"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin PAS membisu 'surat Hadi' burukkan PH, pertahan PN

Malaysiakini
Sikap pemimpin PAS yang masih enggan mengesah atau menafikan surat yang didakwa ditulis presiden parti mereka, Abdul Hadi Awang menjadi tanda tanya.

Cubaan Malaysiakini mendapatkan ulasan daripada beberapa pemimpin kanan parti itu termasuk pembantu Abdul Hadi sendiri gagal apabila tiada sebarang respons diberikan.

Surat yang menjadi pertikaian ialah surat yang dikatakan dari Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Dalam surat itu, Abdul Hadi membangkitkan beberapa dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH), Presiden PKR Anwar Ibrahim selain mempertahankan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut surat yang ditulis dalam bahasa Arab itu, presiden PAS menceritakan sejurus selepas pilihan raya umum, parti Islam itu mengadakan pertemuan bersama Mahathir bagi membincangkan kedudukan orang Islam dalam negara ini.

“Maka, PAS telah mengambil langkah politik bekerjasama (taawun) secara jalan damai.

“PAS telah memilih hubungan dengan Mahathir memandangkan sikap nasionalis dan semangatnya mempertahankan Islam.

“PAS menolak kerjasama dengan kumpulan Anwar Ibrahim kerana tidak yakin dengan karakter peribadi dan akhlaknya serta pendirian politik pragmatiknya yang berbahaya.

“Bersama Anwar Ibrahim adalah Amanah yang bersifat Islam liberal, dengan bersandarkan pada sokongan dan pendirian kedutaan-kedutaan Barat yang menyokongnya dari segi strategi, media dan kewangan,” menurut surat itu.

Surat bertarikh 22 Mac dengan tajuk “Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi” itu dipercayai dihantar ke pemimpin-pemimpin gerakan Islam sedunia.

Campur tangan pihak asing

Surat itu juga menyifatkan kemenangan PH dalam PRU14 sebagai keputusan yang memihak kepada majoriti bukan Islam dengan mendakwa Mahathir telah dipergunakan untuk menjatuhkan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Beliau (Mahathir) telah dipergunakan kerana usia beliau yang telah lanjut dan parti beliau yang lemah.

“Mereka (PH) menjadikan beliau sebagai anak tangga untuk menaiki tampuk pemerintahan secara helah tanpa mengambil kira komposisi majoriti kaum Muslimin dalam negara yang telah meningkat melebihi 69 peratus berbanding kaum minoriti yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, yang mana ia menggalakkan lagi pertelingkahan dalaman.

“Selain itu, terdapat juga peluang campur tangan pihak asing yang memusuhi Islam dan kaum Muslimin seperti yang terjadi pada negara-negara Islam lain seperti negara-negara Arab,” katanya.

Pada Mei 2018, PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu berjaya mengambil alih kerajaan yang ketika itu di bawah pentadbiran Najib.

Abdul Hadi dalam surat itu dikatakan mendakwa, usaha tersebut turut disertai oleh PKR, DAP dan Amanah, sambil menggambarkan ciri-ciri tiga parti tersebut, berdasarkan pandangannya.

PKR digambarkan sebagai “parti sekular pragmatik yang dianggotai oleh ahli pelbagai kaum dan juga mempunyai pegangan ideologi yang berbeza seperti golongan Melayu Muslim sekular.”

DAP pula disebut sebagai parti majoriti Cina sementara Amanah disifatkan sebagai berorientasikan “Islam liberal-sekular” yang menurut Abdul Hadi dibentuk Anwar serta pimpinan DAP bagi menyaingi populariti PAS.

“Di belakang blok ini adalah sokongan-sokongan daripada luar yang mendapat manfaat dengan keberadaan Anwar dalam blok ini,” katanya.

Langkah Sheraton

Pada masa sama, surat itu turut dipercayai menyentuh mengenai isu yang merujuk kepada Langkah Sheraton pada Februari lalu, gerakan yang membawa kepada penubuhan PN dan menjadikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Selepas YDP Agong bertemu dengan semua pemimpin setiap parti untuk mendapatkan sokongan terbanyak, telah jelas kepada YDP Agong setelah melakukan dan melaksanakan setiap proses melalui demokrasi dan mengikut perlembagaan.

“Maka telah gagal gerakan balas tersebut meskipun dengan campur tangan daripada duta-duta Barat dan para penasihat Freemason dan Zionis,” katanya.

Katanya, kerajaan baru yang terbentuk itu turut terdiri daripada majlis kabinet yang tidak melibatkan individu yang masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Perkara ini dilakukan demi meraih kepercayaan rakyat. Inilah yang dimaksudkan islah (reformasi) yang aman tanpa sebarang demonstrasi, dengan sokongan rakyat, para pegawai kerajaan, tentera, polis, dan Majlis Raja-raja,” katanya.

Berikutan peletakan jawatan Mahathir pada 24 Februari, kem Muhyiddin dalam Bersatu bergabung dengan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan ahli parlimen yang meninggalkan PKR yang dipimpin Azmin Ali untuk membentuk PN.

Mahathir dan pemimpin PH sejak itu menggelar Muhyiddin sebagai pengkhianat.

Perseteruan Hadi dan Anwar sesuatu yang mungkin tidak fikirkan

Mohd Sayuti Omar
RENCANA KHAS

DI pagi yang cerah dan cuaca panas, 28 darjah celcius, dalam penantian dan doa bilakah wabak Covid-19 akan berakhir, ingin saya mencungkilkan "akal" dengan sesuatu yang sudah lama terpendam di lautan minda saya tetapi tidak pula dibentangkan.

Hari ini saya cungkil dan dibentangkan untuk direnung bersama sejauh mana ada logik dan munasabahnya. Mudah-mudahan ia boleh membuat kita ramai-ramai bermahasabah diri serta mengambil ibrahnya.

Semua ini timbul apabila saya membaca terjemahan surat ditulis Abdul Hadi Awang dalam bahasa Arab yang ditujukan kepada pemimpin Gerakan Islam dunia kini tersebar luas.

Frasa yang menarik perhatian saya kemudian ingin dipecahkan kebuntuan kesekian lama bermain dalam minda itu frasa berbunyi;

"..berlaku usaha dalaman untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri oleh DAP, PKR dan AMANAH bagi mengetepikan Tun Mahathir, dengan sokongan Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason..."

Frasa ini penting dan ia menjadi intipati kepada surat tersebut sehingga membuka hati saya untuk mengupasnya agar mendalam sesuatu yang berlegar di luar kotak fikir.

Frasa ini juga menjadi dalil dan dalih kepada Abdul Hadi kenapa beliau memusuhi Anwar Ibrahim. Hal ini bukan baru ada dalam jiwa Hadi dan berkuman di sana sejak berdekad lalu.

Adalah benar dan betul bagi Abdul Hadi kalau beliau tidak senang dengan Anwar berdasarkan frasa di atas itu. Sebagai seorang mujahid Islam dan rakyat bertanggungjawab kepada bangsa dan negara, beliau kena mempertahan dan melawan sesiapa sahaja yang mahu membuat khianat kepada negara dan bangsa.

Bukan sembarangan.

Anwar bersalaman dengan Hadi. Kepentingan
bangsa dan agama lebih penting dari kepentingan diri.
Saya kira beliau membuat tuduhan itu bukan sembarangan melainkan kerana ada bukti-bukti jelas atau daripada perawi tertentu yang menyampaikan kepadanya. Kenapa Abdul Hadi sering mengulangi perkara itu khasnya memburuk-burukkan Anwar. Tidak mungkin dan amat mustahil kalau Hadi iseng-isengan membuat tuduhan.

Apa yang penting dalam hal ini apakah Abdul Hadi yakin dengan mereka yang menyampaikan maklumat itu kepadanya. Jangan kerana mereka itu bekas kaki tangan kerajaan berkhidmat dalam pasukan keselamatan dan sebagainya, maka Abdul Hadi terus menelannya. Abdul Hadi harus berperangsangka mereka juga ada kebencian kepada Anwar.

Apa lagi kalau yang memberi maklumat itu agen mana-mana pertubuhan atau organisasi seperti mana disebut Abdul Hadi itu.

Sebagai orang Islam, tentunya Abdul Hadi juga tahu bahawa Neraka itu bukan teristimewa kepada orang-orang tidak menyertai parti Pas semata-mata.

Maklumat itu tentu ada yang menyampaikan. Tidak mungkin kalau maklumat itu diperolehi secara laduni atau mukjizat. Sebab selepas Nabi Muhammad s.a.w. sudah tidak ada manusia diberikan mukjizat? Manusia ada diberikan keramah, tetapi masalah keramah untuk Hadi itu terbatas kepada soal Anwar semata-mata.

Persoalan dan mauduk.

Inilah persoalan atau mauduk orang tidak pernah fikir. Kenapa dan mengapa? Orang hanya mengira perbalahan kedua mereka kerana perbezaan ideologi politik, perbezaan latar belakang kehidupan, pendidikan sahaja, dan selajutnya kerana tergiur untuk jadi perdana menteri.

Tetapi orang tidak pernah cuba suluh dan menyelongkar lebih mendalam apakah sebab musabab di sebalik itu. Orang tidak pernah mengira dan terfikir kenapa mereka seagama sebangsa tidak boleh bersatu, berseteru dan membina puak yang saling bertentangan dan bermusuhan.

Di pihak mempertahankan Anwar akan bermati-matian mendakwa Abdul Hadi hanya menuduh itu sembarangan sahaja, tanpa cuba menyelidik apakah ia benar atau sebaliknya serta apakah puncanya. Penafian oleh Anwar dan begitu tuduhan Abdul Hadi kedua-duanya, kena disertai dengan dalil dan hujah masing-masing. Kalau perbahasan tuduhan dan menafi itu secara atas angin yang tidak wajar dilayan. Sangat kesal sekali kalau mereka bergaduh dan tuduhan sesadis itu kerana politik bersifat duniawi semata-mata.

Apabila mengenangkan kejadian ini, perseteruan - Abdul Hadi dengan Anwar, saya ingin mengungkap sesuatu yang jarang diungkap oleh ramai di sini dalam melihat kenapa perseteruan mereka berdua yang berterusan. Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita memikirkan ini walaupun ia agak sudah terlewat. Kata orang baik buat (mulakan) walaupun lewat daripada tidak berbuat langsung.

Bukan natural.

Bagi saya ia bukan berlaku secara naturally tetapi ada yang mengatur dan menghendakinya. Ada dalang disebalik berlaku perbalahan itu yang kita tidak pernah cuba membongkar dan memahaminya. Maksudnya ada yang menjadikan Anwar dan Abdul Hadi seperti anjing dan babi yang perlu bergaduh sepanjang masa. Mereka jangan diberikan ruang untuk menjadi erat dan saling memahami di antara satu sama lain kerana itu akan menyulitkan kerja dan agenda tersembunyi mereka.

Orang yang mengatur atau menghendaki perseteruan itu berterusannya adalah mereka atau golongan mahu mengambil kesempatan daripadanya. Mereka tidak mahu melihat negara ini aman dan maju. Mereka atau golongan ini ada agenda besar dengan motif untuk mengkhianati negara, bangsa dan juga agama.

Fahami sejarah dunia.

Sejarah penjajah dan kejahatan manusia atas muka bumi ini perlu dipelajari sebagai pengajaran dan pedoman masa depan. Penjajah atau kolonisme baik atas perdagangan, ekonomi, keselamatan (tentera) atau perluasan empayar, pengembangan (agama) tidak pernah berhenti. Para pemainnya tidak pernah tidur walaupun kerja mereka berjaya atau gagal. Mereka terus bekerja. Bukankah manusia itu dikenderai nafsu sarakah?

Malaysia adalah sebuah negara sedang membangun di Asia Tengara. Selepas tamat perang dunia kedua (1939 - 1945) dan berakhirnya era penjajahan, (1957) negara-negara di Asia termasuk Malaysia mendapat kemerdekaan dan kedaulatan sendiri. Mereka mula mengatur dan menyusun bernegara sendiri. Secara perlahan-lahan mereka membangun dan kedaulatan mereka di terima dunia.

