"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan ‘siasat’ kemungkinan 4 negeri guna logo, tema berbeza

FMT Reporters

PETALING JAYA: Fahmi Fadzil menegaskan sambutan Hari Kebangsaan tidak sepatutnya bersifat politik, susulan ada cadangan supaya logo dan tema berbeza di empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Menteri komunikasi dan digital itu berkata pihaknya akan meminta agensi bertanggungjawab untuk meneliti dan menyiasat perkara berkenaan.

Beliau berharap semua pihak mengetepikan politik kerana PRN telah selesai sambil menegaskan perbezaan di Kelantan, Kedah, Terengganu, dan Perlis hanya mewujudkan jurang serta suasana tidak bersatu padu.

“Sebelum ini kita angkat bendera parti, sekarang ketepikan dan angkat bendera Malaysia.

“Tidak mahu ada sebarang fahaman politik kerana sekarang kita fokus untuk bersatu padu dan membangukan negara,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media selepas sebuah program di Putrajaya.

Hari ini, media melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan mencadangkan supaya kerajaan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu ditadbir gabungan itu menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenalkannya.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari hari ini memperkenalkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

Fadhli mendakwa rakyat boleh menerima “langkah politik” seperti dicerminkan pada PRN 12 Ogos lalu.

15 polis; 2 timbalan pendakwa ditahan dalam serbuan pusat hiburan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan 15 anggota polis bersama dua timbalan pendakwa raya (TPR) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad, Seremban hari ini.

Menurut Berita Harian, TPR itu bertugas di Selangor dan Negeri Sembilan manakala anggota polis pula dari siasatan jenayah Nilai dan Tampin, penguatkuasaan trafik Seremban dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Hasil ujian air kencing mendapati seorang daripadanya negatif dadah manakala selebihnya di bawah pengaruh dadah dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira 2.30 pagi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan serbuan dilakukan JIPS Bukit Aman dengan kerjasama IPK negeri.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelas 'takfiri siyasi' kuasai pemikiran k'jaan Kelantan - Mujahid

Malaysiakini

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof berkata kerajaan persekutuan ada tanggungjawab untuk menegur mana-mana pihak yang menurutnya cuba mewujudkan unsur yang boleh menjejaskan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Mujahid berkata demikikan ketika merujuk ucapan Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud semalam yang menyifatkan dua kerusi DUN Kelantan yang dimenangi PH-BN sebagai milik pihak yang “menentang perjuangan Islam”.

“Jelaslah pemikiran takfiri siyasi menguasai pemikiran kerajaan Kelantan, iaitu pemikiran menganggap seteru politiknya sebagai tidak perjuangkan Islam dan mereka sahaja secara eksklusif perjuangkan Islam.

“Kesan pemikiran takfiri siyasi memecah-belahkan masyarakat dan memburukkan imej Islam yang 'dipenjarakan' secara monopoli politik,.

“Rakyat Kelantan telah membuat keputusan dan kita perlu menghormati pilihan mereka namun menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk menegur unsur yang boleh menjejaskan Islam sebagai agama rasmi persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nassuruddin berkata demikian dalam kuliahnya di Kota Bharu, semalam.

Menurut video yang tular itu, Nassuruddin juga menyifatkan kemenangan PAS dalam PRN baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.

Nassuruddin antara lain dipetik sebagai berkata: "Alhamdullilah orang muda bersemangat, orang tua tu sokmo dah sokong perjuangan Islam. (Tapi) orang muda sokong, alhamdullilah, sehingga tinggal dua kerusi.

"Takpolah kena ada juga. Orang nak tengok lagu mana hak lawan perjuangan Islam ni... lagu mano. Jadi rakyat buleh tunjuk, lagu tu lah pesen," katanya.

Dua kerusi itu ialah Galas yang dimenangi Mohd Syahbuddin Hashim dari Umno dan Kota Lama oleh Dr Hafidzah Mustakim dari Amanah.

Kedua-dua Adun terbabit beragama Islam.

Abang tikam mati adik 9 tahun di Ranau

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditikam mati abangnya dalam kejadian di Kampung Kinapulidan, Ranau.

Dalam kejadian pada 5.40 pagi, Khamis lalu, suspek berusia 19 tahun dipercayai mengalami masalah mental itu menikam adiknya di bahagian perut dengan mangsa disahkan meninggal dunia enam jam kemudian di Hospital Ranau.

Ketua Polis Ranau Simiun Lomudin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.27 pagi hari sama.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditikam ketika berada di ruang tamu sambil menambah polis masih menyiasat motif kejadian.

“Suspek menikam dengan menggunakan sebilah pisau dan mangsa kemudiannya telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh jirannya sejurus selepas kejadian.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.10 pagi semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Ranau,” katanya menurut Sinar Harian.

Simiun berkata, suspek berjaya ditangkap pada hari sama di sekitar lokasi kejadian.

“Pihak polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi IPD Ranau bagi membantu siasatan.

Takfiri tak pernah ‘surut’ dari Pas, Hasbie cabar Fadhli Shaari berdebat

HarapanDaily.com
Takfiri tak pernah ‘surut’ dari Pas, Hasbie cabar Fadhli Shaari berdebat
SITI NUR ZAWANI

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda mencabar Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fahdli Shaari untuk berdebat dengannya mengenai budaya takfiri dalam Pas.

Ia susulan kenyataan Ahmad Fadhli pada 6 Ogos lalu yang menafikan dakwaan bahawa partinya menerapkan budaya ekstrem seperti mengkafirkan penyokong dan parti lain.

Namun penafiannya itu mula dipertikai apabila tular ceramah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud yang menggelar dua wakil rakyat pembangkang di negeri itu sebagai melawan perjuangan Islam.

Hasbie berkata, kenyataan melampau dikeluarkan oleh menteri besar dari Pas itu membuktikan bahawa gejala takfiri tidak pernah berkurang sedikit pun dari parti jenama Islam itu.

“MB Kelantan yang baru memulakan hari-hari awal sebagai MB, melabelkan dua ADUN pembangkang di Kelantan sebagai dua ADUN yang melawan perjuangan Islam.

“Kenyataan melampau ini bukti gejala takfiri tak pernah surut dari Pas.

“Itupun Ketua Pemuda Pas @FadhliShaari masih nafikan. Saya sedia debat!,” ciapnya di Twitter malam tadi.

Ahmad Fadhli ketika menafikan dakwaan partinya menerapkan budaya ekstrem, berkata, pimpinan parti tidak pernah sewenang-wenangnya melabelkan orang sebagai kafir.

Beliau juga mengatakan sepanjang menganggotai sayap Pemuda Pas, beliau membesar dalam situasi yang tidak pernah melabelkan seseorang itu ke neraka atau ke syurga.

Bagaimanapun apa yang berlaku adalah sebaliknya selepas tular video ceramah Nassuruddin sejak semalam.

Kenyataan Nassuruddin yang melabel dua ADUN pembangkang itu dipercayai merujuk kepada Dr Hafidzah Mustakim yang menang di DUN Kota Lama dan Shahbudin Hashim dari BN di DUN Galas.

“Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Kelate ni. Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah.

“Orang muda bersemangat…orang tua tu hok sokmo doh sokong perjuangan Islam. Orang muda pun sokong.

“Alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah kena ada jugok, takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ni. Jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu…,” katanya.

Baru jadi MB Kelantan, Nassuruddin label 2 ADUN pembangkang lawan Islam

HarapanDaily.com
Baru jadi MB Kelantan, Nassuruddin label 2 ADUN pembangkang lawan Islam
SITI NUR ZAWANI 
Baru beberapa hari menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud didakwa melabel dua ADUN pembangkang di negeri itu sebagai melawan perjuangan Islam.

Menerusi video ceramahnya yang tular di Facebook, Nassuruddin berkata rakyat boleh melihat bagaimana dua kerusi yang dimenangi pembangkang, mahu melawan Islam.

“Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Kelate ni. Mu beri sokongan kepada perjuangan Islam. Alhamdulillah.

“Orang muda bersemangat…orang tua tu hok sokmo doh sokong perjuangan Islam. Orang muda pun sokong.

“Alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi. Takpolah kena ada jugok, takut orang nak tengok lagu mana hok lawan perjuangan Islam ni. Jadi rakyat boleh tunjuk hok dua tu…,” katanya.

Perikatan Nasional (PN) menang 43 kerusi DUN Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Dua lagi kerusi tradisi gagal dipertahankan apabila jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) iaitu BN di DUN Galas, manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) diumumkan menang di DUN Kota Lama.

