"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MoU Kerajaan Perpaduan sebenarnya tambah tekanan kepada pembangkang

DR ZULKARNAIN LUKMAN

Tanggal 16 Disember 2022 tercipta sejarah baharu pasca PRU 15 apabila kesemua parti dan ahli parlimen yang membentuk kerajaan telah menandatangani satu MoU atau yang dinamakan Perjanjian Persefahaman Kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia antara PH, BN, GPS, GRS, Warisan, PBM, KDM dan ahli parlimen bebas. MOU sebegini dianggap nadir dalam sejarah Malaysia kerana semenjak Merdeka model pembentukan kerajaan adalah berdasarkan sistem gabungan parti seperti Perikatan dan Barisan Nasional.

Dalam kitab Ar Raheeq Al Makhtum karangan Sheikh Safi-Ur Rahman Al-Mubarakpuri (2021, Dakwah Corner Bookstore) mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah membuat dua perjanjian setibanya di Madinah Al-Munawwarah. Hijrah Nabi SAW ke Madinah itu membuka lembaran baru kepada agama Islam daripada kaum yang ditekan oleh Quraisyh kepada kaum yang memerintah.

Namun, suasana di Madinah ketika itu memerlukan satu kebijaksanaan memerintah kerana faktor ketidakstabilan politik. Masyarakat Madinah ketika itu terdiri daripada 3 golongan iaitu kaum Muslimin Muhajirin dan Ansar, kaum musyrikin Madinah dan kaum Yahudi. Kaum musyrikin Madinah itu diketuai oleh Abdullah bin Ubai dan kehadiran Nabi SAW itu akan mengancam kedudukannya sebagai tokoh besar di kalangan penduduk Madinah. Abdullah bin Ubai adalah tokoh yang dipersetujui oleh suku al-Aus dan al-Khazraj untuk dilantik sebagai pemimpin mereka selepas peristiwa peperangan Buath tetapi pertabalan rasmi masih belum lagi dibuat. Kaum Yahudi pula amat menguasai ekonomi Madinah dan sangat licik. Kaum Yahudi sering menjadi batu api untuk menimbulkan permusuhan antara suku kaum supaya mereka kemudiannya dapat menyalurkan pinjaman kewangan secara riba.

Justeru, Nabi SAW telah membuat carta persefahaman antara bukan Islam dan Islam yang boleh mengenepikan rangsangan jahiliah dan kecenderungan bermusuhan sehingga mereka semua dapat didamaikan.

Antara isi kandungan persefahaman itu adalah bahawa pengiktirafan terhadap setiap golongan itu (dalam konteks moden disebut warganegara) dan kerjasama sesama mereka. Mereka tidak boleh saling bunuh-membunuh dan setiap orang berhak mendapat perlindungan keamanan.

Begitu juga, Nabi SAW telah membuat perjanjian dengan Yahudi dengan memberikan kemerdekaan penuh kepada Yahudi dalam aspek agama dan kewangan. Kaum Yahudi juga bertanggungjawab untuk membiayai negara sepertimana orang Islam. Kaum Yahudi juga dilarang untuk bekerjasama dengan kaum Quraisyh dan bertanggungjawab untuk mempertahankan kota Madinah daripada dicerobohi.

Melihat kepada MoU Kerajaan Perpaduan Malaysia ini ianya mencontohi apa yang berlaku ketika Nabi SAW memasuki kota Madinah iaitu untuk mewujudkan kestabilan politik. Intipati MoU ini sendiri adalah berteraskan kepada kestabilan politik dengan mewujudkan persefahaman antara semua pihak yang membentuk kerajaan. MoU ini mengesahkan bahawa kerajaan ini mempunyai majoriti 2/3 di Dewan Rakyat iaitu mencecah 148 kerusi (lihat Resital A)

Resital B MoU ini mengesahkan titah YDPA supaya satu kerajaan perpaduan ditubuhkan demi kestabilan. Walaupun ramai pihak yang ‘koyak’ dengan istilah ini namun, penggunaan istilah titah YDPA ini menunjukkan bahawa ianya adalah satu kehendak daripada YDPA sendiri dan tidak sepatutnya pihak yang ‘koyak’ ini engkar dengan titah YDPA tersebut.

Resital E MoU ini pula menyatakan tempoh MoU ini akan berlangsung selama 5 tahun dan ini akan mewujudkan kestabilan politik secara jangka panjang. Tidak syak lagi bahawa kewujudan MOU seperti ini mampu menggagalkan sebarang usaha tebuk atap atau langkah Sheraton 2.0.

Apa yang menarik daripada MoU ini adalah pemeteraian matlamat bersama yang ingin diwujudkan daripada Kerajaan Perpaduan Malaysia. Terdapat 17 matlamat yang dinyatakan dan kesemua matlamat itu adalah selaras dengan semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Matlamat yang dinyatakan itu antara lain adalah mewujudkan masyarakat yang adil, mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, keluhuran dan kedaulatan undang-undang, memperkuatkan pemisahan cabang kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, kebebasan asasi seperti kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, pengukuhan semangat Federalisme dan lain-lain. Kesemua matlamat ini adalah penegasan semula terhadap kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, ada matlamat yang tidak dinyatakan secara harfiah dalam Perlembagaan seperti pembelaan ekonomi, mobiliti sosial, penyediaan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam, jaminan hak pekerjaan serta upah yang adil, pengiktirafan kepada peranan wanita dan iktikad untuk penglibatan 30% wanita dalam kerajaan, pengembangan potensi belia dan remaja, meningkatkan mutu orang Asal, perlindungan alam sekitar dan pengembangan dasar hubungan luar.

Kewujudan matlamat MoU ini dilihat sebagai untuk menggantikan manifesto parti masing-masing semasa kempen PRU 15 yang lepas. Ini bukan bermakna hasrat manifesto itu tidak dapat dilaksanakan tetapi perlaksanaan kandungan manifesto itu mestilah mengikut matlamat yang digariskan. Jika ada mana-mana kandungan manifesto itu bercanggah dengan matlamat ini maka matlamat ini haruslah diberikan keutamaan.

Dengan adanya matlamat yang sama ini maka Kerajaan Perpaduan Malaysia ini akan dipandu dengan satu matlamat yang sama. Kemungkinan ramai pihak sebelum ini curiga bagaimanakah parti-parti politik yang berbeza ideologi boleh bersama dengan membentuk kerajaan. Maka, MoU ini adalah jawapan kepada kecurigaan itu. Ini berbeza sekali semasa pembentukan kerajaan tebuk atap atau kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini yang tidak dipandu dengan sebarang matlamat yang sama.

Sebab itulah kerajaan Perikatan Nasional sentiasa berantakan yang akhirnya berlaku pertukaran Perdana Menteri kepada Ismail Sabri. Apa yang mengikat kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini adalah hanya ‘scheme of things’ iaitu pemberian jawatan politik sehingga wujud dua timbalan menteri dalam pelbagai kementerian sehingga kita sendiri pun tidak kenal siapakah timbalan menteri itu dan ditambah lagi dengan pewujudan jawatan duta khas serta pelantikan politik yang berleluasa dalam GLC.

MoU ini juga telah menetapkan Jemaah Menteri hanya terdiri daripada 28 orang Menteri. Namun, jumlah ini boleh ditambah jika keadaan memerlukan. Walaupun Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk melantik menteri, MoU ini telah menyatakan bahawa Perdana Menteri perlu berunding dengan kesemua parti sebelum dibuat apa-apa pertambahan atau perubahan portfolio kementerian masing-masing.

Kandungan penting yang lain MoU ini adalah berkaitan undi percaya dan undang-undang perbekalan. Dengan adanya MoU ini boleh dianggap hampir mustahil apa-apa RUU tidak dapat diluluskan di Parlimen. Ini kerana MoU ini meletakkan syarat kepada setiap parti untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul percaya, perbekalan dan lain-lain yang boleh memberikan kesan kepada keabsahan kerajaan.

Setiap parti pula bertanggungjawab untuk memastikan setiap ahli parlimen parti mereka untuk menyokong usul itu. Sekiranya berlaku mana-mana ahli parti yang tidak mematuhi arahan parti maka boleh menyebabkan pemberhentian ahli sehingga menyebabkan kekosongan kerusi ahli parlimen itu yang akan membawa kepada satu pilihan raya kecil diadakan.

Perkara yang terakhir dinyatakan adalah mengenai penubuhan mekanisme khas untuk meluruskan sebarang pertikaian. Kewujudan Majlis Perundingan dan Timbang Tara dilihat dapat meleraikan sebarang kekusutan yang mungkin berlaku. Penerapan konsep musyawarah sebegini lebih baik daripada penggunaan prerogatif Perdana Menteri bersendirian. Penggunaan Mahkamah juga tidak sesuai untuk menghentikan pertelingkahan antara pihak dalam MoU ini.

Kesimpulannya, kewujudan MoU ini akan menambahkan tekanan kepada pihak pembangkang kerana secara dasarnya kerajaan ini telah stabil dengan 148 orang ahli Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan.

Langkah Kerajaan Perpaduan Malaysia mengisytiharkan MoU ini kepada masyarakat awam adalah sangat baik kerana ini membolehkan masyarakat awam turut berpartisipasi dalam sistem demokrasi sekaligus memantau tindak-tanduk kerajaan supaya selaras dengan kehendak MoU.

