"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amidon, nama besar rungkai kes bunuh berprofil tinggi di Malaysia

Faisal Asyraf

Amidon Anan, 71, kini mengajar kursus forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

PETALING JAYA: Selama 32 tahun, tugas pakar Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Amidon Anan ialah mencari jawapan, tetapi dia mendapati dirinya sering mengajukan satu soalan berulang kali.

“Apakah perasaan saya jika seseorang yang rapat dengan saya dibunuh?”

Persoalan inilah yang menguatkan tekadnya untuk melakukan terbaik sebagai penyiasat polis bagi membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Satu daripada kes yang tidak dapat dilupakannya ialah seorang wanita berusia 50-an dirogol dan dibunuh kejam selepas rompakan.

“Perompak bukan hanya mengambil barangnya, tetapi turut merogolnya. Dia mencacatkan bahagian kemaluannya,” katanya.

Sepanjang berkhidmat dalam pasukan polis, Amidon mengendalikan hampir 40,000 kes.

“Setiap kali saya melihat mayat mangsa bunuh, terutama wanita dan kanak-kanak, saya akan mengalirkan air mata. Saya menjadikan misi saya untuk mencari keadilan buat mereka,” kata Amidon, yang berkhidmat di Bukit Aman.

Dia sering menjalankan siasatan di tiga lokasi jenayah berbeza dalam sehari untuk mencari bukti dan petunjuk.

Untuk mencari petunjuk, Amidon akan cuba menyelami pemikiran si pelaku dari saat dia tiba di lokasi kejadian.

“Apabila kamu ke tempat kejadian, kamu berhenti di pintu masuk, tarik nafas dalam-dalam dan lihat sekeliling. Dengan setiap langkah, kamu mengimbas persekitaran dan akan dapat banyak maklumat.

“Kamu berjalan dari depan ke pintu belakang dan patah balik. Orang jahat biasanya tidak tergesa-gesa pergi kepada sasaran mereka. Mereka menilai persekitaran mereka,” katanya sambil menambah, ia membantu mengecilkan kawasan di mana barang bukti mungkin berada.

Antara kes besar yang dikendalikan Amidon adalah pembunuhan Canny Ong (2003), Altantuya Shaariibuu (2006), kes rogol dan bunuh Suzaily Mokhtar (2000) dan Nurin Jazlin yang berusia lapan tahun (2007).

Dia juga membantu dalam memburu Geng Mamak yang terkenal dengan kes rompakan jongkong emas bernilai RM12 juta di Lapangan Terbang Subang pada awal 1990-an.

“Sebenarnya, kes Geng Mamak inilah yang menyebabkan polis menubuhkan Unit CSI khusus, selepas mengaitkan beberapa kes rompakan di seluruh negara dengan kumpulan itu.”

Selepas bersara pada 2008, Amidon masih aktif dengan mengajar kursus forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Ketua polis mati ditembak, dipenggal kartel dadah selepas beberapa jam dilantik

AYHAN FERHAT

Seorang ketua polis mati ditembak kartel dadah selepas beberapa jam dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Keselamatan Awam Perbandaran Maxico.

Mangsa Juan Miguel Silva Alvarado, dilaporkan telah ditembak sebanyak beberapa kali di kepala oleh kartel Sinaloa ketika membuat rondaan.

Sumber Daily Mail gambar mayatnya yang dipenggal terbaring di tepi jalan muncul selepas mangsa ditembak pada 6 Ogos lalu berhampiran dengan Pejabat Pendakwa Negeri Sinoloa di Culiacán.

Juan Miguel dilaporkan telah diserang semasa dia diiringi oleh dua kereta peronda, menurut El Financiero.

Selepas ditembak, anggota kartel didakwa telah mengambil senjata polis tersebut dan meninggalkan tempat kejadian.

Senjata itu dilaporkan telah ditemui beberapa jam kemudian di tepi jambatan, termasuk senapang, yang mungkin digunakan untuk membunuh Juan Miguel.

Alvarado dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Keselamatan Awam Perbandaran beberapa jam sebelum dia dibunuh.

Gabenor Sinaloa, Rubén Rocha Moya, mengatakan bahawa dia ‘bersimpati’ dengan kematian Alvarado.

Menurut data Causa en comun, sekurang-kurangnya tiga pegawai telah terbunuh di negeri itu pada tahun ini.

Kartel di Sinaloa telah ditubuhkan pada akhir 80-an, dengan kumpulan itu dipercayai merupakan pembekal utama heroin, kokain, meth, MDMA dan fentanyl ke AS.

Serangan pembunuhan terbaharu itu berlaku selepas keganasan kartel yang telah menyebabkan Mexico huru-hara.

Sekurang-kurangnya 11 orang dilaporkan dibunuh oleh samseng di Tijuana awal bulan ini antara 31 Julai dan 1 Ogos.

Najib dan rakan-rakan tersepit antara tentera siber PH dan kerajaan Ismail Sabri

BORHAN AHMAD

Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakannya kini tersepit di tengah-tengah apabila berhadapan dengan dua ketumbukan askar siber dalam isu Skandal Kapal Perang TLDM.

(Gambar atas: Lakaran yang dibuat oleh tentera siber tentang nasib Najib, Zahid dan Hishamuddin dalam Skandal Kapal Perang TLDM).

Ketika pasukan askar siber Pakatan Harapan (PH) membuat serangan paling bersepadu sejak kempen pilihan raya 2018, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri juga menyerang rakan-rakannya dalam Umno itu.

Rabu lepas, Kabinet pimpinan Ismail membuat keputusan untuk mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mempercepatkan siasatan mereka.

Ekoran itu, PM Ismail juga telah memanggil dua tokoh utama penguatkuasaan negara iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bagi memastikan kulprit di belakang LCS diambil tindakan.

Ekoran itu juga, SPRM dalam satu kenyataannya berkata, siasatan SPRM ke atas beberapa individu telah lengkap dan dijangka akan didakwa.

Kabinet juga dalam proses menarik sekatan Akta Rahsia Rasmi yang melindungi kertas siasatan ke atas LCS yang dibuat oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) pimpinan Tan Sri Ambrin Buang yang ditubuhkan oleh kerajaan PH dahulu.

Ekoran itu, pasukan Najib dan rakan-rakannya kini kelihatan terkial-kial melawan serangan dari pasukan siber PH dalam mempertahankan Skandal Kapal Perang TLDM.

“Perasan tak posting TTKM sekarang ini? Dah tak backup Mat Sakau,” tulis seorang rakan media yang mengikuti isu ini dengan dekat.

TTKM atau Tentera Troll Kebangsaan Malaysia mula ditubuhkan sejak Langkah Kajang 2013 yang disifatkan mereka sebagai langkah paling mengarut dalam sejarah politik Malaysia.

Orang yang paling dibela oleh pasukan askar siber ini adalah Datuk Seri Najib yang lebih dikenali di kalangan tentera siber PH sebagai Mat Sakau sekarang ini.

Tetapi kini, pasukan ini seolah-olah menjauhkan diri dari Najib dan rakan-rakannya terutama dalam isu Skandal Kapal Perang TLDM ini.

Tindakan wanita pakai ihram macam lelaki ketika umrah tak berakal, kata mufti

Bernama

Tindakan seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah berpakaian ihram seperti jemaah lelaki disifatkan sebagai tindakan yang tidak berakal dan sengaja mempermain-mainkan atau mempersendakan agama Islam.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata tindakan dilakukan wanita itu hanya memudaratkan diri sendiri malah agama Islam bukan bahan mainan atau sendaan.

"Seorang Muslim dituntut menghormati dan mengagungkan agamanya, malah tindakan wanita itu disifatkan sebagai hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam sedikit pun tidak terjejas oleh tindakan yang tidak berakal itu.

"Melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam secara sengaja bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama, dengan tindakan sedemikian pelakunya menjadi kafir. Jika tidak bertaubat dia akan dihumban ke neraka dan akan menerima seksaan yang dahsyat di akhirat nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Salim berkata banyak lagi cara untuk mencari populariti, namun bukan dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan kerana ia tindakan jelas sekali menghina agama.

''Agama Allah tetap berkembang pesat dari semasa ke semasa...semakin ramai manusia menganutnya terutama dalam kalangan para ilmuwan dan cerdik pandai dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya,'' katanya.

Semalam, tular video berdurasi 17 saat yang memaparkan seorang wanita yang didakwa sebagai rakyat tempatan berada di tanah suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan perkara itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dilaporkan berkata pihaknya memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan terhadap wanita yang didakwa mengerjakan umrah berpakaian ihram lelaki malah agensi yang menguruskan umrah wanita terbabit juga akan dikenakan tindakan jika benar dakwaan seperti ditularkan.

-Bernama

Insiden ditikam, Salman Rushdie mungkin buta sebelah mata

Bernama

Salman Rushdie adalah penulis kelahiran India yang terkenal dan memenangi pelbagai hadiah sastera serta pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini. (Gambar AP)

MOSCOW: Pengarang Salman Rushdie yang cedera selepas diserang dalam satu kejadian di New York kini dilaporkan menggunakan mesin ventilator, tidak boleh bercakap dan berkemungkinan buta sebelah mata, lapor media.

Pada Jumaat, Salman ditikam dua kali ketika hendak menyampaikan syarahan di Institusi Chautauqua di barat New York, lapor Sputnik.

“Salman berkemungkinan akan buta sebelah mata; saraf di lengannya putus dan hatinya rosak selepas ditikam,” kata ejen Rushdie Andrew Wylie kepada The New York Times.

Salman ialah penulis kelahiran India yang terkenal dan memenangi pelbagai hadiah sastera serta pernah mencetuskan kontroversi menerusi buku tulisannya “The Satanic Verses” yang dikatakan menghina Islam.

Pemimpin PAS jangka PH berpotensi besar menang PRU15

Malaysiakini 

story-imageSeorang pemimpin PAS hari ini mendakwa, Pakatan Harapan (PH) berpotensi besar untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Justeru kata Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki parti itu perlu segera mencari jalan mewujudkan "kerusi Muafakat Nasional" bersama Umno-BN.

Dia berkata PRU ke-15 boleh diadakan pada bila-bila masa saja sekarang dan Muafakat Nasional (MN) adalah kaedah yang mampu menafikan kemaraan PH.

Menjelaskan idea tersebut, setiausaha politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata ketika ini parti Melayu berpecah-pecah dalam pelbagai gabungan, termasuk BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

“Dengan wujudnya tiga gabungan BN, PN dan GTA kali ini, risiko untuk PH menang pasti lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui MN, tambah Mohd Zuhdi sekurang-kurangnya kemenangan PH dapat disekat walaupun harapan untuk membentuk kerjasama PAS-Umno seperti termaktub dalam piagam dulu masih jauh untuk dicapai.

"Namun demikian usaha untuk menghalang PH menang tetap wajib diusahakan. Oleh yang demikian, ruang perlu diterokai dalam MN agar usaha itu dapat dilaksanakan.

"Di Semenanjung Malaysia, ada 27 kerusi yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya Umno dan PAS bertembung," katanya.

Dalam keadaan begitu, kata Mohd Zuhdi, Umno dan PAS tidak boleh bertembung di kerusi berkenaan dan kedua-dua parti perlu mencapai persefahaman untuk mengelakkannya.

Oleh itu, katanya, kawasan berkenaan boleh dinamakan sebagai "kerusi MN" dan kedua-dua parti kembali ke meja perundingan untuk mengelak berlaku pertembungan semasa sendiri.

"Malah adalah terlebih baik (jika) di kerusi-kerusi MN ini, Umno dan PAS boleh membentuk jentera bersama supaya calon mereka boleh menang selesa," katanya.

Mohd Zuhdi yang dilantik menyertai AJK PAS Pusat selepas gagal mendapat undi mencukupi dalam pemilihan lalu berkata, jika cadangan mewartakan 27 kerusi itu mampu dipersetujui oleh BN dan PN, maka ia akan menjadi "mimpi ngeri" kepada PH.

Untuk rekod semalam bekas AJK PAS Pusat, melalui hantaran di media sosial Mohd Khairuddin Aman Razali mengajak penyokong kerajaan mengenang kembali detik pembentukan MN.

Cabar senaraikan kerusi ‘putih’

Sementara itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad turut menegaskan PH akan memenangi PRU ke-15 dan ia mesti dihalang.

Disebabkan itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan menggesa PAS, Umno dan Bersatu bekerjasama menghadapi PRU atau mereka akan berdepan risiko menjadi pembangkang sekali lagi.

Idris juga secara sinis 'mencabar' pihak yang enggan kerjasama itu menjadi kenyataan agar menyenaraikan kerusi yang dianggap selamat daripada dirampas pembangkang.

“Tolong listed (senaraikan) kerusi mana yang kita eksyen (berlagak) sangat (dan) kalau kita pecah kita boleh menang? Tolong listed.

"Sebab itu kalau kita pecah... PRU ke-14 (dulu) result dia keputusan begitu,” katanya yang dipetik portal harakahdaily hari ini.

Demi mencapai kerjasama tersebut, senator terbabit menasihatkan supaya semua parti melupakan sejarah konflik yang melibatkan mereka sebelum ini.

“Kita lupakan, tak perlulah kita nak ungkit sejarah-sejarah apa yang mereka lakukan, tapi kita berjiwa besar, kita buka buku baru.

"Kita berpolitik biar nampak cerdik. Biar kita mati esok anak cucu kita kenang kita,” katanya.

Akhirnya rangka wanita prasejarah Penang Woman miliki wajah

Malaysiakini 

story-imagePenang Woman, rangka manusia yang berusia lebih 5,000 tahun dan ditemukan ketika kajian penyelidikan di Guar Kepah, Kepala Batas dekat George Town, kini mempunyai 'wajah' lakaran yang siap pada 5 Julai lepas.

Lakaran wajah Penang Woman itu dibuat menerusi kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Artikel jurnal berkenaan wajah rangka manusia itu diterbitkan menerusi Applied Sciences, https://www.mdpi.com/journal/applsc pada 5 Ogos lepas, dengan kumpulan yang sama sebelum ini telah berjaya menghasilkan lakaran wajah Perak Man menggunakan kaedah 3D pembinaan semula secara maya, tahun lepas.

Seorang penyelidik USM yang juga penulis koresponden bagi jurnal itu, Shaiful Idzwan Sahidan berkata jurnal dan kajian penyelidikan itu dijalankan oleh tujuh penyelidik USM yang diketuai oleh Dr Johari Yap iaitu Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM.

Shaiful Idzwan yang ditemui hari ini berkata Penang Woman merupakan objek warisan yang tak ternilai dan sangat signifikan bagi tapak arkeologi Guar Kepah serta merupakan satu-satunya rangka Guar Kepah iaitu rangka ke-42 yang ditemukan oleh pengkaji Malaysia pada 19 April 2017 serta berada di Pulau Pinang.

"Rangka Penang Woman satu-satunya dijumpai di bawah Bukit Kerang iaitu timbunan cangkerang kira-kira 7 meter oleh pengkaji Malaysia yang kita perlu menjaganya demi warisan bersama.

"Rangka manusia itu dianggarkan mati ketika berusia 30 hingga 35 tahun dengan ketinggian kira-kira 150 cm dan ujian pada tisu rangka turut menyimpulkan bahawa individu ini banyak mengambil protein daripada makanan laut atau sungai," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk mendapatkan hasil wajah Penang Woman itu dengan melalui beberapa proses antaranya imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital USM di Kubang Kerian, Kelantan.

