengan Barisan Nasional untuk bertanding pada PRU15 dan mahu menentukan “parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita.”

Dalam kenyataan bersama, PAS dan PPBM tidak menyebut Umno, namun menegaskan, mereka menolak sebarang bentuk “penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama yang melibatkan PH dan sekutunya.”

PAS menjalin kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional manakala parti Islam itu menjadi sekutu PPBM menerusi Perikatan Nasional.

Walaupun Zahid berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan DAP dan presiden PKR Anwar Ibrahim, ura-ura kemungkinan berlaku kerjasama sedemikian selepas PRU-15 bertebaran.

Dalam kenyataan itu, PAS dan PPBM menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu selepas PRU15.

PAS dan PPBM juga menempelak sebagai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

“PPBM dan PAS …. menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional yang dibina secara bersama,” kata kenyataan itu.

Zahid sebelum ini berkata, apabila tiba masanya, pemimpin Umno yang menganggotai kabinet Muhyiddin dan memegang jawatan kanan lain dalam pentadbiran beliau, akan diminta meletak jawatan.

Beberapa ahli Parlimen Umno sebelum ini menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin yang dilihat ketika itu sebagai menghakis keabsahan beliau sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan itu, PAS dan PPBM mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi “merangka strategi dan hala tuju Parti khusus bagi menghadapi PRU15, termasuk rundingan pengagihan kerusi.”

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen,” kata kenyataan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan rakan sejawat PPBM Hamzah Zainudin.

Pas perlu bersedia duduk bawah ‘tapak kaki’ Umno

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pas perlu bersedia duduk di bawah ‘tapak kaki’ Umno jika mereka masih memikirkan untuk bekerjasama dengan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, Pas ketika ini hanya diperalatkan Umno untuk memecahkan undi Pakatan Harapan (PH) demi untuk mencapai matlamat Umno sebagai parti dominan. 

Namun katanya, Pas juga pastinya tidak akan membuat apa-apa pendirian sama ada mahu menyokong Umno atau Bersatu kerana mahu menjaga kedudukan dalam kerajaan.

“Tapi apa yang merisaukan bagi Pas ialah soal PRU-15 sama ada mahu dengan Umno atau Bersatu. Bersatu mengharapkan Pas sebab jentera Pas boleh diperkudakan oleh Bersatu.

“Tapi Pas pun tahu, Umno lebih kuat dari Bersatu. Kalau nak jamin kemenangan, kena sokong Umno.

“Tapi kalau nak dengan Umno, kena sedia duduk bawah tapak kaki Umno,” katanya ketika sesi siaran langsung di Facebook Jom Channel malam tadi. 

Khalid dalam program di Jom Channel bersama Zul Sulong sebagai moderator.

Pada masa sama Khalid berkata, jika Pas merasakan mereka masih mempunyai maruah selepas disindir dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU), mereka pasti tak akan bersama dengan Umno.

Terdahulu, Ahmad Zahid dipercayai menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan tahunan parti yang menolak kerjasama dengan Bersatu itu. 

Dalam ucapannya mengenai Muafakat Nasional (MN), Zahid mengingatkan rakan sekutunya, Pas supaya tidak lupa bahawa melalui pemuafakatan itu mereka memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau menegaskan, sokongan kepada PN hanyalah untuk menyokong pembentukan kerajaan, namun tidak disangka Pas cuba membentuk gabungan parti politik tanpa Umno.

Beliau juga berkata, setelah menyertai sebahagian daripada kerajaan, tiba-tiba pendirian politik Pas telah mula berubah.

Abdul Hadi dalam dua aksi berbeza semasa Perhimpunan Agung Umno

Bersatu-PAS tegaskan kerjasama, tolak ‘penjajaran baru’ lepas PRU

Malaysiakini

Bersatu dan PAS hari ini menegaskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Dua parti Melayu itu juga menolak sebarang bentuk penjajaran baru untuk menubuhkan kerajaan selepas itu, terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama dua setiausaha agungnya - Hamzah Zainudin (Bersatu) dan Takiyuddin Hassan.

‘Budak’ Bersatu ditahan berfoya-foya? (Gambar)

FAZLI RADZI

Anggota sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Tambun didakwa ditahan pihak penguatkuasa baru-baru ini.

Dua keping gambar dipercayai dirakam di sebuah pusat karaoke tular di media sosial dengan turut kelihatan wanita dan botol minuman keras.

“Tengah darurat boleh sibuk parti, hebat! Dengar cerita budak Parti Bunga Tambun, betul ke?” soal Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Twitter, Adzman Kamaruddin.

Untuk rekod, Bersatu Bahagian Tambun diketuai bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menang tanpa bertanding jawatan pada tahun lalu.

Setakat Januari 2020, Bersatu Perak dilapor mempunyai 277 cawangan daripada 24 bahagian yang melibatkan keahlian kira-kira 28,548 orang.

Sejak pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, sektor hiburan membabitkan kelab malam, pub dan pusat karaoke masih berada dalam senarai larangan beroperasi.

Walau bagaimanapun rekod harian individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) menyaksikan sebahagiannya terbabit dalam aktiviti pusat hiburan.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 951 premis pusat hiburan termasuk pub dan kelab malam diserbu, 9,587 kompaun dikeluarkan dan 4,666 tangkapan dilakukan dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Januari lalu.

Pengkhianat dalam PDRM bocorkan maklumat operasi, Nicky sempat larikan 'lapan beg berisi tunai'

Malaysiakini 

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan berlaku kebocoran maklumat semasa Ops Pelican 3.0 bagi memburu ketua sindikiet pengubahan wang haram terbesar di negara ini, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan ahli kumpulan itu.

Beliau berkata mereka yang membocorkan maklumat berkenaan adalah daripada kalangan pegawai dan anggota polis sendiri.

“Hasil soal-siasat yang dibuat, berlaku kebocoran maklumat dan akibat kebocoran itu Nicky Liow berjaya memindahkan sejumlah besar wang yang dibawa keluar dari premis.

