"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes IC: Dua kali tangkap, kenapa tiada tindakan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 26 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa kesal kerana kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan operasi membanteras sindiket pemberian kad pengenalan kepada warga asing menyebabkan berlaku lagi kes tangkapan terhadap warga tersebut baru-baru ini.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, lebih mendukacitakan, operasi penangkapan terbaru di Pusat Latihan KIWA, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuat oleh orang awam.

“DPP Malaysia melihat isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing merupakan suatu isu yang sangat besar kerana ia melibatkan kedaulatan negara kita,” katanya.

Tambahnya, kad pengenalan Malaysia adalah suatu dokumen paling penting terhadap rakyat, dan ia tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya.

Tegasnya, ia perlu dikawal ketat melalui Jabatan Pendaftaran Negara yang bertanggungjawab terhadap setiap butiran peribadi rakyat.

DPP Malaysia, ujarnya merasa terkilan kerana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) lambat menghidu kegiatan seumpama itu dan tidak bersungguh-sungguh menentangnya sehingga ia boleh berlaku dengan mudah.

Menurutnya, sudah dua kali ia berlaku dan PDRM masih tidak boleh membanteras kes itu.

“DPP Malaysia percaya, kes ini sudah banyak kali berlaku di merata-rata tempat di negara ini termasuk di Sabah. Tangkapan ini hanya satu kes kecil daripada sejumlah kes besar yang dilaporkan berlaku,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, DPP Malaysia mengesyaki adanya sindiket menggunakan individu tertentu yang berkuasa mengeluarkan kad pengenalan sesuka hati kepada sesiapa sahaja.

Ia juga, ujarnya menunjukkan ada usaha terancang oleh pihak tertentu bagi tujuan pilihan raya umum.

Katanya, dengan mendaftarkan warg asing sebagai rakyat Malaysia, membolehkan mereka mengundi dan seterusnya memenangkan ‘pihak tertentu’ yang amat terdesak untuk menang dalam PRU ke 13.

Sehubungan itu, katanya DPP Malaysia mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertanggungjawab terhadap kes itu.

“Beliau perlu menjelaskan mengapa berlaku dua kali penangkapan namun tiada tindakan diambil,” katanya.

Selain Hishammuddin, katanya DPP Malaysia mendesak Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara meletak jawatan kerana cuai dan gagal menjalankan tugas dengan baik.

Justeru, tegasnya DPP Malaysia mengingatkan kerajaan bahawa keselamatan negara dan rakyat perlu menjadi keutamaan.

"Jangan menggadai negara hanya untuk meraih undi dalam PRU ke 13, ‘ibarat menang sorak, kampung tergadai’.

"Rakyat Malaysia tidak boleh menerima warga asing menjadi warganegara ini dengan mudah serta menjadi pengundi yang seterusnya sebagai penentu kemenangan sesebuah kerajaan dalam PRU ke-13 nanti," katanya lagi.

Video: Bukan ku cari redha makhluk bumi - Catriona Ross

Catriona Ross maafkan rakan hilang dari sisi


Harakahdaily
PETALING JAYA, 26 Nov: Catrionas Ross Baharin berkata, ada rakan-rakan yang berasal dari sekolah dan kampung yang sama hilang dari sisinya ekoran perubahan yang berlaku kepada dirinya.

Menurutnya, mungkin rakan-rakan yang `hilang’ itu merasa segan dengan perubahan dirinya yang tidak sesuai dengan mereka dari segi berpakaian, pemikiran dan percakapan.

“Saya maafkan mereka,” ujarnya pada Forum Dhuha yang diadakan di Surau al-Hidayah, Seksyen 7, Kota Damansara pagi tadi. Turut menjadi panel ialah Ustaz Yusof Embong.

Meskipun begitu, beliau merasakan perubahan yang berlaku kepadanya sekarang disukai ramai manusia.

Justeru, artis kelahiran Kelantan itu merasa lebih selesa dan sangat bahagia dengan suasana yang dilalui kini.

“Saya sangat-sangat bahagia sekarang, tak sibuk dengan shooting,” ujarnya lagi.

Katanya, situasi yang dilalui itu dapat memberi peluang kepada orang ramai supaya memahami perubahan yang berlaku kepadanya.

Sehubungan itu, ujarnya ada di kalangan masyarakat yang menggelarnya ustazah dan beliau berdoa agar dapat menjadi pendidik selaras dengan gelaran itu.

Catriona juga merasa lebih selesa dengan memenuhi jemputan menyampaikan ceramah motivasi di institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta.

Baginya, perubahan yang berlaku kepadanya itu telah mengembalikan beliau kepada fitrah manusia.

“Saya bersyukur kepada Allah, hidup saya berubah dalam sekelip mata,” katanya.

