"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Betul tapi jangan cakap saja

A KADIR JASIN

Betul sangat-sangat slogan Belanjawan 2022 Tengku Zafrul Abdul Aziz iaitu “Dari Rakyat Untuk Rakyat”.

Kerajaan kutip cukai daripada rakyat. Tapi tak cukup. Kerajaan jangka kutip RM234 bilion tapi belanja RM332.1 bilion. Tak cukup dengan sebanyak RM98.1 bilion.

Jadi kerajaan kena berhutang daripada rakyat dengan menjual Bon Perbendaharaan kepada KWSP, PNB, KWAP dan bank-bank yang semuanya duit rakyat.

Nak bayar balik hutang yang kerajaan ambil daripada simpanan rakyat, kerajaan kutip lagi cukai daripada rakyat.

Betullah kata Ketua Audit Negara, kerajaan korek lubang untuk tutup lubang. Maksudnya berhutang untuk bayar hutang.

Tugas kerajaan yang kita pilih setiap empat atau lima tahun sekali dan kita bayar gaji tidaklah susah sangat. Cuma kerajaan yang ada sejak Mac 2020 bukanlah kerajaan yang kita pilih.

Tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah memudahkan perniagaan (kegiatan ekonomi) dan membantu golongan yang tidak berdaya dengan cukai yang dikutip.

Natijahnya bukan Belanjawan saja daripada rakyat. Kerajaan pun sepatutnya daripada rakyat juga. Cuma buat masa ini, kerajaan bukan daripada rakyat. Ia adalah kerajaan daripada SD.

Akhir kata, Belanjawan sahaja tidak bermakna kalau prestasinya (budget performance) tidak cemerlang. Sejak akhir-akhir ini tidak banyak dibentang dan dibahaskan mengenai prestasi Belanjawan.

Pasal itulah rasuah, pecah amanah dan penyelewengan mudah berlaku seperti yang kita dengar duit berbilion ringgit dibayar tapi kapal perang tak siap. 

Undi BN + Pas dalam PRU lalu tidak semesti sama dalam PRN Melaka

MALAYSIA DATELINE

Penganalisis politik dari UTM, Dr Mazlan Ali berkata, pengiraan matematik mudah dengan mencampurkan undi BN dan Pas dalam pilihan raya lalu menentukan mereka boleh menang dalam PRN Melaka tidak semudah itu.

Bagi beliau, banyak faktor pembolehubah yang lain perlu dimabil kira dalam PRN Melaka kali ini.

“Banyak penganalisis membuat pengiraan matematik mudah dengan mencampurkan undi BN dan PAS, dan menyimpulkan kemenangan mutlak.

“Tetapi saya tidak fikir semudah itu, kerana faktor-faktor pembolehubah banyak menentukan pilihan pengundi termasuk penerimaan akar umbi Pas terhadap kolisi baru, prestasi Pas dalam kerajaan.

“Faktor populariti Adly sewaktu memimpin kerajaan 22 bulan, urbanisasi, keterbukaan minda penduduk Melaka, pertambahan pengundi baru@muda dan lain-lain mungkin menatijahkan hasil yang berbeza kelak,” kata Dr Mazlan.

Dr Mazlan mengulas pengiraan matematik yang mencampur undi BN dan Pas dalam pilihan raya umum lalu bagi membolehkan BN atau Pas boleh menang jika mereka bekerjasama dalam pilihan raya kali ini.

Umno telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas di PRN Melaka tetapi menolak untuk kerjasama dengan Bersatu.

AMANAH sahkan bertanding di sembilan DUN PRN12 Sarawak

RAYMOMD LUI

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak mengesahkan akan meletakkan sembilan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dalam masa terdekat ini.

Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili berkata, sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi itu ialah Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.

Katanya, kerusi tersebut merupakan kawasan yang pernah ditandingi pada PRN11 pada 2016 yang mana ia adalah kali pertama AMANAH meletakkan calon di negeri ini.

“In shaa Allah.. hari ini saya mengesahkan bahawa untuk PRN12 Sarawak nanti, kita akan menurunkan sembilan calon yang berpotensi di kerusi DUN yang pernah ditandingi pada PRN11 lalu.

“Untuk itu, senarai calon hanya diumumkan sebaik DUN dibubarkan kelak sekali gus menolak desas-desus yang menyatakan bahawa AMANAH Sarawak hanya bertanding di empat kerusi sahaja,” tegas beliau.

Abang Abdul Halil berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen AMANAH Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.

Menurut beliau lagi, sebenarnya gerak kerja dan jentera di setiap kawasan sudah diaktifkan sebelum ini tetapi lebih tertumpu kepada program kebajikan dan kemasyarakatan.

Justeru, ujarnya AMANAH Sarawak akan lebih agresif mengatur gerak kerja sebaik DUN dibubarkan yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Saya berharap semua Ahli Jawatankuasa Negeri, Kawasan dan Cawangan dapat bekerjasama dalam melaksanakan gerak kerja apabila turun membantu calon-calon yang akan diturunkan kelak.

” Malah, bersama – sama kita berdoa agar calon-calon yang diletakkan nanti berupaya memberi kemenangan kepada AMANAH Sarawak sekali gus bekerja demi untuk rakyat di negeri nanti,” tambahnya.

Turut hadir pada Konvensyen Sarawak Ke-6 ialah Timbalan Pengerusi Hud Andri Zulkarnaen, Setiausaha Fadillah Sabali, Naib Pengerusi 2 Maxwell Rojis serta perwakilan dan pemerhati.

Konvensyen AMANAH Sarawak hari ini telah dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Haji Hasanuddin Mohd Yunus secara maya.

‘Rasa kurang senang’ PAS dengan isu logo undang masalah kepada Bersatu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ada ahli PAS yang dikatakan berasa kurang senang dengan keputusan pemimpin parti itu untuk membenarkan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) oleh calon mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata sumber dalaman.

Sumber yang enggan namanya didedahkan itu berkata, situasi itu berkemungkinan akan mengundang masalah kepada PN yang dipimpin Bersatu.

Menurut sumber itu, ramai dalam kalangan PAS yang terkejut dengan pengumuman yang dibuat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bahawa Bersatu, PAS dan Gerakan akan bertanding menggunakan lambang PN di PRN Melaka.

Susulan perkara itu, ada sesetengah pimpinan dalam parti Islam terbabit telah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka secara terbuka.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki berkata, perkara itu harus dibincangkan, manakala Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula lebih berterus terang apabila mengatakan parti itu sebaiknya menggunakan logo mereka sendiri.

“Keputusan dalam PN yang membimbangkan PAS ini hanya dibuat oleh beberapa pemimpin yang lebih cenderung kepada Bersatu tetapi bukan semua Ahli Parlimen lain dalam PAS berkongsi sentimen sama.

“Ramai dalam PAS sedar bahawa mereka lebih kuat sekiranya sehaluan dengan Umno,” kata sumber itu yang menjelaskan isu logo akan memburukkan situasi.

Sumber itu berkata, ia terutamanya apabila jentera dan akar umbi Umno di Melaka jauh lebih kuat berbanding Bersatu.

Katanya, Bersatu berpecah kepada dua kumpulan yang terdiri daripada ahli asalnya dan mereka yang berpaling tadah daripada Umno dan PKR.

“Ia juga tidak membantu PAS apabila PN mendendangkan naratif ‘Melaka Sayang Abah’. Beliau memimpin kerajaan yang gagal dan bagaimana ia boleh membantu kita untuk menarik undi?” katanya.

Penganalisis sosio-politik dari Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi berkata, beliau percaya rasa kurang senang dalam PAS bukan sekadar mengenai penggunaan logo PN dalam PRN Melaka.

“Ia hanya sebahagian kecil daripada masalah yang ada dan saya percaya akar umbi PAS masih melihat kerjasama dengan Umno lebih menguntungkan berbanding Bersatu, terutamanya di Melaka.

“Bersatu tidak kuat di Melaka dan ini akan menjejaskan PAS. Berada dalam blok yang tewas dalam PRN boleh menjadi ukuran kepada sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Awang Azman berkata, rasa kurang senang dalam kalangan akar umbi PAS juga boleh menyebabkan ahlinya memboikot PRN Melaka bagi memberi petunjuk jelas kepada kepimpinan parti.

Katanya, naratif “Melaka Sayang Abah” mungkin akan menjejaskan hubungan Bersatu dan PAS kerana ia lebih menonjolkan personaliti Muhyiddin dan bukannya gabungan itu sendiri.

“Ia seolah-olah menunjukkan PAS langsung tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan tetapi hanya sokongan kepada Muhyiddin.”

Ahli Parlimen Lahad Datu sah keluar Warisan

Durie Rainer Fong

KOTA KINABALU: Warisan hilang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara serentak selepas Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar parti hari ini.

Mohamaddin yang juga ADUN Segama itu mengumumkan keluar daripada parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tindakan itu dibuat selepas ADUN Sindumin Yusof Yacob mengumumkan keluar parti tiga minggu lalu iaitu pada 8 Okt.

