"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Krisis Istana Kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Krisis Istana Kelantan. Papar semua catatan

Peluru Tidak Sepadan Senjata Tengku Fakhry

KOTA BHARU, 21 APRIL: Mahkamah Koroner diberitahu peluru yang menyebabkan kematian pengawal Istana Kelantan Ramli Mohamad disahkan tidak sepadan dengan senjata api milik bekas Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ASP Kamarulnizam Alias berkata, oleh itu, semua senjata api dan peluru milik baginda dikembalikan selepas siasatan selesai.

"Peluru yang dianalisis Bahagian Balistik Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Cheras mengesahkan ia berlaras .32 manakala senjata api dan peluru yang diambil dari Istana Mahkota milik (bekas) Tengku Temenggong pada 5 Mei 2010 adalah tidak sepadan.

"Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (kini Timbalan Ketua Polis Kelantan) Datuk Mazlan Lazim telah mengarahkan agar semua senjata api dan peluru itu diserahkan kembali selepas itu," katanya ketika memberi keterangan pada inkues bagi menyiasat kematian Ramli dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi, 1 Mei tahun lalu.

Inkues itu didengar oleh Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Dulu sepadan

Pada prosiding 30 Mac lalu, juruanalisis polis Inspektor Amir Abdullah mengesahkan peluru yang diperiksanya berkaitan kes pembunuhan itu adalah sepadan dengan pistol berlaras .32.

Kamarulnizam berkata polis telah mengambil selaras "shot gun" jenis Benelli, 10 butir peluru jenis Winchester, tali silang, selaras pistol jenis "Auto Glock", 41 butir peluru Winchester, dua kelopak peluru dan lesen memiliki senjata api milik Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Katanya, polis turut menahan dua lelaki bagi membantu siasatan iaitu pemandu istana Mohd Salleh @ Abdul Ghani Ismail dan tukang masak peribadi Tengku Muhammad Fakhry Petra, Mohd Rusdee Hassan @ Thopearoh atau Chef Dee.

Beliau berkata polis merampas sebuah telefon bimbit jenis Motorola milik Mohd Rusdee bagi menyiasat butiran mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Terdapat satu SMS yang disiasat, yang dihantar Rosli Mat Yaman, bersabit sebuah motosikal yang dipinjam Mohd Rusdee sebelum kejadian," katanya.

Beliau berkata dalam keterangan kepada polis, Rosli atau 'Abang Long' mendakwa Mohd Rusdee datang bersama seorang lelaki lain untuk mengambil motosikal milik individu dikenali sebagai 'Emi Azmi' pada 28 April 2010.

"Namun, Mohd Rusdee pula mendakwa hanya beliau seorang sahaja yang mengambil motosikal berkenaan," katanya yang menambah motosikal itu dikembalikan kepada Emi Azmi pada 2 Mei 2010, iaitu sehari selepas kejadian tembak berlaku.

Selain Kamarulnizam, turut memberi keterangan hari ini ialah bekas pekerja Istana Mahkota iaitu Mohamad Burhanuddin Abd Maleki dan anak Ramli, Nurhidayah.

Raja Norshuzianna Shakila kemudian menetapkan 2 Mei depan untuk hujahan lisan sebelum mengumumkan keputusan inkues.

Seramai 38 saksi memberi keterangan pada prosiding inkues yang berlangsung selama lapan hari mulai 10 Jan lalu.
-Bernama-

Inkues: Tukang masak Tengku Fakry nafi tembak pengawal istana

TUMPAT, 21 Feb: Tukang masak peribadi bekas Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakry Petra, Mohd Rusdee Hassan @ Thopearoh hari ini menafikan bahawa dia menembak pengawal Istana Negeri Kelantan Ramli Mohamad dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi 1 Mei 2010.

Mohd Rusdee, 46, yang dikenali sebagai Chef Dee, berkata demikian dalam kenyataan tambahan di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat di sini pada prosiding inkues menyiasat kematian Ramli hari ini.

“Bukan saya yang buat. Saya sedih dengan apa yang berlaku kepada Ramli dan keluarganya, tapi bukan saya yang buat. Saya tidak kenal dengannya sangat, tetapi dia pernah kenal dengan orang yang saya hormati, iaitu Tengku Salwani Petra (adinda perempuan Tuanku Ismail Petra).

“Harap keluarga dia faham, kerana keluarga dia marah sangat kerana ingat saya yang buat. Masa berlaku, saya tidak ada di sini, saya dan keluarga bercuti di Bukit Merah (Perak),” katanya.