Beliau menambah, apa yang berlaku itu juga telah mengangkat darjat dirinya dan memberi kekuatan bagi menjalani kehidupan sekarang.

Dr Mahathir dah buka jalan paling lapang untuk Rosmah menggelinjang sakan

Penarik Beca
18/11/11 lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menyuruh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meletakkan jawatan kerana baginya apek itu "tidak lagi efektif".


Semalam, Dr Mahathir kata Umno sudah rosak teruk. Bagaikan melesing Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Mahathir kata dia tidak nampak perubahan yang berkesan dalam Umno sejak dari tahun 2008 hingga sekarang.

Orang kata, itu maksudnya Najib juga tidak efektif. Ia bagaikan membubuh paku dalam laluan Najib untuk memanggil pilihan raya umum.

Seronoknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun bagaikan tumpang sekaki. Lihat laporan Malaysiakini hari ini "Muhyiddin: More must be done to solve Umno's woes".

Tetapi, jangan fikir segala nikmat yang kini dijilat sakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor akan berakhir begitu sahaja. Isteri Najib masih boleh tersenyum bila Dr Mahathir bagaikan menyebut Muhyiddin belum ada kredibiliti.

"Sekarang ini Umno yang rosak ini diwarisi oleh Datuk Seri Najib untuk beliau perbaiki. Umno memerlukan banyak masa supaya ia boleh diperkuatkan. Tapi beliau pun sibuk dan tidak mempunyai masa yang cukup. Pemimpin-pemimpin Umno yang lain pula belum ada kredibiliti dan masih baru," kata Dr Mahathir.

Rosmah masih boleh melepaskan giannya untuk menggelinjang sakan dengan status sebagai isteri Perdana Menteri. Dr Mahathir dah buka jalan paling lapang untuknya. Rosmah boleh terus tidur atas duit.

BN gagal selesai banyak isu asas - Aziz Bari

JOHOR BARU, 26 Nov: Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari muncul kali kedua dalam sebulan ini di pentas PKR di Johor dengan menegaskan, kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) telah gagal menyelesaikan banyak isu penting yang sepatutnya sudah lama diatasi.

Berucap pada ceramah di pejabat baru Angkatan Muda Keadilan cabang Gelang Patah dekat sini malam tadi, Aziz yang berhadapan dengan siri kontroversi sejak lebih sebulan lalu memberitahu, berdasarkan usia negara lebih lima dekad, masih banyak perkara yang tidak dapat dijalankan kerana kerajaan mewujudkan peraturan tidak selaras dengan keperluan rakyat.

"Sepatutnya perbincangan berkenaan perkara-perkara  seperti Bahasa Kebangsaan, hak Melayu dan Bumiputera serta pengagihan yang adil kepada negeri-negeri sudah lama dapat diselesaikan, kira-kira 20 hingga 30 tahun lepas tetapi kerajaan masih gagal dalam perkara ini," kata beliau lagi.

Awal bulan ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan Aziz, yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) meletakkan jawatan sebagai ahli akademik jika benar-benar mahu bercakap di atas pentas politik.

Justeru katanya, Aziz (gambar) yang sedang disiasat oleh tiga pihak termasuk UIA sendiri berhubung satu kenyataan menyentuh titah Sultan Selangor berkaitan dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas gereja di Damansara Utama, tidak perlu menunggu tindakan universiti tersebut.

Ketika itu Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, beliau sedar Aziz memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana dekat Johor Baru tetapi yakin penduduk tidak akan termakan dengan perkara yang disampaikan.

Terbaru kelmarin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita baginda berhubung dakwaan Aziz kononnya laporan kewangan tahunan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor bebas daripada diaudit.

Aziz sebelum ini berkata beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada ahli-ahli Umno jika parti itu sanggup mempelawanya.

Dalam ceramah malam tadi, Aziz menambah, Parlimen yang sepatutnya menjadi medan perbincangan wakil rakyat untuk membincangkan perihal kekayaan negara juga gagal bertindak kerana mereka tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

"Kerajaan juga dilihat masih lagi tidak dapat menyelesaikan pembahagiaan kekayaan kerajaan secara adil kepada negeri-negeri, perkara ini sudah selesai sepatutnya," katanya lagi.

Oleh itu, Aziz menggesa perubahan dapat dilaksanakan di peringkat pusat bagi membentuk kerajaan baru dan membolehkan perkara-perkara itu dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

"Kita memerlukan kerajaan yang komited untuk menyelesaikan perkara ini, adalah sukar untuk kita  menggubal undang-undang sekiranya kita tidak menguasai Parlimen dan tiada perubahan kepimpinan di Putrajaya," katanya.

Aziz turut memuji sikap dan pendirian yang diambil Pakatan Rakyat kerana melalui perjuangan parti itu, rakyat dapat membincangkan perkara ini dengan lebih terbuka dan bebas.