Shaiful Idzwan berkata seterusnya, pihaknya menggunakan kaedah FFA bagi mengenal pasti dan membina semula muka Penang Woman itu sebelum lakaran wajahnya dibuat dan berjaya mendapatkannya pada 5 Julai lepas.

Beliau berkata berdasarkan wajah Penang Woman pihaknya mendapati dia adalah daripada kelompok atau ras campuran Australomelanesoid (tipikal orang asli) dan Mongoloid.

"Pendedahan rupa bentuk wajah Penang Woman itu juga merupakan antara petunjuk penting yang menunjukkan bahawa lebih 5,000 tahun lepas berlaku percampuran dua kelompok ras pada ketika itu yang tinggal di kawasan Guar Kepah," katanya.

Bawa pulang 41 rangka dari Belanda

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut berharap 41 lagi rangka yang ditemukan di Guar Kepah dan telah dibawa ke Belanda dapat dibawa pulang oleh kerajaan negeri ke Pulau Pinang bagi tujuan penyelidikan.

"Sekiranya rangka-rangka yang ditemukan di Guar Kepah dapat dibawa pulang ke sini, kita dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang kelompok dan cara hidup masyarakat zaman prasejarah ketika itu,'' katanya.

Guar Kepah di Kepala Batas, merupakan tapak prasejarah pertama di Semenanjung yang digali untuk dikaji sejak 1863, kira-kira 162 tahun yang lepas.

Bagi yang berminat untuk melihat terus tapak arkeologi dan replika Penang Woman boleh ke Galeri Warisan arkeologi Guar Kepah manakala rangkanya yang asli masih dipelihara dan diteliti di USM kerana ia perlu berada dalam persekitaran terkawal dengan suhu serta kelembapan yang baik.

- Bernama

Ibu tunggal didenda RM8,000, mengaku bersalah hina Islam

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

JIA Ming (kanan) ketika keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina Islam. FOTO Hairul Anuar Rahim

JIA Ming (kanan) ketika keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina Islam. FOTO Hairul Anuar Rahim

Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menghina Islam menerusi hantaran dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.

Orang kena saman (OKS) Hong Jia Ming, 34, yang bekerja sebagai perunding syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Nor Hasniah turut memerintahkan OKS menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan fakta kes, OKS secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melalui perkhidmatan aplikasi laman web profil Joyceanne Hong pada 9.22 malam, 12 Mac lalu.

Hantaran itu menyebut 'How many idiots got brain damage thinking their gatherings prayers will keep them away from Covid-19' (Berapa ramai orang bodoh yang rosak otak beranggapan bahawa solat yang didirikan akan menjauhkan mereka daripada Covid-19) dengan perkataan 'so stupid' dan 'support them' (amat bodoh dan sokong mereka) di dalam kotak undian.

Ia dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang kemudian dibaca pada 12.41 tengah hari, 13 Mac 2020 di Masjid Muadz Jabal di Wangsa Maju oleh pengadu yang menerima hantaran mesej berkaitan hantaran itu menerusi kumpulan sembang WhatsApp tempat kerjanya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya selain boleh didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Najihah FarhanaChe Awang mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap OKS.

Bagaimanapun, peguam mewakili OKS, Haijan Omar berhujah supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum dengan mengambil kira status OKS sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak lelaki berusia sembilan tahun selain mempunyai penyakit jantung dan bekerja sebagai perunding swasta berpendapatan RM12,000 sebulan.

Semasa dalam proses rayuan, OKS memaklumkan bahawa dia menyesal dengan perbuatannya dan mengakui hantarannya di Facebook itu mencetuskan salah faham dan menyinggung perasaan bekas rakan sekerjanya.

"Saya sudah belajar satu pengajaran akibat perbuatan ini dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam meluahkan pandangan pada masa hadapan," katanya.

Pembersihan: Pegawai kanan polis disyaki menjadi tali barut sindiket dadah, 'Superintendan, ASP, DSP tak terkecuali'

Mohd Jamilul Anbia Md Denin

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tidak beri muka! Ini dibuktikan apabila operasi pemutihan besar-besaran dilakukan membabitkan penahanan sejumlah anggota dan pegawai kanan polis yang disyaki menjadi tali barut sindiket dadah.

Tindakan dilakukan pasukan tindakan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selain Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bertujuan menjaga integriti serta membersihkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari anasir tidak sihat.

Sumber polis Bukit Aman berkata, operasi terbaru itu tidak hanya membabitkan anggota polis pangkat rendah malah turut membabitkan penahanan sekurang-kurangnya enam pegawai kanan polis.

"Antara ditahan adalah pegawai kanan berpangkat Superintendan, Asisten Superintendan (ASP) dan Deputi Superintendan (DSP) yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

"Malah penahanan turut membabitkan seorang bekas ketua JSJN negeri. Operasi khas ini memfokuskan anggota dan pegawai kanan polis yang disyaki mempunyai 'pertalian' dengan sindiket dadah tempatan sebelum ini.

"Operasi tertumpu di beberapa Ibu Pejabat Polis Lembah Klang, Utara dan Pantai Timur tanah air sejak awal minggu ini," katanya.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985, yang memperuntukkan hukuman ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak selama dua tahun dan perintah sekatan, jika sabit kesalahan.

"Kewajaran penahanan dilakukan selepas suspek didapati pernah atau sedang ada kaitan dengan aktiviti berhubung pengedaran dadah berbahaya yang disiasat sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, langkah terbaru itu adalah tindakan lazim dilakukan PDRM terhadap anggota dan pegawainya bagi memastikan pasukan keselamatan itu terhindar dari aktiviti tidak bermoral.

"Operasi belum selesai dan masih diteruskan bagi memburu saki baki individu terbabit berdasarkan maklumat diperolehi," katanya.

Difahamkan terbaru, seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP ditahan sepasukan polis dari Cawangan Bahagian Risikan JSJN Bukit Aman bagi siasatan di bawah LLPK.

Sebelum ini, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pernah mendedahkan seramai 1,571 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun kerana terbabit dengan kesalahan integriti.

Ini termasuklah 23 pegawai dan anggota polis direkodkan terbabit kesalahan jenayah, rasuah (18), dadah (84) dan syariah (48).

Bekas pengarah Bukit Aman nafi dakwaan bawa teman wanita serbu rumah Najib

FMT Reporters

Amar Singh berkata, beliau dan beberapa pegawai kanan lain akan membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas pegawai polis berpangkat tinggi, Amar Singh menafikan dakwaan teman wanitanya hadir dalam serbuan di rumah Najib Razak pada Mei 2018 dan mengambil sebuah beg yang dirampas polis.

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berkata, beliau akan membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin, susulan dakwaan penulis blog kontroversi itu yang dikenali sebagai RPK di portalnya, Malaysia Today.

Menyifatkan rampasan di rumah bekas perdana menteri itu sebagai “serbuan terbesar dalam sejarah polis”, Amar berkata, rekod terperinci dibuat berhubung barang yang dirampas polis dan tiada wanita awam berada di sana atau sebarang barang dikeluarkan.

Beliau dalam kenyataan berkata, serbuan itu dijalankan bersama beberapa timbalan dan penolong pengarah polis serta kira-kira 70 pegawai dari pelbagai jabatan seperti JSJK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Tindakan Khas (UTK).

Katanya, beliau sengaja menubuhkan pasukan serbuan itu yang terdiri daripada jabatan berbeza bagi mengelakkan dakwaan palsu dibuat kelak.