Walaupun mendakwa mesra GRS di peringkat negeri, Mohamaddin berkata beliau hanya akan menjadi “Ahli Parlimen Bebas sepenuhnya di peringkat persekutuan.”

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH)-Warisan itu berkata kurangnya pembangunan di peringkat negeri dan Parlimen menjadi antara alasannya untuk keluar.

“Oleh itu, saya percaya keadaan ini akan berterusan jika terus kekal dalam blok pembangkang,” katanya kepada wartawan di sebuah hotel, di sini.

“Dengan ini, saya mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang mesra kepada kerajaan negeri.”

Logo Pas di PRN Melaka: Pas cuba pancing jerung dengan kail panjang sejengkal

MALAYSIA DATELINE

Cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man agar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo Pas dalam pilihan raya negeri Melaka disifatkan sebagai percubaan untuk memancing jerung tetapi dengan kail hanya panjang sejengkal.

“Tuan Ibrahim Tuan Man cuba pancing jerung dengan kail panjang se jengkal,” kata Kadir dalam posting beliau difacebooknya selepas Tuan Ibrahim membuat cadangan itu.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin berkata demikian ketika mengulas cadangan menteri kerajaan persekutuan itu selepas kononnya BN dan PN berebut-rebut untuk mendapatkan sokongan Pas.

“Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan Pas, elok kalau kita gunakan satu logo iiatu logo Pas dalam PRN Melaka nanti.

“Fikir-fikirkan,” kata Tuan Ibrahim, Menteri Alam Sekitar dan Air itu menerusi facebook beliau semalan.

Ekoran itu, pelbagai sindiran dihalakan kepada Pas berikutan cadangan Tuan Ibrahim itu.

Bagi bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu, beliau tidak dapat mengesahkan apakah cadangan Tuan Ibrahim ini serius atau menyindir.

“Sama ada dia menyindir atau Pas berasa sangat kuat kerana dapat rasa kerusi Menteri,” kata Kadir yang dipercayai berikutan kegagalan Umno dan Bersatu mahu bekerjasama dalam PRN Melaka.

Namun bagi Kadir Pas silap apabila mahu memperdayakan Umno tetapi hanya dengan umpan biasa sahaja.

“Nak pancing jerung Umno dan Bersatu, umpan cacing tak main la kot?” kata Kadir lagi ketika mengulas pandangan kawan-kawannya dalam facebook.

Sebelum ini, Umno telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu berdasarkan pandangan 90 peratus akar umbi Umno tidak bersetuju dengan cadangan itu.

PKR tanding 11, Amanah 9, DAP 8

 Malaysiakini 

PRN MELAKA | Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen untuk Melaka, termasuk di peringkat parlimen.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata ia ditentukan selepas melalui proses yang panjang bermula dari peringkat bawah hingga akhirnya dikemukakan untuk diputuskan majlis presiden.

Bagi PRN Melaka kata Anwar DAP kekal meletakkan calonnya di lapan kerusi.

Bagaimanapun Amanah dan PKR masing-masing mendapat tambahan tiga kerusi ekoran kedudukan Bersatu yang kini tidak lagi bersama dengan PH.

Dengan perkembangan itu Amanah akan bertanding di sembilan kerusi manakala PKR 11. Secara keseluruhan DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Pengumuman dibuat Anwar hari ini menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sudah menyatakan rancangan mereka menyertai PRN Melaka. 

Pada 27 Okt lalu presiden penaja Muda Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu dalam proses perundingan dengan PH bagi pengagihan kerusi.

"Muda membuat pendirian tetap untuk bertanding pada PRN ini. Kami akan berunding dengan parti-parti pembangkang dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat," katanya. 

Untuk rekod, Muda bukan sebahagian PH. 

Sementara itu mengenai pembahagian kerusi parlimen untuk PRU akan datang, Anwar berkata, PKR dan Amanah kekal mendapat dua kerusi seperti yang berlaku pada 2018.

Perbincangan bermula sekarang

DAP pula, katanya, mendapat kembali kerusi tradisinya iaitu Alor Gajah yang sebelum ini ditandingi Bersatu.

"Pada PRU akan datang DAP akan dapat tambahan kerusi Alor Gajah kerana ini kawasan tradisi yang ditandingi mereka sejak awal tetapi diserahkan kepada Bersatu (sebelum ini).

"Justeru kerusi Alor Gajah akan kembali kepada DAP," katanya.

Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.  

Ditanya mengenai kedudukan Muda, Anwar berkata, proses perbincangan masih berjalan.

"Ada perbincangan yang masih diteruskan... masih berbincang," katanya.

Untuk rekod Muda belum didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Muda bukan sebahagian daripada komponen PH dan pembahagian perlu diselesaikan dalam kalangan mereka terlebih dulu.

"Ini pembahagian yang telah selesai dalam kalangan parti komponen. Perbincangan dengan mana-mana parti lain insha-Allah bermula sekarang," ciapnya di Twitter. 

Parti komponen PH tanding PRN Melaka guna logo PH

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka bulan depan bawah satu logo PH.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Majlis Presiden PH. 

“Keputusan kami di Melaka ialah kami bersetuju untuk bertanding bawah satu logo PH. Kami hanya akan bertanding guna logo PH dan bendera PH.

“Kita semua akan bertanding dengan satu logo, satu pendirian dan satu manifesto,” katanya semasa sidang media hari ini bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Bagaimana jika kita nyahkan parti politik?

AZIZI AHMAD

Kemungkinan besar dua pilihan raya negeri akan diadakan tidak lama lagi.

Dicelah persediaan untuk menghadapi pilihanraya terdapat banyak kerenah ahli politik dan parti politik yang akan turut bertanding termasuklah ‘cantas mencantas sesama sendiri’ dengan ‘bakal katak-katak’ yang sedang menunggu peluang.

Detik-detik ‘ulangan bersejarah’ ini sering kita lihat dan ketika ini kebanyakan pemimpin akan menyeru kepada perpaduan dan ketenangan.

Tidak kurang ketua dan pemimpin parti masing-masing akan sibuk menyemarakkan isu berpuak.

Mereka melakukan semua ini kerana ia adalah sifat mereka dan mempercayai bahawa ini adalah cara politik yang berkesan.

Tiada apa-apa yang menggerakkan hati rakyat pengundi lebih daripada menyeru akan kejahatan dan kekurangan pihak lain.

Malah, prasangka politik telah menjadi bentuk ketaksuban kita yang paling diterima.

Pada sekitar tahun 1950-an hingga 70-an, peratusan pengundi yang mempunyai perasaan negatif terhadap parti lawan adalah rendah berbanding sekarang.

Apa yang dilihat oleh pengundi hari ini bukanlah calon, atau satu set cadangan dasar, tetapi gabungan parti, label politik (konservatif lawan liberal), warna simbolik (merah lawan biru) dan sebagainya.

Tetapi bayangkan dunia tanpa label sedemikian.

Tanpa penglabelan dan stereotaip yang mudah untuk dipercayai, pengundi akan terpaksa menilai undi mereka tanpa berat sebelah.

Betapa tidak masuk akal kerana kita menggunakan kata kerja bayangkan.

Bayangkan apa yang akan berlaku jika kita tidak mempunyai jalan pintas untuk memilih gelombang biru , merah , oren atau hijau.

Dalam firasat , kita hanya akan menumpukan lebih kepada dasar.

Kerana ahli politik sebenarnya sepatutnya menjadi pengundi untuk pemulihan dasar tertentu, bukan wakil puak.

Kita perlu memikirkan (contohnya) di mana pendirian setiap calon terhadap kawalan keselamatan. Apakah, jika ada, langkah kawalan keselamatan yang mereka sokong?

Semakan latar belakang universal? Larangan ke atas parti komunis misalnya? Adakah mereka menerima wang daripada ‘penabur dedak’? Jika ya, berapa banyak?

Sama juga dengan penjagaan kesihatan. Adakah mereka menyokong Akta Kesihatan negara? Jika tidak, undang-undang apakah yang mereka undi, atau sokong?

Adakah undang-undang ini mempunyai peruntukan yang menjamin keadaan sedia ada akan dilindungi? Adakah mereka menyokong pengembangan Medicare?

Apakah pandangan mereka tentang perubahan iklim? Adakah mereka menyokong penemuan Panel Antara Kerajaan Baru PBB mengenai Perubahan Iklim,

Atau adakah mereka menyukai sumber tenaga boleh diperbaharui, seperti angin dan solar?

Adakah mereka menyokong dasar yang akan menjadikan pendidikan tinggi percuma, atau lebih berpatutan, untuk pelajar? Adakah mereka mempunyai cadangan untuk membantu pelajar menghadapi hutang pinjaman?

Apakah idea mereka mengenai dasar cukai? Adakah mereka percaya cukai perlu dinaikkan ke atas golongan berpendapatan tinggi dan syarikat, atau dikurangkan lagi?

Bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan rendah? Apakah pendapat mereka tentang defisit kerajaan?

Memandangkan keadaan hiper-partisan kita terkini, perkara ini mungkin kedengaran agak menjijikkan.

Namun, pilihan raya sepatutnya adalah mengenai pertandingan idea.