"Hal itu, dilihat apabila saksi terlibat dan saksi berkenaan yakin itu adalah wang tunai sebagaimana yang dipaparkan di media sosialnya dengan wang yang ditaburkan di atas lantai,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Abdul Hamid berkata siasatan juga mendapati seorang bekas timbalan pendakwa raya bergelar Datuk dipercayai menjadi antara individu yang membocorkan maklumat berhubung operasi itu.

“Bekas timbalan pendakwa raya terbabit menjadi perantara yang menghubungkan dia dengan pegawai-pegawai polis dan penguatkuasa lain berdasarkan kedudukan jawatannya itu yang pernah menjadi pegawai. Dialah (bekas timbalan pendakwa raya) yang menggerak dan memudahkan pergerakan Nicky Liow sehingga terlepas,” katanya.

Abdul Hamid berkata Nicky Liow yang kini dalam buruan polis, mempunyai 12 rekod jenayah antaranya dadah dan jenayah kekerasan termasuk kes memukul anggota Rela pada 27 Okt 2017.

Polis ingin menyeru sekali lagi kepada orang awam jika mempunyai maklumat berkaitan suspek utama itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat ASP V Prakash di talian 012 5209767 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata seramai 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasa disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang itu, dengan majoritinya adalah pegawai dan anggota polis.

Sementara itu Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Nicky Liow melarikan diri seminggu awal sebelum polis menyerbu kondominiumnya di Setia Walk, di Kuala Lumpur.

“Nicky Liow (dikatakan) sempat melarikan lapan beg dipercayai (membawa wang tunai) jutaan ringgit berikutan maklumat yang dibocorkan oleh pegawai polis manakala hasil siasatan dalam akaun bank peribadinya sahaja mempunyai RM40 juta,” katanya.

- Bernama

Umno hanya buat bising bagi tekanan pada Muhyiddin, tak akan berani berentap

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berpendapat gertakan Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu hanyalah sekadar cakap-cakap sahaja dan tiada apa yang akan berlaku.

Beliau berkata, Umno hanya membuat bising kerana mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah katanya, Umno juga tidak akan berani memutuskan hubungan dengan Bersatu kerana memikirkan kerugian di pihak mereka.

“Mereka hanya nak buat bising takutkan lawan. Belum berentap lagi. Tak akan berentap pun

“Kalau betul-betul serius, sepatutnya dah boleh bertindak. Letak jawatan, tarik sokongan. Hasil Perhimpunan Agung Umno, dari segi tindakan tak ada apa-apa. Tapi bila bercakap, riuh dan lebih riuh,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook Jom channel sebentar tadi.

Sebelum ini Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau juga mengatakan mendapat mandat untuk mengeluarkan arahan pada bila-bila masa kepada pemimpin Umno di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan jawatan mereka.

Susulan itu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah telah menggesa semua ahli parti yang memegang jawatan dalam kabinet PN supaya menarik diri serta-merta.

Ini termasuk mereka yang diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kini tembelang Pas makin menyerlah

Menyanggah dakwaan Pas parti pendamai dalam krisis Bersatu-Umno

ZAKARIA MUSA

Bagai diduga sejak awal, tiga parti Melayu iaitu Bersatu, Umno dan Pas – yang berkomplot merampas mandat rakyat pada hujung Februari 2020 – pasti meniti liku-liku sukar dalam kerjasama politik mereka.

Konflik dan pertembungan bukan hanya di antara Umno dan Bersatu yang didorong rasa tidak puas hati atas perkongsian kuasa yang terjalin secara tergesa-gesa, tetapi juga membabitkan Pas yang tersepit di tengah-tengah.

Atas nama perpaduan Melayu-Islam atau kesatuan ummah yang menjadi slogan murahan, kini tembelang Pas makin menyerlah. Sebenarnya segala gerak politiknya hanya bermotifkan keuntungan duniawi atau pertimbangan siasah sempit semata-mata.

Hujah yang dikemukakan hanya dalih untuk mengaburi pandangan penyokong tegarnya sekali gus “mengepung” ahli-ahlinya agar terus setia sebagai “walaun”.

Banyak sekali tuntutan, desakan dan rungutan Pas semasa era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu terpaksa ditelan tanpa mampu melakukan apa-apa perubahan pun. Dulu kepentingan Melayu-Islam dianggap tergugat dan terancam.

DAP yang dilabel sebagai musuh bangsa dan agama dijadikan kambing hitam. Kononnya DAP menguasai Putrajaya sepanjang 22 bulan itu telah menyebabkan maruah Melayu-Islam tergadai.

Kini, terbentuknya kerajaan pintu belakang yang didominasi Melayu-Islam dengan Pas bersama menjadi anggota pentadbirannya, ramai pihak kecewa kerana tiada “perubahan Islami” yang ditawarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, tiga parti yang bersekutu dalam kerajaan tanpa mandat rakyat terus bertelingkah dan bersengketa.

Kerajaan minoriti itu pula lebih ghairah membicarakan soal survival kuasa dan usaha menonjolkan diri sendiri. Mereka mahu menjadi dominan atau “abang besar”. Bagaikan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Titik pertikaian mereka bukannya atas kepentingan rakyat di zaman sukar ini tetapi sekitar bagaimana setiap parti mahu menguasai pemerintahan secara mutlak, mengulangi fungsi dan posisi Umno pada zaman Barisan Nasional dahulu.

Persaingan Umno-Bersatu ibarat saling membunuh

Dapat difahami persaingan Umno-Bersatu memposisikan kedudukan masing-masing dalam kancah “pergelutan” itu. Kedua-duanya saling “membunuh” bagi melumpuhkan secara total seteru terdekat dalam usaha menduduki podium utama parti Melayu paling berpengaruh.

Sejak hari pertama kerajaan PN yang didirikan atas pengkhianatan dan pembelotan, Bersatu-Umno sibuk mencari peluang terbaik untuk menikam dari belakang.

Sikap politik Bersatu sudah lama terbongkar dalam Langkah Sheraton. Demi memastikan kerusi perdana menteri kekal dikuasai Bersatu, kumpulan itu terus menghalang kemaraan Anwar Ibrahim.