Video ceramah Nassuruddin kemudiannya tular di media sosial sehingga mengundang kecaman ramai yang menganggap budaya takfiri dalam Pas semakin parah.

Mereka turut mengecam Pas sebagai mengamal kefahaman songsang kerana menganggap orang yang melawan parti jenama Islam adalah orang yang melawan Islam.

“Sejak bila pula mereka lawan islam? Mereka Islam dan mereka menentang Pas bukan bermakna mereka menentang Islam.

“Mengapa sampai ke tahap ini pemikiran pemimpin Pas yang bertaraf Menteri Besar?,” soal pengguna Facebook menggunakan nama Wan Makette.

Pada masa sama, Pas diselar “cakap tak serupa bikin” kerana baru-baru ini mengumumkan mahu mengambil pendekatan matang bagi memperkukuh hubungan dengan kerajaan Persekutuan, namun tiba-tiba menggelar ADUN PH-BN sebagai melawan perjuangan Islam.

Lawan perjuangan Islam: Amanah Kelantan cabar MB tunjuk bukti

Malaysiakini

Amanah Kelantan mencabar menteri besar negeri itu agar menunjukkan bukti parti itu terlibat dalam sebarang tindakan melawan "perjuangan Islam".

Pengarah Biro Undang-undang (Kanun) Amanah Kelantan Hisham Fauzi berkata langkah itu perlu selepas ahli politik terbabit membuat dakwaan terbuka semalam.

"Kanun Amanah Kelantan dengan ini mencabar Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud untuk menjelaskan dan menunjukkan kepada rakyat Kelantan dari aspek manakah Amanah menentang perjuangan Islam.

"Dalam keadaan manakah Amanah menolak Islam?

“Keputusan yang mana menunjukkan Amanah menolak, atau menentang, atau bertentangan dengan hukum Islam," katanya dalam kenyataan kepada media malam tadi.

Hisham berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nassuruddin semasa memberikan kuliah di Kota Bharu semalam.

Menurut video yang tular itu Nassuruddin mendakwa kemenangan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.

Dia juga juga menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN selepas menewaskan calon PAS di kawasan terbabit sebagai milik pihak yang “menentang perjuangan Islam”.

Elak mudah terpengaruh

Dua kerusi itu ialah Galas, yang dimenangi calon Umno, Mohd Syahbuddin Hashim; serta Kota Lama (Dr Hafidzah Mustakim - Amanah).

Kedua-dua Adun terbabit beragama Islam.

Menurut Hisham, kenyataan dibuat Nassuruddin itu memberi tanggapan yang sangat salah kepada orang ramai.

Katanya semua orang Islam berhak melaksanakan perjuangan berlandaskan Islam seperti yang diajar Nabi Muhammad SAW dan bukan hak yang dimonopoli PAS.

"Kanun Amanah Kelantan dengan ini menegaskan bahawa pandangan sebegitu adalah salah, dan tidak benar sama sekali.

"Perjuangan Islam bukanlah 100 peratus hanya milik PAS. Perjuangan Islam adalah sebagaimana yang diwariskan Rasullah SAW adalah milik semua Umat Islam," katanya.

Hisham berkata kegagalan Nassuruddin memahami perbezaan di antara jamaatul muslim dan dan jama'ah minal muslimin sangat mendukacitakan kerana pada masa sama ahli politik terbabit mendakwa dirinya sebagai ulama.

Dalam kuliah yang disampaikan di Medan Ilmu di Kota Bharu itu, Nassuruddin antara lain dipetik sebagai berkata: "Alhamdullilah orang muda bersemangat, orang tua tu sokmo dah sokong perjuangan Islam. (Tapi) orang muda sokong, alhamdullilah, sehingga tinggal dua kerusi.

"Takpolah kena ada juga. Orang nak tengok lagu mana hak lawan perjuangan Islam ni... lagu mano. Jadi rakyat buleh tunjuk, lagu tu lah pesen," katanya.

Mengulas lanjut, Hisham menyeru rakyat Kelantan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan liar pemimpin PAS.

"Saya dengan ini suka untuk mengingatkan rakyat negeri Kelantan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan, dakyah-dakyah liar tidak berasas, tidak berpandukan dalil-dalil agama, yang dikeluarkan pemimpin PAS yang semakin galak melabelkan musuh-musuh mereka sebagai kafir, sebagai penentang Islam, sebagai musuh Islam.

"Saya akan terus berdiri dalam Amanah menentang usaha ektremisme di dalam pelaksanaan Islam," katanya.

AMANAH umum Suhaizan Kaiat calon Parlimen Pulai, Nazri di Simpang Jeram

 HarapanDaily.com

HomeBerita

AMANAH umum Suhaizan Kaiat calon Parlimen Pulai, Nazri di Simpang Jeram

HARAPAN DAILY 

AMANAH umum Suhaizan Kaiat calon Parlimen Pulai, Nazri di Simpang Jeram

AMANAH mengumumkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon di kerusi Parlimen Pulai bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara bagi kerusi DUN Simpang Jeram, AMANAH meletakkan muka baharu iaitu Jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ir Nazri Abdul Rahman.

Nazri yang merupakan Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri disebut-sebut sebagai calon di DUN berkenaan berdasarkan popularitinya selain pernah menjadi pembantu Allahyarham sepanjang dipilih ADUN kawasan terbabit.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Jawatankuasa Pemilihan Calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram telah bermesyuarat pada 15 Ogos lalu dan menyerahkan senarai calon kepadanya serta Ahli Jawatankuasa Nasional AMANAH pada 17 Ogos untuk dimuktamadkan.

“Setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan daripada Jawatankuasa ini, saya dengan ini mengumumkan calon-calon yang akan bertanding mewakili AMANAH-Pakatan Harapan serta parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan

“InsyaAllah calon-calon ini akan diperkenalkan dalam Majlis Memperingati Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Ogos nanti di DUN Simpang Jeram, Johor Darul Takzim,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan, 50 merupakan Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNSH)

Beliau selain berpengalaman sebagai Speaker DUN Johor (2018-2020), beliau juga merupakan bekas pensyarah UTM dan merupakan usahawan dalam bidang Petroleum & Pertanian.

Beliau pemegang ijazah Sarjana Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Selain itu, dalam politik beliau memegang jawatan sebagai Ketua AMANAH Kawasan Pulai, Pengurus Pusat Khidmat Parlimen Pulai, Naib Pengerusi AMANAH Negeri Johor, dan Pengarah Nasional Biro Pembangunan Sumber Manusia, Parti Amanah Negara

Bagi N13 Simpang Jeram, Nazri, 56, merupakan seorang Jurutera MPM yang sudah berkhidmat selama lebih 30 tahun.

Pendidikan Tertingginya adalah Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Selain memegang jawatan Timbalan Ketua Kawasan Bakri, beliau juga merupakan Ketua Biro Ekonomi Pusat Khidmat DUN Simpang Jeram, dan AJK Masjid Al Munir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 September depan sebagai hari pengundian manakala penamaan calon pada 26 Ogos ini.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram perlu diadakan selepas penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.

Lelaki lepaskan tembakan ragut dua nyawa

BERNAMA

New Delhi: Dua maut, manakala enam lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah orang ramai di luar rumahnya ekoran pertengkaran yang dipercayai berpunca daripada isu anjing peliharaan, di Madhya Pradesh di India, kata polis pada Jumaat.

Insiden itu berlaku pada Khamis di Koloni Krishna Bagh di daerah Indore, kira-kira 188 kilometer barat Bhopal, ibu negeri Madhya Pradesh.

Polis menahan tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank dan merampas senapang yang digunakannya.

Menurut polis, tertuduh dan jirannya sedang berjalan dengan anjing masing-masing di kawasan kejiranan pada 11 malam (waktu tempatan).

Tiba-tiba dua anjing itu bergaduh yang kemudian mencetuskan pertengkaran antara dua pemilik haiwan itu.

"Kami dapati mereka tidak ada isu permusuhan antara jiran sebelum ini, selain hanya disebabkan isu anjing bergaduh itu sahaja," kata pegawai kanan polis, Amrendra Singh.

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

KJ: ‘Dr Rakyat’ model PH berdaya saing di Kelantan

Shahrul Shahabudin
Dr Hafidzah Mustakim (tengah, bertudung merah jambu) berbual bersama penduduk di flat kos rendah di kawasan Kota Lama, pada Khamis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Pakatan Harapan harus meletakkan kemenangan mereka di Kota Lama sebagai model gabungan itu lebih berdaya saing di Kelantan.

