"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini, sertai PBM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin, dijangka keluar Bersatu pada April ini dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum PRU15, sumber memberitahu FMT.

Menurut sumber, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkongsi rancangannya itu dengan pimpinan PBM baru-baru ini.

Tindakan Zuraida keluar parti April depan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan rang undang-undang antilompat parti ketika itu.

“Antara sebab lain mengapa bulan empat (ialah) kerana Zuraida mahu keluar Bersatu sebelum akta antilompat parti diluluskan,” kata sumber itu.

Pagi tadi, FMT mengesahkan Zuraida dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dianggotai Presiden parti itu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, pimpinan Bersatu juga dilaporkan menyiasat dakwaan bahawa Zuraida dikaitkan dengan PBM.

Beberapa penyokong dan “orang kuat” Zuraida dilaporkan sudah menyertai PBM, namun parti itu menegaskan Zuraida tidak memohon menjadi ahli.

NGO Penggerak Komuniti Negara, yang pernah dikaitkan dengan Zuraida, dalam kenyataan Disember lepas mendakwa ramai ahlinya telah menyertai PBM.

Pengerusi NGO itu, Nor Hizwan Ahmad berkata, mereka memilih PBM bagi menjayakan agenda “The Great Reset 2030”.

PBM diketuai bekas Ahli Parlimen PKR, Larry Sng, selaku Presiden dan Timbalannya, Haniza Talha, yang juga bekas ahli PKR.

FMT sedang mendapatkan reaksi Zuraida.

Pas sudah hilang landasan perjuangan dilalui Ustaz Yusof Rawa, Fadzil Noor

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Pas perlu kembali ke landasan perjuangannya yang asal iaitu melawan korupsi dan salah guna kuasa. Itulah landasan yang dilalui oleh Ustaz Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Bahkan, semasa hayat Ustaz Fadzil Noor, Pas begitu gigih mendukung perjuangan itu sampai sanggup bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR). Ustaz Abdul Hadi sendiri membela DAP habis-habisan ketika itu.

Umno tahu, jika PR bertambah kukuh, kedudukan BN pasti terancam. Akhirnya, dengan senjata wang yang diadun bersama sentimen Melayu, Pas dihasut meninggalkan PR.

Umno berjaya. Sentimen agama dan bangsa melulu ditiup di sana-sini. Pas menyambutnya meskipun suatu ketika parti itu begitu gigih melawan fikrah perkauman Melayu sempit.

Kini, Pas sudah tidak punya landasan perjuangan lagi. Mahu berjuang Melayu bersama Umno, parti itulah pelingkup Melayu. Mahu berjuang Islam, di mana Islamnya jika bersekongkol dengan PPBM yang khianat.

Air mata penyatuan ummah hanya tinggal kenangan. Umno sudah tidak sudi dengan Pas. Hanya PPBM yang mahukan Pas, tapi imej parti itu juga semakin kabur dalam radar politik.

Jika Pas jujur, berpatah baliklah ke landasan yg asal. Jika Pas tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana ada DAP, itu tidak menjadi hal. Sebab, kerusi DAP dan Pas berbeza. Sampai kiamat, Pas tidak akan lawan DAP di kerusinya.

Justeru, tidak berlaku pertembungan Pas – DAP dalam pilihan raya. Pas cuma perlu berunding dengan AMANAH dan PKR sahaja dalam konteks pembahagian kerusi pilihan raya di Semenanjung.

Jika Muda, Pejuang dan parti pembangkang lain bersama PH, maka Pas perlu menerima hakikat semua parti politik itu adalah rakan dalam perjuangan melawan korupsi dan salah guna kuasa. Tolak ansur politik adalah wajib.

Situasi kini adalah situasi terbaik untuk Pas menentukan sikap politiknya. Sama ada ingin terus berlutut dan merayu-rayu kepada Umno, atau meninggalkan Umno dan kembali ke landasan perjuangan asal.

PPBM macam mana? Biarkan masa menentukan nasibnya jadi sabut atau batu. Ada pun Pas, belum terlambat untuk membetulkan balik kompas perjuangannya demi negara dan umat.

Jika Pas tak sudi, terpulang…!

Jika Umno kembali berkuasa, bukan kestabilan tetapi malapetaka!

MALAYSIA DATELINE

Penganalisis yakin jika Umno kembali berkuasa di negara ini, ia akan membawa malapetaka besar kepada negara bukannya kestabilan dan kemajuan.

Kim Quek ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Khalid Nordin yang mengajak perkongsian kuasa dengan orang bukan Melayu berkata, ia hanya ucapan manis pra-pilihan raya sahaja.

“Saya boleh memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa kembalinya kleptokrat Umno bukannya akan membawa kestabilan dan kemajuan, tetapi akan membawa malapetaka lagi kepada negara,” kata beliau.

Katanya, Umno telah sinonim dengan kleptokrasi dan perkauman, sebagaimana yang ditekankan oleh parti itu melalui doktrin ketuanan kaum iaitu Ketuanan Melayu.

Bagi beliau, Umno tidak pernah bertaubat selepas kekalahan pahitnya dalam PRU14.

Ia ditunjukkan melalui penafian berterusan mereka terhadap sebarang kesalahan dalam skandal besar negara iaitu 1MDB.

Ia juga ditunjukkan melalui pergolakan tidak henti-henti yang dibuat oleh Umno dan kuncu-kuncu mereka untuk membangkitkan ketaksuban perkauman semasa pemerintahan singkat Pakatan Harapan.

Dua pemimpin utama Umno sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak sedang berhadapan dengan kes rasuah terbesar negara terutama skandal 1MDB.

Pada pilihn raya umum ke 14 lalu, rakyat negara ini telah menolak mereka menerusi pilihan raya, namun Umno kembali berkuasa melalui permainan politik dan putar belit kuasa.

Semalam, Khaled Nordin berkata, usaha meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting bagi BN.

“Kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif,” katanya.

“Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mahiaddin: 'Saya malu dikait dengan parti angkat pesalah jenayah berat sebagai bos'

Maysiakini

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata ada hikmah partinya tidak bekerjasama dengan Umno.

