"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Deepak dakwa Rosmah curi duit beliau

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengarah Carpet Raya Sdn Bhd, JR Deepak Jaikishan mendakwa Rosmah Mansor dan Najib Razak telah bersubahat mencuri duitnya berhubung satu perjanjian harta tanah sehingga menyebabkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung syarikatnya.

Deepak berkata, sekiranya mereka tidak mencuri duit tersebut, Najib dan Rosmah tidak seharusnya meminta agar hakim mengeluarkan kes berkenaan dari perbicaraan mahkamah.

“Datin Seri Rosmah telah mencuri duit saya. Tolong kembalikan duit saya dan tanah saya. Kalau Datuk Seri dan Datin Seri tidak mencuri, maka jangan cuba ‘strike out’ lagi kes-kes saya.

“Biar semua bukti dipamerkan di Mahkamah sama seperti kes MACC hari ini. Biar bukti semua terbuka.

“Saya pasti rakyat Malaysia semua ingin tahu bagaimana Datin Rosmah telah mencuri dan tidak mahu kembalikan duit dan tanah saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Deepak memfailkan saman pada 12 Oktober 2018, dengan mendakwa bahawa dia telah mengalami kerugian akibat konspirasi, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar oleh defendan dalam perjanjian harta tanah yang didakwa menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.

Dia mendakwa, sebagai pengarah dan pemegang saham majoriti Astacanggih Sdn Bhd, dia telah menandatangani perjanjian tanah dengan seorang pengarah dan pemegang saham majoriti Awan Megah (M) Sdn Bhd, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah, melibatkan tiga tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja di daerah Petaling.

Bagaimanapun, hari ini Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut dan membenarkan permohonan Najib, Rosmah, Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya Bakti Wira Development Sdn Bhd untuk membatalkan saman sivil yang difailkan Deepak.

Peguam Datuk David Mathews, yang mewakili Najib dan Rosmah, memberitahu wartawan bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membuat keputusan itu setelah mendengar permohonan mengeluarkan kes berkenaan.

Mathews berkata mahkamah membenarkan permohonan defendan dengan alasan Deepak tidak mempunyai hak untuk menuntut kerugian yang disebutkan dalam samannya dan bahawa pernyataan tuntutan itu tidak menyatakan sebab tindakan yang munasabah.

“Datuk Seri Najib jangan risau. Saya akan lawan sehingga tanah dan duit yang dicuri Datin Rosmah dikembalikan kepada saya.

“Kalau memang tak curi duit saya, kenapa tak mahu berhadapan dengan saya di Mahkamah,” kata Deepak lagi.

Kedudukan Zuraida dalam bahaya, kata penganalisis

Robin Augustin
PETALING JAYA:
Langkah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendesak pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan mungkin “membahayakan” kedudukannya dalam kerajaan.

Penganalisis politik Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Zuraida meletakkan dirinya dalam keadaan tidak menentu kerana semua parti dalam Perikatan Nasional (PN) menentang idea itu.

Selasa lalu, Zuraida memberitahu Dewan Rakyat kertas untuk pelaksanaan pilihan raya itu akan siap menjelang pertengahan 2021 dan akan dibentangkan di Parlimen jika dipersetujui Kabinet.

Beliau berkata, pilihan raya itu akan memberi kuasa kepada majlis tempatan membuat keputusan dan meningkatkan pendapatan.

Namun, beberapa ahli Parlimen PN menolak cadangan itu dengan Noh Omar daripada Barisan Nasional menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan idea Pakatan Harapan (PH).

Bawah pentadbiran PH, Zuraida adalah ahli PKR dan menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Beliau kini disenaraikan di Dewan Rakyat sebagai ahli PPBM, namun katanya belum mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli parti itu.

Azmi berkata, penolakan secara terbuka idea itu menunjukkan ia tidak popular dalam gabungan itu dan betapa yakinnya Umno, PAS dan GPS mengenai kedudukan mereka dalam PN.

“Amat mudah bagi ahli Parlimen daripada ketiga-tiga parti itu menentang idea berkenaan, walaupun ia datang daripada menteri, beliau menteri yang pada dasarnya tidak berparti.

“Ia nampak tidak bagus untuk Zuraida apabila penyokong kerajaan menolak ideanya. Ia bukan langkah yang baik untuk desak perkara itu walaupun tahu apa respon Umno dan PAS, yang lantang menentangnya,” katanya.

Azmi berkata, reaksi terhadap idea itu menyerlahkan kedudukan rapuh Zuraida dan bekas pemimpin PKR yang lain dalam PN.

“Mereka perlu berhati-hati,” katanya.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, usaha Zuraida tidak akan berjaya kerana tidak mendapat sokongan PN.

“Dalam kerajaan baru ini, Zuraida dan bekas pemimpin PKR yang lain perlu mengabaikan janji yang mereka buat ketika dalam PH. Sama ada suka atau tidak, mereka perlu ikut dasar PN,” katanya.

Beliau yakin penolakan parti dalam PN terhadap pilihan raya kerajaan tempatan itu disebabkan khuatir akan akibat perkongsian kuasa.

“Jika ahli majlis tempatan dipilih, kuasa naungan politik akan hilang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia berkata, idea mendesak pilihan raya kerajaan tempatan tidak realistik tetapi Zuraida tidak boleh dipersalahkan kerana kerajaan sekarang tiada manifesto.

Sikap Pas: Haram untuk orang, halal untuk mereka

MALAYSIA DATELINE
Haram untuk orang, halal untuk mereka. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh Pas selepas mereka menjadi kerajaan, dakwa Pemuda AMANAH.

Ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin dalam satu kenyataannya mendakwa inilah yang ditunjukkan Pas dalam kes perlantikan Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (Yadim).

“Inilah hipokrasi dan cakap tak serupa bikin yang ditunjukkan Pas.

“Haram untuk orang lain, halal buat mereka.

“Tidak boleh jika dibuat orang lain, boleh pula jika mereka yang buat,” kata Shazni.

Sehubungan itu, beliau berkata, jangan pula pelik seandainya selepas ini rantaian dalil ditunggang semahunya untuk menjustifikasikan pelantikan ini, asalkan sahaja jawatan dan elaun belasan ribu ini kemas dalam dakapan.

“Tahniah PAS!” kata Shazni berikutan perlantikan Nasrudin Hassan sebagai YDP Yadim yang baru selepas Nik Omar Nik Aziz dipecat dari jawatan itu.

Menurut Shazni, setahun yang lepas, Ketua Pemuda Pas telah mengkritik tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menurut beliau melantik individu politik sebagai YDP Yadim.

Tulisan pojok di laman Harakahdaily juga dengan ‘menyinga’ menyatakan ‘YADIM bukan tempat eksperimen untuk memakan gaji buta’.

Hari ini (semalam), katanya, apabila Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi diumumkan sebagai YDP Yadim bagi menggantikan Nik Omar, tidak pula kelihatan mana-mana pemimpin Pas termasuk Ketua Pemudanya tampil mengkritik tindakan sedemikian rupa sebagaimana yang berlaku ketika era PH dahulu.

