"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek pecah rumah meninggal dunia, pemilik rumah antara 4 ditahan

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
EMPAT lelaki yang ditahan reman susulan kematian suspek yang cuba mengumpil tingkap rumah. FOTO ihsan pembaca
EMPAT lelaki yang ditahan reman susulan kematian suspek yang cuba mengumpil tingkap rumah. FOTO ihsan pembaca
Kota Bharu: Empat lelaki termasuk pemilik rumah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini susulan kematian suspek yang cuba mengumpil tingkap rumah di Kampung Belukar, Tapang di sini, 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata, empat lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan reman sehingga 1 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya, pada 3 pagi, 20 Ogos lalu suspek berusia 30-an cuba mengumpil tingkap rumah.

"Pihak polis menerima laporan daripada pemilik rumah, 6.05 pagi hari yang sama, berkenaan kes pencerobohan oleh suspek.

"Mangsa memaklumkan, suspek cuba mengumpil tingkap rumahnya sebelum dia menghampiri, namun suspek melarikan diri. Walau bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap oleh mangsa dengan bantuan penduduk kampung.

"Semasa tangkapan, suspek yang menggunakan pisau bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa serta penduduk kampung. Namun, suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang juga penganggur cedera di muka serta kepala dan dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, hasil semakan polis, suspek mempunyai dua rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Mohd Rosdi berkata, 9.43 malam kelmarin, pihak hospital mengesahkan suspek meninggal dunia ketika menerima rawatan.

"Susulan kematian suspek, polis menangkap empat lelaki termasuk pemilik sebuah rumah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 KK.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan saksi diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Wan Mahani Wan Mansor di talian 019-8336423 atau 09-7752200 atau mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya.

Zahid: Jangan risau DAP, Gerakan lagi teruk

Shahrul Shahabudin

JOHOR BAHRU: Zahid Hamidi memberi jaminan kepada ahli Umno supaya jangan risau kerjasama parti itu dengan DAP pada PRK DUN Simpang Jeram.

Presiden Umno itu memberitahu jentera parti di Simpang Jeram bahawa realiti politik semasa sudah berubah dan mengingatkan mereka supaya tidak terpengaruh dengan sentimen negatif yang dimainkan pembangkang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut mengingatkan bahawa Umno pernah bekerjasama dengan Gerakan, yang kini menjadi sebahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Jangan risau, dulu kita pernah berkawan dengan Gerakan. Mereka lebih teruk lagi (dari DAP).

“Kita harus yakin apa yang kita lakukan ini adalah sesuatu yang benar kerana landskap politik kini sudah berubah,” kata Zahid dalam ceramah di Simpang Jeram.

Beliau juga menggesa ahli Umno untuk menyokong calon Pakatan Harapan di Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman dari Amanah.

Zahid juga berkata PRK itu akan menjadi ujian pertama kerajaan perpaduan di Johor dan kemenangan akan menjadi satu kejayaan besar untuk kerajaan perpaduan.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram masing-masing bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, PN dan Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh undi awal pada 5 Sept, manakala hari pengundian pada 9 Sept.

Cukuplah 1 kerusi, jangan biar PAS bertapak di Johor - Zahid

Shakira Buang

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan semangat jentera Umno bagi PRK DUN Simpang Jeram dengan menegaskan PAS tidak boleh dibiarkan bertapak di Johor.

Zahid berkata cukuplah dengan PAS memenangi DUN Maharani - satu-satunya kerusi yang dipegang parti itu - pada PRN yang lalu.

"Kita mesti elakkan daripada kebanjiran PAS masuk ke Johor...Kita tidak mahu seorang lagi Adun PAS di Simpang Jeram.

"Oleh sebab itu, (calon PH dari Amanah, Ir Nazri Abdul Rahman) pakar banjir mesti tolak banjir ini, sebaliknya pastikan PH-BN yang membanjiri seluruh Johor sebagai negeri perpaduan paling kuat di negara kita," katanya ketika berucap dalam pertemuan dengan jentera Umno Bahagian Bakri, di Muar, hari ini.

Mengakui PAS mempunyai tapak yang kuat di DUN tersebut, Ahmad Zahid berkata Nazri perlu memberi penjelasan kepada pengundi di situ bagaimana PAS telah "memanipulasikan isu agama demi kemenangan".

"Pengalaman dalam PAS harus dikongsikan dengan kami, sebab kami pun telah 'dikencing' oleh PAS," kata Zahid merujuk pengalaman 30 tahun Nazri dalam parti itu.

Memohon maaf atas bahasa kasarnya itu, Zahid berkata Umno cuba bersangka baik dengan PAS ketika bekerjasama menerusi Muafakat Nasional sebelum ini.

“Dalam tempoh itu kita belajar hati budi mereka dan kita tahu PAS ini seperti buluh runcing yang sentiasa ada untuk menikam kita dari belakang,” dakwanya.

Nazri merupakan seorang jurutera dan pernah menjadi ketua bahagian kejuruteraan di Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Dalam PRK ini, dia akan berdepan calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas S Jeganathan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga berkongsi hasrat yang sama, iaitu agar PAS tidak dapat meluaskan tapaknya di negeri itu.

“Tadi presiden berjumpa dengan ahli Umno Bakri dan mengingatkan kita pentingnya untuk kita pertahankan habis-habisan.

“Tidak ada seinci pun kita biarkan untuk mereka bertapak di Johor,” tegasnya, sambil menegaskan pentingnya keselarian antara kerajaan pusat dan kerajaan Johor untuk pembangunan negeri.

Meneruskan serangannya terhadap PAS, Zahid mendakwa parti itu sedang "menunggang" Bersatu untuk meningkatkan kedudukannya.

"Ini jelas dilihat dalam PRN di enam negeri, di mana PAS telah mendapat banyak kerusi (terutama di negeri pantai barat).

“Untuk itu bagi Johor, saya minta jentera Umno-BN diseluruh negeri pastikan Johor dipertahankan sebagai 'simpanan tetap' kerajaan perpaduan.

Zahid mendakwa kepimpinan parti itu akan "bermukim" di Simpang Jeram dalam usaha merampas kerusi itu daripada Amanah.

“Hanya orang Parlimen Bakri dan DUN Simpang Jeram yang boleh menafikan hasrat mereka," katanya lagi.

DUN Simpang Jeram diwakili Allahyarham Salahuddin Ayub sejak kerusi ini diperkenalkan pada 2018. Pada PRN Johor 2022, Allahyarham mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 2,399 undi.

Pengundi Melayu merangkumi 51.87 peratus pengundi, diikuti Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).

Gerakan bantah Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah, mana suara Pas?

HarapanDaily.com
Gerakan bantah Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah, mana suara Pas?
Orang ramai mempertikai pendirian Pas apabila sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), Gerakan lantang membantah pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Sebelum ini, Pas umum dikenali sebagai kuat menghukum pihak yang tidak bersama dengannya sebagai melawan perjuangan Islam.

Namun, apabila Gerakan bersuara membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara, Pas dilihat membisu.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani ada juga menyentuh isu mempelajari Hadis 40 tetapi dilihat ‘malu-malu’ tanpa garang menyebut nama Gerakan.

“Belajar 40 hadis je di sekolah untuk umat Islam di negara sendiri puak-puak sekular tentang?

“Dah boleh fikirkanlah apa lagi yang sedang mereka rancang wahai umat Islam!!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tanpa memberi kredit kepada Kerajaan Perpaduan yang berhasrat untuk memperkenalkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi, Dusuki hanya menggariskan naratif sekular yang merupakan istilah lazim digunakan terhadap parti-parti musuhnya.

Walhal, parti Gerakan yang merupakan komponen dalam PN-Pas yang keras membantah pelaksanaan modul tersebut yang sama sekali tidak melibatkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).

Pengguna Facebook, Furqan Abdullah berpendapat sikap Pas terutamanya Dusuki menerusi reaksi pemimpin itu mengingatkan kepada umat Islam untuk menghayati perintah Allah agar tidak membenci mana-mana pihak sehingga mendorong perlakuan tidak adil.

“Untuk pengetahuan Ustaz (Dusuki), Timbalan Menteri Pendidikan (Lim Hui Ying) adalah dari parti DAP, anak Lim Kit Siang, adik kepada Lim Guan Eng. Ada ke kita lihat kenyataan beliau membantah pelaksanaan modul ini?” bidasnya.

Pendirian Gerakan yang turut mengugut untuk mengenakan tindakan mahkamah dilihat sebagai kemuncak penentangan keras sekutu Pas itu terhadap pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 di sekolah.

Sehubungan itu, warganet tertanya-tanya ke mana suara pemimpin dan penyokong Pas paling tidak pun menasihati Gerakan agar tidak bersikap melampaui batas.

“Gerakan bantah keras sampai nak bawa ke mahkamah. Padahal, Hadis 40 tu tiada kena mengena secubit pun dengan anak-anak orang bukan Islam. Yang nak kalut sangat tu kenapa?

“Mana suara parti ‘Islam’ (Pas)? Sunyi je. Takut Gerakan boikot? Mana suara penyokong-penyokong parti Islam? Sunyi je. Takut Gerakan tak bagi undi kepada calon PN?

“Nak main politik pun agak-agaklah, sampai nak buat benda baik pun, semua kena dapat restu pihak yang terang-terang ‘lawan’ Islam,” kata pemilik akaun Facebook, Desa HM.

Ditikam halang pasangan sejenis berkahwin

Agensi
FAISAL (kiri), Juber (tengah) dan ibunya, Shaheen ditahan selepas didakwa membunuh Gupta. FOTO Agensi
FAISAL (kiri), Juber (tengah) dan ibunya, Shaheen ditahan selepas didakwa membunuh Gupta. FOTO Agensi
New Delhi: Akibat cuba menghalang pasangan sejenisnya berkahwin, seorang lelaki ditikam sampai mati oleh tunang 'kekasih gelapnya' itu sebelum mayatnya disumbat dalam beg pakaian dan dibuang dari atas kereta api di Bharuch, Gujarat.

Mangsa berusia 46 tahun dikenali Neeraj Gupta dilaporkan mempunyai hubungan sulit dengan seorang pekerja lelakinya dikenali sebagai Faisal, 29.

Faisal bersama ibunya Shaheen Naaz, 45, serta tunangnya, Juber, 28, sudah ditahan polis, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Barat Laut Vijayanta Arya.