Ketika kejadian, Ramli menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli, selepas bertugas di Istana Negeri Kubang Kerian.

Mohd Rusdee berkata insiden yang menimpa Ramli hanya diketahui melalui seorang lagi tukang masak istana dikenali sebagai Kak Hawa pada keesokan harinya.

“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan kejadian tembakan membabitkan pengawal istana. Sebelum itu, saya tidak tahu (kejadian tembak) sehinggalah dimaklumkan Kak Hawa yang menceritakan kejadian itu pada saya,” katanya.

Saksi ke-32 itu turut memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa beliau akan mendapatkan khidmat guaman kerana mendakwa diseksa ketika ditahan berhubung kejadian tersebut.

Ditanya mengenai perkenalannya dengan Ramli, Mohd Rusdee berkata beliau sering bertemu dengan mangsa yang mengiringi Tengku Salwani Petra makan di RoyalGuest House, tempat kerjanya sebelum ini.

Prosiding inkues bersambung pada 30 dan 31 Mac. 
-Bernama-

Tengku Fa-iz dimasyhur Tengku Mahkota Kelantan

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 18 Okt: Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra hari ini sah bergelar Tengku Mahkota Kelantan.

Gelaran sebagai pewaris raja itu telah diperkenankan sendiri oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, setelah keputusan mesyuarat berhubung perkara itu diangkat sembah oleh wakil Majlis Perajaan Negeri (MPN), di Istana Telipot, tengah hari tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Aiseri Alias, dalam sidang medianya berkata, perkara itu (mengangkat sembah nasihat) telah diangkat kepada Sultan Kelantan setelah ianya diputuskan dalam mesyuarat khas MPN di Kota Darulnaim, pagi tadi.

Katanya, mesyuarat yang berlangsung pagi tadi telah memenuhi Perkara 14 dan Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

“Peristiwa hari ini menyentuh dua perkara penting, iaitu Majlis Permasyhuran Pemilih dan Pelantikan Waris dan Majlis Pengurniaan Gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujarnya.

Sehubungan itu, menurutnya telah berlaku pemasyhuran perlantikan waris dan majlis pengurniaan gelaran Tengku Mahkota Kelantan tengah hari tadi di Istana Negeri.

“Dengan itu, mulai hari ini Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra telah bergelar Tengku Mahkota Kelantan,” ujarnya.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi MPN Datuk Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibn Almarhum Sultan Ibrahim telah dihadiri oleh 15 orang ahli, tidak termasuk Tengku Muhammad Fa-iz yang tidak mengambil dalam mesyuarat itu.

Hadir sama pada majlis pemasyhuran itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri termasuk Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Ahmad.

Gelaran Sultan Muhammad ke V mula digunapakai

Mohamed Zainal Abidin Hussin
KOTA BHARU, 20 Sept: Penggunaan gelaran Sultan Muhammad V mula digunapakai dalam upacara rasmi kerajaan hari ini apabila Timbalan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan istilah tersebut dalam perhimpunan bulanan kakitangan Kota Darulnaim pagi ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata dengan pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru bergelar Sultan Muhammad V dalam suasana merayakan Aidilfitri baru-baru ini akan menambahkan lagi kekuatan rakyat dan negeri Kelantan dalam mewujudkan persekitaran Islam yang telah dibina sejak 20 tahun lalu.

“Sepanjang Ramadan yang baru saja berlalu, masyarakat Kelantan dapat merasai dengan jelas persekitaran baru yang ada di negeri ini yang begitu jauh berbeza dengan apa yang ada sebelum ditadbir dengan pendekatan Islam,” kata beliau di hadapan lebih seribu kakitangan awam.

Masjid-masjid menurut beliau dipimpin oleh imam-imam yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan mendapat latihan kepimpinan Islam yang berkualiti.

“Bandar kita bergema dengan laungan zikir dan suasana ibadah yang mampu manjauhkan segala bentuk keburukan dan maksiat yang dimurkai,” ujar beliau.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa penjawat awam Kelantan akan muncul sebagai pasukan terbaik dengan kualiti tinggi selepas sebulan menyertai tarbiyah Ramadan.