Kata Muhyiddin, dia malu dikaitkan dengan parti yang mempunyai "boss" yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan jenayah berat.

"Ada hikmah Bersatu tidak bekerjasama dengan Umno. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin Umno.

"Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss," katanya dalam satu kenyataan.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang mengkritik Bersatu ketika Umno dilihat cuba mengatur langkah untuk menjadi dominan semula.

Umno pada 22 Jan lalu bertindak untuk membubarkan kerajaan BN-PN di Johor tanpa berunding dengan Bersatu atau PAS yang merupakan sebahagian daripada PN, dalam usaha jelas menggulingkan mereka daripada kerajaan negeri supaya BN boleh memerintah sendiri.

Najib, yang telah disabitkan dengan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, menjelaskan bahawa tindakan Umno itu adalah kerana Bersatu mengkhianati mereka semasa pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata Bersatu tidak pernah bertanding menentang Umno di mana-mana kerusi semasa PRN Sabah.

Sebaliknya, dia berkata sebarang konflik adalah sama ada antara BN dan PBS atau BN dan rakan PN lain.

Muhyiddin berkata semasa menjadi perdana menteri pada masa itu, dia telah cuba memastikan tidak akan berlaku sebarang pertembungan antara BN, PN dan PBS melalui pembentukan jawatankuasa rundingan.

"Saya dimaklumkan di peringkat awalnya jawatankuasa ini telah memutuskan sejumlah kerusi untuk ditandingi oleh parti-parti PN, BN dan PBS.

"Tetapi BN kemudiannya menambah jumlah kerusi yang hendak ditandingi dan ini menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat," katanya.

Muhyiddin berkata dia cuba menyelamatkan keadaan dengan berangkat ke Kota Kinabalu untuk rundingan saat akhir menjelang hari penamaan calon tetapi tidak dapat memecahkan kebuntuan.

"Pada saat itu, Bersatu adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS.

"PAS pula mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi.

"Jadi saya tidak faham dengan tuduhan Najib bahawa Bersatu mengkhianati Umno dalam PRN Sabah dengan meletakkan calon menentang Umno dan itu menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal," katanya.

MN adalah pakatan pilihan raya antara Umno dan PAS dengan usaha untuk memasukkan Bersatu kemudiannya tetapi ia runtuh apabila hubungan Umno dengan PAS dan Bersatu semakin tegang.

Muhyiddin berkata dia sudah melupakan Muafakat dan tidak perlu menyebutnya lagi.

Dia turut menyangkal tuduhan yang mengatakan Bersatu melalui PN merampas jawatan ketua menteri Sabah daripada BN yang diterajui Umno.

"Saya telah menyatakan kepada Zahid Hamidi, Presiden Umno supaya menamakan calon ketua menteri Sabah daripada Umno. Tetapi dia tidak menamakan sesiapa pun sehinggalah kempen PRN Sabah berakhir.

"Kerana itu saya telah menamakan Hajiji Mohd Nor sebagai calon ketua menteri Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) .

"Dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi. Ini menjadikan PN sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti GRS.

"Maka PN telah mencalonkan Hajiji sebagai ketua menteri Sabah dan pencalonan ini dipersetujui oleh Adun GRS termasuk Umno," kata Muhyiddin.

GRS terdiri daripada BN, PN dan PBS. BN dianggotai Umno, MCA, MIC dan PBRS manakala PN dianggotai Bersatu, PAS, Star, SAPP dan Gerakan. PBS adalah parti yang berpusat di Sabah.

"Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu Umno supaya menamakan calon. Sekiranya Umno tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan Umno.

"Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab MN gagal," katanya.

Ahli parlimen Pagoh itu juga meminta Najib beremuhasabah diri dan tidak bermain politik jelik.

"Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.

"Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya di dalam Umno, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai 'national embarrassment' oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan 'malu apa bossku'.

"Di mana letaknya keimanan? Di mana maruah?" soalnya.

Percakaran dengan Umno: Akibat langgar pesan Nik Aziz, kata bekas pemimpin Pas

BORHAN AHMAD

Percakaran antara Pas dengan Umno sekarang berlaku selepas ia pernah diberikan amaran oleh pemimpin besar Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat satu waktu dahulu bahawa ‘Orang Islam tidak patut dipatut ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali”.

Bahkan perpecahan yang berlaku di dalam Pas sehingga melahirkan AMANAH pada 2015 juga berpunca daripada penentangan sebahagian pimpinan Pas terhadap usaha pimpinan Pas ketika itu mahu bekerjasama dengan Umno.

Kini, pemimpin yang dihalau oleh pemimpin Pas berkenaan memulangkan paku buah keras terhadap pemimpin Pas apabila mereka sekarang sedang bercakaran dengan Umno.

Bagi mereka, hala tuju yang disarankan oleh Nik Aziz dahulu, tidak bekerjasama politik dengan Umno, sudah dikhianati.

“Hala tuju yang wujud semasa pimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sudah dikhianati. Siapa yang tukar hala tuju itu?

“Pemimpin yang ada sekarang termasuk anak Almarhum sendiri,” kata Dr Rosli Yaacob, bekas Pesuruhajaya Pas Negeri Sembilan yang juga bekas AJK Pas Pusat.

Menurut Dr Rosli, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz berpesan, “tiada kerajaan perpaduan dengan Umno.”

“Ini telah dikhianati. Pas sudah ada hala tuju yang lain sekarang, bertentangan dengan pesan Almarhum,” kata Dr Rosli dalam satu hantaran kepada rakan-rakan beliau.

Katanya, Nik Aziz pernah berpesan agar Pas tidak dipatut oleh ular dari lubang yang sama.

“Sudah dipatuk binatang berbisa di lubang yang sama, baru nak patah balik. Kembali kepada kutuk dan cerca umno. Lawan Umno semula,” kata beliau mengingatkan pimpinan Pas.