Ahli politik sentiasa boleh berbohong tentang idea dan pendirian dasar mereka. Ramai yang bersemangat melakukannya.

Tetapi corak penipuan ini didayakan oleh gaya liputan media yang lebih menumpukan pada “pembahagian partisan” dan strategi (dan pengumpulan dana dan panggilan nama) daripada apa yang sebenarnya ingin dilakukan oleh calon sebaik sahaja memegang jawatan.

Dengan penelitian yang lebih teliti, pembohongan tentang pendirian dasar sebenarnya menjadi lebih sukar.

Dalam dunia tanpa label, calon akan dipaksa untuk merayu lebih kepada akal fikiran dan penyelesaian masalah daripada prasangka puak dan serangan partisan.

Walaupun realiti ini kelihatan jauh pada masa ini, pengundi masih mempunyai kuasa untuk menolak pemikiran binari.

Kuasa itu terletak pada keupayaan kita untuk berpaling daripada label dan ciapan yang menghasut dan pakar yang menjerit, untuk menolak tanggapan bahawa kita mengundi partisan.

Kita sepatutnya mengundi untuk calon yang cadangan dasarnya paling hampir sejajar dengan nilai dan matlamat kita.

Itu bukan impian biasa, ia adalah intipati akauntabiliti demokrasi.

PH lebih tenang dan bersedia

MOHD SAYUTI OMAR

Tinggal 11 hari sahaja lagi proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan berlangsung. SPR telah menetapkan 8 November hari penamaan calon manakala hari pengundian 20 November.

Saat ini parti-parti politik yang berhajat untuk mengambil bahagian sedang berkira dan membuat perhitungan rapi bagi memuktamadkan apa yang akan dilakukan.

Walaupun ada khabar beberapa parti menyatakan hasratnya untuk mengambil bahagian, tetapi pertarungan sudah pasti akan berlaku antara tiga komponen utama, Umno-Barisan Nasional (UBN), Pakatan Harapan (PH) dan PPBM Perikatan Nasional (PN).

Bagi PH, komponen tersebut tidak ada apa-apa masalah yang timbul dan berbangkit ketika ini. PH yang terdiri daripada Keadilan, DAP dan AMANAH nampak sepadu dan cukup yakin. Tidak ada apa-apa masalah yang mengucar-kacirkan perpaduan komponen itu. Bahkan, semangat mereka untuk menghadapi pilihan raya itu sungguh tinggi.

Sedikit masalah yang tercetus sebelum ini sudah diselesaikan dengan baik. Ia berkenaan cadangan untuk menerima empat orang Adun yang menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan kerajaan UBN tumbang untuk bertanding atas nama PH sudah dimuktamadkan.

Keempat-empat Adun itu, Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hasan Baktee (Pengkalan Baru) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Mulanya, keempat-empat mereka berhasrat untuk bertanding semula menggunakan lambang PH, tetapi pimpinan PH mengambil keputusan menolak cadangan itu selepas dibantah pelbagai pihak.

Persiapan nama-nama calon PH untuk diletakkan di 28 kerusi sudah hampir selesai. Menurut Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang dilantik menjadi Pengarah Pilihan Raya, pembahagian kerusi antara sesama PH juga sudah selesai 90 peratus. Tinggal lagi 10 peratus lagi. Ertinya, PH berada dalam keadaan terbaik dan bersiap siaga.

PH juga mendahului komponen lain apabila telah tegas dan sepakat untuk menamakan Pengerusi AMANAH Melaka itu sebagai Ketua Menteri sekiranya PH menguasai PRN itu.

DAP yang merupakan komponen PH yang berpengaruh di Melaka telah menamakan Adly sebagai Ketua Menteri. DAP bertindak tangkas mengunci perkara itu dan ia tidak berani dibantah Keadilan. Suasana ini menunjukkan PH berada dalam kondisi cukup padu.

Jadi, ringkas cerita, PH tidak mempunyai apa-apa masalah lagi untuk berhadapan dengan PRN Melaka, mereka menunggu sahaja proses seterusnya.

Berbeza dengan komponen UBN yang belum memastikan apakah komponen itu akan bertanding secara solo atau pun akan bermuafakat dengan Pas. Masalah inilah yang membelenggu UBN dan meletakkan gabungan itu masih kelam kabut.

Malam tadi BN telah meluncurkan jentera pilihan raya di PWTC yang disempurnakan oleh presiden Umno dan juga pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Semasa berucap di majlis itu, sekali lagi Zahid menegaskan yang UBN tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PBBM (PN). Kenyataan Zahid itu tegas dan keputusan itu menurutnya diambil kerana kehendak akar umbi. PAU telah memutuskan bahawa tidak ada kerjasama dengan PBBM. Jika Zahid dapat diyakini maka pemutusan kerjasama dengan PPBM itu muktamad.

Bagaimana pun Zahid tidak menyatakan sikap dan pendirian UBN dengan Pas yang merupakan rakannya dalam Muafakat Nasional (MN). Pas selain bersama Umno ia juga bersama PBBM dalam PN. Situasi ini merumitkan UBN dan Pas sendiri. UBN pastinya kecewa dengan sikap Pas itu yang boleh dianggap telah tidak jujur kepadanya.

Bukan sahaja UBN, tetapi Pas sendiri juga terjepit dengan keadaan dan formula politik Machiavellinya yang bermain dua kolam itu. Pas dalam keadaan serba salah sementara usahanya untuk menjadi mediator merapatkan UBN dan PPBM gagal. Pas kini sudah kelemasan di darat serta menyusahkan PBBM dan Umno.

Bagaimana pun kalau Pas tetap dengan formulamnya untuk bermain dua kolam, sudah tentu ia tidak dapat diterima oleh Umno. Ini bermakna muafakat dan piagam MN yang dimeterai berakhir dan lebur.

Formula dan percaturan Pas agak pelik dan kompleks. Parti agama itu mengambil pendirian menyokong kedua-duanya, pada satu masa. Ini yang membingungkan. Macam mana kalau berlaku pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan UBN dan PPBM. Apakah formula atau hadith yang akan digunapakai Pas untuk menyelesaikan ini?

Apakah Pas akan membagikan dua sokongan dan undinya kepada Umno dan PPBM?

MT Umno akan bermesyuarat malam ini khabarnya akan membuat keputusan muktamad bersabit sikap mereka terhadap hubungan dengan Pas itu. Mereka mungkin akan memberi kata dua kepada Pas tentang pendirian songsang parti agama itu. Dengan kesungguhan dan keyakinan Umno dapat tawan Melaka, mungkin Umno tidak akan pedulikan Pas lagi.

Sikap dan pendirian diambil UBN itu juga secara tidak langsung memberi masalah kepada PPBM (PN). Presiden PBBM Mahiaddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan yang partinya akan bertanding di kesemua 28 kerusi.

Kenyataan ini menjelaskan bahawa PBBM juga tidak berharap kepada kerjasama dengan BN. Jika Umno mengerti maksud kenyataan itu ia adalah ketegasan dan rasa tidak hairan PBBM kepada Umno.

Sehubungan itu Pas dilihat cenderung untuk bersama PN berbanding dengan Umno apabila parti itu ikut sama dalam mesyuarat majlis pimpinan PN. Kehadiran Pas dalam mesyuarat itu menjelaskan Pas sudah “bulat bergele” dengan PN.

Bukan itu sahaja, Pas juga mengatakan mereka akan ikut bertanding menggunakan lambang PN. Dengan Pas sanggup meninggalkan simbol keramatnya bahawa sudah jelas Pas bersama PN.

Kenyataan itu memberi makna bahawa Pas akan bersama PN. Walaupun ada suara-suara kecil dalam Pas minta perkara itu diperhalusi, tetapi nampaknya ia seperti sudah dicapai persetujuan kerana, ulama besar pas tidak membantah cadangan itu.

Langkah dan keputusan Pas untuk bersama PN itu juga turut sama menjejaskan ketenangan dalam Pas. Tindakan Pas itu ditolak oleh mereka yang selama ini mahukan Pas bersama Umno bukannya PPBM.

Kesimpulannya, formula songsang Pas itu bukan sahaja mendatangkan masalah kepada kedua rakannya Umno dan PPBM tetapi ikut sama meretakkan persefahaman dalam parti itu.

Disko balai: 'Kenapa polis lakukan jenayah tak didakwa?'

 Malaysiakini 

Sebuah kumpulan masyarakat sivil hari ini mempersoalkan mengapa tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadap anggota polis yang ditangkap kerana berpesta di sebuah balai polis di Bangi tiga bulan lalu.

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata, hal itu sangat mengecewakan dan menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana perilaku jenayah yang dilakukan anggota polis tidak didakwa di mahkamah.

"Edict mempersoalkan mengapa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa rasa segan boleh mengeluarkan kenyataan bahawa tiada pertuduhan jenayah diambil ke atas para anggota polis yang didakwa ditahan tiga bulan lalu dalam keadaan positif dadah, memiliki dan mengambil air ketum serta memiliki bahan lucah pornografi.

"Hal ini sangat mengecewakan dan pada masa sama menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana perilaku jenayah yang dilakukan anggota polis tidak didakwa di bawah Kanun Keseksaan sepertimana orang awam diperlakukan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini .

Edict mengulas laporan Malaysiakini pagi ini, di mana pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan ketua polis Selangor dipetik sebagai berkata bahawa anggota polis terbabit tidak akan dihadapkan ke mahkamah sebaliknya hanya akan menghadapi tindakan dispilin.

Dilaporkan pada 20 Julai lalu, sepasukan anggota dari Bukit Aman menyerbu balai polis berkenaan dan menahan empat anggota polis termasuk seorang sub-inspektor serta empat wanita yang didakwa sedang berpesta di premis itu.

Laporan sebelum ini menyatakan kejadian itu berlaku di Kajang kerana balai polis itu terletak di bawah bidang kuasa ibu pejabat polis daerah Kajang.

Pasukan itu turut merampas sebotol arak, lima botol ketum, lampu dan peralatan audio serta gambar lucah yang memaparkan seorang daripada anggota polis bersama seorang wanita yang merupakan antara yang ditahan.

Sub-inspektor itu dilaporkan positif ganja semasa ujian air kencing pertama, namun pihak polis berkata ujian kedua yang dilakukan pakar patologi menunjukkan keputusan negatif.

Menurut NGO itu, kejadian itu menguatkan lagi hujah mengenai pentingnya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya DiRaja (RCI) pada tahun 2004

"Adalah amat jelas bahawa pihak PDRM tidak boleh diharapkan dalam menyiasat para anggota mereka sendiri. 

"IPCMC perlu ditubuhkan dengan kadar segera memandangkan ia adalah satu-satunya suruhanjaya bebas yang mempunyai kuasa yang kuat untuk mengheret para anggota yang jelas melakukan kesalahan untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Pelancaran jentera pilihan raya serlahkan keangkuhan Umno

SHAHBUDIN HUSIN

Tindakan Umno mengadakan majlis pelancaran jentera pilihanraya BN secara besar-besaran bagi menghadapi PRN Melaka di PWTC Kuala Lumpur malam tadi adalah jelas melanggar arahan kerajaan.

Dalam arahan Kementerian Kesihatan yang diumumkan Khairy Jamaluddin pada 24 Oktober lalu dengan terang menyebut – sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuatkuasa 25 Oktober hingga 27 November.

Meskipun difahami pilihan raya diadakan di Melaka, tetapi tidak disebut sama sekali larangan itu hanya berkuatkuasa di negeri Melaka semata-mata.

Ini bermakna, mengadakan sebarang majlis yang ada kaitan dengan pilihan raya, bukan saja dilarang diadakan di Melaka, tetapi juga di seluruh negara.

Bahkan, jika di atas kayangan sekali pun hendak diadakan majlis yang ada kaitan dengan pilihan raya, ia juga dilarang selagi di bawah cakerawala negara ini.

Dengan itu, mengadakan majlis pelancaran jentera pilihan raya di PWTC adalah suatu kesalahan yang sahih, terang lagi nyata.

Bukan saja Umno patut didenda, malah pemimpin utamanya juga mesti diambil tindakan sewajarnya atas pelanggaran undang-undang secara sengaja.

Sekaligus, tindakan Umno melanggar arahan kerajaan yang ditunjangi Umno dan dikeluarkan oleh menteri Umno sendiri adalah melambangkan keangkuhan dan kesombongannya.

Kalau Umno sendiri senang-senang melanggar dan tidak mempedulikan arahan kerajaan, bagaimana Umno mahu menunjukan ia sebagai parti yang bertanggungjawab kepada rakyat?

Adakah kesombongan serta keangkuhan Umno itu kerana mereka merasakan mereka kini sudah menguasai kerajaan?

Atau ia sebagai penzahiran tidak setuju dengan tindakan Khairy Jamaluddin yang semua orang tahu beliau agak tidak disenangi oleh kepimpinan Umno sedia ada sekarang ini?

Apa pun alasan Umno mengadakan majlis pelancaran jentera pilihan raya malam tadi yang melanggar arahan kerajaan, sambil dalam waktu yang sama mempamerkan keangkuhan serta kesombongannya, ia tetap merupakan tindakan yang salah serta melanggar undang-undang.

Kalau Umno merasakan mereka sekarang boleh bersikap sombong dan angkuh kerana sudah menguasai kerajaan, sedarlah bahawa mereka sebenarnya adalah parti yang kalah dan ditolak rakyat pada PRU-14 lalu.

Bukan saja di Melaka mereka kalah, bahkan di seluruh negara rakyat telah menolak Umno. Jadi, nak sombong apa kalau jadi kerajaan pun bukan dengan melalui undi rakyat?

Selain itu, kalau arahan kerajaan itu dilanggar kerana tidak setuju dengan tindakan Khairy selaku Menteri Kesihatan, sedarkah Umno bahawa pelantikan Ahli Parlimen Rembau itu dibuat oleh Perdana Menteri daripada Umno sendiri?

Jadi sekarang, dengan melanggar arahan Kementerian Kesihatan itu, Umno sebenarnya mahu menunjukkan protes kepada siapa? Kepada Khairy atau kepada Ismail Sabri Yaakob yang melantiknya sebagai menteri?

Yang nyata, dengan tindakan Umno terang-terang melanggar arahan kerajaan itu, ia kini semakin menghakis dirinya, sekurang-kurangnya di bawah kepimpinan yang ada sekarang, sebagai parti yang berjuang dengan penuh hikmah, akur kepada peraturan, undang-undang serta berjiwa rakyat.

Ternampak, kerakusan nafsu lebih mengatasi jiwa Umno sehingga apa-apa saja sedia dilanggar jika bertentangan dengan keinginan.

Kepada pengundi Melaka dan rakyat seluruhnya, bayangkan dan fikirlah sendiri jika dengan keangkuhan dan kesombongan ini, kemenangan masih juga ingin diberikan kepada mereka?

Laporan Audit bukti PN-BN kerajaan gagal

ARIF ATAN

Kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (PN-BN) terbukti tidak cekap dalam mengurus tadbir negara seperti dapat dilihat pada Laporan Ketua Audit Negara 2020 mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan serta pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan yang dibentangkan hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Razak Ridzuan berkata, mengikut laporan tersebut, sebanyak RM620.07 juta jumlah isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran.

Katanya, paling mengejutkan adalah sejumlah RM499.18 juta pembayaran tidak teratur melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diterajui Perdana Menteri.

Dalam masa sama, ujarnya, kerugian wang awam sebanyak RM104.79 juta adalah satu nilai yang cukup besar dalam keadaan negara yang ditekan dengan masalah ekonomi.

“Malah, sebanyak RM4.79 juta pembaziran melibatkan barang yang lewat terima dan tidak dipasang untuk Istana Budaya sesuatu yang amat dikesali.

“Kebergantungan kerajaan membuat hutang baru untuk membayar hutang yang telah matang dengan nilai sebanyak RM90.58 bilion bakal membawa masalah kepada negara.

“Liabiliti negara juga membimbangkan dengan nilai yang dilaporkan sebanyak RM1.187 trilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Razak berkata, rakyat boleh melihat dengan jelas bahawa ia melengkapkan status “Kerajaan Gagal” yang dianggotai PN-BN.

“Meskipun berbelanja dengan mewah, kes Covid-19 yang dicatatkan masih belum berada pada tahap yang melegakan dengan bilangan kematian yang tinggi,” katanya.

Justeru, tambahnya lagi, Pemuda AMANAH menggesa kepada seluruh rakyat Malaysia membuka mata dan melihat betapa lemahnya kerajaan gabungan PN-BN hari ini dalam mengurus ekonomi dan dana rakyat.

Umno-PN berisiko besar di DUN pengundi campuran

FAZLI RADZI

Pertandingan tiga penjuru sebaik-baiknya dielakkan memandangkan sokongan pengundi Cina dan hanya sedikit sokongan Melayu kepada calon Pakatan Harapan (PH) akan menjamin kemenangan blok itu, kata Profesor Madya Dr Mohd Noor Yazid.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) campuran akan membawa risiko besar kepada parti-parti politik Melayu yang berpecah.

“Umno atau PN/Bersatu akan menghadapi risiko besar di kawasan DUN campuran.

“Elakkanlah perpecahan undi sesama pengundi Melayu,” katanya dipetik dari Utusan Malaysia hari ini.

Aneh tapi benar!

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Kedua-dua insan hebat ini menyimpulkan sesuatu yang aneh tapi benar sedang berlaku dalam negara ini!

Foto di Melaka itu pula menyaksikan “BANDUAN VIP” boleh relax turun di Melaka malam tadi dan selepas ini pula dia nak “fly”ke Singapura pula bagi menjadi “BIDAN”.

Hatta dikaborkan rakyat Singapura pun “pening” mcm mana dia boleh dibenarkan ke Singapura selepas ini.

Bila dah HILANG SIFAT MALU, Nabi saw pesan ” BUATLAH APA PUN YANG KAMU NAK BUAT- boleh lihat dlm hadith 40 collection Imam Al-Nawawi رحمه الله

90% Umno tolak Bersatu, beri kata dua kepada Pas, mahu MN atau PN

MALAYSIA DATELINE

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, 90 peratus akar umbi Umno tidak mahu parti itu mengadakan kerjasama dengan parti Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Kepada Pas pula, Umno memberikan katadua, samada mahu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional. 