Walaupun telah termetrai dalam perjanjian bersama pada Januari 2018 di Shah Alam, Muhyiddin Yassin sanggup mengkhianati mentornya sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bersatu secara jelas memilih jalan pintas untuk muncul sebagai parti Melayu terbesar meskipun risikonya juga cukup berbahaya. Ia mungkin satu bentuk “bunuh diri” yang tersembunyi!

Lebih musykil adalah fungsi Pas yang sentiasa mendakwa berperanan sebagai “pendamai” dan pelopor kepada perpaduan ummah. Apakah rekod Pas menunjukkan ia benar-benar berjiwa besar, bersikap terbuka dan “menyejukkan” ketika rakan-rakan bertelagah?

Pas usah bersikap hipokrit atau talam dua muka. Ketika berdepan konflik dalaman Pas sekitar 2015, bermula setahun sebelum itu di muktamar tahunan di Batu Pahat, umum boleh menilai bagaimana presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang menangani “ribut dalam cawan”.

Apa lagi istilah jelik yang tidak dilemparkan kepada kelompok yang disifatkan “jebon, munafik haraki, khadam DAP, menolak ulama, Anwarinas”, dan pelbagai panggilan buruk lag sesama pimpinan dalam satu parti, hanya kerana berbeda pendapat dan pandangan, mungkin pendekatan lebih rencam, tiada lagi tolak-ansur atau kompromi.

Akhirnya mereka setandan disingkirkan melalui “chai” yang diedarkan, selepas kempen liar secara agresif dilancarkan. Atas nama pembersihan dan pemutihan parti, hasrat sebenar lebih kepada memudahkan laluan Pas untuk berkerjasama dengan Umno.

Hadi Awang juga mengakui Pas terlibat daripada awal lagi, mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan PH pilihan rakyat.

Dalam keuzurannya, Hadi terbabit secara proaktif mengatur langkah mendirikan kerajaan tebuk atap sehingga parti yang menang pada PRU14 bertukar menjadi pembangkang, manakala parti yang kalah pula di posisi kerajaan.

Perdana menteri, Muhyiddin Yassin mengakui dalam mesyuarat Bersatu bahawa kerajaannya tertegak atas “scheme of things”, yang difaktorkan oleh sogokan dan tawaran (rasuah).

Malah, baru-baru ini, tanpa segan-silu Hadi juga mengakui Pas memilih untuk bersama kerajaan pintu belakang adalah untuk menyertai PRU15 sebagai anggota kerajaan dan bukannya atas status parti pembangkang.

Memang banyak “kelebihan” berdiri di sebelah pemerintah walaupun sebahagian besarnya bertentangan dengan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik dan konsep “caretaker government”.

Namun terbukti Pas tidak lagi menghormati banyak prinsip-prinsip yang diperjuangkannya dulu. Pas sudah tersilau dengan keasyikannya menikmati kuasa, walaupun diperolehi secara tidak demokratik.

Dalam episod pertelingkahan Bersatu-Umno ini, kita boleh menjangkakan apa pilihan Pas, apatah lagi jika risikonya adalah kehilangan kuasa. Tiada lagi pertimbangan Islami seperti sering dicanangkan; terbukti Pas hanya seperti parti politik lainnya.

Kluster menteri Umno akan kekal dalam kerajaan PN

BORHAN AHMAD

Para menteri dan timbalan menteri Umno yang berjumpa Perdana Menteri petang semalam mengambil keputusan untuk kekal dalam kerajaan sehinggalah Majlis Kerja Tertinggi Umno membuat keputusan mengenainya.

Menurut sumber, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan nasihat kepada mereka yang dikenali ‘kluster menteri’ itu agar kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Mereka akan berhujjah dalam mesyuarat MKT untuk kekal dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan,” kata sumber kepada Malaysia Dateline.

Mereka telah memberikan mandat kepada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri untuk bercakap dalam mesyuarat MKT akan datang bagi mempertahankan hujah kenapa Umno perlu kekal dalam kerajaan.

Selain Ismail, turut serta dalam pertemuan itu adalah Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli, MP Lenggong), Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan, MPTenggara) di samping Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi, MP Parit Sulong).

Perhimpuan Agung Umno (PAU) Ahad lepas mengambil ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Namun begitu, tidak dinyatakan dengan jelas bilakah keputusan itu akan dilaksanakan.

Seorang bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu, Datuk Rosol Wahid mencabar Umno agar membuat keputusan untuk keluar dari kerajaan PN sekarang kalau berani.

Pengerusi Majlis Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, jika diluluskan oleh PAU, kesemua menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Umno melepaskan jawatan mereka segera.

Kini PAU 2020 telah meluluskan usul itu namun Umno sehingga sekarang masih belum membuat keputusan.

‘Ada pengkhianat’ - 34 polis, penguat kuasa bantu Geng Nicky’

Shakira Buang

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini mendedahkan seramai 34 pegawai dan anggota penguatkuasa terlibat sebagai ahli Geng Nicky, kumpulan yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow Soon Hee.

Kesal dengan tindakan itu, Abdul Hamid berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota yang terlibat dan tindakan tegas akan menanti pegawai terlibat.

“Terdapat beberapa orang pegawai polis yang dipercayai terlibat membantu sindiket ini dan akan saya ambil tindakan terhadap 34 pegawai dan anggota penguat kuasa yang terlibat.

“Tidak ada lagi amaran-amaran, sudah puas dan sudah cukup amaran diberikan kepada mereka supaya dari dulu lagi telah saya katakan, putuskan apa juga hubungan mereka dengan kumpulan ini.

“Tetapi nampak gayanya, daripada hasil tindakan yang diambil ini terdapat pengkhianat di kalangan anak buah saya," katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun diminta mengulas agensi pegawai dan anggota penguat kuasa yang terlibat, Abdul Hamid tidak mengulas lanjut dan berkata belum ada tangkapan dibuat buat masa ini.

"Saya nak tengok sejak bila mereka ambil duit atau dibayar untuk tutup mulut. Sewaktu saya atau sebelum saya (jadi ketua polis negara).