Dr Rosli, bekas Pengarah Urusan Harakah antara pemimpin Pas yang meninggalkan parti itu dalam pertembungan idea dengan pimpinan Pas yang ada sekarang.

Sementara itu, bekas Setiausaha Akhbar kepada Nik Aziz, Dr Fauzi Zakaria berkata, Presiden Pas sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkhianati prinsip dan halatuju perjuangan Pas selama ini.

Sekarang, katanya, Pas menerima akibat dari pengkhianatan yang dibuat itu.

“Haji Hadi lah pengkhianat terawal kepada prinsip dan hala tuju perjuangan Pas, semenjak Pas dikembalikan semula kepada konsep Kepimpinan Ulama.

“Haji Hadi yang mengambil alih teraju kepimpinan organisasi Pas daripada Almarhum Datuk Fadhil dan Mursyidul Am Pas daripada Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.

“Sekarang Haji Hadi dan geng pimpinan tertinggi parti sekarang, telah menerima akibatnya,” kata Fauzi mengulas pecakaran yang berlaku antara Pas dan Umno sekarang.

Bagi Fauzi, mereka sendiri yang membuka pintu-pintu penghinaan massa menerjah muka-muka mereka sendiri.

“Tiada yang membela melainkan para walaun tegar mereka yang telah tidak lagi mengguna-pakai nikmat aqal kurniaan Allah.

“Dulu-dulu Pas cuba di hina-hina juga oleh Dr Mahathir, namun penghinaan oleh Dr Mahathir itu di bidas berapi oleh rakyat di kedai-kedai kopi,” kata Fauzi.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan asas yang menyebabkan Pas dengan Umno bekerjasama dan kini berpisah.

“Ait, masa bersama Umno tubuh Muafakat Nasional (MN) atas semangat selamatkan Melayu Islam dari ancaman kapir DAP.

“Sekarang berpisah dan kuburkan MN atas semangat apa pula Ayoh Cik (Tan Sri Abdul Hadi Awang).

“Oh! Semangat nak kerusi lebih… he… he… dunia… dunia,” kata Mahfuz menyindir Hadi.

Abu Syafiq mahu saman balas KJ RM500 juta

FMT Reporters

Mohd Rasyiq Mohd Alwi menerusi hantaran di Instagramnya hari ini, mahu menyaman balas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sebanyak RM500 juta.

PETALING JAYA: Pendakwah bebas Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau lebih dikenali sebagai Abu Syafiq mengancam untuk memfailkan saman balas terhadap Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebanyak RM500 juta.

Rashiq berhasrat berbuat demikian susulan tindakan Khairy mengemukakan saman fitnah terhadapnya berkaitan hantaran atas talian berhubung program vaksinasi kerajaan.

“Saya akan saman balas RM500 juta. Saman menteri-menteri ‘sedap sikit’ sebab poket mereka berkepok,” kata Rasyiq menerusi hantaran di Instagramnya, hari ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy selaku plaintif memfailkan saman terhadap Rasyiq dan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, berhubung siri hantaran atas talian yang dibuat antara 20 Okt lalu dan 10 Jan.

Dalam kenyataan tuntutan, Khairy memfailkan saman berkenaan atas kapasiti peribadi dengan mendakwa Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan dan menerbitkan tiga video dan satu gambar menerusi akaun Instagram miliknya antara 20 Okt dan 10 Jan.

Khairy juga menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan dan mahu defendan membuang hantaran yang didakwa memfitnah.

Beliau turut menuntut kedua-dua mereka mengeluarkan kenyataan menarik balik dakwaan dilakukan dan secara terbuka memohon maaf dalam akaun YouTube masing-masing dan akaun media sosial lain yang dikenal pasti olehnya.

Menerusi hantaran berlainan, Rashiq turut memohon maaf dan akan memadam semua hantaran dan video vaksin berkaitan Ahli Parlimen Rembau itu.

Telur hilang di Terengganu

A KADIR JASIN

Telah dilaporkan secara meluas di media bahawa rakyat Terengganu kehabisan telur. Hari ini, Berita Harian menerbitkan tajuk utama “Terengganu Tiada Telur”. Diterjemahkan secara harfiah bermakna Terengganu tiada telur. Dalam bahasa Melayu, “telur” juga merujuk kepada testis.

Kita mungkin tersenyum atau ketawa dengan tajuk berita Harian yang “nakal”. Tetapi ini bukan perkara ketawa sama sekali. Kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang makanan menjadi kebimbangan setiap “keluarga Malaysia” kecuali yang berada di kelas “kayangang”.

Spesifik kepada “Terengganu kita”, isu telur hilang ini merupakan cabaran utama kepada Kerajaan Pasnya lebih-lebih lagi apabila domo utama parti itu juga dari Terengganu.

Tiada apa untuk menghalang Presiden Pas Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyimpang daripada “tugas hakiki” beliau sebagai Utusan Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah untuk membantu menyelesaikan masalah “tiada telur” yang licik ini. Menangani isu ini mungkin lebih mendesak daripada cuba untuk menyembuhkan itik lemau.

Memandangkan Perdana Menteri lsmail Sabri Yaakob sendiri telah bersuara tentang isu telur dan ayam, tidak ada kemudaratan jika Abdul Hadi pun mahu melakukannya.

Krisis “tiada telur” ini sudah tentu memberi kesan kepada rakyat Trengganu jauh lebih teruk berbanding masalah “berkaitan telur” yang kadang-kadang memberi kesan kepada lelaki aktif seksualiti. Saya merujuk kepada “sindrom koro” misteri, menyusahkan dan memalukan yang saya tulis dalam Blog saya pada tahun 2008.

Sekiranya anda terlepas artikel itu atau masih terlalu muda apabila saya menininya beberapa 13 tahun yang lalu, anda boleh membacanya di sini.

Usah cemar nama ulama, PAS pengkhianat sebenar ‘bertunang’ dengan 2 parti, kata Isham

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS perlu bermuhasabah kerana pihak sebenarnya mengkhianati Muafakat Nasional adalah pemimpin mereka apabila mendaftar Perikatan Nasional dengan Bersatu, parti pengkhianat mandat rakyat dan pelompat parti yang mengkhianati Umno.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, berkata pendaftaran PN berlaku hanya beberapa bulan selepas PAS menandatangani piagam MN dengan Umno. 