Azeez tidak taubat, maaf saja tidak cukup

MALAYSIA DATELINE
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto menolak permohonan maaf kenyataan rasis dari Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim kerana permohonan maaf itu tidak mencukupi kerana jelas beliau tidak bertaubat.

Bagi Ahli Parlimen DAP itu, walaupun Azeez meminta maaf keesokan harinya selepas diarahkan oleh Speaker tetapi jelas dia tidak ‘bertaubat’ dari kesalahan beliau.

“Ini bukan kali pertama dia buat macam itu. Ini sudah kali kelima dia buat tuduhan macam ini. Jelas dia tidak bertaubat dan permohonan maaf sahaja tidak mencukupi,” kata Kasthuri dalam satu wawancara khas dengan Malaysia Dateline.

Ketika ditanya apakah yang beliau tuntut dari Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun, Kasturi berkata, Speaker perlu memberikan tindakan tegas kepada perbuatan sebegini agar tidak berulang lagi samada oleh Azeez sendiri atau ahli dewan yang lain.

“Mesti ada satu tindakan tegas, tidak cukup minta maaf saja. Maaf pun nampak tidak serius,” kata Kasturi yang berkata tindakan menggantung Azeez paling tidak dikehendaki oleh Perikatan Nasional (PN) sekarang kerana ia akan mengurangkan seorang anggotanya di Dewan Rakyat dalam suasana genting sekarang.

Menurut Kasthuri, apa yang berlaku kepada beliau telah berlaku kepada bapanya, P Patto yang juga disindir sedemikian rupa ketika beliau menjadi Ahli Parlimen DAP dahulu.

Lima kakitangan Kementerian Kewangan terlibat sindiket pemalsuan akaun ditahan

MALAYSIA DATELINE

Lima kakitangan Unit Pendaftaran Syarikat, Kementerian Kewangan antara lapan individu ditahan hari ini selepas aktiviti pemalsuan urusan pendaftaran akaun baharu kementerian itu dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hasil risikan SPRM sejak enam bulan lalu turut menahan tiga orang awam yang disyaki bersekongkol dalam aktiviti haram itu sejak tahun 2017.

Sindiket itu dikatakan beroperasi dengan menguruskan permohonan pendaftaran akaun baharu Kementerian Kewangan serta permohonan status Bumiputera syarikat-syarikat di sekitar Lembah Klang.

Dilaporkan, bagi mempercepatkan proses pendaftaran baharu akaun Kementerian Kewangan dan mendapatkan status bumiputera, mereka menawarkan bayaran sindiket antara RM500 hingga RM3,500 bagi setiap permohonan.

“Siasatan awal mendapati, permohonan pendaftaran akaun baharu MOF dan status bumiputera akan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja dan ia dikesan akan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” lapor BH hari ini.

Kata sumber, sindiket sudah mengaut ratusan ribu ringgit daripada pelbagai syarikat, sejak kegiatan itu berlangsung dari tahun 2017

Dalam operasi khas, SPRM seramai lapan orang ditangkap berusia antara 30 tahun hingga 47 tahun dan mereka ditahan di sekitar Putrajaya dan ibu negara.

“SPRM mengadakan risikan sejak enam bulan lalu dan daripada lapan orang yang ditangkap, lima kakitangan di Unit Pendaftaran Syarikat, Kementerian Kewangan ditahan kerana bersengkokol bersama tiga orang awam yang lain,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan berkata siasatan dijalankan di bawah seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kelapan-lapan individu yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Hazmi gelar Dasuki Rani jahat selepas terbukti fitnah isu Tabung Haji

ARIF ATAN

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan menyelar sikap Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani yang tidak meminta maaf selepas menabur fitnah berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Hazmi yang juga dikenali sebagai Jeming berkata, banyak fakta salah tentang TH disebarkan demi memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Walau bagaimanapun, katanya, kebenaran telah terbukti di Dewan Rakyat kelmarin apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan TH tidak dikuasai oleh bukan Islam.

Bahkan, Jeming menyebutkan kembali jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa itu bahawa TH telah mencatat lebihan aset sebanyak RM1.9 bilion.

“Segala dakwaan sebelum ini adalah fitnah dan perbuatan yang jahat demi memburukkan kerajaan PH.

“Dulu disebarkan fitnah kononnya Dr Mujahid sebagai Menteri Agama ingin menjual aset TH kepada bukan Islam,” katanya menerusi saluran YouTube, Jeming Hassan hari ini.

Sehubungan itu, beliau melabelkan Dasuki yang terkenal dengan kuliah berkaitan cerita tentang azab kubur tersebut sebagai jahat.

“Ramai telah dikelirukan sebelum ini. Ramai yang telah percaya satu dakyah yang memang sangat jahat dikeluarkan seorang ustaz yang saya kira tidak layak dipanggil ustaz.

“Cukuplah saya panggil dia sebagai Dasuki Rani. Dasuki ini memang jahat. Dasuki adalah kaki fitnah dan siapa kenal dia ketika Ramadan lalu beliau buat solat tahajjud live di Facebook sambil meminta derma. Itulah Dasuki.

“Hari ini Allah telah buktikan kepada kita semua Dasuki memang jahat. Kenapa saya kata dia jahat?

“Kalau kita lihat dalam video sebelum ini di dalam masjid, beliau telah menabur fitnah kepada PH kononnya TH dimiliki oleh bukan Islam, hotel-hotel dan aset-aset TH hendak dilelong kepada bukan Islam

“Itu yang telah dinyatakan oleh Dasuki Rani di dalam masjid. Dasuki Rani menaburkan fitnah ini di dalam masjid,” tegas Hazmi.

Tidak insaf

Beliau juga berpendapat Dasuki yang merupakan anak saudara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat tersebut tidak insaf dengan fitnah yang ditaburkan sebelum ini.

“Oleh itu, saya berani menyatakan bahawa Dasuki adalah seorang yang jahat. Hari ini dia tidak insaf bahkan tidak mengambil peluang untuk memohon maaf kepada Dr Mujahid dan rakyat Malaysia selepas mengeluarkan satu fakta yang salah,” tambahnya lagi.

Dasuki dalam dalam satu sedutan kuliahnya di sebuah masjid menuduh aset-aset TH ketika pentadbiran kerajaan PH telah dijual kepada orang bukan Islam.

“Kenapa nak dijual kepada orang bukan Islam? Harta Tabung Haji, harta orang milik Islam. Dijual begitu. Rugi sangatkah Tabung Haji sampai peringkat nak dijual hotel-hotel yang telah dibina di kawasan strategik itu?

“Boleh dijual semata-mata kerana nak mengaut keuntungan. Dosa kamu jual ini kamu tanggung sampai akhirat nanti,” tegas Dasuki.