Beliau berkata, kemenangan PH di kerusi itu disumbangkan sokongan pengundi Cina yang ketara, selain Dr Hafidzah Mustakim yang berkhidmat sebagai doktor perubatan di kawasan itu sejak sekian lama.

“Hafidzah dia adalah doktor yang banyak menyumbang di peringkat masyarakat. Pernah menjadi tokoh wanita Kelantan 2015, beliau ada klinik perubatan ‘Dr Rakyat’.

“Kalau dia boleh menimbulkan kekecewaan (rakyat) di Kelantan, saya rasa dia boleh jadi model PH utk menjadi lebih kompetitif di kubu kuat PN dan PAS,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap.

Kemenangan Hafidzah di Kota Lama adalah kemenangan pertama PH dalam pilihan raya DUN Kelantan.

Hafidzah menang majoriti 206 undi menentang pesaing dari PAS, Zamri Ismail. Kerusi itu dimenangi PAS sejak 1999 melalui Anuar Tan Abdullah.

PAS juga tewas di Galas, di mana Syahbuddin Hashim daripada Barisan Nasional dipilih semula dengan majoriti 3,337 undi. PAS memenangi baki 43 daripada 45 kerusi DUN.

Khairy berkata, PH perlu melatih calon bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang daripada penduduk tempatan yang mempunyai profil serupa dengan Hafidzah, iaitu seorang profesional dan telah berkhidmat di Kelantan.

Sementara itu, bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata kemenangan Hafidzah adalah satu lagi contoh “sentuhan tempatan” ditawarkan beberapa calon lain seperti Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi di DUN Sijangkang dan Adun Air Tawar Rizam Ismail.

Kes Ebit Lew: Tarikh ubah suai gambar sama dengan hari laporan polis dibuat

Bernama 

TENOM: Mahkamah Majistret diberitahu gambar tangkap layar telefon bimbit pengadu wanita dalam kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, mempunyai tarikh ubah suai yang sama dengan tarikh laporan polis dibuat iaitu 7 Ogos 2021.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Latifah Abdul Aziz, berkata demikian ketika disoal balas peguam Ram Singh, mewakili Ebit Lew, pada perbicaraan kes pendakwah itu di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Latifah, 43, juga bersetuju dengan cadangan Ram Singh bahawa laporan analisis menunjukkan gambar tangkap layar itu wujud dalam telefon bimbit pengadu pada tarikh ubah suai tersebut.

Beliau berkata, daripada 436 gambar tangkap layar itu juga, terdapat beberapa imej tidak mempunyai unsur seksual dan secara tidak sengaja dipilih semasa dikeluarkan daripada telefon bimbit yang dianalisis.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, beliau telah menyerahkan gambar tangkap layar itu kepada pegawai penyiasat jika diperlukan dan bagi menentukan sama ada ia penting atau sebaliknya.

Latifah juga bersetuju dengan cadangan Ram Singh bahawa gambar itu mungkin telah dikacau ganggu.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada 26 hingga 29 Sept depan.

Bunuh biras, lelaki dihukum penjara 30 tahun

Bernama

SEREMBAN: Seorang bekas pekerja kilang dijatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 17 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh birasnya dan mencederakan seorang lelaki, tujuh tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Taufik Hidayah Abdullah, 34, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah atas kedua-dua pertuduhan dihadapinya di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Azman berkata keterangan saksi jelas menunjukkan tertuduh merupakan orang yang bertemu si mati, bertujuan untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya manakala keterangan mangsa yang juga saksi dalam kes itu, menjelaskan dia ditetak oleh tertuduh.

“Mahkamah mempertimbangkan hujahan pendakwaan dan pembelaan sebelum menjatuhkan hukuman, selain mengambil kira fakta kes di mana seseorang telah meninggal dunia atas kekejaman dilakukan, serta seorang lagi mengalami kecederaan hingga menyebabkan tangannya hampir tidak berfungsi,” kata Azman.

Bagi pertuduhan membunuh, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan, manakala bagi kesalahan mencederakan, lelaki itu dipenjara lapan tahun dan lima sebatan. Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap 18 Sept 2017.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama dua lagi individu yang sudah meninggal dunia, didakwa membunuh Salman Raja Abdullah yang berusia 37 tahun ketika kejadian, di Jalan Besar Papan Taman Angsamas, Mambau di sini pada 8.30 malam, 7 Ogos 2016, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Tertuduh bersama dua lagi individu yang telah meninggal dunia didakwa menetak G Suaras, 46, dengan parang sehingga mendatangkan kecederaan parah, berhampiran pintu masuk Jalan Indah Water, Mambau pada tarikh sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan berkenaan didakwa berpunca daripada perselisihan faham, selepas perbincangan mengenai isu penjagaan anak hasil perkahwinan antara tertuduh dengan adik ipar kepada si mati dan selepas kejadian, tertuduh melarikan diri ke Kedah sebelum ditangkap pada 18 Sept 2017.

Terdahulu, peguam V Gobi, yang mewakili Taufik Hidayah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang rendah dan sebatan minimum atas alasan anak guamnya sudah insaf dan ingin menjaga anak yang kini berusia tujuh tahun dalam jagaan bekas isteri.

Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly berkata mahkamah perlu mengambil kira mangsa mengalami patah pergelangan tangan dan kecederaan muka sehingga menjadikan mangsa sebagai orang kurang upaya, selain tindakan tertuduh yang melarikan diri.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah perlu ambil kira mangsa yang meninggal dunia merupakan biras kepada tertuduh dan punca kematian ialah kelar di leher. Perbuatan tersebut dibuat tanpa belas kasihan terhadap orang yang dikenalinya,” kata Husni Fairos.

Penjelasan SKMM kenapa TV Pertiwi disekat

Malaysiakini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata mereka menjalankan kewajipan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menghalang perlakuan atau percubaan melakukan kesalahan, terutama yang berkaitan dengan maklumat salah atau tidak tepat.

Penjelasan itu diberikan susulan sekatan terhadap laman web TV Pertiwi, beberapa jam selepas media itu membuat laporan polis hari ini.

SKMM bagaimanapun tidak memberikan penjelasan khusus berkaitan kesalahan atau percubaan melakukan kesalahan yang dimaksudkannya.

“Dalam proses penilaian SKMM terhadap TV Pertiwi, SKMM berusaha  untuk menjalankan tugas kawal selia dengan penuh bertanggungjawab,” menurut kenyataan bahagian komunikasi korporatnya petang ini.

Sementara itu, SKMM juga berkata tindakannya tertakluk kepada siasatan bagi memastikan integriti dan keselamatan maklumat yang disebarkan melalui kandungan atau platform media berkenaan.

“SKMM akan sentiasa memelihara kedaulatan undang-undang dan menjaga kepentingan awam,” katanya.

TV Pertiwi hari ini membuat laporan polis dan menuntut penjelasan kerajaan susulan sekatan itu.

Selain laman web, akaun TikTok mereka juga disekat semalam. 

Tanpa memberikan kes khusus, seorang jurucakap TikTok memberitahu Malaysiakini bahawa sekatan dibuat kerana TV Pertiwi berulang kali melanggar garis panduan komuniti platform itu.

TV Pertiwi juga menyifatkan sekatan itu sebagai sangat tidak wajar dan bercanggah dengan seruan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang dilaungkan oleh kerajaan, terutamanya daripada pihak Pakatan Harapan (PH).

TV Pertiwi dimiliki oleh Kerengga Merah Sdn Bhd.

Ia beroperasi daripada tempat yang sama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma). Pengerusinya Norzila Baharin juga pernah berkhidmat sebagai naib ketua Wanita NGO itu.

Berpangkalan di Bangi, media yang dilancarkan pada 2021 itu menyiarkan laporan dalam bentuk teks dan video dalam bahasa Malaysia.

Sebelum ini, ketika mengulas kes UtusanTV, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa tiada laman web berita akan disekat oleh SKMM.

Anwar: Mengenai MB Selangor, selesai

Faiz Zainudin

KLANG: Isu pelantikan menteri besar Selangor selesai, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“(Pelantikan menteri besar Selangor) selesai,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimiah.

Beliau mengulas kemelut pelantikan menteri besar Selangor yang sehingga kini belum diumumkan untuk menerajui negeri itu.