Pada 13 November, Gupta bertengkar di rumah sewa Faisal di barat laut New Delhi membabitkan dia, tunang dan ibunya selepas Gupta membantah perkahwinan itu, kata polis.

Gupta dipukul di kepala dengan batu-bata oleh Juber, ditikam tiga kali di perut dan lehernya dikelar.

Wanita itu dan ibunya membantu Faisal yang juga tertuduh utama membuang mayat mangsa.

Perkara itu menjadi perhatian selepas polis diberitahu Gupta hilang dari Taman Kewal di Adarsh Nagar di barat laut New Delhi.

Isteri Gupta memberitahu polis dia mengesyaki Faisal terbabit dengan kehilangan suaminya kerana Faisal dan Gupta mempunyai hubungan, kata seorang pegawai kanan.

Berdasarkan laporannya, satu kes didaftarkan mengikut Kanun Keseksaan India Seksyen 365 (penculikan atau penculikan dengan niat secara rahsia dan salah untuk mengurung seseorang) dan Faisal disoal siasat, kata polis.

"Ketika disoal siasat, Faisal mendedahkan dia bekerja untuk Gupta dan mempunyai hubungan sulit dengannya selama 10 tahun.

"Ibu bapanya mahu dia menikahi Juber, dan bertunang dengan wanita itu.

"Ketika dia memberitahu hal ini kepada Gupta, mangsa membantah perkahwinan itu dan datang ke rumah sewa Faisal di Taman Kewal di Adarsh Nagar dan bertengkar dengan Juber, Faisal dan ibunya," kata Arya.

Dalam pertengkaran itu, tindakan Gupta mendorong Faisal yang menaikkan kemarahan Juber dan menyerang dan membunuhnya, kata Faisal.

Selepas membunuh Gupta, mereka memasukkan mayat ke dalam beg pakaian dan tiba di stesen kereta api Nizamuddin dengan teksi.

Juber yang bekerja di stesen kereta api itu menaiki Rajdhani Express dengan membawa beg pakaian dan membuang mayatnya dekat Bharuch di Gujarat.

Pisau dan batu-bata yang digunakan dalam jenayah itu dijumpai dan usaha dilakukan untuk mengesan mayat itu.
-hmetro

PH-BN perlu menang besar bukan tipis

HarapanDaily.com

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata berdasarkan undi kedua-dua parti gabungan itu, beliau tidak melihat gelombang PN boleh berlaku pada PRK berkenaan.

“Jika ia tidak berlaku pada PRK kali ini, bermakna gelombang PN bukan berlaku di semua tempat.

“Bagaimanapun, PH-BN perlu memastikan kemenangan kali ini besar, bukan tipis,” dipetik BH, hari ini.

PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH dikenali sebagai menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang rajin bekerja dan komited melaksanakan inisiatif Payung Rahmah meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, isu nasional akan menjadi taruhan pada PRK berkenaan, sama seperti PRN di enam negeri sebelum ini.

“Isu politik identiti akan dimainkan seperti kerjasama UMNO dan DAP, justeru UMNO perlu memastikan penyokong tegar mereka tidak beralih menyokong PN,” tambah beliau lagi.

Seorang lelaki penghantar makanan telah dicabul di Sungkai

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan polis selepas didakwa mencabul penghantar makanan dalam kejadian di sebuah rumah di Sungkai, kelmarin.

Ketua Polis Tapah, Mohd Naim Asnawi, berkata dalam kejadian itu mangsa yang juga lelaki berusia 34 tahun menghantar pesanan makanan ke rumah suspek.

“Suspek bertindak mencabul mangsa. Tindakan itu menyebabkan mangsa membuat laporan sekitar 9.30 malam.

“Siasatan dijalankan dan tangkapan ke atas suspek dibuat pada hari sama sekitar 10.30 malam,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.

Naim berkata, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan dijalankan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Saya tak ada hak pertikai kegilaan Sanusi - Zahid

Alyaa Alhadjri

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi memperolokkan kenyataan pengarah pilihan raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Umno bakal "berkubur" dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Johor.

"Tanyalah dia kenapa dia cakap macam tu. Saya tak ada hak untuk mempertikaikan kegilaan seseorang," kata Ahmad Zahid sambil tertawa kepada pemberita di luar Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sanusi semalam yang mendakwa Johor bukan lagi kubu kuat BN dan PN bakal menewaskan pencabarnya di parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Sanusi dilapor berkata pengundi akan terus menolak Umno dalam PRK itu disebabkan kerjasama parti itu dengan PH dan pengerusinya, Anwar Ibrahim.

“Sampai masa sudah, BN-PH akan terbalik dengan gelombang ini. Di sana (Johor) dilahirkan di sana juga kuburnya. Bukan lagi kubu kuat,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Terdahulu Ahmad Zahid bersama pemimpin dan penyokong BN dan PH mengiringi calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu.

Ahmad Zahid berkata sokongan yang ditunjukkan ketika penamaan calon hari ini menunjukkan keserasian antara parti dalam kerajaan hari ini, yang bukan sahaja membabitkan komponen BN, malah antara PH dan GRS.

Ditemui pemberita selepas pengumuman calon, Suhaizan berkata dia memulakan khidmat di Pulai sebagai setiausaha politik kepada Allahyarham Salahuddin Ayub, selepas penyandang Ahli Parlimen Pulai itu dilantik sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Justeru kata Suhaizan, dia yakin kekuatan jentera PH memberikan kelebihan untuk dia mempertahankan kerusi berkenaan.

Suhaizan menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohd Fauzi.

7 lelaki ditahan, pukul warga Myanmar hingga maut

BERNAMA

Kuantan: Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar maut dipercayai akibat dipukul beberapa individu di Sungai Chalit, Sungai Ruan di Raub, Selasa lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu, daripada seorang lelaki wakil daripada pertubuhan etnik Myanmar (MEO), pada 6.48 petang Rabu.

Katanya, lelaki berkenaan mendakwa menerima panggilan telefon daripada abang mangsa, yang memaklumkan adiknya telah dipukul beberapa lelaki di lokasi kejadian, sehingga menyebabkan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raub, sebelum disahkan meninggal dunia pada 8.56 malam Selasa.

"Pemeriksaan awal pegawai perubatan hospital berkenaan, mengesahkan mangsa berusia 32 tahun telah meninggal dunia berpunca daripada pendarahan dalam kepala.

"Sehubungan itu, sepasukan polis telah menjalankan risikan dan telah menahan tujuh lelaki tempatan antara 22 dan 42 tahun semalam, bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua lelaki berkenaan direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu, boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di talian 09-3552222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Wanita belikan Shah Rukh Khan sebidang tanah di Bulan

WAN SITI AMINAH

Pelakon Bollywood lagenda, Shah Rukh Khan kembali menyita perhatian orang ramai setelah membuat satu pendedahan yang mengejutkan.

Siapa sangka, selebriti yang telah dinobatkan sebagai pelakon terkaya di Asia itu rupa-rupanya memiliki sebidang tanah yang terletak di Bulan.

Langsung tidak mengeluarkan belanja, tanah tersebut diterima Shah Rukh Khan secara percuma sebagai hadiah hari jadi daripada seorang peminat wanita.

Shah Rukh Khan memaklumkan bahawa pemilikan itu disahkan dengan sijil atau ‘geran tanah’ yang diterimanya daripada Persatuan Republik Lunar.

Menurut Shah Rukh Khan, hadiah mengagumkan itu mula diberikan kepadanya pada tahun 2002 bersempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-37.

Memetik laporan India Today, pendaftaran Lunar Registry menunjukkan bahawa tanah di Bulan milik Shah Rukh Khan itu berada di kawasan yang dinamakan Laut Ketenangan.

“Seorang wanita warganegara Australia telah membelikan sebidang tanah di Bulan pada setiap tahun sempena hari ulang tahun kelahiran saya.

“Saya juga menerima sijil daripada Persatuan Republik Lunar. Saya berasa bertuah kerana mendapat kasih sayang ramai orang di seluruh dunia,” katanya.

Peminat yang mahu dikenali sebagai Sandi kemudian mengakui bahawa tanah tersebut dibelinya kerana minatnya terhadap pelakon berusia 57 tahun itu.

Jelas Sandi, alasannya membeli tanah tersebut adalah kerana dia mahu melihat pelakon kegemarannya itu menjadi hero Hindi pertama yang berada di Bulan.

“Saya mahu dia menjadi wira filem Hindi pertama di Bulan! Saya mahu dia menjadi yang pertama dalam segala-galanya.” Akui Sandi.

Pendedahan yang dibuat Shah Rukh Khan itu kembali tular selepas negara kelahirannya iaitu India berjaya mendaratkan kapal angkasa Chandrayaan-3 di Bulan.

Kejayaan tersebut difahamkan telah berjaya menempa nama India sebagai negara keempat di dunia yang berjaya mendaratkan kapal di Bulan.

Sedangkan sebelum ini, hanya negara Amerika Syarikat, China dan bekas Kesatuan Soviet sahaja yang berjaya melakukan pendaratan kapal di lokasi tersebut.

Telinga budak 13 tahun putus, digigit rakan kerana enggan dengar bacaan mengaji

WAN SITI AMINAH
Siapa sangka, hanya kerana enggan mendengar bacaan mengaji, seorang kanak-kanak sanggup menggigit telinga rakannya sendiri sehingga putus.

Difahamkan, kejadian mengerikan itu berlaku sekitar pukul 4 petang pada Rabu lalu ketika kedua kanak-kanak berkenaan sedang menghadiri kelas mengaji.

Kejadian tersebut dipercayai bermula apabila guru mengaji meminta kesemua pelajarnya untuk membaca diba’ iaitu tradisi membaca selawat kepada Nabi Muhammad.

Oleh kerana isi kandungan diba’ itu terlalu panjang, guru tersebut kemudian membuat keputusan untuk membahagikan tugas bacaan kepada muridnya secara berpasangan.

Mangsa bernama Khoirul itu mendapat arahan daripada guru untuk mengaji bergantian bersama rakannya sendiri iaitu pelaku yang dikenali sebagai H.

Ketika kedua kanak-kanak itu sedang mengaji, Khoirul dipercayai telah meminta bantuan daripada H untuk mendengarkan bacaan diba’nya.