“Tidak mungkin ada apa-apa boleh melalui pasukan ini tanpa disedari sesiapa. Lebih-lebih lagi pasukan ini baru bertemu pada hari serbuan dijalankan. Oleh itu, tiada kemungkinan untuk menutup sebarang konspirasi.

“Tambahan, keseluruhan proses serbuan diambil gambar dan dirakam video dari awal hingga akhir oleh oleh pasukan bebas dari JSJ. Gambar dan video ini masih dalam simpanan JSJ.

“Tidak mungkin orang awam dapat mengelak rakaman kamera dan video ini tanpa disedari sesiapa, melainkan orang ini mempunyai ‘ilmu ghaib’ dan tidak kelihatan.”

Amar berkata, bangunan yang diserbu itu dilengkapi lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) dan lebih 50 wartawan berkumpul di lobi, yang merupakan satu-satunya pintu keluar ketika itu.

“Tiada wartawan melihat seorang wanita awam berjalan keluar dari serbuan itu dengan beg pakaian besar seperti didakwa. Jelas sekali dakwaan Raja Petra palsu sama sekali.”

Katanya, beberapa pegawai kanan lain akan turut membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung dakwaan itu.

Amar turut menafikan dakwaan beliau berhijrah ke Kanada dan memaklumkan penulis blog itu dirinya “masih berada di Malaysia dan akan terus tinggal di negara ini sehingga saya mati.”

Amar mengetuai serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018. Beliau berkata, wang tunai berjumlah RM116.7 juta ditemui dalam 35 beg yang diambil dari premis itu.

Bekas pegawai polis tinggi itu mengetuai siasatan berhubung 1MDB.

Gambar bintang sebenarnya sosej babi Sepanyol, satu dunia kena tipu dengan Teleskop Angkasa James Webb

AYHAN FERHAT

Tindakan Teleskop Angkasa James Webb menipu gambar bintang yang sebenarnya ia adalah sosej babi Sepanyol untuk mendidik orang ramai tentang betapa mudahnya menyebarkan penipuan di internet.

Teleskop Angkasa James Webb telah berjaya mengambil pelbagai jenis foto luar angkasa.

Antara yang popular adalah gambar Proxima Centauri yang diambil oleh saintis Perancis tienne Klein, yang mendakwa telah melihat bintang paling hampir dengan matahari itu, lapor Vice.

Pada Julai lalu, Klein yang merupakan pengarah penyelidikan di Suruhanjaya Tenaga Atom dan Tenaga Alternatif Perancis menyiarkan penemuannya di Twitter peribadinya.

Susulan perkongsian itu telah tular dan mendapat ribuan tanda suka.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas itu, Klein akui bahawa dia sebenarnya berbohong.

Objek dalam foto yang dimuat naik oleh beliau dan didakwa sebagai Proxima Centauri sebenarnya adalah chorizo, sosej babi Sepanyol.

Dia meminta maaf kerana berbohong kepada semua orang.

Klein memberitahu agensi berita Perancis Le Point bahawa dia berhasrat untuk mendidik orang ramai tentang betapa mudahnya menyebarkan penipuan di internet.

“Jika saya tidak mengatakan ini adalah gambar James Webb, mungkin ciapan itu tidak akan menjadi viral.”

Awal bulan ini, Klein menyiarkan satu lagi foto juga dari teleskop James Webb. Menggambarkan galaksi Wheel Chariot, beliau menekankan bahawa foto ini sebenarnya diambil dari angkasa lepas.

Teleskop James Webb adalah hasil kerjasama antara NASA dan Agensi Angkasa Eropah dan Agensi Angkasa Kanada.

Kecanggihannya telah diiktiraf oleh ahli astronomi, dan gambar pertamanya telah membawa kepada penemuan baru, dipetik The Voket.

Siapa Exco Kedah seleweng dana bantuan? Siasatan hampir selesai, tunggu masa serah kepada AGC

FAZLI RADZI

Siasatan berhubung penglibatan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah dalam penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi hampir selesai.

Exco di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan memberi keterangan pada 18 Julai lalu dan siasatan menunggu masa diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, seramai 161 saksi termasuk Exco tersebut telah diambil keterangan setakat ini.

“Laporan penuh hasil siasatan dijangka dihantar kepada pihak AGC minggu depan.

“Sama ada wujud kes atau tidak termasuk perkara berkaitan penyelewengan akan ditentukan pihak AGC selepas ini,” dipetik BH.

Sejak Jun lalu lagi, siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah dilapor media.

Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris dari AMANAH mencabar Sanusi membuat kenyataan menafikan berlaku salah laku membabitkan Exco terbabit.

Bekas Exco Belia dan Sukan negeri itu turut mencabar Sanusi mendedahkan siapa wakil rakyat berkenaan.

Walau bagaimanapun, Sanusi yang juga Pengarah Pilihanraya Pas Pusat meminta semua pihak menyerahkan kepada SPRM untuk melakukan tugas mereka.

Datuk Seri dicekup ‘parti liar’ di banglo sewa

FMT Reporters

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata serbuan dilakukan di banglo berkenaan selepas pihaknya menerima maklumat pada 1 pagi. (Gambar Facebook PDRM)

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri antara 25 individu ditahan polis ketika “berparti liar” di sebuah banglo di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Lelaki berusia 46 tahun itu bersama beberapa individu dipercayai menyewa banglo berkenaan untuk mengadakan parti sambil mengambil dadah.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat pada 1 pagi.

“Dalam serbuan itu, polis menahan 15 lelaki dan 10 wanita termasuk lapan warga asing yang semuanya berusia antara 18 hingga 64 tahun.

“Polis turut merampas dadah jenis ketamin seberat 2.18g dan pil ekstasi seberat 1.43g dengan nilai rampasan keseluruhan RM800,” katanya menurut Harian Metro.

Zaiham berkata, ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua peserta parti liar itu positif methamphetamine.

“Polis menjalankan siasatan lanjut mengenai bekalan dadah dan mengenal pasti penganjur parti liar itu,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Politik Kelantan, siapa MB selepas PRU15 ikuti ulasan MSO

Mohd sayuti omar 

Tiga nama disebut bakal MB Kelantan

SELAIN daripada isu kerjasama Pas dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, timbul juga cerita lain yang tidak kurang menariknya dalam kubang politik Pas Kelantan. 

Ceritanya mengenai kedudukan jawatan MB selepas Piraum ke-15 kelak. Siapakah akan jadi menteri besar selepas pilihan itu nanti, subjek itu menjadi tanda tanya, penilaian dan perhatian apabila ada desas desus Ahmad Yaakob ingin berundur atas faktor kesihatan.

Perhatian itu berpusat dalam kalangan Pas apabila dilihat parti itu masih mampu untuk mengekalkan pemerintahan di negeri berkenaan. Ukuran ini berdasarkan situasi semasa dimana pembangkang khas PH dalam keadaan lemah,  berkecamukkan sesama sendiri dan tiada strategi. Keadaan ini menjadikan oposisi tidak mungkin dapat mencabar Pas. 

Ura-ura akan wujud pakatan sesama pembangkang di Kelantan untuk menghadapi Pas-Bersatu secara satu lawan satu juga masih berbaur dan kabur. Tidak pasti apakah gabungan pembangkang itu nanti berlaku atau tidak. Walaupun hampir semua pihak bersetuju untuk menumbangkan Pas perlu kesatuan pembangkang, tetapi untuk merealisasinya bukan senang. Kerangka besar ke arah itu belum wujud.

PH, sejak kalah teruk dalam pilihan raya ke-14 lalu tidak ada apa-apa pelan pembangunan untuk koalisi itu.  Kekalahan itu tidak diambil iktibar untuk perkuatkan gabungan tersebut. Kerana kebetulan PH menjadi kerajaan di Kuala Lumpur, masing-masing pemuka parti lebih menjaga kepentingan diri "berebut" jawatan dalam kerajaan sehingga melupai masa depan parti. Perencanaan untuk menguatkan gabungan tidak ada sama sekali.  

