"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramai lelaki nangis bucu katil tengok gambar kahwin Syefura

MALAYSIA DATELINE

Adun Ketari Young Syefura Othman selamat diijabkabulkan dengan lelaki pilihan hati, Edrin hari ini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan antara wakil rakyat yang muda dan cukup diminati ramai terutama golongan anak muda.

Akhir tahun lalu beliau pernah memberitahu dirinya sedang mengenali seorang jejaka dan dijangka akan mengadakan majlis perkahwinan tahun ini.

“Alhamdulillah semuanya sempurna. Terima kasih kepada yang mendoakan kami berdua,” tulis Syefura yang lebih mesra dipanggil Rara di facebooknya dengan berkongsi beberapa keping gambar persandingannya.

Perkongsian gambar-gambar perkahwinan Syefura dan suami mendapat lebih 1,500 komen daripada pengikutnya.

Bagaimanapun ramai dalam kalangan pengikutnya mengucapkan tahniah dan tidak kurang juga rata-rata kaum lelaki menzahirkan rasa ‘frust’ di hari bersejarah buat Adun mereka itu.

“Tahniah..sama cantik muga bahagia ke akhir hayat,” tulis Aqu Jemmy Ceedin.

“Alhamdulillah Tahniah yb dan suami semoga bahagia hingga jannah aaminn,” kata Kamsinar Azminar.

“Baru nak tukar mengundi kt Bentong…cancel laa bior di Temerloh janji hati x tersakiti,” komen Yus Rie Loneranger sambil meletakkan imoji menangis.

“Kejam sungguh putaran hidup ini…tahniah Yb kerna cedera parahkan anganku slm ini..lepas ini balik Bentong xmau lalu Ketari lg…ngilu sgt2,” komen Mekael Mael.

“Saya pun berjambang klu tau saya cuba nasib..tahniah selamat pengantin baru,” kata Wan Sixzerosix.

“Tahniah Yb walaupun ramai yg nangis bucu katil,” tulis Baha Munir.

Malah ada yang mengingatkan Adun mereka itu agar tidak ‘melangkawi’ SOP yang difahamkan merujuk kepada kes pelanggaran SOP oleh beberapa instafamous dan artis baru-baru ini.

Young Syefura pernah berkahwin dengan Muhammad Masyhur Abdullah kemudian bercerai Mac 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Nik Abduh: Intip perbualan, dedah rahsia itu kerja syaitan

Malaysiakini 

Pemimpin kanan PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan perbuatan mengintip dan mendedahkan rahsia sebagai amalan jahat dan berdosa besar.

Mengulas audio tular dikaitkan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Nik Abduh menyamakan perbuatan demikian dengan kerja iblis dan syaitan yang mencuri berita dari langit sebelum menyebarkannya kepada bomoh dan tukang sihir.

“Ia seawalnya adalah kerja kumpulan iblis dan syaitan di langit. Mereka berterbangan di langit dalam usaha mencuri-curi berita-berita berkaitan urusan langit dan bumi yang ditentukan oleh Allah.

“Jika mereka dapat, mereka akan segera menyebarkan maklumat tersebut kepada para wali mereka daripada kalangan manusia iaitu para bomoh, tukang sihir, tukang tilik dan seumpamanya.

“Untuk mencapai tujuan buruk mereka, mereka akan mencampur-adukkan antara kebenaran dan kepalsuan, seterusnya menyebarkan benih-benih perpecahan dalam kalangan manusia apabila (mereka) mempercayai khabar-khabar daripada para wali syaitan tersebut,” katanya di Facebook.

Ahli parlimen Bachok itu menambah kerana itulah Islam mengharamkan umatnya pergi dan mempercayai bomoh, tukang tilik, apatah lagi tukang sihir.

Audio yang tular beberapa hari lalu itu memaparkan perbualan dua lelaki yang didakwa Anwar dan Ahmad Zahid. Antara lain mereka memperkatakan Perhimpunan Agung Umno 20202 dan ucapan ahli parlimen Bagan Datuk itu semasa perhimpunan berkenaan.

Kedua-dua mereka menafikan ketulenan video berkenaan.

Kata Nik Abduh, meskipun intipan semasa perang dibenarkan, namun intipan yang dilakukan ke atas rakyat menggunakaan peralatan moden oleh pemerintah pula hanya dibenarkan jika membabitkan kemaslahatan rakyat, seperti dalam kes dadah, kongsi gelap dan sebagainya.

“Pemerintahan adalah amanah. Menyalahgunakan jentera kerajaan demi membunuh parti dan saingan politik lain adalah khianat, salah dan dosa.

“Saya tidak tahu, jika benarlah intipan audio perbualan Zahid-Anwar itu, siapakah dalang intipan tersebut. Jika dia individu, dia menanggung dosa,” katanya.

Harap bukan komplot PAS

Untuk rekod pada 2018 Nik Abduh turut pernah dirakam suaranya secara rahsia. Antara lain anak bekas menteri besar Kelantan itu mendakwa dia berkawan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS.

Bagaimanapun kejadian itu dipercayai berlaku akibat persaingan dalaman PAS sebelum ia terdedah kepada pihak luar. 

Menurut Nik Abduh sekiranya audio itu tulen, dia berharap pihak yang bertanggungjawab menjadi dalang terhadap intipan perbualan berkenaan tiada kaitan dengan jentera kerajaan.

Sekiranya ia palsu pula, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu berharap ia bukanlah hasil komplot PAS.

“Jika sebaliknya, saya berdoa dan berharap ia bukan daripada komplot PAS. 

"PAS terhalang oleh hukum agama yang diimaninya daripada menggunakan perkara haram demi sampai pada matlamat perjuangan sucinya,” katanya lagi.

Dalam kes rakaman suara Nik Abduh, pada awalnya dia menafikan ketulenan audio berkenaan namun isu itu timbul semula pada 2019 apabila kes saman fitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report ditarik semula untuk penyelesaian luar mahkamah.

Tidak berapa lama kemudian, Nik Abduh tampil mengakui bahawa rakaman audio itu sebenarnya tulen, dan mendakwa penafiannya dahulu didorong gesaan pimpinan PAS pada masa itu, serta telah mendapat restu Abdul Hadi.

Tahun lepas, laman berita teknologi Israel turut melaporkan perjanjian bernilai AS$1.5 juta membabitkan sebuah syarikat siber dengan kerajaan Malaysia, bagi membekalkan kemudahan intipan kepada polis Cawangan Khas (SB) Malaysia.

Ia dikatakan bagi membantu perdana menteri ketika itu Najib Abdul Razak memantau pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Anwar jelaskan kenapa PKR tak sertai PN

Malaysiakini 

Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan yang dia tidak akan menyertai “golongan pengkhianat” meskipun ditawarkan jawatan dalam kerajaan.

Dalam dialog anjuran Majlis Profesor Negara di Kajang hari ini, Anwar ditanya kenapa dia tidak bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memandangkan kedua-duanya tidak mempunyai isu peribadi antara satu sama lain.

Menjawab soalan tersebut, ahli parlimen Port Dickson itu mengaskan  bahawa dalam politik memerlukan etika.

“Dalam politik ini kita ada etika, golongan pengkhianat parti masing-masing bersekongkol untuk tubuh kerajaan.

“Dari segi etika, kita kena fikir, apakah kita mahu bersekongkol dengan kelompok pengkhianat yang berkuasa?” katanya.

Menerusi 'Langkah Sheraton' Februari tahun lalu, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama penyokongnya keluar parti, manakala Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pula memutuskan parti itu keluar daripada PH.

Mereka berganding bahu bersama parti-parti pembangkang ketika itu termasuk Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan PN.

Keluarnya Bersatu daripada PH membawa kepada tumbangnya kerajaan PH yang baru berusia 22 bulan. Harapan PH untuk menyaksikan peralihan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar juga tidak kesampaian.

Kata Anwar, meskpun kerajaan dibentuk oleh golongan 'pengkhianat', dia memberitahun Muhyiddin bahawa selaku ketua pembangkang, dia akan akan menyokong kerajaan sekiranya ia membantu rakyat, menghentikan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tapi tak berlaku,” katanya.

Anwar turut membidas parti komponen PN, PAS yang didakwanya hanya mengikut pihak mana yang menang.

“PAS ini dia ikut siapa yang menang. Masa (bekas perdana menteri) Najib (Razak), dia sokong Najib.

“Masa Tun (Mahathir), dia sokong Tun,” katanya.

Tak perlu lompat parti

Beberapa bulan kebelakangan ini, Anwar mendakwa dia mempunyai bilangan sokongan cukup untuk membentuk kerajaan baru. Timbul desas-desus bahawa dia mengadakan rundingan dengan Ahmad Zahid Hamidi, bagi menjalin hubungan kerjasama antara PKR dan Umno.

Pun begitu, Anwar dilaporkan berkata bahawa perbincangan berkenaan masih “terlalu awal”.

Ketika ditanya apakah dia juga mencari jalan untuk membentuk kerajaan yang disokong 'pengkhianat' apabila mengumumkan bahawa dia mempunyai cukup sokongan, Anwar tangkas menepis soalan itu dengan membangkitkan soal mandat rakyat.

“Tak betul. Kita tak bangkitkan soal lompat parti. Pertamanya, mandat itu pada siapa? Mandat itu (diberikan) kepada PH.

“Apa janji dalam pilihan raya? Janji PRU - Mahathir (pegang jawatan) sementara, kemudian bagi pada Anwar.

“Bukan kata kena khianat atau lompat, (tapi) ikut keputusan.

“Soalan sama ada kita terima pengkhianatan atau tak? Saya jawab tidak,” katanya lagi.

Sebagai bekas pemimpin Umno, Anwar turut ditanya mengenai perpecahan yang sedang berlaku dalam parti itu.

Meskipun soalan tidak ditanya secara khusus,  umum mengetahui bahawa sebahagian pemimpin Umno mahu Ahmad Zahid berundur daripada jawatan presiden.

“Dalam Umno ini, dalam pemerhatian saya, dalam parti itu harus ada disiplin dan muafakat dalaman. Tak boleh umpamanya bertindak mempertahankan jawatan dia,” kata Anwar.

Rundingan kerusi hanya dengan Bersatu - Hadi Awang

BERNAMA

Marang: Pas menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan Umno dan ketika ini rundingan yang ada hanyalah dengan Bersatu.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan dengan Umno akan diteruskan setelah parti itu mempunyai keputusan atau hala tuju yang jelas tentang kerjasama bersama Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

"Sekarang ini sudah ada pimpinan Pas yang melaksanakan tugas itu (pembahagian kerusi) dengan Bersatu. Dengan Umno pula, dulu sudah ada jawatankuasa yang dibentuk tetapi Umno yang ubah di tengah jalan.

"Oleh kerana Umno bermasalah, kita dengan Bersatu dulu (bincang mengenai pembahagian kerusi)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang menegaskan parti itu mahu bertanding secara solo pada PRU-15 di negeri ini, Abdul Hadi berkata, ia belum dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi Umno di peringkat pusat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas seboleh mungkin masih mahu menyeru kepada perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk sekali gus mengelakkan berlakunya perpecahan.

"Muafakat Nasional (MN) bukan sahaja kerjasama antara Pas dengan Umno...ia termasuk Bersatu. Itu dasar dan prinsip bersama yang kita dah bersetuju sebelum ini tetapi masalahnya pimpinan Umno yang tak ikut, itu hak merekalah.

"Namun, saya difahamkan bukan semua orang Umno begitu... jadi kita nak menyatukan orang Melayu. Bukan Pas dan Umno sahaja Melayu, malah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan semua pihak kita kena terima dalam penyatuan... kecuali yang ekstrem, Melayu yang ekstrem itu kita tolak," katanya.

Ditanya mengenai rakaman audio yang mirip suara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini pula, Abdul Hadi menegaskan Pas konsisten dengan pendiriannya dalam menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15 terutama yang membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

"Tulen tak tulen itu (audio itu) saya tidak tahu, cukup masyarakat menilai. Kita menolak jajaran baharu dan bersetuju MN yang bukan sahaja membabit Umno dan Pas tetapi juga Bersatu di samping semua kumpulan Melayu-Islam-Bumiputera serta masyarakat majmuk apabila Perikatan Nasional digabungkan," katanya.

Rakaman audio telefon antara dua pemimpin berdurasi kira-kira empat minit itu dikatakan berlaku selepas ucapan penggulungan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung Umno 2020.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu telah menafikan bahawa suara mereka yang dirakam dalam audio berkenaan dan menyatakan akan membuat laporan polis.

Selepas ada driver, gaji besar, kalian semakin terpesong, kata penyokong Pas

MALAYSIA DATELINE

Penyokong tegar Pas yang dikenali Asri Janggut hari ini menyelar kepimpinan partinya itu yang leka dengan jawatan setelah berada dalam kerajaan.

