"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jadi atau tak nak bergabung, tanya Pemuda PAS kepada Umno

TINDAKAN Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed menerima borang permohonan menyertai Umno daripada ahli PAS mengguris hati pimpinan parti itu.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau berasa dukacita dengan tindakan itu.

"Saya berasa dukacita dengan sikap Tokpa (Mustapa) yang menerima borang ahli PAS masuk Umno di kampung saya.

"Sepatutnya dalam situasi PAS dan Umno nak bergabung (katanya Annuar Musa lah) benda- benda begini tak sepatutnya berlaku. Fokus sahaja kepada usaha penggabungan.

"Ke Tokpa (Mustapa) tak percaya kepada ketua penerangan Umno? Jadi ke dok nak bergabung ni?" tanya Fadhli dalam satu catatan di Facebooknya bagi melahirkan perasaan dukacita itu.

Semalam Berita Harian melaporkan yang 50 ahli PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong, Pasir Mas menyertai Umno.

Ia berlaku di kampung Fadli yang juga ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat itu.

Sebelum ini, Annuar Musa dilaporkan berkata, PAS dan Umno mempunyai DNA yang sama yang menyebabkan kedua-dua akan bekerjasama.

Annuar berkata, "Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan."

"Ia tidak bermakna PAS masuk Umno, Umno masuk PAS, tidak bermakna PAS semestinya menyertai BN (Barisan Nasional)...tetapi titik-titik kebersamaan ini, matlamat perjuangan itu menjadi lebih penting. Atas dasar itu saya meramalkan akan terbentuk kerjasama yang lebih kukuh dari masa ke semasa antara Umno dan PAS.

"Tunggulah beberapa minggu, beberapa bulan lagi bila pilihan raya semakin dekat saya percaya antara pucuk pimpinan PAS dan Umno selagi mana titik kebersamaan dan taawun itu ada, akan ada pengumuman yang seharusnya menggembirakan umat Islam dan kaum Melayu terutamanya atas kepentingan agama dan bangsa," katanya kepada pemberita selepas program Dialog Perjuangan4All, di Balik Pulau, 3 Oktober lalu.
-malaysianinsight

Anggap Pas kini bercelaru, lebih 50 bekas ahli sertai Umno

ARIF ATAN
Anggap Pas kini bercelaru, lebih 50 bekas ahli sertai Umno
Sekumpulan ahli Pas dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Tendong, Pasir Mas mengganggap parti dianggotai mereka semakin bercelaru sejak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Wakil kumpulan itu, Mat Zaid Junoh, 55, berkata menyedari hal tersebut beliau bersama 50 ahli Pas lain mengumumkan untuk menyertai Umno.

Bekas tentera itu berkata, hubungan silaturrahim khususnya dalam kalangan pimpinan tertinggi Umno menarik perhatiannya termasuk dua anak perempuan beliau untuk menyertai Umno.

“Sejak kematian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat parti ini semakin bercelaru, Pas juga kekal dengan sikap menuding kesalahan kepada pihak lain.

“Saya tertarik dengan ikatan silaturrahim sesama orang Umno terutama yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi.

“Walaupun aktif dengan Pas Cawangan Tepi Sungai Tendong sejak 29 tahun lalu tapi sudah sampai masa saya masuk Umno dan jejak saya turut disertai dua orang anak perempuan saya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sejak 10 tahun lalu lagi, jelasnya, hasrat untuk menyertai Umno terpendam lantaran tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk Pas dalam pakatan pembangkang sebelum ini.

Mat Zaid dan kumpulan terbabit menyerahkan borang pendaftaran kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam majlis Jamuan Rakyat di Kampung Paloh semalam.

Sementara itu, Mustapa dipetik Utusan Online berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai lagi akan menyertai Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Angka 50 orang ini adalah jumlah yang agak besar, selalunya dalam empat hingga lima orang sahaja.

“Setakat ini kita dapat maklumat ada sahabat-sahabat kita di Pasir Puteh dan Kuala Krai akan turut sama dalam perjuangan Umno,” ujarnya lagi

Khianat: CCTV rakam remaja perempuan berakr di hadapan kedai dobi layan diri

PETALING JAYA: Beberapa gambar hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang remaja perempuan membuang air besar di hadapan kedai dobi layan diri di Lobak, dekat Seremban, Negeri Sembilan tular di media sosial.