“Pelbagai program Ramadan seperti Qiamullail, tadarus Quran, solat sunat Tarawih dan pelbagai lagi sudah pasti akan mengangkat darjat kita semua menjadi mereka yang siap sedia memikul beban berkhidmat untuk rakyat sebagai hamba Allah yang terbaik (ahsanu amala),” jelas beliau lagi.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias yang menjelaskan kronologi pemasyhuran Sultan baru-baru ini berharap setiap anggota kakitangan memahami dengan baik isu ini agar dapat menjadi jurucakap kerajaan jika terdapat suara-suara sumbang yang cuba mengelirukan perkara sebenar.

“Kita sedar ada pihak yang cuba menggunakan akhbar untuk menimbulkan keraguan berkaitan pemasyhuran baginda Sultan, dan menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan supaya semua pihak mendapat gambaran yang sebenar,” kata beliau.

Beliau kemudian menjelaskan dengan terperinci kaedah perlantikan Sultan yang baru berdasarkan pindaan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri yang telah diwartakan pada 20 Julai yang lalu.

“Kita turut sukacita kerana Duli Yang Maha Mulia Sultan yang baru berkenan untuk meminda beberapa kebiasaan supaya lebih bertepatan dengan kehendak Islam,” ujar beliau.

Antara lain, Aiseri mengumumkan penggantian penggunaan Daulat Tuanku dengan Allahu Akbar dan penggunaan gelaran Sultan Muhammad ke V bagi diri baginda.

SULTAN KELANTAN BAKAL BERGELAR SULTAN MUHAMMAD KE-V

Alhamdulillah, sepertimana yang dijangkakan, Tuanku Muhammad Faris Petra telah selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada hari Isnin 13 September 2010 Masihi bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah tanpa apa-apa gangguan.

Selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra telah segera berangkat ke masjid kesayangan Baginda, Masjid Muhammadi, untuk menunaikan sujud syukur dan seterusnya bersembahyang Asar bersama-sama rakyat jelata.

Pada hari ini, Jumaat 17 September 2010 pula, Tuanku Muhammad Faris Petra, dengan diiringi oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, dijadual menunaikan sembahyang Jumaat dan sembahyang Hajat di Masjid Muhammadi.

Selaras dengan jiwa keIslaman Baginda, Tuanku Muhammad Faris Petra, yang bakal bergelar Sultan Muhammad Ke-V dan bakal bersemayam di Istana Negeri, akan memperkenalkan beberapa pembaharuan di dalam pemerintahan Baginda.

Pembaharuan pertama yang dititahkan oleh Tuanku Muhammad Faris Petra adalah supaya seruan “Daulat Tuanku” digantikan dengan seruan “Allahu Akbar” (oleh itu, tidak berbangkit persoalan perubahan seruan ini dibuat oleh Kerajaan Kelantan).

Bagaimanapun, walaupun seruan “Allahu Akbar” ini lebih sinonim dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuanku Muhammad Faris Petra kekal berkecuali dari segi politik di mana Baginda akan merestui setiap yang baik dari mana-mana pihak.

Sebenarnya beberapa lagi pembaharuan telah dikenal pasti untuk dilaksanakan oleh Tuanku Muhammad Faris Petra demi ketinggian syiar Islam dan demi kebaikan rakyat jelata, lihat dan tunggulah pengumuman-pengumuman mengenainya nanti.

Berikut dilampirkan pindaan kedua yang telah dibuat ke atas Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) mengenai pemeliharaan taraf dan kedudukan ayahanda dan bonda Tuanku Muhammad Faris Petra.

Mengikut perancangan, butiran mengenai pindaan ini sepatutnya diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Aiseri Alias, di dalam sidang media beliau di Istana Negeri pada 13 September 2010 sepertimana diumumkan sebelum ini.

Apa pun, beliau telah mengumumkannya di dalam sidang media beliau di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada 15 September 2010 jadi diharap tiada lagi apa-apa kekeliruan yang timbul, sama ada secara sengaja atau tidak, mengenainya.

Turut dilampirkan adalah laporan sebuah akhbar tempatan yang memaparkan cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan dengan secara negatif Kerajaan Kelantan di dalam isu penggantian seruan “Daulat Tuanku” dengan seruan “Allahu Akbar”.

Allahu Akbar.

(Peringatan: Gelaran Sultan Muhammad Ke-V kepada Tuanku Muhammad Faris Petra hanya akan berkuat kuasa dan boleh digunakan setelah pewartaan mengenainya selamat dibuat).