"Saya melihat satu keberanian setelah 54 tahun merdeka, kita kini mampu untuk membincangkan perkara ini dengan lebih terbuka. Ini jelas dilihat melalui perjuangan Pakatan rakyat, kita lebih bebas untuk membincangkan perkara sedemikian," ujarnya.
-malaysianinsider-

Kesalahan-kesalahan dalam berpakaian Lelaki

blalang

Kaum lelaki pula jangan menganggap enteng pasal aurat. Kali ini IH ingin berkongsi artikel mengenai kesalahan-kesalahan dalam berpakaian lelaki pula. Semoga bermanfaat.

Isuhangat selalu membicarakan kisah aurat kaum wanita seperti entri terdahulu:- Bungkus Aurat,Woi Kitaorang Tutup AuratlahWanita Akhir Zaman dan Sanggul Tinggi.

Kaum lelaki pula jangan menganggap enteng pasal aurat. Kali ini IH ingin berkongsi artikel mengenai kesalahan-kesalahan dalam berpakaian lelaki pula. Semoga bermanfaat.

1. Isbal.

Isbal iaitu menurunkan atau memanjangkan pakaian hingga di bawah tumit. Larangan isbal bersifat umum untuk semua jenis pakaian seperti seluar panjang, kain pelikat, gamis atau pakaian lainnya. Ironinya, larangan ini dianggap remeh oleh kebanyakan umat Islam, padahal dalam pandangan Allah ia merupakan masalah besar.


Rasulullah SAW bersabda:
“Kain yang memanjang hingga di bawah mata kaki tempatnya di Neraka.” (HR. Al-Bukhari, shahih).

Ancaman bagi musbil (orang yang melakukan isbal ) dengan Neraka tersebut sifatnya adalah mutlak dan umum, baik dengan maksud takbur atau tidak. Jika isbal tersebut dilakukan dengan maksud takbur maka ancamannya lebih besar.

Nabi SAW bersabda:

“Pada hari Kiamat, Allah tidak akan melihat kepada orang yang menyeret bajunya (musbil, ketika di dunia) kerana takbur.” (Muttafaq Alaih, shahih).
Dan secara tegas Nabi SAW melarang kita kaum lelaki melakukan isbal. Beliau SAW bersabda:

“Dan tinggikanlah kainmu hingga separuh betis, jika engkau enggan maka hingga mata kaki. Dan jauhilah olehmu memanjangkan kain di bawah mata kaki, kerana ia termasuk kesombongan, dan sungguh Allah tidak menyukai kesombongan.” (HR. Abu Daud dan At-Tirmidzi dengan sanad shahih , At-Tirmidzi berkata, hadits ini hasan shahih).

Hadis di atas memberi kata putus terhadap orang yang beralasan bahawa memanjangkan kain hingga di bawah mata kaki dibolehkan asal tidak kerana sombong. Ini adalah alasan batil dan dicari-cari untuk membenarkan kebiasaan mereka yang menyalahi sunnah.

Hadis di atas dengan tegas memasukkan perbuatan isbal sebagai sikap sombong, apatah lagi jika memang berniat untuk sombong. Maka jelaslah ancamannya sangat berat. Dan fakta menunjukkan, lelaki yang musbil itu, memanglah pada umumnya untuk bergaya yang di dalamnya ada unsur bangga diri dan sombong. Buktinya kebanyakan mereka menganggap kekampungan, kolot serta melecehkan saudara-saudara mereka yang mengenakan pakaian di atas mata kaki, padahal itulah yang diperintahkan syariat.

Adapun kaum wanita, mereka diwajibkan menutupi tubuhnya hingga di bawah mata kaki, kerana ia termasuk aurat.

Namun hakikatnya, yang dipraktikkan umat Islam di zaman ini adalah sebaliknya.


Lelaki memakai pakaian hingga di bawah tumit, sedang wanita pakaiannya jauh di atas tumit.
Naudzubillah, dan kepada Allah kita memohon keselamatan

2. Mengenakan pakaian nipis dan ketat.

Dalam kaca mata syariat, jika bahan-bahan pakaian itu sangat nipis sehingga menampakkan aurat, lekuk-lekuk tubuh atau sejenisnya maka pakaian itu tidak boleh dikenakan.

Perkara ini berdasarkan firman Allah Taala:

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.” (Al-A’raf: 26).

Tetapi jika pakaian itu tidak menampakkan aurat dan lekuk-lekuk tubuh maka hal itu tidak mengapa. Namun jika pakaian itu menyerupai dan menunjukkan identiti pakaian orang kafir maka ia tidak dibolehkan.

Dan kebiasaannya lelaki yang body builder, kaki gym memakai baju ketat untuk menunjukkan ototnya yang berketul-ketul itu.