Situasi berubah menjadi tegang setelah satu pergaduhan tercetus berpunca daripada respon pelaku (H) yang enggan mendengar bacaan Khoirul.

Pergelutan itu akhirnya berhenti setelah H bertindak di luar jangkaan dengan menggigit kuping telinga sebelah kiri milik Khoirul sehingga putus.

Memetik laporan Kumparan.com, kejadian tersebut berlaku di daerah Bugul Kidul, Kota Pasuruan yang terletak di Jawa Timur, Indonesia.

Mangsa berusia 13 tahun yang berada di dalam keadaan berlumuran darah itu segera dikejarkan ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Jabatan Polis Kota Pasuruan, Aipda M Junaidi, bapa mangsa telah membuat satu aduan di balai berkenaan.

Laporan tersebut dibuat setelah bapa Khoirul dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan-rakan anaknya yang berkongsi tempat mengaji.

“Mendengar kabar tersebut, pelapor (Sholeh) kemudian bergegas untuk melihat anaknya dan ternyata mangsa sudah dibawa di Klinik Kesihatan Bugul Kidus.” Katanya.

Siasatan lanjut masih sedang berjalan namun, pihak polis telah selesai mengambil keterangan daripada mangsa, pelaku dan juga saksi kejadian.

Kes tersebut dipertanggungjawabkan kepada unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) di Jabatan Polis Pasuruan Kota.

Bayi bernyawa ditemui dalam tong sampah

Bernama

MELAKA: Bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam tong sampah berdekatan Flat Langkawi, Taman Pantai Emas di Klebang Besar, Rabu lepas.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata bayi masih bertali pusat dan uri itu dijumpai seorang pesara dalam keadaan berbalut tuala kira-kira 10.30 malam.

Beliau berkata sebelum itu, anak remaja lelaki pesara itu yang berusia 18 tahun mendengar suara mencurigakan dari dalam tong sampah ketika melalui kawasan tersebut lalu pulang ke rumahnya di Taman Pantai Emas untuk memaklumkan kepada bapanya.

“Pesara lelaki berusia 50 tahun itu kemudian pergi ke tong sampah tersebut dan menemukan satu beg plastik putih serta mendengar suara mencurigakan disyaki suara bayi baru dilahirkan.

“Beliau kemudian membawa plastik putih berisi bayi berkenaan ke Balai Polis Batang Tiga kira-kira 10.50 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata pihak Hospital Melaka tiba ke balai berkenaan kira-kira 11.10 malam bagi membuat pemeriksaan kesihatan bayi tersebut dan memotong tali pusat serta urinya.

Beliau berkata tiada kecederaan ditemukan pada badan bayi itu dan bayi terbabit kini ditempatkan di Wad Nurseri Penjagaan Rapi Hospital Melaka.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta melaporkan kepada balai polis berhampiran.

Zahid: ‘Tunggu pemilihan 3 tahun lagi’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tunggu tiga tahun lagi. Itu mesej Presiden Umno Zahid Hamidi kepada kumpulan mendesaknya meletak jawatan susulan prestasi buruk parti itu pada PRN di enam negeri 12 Ogos lalu.

Menurut Utusan Malaysia, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pihak terbabit harus menghormati sistem demokrasi parti sekiranya berhasrat menukar kepimpinannya.

Menurut, ketika ini ada suara mendesak kepimpinan parti ditukar, namun pada masa sama menyokongnya seperti disuarakan dalam solidariti Wanita Umno pertahan presiden di ibu negara semalam.

“Tetapi kalau berhajat sama ada orang dalam yang dipengaruhi oleh orang luar untuk menukar kepimpinan, maka tunggulah Umno melakukan pemilihan semula, tiga tahun akan datang,” katanya selepas merasmikan sebuah program di Johor Bahru hari ini.

Pada PRN lalu, Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Pada PRU15, Umno bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Zahid menangkis gesaan agar beliau berundur selepas PRU15 dan terus mengukuhkan cengkamannya dalam Umno apabila jawatan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Beliau turut menyingkirkan pengkritiknya dalam parti, termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan menggantung keahlian bekas naib presiden Hishammuddin Hussein.

Bekas naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata kekalahan parti itu dalam PRN menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada Umno “bertambah marak seperti api membakar jerami”, termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

Justeru, bekas perdana menteri itu menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan Umno susulan kekalahan teruk itu.

Desakan supaya Zahid meletak jawatan turut dibuat bekas ketua Umno Terengganu Idris Jusoh.

Nur Jazlan: Sepanduk tolak calon PH taktik kotor pembangkang

Alyaa Alhadjri

PRK PULAI | Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed menolak dakwaan kononnya berlaku penolakan daripada cawangan Umno di bawah bahagiannya terhadap calon BN-PH Pulai Suhaizan Kayat.

Ini selepas tersebar gambar sepanduk yang didakwa muncul di lokasi tidak dikenal pasti di Pulai menjelang hari penamaan calon esok itu menyatatan: "Kami Cawangan-Cawangan Umno Bahagian Pulai Menolak Calon Pakatan Harapan!!".

Bagaimanapun, Nur Jazlan yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara memberitahu Malaysiakini sepanduk itu cuma "taktik kotor" oleh lawan mereka.

"Saya anggap perbuatan menaikkan banner dan mengambil gambar untuk diviralkan dalam media sosial itu adalah perbuatan daripada pihak pembangkang.

"Taktik kotor yang sepatutnya tak digunakan," kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu ketika ditemui Malaysiakini pada majlis di Pulai bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Suhaizan dan jentera pilihan raya BN malam ini.

"Kalau betul ada penolakan dari cawangan-cawangan saya, akan ada ketua cawangan yang buat sidang akhbar dan sebagainya.

“Tapi tak ada,” jelas Nur Jazlan yang juga bekas ahli parlimen Pulai.

"Jadi saya anggap benda ini sebagai satu perkara palsu dan taktik kotor oleh pembangkang,” katanya lagi.

Pada pilihan raya kecil ini, Suhaizan dijangka menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan sekurang-kurangnya seorang calon bebas di kerusi parlimen itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya pemimpin Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub.

Nur Jazlan pernah bertanding menentang Allahyarham Salahuddin dan Loh Kah Yong daripada PN dalam pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-15 lalu.

Susulan kerjasama politik selepas PRU15 dengan PH dan parti lain yang kini dalam kerajaan, BN mengumumkan akan memberi laluan kepada Amanah untuk mempertahankan kerusi itu.

Anwar: Kita kini bertarung dengan fitnah, hasutan

Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan suasana pilihan raya ketika ini lebih rumit berbanding kebiasaan kerana berlakunya perbuatan menyebarkan kebencian dan prasangka yang berterusan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata keadaan tersebut menyebabkan Kerajaan Perpaduan terpaksa bertarung dengan ancaman fitnah dan asakan polemik yang boleh mengganggu-gugat hak serta keselamatan orang Melayu.

“Kita kini bertarung dengan fitnah. Pertarungan ini lebih rumit kerana ada hasutan serta mencungkil naluri batin dan bukannya berdasarkan pertimbangan rasional,” katanya semasa berucap pada sesi perjumpaan bersama jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan di Iskandar Puteri hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pemimpin tertinggi PH-BN Johor serta jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata dalam tempoh lapan bulan mentadbir negara, Kerajaan Perpaduan berjaya mengangkat martabat Malaysia dan menangani pelbagai isu termasuk kemiskinan, tatakelola serta memulihkan kembali ekonomi negara.

Beliau juga berkata gandingan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan menjadi satu-satunya gabungan yang mampu menyelamatkan Malaysia.

Anwar berkata aspek progresif yang didukung PH digabungkan dengan pengalaman BN dalam mentadbir negara adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan tempoh pemerintahan Perikatan Nasional sebelum ini.

“Dengan pengalaman rakan-rakan BN dan aspek progresif PH, bagi saya gabungan ini adalah satu-satunya wadah dan wahana untuk selamatkan Malaysia ketika ini,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 500 jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 9 Sept depan sebagai pengundian bagi kedua-dua kerusi itu.

- Bernama

Pemimpin Bersatu jawab Chegubard, bukan salah Muhyiddin gagal tawan NS

Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mempertahankan presidennya Muhyiddin Yassin yang didesak ahli parti itu supaya bertanggungjawab ke atas kegagalan menawan Negeri Sembilan pada PRN 12 Ogos lalu.

Desakan dibuat AJK penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin selepas Perikatan Nasional (PN) hanya menang lima daripada 36 DUN iaitu Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang, dan Labu.

Dakwa pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan itu, tindakan Muhyiddin melantik Ahmad Faizal Azumu sebagai pengerusi PN negeri menjadikannya daripada kawasan berpotensi dimenangi bertukar kepada “mudah kalah.”

Mengulas desakan itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata prestasi PN di Negeri Sembilan sebenarnya harus dibanggakan kerana menang lima berbanding jangkaan ramai ia bakal tewas di semua kerusi.

“Setiap perancangan bukan dibuat semberono, sebaliknya bincang di peringkat majlis tertinggi…Ahmad Faizal dilantik bukan keputusan Muhyiddin tetapi parti.

“Kita buat kerja seolah-olah boleh menang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun tak berjaya lagi bentuk kerajaan tetapi dapat keputusan baik,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Razali berkata Bersatu meraikan setiap kritikan termasuk dibuat Badrul atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard.

“Kritikan ahli parti kita tak boleh halang dan tak boleh marah mereka sebab itu perasaannya, Chegubard bukan pimpinan top 5.

“Beliau boleh bercakap tetapi kena lihat juga kedudukannya (jawatan parti),” katanya.

Bersatu sekadar makan ‘sisa-sisa nasi tambah’ Pas

HarapanDaily.com

FATHI ARIS OMAR

Ada orang pertikai, kenapa saya dedah Pas sisihkan Bersatu di negeri-negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Di negeri lain, yang Perikatan Nasional (PN) kalah, apa cerita? Pas korbankan dirinya untuk Bersatu atau sama juga?