Sebelum ini, FMT melaporkan spekulasi Amirudin Shari tidak akan dilantik sebagai menteri besar Selangor bagi penggal kedua selepas Pakatan Harapan (PH) gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN 12 Ogos lalu.

Seorang pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan berkata, walaupun pengerusi PH Selangor itu, yang berjaya mempertahankan kerusi Sungai Tua, menunjukkan prestasi bagus sebagai menteri besar, beliau gagal mendapat sokongan pengundi Melayu.

PH memenangi 32 kerusi pada PRN Sabtu lalu, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 22 kerusi. BN, sekutu PH dalam kerajaan persekutuan, hanya menang dua kerusi.

Bulan lalu, Anwar berkata Amirudin akan kekal sebagai menteri besar jika PH mengekalkan kuasa di Selangor pada PRN.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan di Perak, Anwar berkata masalah itu juga sudah diselesaikan.

Fitnah: 22 NGO Islam selar fitnah tutup sekolah agama di Selangor

Malaysiakini
 
Dua puluh dua NGO Melayu-Islam hari ini mengeluarkan kenyataan bersama yang menyelar penyebaran dakwaan bahawa kerajaan Selangor mahu menutup sekolah agama.

Diketuai oleh Abim, mereka mengingatkan supaya pihak yang mahu menjuarai isu sebegitu menyemak fakta terlebih dahulu, jujur serta tidak memanipulasi atau mempolitikkan isu berkaitan.

Mereka juga mengecam penyebaran fitnah untuk membakar sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat kerana ia akan mengganggu usaha untuk memartabatkan Islam di negara ini.

“Dalam masa sama, bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, kami tegaskan

sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa bertindak tegas ke atas anasir-anasir yang

berupa fitnah hasutan yang tidak berasas seperti ini,” kata mereka.

Antara NGO yang menantangani kenyataan itu, ialah Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Teras Pengupayaan Melayu (Teras) serta Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Menteri agama Mohd Na'im Mokhtar semalam turut menyifatkan dakwaan itu sebagai berniat jahat.

Katanya,  Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) yang dibangkitkan bermula sejak awal 2021 lagi serta bagi mengelakkan kejadian seperti kebakaran maut di institusi agama sebelum ini.

Sebelum ini muncul dakwaan Selangor sedang dalam proses menutup ratusan sekolah agama persendirian dan ia dikaitkan dengan DAP.

Kerajaan negeri menafikan dakwaan itu dan menegaskan raja pentadbir Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua institusi terbabit didaftarkan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sesebuah sekolah agama persendirian juga dikehendaki mematuhi beberapa syarat keselamatan.

Polis ambil keterangan Dr M berhubung catatan FB

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung siasatan yang sedang berjalan, kata sumber.

Difahamkan, polis merakamkan keterangannya berikutan dua laporan berhubung catatan Facebook pada 27 Julai.

Mahathir dijangka mengadakan sidang media berhubung perkara itu petang ini.

Pada 27 Julai, Mahathir membuat dua hantaran Facebook, dengan satunya menyatakan bahawa Malaysia harus diiktiraf terutamanya sebagai sebuah negara Melayu berbanding sebuah negara berbilang kaum.

Manakala hantaran kedua pula, Mahathir mempersoalkan sama ada Malaysia telah dijajah oleh pendatang dan keturunan mereka.

Tidak diketahui mana satu hantaran Facebook yang sedang disiasat.

Cakap tak serupa bikin, akhirnya Pas buat juga – Syam Ghaz

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hisyamuddin Ghazali hari ini menempelak Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkaitan debat dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau yang juga dikenal sebagai Syam Ghaz menyifatkan Syahir ‘cakap tidak serupa bikin’ dan turut melakukan perkara sama.

“Hari tu masa debat Syahir dengan Rafizi, Syahir kata mana boleh Perdana Menteri ke-10 (PMX) pegang jawatan PM dan Menteri Kewangan.

“Kiasan dia mudah, mana ada imam masjid jadi bendahari masjid.

“Kes Terengganu ini, bukan setakat imam masjid pegang bendahari masjid, tetapi imam masjid ‘tapau’ semua jawatan penting boleh buat duit di Terengganu?

“Menteri Besar Terengganu pegang lima porfolio iaitu Kewangan, Ekonomi, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

“Cakap tak serupa bikin, kononnya tata kelola baik. Akhirnya, Pas buat juga,” bidasnya menerusi satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Reaksi Syam Ghaz itu susulan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut memegang portfolio kewangan.

Malah, Samsuri yang juga ADUN Ru Rendang turut memegang portfolio Ekonomi, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

Mengulas lanjut, Syam Ghaz yang juga Naib Ketua AMANAH Rantau Panjang turut menyindir Syahir yang menjadi panel dalam program Sinar Live bertajuk ‘Ruh ruh ruh, neh neh neh’ semalam.

“Terkini, Syahir jawab apabila moderator Sinar Harian tanya, kenapa masa debat dengan Rafizi dia kata tatakelola tidak baik PM pegang Menteri Kewangan, tetapi di Terengganu boleh pula Menteri Besar pegang lima porfolio?

“Dia (Syahir) jawab sila baca Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu, Kerajaan Terengganu ada Pegawai Kewangan Negeri yang jaga semua urusan Kewangan Negeri.

“Syahir ini sebagai Ahli Parlimen Bachok, bekas Setiausaha Datuk Seri Hadi Awang tidak tahu Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara yang jaga semua Kewangan Negara?

“Tugas dan peranannya hampir sama dengan Pegawai Kewangan Negeri, cuma bidang kuasa dan tugas lebih kurang sama, skopnya sahaja lebih besar sebab jaga negara,” ujarnya.

Malah menurut Syam Ghaz, walaupun Datuk Seri Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, beliau hanya menjaga belanja mengurus dan tidak memcampuri perbelanjaan pembangunan.

“Belanja pembangunan diserahkan kepada Menteri Ekonomi, iaitu Rafizi Ramli. Belanja mengurus hanya membabitkan gaji, pentadbiran dan pengurusan negara,” katanya lagi.

Kes Ebit Lew: 436 gambar tangkap layar ada unsur lucah

BERNAMA

Tenom: Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu bukan semua gambar tangkap layar yang diperoleh daripada telefon bimbit seorang pengadu wanita dalam kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, diteliti.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Latifah Abdul Aziz, 43, berkata terdapat sebanyak 436 gambar tangkap layar dipercayai mengandungi unsur lucah diperoleh daripada telefon bimbit pengadu yang merujuk kepada perbualan dengan tertuduh di aplikasi WhatsApp.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan peguam Ram Singh, yang mewakili Ebit Lew, bahawa ia adalah sebahagian daripada 156,789 gambar yang terdapat dalam telefon bimbit itu.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata bagaimanapun, gambar lain tidak mempunyai kaitan dengan permohonan pegawai penyiasat dalam kes tersebut.

Latifah berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam itu pada perbicaraan kes Ebit Lew di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Katanya beliau menggunakan perisian di makmal forensik PDRM bagi mengeluarkan keseluruhan data daripada barang kes sebelum menjalankan analisis pemerhatian seperti dalam permohonan pegawai penyiasat.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pemuda Umno beri amaran kepada pemimpin tertinggi dengan tindakan 'agresif'

Tindakan 'agresif' jika pemimpin tak endah suara Pemuda Umno
Alyaa Alhadjri

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berikrar untuk membawa suara ahli-ahlinya daripada sesi bedah siasat yang dijalankan malam ini mengenai kemelut enam pilihan raya negeri baru-baru ini, kepada perhatian pemimpin tertinggi parti itu.

Berucap kepada lebih 1,000 ahli Pemuda Umno yang berhimpun di Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur, Akmal menggesa perbincangan secara aman, pada masa sama menyampaikan amaran kepada pemimpin tertinggi Umno.

"Saya beri jaminan hari ini kita boleh bincang cara baik, secara ilmiah. Keluar dari sini apa kita bincang, keep it to ourselves.

"Let me bring your voice. To the upper level. Jika tak ada apa apa berlaku, baru kita bertindak agresif. Setuju," kata Akmal ketika berucap pada majlis perasmian untuk memulakan sesi perbincangan yang akan diadakan secara tertutup.

Akmal juga membayangkan perhimpunan anggota Pemuda Umno dari seluruh negara itu diadakan sebagai tindakan balas terhadap seorang pemimpin kanan parti yang tidak dinamakan, yang didakwanya lantang membantah kritikan awal mereka yang dibuat sejak hari pengundian Sabtu lalu.

"Dia minta Pemuda hormati saluran, maka kita hormat saluran.