Mohamad berkata, anggaran beliau itu adalah ukuran yang dilihatnya membabitkan pandangan akar umbi berhubung penerimaan dalam kerjasama antara parti pada pilihan raya berkenaan.

“Nampaknya kalau kita letak ukuran 10, sembilan daripadanya tidak mahu Umno bersama dengan Bersatu. Bagaimanapun, itu pandangan secara umum.

“Parti akan ambil pandangan semua dan maklum balas, kita akan teliti, kita buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira,” katanya kepada Beita Harian, hari ini.

Ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kerjasama berkenaan banyak bergantung kepada Pas.

“Kita sentiasa menghulurkan tangan, tetapi Pas kena buat keputusan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau dengan MN.

“Kita minta Pas buat keputusan, jangan pula Umno dilihat sebagai yang tidak mahu. Sebenarnya, kita sudah katakan terpulang kepada Pas, kita sentiasa menghulurkan tangan.

“Malah, pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun kita sudah menyatakan tidak akan mengadakan kerjasama dengan Bersatu, tetapi kita mahu terus mengukuhkan MN. Jadi itu terpulang kepada mereka (Pas),” katanya kepada Berita Harian.

Petang semalam, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat santai bersama Mohamad dan naib-naib presiden Umno sambil minum teh.

Ia diadakan menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang akan diadakan  malam esok.

Kadir: ‘Kalau DAP berkuasa, habislah peluang rasuah Umno’,

SURI LAILA 

Bekas wartawan veteran, D77atuk A Kadir Jasin mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru undi diberikan kepada parti itu bimbang DAP kembali berkuasa.

Kadir berkata, Umno bimbang jika DAP berkuasa, ‘gelap’ peluang Umno dalam isu rasuah.

“Ahmad Zahid takut DAP berkuasa. Betullah.

“Kalau DAP berkuasa, habislah peluang rasuah Umno. Dia pun kata, DAP ada idealisme,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid adalah sebahagian daripada sekumpulan Ahli Parlimen yang digelar kluster mahkamah.

Sebelum ini Ahmad Zahid dalam hantaran Facebooknya berkata, Umno dan Barisan Nasional adalah parti politik yang paling berkredibiliti dan diyakini dalam menolak idealisme DAP.

Ahmad Zahid berkata, jika benar bimbangkan DAP kembali berkuasa maka kemenangan mutlak harus diberikan kepada Umno.

Bersatu, PAS tanding di Melaka guna tiket PN

Malaysiakini 

Bersatu, PAS dan Gerakan telah bersepakat untuk bertanding pada pilihan raya negeri Melaka akan datang menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), kata pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin.

Katanya, keputusan itu dibuat semalam oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat khas, yang diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua parti komponen - Bersatu, PAS, Star Sabah, SAPP dan Gerakan.

“Mesyuarat khas itu secara khusus diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

“Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat menawarkan calon dalam pilihan raya dewan undangan negeri Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Muhyiddin, rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh parti PN akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan kerusi PN.

Majlis Tertinggi PN juga, katanya memutuskan semua parti-parti komponen untuk menggerakkan jentera pilihan raya maing-masing.

Mereka juga diminta menggembleng seluruh tenaga dan upaya bagi memenangi kepercayaan rakyat Melaka agar mencapai kejayaan dalam pilihan raya itu.

Pilihan raya Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober, langkah yang diambil selepas empat wakil kerajaan menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu tetap dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada sebarang pilihan raya.

Ini mendorong Muhyiddin yang kemudiannya menguumkan bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN di Melaka.

Bagaimanapun, PAS mengulangi gesaannya agar Umno dan PN bekerjasama pada pilihan raya negeri itu.

Pada 2018, Bersatu ketika diterajui oleh Dr Mahathatir Mohamad bertanding di enam kerusi DUN di Melaka, tetapi hanya menang dua - Paya Rumput dan Telok Mas.

PAS gagal memenangi sebarang kerusi DUN di Melaka.

Analisis awal menunjukkan bahawa walaupun Bersatu dan PAS bergabung, PN akan tetap berdepan pertempuran yang sukar dan mungkin berisiko tersingkir pada pilihan raya negeri kali ini.

Najib panglima perang Umno – mengapa eh?

Mohsin Abdullah

Apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib Razak untuk mendapatkan pasport antarabangsa bagi jangka waktu 20 Oktober hingga 22 November ini – ia mencetuskan pelbagai polemik politik dan ada yang “kurang setuju” (sebenarnya marah).

Keizinan itu diberi 18 Oktober bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya di Singapura yang bakal melahirkan anak.

Tolak tepi kemarahan pihak tertentu, ikut logik, Najib sepatutnya menzahirkan kesyukuran, ucap terima kasih kepada mahkamah, dan pantas bergerak ke Singapura tetapi tidak.

Sebaliknya beliau menangguh perjalanan. Lantas pada 22 Oktober dia memohon kepada mahkamah untuk meminda tarikh dan pemulangan passport. Najib kini mohon tarikh menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah dipinda daripada 22 November kepada 6 Disember pula.

Mungkin (atau pasti) ada pihak anti-Najib yang kata bekas perdana menteri ini “berlebih-lebih”. Bagai beri betis hendak paha.

Namun bagi Najib, beliau ada alasan “wajar” untuk berbuat demikian. Apakah sebabnya itu? Untuk membantu jentera Umno pada PRN Melaka yang dijadual berlangsung 20 November.

Dalam erti kata lain, khidmat beliau diperlukan kerana ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno, berangkat ke Jerman untuk rawatan sakit belakang.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul terpinda, Najib menyatakan beliau “diamanah dengan tanggungjawab memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajar” ketika ketiadaan Zahid.

Oleh kerana “amanah” itulah Najib bercadang berlepas ke Singapura pada 21 November (sehari selepas PRN Melaka) dan pulang ke tanah air 5 Disember.

Permohonan pindaan itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini 26 Oktober 2021. Artikel ini bukan bertujuan membincangkan urusan mahkamah.

Yang mahu diajukan ialah apa yang Zahid, bahkan Umno sendiri, mahu Najib lakukan di Melaka? Apa yang dimaksudkan bahawa Najib diamanahkan dengan “tanggungjawab memastikan parti (yakni Umno) bertindak dengan teratur dan sewajar”.

Pertanyaan lebih tepat – apa peranan Najib? Adakah atas kapasiti ‘membantu’? Atau ‘mengepalai’ jentera Umno di Melaka?

Jika “membantu” rasanya ramai faham kerana Najib ialah Penasihat BN. Ketika dilantik dahulu, beliau disifatkan Zahid sebagai pemimpin yang boleh membantu BN pada PRU15 kelak kerana “pengaruhnya”.

Namun jika Najib diamanahkan mengetuai jentera Umno di Melaka, persoalannya ialah mengapa beliau? Mengapa bukan Mohamad Hasan? Bukankah Tok Mat timbalan presiden?

Bukankah “timbalan” ialah orang yang dilantik untuk membantu ketuanya dan memikul tugas ketua semasa ketiadaan ketuanya itu? Dalam konteks Umno, timbalan presiden dipilih ahli parti. Bukan “sekadar” dilantik presiden.

Adakalanya seseorang timbalan diangkat sebagai ‘pemangku’ dalam menjalankan tugas ketua bagi tempoh waktu ketiadaan si ketua. Maksudnya si timbalan memangku jawatan ketua sehingga ketua kembali bertugas.

Apa pun, kedua-dua “kaedah” boleh digunakan untuk Tok Mat memimpin jentera Umno di Melaka. Beberapa penganalisis politik berpendapat orang yang paling “afdal” mengetuai parti dengan ketiadaaan Zahid ialah Tok Mat kerana beliau timbalan Zahid.

Mengapa Zahid macam tidak memilih Tok Mat? Apa yang tersurat dan tersirat? Maklumlah Najibkan “bosku”.

Namun jika Najib benar dipilih untuk memimpin parti, adakah pemilihan dibuat berdasarkan pengaruhnya seperti mana yang mendorong pelantikannya sebagai penasihat BN?

Tidak dinafikan Najib masih berpengaruh khususnya dalam Umno. Malah kehadirannya di platform media sosial amat ketara. Ramai yang yakin beliau ialah “Bos”. Najib sudah pun menemui orang Umno di Melaka. Lihat sahaja video yang tular betapa “bersemangat” wanita Umno menyambut beliau.

Beberapa kemenangan BN pada PRK pasca PRU14 juga disandarkan kepada faktor ‘Bosku’.

Ada pemerhati politik berpendapat Najib sebagai bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno, orang lama dalam Umno, dan dengan ramainya pengikut di media sosial mampu menggembleng tenaga parti dan menyatukan ahli bagi menguatkan jentera PRN Melaka.

