"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 hari hilang, warga emas ditemukan meninggal di kawasan semak

Bernama

KANGAR: Seorang warga emas lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dengan berkain pelekat tanpa baju, di kawasan semak berhampiran Sungai Kampung Titi Tok Bandar, pagi tadi.

Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim, berkata Che Man Che Pi, 68, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki di kawasan itu, pada 11.10 pagi.

“Hasil siasatan lanjut polis dapati lelaki tersebut telah meninggal dunia…dan disahkan oleh anak lelaki itu, bapanya telah menghilangkan diri dari rumahnya di Kampung Medan Utan Aji sejak tiga hingga empat hari lepas,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad berkata, usaha mencari warga emas itu sebelum ini telah dijalankan pihak waris dan rakan, namun gagal dan lelaki itu juga mempunyai sejarah penyakit darah tinggi serta menerima rawatan psikiatri di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Beliau berkata, pihak forensik IPK Perlis telah membuat pemeriksaan dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan buat masa ini kes itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Jumpa budak tepi jalan, hampir dilanggar kereta

ROSILAWATI ROSEDI
Kanak-kanak lelaki yang ditemui Muhamad Zamri dan rakannya, Shaiful di laluan tersebut pada Khamis.
Kanak-kanak lelaki yang ditemui Muhamad Zamri dan rakannya, Shaiful di laluan tersebut pada Khamis.
MARAN - Juruteknik komputer Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang menemui seorang kanak-kanak lelaki di tepi jalan Maran-Jengka dekat Kuala Sentul di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 pagi itu, Muhamad Zamri Mohamed Norpiah, 42, bersama rakannya, Shaiful Ehsan, 34 dalam perjalanan ke tempat kerja dari Kuantan ke Bandar Pusat Jengka di sini.

"Kami ternampak kanak-kanak itu sedang melintas jalan dan nyaris dilanggar sebuah kereta lain di hadapan kami.

"Risau dengan keselamatannya, kami segera berhenti dan membawa kanak-kanak itu ke kawasan selamat dan bertanyakan nama, lokasi rumah namun tidak dapat dijawab dan dipercayai kanak-kanak ini istimewa berdasarkan perilakunya.

"Kami menunggu juga hampir 20 minit jika ada ibu bapanya yang muncul selain tanya pada penduduk kampung Orang Asli berhampiran jalan itu namun semuanya tidak mengenali kanak-kanak tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kanak-kanak terbabit dihantar ke IPD Maran untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, kanak-kanak itu kemudiannya dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk tindakan selanjutnya.

Video penemuan kanak-kanak itu tular di media sosial dan mendapat pujian netizen yang menyifatkan kanak-kanak itu selamat dan bernasib baik ditemui orang baik.

Dalam perkongsian video tersebut, ada netizen memberitahu kanak-kanak itu telah diambil oleh ibunya di balai polis terbabit.

Jelas Muhamad Zamri, ketika itu mereka risaukan dengan keselamatan kanak-kanak terbabit dan lega jika telah menemui ibunya.

"Jika benar ibu bapanya sudah menemuinya, syukur kerana kalau ikutkan rasa pelik juga bagaimana kanak-kanak itu berada di laluan tersebut, kawasan terbabit sunyi dan agak jauh," tambahnya lagi.

2 isteri kahwin lain tanpa pengetahuan suami

KOSMO
Dua wanita ditahan dan disiasat polis selepas menikah lagi tanpa pengetahuan suami masing-masing. - TRIBUNNEWS
JAKARTA – Dua wanita di wilayah Sulawesi Barat tular selepas  menikahi lelaki lain tanpa pengetahuan suami masing-masing, lapor akhbar Tribunnews semalam.

Kedua-dua wanita tersebut merupakan warga Kota Mamuju di Sulbar dan mempunyai status  sudah berkahwin. 

Biasanya kebanyakan suami menikahi wanita lain tanpa izin isteri, namun perkara sebaliknya berlaku dalam kejadian tersebut.

Kedua-dua wanita terbabit ditahan polis dan siasatan telah dilakukan.

“Pasangan suami isteri dilarang berselingkuh atau berkahwin dengan orang lain tanpa izin,” kata pegawai polis, H Muhtar.

“Jika hal tersebut terjadi dan pasangannya membuat laporan  di balai polis,  maka pelaku boleh dihukum atas kesalahan zina.

“Saya minta warga Mamuju dapat memahami hukum perkahwinan dan agama agar tidak terjadi lagi seorang isteri menikah yang lain tanpa izin suami,” kata Muhtar. – AGENSI

SKMM lapor polis terhadap Chegubard, Salim dan Papagomo

Malaysiakini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat laporan polis terhadap tiga individu iaitu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard, Mohamad Salim Iskandar (Salim Iskandar) dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) kerana membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai-pegawai SKMM.

SKMM memaklumkan laporan polis itu dibuat semalam berdasarkan kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu berkenaan di platform media sosial TikTok, Facebook serta Youtube pada 17 April lepas.

"Kandungan terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai SKMM bertindak di bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik selain bersifat penyalahgunaan kuasa," menurut SKMM dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, SKMM memaklumkan ada antara tiga individu berkenaan telah memfitnah SKMM dengan menyatakan pegawai-pegawai yang terlibat dalam rakaman percakapan sudah muak dengan kerajaan semasa serta bertanya bila kerajaan akan bertukar.

"Sebagai sebuah badan berkanun, SKMM melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung didalamnya," menurut kenyataan itu.

Oleh itu, SKMM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat individu-individu berkenaan dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan.

SKMM memaklumkan penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

- Bernama

Bawa anak isteri mengemis untuk beli dadah

Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
Gambar tular lelaki yang membawa keluarga untuk mengemis dan gunakan sumbangan orang ramai beli dadah. - Foto tular
Gambar tular lelaki yang membawa keluarga untuk mengemis dan gunakan sumbangan orang ramai beli dadah. - Foto tular
SUNGAI PETANI: Seorang penganggur tergamak meraih simpati orang ramai dengan membawa isteri serta dua anaknya untuk meminta sedekah di sekitar kawasan bank dan kedai makan di daerah ini untuk membeli dadah.

Lelaki berusia 24 tahun merayu simpati orang ramai dengan mendakwa anak-anaknya mengidap pelbagai penyakit dan memohon bantuan untuk rawatan.

Ketua Operasi Bantuan Murtadha Dakwah Centre (Madadcare), Muhammad Ridzuan Osman, berkata lelaki itu mendapat bantuan bulanan bakul makanan daripada pihaknya sejak tahun lalu.

Katanya, semalam pihaknya membantu keluarga berkenaan menyewa sebuah rumah untuk mereka tinggal sementara.

"Pasangan ini ada dua anak berusia setahun lapan bulan dan sembilan bulan. Baru semalam kami bantu keluarga itu dapatkan rumah bagi tempat tinggal sementara, tapi rumah itu sudah pun jadi 'port' hisap dadah.

"Kami terkejut selepas tuan rumah memaklumkan perkara itu selepas dia ke rumah tersebut untuk melihat keadaan anak-anak mereka," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Ridzuan, berkata satu laporan polis telah dibuat sebelum lelaki berkenaan ditahan polis di tepi Jalan Kampung Binjul Dalam Tawar, Baling petang semalam.

Dua anak pasangan berkenaan juga telah diserahkan kepada keluarga isteri lelaki berkenaan di Kuala Ketil, Baling.

"Lelaki itu mengaku hasil minta sedekah setiap hari digunakan untuk membeli dadah," katanya.

Terdahulu, Madadcare tampil membantu keluarga berkenaan selepas mereka dikatakan tidur di dalam kereta hadapan sebuah bank di Sungai Petani selama seminggu kerana tiada tempat tinggal selepas didakwa diusir bapa saudara.

Bagaimanapun, menerusi hantaran di Facebook Penduduk Sungai Petani, terdapat perkongsian pemilik rumah sewa itu yang mendakwa pasangan itu tidak pernah diusir dari rumah itu walaupun tidak membayar sewa.

"Ini yang ditinggalkan.. saya tak pernah halau dia ya walaupun dia tak bayar sewa...," katanya.