“Dia minta Pemuda Umno jangan kurang ajar, kita hormat, kita tak kurang ajar. Kita berbincang secara betul, baik-baik.

"Tapi kalau suara Pemuda tidak didengar? Maka berhadapan lah dengan suara Pemuda Umno seluruh Malaysia," katanya.

"Saya tak akan pernah takut. Tak akan pernah gentar untuk bawa suara Pemuda Umno semua. Ini janji saya, kerana apa?

"Ini bukan soal Dr Akmal sebagai Ketua Pemuda Umno. Ini soal masa depan Umno dan generasi kita yang jauh lebih penting dari jawatan saya," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Akmal menegaskan Umno merupakan milik setiap ahli dan oleh itu mereka mempunyai kewajipan untuk mengembalikan parti itu kepada kejayaannya dahulu.

Berani letak jawatan

Adun Merlimau itu juga berkata dia akan menerima sebarang penjelasan yang diberikan ahli malam ini untuk menilai prestasi hambar Umno pada PRN lalu - yang menang 19 kerusi dari 108 DUN yang ditandinginya di enam negeri.

"Saya berani letak jawatan sebagai ketua Pemuda Umno (jika majoriti kata saya punca kekalahan Umno).

"Sebab yang lebih penting adalah survival Umno itu sendiri," katanya.

Sebelum Akmal, Timbalan Ketua Pemuda Umno Hairi Md Shah turut mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa mereka perlu kekal bersatu untuk kejayaan masa depan.

Adun Larkin itu mengakui dirinya secara peribadi gagal untuk menjadi lebih aktif dalam talian dalam menangani pelbagai serangan yang dilancarkan oleh lawan Umno, termasuk terhadap Akmal.

Daripada 19 Adun Umno yang dipilih melalui enam pilihan raya negeri baru-baru ini, hanya seorang - Suhaimizan Bizar yang menang kerusi Gemencheh - daripada sayap Pemuda.

Sejak Sabtu, Akmal menjadi antara pemimpin Umno yang menyeru pembaharuan dalam parti itu, dengan beberapa pihak secara langsung menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

BN menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, tiga di Kelantan dan dua di Kedah.

Umno juga tewas sepenuhnya di Terengganu, dengan PN menyapu bersih semua 33 kerusi, dan di Kedah PKR dan DAP hanya meraih tiga kerusi pembangkang.

Pikat Melayu – macam mana agaknya?

Mohsin Abdullah

Dua minggu lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan, dan seperti biasa tempoh ini kita banyak bercakap mengenai perpaduan dan keharmonian. Bercakap pasal rakyat bersatu. Tak kira bangsa mahupun agama. Tetapi kali ini realitinya “we are a nation divided”. Tidaklah sehingga mencetuskan pergaduhan fizikal, Alhamdulillah. Tetapi hubungan semakin renggang kerana perbezaan politik. Bukan perselisihan pendapat berhubung politik tidak pernah berlaku dahulu. Cuma kali ini agak “intense”.

Pencetusnya kita semua tahu. Keputusan enam PRN tempoh hari. Sebenarnya ia lanjutan PRU15. Seperti diperingatkan oleh Hisomuddin Bakar, pengarah eksekutif Ilham Centre “sokongan ikut kaum terbelah dua. Kawasan lingkaran Melayu sokong Perikatan Nasional (PN), kawasan bercampur milik Pakatan Harapan (PH)”. Saya ingin menegaskan “bercampur milik” bererti orang bukan Melayu dan juga Melayu yang disifatkan “tidak konservatif”.

Apa pun jajaran yang terbentuk bak kata Hisomuddin dan yang kita sendiri sudah saksikan ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu (perlukah ditegaskan semuanya majoriti Melayu?) menjadi negeri tidak bersekutu dengan Persekutuan. Dan ini kekal setelah enam PRN tempoh hari. Sekadar memberitahu apa yang semua sudah tahu.

Malah negeri yang bersekutu dengan persekutuan pun yakni Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, ramai (mungkinkah majoriti?) orang Melayu memberi undi mereka kepada PN. Ini pun semua sudah maklum.

Lalu untuk berkata kerajaan perpaduan khususnya Anwar Ibrahim selaku perdana menteri mesti (sekurang-kurangnya cuba) mendapatkan sokongan orang Melayu adalah sesuatu yang “stating the obvious”.

Maka menyusuli ialah persoalan apa yang mesti Anwar buat untuk mencapai matlamat itu? Dalam lain perkataan macam mana beliau mahu memujuk dan mengambil hati orang Melayu? Jalan mudah barangkali ialah dengan memberi apa yang Melayu mahu dan terus “memanjakan” mereka dan menjadikan kerajaannya lebih konservatif yang condong kepada Melayu.

Tetapi bagi saya “the last thing we need” ialah kerajaan perpaduan cuba menjadi lebih Melayu dan lebih Islam daripada PN. Ini pada hemat saya tidak bagus untuk negara berbilang kaum ini. Dan tidak bagus juga buat PH yang mendapat sokongan padu orang bukan Melayu sejak 2018.

Malah semasa Anwar melaksanakan beberapa langkah pro Melayu dan Islam tidak beberapa lama dulu masyarakat bukan Melayu penyokong setia PH agak gusar. Ini termasuk langkah memperkasakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Juga pengumuman Anwar sistem kuota untuk Melayu dan Bumiputera akan diteruskan.

Mujur kekecewaan dan kemarahan mereka tidak diterjemahkan kepada undi. Seperti dibuktikan pada enam PRN 12 Ogos lalu. Tidak perlulah kita jadi pakar politik untuk tahu Anwar mesti mengimbangi sokongan – dengan mengekalkan sokongan bukan Melayu dan pada masa sama mendapat sokongan Melayu.

Beberapa penganalisis politik bagaimanapun berpendapat menjadi konservatif adalah satu kemungkinan. Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura antaranya. Kata beliau kerajaan perpaduan “tiada pilihan” selain berbuat demikian.

Baru-baru ini kerajaan perpaduan mengorak langkah cuba menarik sokongan konservatif (sila baca Melayu). Umpamanya mengharamkan jam tangan Swatch berkaitan LGBT. Kata pensyarah kanan Universiti Malaya Khoo Ying Hooi melihat itu sebagai pendekatan lebih populis. Sekurang kurangnya berdasarkan isu itu.

Menurut Khoo, jika kerajaan merasakan pengundi Melayu Islam tidak senang berkenaan isu tersebut ia akan ubah suai tanpa menjejaskan keadaan di samping mengekalkan kestabilan kerjasama semua parti dalam kerajaan.

Itu bukan sesuatu yang mudah. Dan tiada jaminan langkah yang diambil boleh meraih sokongan mencukupi orang Melayu pada pilihan raya mendatang.

Pada hemat Hisomuddin ada tiga perkara yang boleh dilakukan untuk memenangi semula hati orang Melayu. Satu, berikan hak yang wajar dibantu antara persekutuan dan negeri.

Maksudnya negeri jajaran Melayu yang tidak menyokong kerajaan. “Misalnya Kelantan. Persekutuan wajar menyelesaikan masalah air, lebuh raya dan perihal berkaitan persekutuan untuk pembangunan infrastruktur di sana,” kata beliau.

Adakah penyokong tegar PH-BN yang masih marah berikutan keputusan PRN boleh terima langkah sedemikian? Rasanya ramai dalam kalangan mereka yang mahu negeri mengundi PN mesti dihukum? Tetapi mungkin mereka mesti tengok “the big picture”.

Langkah kedua kata Hisomuddin ialah memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. “Saya amat yakin andainya ekonomi semakin baik, rakyat mempunyai wang berbelanja, perut kenyang, sokongan akan datang tanpa diminta,” kata beliau.

Ketiga menurut Hisomuddin penerangan kerajaan harus efektif kerana sekarang pada pengamatan beliau, agensi penerangan kerajaan tidak berkesan menyampaikan maklumat kepada rakyat. Sebagai contoh kata beliau “usaha menurunkan harga barangan, pemberian kenaikan harga subsidi padi tidak sampai dengan baik kepada rakyat”.

Saya setuju dengan pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang menggesa perdana menteri jangan tunduk kepada tekanan di tengah-tengah kebimbangan kerajaannya mungkin bergerak ke arah fahaman kanan untuk merayu undi Melayu konservatif.

Anwar, kata beliau mesti kekal teguh dengan visi Madaninya untuk membina Malaysia berbilang kaum dan agama yang kukuh, demokratik dan bersatu.