Pengusaha kedai dobi tersebut mendakwa remaja berkenaan melakukan perbuatan tidak senonoh itu sebanyak tiga kali dalam kejadian berasingan.

Datuk Adzwan Ab Manas, 42, berkata, insiden pertama pada awal bulan lepas, disusuli kejadian kedua 18 September dan yang terbaharu Selasa lalu, masing-masing antara pukul 1 tengah hari dan 3 petang.

Beliau yang mulanya menyangka ia adalah najis yang ditinggalkan haiwan yang berkeliaran memberitahu insiden kedua dapat merakamkan remaja tersebut berpakaian sekolah ketika membuang air besar.

“Saya amat marah dan kesal dengan perkara yang berlaku, lebih-lebih lagi remaja berkenaan ditemani seorang wanita yang dipercayai ibunya. Saya percaya mereka adalah orang yang sama.

“Bukan setakat tiga kali berak, tapi dalam insiden pertama, wanita yang menemani remaja tersebut dikesan dalam CCTV mengambil keluar bakul baju dan tong sampah yang diletakkan di kedai untuk kegunaan pelanggan,” katanya kepada mStar Online.


Berikutan kejadian itu, Adzwan yang mengusahakan kedai dobi sejak tiga tahun lalu tidak lagi menyediakan bakul baju untuk kemudahan pelanggannya.

“Hanya kotak besar diletakkan di kedai bagi menggantikan tong sampah,” katanya yang mendakwa sebelum ini lebih 20 bakul baju dan 10 tong sampah di kedainya hilang tetapi tidak diketahui individu yang melakukannya setiap kali ia dicuri.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti motif kejadian kerana terdapat beberapa premis makanan berdekatan yang menyediakan kemudahan tandas, termasuk tandas awam di medan selera.

“Saya percaya ia adalah perbuatan yang disengajakan sebab dah tiga kali berlaku di tempat sama. Bagi saya, ia satu tindakan biadab dan kurang ajar,” katanya.

Akibat tidak tahan dengan tindakan menjijikkan itu, beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis pada petang Khamis.

Terdahulu, pada sebelah tengah hari, beliau bersama pekerjanya memerhati dari jauh sekiranya kedua-dua mereka datang kembali ke kedainya.

“Marah saya dah tahap maksimum. Nasib saya tak baik sebab tak jumpa mereka. Kalau ada, dah tentu saya akan bawa mereka ke balai polis,” kata Adzwan.

Mengenai laporan polis, Adzwan berkata, ia dibuat kerana perbuatan tersebut melampau dan mahu membersihkan tanggapan buruk terhadap kedai dobinya.

"Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan mengenal pasti mereka yang melakukannya perbuatan biadab itu," katanya. 
-mstar

Empat beranak ditemui mati dalam rumah

SHAHIZATUL FARHA S ROSLI

JOHOR BAHRU - Pasangan suami isteri dan dua anak mereka ditemui mati dalam kediaman mereka di Rini Residence, Mutiara Rini, di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.

R Pubalan, 52 ditemui mati tergantung dengan kain putih yang diikat pada bahagian siling di dalam sebuah bilik di tingkat bersama satu nota wasiat yang ditinggalkan di atas meja solek.

Manakala dua anaknya, P Sharveen, 14 dan P Krishna, 9 ditemui berada berhampiran dengan kesan jerutan di leher dalam bilik berasingan dan isterinya, P Jeya, 46 yang menghidapi penyakit buah pinggang ditemui mati di atas katil berdekatan ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian disedari rakan suami yang datang ke rumah dan menemui satu nota ditinggalkan pada cermin kereta menyatakan pintu rumah tidak dikunci.

"Polis menerima maklumat kejadian ini pada jam 2.30 petang. Kejadian disedari rakan si suami yang datang ke rumah kerana sebelum itu mereka ada berhubung untuk bertemu di rumah berkenaan.

"Ketika sampai, lelaki itu menemui satu nota mengatakan pintu rumah tidak dikunci. Dia masuk ke dalam rumah yang tidak dikunci dan menemui satu mayat di atas katil sebelum menghubungi polis," katanya.