"Senarai mereka terlibat yang diperoleh akan diperhalusi dan siasat. Selepas yakin dan bukti cukup (akan tangkap)," katanya.

Abdul Hamid juga berkata pasukan petugas ibu pejabat polis Kontinjen (IPK) Johor akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.

Wang lebih RM juta dibekukan. 

Terdahulu Abdul Hamid pihaknya telah menangkap 68 orang yang dipercayai ahli Geng Nicky.

Abdul Hamid berkata semua individu tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah pengubahan wang haram.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, anggota polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru.

“Pihak polis juga telah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759.00 melibatkan 21 individu dan 16 entiti.

“Ia termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia dibawah seksyen 44 (1) AMLATFPUAA 2001.

“Tindakan lanjut menjejak dan membekukan aset-aset berupa tanah, rumah dan bangunan sedang dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, turut dirampas adalah wang tunai dari pelbagai negara berjumlah lebih RM700,000 dan 16 buah kereta mewah dianggarkan bernilai RM6.67 juta.

“Nicky Liow mempunyai sejumlah 12 kesalahan lampau bersabit dadah dan jenayah kekerasan termasuk kes memukul anggota Rela pada 27 Oktober 2017.

“Hasil yang diperolehi daripada soal siasat awal, pihak polis telah mengenal pasti penglibatan pegawai dan anggota agensi penguatkuasa dan beberapa VVIP kenamaan yang bersekongkol bersama Geng Nicky.

Pada 21 Mac lalu, Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya sedang mengesan suspek berumur 33 tahun itu.

Alamat terakhir Nicky ialah di Trigon Residence, Puchong, Selangor.

Kerajaan Johor dijangka runtuh apabila sidang DUN dibuka

AMNI JAGAT

Pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Perhimpunan Agung Umno (PAU 2020), 28 Mac lalu jelas menggambarkan bahawa kerajaan negeri bakal rebah sekiranya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka kembali.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad berpendapat susulan itu, pertembungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Umno di Johor dijangka semakin memuncak.

Ditambah lagi ujarnya dengan pengumuman Hasni berkaitan kerusi Parlimen Pagoh yang akan ditandingi oleh Umno jelas memberi bayangan keretakan yang berlaku dalam gabungan kerajaan di negeri ini.

“Ini suatu situasi yang genting apabila ugutan MB Johor secara jelas mengisytiharkan untuk bertanding di Pagoh ia akan membuka ruang untuk perpecahan berlaku dalam kerajaan negeri.

“Datuk Hasni kena ingat, kerajaan Johor yang bermajoritikan hanya satu kerusi ini terlalu rapuh dan jika Adun Bukit Gambir iaitu Tan Sri Muhyiddin sendiri sebagai Adunnya dan beberapa lagi Adun Bersatu memboikot Hasni, maka kerajaan akan runtuh. 

“Ini suatu semangat yang tidak baik bagi kestabilan politik di negeri ini. Saya jangkakan sekiranya sidang Dun dibuka maka akan ada penolakan berlaku terhadap kepimpinan Hasni di Johor,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Dzulkefly juga tidak menafikan sekiranya berlaku kejatuhan kerajaan tersebut ia sekali lagi memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah semula di negeri ini.

Dalam jangkaannya itu, PH di Johor sebelum ini masih membuka pintu untuk sesiapa sahaja menjalinkan kerjasama dengan mereka bagi memastikan kestabilan politik itu berlaku.

“Ia boleh jadi peluang atau boleh jadi suatu cabaran baru sebagai Adun di negeri ini kerana ini adalah rekod pertama kali kerajaan negeri yang paling tidak stabil dalam sejarah.

“Pastinya hari ini kerajaan Johor tidak akan berada dalam keadaan yang baik kerana situasi cantas-mencantas antara Bersatu dan Umno pasti berlaku selepas pengumuman MB Ahad lalu,” ujarnya lagi.

Pengecut, tak setia, Nazri bidas menteri Umno kerana tak berani letak jawatan

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nazri Aziz, menyifatkan menteri Umno yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan dianggap tidak setia kepada parti dan suara akar umbi.

Pendapat Ahli Parlimen Padang Rengas itu senada dengan amaran seorang pemimpin tertinggi PPBM terhadap pemimpin Umno yang mengertak atau mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya sokong sepenuhnya seruan Rosol Wahid (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM) supaya menteri, timbalan Umno letak jawatan tanpa letak syarat.

“Kenapa nak cakap kalau disuruh baru nak berhenti? Berhenti sahaja tanpa syarat, tidak susah. Kena dengar suara akar umbi,” kata Nazri kepada FMT.

Terdahulu, media melaporkan Rosol mencabar Umno menarik balik sokongan terhadap PN tanpa syarat.

“Sekarang bukan zaman ugut, seperti yang Tok Mat (Mohamad Hassan) kata, bukan main silat pulut, kita main boh terus. Nak tumbuk, tumbuk jer la, tidak perlu main acah-acah sahaja.

“Ini tidak, ada syarat itu, syarat ini, hendak tarik (sokongan), tarik lah, bukan main gertak sahaja,” kata beliau.

Dalam pada itu, Nazri mengingatkan menteri Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional supaya mempertahankan maruah diri.

Kata beliau, menteri dan timbalan menteri Umno perlu memutuskan sama ada mereka mahu kekal dengan Umno atau bersama PPBM.

“Kalau (mereka) letak jawatan sekarang, tak jejaskan kerajaan sebab darurat.

“Kalau teragak-agak, kita tak setia pada parti dan tiada harga diri. Jangan label diri pejuang kalau tidak berani,” kata beliau.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata isu letak jawatan ini tidak perlu timbul kerana kerajaan sekarang hanya “sementara” dan menunggu masa untuk dibubarkan.

“Tidak payah nak bising-bising. Tiba sahaja pembubaran Parlimen, Covid-19 selesai, sudah tentu akan kembalikan mandat pada rakyat,” katanya.

Ahad lalu, Umno dalam perhimpunan agungnya di Kuala Lumpur, memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata partinya tidak akan mendukung PN kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno.