Sehari sebelum artikel ini ditulis saya terima menerusi kumpulan WhatsApp yang saya sertai, laporan satu portal berita tentang koalisi NGO Melayu yang mahu penubuhan kerajaan Melayu Islam tanpa DAP. Ini bagi saya hanya melebarkan lagi jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu sekali gus menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

Selain itu, pasti ada lagi pihak tertentu yang sedang atau akan bertindak seolah-olah Malaysia hanya milik orang Melayu, menjalankan pelbagai cara untuk terus membakar sentimen golongan Melayu konservatif khususnya.

Kata Hisomuddin elemen negatif dan kandungan berita palsu membanjiri maklumat di telefon pintar mereka. “Yang bijak boleh menapis tetapi kebanyakan akan percaya”. Benar. Namun harapan saya ialah akan muncul lebih ramai yang bijak daripada yang tidak bijak.

Selepas 46 tahun, nahas pesawat berulang di Elmina

FMT Reporters
Keadaan pesawat Japan Airlines Flight 715 yang terhempas di Estet Elmina pada 27 September 1977. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA: Nahas pesawat persendirian di Elmina, Shah Alam hari ini mengingatkan ramai kepada tragedi kapal terbang Japan Airlines Flight 715 terhempas berlaku 27 September 1977.

Menurut Berita Harian, kejadian meragut 34 nyawa membabitkan 26 penumpang dan lapan kru itu berlaku di sebuah bukit di Estet Elmina yang ketika itu masih ladang getah.

Pesawat McDonnell Douglas DC-8 itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang sebelum menuju ke Singapura, landasan sama dituju pesawat persendirian jenis Beechcraft Model 390 yang terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elmina hari ini.

Mengikut senarai pendaftaran, penumpang yang berada di pesawat itu dikenali exco Pahang Johari Harun, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Zaki, dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Kru pesawat terdiri daripada juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan pembantunya, Heikal Aras Abdul Azim. Turut terbunuh penunggang motosikal dan pemandu kereta yang dirempuh pesawat itu

Kesemua identiti mereka sedang disahkan oleh forensik.

Mengimbau semula kejadian 46 tahun lalu itu, pesawat Japan Airlines Flight 715 berlepas dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo dan terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura dan mendarat di Lapangan Terbang Kai Tak di Hong Kong.

Difahamkan, daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), dua jam selepas penerbangan, kawalan trafik udara LTSAAS memberitahu Japan Airlines Flight 715 untuk memulakan pendaratan di landasan 15.

Pesawat itu terbang di bawah paras minimum 750 kaki, kemudian pada 300 kaki, ia terhempas ke tepi bukit, 6.44 kilometer dari lapangan terbang.

Mengikut laporan, pesawat itu rosak disebabkan impak hentaman, bukan kerana kebakaran.

Laporan penyiasatan DCA menyatakan ketika nahas, cuaca buruk di sekitar lapangan terbang dan pesawat berada pada sistem navigasi radio julat omni-arah frekuensi yang sangat tinggi untuk pendekatan pesawat.

“Siasatan bagi menentukan punca kemalangan adalah kapten menerbangkan pesawat di bawah altitud penurunan minimum tanpa melihat landasan dan meneruskan penurunan menyebabkan pesawat itu terhempas sebelum tiba ke lapangan terbang.

“Kematian kru penerbangan di lapangan terbang disebabkan cuaca buruk yang turut menyumbang kepada kemalangan. Pegawai pertama tidak mempersoalkan kapten kerana melanggar peraturan,” katanya.

MOT sahkan identiti lapan individu dalam pesawat terhempas

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
RAKAMAN dashcam sebuah kereta menunjukkan detik-detik pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam.
RAKAMAN dashcam sebuah kereta menunjukkan detik-detik pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam.
Subang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan berada dalam pesawat ringan yang terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, Shah Alam, petang tadi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, terdapat lapan individu yang menaiki pesawat terbabit termasuk dua juruterbang.

"Berdasarkan 'manifest' (senarai nama penumpang pesawat), dua krew pesawat iaitu juruterbang adalah Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

"Enam penumpang pula adalah Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Datuk Seri Johari Harun; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Anthony berkata, pengesahan identiti mangsa perlu disahkan melalui proses forensik yang akan diumumkan oleh pihak polis nanti.

"Bagi identiti dua orang awam yang terbabit dalam nahas itu, pengesahan identiti mereka juga akan disahkan oleh pihak polis melalui siasatan dilakukan," katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat ringan terhempas di lokasi terbabit jam 2.40 petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, semua mangsa dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan krew pesawat.

Katanya, dua lagi mangsa adalah pemandu sebuah kereta dan penunggang motosikal yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.

Menurutnya, pesawat peribadi itu berlepas dari Langkawi, Kedah dan dijangka mendarat di LTSAAS jam 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum waktu pendaratan.

SENARAI MANGSA

Juruterbang

Shahrul Kamal Roslan

Heikal Aras Abdul Azim

Penumpang

Kharil Azwan Jamaludin

Shaharul Amir Omar

Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi

Datuk Seri Johari Harun

Muhammad Taufiq bin Mohd Zaki

Idris Abdol Talib @ Ramali

Dengar letupan kuat, nampak mangsa rentung - saksi Diterbitkan: Aug 17, 2023 6:11 PM ⋅ Dikemaskini: 6:11 PM ADS 1 “Saya terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan sebaik tiba di lokasi, saya nampak seorang mangsa terbakar rentung dalam keadaan terbaring,” kata saksi insiden pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, di Shah Alam hari ini. Menurut Nur Alia Nordin, 28, semasa kejadian beliau berada dalam rumah di Kampung Kubu Gajah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat menyebabkan beliau segera berlari keluar rumah untuk melihat punca bunyi tersebut. "Saya nampak asap hitam dari lokasi kejadian iaitu tiga kilometer dari rumah dan terus bergegas ke tempat kejadian yang hanya mengambil masa tiga minit. "Sebaik tiba, saya nampak sebuah motosikal dan pesawat sedang terbakar,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian di Shah Alam hari ini. Tinjauan Bernama sekitar 4.21 petang mendapati pasukan penyelamat serta pihak berkuasa sudah berada di lokasi kejadian dan media tidak dibenarkan masuk ke lokasi kejadian. Setakat ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 orang maut dalam insiden berkenaan. - Bernama

Malaysiakini

“Saya terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan sebaik tiba di lokasi, saya nampak seorang mangsa terbakar rentung dalam keadaan terbaring,” kata saksi insiden pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, di Shah Alam hari ini.

Menurut Nur Alia Nordin, 28, semasa kejadian beliau berada dalam rumah di Kampung Kubu Gajah sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat menyebabkan beliau segera berlari keluar rumah untuk melihat punca bunyi tersebut.

"Saya nampak asap hitam dari lokasi kejadian iaitu tiga kilometer dari rumah dan terus bergegas ke tempat kejadian yang hanya mengambil masa tiga minit.

"Sebaik tiba, saya nampak sebuah motosikal dan pesawat sedang terbakar,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian di Shah Alam hari ini.

Tinjauan Bernama sekitar 4.21 petang mendapati pasukan penyelamat serta pihak berkuasa sudah berada di lokasi kejadian dan media tidak dibenarkan masuk ke lokasi kejadian.

Setakat ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 orang maut dalam insiden berkenaan.

- Bernama

Pesawat terhempas: Speaker DUN sahkan exco Pahang maut

FMT Reporters
Exco Kerajaan Pahang Johari Harun maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Speaker DUN Pahang Sharkar Shamsudin mengesahkan exco negeri itu Johari Harun antara 10 yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina, hari ini.

“Berita yang menyedihkan, Johari Harun, exco kerajaan Pahang, Ketua Umno Bentong dan Adun Pelangai telah kembali ke rahmatullah.

“Terlibat dalam pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya di Facebook.

Johari, 53, memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan 10 terkorban dalam nahas membabitkan pesawat persendirian itu.

Mereka yang terkorban adalah juruterbang dan pembantunya, enam penumpang serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.

Pesawat milik Jet Valet Sdn itu berlepas dari Langkawi dan dilaporkan telah diberi kebenaran oleh menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Bagaimanapun, pesawat jenis Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu dilaporkan terhempas sebelum dijadualkan untuk mendarat.

Pesawat itu juga dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal, masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan.

Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat itu tidak membuat panggilan kecemasan atau “mayday”.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norazman Mahmud berkata panggilan pertama dibuat pesawat itu dengan Menara Kawalan Udara Subang adalah pada 2.47 petang dan kebenaran mendarat diberikan satu minit kemudiannya.