Noor Hashim berkata, pihaknya sedang menyiasat kandungan wasiat berkenaan dan

kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut.
-sinarharian

2 keping gambar supaya Syed Saddiq tutup mulut

Radzi Razak
2 keping gambar supaya Syed Saddiq tutup mulut
Setelah gagal merasuah Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan RM5 juta, dalang dedak itu kini mula mengugut keluarganya. Gambar menunjukkan Ibu Syed Saddiq melihat sidang media secara langsung melalui telefon pintar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2017.
MEREKA memberi amaran kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang nama keluarganya akan terconteng arang jika beliau mendedahkan umpan RM5 juta untuk mengkhianati Bersatu.
Pada awal Rabu, mereka membuktikan amaran itu bukan cakap kosong. Mereka mengirimkan kepadanya dua keping gambar yang boleh merosakkan nama keluarganya.
Gambar-gambar itu dikirimkan melalui aplikasi Telegram berserta amaran tidak mendedahkan identiti mereka yang cuba merasuahnya supaya meninggalkan Bersatu dan mengecam Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad.
"Laporan polis yang difailkan oleh Syed Saddiq bukan tentang dirinya tetapi untuk melindungi keluarganya," kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.
Ketua Pemuda Bersatu itu sebelumnya diugut nama keluarganya akan tercemar jika beliau tidak menerima tawaran habuan RM5 juta itu serta meninggalkan Malaysia untuk menyambung pengajian di Universiti Oxford, United Kingdom.
Menurut sumber, ketika Syed Saddiq mengadakan sidang media mendedahkan umpan RM5 juta dan ancaman terhadap keluarganya, beliau tidak tahu menahu tentang "gambar-gambar sensitif" itu.
"Dan apabila dia mengumumkan akan membuat laporan polis, dia menerima nota ugutan mengancamnya untuk tidak mendedahkan orang yang berhubung dengannya, dan sebagai bukti mereka serius, mereka mengirimkan gambar-gambar itu," kata sumber berkenaan.
Polis kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana laporan tersebut melibatkan unsur rasuah.
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata SPRM kini mengetuai penyiasatan tersebut dan perkembangannya sudah dimaklumkan kepada Syed Saddiq.
"Kita masih membincangkan kes ini dengan SPRM dan akan membuat keputusan tidak lama lagi apakah penyiasatan ini akan dibuat secara berasingan," kata Fadzil.
Syed Saddiq memberitahu The Malaysian Insight malam tadi polis sudah menyoal siasat beliau berkenaan laporannya itu.
"Saya sudah selesai bertemu dengan polis dan pegawai Cawangan Khas dan mereka memberikan pertolongan yang sewajarnya kepada saya," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut perkara itu kerana masih dalam siasatan pihak berkuasa.
"Saya masih belum ke SPRM lagi. Perkara ini berkait antara satu sama lain. Saya akan buat laporan (kepada SPRM) tidak lama lagi."
Dalam siri kenyataan di Twitter semalam, Syed Saddiq berikrar kalau keluarganya "diserang", beliau akan menyerang balik "tidak seperti sebelumnya"

5.Walaupun pada awalnya, saya memang nak pergi tapi mereka silap.
6. If they attack my family, I swear to Allah, that i’ll retaliate like never before.


Namun Syed Saddiq memberitahu The Malaysian Insight: "Saya kata dia orang kanan perdana menteri. Saya tidak pernah kata dia kakitangan Pejabat Perdana Menteri." – 6 Oktober,

Akhirnya 'Kantoi' Jua


INDIVIDU yang bertindak melarikan wang tunai berjumlah RM600,000 dari sebuah bank di Bukit Damansara bulan lalu berjaya diberkas pihak polis di rumahnya di Batu Berendam, Melaka, pukul 7 malam Rabu.
-mstar

5 sebab tak undi PAS pada PRU14

PAS kian giat mengkritik Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad dan DAP dengan pelbagai label ketika negara semakin hampir di ambang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebelum Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan Dr Mahathir bahawa masalah Umno kini berpunca daripadanya, pemimpin PAS turut mengatakan DAP ada versi Islam tersendiri dan dilanda virus anjing gila.

Segala tindakan pimpinan PAS itu kian menggambarkan parti berkenaan sebagai “sekutu” Umno, pembela Perdana Menteri Najib Razak dan bakal membantu BN untuk terus kekal di Putrajaya pasca PRU14.

Justeru, sesiapa jua yang menggelarkan diri mereka sebagai penyokong pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu harus berhati-hati dengan tidak lagi mengundi PAS pada PRU kali ini.