3. Mengenakan pakaian yang menyerupai pakaian wanita.

Di antara fitrah yang disyariatkan Allah kepada hambaNya iaitu agar lelaki menjaga sifat kelelakiannya dan wanita menjaga sifat kewanitaannya seperti yang telah diciptakan Allah. Jika hal itu dilanggar, maka yang terjadi adalah kerosakan hidup di masyarakat.

Dalam hadis shahih disebutkan:

“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (HR. Al-Bukhari).

Sebagian ulama berkata, ‘Yang dimaksud menyerupai dalam hadis tersebut adalah dalam hal pakaian, berdandan, sikap, gerak-geri dan sejenisnya, bukan dalam berbuat kebaikan.’ Kerana itu, termasuk dalam larangan ini adalah larangan mendandan rambut, memakai anting-anting, kalung, gelang kaki dan sejenisnya bagi lelaki, sebab perkara-perkara tersebut adalah kekhususan bagi wanita.

Rasulullah bersabda:

“Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (HR. Abu Daud, Shahihul Jami’ , 5071) .

4. Mengenakan pakaian mengikut trend.

Sebahagian umat Islam, terutama remaja sering tergila-gila dengan fesyen pakaian yang sedang menjadi trend atau pakaian yang dikenakan oleh para artis dan idola mereka. Seperti pakaian bergambar penyanyi, kumpulan-kumpulan muzik, botol dan cawan arak, gambar-gambar makhluk hidup, salib atau lambang-lambang kelab-kelab bolasepak dan organisasi-organisasi non Islam, juga slogan-slogan kotor yang tidak hormat dan kebersihan diri, yang biasanya ditulis di belakang t’shirt dengan bahasa Malaysia atau bahasa-bahasa asing.

Pada umumnya para pemakai pakaian-pakaian tersebut merasa bangga dengan pakaiannya, bahkan dengan maksud untuk memperoleh populariti kerana pakaiannya yang aneh tersebut.

Padahal Nabi bersabda:


“Barangsiapa mengenakan pakaian (untuk memperolehi) populariti di dunia, niscaya Allah mengenakan kepadanya pakaian kehinaan pada hari Kiamat.” (HR. Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ibnu Umar, hasan).

Imam Asy-Syaukani berkata, ‘Hadis di atas menunjuk-kan diharamkannya mengenakan pakaian untuk meraih populariti. Dan larangan tersebut tidak khusus terhadap pakaian untuk populariti, tetapi termasuk juga pakaian yang berlawanan dengan pakaian masyarakat pada umumnya (yang bertentangan dengan agama/etika). Jika pakaian itu untuk maksud populariti, maka tidak ada bezanya antara pakaian yang mahal atau murah, sesuai dengan yang dikenakan orang pada umumnya atau tidak, sebab pengharaman tersebut bergantung (niat) populariti.’
5. Mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat.
Seperti memakai seluar pendek atau pakaian sukan lainnya yang menampakkan peha. Aurat lelaki adalah dari pusat sehingga dua lutut.Oleh itu, peha termasuk aurat. Setiap muslim diperintahkan menutup dan menjaga auratnya kecuali di depan isteri atau hamba sahayanya.


Ketika Rasulullah SAW melihat sahabat Ma’mar tersingkap pehanya, beliau SAW bersabda:

“Wahai Ma’mar, tutupilah pehamu, kerana peha adalah aurat.” (HR. Ahmad).


“Jagalah auratmu kecuali dari isterimu atau hamba sahayamu.” (HR. Imam lima kecuali An-Nasa’i dengan sanad hasan).
6. Tidak memperhatikan masalah pakaian ketika masuk masjid.
Sebagian orang yang akan menunaikan solat berjemaah tidak peduli dengan pakaian yang dikenakannya. Misalnya masuk masjid dengan mengenakan jenis pakaian sebagaimana disebutkan pada point keempat. Solat adalah untuk menghadap kepada Allah, kerana itu kita harus mengenakan pakaian yang bagus dan indah sebagaimana yang diperintahkan.

Allah berfirman:

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid.” (Al-A’raf: 31).

Disunahkan pula agar kita memakai wangi-wangian ketika hendak ke masjid dan menghindari bau-bauan yang tidak sedap. Demikianlah yang dituntunkan dan dipraktikkan baginda Nabi SAW dan para sahabatnya yang mulia.

7. Mengenakan pakaian bergambar makhluk bernyawa

Apalagi gambar orang-orang kafir, baik penyanyi, seniman, pembesar atau orang-orang terkenal lainnya. Mengenakan pakaian bergambar makhluk bernyawa adalah haram, baik gambar manusia atau haiwan.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Setiap tukang gambar ada di Neraka, Allah menciptakan untuknya (dari) setiap gambar yang dia bikin sebuah nyawa, lalu mereka menyiksanya di Neraka Jahannam.” (HR. Muslim).

“Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar-gambar.” (HR. Al-Bukhari).

Adapun gambar orang-orang kafir maka memakai atau menggunakannya mudaratnya akan semakin besar, sebab akan mengakibatkan pengagungan terhadap mereka.

8. lelaki menggunakan perhiasan emas dan kain sutera.

Sekarang banyak kita jumpai barang-barang perhiasan untuk lelaki yang terbuat dari emas. Seperti jam tangan, kaca mata, butang baju, pen, rantai, cincin dan sebagainya.

Dari Ibnu Abbas RA bahawasanya Rasulullah SAW melihat cincin emas di tangan seorang lelaki, serta merta baginda menngambilnya lalu membuangnya, seraya bersabda:

“Salah seorang dari kamu sengaja (pergi) ke bara api, kemudian mengenakannya di tangannya!’ Setelah Rasulullah SAW pergi, kepada lelaki itu dikatakan, ‘Ambillah cincinmu itu dan manfaatkanlah!’ Dia menjawab, ‘Demi Allah, selamanya aku tidak akan mengambilnya, kerana Rasulullah SAW telah membuangnya.” (HR. Muslim, 3/1655).

Dan Rasulullah SAW bersabda:

“Dihalalkan emas dan sutera itu untuk kaum wanita dari kaumku dan diharamkan keduanya bagi kaum lelaki dari nya.” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi dan An-Nasa’i, shahih).

Wallahualam.


Posted @ www.isuhangat.net.

Terengganu lebih daif daripada Afrika Selatan?

Mat Zain Mat Isa
Agaknya kalaulah Terengganu kini di bawah PAS, pada adatnya kes wabak Hepatitis A yang sedang melanda beberapa kampung di daerah Hulu Terengganu akan benar-benar dimanipulasi Barisan Nasional (BN) sebagai bahan menyerang kerajaan negeri. Boleh jadi tidak akan ada pemimpin parti itu yang tidak menyuarakan keluhan dan sesalan terhadap apa yang sedang berlaku kini.

Akan ada juga kumpulan demi kumpulan rakyat yang kononnya prihatin terhadap permasalahan itu tampil meluahkan rasa tidak puas hari terhadap kerajaan negeri menerusi berbagai pertubuhan bukan kerajaan. Manakala segenap saluran media arus perdana berkemungkinan dimanfaatkan semahunya untuk berulangkali menyorot kes itu secara negatif.

Kerajaan negeri pimpinan PAS akan dibalun dan dipersalahkan atas petaka menimpa sebilangan rakyat itu. Ia akan didakwa tidak prihatin atau gagal memastikan kesihatan rakyat terjamin, apabila rakyat terpaksa menggunakan bekalan air yang tidak bersih sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dijangkiti wabak tersebut.

Andaian itu tidak mustahil, bahkan berkemungkinan besar berlaku, terutama jika dilihat daripada reaksi dan kecaman diterima kerajaan Kelantan berhubung risiko wabak merbahaya yang didakwa mungkin dihadapi rakyat negeri tersebut akibat permasalahan serupa.

Tabloid harian pada Isnin, 21 November memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menyalahkan kerajaan negeri diterajui PAS di atas status bekalan air yang dikatakan tercemar. Beliau memetik hasil ujian Kementerian Kesihatan yang mendapati air di negeri itu dicemari berbagai bakteria merbahaya termasuk bakteria E-coli.

Lantas beliau mengandaikan betapa sebahagian besar rakyat Kelantan berisiko terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya permasalahan itu tidak diatasi segera. Tanpa selindung Awang Adek menyalahkan pihak pengurusan air negeri. Beliau malah secara terbuka memperlekeh negerinya sendiri yang dianggapnya lebih teruk daripada Afrika Selatan.

“Rakyat Kelantan harus menyuarakan keinginan mereka untuk mendapatkan air bersih dan kegagalan menyediakan air bersih menunjukkan negeri ini begitu daif berbanding Afrika Selatan yang sudah tiada masalah E-coli ini,” katanya, dipetik tabloid berkenaan.

Beliau turut menempelak kerajaan negeri yang diharapnya jangan hanya pandai berceramah saja, tetapi perlu lebih bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa terjamin, terutama dengan menyediakan bekalan air bersih.

Apa yang dilaporkan di Kelantan itu sebenarnya hanya andaian. Andaian itu juga turut disarati sentimen politik, selain wujud unsur berlebih-lebihan. Setakat ini belum ada wabak dimaksudkan itu dilaporkan berlaku. Masih belum ada mangsa E-coli yang direkodkan di negeri itu sebagai akibat daripada meminum air dibekalkan yang didakwa tercemar bakteria itu.