Sementara itu negara-negara koloniel seperti Unit Soviet, Eropah pula kekuasaan dan pengaruh mereka semakin mengecut. Dalam masa sama negara-negara di Asia, China, Jepun sedang melonjak maju. Situasi itu membimbangkan mereka. Bermula dari sini gerakan penjajahan baru dimulai oleh negara-negara kolonial yang dikuasai fahaman Sosialis, Komunis dan Yahudi itu.

Sebagai bangsa yang bijak, (sebenarnya jahat), mereka memiliki kekuatan meramal dan menganalisa apa yang akan berlaku pada masa depan.

Kekuatan China dan Jepun sudah dibaca oleh imperialis Yahudi. Maka mereka perlu berbuat sesuatu lebih awal bagi menyelamatkan kedudukan dan menjaga maruah mereka. Beberapa dekad selepas perang dunia mereka mula mengatur semula strategi mereka - gerakan penaklukan secara lebih bersistematik dan kontemporari, baik melalui ekonomi, pendidikan, budaya, sukan dan juga politik.

Dan kekuatan politik adalah perkara pokok perlu dimusnahkan. Politik atau kekuasaan menjadi nyawa kepada sesebuah negara. Jadi ketua-ketua parti atau pemimpin perlu dipecah belah dan dicerai beraikan. Perpecahan itu pula mudah dilakukan dengan mencari perbezaan latar belakang, pendidikan, amalan agama, idelogi politik dari karismatik.

Nah, di sinilah Malaysia tidak terlepas daripada permainan kolonial atau Yahudi itu. Dengan menggunakan method atau teori itu mereka sudah melihat dua sosok pasca merdeka yang perlu diasingkan di Malaytsia, mereka adalah Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi Awang. Mereka sudah mengira pada dekad-dekad 80an - 90an orang inilah yang akan menjadi pemimpin baru Malaysia dan pembela rakyat selepas berakhirnya oder lama Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein Hussein dan Hussein Onn. Memasuki abad baru ke 21 salah seorang sosok ini akan menjadi pemimpin utama.

Bagi mereka Abdul Hadi dan Anwar, dua insan yang mengongsikan tahun kelahiran 1947 jangan disatukan. Persatuan mereka kena dileraikan jika tidak negara ini akan kekal dalam keamanan dan akan mendapat kejayaan lebih global di pasca merdeka. Umat Islam dan kehidupan masyarakat majmuk juga akan lebih utuh. Keutuhan ini menyulitkan mereka.

Maka mereka perlu mencari ikhtiar agar kedua orang ini jangan duduk bersama menukangi untuk membangun negara mereka. Mereka kena dipecahkan. Strategi divide and rule perlu dilakukan. Kebetulan pula kedua sosok ini ada modal dan aset penting untuk negara ini, dilihat daripada karismatik mereka ada keistimewaan tersendiri. Anwar seorang organisator Islam yang dilihat mesra dengan Barat, manakala Abdul Hadi pula seorang dai' yang intim dengan Timur Tengah.

Perbezaan kiblat kehidupan dan kejayaan ini merupakan kesempatan dan peluang baik untuk merenggangkan mereka.

Dapat sorotan Asiaweek.

Tidak boleh dinafikan kedua-duanya mempunyai kehebatan masing-masing. Anwar dikenali sebagai pelopor gerakan Islam di Malaysia dan ia terhimbau ke seluruh Asia Pasifik bahkan didunia, Timur dan Barat.

Demikian juga dengan Abdul Hadi. Keduanya terserlah. Masing-masing mendapat sorotan dan ulasan oleh Majalah berbahasa Inggeris, Asiaweek. Asiaweek pada tahun 1986 pernah menjadikan Hadi sebagai berita utama dengan tajuk; Will He One Day Lead Malaysia" dengan meletakkan gambar Hadi yang istimewa gantang, segak dan gagah dengan berbaju Melayu putih berserban dengan pandangan optimis jauh ke hadapan. Sesiapa melihat gambar itu akan tergiur kepada Hadi.

Majalah itu juga memberi ruang kepada Anwar dengan menggunakan judul: Anwar: Is Malaysia For The New No 2. Bayangan diberikan Asiaweek itu lebih hampir serentak dengan penyorotan terhadap Hadi.

Tanpa menuduh Asiaweek musuh kita, tetapi tidak boleh dinafikan ia diperalat majalah itu disponsor oleh Yahudi sengaja mahu melagakan Abdul Hadi dengan Anwar, atau memberi dua persepsi di kalangan rakyat Malaysia mengenai pemimpin masa depan mereka. Pemilihan Hadi atau meramalkan Abdul Hadi sebagai pemimpin masa depan Malaysia menjadi satu gurauan berita mencemaskan Anwar.

Walaupun Anwar tidak pernah menzahirkan kebimbangan bahkan yakin dengan kedudukannya ketika itu dalam parti berkuasa Umno, tetapi dunia di luar memperhitungkan Malaysia mempunyai bukan satu pilihan tetapi dua.

Abdul Hadi tentu juga syok dengan laporan itu. Dan orang Pas dan penceramahnya ketika itu sudah menjaja nama Abdul Hadi sebagai pemimpin masa depan yang mana posisi Hadi dan popularitinya lebih ke depan dengan Mohd Fadhil Mohd Noor ataupun Nik Abdul Aziz Nik Mat. Populariti Abdul Hadi turut sama menenggelamkan Mohd Asri Muda yang dilihat sebagai pemimpin Islam dan nasionalis.

Ertinya di sini pertarungan secara psikologi antara Abdul Hadi dengan Anwar bermula sejak tahun 80an lagi. Kehebatan dan aset yang ada kepada mereka inilah, memudahkan musuh-musuh bersama untuk memecahkan mereka. Pergerakan dan perancangan musuh dengan penuh strategik tidak disedari mereka.

Tidak tahu.

Berbalik kepada apa yang saya musykilkan tadi, perseteruan dan perbalahan Abdul Hadi dan Anwar itu tidak disedari oleh kedua-dua mereka. Mereka tidak tahu kalau mereka khususnya Abdul Hadi diperalat oleh musuh. Kenapa saya berkata begitu, kerana Anwar lebih diplomasi dan bersikap toleransi dengan Hadi dalam keadaan apa sekali pun.

Hal ini boleh diperhatikan hari ini, Anwar tidak banyak menyerang Abdul Hadi dan bersikap tawaqquf kepada setiap singgungan dan tuduhan Abdul Hadi kepadanya. Saya percaya bagi Anwar pintu hatinya kepada Abdul Hadi tetap terbuka walaupun Abdul Hadi sudah mengunci kesekian lama pintu sukmanya.

Saya tidak mengharap apa-apa daripada penulisan khas yang membuka satu alur baharu dalam kita memahami perseteruan Abdul Hadi kepada Anwar ini. Cuma apa diharap semoga kita tidak mudah termakan dengan apa-apa jua umpan yang dihulurkan kepada kita, tetapi harus berhati-hati kerana di sebalik umpan itu ada biasanya ada jerat.

Mengenai tuduhan di frasa itu dan jika Abdul Hadi istiqamah dengan tuduhan itu kita berharap beliau akan mendedahkan segala bukti-buktinya. Dengan posisinya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu beliau tentu mempunyai ruang dan skop lebih luas lagi untuk mempelajari ilmu politik serta mengenali musuh-musuh sebenar politik.

Dan jika kita terkhilaf jangan malu untuk memohon maaf kerana pintu taubat masih terbuka selagi mentari tidak naik di sebelah Barat, demikian maksud sebuah kata Hukama.

Katakanlah: "Wahai hamba-hambaku yang melampau batas terhadap dirimu sendiri, jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semua, sesungguhnya Dialah Maha Pengampun." (az Zumar 54).

"Dan barang siapa berdosa atau menganiaya dirinya, kemudian dia memohon ampun, nescaya dia akan mendapatkan pengampunan, Allah Maha Pengampun." (an-Nissa 110).

Semoga sahaja kita diberi rahmat dan mendapat rahmat petunjuk dan hidayah dari Allah. [wm.kl.12:19pm 04/04/2020]

Covid-19: 4 kematian, 150 kes baru dicatat hari ini

Nur Hasliza Mohd Salleh

PUTRAJAYA:
Sebanyak 4 kematian akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan 57 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 150 kes jangkitan baru dilaporkan berbanding semalam, menjadikan jumlah mangsa 3,483 orang sehingga kini.

Dalam pada itu, 88 kes jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj menjadikan bilangan pesakit sembuh 915 orang sehingga kini.

Jangan hantar pesalah PKP ke Penjara - Jabatan Penjara

Malaysiakini
Jabatan Penjara meminta mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Langkah itu, katanya akan menyebabkan kesesakan di penjara yang mana adalah "mustahil" untuk melaksanakan langkah menjaga jarak antara satu sama lain.

Tambahan pula, jabatan itu berkata tidak diketahui sama ada tahanan baru yang dihantar ke penjara dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Perkara ini dimaklumkan dalam surat oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar yang ditujukan kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilihat oleh Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Jabatan Penjara mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa surat tersebut sahih tetapi sedang menyiasat sumber kebocoran dokumen itu.

Berdasarkan surat tersebut, Zulkifli berkata rekod Jabatan Penjara menunjukkan sehingga 1 April 2020 seramai 378 orang telah dikenakan hukuman penjara atas kesalahan perlanggaran PKP.

Jurucakap itu memberitahu Malaysiakini, langkah pemenjaraan itu menyebabkan penjara bertambah sesak dan "mustahil" untuk melaksanakan penjarakkan sosial.

Katanya, setakat ini sejumlah 73,000 banduan ditempatkan di 50 penjara di seluruh negara, yang sewajarnya hanya untuk 52,000 banduan.

"Dengan keadaan sekarang, tidak mungkin melaksanakan penjarakkan sosial di penjara yang sudah sesak.

"Banduan tidak bercampur dengan orang di luar, maka tiada risiko penularan Covid-19.

"Jika ia mula (menular) di penjara, maka di mana lagi kita nak tempatkan mereka? ia akan jadi masalah bukan saja kepada penjara, tetapi negara," kata pegawai itu.
"Selain menambah kesesakan sedia ada, Jabatan Penjara juga bimbang jika mereka boleh menjadi punca penularan wabak Covid 19 di dalam penjara kerana status kesihatan mereka yang tidak diketahui.

"Jabatan Penjara juga berpendapat bahawa adalah satu masalah besar jika berlaku penularan Wabak Covid 19 di penjara kerana selain penjarakkan sosial (social distancing) yang mustahil dapat dilakukan penjara juga bakal menjadi tempat penularan wabak Covid 19 yang tidak terkawal dan boleh mengancam nyawa banduan mahu pun kakitangan," katanya.

Zulkifli mencadangkan supaya pesalah pesalah pelanggaran PKP ini dikenakan Perintah Kerja Sosial di bawah Akta Kehadiran Wajib 1954 di mana mereka dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.

Tambahnya, perkara ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara sejak tahun 2010.

"Perhatian dan kerjasama YBhg. Tuan dalam perkara ini didahului dengan ucapan ribuan terima kasih," katanya lagi.

Dalam usaha untuk memerangi koronavirus, negara telah melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu.

PKP yang pada awalnya dirancang berakhir 31 Mac kini berlanjutan sehingga 14 April.

Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan yang tidak berkepentingan mesti ditutup sementara orang ramai hanya dibenarkan meninggalkan rumah mereka untuk alasan seperti membeli bekalan makanan.

Walau bagaimanapun, ramai individu yang telah melanggar peraturan di bawah PKP dengan keluar untuk aktiviti selain daripada kegiatan yang dibenarkan peraturan atau mengadakan perhimpunan.

Pada peringkat awal PKP, kerajaan menggunakan pendekatan berlembut dengan memberikan nasihat, kini pihak berkuasa mula mengambil tindakan lebih keras dengan menangkap mereka yang ingkar arahan perintah kawalan pergerakan.

COVID-19: Hampir 1,500 kematian dicatatkan di Amerika semalam

AMERIKA Syarikat (AS) semalam menasihati semua penduduknya agar memakai topeng di tempat awam bagi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 yang dikhuatiri boleh tersebar melalui pernafasan.

Cadangan itu susulan rekod baharu angka korban dalam sehari akibat virus itu di AS sebanyak 1,480 kematian, jumlah tertinggi berbanding negara lain sejak pandemik tercetus, malah ia mengatasi bilangan 1,169 kes sama pada hari sebelumnya di negara itu.