Ini kerana, pertama, mengundi PAS itu diibaratkan sama seperti mengundi Umno. Ini kerana undi buat PAS bertujuan memenangkan Umno dengan memecah serta mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan.

Dengan PAS kini mendapat sentuhan panglima “tembikai” (di luar hijau, dalam merah), mereka kian mempengaruhi presiden PAS untuk menyendeng Umno dan menjadikan pendiriannya mustahil untuk bertukar walau apa jua yang terjadi selepas PRU14.

Kedua, dengan perkembangan terkini, PAS sendiri menjadi parti yang keliru dan tidak konsisten dengan dasar perjuangan dan pendiriannya dengan dahulunya menyokong DAP dan PKR tetapi mengubah keputusan tidak sampai lima tahun.

Bukankah PAS bersama dalam Pakatan Rakyat dengan DAP, PKR pada PRU13 untuk menukar kerajaan tetapi hari ini melabel DAP sebagai anti-Islam sedangkan DAP tetap parti yang sama seperti sebelum PRU13.

Ketiga, PAS juga gagal untuk membangunkan Kelantan. negeri Cik Siti Wan Kembang itu memerlukan kegiatan ekonomi yang lebih bertenaga bagi menyediakan anak muda dengan peluang pekerjaan.

Menurut bancian yang dibuat oleh bekas menteri Umno, Datuk Dr Awang Adek Hussin, seramai 43,376 rakyat Kelantan terutama golongan petani dan nelayan yang masih berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan tidak melebihi RM1,000 sebulan.

Juga, seperti yang kerap dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang secara tiba-tiba menjadi mesra PAS sejak kebelakangan ini, Kelantan terpaksa bertindak menggondolkan bukit-bukau di negeri itu untuk menjana pendapatan.

Sebab keempat untuk tidak mengundi PAS pula ialah parti itu akan meneruskan budaya diktator di negara ini apabila ia berganding bahu dengan Umno dalam PRU14 dengan menjadi parti kecil jika duduk dalam BN.

Umno akan terus bermaharajalela manakala PAS hanya akan menjadi seperti parti komponen BN lain yang harus tunduk tersipu sambil diam apabila disergah oleh Umno selaku “abang besar” yang menguasai majoriti kerusi Parlimen dalam BN.

Berbanding Pakatan Harapan, walau Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun tidak boleh untuk berbuat sesuka hati kerana semua parti dianggap sama kuat, sama lemah.

Sebab kelima pula, meskipun mengaku masih di sisi pembangkang, PAS mengambil pendirian berdiam diri dalam isu 1MDB, skandal kewangan terbesar dunia yang mendapat perhatian dunia dan mencemarkan nama baiknya.

Walaupun berjuang atas nama Islam yang turut mengharamkan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, para pemimpin PAS dilihat mengelak untuk menyuarakan kritikan secara keras dalam isu skandal 1MDB.

Malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hanya sekali menyebut perkataan 1MDB di Parlimen sejak selesainya PRU13.

Kesimpulan

Terbaru, belumpun PAS membuat keputusan untuk menyertai kerajaan, MCA juga sudah berani menggertak PAS untuk menghapuskan agenda hududnya jika mahu bersama-sama dalam BN.

Oleh itu, dengan congakan secara rasional dan matang, wajarlah kiranya lima sebab di atas diambil kira dalam pertimbangan rakyat Malaysia untuk menentukan sama ada mahu memangkah PAS atau tidak.

Ingatlah, perubahan yang ingin dibawa pastinya berdepan pelbagai cabaran, terutama oleh mereka yang dahulunya dianggap sahabat tetapi kini telah bertukar menjadi tukang caci dan maki. Itulah politik. – 14 September, 2017.

*Amran Ahmad Nor adalah ahli DAP dan bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas naib pengerusi DAP.

Duta dituduh guna dana kerajaan untuk selingkuh

Satu demi satu maklumat kecurangan duta Norway ke Indonesia terdedah selepas laporan mengenainya diterbitkan di negara itu.

Antara yang tebaru, perselingkuhan Stig Traavik dengan tiga wanita Indonesia itu menyebabkan Norway mengeluarkan dana RM1.75 juta atas tujuan yang tidak wajar.