Turut dikongsi beberapa gambar keadaan rumah yang tidak terurus selain terdapat peralatan dipercayai digunakan untuk mengambil dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat mengesahkan penahanan suspek namun isterinya hanya diambil keterangan sebelum dibebaskan.

Pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat 7.31 gram yang dipegang di tangan kiri suspek.

"Hasil soal siasat suspek mengaku barang kes yang dirampas adalah miliknya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

'Tahanan rumah': Adakah peruntukan seumpama itu?

Isabelle Leong

Perhatian tertumpu kepada Najib Razak selepas bekas perdana menteri itu mendakwa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah memberikan pengampunan tambahan terhadapnya.

Selain hukuman penjara dan denda yang dikurangkan separuh, Najib mendakwa pada 29 Januari, bekas Agong telah mengeluarkan titah tambahan kepada Lembaga Pengampunan - yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Justeru Najib memohon mahkamah mengarahkan menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan dan beberapa lagi responden untuk mengesahkan titah tersebut.

Menerusi Panduankini kali ini, Malaysiakini akan mengupas mengenai "tahanan rumah" dan apa yang terangkum di dalamnya - dan apakah peruntukan sedemikian wujud dalam kerangka undang-undang.

Apakah sebenarnya 'tahanan rumah'?

Pakar kriminologi, P Sundramoorthy dari Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan program tahanan rumah dalam masyarakat sivil melibatkan perintah membataskan individu-individu tersebut di rumah mereka sepanjang menjalani hukuman, kecuali untuk alasan tertentu seperti berjumpa doktor atau hadir di mahkamah.

Individu-individu ini, kata Sundramoorthy, perlu memohon kebenaran untuk meninggalkan tempat tinggal mereka.

Mereka yang ditahan di rumah perlu menjalani perintah berkurung, yang mengkehendaki mereka berada di rumah semasa tempoh tertentu atau semalaman.

"Peralatan elektronik seperti gelang pergelangan kaki digunakan untuk memantau pergerakan dan aktiviti mereka.

"Peranti tersebut menjejaki lokasi mereka, memastikan mereka berada dalam had geografi yang ditetapkan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, walaupun mereka dibenarkan meninggalkan kediaman untuk bekerja, menyambung pengajian, menghadiri temu janji perubatan atau aktiviti lain yang diberi kebenaran, mereka harus pulang dalam tempoh yang ditetapkan.

Siapa yang boleh memohon dan apakah syarat-syaratnya?

Ini mungkin mengejutkan bagi ramai orang, tetapi jawapan kepada soalan ini ialah tiada sesiapa boleh memohon atau meminta "tahanan rumah" di Malaysia.

Peguam jenayah Goh Cia Yee menjelaskan pada masa ini tiada proses permohonan untuk "tahanan rumah" kerana tiada peruntukan sedemikian dalam sistem undang-undang negara ini.

'Peruntukan' ini tidak wujud dalam undang-undang Malaysia?

Jawapan ringkas kepada soalan ini ialah tidak.

Goh menegaskan "tahanan rumah" atau "penahanan rumah" bukan alternatif kepada hukuman penjara.

Peguam dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut bersetuju dengan pendapat ini dengan menyatakan tiada peraturan atau perundangan subsidiari mengenai "tahanan rumah".

"Saya tidak pernah mendengar sebarang rang undang-undang dibentangkan di Parlimen untuk peruntukan tersebut yang dipanggil 'tahanan rumah'.

"Tanpa undang-undang atau akta yang sewajarnya, tiada sesiapa boleh memohon tahanan rumah. Ini bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang," tegas wakil PKR itu.

Adakah kita ada peruntukan yang agak serupa?

Peguam Andrew Khoo berkata, Seksyen 43 Akta Penjara 1995 membenarkan pelepasan sesiapa saja banduan "secara lesen" tetapi "tertakluk kepada mana-mana peraturan yang dibuat oleh menteri" - dalam kes ini, berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Peruntukan ini juga menetapkan bahawa "syarat-syarat" bagi pelepasan sesiapa saja banduan "boleh dinyatakan secara lesen".

Pada Mac lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pelepasan banduan secara berlesen, melalui tahanan rumah, bagi banduan yang menjalani hukuman penjara selama empat tahun ke bawah, sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara.

Saifuddin berkata kementeriannya sedang dalam proses meneliti kaedah pelaksanaan dari sudut pandangan peruntukan undang-undang yang berkaitan, dan sama ada undang-undang dan peraturan sedia ada perlu dipinda.

Pendakwah Wan Ji Wan Hussin ialah salah seorang individu yang dilepaskan dari penjara di bawah program Pelepasan Banduan Berlesen.

Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Wan Ji, Saiful Izham Ramli, berkata program tersebut membenarkan banduan untuk tinggal di luar penjara, walaupun dengan pergerakan yang terhad dan perlu mendapatkan kebenaran untuk menjalankan sebarang aktiviti.

"Wan Ji tidak diletakkan di bawah tahanan rumah, tetapi pelepasan berlesen. Seperti biasa, banduan akan memohon program tersebut melalui peguam mereka.

"Jabatan Penjara akan memutuskan sama ada memberikan kebenaran atau sebaliknya. Kebanyakan masa, jabatan tersebut akan menghantar banduan ini untuk bekerja di bawah majikan, di mana majikan perlu menyediakan penginapan.

"Banduan juga perlu ke pejabat parol pada setiap bulan," kata Saiful.

Apakah Najib berada dalam 'senarai'?

Saifuddin pada 4 Mac berkata, bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu tidak layak untuk cadangan sebagai "tahanan rumah".

Menteri tersebut memberitahu Malaysiakini hanya banduan yang menjalani hukuman kurang daripada empat tahun penjara, warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya berada dalam senarai tahanan rumah.

Dia juga dilaporkan menafikan dasar tahanan rumah membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah dan menyifatkan dakwaan itu sebagai berniat jahat.

Jadi... bolehkah pengampunan diraja merangkumi peruntukan 'tahanan rumah' jika ia tidak termasuk dalam undang-undang?

Goh dan Khoo menyuarakan kebimbangan dan membangkitkan persoalan mengenai perkara ini.

Goh berpendapat kuasa Agong untuk memberikan pengampunan haruslah terhad kepada undang-undang sedia ada.

Ini, kata Goh, sama ada memberikan Najib pengampunan penuh atau mengurangkan hukuman penjara bekas perdana menteri itu.

"Kami tidak pasti pada ketika ini apa yang dimaksudkan oleh titah tambahan yang disebutkan apabila ia menyebut tahanan rumah.

"Adakah ia menetapkan syarat-syarat yang tepat untuk tahanan rumah ini? Ia boleh sangat kabur, yang pada gilirannya akan membuat perintah sedemikian tidak boleh dikuatkuasakan. Adakah ia bermakna 'curfew' atau pengurungan sepenuhnya di rumah?" katanya.

Khoo berpendapat mungkin tidak selaras dengan Perlembagaan untuk Agong atau Lembaga Pengampunan untuk memerintahkan tahanan rumah.

Merujuk kepada Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan, dia menyuarakan kebimbangan tentang sama ada kuasa Agong untuk memberikan pengampunan dan mengurangkan hukuman termasuk kuasa untuk menetapkan bahawa individu yang disabitkan boleh menjalani hukumannya dengan cara tertentu.

Perkara 42(1) menyatakan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.

Perkara 42(2) juga menyatakan bahawa tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan bolehlah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, dan dalam apa-apa hal lain, kuasa itu bolehlah dijalankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri tempat kesalahan itu telah dilakukan.

Protes pengundi India mungkin tak ‘tumbangkan’ PH dalam PRK KKB

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat sebarang tindakan protes daripada pengundi India tidak akan membawa kesan yang besar sehingga mendorong kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu bulan depan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata komuniti India yang mewakili 18% pengundi boleh memilih untuk tidak keluar mengundi atau beralih sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) sebagai “balasan” kemarahan mereka sejak PRU15.

“Hakikatnya ketidakpuasan hati itu masih ada dan sudah sampai di kemuncaknya, mungkin beri sedikit masalah kepada calon PH, namun tidak sampai memenangkan PN.