Penahanan Setpol Presiden AMANAH nampak macam ada udang di sebalik batu

MALAYSIA DATELINE

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berpendapat penahanan Setiausaha Politik Presiden AMANAH, Mohamad Sabu seperti sengaja mahu mewujudkan persepsi PH juga terlibat rasuah seperti pemimpin BN dan PN.

Menurutnya, perintah reman selama enam hari terhadap Mohd Azhar Che Mat Dali mulai 8 Julai lalu juga menghairankan pihak peguam memandangkan lelaki berusia 49 tahun itu yang membuat laporan berhubung kes rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya berhubung dengan peguam Azhar. Peguam itu beritahu kes ini pelik kerana kes rasuah ini Azhar adalah tukang lapor. Tiba-tiba dia pula kena tahan.

“Bila dibawa ke mahkamah bila hakim tanya mengapa hendak direman Azhar maka disebut dia sebagai pegawai kerajaan dia boleh mempengaruhi hasil siasatan.

“Tapi peguam Azhar beritahu dia bukan lagi pegawai kerajaan sejak kerajaan jatuh dan ditukar kepada kerajaan PN.

“Inilah perkara yang timbul pergi ke pejabat AMANAH yang tidak kena-mengena. Nampak seolah-olah ada udang di sebalik batu nak timbulkan persepsi ya BN, PN tenggelam kerana rasuah tetapi PH pun begitu juga.

“Itulah jahatnya perancangan mereka,” kata Khalid dalam slot Bicara YB Khalid Abdul Samad (Siri 64) yang disiar menerusi Jom Channel FB Live.

Terdahulu, Azhar direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan yang dianggarkan bernilai lebih RM56 juta bagi projek rundingan terus di Kementerian Pertahanan.

Tantawi dilantik YDP Yadim selepas Nik Omar dipecat

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi hari ini dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu menggantikan penyandang jawatan lama, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Pelantikan tersebut diumumkan menerusi laman Facebook rasmi Yadim Malaysia yang mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau.

“Warga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Ustaz Haji Nasrudin Hassan sebagai Yang Dipertua YADIM yang baharu,” tulisnya.

Semalam, Malaysia Dateline melaporkan Nik Omar telah pun ditamatkan kontraknya sebagai Yang Dipertua Yadim berkuat kuasa 15 Julai.

Satu tangkap layar emel Yang Dipertua Yadim itu kepada kakitangannya juga dimuatnaik oleh Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hisyamudin Ghazali.

Menerusi emel tersebut, Nik Omar memaklumkan semalam adalah hari terakhir beliau di Yadim.

Difahamkan, kontrak Nik Omar bersama Yadim sepatutnya berakhir pada Disember tahun ini namun ditamatkan lebih awal.

Negeri lain wajar contohi Selangor yang melaksanakan pengharaman aktiviti merokok dan minum minuman keras di kawasan awam

SITI NUR ZAWANI MISCON

Tindakan kerajaan Negeri Selangor yang melaksanakan pengharaman aktiviti merokok dan minum minuman keras di kawasan awam adalah keputusan yang wajar dan tepat pada masanya.

Adun Meru Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, pengharaman aktiviti itu yang disenaraikan sebagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor, wajar dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain.

Lebih-lebih lagi katanya, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang meminum arak dan merokok di taman-taman permainan serta taman-taman rekreasi.

“Pengumuman ini memperlihatkan kerajaan Selangor terkehadapan dalam menangani masalah sosial terutama membabitkan kesihatan awam.

“Ia sebagai tanda kerajaan ini prihatin, mesra rakyat, dan serius memastikan kelestarian hidup rakyat Selangor.

“Saya sendiri pernah membangkitkan isu ini ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 11 November 2019, dan hasilnya tindakan telah diambil pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pengumuman Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han membuktikan kerajaan Selangor tidak bertoleransi dengan kemungkaran yang mengundang mudarat kepada masyarakat.

Katanya, ia sekaligus menolak tohmahan yang menuduh negeri-negeri kerajaan Pakatan Harapan tidak bersedia dengan pengharaman arak.

“Apa yang diharapkan, negeri-negeri lain mengikut jejak kerajaan Selangor.

“Langkah ini sebagai pendidikan berpanjangan kepada masyarakat dan mesej kepada para perokok dan peminum arak, bahawa tiada manfaat daripada minuman alkohol itu serta rokok terhadap diri mereka, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Nik Omar ditamatkan kontrak sebagai YDP Yadim

MALAYSIA DATELINE

Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz dilaporkan telah ditamatkan kontraknya sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkuat kuasa hari ini.

Kontrak beliau bersama Yadim sepatutnya tamat pada Disember 2020 bagaimanapun hari ini beliau memaklumkan hari terakhirnya di Yadim.

“Waktu PH memerintah tahun 2018, jawatan YDP Yadim (yang dilantik zaman BN) tidak dipecat hingga tamatnya kontrak.

“Khabarnya juga hari ini Menteri Agama panggil Utz Nik Omar, dimaklumkan hari ini hari terakhir sebagai Pengerusi Yadim dan esok akan dilantik Pengerusi Yadim baru, khabarnya Ustaz Din Towi. Ad hoc!

“Kerajaan PN ni agak rakus, tapi kerakusan kamu yang majoriti 2 Ahli Parlimen sahaja itu boleh bertahan selama mana? 113 (PN) vs 109 (PH+)

“Moga rakyat dapat menilai secara rasional perbandingan PH dan PN, dalam isu perlantikan Pengerusi YADIM,” tulis Syam Ghaz atau Hisyamudin Ghazali di Facebooknya malam ini.

Syam Ghaz yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional turut berkongsi ‘print screen’ surat Nik Omar kepada kakitangan Yadim.

Nik Omar memaklumkan hari ini adalah hari terakhir beliau di Yadim kepada kakitanganya melalui emel.

Anak Najib Razak sebahagian pengkhianat negara - Mahfuz

ARIF ATAN

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan anak lelaki kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin sebagai pengkhianat negara kerana tidak membayar cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.

Menurutnya, Najib pernah menggelarkan sesiapa yang tidak menjelaskan cukai pendapatan sebagai pengkhianat negara.

“Ini satu hal yang malang kerana Najib sendiri pernah menyebut orang yang mengelak daripada membayar cukai adalah pengkhianat kepada negara.

“Sekarang jelas sebahagian kepada pengkhianat negara adalah anak kepada bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya dalam reaksi video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.

Pada 6 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin perlu membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, terdapat lagi kes anak Najib yang dalam proses mahkamah berkaitan cubaan melarikan cukai kepada kerajaan.

“Kita telah kehilangan berpuluh juta mungkin berbilion ringgit akibat pengkhianatan anak anak penguasa dan pemimpin Umno sebelum ini yang tidak membayar cukai,” tegasnya.

Untuk rekod, seorang lagi anak Najib, Nooryana Najwa bakal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Julai depan berhubung kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Menghairankan

Dalam masa sama, Mahfuz turut mempersoal kelewatan tindakan LHDN sebelum ini untuk menuntut anak Najib membayar tunggakan cukai pendapatan.