Sudah mempunyai isteri Traavik didakwa menjalin cinta terlarang dengan dua ahli perniagaan dan seorang aktivis masyarakat sepanjang tempoh berkhidmat di Indonesia seawal April 2012.

Menurut laporan suara.com Traavik, 46, menjadi duta selepas Parti Buruh yang menguasai kerajaan Norway berminat membiayai projek pemuliharaan hutan tropika Indonesia.

Traavik kemudian dimita "memantau" program berkenaan dan bersama isterinya dia berpindah ke Jakarta.

Kira-kira setahun kemudian Traavik tertarik kepada seorang aktivis masyarakat selepas wanita terbabit menerima bantuan bernilai AS$179,000 (RM757,689) daripada pihak kedutaan.

Dipetik portal Newsinenglish, dana berkenaan disalurkan melalui jalan rasmi untuk membiayai projek kebudayaan wanita terbabit.

Pada April 2013 wanita itu menerima dana tambahan RM2,910 dan dia membuat kertas kerja untuk projek barunya iaitu mempromosikan Norway di Indonesia.

Namun Oslo - yang ketika itu dikuasai Parti Konservatif - menolaknya atas alasan dana bagi membantu kemiskinan di negara ketiga tidak boleh digunakan bagi projek kebudayaan.

Dapat e-mel layang

Namun, hasil campur tangan Traavik, permohonan wanita terbabit diterima kerajaan, malah jumlahnya lebih tinggi berbanding cadangan asal.

Perselingkuhan Traavik dengan wanita itu berakhir pada awal 2015 tetapi ia bukanlah penamat untuk duta berkenaan.

Selepas aktivis terbabit Traavik menjalin hubungan pula dengan dua wanita lain.

Malah kedua-dua wanita itu pernah dijemput Traavik ke kedutaan Norway di Jakarta ketika beberapa menteri negara itu melawat Indonesia.

Seorang daripada kekasih gelap Traavik sempat diperkenalkan dan bersalaman dengan Perdana Menteri Norway, Erna Solberg pada April 2015.

Namun sekali lagi hubungan Traavik dengan ahli perniagaan itu tidak berpanjangan apabila mereka berpisah tidak lama kemudian.

Namun bersama wanita ketiga, hubungan gelap Traavik yang bermula sejak awal 2016 berlanjutan sehinggalah ia terbongkar apabila seorang pegawai Kementerian Luar Norway di Jakarta menerima 'surat' layang.

Melalui e-mel itu Hilde Holbakken berhubung dengan seseorang yang cuma memperkenalkan dirinya sebagai "suami kakitangan kebudayaan" dipercayai seorang diplomat pada Mei tahun lalu.

Hasil maklumat yang diterima kakitangan keduataan menjalankan siasatan dan apabila bukti ditemui Traavik dipanggil pulang ke Norway.

Sementara itu Traavik mengakui dia curang dan mengambil tanggungjawab atas perbuatan itu.

"Namun laporan Verdens Gang (akhbar tabloid Norway yang mendedahkan kecurangan itu) tidak benar.

"Tidak ada dana awam yang disalahgunakan dan tiada orang mendapat faedah secara tak adil," katanya.

Setakat ini juga Oslo dilaporkan belum menemui bukti Traavik melakukan penyelewengan dalam perselingkuhannya di Indonesia.
-malaysiakini

‘Detik hitam kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor’

‘Detik hitam kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor’
ARIF ATAN Foto: WAN ZAHARI 

AMANAH Selangor menyifatkan perobohan kediaman dan kedai bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang hari ini dapat dielak jika semua pihak bekerjasama.

Pengerusinya, Izham Hashim berkata, keluarga terlibat masih dalam proses mahkamah berhubung tuntutan pampasan yang lebih setimpal.

“Pagi ini nampaknya mereka (badan berkuasa) mengambil jalan yang kasar merobohkan rumah terlibat. Ini merupakan detik hitam kepada sejarah negeri Selangor (diterajui) Pakatan Harapan. “Mereka sudah lama puluhan tahun tinggal di sini walaupun bukan lagi pegawai masjid ini.

“Mereka telah pun pergi (bawa kes) ke mahkamah dan prosesnya belum selesai. Mereka masih di peringkat membuat rayuan untuk menyelesaikan isu pampasan ini,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau ditemui hadir di Lot 1210 Mukim Sungai Buloh yang dihuni dua keluarga iaitu Abdul Razak Said dan Yaakob Abdul sejak tahun 1996.