Gara-gara perebutan itu ada yang rasa tersisih dan dengki mendengki antara satu sama lain, kesannya menyebabkan hubungan sesama sendiri renggang. Kemenangan di Kuala Lumpur menjadikan oposisi di Kelantan lupa diri, lalai serta ralik kerana mengira kemenangan itu akan kekal. 

Keadilan Kelantan misalnya tidak mempunyai pemimpin berwibawa untuk bangunkan parti itu. Keadilan mulanya menjadi tarikan apabila ada ahli Umno berhijrah kepada parti itu setelah Keadilan jadi kerajaan. Berbondong-bondong orang menyertai Keadilan termasuk beberapa pimpinan Umno peringkat bahagian. 

Namun setelah kerajaan PH tumbang, mereka berpatah balik semula kepada Umno. Mereka tinggalkan Keadilan seperti tinggalkan kereta privet sapu mampos. Mereka sedemikian merupakan oportunis politik, pencari untung dengan politik.

Sejarah dan kecemerlangan Keadilan Kelantan yang pernah menang di tiga kerusi parlimen tahun 2008 dan satu kerusi Dun pula tidak dijadikan semangat untuk membangun parti itu di Kelantan. Sebaliknya yang berlaku "berkekah belah" sesama sendiri.  

Pemimpin Keadilan hari ini gagal. Parti itu menjadi "kocel" di Kelantan apabila berlaku pengkhianatan meninggalkan parti ekoran langkah Sheraton. 

Bekas ahli Umno Supardi Mohamad Noor yang diberi peluang memimpin Keadilan selaku pengerusi MPN Kelantan gagal menggunakan kesempatan itu seperti mana dibualkan, sebaliknya menjadikan Keadilan persis rumput tepi jalan hidup segan mati tidak mahu. Tidak ada sebarang progres yang dilaksanakan oleh beliau. Ahli tidak bertambah malahan berkurang ada.   

Demikian juga dengan rakan Keadilan dalam PH, Parti Amanah Negara (Amanah) berkucar "wak yah" tidak ketahui mana kepala mana ekor. Masing-masing hendak tunjuk lagak. 

Amanah yang mulanya dilihat parti masa depan, lebih retorik lagi menjadi pengganti Pas, akhirnya menjadi parti malap dan menyurut ke belakang. Parti itu jadi macam daun nipah kering menirus bukan berkembang macam daun sagu. Husam Musa yang sebelum ini memimpin Amanah mengambil sikap tidak aktif dalam parti itu. Beliau sendiri seperti putus angin dengan Amanah selepas kerajaan PH tumbang.

Kini bekas pengerusi Amanah negeri Kelantan itu bergerak secara terpisah dengan Amanah dengan menubuhkan Ngo SaveKelantan. Kemampuan SaveKelantan ini juga untuk menyaingi Pas diragui. Memang isu yang dimainkan SaveKelantan menjadi perhatian umum dan menggegarkan kerajaan Kelantan, tetapi ia tidak cukup kuat untuk menumbangkan kerajaan Pas yang sudah berusia 32 tahun. SaveKelantan memerlukan dokongan dan kerjasama dengan parti-parti politik juga.

Manakala Umno walaupun parit terbesar, tetapi parti itu juga menghadapi kelupusan semangat wira dan hilang keyakinan sendiri. Pemimpinya berbelah bahagi dan tidak selari pendapat. Setengah mahu meneruskan muafakat dengan Pas, setengah yang lain sudah menarik diri dan nekad untuk bertanding secara solo. Maufakat awal Umno dengan Pas dilihat mantap dan bakal mewujudkan kerjasama politik yang boleh memberi faedah kepada rakyat Kelantan. Namun ia relai sebelum tiba masanya.

Perpecahan atau perbezaan mazhab politik dalam Umno di Kuala Lumpur, ikut sama terbawa ke Kelantan. Sebahagian daripada pimpinan Umno khasnya mereka berjawatan mahu kekalkan kerjasama dengan Pas, manakala yang tidak berjawatan dan berada di luar kerajaan, mahu bertanding sendiri. Keadaan itulah menjadikan Umno tidak jauh bezanya dengan PH.

Sementara dalam suasana oposisi tidak sepakat, Pas makin kuat dan sepadu apabila seperti sudah sahih akan berkolaborasi dengan Bersatu. Pelancaran Perikatan Nasional peringkat Kelantan sudah pun diadakan bertempat di Tanah Merah. Sambutannya hangat walaupun dikerah dan dibayar. Melihat kepada sambutan majlis itu menunjukkan penyokong bawahan kedua pihak "berpalut" molek, macam pulut dengan santan. 

Lantaran itu peluang Pas untuk kekal di Kelantan semakin cerah. Justeru kondisi inilah juga menyebabkan timbul persoalan siapakah MB selepas pilihan raya akan datang. Nama bakal MB Kelantan selepas ini menjadi sebutan dan impian. Khabarnya Ahmad Yakob sudah berhajat untuk berundur atas faktor kesihatan. Jika benar begitu, secara hirearkinya Mohd Amar Nik Abdullah akan mengambil alih. Bagaimana pun Adun Pancor itu dikatakan ada masalah apabila pendekatan dan cara beliau berpolitik tidak disenangi oleh Pas.

Kerana ulah dan penampilan itu, kalau Mohd Amar dijual sebagai MB dibimbangi boleh menjejaskan pengaruh Pas dalam pilihan raya nanti. Justeru bagi mengelakkan berlaku penolakan kepada Pas gara-gara Mohd Amar, timbul dua nama lain akan diangkat untuk jadi MB. Merekalah adalah Adun Meranti Nasaruddin Daud dan Adun Temangan Dr Mohd Fadzli Hassan. 

Khabarnya kempen dan gerakan untuk mengangkat kedua namanya sebagai alternatif kepada Mohd Amar sedang berjalan secara senyap. Baik Nasaruddin maupun Dr Fadzli mempunyai penyokong dan dokongan tersendiri. Nsaruddin katanya mendapat restu daripada pihak wewenang manakala Dr Fadzli pula menjadi pilihan Ahmad Yaakob sendiri.

Golongan ketara menyokong Nasaruddin ialah golongan pondok. Golongan itu berpendapat  Adun Meranti itu lebih sesuai dengan pembawaan mereka. Baru-baru ini satu pertemuan dengan golongan pondok diadakan dengan mengundang Nasaruddin sebagai tetamu. Golongan Pondok dikatakan tidak berminat dengan Mohd Amar yang disifatkan beraliran mirip Wahabi. 

Sementara Dr Fadzli disenang pula menjadi pilihan Ahmad Yaakob. Ada maklumat menyebut sekiranya dalam pilihan raya ke-15 nanti Ahmad masih bertanding dan jadi MB, beliau mahukan Dr Fadzli menjadi TMB. Satu pelan sudah diatur Ahmad menjadi MB hanya seketika sahaja kemudian akan menyerahkan kepada Dr Fadzli.

Kesimpulannya ada tiga nama disebut bakal mengambil alih teraju selaku MB daripada Ahmad Yaakob selepas pilihan raya umum ke-15 kelak; Mohd Amar, Nasaruddin dan Fadzli. Tunggu sorotan lanjut. [wm.kl. 6:46 pm 10/08/2022].

Protes berkait skandal LCS pada Ahad di sekitar Sogo?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Himpunan membantah projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) akan diadakan di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Pihak penganjur, berkata protes akan dilakukan di luar perkarangan pusat beli belah Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pada 2 petang.

Mereka menuntut kerajaan membentuk suruhanjaya siasatan diraja susulan laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek itu.

