"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 warga asing ditahan kerana eksploitasi seks

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Tanzania ditahan polis semalam, disyaki terlibat kes eksploitasi seks warga asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata ketiga-tiga mereka yang berusia antara 28 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak, di sini, pada 12.45 tengah malam.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang mangsa wanita warga Tanzania pada Rabu lepas yang melarikan diri dari kenalan senegaranya kerana ditipu dengan dijanjikan bekerja di sebuah pusat kecantikan di negara ini.

“Pengadu membuat laporan kerana mendakwa telah dikurung dan dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks kepada lelaki warga asing selain ingin mendapatkan semula pasport miliknya yang tertinggal semasa melarikan diri serta mahu merujuk ke pihak kedutaan dan pulang ke negara asalnya.

“Semasa serbuan, polis merampas beberapa telefon bimbit milik kesemua suspek dan pemeriksaan telefon bimbit suspek utama mendapati terdapat gambar-gambar mangsa serta gambar pasport milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati ketiga-tiga suspek berada di Malaysia menggunakan visa sebagai pelajar.

“Suspek lelaki memiliki pasport manakala dua wanita berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ujian saringan awal dadah mendapati kedua-dua wanita positif dadah dan kesemua suspek direman hingga Khamis depan bagi siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,”

Annuar Musa sudah 'dilamar' PAS

Dah 'dilamar' PAS, Annuar kata: Nantilah dulu...

Malaysiakini

Bekas pemimpin kanan Umno, Annuar Musa, hari ini mendedahkan dia 'dilamar' parti lain sejurus selepas dipecat daripada parti itu kelmarin.

Menegaskan dia tetap reda dengan keputusan parti kerana menganggap boleh membawa kebaikan kepada Umno, Annuar memberitahu PAS ada mempelawanya berceramah di rapat umum mereka.

Namun Annuar membayangkan dia keberatan untuk memenuhi jemputan tersebut kerana masih terlalu baru 'bercerai' dengan Umno.

"Malam ini ambo (saya) dijemput berceramah dalam rapat umum PAS, tapi ambo jawab terus: baru bercerai tiga hari masuk sudah meminang.

"Ketua Muslimat PAS Melaka kata, kalau rumah tu terbakar, marilah duduk rumah ambo. Nanti dulu... biarlah lepas idah dulu (sebab) kalau (wanita kalau) suami mati pun ada tempoh (idah) dia," kata Annuar bermadah.

Dia yang mengetuai Umno Ketereh sejak 35 tahun lalu sebelum disingkirkan berkata demikian ketika berucap di majlis pertemuan dengan pemimpin Umno bahagian terbabit hari ini.

Ucapan Annuar disiarkan secara langsung di Facebooknya.

"Rumah terbakar" yang disebut Annuar itu merujuk kepada kiasannya mengenai keadaan Umno selepas mereka menyertai kerajaan pimpinan PH baru-baru ini.

Dalam ucapan sama Annuar turut menyifatkan pemecatannya sebagai isyarat daripada pemimpin Umno kepada ahli parti yang lantang bersuara agar mereka tidak melawan.

Pun begitu bekas setiausaha agung Umno itu pasrah dan menjelaskan dia tidak menyimpan dendam terhadap pemimpin parti yang membuat keputusan tersebut.

"(Umno) Pecat ambo supaya orang lain takut. Kalau (Umno) pecat ambo (supaya) orang lain tak terpecat, tak apa... ambo reda," kataya lagi.

Annuar yang pernah menjadi menteri beberapa kali itu juga berharap pemimpin Umno yang lain - yang turut tidak senang dengan keputusan parti menyokong PH - tidak menerima nasib sepertinya.

‘Besar sungguh salah ambo’

Antara nama yang disebut Annuar ialah Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 8 Dis memutuskan untuk memecat Annuar serta beberapa pemimpin lain iaitu dua ketua Wanita Umno bahagian.

Mereka ialah Shamsiah Yasin (Ketua Wanita Umno Arau) Fatimah Kassim (Ketua Wanita Maran). Untuk rekod Shamsian ialah isteri Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, manakala Fatimah isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib.

Shahidan dan Ismail bertanding sebagai calon PN dalam PRU baru-baru ini.

Dalam pada itu Annuar mendakwa pemecatannya dibuat MKT Umno tanpa dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti terlebih dulu.

Yakin pemecatannya dibuat kerana kritikannya terhadap pucuk pimpinan, Annuar berkata dia tetap tidak membenci Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, kerana perselisihan mereka hanya membabitkan perbezaan pendapat.

"Ambo dipecat tanpa melalui jawatankuasa disiplin, maknanya besar sungguh kesalahan ambo tu, lebih (besar) daripada kesalahan Anwar Ibrahim dulu.

"Kesalahan ambo lebih besar daripada salah Muhyiddin (Yassin) dulu, pakai tak payah bicara hakim terus jatuh hukum.

"Kebetulan ambo salah masuk lorong. Ambo masuk lorong (cadang) presiden kena letak jawatan tolong bagi dekat orang lain dulu supaya kita (Umno) boleh gagah (kuat) semula.