Beliau berkata, pimpinan Pas yang semakin lali dengan jawatan tidak lagi memperjuangkan agenda yang pernah dilaungkan sebelum ini termasuklah menubuhkan RCI untuk peristiwa Mamali.

“Adakah kalian semakin lali dengan jawatan?

“Kalian sudah bermewah, sudah mempunyai driver, pejabat besar, kakitangan ramai, gaji kalian puluhan ribu sebulan, adakah kalian semakin terpesong?” soal beliau melalui facebooknya.

Beliau kesal apabila pemimpin Pas diberi peluang berada dalam kerajaan bahkan salah seorang daripada mereka pula berjawatan Menteri Undang-undang, yang kini dipegang Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan.

“Puluhan tahun Pas menjerit di atas pentas ribuan ceramah di seluruh negara asal setiap kali hampir pilihan raya kita akan memainkan isu ini.

“Hari ini Allah dah beri kita peluang ada dalam kerajaan malah salah seorang dari kita berjawatan menteri undang-undang.

“Jika puluhan tahun dahulu kita mendesak tubuhkan RCI untuk peristiwa Mamali kenapa sekarang diam membisu?” soal beliau dan memuat naik gambar menziarahi Makan Syuhada Memali baru-baru ini.

Siapa tak ada 'telor' sekarang? - Anak Zahid lepas jawatan k'jaan

Malaysiakini 

Anak Presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai ahli Perbadanan SME Corp, agensi Kementerian Pembangunan Usahawan (Medac), dipercayai sebagai menyahut seruan perwakilan pada PAU2020.

Nurulhidayah memaklumkan hal itu pada satu hantaran di Instagram malam tadi yang disertai surat perletakan jawatannya serta-merta bertarikh 6 April lalu kepada Menteri Pembangunan Usahawan Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Jawatan yang dilantik saya sukarela lepaskan.

"Jawatan yang dipilih atas pemilihan yang sah, wajib dipertahankan.

"Soalan saya siapa tidak ada 'telor' sekarang," katanya yang dilantik ke jawatan itu pada 4 Januari lalu.

Pada hantaran itu, Nurulhidayah dipercayai membayangkan perletakan jawatannya berkait konflik dalaman kepimpinan Umno dan desakan supaya bapanya Ahmad Zahid Hmidi berundur sebagai presiden parti.

Pun begitu, Nurulhidayah berkata penggunaan ungkapan 'tidak ada telor' itu tiada kena mengena dengan penampilan dirinya atau mereka yang sefesyen dengannya.

"Berani kerana benar," tulisnya dengan huruf besar menunjukkan penegasan.

Untuk rekod, ungkapan bahasa slanga "ada telur" merujuk kepada keberanian, manakala "tidak ada telur" bermaksud penakut.

Pada PAU2020 lalu, Umno mempertegas keputusan MT parti sebelum ini untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan perwakilan menyerahkan kepada presidennya untuk menentukan garis masanya.

Ketika PAU 2020 juga, ahli parlimen Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet PN atau menyandang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran meletak jawatan.

Malahan Zahid pada PAU 2020 juga mencabar seorang menteri yang dipercayai Annuar Musa supaya meletakkan jawatan dalam kabinet.

Selain melabelkan pemimpin tersebut sebagai 'makhluk perosak', Zahid juga mendakwa menteri berkenaan 'menikam' Umno dari belakang.

Pun begitu, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata parti itu perlu memikirkan kepentingan rakyat sebelum mengambil tindakan untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan PN pada waktu sekarang.

"Mungkin benda itu kita rasa terbaik untuk Umno tapi ada kesannya kepada rakyat," katanya pada 30 Mac lalu.

Setakat ini, selain Nurul, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman pada 1 April lalu telah melepaskan jawatan sebagai pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Katanya, ini sebagai menghormati akar umbi pada PAU dan keputusan Umno sudah jelas untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan pendirian itu perlu dihormati.

Resolusi PH beri harapan kerjasama dengan Umno

BORHAN AHMAD

Para pemerhati politik berpendapat, Resolusi Port Dickson yang dicapai Pakatan Harapan (PH) ketika pemukiman mereka yang berakhir semalam memberikan harapan kepada Umno bahawa mereka mempunyai alternatif lain selepas dibuli oleh Perikatan Nasional (PN).

Ini berikutan tekanan hebat yang diterima oleh pemimpin Umno yang mensasarkan sesetengah pemimpin mereka manakala parti mereka sendiri juga dalam kedudukan bahaya.

Pengulas politik Kim Quek ketika mengulas Resolusi Port Dickson berpendapatan bahawa PH sedia bekerjasama dengan pihak lain itu adalah ditujukan kepada kerjasama dengan Umno.

“Resolusi PH untuk berunding dan bekerjasama dengan “mana-mana pihak “(berdasarkan agenda reformasi) menunjukkan bahawa ia bersedia bekerjasama dengan Umno, yang merupakan perubahan besar dari sikap PH sebelumnya untuk mengecualikan Umno,” kata beliau.

Bagi beliau, kerjasama PH-Umno adalah tiket pasti untuk memenangi pilihan raya akan datang.

“Ia juga memberi jalan keluar kepada Umno dari jalan buntu dalam menghadapi pilihan raya akan datang – samaada sebagai rakan yang tunduk kepada kehendak Bersatu-Pas atau bertanding secara solo,” kata Kim Quek dalam ulasannya.

Bagi Kim Quek, kerjasama PH-Umno seperti itu juga akan menjadi pemangkin kepada keinginan Umno untuk membuat reformasi ke arah parti yang lebih kukuh dan “akan membawa kestabilan jangka panjang dan akhirnya berjaya kepada negara.”

Kerjasama antara PH-Umno juga dilihat bakal menstabilkan negara ini dari segi politik dan juga hubungan kaum kerana dua tunggak utama politik berasaskan kaum berada dalam gabungan ini.

Ini kerana, kerjasama PH-Umno bermakna mendekatkan jurang antara Umno yang menjadi tunggak politik Melayu dengan DAP yang menjadi tunggak politik bukan Melayu.

Kehadiran PKR yang mewakili dan pelbagai kaum dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta AMANAH yang mewakili kelompok Islam akan melengkapkan kepentingan semua sudut rakyat Malaysia.

Dalam pemukimannya di Port Dickson yang berakhir semalam, PH membuat keputusan yang menegaskan calon perdana menteri mereka adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Resolusi itu juga memutuskan untuk membolehkan PH bekerjasama dengan pihak lain dengan syarat dasar dan prinsip perjuangan PH dipatuhi.

Resolusi itu tidak menyatakan dengan jelas apakah ‘pihak lain’ itu adalah Umno atau kumpulan Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Muda pimpinan Syed Saddiq atau Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Ramai yang berpendapat, PH akan sedia juga bekerjasama dengan kelompok lain dari Umno itu dengan syarat mereka menerima Anwar adalah calon PM mereka.

Kenapa sokong individu mahu musnahkan Umno, Najib tanya pemimpin ‘Umno 3.0’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Najib Razak membidas gerakan yang dilaporkan mahu menyingkirkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan mempersoalkan kenapa ada pemimpin parti itu mahu menyokong PPBM, yang cuba memecah dan memusnahkan mereka.

Kenyataan itu menyusul spekulasi tersebar luas berhubung rancangan menyingkirkan Zahid dan Najib dari pentas politik menjelang Ogos ini, yang akan digantikan kepimpinan baharu parti dikenali sebagai Umno 3.0.

Terdahulu, FMT hari ini memetik sumber sebagai berkata, Umno 3.0 akan bekerjasama dengan PPBM dan PAS, dengan gesaan untuk Zahid berundur daripada jawatan presiden dijangka lebih lantang tidak lama lagi.

Najib yang juga bekas presiden Umno berkata, bekerjasama dengan PPBM bertentangan suara akar umbi, memandangkan 143 daripada 190 bahagian memutuskan Umno perlu memutuskan hubungan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin. 

“Kenapa pula mereka mahu sokong parti lain yang telah merampas kerusi-kerusi Umno melalui lompatan katak, menindas Umno, pernah membeku akaun Umno dan cuba membatalkan Umno?

“Kenapa mereka mahu sokong parti yang ternyata gagal dalam pentadbiran ekonomi dan Covid?

“Kenapa mereka tetap sokong parti yang terus memberi alasan mengarut kenapa Parlimen tidak boleh bersambung dan demokrasi tidak dapat dipulihkan?

“Adakah rancangan ‘scheme of things’ untuk pecahkan Umno sudah berjaya dan ramai disogok dengan jawatan-jawatan kerajaan?” tulisnya di Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu memberi amaran pemimpin Umno 3.0 akan dihukum dengan dahsyat dalam pemilihan parti, jika bertindak bertentangan hasrat akar umbi.

Najib juga hairan kenapa ada pihak mahu beliau “disingkirkan” sedangkan dirinya bukan presiden mahupun ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

“Malah, saya mungkin tak dapat pertahankan jawatan ketua Umno bahagian Pekan pun, jika hasrat kerajaan Perikatan Nasional untuk membankrapkan saya berjaya.”

Perhimpunan Agung Umno 2020 pada 27 Mac lalu memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 dan tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional selepas Parlimen dibubarkan.

PAS tangguh rundingan kerusi dengan Umno, teruskan dengan PPBM, kata Hadi

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Rundingan kerusi PAS dengan Umno bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ditangguh bagi memberi ruang kepada Umno menyelesaikan isu dalaman, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, rundingan pengagihan kerusi dengan PPBM, bagaimanapun, diteruskan.

“Itu (isu pembahagian kerusi) tertakluk kepada Umno menyelesaikan masalah mereka dulu, kerana (dulu) sudah ada jawatankuasa (rundingan kerusi) dibentuk tapi Umno ubah di tengah jalan.

“Sehingga kini, oleh kerana Umno ada masalah, kita bincang dengan PPBM dulu,” kata beliau ketika ditanya berkenaan perkembangan berhubung agihan kerusi dengan parti rakan, selepas menyampaikan kuliah duha mingguan secara dalam talian di Masjid Rusila, Marang.

Umno dilihat sedang dalam keadaan berpecah-belah dengan beberapa pemimpin mendesak presidennya, Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, khususnya selepas beliau didakwa cuba menjalin kerjasama dengan PKR.

Zahid dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menafikan mereka mengadakan sebarang perbincangan sebegitu, namun desakan dalam kalangan pemimpin Umno mahukan Zahid berundur terus lantang.

Mengulas keputusan Umno Terengganu tidak mahu bekerjasama dengan PAS dan PPBM dalam pilihan raya, Hadi berkata ia hanya pandangan di peringkat negeri, justeru belum muktamad.

Kata beliau, apa yang lebih penting, perpaduan ummah dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bersama masyarakat majmuk lain perlu dipertahan.

“Kita akan melihat perkembangan semasa, kerana dalam Umno sendiri pun tidak sekata, kita masih lagi menyeru kepada perpaduan ummah Islam dan masyarakat majmuk,” tambah beliau.

Hadi berkata, permuafakatan yang diinginkan PAS berbentuk menyeluruh dan tidak terhad kepada Umno sahaja.

Beliau menegaskan tidak semua dalam Umno yang menyokong menamatkan kerjasama dengan PPBM, dan PAS tetap akan berusaha mendirikan penyatuan ummah yang menyeluruh.

“Perpaduan umat Islam ini ialah dalam Muafakat Nasional (MN) bukan sahaja PAS dengan Umno, termasuk PPBM. Itu dasar, prinsip bersama kita telah bersetuju.

“Tapi masalah pimpinan Umno tak ikut itu hak merekalah dan difahamkan bukan semua orang Umno begitu (menolak kerjasama dengan PPBM).

“Kita nak menyatukan orang Melayu. Bukan PAS dengan Umno sahaja Melayu. Melayu ini ada NGO, individu,” kata Hadi.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mendesak PAS untuk memilih sama ada bekerjasama dengan tunjang Barisan Nasional itu atau PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin bagi menghadapi PRU15.

PAS menegaskan ia tetap akan bekerjasama dengan PPBM menerusi Perikatan Nasional dan menolak Umno dalam membentuk sebarang penjajaran baharu dengan Pakatan Harapan.

PRU15: PH namakan Anwar calon PM

Malaysiakini 

Pakatan Harapan memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka pada pilihan raya akan datang.

Gabungan itu - yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah - juga memutuskan terbuka untuk "rundingan" dan "kerjasama" dengan mana-mana kumpulan.

Walau bagaimanapun, gabungan itu menjelaskan keterlibatan ini pelu berpaksikan pada agenda reformasi PH dan demi kepentingan umum.

Ini adalah antara keputusan yang dibuat oleh pemimpin koalisi semasa retret dua hari mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan yang bermula semalam.