Kumpulan itu juga menggesa Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan di atas kegagalan mengambil tanggungjawab terhadap projek bermasalah berkenaan yang menyaksikan berlaku penangguhan berulang kali selama bertahun-tahun.

“Tindakan Hishammuddin sebagai menteri pertahanan ketika itu dan sekarang meletakkan risiko kepada keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Kumpulan berkenaan juga mendesak kerajaan menangani aduan dibuat bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar, berhubung pembelian kapal tempur itu.

Merujuk kepada laporan PAC, katanya Aziz menghantar 10 surat kepada kerajaan sebagai menyatakan kebimbangannya berhubung projek terbabit, namun semua tidak dihiraukan.

“Ini termasuk lima surat kepada Kementerian Pertahanan, satu kepada setiausaha perbendaharaan, satu kepada ketua setiausaha negara dan dua kepada perdana menteri,” katanya.

Mereka juga menggesa kepimpinan politik, NGO dan wakil persatuan sivil menyertai protes dianjurkan.

Pada Julai, protes hampir serupa diadakan di luar pekarangan Sogo berhubung kenaikan kos sara hidup.

Semalam, Putrajaya bersetuju untuk menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) membabitkan projek berkenaan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kabinet bersetuju menyahklasifikasikan laporan forensik 2019 itu, bagaimanapun proses berkenaan perlu mendapat nasihat dan pandangan peguam negara dan ketua audit negara terlebih dahulu.

Projek LCS mendapat perhatian selepas laporan PAC dikeluarkan yang antara lain mendapati tidak ada sebuah pun kapal itu disiapkan walaupun Putrajaya sudah membelanjakan RM6 bilion.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh juga berkata, Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Sdn Bhd mengenepikan pandangan tentera laut berhubung projek terbabit.

Pembesar suara luar untuk ceramah, kuliah di masjid surau dilarang, hanya azan dibenarkan

AYHAN FERHAT

Pembesar suara luar untuk sesi ceramah dan kuliah di masjid atau surau dilarang tetapi untuk azan dan bacaan ayat Al-Quran dibenarkan untuk tempoh yang singkat.

Ini sebagaimana selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 16 Oktober 2017.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Selangor dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

“(Manakala) pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Shahzihan, baginda memutuskan demikian supaya kemuliaan Islam sebagai cara hidup yang sempurna, dinamik serta sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai semua pihak dan seterusnya menjadi contoh teladan yang baik.

Sehubungan itu, katanya, JAIS menyambut titah Sultan Sharafuddin dengan mengeluarkan arahan kepada pentadbir masjid dan surau seluruh negeri bahawa penggunaan pembesar suara luar untuk ceramah dan kuliah tidak dibenarkan pada 23 Oktober 2017.

“Justeru itu, siasatan lanjut telah dibuat (berhubung isu seorang lelaki mengamuk kerana sebuah surau di rumahnya di Ampang Campuran membuka pembesar suara luar semasa program kuliah subuh) mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di negeri ini,” tegasnya.

Baru-baru ini, beberapa portal berita tempatan melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang telah menganggu sesi kuliah subuh di sebuah surau di Ampang Campuran, Ampang, pada minggu lalu.

Terdahulu, seorang lelaki telah menarik mikrofon daripada seorang penceramah dan menjerit mendakwa ceramah yang disampaikan terlalu bising dan mengganggunya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian jam 7.06 pagi di sebuah surau di Ampang Campuran pada Ahad itu berlaku ketika kuliah subuh.

“Ketika kejadian, suspek menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan mengganggunya.

Kecewa Putra sertai GTA, naib presiden keluar parti

Malaysiakini 

story-imageNaib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Hamidah Osman mengumumkan keputusan keluar daripada parti tersebut serta-merta hari ini selepas kecewa dengan tindakan parti tersebut yang menyertai Gerakan Tanah Air (GTA).

“Saya berasa amat sedih dan kecewa dengan keputusan presiden parti untuk menyertai GTA dan bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Demi prinsip dan tanda saya hilang kepercayaan kepada presiden dan kepimpinan parti yang telah bertindak untuk bekerjasama dengan Tun (Dr Mahathir) maka saya ingin melepaskan semua jawatan saya di dalam Putra serta keluar daripada parti itu serta-merta,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat itu berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan akan meneruskan perjuangan Tanah Rizab Melayu di atas satu platform yang sesuai misalnya dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan.

Pada 4 Ogos, Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan penubuhan GTA, merangkumi beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

- Bernama

Air hujan tak lagi selamat diminum

AFP

Antartika turut merekodkan tahap PFAS 14 kali lebih tinggi daripada garis panduan ditetapkan. (Gambar AFP Relaxnews)

STOCKHOLM: Air hujan di seluruh dunia tidak lagi selamat untuk diminum disebabkan tahap baharu bahan kimia toksik dikenali sebagai PFAS kini melepasi garis panduan terbaru, menurut kajian baharu oleh saintis di Universiti Stockholm.

Bahan kimia PFAS digelar “forever chemicals” kerana mengambil masa amat lama untuk terurai, dan pertama kali ditemui dalam bahan pembungkusan barang, syampu atau alat solek. Bagaimanapun ia kini telah tersebar ke seluruh alam sekitar termasuk air dan udara.

“Tiada tempat di dunia ini di mana air hujan selamat untuk diminum, berdasarkan sukatan yang dinilai kami,” kata Ian Cousins, profesor di universiti itu yang juga mengetuai kajian diterbitkan dalam Environmental Science and Technology kepada AFP.

Data dihimpunkan sejak 2010 yang dikaji pasukannya menunjukkan “tahap air hujan di Antartika atau dataran Tibet sekalipun melepasi garis panduan air minuman dicadangkan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS,” katanya.

Dua lokasi berkenaan yang lazimnya dianggap paling bersih masih merekodkan tahap PFAS “14 kali lebih tinggi” berbanding garis panduan air minuman ditetapkan EPA.

EPA baru-baru ini menurunkan garis panduan PFAS secara signifikan selepas mendapati bahan kimia berkenaan berupaya menjejaskan tindak balas imun kanak-kanak terhadap vaksin, kata Cousins. PSAS yang diserap tubuh manusia akan terus terkumpul dalam badan.

Ada kajian menunjukkan pendedahan kepada PFAS juga boleh membawa kepada masalah kesuburan, merencatkan pertumbuhan kanak-kanak, meningkatkan risiko obesiti atau kanser tertentu selain meningkatkan tahap kolesterol.

Lelaki dipenjara, sebat secara salah tuntut inkuiri awam

Faisal Asyraf

(Dari kiri) Khamid Istakhori, Apolinar Tolentino, Ingrid Liaw dan Irene Xavier di luar pekarangan pejabat Suhakam untuk menyerahkan petisyen.

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja Indonesia menuntut inkuiri awam dilaksanakan selepas secara salah dipenjara dan disebat kerana didakwa tidak mempunyai pas pekerja sah.

Pada April, Sabri Umar ditahan lalu dijatuhi hukuman penjara 11 bulan dan lima sebatan rotan oleh mahkamah sesyen mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Sementara menunggu rayuannya didengar, dia disebat di penjara Tawau, pada 23 Jun.

Mahkamah Tinggi Tawau membebaskan Sabri, pada Julai, selepas peguamnya berjaya membuktikan dia mempunyai pasport Indonesia dan pas pekerja sah daripada majikan, Fu Yee Corporation.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Perusahaan Kayu Sabah (STIEU) Ingrid Law, berkata beliau menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini, hari ini, menuntut inkuiri awam dibuat.

“Kami mahukan inkuiri awam diadakan secepat mungkin bagi Sabri kerana kami percaya ini bukan kes terpencil,” katanya.

Sabri tidak hadir pada penyerahan petisyen terbabit kerana menghadiri perkara penting di Sabah.