2 lagi mayat ditemui, korban tanah runtuh meningkat kepada 23

Faisal Asyraf

HULU SELANGOR: Pasukan penyelamat menemui dua lagi mayat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan berdekatan Father’s Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali, dipercayai ibu dan anak lelaki, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat itu ditemui berdekatan antara satu sama lain.

Beliau berkata pihak berkuasa percaya mangsa adalah seorang ibu dan anak lelakinya.

“Kami percaya wanita itu berusia dalam lingkungan 30-an manakala budak lelaki itu berusia antara dua hingga tiga tahun,” katanya kepada media di lokasi.

Kedua-duanya ditemui di Hillview, tertimbus sepenuhnya oleh tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku pada awal pagi semalam di tiga tapak perkhemahan berhampiran jalan Batang Kali-Genting Highlands.

Berdasarkan rekod pendaftaran pelawat oleh pengendali tapak khemah, 94 orang didaftar bermalam di situ semasa tanah runtuh di mana 61 orang telah diselamatkan.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dengan 10 lagi mangsa masih hilang.

Norhisham ditemui dalam keadaan memeluk sebatang pokok

Hazira Ahmad Zaidi

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: "Selepas ayah melaungkan azan ketika Maghrib semalam dan pada masa sama, ibunya turut memanggil nama Norhisham dan pagi ini dia ditemui selamat sambil berpeluk pada sebatang pokok," kata Rosliza Ghani @ Hassan, 32.

Rosliza adalah ibu saudara kepada Norhisham Saifudin, 18, yang ditemui jam 10 pagi tadi yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Temalir pada petang Selasa lalu.

Rosliza berkata, ketika ditemui anak saudaranya itu berada dalam keadaan lesu serta tidak bermaya selain mengalami luka dan calar di seluruh anggota badan yang kini sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Anak saudara saya tidak mengingati apa yang berlaku kepada dirinya sebaliknya bertanya semula kepada kami apa yang terjadi ke atas dirinya sepanjang tempoh empat hari dia hilang di dalam hutan.

"Bagaimanapun, anak saudara saya sempat menceritakan, sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) mencarinya di dalam hutan, dia boleh melihat orang ramai dan anggota keselamatan sedang mencarinya.

"Pada ketika itu dia cuba menjerit meminta tolong, namun suaranya tidak didengari sehinggalah pada malam tadi datuknya melaungkan azan dan pada masa ibunya menjerit memanggil nama anaknya berulang kali," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan hilang di Kampung Temalir, Selasa lalu, selepas dipercayai melarikan diri ke dalam hutan.

Keluarga dan penduduk kampung berusaha mencarinya, namun tidak juga ditemui sebelum membuat laporan polis.

Seramai 42 anggota pasukan keselamatan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain bantuan penduduk kampung dan juga Unit Anjing Pengesan

Rosliza berkata, sepanjang misi pencarian dijalankan mereka sekeluarga tidak putus-putus berdoa semoga Norhisham ditemui selamat dan doa kami dimakbulkan Allah SWT.

"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan juga orang kampung yang bertungkus lumus mencari anak saudara saya sehinggalah dia ditemui pada pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, remaja berkenaan ditemui anggota penyelamat pada 10 pagi pada jarak 200 meter (m) dari lokasi hilang.

Katanya, ketika dijumpai mangsa sedang berdiri dan tidak berpakaian selain mengalami luka serta calar di seluruh badan.

‘Rancangan tebuk atap sudah terbantut’ – Orang ramai sokong permuafakatan lima gabungan parti

FAZLI RADZI

Rancangan tebuk atap sudah terbantut. Itu antara reaksi orang ramai yang menyokong perjanjian Permuafakatan Antara Gabungan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Pemeteraian perjanjian melibatkan lima gabungan parti itu merupakan julung kalinya dibuat adalah bagi memuktamadkan ketidaktentuan politik di negara ini.

Kesemua gabungan parti terbabit iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan secara rasmi Warisan bermuafakat membentuk Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sokongan menjelang usul undi percaya dalam sidang khas yang akan berlangsung 19 Disember ini menyaksikan Anwar telah mendapat sokongan 144 ahli Parlimen iaitu PH (82), BN (30), GPS (23), GRS (6) dan tiga dari Warisan.

“Rancangan tebuk atap terbantut.

“Alhamdullilah. Diharapkan negara kita stabil untuk tempoh lima tahun mendatang.

“Cukup-cukuplah nak buat kerja kotor, merosakkan ekonomi dan negara. ‘Abah’ dan ‘anak-anak’ mohon tunggu PRU16 ya. Sekarang. buatlah kerja hakiki,” demikian antara reaksi orang ramai di media sosial.

Apakah Anwar dapat apa yang dihajatinya Isnin ini? Jika ya…

A KADIR JASIN

Seandainya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, diteruskan di Dewan Rakyat Isnin ini, ia akan mencipta sejarah. Segala petunjuk menjurus ke arah usul itu diteruskan.

Dalam sidang medianya yang pertama pada 24 November lalu, Anwar berkata, usul itu adalah daripada kerajaan sendiri. Tujuannya bagi menjawab keresahan mengenai keabsahan kerajaan perpaduan yang beliau ketuai.

Anwar merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Md Yasin, yang meragui keabsahan jumlah sokongan yang diterimanya.

Seingat sayalah, inilah kali pertama dalam sejarah negara kita seorang Perdana Menteri meminta diadakan undi percaya (confidence vote) terhadapnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri tidak perlu undi percaya kerana mempunyai majoriti yang sahih atau takut kalah dalam kes Mahiaddin dan Ismail Sabri Yaakob. Kedua-dua mereka dilantik menjadi Perdana Menteri semata-mata atas kekuatan akuan berkanun (statutory declaration/SD) yang tidak pernah didedahkan untuk pengetahuan umum.

Anwar pun pernah beberapa kali menggunakan kaedah SD untuk tujuan politik. Jadi elok sangatlah beliau tidak terus menggunakannya. Usul undi percaya lebih berani, telus dan demokratik.

Lebih daripada itu, ia membayangkan keyakinan Anwar terhadap sokongan ahli Dewan Rakyat kepadanya. Pendapat umum menjurus ke arah beliau memperoleh sokongan yang cukup kuat.

Laporan media yang memetik Anwar berkata, beliau yakin memperoleh sokongan dua pertiga berdasarkan ikrar ketua-ketua parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan beberapa buah parti lain.

Hari ini, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH. Semua gabungan diwakili oleh pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Mohd Shafie Apdal; Pengerusi GPS, Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor. PH diwakili Anwar sendiri sebagai Pengerusinya.

Boleh jadi Anwar akan mendapat sokongan dua pertiga. Tetapi baik juga kita menerima berita ini dengan berhati-hati sikit kerana pernah, pada masa lampau, Anwar telah melebih sebut (overstated) keupayaannya.

Ditakdirkan Anwar memperoleh apa yang dihajatinya Isnin ini, kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan menjadi lebih kukuh sambil mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang berani meletakkan nasibnya di tangan kawan dan lawan di dalam dewan walaupun tidak diperlukan.

Apakah Anwar dapat apa yang dihajatinya Isnin ini? Jika ya…

A KADIR JASIN

Seandainya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, diteruskan di Dewan Rakyat Isnin ini, ia akan mencipta sejarah. Segala petunjuk menjurus ke arah usul itu diteruskan.

Dalam sidang medianya yang pertama pada 24 November lalu, Anwar berkata, usul itu adalah daripada kerajaan sendiri. Tujuannya bagi menjawab keresahan mengenai keabsahan kerajaan perpaduan yang beliau ketuai.

Anwar merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Md Yasin, yang meragui keabsahan jumlah sokongan yang diterimanya.

Seingat sayalah, inilah kali pertama dalam sejarah negara kita seorang Perdana Menteri meminta diadakan undi percaya (confidence vote) terhadapnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri tidak perlu undi percaya kerana mempunyai majoriti yang sahih atau takut kalah dalam kes Mahiaddin dan Ismail Sabri Yaakob. Kedua-dua mereka dilantik menjadi Perdana Menteri semata-mata atas kekuatan akuan berkanun (statutory declaration/SD) yang tidak pernah didedahkan untuk pengetahuan umum.

Anwar pun pernah beberapa kali menggunakan kaedah SD untuk tujuan politik. Jadi elok sangatlah beliau tidak terus menggunakannya. Usul undi percaya lebih berani, telus dan demokratik.

Lebih daripada itu, ia membayangkan keyakinan Anwar terhadap sokongan ahli Dewan Rakyat kepadanya. Pendapat umum menjurus ke arah beliau memperoleh sokongan yang cukup kuat.

Laporan media yang memetik Anwar berkata, beliau yakin memperoleh sokongan dua pertiga berdasarkan ikrar ketua-ketua parti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan beberapa buah parti lain.

Hari ini, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH. Semua gabungan diwakili oleh pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Mohd Shafie Apdal; Pengerusi GPS, Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor. PH diwakili Anwar sendiri sebagai Pengerusinya.

Boleh jadi Anwar akan mendapat sokongan dua pertiga. Tetapi baik juga kita menerima berita ini dengan berhati-hati sikit kerana pernah, pada masa lampau, Anwar telah melebih sebut (overstated) keupayaannya.