Sultan Kelantan terharu sokongan rakyat

Pejabat Sultan Kelantan hari ini menzahirkan rasa terharu dengan sokongan yang diberi oleh seluruh rakyat ke atas pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Sultan
Kelantan yang baru.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata banyak ucapan tahniah diterima bagi menyatakan rasa gembira dan taat setia kepada Sultan Kelantan serta yakin baginda dapat menjalankan tugas dengan lebih baik.

tengku faris kelantan 130910"Bagi pihak pejabat Sultan, saya terharu dan berterima kasih di atas sokongan dan taat setia rakyat kepada Tuanku Sultan," katanya melalui satu kenyataan ringkas kepada Bernama di Kota baharu, hari ini.

Abdul Halim berkata beliau, yang dibenarkan keluar dari Hospital Pakar Perdana hari ini setelah menerima rawatan akibat keletihan sejak dua hari lepas, membolehkan beliau menguruskan beberapa program lawatan tetamu baginda Sultan ke Kelantan.

"Kita doakan Tuanku selamat sejahtera dan dapat terus memerintah dan menjaga kebajikan rakyat dengan sempurna," katanya.

-Bernama-

Tuanku Faris: Adakah Trafic-Light akan berubah kaler?

Ustaz Saiful Bahri
Tok Guru Nik Aziz selaku Murshidul Am Pas merangkap MB negeri Kelantan telah meletakkan asas yang kukuh dalam menggembalikan kegemilangan Islam di negeri Kelantan sebagai negeri serambi Mekah. Dalam masa 20 tahun pentadbiran beliau nescaya bukan sedikit jasa yang beliau pacakkan khususnya dalam membawa kegemilangan Kelantan bukan hanya duniawi tetapi juga kearah keredhaan Ilahi.
 Berbaki hanya 3 tahun sahaja lagi untuk menyamai perjuangan Rasulullah Saw iaitu 23 tahun setelah dipilih menjadi Rasul hingga ke tarikh kewafatan Baginda. Walaupun Rasulullah Saw hanya memerintah Madinah al-Munawwarah selama 10 tahun sahaja.

Khilafah yang merupakan bebanan yang dipikulkan atas Adam a.s dan diwarisi kepada keturunan Baginda sehingga manusia akhir zaman. Para Nabi dan Rasul dahulunya sebagai pemimpin ummah memperjuangkan bukan sekadar untuk menegakkan aqidah yang sahih dan ibadah yang benar tetapi meliputi sistem ekonomi yang diredhai, sistem sosial yang yang berlandaskan agama dan meliputi segenap bidang kehidupan manusia bahkan sistem kenegaraan berteraskan perlaksanaan syariah Islam secara syumul dalam seluruh aspek kehidupan melalui institusi perundangan. Itulah yang dikatakan sebagai Khilafah ar-Rasyidah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah.

Kewujudan dan keberadaan Khilafah itu bukanlah demi kekuasaan atau pemerintahan itu sendiri, melainkan untuk menegakkan syariah Islam yang memang wajib hukumnya. Khilafah ada demi syariah. Imam Ghazali dalam kitabnya al-Iqtishad fi al-I’tiqad menyebut hubungan kekuasaan dan agama atau gambaran eratnya hubungan Khilafah dan syariah. Kata Imam Ghazali,"Ad-diinu ussun wa as-sulthaanu haris. Wa maa laa ussa lahu fa-mahdumun wa maa laa harisa lahu fa-dhaa`i’." (Agama adalah asas dan kekuasaan adalah penjaganya. Apa saja yang tidak ada asasnya akan roboh dan apa saja yang tidak ada penjaganya akan hilang).

Sudah pasti usaha dan jihad kita untuk mendapatkan kuasa adalah kerana Allah Swt. Ingin melaksana dan mengakkan tuntutan Allah Swt. Inilah yang diperjuangkan oleh Rasulullah Saw dan para sahabat sehingga mengorbankan nyawa yang bukan sedikit termasuk masa dan harta-benda maupun tanah-air demi menegakkan sebuah Negara dan melaksanakan syariah Islam padanya.

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Dan putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” al-Ma’idah :49

Firman Allah SWT :-

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Ertinya : Dan tidaklah boleh bagi seorang lelaki yang beriman dan wanita yang beriman itu, apabila Allah SWT & RasulNya telah menetapkan sesuatu hukum, maka mereka ingin memilih (mengikut suka hati mereka), dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, ia telah sesat dalam kesesatan yang nyata.

Atas semua faktor yang sudah diketahui inilah usaha Pas dalam menegakkan syariah dan segala hukum-hakamnya adalah merupakan tuntutan bersama. Ia merupakan matlamat perjuangan Gerakan Islam dan matlamat perjuangan umat Islam sedunia. Pas sendiri berjanji untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990. Kerana itu selepas kemenangan yang diperolehi lalu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.