Petisyen itu, ditandatangani lebih 40 NGO, mendakwa Sabri dibawa di hadapan majistret dalam tempoh 24 jam selepas ditahan dan diruduh secara salah, serta dijatuhi hukuman kerana berada di Malaysia secara haram.

Petisyen berkenaan juga mendakwa rakyat Indonesia itu diserang dan didera ketika berada dalam tahanan polis dan secara salah dipenjara selama 94 hari, bermula 19 Apr hingga 22 Jul.

Kandungan petisyen turut mendakwa Sabri pada mulannya disoal siasat polis selepas majikannya memfailkan laporan terhadapnya atas tuduhan kesalahan seksual.

Sabri bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit dengan petisyen mendakwa polis secara paksa menyuruhnya mengakui kesalahan itu ketika siasatan. Namun, dia tidak dikenakan tuduhan bagi kesalahan yang dikatakan itu.

Pihak lain yang hadir ketika menyerahkan petisyen itu adalah Serikat Buruh Kerakyatan Indonesia (Serbuk) Khamid Istakhori, wakil serantau Pekerja Bangunan dan Kayu Antarabangsa, Apolinar Tolentino dan pengerusi bersama Labour Law Reform, Irene Xavier.

Remaja dituduh merogol, samun wanita di hotel

Meor Riduwan Meor Ahmad

am@hmetro.com.my

TERTUDUH, K P Suren didakwa merogol, merompak dan melakukan persetubuhan di luar aturan tabii terhadap seorang wanita di sebuah hotel, awal bulan ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

TERTUDUH, K P Suren didakwa merogol, merompak dan melakukan persetubuhan di luar aturan tabii terhadap seorang wanita di sebuah hotel, awal bulan ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang remaja didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan iaitu merogol, merompak hingga mencederakan mangsa serta melakukan persetubuhan luar tabii, di sebuah hotel awal bulan ini.

Tertuduh, K P Suren, 18, dari Taman Rambai Jaya, dekat sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap wanita berusia 34 tahun tanpa kerelaan mangsa iaitu kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh juga didakwa melakukan rompakan wang tunai RM100 dan telefon bimbit milik mangsa malah semasa kejadian dia dengan sengaja mencederakan wanita terbabit.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Pertuduhan ketiga, Suren didakwa merogol mangsa sama tanpa kerelaannya dan pada masa atau segera sebelum menyebabkan kecederaan kepadanya.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 1.11 pagi sehingga 1.20 pagi di sebuah hotel di Taman Paya Rumput Utama pada 3 Ogos lalu.

Terdahulu pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari tidak menawarkan jaminan, namun memohon ditetapkan RM40,000 bagi setiap pertuduhan jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan.

Peguam Suresh Balakrishnan merayu jaminan ditetapkan pada kadar paling minimum dan memberitahu mahkamah bakal penjamin iaitu abang tertuduh hanya bekerja kilang dengan pendapatan bulanan RM1,100.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kerana hubungan peribadi retak nenek bunuh 3 cucu, bubuh racun dalam mi susu

AYHAN FERHAT

Hanya kerana hubungan peribadi retak nenek yang berusia 49 tahun mengaku membunuh tiga cucunya dengan memasukkan racun di dalam mi susu yang diminta mereka.

Racun yang diambil daripada kereta suaminya dan dibawa masuk ke dalam rumah tanpa disedari oleh anak dan cucu-cucunya.

Lidia, 49, dilaporkan mengaku kepada Jawatankuasa Penyiasatan Persekutuan Rusia untuk wilayah Saratov.

Turut terbunuh anak perempuannya yang OKU menghidap cerebral palsy selepas dimasukkan ke hospital, namun kedua-dia cucunya Mikhail, 3, dan Margarita, 5 meninggal dunia serta merta.

Portal Mirror melaporkan, keracunan berlaku di kampung Aleksandrovka, di daerah Marksovsky di wilayah Saratov, di barat daya Rusia, pada Disember 2021.

Pihak berkuasa berkata, pembunuhan itu berlaku berikutan keretakan hubungan peribadi secara tiba-tiba.

“Saya tanya anak cucu nak makan apa, mereka mahu mi dalam susu. Dalam kuali ini saya masak sup susu, saya ambil susu dari peti ais, mi dalam almari dan saya tambah sedikit garam.

“Kemudian saya meletakkannya di sebelah sinki untuk menyejukkan mi. Apabila semua orang tidak perasan, saya keluar dan membawa bungkusan racun dan memasukkannya sebelum meletakkan di atas pinggan untuk dimakan,” kata Lidia.

Bapa tiga kanak-kanak yang maut itu dinamakan sebagai pekerja kilang Alexander Shiryaev berusia 27 tahun.

Dia berkata, dia tidak percaya ibunya boleh melakukan jenayah itu.

Wanita itu dilaporkan kehilangan suaminya beberapa bulan sebelum kejadian.

Jawatankuasa Penyiasatan Persekutuan Rusia wilayah Saratov dalam satu kenyataan memaklumkan, akibat tindakan penyerang yang menyalahi undang-undang, pada 13 Disember 2021 mangsa meninggal dunia.

Dia berkata, kematian itu disebabkan oleh keracunan ‘dengan bahan tidak diketahui.

“Bukti dikumpul dalam kes itu, penjenayah berusia 49 tahun itu menulis pengakuan. Ketika soal siasat sebagai suspek, serta memeriksa keterangan di tempat kejadian, penyerang menunjukkan dan memberitahu mengenai keadaan jenayah itu. Dia bertaubat dari perbuatannya.”

Pihak berkuasa Rusia berkata, siasatan jenayah sedang dijalankan.”Saya tahu suami ada racun dalam kereta dan saya mula memasak makan malam pada 11 hari bulan, dipetik Harian Metro

Nenek yang berusia 49 tahun mengaku membunuh tiga cucunya dengan memasukkan racun di dalam mi susu yang diminta cucunya.

Racun yang diambil daripada kereta suaminya dan dibawa masuk ke dalam rumah tanpa disedari oleh anak dan cucu-cucunya.

Lidia, 49, dilaporkan mengaku kepada Jawatankuasa Penyiasatan Persekutuan Rusia untuk wilayah Saratov.

Turut terbunuh anak perempuannya yang OKU menghidap cerebral palsy selepas dimasukkan ke hospital, namun kedua-dia cucunya Mikhail, 3, dan Margarita, 5 meninggal dunia serta merta.

Portal Mirror melaporkan, keracunan berlaku di kampung Aleksandrovka, di daerah Marksovsky di wilayah Saratov, di barat daya Rusia, pada Disember 2021.

Pihak berkuasa berkata, pembunuhan itu berlaku berikutan keretakan hubungan peribadi secara tiba-tiba.

“Saya tanya anak cucu nak makan apa, mereka mahu mi dalam susu. Dalam kuali ini saya masak sup susu, saya ambil susu dari peti ais, mi dalam almari dan saya tambah sedikit garam.

“Kemudian saya meletakkannya di sebelah sinki untuk menyejukkan mi. Apabila semua orang tidak perasan, saya keluar dan membawa bungkusan racun dan memasukkannya sebelum meletakkan di atas pinggan untuk dimakan,” kata Lidia.

Bapa tiga kanak-kanak yang maut itu dinamakan sebagai pekerja kilang Alexander Shiryaev berusia 27 tahun.

Dia berkata, dia tidak percaya ibunya boleh melakukan jenayah itu.

Wanita itu dilaporkan kehilangan suaminya beberapa bulan sebelum kejadian.

Jawatankuasa Penyiasatan Persekutuan Rusia wilayah Saratov dalam satu kenyataan memaklumkan, akibat tindakan penyerang yang menyalahi undang-undang, pada 13 Disember 2021 mangsa meninggal dunia.