Ditakdirkan Anwar memperoleh apa yang dihajatinya Isnin ini, kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan menjadi lebih kukuh sambil mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang berani meletakkan nasibnya di tangan kawan dan lawan di dalam dewan walaupun tidak diperlukan.

Pencuri berbikini

Agensi

SUSPEK memanjat pagar. FOTO NBT North

SUSPEK memanjat pagar. FOTO NBT North

Bangkok: Dengan hanya memakai bikini, seorang wanita Thailand selamba memecah masuk sebuah rumah dan kedai barangan binaan sebelum melarikan barangan berharga.

Portal Thaiger melaporkan, wanita itu sempat melarikan wang tunai, iPhone dan barangan berharga lain dalam kejadian kira-kira 6 petang, di Chiang Mai, Sabtu lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didedahkan pemilik kedai menunjukkan wanita yang memakai pakaian renang itu memanjat pagar setinggi tiga meter di belakang kedai dan cuba membuka pemegang pintu kedai.

Pemilik kedai berkata, dia terkejut wanita itu berani melakukan jenayah seperti itu pada waktu pengunjung masih ramai.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, suspek turut memecah masuk sebuah rumah di Chang Phueak, Mueng Chiang Mai, pada hari sama.

Dalam rakaman CCTV berhampiran rumah berkenaan, wanita itu dilihat memanjat bumbung dan terjun ke parit, sebelum melarikan diri.

Dia dilaporkan mencuri iPhone, jam tangan, 1,000 baht (RM126.35), bank kuasa (power bank) dan beberapa helai pakaian dalam.

Sementara itu, pegawai polis dari Balai Polis Chang Phueak mengesahkan penahanan suspek selepas meneliti rakaman CCTV, ujian DNA dan cap jari.

21 korban ditemui setakat 7 malam

Malaysiakini

Dua lagi mayat ditemui setakat 7 malam, menjadikan jumlah keseluruhan korban tanah runtuh di Batang Kali meningkat kepada 21 orang.

Mereka terdiri daripada 4 kanak-kanak (lelaki), 1 kanak-kanak (perempuan), 12 Wanita dan 4 lelaki dewasa.

Usaha mencari dan menyelamat bagi mengeluarkan 12 lagi mangsa di bawah runtuhan masih diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bantuan agensi-agensi lain.

Mayat ibu, anak ditemui berpelukan

6.10 petang: Mayat mangsa ke-17 dan ke-18 ditemui di bawah runtuhan dekat tepi sungai, jam 4.40 petang tadi, lapor Berita Harian.

Mangsa ditemui berpelukan ialah pasangan ibu dan anak perempuan berusia kira-kira tiga tahun.

Kedua-dua mangsa dipercayai berkhemah di kawasan berhampiran tetapi pergerakan tanah menolak mangsa berhampiran sungai.

Satu lagi mayat ditemui, jumlah korban 19

6.05 petang: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis memaklumkan 19 mangsa meninggal dunia apabila satu lagi mayat ditemui.

Norazam dalam sidang media berkata, empat mangsa yang maut tersebut adalah kanak-kanak. Pada masa ini katanya seramai 14 mangsa belum ditemui manakala dua lagi mangsa cedera.

Pihak bomba bercadang meneruskan operasi sehingga baki kesemua 14 individu itu ditemui. Bagaimanapun operasi akan dihentikan serta-merta sekiranya hujan.

Habib Shah Firdaus sudah ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

Pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus, 59 ditahan polis Cawangan Khas Bukit Aman di sebuah rumah sewa di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak.  FOTO ASWADI ALIAS

Pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus, 59 ditahan polis Cawangan Khas Bukit Aman di sebuah rumah sewa di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak. FOTO ASWADI ALIAS

Kuala Lumpur: Menyewa rumah di kawasan kampung yang tersembunyi sejak seminggu lalu dan tidak bergaul dengan jiran selain jarang membuka tingkap dan pintu rumah.

Itu dilakukan pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus, 59, bagi mengelak dirinya dikesan pihak berkuasa sebaik pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, selepas empat bulan menghilangkan diri, akhirnya beliau yang bersembunyi di sebuah rumah sewa di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak, ditahan polis Cawangan Khas Bukit Aman, malam tadi.

Menurut sumber, pemimpin tarekat terbabit yang bekerja sebagai penjual tempe itu ditahan 10 malam tadi di dalam rumah sewanya yang terletak agak terpencil di kawasan kampung.

Dia yang berbaju Melayu dan berkain pelikat kelihatan tenang ketika ditahan, sementara di rak almari di dalam rumahnya dipenuhi buku berunsur keagamaan.

Sumber berkata, dia bersama 237 pengikutnya pada 16 Mac lalu berlepas ke Madinah untuk menunaikan umrah sekali gus menetap di Makkah dan kononnya Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah.

"Mereka percaya kemunculan Imam Mahdi menandakan dunia sudah berada di akhir zaman.

"Bagaimanapun, pada 17 Ogos lalu, Habib Shah Firdaus pulang ke Malaysia selepas diusir pihak berkuasa Arab Saudi," katanya.

Menurut sumber, kepulangan beliau juga tidak dimaklumkan kepada pihak Konsulat Malaysia di Jeddah menyebabkan polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) penduduk, Efendi Sumardy, 72, berkata, lelaki terbabit adalah individu ketiga yang menyewa rumah itu, namun lelaki itu hanya tinggal di situ kira-kira seminggu lalu.

"Kami juga tidak pernah bertemu dengannya kerana dia juga tidak memaklumkan kepada penduduk dia berpindah ke sini.

"Kami hanya melihat ada kereta Mercedes Benz sahaja di luar rumah, manakala mereka tidak kelihatan kerana pintu dan tingkap jarang dibuka," katanya.

Pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, Negeri Sembilan, sudah ditutup selama enam bulan.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya, sudah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi.

Harian Metro sebelum ini juga melaporkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu.

Penutupan itu dibuat susulan jabatan berkenaan menerima aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Habib Shah Firdaus didakwa melakukan perbuatan atau amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

2 lagi mayat ditemui saling berpelukan

Faisal Asyraf

HULU SELANGOR: Dua lagi mayat, yang dipercayai milik seorang ibu dan anak perempuannya, ditemui di tapak perkhemahan yang musnah dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, kedua-dua mayat itu ditemui saling berpelukan di sektor C, lokasi sebuah tapak perkhemahan yang dikenali sebagai Riverside.

“Kedua-duanya ditemui pada 4.40 petang. Mereka saling berpelukan. Kami percaya mereka adalah ibu dan anak perempuannya.”

Untuk rekod, keadaan tanah runtuh di Riverside tidak begitu teruk berbanding tapak perkhemahan di Hillview dan Farmview yang musnah sama sekali.

Penemuan dua mayat itu menjadikan keseluruhan angka korban meningkat kepada 18 orang.

Dianggarkan 15 lagi mangsa belum ditemui, dengan pasukan mencari dan menyelamat giat mengesannya.

MOU wajibkan semua MP sokong usul percaya, belanjawan

Malaysiakini

Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan  yang dimeterai petang tadi, mewajibkan semua ahli parlimen gabungan politik itu untuk menyokong usul undi percaya kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan rang undang-undang perbekalan selama lima tahun.

Melalui perkara berkenaan, ia menuntut setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong Anwar Ibrahim selaku perdana menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan.

Perjanjian itu juga menetapkan setiap parti dan pihak perlu bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman parti masing-masing, bagi memastikan sokongan parlimen untuk mengekalkan kerajaan semasa dalam sebarang undian.

“Setiap parti-parti dan pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa setiap ahli parlimen mereka mengundi menurut klausa 4(a) di atas. 

“Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai perletakkan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan,” petik perjanjian itu.

Ia juga menyebut sebuah Majlis Perundingan dan Timbang Tarayang dianggotai oleh wakil-wakil yang diperakukan oleh parti-parti utama iaitu PH, BN, GPS, GRS dan Warisan diwujudkan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dilaksanakan dengan cermat dan teratur.

“Ini  agar kerajaan perpaduan Malaysia dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan, tanpa menjejaskan dasar, polisi dan orientasi parti-parti yang bersetuju untuk membentuk kerjasama ini.

“Sebarang perselisihan dan salah faham hendaklah diselesaikan secara harmoni melalui majlis ini,” kata perjanjian itu.

Shamsul Iskandar Md Akin dan Chan Ming Kai dua bekas MP PKR dilantik sebagai setiausaha politik PM

Malaysiakini

Dua bekas ahli parlimen PKR - Shamsul Iskandar Md Akin dan Chan Ming Kai - dilantik sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shamsul diberi gelaran ketua setiausaha politik.

Bercakap kepada The Vibes, Shamsul berkata dia mempunyai tugas berat menanti kerana dia dijangka membantu perdana menteri melaksanakan dasar.

“Rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini dan oleh itu kita perlu bekerja keras sebagai satu pasukan dan menyokong kepimpinan PM,” katanya.

Shamsul, 47, juga adalah seorang peguam dan pernah menjadi ahli parlimen selama dua penggal. Kerjaya politiknya menyaksikan parti meletakkannya sebagai calon di tiga negeri berbeza.

Pelantikannya tidak mengejutkan kerana dia dikenali sebagai penyokong setia Anwar selama dua dekad.