Berbanding negeri Terengganu meskipun telah ditandatangani oleh Tuanku Sultan Mizan dan diwartakan semasa pemerintahan Pas 1999-2004 tetapi kerajaan Umno-BN Terengganu kini mengamalkan perlaksanaan terpilih tetapi tidak melibatkan jenayah hudud & qisas. Manakala di Kelantan, undang-undang ini belum diwartakan dan di kuatkuasakan oleh Negeri Kelantan.kerana menghadapi permasalahan tertentu termasuklah halangan kerajaan Pusat pimpinan Umno-BN sendiri. Pengakuan Tok Guru untuk tetap melaksanakannya meskipun dikritik oleh Sultan Kelantan pada 19 Mei 1996.

Dalam perlaksanaan syariah selain hudud & qisas ia berjalan dengan baik dan dan berkembang dari masa kesemasa. Tok Guru mengumpamakan perlaksanaan hudud tertahan seumpama kereta berada dipersimpangan traffic-light. Enjin kereta tak mati tetapi menunggu lampu traffic-light bertukar dari merah kepada hijau. Diharapkan agar perlantikan Tengku faris yang dilihat lebih mesra agama dan nampaknya agak sehaluan dengan Tok Guru MB diharapkan inilah masa dan tempohnya lampu merah akan bertukar menjadi hijau. Janganlah sampai lama sangat menunggu sehingga kereta mati enjinnya akibat kehabisan minyak. Semoga dizaman pemerintahan Tok Guru inilah sempat dianugerahkan kemuncak perlaksanaan syariah ini sebagai legasi beliau menuruti perlaksanaan syariah di negeri Aceh Darul Salam, serambi Mekah Indonesia. 

MP PAS Kelantan rafak taat setia kepada Tengku Faris

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 15 Sept: Ahli Parlimen PAS negeri Kelantan hari ini merafak taat setia dan menyokong pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Tuanku Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang ke-29.
Kesemua mereka adalah Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Dr. Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa), Siti Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang), Muhammad Husin (Pasir Puteh), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu) serta Ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz Md Nawi.

"Saya mewakili Ahli-Ahli Parlimen PAS dari Kelantan ingin merafak sembah dan mengucapkan tahniah kepada Tengku Muhammad Faris Petra Tuanku Sultan Ismail Petra selaku Sultan Kelantan Darul Naim yang baru.

"Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan ketaatan sepenuhnya ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku," ujar Nasharuddin mewakili mereka pada satu sidang media di Pejabat Agong PAS, di sini.

Bagaimanapun hanya tiga dari mereka iaitu Nasharuddin, Salahuddin dan Dr. Mohd Hatta hadir pada sidang media tersebut sebagai mewakili keseluruhan mereka.

Sambil merafak sembah ke bawah Tuanku Sultan, Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS mengajak rakyat Kelantan turut menumpahkan taat setia serta sokongan padu kepada pemahsyuran tersebut.

Bagi mereka, pemahsyuran seperti yang diumumkan oleh Datuk Shukri Mohamad, Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan merangkap Ahli Majlis Perajaan Negeri Isnin lalu adalah sesuatu yang menurut perundangan negeri dan sah.

Ianya bertepatan dengan Artikel 6, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang memberi kuasa pada Majlis Perajaan Negeri berbuat demikian.

Perkara 6 menyatakan bahawa tidak ada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pengesahan dan perlantikan tersebut dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN).

Mewakili PAS pula, Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS turut mewakili Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama PAS, Dewan Muslimat PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat serta Dewan Himpunan Penyokong PAS, merakamkan sokongan padu kepada Tengku Muhammad Faris Petra.

Manakala, Dr. Hatta yang juga Bendahari PAS Pusat pula menegaskan bahawa mana-mana pihak, termasuk PAS tidak berhak menyentuh atau membuat spekulasi dalam soal pemashasyuran seorang Sultan kerana ianya adalah hak eksklusif istana serta urusan MPN.

Tuanku Ismail Petra masih gering, kata adindanya

Keadaan kesihatan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dilaporkan masih dalam kegeringan dan memerlukan rawatan berterusan, kata adinda baginda Tengku Mohamad. 
NONE

Sehubungan itu, beliau menolak khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat negeri ini kononnya baginda kini dimasukkan semula ke sebuah hospital di negeri ini sejak beberapa hari lalu. 