“Pengundi India belum sampai ke peringkat ‘kingmaker’ di kawasan DUN Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, ini kerana sokongan Cina yang mewakili 30% pengundi di kawasan itu mungkin masih utuh kepada PH selain ditambah sedikit undi ahli Umno.

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata gesaan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) untuk “memboikot” calon PH tidak mampu memecah undi dan seterusnya menyebabkan kekalahan parti itu.

“Sesiapa yang datang meletak calon (PRK KKB) dilihat sebagai ugutan yang kuat kerana berpengaruh menjejaskan keputusan undian 50:50 bagi kerusi berkenaan. Ini kerana sebarang pecahan undi akan menyebabkan yang sepatutnya menang jadi kalah.

“Namun gesaan itu sekadar gesaan..tidak akan memberi impak yang besar sangat..Biarpun Urimai ‘turun padang’ sendiri belum tentu dapat menarik undi daripada PH.

“Dengan kata senang, PH menang atau kalah tak akan disebabkan Urimai,” katanya.

Semalam, pengasas Urimai P Ramasamy berkata parti itu hanya akan menasihati pengundi agar tidak menyokong calon DAP PH pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei depan ekoran rasa tidak puas hati atas layanan kerajaan perpaduan terhadap masyarakat India.

Bagaimanapun beliau menegaskan parti itu tidak menyekat pengundi terbabit dalam amalan demokrasi, malah boleh membuat keputusan tanpa pengaruh memandangkan tiada hubungan rasmi mahupun tidak rasmi dengan pembangkang, PN.

Umur 7 tahun sudah bergelar tunangan orang

KOSMO
Tangkap layar video yang memaparkan majlis pertunangan pasangan kanak-kanak berusia tujuh tahun di Madura, Jawa Timur. - TIKTOK @z0yaahmad
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan majlis pertunangan seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di Madura, wilayah Jawa Timur, lapor akhbar Tribunnews semalam.

Lebih mengejutkan, budak perempuan yang tidak didedahkan namanya  itu ditunangkan dengan seorang kanak-kanak  lelaki yang juga berusia tujuh tahun. 

Menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @z0yaahmad, penduduk tempatan dilihat menghadiri majlis berkenaan dan menyaksikan pertunangan mereka. 

Keluarga kanak-kanak lelaki itu membawa barang-barang hantaran termasuk emas.

Seorang ahli keluarganya menyarungkan perhiasan pada kanak-kanak perempuan itu sama seperti majlis pertunangan orang dewasa. 

Menurut pemilik akaun TikTok tersebut, kedua-dua mereka dijodohkan sejak dari kecil dan akan berkahwin apabila memasuki usia dewasa. – AGENSI

Rakyat Malaysia di Iran diminta kekal waspada

Harapandaily

Rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke kawasan berlaku ketegangan antara Iran dan Israel dinasihatkan supaya kekal berwaspada.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar Negeri, rakyat juga dinasihatkan terus mengikuti perkembangan situasi semasa dan sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan gangguan jadual penerbangan.

“Mereka disarankan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran,” katanya hari ini.

Menurut Wisma Putra, Malaysia sedang memantau situasi terkini di Asia Barat itu dan menggesa semua pihak yang terlibat untuk meredakan ketegangan serta berusaha mencari jalan penyelesaian diplomatik.

Sementara itu, menurut rekod Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), setakat ini seramai 1,872 pelajar Malaysia berada di Jordan, Syria (37), Iran (8), manakala tiada pelajar Malaysia di Lebanon dan Iraq.

Sebelum ini, Israel menyerang Iran dengan tiga dron, beberapa hari selepas Iran melancarkan serangan membalas dendam terhadap Israel.

Namun, Iran berjaya memusnahkan ketiga-tiga dron dari negara pengganas itu.

Sistem pertahanan udara Iran dilapor diaktifkan di beberapa bandar selepas letupan kedengaran berdekatan bandar Isfahan.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi memberi amaran kepada Israel sebelum serangan hari ini bahawa Tehran akan memberikan tindak balas yang teruk terhadap sebarang serangan ke atas wilayahnya.

Bagaimanapun sehingga malam ini, tiada sebarang kenyataan dibuat pemimpin utama Iran berhubung serangan Israel itu.

Malah, Ebrahim dalam ucapannya ketika lawatan di wilayah tengah Semnan dilapor sama sekali tidak menyebut tentang serangan Israel ke atas wilayah Isfahan.

Hampir separuh bandar utama di China sedang tenggelam

BHarianonline 
Gambar hiasan menunjukkan fenomen banjir akibat kawasan darat yang semakin tenggelam. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan menunjukkan fenomen banjir akibat kawasan darat yang semakin tenggelam. - Foto BERNAMA
SINGAPURA: Hampir separuh bandar utama di China sedang tenggelam pada tahap 'sederhana hingga teruk', sekali gus mewujudkan risiko banjir bagi berjuta-juta orang terutama apabila paras laut meningkat.

Rumusan itu dibuat hasil kajian data satelit seluruh negara yang terbitkan hari ini oleh jurnal 'Science'.

Pengarang kajian itu mendapati 45 peratus daripada tanah bandar di China sedang tenggelam lebih cepat pada kadar tiga milimeter (mm) setahun, dengan 16 peratus lebih daripada 10mm setahun

Fenomena itu didorong bukan saja oleh penurunan paras air tetapi juga kerana peningkatan beban atau berat akibat pembinaan berlebihan di sesuatu kawasan.

Dengan penduduk bandar di China yang sudah melebihi 900 juta orang, sebahagian kecil tanah yang tenggelam di negara itu boleh menjadi ancaman besar kepada kehidupan bandar, kata pasukan penyelidik diketuai Ao Zurui daripada Universiti South China Normal.

Tanah yang tenggelam di China menyebabkan kerugian tahunan lebih daripada 7.5 bilion yuan (RM4.98 bilion) dan dalam abad yang akan datang, hampir 25 peratus kawasan pantai boleh mendap lebih rendah daripada paras laut, meletakkan ratusan juta orang berdepan risiko lebih besar diancam banjir.

"Ia benar-benar menyumbang kepada masalah besar negara berikutan ia bukan terjadi di satu atau dua tempat.

"Ia adalah mikrokosmos apa yang berlaku di seluruh dunia," kata Penyelidik di Pusat Penyelidikan Perubahan Iklim Tyndall di Universiti East Anglia, Robert Nicholls.

Bandar utara Tianjin yang dihuni lebih daripada 15 juta orang, dikenal pasti sebagai salah satu bandar paling teruk terjejas.

Tahun lalu, kira-kira 3,000 penduduk dipindahkan selepas 'bencana geologi mengejut' yang dikatakan penyiasat berpunca disebabkan kekurangan air serta pembinaan telaga geoterma.

Banyak daerah arang batu lama di China juga tenggelam akibat perlombongan, mendorong pihak berkuasa menyuntik konkrit ke dalam terowong yang runtuh untuk mengukuhkan tanah.

Masalah itu tidak hanya membelenggu China berikutan kajian berasingan yang diterbitkan pada Februari lalu mendedahkan kira-kira 6.3 juta kilometer (km) persegi tanah di seluruh dunia juga berisiko.

Antara negara paling teruk terjejas ialah Indonesia, dengan sebahagian besar ibu negara, Jakarta, kini berada di bawah paras laut.

Nicholls berkata, perkara itu turut dialami Tokyo, yang tenggelam kira-kira lima meter sehingga ia mengharamkan pengambilan air bawah tanah pada 1970-an.

"Mitigasi tanah tenggelam ini perlu diteliti secara sangat serius, tetapi kita tidak boleh menghentikan semuanya. Jadi, kita mempertimbangkan penyesuaian dan pembinaan empangan atau batas penahan aliran air," katanya.

Pakar Geofizik di Universiti Rhode Island, Matt Wei, berkata daripada 44 bandar pantai utama yang mengalami masalah itu, 30 daripadanya terletak di Asia, menurut kajian Singapura pada 2022.