PKR cabar Wan Saiful bertanding di Selangor

ARIF ATAN

PKR Selangor mencabar Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk bertanding di negeri Pakatan Harapan (PH) itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, Wan Saiful perlu berbuat demikian sekiranya Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu benar-benar hebat.

Beliau berpendapat pengundi Selangor menolak pengkhianat PH termasuk Wan Saiful yang sebelum ini bertanding di Parlimen Pendang tetapi kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya cabar DWSWJ (Datuk Wan Saiful Wan Jan) untuk turun bertanding di negeri Selangor dan nyatakan di mana sekiranya beliau benar-benar seorang jagoan. 

“Jika sejarah menunjukan yang rakyat Pendang telah menolak tubuh yang bernama DWSWJ, apatah lagi rakyat Selangor yang sememangnya benci dengan mereka yang telah khianat kepada parti,” tempelaknya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Wan Saiful kalah di kerusi Parlimen Pendang pada PRU-14 dalam pertembungan empat penjuru dengan hanya mampu memperoleh 14,901 undi.

Kerusi P.011 Pendang dimenangi calon Pas, Awang Solahudin dengan majoriti 5,808 undi.

Kelmarin, Wan Saiful yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai kekuatan mencukupi untuk mengambil alih kerajaan Selangor pada PRU-15. 

Katanya, peluang PN amat cerah dan persediaan di peringkat PN sudah lama dilakukan bagi merampas kerajaan negeri Selangor.

Sehubungan itu, Halimey menegaskan bahawa pola pengundian adalah jauh berbeza antara Selangor dan Kedah, khususnya di Pendang.

“Sewaktu bertanding di Pendang, Wan Saiful hanya mampu meraih 14,901 undi dan menduduki tempat ketiga daripada empat orang calun.

“Walaupun ketika itu gelombang momentum untuk perubahan sangat kuat, namun Wan Saiful tidak berupaya untuk memperoleh kemenangan.

“Fakta ini menunjukkan yang Wan Saiful bukanlah individu yang cerdik untuk menilai politik Selangor kerana dia sendiri tersungkur di kerusi berhampiran kampung halamannya,” kata Halimey.

Jelasnya, Pakatan Rakyat memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-12, diikuti 44 kerusi pada PRU-13 dan 51 kerusi pada PRU 2018.

“Ini jelas menunjukkan sokongan dan keyakinan rakyat Selangor kepada kerajaan Pakatan Harapan semakin meningkat dan mantap.

“Walaupun beberapa kerusi telah dicuri oleh mereka yang tiada maruah, namun kerajaan Selangor dengan jumlah 41 kerusi pada hari ini masih lagi berdiri kukuh,” tambahnya lagi.

Selepas Hadi lari, Mahathir kata tidak mampu elak wartawan

MALAYSIA DATELINE

Selepas Presiden Pas lari meninggal Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan rombongannya melanggar jurugambar dan wartawan yang cuba mewawancara mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat naik satu komen “Saya tidak fikir mampu elak wartawan”.

Tanpa menyebut apa yang dilakukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang seolah-olah mahu lari dari wartawan ketika keluar dari persidangan itu, Mahathir berkata, wartawan perlu dalam menyampaikan maklumat yang tepat.

Mahathir memuat naik gambar beliau bersama wartawan ketika memberikan komen, tidak boleh lari dari mereka.

“Sepanjang karier sebagai ahli politik, saya tidak fikir mampu mengelak dari diikut dan disoal wartawan.

“Selagi boleh saya cuba penuhi dan jawab tak kira apa juga yang nak ditanya. Bagi saya wartawan perlu dalam menyampaikan maklumat yang benar dan tepat,” kata Mahathir menerusi Twitter beliau.

Semalam, Hadi keluar meninggal Dewan Merdeka Putra World Trade Centre ketika Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih memberikan ucapan dasar beliau di Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan menyindir Pas.

Wartawan dan jurugambar berusaha untuk mendapatkan komen beliau namun Hadi enggan memberikan sebarang komen.

Ekoran tolak menolak yang berlaku, seorang jurukamera telah jatuh terpelanting (gambar atas) selepas ditolak oleh rombongan yang mengawal Hadi itu.

Rombongan Unit Amal dengan bantuan Rela telah membawa Hadi keluar dari PWTC sebelum majlis perasmian PAU itu tamat.

Malaysiakini melaporkan “Abdul Hadi Awang enggan memberi sebarang komen mengenai ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan dilihat tergesa-gesa meninggalkan Perhimpunan Agung Umno 2020”

Halim Romli pula telah membuat satu laporan menarik tentang apa yang diucapkan oleh Zahid sehingga Hadi keluar meninggalkan PAU itu.

“Hadi keluar dewan bila Zahid pertikai kejujuran,” kata tajuk video klik yang dibuat oleh Halim itu.

'Kalau Umno solo, PAS yang jadi kambing hitam'

 M Fakhrull Halim & Alyaa Alhadjri

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti, Umno bersama BN yang diketuainya akan bergerak solo, seperti pengumuman presiden Umno merangkap pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 Ahad lalu.

Sekiranya PAS kekal bersama Perikatan Nasional (PN), ia juga berkemungkinan bermaksud Umno-BN tidak akan bersama PAS - sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

Namun, dalam ucapan dasar presiden yang sama, kata Ahmad Zahid, “belum terlambat” untuk PAS kembali ke pangkal jalan.

Beberapa tokoh Umno juga membuat kenyataan bahawa keputusan akhir berhubung kerjasama dua parti itu kini terletak di tangan PAS.

Justeru, persoalan yang diharapkan ternoktah pada PAU kelmarin, akhirnya terus kekal menjadi persoalan: Apakah kedudukan yang akan diambil PAS dalam PRU-15 nanti?

Bagi penganalisis politik Jamaie Hamil, sekiranya akhirnya Umno-BN benar-benar melangkah ke medan PRU-15 secara solo tanpa PAS, maka yang sebenarnya akan menjadi korban adalah PAS.