“Tindakan mereka (PAS) ini dilihat sebagai percubaan untuk paksa Umno terima PPBM (Bersatu) dan masuk PN jika Umno mahu bekerjasama dengan PAS, sebab itu mereka tergesa-gesa daftar PN hanya beberapa bulan selepas ‘Langkah Sheraton’ di mana beberapa pemimpin PAS dilantik Muhyiddin (Yassin) menjadi menteri, walaupun mereka tentunya tahu bahawa akar umbi Umno tidak boleh terima PPBM dan pengkhianat-pengkhianat Umno yang telah lompat parti ke PPBM.

“Semalam seorang pemimpin PAS dengan tidak semena-mena telah memanggil Umno pengkhianat. Ini selepas Presiden mereka telah panggil Umno binatang yang patah kaki beberapa hari lalu.

“Saya lihat pemimpin-pemimpin PAS ini sudah keliru dan bercelaru kepala. Mungkin mereka ‘koyak’ dan rasa bersalah ataupun mungkin mereka berada dalam sindrom penafian sebab di dalam hati mereka, mereka tentunya tahu pengkhianat sebenar adalah pelompat parti yang ramai dalam PPBM, parti yang pemimpin-pemimpin PAS ini hendak sangat pertahan dan bersekedudukan itu,” katanya dalam kenyataan.

Isham turut mempertikai tindakan PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka sebelum ini yang menuntut banyak kerusi walaupun sebelum itu mereka tidak menang satu kerusi pun.

“Apabila mereka tolak kerusi yang kita tawarkan kedengaran khabar-khabaran yang beberapa pemimpin PAS ingin ‘ajar’ Umno di Melaka. Kini mereka ingin ‘ajar’ kita di Johor pula. Adakah ini semangat muafakat yang PAS bawa?,” soal Isham.

Beliau berkata, ibarat seperti orang yang sudah bertunang, apabila yang bertunang tiba-tiba bertunang pula dengan orang lain, maka orang yang bertunang dengan orang lain itulah yang sebenarnya pengkhianat.

“Apabila ini berlaku, pertunangan pertama itu secara automatik terbatal. Lebih-lebih lagi apabila orang itu bertunang pula dengan pengkhianat yang telah mengkhianati kita, maka berlakulah pertunangan antara dua pengkhianat.

“Saya harap mereka (pemimpin PAS) sedar akan hal ini dan tidak beretorik lagi sebab rakyat bukannya bodoh, mereka boleh nampak taktik-taktik politik seperti ini dan ulama sebenar tidak melabel-label orang lain dan memanggil orang lain dengan nama binatang. Usahlah cemarkan nama ulama,” katanya sambil menyeru PAS kembali ke pangkal jalan jika sudah tersilap langkah.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin ketika sesi dialog bersama Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata bahawa siri “pengkhianatan” oleh Umno bukan dicetuskan parti itu secara keseluruhan, tetapi oleh puak tertentu di dalamnya.

Khairil Nizam berkata, kesabaran partinya dalam mendepani kerenah Umno ada batasnya.

“Ada segelintir pemimpin Umno nak bertindak keterlaluan dengan pelbagai yang berlaku, seperti di pembubaran DUN di Melaka, begitu juga (rampasan kuasa) di Perak. Sekarang ini berlaku di Johor.

“Jadi kita tak boleh letakkan Umno secara keseluruhan dalam satu bakul. Ada kluster-kluster tertentu. Penghormatan PAS kepada Umno adalah terhadap kluster yang mahukan penyatuan ummah dan yang fokus untuk Malaysia kembali kepada tempatnya selepas berdepan dengan Covid-19,” katanya

Bersatu pertimbang pecat Zuraida

Hariz Mohd

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengadakan perbincangan berhubung isu pemecatan ahlinya Zuraida Kamaruddin dan individu lain dalam parti itu yang didakwa terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

PBM merupakan parti politik baru dan ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan anggota Parlimen Ampang itu

Perbincangan itu disahkan Anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman yang memberitahu Malaysiakini isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuaratnya pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

"Isu itu disentuh semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang terkini, memandangkan Datuk Zuraida dilihat mempunyai penglibatan dalam pembentukan PBM, sama ada secara langsung atau tidak.

"Sebab, boleh dikatakan semua pengikutnya menyertai PBM, dan dia sendiri juga tidak menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu sama ada secara terbuka atau kepada MPT.

"Tetapi ia hanya dibincangkan. Belum ada keputusan konkrit lagi. Perkara itu masih dalam siasatan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Zuraida, merupakan menteri industri perladangan dan komoditi, yang juga bekas naib presiden PKR.

Dia dipecat daripada parti pimpinan Anwar Ibrahim itu berikutan peranannya dalam Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH, dua tahun lalu.

Dia kemudiannya menyertai Bersatu bersama bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang turut dipecat PKR kerana peranannya dalam menumbangkan kerajaan PH.

Kedua-dua mereka kemudiannya dilantik menganggotai MPT Bersatu.

Sejak itu, Zuraida dikhabarkan merancang menubuhkan parti politik baru. Khabar angin itu semakin kuat apabila beberapa bekas pemimpin PKR yang sehaluan dengan Zuraida dan Azmin mengasaskan PBM pada akhir tahun lalu.

Pada Disember lalu, bekas setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai PBM dan membawa bersama 53,000 ahli Penggerak

Komuniti Negara (PKN), sebuah NGO yang dikaitkan dengan Zuraida.

Sementara itu Faiz berkata mesyuarat MPT Bersatu juga membincangkan tindakan yang perlu diambil terhadap tokoh lain dalam Bersatu yang terlibat dengan PBM, dan mereka yang telah berpaling tadah tetapi masih memegang jawatan dalam kerajaan yang mereka perolehi atas tiket Bersatu.