Namun ada yang percaya Melaka gelanggang terbaik untuk “menguji” Umno dipimpin Tok Mat dalam ketiadaan Zahid. Bagaimanapun, kita faham jika Umno tidak mahu ambil risiko dengan melakukan “ujian” sedemikian buat masa ini.

Apa pandangan Tok Mat terhadap isu ini? Menurut media, apabila ditanya, jawapan beliau ringkas: “kamu tanya Najiblah”. Terpulang kepada semua untuk menyelami minda beliau dan “baca” apa yang dimaksudkan.

Tanya orang Umno, semua akan berkata dengan terbuka tiada masalah siapa pun panglima perang di Melaka.

Namun jawapan “positif” sedemikian, tidak dapat menutup persoalan tertentu yang berlegar mengenai peranan “rasmi” Najib dalam menguruskan persiapan Umno di Melaka dan juga sejauh mana kesatuan dalam parti itu.

Dilema Ismail Sabri dan sikap dingin Umno

Bakar Suar

Kesian Umno. Parti politik yang menunjangi perjuangan kemerdekaan negara dan pemangkin semangat nasionalisme Melayu dan Malaysia kini menjadi pertubuhan kerap dikhianati dari dalam dan luar parti.

Walaupun Umno kini mendapat peluang kedua meneraju negara selepas diaibkan pada Pilihan Raya Umum 2018, nampaknya tidak banyak yang boleh dilakukan oleh wakilnya di kerusi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, untuk memulihkan wibawanya.

Kali pertama rantaian kuasa politik Umno tercabut ialah apabila ia dihukum haram oleh mahkamah kerana rentetan pergeseran dua pemimpinnya Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988.

Ketika pengharaman Umno itu, MCA, parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional yang dipimpin oleh Dr Ling Liong Sik sempat merasa hawa kuasa pimpinan negara untuk beberapa hari.

Mujur pendaftaran parti baharu – Umno Baharu – dapat dibuat segera dan diberi hak mewarisi bukan sahaja nama Umno tetapi aset Umno di segi keahlian dan perwakilannya di dalam Dewan Rakyat.

Umno terlepas hak memimpin negara sekali lagi apabila mantan Perdana Menteri, Najib Razak gagal memimpin Barisan Nasional memenangi PRU14 pada Mei 2018.

Yang menjadi Perdana Menteri ialah mantan Presiden Umno, Mahathir yang ketika itu Pengerusi Bersatu yang sanggup berkongsi kuasa dengan DAP, parti belasahan yang sering dituduh rasis Cina untuk membakar sentimen Melayu.

Platform kuasa itu juga beliau kongsi dengan PKR yang ditubuhkan khusus untuk menentangnya kerana memecat dan memenjarakan ketua umum PKR (sekarang presiden) Anwar Ibrahim atas tuduhan salahguna kuasa dan jenayah liwat.

Namun Dr Mahathir pun tidak kekal. Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula menggerakkan strategi “Langkah Sheraton” bersama PAS dan serpihan ahli politik PKR lalu memaksa Mahathir letak jawatan sebab kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Maka semakin malap kredibiliti Umno daripada parti politik induk sejak Malaysia merdeka hingga merosot menjadi parti politik Melayu-Islam kurang pengaruh.

Najib letak jawatan presiden dan diganti oleh timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi. Malangnya Zahid juga menghadapi berpuluh-puluh tuduhan jenayah urusan kewangan.

Namun prestasi Muhyiddin sendiri hambar dalam menangani cabaran pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi hingga beliau juga terpaksa berundur.

Kini Umno kembali menjadi nakhoda bawah pimpinan Ismail. Ini agak janggal. Sebagai presiden Umno, Zahid, di segi teknikalnya layak mengisi jawatan itu tetapi didapati kurang sesuai kerana kes-kes mahkamah yang dihadapinya.

Kedudukan Umno menjadi sukar apabila krisis politik yang digerakkan oleh pemimpin Umno sendiri melanda Melaka. Ismail kelihatan kekok dan seolah-olah tiada locus standi merungkai cabaran krisis ini.

Zahid tentu ada perhitungan politiknya sendiri bagaimana mahu bertempur pada PRN Melaka yang bermula 8 November ini dengan hari pencalonan.

Namun Ismail sebagai Perdana Menteri yakin beliau bertanggungjawab memelihara kerukunan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Namun begitu, beliau sedar adalah lebih baik serahkan soal politik kepartian PRN Melaka kepada presiden.

Strategi dan falsafah Ismail ialah doktrin “Keluarga Malaysia”, sebab itu awal-awal lagi beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan yang memungkinkannya diterima sebagai ketua ‘keluarga’ negara.

Sebagai “bapak” Keluarga Malaysia, seharusnya Ismail perlu mengutamakan keadilan dan keharmonian dalam kalangan parti politik seperti yang dititipkan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong – “yang menang tidak ambil semua dan yang tewas tidak kalah semua”.

Maka timbul persoalan adakah Ismail mendapat restu dan mandat pucuk pimpinan Umno untuk mengamalkan politik ikhlas dan luhur yang dipersetujui dengan PH?

Zahid masih keberatan. Sasarannya ialah mengembalikan imej dominan dan tegas Umno. Sebab itu Umno nampaknya liat mahu berunding dengan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan PAS.

Beberapa kali Zahid beralasan “Umno telah kerap dikhianati”. Walaupun tiada bukti dikemukakannya, namun umum melihat Zahid tidak selesa dengan pemimpin Bersatu yang kebanyakannya mantan ahli Umno.

Yang agak lantang menegur ialah presiden Bersatu dan bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang menyatakan “kalau sebelah sana (Umno dan Barisan Nasional) keberatan berbincang, PN akan bergerak terus kerana masa sudah suntuk”.

Pendirian Muhyiddin, yang juga pengerusi PN, seolah-olah mahu mengatakan pinggan tak retak nasi tak dingin…Bersatu dan PAS akan terus guna cogan kerajaan Melayu-Islam!

Kesian Ismail. Dilemanya sekarang bak kata pepatah – ditelan mati emak, diluah mati bapa. Beliau sudah teroka alur perdamaian lebih kekal dengan PH tetapi nampaknya tauke Umno kurang berselera ke meja damai.

Melaka gelanggang Umno isytihar Tanah Melayu merdeka daripada penjajahan asing. Mungkinkah di bumi Melaka juga perjuangan Umno mula larut?

Bersatu mungkin peralat Pas dekati pengundi sekiranya Umno tutup pintu rundingan

SHAHBUDIN HUSIN

Pelbagai pihak dilihat tidak senang dengan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung larangan ceramah, majlis sosial, pelancaran jentera dan segala aktiviti terbuka sepanjang tempoh berkempen dalam PRN Melaka.

Tambahan lagi larangan itu yang konon bertujuan mengelak penularan semula wabak Covid-19 dikeluarkan ketika Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno sudah mula turun menjelajah beberapa kawasan di Melaka untuk memastikan kemenangan BN pada 20 November depan.

Bagi pihak dalam Umno, mereka melihat larangan itu tidak lain bertujuan menghalang pemimpin-pemimpin Umno menjalankan kerja-kerja kempen secara agresif bertemu pengundi.

Kata mereka lagi, sebagai parti yang berasaskan akar umbi, kempen turun ke bawah bertemu rakyat dan pengundi adalah perkara yang tidak boleh dielakkan bagi Umno bila berlaku pilihan raya.

Lainlah seperti Bersatu, tambah mereka, yang merupakan parti yang tiada akar umbi dan tidak banyak cawangan, maka tiada keperluan bagi pemimpinnya turun ke bawah untuk berkempen.

Kempen boleh saja dilakukan melalui cara lain menggunakan program kerajaan, NGO atau media sosial.

Selain itu, ada pihak dalam Umno juga melihat larangan kempen itu sebagai strategi halus untuk mendesak agar Umno akhirnya sedia bekerjasama dengan PN bagi memastikan PH tidak berpeluang mencapai kemenangan.

Pada waktu yang sama, PH juga turut tidak senang dengan larangan kempen yang diumumkan Khairy Jamaluddin itu.

Sementara Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menganggap larangan itu memperolok sistem demokrasi, Lim Guan Eng pula sedang mengkaji untuk mencabarnya daripada sudut undang-undang.

Daripada satu sudut, oleh kerana banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial telah dibenarkan seperti melancong, bermesyuarat, kenduri dan sebagainya, tambahan lagi lebih 90 peratus rakyat sudah menerima vaksin, melarang aktiviti kempen untuk pilihan raya ternampak seperti tidak masuk akal.

Jika begitu, apa gunanya vaksinasi?

Sepatutnya, biarlah semua aktiviti kempen dibenarkan, yang penting SOP asas seperti menjaga kebersihan, memastikan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka hendaklah sentiasa dipatuhi.

Begitu pun, apa sebenarnya tujuan larangan kempen ini dikuatkuasakan?

Sepertimana kita sedia maklum, kerjasama antara Umno dengan PN, walaupun terus menerus diminta oleh Pas dan Bersatu, adalah sesuatu yang memang sukar untuk menjadi kenyataan.