“Kegagalan LHDN mengambil tindakan yang lebih awal terhadap anak Najib satu yang sangat menghairankan kita.

“Mengapa LHDN gagal untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap anak Najib sedangkan LHDN tidak perlu tunggu sehingga berubahnya kerajaan.

“Adakah kerana pengaruh ayahnya Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap LHDN sehingga menyebabkan LHDN tidak berani mengambil tindakan terhadap Najib?” tempelaknya lagi.

Muhyiddin tawar saya sertai PN, kata Shafie Apdal

Hariz Mohd

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pernah menawarkan Shafie Apdal untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional sebagai timbalannya.

Presiden Warisan menyatakan perkara ini semasa wawancara bersama media hari ini.

"Haha. Cuba anda tanya kepada beliau," katanya dengan nada bergurau ketika ditanya apakah presiden Bersatu, yang menjadi perdana menteri pada bulan Mac, telah menawarkan Shafie jawatan timbalan perdana menteri.

Ini selepas Shafie mendedahkan Muhyiddin berhubung dengannya untuk mendapatkan sokongan Warisan supaya dapat memperkuat PN.

"Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu," tambah Shafie.

Menurut ketua menteri Sabah, Muhyiddin telah menghubunginya kira-kira dua minggu setelah PN berkuasa, mencadangkan pertemuan antara mereka.

"Ketika itu beliau sudah memegang jawatan tersebut (PM), beberapa minggu saya fikir, beliau menghantar SMS kepada saya. Beliau mengatakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk kami bercakap," katanya.

"Itu beberapa waktu yang lalu. Ini melalui pesanan teks," jelasnya

Walau bagaimanapun, Shafie berkata beliau lebih berminat untuk membincangkan isu antara kerajaan dengan kerajaan, antara Sabah dan persekutuan, daripada bercakap soal bergabung dengan PN.

Sedia untuk PRU15

Dalam perkara berkaitan, Shafie berkata pembangkang perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum.

Beliau percaya masanya mungkin tidak lama lagi, terutama dengan ketidaktentuan politik semasa.

Mengambil contoh, perkara yang berlaku di parlimen pada hari Isnin, di mana Muhyiddin hanya mendapat 111 undian menyokong usulnya menukar speaker Dewan Rakyat berbanding 109 yang menentang, Shafie berkata perdana menteri mungkin akan membubarkan parlimen.

"Kita harus menyedarinya, daripada keputusan semalam juga, dan tekanan yang datang (terhadap Muhyiddin), apa sahaja boleh berlaku.

"Kamu dapat membayangkan 109 undi (menentangnya) di parlimen, dan pembentangan belanjawan untuk tahun depan akan dibuat dalam masa beberapa bulan ...

"Maksud saya, jika kamu tidak mendapat majoriti, ini akan menjadi kedudukan yang sangat janggal bagi parti yang memerintah. Bahkan sekarang orang boleh menyoal mereka, bahawa mereka bahkan tidak memiliki majoriti mudah.

"Sewajarnya ... berdasarkan prinsip, biasanya orang hanya berkata 'baiklah kami bubarkan kerana kami tidak mempunyai majoriti'," katanya.

Shafie juga menyokong idea mengadakan pilihan raya umum untuk menyelesaikan kekurangan majoriti yang jelas daripada mana-mana pihak di Dewan Rakyat.

Beliau berkata sebuah parlimen yang tergantung (tanpa majoriti mana-mana parti) menjadikan negara itu dalam keadaan tidak menentu sama ada "tidak di sini atau di sana", ketika negara amat memerlukan kejelasan untuk menyatukan rakyat dan memulihkan ekonominya.

Ia juga tidak baik bagi pembangkang untuk membentuk kerajaan dengan majoriti satu angka, tambahnya, berkata itu akan menjadikan mereka mangsa tebusan.

"Saya percaya bahawa rakyat juga sudah muak dengan ahli politik sekarang.

"Sekiranya kamu bertanya kepada saya, mari kita adakan pilihan raya. Bagi saya, saya tidak mahu perkara ini dipersalahkan kepada kami."

Isu Tabung Haji: FITNAH SUDAH TERJAWAB, ADAKAH MEREKA AKAN BERTAUBAT?

Shahbudin Husin
Dahulu inilah antara fitnah yang dijaja untuk memburuk-burukkan PH di mata rakyat.

Memandangkan mereka parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam kononnya, ke sana sini pula berkopiah putih macam lebai, ramai umat Islam terpedaya dengan kata-kata mereka.

Walaupun ketika itu banyak penjelasan telah dibuat, tetapi ia seperti tidak dihiraukan.

Fitnah dan penipuan yang diulang-ulang dianggap seolah-olah kebenaran.

Kini, dengan kuasa Tuhan, mereka telah menjadi kerajaan, walaupun dengan cara tebuk atap dan pintu belakang.

Akhirnya, mereka sendiri menjawab bahawa fitnah tersebut adalah tidak betul sama sekali.

Sudahkah lebai minta maaf dan bertaubat? (Shahbudindotcom 14/07/2020)

Mengapa Umno, Pas abai proses siasatan bekas Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji?

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dilihat lantang di Parlimen adalah antara orang yang bertanggungjawab atas kegagalan Tabung Haji (TH) sebelum ini, kata Ketua Pemuda AMANAH Tenggara, Ridhuan Esa.

Menurutnya, terdapat tiga laporan polis terhadap Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu sebagai pengerusi TH dan juga ahli lembaga pengarah lain.

Walau bagaimanapun, Ridhuan berkata, Pas dilihat menghalakan laras serangannya kepada pihak yang memulihkan.

“Tidak kepada pihak yang bertanggungjawab meletakkan harta orang Islam dalam keadaan yang tidak berdaya saing dan pengurusan yang korup.

“Mengapa Umno, Pas, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahmad Dusuki Abd Rani tidak menekankan proses siasatan laporan polis oleh Tabung Haji kepada mantan Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan pengurusan TH sedia ada agar langkah baikpulih yang dirancang dapat diteruskan dan mencapai objektifnya.

Mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam, Ridhuan mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan pengurusan TH yang berkhidmat dengan cemerlang dan berintergriti.

“Takziah kepada Asyraf Wajdi Dusuki dan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani serta pengadu domba yang mengecam langkah memulihkan Tabung Haji dengan melempar fitnah serta tuduhan sehingga meletakkan hukum hakam agama yang melampau.

“Kerajaan Pakatan Harapan dan pengurusan Tabung Haji dituduh menjual aset orang Islam, menyerahkan harta orang Islam kepada orang kafir (DAP) dan tohmahan fitnah yamg sengaja dibuat untuk menakutkan orang Melayu dan Islam.

“Jawapan Perdana Menteri pada sesi Dewan Rakyat semalam menjawab tohmahan yang dilemparkan oleh Umno, Pas dan pengadu domba,” tambahnya lagi.