Rakyat Malaysia berang kerajaan hantar stok vaksin ke negara lain

SITI NUR ZAWANI MISCON

Keputusan kerajaan yang memutuskan untuk menyalurkan sebanyak 50,000 dos vaksin Covid-19 ke Bosnia Herzegovina, mengundang kecaman pelbagai pihak yang menurut mereka tindakan berkenaan seperti meminggirkan rakyat Malaysia yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Mereka mengumpamakan tindakan kerajaan itu ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan’ apabila lebih mengutamakan negara lain dari rakyat sendiri yang kebanyakannya masih belum menerima suntikan vaksin pertama.

Ada di antara mereka yang mendakwa sudah menunggu dua bulan hanya untuk mendapatkan suntikan pertama dalam keadaan ahli-ahli politik lain sudah pun mendapatkan suntikan dos kedua.

Mereka juga mempersoalkan di mana keutamaan kerajaan ketika ini.

“Di mana logiknya untuk kerajaan menyerahkan vaksin kami kepada negara lain. Sedangkan ‘progress’ vaksinasi kita pun kurang dari dua peratus. Apa keutamaan anda?,” soal pengguna Twitter.

“Fokus pada negara sendiri boleh tak?,” tanya pengguna lain.

“Rakyat Malaysia pun belum dapat, apa ini? Mesti orang dalam kerajaan dapat untung dari keputusan ini,” kata mereka.

Selain itu, ada yang berpendapat sikap kerajaan merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia dan akan membalas tindakan itu semasa pilihanraya nanti.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata sumbangan dibuat atas dasar keperihatinan dan hubungan baik kedua-dua negara.

Katanya, ini ekoran negara berkenaan yang telah memohon bantuan daripada Malaysia dan kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan setelah diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam.

Bantuan berkenaan juga katanya, disalurkan atas dasar kemanusiaan.

“Inilah contoh kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Yang ada kat Malaysia ini bukan manusia ke smpai tak dapat faham maksud misi kemanusiaan tu?,” selar pengguna lain.

Hayat politik Zahid ibarat telur di hujung tanduk

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

KUALA LUMPUR - Hayat politik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk apabila semakin ramai pemimpin akar umbi tampil menggesa beliau meletakkan jawatan.

Hal ini susulan penularan audio rakaman perbualan telefon didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Selasa lalu, sekali gus menggemparkan lebih 3.6 juta ahli UMNO dan rakyat Malaysia.

Meskipun Ahmad Zahid dan Anwar sendiri pantas menafikan kesahihan rakaman audio tular berkenaan, akar umbi UMNO dan rakyat masih gelisah dan keliru terhadap perancangan sebenar Presiden parti itu dalam menentukan hala tuju mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff merayu Ahmad Zahid supaya mengundurkan diri dengan cara bermaruah sementara siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa polis dan Lembaga Disiplin parti.

"Kami mengalu-alukan tindakan beliau (Ahmad Zahid) untuk buat laporan polis dengan perkara itu perlu benar-benar direalisasikan bagi mengelakkan ahli-ahli UMNO terus berdepan kekeliruan.

"Bagaimanapun, bila dengar balik audio berkenaan, suara dua-dua (pemimpin) hampir sama.

"Paling menghairankan saya adalah mengapa perbualan berkisarkan perkara yang berlaku dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU)? Seolah-olah dakwaan ada perancangan bersama pihak luar itu benar-benar wujud," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada PAU 2020.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar sendiri menyangkal dakwaan penglibatan mereka di dalam rakaman suara tersebut.

Namun, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyakini rakaman audio tular berkenaan adalah tulen dan menggesa kedua-dua pemimpin melafazkan sumpah laknat.

Mustapa Kamal berkata, pendedahan terkini rakaman audio tular ditambah isu surat sokongan Presiden UMNO kepada Anwar yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lepas menyebabkan persepsi wujud 'pakatan' antara Ahmad Zahid dan Anwar semakin sukar diketepikan.

"Jadi kita minta Lembaga Disipin dan MKT untuk tengok perkara ini secara serius, jangan hanya melaksanakan pendakwaan terpilih terhadap ahli-ahli sahaja tetapi bila kait dengan pemimpin tertentu, tidak pula diambil tindakan.

"Nasihat saya kalau (Ahmad Zahid) perlu rehat, rehatlah. bukan makna kita tidak suka dan tidak mengenang jasa-jasanya.

"Sekarang ini suasana kepercayaan politik lain, saya yakin pengundi muda akan bersama parti asalkan kita memberikan satu keyakinan kepada mereka dalam bentuk kepimpinan," katanya.

Sentimen sama turut dikongsi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang menggesa parti untuk tidak lagi mengambil sebarang keputusan yang membelakangkan kehendak rakyat.

Rakaman audio perbualan telefon individu dikaitkan Zahid-Anwar benar-benar dilihat menimbulkan kegusaran dalam kalangan kepimpinan akar umbi UMNO ketika ini.

Jelas beliau, tindak-tanduk UMNO yang dilihat seolah-olah cuba mengenepikan peranan MCA dan MIC dalam koalisi Barisan Nasional (BN) juga membimbangkan akar umbi parti.

"Jangan jadi menang sorak, kampung tergadai. Kita tidak mahu sebegitu. Kalau BN betul-betul mahu gerak solo, kita kena jaga parti komponen kita.

"Bagi saya, sudah tibanya proses pemilihan UMNO diadakan bagi memberi ruang ahli-ahli parti sendiri menentukan mandat hendak diberikan kepada pemimpin lebih bersih dan berkualiti. Kalau terus beri alasan pemilihan parti tidak boleh dilakukan, mengapa pula sibuk tuntut pilihan raya?" tegasnya.

Sementara itu, pandangan berbeza diutarakan seorang lagi pemimpin akar umbi yang menyakini Ahmad Zahid masih menerima sokongan tidak berbelah-bahagi daripada ahli-ahli UMNO.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Mohamed Zulkepli Omar pula, beliau melihat isu rakaman audio Ahmad Zahid-Anwar tidak memberi sebarang kesan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memandangkan kesahihan dakwaan itu masih tidak dibuktikan.

"Rata-rata ahli UMNO di Kelantan masih menyokong Presiden UMNO dan menyuarakan persetujuan untuk UMNO dan BN bergerak secara solo pada PRU15.

"Lagipun, secara jelas Presiden UMNO tidak pernah membuat sebarang kenyataan mengesahkan beliau dan parti ada mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Saya lihat isu audio tular ini sekadar digunakan untuk memanaskan pertembungan antara kumpulan pro menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kumpulan pro Presiden UMNO. Saya enggan keruhkan lagi keadaan tetapi lebih baik kita tunggu dan lihat sahaja," katanya.s

-Sinarharian

Rakaman audio: usaha mahu singkirkan Zahid kerana putuskan kerjasama politik

SITI NUR ZAWANI MISCON

AMANAH menganggap rakaman audio yang tular membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan percaturan yang dirancang kumpulan tertentu untuk menyingkirkan Ahmad Zahid.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahfuz Omar tiak menolak kemungkinan wujud satu usaha dipihak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbulkan kemarahan akar umbi Umno terhadap Presiden mereka kerana dendam Bersatu susulan tindakan Umno yang mahu memutuskan kerjasama politik.

“Penyebaran yang sangat meluas ini menggambarkan satu usaha nak mengatur langkah bagi menyingkirkan Zahid Hamidi supaya jawatan Presiden itu dapat diambil alih oleh orang lain dan mengembalikan Umno kepada Muhyiddin serta Bersatu.

“PN merasakan bahawa pendirian Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini yang mahu bergerak secara solo dalam pilihan raya sangat membimbangkan mereka.

“Bagi mereka ini akan mnyebabkan kekalahan kepada PN kerana Bersatu tidak mempunyai kekuatan. Bersatu sangat mengharapkan nilai tambah yang diberikan oleh Umno dan Pas,” katanya dalam satu klip video di Facebooknya.

Untuk rekod, PAU 2020 telah memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Keputusan itu sekaligus menetapkan bahawa Umno menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu menurut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Bersatu sedar nilai tambah yang diharapkan dari Pas sama sekali tidak dapat membantu mereka untuk memenangi pilihanraya.

Kerana itu katanya, pelbagai rancangan sedang diatur kerana Bersatu kini sedang kegelisahan memikirkan pendirian Umno.

Pada masa sama, Mahfuz mengakui adalah sukar untuk memastikan sama ada audio yang tersebar itu tulen atau tidak.

Terdahulu, ssulan tersebarnya rakaman perbualan Zahid dan Anwar, Presiden Umno itu terus menerima tekanan dari ahli-ahli parti untuk meletakkan jawatan.

Mereka juga menyarankan Zahid berehat dari kedudukannya dan membuka peluang kepada pimpinan lain untuk mengetuai parti.

Ahli Umno dakwa dah keluar senarai ‘cai’ untuk ganti Zahid

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Umno mendakwa senarai cai bagi menggantikan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang beredar di ‘WhatsApp group’ selepas Presiden Umno itu didakwa terlibat dalam satu perbualan bersama seteru mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju, Rafi Awang Kechik berkata, senarai yang dikeluarkan itu tidak lain merupakan puak yang membenci Zahid dan cenderung menyokong Bersatu.

“Dah keluar pun cai, kononnya ini kepimpinan baru. Tak ada masalah, bertandinglah. Dah ada senarai saya terima dari WhatsApp.

“Presidennya siapa, timbalan presiden siapa, tiga naib presiden siapa. Kononnya inilah pasukan akan selamatkan Umno dan yang akan menentukan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kalau tengok senarai dikeluarkan, itu pasukan baruah PPBM. Kepada ahli Umno, kena cerdik jangan ikut perangai ketua bodoh,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebooknya semalam.

Ketika ini pimpinan Umno termasuk sayap pemuda parti itu secara terbuka telah menyuarakan bantahan untuk Ahmad Zahid kekal di kedudukannya dan mendesak beliau meletakkan jawatan.

Mereka juga menganggap sudah tiba masanya pemilihan Umno diadakan bagi memberi ruang kepada ahli-ahli parti sendiri menentukan pemimpin mereka yang lebih bersih.

Akar umbi parti juga merasakan Ahmad Zahid cuba melakukan satu komplot politik bersama parti lawan di luar pengetahuan mereka.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini dipecat dari jawatannya, turut menggesa agar kedua-dua Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim melafazkan sumpah laknat bagi membuktikan mereka bukan individu dalam rakaman perbualan tersebut. 

‘Pergi jahanam’, Nazri beritahu Ahmad Maslan selepas diarah ‘tutup mulut’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Umno Nazri Aziz yang terkenal lantang bersuara berkata, beliau dilarang membuat kenyataan selepas mengkritik Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, larangan itu dikeluarkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang memaklumkan beliau hanya tiga orang dibenarkan bersuara bagi pihak parti, iaitu dirinya, Zahid dan Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan.

Dengan memetik mesej itu, katanya, selain tiga orang terbabit, ahli lain hanya boleh bersuara “bagi diri mereka”.

“Tetapi, dia boleh pergi jahanam. Sekarang ialah 2021 dan Umno bukannya parti komunis.

“Dan saya sentiasa bercakap untuk diri saya juga,” kata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu kepada FMT.

Menurut mesej yang diterimanya, Nazri diingatkan sebarang pendapat peribadi tidak patut menyukarkan lagi hubungan sesama ahli Umno.

Menurut mesej itu, sebarang pertikaian terbuka hanya akan mengundang laporan negatif dalam media yang tidak akan memanfaatkan parti.

“Jangan layan hasutan media untuk mensensasikan berita. Kita tiada tanggungjawab terhadap mereka.”

Larangan bersuara itu menyusul sehari selepas Nazri dilaporkan berkata, peluang Umno memenangi pilihan raya umum ke-15 sangat tipis selagi Zahid menjadi ketua gabungan itu dan tonggak kepada Umno.

Beliau turut mengkritik kepemimpinan Zahid dengan berkata, semakin jelas Zahid tidak lagi mendapat sokongan atau kredibiliti untuk memimpin Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, Zahid – yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram – perlu berundur dan membenarkan orang lain memimpin Umno serta BN.

‘Bina semula Malaysia yang dihancurkan penyangak’

ARIF ATAN

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyeru golongan muda untuk bangkit membina semula negara yang dirosakkan oleh golongan pengkhianat dan perompak.

Bekas Menteri Pertahanan itu berharap anak muda tidak putus asa untuk menuntut sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan sistem pilihan raya dikembalikan.

“Ia hancur pada tahun 2020, dikhianati oleh orang seperti Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, dan lain-lain tanpa menghormati mandat yang diperoleh parti yang menang pada PRU 2018.

“Apabila kita tidak menghormati sistem yang kita pilih, kita bimbang negara menuju kepada kehancuran.