Semasa pilihan raya 19 Nov, dia diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Bagan Datuk dan hampir menyingkirkan penyandangnya Ahmad Zahid Hamidi.

Pelantikan Shamsul dan Chan berkuat kuasa pada 1 Dis.

Chan menulis tentang pelantikannya di laman Facebooknya malam tadi dan menyifatkan tugasnya sebagai cabaran baru.

Bercakap kepada Malaysiakini, Chan berkata tugasnya adalah untuk membantu perdana menteri dalam apa jua cara yang perlu.

"Saya akan melaporkan apa yang sebenarnya berlaku di lapangan," kata Chan dalam jawapan ringkas kepada Malaysiakini.

Sejak 2008, Chan juga telah menjadi ahli parlimen PKR di tiga negeri berbeza. Bagaimanapun, dia tidak diturunkan untuk pilihan raya baru-baru ini.

16 meninggal dunia, 17 belum djumpai

Maklumat terkini dari Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan setakat ini:

Jumlah mangsa: 94 orang

Jumlah selamat: 61 orang

Jumlah meninggal: 16 orang

Jumlah belum dijumpai: 17 orang

Operasi menyelamat masih dijalankan.

Mahkamah arah kerajaan, Razak Baginda, 2 lain bayar RM5 juta pada keluarga Altantuya

Ho Kit Yen

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini ini mengarahkan kerajaan dan tiga yang lain membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta kepada keluarga Altantuya Shaariibuu atas kematiannya pada 2006.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu semasa prosiding dalam talian hari ini selepas mendapati keluarga Altantuya berjaya membuktikan dakwaan mereka atas imbangan kebarangkalian terhadap kerajaan, penganalisis politik Razak Baginda, dua bekas polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan anak lelaki Altantuya Mungunshagai memfailkan saman terhadap mereka, mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhannya.

Altantuya dibunuh pada 2006 di hutan di Puncak Alam dengan satu tembakan di kepala sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.

Azilah dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya.

Razak, yang merupakan pembantu kepada timbalan perdana menteri ketika itu Najib Razak, didakwa bersubahat dengan kedua-dua mereka, tetapi kemudiannya dibebaskan tanpa dipanggil pembelaan.

Tanah runtuh di tapak perkhemahan ragut 2 nyawa, berpuluh hilang

Malaysiakini

Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di tapak perkhemahan popular berhampiran Batang Kali di Selangor.

Setakat jam 7 pagi tadi, pihak bomba dan penyelamat Selangor mengesahkan kejadian tanah runtuh itu telah meragut dua nyawa manakala 51 orang tidak dapat dikesan.

25 orang lagi selamat.

Tanah runtuh berlaku kira-kira jam 3 pagi di Father's Organic Farm.

Pasukan penyelamat dari Selangor dan Pahang turut serta dalam pencarian.

Tanah runtuh itu meliputi kawasan seluas sekitar satu ekar (0.4 hektar).

Tanah runtuh, lebih 60 mangsa dikhuatiri terperangkap di Genting Highlands

FMT Reporters

Pasukan penyelamat membantu mencari mangsa selepas tanah runtuh di tapak perkhemahan sebuah ladang organik di Genting Highlands, awal pagi ini. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Seramai 37 individu berjaya diselamatkan selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highlands, Pahang, awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis, berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian.

Katanya, operasi turut dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang, Andalas.

Beliau berkata, tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik itu telah menghempap tapak perkhemahan yang berdekatan dengan jalan.

“Maklumat awal pihak polis terdapat 100 orang yang berada di tapak perkhemahan itu yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.

“Ketika ini misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan bersama pasukan STORM,” katanya ketika menurut Bernama.

2 lelaki Myanmar ditahan larikan kanak-kanak 10 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki warga Myanmar yang disyaki melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari rumahnya di Kampung Pengkalan Cina, di Kelantan kelmarin.

Ketua Polis Bachok Mohamad Ismail Jamaludin berkata, suspek berusia 17 dan 28 tahun itu berjaya ditangkap pada jam 9 malam di stesen bas Selising, Pasir Puteh semalam, lapor Utusan Malaysia.

Ismail berkata, kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak tersebut yang juga warga Myanmar meninggalkan mangsa bersama adiknya yang berusia lapan tahun di rumah kira-kira 7.30 malam kelmarin untuk pergi ke klinik.

Katanya, sebaik sahaja pulang ke rumah pada 9 malam, lelaki berkenaan terkejut mendapati mangsa sudah tiada di rumah dan hanya tinggal adiknya seorang diri.

“Adik mangsa memaklumkan bahawa dua lelaki Myanmar telah datang mengambil kakaknya. Bapa mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Bachok kira-kira 8.58 pagi semalam.

“Polis kemudian telah membuat serbuan ke rumah suspek selain menjalankan Op Tutup di sempadan melibatkan kawasan daerah Bachok dan Pasir Puteh,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Ismail memberitahu, ketika disoal-siasat mangsa mengaku remaja berusia 17 tahun yang bekerja sebagai buruh itu adalah kekasihnya dan dia mengikut suspek atas kerelaan hatinya.

Katanya, pemeriksaan fizikal terhadap mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu mendapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Suspek yang berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai direman lima hari bermula hari ini manakala seorang lagi suspek ditahan selama empat hari di lokap Balai Polis Bachok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video budak nangis di sisi mayat wanita, polis siasat motif bunuh

Willie Jude

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang kanak-kanak menangis di sisi seorang wanita yang berlumuran darah adalah kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Icebox, Tawau petang tadi, tetapi identiti mangsa dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Polis menerima laporan mengenai kejadian itu petang tadi dan sepasukan anggota berada di lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Kes bunuh ini masih dalam siasatan dan maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, satu video selama 24 saat menunjukkan seorang kanak-kanak menangis di sebelah wanita yang terbaring berlumuran darah. Badan dan muka kanak-kanak itu turut terkena darah.

Seleweng RM92.5 bilion, SPRM serbu 8 agensi kerajaan, 9 syarikat

Mohd Jamilul Anbia Md Denin

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu membabitkan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan terdahulu mula disiasat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat diserbu pegawai SPRM hari ini.

Sumber SPRM berkata, lapan agensi kerajaan itu dikesan menerima peruntukan besar melalui pakej rangsangan diluluskan kerajaan terdahulu pada 2020 dan 2021.

Tambahnya, susulan serbuan di lapan agensi kerajaan berkenaan, SPRM turut menyerbu sembilan syarikat untuk mendapatkan dokumen tertentu"

"Sembilan syarikat berkenaan dipercayai adalah pembekal utama kepada lapan agensi berkenaan.

"Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut berikutan siasatan SPRM masih di peringkat awal.

"Pihak SPRM memerlukan lebih masa untuk menyemak kes itu secara menyeluruh dan mengesan sebarang kegiatan rasuah, salah laku kuasa atau penyelewengan," katanya.

SPRM sebelum ini berkata, siasatannya terhadap dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika Covid-19 tertumpu kepada sejumlah peruntukkan RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan terdahulu.

Dalam kenyataannya SPRM memaklumkan, Kementerian Kewangan sudah memperincikan butiran dana itu di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan pandemik Covid-19

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan itu dianggarkan berjumlah RM530 bilion, dan berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Susulan itu, SPRM dikatakan bakal memanggil bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Apa perkembangan siasatan RM92.5 bilion terhadap Mahiaddin?

MOHD ALI HASHIM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap tidak melengahkan proses siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin atas dakwaan menyeleweng dana kerajaan ketika pandemik Covid-19 dua tahun ini.

Ketika beliau menerajui PN semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15 baru-baru ini, parti itu dilihat terlalu mewah dengan perbelanjaan mereka sehingga menimbulkan pelbagai persoalan. 

Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, sekiranya jutaan wang tersebut tidak dapat dikesan transaksi perbankannya, tidak mustahil kemungkinan besar wujudnya pengubahan wang haram dan ianya perlu segera disiasat. 

“Sebagai PM tatkala itu, Mahiaddin telah menyatakan bahawa sebanyak RM530 bilion diuntukkan bagi Pakej Rangsangan Covid-19 yang membawa erti bahawa ianya adalah bagi membantu rakyat. 

“Walau bagaimanapun selepas itu jelas terbukti sejumlah RM530 bilion tersebut bukannya wang kerajaan, sebaliknya hanyalah RM92.5 bilion secara langsungnya dari kerajaan. Manakala RM437.5 bilion bukannya wang kerajaan. 

“Lebih ketara RM92.5 bilion tersebut adalah dua kali ganda wang skandal 1MDB dan sekiranya berlaku ketirisan sebanyak 10 persen sekalipun ia sudah mencecah sebanyak RM9.25 bilion. SPRM sewajarnya memberi fokus dan menyiasat apakah wujud ketirisan,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline. 

Tambahnya, penggantungan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Datuk Seri Asri Hamidon memperlihatkan kemungkinan wujudnya salah urus tadbir wang terbabit. 

Kata Dr Zaidi, lebih mengejutkan serta menguatkan spekulasi apabila tanpa semena-mena berlakunya kebakaran pula di pejabat Kementerian Kewangan Putrajaya. 