Namun, reaksinya sudah sedemikian keras seakan satu wabak membimbangkan telah pun melanda negeri itu. Bayangkan sebahagian besar rakyat negeri itu ditakutkan dengan kemungkinan menjadi mangsa wabak tersebut. Bahkan, belum pun tercetus wabak itu, kerajaan negeri sudah pun menerima penangannya.

Bayangkan saja andaikata wabak itu telah pun berlaku dan sudah ada sebilangan rakyat Kelantan menjadi mangsanya, sepertimana yang sedang dialami penduduk Hulu Terengganu kini. Agaknya bagai nak kiamat dunia media saban hari menyorot perkembangan membimbangkan itu.

Namun, kegilaan media itu tidak berlaku dalam kes di Terengganu itu, walau pun sudah berminggu berita wabak Hepatitis A itu dilaporkan. Terbaru, tabloid harian edisi negeri itu pada Isnin melaporkan jumlah mangsa wabak tersebut sudah mencecah 57 orang. Semua mangsa adalah penduduk dari Kampung Basung (35 orang), Kampung Pasir Dula (19) dan Kampung Padang Setebu (3).

Bagaimana pun laporan itu disajikan kepada pembaca dalam bentuk bersahaja, sama seperti laporan dan berita lain. Gambar Exco bertanggungjawab terhadap kesihatan negeri yang sering dilampirkan bersama berita mengenai wabak itu pula sengaja dipilih dengan pose tersengih, walau pun dia sendiri tidak menolak kemungkinan wabak itu merebak ke daerah lain.

Seperkara menarik, punca wabak itu ada persamaan dengan kemungkinan wabak E-coli yang sangat digeruni Awang Adek di Kelantan itu. Hepatitis A di Hulu Terengganu ini juga berpunca daripada amalan penduduk yang tidak menjaga kebersihan, terutama meminum air yang tercemar dan memakan makanan yang tidak dimasak.

Agak pelik, kegagalan BN Terengganu memastikan kesihatan rakyatnya tidak pula menjadi bahan kritikan mana-mana pihak. Apa kata rakyat negeri itu pinjam hujah Awang Adek tadi dan isytiharkan bahawa Terengganu lebih daif daripada Afrika Selatan?

Guru piano diperkosa dan dibunuh

PERIKSA...kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam.
PERIKSA...kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam.
JOHOR BAHRU: Kehilangan seorang guru piano yang tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam Perodua Myvi miliknya dengan kesan jerutan di leher serta tangan diikat di belakang badan di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling di sini, semalam.

Ketika ditemui, mangsa masih memakai baju-T putih, jaket perang serta skirt paras lutut dengan seluar dalamnya terlondeh dipercayai dirogol sebelum dibunuh di tempat lain. Mayatnya kemudian diletakkan dalam kereta berkenaan.

Mayat mangsa, Chiu Kong Min, 31, ditemui kira-kira tujuh jam selepas bapanya membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa mulanya disangkakan tidur dalam kereta berkenaan dan cuba dikejutkan seorang individu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Bagaimanapun, selepas mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu didapati sudah tidak bernyawa, individu terbabit segera melaporkan kejadian itu kepada polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Mohd Akhir Ishak berkata, sebaik menerima panggilan orang ramai, pihaknya bergegas ke lokasi bagi melakukan siasatan.

Menurutnya, polis kemudian menemui wanita itu tertunduk kaku dalam kereta miliknya dan siasatan mendapati mangsa dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 2.30 petang kelmarin untuk mengajar di Jalan Simbang, Taman Perling, menaiki Perodua Myvi hijau berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar untuk mengajar piano seperti biasa, namun sehingga jam 12.30 tengah malam kelmarin, masih tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya yang bimbangkan keselamatannya membuat laporan polis.

“Pemeriksaan dan siasatan awal mendapati mangsa cedera ringan di kening kiri, kesan calar pada jari kedua-dua tangan selain luka di tangan dipercayai akibat bergelut dengan penyerangnya.

“Selain itu, ketika ditemui, kedua-dua tangannya diikat menggunakan kabel pengikat dan ada kesan jerutan di leher, namun barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit tidak diambil suspek,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan dan hingga kini, polis masih tidak menemui sebarang bukti di kawasan sekitar lokasi penemuan mangsa serta dalam keretanya.

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami belum menahan mana-mana individu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Tan Yang Siong di talian 012-7076928,” katanya.
-hmetro-

Lagi Bukti Satim Diman Cuba Gadai Tanah Melayu

Malaysia Waves
Yang hairannya, percubaan menggadai tanah rezab Melayu kepada tauke ini berlaku SELEPAS UMNO hilang kuasa di Selangor.

Di bawah adalah dokumen2 berkaitan percubaan Satim Diman/UMNO Puchong menggadai dua bidang tanah rezab Melayu yang sebelum ini diletak di bawah nama "UMNO Bahagian Puchong.