Kota New York telah mencatatkan peningkatan jumlah kematian tertinggi dalam sehari dengan 592 orang terkorban akibat wabak Covid-19 semalam, maklum Gabenor Andrew Cuomo.

Memetik laporan portal berita Independent, Cuomo memulakan taklimat akhbar hariannya pada Jumaat, dengan berita suram tentang peningkatan angka kematian di kota metropolitan itu.

“Jumlah kematian di New York meningkat kepada 2,935 orang yang terkorban akibat wabak tersebut.

“Peningkatan ini adalah jumlah kematian tertinggi sejak wabak ini bermula,” katanya seperti dipetik dalam portal Independent.

Menurut Cuomo lagi, kes mengenai wabak itu telah mencatat jumlah tertinggi iaitu 100,000 kes, dengan 102,863 diuji positif.

“57,159 daripadanya menetap di bandar ini (New York). Pegawai bertugas sentiasa mengawasi dengan teliti tentang kenaikan kes Covid-19 di seluruh negeri.

“Long Island adalah kawasan baharu yang membimbangkan kerana peningkatan jumlah jangkitan di sana. Kini lebih 14,000 orang dimasukkan ke hospital akibat virus tersebut.

“Sejak pandemik ini bermula, bilangan orang yang masuk ke hospital telah menjadi kebimbangan kami iaitu bagaimana ianya akan dapat mengatasi sistem yang ada di hospital.

“Kekurangan bekalan perubatan termasuk kelengkapan pelindung diri (PPE), gaun, dan ventilator juga menjadi kebimbangan kerana lebih ramai pesakit Covid-19 memerlukan rawatan perubatan,” katanya lagi.

Cuomo menambah, New York telah berusaha keras untuk mendapatkan ventilator bagi merawat semua pesakit, kerana virus itu cenderung menyerang sistem pernafasan manusia.

8.3 juta rakyat M'sia bakal terima BPN mulai Isnin

Pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang, akan dibuat secara berperingkat mulai Isnin ini (6 April), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, pembayaran fasa pertama itu membabitkan peruntukan sebanyak RM5.63 bilion.

“Dalam pengumuman awal, BPN dirancang untuk dibayar pada penghujung bulan April ini melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM9.24 bilion, yang akan dibayar dalam dua fasa,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan ‘scammers’ yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam, yang memerlukan bantuan Pakej Prihatin itu.

Tengku Zafrul berkata penerima disaran merujuk kepada sumber, rasmi dan tidak memberikan maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

Beliau berkata, tempoh permohonan baharu dan rayuan BPN dibuka sejak 1 April hingga 30 April ini.

Sementara itu bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baru dan rayuan, akan dibuat dan bagi mereka yang diluluskan bayaran akan dibuat pada bulan Mei 2020.

Selain itu penerima BPN yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dibuat secara tunai selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penerima BPN di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tempoh yang sama, seperti di Semenanjung Malaysia.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Kementerian Kewangan melalui nombor-nombor telefon 03-88829089, 03-88829087, 03-88829191, 03-88824565, 03-88824566, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada Ahad-Jumaat atau pautan bsh@treasury.gov.my pre2020@treasury.gov.my atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) di talian 1-800 882 747, 03-8911 1000, pada hari dan tempoh operasi sama.
-Bernama

COVID-19: Jumlah pengebumian mendadak di Jakarta cetus kebimbangan

Malaysiakini

Jumlah pengebumian di Jakarta, Indonesia meningkat secara mendadak sejak Mac lalu, mengundang kebimbangan Gabenor di badan raya itu bahawa kematian akibat wabak Covid-19 berkemungkinan lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Hampir 4,400 pengebumian direkodkan sejak Mac, iaitu 40 peratus lebih tinggi berbanding mana-mana bulan.

Mengikut data statistik Jabatan Taman dan Perkuburan yang diperolehi Reuters, jumlah kedua tertinggi adalah pada Mac 2019, di mana hampir 3,100 orang yang meninggal dunia dikebumikan di Jakarta.

Reuters memperoleh data statistik tersebut bermula dari awal tahun 2018.

Jakarta menjadi pusat jangkitan wabak Covid-19 di Indonesia, yang kini merekodkan sejumlah 971 kes positif dengan 90 kematian.

Mengikut data kerajaan pusat, ia meliputi anggaran separuh daripada kes negara terbabit.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan bersama beberapa pakar perubatan mengesyaki angka sebenar jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di Jakarta tidak dilaporkan memandangkan Indonesia merupakan salah sebuah negara yang menjalankan kadar ujian yang rendah terhadap wabak itu di dunia.

“Ia sangat menganggu,” kata Baswedan seperti dipetik laporan Reuters pada jumaat lalu merujuk kepada data pengebumian.

“Saya berusaha mencari alasan lain selain daripada kematian akibat Covid-19 yang tidak dilaporkan," katanya.

Seorang pegawai kementerian kesihatan tidak memberi respons terhadap panggilan telefon dan mesej bagi meminta penjelasan berhubung statistik pengebumian tersebut.

Jurucakap Presiden Joko Widodo juga tidak memberi maklum balas.

Data dari Jabatan Taman dan Perkuburan tidak menyatakan sebab kematian tersebut, namun tiada wabak baru atau bencana dilaporkan di Jakarta sepanjang tempoh peningkatan jumlah pengebumian tersebut.

Indonesia menggandakan jumlah pemeriksaan kesihatan sepanjang minggu lalu namun hanya terhad kepada 7,621 saringan – meliputi 260 juta rakyatnya.

Pada Jumaat lalu, kementerian kesihatan melaporkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Indonesia adalah 1,981 dengan 181 kematian, jumlah tertinggi di Asia selain China.

Khamis lalu, menerusi satu temubual sebelum Baswedan mengulas isu berkenaan, pegawai kementerian kesihatan, Achmad Yurianto mempertahankan sistem laporan dan ujian yang telah dijalankan.

Katanya, kerajaan pusat menerusi data makmal telah menggunakan teknik Polymerase Chain Reaction (PCR) dengan tepat. Bagaimanapun beliau tidak memberi respons terhadap angka pengebumian tersebut.

Protokol Covid-19.

Kakitangan hospital di Jakarta mengambil langkah khusus dalam pengurusan jenazah 438 rakyat yang disyaki meninggal akibat Covid-19 bermula 6 Mac sehingga 2 Apri, kata pejabat gabenor.

Protokol terbabit bermaksud pihak pengurusan akan melakukan disinfeksi dan membalut jenazah dengan plastik dan bukannya kain kafan seperti mengikut ketetapan agama Islam.

Indonesia merupakan sebuah negara yang mempunyai majoriti umat Islam.

Indonesia kini sedang membendung penularan wabak tersebut dengan memperkenalkan polisi penjarakan sosial, namun Presiden Joko Widodo membantah perintah berkurung yang dilaksanakan di beberapa negara kini, termasuk negara-negara jiran Indonesia.

Widodo berkata, beliau ingin melindungi golongan miskin dari kemerosotan ekonomi dan percaya rakyatnya kurang disiplin untuk menerima langkah kuarantin yang tegas.

Baswedan, pemimpin dari parti politik bertentangan dengan Widodo, melaksanakan arahan tegas di Jakarta, di mana beliau mengisytiharkan darurat dan semua sekolah serta premis perniagaan ditutup.

Bagaimanapun, langkah Baswedan untuk menyekat perjalanan bas dari Jakarta ke daerah lain bagi membendung penularan wabak tersebut ditolak oleh kerajaan pusat.

Susulan kegusaran terhadap rakyat yang tinggal di bandar berkenaan yang ingin pulang ke kampung pada bulan Ramadan, Indonesia mengumumkan pemberian tunai kepada golongan miskin supaya tetap tinggal di Jakarta.

Bagaimanapun, pemerintah menolak seruan untuk mengharamkan mudik atau balik kampung kerana kerajaan tidak mahu dilihat mengenakan langkah drakonian.

Penyebaran wabak Covid-19 kini dilihat telah tersebar di kawasan selain Jakarta.

Ia dikesan di 32 daripada 34 wilayah, dan pada minggu ini kebanyakan kes berlaku di luar Jakarta, menurut data kerajaan pusat.

Hutan dijarah ketika Covid-19 melanda

Sheridan Mahavera

Penerokaan hutan haram di Bukit Larut berlaku ketika perintah kawalan pergerakan dijalankan. – Gambar ehsan Sahabat Alam Malaysia, 4 April, 2020.

KETIKA pihak berkuasa giat berusaha memerangi Covid-19, kumpulan alam sekitar dan Orang Asli bimbang khazanah berharga negara kini sedang dijarah pembalak haram.

Mereka sudah mengesan satu kes penerokaan dan pembersihan tanah haram di hutan simpan di Perak yang dipercayai berlaku pada peringkat pertama perintah kawalan pergerakan antara 18 sehingga 31 Mac lalu.

Mereka juga bimbang kerana kerana Orang Asli tempatan dan aktivis kini dihalang daripada menjalankan kerja-kerja meronda di kawasan hutan yang selama ini memang menjadi sasaran pembalakan haram menyebabkan aktiviti itu giat berlaku.

Hutan simpan di Sarawak terutamanya paling terancam kerana kerajaan negeri membenarkan pembalak meneruskan aktiviti mereka tetapi aktivis dan Orang Asli perlu mematuhi PKP.

“Kerajaan Sarawak membenarkan syarikat minyak sawit dan pembalakan terus beroperasi walaupun ketika PKP dan ini termasuklah di Ulu Baram di mana Orang Asli Penan sudah membina sekatan,” kata aktivis alam sekitar Sarawak Peter Kallang.

“Orang Penang membina sekatan untuk menghalang pembalak masuk tetapi kerana PKP, orang Penan tak boleh meronda. Jadi, kami bimbang pembalak sedang berseronok di kawasan itu sekarang,” kata Kallang daripada Save Rivers Network.

Di Perak, Sahabat Alam Malaysia menerima aduan dan bukti bahawa sebidang tanah di hutan simpan Bukit Larut sudah dibersihkan untuk penanaman skala kecil.

Hutan simpan itu adalah sebahagian daripada Central Forest Spine (CFS), kawasan ekologi sensitif dan hutan dilindungi di tengah Semenanjung Malaysia merentasi lapan negeri.

Yayasan Hasanah, organisasi di bawah Khazanah Nasional, menyifatkan CFS sebagai “menara air Semenanjung” kerana ia membekalkan 80% bekalan air mentah kepada penduduk negara ini.

Aktivis SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman memberitahu The Malaysian Insight yang pembalak memasuki kawasan itu menerusi jalan balak lama yang terletak jauh daripada kawasan penduduk.

“Maklumat yang kami terima adalah mereka sudah tebang dan bakar hampir 1.2 hektar hutan untuk penanaman. Mereka juga buat pagar elektrik di sekeliling kawasan itu.

“Mereka buat semua ini ketika perhatian semua orang tertumpu kepada wabak koronavirus,” katanya. – 4 April, 2020.

Polis terima data KKM: 40,000 orang dalam rangkaian penularan Covid-19

Muhammad Afiq Mohd Asri, Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima data rangkaian penularan Covid-19 melibatkan kira-kira 40,000 individu yang termasuk individu dikaitkan dengan kluster ahli Tabligh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata data berkenaan diperincikan secara satu persatu oleh pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diketuai Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed bagi mengesan mereka yang berkemungkinan terlibat dengan jangkitan wabak itu.

Beliau berkata hasil daripada data KKM itu, pihaknya telah mengenal pasti beberapa daerah yang terdapat individu dan kumpulan yang seharusnya perlu tampil membuat saringan pemeriksaan Covid-19.

“Kami membuat analisis daripada data-data itu dengan membantu KKM mengenal pasti sehingga lebih kurang 11,000 ahli Tabligh yang menyertai majlis ijtimak di Masjid Sri Petaling, di sini, baru-baru ini.

“Daripada data ini, pasukan berkenaan telah memperhalusi dan menggunakan kaedah tertentu untuk mengenal pasti rangkaian kontak rapat, perjalanan dan siapa yang mungkin dijangkiti mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Jangan kecam Tabligh

“Kami kenal pasti individu itu termasuklah mendapatkan maklumat lengkap seperti alamat rumah, nombor telefon dan kad pengenalan yang diperoleh daripada pasukan itu untuk kami beri pada KKM untuk hadir membuat saringan pemeriksaan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan kumpulan ahli Tabligh itu telah disaring dan pihak polis menyeru orang ramai agar tidak mengecam dan mendiskriminasi ahli Tabligh.