Pelbagai jawatan dah diagih hanya dapat 111 undi, bubar ajelah Parlimen

JUMLAH UNDI HANYA 111 BUKTI KERAJAAN SANGAT RAPUH, MUHYIDDIN BOLEH JATUH BILA2 MASA
Shahbudin Husin

Berdasarkan undian 111-109 antara kerajaan dengan blok pembangkang dalam usul membuang Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md. Yusoff, adalah jelas kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sangat rapuh dan tidak stabil.

Angka 111 itu tidak pun melebihi 112, angka majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Daripada jumlah 222 Ahli Parlimen yang ada, 111 bermakna kedudukan adalah di tengah-tengah atau tergantung.

Lebih buruk, angka 111 itu diperolehi melalui lantikan yang besar untuk jawatan menteri, timbalan menteri, duta bertaraf menteri dan pengerusi GLC di kalangan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional atau PN.

Oleh kerana usul membuang Speaker itu dibawa sendiri oleh Muhyiddin, bermakna jumlah undi 111 yang diterima itu adalah cerminan langsung sokongan terhadapnya.

Bayangkan apa jadi jika tiada habuan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan serta GLC yang dilonggokkan oleh Muhyiddin kepada Ahli-Ahli Parlimen?

Jumlah undi yang diperolehi Muhyiddin ini juga memperlihatkan tempoh hampir 5 bulan beliau memegang jawatan Perdana Menteri sejak 1 Mac lalu langsung tidak menunjukkan peningkatan sokongan yang diperolehinya.

Dengan rapuhnya sokongan yang dimilikinya sekarang, Muhyiddin sentiasa berada dalam bahaya serta boleh jatuh bila-bila masa.

Jika naik usul undi tidak percaya terhadapnya selepas ini, pastilah sukar beliau untuk membendung arus penolakan terhadapnya.

Begitu juga dalam undian berkaitan kelulusan rang undang-undang dan Belanjawan 2021 di Parlimen nanti, Muhyiddin tentunya juga akan berhadapan keadaan yang mencemaskan.

Gagal mendapatkan kelulusan dalam rang undang-undang atau Belanjawan ditolak adalah sama dengan penolakan terhadap kerajaan.

Kedua-dua keadaan itu terdedah kepada perlunya diadakan pilihanraya semua.

Secara mudahnya, sokongan 111 yang dimiliki itu adalah tidak selamat bagi Muhyiddin untuk terus bertahan serta tidak baik bagi sebuah kerajaan yang dipimpinnya.

Sesebuah kerajaan perlu sokongan yang lebih kuat dan stabil untuk memudahkannya bergerak dan merancang sesuatu yang difikirkan baik untuk rakyat serta negara melalui Parlimen.

Tanpa mampu berbuat apa-apa atau seringkali usulnya ditolak akan memperlihatkan sebuah kerajaan yang gagal.

Untuk itu, dengan terbukti hanya 111 sokongan yang dimilikinya, Muhyiddin tidak harus memangsakan rakyat dengan terus meletakkan dirinya sebagai ketua kerajaan dan PN sebagai kerajaan.

Pilihan yang terbaik dan bermoral baginya ialah segera membubarkan Parlimen agar pilihanraya semula dapat dapat diadakan.

Biarlah rakyat membuat pilihan yang wajar siapa yang mereka mahukan sebagai kerajaan untuk mentadbir negara ini.

Tidak perlu beliau menunggu sehingga usul undi tidak percaya dibentangkan, rang undang-undang tidak lulus dan Belanjawan 2021 ditolak baru hendak membubarkan Parlimen.

Lagi pula, PN ini bukanlah kerajaan yang pernah diberi mandat secara sah oleh rakyat – ia tidak lebih sekadar campuran antara pengkhianat dan penebuk atap yang sanggup bersekongkol untuk memenuhi nafsu tak bertepi masing-masing saja. (Shahbudindotcom 13/07/2020).

Bukti PAS hanya menunggang agama

Dulu Pas gelar Art Harun liberal, sekarang?
MALAYSIA DATELINE

Sikap Pas hari ini terhadap pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah dipersoalkan selepas pernah menggelar bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sebagai liberal.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar berpendapat antara hikmah daripada penguguran Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof adalah mengambarkan sikap sebenar Pas.

“Asal bersama mereka liberal pun tidak mengapa,” ujarnya dipetik dari Facebook hari ini.

Azhar juga dikenali sebagai Art Harun merupakan peguam hak asasi manusia sudah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi SPR, 29 Jun lalu.

Sehubungan itu, Ustaz Ridzwan menyifatkan Pas tidak memperjuangkan Islam sebaliknya hanya menunggang agama.

“Nampak tak? Pas tak berjuang Islam pun, Pas hanya tunggang agama (macam kata Muhyiddin Yasin).

“Art Harun yang bakal diundi oleh Pas (dan sudah pastinya akan disoalkan di akhirat seperti yang sering diceramahkan) adalah seorang yang dikatakan ‘liberal’ oleh Pas.

“Ertinya apa? Liberal sudah ok atau Pas sudah gelong?” bidasnya sambil menyertakan gambar yang ‘pernah’ disebarkan oleh Pas sebelum ini.

“Bersama Art Harun adalah Siti Kasim yang pernah diisytiharkan oleh bekas calon Pas sebagai musuh Allah,” tambah Ustaz Ridzwan lagi.

Tak terkawal, Speaker baru arah MP pembangkang keluar

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sidang Parlimen sesi petang kali ini berlangsung dalam keadaan agak tidak terkawal dan kecoh sebaik sahaja Datuk Azhar Azizan Harun duduk di kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat

Ia selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan bekas Pengerusi SPR itu dipilih menjadi Speaker Dewan yang baharu.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah memastikan Azhar bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Azhar kemudian mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Bagaimanapun pelantikan itu mendapat tentangan hebat dari wakil rakyat pembangkang yang mempersoalkan pelantikan Azhar.

Ketika itu juga, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad diarah keluar selepas didakwa mengganggu perjalanan dewan.

“Shah Alam, sila keluar…sila keluar dewan sehingga habis sidang hari ini,” kata Speaker Azhar Azizan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Mohd Said diumumkan dilantik sebagai timbalan Yang Dipertua.

111 undi tukar speaker, 109 tolak usul

Perikatan Nasional (PN) berjaya menggugurkan speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Seramai Seramai 111 daripada 222 anggota parlimen mengundi menerima usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin manakala 109 anggota parlimen menolaknya.

Timbalan speaker Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat tidak mengundi kerana mempengerusikan sidang itu.

Ariff and Nga akan digantikan oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dan bekas menteri Umno Azalina Othman Said (PN – Pengerang).

Pemerhati melihat usul ini sebagai tanda kejayaan Muhyiddin menunjukkan sokongan diterimanya.

Dalam sidang sebelum ini, beliau mempunyai majoriti tipis 113 anggota parlimen.

Ulama Pas alami paling kurang lapan jenis ‘kesakitan’, akui parti tidak banyak membantu

MALAYSIA DATELINE
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mokhtar Senik mendedahkan beliau banyak merasai kesakitan sepanjang hampir 40 tahun berada dalam parti itu.