Tambahnya sukar kini untuk mempercayai Mahiaddin setelah beliau acapkali tidak bercakap benar seperti mana yang didakwa pada 20 November 2022 jam 3.30 pagi dimana beliau mengumumkan telah menerima watikah dari Istana bagi membentuk kerajaan Pusat, tetapi ianya tidak benar. 

Tegas beliau, ‘Langkah Sheraton’ juga tidak mampu mencapai angka 112 dan kemungkinan besar tidak memberi laluan untuk undi percaya kepada PM di Parlimen. 

Masih segar dalam ingatan, kata Dr Zaidi, selama 12 bulan menjadi PM tiba-tiba Parlimen digantung dan darurat pula diisytiharkan dan kesemua insiden serta tragedi ini membuktikan ianya sukar untuk mempercayai Muhyiddin lagi. 

Dr Zaidi yang juga merupakan Pengarah Penerangan dan Komunikasi Pakatan Harapan Pulau Pinang juga berkata, pengakuan Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa Mahiaddin membantu Umno Sabah dengan puluhan juta ringgit terutamanya pada pilihan raya negeri Sabah bukanlah suatu omongan kosong lagi. 

Oleh kerana itu saran beliau, SPRM harus jangan lengah menyiasat sama ada benar atau tidak wujudnya ketirisan melalui Pakej Ransangan Covid-19 semasa kerajaan di pimpin oleh Ahli Parlimen Pagoh itu. 

Dakwaan salah guna dana Covid-19: SPRM serbu 8 agensi, 9 syarikat

Faisal Asyraf

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat hari ini dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan terdahulu pimpinan Perikatan Nasional.

Sumber berkata, lapan agensi kerajaan itu menerima “peruntukan besar” dari pakej rangsangan yang diluluskan kerajaan pada 2020 dan 2021.

Sumber itu berkata, susulan serbuan di lapan agensi kerajaan berkenaan, SPRM turut menyerbu sembilan syarikat “untuk mendapatkan dokumen tertentu”. Sembilan syarikat itu dipercayai “pembekal utama” lapan agensi terbabit.

Menurut sumber berkenaan, masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut, dan menambah siasatan masih “di peringkat pertama”.

“SPRM memerlukan lebih masa untuk menyemak kes itu secara menyeluruh dan mengesan sebarang rasuah, salah laku kuasa atau penyelewengan,´kata sumber berkenaan.

SPRM sebelum ini berkata, siasatannya terhadap dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan terdahulu.

Dalam kenyataan, SPRM berkata Kementerian Kewangan telah memperincikan butiran dana tersebut di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion, dan berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Susulan itu, SPRM dikatakan bakal memanggil bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan.

Zuraida dah tak jadi menteri baru MPAJ berani buat serbuan pusat khidmat Parlimen Ampang

9 tahun dah operasi, Zuraida jawab isu pusat khidmat kena tindakan

FMT Reporters


Tangkap layar ciapan Twitter oleh pengguna @lady_bugg11 mendakwa Pusat Khidmat Parlimen Ampang diserbu MPAJ kerana dibina tanpa kebenaran. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Ampang di Ampang Jaya yang diserbu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah beroperasi hampir sembilan tahun, kata bekas Ahli Parlimennya, Zuraida Kamaruddin.

“Itu adalah Pusat Khidmat Parlimen Ampang yang beroperasi selama hampir sembilan tahun,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu ciapan tular yang mendakwa MPAJ mengenakan tindakan terhadap seorang wanita yang didakwa bekas menteri kerana membina pejabat atas tanah MPAJ tanpa kebenaran.

“Ada seorang wanita buat pejabat atas tanah MPAJ tanpa kebenaran. Hari ini telah dikenakan tindakan! Khabarnya bekas menteri,” ciapan yang menggunakan nama @lady_bugg11.

Sementara itu, MPAJ ketika dihubungi mengesahkan Pusat Khidmat Parlimen itu tidak mendapat kelulusan.

Bagaimanapun, MPAJ berkata pihaknya mendapat kerjasama baik daripada pengurus Pusat Khidmat Parlimen itu yang bersetuju menyerahkan premis berkenaan.

“Pihak MPAJ mendapat kerjasama baik daripada pengurus Pusat Khidmat Parlimen yang bersetuju menyerahkan dewan untuk ditadbir urus oleh MPAJ,” katanya kepada FMT.

Banjir: Zahid beriringan dengan Husam? MB Kelantan ngekor di belakang

Zahid beriringan dengan Husam? Kenal pasti langkah awal tangani banjir di Kelantan

NASUHA RAHMAN

Hari ini Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ke Kelantan untuk meninjau persiapan banjir dan juga melawat mangsa banji di kampung Pasir Mas.

Bagi menangani masalah banjir di Pasir Mas pasti langkah awal yang boleh diambil dalam persiapan menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) itu.

Pada masa sama, kerajaan mengarahkan agar semua agensi Persekutuan yang terbabit dalam pengurusan banjir untuk menyantuni semua kerajaan negeri tanpa mengira negeri tersebut diperintah oleh pihak mana.

“Dari sekeping gambar ini menunjukkan Zahid berjalan beringan dengan Husam Musa. Semoga lawatan sehari itu memberi sebarang makna dan yang penting bermanfaat untuk rakyat Kelantan.

“Meskipun Husam tidak memegang apa-apa jawatan dan berada dalam kerajaan tetapi saya yakin ada sesuatu yang diperkatakan Husam itu kepada Zahid atas nuluri kawan lama demi untuk negerinya itu,” luah Mohd Sayuti Omar.

Dalam pada itu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, langkah awal akan diambil tanpa perlu menunggu bencana berkenaan melanda terlebih dulu.

Katanya, perkara itu adalah antara perbincangan dalam mesyuarat Kabinet pagi kelmarin.

“Datuk Seri Zahid sudah mempengerusikan mesyuarat (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat) dan memantau.

“Beliau akan ke Kelantan untuk mengenal pasti masalah dan juga akan mengambil langkah awal… persiapan awal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Anwar berkata, ia adalah pendekatan yang berbeza berbanding sebelum ini.

Media semalam melaporkan, pusat pemindahan sementara (PPS) akan diaktifkan lebih awal di kawasan dijangka berlaku banjir.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, fokus diberikan pada kawasan yang dijangkakan mengalami jumlah taburan hujan tinggi dan boleh mengakibatkan banjir.

Annuar Musa: Dana diberi Muhyiddin, Saya dah ‘cerita’ pada SPRM

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Annuar Musa mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu berkait dakwaan jutaan ringgit diserahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin kepada Umno pada PRN Sabah, dua tahun lalu.

Annuar berkata, beliau sudah memberi penjelasan kepada SPRM “cerita sebenar” berhubung dakwaan itu.

“Saya sudah memberi kenyataan kepada SPRM minggu lepas.

“Bila SPRM panggil saya untuk beri keterangan saya sangat suka hati dan saya beritahu semua jalan cerita sebenarnya yang telah saya lalui, saya ucap terima kasih dan akan terus beri kerjasama kepada SPRM, itu tanggungjawab saya,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional.

Annuar memaklumkan lega selepas memberi keterangan kepada SPRM dan sekurang-kurangnya ia dapat menjawab segala fitnah dilemparkan terhadapnya konon beliau memasuki bilik tidur Muhyiddin dan mengambil jutaan ringgit.

“Saya sebenarnya sangat lega. Mereka kata saya masuk bilik tidur (Muhyiddin) ada duit berlongok…ambil berjuta-juta bawa duit kemana-mana, patutlah kuat sokong Muhyiddin kerana Muhyiddin bagi duit,” katanya.

Sebelum ini, Annuar dalam satu video di TikTok berkata Muhyiddin yang ketika itu perdana menteri menyalurkan jutaan ringgit bagi membantu Umno pada PRN Sabah 2020.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membuat penjelasan terhadap tuduhan kononnya Muhyiddin mahu “bunuh” Umno.

Susulan itu, SPRM memaklumkan mereka akan memanggil Annuar dan Muhyiddin untuk diambil keterangan.

Semua lantikan politik digugurkan serta-merta

Alena Nadia

Kontrak semua pengerusi dan ahli lembaga yang dibuat melalui pelantikan politik dalam firma dan badan berkaitan kerajaan akan ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

Dalam mesej teks kepada Malaysiakini petang ini, seorang menteri mengesahkan keputusan jemaah menteri itu.

“Benar,” jawab menteri itu ringkas ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang memetik surat Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berhubung perkara berkenaan.

Surat itu menyatakan bahawa kabinet membuat keputusan tersebut semasa mesyuaratnya semalam.

Mereka yang kontraknya ditamatkan termasuk lantikan politik dengan badan berkanun persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat Kementerian Kewangan (Diperbadankan), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi utama.

PM sedang pertimbang tiga calon sebagai AG

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang mempertimbangkan tiga calon untuk jawatan peguam negara.

Menurut akhbar The Star, ketiga-tiga calon itu - kesemuanya hakim - ialah Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Kamaludin Md Said dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Ahmad Fairuz dan Kamaludin sebelum ini pernah berkhidmat di kamar peguam negara sebelum dilantik sebagai hakim.

Selain itu, Ahmad Fairuz juga adalah bekas timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti.

Ketika ini, Ahmad Fairuz adalah hakim mahkamah tinggi manakala Kamaludin adalah hakim Mahkamah Rayuan.

