Kisah misteri
oleh alang buana
Pada hari Sabtu lepas, seramai 3,210 orang sudah baca kisah yang saya tulis, Bomoh Ekor. Saya terkejut kerana ramai yang membaca kisah benar itu. Ada yang mengatakan ia adalah cerita karut tetapi ia adalah pengalaman benar Ali dan Zaki.
Minggu ini saya akan tulis pengalaman mereka tentang cek bunian. Biasanya kita tengok cek bank CIMB atau Maybank atau lain-lain bank komersial, tapi kali ini saya mahu ceritakan tentang cek bunian yang dikeluarkan oleh kerajaan bunian. Tentu pelik bagi kita mendengarnya.
Sebenarnya alam bunian memang wujud. Orang bunian dikatakan berasal dari jin Islam. Tetapi manusia tidak dapat melihatnya. Mereka dikatakan tinggal di hutan belantara.
Malah mereka suka kalau anak gadis mereka dinikahkan dengan manusia kerana mereka mahu zuriat daripada manusia.
Ali mengenali Haji Amin yang duduk di Senai, Johor. Haji Amin pernah disekat orang gila pada tahun 70an ketika mahu pergi ke masjid pada hari Jumaat. Orang gila itu berkata, tak payah pergi ke masjid, jom ikut saya.
“Nak ke mana?” tanya Haji Amin
“Ikut sajalah. Pegang bahu saya dan pejamkan mata,” kata orang gila itu.
Haji Amin pegang bahu orang gila itu dan pejamkan mata. 10 minit kemudian bila Haji Amin celikkan mata, dia terkejut dia berada di Mekah. Rupa-rupanya tadi bukan orang gila yang menyekatnya. Dia adalah wali Allah yang membawa Haji Amin ke Mekah.
“Kita solat di masjidil haram ini. Tunggu saya di pintu ini bila selesai solat nanti,” pesan wali itu.
Selesai solat Haji Amin tunggu wali di pintu yang dijanjikan. Maka mereka pulang semula ke tanah air sekelip mata. Haji Amin tidak cerita kepada kawan-kawannya tentang kejadian aneh ini. Sejak itu dia mempunyai kelebihan berubat orang sakit. Pelbagai penyakit yang boleh diubatinya termasuk penyakit gila.
Sekembalinya dari Mekah, Haji Amin diberi kelebihan untuk berinteraksi dengan orang bunian. Haji Amin sering kali masuk ke perkampungan bunian yang terdapat di sebuah gunung di Pulai.
“Zahid ini ada cek bunian, Zaki,” kata Ali kepada Zaki ketika mereka bertemu dengan Zahid di sebuah restoran mamak di Kepong.
“Berapa nilainya?” soal Zaki yang ingin tahu. Inilah kali pertama Zaki melihat cek bunian yang tiada tulisan. Tetapi bila kertas putih itu disuluh dengan lampu picit terdapat tulisan jawi yang menulis nilai wang itu.
“RM5 juta,” kata Zahid.
“Banyaknya,” kata Zaki terkejut.
“You ada orang yang boleh tukar cek ini?” tanya Zahid kepada Ali.
“Saya kenal Haji Amin di Senai. Dia selalu masuk ke alam bunian. Mungkin dia boleh tukarkan cek ini,” kata Ali.
“Bagus tu. Bila kita nak ke Senai?” tanya Zahid.
“Anytime boleh pergi. Tapi kami tiada duit,” kata Ali.
“Kita collect duit dari ahli jemaahlah,” kata Zahid.
“Berapa orang kita semua?” tanya Zaki.
“Saya ada lima orang. You punya berapa orang?” tanya Zahid.
“I berempat dengan Zaki,Hisham dan Cikgu Lazim,” jawab Ali.
Maka mereka pakat kumpul duit RM50 seorang untuk beli minyak kereta. Mereka sembilan orang pergi dengan dua kereta ke sana.
Sampai di rumah Haji Amin, Ali sampaikan hajat Zaki untuk menukar cek bunian.
“Mana kamu dapat cek ini?” tanya Haji Amin.
“Cek ini diberi kepada orang tua saya sebagai pemegang amanah. Orang tua sudah uzur, Umur hampir 90 tahun. Dia lumpuh di rumah. Jadi dia suruh saya tukarkan cek ini,” kata Zahid.
Haji Amin setuju untuk bawa cek ke perkampungan bunian. Zahid dan Ali ikut sama, Manakala Zaki dan lain lain menunggu mereka di rumah Haji Amin.
Pagi itu Haji Amin bertiga sudah pergi ke sebuah gunung di Pulai. Mereka masuk ke perkampungan alam bunian. Dari kampung itu ketua kampung Syed Alwi yang mengenali Haji Amin membawa mereka ke bandar bunian pula.
Zahid kagum dengan keindahan bandar bunian itu. Keadaan sama dengan bandar kita yang penuh dengan pembangunan. Malah kereta mewah seperti Mercedes Benz pun ada di bandar tersebut. Banyak bank yang terdapat di bandar itu. Maka Syed Alwi bawa Haji Amin, Zahid dan Ali menunggu di bilik pengurus bank di sebuah bank komersial di bandar bunian itu.
Cek sebanyak RM5 juta sudah ditunaikan. Zahid lega kerana sudah lama dia berhasrat menukarkan cek itu akhirnya menjadi kenyataan.
Sudah sampai mereka bertiga berpisah dengan Syed Alwi di sempadan kampung. Entah macam mana timbul perasaan tamak di hati Zahid. Daripada aku bahagi RM5 juta kepada 10 orang termasuk Haji Amin, lebih baik aku sapu sorang.
Sampai di sebuah stesen minyak di Senai, Zahid terus tinggalkan Haji Amin dengan Ali di situ. Zahid terus memandu keretanya ke Kuala Lumpur dengan wang tunai RM5 juta.
Haji Amin terpinga-pinga dengan ketamakan Zahid. Ali terlopong kerana dia sudah kehilangan RM500,000. Sudah tentu Zaki dan kawan-kawan lain yang menunggu di rumah Haji Amin akan terkejut juga mendengar berita ini.
“Orang tamak selalunya rugi. Zahid takkan selamat di dunia. Percayalah cakap saya Ali,” kata Haji Amin.
Mulut orang yang tidak tinggal solat tahajud memang masin. Dua jam kemudian mereka mendapat berita Zahid mati kemalangan berhampiran dengan persimpangan Tangkak. Kereta Proton Wiranya terbabas dan terbakar serta wang RM5 juta hangus dalam kemalangan tersebut.