Terutama disebabkan jurang perbezaan Umno dengan Bersatu itu terlalu dalam, malah berliku-liku, mempertemukan titik tolak ansur antara kedua-duanya bukanlah suatu perkara mudah.

Untuk itu, kemungkinan paling besar di PRN Melaka ini ialah Umno dan Bersatu akan berlaga sesama sendiri atas tiket BN serta PN dalam persaingan tiga penjuru yang turut disertai PH.

Apabila berlaku pertembungan itu, mereka yang paling susah hati ialah kelompok menteri Umno yang diketahui sejak dulu berjiwa pro kepada Bersatu.

Kalau mereka turun berkempen untuk Umno, bimbang nanti Bersatu akan berkecil hati dan jika turun berkempen menolong Bersatu pula, ia sudah tentu melanggar disiplin parti.

Lalu, dengan adanya larangan turun berkempen secara terbuka yang diumumkan KJ itu, selamatlah mereka dan mereka kini tidak perlu langsung turun berkempen baik untuk Umno, mahu pun Bersatu.

Pada waktu yang sama, disebabkan cawangan dan akar umbi Umno lebih kukuh berbanding Bersatu, apa yang perlu dilakukan oleh parti itu dengan adanya larangan kempen terbuka ini ialah memanfaatkan kekuatan itu sepenuhnya untuk mendekati lagi semua kelompok pengundi.

Ia boleh dilakukan melalui jentera media sosial tempatan yang mungkin sudah sedia wujud di peringkat cawangan dan jika belum ada, masih ada masa untuk mewujudkannya dengan menyenaraikan nama pengundi dalam daftar mereka.

Kemudian, segala hal berkaitan kempen, termasuk serangan kepada pihak lawan dan menjawab isu-isu yang berbangkit hendaklah menggunakan saluran tersebut sebaik-baiknya.

Bersatu yang tidak banyak cawangan dan tiada akar umbi sudah tentu berdepan kesukaran berkempen hingga ke bawah menggunakan media sosial, kecuali yang boleh dilakukan ialah mewujudkan pusat-pusat serangan yang beroperasi di Kuala Lumpur atau di bandar Melaka.

Namun, sudah tentu keberkesanannya tidak menyeluruh atau mampu meresap ke bawah berbanding apa yang digerakkan Umno melalui akar umbinya yang sudah sedia wujud itu.

Pokoknya, dengan adanya larangan kempen terbuka dan mengadakan majlis-majlis bertemu pengundi ini lebih memberi kelebihan kepada Umno dan ia lagi meletakkan mereka tidak perlu sama sekali bekerjasama dengan Bersatu, Pas atau PN.

Senang-senang Bersatu akan ditinggalkan dalam gerak kerja kempen dan mendekati pengundi.

Paling-paling pun Pas yang ada sedikit akar umbi akan diperalat sepenuhnya oleh Bersatu untuk berhadapan dengan Umno.

Secara langsung dan tidak langsung, Umno kini sudah boleh tutup terus pintu rundingan dengan PN.

Warganet ‘sekolahkan’ Hadi selepas veteran Pas diseru berjuang

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet mengkritik kepimpinan Pas pada masa ini susulan seruan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar veteran Pas, Assabiqun berperanan dalam perjuangan.

Bagi pengguna Facebook, Manaf Selasih, Muslim yang baik dan sihat akal jiwanya akan tahu cara sebenar perjuangan Islam ditegakkan.

“Semua Muslim yang tahu dan faham akan menolak mentah-mentah apa yang diseru oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang ini,” katanya dalam ruang komentar Facebook rasmi, Harakahdaily hari ini.

Tambah Manaf, sejak berzaman Islam menolak cara menduakan kesatuan Islam yang disekutukan dengan kumpulan politik yang sifatnya sempit.

“Muslim yang masuk politik boleh sahaja perjuangkan Islam sebagai orang Islam tanpa bising-bising mendakwa diri pejuang Islam,” hujahnya lagi.

Terdahulu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilapor berkata, berjihad menentang serangan pemikiran yang di bawah musuh kini menjadi fardhu ain bagi setiap individu.

Katanya, hal ini kerana beliau melihat kini, musuh sudah mula masuk ke negeri, rumah bahkan pemikiran orang Islam sendiri.

Ekoran itu, deretan komentar turut menyindir termasuk mengaitkan dengan pembelian nombor plat VIP.

“Pesan jangan buat plat kereta sampai RM100,000,” perli Shamsul Rahman.

Dalam masa sama, pemimpin Pas juga ditempelak ekoran penggunaan istilah Arab seperti ‘Assabiqun’ itu.

“Dok main istilah Arab. Kira habis lunaklah segala hati rakyat Malaysia ye? Zaman 80-an bolehlah. Pakat menitik air liur dengar ceramah.

“Campur-campur pula ayat-ayat al-Quran dan term Arabic. Balik ceramah rasa nak beli unta panjat, berkobar-kobar semangat,” sinis Zack Mortein.

Selain itu, ada juga netizen mengingatkan tentang sikap ‘cakap tidak serupa bikin’ orang Pas menjelang pilihan raya.

“Nak mengundi hari-hari keluar dalil. Yang pelik dia tidak menjadi contoh apa yang diucapkan,” kata Kasim Sabtu.

Bahkan, ada yang menegaskan mereka sudah tampil mempertahankan dan menegakkan Islam tetapi bukan bermakna akan memilih Pas di kertas undi nanti.

“Dah ambil peranan pun tapi tak undi Pas,” kata seorang warganet lagi.

Mat Sabu: 'Malaysia jadi negara paling pelik dalam dunia, paling kelam-kabut sekarang ini'

Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan Malaysia kini menjadi negara yang pelik dalam dunia.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mendakwa, ini kerana undang-undang berubah mengikut nafsu pemerintah dan bukannya mengikut peraturan.

“Yang Berhormat Kulim-Bandar Bharu, perkara-perkara pelik berlaku di Malaysia mutakhir ini.

“Peliknya dahulu ahli Parlimen tidak boleh masuk Parlimen, peliknya semasa darurat jangkitan COVID-19 paling tinggi sampai 24,000, mati beratus satu hari dan kemuncak cecah 300 satu hari,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah perbahasan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Bharu) bagi mengungkaikan tujuh ordinan darurat.

Mohamad yang merupakan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menambah, apa yang lebih pelik adalah mengenai pilihan raya di Melaka.

“Melaka di Fasa Empat (Pelan Pemulihan Negara). Restoran penuh, mall penuh, kenduri kahwin boleh buat dan kuliah boleh buat.

“(Tetapi) ceramah tak boleh, berkempen tak boleh, (pergi) ke rumah-rumah tak boleh,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Saifuddin pula mendakwa negara ini telah dipaksa untuk mengadakan pilihan raya di Melaka.

“Kita dipaksa untuk mengadakan pilihan raya. Yang kita tidak minta pun tetapi akan diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

“Speaker, kita cuma bawa kertas pencalonan. Calon datang (bersama) pencadang dan penyokong kemudian kalau negatif masuk, kalau positif duduk di khemah, kemudian balik duduk rumah.

“Sebab tidak boleh berjalan. Walkabout tak boleh, ceramah kelompok tak boleh dan ceramah umum tak boleh,” katanya.

4 bekas ADUN umum parti baharu Selasa depan, dakwa terima banyak tawaran

FMT Reporters

Empat bekas ADUN Melaka sedang meneliti dan memperhalusi setiap tawaran sebelum membuat sebarang pengumuman.

PETALING JAYA: Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka akan membuat keputusan Selasa depan untuk menyertai mana-mana parti politik bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November depan.

Perkara itu dimakluman bekas ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan di mana beliau dan tiga lagi bekas ADUN akan mengumumkan perkara itu selepas Pakatan Harapan (PH) enggan menerima mereka.

Katanya, walaupun PH menolak bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon mereka, namun sudah ada tawaran dibuat daripada parti politik lain.

“Saya melihat di media sosial yang disampaikan Lim Kit Siang dan beberapa parti dalam Pakatan Harapan (PH) menolak Norhizam Hassan Baktee. Bunyinya macam menolak empat lagi bekas ADUN, saya dihubungi Norhizam mengatakan apa akan berlaku pada diri kita.

“Sebenarnya ada beberapa parti menghubungi kita, akan mengambil kita jika PH tidak mahu. Nanti dulu, Insyaallah minggu depan akan buat keputusan, Insyaallah kami bersama-sama, tidak boleh seorang pun tertinggal,” menurut laporan Sinar Harian.

Jelas Nor Azman, meskipun banyak tawaran diterima menjelang PRN Melaka, mereka sedang meneliti dan memperhalusi setiap tawaran sebelum membuat sebarang pengumuman.

“Jadi kami akan tengok di mana masa terdekat dan Insya-Allah kami akan berbincang hala tuju kami, macam mana tetap akan bertanding.

“Ada beberapa parti, mahu berjumpa dengan saya pada Isnin. Banyak tawaran datang bertanding kepada PRN,” katanya.

Selain Nor Azman, tiga lagi ADUN yang menarik sokongan iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam (Pengkalan Batu) menyebabkan kerajaan negeri tumbang selepas hilang majoriti.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu sebagai usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Apa masalah Adly?