Menurutnya, Pas juga tidak membantu beliau ketika ditahan selama tiga tahun setengah.

“Saya mula terlibat dengan usrah Pas sejak awal 80-an. Tidak sedikit kesakitan yang dirasai. Diusir, dihalau, difitnah, disingkir, dicantas, diinjak, disisih, disalah tanggap oleh teman-teman sejemaah dan macam-macam lagi.

“Sewaktu saya dalam tahanan selama 3 tahun setengah, tidak banyak bantuan yang Pas berikan kepada keluarga saya.

“Sehingga adakalanya anak-anak saya terpaksa mengutip siput-siput di pantai untuk lauk sekeluarga,” katanya dalam catatan malam ini dari Jakarta, Indonesia.

Malah, pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu memberitahu Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) lebih banyak membantu keluarganya sepanjang dia ditahan.

“Bahkan JIM lebih ke depan membantu isteri dan anak-anak saya. Namun, saya tak pernah salahkan Pas,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Mokhtar berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menyalahkan Pas apatah lagi keluar dari Pas dan masuk JIM apabila dibebaskan dari tahanan.

“Yang buat kat saya begitu ialah orang Pas bukannya Pas. Orang Pas juga manusia, yang punya kelemahan dan kekhilafan.

“Saya bukan tak pernah menangis. Namun, tak pernah sekelumit pun saya terfikir untuk berdendam dengan Pas. Bahkan demi kebaikan Pas, saya sokong teman-teman tadi untuk naik membantu Pas.

“Sebab saya kenal Pas sebuah parti yang juga tidak punya apa-apa selain semangat dan keikhlasan ahli-ahlinya.

“Kembali dari tahanan saya tak masuk JIM. Bahkan saya tetap Pas dan bersama dengan Pas,” kata Mokhtar lagi.

'Parlimen terpaksa bubar jika usul Muhyiddin tukar speaker, timb speaker gagal'

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata sekiranya usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat esok gagal, parlimen terpaksa dibubarkan.

Asyraf berkata demikian merujuk kepada empat usul Muhyiddin di Dewan Rakyat esok, iaitu untuk menyingkirkan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker, kemudian menggantinya dengan Azhar Azizan Harun, usul menyingkirkan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker dan kemudian menggantikannya dengan Ahli Parlimen Pegerang, Azalina Othman.

"Jika gagal, bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tidak lagi memiliki legitimasi dan majoriti untuk meneruskan hayat pentadbiran yang ada.

"Maka kerajaan tiada pilihan lain melainkan mengadap Yang DiPertuan Agong untuk membubarkan parimen," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Namun, Asyraf berkata, dia berharap agar pemerintahan PN dapat dipertahankan demi kepentingan rakyat.

Menurut persidangan Dewan Rakyat sebelumnya, Muhyiddin mendapat sokongan 113 daripada 222 anggota Dewan Rakyat.

Sejak itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh telah keluar dari kerajaan dan kemungkinan akan berpihak kepada pembangkang.

Namun, Ahli Parlimen Lubuk Antu, Jugah Muyang, yang keluar dari PKR untuk menjadi bebas yang mesra PN.

PN terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS, STAR dan kumpulan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Pakatan Harapan mempunyai 91 Ahli Parlimen sementara blok ketiga yang terdiri daripada kumpulan Dr Mahathir Mohamad, Warisan dan PSB mempunyai 18 Ahli Parlimen.

Kedua-dua blok menentang untuk menukar speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Usul itu dilihat sebagai pengukur sokongan terhadap Muhyiddin.

Sejumlah usul dari kerajaan dan pembangkang telah dikemukakan ke Dewan Rakyat untuk menentukan apakah Muhyiddin masih mendapat sokongan majoriti.

Usul-usul itu bagaimanapun dijangka tidak akan dibentangkan memandangkan ia berada di bahagian bawah senarai Aturan Mesyuarat.

Perasaan marah terhadap PPBM meluas dalam Umno, kata penganalisis

Robin Augustin
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berkata, respons keras Umno berhubung kenyataan menteri PPBM mengenai parti itu menggambarkan perasaan marah yang mendalam dalam kalangan akar umbi Umno terhadap parti pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Walaupun ahli Parlimen Mersing itu meminta maaf atas kenyataan beliau bahawa Umno tidak lagi popular di Sabah, namun kata Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, realitinya akar umbi Umno berasa kecewa atas tindakan PPBM, yang merupakan parti serpihan Umno, ke atas mereka dalam pilihan raya umum ke-14.

“Bekas ahli Umno itu memburukkan parti lama mereka dan melabelkannya sebagai korup. Justeru sukar bagi akar umbi Umno untuk menerima PPBM sama seperti sukarnya akar umbi PAS untuk menerima Amanah.

“Pemimpin Umno boleh bercakap apa-apa sahaja, tetapi ia berbeza di peringkat akar umbi. Bagi saya, itulah sebabnya kenapa ahli Majlis Tertinggi Umno Annuar Musa turut mengubah nada beliau,” kata Awang Azman.

Beliau merujuk kepada kenyataan terbaru Annuar bahawa Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan semua kerusi tradisinya sama ada mereka “memenanginya pada pilihan raya umum ke-14 atau pilihan raya sebelum itu”.

Kenyataan Annuar sebelum itu bahawa Umno akan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang dikritik oleh beberapa pemimpin Umno.

“Kenyataan terbaru pemimpin Umno bahawa ia akan mempertahankan kerusinya menggambarkan sentimen akar umbi. Umno perlu mendengar suara itu kerana merekalah yang akan menentukan sama ada ia kembali menjadi parti yang dominan,” katanya.

Katanya, pada pilihan raya umum ke-14, akar umbi Umno melakukan protes terhadap elit mereka, tetapi masih setia pada parti itu dan kebangkitan semula itu terbukti pada siri kemenangannya dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

Azman berkata, terdapat juga cakap-cakap dalam kalangan ahli parti itu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak harus ditonjolkan semula sebagai pemimpin Umno dan BN.

“Sekiranya Najib dilepaskan daripada pertuduhan di mahkamah, beliau hampir pasti akan kembali memimpin Umno,” katanya selain menambah bahawa bekas perdana menteri itu mempunyai sokongan dan jentera yang lebih kuat berbanding Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, ketua penerangan Pemuda Umno Kuala Lumpur Wan Agyl Wan Hassan memberitahu FMT berhubung kebimbangan di lapangan bahawa pandangan akar umbi parti itu tidak mendapat pertimbangan yang sepatutnya, dengan merujuk kepada perwakilan Umno dalam Kabinet sebagai contoh.

“Presiden diberikan mandat mewakili Umno, tetapi banyak pihak yang tidak gembira dengan hasilnya,” kata beliau.

“Atas keperluan untuk terus melangkah, terutama susulan krisis Covid-19, ia diketepikan. Tetapi ramai yang percaya bahawa Umno harus memainkan peranan lebih besar, terutama berhubung politik Perikatan Nasional (PN).”