Wan Ahmad Farid pula adalah satu-satunya calon yang mempunyai pengalaman politik. Dia adalah timbalan menteri hal ehwal dalam negeri antara Mac 2008 dan April 2009.

Dia meninggalkan Umno pada 2013 dan dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015. Dia kini adalah hakim mahkamah tinggi.

Peguam negara semasa Idrus Harun, 67, telah berkhidmat dengan tiga perdana menteri sejak 6 Mac 2020.

Rafizi akan mempercepatkan program basmi kemiskinan tegar di 5 buah negeri

NASUHA RAHMAN

Tumpuan utama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli dalam bulan pertama ini ialah mempercepat dan menambahbaik program basmi kemiskinan tegar di seluruh negara.

“Supaya kita jaga golongan yang paling tertekan, sementara kita memperkenalkan inisiatif ekonomi kepada golongan-golongan lain,”kata Rafizi.

Justeru pada bulan ini, Rafizi mencapai rekod baru apabila mahu bertindak terhadap kawasan miskin tegar seperti negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Walaupun di negeri-negeri tersebut terdapat banyak sumber dan masa Kerajaan Persekutuan adalah untuk membantu masyarakat.

“Insya Allah dengan perancangan ekonomi yang lebih baik, kehidupan penduduk di kawasan bandar juga akan bertambah baik.

“Saya akan beri kemaskini mingguan dan mulai Januari 2023, akan beri laporan prestasi program basmi miskin tegar secara bulanan yang disiarkan di media sosial,” kata berliau dalam Facebooknya.

Rafizi juga akan bagi kemaskini mingguan mengenai fungsi, perancangan dan pelaksanaan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

“Setakat hari kesepuluh saya memikul amanah ini, sudah tentu berpuluh mesyuarat yang saya perlu hadir.

“Sebahagiannya taklimat untuk memahami perancangan dan pelaksanaan setakat ini, sebahagiannya mengenai tumpuan segera yang perlu dibuat kepada beberapa pendekatan baru.

“Ada juga tugas harian dan mingguan yang perlu diselesaikan kerana selepas pembubaran Parlimen, banyak keputusan-keputusan tertunggak,”katanya.

Secara amnya, Rafizi memberitahu Kementerian Ekonomi bertanggungjawab terhadap perancangan jangka panjang ekonomi negara.

Selain itu katanya menetapkan dasar dan menyelaras pelaksanaan di peringkat pelbagai kementerian agar hala tuju ekonomi negara bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi.

“Kementerian Ekonomi juga bertanggungjawab mengendali dan mengawal selia pelaksanaan projek-projek pembangunan di seluruh negara,”katanya.

Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 1]

Saari Sungib

Salam Sejahtera Tuan Guru,

Masihkah Tuan Guru ingat pada akhir 1982 atau awal 1983, kita telah bersama-sama ke Pulau Kapas untuk mencandat sotong.

Zaihan yang memberitahu saya bahawa Tuan Guru - jika ke laut - paling yang disukai ialah mencandat sotong. Kalau ke hutan pula paling digemari ialah memburu ayam hutan.

Kami sangat gembira dapat hadir ke rumah yang sederhana dan berpeluang mendengar pelbagai cerita daripada Tuan Guru. Khabarnya di situ jugalah tapak tanah asas yang menjadi tempat tinggal ayahanda dan bonda Tuan Guru sehingga mereka kembali ke rahmatullah.

Kami seronok dengan kesungguhan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru. Daripada cerita yang kami dengar sendiri daripada Tuan Guru, memang menjadi hasrat ayahanda Tuan Guru untuk Tuan Guru balik ke Kampung Rusila agar dapat meneruskan dan mengembangkan lagi kuliah-kuliah pengajian di situ.

Ayahanda dan bonda Tuan Guru adalah anak jati Kampung Rusila yang sangat prihatin tentang pembangunan masyarakat dan kampung itu. Bahkan sesungguhnya, ayahanda Tuan Guru, Haji Awang Mohamad, bukan hanya seorang tok guru kampung di Rusila, malah sejak muda lagi dikenali sebagai seorang yang cakna tentang perkembangan politik dan ekonomi umat Islam.

Daripada pengkisahan yang panjang itu, saya masih ingat Tuan Guru ada mengatakan bahawa ayahanda Tuan Guru sudah terlibat bersama tokoh-tokoh besar ketika itu seperti Ustaz Abu Bakar al-Bakir dan Dr Burhanuddin al-Helmi untuk menggerakkan parti Islam pertama di Tanah Melayu, iaitu Hizbul Muslimin di Gunong Semanggol, Perak.

Tahniah Tuan Guru, kami amat bersyukur dapat hidup sezaman dengan generasi pejuang tulen yang menambat jati diri dan patriotisme terhadap prinsip-prinsip perjuangan mempertahankan Tanah Melayu.

Pengasas PAS Dr Burhanuddin al-Helmi .

Ia merupakan satu-satunya angkatan dalam ummah ini yang dihalakan untuk penyatuan segala unsur yang terkandung daripada kekuatan bangsa, agama dan negara.

Hari itu ketika menyambut kami di muka pintu rumah, Tuan Guru kelihatan serius dengan hanya senyuman sekilas dan pantas di bibir.

Pada masa itu pun sudah ada pelajar-pelajar kita di AS, Kanada dan Australia mengadu bahawa Tuan Guru terlalu sedikit menginfaqkan eye-contact dan senyuman mesra ketika berjabat tangan dengan mereka.

Kata mereka, sewajarnya pandangan mata dan senyuman Tuan Guru mengisi makna mahabbah atau kasih sayang sesama kita.

Saya datang bersama dua orang rakan saya yang baru balik dari United Kingdom setelah tamat belajar.

Lawatan ke rumah Tuan Guru diatur oleh Zaihan Daud yang merupakan anak seorang pemimpin PAS, Daud Abdul Samad yang menjadi Menteri Besar Terengganu pada 1959 hingga 1961.

Pada hari itu pada mulanya Tuan Guru hampir-hampir mahu membuka cerita tentang kenapa PAS kehilangan jawatan menteri besar di Terengganu semasa itu.

Ia melibatkan penipuan dan pengkhianatan.

Baru sedikit Tuan Guru dan Ustaz Alias Othman mula bercerita tentang perkhianatan itu, Tuan Guru kelihatan sebak dan terus memberhentikan cerita perihal perbuatan khianat itu.

Zaihan adalah rakan seuniversiti dengan saya, bahkan untuk melonjakkan aktivisme pelajar Malaysia di Birmingham, kami tinggal di King’s Heath, iaitu kawasan komuniti pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut pelbagai program sarjana muda, sarjana dan pascasarjana di universiti-universiti bandar raya kedua terbesar United Kingdom itu.

[Bersambung]

SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Kait Melayu dengan politik Islam seolah ‘cabar’ Perlembagaan

V Anbalagan

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata pandangan pemimpin pembangkang bahawa politik Melayu-Muslim cenderung dikaitkan dengan Islam disifatkan memberi “cabaran” langsung kepada Perlembagaan Persekutuan.

Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, pendirian Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga seperti “menjurus” kepada negara Islam.

“Ia merupakan cabaran langsung kepada Raja-raja yang menjadi sebahagian daripada struktur Perlembagaan kita,” katanya kepada FMT.

Katanya, kenyataan seperti itu mungkin mengakibatkan ketidaktenteraman awam.

Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang dilaporkan pada Selasa, berkata agama tidak boleh dipisahkan daripada politik dalam masyarakat Melayu-Islam.

“Dalam al-Quran dan sabda Nabi, terdapat banyak rujukan mengenainya. Jadi (kita) tidak boleh sekular dalam pendekatan semasa berkempen,” katanya dalam temu bual dengan BFM.

Syed Iskandar ketika mengulas lanjut berkata, kenyataan itu bahaya dalam masyarakat terdiri berbilang kaum dan agama.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi di negara ini menyatakan Malaysia merupakan sekular.

Beliau berkata, Mahkamah Agung (ketika itu) dalam kes Che Omar Che Soh vs pendakwa raya pada 1988, mengesahkan kedudukan berkenaan.

Ketika itu, Ketua Hakim Negara Salleh Abas menyatakan Malaysia adalah negara sekular walaupun Islam merupakan agama rasmi persekutuan.

“Mencabar kedudukan itu melanggar badan kehakiman dan Rukun Negara,” katanya.

Zuraida jadikan Muafakat Nasional batu loncatan

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng berkata, bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menggunakan Muafakat Nasional sebagai batu loncatan untuk cita-cita dan masa depan politiknya.

“Ini merupakan satu langkah baik untuknya kerana beliau mempunyai banyak masa sekarang, lebih-lebih lagi beliau tidak memegang sebarang jawatan kanan dalam PBM mahupun dalam kerajaan.

“Saya juga melihat Zuraida dan penyokongnya akan menggunakan Muafakat Nasional sebagai batu loncatan untuk cita-cita politiknya.

“Apa-apa pun, saya mendoakan beliau baik-baik saja,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sng juga menegaskan PBM tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Muafakat Nasional, NGO yang ditubuhkan untuk memperkasakan kerjasama dan perpaduan antara komuniti Islam serta sistem politik berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan itu.

Sng satu-satunya Ahli Parlimen PBM di Dewan Rakyat kerana semua calon parti itu, termasuk Zuraida, Haniza Talha, Daroyah Alwi dan Dayang Rusimah tewas dalam pilihan raya umum ke-15.