Tengku Mohamad berkata, sebagaimana pesakit angin ahmar dan jantung, baginda memerlukan rawatan lanjut atau susulan yang berterusan. 


“Tetapi baginda tidak dimasukkan ke hospital semula sebagaimana dakwaan yang mengatakan demikian,” katanya ketika dihubungiBernama semalam. 


Tuanku Ismail Petra gering sejak Mei tahun lalu, dan telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian; dan Hospital Mount Elizabeth, Singapura. 

Tengku Mohamad menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan khabar-khabar angin serta akur kepada keputusan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa Isnin lalu. 

“Kita harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan keputusan itu dan kena akur dengan peraturan yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan," kata beliau. 

Beliau juga menyokong kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa dengan pemasyhuran itu, kemelut yang melanda Istana Kelantan dianggap sudah selesai. 

Sebagai anggota keluarga diraja terdekat, beliau memuji sifat kesederhanaan Tengku Muhammad Faris Petra yang dilihat sebagai raja berjiwa rakyat dan menunjukkan kecenderungan kepada agama Islam serta tidak mementingkan protokol dalam kehidupan hariannya.

“Baginda seorang kerabat yang prihatin terhadap rakyat dan sentiasa turun padang mendekati nasib rakyat jelata baginda dari dekat,” katanya. 

Tengku Mohamad kesal kerana masih terdapat suara-suara sumbang mempertikaikan keputusan Majlis Perajaan Negeri berhubung pemasyhuran itu.-Bernama-

Perlantikan Sultan hak prerogative Majlis Perajaan

Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 14 Sept: Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan Datuk Shukri Mohamad berkata persoalan perlantikan dan pemasyhuran seseorang Sultan adalah merupakan hak prerogative (mengikut acuan perlembagaan) Majlis Perajaan Negeri yang telah diberi oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri berkata peruntukan itu selaras dengan Perkara 6 yang menyatakan bahawa ”tidak ada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pengesahan dan perlantikan tersebut dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri”.

“Keputusan yang dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) semalam (pada 13 September 2010) adalah merupakan satu keputusan yang dibuat berasaskan kepada peruntukan Undang-Undang Perlembaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Kedua).

“Dan ianya dilakukan menurut peruntukan tersebut dan keputusan tersebut adalah merupakan keputusan yang tepat dan sah di sisi Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Keajaan Negeri Kelantan,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini pagi ini.

Menurutnya, MPN adalah satu badan yang diberi kuasa oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan dalam melantik dan memasyhurkan seseorang sultan menurut undang-Undang.

Beliau mengulas pemasyhuran perlantikan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan menjadi sultan bagi menggantikan Tuanku Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra berkuat kuasa semalam yang diisytiharkan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kelmarin.

Daripada seramai 17 ahli MPN yang membuat keputusan termasuk Datuk Shukri sendiri, 15 Ahli MPN telah membuat keputusan menyokong secara sebulat suara.

Beliau turut mengulas keputusan Kes Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (pada 2009) di antara Yang Mulia Tengku Temenggong Kelantan melawan Pemangku Sultan pada masa itu bahawa perkara bersabit persoalan ‘perajaan’, prerogative dan function kebawah duli tidak boleh dibawa di mahkamah.

“Saya berharap keputusan ini menjadi titik penamat kepada semua ‘apa yang dikatakan krisis’, jika ianya satu krisis, berlaku di negeri Kelantan.

“Kembalilah kepada akar umbi. Sama-sama kita mempertahankan institusi raja berlembagaan yang diamalkan dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini. cintailah institusi raja, sayangilah negeri Kelantan dan naungilah rakyat negeri Kelantan, dengan pertolongan Allah swt,” katanya.

Turut hadir Pengelola Istana D’Raja Kelantan Datuk Abdul Halim Ahmad.

Tengku Faris Sultan Kelantan Ke-29

Mohd Sayuti Omar
PENGISTYHARAN pemasyuran Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fariz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, 41 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di Istana Balai Besar Kota Bharu hari ini, 4 Syawal 1431H bersamaan 13 September 2010, merupakan Sultan Kelantan yang ke-29 dalam sejarah kesultanan Kelantan.

Baginda Tengku Faris diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Kota Bharu Kelantan. Baginda dilantik menjadi Tengku Mahkota Kelatan tanggal 6 Oktober 1985 dalam usia baginda 16 tahun.

Baginda mempunyai tiga orang adik beradik, Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Muhamad Fakry dan Tengku Amalin A'Ishah Puteri.