"Semua ini akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Parti di bawah Datuk Seri Faizal sebagai pengerusinya, jika ada laporan daripada akar umbi," katanya merujuk kepada timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Mengenai Zuraida, Faiz berkata MPT Bersatu akan menyerahkan isu itu kepada Biro Disiplin dan Biro Politik parti.

"Secara peribadi, saya melihat beliau tidak lagi mempunyai sebarang kesetiaan kepada Bersatu dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Saya berkata ini berdasarkan maklumat dalaman yang saya terima mengenainya.

"Ini berdasarkan maklumat dari dalam yang saya dapat mengenainya, dari ahli MPT sendiri yang berkomunikasi dengannya," tambah Faiz.

Namun kata Faiz, dia berpendapat Zuraida juga perlu dipanggil untuk menjelaskan pendiriannya.

Katanya, semua dakwaan terhadap Zuraida dan pihak lain yang terbabit dalam isu PBM perlu disiasat supaya ada bukti yang jelas.

Konspirasi pasti dibuat untuk singkirkan Pas, dakwa Zuhdi

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata parti itu berkemungkinan besar kembali menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, jangkaan tersebut memandangkan adanya konspirasi untuk menyingkirkan Pas di dalam kerajaan.

“Kedudukan Pas di dalam kerajaan ini sudah pasti sangat dibimbangi terutama oleh kuasa Barat dan Timur.

“Konspirasi pasti dilakukan untuk menyingkirkan Pas.

“Hari ini, belum pun sampai dua tahun Pas sudah mula tersingkir beransur-ansur dan berkemungkinan besar selepas PRU-15, Pas kembali menjadi pembangkang,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook semalam itu juga, Zuhdi menegaskan setiap kali gerakan Islam memperolehi kuasa, tampuk pemerintahan yang diperolehi adalah tidak lama.

“Tidak kira bagaimana mereka memperolehi kuasa sama secara demokrasi atau secara militari, tempoh pemerintahan tidak bertahan lama.

“Kuasa Barat terutamanya dan Timur tidak pernah senang apabila gerakan Islam berada di persada kuasa, lantaran konspirasi menjatuhkan mereka segera dilakukan,” katanya.

Tulisannya bertajuk, “Konspirasi Menyingkirkan Gerakan Islam Dari Berkerajaan” itu turut menyebut kejayaan Pas memperoleh “sedikit kuasa” di Kelantan pada1990.

“Bukan sedikit konspirasi untuk menyingkirkan Pas dari kerajaan Kelantan khususnya oleh rejim Dr Mahathir yang memerintah sebelum itu.

“Dengan kebijaksanaan pimpinan Pas, kerajaan yang dikuasai oleh Pas di Kelantan terus bertahan sudah 32 tahun manakala beberapa negeri yang pernah diperintah Pas gagal dipertahankan,” kata Zuhdi lagi.

Selepas lebih setahun dilantik Ahli MPT Bersatu, status Zuraida dibincang

FAZLI RADZI

Kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak September 2020 sedang diputuskan susulan didakwa terlibat dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ahli MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman, lapor Malaysiakini, berkata, hal berkaitan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat parti itu pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada sebarang keputusan dibuat pada masa ini sementara menunggu siasatan lanjut oleh parti.

PBM yang dahulunya dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) diluluskan pertukaran namanya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada PBM dan perlembagaan baharunya pada 27 Oktober 2020.

Parti politik baharu yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR kini diterajui Larry Sng Wei Shien yang juga Ahli Parlimen Julau, Sarawak.

Menurut Faiz, status Zuraida dalam Bersatu disentuh semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memandangkan bekas Naib Presiden PKR itu dilihat mempunyai penglibatan dalam pembentukan PBM, sama ada secara langsung atau tidak.

“Sebab, boleh dikatakan semua pengikutnya menyertai PBM, dan dia sendiri juga tidak menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu sama ada secara terbuka atau kepada MPT.

“Tetapi ia hanya dibincangkan. Belum ada keputusan konkrit lagi. Perkara itu masih dalam siasatan,” kata Faiz dipetik Malaysiakini.

Keengganan Zuraida sebelum ini mengisytihar sokongan kepada PBM mengundang persoalan banyak pihak memandangkan Larry Sng sudah mengesahkan 53,000 ahli partinya dianggotai Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang dinaungi Zuraida.

Untuk rekod, Larry merupakan bekas Pengerusi PKR Sarawak.

Zuraida dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta kumpulannya mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu pada Ogos 2020.

Kedua-duanya dikatakan menjadi watak penting dalam peristiwa keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Langkah Sheraton.

Kereta api ekspress Tumpat-JB terbakar di Pasir Mas

Bernama

Bahagian enjin kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi di Pasir Mas pada 9.44 malam tadi. (Gambar PDRM)

KOTA BHARU: Bahagian enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada 9.44 malam tadi.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Penguasa Bomba Pasir Mas Shapawi Setapa berkata kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.

“Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.

“Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Rakyat diingatkan jangan lupa pengkhianatan Umno-BN-Pas

MOHD ALI HASHIM

Rakyat dinasihatkan supaya tidak lupa pengkhianatan yang dilakukan bersama oleh kerajaan Umno-BN dan Pas sehinggakan rakyat berada dalam keadaan penuh kesukaran semasa pemerintahan sekutu tersebut sejak kebelakangan ini.

Malah kerajaan PN sedia ada juga sedang memperlihatkan hubungan sedia terjalin umpama retak menanti belah.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Fahmi Zainol, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyelar Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang begitu ketara.

“Semasa PRN Melaka baru-baru ini turut membuktikan BN bertanding secara solo meninggalkan blok kerajaan PN iaitu Bersatu dan Pas, malahan Mohamad Hasan turut mendakwa Umno mempunyai 42 kerusi terbesar dalam Parlimen dan PRN Johor diadakan adalah kerana kerajaan Johor kini tidak mendapat mandat rakyat yang sebenar.