Katanya, sejak dahulu sebelum PRU-14, Umno dan PAS mempunyai satu hubungan yang unik. Kewujudan PAS dalam politik Malaysia menjadi kekuatan buat Umno - sebagai parti musuh yang menurutnya selalu dikambinghitamkan Umno.

“Ketika Umno menjadi kerajaan dahulu, PAS adalah musuh utama Umno. Banyak isu yang berlaku dalam negara, Umno akan mengkambinghitam, atau meletakkan kesalahan itu kepada PAS.

“Maksudnya, dengan adanya PAS, Umno akan dipandang oleh pengundi-pengundi sebagai (parti yang) lebih lembut, moderat, boleh bekerjasama atau pun lebih sederhana sifatnya.

“[...] Jadi sebab itulah Umno perlukan PAS itu sebagai musuh sebenarnya. Bukan sebagai kawan,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Kerjasama dalam MN pula, katanya, hanyalah kerjasama ketika kedua-dua parti menjadi pembangkang, sementalah Umno yang kehilangan sokongan orang Melayu dalam PRU-14, bekerjasama dengan PAS untuk kembali meraih sokongan tersebut.

Umno lebih banyak dapat manfaat

Malah, tambahnya, isu Islam-Melayu yang sering dibangkitkan MN semasa pemerintahan PH juga sebenarnya banyak memberi manfaat kepada Umno berbanding PAS, dalam aspek menarik sokongan orang Melayu.

“Sebab kerusi-kerusi yang kalah kepada PKR terutamanya, terutama di kawasan-kawasan luar bandar, kerusi-kerusi itu bukan kerusi PAS. Kebanyakan kerusi yang kalah (kepada PH) itu adalah kerusi Umno.

“Jadi secara tak langsung, apabila sentimen Melayu itu kembali kepada MN, sebenarnya (sokongan) kembali kepada Umno, bukan kembali kepada PAS,” kata pensyarah kanan Program Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Dengan bergerak solo, kata Jamaie, Umno mempunyai kelebihan, terutamanya daripada segi agihan kerusi.

Umno akan dapat mengelak konflik di kerusi yang diminati kedua-dua parti, contohnya kerusi Bukit Gantang yang dimenangi Umno dalam PRU-14 lalu (kini milik Bersatu), tetapi pernah juga dimenangi PAS beberapa kali sebelum itu.

Malah, Jamaie turut meramalkan Umno mampu menarik semula sokongan orang Melayu dalam PRU-15.

Ramalannya itu disandarkan pada trend PRU-PRU lepas. Menurutnya, trend sokongan Umno memang menunjukkan “pasang-surut”, iaitu setiap kali parti itu berdepan prestasi kurang baik dalam satu-satu PRU, ia selalunya disusuli dengan sokongan yang kembali meningkat dalam PRU selepas itu.

Dalam PRU-14, PAS hanya menang 18 kerusi daripada 158 kerusi parlimen yang ditandinginya.

Umno pula memenangi 54 daripada 121 kerusi yang ditandinginya (BN secara keseluruhan menang 79 kerusi), menjadikannya parti tunggal yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRU-14.

Pun begitu, Umno hilang banyak kerusi setelah berlaku adegan lompat parti, dengan 15 daripada kerusinya bertukar tangan kepada parti serpihannya sendiri, Bersatu. Umno kini tinggal 35 kerusi parlimen.

PAS perlu ubah strategi

Jika dalam PRU-14 lalu ketiga-tiga parti Melayu ini - Umno, PAS dan Bersatu - bersaing sesama sendiri, tahun lalu, mereka berganding bahu sehingga berjaya menumbangkan PH dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Namun, hubungan Umno dengan Bersatu tegang sejak awal kerjasama.

Kemuncaknya, kelmarin, Ahmad Zahid bukan saja berkata BN akan bertanding solo pada PRU-14 nanti, bahkan menegaskan tidak akan ada kerjasama antara Umno dengan DAP, Presiden PKR Anwar Ibrahim mahupun Bersatu.

Pun begitu, PAS setakat ini, masih tetap dengan pendirian untuk mempertahankan “perpaduan ummah” seperti pendirian mereka selama ini, iaitu tidak meninggalkan Bersatu mahupun Umno.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, sekiranya PAS masih menaruh harapan untuk melihat kesatuan ketiga-tiga parti itu, PAS harus mengubah strateginya.

“PAS mesti keluar dari PN,” usulnya kepada Malaysiakini semalam.

“Strateginya adalah untuk memberi tekanan kepada Bersatu. Kerana Bersatu-PN tanpa PAS, sukar untuk pergi ke hadapan. Dengan cara ini, saya menjangkakan PN itu sendiri akan lebih mesra kepada MN yang disertai PAS-Umno,” katanya lagi.

Dengan cara itu, kata Awang Azman, barulah persefahaman akan dapat diwujudkan antara Bersatu, Umno dan PAS.

”Strategi PAS selama ini untuk kekal dalam PN tetapi mesra dengan MN tidak menjadi kerana Bersatu dan Umno tetap akan berkeras, jadi PAS kena tukar sikit strategi kalau mereka ingin lihat ketiga-tiga entiti ini membuat persefahaman menjelang PRU-15,” katanya.

Jelasnya, dengan keluar daripada PN, PAS sebenarnya tidak perlu berkorban apa-apa, malah dengan cara itu, ia akan dapat bersama Umno dan hal itu akhirnya akan memberi lebih manfaat kepada PAS sendiri.

Manfaat yang dimaksudkannya ialah daripada segi pembahagian kerusi dengan Umno.

“Ini kerana apabila PAS bersama dengan Umno, bermakna pembahagian kerusi dapat dibincang. Kerana musuh sebenar PAS dalam politik adalah Umno, bukan Bersatu,” katanya lagi.

Annuar Musa antara menteri Umno hadiri pertemuan mengejut dengan Muhyiddin

FMT Reporters

PUTRAJAYA: Perdana Menteri dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan mengejut dengan beberapa menteri dari Umno, sehari selepas parti itu memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PPBM.

Pertemuan itu diadakan di Bangunan Perdana Putra di sini.