Tengku Faris yang dianggap sebagai anak raja yang berjiwa rakyat dan kuat beragama, tidak menghairankan kerana baginda mendapat didikan agama sejak dari kecil lagi. Sejak kecil lagi baginda diasuh dengan didikan agama di istana dan diajar oleh beberapa ulamak terbilang.

Baginda mendapat pendidikan sekolah di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu (1976 - 1981). Selepas mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dengan mendapat 5A, baginda dimasukkan di Sekolah Alice Smith School Association Jalan Balemy Kuala Lumpur (1981 - 1983).

Sebelum berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran di Okham School Rutlanda sehingga tingkatan 3. Baginda juga menamatkan A Lavel di sekolah yang sama pada tahun 1987. Sebenarnya sebelum berangkat ke England baginda sudah khatam Quran.

Pemilihan baginda sebagai Sultan Kelantan bagi mengganti ayahandanya, Tengku Ismail Petra Ibni Amarhum Sultan Yahaya Petra dilihat tepat kena pada masanya. Pemilihan baginda juga seperti sireh dipulangkan ke ganggang kerana baginda adalah anakanda Sultan Ismail Petra yang pertama dan baginda juga merupakan Tengku Mahkota Kelantan. Permasyuran hari ini juga dinanti-nanti dan ditunggu sekalian rakyat Kelantan.

Sesungguhnya selain dari pemasyuran hari ini yang dibuat dibawahPerkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), mencatat sejarah tersendiri, ia juga memberi signifiken lain kepada kerajaan Kelantan yang diperintah Pas hari ini. Semasa menjujung duli pada upacara pemasyuran itu perkataan atau laungan lazim didengar, iaitu Daulat Tuanku diganti dengan takbir Allahuakbarsebanyak tiga kali. Kejadian ini belum pernah berlaku pada upacara-upacara persis itu selama ini.

Pertukaran ini menunjukkan betapa Baginda Sultan Kelantan ingin mengubah atau meletak sesuatu yang tinggi nilainya ditempatnya dan menggambarkan kehambaan beliau sebagai seorang hamba Allah dan tidak mahu bersubahat dengan sesuatu yang syirik dan biadaah.

Seperti mana kata Nik Aziz upacara penabalan akan dilakukan tidak lama lagi. Apapun majlis pada hari ini sangat penting kerana ia akan menamatkan kemelut dan pergeseran Istana Kelantan yang berlaku sejak lebih setahun lalu.

Pergeseran berlaku bila mana ada pihak tertentu yang kurang senang sekiranya pengganti kepada kepada Sultan Ismail diambil alih oleh Tengku Fariz Petra. Justeru ada beberapa tindakan mahkamah untuk menghalang taradisi berkenaan. Di mana mengikut perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan, sepatutnya anakanda sulung yang sihat, bersih dan mulia budi pekertinya diangkat menjadi sultan sebagai mengganti ayahanda baginda.

Mengenai perwatakan dan syaksiah Tengku Faris ini ia memang mendapat pujian dan sanjungan rakyat jelata. Kemurahan dan kerajinan baginda berangkat dan mencemar duli, melihat sendiri keadaan hidup rakyat dengan mata kepala sendiri menjadi sebutan dan sanjungan. Baginda juga tidak mementingkan protokol dan senantiasa membuat lawatan dalam keadaan mengejut.

Apa yang pernah saya sendiri saksikan sungguh mengejutkan. Semasa Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman (Pondok Lubuk Tapah) meninggal dunia, baginda berangkat menziarahi jenazah kemudian berangkat sekali lagi untuk sama-sama menyembahyangi jenazah Allahyarham. Tok Guru Abdullah Lubuk Tapah dianggap sebagai tok gurunya sendiri. Semasa Allahyarham hidup baginda kerap mengunjungi tuan guru berkenaan.

Baginda datang tanpa ada protokol, dengan berpakaian jubah putih dan kopiah banginda berada di saf hadapan menyembahyangi jenazah bersama orang ramai. Tidak ada kelihatan baginda mengutamakan kedudukan dan darjatnya. Tempat duduknya juga sama seperti makmu lain saja. Baginda juga senang bersalam dengan sesiapa saja.

Begitu juga semasa Ramadhan tahun lalu baginda turut sama bersembahyang tarawaih di Qhariah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Mohamamad ke-IV bersama segenap lapisan rakyat. Kedatangan baginda secara mengejut itu benar-benar memeranjatkan para pegawai istana dan juga pegawai kerajaan dan orang politik Kelantan.