Zuraida yang juga bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Ampang apabila tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Rodziah Ismail.

Muafakat Nasional mempunyai nama sama dengan pakatan politik yang ditubuhkan Umno dan PAS pada 2019, setahun selepas PH menguasai kerajaan persekutuan.

Dituduh buang sampah, lelaki mengamuk, ugut bunuh suami sepupu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mengugut membunuh suami sepupunya kerana tidak berpuas hati dituduh membuang sampah di kawasan rumah mangsa.

Menurut laporan Harian Metro, Kejadian itu berlaku di depan rumah mangsa di Kampung Nyabut Trombol, Jalan Telaga Air di Padawan, Sarawak kira-kira 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira 6.30 petang tadi, susulan laporan yang dibuat sepupu suspek yang juga isteri mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang bersenjatakan kapak ke rumah sepupunya yang bekerja sebagai pembantu kesihatan dan mengugut membunuh suaminya.

Beliau berkata, suspek turut berteriak memanggil nama mangsa yang berada dalam rumah.

Tetapi, disebabkan bimbang sesuatu berlaku, mangsa tidak menyahut panggilan suspek dan hanya berdiam diri di dalam rumah.

Abang Zainal Abidin berkata, ibu bapa suspek turut berada di tempat kejadian untuk menenangkannya.

“Semasa suspek melibas kapak, bapanya cuba merampas kapak dari tangannya menyebabkan dia mengalami luka di bahagian tapak tangan.”

Katanya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius, mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak, manakala suspek direman empat hari mulai hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

Gadis dibawa lari selepas tolak lamaran perkahwinan

Agensi

INSIDEN berkenaan. FOTO Agensi

INSIDEN berkenaan. FOTO Agensi

New Delhi: Lelaki mengetuai sekumpulan kira-kira 40 individu masuk ke pejabat doktor gigi di India, untuk menculik wanita itu dan memaksanya menerima lamaran perkahwinan.

Mirror UK melaporkan, wanita berusia 24 tahun yang bekerja di luar rumahnya dekat Hyderabad di Telangana, India, dilarikan oleh kumpulan berkenaan.

Ia selepas lelaki itu merosakkan rumah dan memecahkan cermin kereta wanita berkenaan.

Dalam rakaman penculikan itu, penyerang turut mengheret seorang lelaki keluar dari sebuah rumah dan memukulnya dengan kayu.

Gadis itu akhirnya diselamatkan selepas polis melancarkan operasi selama berjam-jam untuk mengesannya.

Polis turut menahan 18 anggota kumpulan itu, namun suspek utama, Naveen Reddy, masih bebas.

Keluarga wanita itu memfailkan kes terhadap Reddy, mendakwa lelaki itu mengganggu anak perempuan mereka, Vaishali, dengan lamaran perkahwinan.

Reddy yang dipercayai mengetuai kumpulan itu, sebelum ini didakwa membuka premis perniagaannya, sebuah kafe dan francais kedai teh, betul-betul bertentangan dengan klinik wanita berkenaan.

Bapa Vaishali, yang dikatakan bekas pegawai tentera, dilaporkan merobohkan bangunan itu selepas anaknya diculik.

Penculik itu memberitahu pekerja gerai tehnya bahawa isterinya enggan tinggal bersamanya, dan meminta bantuan untuk 'membawanya pulang'.

Reddy yang menjalin hubungan dengan doktor gigi itu dikatakan membelikan sebuah kereta untuk wanita berkenaan.

Ia dengan hasil keuntungan perniagaan pemasaran pelbagai peringkat dan lelaki itu kemudian melamar wanita terbabit, kata polis tempatan kepada NDTV.

Reddy dikatakan mengganggunya di media sosial, menyebabkan dia memfailkan perintah sekatan di mahkamah.

Anwar: Agong tolak gaji lebih awal daripada saya

FAZLI RADZI

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terlebih dahulu tidak mengambil gaji iaitu sejak Covid-19 melanda negara.

Hal itu didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan berkata, Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat.

“Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak Covid-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak Covid-19.

“Saya ingat, eloklah kita beri penjelasan ini,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Sebelum ini, Anwar menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Malah, Jemaah Menteri minggu lalu juga bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan atas tanda prihati dengan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini.

Budak hilang selepas kereta jatuh sungai

FMT Reporters

Bomba berkata usaha mencari mangsa dipercayai masih terperangkap dalam kereta yang tenggelam di dalam sungai itu giat dijalankan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Korok di Jitra, Kedah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 2.23 petang.

“Maklumat awal diterima menyatakan kenderaan tersebut telah terbabas dan jatuh ke sungai di Jalan Sungai Korok, Jitra.

“Ibu bapa mangsa berjaya menyelamatkan diri namun kanak-kanak terbabit dipercayai terperangkap dalam kenderaan itu,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Katanya, ketika ini bomba sedang membuat pencarian di lokasi kejadian melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selain bantuan kren yang turut berada di lokasi.

“Seramai kira-kira 10 pegawai dan anggota sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat ketika ini,” katanya.

Protes terhadap Anwar? Ramai tertanya betul ke ‘Gelombang Hitam’ bakal digerakkan 18 Disember ini?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Berlegar di media sosial satu himpunan atau protes ‘Gelombang Hitam’ didakwa bakal digerakkan pada 18 dan 19 Disember ini tepat ketika menjelang hari pengundian usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Desas desus tersebar itu mula mencetuskan tanda tanya kerana masih belum terlihat mana-mana penyokong kumpulan yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 menggunakan logo hitam di sosial media.

Difahamkan, bantahan secara senyap itu bagi menunjukkan tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Protes itu antara lain meminta orang ramai supaya memakai pakaian hitam atau menukar lencana media sosial mereka kepada hitam.

Ideanya adalah untuk mencipta naratif palsu dan berbahaya bahawa majoriti orang terutamanya orang Melayu, tidak menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

“Gelombang Hitam #tidakpercaya. Protes rakyat Malaysia terhadap Perdana Menteri Ke-10. Berbentuk aman dan tidak menganggu ketenteraman awam. Ia bukan protes di jalanan. Ia adalah silent protest dengan melakukan beberapa perkara menunjukkan tidak menyokong perdana menteri”.

Antara intipati Gelombang Hitam yang kami temukan seperti dikongsi akaun TikTok Mandatkini, adalah seperti berikut:

Gelombang hitam ini akan dilakukan pada 18 dan 19 Disember 2022. Ini selari dengan undi percaya yang akan berlaku di Parlimen pada 19 Disember untuk Perdana Menteri Ke-10

Gelombang Hitam menunjukkan tanda rakyat tidak percaya kepada Perdana Menteri Ke-10 dengan melakukan perkara-perkara tersebut pada 18 dan 19 Disember.

Tatacara;

Berpakaian serba hitam sambil melakukan aktiviti harian.

Hitamkan profile sosial media dengan cara meletakkan latar belakang berwarna hitam di semua sosial media masing-masing.

Letak tanda pagar tidak percaya di tengah-tengah profile

Ubah profile hitam di sosial media Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp.

Muat naik status di sosial media dengan cara memuat naik latar belakang berwarna hitam di semua sosial media masing-masing.

Buat hantaran latar belakang hitam dengan kapsyen #tidakpercaya di sosial media Facebook, Instagram, dan TikTok.

Dalam video sama yang dimuatnaik di akaun itu, mereka juga mengajak orang ramai menyertai protes senyap itu, mendakwa bahawa Gelombang Hitam tidak menyalahi undang-undang kerana ia tidak melibatkan isu agama, kaum dan hasutan.

Ia juga dikatakan tidak mengancam ketenteraman awam dan tidak melibatkan perarakan jalanan.

Bagaimanapun melihat reaksi kebanyakan pengguna media sosial, mereka mendakwa agak bimbang dan mengkritik bantahan yang bakal digerakkan.

Mereka juga menyelar tindakan itu kerana mendakwa isu 13 Mei yang tersebar di TikTok turut dimulakan pihak pro- Perikatan Nasional.

“Noted. 18 & 19hb kena pakai baju warna lain selain hitam. Sebab takut terpakai baju hitam tanpa sengaja. Dah lah banyak baju hitam,” tulis yang lain.

“Kalau betul seperti ura-ura …mereka ibarat melanggar undang-undang dan menderhaka kepada YDPA kerana kerajaan yang tertubuh adalah kerajaan yang sah dan tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang dan tidak menindas mana-mana pihak,” komen pula yang lain.

Simpan gambar, video lucah bekas kekasih: Haqiem Stopa mengaku tak bersalah

FMT Reporters

Haqiem atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ikon permotoran, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya di dalam dua telefon bimbit, minggu lalu.

Haqiem atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun itu dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya, lapor Utusan Malaysia.

Tertuduh yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok didakwa melakukan perbuatan itu pada 4.30 petang 9 Dis lalu di sebuah rumah di Rawang.

Pertuduhan terhadap Sadzri dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 menerusi seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 23 Feb depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Ini 6 soalan buat ‘walaun’, ‘mujahid’ Tiktok PN

Mengapa masih terperdaya dengan dakyah membenci Kerajaan Perpaduan? Ini 6 soalan buat ‘walaun’, ‘mujahid’ Tiktok PN

DANIAL HAKIM

Nampaknya, puak-puak yang tidak berpuas hati dengan Kerajaan Perpaduan terus menyebarkan kebencian dalam kalangan rakyat.