MIQDAD ZAKARIA

Rakyat ada masalah nak jumpa wakil rakyat dan jabatan secara direct, kau buat Hari Bertemu Rakyat supaya senang urusan kami.

Makcik pakcik di kampung tiada rumah, penyakit banyak, nak kerja tak larat, kau bagi Rumah Peduli. Udah le free, tahan pulak tue.

Kami dah le susah dan penyakit tiga serangkai ni tak payah nak ceritalah, kau boleh pulak senang-senang bagi bantuan JKM, MAIM dan apa semua, tanpa pergi menyembah kaki orang-orang kuat kampung macam JKKKKKK dulu.

Anak-anak kami pulak habis belajar dah le susah nak dapat kerja. Kau panggil pula agensi dan jabatan termasuk syarikat swasta buka tawaran kerja seluas-luasnya. Lepastu kalau selak suratkhabar MelakaKini, 4-5 page pasal kerja kosong berlambak-lambak.

Tak habis-habis kau ni.

Anak kami dah kerja, dah satu hal selesai. Nak beli rumah satu hal lain pula. Lepastu kau pula umum RUMAH HARAPAN, RUMAH BELIA, RUMAH BERKAT dan segala rumah yang ada kau nak umum. Dah kami pening nak suruh pilih yang mana satu..haishhhh..

Jiran aku ni mak ayah die dah uzur. Kesian aku tengok. Sekali aku nampak dia bawa lampin dewasa masuk rumah berbungkus-bungkus. Terus dia cakap “Kerajaan Melaka bagi bantuan. Senang sikit. Lampin ni dahlah mahal”. Dengar cerita kau pulak nak bagi bantuan susu formula.

Kau dah kenapa? Tak boleh ke jadi macam Ketua Menteri sebelum ini? 

Ada kawan-kawan aku kerja kat GLC-GLC Melaka ni. Mereka pun pelik kalau mesyuarat dengan CM termasuk team-team kau. Muka senyum selalu lepas tu susah nak marah. Member aku cerita, kalau dulu jangankan senyum, fail tebal tu kau wajib kena hempuk ke muka. Kalau maki dan carut tu dah jadi rukunlah.

Itu belum cerita jadi hamba kena angkat beg semata-mata CEO-YB nak pergi shopping sakan.

Kau dah kenapa ni Adly? Buat kerja elok-elok sikit boleh tak? Aku sambil menulis ni pun dah sebak dengar kau tak jadi Ketua Menteri lagi. Kau ni banyak buat masalah kepada kami, sebab kami semua dah sayang bekas Ketua Menteri kami.

Ombak ada pasang surut,

Sambil ditemani sang mentari

Keputusanmu kami turut,

Adly Zahari tetap di hati.

Jangan ganggu mesyuarat Umno, kata Ahmad Maslan pada Idris Haron

FAZLI RADZI

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengingatkan Adun Sungai Udang Idris Haron untuk tidak mengacau mesyuarat parti itu.

Reaksi Ahmad itu susulan dakwaan bahawa Idris dikatakan hadir mesyuarat Umno Cawangan Klebang Kechil sekaligus dianggap mencetuskan kekecohan.

Ahmad berkata Idris sedar dirinya telah dipecat daripada Umno dengan surat pemecatan yang dikeluarkan pada 5 Oktober.

“Kenapa orang yang dah bukan ahli nak datang mesyuarat Umno ini,” soalnya.

“Itu sesuatu yang pelik, tapi benar berlaku pada Datuk Seri Idris Haron.. Apa yang nak disesali lagi?

“Kalau nak ceramah, ceramah la tempat lain, jangan ganggu mesyuarat Umno,” kata Ahmad lapor Astro Awani.

Nazri: PAS, Bersatu tak setuju hanya diberi 4 kerusi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz berkata, Bersatu dan PAS sepatutnya bersyukur Umno bersetuju mengagihkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kepada dua parti itu untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Beliau dalam satu perbincangan awal antara Umno, PAS dan Bersatu dimaklumkan dua parti yang membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) itu difahamkan tidak bersetuju dengan cadangan Umno hanya menyerahkan empat kerusi DUN kepada mereka.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, Bersatu dan PAS tidak boleh menyalahkan Umno, sekiranya parti itu memutuskan untuk bertanding solo kerana tawaran agihan kerusi itu adalah adil dan bertimbang rasa.

“Sebelum ini, saya difahamkan Umno bersedia menyerahkan dua kerusi DUN kepada Bersatu dan dua kerusi DUN kepada PAS, tetapi Bersatu tolak kerana mereka mahu mendapatkan tambahan kerusi pilihan raya.

“Memandangkan kekuatan kedua-dua parti berkenaan (PAS dan Bersatu) lemah, dengan Bersatu hampir tiada kekuatan akar umbi bagi menghadapi PRN Melaka, Bersatu dan PAS sepatutnya bersyukur Umno masih sanggup memberikan empat kerusi DUN kepada mereka bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

“Kedua-dua parti itu juga perlu menerima hakikat sebarang kerjasama PRN Melaka harus memastikan Umno menjadi ketua kerajaan negeri itu semula,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka dan BN yakin mampu menang pada 20 Nov nanti berdasarkan “permasalahan” di “pihak sebelah sana” ketika ini.

Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula dilaporkan berkata, pihaknya tidak boleh menunggu “rakan di sebelah sana” terlalu lama membuat keputusan sama ada mereka sedia bekerjasama atau tidak, semata-mata untuk mengelakkan pertembungan pada PRN Melaka.

Di sebalik situasi terkini membabitkan hubungan Umno, PAS dan Bersatu, Nazri masih berharap tiga parti itu dapat mencapai kata sepakat bagi menghadapi PRN Melaka.

“Hal ini kerana tanpa kerjasama parti-parti Melayu ini bagi mengelakkan pertembungan tiga atau lebih penjuru, usaha untuk mengekalkan kerajaan di Melaka pastinya berdepan cabaran besar.”

Akhbar itu memetik sumber Umno sebagai berkata, PAS menuntut lima kerusi dan Bersatu mahu lapan kerusi DUN sebagai syarat kerjasama dengan Umno pada PRN Melaka.

‘Sepanjang 22 bulan, keutamaan kita sentiasa rakyat’

SITI NUR ZAWANI MISCON 

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari memberitahu sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, gabungan itu tidak pernah lari dari kesedaran memikul tanggungjawab membantu rakyat.

Beliau berkata, banyak inisiatif yang digerakkan PH seperti program perumahan rakyat yang diberikan secara percuma kepada penduduk Melaka dan 100 buah rumah sudah pun siap ketika gabungan itu mentadbir.

Adly berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan di Telok Mas malam tadi.

Menurutnya, beliau menyedari bahawa anak muda yang mula membina kehidupan mahukan rumah dan ramai penduduk di Melaka sendiri sukar membeli rumah pertama mereka.

“Keutamaan kita adalah rakyat sepanjang 22 bulan mentadbir. Antara aspek penting adalah perumahan rakyat yang kami bina dengan harga RM37,500. Kita juga beri rumah percuma. Apa ruginya kita?

“Kita mahu tolong rakyat. Kita buat Rumah Berkat, sewa hanya RM150. Ada yang tanya, betul ke Yb bagi rumah percuma. Ya. Kita luluskan 100 rumah dan sudah siap. Sepatutnya kita siapkan 500 rumah. Dapat percuma,” katanya dalam sesi Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Dun Telok Mas malam ini.

Pada masa sama, Adly berkata, salah satu agenda di masa hadapan yang akan direalisasikan PH adalah menyediakan lebih banyak perumahan untuk rakyat dengan kadar sewaan lebih rendah sekitar RM150 sehingga RM200 sebulan.

Sementara itu, Adly turut menegaskan bahawa kerenah birokrasi yang dihapuskan semasa pentadbirannya dahulu, tidak seharusnya dilaksanakan semula kerana ia antara faktor yang menyusahkan hidup rakyat.

Beliau menyentuh bagaimana rakyat perlu melalui pelbagai proses kelulusan hanya mahu mendapatkan bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun proses itu semua telah dihapuskannya sebelum ini bagi memudahkan rakyat yang seharusnya layak dibantu.

Menurutnya, jiwa pemimpin yang tidak memahami permasalahan rakyat menyebabkan rakyat terus susah.

“Jiwa kita ini tak ada pada rakyat. Contohnya pasal pemberian bakul makanan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Ketua Menteri memang tidak ada jiwa untuk rakyat.

“Dulu semasa rakyat susah akibat pandemik Covid-19, dia bagi 100 bakul makanan. Bila masuk fasa 2 dan 3, rakyat dah keluar berniaga dan bekerja, kerajaan luluskan pula 1,000 bakul.

“Kita mesti buang kerenah birokrasi. Sistem demokrasi dah jauh menyimpang. Tugas kerajaan cari di mana orang susah. Kalau peruntukan wakil rakyat RM300,000 dan wang di Jabatan Kebajikan ada RM76juta, sepatutnya siapa perlu cari orang susah? JKM, iaitu pelaksana jentera kerajaan,” ujarnya lagi.