Selain itu, Abdul Hamid berkata pasukan berkenaan juga sedang berusaha memperoleh maklumat ahli Tabligh yang berada di luar negara dan akan menyampaikannya kepada pihak Jabatan Imigresen atau pihak pelabuhan untuk menunggu kepulangan mereka di lapangan terbang dan pelabuhan

“Ini bertujuan untuk sahkan kumpulan ahli Tabligh yang tiba dan polis akan terus ambil tindakan mengiringi mereka menaiki bas serta dibawa ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan pihak penganjur ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling mendakwa sebanyak 95 peratus daripada kira-kira 11,000 peserta perhimpunan Tabligh telah tampil membuat saringan kesihatan bagi Covid-19.

Susulan itu, polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota JSJ di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan itu dari 28 Feb hingga 1 Mac lepas yang kini menjadi kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini.
-Bernama

PAKEJ PRIHATIN YANG TAK PRIHATIN…..

Shahbudin Husin
Berikutan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Muhyiddin Yassin Jumaat lalu, termasuk pemberian bantuan tunai selama dua bulan kepada rakyat yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19, Kementerian Kewangan semalam mengumumkan pembayaran akan mula diagihkan pada penghujung April ini.

“Pembayaran itu akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada akhir bulan April dan Mei 2020,” kata kenyataan itu.

Pembayaran tunai yang dinamakan Bantuan Prihatian Nasional atau BPN itu dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion.

Bayaran BPN merangkumi kategori berikut:-

• RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April dan RM600 pada bulan Mei.

• RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.

• RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada bulan April dan baki RM300 pada bulan Mei.

• RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada bulan April dan baki RM250 pada bulan Mei.

Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang belum berdaftar dan tidak pernah menerima skim Bantuan Sara Hidup (BSH) atau dikenali BR1M sebelumnya, permohonan baru boleh dibuat mulai 1 April 2020 menerusi laman web rasmi LHDNM – www.hasil.gov.my.

Bagaimanapun, berdasarkan respon di media sosial, ramai yang mempertikaikan bayaran BPN yang akan dibuat pada penghujung April itu.

Rata-rata mengatakan pembayaran yang bermula pada penghujung April itu terlalu lewat memandangkan umat Islam akan mula menyambut puasa pada 24 April 2020.

Dengan itu, terutamanya kepada pekerja bergaji harian yang sudah tiada pendapatan sejak 18 Mac sebaik saja PKP dikuatkuasakan, bermakna mereka akan menanggung kesengsaraan hidup yang agak lama sebelum dapat menerima wang BPN pada penghujung April akan datang.

Setelah hampir sebulan setengah tidak ada pendapatan sejak 18 Mac dan kemudian bantuan BPN hanya diterima pada penghujung April, ketibaan Ramadan bermula 24 April langsung tidak memberi apa-apa makna kepada mereka.

Oleh kerana persiapan menyambut Ramadan perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sebelum itu, terutama bagi yang mempunyai keluarga ramai, bayaran BPN yang munasabah sebenarnya ialah pada pertengahan April.

Dalam hal ini, adalah penting untuk kerajaan mempercepatkan bayaran, terutama kerana sebahagian besar pemohon sudah pun berdaftar dengan LHDNM atas kapasiti penerima BSH sejak bertahun-tahun lalu.

Bagi pemohon baru, terutama daripada golongan M40, jika bayaran dibuat pada penghujung April, mungkin ia tidak mendatangkan banyak masalah bagi mereka.

Tetapi, bagi golongan B40 dan mereka pula sudah berdaftar dengan LHDNM, tidak ada sebab bantuan kepada mereka dilewatkan sehingga penghujung April juga.

Selewat-lewatnya, wang bantuan mesti dimasukkan ke dalam akaun bank mereka pada pertengahan April.

Lagi pun, dengan nama bantuan itu sendiri dinamakan Bantuan Prihatian Nasional, kerajaan sesungguhnya wajib menunjukkan keprihatinan yang tinggi dalam perlaksanaan bantuan tunai itu.

Mana yang boleh dipermudahkan, mudahkanlah dan mana yang boleh dipercepatkan, ia harus dicepatkan.

Janganlah nama saja prihatin, tapi dari segi perlaksanaan, ia langsung tidak prihatin!! (ShahbudinHusin 30/03/2020)

Individu terkandas di India dakwa nama sengaja dicicirkan MIC

B Nantha Kumar

Seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Trichy, India lebih 16 hari bersama isterinya merayu Menteri Luar Negeri Hishamuddin Hussein dan bekas perdana menteri Najib Razak membantu membawa mereka pulang.

Subramaniam Batumalai, 57 dalam satu video yang ditularkan dalam media sosial sejak semalam mendakwa beliau dinafikan penerbangan bagi kali kedua walaupun namanya tersenarai dalam senarai penumpang pulang ke Malaysia.

"Saya rayu Datuk Seri Najib dan Hishamuddin, tolonglah bantu kami. Saya orang setia BN. Berapa lama lagi kami nak tunggu sini? Kami nak balik ke tanah air," kata beliau dalam video tersebut.

Subra yang merupakan bekas tahanan Sosma selepas dikaitkan menyokong kumpulan militan LTTE, mendakwa namanya sengaja dicicirkan MIC kerana membantu agensi pelancongan KPSTravel & Tour yang berhubung rapat dengan pemimpin pembangkang.

Menurutnya, beliau bersama lebih 80 rakyat Malaysia berlepas ke India menerusi agensi pelancongan berkenaan dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun penerbangan untuk pulang terpaksa dibatalkan akibat krisis wabak Covid-19.

Katanya, beliau kemudian dimaklumkan bahawa MIC akan membantu membawa mereka yang terkandas di Trichy pulang ke Malaysia menaiki tiga penerbangan, sebelum memberikan nama mereka kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai.

Beliau berkata mereka terpaksa mengutip dana selepas MIC mengumumkan rakyat Malaysia yang melancong ke India secara kumpulan perlu diselia oleh agensi pelancongan masing-masing.

"Namun kutipan dana tidak diteruskan selepas pengumuman MIC bahawa 12 lagi penerbangan khas disediakan dan tiada keperluan untuk mengutip sumbangan.

"Antara individu yang memberi sumbangan kepada kami ialah bekas menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan peniaga Oms P Thiagarajan yang merupakan pemimpin pembangkang.

"Ini menyebabkan MIC sengaja menghalang saya kali kedua semalam. Saya diminta oleh wakil MIC di Trichy supaya menghubungi Saravanan sekiranya ingin pulang walaupun petugas kerajaan Malaysia semalam mengesahkan bahawa nama saya dan isterinya sudah tersenarai dalam penerbangan pulang," dakwanya.

Subra mendakwa dalam penerbangan AirAsia semalam, terdapat 17 kerusi kosong namun beliau dan isteri dinafikan menaiki pesawat itu.

Untuk rekod, India merupakan negara paling ramai rakyat Malaysia terkandas dengan hampir 3,000 orang.

MIC dengan bantuan syarikat swasta menyediakan 18 penerbangan khas dalam misi membawa balik mereka.

MIC nafi dakwaan pilih kasih

Pimpinan tertinggi MIC bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa parti itu mengamalkan sikap pilih kasih dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas di India.

"Kami sebagai parti politik hanya membantu menjana sumbangan untuk membawa balik rakyat Malaysia. Jika ada invididu tertentu tidak dapat balik maka ada masalah peribadi kepadanya.

"Tidak wajar tuduh YB Saravanan hanya kerana beliau menteri di kerajaan pusat," kata satu sumber kepada Malaysiakini.

Sumber yang tidak ingin mendedahkan identiti itu menambah MIC tidak ada kepentingan dalam memilih rakyat Malaysia yang sepatutnya pulang ke tanah air.

Ketika dihubungi, pengarah urusan KPS Travel K Palanisamy memberitahu kesemua rakyat Malaysia yang berlepas ke India menerusi agensinya telah selamat pulang ke Malaysia semalam.

Beliau mendakwa memang terdapat amalan pilih kasih sejak hari pertama MIC membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

"Sepatutnya, kerajaan yang mengendalikan operasi ini. Bukannya parti politik.

"Yang balik awal semua orang-orang berkepentingan dengan parti itu. Kemudian barulah orang lain diberi peluang. Kumpulan saya dilabel sebagai pembangkang dan dinafikan.

"Kumpulan saya antara yang terawal terkandas. Namun, hanya dapat pulang semalam. Itu pun selepas tekanan yang kami berikan kepada Kedutaan Malaysia di New Delhi.

"Masih ada dua orang (US Subra dan isteri) dinafikan," katanya yang merupakan bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC).

Tambahnya, parti politik sepatutnya tidak diberi kebenaran menguruskan urusan rasmi kerajaan.

Malaysiakini telah menghubungi Hishamuddin untuk mendapatkan ulasan.

Surat Presiden Pas kepada gerakan Islam: Halang Anwar yang disokong Freemason

Terjemahan: Friends of HARAPAN Jordan
Segala puji bagi Allah yang segala kekuasaan berada di tangan-Nya, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan.

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Selawat dan salam keatas junjungan besar, pemimpin dan contoh ikutan terbaik kita, Nabi Muhammad s.a.w, yang membawa rahmat dan sinaran cahaya, serta keatas ahli keluarga, para sahabat Baginda, dan sesiapa yang mendapat petunjuknya sehingga hari kiamat.

Malaysia telah terkesan dengan perancangan yang ditinggalkan oleh penjajah British dari sudut isu-isu pemikiran, kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial, yang telah diamalkan oleh pihak kerajaan dan para pemimpinnya secara terus-menerus, disamping berhadapan dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Meskipun masyarakat beragama Islam adalah golongan majoriti, tetapi keadaan semasa mereka semakin merosot, dalam urusan pembentukan kemasyarakatan dan perancangan kependudukan, disebabkan oleh kesempitan keadaan semasa masyarakat beragama Islam dalam berhadapan dengan masyarakat bukan bumiputra yang bukan beragama Islam.

Pihak penjajah telah menetapkan syarat-syarat kemerdekaan, antaranya mesti menerima kewarganegaraan bagi bangsa bukan bumiputra yang masuk ke negara ini sebagai pekerja dan buruh di bandar-bandar, sedangkan majoriti umat Islam tinggal di luar bandar dengan kekurangan kelengkapan infrastruktur. Kemudian dilaksanakan solusi-solusi yang diimport dari luar lalu dipaksakan keatas umat dalam bentuk ideologi-ideologi sekularisme yang mengakibatkan tidak dapat terbangunnya sebuah kerajaan yang kuat untuk menjaga kedaulatan umat Islam di negara mereka sendiri. Kemudian, (kerajaan itu perlu) berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam pentadbiran kerajaan dalam keadaan penguasaan bangsa lain dalam bidang pendidikan dan ekonomi, dan kerajaan juga dilanda dengan isu-isu kerosakan, penyelewengan, rasuah dan lain-lain.

Sesungguhnya rasuah, kerosakan, dan penyelewengan harta negara yang digembar-gemburkan oleh pihak media telah berlaku beberapa dekad di negara ini, bukan hanya pada sesi kepimpinan Najib Razak. Ia adalah kesan daripada penyakit-penyakit yang menimpa kerajaan sebelumnya sejak sekian lama yang membawa kepada kelemahannya. Ia bertambah kritikal sehingga membawa kepada pergelutan politik dalam kalangan pemimpin-pemimpin perompak dalam kalangan anak bangsa yang membawa kepada berpecahnya kaum Muslimin disebabkan perbalahan dalam kerajaan sendiri.

Kemudian kehancuran politik mereka sehingga negara jatuh kepada satu situasi yang amat bahaya dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini dengan keputusannya memihak kepada majoriti Non-Muslim dalam pakatan kerajaan (Pakatan Harapan) yang telah mempergunakan Tun Mahathir, Perdana Menteri yang lalu dan juga merupakan seorang ahli politik yang berpengalaman, untuk menjatuhkan Najib Razak.