"Menyesal? Tidak, ambo tak menyesal sebab perangai ambo suka bercakap betul (benar). Tak ada (hal) peribadi, tak ada kebencian cuma mencadangkan (presiden letak jawatan)," katanya.

Haram hukumnya dan berdosa

Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

PETIKAN video aksi keterlaluan seorang pemuda yang mendapat kecaman netizen.

PETIKAN video aksi keterlaluan seorang pemuda yang mendapat kecaman netizen.

Kuala Lumpur: Tular di laman sosial video 'prank' keterlaluan seorang pemuda terhadap wanita di taman rekreasi di Semenyih, Selangor.

Menerusi video dimuat naik di TikTok itu, pemuda terbabit dilihat membawa kek sebelum menekup wajah seorang wanita dengan manisan berkenaan.

Wanita yang ketika itu duduk berehat bersama pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) berkerusi roda kelihatan terkejut kemudian bangun lalu menjerit ke arah pemuda terbabit.

Pemuda itu kemudian datang semula kepada wanita itu bagi memohon maaf dan menjelaskan apa dilakukannya adalah satu projek eksperimen sosial.

Jelas pemuda itu, dia lakukannya dengan tujuan menguji kesabaran wanita terbabit dalam menjaga anak istimewa dan melihat reaksi orang sekeliling.

Wanita itu mengakui berang dengan apa dilakukan pemuda terbabit namun memaafkannya.

Harian Metro cuba menghantar kiriman mesej di Instagram (IG) miliknya bagi mendapatkan ulasan pemuda terbabit susulan tindakannya mendapat kecaman dan mengunang kemarahan netizen kerana dianggap biadap.

Bagaimanapun, belum ada maklum balas diterima setakat ini malah tiada kenyataan dibuat menerusi TikTok atau IG pemuda terbabit bagi menjelaskan perkara sebenar sama ada wanita dalam video berkenaan benar-benar mangsa atau pelakon terbabit dalam menjayakan projeknya.

Dalam pada itu Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim ketika dihubungi Harian Metro berkata, haram hukumnya dan berdosa individu yang menganiaya insan lain dengan cara sebegitu.

"Niat yang baik untuk buat 'content' (kandungan video) sama sekali tidak boleh menghalalkan cara yang haram.

"Perbuatan memalukan dan menyakiti orang lain seperti ini adalah dilarang oleh Islam.

"Jika ditakdirkan, kakak itu (mangsa) tercedera, terbuta mata atau lain-lain yg memudaratkan, pemuda itu boleh disaman malah segala kerugian dihadapi mangsa wajib diganti rugi oleh pelaku dalam Islam," katanya.

Justeru, Mohd Izhar Ariff menasihati pemuda terbabit untuk berfikir panjang sebelum melakukan perbuatan berkenaan.

"Nasib baik adik (pelaku) tak kena pukul dengan orang sekeliling.

"Sabar ada hadnya. Jangan menguji kesabaran orang lain dengan kerja tak cerdik.

"Apa pun, apa yang pemuda itu lakukan bukan budaya rakyat Malaysia," katanya.

Bekas hakim menang tuntutan bayaran pencen

FMT Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman daripada hakim bersara berhubung pengurangan pencen dilaksanakan kerajaan.

Penghakiman terbabit juga memberi kesan kepada hakim yang sedang berkhidmat.

Hakim Leonard David Shim turut membenarkan pengisytiharan Ian Chin bahawa pindaan terhadap Akta Saraan Hakim 2014 batal dan tidak konsisten dengan Perkara 125 (7) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan imbuhan dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen hakim tidak boleh diubah kepada merugikan selepas pelantikan.

Shim yang membuat penghakimannya, semalam, turut membenarkan pengisytiharan Chin bahawa kerajaan telah melanggar Perkara 125 (7) Perlembagaan Persekutuan apabila gagal membayar pencen bulanan terhadapnya mengikut formula tertentu.

Hakim juga mengarahkan kerajaan membayar pampasan kepada Chin berjumlah RM301,768.60, iaitu pengurangan pencen yang dibayar kepadanya antara Julai 2016 dan Februari 2022. Jumlah terbabit termasuk faedah 5%.

Mahkamah juga membatalkan kenaikan tahunan 2% yang dibayar kepada semua hakim bersara tanpa mengira sama ada mereka bersara sebelum atau selepas 2015.

Isu berkenaan dibangkitkan ketika kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 bagi hakim dengan menyediakan pencen lebih tinggi selain kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan dilakukan.

Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama selain kenaikan tahunan 2%.

Chin yang memfailkan saman pemula, pada Februari, berkata tuntutan juga meliputi hakim bersara yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, termasuk tanggungan mereka.

Chin yang bersara pada 2008, menamakan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai defendan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Liew Horng Bin dan Kogilambigai Muthusamy mewakili defendan.

Shamsul mengesahkan penghakiman itu ketika dihubungi FMT.

Chin mewakili dirinya sendiri dan dibantu anaknya, Arthur.