Lokasi tersebut berada dalam kawasan Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah tetapi dimiliki pihak Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut Izham, dua keluarga terbabit juga sebenarnya sudah bersedia untuk mengosongkan lot tersebut tetapi memerlukan tempoh bagi tujuan perbincangan lanjut berhubung jumlah pampasan.

“Kita meminta kerjasama semua pihak untuk menyelesaikan isu ini di meja rundingan.

“Walaupun kita faham tanah ini milik MAHB (Malaysian Airports Holdings Berhad) dan arahan dikeluarkan mengikut Kanun Tanah Negara untuk merobohkan premis ini tapi kita yakin jalan penyelesaian dengan cara baik boleh dicari jika semua pihak bekerjasama.

“Kita difahamkan tawaran (pampasan) hanya RM5,000 yang dibayar secara ansuran atas usaha mereka selama ini. Kita memandang ini sebagai satu penindasan,” tegasnya lagi

Guru disyaki cabul pelajar ditahan

Bernama
Kuching – Seorang guru disyaki melakukan seksual fizikal terhadap dua pelajarnya akan dihadapkan ke Mahkamah Serian pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar, suspek yang berusia 37 tahun itu mengajar di sebuah sekolah di daerah Serian disyaki melakukan seksual fizikal terhadap dua murid lelakinya yang masing-masing berumur 10 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menurut Dev, mangsa pertama dicabul pada Mei 2017 di dalam pejabat Hal Ehwal Murid manakala bagi mangsa kedua, kejadian berlaku pada Ogos 2017 di dalam stor sekolah berkenaan, bagaimanapun murid itu berjaya melepaskan diri.

Katanya, keluarga kedua-dua mangsa mendakwa mereka telah mengadu kepada pihak sekolah tetapi tidak ada tindakan atau maklum balas daripada pihak sekolah dan ini telah memaksa mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian hari ini.

Menurut Dev bertindak setelah menerima laporan berkenaan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Serian menahan suspek petang tadi ketika dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian.

Umno-PAS akan ‘bersatu’ tak lama lagi, kata Annuar Musa

Looi Sue-Chern

UMNO dan PAS akan menyaksikan “kerjasama yang semakin kuat” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.

Katanya situasi itu mungkin berlaku kerana kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan dalam perjuangan politik mereka walaupun mereka berbeza.

“Ada persamaan yang bertembung, seperti matlamat perjuangan kami, yang lebih penting. Kerana itu, saya jangka akan ada kerjasama antara Umno dan PAS daripada semasa ke semasa.

“Tunggu beberapa minggu atau bulan lagi bila pilihan raya makin dekat.

“Saya percaya kepimpinan Umno dan PAS akan mengumumkan tentang kepentingan agama yang akan menjadikan orang Melayu dan Islam gembira,” katanya pada dialog “Perjuangan4All” Umno di Balik Pulau malam tadi.

Annuar berkata bukan bermaksud Umno akan menyertai PAS atau parti Islam itu yang sekian lama dianggap musuh tradisinya akan menyertai Umno atau Barisan Nasional.

Katanya di bawah kepimpinan semasa, PAS lebih bersedia untuk mempertimbangkan persamaan mereka dengan Umno.

“Sebelum ini, PAS mencari jalan untuk memisahkan dirinya daripada Umno, tetapi di bawah kepimpinan sekarang, nampaknya ada perubahan. Mereka kini berfikir tentang apa persamaan yang kita ada.

“Sebenarnya, Umno dan PAS ada banyak persamaan. Mari kita raikan itu,” katanya.

Annuar berkata politik di Malaysia terpisah kepada dua kumpulan yang berbeza DNA.

Umno dan parti serpihannya- PAS, PKR dan Bersatu- semua mempunyai DNA yang sama, berkongsi ideologi yang sama, matlamat dan perjuangan untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara walaupun mereka mungkin mempunyai cara yang berbeza.

Kumpulan lain, katanya, mempunyai DNA yang sama sekali berbeza- bertentangan dengan apa yang diperjuangkan Umno.

“PAS datang daripada DNA yang sama (seperti Umno). Kerana itu saya kata kita ada titik pertembungan. PAS dan UMNO tidak akan jauh terpisah selamanya. Kita akan bertemu di satu tempat,” katanya.