Menurut Wan Agyl, ini kerana Umno menguasai sebahagian besar kerusi dan mendapat sokongan akar umbi.

“Isunya bukan tentang siapakah perdana menteri. Pujian harus diberikan di mana sepatutnya. Pencapaian Muhyiddin baik, tetapi Umno harus mengepalai agenda politik, bukan PPBM.”

Beliau berkata, wujud kebimbangan bahawa Umno memperoleh bahagian yang “tidak memberangsangkan” dalam PN dan ini boleh berlaku sekiranya ia terus bersamanya pada pilihan raya umum ke-15.

“Terdapat cakap-cakap dalam kalangan pimpinan bahawa Najib sepatutnya dilantik sebagai presiden Umno dan pengerusi BN agar kita tidak mendapat bahagian yang kurang baik dalam menghadapi pilihan raya umum depan,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Fuad Zarkashi berkata, akar umbi Umno tidak mudah dipengaruhi dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad serta PPBM gagal sama sekali untuk mempengaruhi bahagian Umno supaya beralih kepada parti itu.

“Oleh sebab itu anda boleh kira sendiri jumlah bahagian PPBM walaupun mereka mempunyai kuasa selama 2 tahun ini,” katanya, selain menambah bahawa akar umbi Umno mahu ia menjadi parti dominan semula.

Apa terjadi jika Muhyiddin gagal singkir Ariff?

Wong Chin Huat

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan membawa usul untuk menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof. Tindakan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen ini dikecam kuat oleh masyarakat sivil dan pihak pembangkang.

Muhyiddin dijangka akan berjaya tetapi apa yang akan terjadi jika berlakunya keajaiban - usul itu dikalahkan dengan tipis?

Adakah kegagalan menukar YDP akan memendekkan hayat pentadbiran Muhyiddin atau memaksa beliau membubarkan Parlimen? Adakah ia akan membawa bala kepada beliau sepertimana usaha Dr Mahathir Mohamad untuk mengelakkan transisi kepada Anwar Ibrahim berakhir dengan kejatuhannya sendiri sebagai perdana menteri?


Kalah tak bermakna hilang keyakinan

Pada masa lalu, sememangnya apabila usul atau rang undang-undang kerajaan ditolak oleh Parlimen, ia dianggap seolah-olah kerajaan sudah hilang keyakinan Parlimen. Sama seperti apabila belanjawan ditolak, kekalahan dalam perundangan bermakna perdana menteri perlu letak jawatan atau memohon perkenan untuk pilihan raya baru.

Sejarah merekodkan bahawa peletakan jawatan perdana menteri yang pertama di Britain berlaku pada tahun 1742. Setahun sebelum itu, pembangkang membawa usul tidak percaya yang julung kali dalam sejarah terhadap perdana menteri Britain yang pertama, Robert Walpole tetapi beliau berjaya mempertahankan kedudukannya.

Apabila usul kerajaan untuk mensahihkan satu pilihan raya kecil ditewaskan, Walpole menerima kekalahan itu sebagai kehilangan kepercayaan oleh Dewan dan mengundur diri.

Pada tahun 1944, di tengah-tengah Perang Dunia Kedua, Winston Churchill memberitahu Parlimen bahawa dia akan letak jawatan kalau posisi kerajaan terhadap satu pindaan rang undang-undang tidak disokong kerana ia samalah seperti usul percaya kepadanya. DanChurchill menang pertaruhan tersebut.

Oleh kerana politik menjadi semakin kompleks, berpecah-pecah (fragmented), dan ahli parlimen bangku belakang (backbenchers, yakni ahli parlimen daripada parti pemerintah tetapi tidak semestinya menyokong setiap usul kerajaan) makin berani untuk mengingkari arahan parti, ia tidak masuk akal bagi sesebuah kerajaan zaman sekarang untuk mengundur diri setiap kali mereka kalah suatu undian.

Mengambil contoh dari Britain sekali lagi: Theresa May tidak letak jawatan sejurus selepas gagal mendapat undian majoriti di Parlimen untuk menyokong pelan Brexit yang dirunding pasukannya. Beliau hanya mengundur diri selepas kalah buat kali ke-4.

Oleh itu, jika Muhyiddin gagal menyingkirkan YDP Dewan Rakyat, beliau tidak perlu dilihat sebagai hilang kepercayaan Dewan Rakyat. Bagaimanapun, jika beliau berani membawa usul percaya terhadap dirinya dan berjaya mendapat undian majoriti, beliau akan dapat mengabsahkan kerajaannya dari segi prosedur dan membungkam pengkritiknya.

Seperti yang ditunjukkan oleh ahli parlimen PKR Hassan Karim, Muhyiddin bahkan mempunyai duluan yang ditinggalkan oleh Mahathir yang tidak letak jawatan apabila rang undang-undang untuk pindaan perlembagaan kerajaannya ditewaskan pada April 2019, juga julung kali di sejarah Malaysia.

Buat apa tukar YDP Dewan Rakyat?

Sebenarnya, apa manfaat yang akan diperolehi Muhyiddin dengan menyingkirkan Ariff?

Sekiranya motivasi Muhyiddin adalah untuk membalas dendam kerana keputusan YDP untuk menerima usul tidak percaya yang dibawa Mahathir terhadapnya (dalam aturan mesyuarat asal sesi parlimen pada 18 Mei), mungkin ia tindakan yang masuk akal.

Akan tetapi, jika pertukaran YDP didorong oleh perhitungan politik agar Muhyiddin tetap berkuasa, saya khuatir perdana menteri mungkin tidak diberi nasihat yang tepat.

Pembangkang mempunyai dua cara untuk menjatuhkan kerajaan. Undi tidak percaya secara formal dapat dielakkan jika kedudukannya terlalu belakang dalam aturan Dewan sehingga tiada peluang untuk berlaku. Usul tidak percaya atas Muhyiddin oleh Mahathir kini menjadi perkara ke-27 dalam aturan mesyuarat, jauh ke bawah. Seseorang YDP yang bersikap kepartian dan berat sebelah berguna untuk memastikan usul itu tidak dicepatkan.

Cara kedua adalah dengan tidak meluluskan Belanjawan (“rang undang-undang perbekalan”). Ini tidak dapat dielakkan oleh mana-mana YDP, sekalipun jika sikap kepartiannya setinggi awan.

Analoginya begini: Setiap tahun ketika Belanjawan dibentangkan, kepala kerajaan berada di atas papan pemotong Parlimen. Apabila Belanjawan diluluskan, kapak Parlimen tetap di udara dan kepala kerajaan selamat melepasinya tanpa dipancung.

Tidak ada YDP di dunia ini yang dapat menghentikan kapak Parlimen jatuh ke bawah apabila Belanjawan diusulkan. Apa yang membuatkan kapak itu tetap berada di udara (dan tidak jatuh dan memancung kepala kerajaan) adalah majoriti yang dipegang oleh kerajaan.