"Ia adalah masalah perbandaran dan pertumbuhan serta kepadatan penduduk, di mana lebih besar jumlah penduduk, maka lebih banyak air bawah tanah diguna dan lebih cepat ia tenggelam," katanya. - REUTERS

Polis Australia berjaya selesaikan misteri import kokain

BHarianonline 
Polis berkata, asal usul dadah itu masih dalam siasatan. - Foto AFP
Polis berkata, asal usul dadah itu masih dalam siasatan. - Foto AFP
SYDNEY: Polis Australia berjaya menyelesaikan misteri lambakan batu bata kokain yang hanyut di pantai apabila menahan seorang lelaki yang didakwa menjadi dalang import dadah itu.

Menurut Polis Persekutuan Australia, suspek berasal dari Queensland dan berusia 36 tahun itu disyaki bertindak sebagai ketua rangkaian jenayah dadah dan memainkan peranan penting dalam pengumpulan dan pengedaran kokain di seluruh negara.

Menurutnya, namun tindakan jenayah lelaki itu terbongkar apabila kira-kira 900 kilogram kokain tidak dapat diambil di laut.

"Kira-kira 256 kilogram dadah dihanyutkan dalam batu bata di pantai sejak akhir tahun lalu.

"Suspek ditahan pada Rabu dan didakwa dengan 19 tuduhan dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah," katanya.

Sementara itu, menurut polis, pihaknya masih menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh. - AFP

Terkahwin adik-beradik tidak perlu cerai, dianggap zina

KOSMO!

PETALING JAYA – Tayangan sebuah siri drama Lelaki Itu kini hangat dibualkan dalam kalangan penonton apabila ia memaparkan kisah perkahwinan yang berlaku di antara adik-beradik kandung gara-gara hubungan yang disembunyikan.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli menerusi perkongsian di Facebooknya semalam berkata, perkahwinan antara adik-beradik kandung disebut nikah fasid iaitu pernikahan yang tidak memenuhi syarat-syarat sah bernikah mengikut hukum syarak.

“Kalau dah berkahwin, mereka tak boleh sebut cerai sebab cerai hanya untuk orang yang nikahnya sah.

“Haram hukumnya seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Ada pertalian darah dan nasab di situ. Kalau diteruskan juga, sepanjang hidup akan terus hidup dalam perzinaan.

“Jadi, mereka perlu buat permohonan faraq nikah mahkamah syariah, iaitu mohon untuk membatalkan perkahwinan dan mohon ampun serta bertaubat atas ketidaksengajaan isu ini (kahwin),” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, anak yang terlahir hasil perkahwinan pasangan adik-beradik kandung tidaklah dianggap sebagai anak tak sah taraf, namun ia digelar anak wati syubhah.

“Dari sudut undang-undang dan hukum syarak, anak-anak itu boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya.

“Anak itu juga boleh mewarisi pusaka dan perwalian kerana mereka dianggap sebagai anak sah taraf.

“Mengikut Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003 Sek. 114. Persetubuhan Syubhah, jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, kemudiannya perempuan itu melahirkan anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu,” jelasnya.

Jelas Fahmi, kebanyakan kes seperti itu berlaku adalah disebabkan perkahwinan secara senyap atau ia tidak didaftarkan secara sah.

“Kahwin senyap ini kebiasaanya nikah di sempadan Thailand dan balik Malaysia tak buat pengesahan di mahkamah syariah. Ada juga yang balik Malaysia buat pengesahan, tetapi isteri pertama (poligami) tak dimaklumkan.

“Saya selalu cakap sebelum ini, kesan yang paling teruk kahwin senyap ini, adalah kepada wanita. Kalau tak buat pengesahan, kesannya pada wanita dari segi pusakanya, dari segi kelahiran anak yang tak boleh dinasabkan kepada bapanya dan pelbagai lagi,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Jiran simbah air panas, pemuda OKU sindrom down melecur

Zuhainy Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Tangkap layar CCTV memaparkan seorang wanita menyimbah air panas ke arah pemuda OKU dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas hari ini.
Tangkap layar CCTV memaparkan seorang wanita menyimbah air panas ke arah pemuda OKU dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas hari ini.
BAYAN LEPAS: Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) sindrom down melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jirannya dalam kejadian di Jalan Rajawali I-Park, di sini, hari ini.
Free Malaysia Today


Mangsa berusia 33 tahun kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 20 saat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain, berkata mangsa tidak bekerja dan seorang OKU sindrom down, namun boleh bertutur dengan baik.

Katanya, menerusi laporan yang dibuat adik mangsa di Balai Polis Bayan Lepas, mangsa dikatakan disimbah dengan cecair disyaki asid oleh seorang wanita sejurus lelaki malang itu menaiki lif.

"Rawatan di HPP mengesahkan lelaki itu melecur di sebahagian depan dan belakang badan sebelah kanan bukan disebabkan simbahan asid, tetapi air panas.

"Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital itu dan berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jafri berkata, kejadian itu berlaku dalam lif ketika mangsa mahu pulang ke rumahnya di tingkat 16.

"Berdasarkan rakaman CCTV, hanya mangsa dan suspek berada dalam lif itu ketika kejadian. Polis sudah mengenal pasti suspek wanita yang disyaki tinggal di kejiranan mangsa, namun belum ada tangkapan dibuat.

"Punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa tidak pernah bertegur dengan suspek dan tidak pernah ada perselisihan faham. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya,.

Terdahulu, rakaman video tular itu memaparkan ruangan dalam lif yang dinaiki seorang wanita memakai baju putih, seluar hitam dan bercermin mata.

Mangsa kemudian dilihat masuk ke dalam ruangan lif itu sebelum wanita terbabit mengeluarkan botol lalu menyimbahkan cecair terhadap mangsa.

‘Rider’ terima pesanan makanan dari kubur

KOSMO
Seorang penghantar makanan (rider) berkongsikan kisah seram dan cemas dialaminya, yang diminta untuk menghantar pesanan makanan di sebuah kubur. - TIKTOK @mantis.ojol
JAKARTA – Seorang penghantar makanan (rider) berkongsi kisah seram di mana dia diminta untuk menghantar pesanan makanan yang diterima dari sebuah kawasan perkuburan, lapor akhbar Tribunnews semalam. 

Menurut penghantar makanan berkenaan, dia menerima pesanan daripada seorang pelanggan bernama Nanda. 

Namun, lokasi pesanan itu bertempat di sebuah tanah perkuburan  di Kudus, Jawa Tengah, menyebabkan dia berasa ragu.

Apabila tiba di lokasi tersebut, tiada seorang manusia pun berada di tanah kubur berkenaan. 

Pelanggan bernama Nanda itu juga tiada di lokasi tersebut.

Biarpun penghantar makanan itu berusaha menghantar mesej kepada Nanda, dia tidak menerima sebarang maklum balas. 

“Saya beruntung kerana kejadian berlaku pada siang hari, jadi, suasana tidak begitu menyeramkan,” katanya menerusi akaun TikTok @mantis.ojol. – AGENSI

49 buruh PATI ditahan? Masalah tidak akan selesai jika tindakan keras tidak diambil terhadap majikan yang menggambilnya bekerja

Tiada dokumen, 49 buruh warga asing ditahan

BERNAMA

Padang Besar: Jabatan Imigresen Perlis menahan 49 warga asing yang dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Bukit Chabang, di sini awal pagi tadi.

Pengarahnya Khairul Amin Talib berkata, 101 warga asing diperiksa dalam serbuan sekitar pukul 1.10 pagi itu yang dilancarkan hasil pemantauan dan risikan oleh Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Perlis.

"Seramai 49 daripada mereka ditahan, dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih daripada tempoh dibenarkan di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga India, 44 orang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Bangladesh, semuanya berumur 19 hingga 54 tahun.

"Jabatan Imigresen Perlis tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalahguna pas lawatan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi mereka," katanya.

Pelajar lelaki 14 tahun meninggal dunia ketika merentas desa

SYAMILAH ZULKIFLI
Ibu Allahyarham yang tidak dapat menahan sebak ketika dikunjungi di HTAN.
Ibu Allahyarham yang tidak dapat menahan sebak ketika dikunjungi di HTAN.
KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai kejohanan merentas desa di sekolahnya pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, pelajar terbabit Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sebaik menghampiri garisan penamat.

"Allahyarham dan seramai 700 pelajar lain telah mulakan larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer.