Sama sahaja! Kalau kita mahu faham Pas, kita kena sedar:

1. Pas suka kerjasama, jarang ia bergerak solo sejak bersama BN.

2. Pas perlu kerjasama untuk keluar dari kubu (timur dan utara).

3. Jika perlu guna logo lain, tukar slogan, tukar retorik – Pas akan buat.

4. Banyak kerjasamanya tidak bertahan lama (kecuali dengan PKR).

5. Jika dapat kuasa, Pas akan bolot kuasa.

6. Sebelum berkuasa, pengaruh parti sekutu tidak dibenar berkembang.

7. Di tempat Pas tidak kuat, parti sekutu dibenar bertanding banyak kerusi.

8. Tapi Pas pilih kerusi sedap-sedap (boleh menang) walau tanding sikit.

9. Selalu ungkit jentera Pas bantu parti sekutu (baru muncul).

10. Rela peralat apa sahaja cara, elok atau tidak, asalkan matlamat tercapai.

Di bawah ini ditunjukkan peratusan kerusi yang Pas menang di enam negeri.

Contohnya, di Selangor.

Memang Pas bertanding 17 kerusi sahaja tetapi kerusi yang ia yakin menang. Bersatu memang bertanding 33 kerusi tetapi berapa dapat?

Sikit tidak apa tetapi banyak menang. Pas menang 10 daripada 17 kerusi (peratus Pas menang: 58.8 ). Bersatu menang 12, nampak macam banyak, tetapi pencapaiannya hanya 38.7 peratus.

Nampak tak? Pas ambil kerusi sedap-sedap. Tolak kerusi yang sukar dimenangi kepada sekutunya. Bersatu seronoklah dapat banyak kerusi tetapi tidak menang!

Maka, orang Pas boleh jaja cerita, memanglah Bersatu tidak boleh menang, ia tiada jentera. Pas ada jentera! Padahal, memang tidak boleh ditembusi.

Tengok agihan kerusi Bersatu dan Gerakan di Kedah. Tiga kerusi melepas tetapi Pas goyang kaki dengan 21 kerusi. Prestasi 100 peratus!

Tengok betul-betul. Anda boleh fikir sendiri apa itu Pas:

Selangor (22-34) – PRN 2023
Pas: 10 per 17 (peratus menang: 58.8 )
Bersatu: 12 per 31 (38.7)

Pulau Pinang (11-29) – PRN 2023
Pas: 7 per 10 (peratus menang: 70.0)
Bersatu: 4 per 11 (36.4)

Negeri Sembilan (5-31) – PRN 2023
Pas: 3 per 13 (peratus menang: 23.1)
Bersatu: 2 per 16 (12.5)

Perlis (14-1) – PRU 2022
Pas: 9 per 9 (peratus menang: 100)
Bersatu: 5 per 6 (83.3)

Perak (26-33) – PRU 2022
Pas: 17 per 25 (peratus menang: 68.0)
Bersatu: 9 per 25 (36.0)

Pahang (25-17) – PRU 2022
Pas: 15 per 23 (peratus menang: 65.2)
Bersatu: 2 per 14 (14.3)

Sebagai perbandingan, tengok pula bagaimana Pas bolot kuasa di tiga lagi negeri. Bersatu tersisih, dapat Exco belas ihsan Pas sahaja.

Kita tidak akan faham kalau tidak banding PRN 2023 dengan PRU 2018.

Sebab itu kita boleh sebut Bersatu ini sekadar makan “sisa-sisa nasi tambah” Pas. Kita tengok ni.

Terengganu (32-0):
Pas 27 Bersatu 5 (1 exco)
2018: Pas dapat 22 daripada 32 kerusi
2023: Pas kaut lagi 5 kerusi (jadi) 27, Bersatu 5

Kelantan (43-2):
Pas 38 Bersatu 5 (1 exco)
2018: Pas dapat 37 daripada 45 kerusi
2023: Pas curi lagi 2 kerusi (jadi) 39, Bersatu 6

Kedah (33-3):
Pas 21 Gerakan 1 Bersatu 11 (3 exco)
2018: Pas dapat 15 daripada 36 kerusi
2023: Pas bolot lagi 6 (jadi) 21 Gerakan 3 Bersatu 12

Kalau contoh-contoh ini bukan bukti Pas bolot dan tamak namanya, kita nak sebut apa? Licik? Putar alam? Gelojoh?

Akar umbi mahu perubahan kepimpinan untuk pulih Umno

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Umno yang kini berdepan hakisan keyakinan akar umbi dikatakan berpeluang untuk bangkit semula dengan perubahan drastik kepimpinan pusat, menurut dapatan penganalisis.

Mujibu Muis dari Ilham Centre berkata kaji selidik di lapangan merumuskan beberapa langkah yang dipercayai boleh memulihkan Umno, antaranya ketokohan serta pemulihan etika dan integriti.

“Majoriti ahli Umno mengatakan mereka tidak yakin Umno boleh maju ke hadapan untuk melawan ‘musuh’ dengan Zahid Hamidi sebagai presiden,” katanya pada wacana pasca PRN anjuran Ilham Centre.

“Dalam konteks akar umbi, jelas mereka mahukan satu perubahan drastik dalam kepimpinan Umno dan mereka mengatakan tak yakin dengan keseluruhan kepimpinan Umno dari presiden sehingga pimpinan kanan.”

Menghuraikan isu ketokohan, Mujibu berkata terdapat dua penemuan dalam kalangan Umno iaitu akar umbi mahu perubahan drastik dalam kepimpinan dan keinginan untuk memujuk kembali pemimpin yang telah “dibuang”.

“Daripada dua dapatan ini, jelas menunjukkan Umno ada masalah ketokohan. Ini berlaku di seluruh negeri, seluruh peringkat,” kata felo penyelidik Ilham Centre itu.

“Kalau kepimpinan Umno masih boleh kata nak ambil orang lama untuk masuk kembali dalam Umno untuk melakukan perubahan, dia serupa ‘gincu baharu bibir lama’. Perubahan mahu dilakukan tetapi dipimpin oleh orang lama. Perubahan macam mana? Tak tahu.”

Mengulas tentang pemulihan etika dan integriti pula, Mujibu berkata isu ini berkait dengan bagaimana Umno boleh menawan sokongan pengundi atas pagar.

Menurut beliau, PRN lalu menunjukkan pengaruh Perikatan Nasional sudah memasuki kawasan Umno di Selangor dan Negeri Sembilan, walhal gabungan itu tiada pangkalan yang kuat dan menggunakan sentimen untuk menawan sokongan akar umbi Umno dan pengundi atas pagar.

“Masalah dengan Umno pada ketika ini terkait dengan etika dan integriti, tapi orang Umno sendiri kata perkara ini ‘lumrah’,” kata Mujibu.

“Isu yang kritikal adalah pengundi atas pagar dan pengundi parti sekutu mengatakan isu ini perkara asas untuk undi mereka… mereka beri undi kerana mahu sekurang-kurangnya kerajaan Pakatan Harapan bertahan tapi untuk jangka panjang, jika ini berterusan, mampu menghakis sokongan kelompok itu.”

Peguam negara seterusnya, Ahmad Terrirudin?

V Anbalagan
Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Salleh (kiri) dilaporkan pilihan utama bagi menggantikan Idrus Harun, yang kontraknya tamat bulan depan, kata sumber.
PETALING JAYA: Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Salleh dikatakan menjadi pilihan utama bagi menggantikan Idrus Harun sebagai peguam negara yang kontraknya tamat bulan depan, menurut sumber.

Perkhidmatan Idrus dilanjutkan selama enam bulan selepas kontrak asalnya tamat Mac lalu, beliau dilantik pada 6 Mac 2020, menggantikan Tommy Thomas.

Sumber berkata, peguam kanan serta hakim yang sedang berkhidmat dan bersara mungkin keberatan untuk memikul tugas itu kerana ia akan melibatkan menangani beberapa kes berprofil tinggi.

“Pada masa ini, Terrirudin kelihatan berada dalam kedudukan baik untuk menyandang jawatan itu, yang dianggap sebagai ‘kerusi panas’,” kata sumber itu kepada FMT.

Jika dilantik, Terrirudin, 54, akan menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

Sebelum dilantik sebagai peguam cara negara pada Mac tahun lepas, Terrirudin ialah ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Apandi Ali dilantik sebagai peguam negara dari Julai 2015 hingga Mei 2018, tetapi khidmatnya ditamatkan lalu diganti oleh Tommy Thomas, yang dilantik pada Jun 2018. Tommy kemudian meletak jawatan pada Februari 2020.

Idrus, bekas peguam cara negara, ialah hakim Mahkamah Persekutuan sebelum menjadi peguam negara pada 2020.

Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik peguam negara atas nasihat perdana menteri.

Bagaimanapun, satu lagi sumber berkata Idrus mungkin dikekalkan sehingga penghujung tahun. FMT telah menghubunginya untuk mendapatkan respons.

“Pada dasarnya, terpulang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memutuskan siapa yang akan menjadi peguam negara merangkap pendakwa raya,” kata peguam A Srimurugan kepada FMT.

Tambun tak selamat jika Anwar gagal sekat gelombang hijau,

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Menang dengan majoriti 3,736 undi pada PRU15, Parlimen Tambun bukan lagi kerusi selamat kepada Anwar Ibrahim jika trend sokongan pengundi Melayu kekal menjauhi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU16.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata kerusi majoriti Melayu itu berpeluang jatuh semula kepada Perikatan Nasional (PN), sekiranya gelombang hijau gagal ditangani pakatan PH-BN.

“Kekal sebegini, PMX (Perdana Menteri Anwar) dan pasukannya sedang menggali kubur sendiri,” katanya kepada FMT merujuk sokongan pengundi Melayu kepada PN yang semakin kuat berdasarkan keputusan PRN enam negeri 12 Ogos lalu.

Pada PRU15, Anwar yang juga pengerusi PH mendapat 49,625 undi menewaskan penyandang kerusi itu Timbalan Presiden Bersatu, Faizal Azumu dengan 45,889 undi.

Menurut Hisommudin, perdana menteri mungkin hanya boleh mengharapkan DUN Hulu Kinta yang mempunyai pengundi India agak ramai, jika mahu kekal bertanding di kerusi itu.

“DUN Manjoi dulu dimenangi Amanah tetapi PRU15 kalah kepada PAS, sekarang bergantung di Hulu Kinta.

“Tetapi dengan perubahan mutakhir membabitkan masyarakat India yang semakin menjauhi MIC dan PKR, saya khuatir sokongan kepada PH sudah berbeza dengan aras sokongan  semasa PRU15,” katanya.

