Zurina menidurkan anaknya sebelum menoreh getah.
BEGINILAH rutinku dan suami setiap hari. Seusai solat subuh, tatkala jalan masih gelap, tanggungjawab demi masa depan anak perlu dilunaskan.
Aku mahu dia pandai supaya kepayahan kami alami sekarang tidak berpanjangan.
Sebaik anak sulung melangkah kaki ke sekolah, aku dan suami serta anak bongsu bergegas ke kebun getah.
Walaupun kami bukan tuannya, tetapi pokok inilah yang menyara hidup kami empat beranak.
Ku cari dahan yang selalu ku gantung buai anakku. Aku tiada pilihan. Jikaku mampu anak ini pasti tidak perlu berada di sini. Dia boleh saja berada di rumah pengasuh.
Tapi apakan daya. Pendapatanku dan suami hanya RM40 sebulan. Aku dan suami mengambil upah menoreh pokok orang lain. Mana mampu nak gajikan pengasuh.
Jika disoal kepada sampai bila anak kecil ini perlu 'diasuh' di dalam kebun getah, ku tiada jawapannya.
Jika kesudahan nasibku tiada nokhtah aku reda, mungkin ini takdir dari yang maha Esa.
Selalunya, sebelum menoreh getah yang menyara hidup kami anak beranak, Aku akan menyuap anak kecil berusia dua tahun ini dengan nasi lemak yang dibeli suami.
Bila kekenyangan, baru ditidurkan di dalam buaian yang diikat suami di pohon getah.
Tangan yang menghayun buaian ini ku iringi selawat ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW, mudah-mudahan dengan berkat selawat ke atas Baginda, anakku tidak lupa kami bila dia berjaya kelak.
Bila memandang wajahnya, hati tiba-tiba sayu, ku terkenang beberapa pengalaman yang pernah menimpanya.
Beberapa ekor beruk buas pernah mengganggunya, mujur ku sempat melempar sesuatu kepada haiwan itu dari bertindak di luar jangkaan.
Kakaknya pula biasa disengat kala jengking di kebun ini, ketika itu hanya ALLAH yang tahu bagaimana perasaan seorang ibu. Alhamdulillah, dia selamat dari bahaya selepas dirawat di klinik kerajaan.
Jika cuti sekolah setiap minggu, mahu atau tidak, anak sulung turut dibawa ke kebun getah ini seharian.
Lamunan terhadap kenangan lalu terhenti, sehelai daun pokok getah yang melayang jatuh di hadapan wajahku buatkan ku tersedar.
Pokok getah, bisik hati kecil hatiku, harap-harap hari ini susu dapat keluar banyak.
Selepas anak bongsu ini lelap, ku capai pisau di dalam raga motosikal, perlahan-lahan meninggalkan anak kecil yang lena di dalam buaian.
Aku dekati suami yang selesai menoreh 15 batang pokok, dia menunjukkan isyarat tangan kepada ku ke arah pokok yang belum ditoreh.
Dengan kudrat yang ada, aku turuti arahan suami, kami bersama-sama menoreh di dalam kedinginan Subuh.
Mungkin bagi mereka yang tidak pernah menoreh, pekerjaan ini seboleh-bolehnya ingin dijauhi, tiada yang sanggup bermain dengan bau busuk dan lekit getah kecuali mereka yang hidupnya memang dihimpit kesusahan.
Namun, aku bersyukur, sehingga hari ini, setidak-tidaknya kami anak beranak tidak perlu mengemis di tepian jalan seperti insan senasib kami.
Dengan hasil susu getah ini, suami akan bahagiakan kami anak beranak.
Biarpun selama hidup bersamanya jariku ini tidak pernah disarungkan cincin mahal, tidak pernah dipakaikan seutas rantai berharga, tetapi hati ini tenang hidup di sampingnya.
Selalunya, makanan yang dimasak di rumahku hanya nasi kosong, ikan masin dan air garam.
Alhamdulillah, biarpun itu yang selalu kami jamah hampir setiap hari, tetapi jika reda dan bersyukur dengan rezeki yang ada, pasti ALLAH akan limpahkan rasa cukup dengan apa yang diberikan oleh-Nya.
Bagaimanapun, ku akui, disebabkan kemiskinan ini anak-anak juga terpaksa menempuh dan menanggung derita.
Jika ikan masin, beras atau sekurang-kurangnya telur dan ikan sardin mampu dibeli, tetapi susu tepung untuk anak kami berusia dua tahun itu tidak mampu dibeli.
Jika dibeli sekalipun, mungkin sekali dalam setahun.
Pernah anak merengek kerana lapar mahukan susu, dalam poket suami tika itu hanya ada RM5, berbanding harga satu tin susu tepung mencecah puluhan ringgit benar-benar buatkan kami tidak mampu.
Dalam tangisan itu, akhirnya dia diam apabila diberikan minuman disangkanya susu.
Bersama mata yang digenangi air, ku bancuhkan kepada anakku itu teh atau kopi menggantikan susu.
Sungguh! Jika harga getah tidak serendah sekarang, mungkin susu tepung masih mampu dibelikan suami.
Seperti kebiasaannya, anakku akan mengalami ciri birit selepas meminum 'susu' yang dimintanya, bersandarkan tawakal kepada ilahi, ku akur dengan perjalanan hidup ini.
Anak sulung juga terpaksa menerima hakikat betapa dia hidup bersama ayah dan ibunya yang tidak kaya seperti keluarga lain, tatkala musim hujan, aku dan suami tidak mampu membekalkannya duit kerana pendapatan kami merosot.
Pokok tidak dapat ditoreh, bagaimana dapatkan hasil?
Bukan sekadar duit berbelanja di sekolah tidak mampu diberi, malah wang mengisi minyak motosikal terpaksa difikir berkali-kali sebelum diisi.
Seperti bulan November baru-baru ini, dalam sebulan hanya tiga kali pokok dapat ditoreh, mujur anak sulung kami menerima bantuan makanan dari sekolah.
Adakalanya suamiku sendiri terpaksa menebalkan muka berhutang di kedai.
Ku punya jalan hidup berbeza, anak sulung kami berusia 11 tahun ini sebenarnya anak kepada suami pertama, selepas diceraikan, hadir seorang lelaki yang sanggup menerima dan membela kami.
Sebagai isteri, aku hanya mampu berdoa agar suamiku dilindungi ALLAH. Ku titipkan kalimah rahsia kepada ALLAH agar diberikan suamiku ini sebuah syurga kepadanya.
Zurina Jusoh, 32,
Kampung Seri Dacing, Sik, Kedah.
-sinarharian-