"Semasa pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ibu Allahyarham (kiri) disantuni Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah anaknya.
Ibu Allahyarham (kiri) disantuni Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah anaknya.
Menurutnya, guru yang berada di lokasi telah cuba memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Ujarnya, pihak sekolah kemudiannya telah menghubungi talian 999 dan dia kemudiannya telah dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk tindakan lanjut.

"Ambulans tiba di Unit Kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar itu disahkan meninggal dunia," katanya.

Sementara itu katanya, berdasarkan keterangan daripada bapa Allahyarham, dia menghidap penyakit jantung berlubang sejak tahun 2016.

Malah katanya, dia turut mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa.

"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Lelaki mabuk tunjuk kemaluan ditahan

FMT Reporters
Free Malaysia Today
Tangkap layar video memaparkan orang awam menahan seorang lelaki yang dikatakan menunjuk kemaluan pada Selasa lalu.
PETALING JAYA: Orang awam menahan dan menyerahkan kepada polis seorang lelaki yang menunjukkan kemaluan kepada wanita dalam kejadian Selasa lalu.

Beberapa video kejadian itu dikongsikan di media sosial, memaparkan orang awam mengepung kenderaan individu terbabit, yang merayu tidak diapa-apakan.

Menurut kenyataan media polis, kejadian berlaku di Seksyen 26 Shah Alam. Laporan berkaitan kejadian dibuat Selasa lalu oleh seorang perempuan sekitar 11 malam.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan kelucahan melampau, yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek dalam keadaan mabuk dan mempunyai masalah mental,” menurut Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim.

Kenyataan polis menyusuli penularan kejadian membabitkan lelaki berusia 46 tahun itu di media sosial.

Kes lelaki Israel: 10 ditahan semula bawah Sosma

FMT Reporters

Polis berkata, tangkapan keseluruhan kes itu ialah 18 orang, dengan 13 daripadanya masih dalam tahanan polis dan selebihnya dibebaskan dengan jaminan.
Free Malaysia Today
Shalom Avitan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 April lalu atas dua pertuduhan memperdagangkan enam pucuk pistol dan memiliki 158 butir peluru.
PETALING JAYA: Polis menahan semula 10 individu, termasuk tiga warga asing disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Shalom Avitan untuk disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata, 10 individu itu direman sebelum ini untuk disiasat mengikut Akta Senjata Api, manakala tiga warga asing terbabit disambung reman bawah Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

“Reman tiga individu itu di bawah Akta Senjata Api tamat semalam. Kita menahan mereka untuk 28 hari lagi mengikut Sosma bagi siasatan lanjut dijalankan,” katanya menurut Sinar Harian selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Cheras baharu antara Zam Halim Jamaluddin dan Ravinder Singh Sarban Singh di IPD Cheras.

Beliau berkata, tangkapan keseluruhan kes itu ialah 18 orang, dengan 13 daripadanya masih dalam tahanan polis dan selebihnya dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, tiga warga asing itu mempunyai pasport sah dan ada di antaranya menjalankan perniagaan di Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, Avitan memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis, tetapi apabila ditekan lebih lanjut oleh polis, dia menyerahkan pasport Israelnya.

Avitan mendakwa dia ke Malaysia untuk membunuh Eran Haya, yang dikatakan ketua kumpulan jenayah saingan yang juga dalam tahanan polis Malaysia.

Pada 12 April lalu, Avitan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memperdagangkan enam pucuk pistol dan memiliki 158 butir peluru.

Pada 8 April lalu, sepasang suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada Avitan, didakwa di Mahkamah Sesyen Klang atas dakwaan memiliki pistol 9mm.

Syarifah Faraha Syed Husin didakwa memiliki pistol itu, manakala suaminya, Abdul Azim Yasin didakwa bersama wanita itu, yang menimbulkan anggapan munasabah dia mengetahui isterinya memiliki pistol berkenaan.

Penunggang motosikal maut tercampak 30m dari jejantas

Bernama

Mangsa lelaki berusia 27 tahun itu menunggang sendirian dari Bayan Baru ke rumahnya di Bayan Lepas.
Free Malaysia Today
Mangsa tercampak dari jejantas setelah motosikalnya hilang kawalan lalu bergesel dengan penghadang jalan ketika melalui Jejantas Sungai Tiram dalam kejadian pada kira-kira 4.10 petang semalam. (Gambar Facebook)
BALIK PULAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak kira-kira 30m dari Jejantas Sungai Tiram, Jalan Sultan Azlan Shah di Bayan Lepas semalam.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian pada 4.10 petang itu, mangsa lelaki berusia 27 tahun yang menunggang sendirian itu sedang dalam perjalanan dari Bayan Baru ke rumahnya di Bayan Lepas.

“Apabila tiba di jejantas itu, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum bergesel dengan penghadang jalan dan tercampak ke bawah jejantas,” katanya.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 9.45 malam.”

Timbalan Ketua Polis Barat Daya Jafri Md Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau mohon maaf, mengaku buang beras

FMT Reporters
Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri dalam negeri Ismail Mohamed Said meminta maaf dan mengakui kesilapan melupuskan puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh.

Mengulas penularan isu itu di media sosial, Ismail mengakui bertanggungjawab atas perkara berkenaan dan menjelaskan semuanya adalah stok simpanan untuk diberikan kepada orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Ketua Umno Kuala Krau yang kalah pada PRU15 turut menjelaskan barangan dapur terbabit yang kini sudah rosak dibeli sebelum pilihan raya menggunakan peruntukan peribadi dan tiada sebarang pemberian kepada orang awam ketika kempen.

Katanya, tiada dana kerajaan pusat dan negeri digunakan selain ia tidak termasuk dalam peruntukan menyediakan keperluan ketika Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir.

Ismail menjelaskan, pada 5 April lalu beliau menerima aduan daripada jiran menyatakan ada bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut dan pemeriksaan mendapati ada beberapa bangkai tikus manakala beras dicemari bubuk/kutu.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebahagian beras itu diserahkan kepada penternak ayam dan itik di sekitar manakala bakinya dilupuskan.

“Saya mengambil tanggungjawab, menyesali perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, dalam hantaran di X memaklumkan kenyataan media rasmi akan dikeluarkan berhubung penularan kes berkenaan.

“Saya telah arah siasatan segera oleh Kawalselia Padi dan Beras Temerloh berkaitan insiden timbunan beras dibuang di kawasan pembuangan sampah di Kuala Krau,” katanya.

Israel lancar serangan peluru berpandu terhadap Iran - ABC News


 Bharianonline
Salah sebuah peluru berpandu balistik terdampar di pantai Laut Mati, selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel. - Foto REUTERS
Salah sebuah peluru berpandu balistik terdampar di pantai Laut Mati, selepas Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Israel melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Iran, lapor ABC News melaporkan lewat Khamis, memetik seorang pegawai AS, beberapa hari selepas Iran melancarkan serangan dron ke atas Israel.

Agensi berita Fars Iran berkata, letupan kedengaran di lapangan terbang di bandar Isafahan di Iran tetapi puncanya tidak diketahui dengan segera.

Beberapa tapak nuklear Iran terletak di wilayah Isfahan, termasuk Natanz, pusat program pengayaan uranium Iran.

Sehubungan itu, beberapa penerbangan dilencongkan dari ruang udara Iran, lapor CNN.

Pada hujung minggu, Iran melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu dalam serangan balas selepas serangan yang disyaki Israel di kawasan kedutaannya di Damsyik, Syria, kebanyakannya ditembak sebelum sampai ke wilayah Israel.

Iran memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bahawa Israel 'mesti dipaksa untuk menghentikan sebarang tindakan ketenteraan selanjutnya terhadap kepentingan Iran'.

Namun, Israel berkata ia akan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron Iran pada 13 April, dengan penganalisis serta pemerhati menimbulkan kebimbangan mengenai risiko perang Israel-Palestin merebak ke seluruh Asia Barat. - REUTERS

Tak puas hati dapat RM100, pencuri kembali 4 hari kemudian

NOR AINNA HAMZAH
Imej dua lelaki yang datang ke sebuah tokong sebanyak dua kali di tularkan oleh pengurusan tokong, hari ini.
REMBAU – Gara-gara tidak berpuas hati dengan hasil curian sebanyak RM100, seorang individu datang semula ke sebuah tokong di daerah ni bagi melakukan jenayah sama empat hari kemudian.