“Jika trend (pengundi Melayu beralih kepada PN) ini berterusan, mungkin PMX (Anwar) kena cari kerusi lain…di Port Dickson atau Permatang Pauh (Parlimen pernah diwakili Anwar) pun tidak selamat lagi untuknya kembali.”

Hisommudin turut menjangkakan pertembungan hebat antara PH-BN dan PN dalam merebut 165 kerusi di Semenanjung yang majoritinya kerusi Melayu, dengan DAP dijangka kekal mendominasi kawasan campuran dan majoriti etnik Cina.

“Daripada 82 Parlimen PH (dimenangi pada PRU15), tolak kerusi DAP, sebahagian besar kawasan bercampur yang kini disandang PKR dan Amanah juga terdedah kepada bahaya,

“Ini berasaskan kiblat sokongan majoriti pengundi Melayu telah berubah daripada BN kepada PN,” katanya.

Beliau berkata, BN yang kini berdepan sindrom hilang kepercayaan oleh penyokongnya, turut berisiko kehilangan beberapa kerusi pemimpin utamanya.

“Sudah tentu 30 kerusi BN di segmen pengundi Melayu dalam bahaya termasuk kerusi komponen BN di Ayer Hitam (MCA), Tapah (MIC) dan Tanjung Piai (MCA) yang dikatakan menang kerana sokongan undi Melayu Umno.

“Saya melihat PN di laluan jelas pada PRU16 untuk merampas kuasa pentadbiran, andai kata perdana menteri dan pasukannya gagal mencipta trend baharu bagi menyekat kemaraan gelombang Melayu itu,” katanya.

PAS ‘anak tirikan’ Pulai?

Mohsin Abdullah

“Gelombang yang tercetus dalam PRN lalu akan melanda Johor sampai ke Singapura. Saya dah habaq tadi sampai ke hujung,” kata pemimpin PAS paling top waktu ini, Sanusi Md Nor. Eh! Sanusi tak tau ke Singapura bukan dalam Malaysia? Dah lama dah keluar daripada persekutuan kita, YAB. Sejak 1965. Maknanya dah 58 tahun. Takkan menteri besar hebat tak tau.

Maaf saya cuma melawak kerana Sanusi lucu orangnya. Beliau suka bergurau jadi saya pun bergurau lah. Tapi taklah sampai ketuk kepala.

OK, cukup melawak. Ayuh bercakap serius. Kata-kata yang tertera di atas sebahagian daripada apa yang disuarakan Sanusi pada sidang media selepas majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional di markas PAS di Bakri, dua malam lalu.

Mungkin aspek Singapura yang diselitkan sekadar gurauan tetapi selainnya Sanusi serius. Beliau mendakwa DUN Simpang Jeram akan jadi “pintu masuk serta pencetus gelombang PN untuk bertapak di Johor” pada pilihan raya akan datang. Agak menarik Sanusi menggunakan istilah “Gelombang PN” dan bukan hijau yang dikaitkan dengan parti beliau. Untuk ambil hati Bersatu barangkali?

“Johor tidak terkecuali dengan permulaan di sini (Simpang Jeram) sebelum kita mengambil alih negeri dalam tempoh dua tahun setengah lagi,” kata beliau lagi lalu menzahir harapan Simpang Jeram akan menerima ‘aura’ enam negeri yang mengadakan pilihan raya masing-masing 12 Ogos lalu.

Boleh dikata hanya di penghujung sidang media Sanusi merujuk Pulai dengan berkata “saya yakin Simpang Jeram serta Pulai akan menjadi penentu penting untuk kita hantar mesej kepada perdana menteri.”

Kita maklum kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, timbalan presiden Amanah yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

Lazimnya tumpuan diberi terhadap kerusi Parlimen. Bukan bererti kerusi dewan undangan tidak penting tetapi begitu lah kelazimannya. Apatah lagi pada pilihan raya kecil. Namun daripada hujah Sanusi jelas tumpuan ke atas kerusi Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dan bukan kerusi Parlimen Pulai.

Adakah keutamaan yang ditunjuk Sanusi turut dikongsi PAS? Pemimpin dan ahli? Calon PN untuk DUN Simpang Jeram ialah Mohd Mazri Yahya, timbalan pesuruhjaya PAS Johor. Adakah bermaksud PAS sokong PAS dan tidak peduli Pulai yang calon PN ialah Timbalan Ketua Bersatu Pulai Zulkifli Jaafar.

Untuk berlaku adil perlu dinyatakan matlamat PN (atau hanya PAS?) ialah menawan Johor pada masa mendatang dan Simpang Jeram digunakan sebagai pintu masuk. Itu kata-kata Sanusi pada 23 Ogos lalu. Setuju atau tidak soal lain.

Selain itu wajar atau boleh dijangkakan jentera PAS akan tumpu membantu calon Simpang Jeram, yang ditandingi orang parti sendiri. Jelas PAS melihat peluang mereka di Simpang Jeram memang baik.

Kata Asrul Hadi Abdullah Sani, seorang pakar strategi di firma Bower Group Asia, jika trend PRN lalu berterusan maka pengundi BN (baca: Umno) akan menjadi faktor penentu. Mengambil kira apa yang dikatakan beliau elok juga diberi perhatian apa yang berlaku pada malam 23 Ogos dimana seorang Adun Umno Melaka hadir pada majlis berprofil tinggi PN di Johor.

Menurut Asrul: “Jika PN boleh menang di Simpang Jeram ini akan membimbangkan Umno kerana pengundinya terus mengalih sokongan. Ini ada impak yang memudaratkan ke atas Umno pada pilihan raya negeri akan datang jika putus hubungan (atau disconnect) antara pemimpin dengan ahli diabaikan.”

Allahyarham Salahuddin menang di Simpang Jeram sejak kerusi itu diwujudkan pada 2018. Pada PRN Johor 2022, Salahuddin mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 2,399 undi. Calon PH di kawasan itu kali ini ialah Nazri Abdul Rahman dari Amanah. Nyata pengaruh Amanah dirasai di Simpang Jeram.

Tentu begitu juga di Parlimen Pulai. Kawasan itu dianggap kubu kuat Amanah. Pada PRU15 November lalu Salahuddin mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 33,174 undi. Beliau sememangnya disenangi dan disukai ramai. Calon PH yang dipertanggungjawab meneruskan legasi Salahuddin ialah Suhaizan Kaiat, bekas speaker DUN Johor dan juga orang Amanah.

“Dengan kehadiran ramai pengundi bukan Melayu di samping faktor Salahuddin, adalah sukar untuk PN merampas Pulai,” kata Asrul.

Kawasan itu mencatat 40.47% pengundi Cina dan 12.7% India. Untuk sekian lama, kenyataan dan tindakan PAS termasuk Presiden Abdul Hadi Awang dan Sanusi sendiri telah melukai atau mengguris perasaan orang bukan Melayu-Islam. Tidak perlu huraian kerana semua sudah maklum. Saya bercakap secara am dan bukan merujuk kepada masyarakat bukan Melayu-Islam di Pulai secara khusus.

Apa pun selain strategi menawan Johor, adakah PAS sudah give up di Pulai atau tidak minat? Jika iya, apa yang Bersatu akan rasa. Takkan PAS lupa calon PN di Pulai orang siapa. Takkan lah lupa siapa bos PN. Tak kot walaupun PAS lagi kuat daripada Bersatu.

Tarian 'goyang gerudi' di PORT FEST 2023: Penganjur mohon maaf

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
RAKAMAN tarian penonton yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN tarian penonton yang tular di media sosial. FOTO tular
Ipoh: Pihak pengurusan agensi kreatif kerajaan Perak, PORT (People of Remarkable Talents) yang terpalit kontroversi konsert di depan Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena program PORT FEST 2023 Ahad lalu, tampil memohon maaf susulan insiden 'tarian ekstrem' oleh segelintir penonton yang tular di media sosial.

PORT menerusi kenyataan berkata, agensi itu sebagai penganjur ingin menjelaskan bahawa insiden terbabit sewaktu persembahan UBS Band adalah sesuatu yang bukan disengajakan atau diatur dan ianya berada di luar kawalan pihak penganjur.

"Pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang ditularkan itu menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat. Kaedah penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan," katanya hari ini.

Terdahulu, konsert sempena festival berkenaan heboh diperkatakan apabila tular rakaman video menunjukkan sekumpulan anak muda lelaki dan perempuan menari bersama-sama dalam keadaan kurang sopan tular di Twitter.

Adegan itu dikatakan berlaku semasa konsert pada malam kemuncak festival terbabit, seterusnya mencetuskan kritikan daripada warganet.

Rakaman tular itu turut menunjukkan sekumpulan lelaki memberikan isyarat untuk mengelilingi sekumpulan gadis yang bertudung untuk melihat giliran mereka membuat aksi seperti 'goyang gerudi'.

Sementara itu, PORT dalam kenyataan sama berkata, PORT FEST 2023 yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Ogos lalu adalah festival untuk mengetengahkan pelbagai sisi seni kreatif dan budaya.

Katanya, tujuan utama penganjurannya adalah memberi pendedahan serta peluang perniagaan kepada lebih 300 penggiat seni di Perak.

Menurutnya, PORT FEST 2023 berjaya menarik kehadiran kira-kira 20,000 orang pengunjung dan menjana manfaat kewangan sebanyak kira-kira RM450,000 menerusi jualan makanan, minuman, produk seni kreatif, acara persembahan, pameran dan pertandingan, serta penyewaan penginapan.

Kes 1MDB: Mahkamah tolak permohonan Najib untuk tangguh perbicaraan

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Mahkamah membuat keputusan itu sementara menunggu rayuan Najib untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar kes berkenaan.

Justeru perbicaraan membabitkan Najib yang juga bekas menteri kewangan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu depan.

Pada 18 Ogos lalu, Sequerah menolak permohonan Najib supaya dia menarik diri daripada mendengar perbicaraan 1MDB, atas alasan berlaku konflik kepentingan.

Ia susulan pendedahan hakim berkenaan bahawa dia dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co kira-kira 15 tahun lalu.