Beliau telah dipergunakan kerana usia beliau yang telah lanjut dan parti beliau yang lemah. Mereka menjadikan beliau sebagai anak tangga untuk menaiki tampuk pemerintahan secara helah tanpa mengambil kira komposisi majoriti kaum Muslimin dalam negara yang telah meningkat melebihi 69% berbanding kaum minoriti yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, yang mana ia menggalakkan lagi pertelingkahan dalaman.

Selain itu, terdapat juga peluang campurtangan pihak asing yang memusuhi Islam dan kaum Muslimin seperti yang terjadi pada negara-negara Islam lain seperti negara-negara Arab.

Setelah meneliti pengalaman-pengalaman yang lalu berada dalam pakatan dari sudut yang positif dan negatif, PAS telah mengambil pendirian untuk menjadi blok ketiga (Third-Force) tanpa menerima atau bersetuju dengan pelawaan Tun Mahathir untuk menyertai Pakatannya iaitu Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan Najib Razak dan menukar kerajaan baru di bawah pimpinannya setelah kerajaan sebelumnya dijatuhkan. Begitu juga, tanpa menerima atau bersetuju dengan pelawaan Najib Razak dalam Pakatannya iaitu Barisan Nasional di bawah pimpinannya untuk mempertahankan kerajaan sedia ada yang telah memimpin negara berdekad lamanya daripada tentangan berbahaya yang dihadapinya.

Sebab-sebab pendirian kami:

1. Pakatan Harapan: Parti Tun Mahathir, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang merupakan parti serpihan UMNO (tulang belakang bagi parti kerajaan) adalah parti yang baru ditubuhkan, secara praktikalnya merupakan sebuah parti yang lemah. Turut bersama adalah parti Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat, PKR) yang merupakan sebuah parti sekular pragmatik yang dianggotai oleh ahli pelbagai kaum dan juga mempunyai pegangan ideologi yang berbeza seperti golongan Melayu Muslim sekular dan juga kelompok bukan Muslim daripada bangsa Cina dan India yang kebanyakan mereka beragama Kristian.

Juga bersama adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mempunyai keanggotaan majoriti Cina yang kebanyakannya beragama Kristian, saki-baki daripada parti komunis yang telah diharamkan dan juga pemikir-pemikir liberal. Bersama mereka juga adalah Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berorientasikan Islam liberal-sekular, yang dibentuk oleh Anwar Ibrahim dan juga pimpinan DAP bagi menyaingi populariti PAS khususnya dalam kalangan orang-orang Islam serta bagi memecahkan kesatuan mereka, dengan menghimpunkan golongan pembangkang termasuk membawa masuk kelompok yang tergesa-gesa dan juga opportunis yang telah keluar daripada PAS. Di belakang blok ini adalah sokongan-sokongan daripada luar yang mendapat manfaat dengan keberadaan Anwar dalam blok ini.

Kemudian setelah Pakatan Harapan berjaya mengubah kerajaan dengan kemenangan mereka dalam pilihanraya, berlaku usaha dalaman untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri oleh DAP, PKR dan AMANAH bagi mengetepikan Tun Mahathir, dengan sokongan Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis dan juga Freemason.

Pencalonan Mahathir hanyalah semata-mata untuk melawan Najib dengan menggunakan populariti beliau namun dalam masa yang sama juga, mereka menolak pegangan Tun Mahathir yang mereka kira sebagai terlalu tegas lebih-lebih lagi dalam usaha beliau untuk menolak pendekatan berbaik-baik dengan Barat serta pandangan beliau dalam isu Palestin, Kashmir, Myanmar dan Uighur.
Pakatan Harapan akhirnya berjaya memenangi pilihanraya yang terakhir sebelum ini. PAS telahpun keluar daripada pakatan yang telah disertai daripada tahun 1999 sehingga 2012 disebabkan sikap mereka yang melanggar perjanjian yang berhubungkait dengan prinsip dan juga objektif PAS dalam berkhidmat untuk Islam dan kaum Muslimin.

2. Parti-parti kerajaan (Barisan Nasional) yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC pula berusaha untuk mempertahankan kerajaan pimpinan Najib Razak yang telah banyak membawa dan mewarisi kerosakan sejak era pemerintahan sebelum-sebelum ini seperti rasuah, kelemahan urus tadbir dan pelbagai lagi. PAS pernah berada bersama dalam blok parti-parti ini pada tahun 1973 sehingga 1979. Daripada pengalaman ini, PAS mengetahui akan keburukan-keburukan yang ada dalam Barisan Nasional.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman PAS dalam pakatan dengan pelbagai parti, sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang, PAS telah mengambil keputusan untuk menubuhkan blok ketiga di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, yang turut disertai oleh parti-parti kecil dan disokong oleh NGO-NGO Islam dan nasional (menggunakan nama Gagasan Sejahtera) yang mempraktikkan politik dengan prinsip kerjasama ke arah kebaikan dan ketakwaan, bukan atas dasar keburukan dan juga permusuhan.

PAS telah pun menyertai Pilihan Raya Umum ke 14 pada tahun 2018 dan berjaya menawan 2 negeri (Kelantan dan Terengganu) dengan majoriti dua pertiga. Manakala majoriti kerusi di negeri-negeri lain pula dimenangi oleh beberapa parti lawan.

Di peringkat parlimen pula PAS berjaya memenangi 18 kerusi parlimen yang menjadikan PAS sebagai sebahagian daripada anggota daripada blok pembangkang dalam parlimen dan dalam masa yang sama juga sebagai parti kerajaan dalam dua buah negeri. Maka tumbanglah kerajaan pusat dan hilanglah segala kekuasannya yang dipimpin oleh Najib Razak dan sekutunya dalam Barisan Nasional. Pakatan Harapan telah menang dan diberikan mandat untuk membentuk kerajaan dan Majlis Kabinet pimpinan Tun Mahathir. Jadi sekarang marilah kita menyentuh pula kepada perkembangan yang telah berlaku selepas peristiwa ini.

Pergelutan dalam Kerajaan Pusat

Pakatan Harapan, parti yang mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri melalui sokongan majoriti Non-Muslim di peringkat Kerajaan Persekutuan, dan melantik beliau sebagai Perdana Menteri berdasarkan perjanjian sementara yang hanya berlaku secara lisan semata-mata melalui kenyataan media, telah menentukan bahawa Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri selepas 2 tahun pemerintahan, tanpa persetujuan oleh Tun Mahathir, dimana beliau sendiri menganggap perjanjian tersebut tidak mengikat mana-mana pihak sama ada secara undang-undang mahupun Syarak.

Barisan Nasional (termasuk parti UMNO di dalamnya) berjaya menguasai dua negeri, dan merupakan barisan pembangkang yang memperolehi kerusi yang paling banyak dalam Dewan Rakyat. Beberapa parti dari Sabah dan Sarawak yang majoritinya adalah Muslim telah mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional dan membuat keputusan untuk tidak juga menyertai Kerajaan Pusat. Kemudian sebilangan parti daripada Sabah yang mempunyai beberapa kerusi Parlimen menyertai Kerajaan Pusat pimpinan Tun Mahathir. Begitu juga beberapa ahli Parlimen daripada UMNO bertindak untuk keluar daripada parti bagi memperkuat kedudukan Tun Mahathir dalam barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan. Setelah itu, beberapa ahli parlimen daripada PKR diketuai oleh Azmin Ali berpecah bagi memberi sokongan penuh kepada Tun Mahathir.

Akan tetapi, jumlah ahli-ahli Parlimen Muslim baik daripada pihak Kerajaan mahupun Pembangkang tidak mencapai majoriti di Parlimen (Dewan Rakyat) secara keseluruhannya. Para intelektual, birokrat, anggota tentera dan polis yang beragama Islam berasa bimbang selepas kemasukan Ahli-ahli Parlimen Non-Muslim dan Muslim Liberal ke dalam Kerajaan yang baharu yang mencuba untuk melemahkan kedudukan Islam, orang Islam dan kaum Bumiputera, dengan cubaan meminda Perlembagaan, mengubah sistem Pembelajaran dan Pengajaran, Media Massa dan sebagainya dalam politik dan ekonomi yang mana telah mengejutkan orang Islam dan mereka melihat bahayanya situasi mereka.

Maka, PAS telah mengambil langkah politik bekerjasama (Taawun) secara jalan damai. PAS telah memilih hubungan dengan Tun Mahathir memandangkan sikap nasionalisya dan semangatnya mempertahankan Islam. Dan PAS menolak kerjasama dengan kumpulan Anwar Ibrahim kerana tidak yakin dengan karakter peribadi dan akhlaknya serta pendirian politik pragmatiknya yang berbahaya.

Dan bersama Anwar Ibrahim adalah AMANAH yang bersifat Islam liberal, dengan bersandarkan pada sokongan dan pendirian kedutaan-kedutaan Barat yang menyokongnya dari segi strategi, media dan kewangan. Kami turut menolak campur tangan asing baik secara total, meskipun pertemuan-pertemuan kami dengan delegasi-delegasi ini yang datang menemui kami untuk cuba membina hubungan dengan bermanis muka, khasnya delegasi Amerika yang mengajak PAS untuk menyertai Pakatan Harapan dan membantu Anwar Ibrahim menumbangkan Tun Mahathir.

Kami telah menemui Tun Mahathir sebaik selepas Pilihanraya Umum untuk memahami situasi yang bahaya pasca-pilihanraya, maka Perdana Menteri Tun Mahathir selepas berbincang dengan kami telah mengusahakan pembaikan kedudukan orang Islam dari dalam Kerajaan dengan bantuan kami, para pembangkang, Ahli-ahli Parlimen Islam dan Non-Muslim yang bersikap sederhana dan yang bekerjasama dengan kami untuk menghadapi perancangan mereka tersebut, yang antaranya adalah untuk meminda Perlembagaan dan sebagainya, yang kemudiannya membawa kepada pertembungan yang sengit, kerana golongan pelampau daripada parti-parti Kerajaan yang menentang dan bersama mereka adalah sokongan Barat melalui Anwar Ibrahim yang cuba menjatuhkan Tun Mahathir daripada tampuk kepimpinan Kerajaan.

Maka, pada tahun lalu, PAS telah menganjurkan Himpunan Penyatuan Ummah secara aman bagi membantah sebarang seruan kepada kesamarataan antara agama, tetapi PAS tidak menolak toleransi antara agama dan kebebasannya. Berdasarkan populariti PAS dalam kalangan rakyat, hampir 2 juta umat Islam telah menyertai himpunan tersebut.

Kemudian PAS mula bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk satu perpaduan atas kemaslahatan agama dan negara. Lalu kerjasama perpaduan ini menghasilkan sebuah persepakatan yang dinamakan sebagai Muafakat Nasional dalam blok pembangkang.

Seterusnya, dari pihak kerajaan, Parti Bersatu telah bertanggungjawab untuk mengumpulkan pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar, para profesor, ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh pemikir, bagi menganjurkan Kongres Maruah Melayu sebagai platform untuk mengkaji kedudukan semasa masyarakat Melayu muslim.

Pihak penganjur Kongres telah memberikan jemputan khas kepada Muafakat Nasional untuk menghadiri kongres tersebut. Tun Mahathir selaku Perdana Menteri pada ketika itu telah dijemput untuk menyampaikan ucapan perasmian bagi Kongres itu. Kemudian, Kongres telah mengeluarkan resolusi dimana antara lain menyebutkan kepentingan perpaduan sesama masyarakat Melayu Muslim untuk mendepani cabaran-cabaran semasa disamping meraikan hak-hak kenegaraan pelbagai kaum dalam sesebuah negara.

Setelah itu, PAS telah mengambil pendekatan secara aman dan mengelak sebarang bentuk demonstrasi. PAS telah pergi menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong (YDP Agong) yang mengetuai Majlis Raja-raja dimanan anggotanya terdiri dari sultan-sultan bagi setiap negeri berdasarkan kedudukan masing-masing dari sudut perlembagaan, bagi menjelaskan situasi-situasi yang berbahaya serta keperluan negara untuk menukar kerajaan melalui saluran demokrasi menerusi parlimen.