Tindakan individu terbabit dirakam melalui rakaman televisyen tertutup (CCTV) dan dimuat naik oleh seorang lelaki di media sosial Facebooknya.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed, kes berkenaan pada awalnya adalah kes yang berlaku pada hari raya pertama yang mana saspek masuk ke dalam tokong dan mencuri duit RM100 milik pengawal di situ yang sedang tidur.

“Bagaimanapun, duit tabung tidak di curi. Namun begitu suspek datang lagi pada cubaan kedua selepas empat hari. Pada cubaan kali kedua itu, suspek tidak berjaya masuk kerana pengawal menyedari perbuatan itu.

“Kejadian kali kedua juga tidak menyebabkan apa apa kerugian. Video rakaman CCTV itu mungkin di viralkan oleh pengurusan tokong tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Shaik Abd Kadar, pihak polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu. – KOSMO! ONLINE

12 kru berdepan detik cemas kapal terbakar dan hanyut

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
KAPAL MT Layar Anggun 8 terbakar kebakaran dan hanyut di kedudukan 5.6 batu nautika tenggara Pulau Lima. FOTO Ihsan APMM
KAPAL MT Layar Anggun 8 terbakar kebakaran dan hanyut di kedudukan 5.6 batu nautika tenggara Pulau Lima. FOTO Ihsan APMM
Johor Bahru: Kapal MT Layar Anggun 8 berdaftar dari Tanzania terbakar dan hanyut pada kedudukan 5.6 batu nautika tenggara Pulau Lima, Mersing, Selasa lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian dimaklumkan oleh pihak Zon Maritim Tanjung Sedili selepas menerima emel daripada pihak Vessel Traffic Management System (VTMS) Pasir Gudang.

Beliau berkata, APMM menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengatur gerak sebuah kapal dan bot ronda APMM ke lokasi kejadian namun kapal yang dilaporkan tidak berada di lokasi itu.

Menurutnya, pada jam 4.30 petang, MRSC Johor Bahru menerima pengesahan kapal MT Layar Anggun 8 hanyut memasuki perairan Pulau Bintan, Indonesia.

Katanya, kesemua 12 kru diselamatkan oleh pihak berkuasa Singapura di kedudukan 9.5 batu nautika timur Tanjung Punggai, Johor dalam laut wilayah Malaysia.

Wanita cedera diragut ketika menunggang motosikal

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
Kejadian tular mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja diragut sehingga terjatuh. FOTO IHSAN PEMBACA
Kejadian tular mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja diragut sehingga terjatuh. FOTO IHSAN PEMBACA
Klang: Polis mengesahkan satu kejadian ragut sehingga menyebabkan seorang wanita jatuh di atas jalan raya di Persiaran Raja Muda Musa di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Zarina di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang warga tempatan berusia 20 tahun pada 4.34 petang hari sama.

"Siasatan mendapati, dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi itu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Semasa melalui lokasi kejadian, tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah motosikal datang dari arah belakang mendekati mangsa dan menarik beg yang disilang di badan mangsa.

"Akibat situasi itu, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan raya serta mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata, siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka di kedua-dua belah tapak tangani, kedua-dua belah lutut dan bahu kiri.

"Mangsa sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Siasatan lanjut mendapati, beg silang mangsa yang diragut oleh suspek mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi serta wang tunai sebanyak RM114.

"Motosikal mangsa mengalami turut tercalar di bahagian coverset dan kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki dewasa menunggang motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 warna gelap.

"Polis kini dalam usaha mengenalpasti suspek dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, polis juga sedang mendapati beberapa video berkaitan perbuatan suspek tular di media sosial.

"Polis menasihatkan orang awam agar tidak menularkan video terbabit bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat," katanya.

Jangan senang-senang beri status tahanan rumah

Sinar Harian

Ketika ini ada kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara. Foto hiasan.

DAKWAAN Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai wujud Titah Adendum pada pengampunan diraja yang membenarkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di rumah bukan sahaja telah mencetuskan persoalan siapa yang tidak bercakap benar dalam hal tersebut, malah membangkitkan perdebatan mengenai kewajaran banduan-banduan di negara ini menjalani hukuman di rumah.

Buat masa ini, Malaysia belum mempunyai undang-undang yang membenarkan tahanan rumah.

Namun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini berkata, kerajaan secara prinsip bersetuju untuk melaksanakan program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah sebagai usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

Katanya, penghuni penjara yang mungkin terbabit dalam program itu ialah individu yang berpenyakit kronik, warga emas, orang kurang upaya dan ibu mengandung.

Mereka juga akan dipakaikan peranti pemantauan elektronik yang tidak memerlukan pegawai penjara membuat kawalan di rumah.

Ketika ini ada kira-kira 80,000 banduan ditempatkan di 43 penjara seluruh negara dengan kadar nisbah 244 banduan bagi 100,000 penduduk.

Jumlah itu melebihi piawaian antarabangsa iaitu 145 banduan bagi 100,000 penduduk.

Bagaimanapun, kerajaan haruslah berhati-hati dalam melaksanakan dasar baharu ini supaya masyarakat tidak berasa terancam.

Siapa yang boleh hidup tenang jika mengetahui tahanan rumah di kejiranan mereka adalah penjenayah kes berat seperti bunuh dan rogol?

Justeru, pelaksanaannya haruslah disasarkan khusus untuk kategori banduan tertentu dan perlu ada panel yang menilainya.

Janganlah senang-senang diberi status tahanan rumah.

Tahanan rumah merupakan alternatif kepada hukuman pemenjaraan di dalam tirai besi.

Malaysia sebelum ini telah melaksanakan sistem parol, yang juga salah satu hukuman di luar penjara sejak 2008.

Banyak negara telah melaksanakan program tahanan rumah termasuk Australia.

Ramai juga pemimpin luar negara yang pernah dan sedang menjalani hukuman itu seperti pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Kalaulah benar Najib akhirnya nanti akan menjadi tahanan rumah, kerajaan harus mempercepat pelaksanaan PBSL dengan menggubal undang-undang khusus supaya tidak timbul isu dua darjat.

Kalau Najib dapat, kenapa banduan lain tidak?

Lambakan kampit beras dibuang angkara sorok supaya naik harga?

Harapandaily

Lambakan kampit beras ditemui di sebuah lokasi pembuangan sampah berdekatan Kuala Krau, Pahang.

Difahamkan, kejadian dikatakan berlaku di Jalan Pintas Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum.

Ada berpendapat beras berkampit yang dibuang itu akibat aktiviti sorok untuk naikkan harga makanan asas itu.

Namun, beras itu akhirnya rosak disebabkan bubuk.

Tidak kurang juga berpendapat timbunan beras itu mungkin bantuan ketika musim banjir sebelum ini yang kemudian sudah rosak.

Pasal Najib timbullah persoalan demi persoalan

Mohsin Abdullah

Ingat tak 4 April lalu Shafee Abdullah peguam bela Najib Razak memaklumkan kepada media seorang ‘saksi penting’ dijangka memfailkan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman anak guamnya untuk menghabiskan baki tempoh hukuman penjara dengan tahanan di rumah? Ini membabitkan hukuman penjara enam tahun (setelah dikurangkan daripada 12 tahun oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan) dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Rasanya boleh dirumuskan ‘saksi penting’ yang dimaksudkan ialah timbalan perdana menteri dan presiden Umno, Zahid Hamidi. Ini kerana sekarang kita tahu Zahid menyokong dakwaan bos lamanya bahawa wujud titah addendum atau tambahan kepada titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 bersabit isu pengampunan Najib.

Najib mendakwa addendum itu mengenai titah Agong supaya beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah. Sekarang kita diberitahu oleh Zahid sendiri beliau menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Apr lalu – sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Zahid mendakwa pada pertemuan di rumahnya 30 Jan lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu tentang addendum berkenaan dan menunjukkan gambar dokumen itu yang di scan dan disimpan dalam telefonnya.

Zahid mendakwa Zafrul sendiri yang scan dan mengambil gambar addendum itu. Zahid kata Zafrul kata Agong ke-16 yang tunjukkan dokumen itu kepadanya. Zahid tidak pula beritahu mengapa Agong ke-16 tunjuk addendum itu kepada Zafrul dan mengapa Zafrul ambil gambar dokumen itu.