“Bagaimanapun, pada 2.51 petang menara kawalan udara melihat kepulan asap dari lokasi terhempas dan tiada panggilan ‘mayday’ diterima daripada pesawat itu,” katanya.

EXCO Pahang, Johari Harun, antara 10 korban jet persendirian di Elmina

BHonline
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, dilaporkan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas jet persendirian dekat Elmina petang ini.

Ketika kejadian, Johari yang juga Ketua UMNO bahagian Bentong, dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Kematian Johari dikongsi oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menerusi ciapan di Twitter sambil berkongsi gambar kenangan dalam mesyuarat bersama Allahyarham.
Anggota forensik membuat siasatan di lokasi kejadian sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan perumahan Elmina, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Anggota forensik membuat siasatan di lokasi kejadian sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan perumahan Elmina, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
"Pada petang ini, satu berita tergempar membabitkan nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam. Amat mendukacitakan apabila melibatkan seorang kawan saya, Allahyarham YB Dato' Sri Johari Harun, EXCO Pahang yang juga ADUN Pelangai di bawah Parlimen Bentong.

"Saya amat bersedih dengan kehilangan ini. Baru sahaja 2 hari lepas, saya bersama Allahyarham Dato' Sri Jo berbincang berkenaan pembangunan di Bentong dan Pelangai yang akan direncanakan kelak," katanya menerusi hantaran itu.

Pesawat ringan terhempas: Polis sahkan 10 maut

Elill Easwaran

SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya 10 terkorban dalam nahas pesawat persendirian terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan kejadian jam 2.45 petang itu mengorbankan juruterbang dan pembantunya, enam penumpang serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.

Menurutnya, pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

“Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Amirudin: Istana Selangor akan umumkan calon MB yang baharu

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu akan diumumkan oleh pihak istana.

Beliau berkata pengumuman itu adalah bidang kuasa istana dan beliau tidak boleh mengumumkan perkara itu.

"Saya mengadap Tuanku seperti biasa, tanya khabar dan merancang beberapa perkara… hal biasa mengenai perkembangan negeri pencapaian ekonomi dan kesihatan Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah)," katanya ketika ditemui di hadapan Istana Bukit Kayangan di sini.

Ditanya mengenai pertemuan selama satu jam itu, ada membincangkan mengenai perlantikan Menteri Besar baharu, Amirudin bagaimanapun berkata, tidak semua perkara boleh didedahkan.

Mengulas mengenai senarai nama calon menteri besar, beliau berkata, perkara itu boleh ditanyakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana senarai itu dihantar oleh pemimpin berkenaan.

"Itu kena tanya Anwar Ibrahim kerana surat (senarai calon MB) itu dihantar oleh Anwar, saya datang untuk berbincang berkaitan beberapa hal negeri," katanya.

Terdahulu, Amirudin dilihat tiba di Istana Bukit Kayangan pada jam 2.34 petang.

Beliau menghabiskan masa selama sejam sebelum bergerak keluar dari kawasan istana.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Selangor dijangka mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Alam Shah, Klang pada Sabtu atau Isnin ini.

Amirudin pula dicadangkan untuk kekal mengetuai kerajaan negeri bagi penggal ke-15.

Antara calon lain yang dikatakan tersenarai sebagai calon menteri besar adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Dr Fahmi Ngah dan Adun Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.

Kapal terbang terhempas di Elmina Shah Alam, 3 dikhuatiri maut

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya tiga dikhuatiri maut dalam kejadian sebuah pesawat ringan terhempas berdekatan kawasan perumahan di Bandar Elmina, Shah Alam, hari ini.

Selain penumpang pesawat, mereka yang terkorban dalam kejadian kira-kira 3 petang termasuk penunggang motosikal berada di jalan raya ketika itu.

Identiti kesemuanya masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian itu, sementara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan.

Difahamkan pesawat ringan dalam perjalanan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Subang tiba-tiba terhempas lalu meletup. Serpihan akibat letupan itu dikatakan terkena sebuah motosikal.

Anggota bomba dan penyelamat sudah berada di tempat kejadian.

Kelantan: Kes denggi di Kelantan naik 225%

Bernama

KOTA BHARU: Sebanyak 1,514 kes demam denggi dicatatkan di Kelantan bermula Januari hingga 12 Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 225% berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, dalam tempoh itu turut direkodkan dua kematian akibat demam denggi.

“Pada minggu epidemiologi lalu, kita merekodkan peningkatan dan saya jangkakan ia akan terus meningkat dengan keadaan cuaca hujan serta kemarau sekarang ini,” katanya.

“Bagaimanapun, jumlah kes denggi pada tahun ini lebih rendah berbanding jumlah sebelum wabak Covid-19, iaitu penurunan 50% berbanding kes denggi pada 2020 sebanyak 3,030 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jalur Gemilang Peringkat Wisma Persekutuan Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Zaini berkata kes, denggi dijangka terus meningkat sekiranya langkah proaktif termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes tidak dilaksanakan.

Katanya, hal itu berdasarkan laporan 122 cetusan jangkitan dalam tempoh Januari hingga 12 Ogos lepas, berbanding 26 dalam tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 97 (cetusan jangkitan) telah tamat manakala 25 lagi masih aktif dan tiada (cetusan jangkitan) titik panas melebihi 30 hari berlaku di Kelantan.

“Setakat ini lokaliti titik panas yang dikenal pasti (termasuk) di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara aktiviti kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan menerusi kawalan vektor termasuk pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.

“Sehingga 12 Ogos lalu, sejumlah 371,269 premis telah diperiksa (untuk) tempat pembiakan Aedes,” katanya.

“(Sebanyak) 1,639 kompaun dengan nilai RM 819,500 dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan aedes di premis mereka.”

Tambahnya, kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).

Rasuah RM105,000 keluar surat warga asing, 2 termasuk penguat kuasa direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua termasuk anggota penguat kuasa direman empat hari hingga Ahad ini kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM105,000 bagi tujuan mendapatkan surat jaminan kemasukan warga asing ke negara ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam, lapor Berita Harian.

Dua individu terbabit ditahan semalam di pejabat SPRM Selangor dan Pahang ketika hadir memberi keterangan sekitar 1 tengah hari.

Menurut sumber, wang rasuah itu adalah bagi tujuan mendapatkan surat jaminan kemasukan warga asing ke Malaysia untuk bekerja sebagai pelaut sedangkan mereka bukan bekerja sebagai pelaut.

Katanya, suspek pertama berusia 31 tahun adalah anggota penguat kuasa, manakala suspek kedua berusia 43 tahun adalah pemilik syarikat.

“Kedua-dua individu terbabit dipercayai melakukan kesalahan itu dari September hingga Disember 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim yang dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) & 17 (b) Akta SPRM 2009.

Parti Hijau rayu Sultan Selangor tolak Amirudin sebagai MB

Malaysiakini
Parti Hijau merayu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Abdul Aziz Shah tidak melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor bagi penggal kedua.

Setiausahanya Abdul Razak Ismail, berkata ini berikutan dakwaan kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh Amirudin di Selangor.

“Parti Hijau akan merayu ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk tolak Amirudin Shari dilantik semula sebagai menteri besar Selangor atas /bakal kerosakan hutan-hutan simpan di Selangor.

“Kita belum sentuh lagi macam mana projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masuk jauh ke dalam hutan negeri (State Park) di Hutan Simpan Hulu Gombak dan Serendah dan laluan kereta api menghala Pelabuhan Klang memasuki jauh ke dalam Hutan Simpan Raja Musa,” katanya di media sosial.

Sejak penubuhannya, parti Hijau lantang memperjuangkan isu alam sekitar dengan tumpuan khusus membabitkan isu perhutanan di Selangor.

Antara hutan yang didakwa dirosakkan itu, termasuk Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan, Hutan Simpan Bukit Cerakah, Hutan Simpan Bukit Lagong, Hutan Sempadan Hulu Selangor-Genting Highland dan Hutan Paya Gambut Sungai Panjang, Sabak Bernam.
Sebelum ini, Parti Hijau juga membantah projek pembangunan semula kompleks sukan di Shah Alam, dan projek melebarkan sungai, Gerbang Maritim Selangor.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu Malaysiakini, pihaknya akan mengutus surat rasmi kepada istana Selangor yang dijangka dihantar secepat mungkin hari ini.