PAS juga telah berjaya mengumpulkan ahli-ahli parlimen yang beragama Islam dari Sabah dan Sarawak serta kaum Bumiputra Non-Muslim bagi mengumpulkan tandatangan (Surat Akuan Berkanun) dalam kalangan ahli-ahli parlimen dengan memperolehi majoriti seramai 133 orang daripada jumlah keseluruhan 222 orang ahli parlimen.

Apabila kami telah menerima majoriti, kami telah meletakkan kepercayaan kepada Tun Mahathir untuk mengetuai kerajaan baru selepas melaksanakan cadangan untuk melepaskan jawatannya daripada kerajaan dan keluar dari Majlis Kabinet kerajaan untuk membentuk kerajaan baru. Maka, YDP Agong telah meminta ikrar secara lisan secara langsung di hadapan beliau seorang demi seorang dari setiap ahli parlimen. Kemudian berlaku Gerakan balas daripada Pakatan Harapan dengan menyokong Tun Mahathir hanya untuk menunjuk-nunjuk sebagai satu bentuk tipu daya daripada kumpulan Anwar Ibrahim, AMANAH, dan DAP.

Mereka telah pergi bertemu Mahathir pada waktu pagi sambil menangis seperti menangisnya adik beradik Yusuf AS setelah mereka menghumban Yusuf AS ke dalam telaga, untuk menyerahkan kepada Mahathir cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan. Sesungguhnya strategi licik ini adalah untuk memecahkan penyatuan kaum Muslimin dengan perkataan yang benar namun yang dikehendaki daripadanya adalah kebatilan!

Kemudian, PAS telah diajak untuk menyertai kerajaan di bawah kepimpinan Mahathir dan kami telah dicalonkan untuk diletakkan di kerusi Timbalan Perdana Menteri dan diletakkan juga untuk menjadi Menteri di beberapa kementerian. Perkara ini semua berlalu secara rahsia.

Gerakan yang digerakkan atas rasuah, rebut-merebut dan ancaman demi ancaman berlaku ke atas semua ahli parlimen bagi mendapatkan sokongan. Rupanya, Tun Mahathir telah terperdaya dengan tipu daya yang sangat licik itu. Kemudian, beliau telah pergi bertemu YDP Agong sambil membawa tandatangan kesemua ahli parlimen secara keseluruhannya. Akan tetapi, sebahagian ahli parlimen telah menarik balik sokongan kepada Tun Mahathir kepada sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Maka telah bangkit sejumlah ahli Parlimen beragama Islam menentang tipu daya licik ini secara rahsia dengan mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan orang nombor dua kepada Tun Mahathir dalam partinya untuk menjadi Perdana Menteri dengan memberikan sekali lagi kepada YDP Agong senarai nama ahli parlimen yang menyokong pencalonan ini beserta tandatangan mereka.

Selepas YDP Agong bertemu dengan semua Pemimpin setiap parti untuk mendapatkan sokongan terbanyak, telah jelas kepada YDP Agong setelah melakukan dan melaksanakan setiap proses melalui demokrasi dan mengikut perlembagaan. Maka telah gagal gerakan balas tersebut meskipun dengan campurtangan daripada duta-duta Barat dan para penasihat Freemason dan Zionis.

Maka terbentuklah kabinet kerajaan yang baru, diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan nama Perikatan Nasional, yang majoritinya Muslim. Pakatan ini terdiri daripada beberapa parti komponen iaitu UMNO, PAS, BERSATU, GPS, sebahagian pemimpin PKR, MCA, MIC serta parti komponen daripada Sabah dan Sarawak.

Kemudian, Majlis Kabinet dibentuk tanpa melibatkan individu yang masih didalam perbicaraan mahkamah. Perkara ini dilakukan demi meraih kepercayaan rakyat. Ini lah yang dimaksudkan Islah yang aman tanpa sebarang demonstrasi, dengan sokongan rakyat, para pegawai kerajaan, tentera, polis, dan Majlis Raja-raja.

Segala pujian bagi Allah Tuhan sekalian Alam.

Yang menyayangi kalian,
Abdul Hadi Awang
Presiden, Parti Islam Se-Malaysia
27 Rejab 1441/22 Mac 2020

Kluster virus bahasa melampaui batas lupa di mana bumi dipijak

ARIF ATAN

Walaupun nampak remeh, singkatan kementerian daripada bahasa Inggeris bukan ciri seorang negarawan.

Vivy. Nama kementerian MEWA yang kebetulan bermaksud bingung dan bodoh dalam bahasa Melayu. Menteri Sumber Manusia guna tulisan Tamil lengkap Jata Negara.

Sebelum ini, galak mahu paksa Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diiktiraf. Tulisan Cina dalam urusan rasmi dan papan tanda jalan.

Persamaannya: Mereka boleh dianggap kluster virus bahasa yang telah melampaui had nilai hidup bernegara. Mereka tidak mengikut resmi padi makin berisi makin tunduk.

Mereka tidak bersikap di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Khusus bagi orang politik, mereka langsung tidak memiliki nilai seorang negarawan dan wajar sekali ‘digam’ terus daripada undian rakyat nanti.

Jasad mereka sahaja di Malaysia. Timbun harta dan kumpul kuasa di negara ini tetapi jiwa di Amerika Syarikat, Tamil Nadu dan Hong Kong. Lebih menghina, nama keluaran tudung untuk sasaran Muslim yang majoritinya adalah orang Melayu pun guna nama Inggeris.

Padahal, ramai tauke bukan Melayu kaya-raya berniaga barangan makanan di Malaysia hanya guna nama Melayu sahaja untuk produk mereka. Tidak pula jenama makanan mereka ‘The Palace’ atau ‘The Village’ tetapi Cap Istana, Cap Kampung yang ada di rak pasaraya.

Lebih teruk, mereka yang rasa hebat jadi ‘makhluk asing’ ini cuba meng-‘amerika’, ‘tamil nadu’ dan ‘hong kong’ -kan tanah air yang dunia Barat sejak ratusan tahun lampau kenal sebagai ‘Malay Archipelago’.

Mereka buat perangai yang jauh daripada nilai kebudayaan yang disepakati bersama. Kluster atau kelompok virus bahasa ini selamba menonjolkan nilai keterasingan dengan tampil berbahasa yang membenam jati diri sebahagian besar rakyat di tanah air ini.

Itulah sebabnya penting kita semua, sama ada orang dalam bidang hiburan, perniagaan mahupun politikus mengutamakan penggunaan bahasa Melayu apa lagi berhubung di media sosial lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi.

Bahasa Melayu itu pula bukan guna secara selekeh penuh kata nista. Wajib merendah diri, tidak sombong dan bertoleransi kerana sifat-sifat itulah menonjolkan kebijaksanaan. Kalau tidak, jadilah seperti deretan “selebriti Melayu” yang bising tentang bantuan kerajaan khusus kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga dikecam secara berjemaah oleh warga maya.

Ahli perniagaan dan ahli politik mesti tampil merendah diri dengan membudayakan bahasa Melayu yang murni.

Milik semua

Bahasa Melayu bukan hanya milik orang Melayu. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia bahkan dalam konteks dunia serba terbuka ini bahasa Melayu juga adalah milik dunia.

Memencilkan bahasa Melayu dengan menganggap bahasa Inggeris lebih bagus dan nampak pandai lagi lebih ‘class’ seperti lazim dilakukan sejumlah besar menteri sejak dulu lagi lahir daripada minda lemah lagi tertawan jauh sekali sifat sejati seorang negarawan.

Ingat, bahasa Melayu bukan lekeh seperti golongan “I sound stupid when I speak Malay” imankan. Hanya sama ada orang itu termasuk orang Melayu sendiri benar-benar ada percaya diri sama seperti warganegara Perancis dan Jerman yang berbangga dengan bahasa mereka.

Alleycats, Francissca Peter, Louisa Chong, Jaclyn Victor, Elizabeth Tan (nama manjanya Lizzy), Alvin Chong dan Sean LJE adalah contoh rakyat Malaysia sejati yang faham tentang di mana bumi dipijak.

Mereka tidak dikecam orang ramai malah sebaliknya mereka nampak lebih bijak dan diterima baik dalam industri hiburan di Malaysia. Malah, memang ada catatan Inggeris dahulu bahawa, seseorang itu nampak bijak apabila bercakap dalam bahasa Melayu.

Hairannya, mengapa Vivy cakap Melayu lebih pelat daripada Lizzy?

Begitu juga, Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong dan Tan Sri Lee Lam Thye (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka tidak meninggi diri malah bertutur murni dan faham nilai hidup bermasyarakat di negara ini.

Bahasa membawa bersama-samanya nilai budaya. Membudayakan bahasa Melayu secara tidak langsung melenturkan jiwa menjadi lebih merendah diri, bersopan, menghormati orang lain, berdiplomasi dan timbang rasa yang tinggi.

Itu sebab munculnya ungkapan “tak reti bahasa” atau peribahasanya, “Bodoh tidak dapat diajar, cerdik tidak dapat diikut.” Vivy bolehlah #DudukRumah belajar kembali dengan anak-anaknya tentang khazanah kekayaan makna segala perumpamaan dan peribahasa Melayu ini.

Cakap bahasa rojak, cakap Melayu tergeliat lidah kalah orang putih, itu mengada-ngada, mahu tunjuk bagus tetapi hakikatnya bebal kerana tidak mengikut resmi padi.

Ramai orang bijak pandai menguasai pelbagai bahasa dunia bukan sekadar bahasa Inggeris. Molek sahaja mereka bercakap Melayu apabila kena pada tempatnya dengan fasih lagi tertib tanpa banyak dicemari bahasa Inggeris.

Datuk Mahadzir Lokman, contohnya. Allahyarham mampu bertutur bahasa Perancis, Sepanyol, Portugis, Jepun dan Itali, selain Inggeris tentunya.

Pernah kita dengar ketika hayatnya dahulu, lidahnya kejang mahu cakap bahasa Melayu apabila tampil ditemubual di stesen TV?

Elizabeth Tan antara selebriti yang merendah diri dan anggun apabila menyanyikan lagu Melayu.

Perkauman

Guna tulisan Cina dan Tamil pada Jata Negara itu sebenarnya perkauman kerana menonjolkan identiti kaum menenggelamkan identiti nasional yang hanya terletak pada bahasa kebangsaan.

Sama juga apabila sudah menjadi pemimpin kerajaan Malaysia tetapi Facebook rasmi dibanjiri dengan tulisan bukan bahasa rasmi negara ini. Itu hanya mencipta jarak sosial tanpa PKP dilaksanakan pun.

Walhal, kebanyakan rakyat termasuk bukan Melayu tidak faham. Bukan semua orang Cina boleh baca tulisan Tamil. Bukan semua orang India faham bahasa Cina.

Sebaliknya, bahasa Melayu rasmi yang bukannya laras seperti Sasterawan Negara, semua orang faham atau wajib faham. Kalau hanya faham bahasa Inggeris sahaja, sila lepaskan sahaja kewarganegaraan Malaysia anda. Berhijrahlah jadi rakyat Amerika. Mungkin boleh hidup bahagia di sana!

Apa lagi memaksa UEC diiktiraf atau tunduk pada paksaan yang bercanggah dengan semangat Perlembagaan. Itu sudah terang lagi bersuluh satu pengkhianatan besar kepada negara.

Pihak yang memaksa boleh dianggap lahir daripada sikap angkuh menganggap identiti kaumnya lebih baik berbanding identiti kebangsaan. Pihak yang tunduk pada paksaan itu pula tiada iltizam politik (political will) juga terjemahan daripada minda tertawan dan kerdil jati diri.

Jadilah seperti Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Datuk Seri Siti Nurhaliza atau bagi orang politik boleh mencontohi Tan Sri Dr Rais Yatim atau Datuk Seri Mohamad Hasan yang mesra dipanggil Tok Mat (sekadar contoh).

Mereka secara psikologinya lebih dekat dengan jiwa rakyat. Mereka bertutur mengikut resmi orang Melayu bahkan marhaen bukan Melayu sekali pun. Bicara mereka dekat dan rakyat marhaen tidak rasa terasing walaupun mereka adalah elit politik.

Dalam bidang seni, P.Ramlee bukanlah Melayu yang ‘Islamik’ tetapi disayangi ramai orang. Karyanya diminati tanpa mengira anutan agama dan kaum. Walaupun Siti pada awal kemunculan di pentas hiburan tidak bertudung, penampilannya sopan.