Bolehkah disimpulkan Zahid bertindak menyokong dakwaan Najib bagi membuktikan kesetiaannya kerana dalam kalangan Umno ada yang beranggapan beliau tidak bersungguh-sungguh membela Najib, malah ada yang tuduh Zahid sekadar melepas batuk di tangga supaya kekal sebagai presiden Umno. Bagi golongan yang menuduh, jika Najib dibebaskan beliau boleh make a comeback sekali gus Zahid diketepikan.

Bagi Megat Zulkarnain Omardin, afidavit Zahid kemuncak usaha presiden Umno itu ‘membela sahabatnya’. Tetapi Megat Zulkarnain setiausaha politik Zahid.

Namun yang menarik ialah Zafrul menegaskan ada beberapa ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid. Lantas beliau mahu memfail afidavitnya sendiri bagi memperbetulkan kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit Zahid. Ertinya apa semua itu? Isham Jalil, ahli majlis kerja tertinggi Umno yang dipecat tahun lalu bertanya: “Zafrul ingin cakap apa dalam afidavit dia dan apa fakta yang dia ingin betulkan? Adakah dia ingin betulkan apa yang Zahid kata dan afidavit Zahid itu tidak tepat i.e Zahid menipu?”

Apa pun peguam Najib menuntut kerajaan jelaskan dakwaan ia menyembunyikan kewujudan addendum atau titah tambahan Agong. Perlu diingat Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pernah dilapor berkata beliau tidak tahu wujudnya titah tambahan mengenai tahanan rumah untuk Najib.

Pada hemat saya, kerajaan tidak mahu dilihat atau dikaitkan dengan sebarang langkah meringankan lagi hukuman Najib kerana ia sesuatu yang tidak disenangi ramai rakyat.

Pun begitu Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dilapor FMT 17 Apr lalu berkata Saifuddin perlu jawab persoalan yang timbul kerana ia menjejaskan kerajaan serta kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan.

FMT turut menyiarkan komen penganalisis politik, Asrul Hadi Abdullah. Kata beliau, afidavit Zahid boleh memaksa Umno menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat kenyataan umum dan mendesak Najib menghabiskan hukumannya di rumah. Menurut Asrul, Umno mungkin tidak mahu bekerjasama dengan PKR selepas penggal Parlimen ini tamat jika permintaan mereka ditolak.

Katanya lagi, pakatan itu hampir mencapai penghujungnya.

Ada benar kata beliau. Cuma saya ingin menambah banyak bergantung pada ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid yang Zafrul mahu betulkan. Besar mana silapnya?

Benar juga Umno ada pilihan untuk tidak bekerjasama dengan PKR malah PH secara total. Namun pada pandangan saya Umno akan lebih banyak rugi jika meninggalkan kerajaan, lalu saya tidak menjangkakan Umno akan keluar blok pemerintah. Atau Umno boleh menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama PAS untuk memikat pengundi Melayu. Apa lagi tindakan ketua Pemudanya akhir-akhir ini terutama dalam isu boikot KK Mart, Umno percaya telah mendekatkannya dengan orang Melayu. Akan tetapi Umno tetap di belakang PAS dan Bersatu, ertinya PAS nombor satu, Bersatu nombor dua, barulah Umno di tempat ketiga.

Lazimnya parti nombor tiga don’t have much say.

Buat masa ini ‘masalah Najib Razak’ mesti diselesaikan bukan sahaja oleh Umno tetapi juga PH. Bagi kerajaan, persoalannya mahu jaga hati Umno atau hati majoriti rakyat. Tak bolehlah play safe selalu.

Remaja pandu kereta langgar 10 penunggang motosikal

KOSMO
MH memandu kenderaan Toyota Yaris tanpa lesen. – Tangkap layar video/Okezone
JAKARTA – Polis Indonesia menyaman seorang remaja bawah umur kerana memandu kenderaan tanpa lesen dan merempuh 10 motosikal serta sebuah kereta lain dalam berbilang kejadian pada satu malam, lapor portal berita Okezone semalam.

Remaja dikenali sebagai MH dan berumur 16 tahun itu melakukan kesalahan tersebut di Tarumajaya, wilayah Jawa Barat semalam.

Menurut Ketua Unit Kemalangan Trafik Polis Metro Bekasi, Inspektor Wandi Suwandhi, MH ketika itu keluar mencari makan dengan memandu kereta Toyota Yaris.

Ketika berada di kawasan Tarumajaya, dia melanggar sebuah motosikal.

Namun, ketika mahu keluar dari kereta untuk membantu penunggang motosikal tersebut, MH dikejar tiga remaja lain yang turut cuba merosakkan kenderaannya.

“Remaja itu ketakutan lalu masuk semula ke dalam kereta dan memandu pergi sambil dikejar oleh tiga remaja lain,” kata Wandi.

Tambahnya, ketika memandu dengan tergesa-gesa, MH merempuh dua motosikal lain sebelum memandu ke arah sebuah hospital terdekat.

“Ketika berada di persimpangan lampu isyarat, MH merempuh dua lagi motosikal.

“Kemudian, dia mahu memasuki plaza Tol Becakayu sambil dikejar lima buah motosikal. Namun, disebabkan ketakutan, dia mengundur kereta lalu melanggar kelima-lima kenderaan itu,” kata Wandi.

Akhir sekali, MH melanggar sebuah kereta Honda Brio di plaza tol yang sama ketika mahu melarikan diri sebelum kenderaan polis tiba.

MH kemudian ditahan sebelum ibu bapanya  dipanggil ke balai polis.

Remaja itu dikenakan saman, manakala ibu dan bapanya berjanji akan membayar ganti rugi kepada semua kenderaan lain yang terlibat. – AGENSI 

Banjir besar 5 negara ragut ratusan nyawa

KOSMO!
Tangkap layar video menunjukkan penduduk menolak kereta yang terkandas di jalan yang dinaiki air banjir di Dubai kelmarin. - AFP
DUBAI – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerima taburan hujan paling lebat dalam tempoh 75 tahun kelmarin, sehingga mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan negara itu terutamanya Dubai, lapor laman berita Gulf News.

Pusat Meteorologi Kebangsaan mengesahkan bahawa rekod hujan yang turun di UAE dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 9 malam (waktu tempatan) kelmarin merupakan peristiwa luar biasa dalam sejarah iklim negara itu sejak data direkodkan pada 1949.

Rekod hujan tertinggi dicatatkan di kawasan Khatm Al Shakla di Al Ain, yang mencecah 254 milimeter dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Rakaman video tular di media sosial menunjukkan air mengalir melalui kawasan pusat beli-belah dan membanjiri tingkat bawah rumah meskipun UAE diketahui mempunyai iklim panas dan kering yang menyebabkan hujan jarang berlaku.

Klip-klip video yang dikongsikan orang ramai menunjukkan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai digenangi air ketika pesawat-pesawat meredah banjir.

Jet-jet besar kelihatan seperti bot yang bergerak sehingga lapangan terbang itu terpaksa menghentikan operasi selama hampir setengah jam.

Hujan turun dengan lebat dan begitu cepat sehingga beberapa pemandu terpaksa meninggalkan kenderaan mereka apabila paras air meningkat, manakala jalan raya-jalan raya bertukar menjadi sungai, lapor stesen penyiaran CNN.

Sekurang-kurangnya satu kematian direkodkan apabila lelaki berusia 70 tahun dihanyutkan air ketika dia berada di dalam kereta di Ras Al-Khaimah, kata polis semalam.

Dalam pada itu, banjir turut melanda Oman dan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang setakat semalam, dengan kebanyakannya pelajar sekolah.

Ribut turut melanda Bahrain dan Qatar selepas melintasi Oman.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 66 orang terkorban akibat hujan lebat dan banjir kilat di Afghanistan yang turut memusnahkan rumah, infrastruktur dan ladang di kebanyakan wilayah negara itu.

Akhbar Arab News melaporkan, ribut bermula minggu lalu menambah lagi cabaran yang dihadapi Afghanistan ketika ia sedang cuba untuk pulih daripada konflik berpuluh tahun dan bencana alam.