Menurut sumber, pertemuan lebih sejam itu tidak membabitkan timbalan menteri.

“Saya difahamkan pertemuan berlangsung lebih sejam mulai 5.30 petang hingga 6.45 petang itu diadakan secara mengejut bagi membincangkan keputusan Umno untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional dan kerjasama dengan PPBM.

“Namun, saya tidak boleh menjelaskan butiran terperinci mengenainya kerana tiada dalam pertemuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Antara mereka yang dilihat keluar dari kompleks Jabatan Perdana Menteri petang tadi ialah Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob; Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa; Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad dan Menteri Luar, Hishammuddin Hussein.

Turut kelihatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan Annuar menghadiri pertemuan itu, tetapi tidak jelas mengenai butirannya.

“Saya difahamkan Annuar menghadiri mesyuarat berkenaan berikutan keputusan Umno semalam, namun sehingga kini beliau belum memaklumkan butiran terperinci mengenainya.”

Mesyuarat menteri itu dengan perdana menteri itu menyusul sehari selepas Umno, perhimpunan agung di Kuala Lumpur, memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan menghadapi pilihan raya umum ke-15 bersendirian.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, usul memutuskan hubungan politik dengan PPBM itu diluluskan perwakilan PAU2020.

Zahid berkata, Umno tidak akan mendukung PN kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno.

Ghairah bermain politik: Warganet ‘sekolahkan’ ketua pemuda Bersatu

 FAZLI RADZI 

Warganet dilihat membanjiri ruangan komentar di Facebook ketua pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang memuatnaik kenyataan bertajuk “Bersatu teguh, berpecah roboh” petang tadi.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional itu antara lain berkata, pihaknya memandang serius keghairahan sesetengah pihak untuk bermain politik.

Walhal, kata bekas pegawai khas, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menduduki jawatan Menteri Belia dan Sukan tersebut, apa yang rakyat perlukan pada masa ini ialah kestabilan dan usaha berterusan untuk meringankan bebanan akibat wabak Covid-19.

“Retorik politik yang tidak berkesudahan tidak akan membantu sesiapa, malah bisa mengganggu khidmat kerajaan kepada rakyat.

“Sekarang ialah masanya untuk bekerja. Fokuslah kepada agenda kerajaan yang telah merumuskan serta sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat,” katanya.

Walaupun hanya dinyatakannya sebagai “kesal akan perhimpunan yang telah berlaku pada hujung minggu lepas”, reaksi Wan Ahmad Fayhsal itu dilihat merujuk pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) semalam.

Sehubungan itu, ada warganet berpendapat Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah goyang ditambah pelaksanaan darurat dan keengganan Muhyiddin Yassin membuka sidang Parlimen.

“Bila parti politik suruh parti politik lain jangan bermain politik, ini bermakna parti politik yang buat tuduhan itu sedar dia sudah kehilangan sokongan politik dari rakyat,” bidas Anas Abd Jalil.

Dalam masa sama, Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia Sukan itu turut ‘disekolahkan’ tentang sikap PN yang menerima ahli parlimen (MP) lompat parti.

“Berapa ramai MP Perikatak Nasional? Yang ramai hanya katak-katak yang melompat masuk ke kolam katak Bersatu. Cermin diri tu dulu,” tempelak Rosli Ita.

Bila saya jadi pelarian, menyorok? Sajat nafi lari daripada JAIS

FMT Reporters

SHAH ALAM: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang sedang sakit, menafikan dia bersembunyi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak berkuasa.

Menerusi video selama dua minit 21 saat yang dimuat naik ke media sosial itu, Sajat menafikan dirinya menyorok atau melarikan diri daripada pihak berkuasa.

“Masa bila kita jadi pelarian? Buat apa nak jadi pelarian?

“Masa bila saya menyorok? Ada ke awak nampak saya menyorok?” katanya menerusi video itu yang dilaporkan Sinar Harian.

Sajat mendakwa dia mendiamkan diri kerana tidak begitu sihat.

“Saya bukan menyorok, tapi hanya mendiamkan diri dari Instagram,” katanya ketika menjawab soalan netizen tanpa mendedahkan wajahnya dalam video itu.

Pada 23 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal hadir dalam sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Pada 6 Jan lalu, Sajat dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, 7.30 malam, 23 Feb 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Umno untung jika bercerai dengan Bersatu,

Alyaa Alhadjri

Terdapat dua aliran fahaman berbeza sepanjang perhimpunan agung Umno yang berlangsung pada hujung minggu lalu.

Pertama, mereka yang menggesa parti itu supaya tidak lagi menjadi sekutu kepada Bersatu dan menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional bermula 1 Ogos.

Kedua, mereka yang percaya penolakan terhadap Bersatu hanya akan menimbulkan 'malapetaka' kepada Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beberapa penganalisis yang bercakap kepada Malaysiakini bagaimanapun percaya senario kedua itu masih boleh diperdebatkan.

Salah seorang pemimpin yang menyokong senario kedua itu adalah ahli majlis tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin yang mengatakan parti itu perlu menyertai PRU bersama Bersatu dan PAS.

Kata Zahidi, dia percaya Umno akan berada pada kedudukan dominan apabila kerajaan berikutnya dibentuk.

Sebaliknya, jika parti-parti itu bergerak sendirian dalam PRU, Umno mungkin menjadi pembangkang tanpa mempunyai sekutu.

Penganalisis politik bagaimanapun menangkis pendapat Zahidi - dengan mengatakan ruang untuk Umno membentuk gabungan dengan rakan baru atau lama - hanya akan berlaku selepas pilihan raya.

Pengarah eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, Umno sendiri yakin dapat mempertahankan semua 55 kerusi yang dimenanginya pada PRU14, termasuk yang 'dicuri' oleh ahli-ahli parlimen yang akhirnya melompat kepada Bersatu.

Selain itu, dia berkata Umno boleh meninjau sekurang-kurangnya 16 kerusi majoriti Melayu yang lain untuk sasaran keseluruhan sekurang-kurangnya 70 ahli parlimen di parlimen, yang ada antara kerusi berkenaan kini disandang oleh PAS, Bersatu atau komponen dalam Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan Amanah.