“Persoalan yang timbul apakah Mohamad Hasan mengesahkan pengkhianatan yang berlaku terhadap kerajaan PH sehingga mengakibatkan suasana politik semasa kucar-kacir.

“Apakah beliau juga cuba memberitahu Perdana Menteri kini turut tidak mendapat mandat yang sah kerana bukan dipilih oleh rakyat.

“Sebetulnya ia lupa bahawa lanskap politik kini berbeza berbanding sebelum ini dan tidak dinafikan keinginan supaya PRN dipercepatkan adalah bagi menawan beberapa buah negeri sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Fahmi lagi, seharusnya Umno-BN dan Pas tidak lupa bahawa rakyat tidak akan lupa pengkhianatan yang telah mereka lakukan sehingga berlakunya ketidaktentuan politik ekoran ahki-ahli politik kini rakus mengutamakan kuasa tanpa memberi prioriti terhadap kebajikan mahupun keselamatan rakyat.

Oleh kerana itu tegasnya, negara akan lebih aman seandainya rakyat sedar dan mengambil tindakan menghumban ahli-ahli politik sedemikian keluar dari persada kepimpinan negeri mahupun negara menjelang PRN dan PRU yang akan datang.

Tengkuk PAS sedang dijerut ketat 'ular biru' -' Raja Bahrin

Malaysiakini 

Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Raja Bahrin Shah Raja Ahmad, hari ini menyifatkan kemelut yang melanda Muafakat Nasional (MN) seperti ular yang sedang menjerut leher PAS.

Dakwanya hal itu berlaku apabila PAS gagal mengikut pesanan bekas mursyidul am parti berkenaan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang pernah diingatkannya berkali-kali sebelum ini.

"Kalau sebelum ini PAS mengajar kita mencari keredaan Allah dahulu dan bukan kemenangan, tetapi hari ini kuasa dan pangkat adalah segala-galanya buat mereka walaupun terpaksa menebuk atap atau masuk melalui pintu belakang bersama Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suatu ketika dulu, kata Raja Bahrin, Nik Abdul Aziz pernah berpesan secara simbolik mengingatkan ahli PAS agar tidak terpedaya dengan langkah politik Umno.

Katanya apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan Umno seperti itik patah kaki yang melupakan jasa perawatnya, dia teringat kepada pesanan Nik Abdul Aziz itu yang berpesan supaya parti berkenaan mengelak daripada "digigit ular dari lubang yang sama" lebih daripada sekali.

"Pesanan Nik Abdul Aziz amat jelas dan telah diulang oleh beliau beratus kali termasuk melalui ceramah umum.

"Pengalaman pahit PAS bersama Umno di Terengganu dan Kelantan menghantui ingatan almarhum," katanya lagi.

Tak timbul kisah itik patah kaki

Hubungan di dalam MN kini semakin tegang ekoran kenyataan pedas yang dikeluarkan pemimpin kedua-dua parti, termasuk Abdul Hadi yang menganggap Umno sebagai tidak bermoral kerana meninggalkan mereka selepas dipulihkan daripada kekalahan pada 2018.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pula secara sinis menganggap PAS sebagai parti yang kuat dan berharap ia dapat dibuktikan dalam pilihan raya negeri (PRN) di Johor tidak lama lagi.

Walaupun memeterai piagam bersama, PAS memilih untuk bertanding di dua PRN menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), termasuk di Johor.

Kata Raja Bahrin PAS mula melupakan pesanan Nik Abdul Aziz tidak lama selepas bekas menteri besar Kelantan itu meninggal dunia.

"Kalaulah pesanan almarhum tentang 'jangan digigit ular dari lubang yang sama' itu diingati dan dipatuhi PAS, tidak akan timbul kisah 'itik patah kaki meninggalkan kawan setelah sembuh' seperti sekarang.

"Pengajaran daripada kisah ular ganas lagi berbisa berwarna biru itu patut menjadi ingatan kepada PAS kerana parti itu telah digigit dua kali, iaitu di Terengganu dan Kelantan," katanya.

Raja Bahrin yang pernah menjadi ahli parlimen Kuala Terengganu berkata, dia bersimpati kepada ahli dan penyokong PAS kerana mereka terheret sama merasai 'sakitnya' bisa ular berwarna biru berkenaan.

"Nampak gayanya ular berbahaya yang Tok Guru (Nik Abdul Aziz) minta kita awasi telah melilit ketat tengkuk pimpinan PAS sehinggakan saluran bekalan oksigen ke kepala untuk membolehkan mereka berfikir dengan waras dan bijaksana semakin berkurangan," kata pengerusi Amanah Terengganu itu lagi.

Kerajaan ‘Islam Pas’ Kelantan digesa haramkan sembur cat pada merpati

FAZLI RADZI

Orang ramai kecewa dengan ‘trend’ mewarnakan merpati dengan cara menyembur cat yang dianggap menzalimi binatang.

Idea yang kononnya kreatif dipelopori peniaga di Kelantan itu dikatakan membolehkan mereka meraih rezeki berganda lantaran adanya permintaan tinggi terhadap merpati berwarna-warni.

Trend yang kemudiannya mendapat liputan Bernama itu bagaimanapun mengundang kecaman warganet.

“Bernama, ini bukan kreatif. Ini namanya menganiaya binatang. Cubalah manusia diwarnakan macam itu tanpa rela, mahu kena tumbuk sepak terajang,” tulis Firdaus Hafizi.

Beliau turut mengingatkan bahawa ihsan kepada binatang itu merangkumi semua jenis tidak kiralah sama ada haiwan bernajis, tidak bernajis, halal atau haram dimakan.

Sementara itu, Zaki Zaini pula secara sinis berkata, “Sembur badan orang itu sendirilah. Manusia pelangi. Merpati tu hok malang dapat tuan macam tu.”

Tidak kurang juga yang berpendapat mencari rezeki dengan menzalimi haiwan sebenarnya bercanggah dengan tuntutan Islam.

“Islam bukan setakat solat, puasa, tutup aurat, tiada (panggung) wayang, pakai ketayap. Kalau cari rezeki dengan menganiaya binatang bukan Islamik namanya. Semburan itu ada bahan kimia,” kata Safuani Julaihie.