Rais Yatim dan Tok Mat pula walaupun bukan dari ‘parti Islam’ tetapi gaya cakapnya di khalayak ramai tetap mesra di telinga rakyat juga tidak canggung dengan nilai budaya politik Melayu.

Mereka umumnya bersederhana. Kesederhanaan mereka membuatkan mereka dekat dengan jiwa sebahagian besar rakyat negara ini. Tutur kata mereka halus walau ada ketika tegas apabila keadaan memaksa.

Rais Yatim dikenali sebagai pemimpin yang menuturkan bahasa Melayu dengan tersusun lagi murni.

Kalau mahu banding Vivy dengan Ella pun jauh panggang dari api. Ella pun ada sisi mengada atau gediknya. Tapi mengada manja Ella umumnya orang ramai masih boleh terima sebab kata-kata yang diucapkannya tidak pernah nampak meninggi diri.

Walaupun Ella digelar Ratu Rock Malaysia dan penyanyi Malaysia pertama yang berjaya merakamkan album penuh di Amerika Syarikat, ada Ella bercakap buat-buat pelat lidah ‘orang putih’ atau maki hamun orang lain? Ada Ella melampaui batas tunjuk gaya hidup mewahnya?

Mungkin Vivy tidak kenal Ella. Tahap mengada Ella dulu sekadar terlentok kepala ke kiri kanan dengan rambutnya mengurai. ‘Ella rasa…’.

Kalau Vivy layan lagu-lagu Ella, contohnya, “Sepi Sekuntum Mawar Merah” (Penulis: Fauzi Marzuki / Lukhman S) dan “Sembilu” (Saari Amri) yang bermutu bahasa Melayunya, Vivy hari ini tidak perlulah sampai terpaksa buat ‘challenge’ berbahasa Melayu dalam sehari. Memang minta kena kecam sangat. Awak tu Melayu! Alahai!

Walaupun bergelar Ratu Rock Malaysia, Ella tidak menerima kecaman orang ramai sepanjang kariernya kerana tidak meninggi diri.

INI BARU NAMANYA DAPAT JAWATAN IKUT TEBUK ATAP, TAPI TIADAKAH PEMIMPIN UMNO DILANTIK SAMA?

Shahbudin Husin
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin petang tadi mengumumkan perlantikan Presiden Pas, Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Ini bermakna, lantikan menteri dan timbalan menteri yang sebelum ini berjumlah 70 orang telah bertambah menjadi 71 orang ramainya.

Dengan jawatan bertaraf menteri, Hadi Awang berhak mendapat segala segala gaji, elaun dan kemudahan sebagaimana menteri-menteri yang dilantik Muhyiddin sebelum ini.

Makna kata, kalau menteri-menteri biasanya mendapat gaji dan elaun sekitar RM60 ribu hingga RM70 ribu sebulan, selain kemudahan kereta, pemandu dan sebagainya, itulah juga nikmat yang dijangka akan diperolehi oleh Hadi Awang.

Cuma, kelebihan Hadi Awang sebagai Duta Khas bertaraf menteri, beliau tidak perlu menghadiri mesyuarat kabinet pada setiap Rabu sebagaimana wajib dihadiri oleh menteri-menteri yang lain.

Beliau juga tidak perlu mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia di hadapan Yang Dipertuan Agong.

Tugasnya hanyalah berkaitan negara-negara Timur Tengah, termasuk melakukan lawatan, memastikan hubungan Malaysia terus baik atau mengiringi Muhyiddin jika beliau berkunjung ke negara-negara tersebut.

Selebihnya bolehlah beliau terus memberi kuliah atau mengajar agama seperti biasa, hanya barangkali sebutan namanya saja akan diperindahkan selepas ini menjadi TUAN GURU DATUK SERI HAJI HADI AWANG, DUTA KHAS KERAJAAN MALAYSIA KE TIMUR TENGAH BERTARAF MENTERI.

Dengan perlantikan ini juga, terjawablah sudah tanda tanya mengapa Hadi Awang tidak dilantik dalam sususan kabinet yang diumumkan Muhyiddin awal bulan lalu.

Ketika ditanya sebelum ini, Hadi Awang berkata, tiadanya nama beliau dalam kabinet adalah bagi membolehkannya memantau prestasi menteri-menteri Pas dalam kerajaan.

Agaknya Hadi Awang memang tidak mahu dilantik sebagai menteri, sebaliknya hanya sedia diberikan apa-apa jawatan lain yang bersesuaian dengan kedudukannya selaku Presiden Pas.

Melalui pembentukan kerajaan baru PN yang dipertikaikan banyak pihak sebelum ini kerana dianggap kerajaan pintu belakang lantaran ditubuhkan bukan berdasarkan kemenangan melalui mandat rakyat dalam pilihanraya, Hadi Awang berkata, kerajaan bukan saja boleh ditubuhkan melalui pintu belakang atau tingkap, bahkan boleh juga dibentuk melalui tebuk atap.

Dengan terbentuknya kerajaan tebuk atap pimpinan Muhyiddin sebagaimana disebut Hadi itu, selaku Presiden Pas, beliau sepatutnya menjadi salah seorang anggota kanan dalam kabinet.

Tetapi agaknya kerana tugas sebagai menteri itu lebih membebankan, banyak kerja perlu dilakukan, mesyuarat pula kerap perlu dihadiri, hadir sidang media atau dikejar wartawan lagi, kalau sikap cakap pula boleh jadi isu lawak atau kecaman ramai, termasuk juga tidak boleh lagi ponteng Parlimen, maka menjadi duta adalah pilihan yang lebih baik dan menyenangkan bagi Ahli Parlimen Marang itu.

Menjadi Duta Khas ke Timur Tengah, lebih-lebih lagi dapat sama gaji, elaun dan kemudahan seperti menteri, keistimewaan lain ialah kalau Hadi Awang lebih kerap tidak hadir ke Parlimen pun tidak ada siapa akan mencarinya.

Ketiadaannya di Parlimen selepas ini akan lebih mudah difahami bahawa beliau mungkin sedang melawat mana-mana negara Timur Tengah atas ada urusan rasmi yang tak dapat dielakkan dengan mana-mana Pak Arab.

Pendeknya, menjadi Duta Khas bertaraf menteri ini macam Hadi Awang dapat habuan ikut lubang atap yang sudah siap ditebuknya sebelum ini.

Yang menjadi persoalan ialah apakah hanya Hadi Awang saja dilantik sebagai duta bertaraf menteri dalam kerajaan ikut tebuk atap ini?

Bagaimana dengan ramai barisan pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO yang lain yang tidak dapat jawatan?

Apakah selepas lantikan Hadi Awang ini, Muhyiddin akan melantik beberapa pemimpin UMNO, sekurang-kurangnya seperti Mohamad Hassan, Timbalan Presiden parti itu serta dua Naib Presidennya, Khaled Nordin dan Mahadzir Khalid sebagai Duta Khas atau Penasihat Khas bertaraf menteri juga? (ShahbudinHusin 02/04/2020)

PM 8 tadbir negara atau bahagi ghanimah

DS DR MUJAHID YUSOF
Bahasa utara guna istilah ‘pakat bedak’ (bukan bedak talkum) dengan makna ambil habuan masing-masing. ‘Ghanimah’ pula dari bahasa Arab makna harta rampasan perang yang dibahagikan. ‘Bedak ghanimah’ untuk kerajaan PN ialah bagi habuan jawatan masing-masing.

PM 8 tadbir negara dengan desakan parti bersamanya tuntut ghanimah masing-masing sebagai habuan. Untuk rekod, semua mereka berada di pesada kuasa hari ini atas konspirasi jahat dengan membelakangkan mandat rakyat. Atau istilah yang dipakai ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’.

Walaupun semasa PH memerintah COVID 19 telahpun merebak, ini tidak menghalang langkah sheraton dari diteruskan dan mereka tahu risiko tindakan jahat mereka amat merbahaya kepada negara. Golongan tebuk atap kecewa sebab isu penggantian kepimpinan telahpun disetelkan pada Majlis Presiden PH pada 21hb Feb. Episode pengkhianatan seterusnya sudah diketahui umum.

Bukti pakat bedak ghanimah dapat dilihat betapa besarnya anggota kabinet PM 8 hari ini. Dalam arus gelombang COVID 19, PM 8 mendahulukan ghanimah daripada fokus untuk kecilkan saiz kabinet. Jika PM 8 tidak tebuk atap, perlantikan menteri yang kritikal sahaja diperlukan pada masa krisis pandemik ini sekaligus menjimatkan kantung negara.

Perlantikan terkini Presiden PAS (rakan konspirator PM8) sebagai Duta Khas PM ke Timur Tengah bertaraf menteri adalah satu lagi bukti ‘pakat bedak ghanimah’. Walhal dasar Timur Tengah untuk kepentingan negara tidaklah kritikal berbanding kepentingan Asean dan China.

Perlukah Duta Khas? Ia perlu jika untuk ‘bedak ghanimah’ tetapi untuk pentadbiran negara ia tidak diperlukan kerana wakil Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan kita sudah memadai. Hubungan Timur Tengah lebih kepada kebudayaan, pendidikan, keagamaan dan isu Palestine yang menjadi tumpuan seluruh dunia Islam.

Lagipun pergolakan geo-politik dan penggunaan keganasan mazhab serta kelompok takfiri menjadikan Timur Tengah atau Asia Barat zon konflik tidak berkesudahan. Apa kepentingan negara dalam pergolakan ini? Sikap kita selama ini adalah kekal berkecuali walaupun pada waktu yang sama kita ada kepentingan hubungan dengan mereka. Apakah Menteri Luar Negeri tak layak tangani perkara asas ini?

Duta Khas mewakili PM seharusnya membawa agenda antarabangsa yang lebih terbuka, progresif dan pulangan kepada negara, sudahkah diambil kira gaya berfikir Presiden PAS ini? Perlukah perlantikan ini pada masa impak COVID 19 dan pasca krisis ini menuntut tumpuan kepada pembinaan dalaman negara dan bukan polisi antarabangsa?

Jawapannya tidak perlu jika PM 8 benar-benar nak jaga negara tapi sangat perlu jika PM 8 kena pakat ‘bedak ghanimah’ dan itulah sahaja habuan Presiden PAS buat masa ini.

"Tahniah! Setelah penat 'menebuk atap' dapatlah habuan jadi duta khas taraf menteri.

Perlantikan Hadi: Pas jilat ludah sendiri, tidak kena pada masanya
MALAYSIA DATELINE
Ada yang menyifatkan Pas menjilat balik ludahnya sendiri berikutan apa yang telah dikatakan sebelum ini dan ada juga yang menyifatkan ianya adalah habuan selepas penat menebuk atap.

Ada juga yang menyifatkan perlantikan ini tidak ada masalah dengan kebolehannya tetapi tidak kena pada masanya kerana ia bukan keperluan sekarang ini,

Lagipun, dia bukan boleh menjalankan tugas lagi kerana tidak boleh lagi ke Timur Tengah dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Itulah reaksi para pengkritik terhadap perlantikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Bagi bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, perlantikan Hadi adalah habuan untuk beliau selepas bersama-sama membentuk kerajaan melalui pintu belakang bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.

“Tahniah! Setelah penat ‘menebuk atap’ dapatlah habuan jadi duta khas taraf menteri. PH ke 8 tak habis lagi bagi ‘ghanimah’ pada saat negara dilanda krisis terburuk Covid-19,” katanya menerusi twitter.

Bagi Naib Presiden AMANAH itu, Timur Tengah bukan keutamaan dasar luar negara.

“Cukup yang sedia ada untuk tampung dasar kita di Timur Tengah,” tulis Mujahid lagi.

Bagi rakan beliau, Khalid Abdul Samad pula, perlantikan Hadi tidak menjadi keutamaan ketika ini.

Ini kerana negara sudah berbelanja terlalu besar untuk 70 Kabinet yang ada ketika negara perlu memberikan keutamaan kepada menyelamatkan ekonomi rakyat akibat wabak Covid-19.

“Sudahlah Kabinet terlebih saiz, tambah kagi satu menteri,” kata Pengarah Komunikasi AMANAH itu dalam wawancara dengan Jom Chanel, sebuah stesen TV Internet.