Hinggakan pemimpin mereka masih memainkan sentimen agama dengan adu domba kononnya kerajaan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan Islam yang bebal dan pihak yang nyata bermusuh terhadap Islam.

Sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, rakyat ditakut-takutkan dengan pelbagai propaganda dan fitnah melalui ribuan kandungan Tiktok yang berunsur provokatif dan ekstremis.

Walhal, terbukti komposisi kaum Kerajaan Perpaduan menyaksikan jumlah jemaah Melayu dan Bumiputera jauh lebih ramai dengan 41 orang manakala 14 orang menteri dan timbalan menteri daripada kaum Cina dan India.

Selepas tiga minggu Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan tumpuan Putrajaya menangani kos sara hidup rakyat, pihak penyebar berita palsu dan fitnah perlu merenung kembali apa yang dijaja sebelum ini.

Seorang aktivis Zaidi Yusoff ada mengemukakan enam soalan kepada golongan terbabit yang digelarnya sebagai “walaun dan mujahid Tiktok PN”:

✅ Azan dengar lagi tak?

✅ Dah berapa ramai orang Melayu masuk Kristian?

✅ Berapa negeri dah kena jajah dengan Cina?

✅ Kedutaan Israel di KL buka di mana?

✅ Dah boleh kahwin jantan sama jantan, betina sama betina?

✅ Anak-anak dah pakai skirt dan seluar pendek pergi sekolah?

Kempen PRU15 di TikTok dilihat menghasut anak muda dengan sentimen agama dan perkauman.

Beliau berpendapat masyarakat Melayu dibimbangi menjadi katak di bawah tempurung sekiranya masih percaya dengan dakyah seperti itu.

“Orang lain dah pergi ke planet Marikh, kita masih lagi dok takut dengan momok di bawah katil.

“Janji orang yang cakap tu pakai kopiah, serban dan berjubah korang percaya bulat-bulat dengan apa yang mereka cakap.

“Lagi kesian orang cerdik pandai pun boleh termakan sama dan dok ikut jaja dakyah bodoh ni,” tegasnya.

Berdasarkan pengalamannya dalam bidang perniagaan, Zaidi juga menyifatkan golongan yang berkopiah dan berjubah sebagai tidak boleh dipercayai.

Menurutnya, nilai Islam itu sebenarnya bukan hanya terletak di lidah semata-mata sebaliknya pada akal budi dan amal.

“Sepanjang saya hidup dan berniaga, orang yang berimej macam inilah paling tak boleh percaya. Cakap manis sentiasa berlapik dengan istilah Arab, tapi akhirnya kena lipat.

“Islam bukan hanya terletak pada pakaian dan percakapan tapi lebih penting dari itu adalah perbuatan dan akhlak kita,” tambah Zaidi lagi.

Ketua Pemuda Umno Seremban masuk PAS

Nora Mahpar

Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin akan mengumumkan penyertaannya dalam PAS pada Sabtu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin mengesahkan akan menyertai PAS.

Ketika dihubungi FMT, beliau berkata borang keahlian penyertaannya akan diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha pada Sabtu.

“Kita juga akan membuka kaunter untuk siapa yang mahu jadi ahli PAS pada Sabtu nanti,” katanya.

Ditanya adakah ia membabitkan keseluruhan jawatankuasa Pemuda bahagian itu, Zool berkata keseluruhan ahli yang keluar Umno akan diumumkan pada sidang media di kediamannya di Seremban selepas sesi penyerahan borang keahlian berkenaan.

Zool sebelum ini antara yang lantang mengkritik kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya menjadi punca orang Melayu hilang keyakinan terhadap parti itu.

Sumber turut memaklumkan FMT, Zool telah dikeluarkan daripada kumpulan sembang WhatsApp “Ketua Pemuda Malaysia”.

“Kami dah singkir dia (Zool) dari kumpulan (WhatsApp), dia keluar Umno sebab tak sokong presiden,” menurut sumber rapat dengan perkara itu.

Berdasarkan jemputan yang dilihat FMT, Zool akan mengadakan penyerahan borang keahlian dan sidang media pada 5 petang Sabtu.

Kepala khinzir diletakkan di atas bumbung masjid

 KOSMO!

Kepala seekor khinzir diletakkan di atas bumbung sebuah majid di Battersea Road, Stockport pada Jumaat lalu. - HMCT

LONDON – Para jemaah ketakutan selepas kepala khinzir ditinggalkan di atas bumbung sebuah masjid di Britain dalam insiden yang dianggap sebagai jenayah kebencian, Islamofobia, lapor portal berita MailOnline semalam.

Orang ramai menemui kepala haiwan itu ketika mereka meninggalkan perhimpunan di bangunan Heatons Muslim Community Trust (HMCT) di Battersea Road, Heaton Mersey, Stockport. Bangunan itu menempatkan sebuah masjid serta fasiliti masyarakat.

Kepala Khinzir itu diletakkan di bahagian rendah dan rata bumbung bangunan itu bermakna ia mudah dilihat. Ia disedari sekitar jam 9.15 malam (waktu tempatan) Jumaat lalu.

Salah seorang pemegang amanah HMCT berkata, kejadian itu menimbulkan ketakutan dan keresahan besar dalam kalangan pengunjung pusat tersebut termasuk kanak-kanak serta warga emas.

Muhammad Tayyab Mohiuddin berkata: “Pada waktu petang kami mengadakan perhimpunan di pusat komuniti ini dan seseorang menyatakan, terdapat kepala khinzir di atas bumbung.

“Ia adalah bumbung yang pendek supaya mudah dilihat. Saya fikir mereka telah memilih tempat itu untuk menakutkan orang ramai. Semua orang tahu seseorang telah meletakkannya di sana dan apakah niat mereka?

“Dalam agama kami, kami tidak dibenarkan makan daging khinzir atau mengendalikannya dalam apa cara sekali pun, Jadi, seseorang telah melakukannya secara khusus atas sebab itu.

“Kami mempunyai ramai orang tua dan kanak-kanak yang menggunakan pusat itu dan jelas mereka agak takut bahawa seseorang menyasarkan kami dan takut pada masa hadapan sekiranya pelaku pergi lebih jauh atau mengambil langkah yang salah.

“Kami telah bercakap dengan polis dan memberitahu mereka. Kami telah diberitahu ia direkodkan sebagai jenayah kebencian.”

Mohiuddin berkata, pusat itu yang telah berkhidmat kepada penduduk Islam Heaton selama lebih sedekad, tidak mempunyai banyak isu selain dua kes pecah rumah pada tahun lalu yang menyaksikan televisyen dan peti derma  dicuri.

Beliau berkata rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah kereta berhenti dan dua orang keluar dengan salah seorang daripada mereka membawa apa yang kelihatan seperti beg sampah.

Menurutnya, plat pendaftaran kereta itu dirakam dan berharap polis dapat mengesan pelaku perbuatan tersebut dengan segera. – Agensi

Mayat warga Kanada ditemui sudah berulat

Melvin Joni

am@hmetro.com.my

MAYAT wanita warganegara Kanada yang ditemui di tepi timbunan kotak tisu di Synergy Square, Jalan Matang, Padawan. FOTO Melvin Joni.

MAYAT wanita warganegara Kanada yang ditemui di tepi timbunan kotak tisu di Synergy Square, Jalan Matang, Padawan. FOTO Melvin Joni.

Padawan: Seorang wanita warga Kanada ditemui meninggal dunia dengan keadaan mayat sudah busuk di sebuah rumah di Synergy Square, Jalan Matang di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penemuan mayat warga emas itu dilaporkan oleh seorang wanita tempatan yang memberitahu terhidu bau busuk di tingkat bawah kediaman sewanya di Blok G, Synergy Square kira-kira jam 4 petang hari ini.

Susulan itu, katanya anggota dari Balai Polis Batu Kawa digerakkan ke lokasi dan mereka terpaksa mengumpil pintu hadapan rumah wanita terbabit dengan besi kerana berkunci dari dalam.

"Sebaik saja pintu hadapan rumah berjaya dibuka, terdapat timbunan kotak tisu dalam rumah berkenaan.

"Mayat simati dijumpai terbaring terlentang di tepi timbunan kotak tisu yang berselerak.

"Keadaan simati ketika dijumpai berulat dan bahagian muka dalam keadaan tidak sempurna," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abang Zainal berkata berdasarkan maklumat daripada pengadu di lokasi kejadian, wanita itu tinggal berseorangan dan dipercayai tinggal di rumah berkenaan lebih kurang 10 tahun.

Katanya turut dijumpai pasport wanita itu, yang dikenali sebagai Tan Onn Har berusia 82 tahun dengan taraf kewarganegaraan dari Kanada.

"Pasukan perubatan daripada Hospital Umum Sarawak yang hadir ke lokasi kejadian mengesahkan kematian simati dan tiada sebarang tanda-tanda jenayah mahupun penemuan objek tajam atau tumpul di tempat kejadian iaitu di atas katil wanita itu dijumpai mati," katanya.

Abang Zainal menambah mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Justeru, katanya usaha mengesan ahli keluarga mangsa sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan polis.