PAS merupakan bekas ahli dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. Gabungan pembangkan itu terbubar pada 2015 selepas PAS memutuskan ikatan dengan DAP kerana isu hudud. PAS juga menamatkan kerjasama politik dengan PKR pada Mei lalu.

Sejak kebelakangan ini, PAS dilihat semakin mesra dengan Umno. Parti Islam itu kini membentuk gabungan pembangkangnya sendiri, blok ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera dengan parti lain yang lebih kecil seperti Berjasa, Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) dan Parti Cinta Malaysia.

Pada dialog yang sama, Annuar dalam ucapannya berkata musuh sebenar Umno adalah DAP yang mempunyai DNA berbeza.

Katanya, DAP adalah manifestasi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura, dan menuduh parti itu mencetuskan politik perkauman dengan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia walaupun kerajaan sekarang sentiasa memelihara hak identiti budaya, bahasa dan kebebasan beragama orang Cina sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Beliau juga mengambil kesempatan dengan mengecam hubungan yang sekarang terjalin antara DAP dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mempengerusikan Pakatan Harapan sejak beralih arah kepada pembangkang.

Annuar berkara DAP hanya mahukan dominasi dan akan menggunakan Dr Mahathir yang pernah mentadbir negara pada 1981 hingga 2003 untuk memecah belahkan orang Melayu.

“Anda percaya ke DAP sokong Dr Mahathir? DAP serang dia sepanjang masa di Parlimen ketika dia berkuasa. Sekarang bila dia dah tak ada kuasa, DAP sokong dia.

“Saya tak rasa mereka percaya sesama sendiri. Mereka bekerjasama kerana DAP perlu guna Dr Mahathir untuk pecah belahkan orang Melayu.

“DAP juga tak percaya pada (Presiden PH dan PKR) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) tetapi dia akan guna sesiapa sahaja untuk pecah belahkan orang Melayu, sama seperti dia gunakan PAS,” katanya.

Annuar dan Ahli Parlimen Balik Pulau Dr Hilmi Yahya adalah ahli panel dalam dialog yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Junaidi Abu Bakar daripada Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dialog yang diadakan di dewan Maktab Rendah Sains Mara di Pondok Upeh, Balik Pulau itu dihadiri ramai pemimpin Umno tempatan dan ratusan ahli dan penyokong Umno dan Barisan Nasional. – 4 Oktober, 2017.

'Ada orang PAS kafirkan ibu bapa mereka'

Mahathir Mohamad
PAS kata mengundi Pakatan Harapan ialah mengundi untuk DAP. Saya tidak hendak komen terhadap pendapat dangkal ini.

Kalau sehingga kini masih percaya kepada cerita dongeng ini, tak mungkin PAS boleh celik mata dan lihat keadaan sebenar.

PAS tidak pernah menang di peringkat pusat. Ia hanya parti pengacau yang memecahbelah dan melemahkan orang Islam.

Rekod PAS tidak menunjuk apa-apa sumbangan PAS kepada orang Melayu dan agama Islam.

Tidak ada sesiapa boleh nafikan bahawa sebelum ada PAS, orang Melayu beragama Islam dari mazhab ahli sunnah wal jamaah yang berimam dengan Imam Shafie tidak berpecah dan berpuak-puak kerana tidak ada kelainan fahaman Islam antara mereka.

Hanya apabila PAS ditubuh maka orang Melayu berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Ini adalah kerana dakwaan PAS kononnya orang Umno kafir.

Demikian kesan daripada dakwaan ini sehingga bukan sahaja orang Melayu berpecah dua tetapi ramai orang PAS begitu percaya kepada dakwaan PAS sehingga ada yang mengkafirkan ibu bapa mereka dan mendakwa perkahwinan mereka tidak sah.

Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa dakwaan ini menjadikan mereka sendiri anak di luar nikah. Saya tidak nak sebut apakah nama yang kita beri kepada orang yang dilahir di luar nikah.

Kononnya untuk menghalalkan perkahwinan, orang yang kahwin sebelum adanya PAS, perlu kahwin sekali lagi. Dan ini memang berlaku.