Semalam, sumber dalaman PH memberitahu Malaysiakini bahawa tiga nama diserahkan kepada istana.

Selain Amirudin, nama Adun Seri Setia Fahmi Ngah dan Adun Tanjong Sepat Borhan Aman Shah dikatakan turut dihantar.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Anwar pula memberitahu hanya satu nama yang dihantar namun tidak menyatakan secara jelas siapakah calon itu.

Pada PRN 12 Ogos lalu, gabungan PH-BN kembali berkuasa selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Mereka bagaimanapun hilang penguasaan dua pertiga dalam DUN susulan asakan kuat Perikatan Nasional (PN), khususnya di utara Selangor.

Orang buruan SPRM enggan pulang, dakwa kononnya dianiaya

Malaysiakini

Mansoor Saat, seorang lagi individu dalam senarai orang dikehendaki SPRM akhirnya tampil dan berkata dia tidak akan pulang ke Malaysia selagi “dianiaya”.

Dia juga tidak menolak kemungkinan untuk menyaman SPRM atas dakwaan menyalah guna kuasa.

Mansoor berkata dia terheret sama dalam kes itu susulan hubungan perniagaannya dengan Muhammad Adlan Berhan, yang juga dikehendaki SPRM.

Adlan berkahwin dengan anak kedua Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Nabilah.

“Saya percaya ada unsur politik dalam keseluruhan episod ini, yang amat malang.

"Saya seorang ahli perniagaan serta peguam bela dan peguam cara yang mempunyai hubungan perniagaan dengan ramai orang , dan saya terkejut kerana hubungan saya dengan (Adlan) menjadi sasaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS) itu menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

Mansoor, 69, berkata, dia bukan pelarian walaupun dikehendaki SPRM.

Katanya, dia meninggalkan Malaysia secara sah, namun keadaan itu digunakan terhadapnya untuk menunjukkan dia bersalah.

"Saya menolak naratif palsu ini dengan tegasnya," katanya.

Ulasan Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz susulan 'sibengong' tayang kertas undi kepada wartawan

'Tayang kertas undi satu kesalahan, suami isteri pun tak boleh tahu undi siapa'

Noor Atiqah Sulaiman
nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Menayangkan kertas undi kepada umum adalah satu kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengikut Perkara (39) dan boleh dihukum penjara atau denda sehingga RM3,000.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana di pusat pengundian ada dipamerkan mengenai syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap pengundi.

"Kalau tengok dekat tempat mengundi memang sudah ada sebut supaya kertas undi tu kena lipat betul-betul malah pegawai di dalam bilik berkenaan pun tidak boleh kita tunjuk kertas berkenaan.

"Kecuali kita adalah pegawai yang ditugaskan untuk membantu seseorang individu untuk mengundi, namun ia juga ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi. Malah dalam ahli keluarga, pasangan suami isteri pun tidak boleh diberitahu kita undi siapa.

"Namun apa yang berlaku ini bukan sahaja pada orang sekeliling, tetapi dia tayangkan pula pada jurukamera. Tak pastilah kalau ada permintaan daripada pihak media (untuk tayangkan kertas undi), tapi kenapa dia lurus bendul sangat (mengikut kehendak media)," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menayang kertas undi kepada petugas media.

Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial, yang berkongsi gambar Sanusi mempamerkan pilihannya pada kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi SPR.

Berikutan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan terhadap tindakan Muhammad Sanusi dan berkemungkinan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa tidak berniat untuk menayang kertas undi miliknya ketika membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya Sabtu lalu.

Katanya, kejadian itu berlaku di luar kawalannya kerana melayan kehendak petugas media yang memintanya berpusing ke kanan dan kiri.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, sekiranya tindakan menayangkan kertas undi itu bukan satu kesalahan, sepatutnya di pusat mengundi tidak perlu dipasangkan penghadang untuk seseorang itu mengundi.

"Kalau misalnya benda (kertas undi) boleh tunjuk, tak perlu la kita sediakan tempat berlindung (penghadang untuk mengundi). Tengok la dekat tempat mengundi tu, kalau nak mengundi kena buat dekat tempat berlindung.

"Malah yang boleh masuk pun, seorang demi seorang, itulah tujuannya (merahsiakan undian)," katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kesalahan dalam pilihan raya seperti menggunakan kad pengenalan palsu di pusat mengundi, Abdul Aziz berkata undian yang dibuat oleh individu itu tetap akan dikira.

"Kerana pada masa pengundian itu berlangsung, ada ejen daripada parti, ada ejen calon dan ketua tempat pengundi dan kesemua mereka tidak dapat buktikan kad pengenalan itu milik orang lain. Jadi undi yang ada tetap kena kira kerana ia tidak menjejaskan jumlah undian.

"Kecuali di bahagian itu majoriti yang dimenangi sangat rendah, kemudian kita dapati di kawasan itu ada lebih 90 kes berkait dengan kad pengenalan palsu, itu menjadi kes serius dan kita kena pastikan ia dibawa ke Mahkamah Petisyen Pilihan Raya dan wakil yang kalah kena buat petisyen," katanya.

Tumpu sajalah kes mahkamah kamu, Anwar beritahu Muhyiddin

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Muhyiddin Yassin memberi tumpuan kepada kes mahkamah dihadapinya daripada mendesak beliau meletak jawatan.

Anwar berkata, sokongan diterimanya daripada Ahli Parlimen masih kekal majoriti dua pertiga untuk menerajui Putrajaya.

“Kita kekal kemenangan, masih dapat dua pertiga Ahli Parlimen, dia (Muhyiddin) buat perkiraan apa, saya nasihatkan dia tumpu kes mahkamah,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Jalan Tasik Selatan 2A Desa Tasik.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata Anwar perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri susulan referendum rakyat hasil keputusan PRN enam negeri yang majoritinya dikuasai gabungan itu.

Desakan sama turut dibuat kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Imam Masjid Putra yang tular dengan 'sediakan parang' sah pegang jawatan dalam Pas W P

HarapanDaily.com
Imam Masjid Putra sah pegang jawatan dalam Pas Wilayah Persekutuan
Imam Masjid Putra di Putrajaya, Bakri Amboala yang tular di media sosial hari ini sah memegang jawatan dalam Pas Wilayah Persekutuan.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan merupakan Pengarah Pilihanraya Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan.

Penolong Pengarah Kanan itu berada di posisi tersebut bagi sesi 2023 hingga 2025, menurut senarai ahli jawatankuasa yang dikongsi di Facebook rasmi Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan.

Malah, dalam satu posting semasa sambutan Aidiladha lalu, rakan-rakan Bakri mengetawakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia tak tau ke yang dia bersalam dengan AJK DUPWP (Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan),” komen seorang rakannya.

Ulamak Pas itu lantas membalas, “dia tak tahu tu” dengan turut meninggalkan emoji ketawa sehingga mengundang soalan rakannya yang lain, “Kenapa Bakri Amboala ketawa?” tetapi hanya dibalas ringkas oleh Bakri, “saja”.

 

Nama Bakri menjadi buah mulut di media sosial susulan munculnya kembali posting ghuluw (ekstremisme) ditulisnya pada 2019 yang berkata orang Islam perlu ada ‘parang sembelihan’ sebagai persiapan untuk ‘si kafir’.

Menerusi semakan di laman web Masjid Putra, Bakri sekarang berjawatan Penolong Pengarah Kanan dalam seksyen/unit Khidmat Sosial.

Sejurus pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), minggu lalu, Bakri memuatnaik hantaran di Facebook dengan berlatarkan warna biru Perikatan Nasional (PN).

“Alhamdulillah, bertasbih (Subhanallah) dan beristighfar lah,” tulisnya ringkas.

Dia turut berkongsikan tiga imej grafik keputusan rasmi PRN di ruangan komen hantaran tersebut dengan meninggalkan komentar, “syukur”, ” Allahu Akbar” dan “barakallah fik”.

Pada November tahun lalu, Timbalan Pengerusi Surau An-Najah, Presint 9, Putrajaya itu menulis bahawa beliau “menerima dengan redha dan hati terbuka…” atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kemelut kepimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

“Saya menerima dengan redha dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

“Saya mengucapkan tahniah kepada YAB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10,” katanya.

Walaupun yakin Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan dengan rakyat, Bakri akhirnya tetap menasihati Anwar supaya “memelihara Islam sepenuh jiwa dan ragamu”.

Penglibatan Bakri dalam Pas dilihat bercanggah dengan larangan mengambil bahagian dalam politik seperti digariskan dalam Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.