PH-BN berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram pada PRK kali ini, kata penganalisis yang menjangkakan peralihan sokongan dalam komuniti Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

Peralihan itu didorong oleh ketidakpuasan hati terhadap situasi ekonomi semasa, dan bukannya sokongan tulen terhadap Bersatu atau PAS.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia meramalkan akan ada suatu bentuk penolakan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan di kerusi yang dimenangi oleh Amanah sejak dua PRU lalu.

“Simpang Jeram agak kritikal. PH tak mustahil hilang kerusi jika lihat perkembangan sekarang,” katanya kepada FMT, sambil menarik perhatian kepada kedudukan DUN itu yang berdekatan Parlimen Pagoh dan kubu kuat Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

DUN Simpang Jeram yang terletak dalam Parlimen mempunyai sekitar 55% pengundi Melayu. Pernah dimenangi PAS pada PRU12 dan PRU13, PH merampasnya pada PRU14 dengan majoriti 7,687 undi. Usaha mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor 2022 menyaksikan kelebihan undi berkurangan, kepada 2,399 undi.

Situasi lebih baik bagi PH di Parlimen Pulai, yang dijangka akan dapat mempertahankan kerusi itu namun dengan majoriti undi yang lebih kecil. Mazlan berkata peratusan pengundi bukan Melayu mengatasi pengundi Melayu yang membentuk sekitar 44% pemilih akan memberi kelebihan kepada PH.

“Sebahagian undi BN akan beralih kepada PN. Majoriti 33,000 mungkin berkurang,” katanya. “Jika lebih 80% pengundi bukan Melayu keluar mengundi, peluang PH pertahan tinggi.”

Salahuddin merampas Pulai daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 dengan kelebihan 28,924 undi. Pada PRU15, beliau menewaskan dua pencabar lain dengan 33,174 undi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata trend sokongan pengundi kepada PN, dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun seperti yang ditunjukkan pada PRU15 dan PRN enam negeri baru-baru ini, akan menjadi cabaran buat PH-BN.

“Sebab penolakan kepada Umno dan kerajaan perpaduan adalah kerana mereka masih angkat individu terkait rasuah sebagai pemimpin negara,” katanya kepada FMT, dan menambah mereka tidak nampak usaha perubahan berlaku dalam parti itu.

Keduanya, kata ketua badan penyelidikan itu, kerajaan perpaduan tidak berusaha bersungguh-sungguh menawan hati kelompok usia itu. “Selain Perdana Menteri Anwar Ibrahim menemui mahasiswa di kampus, selebihnya tak ketara.”

Hisomuddin meramalkan PH akan hanya dapat mempertahankan Pulai sekiranya pengundi bukan Melayu keluar mengundi. “Di Simpang Jeram, PH terdedah kepada boleh hilang kerusi.”

Giliran Amirudin tertawakan Sanusi

Hishamuddin Aun

Sejurus selesai majlis angkat sumpah menteri besar Selangor disusuli barisan exconya Isnin lalu, Amirudin Shari sudah boleh berjalan dengan berasa dirinya sedikit tinggi. Segala gembar-gembur sebelum itu lenyap sudah untuk kerajaan Selangor memulakan tugas bagi penggal baharu secara rasmi.

Bukan sedikit gelora terpaksa ditempuhinya hingga ke saat itu, tidak terkecuali dipertikai dan dipersendakan, malah satu ketika kewibawaannya turut dipersoalkan untuk kesudahannya pemimpin berusia 43 tahun itu dapat membentuk barisan pimpinan negeri yang mengundang reaksi positif.

Mulanya kedudukan Amirudin sebagai bukan anak jati Selangor dijadikan pertikaian. Kemudian timbul pula gembar-gembur kononnya negeri itu akan mendapat seorang menteri besar baharu selepas Pakatan Harapan (PH) gagal meraih majoriti dua pertiga di negeri itu dalam PRN 12 Ogos lalu.

PH menang 32 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 22 kerusi (Bersatu 12 dan PAS 10). Sekutu PH, Barisan Nasional (BN) memenangi dua lagi kerusi dalam DUN terdiri daripada 56 kerusi itu. Lantaran itu, Amirudin dikatakan gagal mendapat sokongan pengundi Melayu.

Sebelum PRN itu lagi, Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyatakan Amirudin akan kekal sebagai menteri besar jika PH mengekalkan Selangor berikutan rekod prestasi negeri itu yang kukuh dalam menarik pelaburan sepanjang pentadbirannya dalam penggal terdahulu.

Di sebalik Amirudin diyakininya dapat meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir kerajaan Selangor, ada pula khabar angin beliau akan diangkat sebagai menteri di peringkat persekutuan dan tempatnya diganti calon muka baharu, juga daripada PKR.

Andai kekal sebagai MB sekalipun, komposisi barisan exconya turut dijadikan teka-teki selepas DAP menang semua 15 kerusi ia tandingi sehingga menimbulkan desas-desus kerajaan Selangor akan dikuasai Cina.

Lebih dahulu mengambil kesempatan meributkan keadaan ialah Menteri Besar Kedah Sanusi Nor. Dalam satu majlis di Shah Alam pada 9 Mei lalu, pengarah pilihan raya PN itu mengisytiharkan gabungan Bersatu-PAS-Gerakan akan pastikan menteri besar akan diangkat dalam kalangan anak Selangor.

Mengapa penting pimpinan kerajaan perlu anak tempatan, kata Sanusi, kerana tokoh itu nanti memiliki citra Selangor — kehidupan, imej dan keperibadiannya terbentuk di Selangor, lantas tahu naluri dan cita rasa anak Selangor – sedangkan Amirudin adalah kelahiran Benut, Johor.

Sanusi jugalah yang sebelum ini menimbulkan kontroversi selepas mendakwa dalam satu ceramah bahawa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Amirudin sebagai menteri besar – satu kenyataan yang dianggap menghina institusi diraja Selangor sehingga laporan polis dibuat pada 14 Julai lalu.

Didakwanya seorang yang “cokia”, Amirudin juga dipersendakannya sebagai “inci pun tak berapa cukup” tapi menteri besar Selangor itu kemudian mengemukakan saman kepada Sanusi berhubung kenyataan fitnah berkaitan Projek Gerbang Maritim Selangor (MSG).

Dalam konteks ini, saya berasa teruja untuk meminjam satu perumpamaan “semacam terpaling menasihatkan rumput lalang di kebun orang padahal laman sendiri tidak berjaga” yang dipetik rakan kolumnis FMT Faisal Tehrani sebagai menggambarkan gelagat Sanusi.

Pada waktu barisan pimpinan Selangor terbentuk tanpa gegak-gempita, lain pula halnya di Kedah. Bersatu tidak berpuas hati dengan proses pembahagian jawatan exco oleh Sanusi kerana hanya diperuntuk tiga selepas parti itu menyumbang 11 kerusi dalam kemenangan PN. Pada penggal lalu, Bersatu diberikan lima jawatan exco termasuk jawatan speaker.

Di Selangor, empat wakil DAP dilantik, PKR (tiga) serta Amanah dan Umno masing-masing dua dan seorang wakil, dengan lebih separuh daripada mereka adalah muka baharu. Hanya tiga daripada barisan exco lama, Izham Hashim (DUN Pandan Indah), Ng Suee Lim (DUN Sekinchan) dan Borhan Aman Shah (DUN Tanjong Sepat) dikekalkan.

“PH dan BN telah berjaya melepasi ujian pertama semasa PRN walaupun gagal mencapai kemenangan dua pertiga. Tetapi kita mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding pihak lawan dan ini adalah permulaan yang bagus dan kita boleh mengukuhkan lagi (kerjasama PH-BN) pada masa depan,” kata Amirudin.

Daripada 10 exco berkenaan, tujuh adalah Melayu, termasuk seorang daripada DAP sambil selebihnya daripada PKR, Amanah dan Umno. Penganalisis merumuskan komposisi itu yang menampilkan cuma dua exco Cina sebagai satu langkah untuk menghantar mesej bahawa Melayu masih berkuasa dalam kerajaan Selangor.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mengulas barisan berkenaan sangat menarik kerana di sebalik DAP memiliki portfolio terbanyak dengan empat dan sepatutnya dominan, hakikatnya ialah hanya dua daripada mereka adalah Cina. Ia sekali gus menepis kebimbangan bahawa Cina melalui DAP yang menguasai kerajaan negeri – satu persepsi yang dicanang PAS dan Bersatu sepanjang kempen PRN.

“Jadi, Melayu adalah benefisiari terbesar (daripada barisan exco ini). Saya fikir kerajaan perpaduan sedang berusaha menunjukkan bahawa Melayu adalah dominan walaupun parti paling berjaya dalam PRN adalah DAP,” katanya.

Sikap toleran DAP dalam perkara itu, yang juga dilihat sesuatu yang bagus untuk kerajaan perpaduan dalam sebarang pilihan raya akan datang, memungkinkan parti itu diberi habuan jawatan speaker. Kepimpinan DAP sebelum ini meletakkan syarat jawatan speaker diberikan kepada parti itu sebagai pertukaran menyerahkan DUN Dusun Tua kepada Umno dalam PRN.

Kini, cabaran utama buat barisan exco itu ialah memastikan Selangor terus ditadbir dengan cemerlang. Pada 2020, ekonomi negeri menguncup sebanyak 5.2% gara-gara pandemik Covid-19 tetapi pulih dengan kukuh sebanyak 5% pada tahun berikutnya. Selangor menyumbang 24.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 dan mencapai rekod 25.5% tahun lalu.

Amirudin, bagaimanapun, masih tidak dapat menyaingi Sanusi dalam satu perkara – menteri besar Kedah itu memegang lapan portfolio berbanding hanya lima di pihaknya.

Matikan angan-angan tukar Kerajaan Perpaduan di tangan pengundi tiga PRK

Shahbudin Husin 

Cerita dan cita-cita pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sepertinya masih bagai sebuah hikayat yang belum ada titik penamat.

Pantang ada kesempatan dan terbuka peluang, itulah yang sentiasa ingin mereka lakukan.

Meski PRN sudah berakhir dan mereka terbukti gagal untuk menjadikan keputusan pilihan raya itu sebagai pemangkin untuk menjatuhkan kerajaan. Tiga PRK yang menyusul pula nampaknya cuba digunakan untuk maksud yang sama.

Tiga PRK berkenaan ialah Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai.