Rasa sedih melihatkan merpati itu dizalimi juga disuarakan Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali yang menegaskan perkara tersebut bukan satu yang menggembirakan apatah lagi menjadi sumber pendapatan.

“Merpati pelangi? Membuka ‘pintu rezeki’? Apa?! This kind of news tak perlu pun dijadikan berita. This is so sad 😭

“Yang pergi beli pun, saya tak faham… No demand, no supply. Guna spray cat apa? Dapat info spray tu orang dok buat spray sangkar dan basikal. Apakah?

“Tahukah anda? Sebarang jenis bauan yang kuat (dalam isu ini semburan berwarna itu), adalah berbahaya kepada haiwan!” tegasnya.

‘Rekayasa, dusta baur fitnah, ‘ Maszlee nafi dakwaan terima wang, Vellfire

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menafikan dakwaan rasuah terhadapnya serta menyifatkannya sebagai fitnah oleh pihak tertentu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau bersedia disiasat berhubung dakwaan menerima sejumlah wang bagi digunakan untuk aktiviti politiknya.

“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hidup dan perjuangannya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti.

Beberapa media memetik sumber sebagai berkata, Maszlee didakwa menerima sejumlah wang dan sebuah kenderaan jenis Vellfire dari sebuah syarikat di bawah Kementerian Pendidikan semasa beliau menjadi menteri.

Terdahulu, SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan terdapat aduan dibuat terhadap Maszlee.

Dua aduan diterima SPRM berhubung kesalahan rasuah dan penyelewengan dan siasatan sedang dijalankan oleh agensi itu.

Dalam pada itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawai suruhanjaya itu melakukan intimidasi sebagaimana didakwa Maszlee.

Menurut kenyataan SPRM, pihaknya menerima dua aduan terhadap bekas Menteri Pendidikan itu dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana diperuntukan oleh undang-undang.

Shabery Cheek cerita tentang kura-kura yang tidak tahan dipuji dan itik

BORHAN AHMAD

Ekoran bidalan ‘itik patah kaki’ oleh Presiden Pas, seorang bekas aktivis Pas yang menyertai Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir Pas dengan menggunakan bidalan itik.

Shabery yang menyertai Pas di Terengganu selepas tamat belajar di Universiti Malaya pada pertengahan tahun 1980an memberikan ingatan jangan jadi kura-kura yang tidak tahan dipuji.

Shabery, bekas Menteri Komunikasi dan Menteri Pertanian di zaman kerajaan BN itu berkongsi cerita tentang itik dan kura-kura selepas Datuk Seri Abdul Hadi berkata, Umno umpama itik patah kaki yang diubati oleh Pas.

Namun selepas kakinya baik, dia nak berjalan sendiri tidak mahu bersama orang lain ekoran tindakan Umno mahu bertanding solo dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor selepas berjaya di Melaka.

“Pernah dengar cerita itik dan kura-kura?

“Kisahnya kerana kolam kering.

“Semua binatang berpindah mencari tempat lain. Kura-kura kesedihan kerana bebanan di belakangnya menyukarkan untuk pergi jauh.

“Ada sepasang itik yang baik hati, memberi cadangan, “kami terbangkan sebatang kayu dan kamu gigitnya di tengah. Kita boleh pergi jauh, syaratnya kamu sabar dan diam ketika terbang bersama”.

“Dalam perjalanan kura-kura teruja dapat terbang. Melihat pemandangan yang luas dan indah.

“Di satu tempat terdengar sorakan budak-budak, “he! tengok kura-kura tu ada hati nak terbang walau tak ada sayap! ” kura-kura diam. Tahan sabar.

“Tak lama selepas itu seekor gagak melintas, “wah hebat!, pastinya inilah raja kura-kura..!

“Kura-kura terus jawab “PASTILAH!”. Terbuka mulut, kura-kura pun jatuh terhempas.

“Pengajaran. Ramai yang tahan dikeji. Tapi tak ramai tahan dipuji,” cerita Shabery yang juga orang Terengganu sebagaimana presiden Pas itu.

Sebelum ini, rakan Shabery, Datuk Dr Puad Zarkashi juga menyindir Hadi.

Shabery adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) manakala Puad adalah Setiausaha Agung PMUM ketika itu.

Selepas tamat belajar Shabery telah bekerja di Intitut Berakan di Kuala Terengganu yang dipimpin oleh Ketua Pemuda Pas Terengganu, Ustaz Abu Bakar Chik bagi membantu Pas.

Namun Shabery meninggalkan Pas selepas itu kerana tidak tahan atau serasi dengan budaya Pas di Terengganu yang dipimpin oleh Abdul Hadi.

Apa relevannya Pas pada saat ini?

HERJUNOT ALI

Akar bagi pemikiran gerakan Islam adalah penubuhan negara Islam.

Konsep negara Islam adalah ijtihad, bukan hukum yang Qatie.

Dengan sebab itu, pelbagai definisi negara Islam yang diberikan oleh ulama muktabar.

Ada kata, negara Islam adalah negara yang terlaksana undang-undang Islam.

Dalam erti kata yang lain, mana-mana negara yang tidak terlaksana undang-undang Islam, maka negara itu adalah negara kufur.

Kalau dilihat dari definisi ini, hampir tidak ada negara Islam dalam dunia pada hari ini, bahkan Saudi pun sedang menuju ke arah negara kufur.

Ada pula mendefinisikan, negara Islam adalah negara yang diperintah oleh orang Islam.

Kalau definisi ini yang digunakan, bermakna Malaysia sudah menjadi negara Islam; Indonesia sudah menjadi negara Islam; banyak negara-negara Arab, walaupun kadar rasuah tinggi, juga adalah negara Islam.

Kalau dilihat dari sudut definisi ini, perjuangan gerakan Islam dalam beberapa buah negara termasuk Malaysia sudah tidak relevan.

Namun mereka mungkin berhujah bahawa keperluan melaksanakan undang-undang Islam, dengan merujuk kepada definisi pertama di atas.