“Saya harap anak-anak muda yang baru hendak mengundi termasuk pengundi 18 tahun, bina semula Malaysia yang dihancurkan oleh penyangak-penyangak, barua-barua politik yang ada sekarang,” tegasnya malam ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian dalam Bicara Presiden

menerusi FB Live di saluran Facebook Parti Amanah Negara.

Hilang kepercayaan

Paling beliau bimbangkan ialah keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya yang diamalkan negara ini sejak lebih 60 tahun lalu.

“Rampasan kuasa melalui perpindahan ahli-ahli Parlimen secara besar-besaran, maka sekarang rakyat sedang hilang kepercayaan kepada wakil-wakil rakyat.

“Yang saya bimbang hilang kepercayaan kepada sistem yang kita pilih ini dan berjalan sejak tahun 1955.

“Apabila kita memilih demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan sistem pilihan raya, kita mesti pegang sistem ini. Ini kita pilih demokrasi berparlimen tapi kita khianatinya,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohamad berharap golongan muda terus bersemangat untuk memberi pengajaran terhadap mereka yang telah mengkhianati nilai demokrasi ini.

“Kita tidak mahu sistem yang tidak menentu pada masa ini. Apabila rakyat tidak lagi yakin untuk keluar mengundi dan pilih wakil rakyat, maka sistem apa hendak dipilih pada masa depan?” soalnya yang berpengalaman sembilan kali bertanding dalam pilihan raya.

Sejumlah besar RM4 bilion dana pencen dicuri, kata peguam

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Sejumlah besar pinjaman bernilai RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd daripada dana persaraan kerajaan mungkin dicuri, tetapi laporan polis tidak dibuat mengenainya, hujah peguam ketika prosiding melibatkan rayuan kes rasuah Najib Razak.

Peguambela Harvinderjit Singh berkata, kecurian itu mungkin berlaku “di luar struktur korporat SRC” yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB dan kemudian diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Peguam itu berhujah bahawa Najib yang ketika itu menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC bukan ejen atau diamanahkan dengan RM42 juta untuk mengalihkan wang itu, yang dikatakan sebahagian daripada RM4 bilion terbabit.

Pada peringkat ini, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang menganggotai panel hakim bersidang bertanya: “Bagaimana Lembaga SRC membuat keputusan berhubung RM4 bilion itu?”

Harvinderjit: Lembaga SRC tahu bagaimana wang itu masuk tetapi tidak bagaimana ia dikeluarkan.

Berdasarkan dua surat jaminan kerajaan, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) meluluskan pinjaman kepada SRC pada 2011 dan 2012 untuk melaksanakan dan melabur dalam projek berkaitan dengan sumber tenaga konvensyenal dan boleh diperbaharui, sumber asli dan mineral.

Pada Ogos 2011, pinjaman RM2 bilion dilepaskan oleh KWAP kepada SRC dalam empat bahagian berjumlah RM500,000.

Tujuh bulan kemudian, RM2 bilion lagi dilepaskan dalam satu bayaran, tetapi kali ini RM200 juta disimpan sebagai pelaburan modal.

Harvinderjit berkata, RM3.8 bilion ditinggalkan “di luar struktur korporat SRC dan tidak diketahui oleh pengarah syarikat.”

“Ia satu kecurian. Ketika pemeriksaan balas, Pengerusi SRC Ismee Ismail dan Pengarah Suboh Md Yassin tidak tahu apa yang berlaku dengan wang itu,” katanya.

Vazeer: Tetapi tiada laporan polis dibuat?

Harvinder: Tidak. Hanya Suboh boleh membuat laporan polis, tetapi beliau tidak tahu mengenai wang yang hilang itu. Ismee juga terkejut.

Suboh dan CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil adalah penandatangan SRC tetapi pembelaan mendakwa ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, pengurusan kanan SRC dan kakitangan Ambank bersubahat untuk mengeluarkan wang SRC itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya turut berkata, sejumlah besar RM4 bilion itu dipindahkan ke akaun di luar negara hampir serta-merta selepas diterima.

Katanya, ia kini nampak seperti telah dibekukan pihak berkuasa berkaitan di Switzerland. Status terkininya tidak diketahui.

Harvinderjit memberitahu mahkamah hari ini, tiada sesiapa daripada kerajaan yang hadir ke mahkamah untuk mendedahkan status wang berkenaan.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman SRC International berjumlah RM4 bilion daripada dana berkenaan.

Beliau turut menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta milik SRC International.

Julai tahun lalu, Nazlan memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan RM42 juta milik SRC International.

Perbicaraan bersambung Isnin.

‘Saya akan sumpah nama Allah, saya tak cipta audio Zahid-Anwar’

Malaysiakini 

Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz berkata dia akan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak mencipta rakaman audio yang didakwa melibatkan Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim.

“Untuk menghentikan polemik dan perbuatan tuduh menuduh ini, saya akan bersumpah atas nama Allah bahawa saya tidak terlibat mencipta audio Zahid-Anwar dan tidak terlibat dalam penyebarannya, melainkan hanya berkongsi dengan beberapa group WhatsApp bagi membuktikan saya benar dalam isu sokongan Zahid kepada Anwar dan mereka yang menafikan sokongan ini salah,” katanya.

Zahid dan Anwar menafikan perbualan itu.

Faisal turut berkongsi rakaman layar sebaran di sebuah kumpulan Whatsapp yang mendakwa audio itu dicipta dengan bantuan pasukannya dan seorang menteri Umno.

Dia juga didakwa menyediakan skrip untuk perbualan itu.

Faisal yang kini digantung keahlian dalam Umno selama dua penggal (kira-kira enam tahun) bagaimanapun turut menjemput Zahid untuk mengambil tindakan sama.

"Sebelum saya bersumpah, saya ingin menjemput presiden Umno untuk bersumpah juga atas nama Allah bahawa suara dalam audio itu bukan suara beliau dan surat sokongan terhadap Anwar itu juga tidak benar dan beliau tidak terlibat dengan pemberian sokongan tersebut.

"Mari kita lakukan majlis bersumpah ini di Surau Ar Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.

Faisal berkata dia akan menghubungi setiausaha kerja Umno Mohd Sumali Reduan untuk mengatur majlis itu.

Rakaman audio itu mula tular dan menarik perhatian ramai sejak semalam.

Lebih memanaskan keadaan ia diedarkan selepas perhimpunan agung Umno bersetuju menarik sokongan.

Kakitangan kerajaan yang tolak vaksin Covid-19 boleh dipecat

FAZLI RADZI

Kakitangan kerajaan di Kemboja yang menolak suntikan vaksin Covid-19 boleh dipecat, kata Perdana Menterinya, Hun Sen.

Tegasnya, pergaulan dalam kalangan rakan sekerja meningkatkan risiko jankitan pandemik itu dan lebih memudaratkan jika ada yang tidak disuntik vaksin.

“Mereka yang tidak divaksin terbukti berisiko tinggi dijangkiti dan menyebarkannya kepada orang lain.

“Saya dapati ada dua kategori orang pada program pemberian vaksin kepada penjawat awam peringkat nasional dan sub-nasional baru-baru ini.

“Pertama ialah mereka yang ingin divaksinasi secepat mungkin berikutan bimbang dijangkiti jika tiada perlindungan dan kedua ialah golongan yang enggan disuntik kerana takut kesan sampingan,” lapor BH memetik Agensi.

Sejak awal tahun ini, kes harian Covid-19 di Kemboja bertambah sehingga kemudiannya mencecah empat angka mulai 8 Mac lalu.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kes wabak tersebut di Kemboja sebanyak 3,028 kes dengan 1,914 kes sembuh dan 24 kes kematian.

Sehubungan itu, Hun Sen menegaskan bahawa vaksinasi kini dilakukan secara sukarela tetapi pada masa akan datang ia diwajibkan untuk beberapa sektor pekerjaan terutama anggota angkatan bersenjata dan penjawat awam.

Walau bagaimanapun, penjawat awam yang tidak mahu suntikan vaksin, katanya, sekali gus menyukarkan pemerintah mencapai titik di mana 70 peratus dari tenaga kerja menerima pelalian, maka mereka yang belum disuntik vaksin boleh mencari kerja lain.

“Hanya dapatkan vaksin untuk melindungi nyawa anda sendiri dan ikut serta memerangi Covid-19 atau perkhidmatan anda mungkin tidak lagi diperlukan,” katanya.

Hun Sen juga meminta semua menteri mengira jumlah pegawai yang diberi vaksin sepenuhnya, mereka yang masih memerlukan dos kedua dan mereka yang masih belum divaksinasi.

Beliau bahkan mengarahkan semua kementerian untuk merekrut pegawai yang diberi vaksin sepenuhnya dengan pengecualian kepada mereka yang tidak divaksin kerana disebabkan masalah kesihatan yang disertakan dengan bukti.

Pada masa sama, beliau juga menyarankan selain sijil perubatan, harus ada kad individu yang dapat menunjukkan seseorang sudah divaksin.

Polis rampas ‘pil jihad’ bernilai lebih RM221 juta di Pelabuhan Klang

Bernama

PELABUHAN KLANG: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas 650 kilogram dadah jenis pil “captagon” atau dikenali sebagai “dadah jihad” bernilai lebih RM221.86 juta di Pelabuhan Klang, Isnin lepas.

Pengarah JSJN Razarudin Husain berkata rampasan kedua dadah jenis tersebut di Malaysia itu adalah hasil perkongsian maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

“Dadah itu dibawa dari negara Timur Tengah dan singgah di Pelabuhan Klang sebelum dirancang untuk menuju ke negara Asia Barat untuk memenuhi permintaan pasaran di sana,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat risikan tersebut pihaknya berjaya mengesan sebuah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di sini Ahad lepas.

“Maklumat risikan mendedahkan sebuah kontena daripada kapal tersebut akan dipindahkan ke kapal lain yang akan meneruskan perjalanan ke Singapura pada 6 April,” katanya.

Razarudin berkata, dadah yang disimpan di dalam “aluminium floor spring” itu berjaya dikesan pihak berkuasa melalui imbasan yang menimbulkan imej yang mencurigakan.

Namun katanya, tiada tangkapan dibuat dalam operasi tersebut dan JSJN dan pihak berkuasa Arab Saudi akan terus bekerjasama untuk menangkap pihak yang terlibat.

Menurutnya pil itu pada mulanya digunakan oleh Jerman untuk membesarkan otot seawal 1960-an, namun diharamkan penggunaannya di Amerika Syarikat dan Eropah itu pada 1980-an kerana dikategorikan sebagai dadah.

Razarudin berkata dadah yang mempunyai kandungan amfetamina dan fenethylline itu biasanya digunakan oleh militan Daesh untuk menimbulkan rasa berani dan kini mula digunakan di pusat hiburan, namun katanya dadah tersebut masih belum memasuki pasaran Malaysia.

“Kita tidak mahu Malaysia dijadikan negara transit dadah dan mahu menyekat dadah ini dari masuk ke negara ini,” katanya.

Mampukah Zahid bertahan hadapi tekanan dari dalam, luar?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan dengan 47 pertuduhan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, kini berdepan tekanan untuk memaksanya melepaskan jawatan yang disandang.

Tekanan ke atas Zahid datang dari dalam dan luar parti, namun penganalisis berpendapat Ahli Parlimen Bagan Datoh itu akan dapat mempertahankan kedudukan, sekurang-kurangya sehingga pemilihan parti.

Pakar strategi politik, Syed Arabi Idid berkata, Zahid mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh jika dilihat berdasarkan Perhimpunan Agung Umno yang diadakan baru-baru ini.

Bagaimanapun, maklum balas barisan menteri daripada Umno dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak memberi imej yang baik kepada Zahid.

Menteri terbabit digesa melepaskan jawatan masing-masing selepas Umno memutuskan kerjasama dengan PPBM dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Ia membuatkan Zahid kelihatan lemah,” beliau memberitahu FMT, sambil menambah respons yang bercampur aduk itu tidak mencerminkan persekitaran politik yang sihat kepada Zahid.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata, kekuatan Zahid hanya akan dapat diketahui pada pemilihan presiden Umno nanti, atau seandainya berlaku undi tidak percaya terhadap beliau.

Penganalisis sosio politik Awang Azman Pawi pula percaya rentetan peristiwa yang berlaku menyebabkan Zahid serta bekas presiden Umno, Najib Razak berada dalam suasana “serangan politik”.

Beliau berkata, keputusan mahkamah yang membenarkan permohonanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Najib Razak bagi menuntut pembayaran tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.74 billion antara tahun 2011 hingga 2017 serta pendedahan rakaman audio yang didakwa perbualan antara Zahid dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim menunjukkan terdapat agenda tersembunyi kerajaan untuk “menghapuskan” kedua-dua pemimpin Umno ini.

“Ini berlaku dalam tempoh dua hari.