Oleh itu, jika Muhyiddin tiada majoriti, pemerintahannya akan berakhir selewat-lewatnya pada awal Disember apabila Belanjawan mesti diusulkan untuk undian. Jika pembangkang mempunyai majoriti, mereka boleh memalukan pihak kerajaan dengan menolak setiap usul dalam proses tujuh minggu selepas Hari Belanjawan (6 Nov).

Dari segi strategi, pengagihan jawatan-jawatan kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi memastikan kesetiaan anggota Parlimen kerajaan adalah satu langkah rasional dalam "scheme of things", tetapi bukan penukaran YDP.

Sebenarnya kalau Muhyiddin memiliki majoriti yang boleh menukar Speaker, lebih baik beliau menggunakannya untuk mengalahkan usul tidak percaya pembangkang. Ia sekaligus mematahkan semangat pembangkang dan memberikan kerajaannya keabsahan dari segi prosedur.

Manfaat kecil untuk kerajaan, rugi besar buat demokrasi?

Mungkin ada pembaca yang bertanya sekarang, “sekiranya penyingkiran YDP hanya membawa manfaat kecil kepada kerajaan, bagaimana ia pada masa sama boleh menjadi satu kerugian besar bagi demokrasi kita sehingga masyarakat sivil dan pembangkang membantahnya dengan lantang?”

Jawapannya: Ya, kerana fungsi Parlimen jauh lebih besar daripada sekadar sebuah badan pemilih (electoral college) yang menentukan perdana menteri.

Selain mengekalkan atau menarik balik kepercayaan kepada kerajaan dan meluluskan belanjawan, Parlimen yang kita bayar RM145 juta pada tahun 2019 (di mana RM44 juta digunakan hanya untuk membayar elaun bulanan anggota Parlimen) juga mempunyai dua fungsi yang lain: membuat undang-undang dan memantau pentadbiran kerajaan.

Dewan Rakyat kita memerlukan seorang YDP yang tidak berat sebelah dan berwawasan untuk menyatukan ahli-ahli parlimen dari pelbagai parti dan meneruskan reformasi parlimen. Antara perubahan penting yang masih diusahakan dan dinanti-nantikan: lebih banyak jawatankuasa parlimen, slot untuk urusan bukan kerajaan , cabutan undi untuk usul rang undang-undang persendirian, pengiktirafan kabinet bayangan dan suruhanjaya perkhidmatan parlimen.

Sebenarya, mutu paling utama yang perlu ada dalam seorang YDP ialah sikap tidak memihak sehingga beliau dapat memimpin seluruh Dewan dan berupaya mengingkari kuasa Eksekutif bila perlu.

YDP Parlimen England yang paling masyhur, William Lanthell mengingkari perintah Raja Charles I yang masuk bangunan Parlimen dengan askar untuk menahan lima orang ahli parlimen yang mengkritik kerajaan (Istana pada zaman itu).

William Lanthell menjawab, “Ampun Tuanku. Patik tidak ada mata untuk melihat dan lidah untuk bersuara di sini kecuali menurut perintah Dewan yang patik bertugas sebagai hambanya.”

YDP Ariff bukan setia kepada Mahathir atau PH yang melantiknya. Beliau setia kepada, dan menjunjung, demokrasi berparlimen.

Mengapa saya berkata demikian? Apa bukti yang saya ada? Buktinya, YDP Ariff pernah “mengingkari” arahan dari dua perdana menteri. Sebelum mengingkari Muhyiddin pada bulan Mei (dengan menerima usul Mahathir), beliau pernah menolak permintaan Mahathir untuk mengadakan sesi parlimen khas pada 2 Mac. Sekiranya beliau setia kepada Mahathir, Muhyiddin mungkin bukan perdana menteri hari ini.

Tidak banyak YDP yang pernah diuji dua kali untuk mempertahankan kebebasan, autonomi dan kewibawaan Parlimen dari perdana menteri. Dalam dua ujian tersebut, Ariff bukan sekadar meninggalkan legasi dirinya, tetapi beliau juga mencipta halaman baru dalam sejarah Parlimen kita.

Apa pula alasan sekarang untuk menyingkirkan Ariff? Usul itu tidak menawarkan apa-apa penjelasan kecuali menyatakan "terdapat pencalonan lain."

Ini adalah satu penghinaan kepada Ariff, calon YDP baru Azhar Harun, dan kedudukan YDP itu sendiri. Parlimen yang kita biaya sebanyak RM145 juta setahun ini bukan bangunan gajah putih (white elephant) yang mewah tetapi tidak berguna, dan YDP pula bukanlah objek hiasan mewah yang kita boleh beli dan tukar sewenang-wenangnya.

Saya mengagumi visi, kecekapan dan integriti Azhar. Beliau boleh menjadi YDP yang hebat, mungkin tidak kurang berbanding Ariff dalam keadaan yang lain. Beliau juga pastinya seorang calon yang hebat untuk memegang kerusi YDP Dewan Negara.

Adalah tragis sekarang bahawa Azhar dijadikan untuk mengisi kasut besar yang ditinggalkan Ariff, yang mesti dipecat kerana telah lulus “ujian” sejarah dengan mengingkari dua orang perdana menteri.

Ada kemungkinan usul singkir Ariff gagal?

Sekiranya semua 222 ahli Parlimen hadir dan mematuhi arahan parti (party whip), kebarangkalian usul itu akan lulus dengan majoriti tipis (113 menyokong, 109 membantah). Akan tetapi, jumlah akhir masih mungkin berbeza bergantung pada keadaan.

Mana-mana ahli-ahli parlimen pembangkang yang tidak hadir untuk membantah usul ini boleh menimbulkan kecurigaan bahawa mereka bersekongkol dengan pihak kerajaan dan mungkin ‘melompat’ tidak lama lagi.

Sebaliknya, ahli-ahli parlimen kerajaan yang tidak hadir dengan apa alasan pun (keracunan makanan, batuk, demam atau apa-apa sebab bukan kesihatan) bukan sahaja akan membantu mengekalkan seorang YDP yang bagus, tetapi juga boleh mengingatkan Muhyiddin tentang nilai sokongan mereka. Malah, mereka yang belum mendapat tawaran jawatan syarikat milik kerajaan (GLC) mungkin akan mendapatnya sebelum Parlimen ditangguhkan pada Ogos nanti.

Sekiranya anda ingin memberitahu Ahli-ahli Parlimen untuk mengekalkan YDP Ariff, sama ada dalam kehadiran atau dengan tidak hadir pengundian, sila tandatangani petisyen ini.

WONG CHIN HUAT adalah saintis politik lepasan University of Essex dengan tumpuan terhadap institusi politik dan konflik kumpulan. Dia kini mengetuai kluster sistem pilihan raya dan persempadanan kawasan dalam Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kerajaan. Dia adalah seorang oportunis berprinsip yang sedar akan motivasi kepentingan diri manusia ke arah dunia yang lebih baik.