"Dan jika PAS memilih bersama Bersatu, Umno boleh mengambil kembali beberapa kerusi yang jatuh ekoran bertembung tiga penjuru dengan PAS, contoh di Terengganu dan mungkin Kedah, Kelantan.

"Kemudian 13 kerusi dimenangi Bersatu, Umno cukup yakin mereka akan boleh mengambil semula kerusi yang dahulunya kerusi Umno, termasuk Langkawi. Selain Jerlun yang mungkin masih ada pengaruh Tun Mahathir (Mohamad) dan Pagoh dengan faktor personaliti Tan Sri Muhyiddin (Yassin), yang lain-lain mereka yakin akan dapat merampas kembali," katanya.

Bagi kerusi majoriti Melayu yang dikuasai oleh parti-parti PH, Hisomuddin berkata kerusi parlimen Kuala Selangor dan Kulim Bandar Baru boleh menjadi sasaran Umno, yang merekodkan kemenangan bersilih ganti antara BN dan PH dalam beberapa PRU lalu.

PH mengalahkan calon Umno di dua kerusi itu pada PRU14, manakala Umno pada PRU13 menewaskan calon Pakatan Rakyat yang memenangi kerusi berkenaan pada PRU sebelumnya.

"Jadi, sasaran 70 kerusi itu bagi Umno signifikan untuk menjadikan mereka parti tunggal dengan jumlah kerusi terbesar. Setelah itu mereka akan membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti yang menang untuk membentuk kerajaan dengan mengikut syarat Umno," kata Hisomuddin.

Tidak seperti pilihan raya umum lalu, Hisomuddin berkata akan ada banyak situasi tidak menentu, tanpa adanya gabungan rasmi sebelum hari mengundi.

"Keadaan ini akan mewujudkan situasi yang tidak menentu kerana lebih kepada kekuatan parti mana yang mampu memenangi jumlah kerusi dan juga melibatkan perundingan selepas menang," katanya menambah situasi itu mirip di Indonesia apabila parti-parti lawan dibawa berbincang selepas keputusan PRU diumumkan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi, berkata Umno dalam usahanya mencapai dominasi telah menolak  rundingan kerusi sebelum pilihan raya, terutama dengan Bersatu.

"Ini merupakan strategi, daripada berebut kerusi sebelum bertanding, lebih baik buka kepada semua, dan kemudian nanti samanada nak kekalkan blok PN ataupun boleh bina pakatan politik yang baru.

"Antara 70 dan 75 kerusi adalah jumlah maksimum yang mungkin dimenangi oleh Umno untuk muncul sebagai parti paling dominan," katanya.

Awang Azman berkata, usaha Umno bergerak sendirian di kerusi majoriti Melayu juga boleh memberi manfaat kepada pengundi yang bebas untuk menyokong calon pilihan mereka.

Ini tidak seperti situasi melibatkan gabungan parti di mana pengundi di kawasan yang dikuasai oleh penyokong satu-satu parti harus memilih parti bersekutu yang diberikan kerusi berkenaan.

Umno melalui Perhimpunan Agung tahunannya semalam mencapai keputusan untuk memberikan mandat kepada kepimpinannya bagi menentukan bilakah parti itu akan menarik sokongan daripada PN, berikutan keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada Januari lalu dilaporkan berkata bahawa Umno mensasarkan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 96 daripada 222 kerusi parlimen.

Angka itu lebih rendah daripada 121 kerusi yang dipertandingkan pada PRU14, di mana Umno menang 55 kerusi.

Pada PRU14, Umno menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dengan calon Bersatu dan PAS di 47 kerusi parlimen, termasuk di Ketereh dan Titiwangsa. 

Bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa menewaskan Radzi Jidin di Ketereh, manakala calon Bersatu, Rina Harun menewaskan calon Umno, Johari Abdul Ghani di Titiwangsa.

Bersatu yang merupakan komponen PH ketika itu meletakkan 52 calon parlimen, tetapi hanya memenangi 13 kerusi. Kira-kira 31 ahli parlimennya ketika ini termasuk yang melompat parti selepas PRU14 dan sekumpulan bekas ahli parlimen PKR yang mencetuskan Langkah Sheraton tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Umno memiliki kekuatan organisasi

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Prof Azmi Hassan, bagaimanapun berkata kekuatan Umno sebagai sebuah organisasi tetap memiliki kelebihan bagi merebut kembali kerusi yang hilang akibat tindakan melompat parti.

"Jika dilihat kerusi Umno yang dibawa ‘lari’ Bersatu, peluang untuk Umno menang adalah besar sekali. Dan sama juga peluang calon Bersatu untuk merampas kerusi-kerusi ini adalah amat sukar," katanya yang turut mengaitkan nama pemimpin Bersatu, Mustapa Mohamed yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebagai contoh.

Mustapa merupakan anggota parlimen Jeli selama lima penggal dan Adun Air Lanas yang terletak di bawah parlimen berkenaan.

Dia menjadi ahli parlimen Bebas berikutan kekalahan BN pada PRU14 sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu.

"Tok Pa adalah sinonim dengan Jeli, tapi perlu dikuatkan oleh organisasi Umno. Jadi bagi saya, Tok Pa, Hamzah Zainuddin dan lain-lain, adalah sukar (untuk menang) sekiranya bertanding kerusi yang sama atas tiket Bersatu dan PN kerana organisasi akar umbi Umno dan Bersatu bagi saya amat jauh bezanya," kata Azmi.

Perbincangan rasmi di antara parti-parti di parlimen untuk membentuk kerajaan pasca-pilihan raya adalah biasa di kebanyakan negara demokrasi, termasuk negara-negara yang memiliki sistem pilihan raya berbeza. 

Bagaimanapun di Malaysia pertembungan dalam pilihan raya sering tertumpu antara dua gabungan utama. 

Sebarang perubahan kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri kebiasaannya dipacu oleh tindakan ahli-ahli parlimen yang melompat parti.