Presiden Pas terus ‘meratib’ kononnya PN masih boleh menukar Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Melihat bagaimana mereka bercakap untuk menghadapi PRK itu, khususnya Pulai dan Simpang Jeram yang hari penamaan calonnya adalah Sabtu, 26 Ogos ini, PN dilihat tetap mahu menjadikannya sebagai isyarat penolakan rakyat terhadap kerajaan dan Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.

Dalam beberapa video ceramah PRK itu yang tersebar di media sosial, PN dengan jelas sudah mula membakar perasaan pengundi di kedua-dua PRK itu untuk tidak mengundi parti yang mewakili kerajaan.

Mesejnya, walaupun diketahui keputusannya nanti tidak mampu mengubah kerajaan, tidak lain ialah sebagai isyarat kerajaan sedia ditolak rakyat.

Untuk apa isyarat itu mahu ditunjukkan?

Kalau ikut logik, setelah PRN enam negeri berakhir yang memperlihatkan kedudukan Anwar tidak tergugat hasil daripada keputussnnya, mereka sepatutnya berlapang dada dan menunggu PRU16 akan datang saja jika ingin bercakap semula tentang hasrat menukar kerajaan.

Ini tidak, masih lagi tak habis-habis nak menjatuhkan kerajaan.

Begitu juga dengan PRK Pelangai yang akan diadakan selepas Pulai dan Simpang Jeram nanti, oleh kerana di situ nanti UMNO yang akan bertanding, sekali lagi ia mahu digunakan sebagai medan untuk menunjukkan oang Melayu tidak menyokong parti itu.

Seharusnya, PN dalam hal ini mesti menunjukkan jiwa besar dan bersama-sama dengan kerajaan membina semula negara ini, khususnya dalam hal berkaitan pemulihan ekonomi dan memberi kesejahteraaan kepada rakyat.

PRK yang diadakan hanyalah sekadar untuk mengisi kedudukan wakil rakyat yang kosong berikutan berlakunya kematian penyandang sebelumnya. Ia tidak lebih daripada itu.

Pun begitu, untuk menutup cerita-cerita menukar kerajaan ini daripada terus dimainkan dan PN terus ghairah untuk menebuk atap sekali lagi, pengundi di tiga PRK yang bakal tiba ini boleh memainkan peranan mereka.

Caranya ialah dengan memastikan parti yang mewakili kerajaan terus diberi kemenangan sebagaimana keputusan yang dicapai sebelum ini.

Hanya dengan cara itu saja yang boleh membuatkan mereka sedar dan tidak lagi bercakap soal untuk menukar kerajaan dengan ghairahnya.

Ayuh, pengundi Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai – buktikanlah bahawa membina masa depan negara bersama kerajaan sedia ada adalah pilihan sebenar yang diingini berbanding memenuhi cita-cita ahli politik yang sentiasa kemaruk terhadap kuasa.

Masuk Johor secara beradab, jangan hina Raja dan rakyat

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 
“Nasihat saya masuklah secara beradab, jangan menghina Raja, janganlah menghina orang,” demikian kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata demikian sebagai nasihat kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor.

Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan, DUN Simpang Jeram akan menjadi ‘pintu masuk’ serta pencetus kepada ‘gelombang’ PN sebelum bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata ianya tiada masalah, namun parti pembangkang itu perlu masuk ke negeri berkenaan secara beradab apabila berada di pentas politik.

“Saya kira tiada masalah, tetapi kalau mereka (PN) nak masuk Johor, cuma nasihat saya, masuklah secara beradab.

“Jangan menghina Raja dan janganlah menghina orang. Cukup-cukuplah membawa politik yang boleh menimbulkan satu keresahan dalam kehidupan masyarakat dalam negara kita ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Sanusi itu menjelang PRK tidak lama lagi.

Sebelum ini, Sanusi menimbulkan kontroversi apabila menghadapi pertuduhan berhubung kenyataannya dalam ceramah politik yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).

Berdasarkan ucapannya ketika menghadiri satu acara ceramah politik PN di Selayang pada 11 Julai lalu, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh isu perkenan Sultan Selangor dalam hal berkaitan pelantikan Menteri Besar di negeri itu.

ADUN Jeneri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

“Pagi petang siang malam minum teh tarik, teh ais” – Lelaki kongsi punca kaki dipotong, menyesal tak jaga pemakanan

MAISARAH AISYA

Ada sebab doktor menyarankan orang ramai untuk mengurangkan pengambilan gula, ini kerana kebimbangan terhadap penyakit kencing manis.

Apatah lagi bila mempunyai masalah kencing manis kronik, pesakit perlu berjaga-jaga agar tidak terluka.

Luka tersebut boleh menyebabkan nanah dan akhirnya menyebabkan bahagian anggota badan yang terjejas dipotong.

Seorang lelaki memuat naik video di TikTok sebagai peringatan untuk orang muda menjaga pemakanan agar tidak menjadi seperti dirinya.

Video tersebut dimuat naik menerusi TikTok pengguna @kedidi_kakipalsu.

Lebih mesra disapa Abang Azlan, dia menceritakan bagaimana dirinya telah menghidap penyakit itu sejak 30 tahun yang lalu.

Abang Azlan yang kini berusia 45 tahun terpaksa akur dengan keputusan doktor untuk memotong kakinya selepas mengalami lupa akibat terkena paku.

Berkongsi berkenaan tabiat pemakanannya, dia berkongsi bahawa dia selalu minum teh tarik tidak mengira waktu yang menjadi asbab melaratnya penyakit tersebut.

“Abang ni minat teh tarik. Pagi petang siang malam minum teh tarik, teh ais. Dari zaman muda banyak minum air tin lah. Makan tak tentu.

“Tapi teh ni, teh ais ni dalam kereta memang sentiasalah ada,” ujarnya.

Menurut doktor, kesan pemakanan yang tidak dikawal juga menjadi penyumbang kepada keadaannya yang sekarang ini.

“Doktor kata sebab pemakanan, makan tak jaga. Bukan semestinya kita makan manis saja. Tak jaga makan, tak ikut masa makan, ikut suka kita ja,” tambahnya lagi.

Malah kesannya lebih dirasai apabila usia melebihi 40-an, kerana usia semakin meningkat maka daya tahan untuk melawan penyakit semakin berkurangan.

“Punca dia mula ketara bila umur kita naik 45 tahun ke atas. Mula pingganglah dia, jantung lah. Masa umur 30 an dia tak ada,” tambahnya.

Jagalah pengambilan gula anda, pastika letak had untuk setiap hari agar tidak mendapat penyakit yang digeruni ramai.

Coretan santai keputusan PRN

HarapanDaily.com

HANIPA MAIDIN 
Oleh kerana saya masih penyokong tegar PH, mungkin coretan santai ini tak dapat elak dari unsur “bias”.

Jika itu berlaku, saya pohon maaf meskipun saya akan cuba objektif dalam coretan santai ini.

Apapun, saya ucapkan tahniah pada Perikatan Nasional (PN) atas kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Rakyat sudah bersuara dan pemain politik wajar menghormati suara rakyat itu.

That is the essence of democracy. Vox populi reigns supreme.

Agak ramai yang beri komen pedas pada Umno-BN yang nampaknya hanya agak ok sikit pencapaiannya di Negeri Sembilan.

Di negeri-negeri lain iaitu Selangor, Penang, Kedah, Kelantan dan Trengganu, Umno-BN seperti kehilangan gengsi.

Hatta dah terdengar suara minta Presiden Umno – YAB TPM – letak jawatan dalam parti dan kerajaan.

Tapi Khairy habaq itu mungkin tidak berlaku. Dan saya agak cenderung untuk bersetuju dengan Khairy.

Anyway kes mahkamah presiden Umno adalah modal besar dan “free” untuk PN. PN “exploited to the hilt” orang putih habaq.

DAP kelihatan “steady” dan konsisten. Tahniah. Mungkin banyak parti kena belajar dari DAP kot.

Prestasi parti AMANAH –my own party– agak merosot di hampir semua negeri .

Hatta beberapa calon dan kerusi “incumbent” Amanah pun juga hilang seperti Paroi, Morib, Permatang Pasir, Dun Sg Ramal dan lain-lain.

Sebelum PRN lagi, saya sudah dapat info bahawa beberapa kerusi AMANAH itu mungkin akan hilang dan malangnya terbukti benar.

AMANAH serpihan Pas. Ramai pemimpin AMANAH khususnya yang baru, rakyat tak kenal.

Depa ni dulu mungkin dalam Pas tidak dapat ruang untuk bertanding sebab rakyat tak kenal.

Bila masuk AMANAH dapat peluang. Ada yang bagus dan ada pulak yang tidak begitu bagus.

Di Trengganu Pakatan Harapan (PH) – Umno tidak berjaya bertapak di mana-mana.

32-0 memang kemenangan menakjubkan bagi Pas meskipun ia mungkin tidak begitu baik untuk demokrasi dan rakyat dari sudut semak dan imbang (check and balance).

Di Kedah bagi saya, rakyat mungkin hukum PH-BN kerana dua faktor ini.

Pertama, PH-BN dilihat “took for granted” pengaruh Sanusi.

Worst still, beberapa tindakan ke atas Sanusi dilihat seperti “membuli” Sanusi dan kesannya rakyat hukum “pembuli!”

Kedua, sebelum PRN bila ada kenyataan yang habaq “16 kerusi dalam gengaman PH-BN” , bagi saya, maaf, mungkin kenyataan seperti itu dilihat atau ditafsir seperti “cakap besar atau arrogance” dan rakyat sukar nak terima.

Mungkin kenyataan seperti itu, meskipun ada niat yang lain untuk generate confidence” – والله اعلم – dah tak begitu sesuai lagi kot di era ini. Sometimes, humility may conquer hearts and minds of voters!

Ramai yang anggap ini gelombang hijau yang amat kuat. Mungkin. Tapi bagi Merdeka Centre gelombang itu ada kaitan dengan isu ekonomi.

Jika telahan Merdeka Centre itu betul maka jelas mungkin ada masalah besar dalam kerajaan uniti yang dilihat dan dipersepsi tak berjaya ringankan beban ekonomi rakyat.

Ergo, kerajaan uniti kena kembali ke “drawing board” dengan segera dan bermuhasabah secara telus dan frank!

Suatu yang agak malang dalam demokrasi nampaknya isu seperti rasuah, salah guna kuasa dan low morality tidak begitu diambil berat oleh rakyat khususnya pengundi Melayu-Islam. Ini agak ironis.