“Pertama mengenai LHDN, yang kedua rakaman audio pula. Ia mungkin dilihat sebagai ‘serangan politik’,“ tambah beliau.

Awang Azman berkata, Zahid mungkin akan terselamat dan bertahan memandangkan Umno mempunyai struktur dan pentadbiran parti yang tidak memudahkan sebarang usaha menggulingkan presiden, terutamanya jika usaha itu datangya dari luar parti.

Beliau berkata Zahid mungkin berdepan tekanan yang hebat supaya mengundurkan diri, namun beliau akan terselamat sehingga pemilihan presiden parti.

Berdasarkan situasi semasa, beliau menambah PPBM mungkin akan meneruskan usaha memenangi dan meraih sokongan lebih ramai Ahli Parlimen Umno.

Sumber dalaman parti memberitahu FMT, Zahid akan terselamat kerana sekiranya parti membenarkan PPBM menggulingkan Zahid, PPBM akan memperolehi kuasa yang besar dalam Umno.

“Mereka yang mempunyai kes dan bermasalah juga akan ‘berjabat tangan’ dengan Muhyiddin dan yang lain akan menyusul,” beliau memberitahu FMT.

Ini mungkin akan menyebabkan PPBM, yang pada ketika ini mempunyai sokongan akar umbi yang lemah, mengawal Umno dan tidak membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU dalam tempoh dua tahun ini.

“Kami tidak mahu PPBM mempunyai kuasa mengawal kami,” katanya.

Lancar produk selipar ‘mesra muslim’, Neelofa dikritik jual agama

SURI LAILA

Selepas isu selebriti popular, Noor Neelofa melanggar SOP kerana didakwa berbulan madu di Langkawi, rakyat Malaysia sekali lagi mengkritik usahawan berkenaan selepas beliau melancarkan selipar dengan jaminan ‘mesra muslim’ hasil usaha sama dengan jenama kasut tempatan, Fipper.

Selipar berkenaan dijual dengan harga RM79.90 sepasang selain mengatakan selipar berkenaan mempunyai perincian yang memberi keselesaan kepada orang Islam yang menggunakannya.

Netizen kemudiannya mempersoalkan harga selipar berkenaan yang didakwa lebih mahal dari jenama kasut yang lain, selain mempertikaikan label ‘mesra muslim’ untuk selipar tersebut.

“Peminat Neelofa mengatakan selipar berkenaan mesra muslim kerana ianya direka oleh wanita yang memakai stokin. Masalahnya reka ini dah lama digunakan. Dia cuma tampal logo di atasnya dan pasarkan sebagai mesra muslim,” kata seorang pengguna Twitter.

“Saya tak faham kenapa kena ‘overclaim’ selipar mesra muslim. Apa yang membuatkan selipar ni mesra berbanding selipar lain yang sama rekaannya?

“Adakah selipar mesra muslim ini adalah selipar baru masjid? Saje tanya,” ciap pengguna lain.

Ada juga yang berpendapat, sudah menjadi satu trend untuk usahawan menggunakan nama agama untuk melariskan jualan mereka.

Sementara itu Fipper menerusi kenyataannya memohon maaf dan menjelaskan kekeliruan berhubung dakwaan mesra muslim dalam produk seliparnya.

“Produk Slip On, Fipper x TheNoor sesuai untuk kegunaan muslimah yang memakai stokin, kerana produk kami sebelum ini kurang bersesuaian dengan imej muslimah yang berstokin.

“Pihak Fipper ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku,” jelas kenyataan it

Terkejut biji sagu RM400, pemuda pesan jangan lupa semak resit pembelian

MALAYSIA DATELINE

Seorang pemuda yang sering berbelanja RM400.00 lebih untuk membeli stok makanan bagi tempoh dua hingga tiga minggu, terkejut apabila mendapati perbelanjaannya kali ini berlebihan.

Ketika melakukan pembelian di pasaraya besar baru-baru ini, pemuda yang dikenali The Faiz Ibrahim agak sangsi kerana beliau harus membayar RM890.00

Beliau yang tinggal dengan emaknya tergamam sekejap melihat resit pembelian kerana paling banyak beliau berbelanjaa lebih kurang RM400 sahaja.

Walaupun beliau rasa tidak sedap hati dengan jumlah perbelanjaannya itu, beliau tetap membayar kepada juruwang dengan jumlah tersebut.

“So aku pun bayar jelah walaupun rasa tak sedap hati. Cashier tu cakap, sebab awak beli banyak, that’s why harga macam tu. Tapi aku still sangsi, dan bayar je dulu.

“After bayar aku memang usually akan check resit semula.

“Lepas check punya check, rupanya biji sagu yang harga RM1.40 ni, lepas scan jadi RM400. GILA BAPAK. Ini biji sagu Ayah Pin ke? Dasar biji sagu alam sebalik mata. Hahaha.

“Aku terus ke customer service dia dan alhamdulillah pihak Mydin terus refund balik duit aku RM400. Ni aku puji sebab aku rasa proses aku mintak refund tu, smooth je,” tulis beliau yang sebelum ini hanya membaca pengalaman seperti ini daripada orang lain.

Justeru, beliau meningatkan para pengguna jangan lupa semak resit pembelian sebaik sahaja selesai berbelanja agar tidak tertipu dan ditindas kerana bukannya muda untuk mendapatkan duit.

“Sometimes harga di barang lain, tapi lepas scan, jadi lain.

“Biarlah orang nak kata kita ni berkira ke, kedekut ke, yang penting kita jangan bayar untuk barang yang kita tak beli atau barang yang harganya lain dari yang kita sangka.

“Jangan ditipu dan ditindas sebab nak cari duit bukannya mudah.

“Jadi, tak kisah lah di mana-mana hypermarket korang beli, sila semak resit dan jadi bijak sikit. Sometimes ada error dalam sistem dan jangan sebab error tu, kita dianiaya,” katanya.

Lelaki putus cinta ‘naik pelamin’, berzikir di pejabat JAWI

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dilaporkan nekad meluru ke ruang majlis akad nikah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dan duduk di pelamin sambil berzikir serta mengaji dengan kuat, hari ini.

Tindakannya itu, yang dipercayai akibat tekanan selepas putus cinta, dikongsikan oleh JAWI menerusi akaun Twitter rasminya, @myJAWIKL.

“Allahu. Ini kisah benar, bukan rekaan taupun imaginasi novel cinta,” kata JAWI.

“Seorang pemuda tidak semena-mena, tidak berkasut, memasuki ruang majlis akad nikah di JAWI pagi ini, terus duduk di pelamin, berzikir dan mengaji dengan kuat.”

Namun, situasi itu dapat ditangani dengan tenang oleh pihak keselamatan, kata JAWI dalam catatan di Twitter pada 11.19 pagi ini.

“Kami doakan mudah-mudahan Allah berikan kesembuhan, jalan keluar, dan kemudahan kepada pemuda tersebut menghadapi ujian berat di dalam hidupnya.”

Setakat 4 petang tadi, perkongsian JAWI di Twitter itu menerima hampir 3,800 tanda suka dan ‘ditwit’ semula lebih 2,500 kali.

Kebanyakan pengguna laman sosial itu berkongsi rasa simpati terhadap lelaki berkenaan dan mendoakan semoga dia berjaya mengatasi kekecewaan serta menjadi lebih kuat untuk menghadapi hari mendatang.

HARU: Pengantin tersilap rumah

Hmetro

Agensi

ROMBONGAN pengantin yang tersalah rumah pengantin wanita.

ROMBONGAN pengantin yang tersalah rumah pengantin wanita.

Jakarta: Seorang pengantin lelaki bersama rombongan nyaris berkahwin dengan wanita lain selepas tersilap menggunakan ciri share location di Google Maps.

Menerusi laporan Tribunnews, pengantin wanita dikenali sebagai Ulfa, 27, berkata, pada awalnya dia tidak menyedari ketibaan pengantin lelaki dan rombongan terbabit kerana sibuk disolek.

Lebih pelik, keluarga pengantin perempuan tidak begitu mengenali ahli keluarga pengantin lelaki.

"Tetapi keluarga mengalu-alukan kehadiran mereka dan acara pertukaran hantaran juga diadakan.

"Bagaimanapun, seorang daripada rombongan itu secara tiba-tiba menyedari mereka tersilap rumah pengantin lalu bergegas keluar. Mereka dikatakan tersilap mengikut Google Maps dan memohon maaf," katanya.

Menurut Ulfa, tunang dan rombongannya belum tiba kerana berhenti mencari tandas.

"Saya terkejut dan bingung kerana tidak mengenali sesiapa daripada ahli rombongan berkenaan. Saudara bertanya kepada mereka, siapa calon pengantin wanita dan ternyata bukan saya. Rombongan itu dari Pemalang sementara tunang saya dari Kendal.

"Akibat tersilap rumah, saudara membantu dan menghantarkan rombongan itu ke rumah pengantin wanita yang betul dengan jarak tidak jauh dari kampung ini.

"Kebetulan pada hari kejadian iaitu Ahad, terdapat dua majlis iaitu satu pertunangan dan satu lagi pernikahan hingga menimbulkan kekeliruan," katanya.

Sekaranglah Masa Terbaik Najib Jatuhkan Mahiaddin

Shahbudin Husin

Dalam tulisan atau luahan perasannya yang panjang lebar semalam, Najib Razak menganggap notis bankrap yang dikemukakan LHDN kepadanya adalah untuk mengaib dan mencemar reputasinya.

Notis berkenaan juga, tambahnya adalah bermotif politik dan bertujuan mengawal musuh.

Bekas Perdana Menteri itu seterusnya menggariskan tiga sebab ia dilakukan terhadapnya:-

Pertama, undian dijalankan penyelidikan UUM dan Utusan TV melibatkan 60,000 responden menunjukkan yang beliau adalah Perdana Menteri pilihan bagi PRU15 dengan separuh dari undian manakala PM pada masa ini jauh di belakang dan hanya menduduki tempat keempat.

BN pula dipilih sebagai gabungan pilihan pertama dalam undian manakala PN di tempat tercorot.

Kedua, keputusan PAU2020 untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu/PN ketika PRU15 akan datang.

Ketiga, bermulanya rayuan kes SRC di mana Najib penuh yakin dengan mempunyai 307 alasan kukuh mengapa hakim yang tidak berpengalaman serta tiada pengalaman mengendali kes jenayah dan tiba tiba dipindahkan dari mahkamah sivil menggantikan hakim jenayah berpengalaman selepas perbicaraan bermula, membuat keputusan dengan mensabitkan hukuman bersalah terhadapnya.

Kata Najib lagi, pasukan peguambelanya yakin beliau mempunyai peluang yang baik dalam rayuan ini apatah lagi ahli keluarga salah seorang saksi pendakwaan didapati menerima ratusan juta dari Jho Low selepas sabitan terhadapnya dijatuhkan.

Selain itu, Najib turut mengaitkan kesimpulan terkini kes pelupusan harta di mana pendakwa raya gagal membuktikan barangan dan wang yang disita daripada kediamannya adalah diperolehi dari dana 1MDB.

Malah, dakwanya, hakim telah menolak afidavit pendakwaraya yang dikemukakan pada saat akhir dan hakim dijangka akan membuat keputusan untuk kes tersebut pada bulan depan.

Dengan notis bankrap itu yang menungkinkan semua akaun bank dan harta miliknya dirampas, seterusnya akan jadi papa kedana,?Najib bagaimanapun berkata, pasukan peguamnya akan membuat rayuan untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Bermakna dalam hal ini, Najib masih mahu mengikut sistem dalam usaha mempertahankan dirinya, meskipun sudah berkali-kali juga mengatakan tuduhan terhadapnya adalah bermotif politik.

Walaupun saya antara yang banyak mengkritik Najib ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri, malah saya sempat menerbitkan enam buku sebagai sebahagian usaha menjatuhkannya sebelum PRU14 lalu, kali ini saya benar-benar bersimpati terhaadap apa yang menimpanya.

Ternampak tidak masuk akal beliau boleh dikenakan cukai peribadi sebanyak RM1.7 bilion hanya kerana sumbangan yang diterimanya.

Adakah dengan cukai sebesar itu bermakna Najib lebih kaya daripada Robert Kouk, orang paling kaya di Malaysia?

Lagi pula, LHDN sendiri pada 2016 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dana RM2.6 bilion yang diterima Najib tidak perlu dikenakan cukai kerana ia dianggap sumbangan untuk politik.

Mengapa setelah kerajaan berubah dengan Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 2018, tiba-tiba pendirian LHDN berubah?

Makanya, untuk menganggap tindakan LHDN mengenakan cukai sebanyak RM1.7 bilion, kemudian disusuli notis bankrap pada hari pertama bicara kes rayuan Najib bermula sebagai tidak bermotif politik terlihat sukar untuk dipercayai.