Kira-kira 23 daripada 34 buah wilayahnya dilanda banjir kilat sehingga merosakkan tanaman menjelang musim menuai sekali gus menjejaskan sumber makanan.

Pihak berkuasa persekutuan dan wilayah Pakistan pula melaporkan lebih 50 orang maut akibat hujan lebat, banjir kilat, petir, ribut dan tanah runtuh.

Kebanyakan kematian berlaku di wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan dan wilayah Punjab di bahagian tengah negara itu. 

Pegawai-pegawai berkata, sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh di kedua-dua wilayah itu, manakala ramai lagi cedera.

Sementara itu, di Afrika Timur, hujan lebat dan banjir di Tanzania telah mengorbankan sekurang-kurangnya 58 orang termasuk kanak-kanak sejak awal bulan ini, kata jurucakap kerajaan pada Ahad lalu.

“Dari 1 hingga 14 April 2024, terdapat 58 kematian akibat hujan lebat, yang membawa kepada banjir,” kata jurucakap kerajaan, Mobhare Matinyi pada taklimat akhbar. – AFP/AGENSI

Menara Merdeka 118 terima pensijilan LEED Platinum

KUALA LUMPUR - Projek menara Merdeka 118 PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) melakar sejarah apabila dianugerahkan pensijilan Platinum Kepimpinan dalam Tenaga dan Rekabentuk Alam Sekitar (LEED) dalam sistem penarafan Teras dan Shell LEED v2009.

PNBMV ialah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Dalam satu kenyataan hari ini, PNBMV berkata pensijilan LEED mengiktiraf pematuhan projek itu selari dengan kriteria yang digariskan dalam sistem penarafan LEED, yang ditubuhkan oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat (USGBC).

Ketua Pegawai Eksekutif Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata pensijilan Platinum LEED menandakan pencapaian besar pertama dalam perjalanan Merdeka 118 untuk menjadi bangunan mega tinggi pertama di Malaysia yang memperoleh penarafan platinum tiga-hijau.

"Apabila menara Merdeka 118 menerima kesemua pensijilan platinumnya nanti, ia akan menetapkan standard kelestarian tertinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa, mengukuhkan lagi statusnya yang ikonik,” katanya.

Beliau berkata USGBC menilai projek Merdeka 118 dalam bidang kelestarian tapak, kecekapan penggunaan air, tenaga dan atmosfera, bahan dan sumber, kualiti persekitaran dalaman, dan inovasi dalam reka bentuk.

"Kredit juga diberikan kepada landskap yang cekap air, pengurangan penggunaan air, prestasi tenaga yang dioptimumkan dan peningkatan penyelarasan.

"Pengiktirafan yang selayaknya ini adalah bukti dedikasi dan kerja keras pasukan kami serta

penggunaan amalan terbaik dalam reka bentuk dan pembinaan,” katanya.

Menurut PNBMV Merdeka 118 sedang menyasarkan pensijilan Platinum dari Green Real Estate (GreenRE) dan Green Building Index (GBI).

Ia juga bakal mendapatkan pensijilan WELL daripada International WELL Building Institute Asia Pacific, menyokong kesejahteraan para penyewa dan komuniti di sekitarnya. - Bernama

Timbalan Presiden PAS nafi dakwaan ambil duit BERSATU

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

KOTA BHARU: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan mengatakan beliau antara pemimpin PAS mengambil duit BERSATU seperti tular di aplikasi TikTok, sejak malam tadi.

Sambil menyifatkan dakwaan itu adalah terpelik di dunia, Timbalan Presiden PAS itu turut memaklumkan perkara berkenaan tiada dalam pengetahuannya.

"Saya tidak tahu berhubung dakwaan ini…Saya ambil duit BERSATU? Ini adalah dakwaan terpelik di dunia.

"Setakat ini saya tidak terima maklumat berhubung perkara ini. Saya akan tengok dulu dakwaan ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PAS Kelantan, di sini, hari ini.

Semalam tukar rakaman perbualan suara di aplikasi Tiktok yang mendakwa Tuan Ibrahim menjadi individu pertama dari PAS mengambil wang milik BERSATU selain Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Individu yang membuat dakwaan terhadap Tuan Ibrahim itu didakwa adik kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menerusi rakaman itu, lelaki berkenaan mendakwa dia sebagai saksi empat mata yang melihat kejadian berkenaan.

Detik hitam diculik, dikurung 3 lelaki

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menculik dan memeras ugut seorang perunding hutang. Ihsan IPD Sungai Buloh
Tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menculik dan memeras ugut seorang perunding hutang. Ihsan IPD Sungai Buloh
Sungai Buloh: Seorang perunding hutang menempuh detik hitam apabila dia diculik dan dikurung selama beberapa jam oleh tiga lelaki di sebuah premis sekitar Puncak Alam, di sini sebelum diselamatkan oleh sepasukan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Asisten Komisioner Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa jam 10.46 malam kelmarin.

"Pengadu melaporkan mangsa berusia 20-an berjumpa dengan seorang wanita tempatan berkaitan urusan hutang milik syarikat pengadu.

"Susulan itu, mangsa menghubungi pengadu dan menyatakan bahawa dirinya ditahan, dipukul, diikat dan dilarikan oleh beberapa orang lelaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa suspek terbabit merampas wang tunai RM2,000 daripada pekerjanya itu dan meminta wang tebusan berjumlah RM7,000 sebelum melepaskan mangsa.

Katanya, bertindak atas maklumat pihaknya menjalankan operasi mengesan mangsa dan berjaya menjejak lokasi suspek berkenaan lalu melakukan serbuan jam 1.20 pagi semalam.

"Serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sekitar kawasan Puncak Alam, Selangor.

"Dalam serbuan itu didapati mangsa sedang berada dalam tahanan suspek berkenaan dan polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30an hingga 40an," katanya.

Mohd Hafiz berkata, polis turut merampas beberapa barang kes antaranya kereta Honda, telefon bimbit dan kad pengeluaran wang automatik (ATM).

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau dan satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Iran akan guna senjata terbaru yang belum pernah digunakan hadapi serangan balas Israel

Bharianonline
Trak tentera Iran yang membawa dron Arash melepasi Raisi (kiri) dan pegawai tentera ketika perarakan tentera sebagai sebahagian daripada upacara menandakan hari tentera tahunan negara itu di Tehran semalam. - Foto AFP
Trak tentera Iran yang membawa dron Arash melepasi Raisi (kiri) dan pegawai tentera ketika perarakan tentera sebagai sebahagian daripada upacara menandakan hari tentera tahunan negara itu di Tehran semalam. - Foto AFP
TEHRAN: Iran memberi amaran keras bahawa tenteranya akan menggunakan senjata yang 'tidak pernah digunakan sebelum ini' ke atas Israel sekiranya negara itu melakukan serangan balas terhadap Tehran.

"Jika Israel bertindak balas, tindak balas kami seterusnya adalah dengan segera, lebih kuat dan lebih meluas menerusi 'senjata rahsia kami'," kata Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian ketika bercakap dengan Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Cameron.

Jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Iran, pula berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senjata sama ke atas Israel.

"Kami akan menghadapi sebarang pencerobohan Israel dan bertindak balas terhadapnya. Kami sedia menggunakan senjata terbaru yang kami tidak pernah gunakan sebelum ini.

"Kami mempunyai rancangan untuk semua senario dan kami menyeru rejim Zionis untuk bertindak secara rasional," kata Abolfazl Amoui yang dipetik sebagai berkata oleh Al-Mayadeen News, sebuah saluran berita Lubnan yang bersekutu dengan Iran.

Sementara itu, Presiden Iran, Ebrahim Raisi, turut memberi amaran bahawa 'pencerobohan paling kecil' oleh Israel akan membawa tindak balas 'besar-besaran dan keras', ketika pihaknya bersedia untuk tindakan balas Israel yang berpotensi selepas serangan Iran pada Sabtu lalu.

Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel pada hujung minggu lalu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas pekarangan kedutaannya di Syria pada 1 April yang mengorbankan 12 orang, termasuk dua jeneral Iran.

Israel, dengan bantuan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, negara jiran Jordan dan negara lain, berjaya memintas hampir semua peluru berpandu dan dron. - AGENSI