Bila mahkamah batalkan kemenangan calon Pas atas alasan “corrupt practices” di Kuala Trengganu, logiknya kita rasa rakyat akan hukum Pas.

Apa yang berlaku sebaliknya. Makin menang besar. Orang arab habaq قلب الحقائق.

Selangor yang PH hilang suara 2/3 kena betul-betul buat “soul searching”.

Sebelum PRN, isu air di Selangor agak parah. Gangguan air selalu dan kerap berlaku. Lazimnya respon dari kerajaan, ia sabotaj.

Mungkin betul tapi rakyat “did not buy” alasan itu.

Akhirnya, as usual akan ada post morterm dan retreat untuk kaji keputusan PRN.

But to have an effective post mortem, elements of frankness, openness and transparency are the keys to succesfull review! 

Maaf Itu sekadar coretan santai saya.

Politik sekadar jadi medan berlawan siapa lebih Melayu dan lebih Islam

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali menyifatkan gelanggang politik telah menjadi medan mencari siapa lebih Melayu dan siapa lebih Islam.

Beliau berkata, pertembungan politik kepartian ternyata mempunyai satu sisi kelemahan iaitu ahli politik tidak mempunyai struktur idea untuk diketengahkan atau dijadikan agenda.

Sebaliknya wacana yang kerap kali diangkat terutama ketika pilihan raya, hanyalah berkisar soal logo, markas, bendera, dan naratif identiti

“Politik telah menjadi medan mencari siapa lebih Melayu dan siapa lebih Islam. Ini sadis kerana ia telah membungkamkan kepentingan sebenar untuk rakyat.

“Sebab itu, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Batu Buruk, saya cuba membawa tajdid baru iaitu Agenda 13.

“Tujuannya ialah cuba memecah corak wacana dalam masyarakat ketika pilihan raya supaya bercakap agenda untuk rakyat. Politik begini memang sukar kerana aras pemikiran kritis diperlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini

Zamir yang calon DUN Batu Buruk pada PRN 12 Ogos lalu, telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 13 agenda “Laskar Pemajuan Batu Buruk” untuk penduduk di DUN tersebut.

Agenda yang mahu dilakukannya termasuklah pembangunan untuk anak-anak pesawah, penternak dan nelayan, serta usaha mengangkat konsep padi pelancongan di sekitar inap desa.

Beliau yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang pertanian, melihat potensi untuk meningkatkan peranan perkampungan Kuala Ibai sebagai kampung warisan dan menaiktaraf Sungai Ibai sebagai kawasan pelancongan.

Bagaimanapun Zamir mengakui, politik yang memfokuskan kepada agenda untuk rakyat sukar dilakukan sesetengah ahli politik kerana aras pemikiran kritis diperlukan

“Namun jika tidak dimodelkan, maka selamanya rakyat akan terperangkap dalam kokun pemikiran yang membuang masa, tenaga dan wang ringgit.

“Belanja juga menjadi amat luar biasa besar,” ujarnya.

Tak dapat rokok rumah dibakar

FMT Reporters
Polis berkata suspek mengaku membakar langsir menggunakan pemetik api menyebabkan api marak ke seluruh rumah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Sebuah rumah pusaka musnah selepas seorang lelaki membakar langsir kerana berang tidak diberi rokok dalam kejadian di Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam semalam, kebakaran rumah dua tingkat separa kekal itu juga memusnahkan empat motosikal lama, selain rumah jiran terbakar di bahagian dapur.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Mohd Asri Shafie, berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

Beliau berkata, suspek berusia 47 tahun itu mengamuk apabila adiknya enggan memberikan rokok diminta.

Katanya, ketika suspek mengamuk, adik lelakinya ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan.

“Ketika dalam perjalanan, dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan rumahnya terbakar. Jiran yang tinggal berdekatan memberitahu suspek membakar rumah itu dan berjaya menangkap suspek,” katanya menurut Harian Metro.

Asri berkata, dalam soal siasat awal, suspek mengaku membakar langsir menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sebelum api marak ke seluruh rumah.

“Hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah dan turut mempunyai 14 rekod kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

Zahid: Umno akan lakukan sesuatu, selepas Adun dilapor hadir majlis PN

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi menunggu laporan tentang wakil rakyat parti itu menghadiri majlis anjuran Perikatan Nasional (PN) di Johor.

“Saya akan terima laporan ini dan kita akan lakukan sesuatu,” katanya kepada pemberita, selepas acara bersama Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia WTC, petang tadi.

Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis dilaporkan menghadiri suatu majlis PN semalam, bagi pihak Muafakat Nasional yang diterajui bekas pemimpin Umno dan ahli baharu PAS, Annuar Musa.

Jailani juga dilapor berkata kehadirannya bukan bermakna dia akan meninggalkan Umno.

Sementara itu, Zahid memaklumkan Umno sedang melakukan bedah siasat ke atas keputusan PRN dan akan bertemu semua kepimpinan Umno di peringkat bahagian.

“Saya sendiri akan turun ke seluruh 191 bahagian,” katanya.

Wanita Umno halau 'kudis dan kurap' pendesak Zahid berundur

Haspaizi Zain

Wanita Umno Perak menyifatkan pihak yang mendesak Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatannya sebagai presiden sebagai masalah "kurap dan kudis" yang masih ada dalam Umno.

Naib Ketua Wanita Umno Perak, Salina Samsudin, berkata oleh kerana itu pihaknya akan terus mempertahankan bagi memastikan 'penyakit' tersebut dapat disembuhkan.

"Umno kini sedang sakit, Umno kini sedang luka... Kita ada kudis, kita ada kurap, kita ada barah, tapi kita sedang merawat.

"Kepada kurap-kurap, kudis-kudis yang telah dibuang - jangan harap diterima kembali. Duduklah di sana diam-diam," katanya.

Menurut Salina, sebagai pihak yang sayang kepada Umno sesiapa saja yang diangkat menjadi pemimpin, mereka akan mempertahankannya.

Pihak yang tidak senang dengan pemimpin terbabit termasuk yang masih "berbaki" di dalam Umno, katanya lagi, boleh meninggalkan parti.

"Jika ada di dalam ini kudis-kudis yang berbaki, kalau tak suka sila pergi (tinggalkan Umno).

"Kami sayang 'ayah' kami, kami akan pertahan 'ayah' kami. Siapa jadi presiden institusi itu kita perlu pertahan," katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno Malaysia, Noraini Ahmad, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Shabery Cheek.

Sementara itu Ketua Wanita Umno Kelantan, Nor Wahida Patuan, menyeru ahli parti supaya mencontohi semangat "walaun PAS" yang sentiasa setia meskipun parti mereka tewas.

Katanya, "walaun PAS" tidak pernah menggesa presidennya berundur meskipun parti itu hanya menang satu kerusi.

"(Kita) kena belajar dengan walaun, (mereka) sentiasa setia.

"Pada tahun 1986 PAS kalah (dan hanya) ada satu, (kemudian) naik tujuh kerusi kerusi.

"Akar umbi (PAS) tidak desak presiden undur daripada parti, sokong sokmo presiden," katanya.

Tumpang syok ikut Muhyiddin

Untuk rekod walaun adalah istilah yang digunakan pelbagai pihak merujuk kepada penyokong tegar PAS.

Ketua Wanita Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid, pula menyelar ahli Umno yang terikut-ikut rentak Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang mendesak agar Ahmad Zahid berundur.

Katanya, Wanita Umno Negeri Sembilan bersatu menyokong presiden mereka dan akan terus berjuang seperti sepatutnya.

Jika perubahan mahu dibuat, tambahnya, ia perlu dilakukan seperti yang diperlukan bukannya menggantikan presiden.

"Kami bersama bersatu menyokong institusi presiden, kami akan terus berjuang bersama Umno.

"Ubah cara tadbir, bukan ubah presiden... kena ada adab, hormat, kena ada setia, terjemahkan.

"Seburuk-buruk PAS, buruk-buruk PKR tak pernah suruh presiden berhenti. (Ini) kita tumpang syok ikut Muhyiddin, dia (Muhyiddin) yang patut berhenti," katanya.

Guru wanita ditemukan meninggal dunia di rumah

Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my
Mayat mangsa yang ditemukan dalam keadaan terlentang diruang tamu rumahnya di SMK Panggung Jaya, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Mayat mangsa yang ditemukan dalam keadaan terlentang diruang tamu rumahnya di SMK Panggung Jaya, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM
GUA MUSANG : Seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia kerana jangkitan kuman di rumahnya di kuarters guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, di sini, semalam.

Mangsa, Siti Noor Ba'Ayah Mohd Husin, 43, yang tinggal sendirian dan masih belum berkahwin ditemukan dalam keadaan terlentang diruang tamu rumahnya oleh rakannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang tinggal di tingkat 4 kuartes guru mula mengajar disekolah itu pada Januari tahun lalu.

"Kira-kira jam 8.40 pagi semalam pengadu yang juga guru di SMK Panggung Jaya Gua Musang ke rumah mangsa kerana dia tidak hadir bertugas.

"Apabila sampai di rumah mangsa, pengadu mengetuk dan memberi salam, namun taiada jawapan.

"Pengadu meminta bantuan daripada seorang lagi guru wanita untuk membuka pintu rumah mangsa dengan kunci pendua yang ada padanya. Selepas berjaya membuka pintu rumah mereka mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang di kawasan ruang tamu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian ke atas mangsa.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan punca kematian adalah disebabkan 'Sepsis Secondary to Necrotizing Fascilitis' atau jangkitan kuman yang teruk.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) memandangkan tiada sebarang unsur jenayah ditemui terhadap mangsa," katanya.

PPIM: Hadis 40 di sekolah bukan Islam jangan campur

Malaysiakini

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.

"Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu," katanya.

Terdahulu MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari  Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Kumpulan itu berkata kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Sementara itu, Nadzim menegaskan mereka tidak akan berdiam diri terhadap campur tangan terhadap agama Islam.

"Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami!" tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying sebelum in berkata berkata Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan adalah untuk pelajar Islam sahaja.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu melancarkan modul itu memupuk nilai-nilai daripada hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Artikel Bernama pada masa itu tidak menyatakan pada masa itu sama ada modul itu untuk pelajar Islam sahaja.