Dia berkata, kematian itu disebabkan oleh keracunan ‘dengan bahan tidak diketahui.

“Bukti dikumpul dalam kes itu, penjenayah berusia 49 tahun itu menulis pengakuan. Ketika soal siasat sebagai suspek, serta memeriksa keterangan di tempat kejadian, penyerang menunjukkan dan memberitahu mengenai keadaan jenayah itu. Dia bertaubat dari perbuatannya.”

Pihak berkuasa Rusia berkata, siasatan jenayah sedang dijalankan.”Saya tahu suami ada racun dalam kereta dan saya mula memasak makan malam pada 11 hari bulan, dipetik Harian Metro.

Kerani dakwa diraba polis

Balqis Jazimah Zahari

am@hmetro.com.my

Kampar: Seorang kerani mendakwa dicabul dipercayai anggota polis yang dikenali melalui laman sosial di sebuah rumah di Taman Sentosa di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, wanita berusia 23 tahun itu memberitahu menemui lelaki itu yang mengakui dirinya seorang polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar ketika berada di sebuah bengkel pada jam kira-kira 10.30 malam sebelum diminta menaiki kereta ke rumah lelaki terbabit.

"Berdasarkan laporan, wanita itu masuk ke dalam rumah lelaki berkenaan selama kira-kira 10 minit dan berasa tidak sedap hati sebelum meminta menghantarnya pulang.

"Secara tiba-tiba lelaki itu menghalang dan menarik wanita itu serta mencium mulut, meraba payu dara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Nazri berkata, wanita itu menghalang perbuatan lelaki berkenaan dan memberi amaran akan menjerit jika diteruskan.

"Selepas itu, lelaki itu menghantar semula wanita itu ke tempat kerjanya. Takut dan trauma di atas perbuatan lelaki itu, mangsa membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati pengadu adalah wanita masih belum berkahwin dan berkenalan dengan satu lelaki yang baru dikenali selama kira-kira seminggu.

"Tujuan pengadu berjumpa lelaki itu di rumahnya kerana diajak untuk berjumpa anak-anak lelaki berkenaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Katanya, ketika lawatan ke tempat kejadian bersama pegawai penyiasat mendapati rumah dalam keadaan gelap dan tiada penghuni dan nombor pendaftaran kereta yang dinaiki pengadu bersama suspek tidak dapat dipastikan kerana pengadu tidak ingat.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan penyewa atau pemilik rumah berkenaan dan kenyataan pengadu menyatakan suspek adalah pegawai polis IPD Kampar masih dalam siasatan bagi memastikan kesahihan dakwaan itu," katanya.

Racun burung merpati, 4 termasuk warga Indonesia didakwa

Bernama

Kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak beracun hingga tular di media sosial, bulan lalu. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Empat individu termasuk dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati, bulan lalu.

Dua warga Indonesia Fathur Rosi Arsijo, 22, dan Abdul Rahman Sauji, 32, kedua-duanya pekerja pembersihan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Bagaimanapun, dua pembantu tadbir wanita Noor Hazirah Masuan, 32, dan Nurul Najwa Shafikah Zukri, 22, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama tanpa kebenaran yang sah atau sebab munasabah memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati di hadapan perkarangan sebuah kilang di Batu Tiga di sini pada 3.53 petang, 21 Julai lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Sept ini sebagai tarikh untuk membacakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Fathur Rosi dan Abdul Rahman, serta sebutan dan serahan dokumen untuk dua tertuduh wanita itu.

Rasyihah juga membenarkan kedua-dua wanita warga tempatan itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua warga Indonesia itu pula tidak ditetapkan sebarang jaminan kerana mereka kini ditahan di bawah Akta Imigresen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Sharif Sabran manakala peguam Nur Iwani Izzaty mewakili Noor Hazirah dan Nurul Najwa Shafikah, dan dua warga Indonesia tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kejadian kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak yang diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Agung mahu rakyat sokong RUU kawalan produk tembakau

SITI NUR ZAWANI MISCON

Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia menyokong Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Baginda secara peribadi merasakan, perkara itu adalah satu usaha yang cukup murni, dan berharap seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan supaya rang undang-undang itu dapat dikaji dan diteliti.

Baginda Al Sultan turut bertitah anak-anak muda perlu dididik untuk mengamalkan amalan terbaik agar perkara yang boleh menjejaskan kesihatan dapat dikurangkan dan sekaligus dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan di hospital-hospital dalam negara.

“Seri Paduka Baginda dalam Titah Perasmian bertitah penubuhan Kompleks Institut Kesihatan Negara merupakan satu lagi titik tolak penanda aras bagi masa hadapan untuk membawa soal-soal kesihatan ke tahap yang lebih baik demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap usaha kerajaan dalam menjamin dan memelihara kesihatan generasi akan datang, menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di parlimen baru-baru ini,” menurut kenyataan rasmi Istana Negara hari ini.

Sanggup terjun bangunan elak dicekup

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kajang: Seorang lelaki warga Indonesia bertindak nekad dengan terjun dari tingkat empat bangunan rumah kedai di Kompleks Hentian Kajang, di sini, untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa dalam serbuan pada tengah malam tadi.

Tindakan lelaki berusia 27 tahun itu mengundang padah apabila kaki kanannya dipercayai patah akibat terjatuh dalam insiden berkenaan.

Lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu terjun melalui tingkap di rumah sewa yang didiami bersama dua rakannya yang juga warga Indonesia di tingkat empat menyebabkan dia tersangkut pada bumbung di tingkat dua.

Dia kemudian jatuh ke tingkat bawah dan cuba melarikan diri ke belukar berhampiran sebelum berjaya ditahan anggota penguat kuasa yang bertugas.

Lelaki itu memaklumkan bertindak sedemikian kerana takut memandangkan pasport miliknya sudah tamat tempoh pada Disember tahun lalu.

"Saya masuk Malaysia sejak tiga tahun lalu dan pasport sudah mati sejak Disember tahun lalu. Disebabkan itu, saya takut dan bertindak melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Lelaki itu antara 175 warga asing yang ditahan dalam Operasi Kutip (Op Kutip) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di lokasi berkenaan bermula jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memeriksa 425 warga asing di 134 kediaman membabitkan enam blok bangunan di lokasi terbabit.

"Daripada jumlah itu, kami menahan 132 lelaki, 41 wanita serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan warga asing terdiri daripada berusia antara dua hingga 55 tahun.

"Mereka yang ditahan membabitkan 115 warga Myanmar, 33 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal, empat warga Sri Lanka dan seorang warga India," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya sudah lama memerhatikan Kompleks Hentian Kajang apabila ramai warga asing termasuk dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta India mendiami kediaman kawasan berkenaan.

"Semasa serbuan dilakukan, anggota bertugas terpaksa memecahkan pintu kediaman kerana ada di antara warga asing yang enggan memberi kerjasama membuka pintu rumah.

"Ada juga warga asing yang ditahan adalah pencari suaka warga Myanmar iaitu dari etnik Shan yang mempunyai surat Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan mempunyai keluarga di sini," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran, pekerja kilang dan pekerja kedai di kawasan sekitar.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami turut menemui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dalam sektor perkilangan selain pemegang kad UNHCR etnik Rakhine yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) tinggal bersama.

"Kami juga menemui sebuah premis yang dipercayai pusat judi dalam talian, namun semua individu di dalam premis berkenaan melarikan diri melalui tingkap yang diumpil.

"Pemeriksaan di dalam premis itu yang dilengkapi dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) menemui kira-kira 20 komputer riba dipercayai digunakan bagi kegiatan judi dalam talian," katanya.

Katanya, kebanyakan Pati yang ditahan dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan laut menerusi pintu masuk di Johor.

"Semua warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen, menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh dan tamat permit kerja.

"Mereka yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.