Sembahyang dua imam

Kerana dakwaan orang yang bukan ahli PAS adalah kafir maka berlakulah sembahyang dua imam, pengkebumian orang PAS dikubur berasingan dari orang bukan PAS dan mendiri masjid berasingan.

image: https://i.malaysiakini.com/1095/82a52cf5d5b5048646b66c81698279ca.jpeg

Makanan sembelihan orang bukan PAS didakwa haram dan tidak boleh dimakan oleh orang PAS.

Kemudian datang Hj Hadi yang mengeluar amanat menghalalkan pembunuhan anggota pemerintah, kerana pemerintah Malaysia adalah kafir. Lebih dari itu dia juga dakwa melawan kerajaan adalah jihad dan mati mereka adalah syahid.

Dan berlakulah peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim Libya membunuh empat orang anggota polis dan mencedera yang lain.

Selepas dari peristiwa ini PAS bekerjasama dengan DAP walaupun PAS mendakwa bekerjasama dengan orang kafir menjadi orang Islam kafir.

Tahaluf siyasi

Kononnya kerjasama ini tidak semacam kerjasama Umno dengan orang kafir dalam MCA dan MIC. Kononnya PAS mengadakan “Tahaluf Siyasi”.

Perkataan Arab ini bermakna “Kerjasama Politik”. Tidak ada kelainan antara “Tahaluf Siyasi” PAS dengan kerjasama politik antara Melayu Umno dengan Cina dan India, MCA dan MIC.

Tak usahlah cuba jelas Tahaluf Siyasi PAS dengan DAP adalah bersyarat. Kerjasama Melayu Umno dengan MCA dan MIC juga bersyarat.

Dakwaan bahawa orang bukan PAS tidak Islam masih dipercayai. Di Terengganu sembahyang dua imam dan sembahyang di masjid berasingan masih berlaku.

Perpecahan politik telah dijadikan perpecahan agama antara orang Melayu Islam Malaysia. Sebahagian besar orang Islam di Malaysia masih dianggap sebagai kafir oleh fanatik PAS.

Untuk mengekalkan perpecahan orang Islam di Malaysia PAS memaksa ramai ahlinya berbaiah kepada pemimpin dan parti. Perbuatan ini bertentangan dengan ajaran agama.

Islam menuntut supaya semua orang Islam bersaudara. Apabila melafaz baiah kepada sesiapa maka kesetiaan kepada pemimpin (ulama) atau parti mengatasi kesetiaan kepada Allah, rasul dan al-Quran. Kerana kesetiaan ini tindakan yang tidak diizinkan oleh Islam dilakukan. Dan memang pun PAS berbuat demikian.

Hasrat PAS menangkan Najib

Dalam PRU 14 ini sepatutnya diadakan pertandingan satu lawan satu di semua kawasan. Besar kemungkinan ini akan berlaku dalam kawasan bandar di mana PAS tidak akan bertanding.

Besar kemungkinan bahawa di sini pertandingan adalah antara DAP dan BN. Kemenangan DAP sebenarnya disokong oleh PAS yang tidak bertanding dalam kawasan bandar.

Tetapi di kawasan luar bandar di mana ramai penduduk adalah orang Islam, akan berlaku pertandingan tiga penjuru. Pakatan Harapan (P.H.) akan lawan BN dan PAS.

PAS akan mengumpan sebahagian daripada pengundi anti-kerajaan BN sehingga akan kuranglah undi kepada PH. Bahawa PAS juga akan kalah tidak mengapa. Kerana hasrat PAS ialah supaya Najib dapat kemenangan. Kenapakah PAS berbuat demikian? Apakah dedak memainkan peranan? Wallahualam.

Tak mungkin jadi kerajaan

Inilah peranan dan hasrat PAS setelah ia ditubuh. PAS tidak mungkin menang untuk mendirikan kerajaan di peringkat pusat walaupun ia bertanding seratus kali.

Sebaliknya PAS tetap mengurangkan jumlah orang Islam dalam parti pemerintah.

Kali ini, PAS secara langsung akan pecah barisan pengundi yang menentang Najib supaya Najib akan menang.

Kemenangan PAS di Kelantan hanya membawa nasib buruk kepada negeri itu. Ia juga mencemarkan imej Islam di Malaysia.

Sama ada dirancang atau tidak disedari atau tidak inilah hasil daripada pemulihan PAS.
Saya sedar kebenaran ini akan menyebabkan pelampau PAS marah amat sangat. Tetapi kebenaran masih kebenaran walaupun memedih telinga mendengar.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri yang kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).