Lebih ramai akan percaya tangapan sedemikian berbanding cubaan untuk meyakinkan ia dilaksanakan berdasarkan undeng-undang.

Lagi pun, jika tidak bermotif politik dan undang-undang didaulatkan, mengapa kes Azmin Ali berkaitan video Haziq masih didiamkan sehingga sekarang?

Daripaad era Tun Mahathir hinggalah kepada Mahiaddin Md Yasin jadi Perdana Menteri sekarang, Azmin bukan saja masih bebas lepas, malah terus jadi anak emas kepada kedua-dua pemimpin berkenaan.

Kalau bukan bermotif politik, apakah alasan lain tidak mengenakan tindakan terhadap Azmin di mana semua orang yang menonton video tersebut percaya itu adalah beliau.

Tidak mustahil jika Azmin sendiri pun menonton video Haziq itu, beliau turut tidak terkecuali percaya itu adalah dirinya.

Dengan perbandingan mudah antara kes Najib dengan kes Azmin, tidak dapat tidak, sukar untuk menafikan kedua-duanya tidak bermotif politik.

Kalau Najib dibawa ke pengadilan dan diberi ruang membela diri, Azmin juga sepatutnya tidak dikecualikan daripada proses yang sama.

Oleh kerana rata-rata percaya ia bermotif politik, malah Najib sendiri percaya 100 peratus motif politik mengapa beliau diperlakukan sedemikian rupa, melawannya mestilah juga dengan politik.

Walaupun melawan melalui sistem bukan suatu kesalahan, tetapi melawan dari segi politik harus juga dipertingkatkan lagi.

Dengan perkembangan terbaru diberikan notis bankrap ini, selain ternampak jelas Mahiaddin meneruskan apa yang dilakukan sebelumnya oleh Tun Mahathir, sebenarnya inilah alasan paling wajar untuk Najib tidak lagi menyokong kerajaan PN.

Sekaranglah masa terbaik untuk UMNO secara en bloc, atau setidak-tidaknya Ahli Parlimen yang bersama Najib dan Zahid Hamidi untuk menarik sokongan terhadap Mahiaddin dan menjatuhkan kerajaan PN.

Lagi lama kerajaan PN ini dibiarkan berkuasa, selain masa depan Najib akan terus gelap, UMNO juga turut gelap masa depannya. (Shahbudindotcom 07/04/2021)

Ada ‘kaitan jelas’ vaksin AstraZeneca, darah beku, kata Agensi Perubatan Eropah

AFP

ROM: Seorang pegawai tertinggi di Agensi Perubatan Eropah (EMA) berkata, ada kaitan antara vaksin AstraZeneca dan pembekuan darah.

“Pada pendapat saya, kami boleh katakan sekarang jelas ada kaitan dengan vaksin. Tetapi, kami masih tidak tahu apa punca kepada reaksi ini,” kata Ketua Vaksin EMA, Marco Cavaleri kepada akhbar Itali, Il Messaggero.

Persoalan berterusan sama ada pembekuan darah jarang berlaku tetapi serius dalam kalangan penerima vaksin AstraZeneca menjejaskan keyakinan terhadap vaksin itu.

Selepas beberapa negara menggantung penggunaan vaksin itu – termasuk Itali – EMA mengisytiharkan manfaatnya melebihi risiko dan ia perlu kekal digunakan.

Tetapi, katanya, kaitan sebab akibat antara pembekuan darah dan vaksin berkemungkinan, dan dijangka penilaian terkini akan disediakan dalam minggu ini.

“Kami cuba mendapatkan gambaran tepat apa yang berlaku, untuk menentukan secara terperinci sindrom disebabkan vaksin itu,” kata Cavaleri.

“Antara mereka yang divaksin, lebih banyak kes trombosis serebral…antara orang muda daripada yang kami jangkakan.”

Rakaman audio mirip suara Anwar, Zahid satu konspirasi tahap tertinggi?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Rakaman perbualan peribadi yang didakwa mirip Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dianggap sebagai ‘hari hitam’ kepada demokrasi Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi menyifatkan rakaman perbualan tersebut bermotif politik apabila ia disebarkan.

Beliau berkata, darurat sepatutnya bertindak untuk mengurangkan politiking tetapi rupanya ia semakin bermaharajalela.

“Butiran perbualan itu adalah cukup jelas dan berkualiti tinggi. Ia mesti menggunakan peralatan canggih yang orang biasa tidak akan mampu memilikinya.

“Apakah ini konspirasi “at the highest level”? Ini bukan kerja calang-calang

“Wujudnya kluster lompat dan merakam perbualan telefon adalah natijah kerana kerajaan hari ini tidak ada majoriti jelas,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Terdahulu, portal Malaysian Insider mendedahkan satu rakaman audio yang didakwa merupakan perbualan telefon membabitkan Anwar dan Ahmad Zahid.

Perbualan itu antara lain menyentuh tentang ucapan Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang mahu memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN). 

Menerusi video berdurasi 4 minit 17 saat di akaun Facebook Insider Malaysia itu, kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam PAU.

Kedua-duanya juga bercakap tentang status Menteri Umno yang sehingga hari ini masih tiada yang berani menarik diri dari kerajaan PN.

Sementara itu, Puad membangkitkan isu ketika bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mendedahkan rakaman audio antara Najib dengan Putera Mahkota Arab Saudi.

Katanya, sehingga hari ini sejak 2018, UAE tidak lagi melabur di Malaysia, malah melabur hampir RM130 Bilion ke Indonesia.

“Perdana Menteri tentu ada penjelasan kenapa balik tangan kosong dari lawatan ke UAE baru baru ini?

“Sekali lagi Kerajaan PN terselamat kerana Parlimen tidak bersidang untuk beri peluang kepada MP pembangkang bangkitkan isu ini.

“Sekurang-kurangnya ahli parlimen boleh desak supaya ditubuhkan RCI dan SKMM menyiasat perkara serius ini untuk mencari keadilan,” katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan langkah politiking tidak akan berakhir kerana rakaman audio itu disebarkan sehari selepas Datuk Seri Najib Razak menerima notis bankrap dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Netizen kecam ‘walaun’ berendam dalam takungan Air Berani

 MALAYSIA DATELINE

Tindakan sekumpulan pemimpin dan penyokong Pas masuk ke dalam takungan air yang dibuat untuk di minum di Pulau Perhentian dikecam netizen.

Ia berikutan tersiar sekeping gambar mereka yang masuk ke dalam takungan ‘Air Berani’ di Pulau perlancongan itu yang ditakung khas untuk diminum.

Pengguna Facebook Johar Ismail marah dengan perbuatan penyokong Pas yang digelar walaun yang ada akal tetapi tidak cerdik.

Pengunjung mencedok air di takungan Air Berani yang bersih bukan setakat boleh bilas badan bahkan boleh diminum

Beliau berkata, tujuan meletakkan sekatan guni pasir di Air Berani itu supaya airnya bertakung dan menjadi kolam bagi memudahkan pengunjung dan pelancong mandi dan bilas selepas mandi di pantai.

“Ia untuk kegunaan pengunjung, pelancong mandi, minum dan bilas air masin.

“Nelayan pun singgah ambil air di sini. Airnya sejuk.

“Payah juga nak jumpa air turun secara semula jadi di kawasan pulau. Walaupun tak besar, tapi jarang kering,” ujarnya.

Bengang dengan perbuatan penyokong Pas bertindak berendam di dalam takungan air itu beliau menggelarkan mereka ‘walaun Pas purba’.

“Apa tujuan sedia timba?

“Orang suruh cedok air dengan timba. Jirus. Bukan gi berendam dalam tu. Natang darat!!

“Otak mana otak?”kata beliau.

Lata Air Berani yang terkenal dengan air sejuk seperti ais yang keluar dari celahan batu bukit termasuk untuk membilas badan kerana ia air tawar tidak pernah kering.

Satu keajaiban kawasan mata air ini ia tak pernah masin walaupun terletak dekat dengan pesisir pantai.

'Perbualan bocor didakwa antara Zahid, Anwar konspirasi tahap tertinggi?'

Malaysiakini

Pemimpin Umno Puad Zarkashi mempersoalkan jika penyebaran rakaman video yang didakwa antara Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim baru-baru ini, sebagai "konspirasi di peringkat tertinggi".

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, ini kerana butiran rakaman itu cukup jelas dan berkualiti tinggi.

"Tulen atau tidak sudah tentu rakaman itu bermotif politik apabila ia ditularkan. Darurat sepatutnya untuk kurangkan politiking tetapi rupanya semakin bermaharajalela.

"Apakah ini konspirasi at the highest level? Ini bukan kerja calang-calang," katanya di Facebook hari ini.

Rakaman itu didakwa perbualan antara presiden Umno dan PKR untuk menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN). dan telah beredar dalam lingkaran Umno.

Bagaimanapun Malaysiakini belum dapat memastikan ketulenannya dan sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak Anwar dan Zahid.

Undi 18: Anak muda bijak tidak akan undi Pas yang tiada prinsip

MALAYSIA DATELINE

Perlu difahami mengapa Pas memberi bermacam-macam alasan Undi 18 tidak perlu dilaksanakan antaranya mengatakan anak muda pada usia itu masih tidak matang untuk mengundi.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Senator Aiman Athirah membidas kenyataan Presiden Pas itu dengan mengatakan bahawa anak muda Malaysia hari ini lebih kritis.

Bahkan beliau percaya anak muda yang kritis ini tidak akan mengundi Pas yang terang-terang tiada prinsip jelas dalam perjuangan.

“Selain hanya tunggang agama untuk kuasa,” katanya melalui facebook.

Sebelum menjadi kerajaan Presiden Pas Abdul Hadi Awang lantang berkata jangan menggunakan alasan mentah untuk membantah Undi 18 tahun, tetapi kali ini nadanya berubah dengan mengatakan Undi 18 hendaklah bergantung kepada kematangan.

Abdul Hadi tetap dengan pendiriannya sebelum ini bahawa umur mengundi 18 tahun adalah berpandukan demokrasi ciptaan Barat. 

Semalam pula dia mencadangkan had umur sebagai syarat kelayakan mengundi harus digabungkan dengan pendidikan politik.

Proses agih kerusi lebih mudah tanpa Umno, kata pemimpin Bersatu

FMT Reporters

Rosol Wahid berkata, rundingan pembahagian kerusi dengan PAS akan menjadi lebih mudah kerana hanya membabitkan dua parti saja. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Rosol Wahid berkata, proses pengagihan kerusi parti itu dan PAS, khususnya di Terengganu, kini menjadi lebih mudah selepas Umno menolak kerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Ini bergantung kepada budi bicara pemimpin kedua-dua parti dan kita kena ada ‘give and take’ dan saya yakin perbincangan dengan PAS akan menjadi lebih mudah kerana hanya membabitkan dua parti saja, tetapi kalau ada Umno, kita kena bincang tiga penjuru, mungkin susah sikit.

“Umpamanya kalau satu guni beras nak bahagi dua pihak mudah sikit berbanding kalau mahu dibahagikan kepada tiga bahagian kepada tiga pihak berbeza,” kata timbalan menteri perdagangan dalam Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu selepas Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan di Pasar Tani Mega Putrajaya.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen, dengan enam daripadanya dimenangi PAS pada PRU14, iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman, manakala Besut dan Hulu Terengganu dimenangi Umno.

Bagaimanapun, kerusi Parlimen Hulu Terengganu bertukar tangan selepas Rosol meninggalkan Umno dan menyertai PPBM.

Rosol berkata, ketiadaan Umno juga memudahkan PPBM dan PAS membahagikan kerusi dengan lebih adil dan saksama.

“Memang semua parti mahu kerusi yang lebih, tetapi kita rasa (ada) ruang untuk PPBM menambah bilangan kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi pada PRU15 nanti.

“Sebagai contoh PPBM Terengganu, kalau kita tiada calon untuk bertanding, baik kita beri kepada PAS, jika mereka boleh menang. Matlamat kita bukan hanya politik, malah bagaimana untuk memenangi kerusi berkenaan.”

Sementara itu, Rosol menyerahkan kepada pucuk pimpinan PPBM untuk menentukan sama ada beliau akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional pada PRU14.

“Jika mereka mahu saya lawan, saya akan terus bertanding. Jika pucuk pimpinan kata saya kena tarik diri, saya tidak akan bertanding kerana pada PRU lalu pun.

“Sebagai ahli politik, kita jangan terlalu bercita-cita tinggi. Kalau itu rezeki kita, tidak ke mana, kalau ia bukan rezeki saya, saya tidak akan bertanding pada PRU15.”

BERBANDING MENGGERUNKAN LAWAN, PAS LEBIH GERUN HILANG NIKMAT KEMEWAHAN

Shahbudin Husin

Agak menarik apabila Presiden Putra, Ibrahim Ali secara terus-terang berkata, kerjasama Pas dengan Bersatu dalam PN untuk mendepani PRU15 bukanlah suatu gabungan yang menggerunkan.