Bagi netizen pula, perlantikan Hadi umpama menjilat ludah sendiri oleh Pas.

Ini kerana, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah membantah perlantikan Tan Kok Wai sebagai Duta Khas Malaysia ke China sebelum ini.

Padahal beliau bukannya bertaraf menteri pun.

“Pas Pusat kena jilat balik ludah yang mereka buat dua tahun lepas.

“Kalau tak nak jilat ludah sendiri, tolong hirup air kumbahan najis kat loji IWK agar kembali siuman seperti sedia kala…”tulis netizen #Farid Ibrahim melalui twitternya.

Indonesia, India, Rusia kini jadi tumpuan kes Covid-19

MALAYSIA DATELINE
Jumlah yang dijangkiti Covid-19 kini melepasi angka satu juta orang di dunia (1,004,791 kes, 51,578 meninggal) dengan negara-negara membangun dan mundur mula menunjukkan tanda-tanda mereka akan menerima kesan yang teruk.

Walaupun pada peringkat awalnya Indonesia menafikan ada antara rakyatnya dijangkiti wabak ini, kini 170 orang sudah meninggal dunia akibat wabak ini.

Jumlah yang disahkan positif Covid-19 kini 1,790 di negara itu dengan 113 disahkan positif dan 13 orang meninggal semalam.

Di India pula, walaupun dikatakan negara yang banyak makan kari yang panas akan terselamat, kini mencatatkan peningkatan ketara.

14 meninggal semalam manjadikan jumlahnya 72 manakala kes baru yang dicatatkan adalah 538 semalam menjadikan jumlahnya 2,536 menyertai negara-negara utama diserang wabak ini.

Rusia juga mencatatkan peningkatan mendadak apabila mencatatkan 3,548 kes dengan 771 kes baru semalam sahaja.

Sementara itu, sebuah lagi negara memotong China dalam negara-negara utama diserang wabak ini iaitu Jerman.

Negara itu yang mencatatkan jumlah kes positif 84,600 dengan 1,097 kematian menyertai Amerika Syarikat, Italy dan Sepanyol yang sudah memotong China yang menjadi tempat pertama kes Covid-19.

Pas cadang kecilkan saiz Kabinet, buang menteri yang cetus kontroversi

MALAYSIA DATELINE
Pas mencadangkan agar kerajaan mengecilkan saiz Kabinet dengan cara membuang mana-mana menteri dan timbalan menteri yang memberikan cadangan kontroversi agar perbelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan.

Cadangan ini diberikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas ketika kerajaan berhadapan dengan kejatuhan harga minyak dan ketidakstabilan mata wang Ringgit menyebabkan senario ekonomi negara yang sangat membimbangkan.

“Mengurangkan saiz kabinet agar ia sesuai dengan nisbah negara. Menteri dan timbalan menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi boleh dibuang agar pembelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan,” kata beliau ketika.

Cadangan ini diberikan oleh beliau pada tahun 2015, namun ia sangat sesuai dilaksanakan sekarang ketika sais Kabinet yang terlalu besar tambahan pula dengan perlantikan Duta Khas bertaraf menteri.

Padahal Duta Khas itu tidak boleh lagi menjalankan tugas buat masa ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19.

“Kedudukan terkini bebanan yang dihadapi oleh rakyat sudah di tahap mencekik leher. Laporan pemberhentian pekerja oleh pelbagai sektor dengan jumlah ribuan pekerja, serta kenaikan kos hidup yang kini amat memuramkan suasana sosiopolitik negara,” tulis Tuan Ibrahim ketika itu.

Bagi beliau, ombak kemelesetan ekonomi sudah dirasai meskipun kerajaan yang suka bermain dengan nombor-nombor statistik dengan rakyat enggan mengakui secara terbuka.

“Tindakan segera ini perlu diambil untuk mengelakkan situasi panik di kalangan rakyat bawahan.

“Rakyat perlu dibebaskan daripada menampung kerajaan yang ‘high maintenance’ kerana sikap perbelanjaan pemimpinnya yang boros, membazir dan tidak ekonomi,” kata beliau.

Bagi menghadapi situasi ini, berikut ada beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan segera, termasuk mengecilkan sais Kabinet dengan memecat menteri dan timbalan menteri yang membuat cadangan kontroversi.

Antara menteri yang memberikan cadangan kontroversi ketika negara sedang menghadapi wabak Covid-19 sekarang adalah:

1. Menteri Alam Sekitar dan Air (Mewa). Antaranya beliau mencadangkan agar kementeriannya mengkaji pencemaran virus Covid-19 dalam air kumbahan.

2. Menteri Kesihatan. Menteri ini berkata meminum air suam boleh mencegahkan Covid-19. Di samping itu beliau telah mendedahkan identiti pesakit Covid-19 yang bercanggah dengan Akta Perubatan.

3. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau mencadangkan agar wanita bersolek di rumah seumpama pergi ke tempat kerja serta bersuara Doraemon ketika meleteri suami.

4. Menteri Dalam Negeri. Beliau mempertikaikan Menteri KDN sebelum ini padahal ia adalah Perdana Menteri sendiri.

5. Menteri Pengajian Tinggi. Beliau lambat memberikan arahan yang jelas kepada pelajar selepas kerajaan mengarahkan universiti ditutup akibat dari Covid-19. Akibatnya perhentian bas dan keretapi penuh sesak dengan pelajar yang ingin balik kampung yang menjadi salah satu tempat penyebaran Covid-19.

6. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Beliau telah memakai baju PPE yang sangat bernilai untuk petugas barisan depan untuk berlakon menyembur air sanitizer sambil menulis MENTERI pada dahinya.

7. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau mencadangkan agar Penerbangan Malaysia memastikan pakaian pramugarinya menutup aurat ketika masalah yang dihadapi oleh kakitangan Mas terutama pramugari adalah hilang pekerjaan kerana Covid-19.

8. Perdana Menteri. Ini kerana beliau telah melanggar arahan kerajaan yang membenarkan hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar untuk membeli belah. Sedangkan beliau membawa isterinya pergi membeli belah.

Perintah berkurung 24 jam di Mekah, Madinah

Malaysiakini
Arab Saudi mengenakan perintah berkurung 24 jam pada hari Khamis di kota suci umat Islam, di Mekah dan Madinah sebagai memperketat langkah memerangi wabak Covid-19, lapor media antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Abdul Aziz Bin Saud Al Saud mengumumkan perintah berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dipetik Reuters memaklumkan terdapat beberapa pengecualian, termasuk untuk pekerja perkhidmatan penting, membenarkan penduduk keluar membeli makanan dan mendapatkan rawatan perubatan.

Kereta di negara itu pula dibenarkan hanya boleh membawa seorang penumpang.

Arab Saudi telah mencatatkan 1,885 kes jangkitan dan 21 kematian setakat ini. Negara itu telah menghentikan penerbangan antarabangsa, menangguhkan ibadat umrah sepanjang tahun umrah, menutup kebanyakan tempat awam dan melaksanakan perintah kawalan pergerakan.

Sekatan terbaru itu susulan 165 kes direkodkan hari ini, manakala lima kematian baru juga telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Saudi Dr. Tawfiq Al Rabiah dipetik Gulf News pula berkata "kepatuhan orang ramai sangat mustahak untuk menghalang penularan virus Covid-19."

Jalan masuk dan keluar ke Riyadh, Mekah, Madinah dan Jeddah juga dihadkan pihak berkuasa.

Beberapa kawasan petempatan di Mekah dan di Madinah sebelum ini dikenakan perintah penutupan sepenuhnya, namun bahagian lain kota suci itu dikenakan perintah berkurung dari jam 3 petang ke 6 petang.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata perintah baru ini berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang diberitahu kelak.

Nama baru kementerian Tuan Ibrahim bermaksud bingung, bodoh


ARIF ATAN

Gara-gara mahukan singkatan kementerian daripada bahasa Inggeris, tanpa disedari nama baharu itu membawa maksud buruk pula dalam bahasa Melayu.

Kementerian Alam Sekitar dan Air yang diterajui Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengumumkan menggunakan nama baharu MEWA.

Singkatan MEWA diambil daripada nama kementerian itu dalam bahasa Inggeris iaitu Ministry of Environment and Water.

Walau bagaimanapun semakan di laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) mendapati perkataan “mewa” bermaksud bingung atau bodoh.

Singkatan ‘Kl’ pada padanan kata tersebut merujuk kepada dialek Kelantan.

Laman Kamus Dewan dalam talian itu di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kamus Dewan dengan yang terkini Edisi Keempat merupakan rujukan utama dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tepat dan betul.

Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan media memberitahu penjenamaan MEWA dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung, semalam.

Menurut Timbalan Presiden Pas itu, penjenamaan tersebut selaras dengan keputusan kerajaan memberi tanggungjawab pengurusan air negara kepada MEWA disamping berperanan dalam pelestarian alam sekitar.

Jelasnya, kementerian terbabit akan mengitegrasikan sektor alam sekitar dan air.

Menteri dan rakyat Malaysia wajib mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul seperti termaktub dalam Kamus Dewan Edisi Keempat

'Alhamdulillah, mufti Kelantan sembuh dari Covid-19'

N Faizal Ghazali

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad menjadi salah seorang individu yang disahkan sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Menurut sumber, mufti berkenaan dibenarkan keluar wad hari ini selepas kira-kira dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

"Alhamdulillah, beliau sudah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang petang tadi," kata sumber yang enggan disiarkan namanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Mohamad Shukri dimasukkan ke hospital itu pada 18 Mac lalu dan menjalani saringan Covid-19.

Beliau mengalami demam dan mempunyai simptom jangkitan Covid-19 selepas pulang daripada Sarawak.

Difahamkan saringan tersebut mendapati beliau positif Covid-19 dan dimasuk ke wad bagi rawatan lanjut sehingga sembuh sepenuhnya hari ini.

Covid-19 yang bermula dari Wuhan China, kini dilapor menjangkiti hampir sejuta orang di seluruh dunia.

Setakat hari ini wabak berkenaan telah menjangkiti 3,116 orang di negara ini dengan 50 kematian direkodkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 767 pesakit sembuh selepas menjalani rawatan.

Hampir sejuta orang dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia, 50 ribu mati

Malaysiakini
Dalam pekembangan terkini, hampir sejuta orang di seluruh dunia telah disahkan positif wabak Covid-19.

Data Johns Hopkins University setakat 7.47 malam tadi mencatatkan 952,171 kes jangkitan di seluruh dunia.

Seramai 48,320 pula maut di seluruh dunia akibat virus itu, setakat kemas kini data berkenaan, dengan korban tertinggi dicatatkan di Itali, sebanyak 13,155 kematian.

Sementara itu, Covid-19 telah meragut lebih 5,000 nyawa di Amerika Syarikat, dengan jangkitan yang disahkan sebanyak 216,722 kes.

Terdapat 884 kematian di AS dalam tempoh 24 jam yang merupakan suatu rekod baru, kata Johns Hopkins University yang menjejaki perkembangan jumlah jangkitan di seluruh dunia.

Dilaporkan stok peralatan perlindungan dan bekalan perubatan hampir kehabisan di AS.

Jumlah jangkitan yang disahkan di seluruh AS meningkat lebih 25,000 kes sehari, dengan New York paling tertejas mencatatkan 47,500 kes positif dan meragut lebih 1,300 nyawa.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu dilaporkan berkata kira-kira 240,000 orang boleh terkorban di AS akibat wabak Covid-19 walaupun langkah mitigasi telah diambil.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump berkata semalam jumlah korban itu mungkin lebih banyak lagi, memberi anggaran antara 1.2 juta ke dua juta mangsa jika tiada sebarang langkah menangani wabak tidak diambil.

Hadi dilantik jadi duta khas bertaraf menteri

Malaysiakini
Kerajaan Malaysia hari ini melantik Abdul Hadi Awang sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelatikan itu juga meletakkan presiden PAS terbabit sebagai bertaraf menteri.

"Perdana menteri bersetuju melantik Abdul Hadi Awang sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri," kata kenyataan tersebut.

Untuk rekod, Abdul Hadi merupakan anggota parlimen Marang dan tidak diberikan sebarang portfolio selepas Muhyiddin Yassin bersama sebahagian besar ahli parlimen Bersatu menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno-BN dan PAS.