UMNO Bahagian Puchong yang dipimpin oleh Satim Diman telah mencuba untuk menggadai dua bidang tanah rezab Melayu dengan no kod HSD 247 141 dan HSD 247 142 kepada sebuah syarikat bukan bumiputra bernama "Lagi Gemilang Development Sdn Bhd".Kononnya Ketua Pembangkang UMNO ini seorang yang memperjuangkan Melayu. Rupanya, kaki jual tanah Melayu kepada taukeh.

Syukor kepada Allah SWT yang telah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dan menjadikan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar. Tan Sri Khalid telah MENGAGALKAN usaha UMNO Puchong pimpinan Satim Diman ini.

Dokumen2 berkaitan percubaan UMNO Puchong pimpinan SAtim Diman ini boleh dibaca di bawah:
KLIK IMEJ
KLIK IMEJ
KLIK IMEJ

Peguam akan berarak bantah Bil Perhimpunan Aman

Empat tahun selepas "Walk for Justice" 2007, Majlis Peguam Malaysia sekali lagi memanggil ribuan peguam untuk berarak di Kuala Lumpur bagi membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang telah dibentangkan di Parlimen.

Perarakan itu akan bermula pada jam 11.30 pagi Selasa depan dan mereka akan berjalan dari Kelab Taman Perdana Diraja ke Parlimen, yang dijadual membahaskan rang undang-undang tersebut, yang dibentangkan pada 22 November lalu.

Satu memorandum akan diserahkan kepada kerajaan di akhir perarakan tersebut.

Pada tahun 2007, lebih 2,000 peguam menyertai perarakan Majlis Peguam sejauh 3.5km yang dikenali sebagai "Walk for Justice", di Putrajaya untuk mendesak penubuhan suruhanjaya diraja bagik menyiasat kes 'Pita Lingam'.

Langkah tersebut, serta protes awam yang lain, telah memaksa Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.
-malaysiakini-

'Transformasi' Najib menuju diktator

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 25 Nov: Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, kelmarin, jelas bertujuan untuk menghalang himpunan diadakan oleh rakyat negara ini.

Realiti itu terserlah apabila di dalam akta tersebut dikenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah untuk membolehkan rakyat negara ini mengadakan perhimpunan berbanding kawalan sedia ada di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.


Pengarah Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, akta itu hanyalah mempunyai nama yang menarik, tetapi hakikatnya Kerajaan BN secara jelas mencabul hak rakyat untuk berhimpun.


Menurut beliau, jika di bawah Akta Polis 1967, sekurang-kurangnya hanya perhimpunan di tempat awam yang dikenakan permit, tetapi di bawah akta baru ini mensyaratkan semua perhimpunan walaupun di premis persendirian atau disewa perlu diberikan notis makluman awal kepada polis 30 hari sebelum tarikh himpunan yang dicadangkan itu hendak dibuat.

Katanya, Seksyen 9(5) Akta itu pula membenarkan polis mendenda penganjur sehingga RM10,000.00 sekiranya tiada notis awal diserahkan kepada polis sebelum perhimpunan tersebut diadakan.

"Peruntukan itu amatlah tidak munasabah kerana kebanyakan himpunan aman rakyat adalah berkaitan dengan isu-isu semasa yang berlaku dan memerlukan tindakan yang segera," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Itulah prinsip demokrasi dan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, menurutnya, tetapi malangnya hak-hak yang masih berbaki sedikit itupun cuba dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan Umno (Barisan Nasional).

"Inikah transformasi yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri atau transformasi yang dibuat hanya untuk mengubah negara menjadi negara diktator dan kuku besi?" ujarnya.

Akta baru itu juga, tegasnya, melarang individu di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman dan ini tentulah merujuk secara khusus kepada para mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi negara.

"Sudahlah para mahasiswa dikongkong teruk oleh AUKU, sekarang akta drakonian yang baru diperkenalkan ini pula meragut terus hak-hak asasi mereka untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman.

"Kerajaan BN benar-benar memperlekeh dan memperbodohkan terus keintelektualan para mahasiswa dan mahasiswi kita," tambah beliau.

Manakala Seksyen 21(3) akta itu, tegasnya, membenarkan polis mendenda pihak yang ditangkap sehingga RM20,000.00, jumlah yang sangat tidak munasabah berbanding RM2000.00 sekarang, sedangkan kesalahan berhimpun bukanlah satu kesalahan jenayah yang serius.

Katanya, banyak lagi peruntukan lain yang tidak munasabah dimasukkan di dalam akta baru itu, manakala segala kelemahan yang berlaku itu disebabkan sikap ego kerajaan yang enggan mendengar pendapat ramai supaya segala undang-undang baru yang hendak digubal yang berkaitan hak-hak asasi rakyat patut dirunding secara konsultasi bersama.