Menurut beliau, Bersatu bagi Pas hanyalah tali hayat yang membolehkannya menumpang berada dalam kerajaan dan mengekalkan jawatan yang dipegang sekarang.

“Maklum, baru belajar untuk bermewah,” katanya sinis.

Menghuraikan dengan panjang lebar hujah-hujahnya, Ibrahim menambah, kerjasama Pas dengan Bersatu tidak sekuat ketika parti itu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) kerana parti yang ditubuhkan oleh Mahiaddin Md Yasin itu tidak mempunyai akar umbi yang kukuh.

“Bersatu pada dasarnya sekadar mempunyai jumlah ahli yang kecil, tetapi dilihat ramai kerana majoritinya dicuri dari UMNO.

“Kena ingat, ketika PRU14, Bersatu hanya menang 13 kerusi sahaja, itu pun kerana sokongan undi masyarakat Cina dan India dari PKR, DAP dan Amanah ketika mereka bersama dalam Pakatan Harapan (PH),” tambahnya.

Bagi Pas pula, ujarnya, parti itu hanya ada kekuatan dan sokongan di Kelantan, Terengganu dan sedikit di Kedah.

“Bagaimanapun, kebelakangan ini sokongan kepada Pas di negeri-negeri berkenaan itu hanya daripada kalangan yang tegar dan kadernya sahaja.

“Dari segi orang ramai terutama pengundi atas pagar dan golongan muda, ramai yang sudah mula merungut serta tidak senang hati dengan Pas atas banyak sebab,” jelas bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.

Di samping itu, kata Ibrahim, Pas tidak mempunyai banyak sokongan di Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Perak, Penang dan Sabah.

“Sebab itu Pas tidak menang walau satu kerusi Parlimen pun, kecuali di Kelantan, Terenganu dan Kedah. Sememangnya ada undi Pas, tapi tidak besar impaknya, terutama dalam suasana politik sekarang.

“Pas tidak boleh mengharapkan undi dari Bersatu, apatah lagi di Pantai Timur dan utara, malah di semua negeri,” ujarnya lagi. 

Ibrahim juga melihat Pas sudah kelihatan cemas apabila UMNO menolak untuk menyertai PN, sekali gus memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Ia bukan ancaman kepada perpaduan ummah atau kerana untuk agenda bangsa dan Islam, tetapi bimbang dan khuatir akan kecundang dalam PRU15 nanti.

“Maka, terpaksalah terus beretorik dengan bunyi guruh di langit, tapi hujan tak turun. Ibarat kata pepatah, kita boleh tipu dan bohong pada rakyat dengan pelbagai helah, tetapi kita tidak boleh tipu rakyat sepanjang masa.

“Ketika PH dijatuhkan dan PN mendapat kuasa kononnya kerajaan Melayu Islam kembali berkuasa, namun sudah lebih setahun, mana hasil agenda Melayu dan Islam?” soal beliau.

Ibrahim turut berpandangan, calon yang melompat parti, sama ada daripada UMNO atau PKR yang kini berada di dalam Bersatu, mereka itu sukar untuk menang dalam PRU15 akan datang.

“Sudah pasti, gelap masa depan PN dan Pas jika dapat kekal 18 kerusi pun dikira sudah bernasib baik,” tegasnya dengan yakin.

Rasanya ramai yang setuju dengan pandangan serta hujahan Ibrahim berkaitan Pas, Bersatu dan PN kali ini.

Realitinya itulah yang sebenarnya ada di depan mata, sebab itu, meskipun setelah Pas membuat keputusan untuk bersama Bersatu dalam PN dan meninggalkan UMNO terkontang-kanting sendirian meratapi musnahnya istana pasir MN, Pas masih berharap UMNO dan semua parti-parti Melayu memberikan sokongan kepada PN.

Jika PN sudah cukup kuat dengan adanya kerjasama Pas dan Bersatu, untuk apa lagi diharapkan sokongan parti lain, terutamanya UMNO?

Di pihak Bersatu pula, meskipun UMNO telah memuktamadkan putus hubungan dengannya, pimpinan parti itu masih lagi mengharapkan sokongan UMNO untuk bersama PN dengan hujah demi perpaduan Melayu dan penyatuan ummah kononnya?

Tidakkah ini juga memperlihatkan Bersatu sendiri sedar, sekadar Pas saja bersama mereka dalam PN, kekuatannya belum cukup untuk mengekalkan kuasa yang ada?

Begitu juga dengan kluster menteri dalam UMNO, keinginan mereka untuk membawa UMNO secara total bekerjasama dengan Bersatu dalam PN, ia tidak lain adalah kerana mereka turut sedar, kerjasama Pas dan Bersatu semata-mata tidak akan mampu ke mana-mana.

Sementara Pas, Bersatu dan kluster menteri terlihat terus berharap serta berusaha agar UMNO dapat dibawa bekerjasama dalam PN, sebaliknya UMNO yang disokong dengan ketetapan akar umbi tetap cekal dengan ketetapan putus hubungan serta pendirian untuk bersendirian dalam PRU akan datang.

Makna kata, kerjasama Pas dengan Bersatu yang terbentuk sekarang bukan saja tidak menggerunkan, malah kedua-dua parti tersebut masih lagi gerun akan kehilangan kuasa dan nikmat bermewah yang baru berpeluang belajar menikmatinya. (Shahbudindotcom 06/04/2021)

Kemaluan warga Pakistan dipotong, dicampak 4 lelaki

Yasmin Ramlan

Seorang pemuda Pakistan berusia 32 tahun dimasukkan ke hospital selepas kemaluannya hilang akibat dipotong sekumpulan lelaki tidak dikenali di Klang, Selangor baru-baru ini.

Rakan mangsa yang juga warganegara Pakistan, Rizwan Ahmad membuat laporan polis semalam dan menceritakan kepada Malaysiakini bagaimana insiden berkenaan terjadi.

Menurut Rizwan, mangsa pada awalnya duduk bersantai berseorangan berhampiran Masjid Alam Impian pada malam Ahad lalu, sebelum didekati empat lelaki.

Rizwan berkata rakannya itu ditanya beberapa soalan seperti sama ada dia telah berkahwin, pasangannya dan sama ada mangsa pernah melakukan hubungan seks ketika di Malaysia.

Namun, mangsa menjawab dia telah berkahwin dengan pasangannya di Pakistan dan tidak melakukan hubungan seks ketika berada di negara ini.

“Lepas tu dia (salah seorang daripada suspek) kata buka baju, seluar. Lepas tu 10 kali naik turun, duduk bawah, naik (ketuk ketampi).

“Lepas dah 10 kali (ketuk ketampi), dia (kawan saya) naikkan seluar.

“India tu cakap saya tak ada cakap you (kena) naikkan seluar. Kenapa you naikkan seluar?” katanya.

Rizman berkata suspek kemudian bertanya kepada mangsa mengapa kemaluan mangsa tidak menegang.

Bagaimanapun mangsa menjawab dia tidak boleh berereksi ketika itu.

Suspek berkata, memandangkan kemaluan mangsa tidak boleh menegang, suspek ingin memotong kemaluan mangsa kerana dianggap tidak berguna lagi.

Namun mangsa merayu kepada suspek supaya jangan memotong kemaluannya.

“Dia (mangsa) cakap jangan potong (kemaluan). Kaki saya boleh potong, tangan boleh potong,” Rizman menceritakannya lagi.

Malangnya, kemaluan pemuda tersebut dipotong sebelum ia dicampakkan.

“Dia (suspek) sudah potong habis… lepas tu dia terus lari,” katanya.

Apabila ditanya mengapa rakannya tidak melarikan diri ketika kejadian, Rizman berkata rakannya ditahan oleh suspek dengan lengannya dicengkam kiri dan kanan.

Rizman berkata lagi rakannya pengsan kerana menahan kesakitan sebelum berjaya menghubungi salah seorang daripada rakan mereka yang lain untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, telefon bimbit mangsa dicampak di kawasan berdekatan sebelum kejadian. Namun mangsa berjaya mendapatkannya walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang teramat.

Dia juga menghantar lokasi kepada rakannya itu walaupun mengambil masa sekitar setengah jam untuk mencari tempat kejadian.

Apabila ditanya apakah yang terjadi kepada kemaluan yang telah dicampakkan itu, katanya ia masih tidak dijumpai.

“Tak ada jumpa. Kita ramai pergi cari, polis pun ada sampai sana, polis pun ada tolong cari tapi tak dapat lagi,” katanya.

Menyifatkan mangsa sebagai seorang yang baik hati, dia turut yakin bahawa mangsa tidak mempunyai sebarang musuh.

Menurut Rizman, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan kemudian dipindahkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mangsa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). 

Keluarganya di Pakistan tidak dikhabarkan mengenai kejadian yang menimpanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat turut mengesahkan laporan tersebut.

Fadzil berkata siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif sebenar kejadian.

"Untuk mengesahkan perkara itu berlaku, memang betullah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. 

KPN sahkan Sajat berada di negara jiran

FMT Reporters

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan Sajat kini di negara jiran namun tidak menyatakan negara dimaksudkan.

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Sajat kini berada di negara jiran namun tidak menyatakan negara dimaksudkan.

“Ya dia kini berada di negara jiran. Cuma saya nasihatkan kepada dia pulang dan pergilah ke mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Harian Metro, Sajat yang dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor kini sedang bersembunyi di Thailand.

Bagaimanapun sumber enggan mendedahkan bagaimana dia lolos ke negara jiran itu. 

Menjadi persoalan sama ada Sajat menggunakan laluan tikus untuk keluar dari Malaysia ke Thailand ataupun menggunakan pakej perlancongan yang membenarkan pelancong asing memasuki negara berkenaan selain kunjungan perniagaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah berkongsi maklumat berkaitan Sajat yang didakwa berkemungkinan sudah berada di luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, bagaimanapun pihaknya tidak akan mendedahkannya kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Usahawan kosmetik itu mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya berhubung kes dikendalikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

‘Umno dalam kerajaan PN seperti kudis’

ARIF ATAN

Umno pada masa ini ibarat sejenis penyakit kulit yang gatal dan berjangkit dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, hal tersebut disebabkan keputusan Umno menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kewujudan mereka (Umno) dalam PN adalah seperti kudis. Mereka seolah-olah mahu menikmati kedudukan sebagai parti yang memerintah tetapi pada waktu sama, ego mereka seperti menyampaikan isyarat bahawa tidak rela dibuli,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi FB Live dalam forum “No Anwar, No DAP, No Bersatu: Adakah polisi Umno ini menguntungkan Pakatan Harapan? ” di Facebook Pemuda AMANAH Terengganu malam tadi.

Mujahid berpendapat keputusan Umno yang meneruskan hubungan kerjasama dengan Bersatu sehingga Parlimen dibubarkan merupakan satu pukulan besar kepada PN yang diterajui parti dipimpin Muhyiddin Yassin itu.

Mujahid dan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali (kanan) dalam forum malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, perpecahan dalaman Umno serta parti itu dengan Pas yang telah memeterai Piagam Muafakat Nasional (MN) pada September 2019 memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Hubungan Umno dan Pas hari ini kita lihat semakin hari semakin menampakkan keretakan. Ini adalah petanda bahawa Umno tidak memerlukan Pas, sebaliknya Pas yang memerlukan Umno.

“Perpecahan Umno dan Pas ini dilihat sebagai satu kelebihan kepada kita (PH) apabila kita masuk pilihan raya umum nanti.

“Umno itu sendiri berpecah kepada kelompok yang mahu PN dan kelompok yang mahu keluar dari PN secepat mungkin,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mujahid menegaskan PH daripada parti teras iaitu AMANAH, PKR dan DAP mestilah dalam keadaan yang sangat kukuh untuk berdepan dengan kerapuhan PN.

Wang tunai RM3.5 juta dalam rumah ketua sindiket kartel tender

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

Antara kenderaan mewah termasuk dua helikopter peribadi yang disita SPRM dalam serbuan tersebut.

A A

PUTRAJAYA - Sejumlah RM3.5 juta wang tunai ditemui di rumah ketua sindiket kartel tender kerajaan dalam serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya pada Isnin.

Selain itu, kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta serta nilai hartanah termasuk banglo, rumah kedai, pejabat bernilai RM29 juta turut disita.

Menurut sumber, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta dibekukan dalam siasatan kes berkenaan.

"Kartel projek yang diketuai oleh seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun itu telah membolot projek kerajaan menerusi tender sebut harga bernilai RM3.8 bilion," katanya.

Antara aset yang disita SPRM.

Difahamkan, sindiket itu telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu dan kemewahan yang ditunjukkan oleh ketua sindiket yang bergelar Datuk amat luar biasa.