Jika itu hujah mereka, perjuangan Pas sudah menjadi tidak relevan kerana pada saat ini Pas berada dalam kerajaan. Apa yang pasti, tidak ada usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam seperti yang mereka dakwa sebelum ini.

Kalau PAS sudah tidak mahu memperjuangkan undang-undang Islam, ini bermakna Pas sudah tidak jauh beza dengan perjuangan liberal dalam definisi yang dikemukakan oleh Pas.

Cumanya, Pas adalah golongan liberal yang tidak memperjuangkan accountability, transparency dan kredibiliti dalam pentadbiran.

Maka dengan sebab itu, Pas tidak berusaha untuk menyelamatkan alam sekitar, walaupun penjagaan alam sekitar adalah tuntutan agama Islam; Pas tidak berusaha untuk melawan rasuah, walaupun rasuah merupakan salah satu dosa-dosa besar.

Justeru apa relevannya Pas pada saat ini?

Aksi depan Ismail Sabri mengundang ‘salah sangka’ warganet

FAZLI RADZI

Aksi enam individu lengkap dengan tali keselamatan di tebing pelantar terbuka (sky deck) Menara Kuantan 188 sambil memegang kain rentang Keluarga Malaysia mengundang ‘salah sangka’ orang ramai.

Rata-rata warganet secara berseloroh menyangka gimik menyambut Perdana Menteri itu boleh mengundang pelbagai tafsiran ketika realiti pada masa ini rakyat berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

Gambar tersebut juga dikongsikan Ismail Sabri di Facebook rasminya kelmarin dengan memberitahu bahawa Menara Kuantan 188 menyajikan pemandangan 360 darjah keseluruhan bandaraya Kuantan.

“Produk pelancongan terkini dan ikonik yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di pesisir Sungai Kuantan.

“Konsep reka bentuk pembinaan menara ini diinspirasikan daripada daun dan bunga pokok Teruntum Putih yang dulunya banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan,” kata Ismail lagi.

Namun, orang ramai dilihat tertarik dengan aksi sekumpulan individu berdiri di tebing pelantar terbuka di bawah terik matahari termasuk ‘menyangkakan’ cubaan bunuh diri.

“Sampai macam tu sekali nilai nyawa manusia semata-mata untuk pegang sepanduk ‘Keluarga Malaysia’,” kata Amal Amani.

Sementara itu, Izzat Naimullah Ismail pula menulis, “aku ingat tali gantung tadi. Kenapalah mereka ini jadi badut tengah panas” manakala Apai Faizal berkata, “hebat. Macam tengok orang gantung diri. Macam zoo pun ada juga. Betul-betul pemikiran luar kotak.”

Pas ‘kena berak’ selepas ubati ‘itik patah kaki’

MALAYSIA DATELINE

Nasib yang menimpa Pas dan presidennya disifatkan ‘kena berak’ selepas mengubatkan ‘itik yang patah kaki’.

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, itulah nasib presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Itulah Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Dulu pasal apa susah-susah ubatkan itik patah kaki? Bukankah sekarang dah kena berak?” kata Kadir, bekas penasihat media perdana menteri itu.

Kadir memberikan pandangan itu selepas Abdul Hadi menyifatkan nasib yang diterima oleh Pas adalah umpama ditinggalkan oleh itik yang patah kaki selepas ia diubati.

Abdul Hadi mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.

Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar Muafakat Nasional (MN) yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.

“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata anggota parlimen Marang yang sering menggunakan nama binatang dalam analogi politiknya.

Hadi berkata demikian selepas Umno mengumumkan akan bertanding secara solo dalam PRN Johor.

Umno juga hanya menawarkan empat kerusi kepada Pas jika parti itu mahu bekerjasama dengan mereka yang ditolak mentah-mentah oleh Pas dengan menyifatkan ianya terlalu sedikit.

Bersatu pula menawarkan 16 kerusi untuk Pas bertanding dalam PRN Johor di atas lambang Perikatan Nasional (PN).

Pakai seluaq tak pa ka jadi imam?

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Waktu Maghrib dah lama masuk. Azan pun sudah. Jemaah datang seorang demi seorang. Tujuh orang semuanya. Ada yang solat sunat, ada yang menyandar dinding macam aku.

“Abang jadi imam boleh?” Kata lelaki yang azan tadi kepada seorang lelaki sebelah aku. Lelaki ini berkain pelikat, berketayap putih. Ada janggut sejemput. Dia geleng-geleng kepala.

“Tak ada imamlah… Tok imam tak datang”, kata lelaki yang azan tadi.

Dia nampak resah. Makmum lain pun tinjau-tinjau pintu, kalau-kalau imam datang. Waktu Maghrib sudah mencecah dewasa.

“Kalau tak dak tok imam, saya pun boleh…!” Aku menyampuk. Lelaki azan tadi merenung aku. Macam tak percaya. “Tak pa lah…”. Dia berlalu dan iqamat.

“Sila bang, jadi imam”. Aku memandang lelaki berketayap sebelah aku. Dia geleng-geleng. Tak mahu. Akhirnya aku bangun menuju ke sejadah imam dengan tidak sungguh-sungguh, berat hati.

“Pakai seluaq tak pa ka jadi imam?” Aku tanya lelaki yang azan. “Bolehlah…!” Dia jawab. Aku pun takbiratul ihram jadi imam. Suara aku bergetar. Jantung aku berdebar-debar.

Suara bacaanku tergetar-getar. Padahal aku pernah jadi imam masjid negeri, jadi imam terawikh Ramadhan. Raja pun pernah berimamkan aku. Entah kenapa, hari ini aku jadi gementar.

Inilah pertama kali aku jadi imam di surau kampung aku setelah setahun aku menetap di sini. Biasanya aku jadi makmum saja. Makmum lain pun tak ambil kisah dengan aku.

Hari ini, Maghrib tadi, aku jadi imam. Imam yang pakai seluar, t-shirt dan topiah. Tak thiqah langsung…!