Juham mengecam Akta Perhimpunan Aman 2012 dan berpandangan akta tersebut hanya seperti menanam tebu di tepi bibir, manis di mulut tetapi hakikatnya membawa bencana dan mala petaka besar kepada hak-hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Akta ini jelas mengongkong kebebasan rakyat untuk berhimpun dengan sekatan dan syarat-syarat yang amat zalim, tidak munasabah dan tidak pernah difikirkan oleh rakyat yang waras," tegasnya.

Juham menggesa agar kerajaan menarik balik akta itu dengan segera dan berunding dengan rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan apa-apa undang-undang yang zalim seperti itu dan menyekat kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

PAS akan sertai Bersih 3.0

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 25 Nov: PAS akan menyertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam perhimpunan Bersih 3.0 bagi meneruskan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang belum dilaksanakan kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, bagi menuju ke arah itu, PAS akan dan memulakan siri penerangan dan menggerakkan ahli di seluruh negara.

"PAS menyokong keputusan Bersih untuk mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 memandangkan lapan tuntutan Bersih 2.0 hampir langsung tidak diendahkan kerajaan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad bagaimanapun berkata, selain PAS, dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP membuat kenyataan umum menyokong Bersih 3.0.

"Daripada kenyataan umum, Pakatan bersetuju untuk bersama-sama Bersih 3.0," katanya yang juga Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.

Bagaimanapun, PAS katanya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Bersih yang disertai gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dari segi tarikh dan perjalanan perhimpunan.

"Tarikh yang sesuai, tempat perhimpunan semuanya kami serah kepada NGO Bersih sepenuhnya untuk menentukannya," katanya sambil menambah, pengerusi 3.0 adalah daripada NGO sendiri.

Sementara itu, mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata PAS menolak keras RUU tersebut.

Malaysia katanya seolah-olah sedang menggantikan tempat Myanmar dari segi halangan untuk rakyat bersuara.

"Perdana Menteri berbohong untuk bawa Malaysia ke arah demokrasi.

"Myanmar yang kebebasan bersuaranya teruk mengenakan lima hari sahaja untuk mengeluarkan notis berhimpun tapi Malaysia kena bagitahu 30 hari awal.

"Rang Undang-Undang ini menghina rakyat Malaysia," katanya.

Kabinet arah semak semula Bil Perhimpunan Aman

azlan
Kabinet hari ini mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz supaya mengkaji semula dan meminda Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011.


Lewat petang ini, beberapa akhbar Cina memetik sumber-sumber yang berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada kaitan dengan arahan semakan tersebut.

Najib dikatakan berada di luar negara ketika rang undang-undang itu dibawa ke Kabinet dan tidak dapat memberikan sebarang input mengenai perkara itu.

Dalam mesyuarat kabinet hari ini, sumber itu berkata, Najib memberi beberapa cadangan dan mengarahkan Nazri mengambil langkah perlu mengenainya.

Sumber itu berkata walaupun rang undang-Undang itu jadual dibahas di Dewan Rakyat Selasa ini, tetapi pindaan masih boleh dibuat di peringkat jawatankuasa.

Sumber itu berkata, antara lain, peruntukan yang menghendaki penganjur perhimpunan memberitahu notis 30 hari kepada pihak polis, akan disemak semula.

Tetap haramkan demo jalanan

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa ia dicadangkan bahawa notis 30 hari itu dikurangkan kepada 10 hari.

Bagaimanapun, sumber itu menegaskan Kabinet masih tetap dengan pendiriannya tentang pengharaman demonstrasi jalanan.

Sementara itu, ekoran bantahan terhadap Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 oleh pembangkang dan badan masyarakat sivil, Pemuda MCA hari ini menggesa kerajaan supaya memendekkan tempoh notis 30 hari untuk mengadakan perhimpunan, seperti terkandung dalam rang-rang undang-undang tersebut.
NONE
Bagaimanapun, ia menyokong peruntukan yang akan menggantikan syarat sekarang yang memerlukan permit polis dengan pemberitahuan awal.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong (kanan) menggesa kerajaan menjelaskan keperluan tersebut, sama ada notis itu perlu dikemukakan kepada pihak polis 30 hari sebelum perhimpunan atau dalam tempoh 30 hari.

Walaupun rang undang-undang itu memberikan ruang yang lebih banyak berbanding dengan Seksyen 27 Akta Polis, Wee memberitahu sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pusat sayap Pemuda MCA hari ini, bahawa kerajaan perlu menjelaskan butir-butir mengenai rang undang-undang itu.

Tempoh yang munasabah untuk memberi notis kepada pihak polis sebelum mengadakan perhimpunan, hendaklah dalam masa lima hingga tujuh hari kerana notis 30 hari terlalu lama untuk sebarang perhimpunan yang mahu diadakan berdasarkan isu-isu semasa.
-malaysiakini-