Bayangkan bagaimana gelabahnya para pegawai kerajaan dan pemimpin politik apabila tahu yang baginda sudah berada di Qhariah Ramadhan itu tanpa dibentangkan apa-apa carpet merah untuk lalauan baginda, dan keberangkatan itu pun tidak dihebahkan.

Selain itu baginda juga sering turun ke daerah-daerah untuk mendirikan solat Jumaat. Baginda Tunku Faris akan membuat kunjungan rambang untuk mendirikan solat tanpa memberi tahu terlebih dahulu kepada imam atau pembesar setempat. Cara begitu untuk membolehkan baginda mengetahui realiti sebenar di masjid berkenaan dan tidak mahu menyusahkan rakyat menyambut keberangkatannya.

Misalnya seperti mana dituturkan Datuk Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud, semasa baginda berangkat ke masjid Siram, Pasir Mas baru-baru ini tidak semena-mena selepas solat Jumaat baginda menziarahi seorang Guru Pondok, Haji Sulaiman yang sakit. Baginda tidak pun ada jadual untuk melawat Haji Sulaiman tetapi sebaik diberitahu baginda terus ke rumah Guru Pondok itu.

Lawatan secara tiba-tiba itu menyebabkan para pegawai istana, pegawai daerah yang menjadi pengiring sedikit kelam kabut dan rasa bersalah. Namun baginda tidak peduli kepada protokol itu dan tidak berkecil hati atas apa yang berlaku. Apa yang penting baginda dapat berjumpa dan melakukan ziarahi tuan guru berkenaan.

"Tuanku tidak sagan silu dan kekok. Baginda duduk di kerusi buruk saja di samping Tok Guru Haji Sulaiman dan bertanya khabar penuh ramah mesra," begitulah cerita Nasaruddin.

Pada masa lain baginda juga pernah bersama rakyat melakukan korban Aidiadha. Apa yang meruja dan mengejutkan rakyat, baginda sendiri yang melalukan penyembelihan. Darah lembu yang mercik ke jubah baginda dilihat rakyat sebagai indah dan disitulah kerendahan budi dan kebesaran hati Tengku Faris sebagai seorang raja.

Atas kemurahan, kerajinan dan mesra rakyat baginda itu semualah menggambarkan kehambaan dan sikap tawaduk yang tinggi yang ada kepada Tengku Muhammad Faris Petra, Sultan Kelantan yang baru.
http://msomelayu.blogspot.com/

Nik Aziz: Usah ungkit lantikan Sultan baru, simpan pahat dan tukul

SERAH...Nik Aziz menyerahkan Watikah Pemasyhuran kepada Tengku Muhammad Faris Petra di Istana Balai Besar, semalam.
KOTA BARU, 13 Sept – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini.
Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat.
Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah “rumah siap pahat berbunyi”.
“Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing,” katanya kepada pemberita di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
Nik Aziz (gambar), yang juga Mursyidul Am PAS, berkata selama lebih setahun beliau menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kemelut yang melanda istana Kelantan kerana beliau amat menghormati institusi itu.
Sementara itu di Bachok, Umno Kelantan berharap pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru itu akan memakmur dan membangunkan Kelantan yang kini jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Umno menaruh harapan yang tinggi agar Sultan Kelantan dapat menjadikan Kelantan antara negeri yang termaju di negara ini.
“Bagi pihak Umno Kelantan kita menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Dewan Haji Hussin, Perupuk di sini yang dihadiri lebih 5,000 penduduk Bachok, sebilangan besarnya kaum nelayan.
Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata kerajaan pusat akan terus menyalurkan pelbagai projek kepada Kelantan mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh, yang sedang diperincikan dan akan diumumkan bulan depan.
Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yanggering sejak lebih setahun lalu.
Kata beliau, mengikut peruntukan Perkara 23A,Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika setelah siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.
Tengku Faris Sultan baru
“Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya hari ini berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
“Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah,” katanya pada sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.
Pada tengah hari ini, Nik Aziz telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.
Mesyuarat Majlis Perajaan Negeri itu yang diadakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim bagaimanapun tidak dihadiri dua anggotanya iaitu Anggota Parlimen Gua Musang yang juga bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’Ishah Putri.
Aiseri berkata Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu setelah Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.
“Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan,” katanya.
Katanya antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun anggota Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.
“Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi,” katanya. 
-Bernama-