"Selain memiliki nilai hartanah dan wang tunai yang luar biasa jumlahnya, beliau juga memiliki beberapa kereta mewah, sebuah kapal mewah dan dua buah helikopter," katanya.

Modus operandi kumpulan kartel projek ini ialah membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

"Syarikat ini milik beliau dan dipercayai 114 orang telah digunakan nama untuk membuka lebih 150 buah syarikat," katanya.

Antara aset yang disita SPRM.

Kesemua syarikat berkenaan dipercayai akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender dan sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan.

"Maklumat tender dan sebut harga termasuk spesifikasi projek serta harga siling projek akan disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi," katanya.

Hasil siasatan SPRM mendapati hampir kesemua syarikat yang digunakan menggunakan maklumat palsu dari segi kelayakan akademi, sijil profesional atau penyata kewangan untuk meyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek.

-sinarharian

Ekzos motosikal boleh buat orang mati ke?

MASIH ramai yang tak puas hati lagi pasal ekzos nampaknya walaupun Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan hanya tindakan advokasi akan dikenakan, bukan tindakan saman seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Merak Jalanan pun hairan kenapa ekzos yang jadi sasaran tetapi pada masa yang sama menyambut baik usaha kerajaan dalam menjamin ketenteraman kepada masyarakat awam.

“Ekzos boleh buat orang mati ke?” itu persoalan yang ditanya seorang rakan Merak Jalanan.

Katanya, lebih baik pihak berkuasa menumpukan kepada operasi pemandu mabuk dan mat rempit yang membahayakan keselamatan orang ramai.

Merak Jalanan jawab, boleh!

Bunyi ekzos yang bising boleh menyebabkan orang yang sakit jantung mati akibat terkejut.

Tambah pula ekzos yang dimodifikasi sehingga mengeluarkan bunyi letupan, boleh menyesakkan dada orang.

Terdapat satu kajian baharu menunjukkan, pendedahan kepada suatu bentuk pencemaran bunyi yang kuat secara tiba-tiba boleh menyebabkan anda berisiko tiga kali lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung, strok dan penyakit jantung.

Bunyi ekzos yang bising juga menyebabkan stress dan boleh mengakibatkan kematian. Ini bukan cerita lawak antarabangsa kerana pernah berlaku pada tahun 2018 di Dengkil.

Lima remaja hampir maut akibat ditikam seorang lelaki yang berang kerana sering membunyikan ekzos motosikal mereka pada waktu malam sehingga mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

Suspek sebelum ini sering menegur mangsa supaya tidak membuat bising pada waktu malam, namun teguran itu tidak diendahkan.

Akhirnya jiran yang stres itu bertindak menikam mangsa dengan pisau.

Kes ini barangkali boleh menjawab persoalan rakan Merak Jalanan itu.

-sinarharian

Janganlah marah PAS, bro

Mohsin Abdullah

Boleh tahan ramai juga orang yang marah dengan PAS. Kemarahan itu boleh dirasai dan tentunya dilihat dan dibaca di media sosial. Bagi mereka, gelagat dan tindakan PAS menamatkan hayat Muafakat Nasional atau singkatannya MN. Kalau belum tamat pun, PAS meletakkan gabungan itu di ambang penamat. Itu dari kaca mata mereka.

Jelas yang marah adalah penyokong kuat konsep Muafakat Nasional (yang mereka yakin wujud demi perpaduan ummah) dan menaruh harapan tinggi ke atas PAS untuk menjayakannya. Untuk memendekkan cerita, mereka marah PAS mengenepikan Umno dan memilih PPBM lantas MN terkorban.

Bagi saya kalau MN sudah tiada dan PAS kini bersama PPBM tidakkah ini bermakna wujud pula MN 2.0 sebagai ganti?

Berbalik kepada cerita kemarahan tadi. Ada juga yang marah Umno kerana pada pandangan mereka bersikap angkuh sehingga PAS “terpaksa” memilih PPMB. Betul lah tu kerana dalam sesuatu perselisihan ada dua pihak. Takkan satu pihak je yang salah.

Pun begitu yang marah dengan PAS seperti dikatakan tadi meletak harapan tinggi ke atas parti itu. Lantas tidak percaya PAS tergamak cakap bertukar-tukar nada, berenang dalam dua kolam, serta berbelit dan membelit. Sebab mereka melihat PAS sebuah parti Islam yang dipimpin ulama yang arif pasal Islam. Takkan orang agama buat itu semua? Kan mereka tahu dosa pahala? Itu persepsinya.

Terus terang saya nyatakan saya tidak setuju dan tidak berkenan akan tingkah laku PAS khusus “semenjak dua menjak” ini. Tetapi saya perlu katakan janganlah marah kepada parti itu kerana buat apa yang mereka buat. Jangan tengok PAS sebagai sebuah badan agama atau dakwah secara “total”. Sebaliknya tengoklah PAS atas sifatnya yang sebenar – iaitu parti politik.

Itu realiti dan hakikatnya. PAS sebuah parti politik dan sebagai parti politik ia akan melakukan dan melaksana apa sahaja demi keuntungan politik, kelangsungan politik, kemenangan pilihan raya, dan mencapai kuasa.

Adakah itu salah? Tidak. Semua parti politik berbuat demikian dengan matlamat yang sama. PAS pun macam mereka. Parti politik “kerjanya” main politik.

Oleh itu pemimpin PAS walaupun diakui berpelajaran tinggi dalam soal agama juga adalah orang politik. ‘Politikus’ kata sesetengah orang. Jadi mereka juga mesti dilihat sebagai pemimpin politik.

Apa pun anggapan dan pandangan kita terhadap ahli politik terpakai juga untuk pemimpin PAS.

Justeru jangan dimarahi hujah, tindakan, serta tingkah laku pemimpin PAS. Sama ada ketika mereka bermain ke sana ke sini, di kolam sana di kolam sini, sekejap berkata itu sekejap berkata ini. Itu gaya orang politik dan ditegas sekali lagi mereka sememangnya orang politik. Apa yang mereka lakukan demi kebaikan parti dan diri mereka.

Sama ada mereka bercakap benar atau berputar-putar itu soal lain. Soalnya kita kena akur kalau pemain bola main bola orang politik main politik. Termasuklah pemimpin PAS yang dilihat agamawan. Terutama sejak kebelakangan ini.

Nama asal PAS ialah Persatuan Islam Se-Malaya. Ia ditubuhkan pada 1951. Ia didaftarkan sebagai “parti Islam” pada 1955. Dikenali sebagai Pan-Malayan Islamic Party atau PMIP ketika itu.

Tidak dinafikan penubuhan PAS didokong para ilmuan agama Islam termasuk golongan alim ulama dari Umno. Ia menjadi parti pilihan orang Melayu yang berpendidikan agama. Pada peringkat awal penubuhannya PAS dianggap parti Melayu yang “memperjuangkan hal ehwal Islam”, dikatakan melebihi apa yang dilaksanakan Umno.

Pun begitu pada 1973, PAS menyertai perikatan baharu yang dikemudi Umno, dikenali sebagai Barisan Nasional. Langkah itu adalah gerak politik. PAS keluar BN pada 1978 juga kerana politik. Yakni krisis politik di Kelantan.

Sejak itu pada tahun-tahun berikutnya PAS menjalin hubungan politik dan menyertai beberapa gabungan dalam arena politik tanah air.

Bagi aktivtis Malek Hussin, “sejarah membuktikan PAS tidak lama bertahaluf dengan apa jua parti”. Selain pembabitan PAS dalam BN, Malek menyenaraikan penyertaan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah selama enam tahun bermula 1990, PAS dengan Barisan Alternatif juga selama enam tahun bermula 1998 dan PAS dengan Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.

PAS ada juga membentuk apa yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera bersama parti kecil Ikatan, Berjasa dan beberapa NGO ketika PRU14 lalu.

Kesimpulannya PAS pernah berada dalam dua gabungan berbeza pada masa yang sama. Contoh terbaharu ia duduk dalam MN dan Perikatan Nasional sekali gus.

Baru-baru ini presidennya Abdul Hadi Awang menolak muafakat yang “menyeleweng daripada matlamat MN yang asal”. Lalu beliau mahu semua organisasi Islam bersatu bawah Perikatan Nasional.

Jelas langkah itu semua langkah politik.

Begitu juga slogan yang dilaungkan. Dulu kita dengar garangnya PAS dengan slogan Negara Islam. Ini diubah kepada Negara Berkebajikan. Mungkin mengikut keadaan serta suasana tertentu. Dan juga penonton.

Ahli sains politik Farish Noor berpendapat sejak PAS ditubuhkan pada 1951, matlamat jangka panjang untuk menegakkan negara Islam menjadi lampu isyarat (atau sinar) yang mengerak generasi demi generasi pemimpin dan ahli PAS ke depan. Apa yang berubah ialah makna dan kandungan penanda atau signifier negara Islam itu.

Apa pun beberapa kenalan bertanya mengapa PAS kini sudah berbeza dan mengapa Fadzil Noor dan Nik Aziz bukan seperti pemimpin PAS sekarang? Saya tidak bertanya lanjut apa maksud pertanyaan itu.

Cuma yang saya jawab ialah dulu lain sekarang lain.

Oh seperkara lagi. Jika mereka yang merasa kecewa terhadap apa yang berlaku dengan MN mengakui MN juga ialah mengenai politik, mungkin kekecewan yang dirasai dapat diubati.

Husam: Pas agak terancam di Terengganu

ARIF ATAN

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berpendapat kerajaan Pas Terengganu boleh jatuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lantaran tiada perbezaan dasar pentadbiran negeri itu dengan Umno atau berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, kedudukan Pas akan terjejas ekoran keputusan Umno Terengganu akan meletakkan calonnya di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

“Pas agak terancam di Terengganu. Umno Terengganu sudah membuat ketetapan akan meletakkan calon menentang calon-calon Pas.

“Pertandingan dua atau tiga penjuru dalam PRU akan datang tidak sama dengan PRU14. Kerajaan Pas di Terengganu boleh tumbang dalam PRU akan datang,” katanya kelmarin.

Husam berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam Dialog Isu-Isu Rakyat & Hal Ehwal Semasa di Rumah Rehat, Temerloh.

Untuk rekod, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengulangi pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15. 

Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman menegaskan tidak wujud Muafakat Nasional (MN) di Terengganu apabila kerajaan negeri diterajui Pas dilihat tidak berlaku adil kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Dua kali lima

Mengulas lanjut, Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas itu berpendapat cara pemerintahan parti tersebut di Terengganu adalah dua kali lima sahaja dengan kerajaan negeri lain.

Bekas Exco kerajaan negeri Kelantan berkenaan menyifatkan dasar dan polisi negeri jirannya itu tidaklah bersifat jauh lebih baik dari segi keadilan dan agihan kemakmuran kepada rakyat.

“Apa yang lebih Islamnya kerajaan negeri Terengganu di bawah Pas dengan Umno dan Terengganu dengan negeri-negeri lain?

“Tolong senaraikan tiga. Tiada benda. Apa Islamiknya Terengganu sehingga kita mahu jadi rakyat Terengganu dan mahu Malaysia jadi macam Terengganu?” bidasnya.

Husam menganggap jika Pas di Terengganu mengamalkan nilai-nilai Islam dalam dasar pentadbiran, negeri di Pantai Timur itu sudah muncul menjadi negeri terbaik untuk dicontohi kerajaan negeri lain bahkan kerajaan Persekutuan.

“Pas Terengganu begitu baik sekali. Menteri Besar potong gaji. Kereta pun kecil saja. Rakyat pun bertambah senang. Tiada lagi orang miskin. Yang tiada rumah dapat rumah.

“Nelayan-nelayan kecil dapat bot-bot yang canggih. Enjin rosak ditukar baru, pukat-pukat ditambah,” sindirnya jika Pas di Terengganu terbukti lebih baik berbanding parti dan negeri lain.

Bahkan, Husam berpendapat jika pemerintahan kerajaan negeri Pas di Terengganu lebih Islamik hanya pihak yang menawarkan harga lebih baik serta menjamin pemeliharaan alam sekitar akan dipilih untuk terlibat dalam industri unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

“Saya difahamkan penganugerahan tanah lombong unsur nadir bumi ini diberi kepada orang di luar Terengganu yang menyebabkan anak jati Terengganu sendiri tidak puas hati.

“Tidak telus. Tiada tender terbuka. Tiada rekod hasil lebih tinggi. Saya tahulah juga hal di Terengganu ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berpendapat Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil peluang menyusun strategi atas kemungkinan tumbangnya Pas di Terengganu dalam PRU15.

“Jadi, kalau balik semula kepada Umno pun tiada masalah. Tapi PH pun kena ambil peluang,” kata Husam lagi.