Fatih Hassan Nordin
Politik adalah kayuhan yang memenatkan buat kita yang terpaksa berhempas pulas melawan inflasi dan kos sara hidup yang kian meningkat dalam keadaan pendapatan yang mendatar. Ia tambah memburukkan apabila dompet kita sering pula diketuk ketika tiba di kaunter pasar raya oleh Najib Razak melalui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Dan kita pun mengambil jalan mudah, membuang perkataan politik dari kamus hidup dan mengekalkan ‘usaha’ dan ‘tawakal’ untuk menjadikan ia azimat bagi kegunaan harian. Melihat ahli politik bercakaran di dada media sudah cukup memualkan bagi kita, apatah lagi terpaksa bertengkar dengan kekasih, isteri/suami, melayan kehendak ibu bapa atau terpaksa memujuk anak yang keras kepala.
Akhirnya, selepas jam 5 petang, dan selepas menghadapi kesesakan trafik yang menggila, kita pulang dengan keluhan dan mendakap hal-hal yang sepele. Kita cuba untuk menjual produk kecantikan dan pelbagai lagi produk yang tumbuh bagai cendawan kerana dijanjikan dengan habuan yang lumayan. Kita mengimpikan yang indah-indah dan kita ketawa dengan lawak hambar pada Jam 10 malam pada hari Jumaat di saluran 134.
Dan kitaran ini berputar dan berputar tanpa berpenghujung. Sedang yang berada di atas mengaut sedikit demi sedikit hasil titik peluh kita dengan GST, pemotongan belanjawan pendidikan dan kesihatan, penghapusan subsidi minyak masak dan segala lagi beban yang dilepaskan ke bahu kita.
Seperti kata penulis tersohor Amerika Syarikat, Henry Miller “semua tahu hari esok palat, tapi tak ada siapa mahu mengebom ‘jambatan’ yang menghubungkan hari ini dengan esok.”
Keterasingan
Saya agak skeptikal atau ragu-ragu dengan sokongan terhadap parti politik seperti yang ditunjukkan mereka yang fanatik di laman sosial seperti Facebook. Saya fikir mereka adalah ‘tentera siber’ upahan yang dibayar gaji yang agak tinggi daripada gaji budak pejabat untuk disuruh menyerang pemimpin dan memutarbelitkan satu-satu isu dengan komen-komen dangkal, yang boleh buat menangis apabila membacanya. Menangis bukan kerana terharu tetapi kerana kebodohannya.
Hakikatnya rakyat rasa terasing dengan politik, mereka rasa tak ‘in’ dengan politik. Kerana naratif politik yang dimainkan tak kira dari pihak sini atau sana memualkan. Bercakaran sana dan sini dengan politik hambur-menghambur. Tapi yang peliknya bila artis ini gaduh dengan artis itu mereka boleh pula menadah telinga atau mata untuk membaca. Tetapi itu bukan soalnya di sini.
Adalah menjadi tugas ahli dan parti politik untuk mencelikkan rakyat terhadap keadaan negara yang kian parah, seperti yang diulang-ulang Pakatan Harapan. Dan menjadi tugas mereka juga yang mengaku cerdik pandai untuk mematahkan naratif suci yang dibentuk media massa kawalan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).
Semak sahaja Utusan Online hari ini di ruangan berita-politik, betapa jijiknya tuduhan perkauman. Rakyat harus difahamkan bahawa modus operandi UMNO adalah perkauman. Perkauman adalah penutup bagi pekung di dada UMNO. Penutup bernama perkauman kalau dibuka, akan terburailah segala kejahatan UMNO-BN menjarah harta negara sewenang-wenangnya.
Dan di antara perkauman dan UMNO-BN (dan PAS), gugur tiga kali anak bernama RUU355, yang beranak kali keempatnya entah bila, katanya untuk beberapa bulan lagi?
RUU355
Apa dia RUU355? RUU355 setelah gugur kali ketiga adalah jelmaan dari PAS untuk terus kekal relevan selepas gagal mentadbir Kelantan dengan baik, seperti perkauman adalah jelmaan dari UMNO untuk terus kekal dipandang. Kita boleh kategorikan mereka sebagai hantu yang mengacau penduduk kampung dan memisahkan mereka kepada golongan percaya dan tak percaya dengan jembalang.
RUU355-PAS manakala UMNO-Perkauman, masing-masing sudah ada agenda tersendiri, dan ini yang akan dipamerkan kepada rakyat terbanyak menjelang pilihan raya umum akan datang. Tujuannya hanya satu, untuk memecahkan dan memisahkan kaum Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini, dan mengkafirkan mereka yang tidak menerimanya.
RUU355 dan Perkauman adalah alat. Tidak ubah seperti tukul untuk mengetuk paku ke pahat. Tujuannya hanya satu dalam hal ini, meraih undi. RUU355 dan Perkauman tidak kesah dengan skandal 1MDB, tidak kesah dengan susah payah orang kampung membayar GST, yang mereka tahu adalah untuk mengekalkan kuasa.
Alat ini akan digunakan untuk menutup pembalakan haram di Kelantan yang kian berleluasa, skandal 1MDB, MARA, dan pelbagai lagi institusi Melayu.
Kedua-dua ini adalah kejahatan untuk ditentang, bukan untuk mewujudkan utopia yang bukan-bukan tetapi demi meletakkan pesalah dan perasuah yang kita tak suka ke dalam penjara – meringkuk membilang dosa-dosa mereka terhadap kita.
Cakna
Cakna politik, atau faham politik adalah perjalanan yang panjang. Kita harus menerima realiti untuk sampai ke tahap celik adalah sukar dan memerlukan masa. Justeru, kita perlu mengambil hal yang paling dekat. Kita perlu sedar bahawa kejahatan masa kini tidak boleh ditutup dengan alat bernama RUU355 dan Perkauman. Sudah tiba masa kita menolak sentimen agama dan kaum yang diulang-ulang ini demi mengundi keluar UMNO-BN dari Putrajaya.
Di Korea Selatan, perkara menghumban keluar pemimpin korup daripada pentadbiran negara bukan lagi perkara baru. Presiden Korea Selatan ke-11, Park Geun-hye didesak oleh rakyatnya supaya berundur, ekoran terlibat melakukan rasuah bersama sahabatnya, Choi Soon-sil. Ratusan ribu rakyat Korea Selatan yang marah dengan Presiden tersebut membanjiri jalan di ibu kota negara itu, Seoul sehingga lewat malam.
Kemarahan itu kelihatan jujur dan tidak dibuat-buat, kalau kita menyemak rakaman daripada Youtube, tidak ada yang memegang kayu swafoto (selfie stick) atau membuat perkara bodoh seperti berswafoto (selfie) di hadapan kereta polis. Ini yang dikatakan mengenai cakna politik yang jauh berbanding di Malaysia. Kita tidak sedar akan kuasa yang ada di tangan kita selaku rakyat yang membayar cukai, membayar tol. Mungkinkah kerana kita sudah terlalu perangkap dalam ‘rangka ketuanan’ terlalu lama?
Sudah tiba masanya kita menghukum mereka yang mencuri titik peluh kita, kerana mereka senantiasa selesa di bawah payung dan pendingin hawa, sekadar menumpang penat lelah kita untuk nampak seperti berkerja. Maafkan jika tulisan ini tampak seperti berkhutbah, tidak ubah seperti doktrin yang terlalu memaksa-maksa. Tetapi inilah lelah, lelah yang jujur daripada yang merasa, bahawa sudah cukup kita diinjak UMNO-BN, dan sudah tiba masanya untuk berubah.