Chin yang berkhidmat selama 201 bulan sebagai pesuruhjaya kehakiman dan hakim Mahkamah Tinggi, berkata bayaran pencen dibayar kepadanya sebelum 2015 telah diubah pihak defendan.

Januari lalu, 28 bekas hakim dan tujuh balu bekas hakim memfailkan tindakan sama terhadap kerajaan, di Kuala Lumpur.

Plaintif terbabit juga menuntut pengisytiharan hampir sama dilakukan Chin.

Kerajaan bagaimanapun memohon lebih masa daripada Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk memutuskan sama ada perkara itu patut diselesaikan di luar mahkamah.

'Orang lain adalah tuan kepada api ini, ...dia sudah lama nak bakar rumah kita'

Mohd Nasaruddin Parzi

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO mendakwa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecat tiga pemimpin akar umbinya malam tadi, adalah usaha mengeluarkan pemimpin yang bertindak umpama 'api dalam sekam' dalam parti itu.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata langkah itu diambil memandangkan pihak berkenaan didakwa mahu melihat supaya parti sendiri berada dalam keadaan merempat serta berpaut kepada parti seteru.

"Saya juga ada mimpi semalam. Saya mimpi dalam rumah kita ada api dalam sekam. Api itu mahu bakar rumah kita supaya kita merempat dan pergi menumpang rumah orang lain. Orang lain itu adalah tuan kepada api ini dan dia sudah lama mahu bakar rumah kita dan halau kita keluar dari rumah sendiri.

"Sebelum rumah kita terbakar, kita perlu keluarkan api dalam sekam ini. Baru rumah kita selamat dan keluarga kita bahagia. Semoga Allah SWT merahmati kita semua," katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa UMNO kini diibaratkan sebuah rumah pusaka, yang sedang terbakar hingga menyebabkan ramai penghuninya lari, tetapi mereka yang berusaha memadam kebakaran itu, ditarik keluar daripada api yang sedang memusnahkan itu.

Dalam mesyuarat MKT malam tadi, selain Annuar, dua lagi pemimpin akar umbi yang dipecat adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatan mereka atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Shamsiah adalah isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, yang memenangi Parlimen Arau dalam PRU15 atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas dia digugurkan oleh BN daripada mempertahankan kerusi terbabit.

Fatimah pula adalah isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, bekas wakil rakyat UMNO yang berpaling tadah dan turut bertanding atas tiket PN dalam PRU15.

Hal pemecatan itu dimaklumkan Ahli MKT, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui media di Menara Dato' Onn di sini, selepas mesyuarat selesai

Mengulas lanjut, Isham menasihatkan Annuar supaya reda dengan segala ketetapan, merujuk keputusan yang diperoleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

"Mungkin Tan Sri (Annuar) impikan nak jadi menteri lagi tapi tidak jadi dan tiada rezeki. Tidak mengapa, reda sahajalah ketentuan Allah SWT, Dia penentu segala. Kita hanya manusia yang berusaha, jika Allah tidak izin, maka adalah sebabnya.

"Menang itu penting, namun bagaimana kita menang itu lebih penting, jika sumber kemenangan itu tidak berkat, maka kifarah akan bersemuka," katanya.

Upko ‘hidup’ semula bersama PH, tak mustahil dominan di Sabah

Willie Jude

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat tindakan Upko menyertai Pakatan Harapan (PH) berjaya menghidupkan semula parti itu dan tidak mustahil muncul menjadi dominan di Sabah pada masa akan datang.

Ramli Dollah dari Unit Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes) Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata tindakan Upko menyertai PH sebelum ini adalah keputusan bijak walaupun dianggap sebagai ‘talian hayat’ buat mereka.

“Keputusan Upko menyertai PH merupakan tindakan bijak dan kejayaannya memenangi dua kerusi Parlimen di Sabah menjadikan parti itu terus relevan dalam politik Sabah. Saya percaya perubahan yang berlaku di peringkat pusat akan memberi implikasi besar kepada politik di Sabah.

“Dalam hal ini, saya pasti Upko mampu menjadi antara parti dominan di negeri ini,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Ramli berkata kebangkitan semula Upko selepas ini turut bergantung kepada prestasi kerajaan di peringkat Pusat.

“Kebangkitan Upko bersyarat, iaitu kerajaan pusat yang ada sekarang dan didominasi oleh PH mampu melakukan perubahan diharapkan rakyat. Kejayaan pentadbiran bawah PH dan Barisan Nasional (BN) di mana Upko menjadi ahli penting kepada masa depan Upko dalam politik di Sabah,” katanya.

Kemenangan tak dijangka ‘titik permulaan’

Sementara itu, Lee Kuok Tiung juga daripada UMS, berkata kebangkitan Upko selepas ini juga bergantung kepada kepimpinan baharu parti yang bakal berlaku.

Katanya, kejayaan Upko memenangi dua kerusi tidak jangka juga boleh dianggap sebagai titik permulaan kebangkitan parti itu.

“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu Upko berjaya memperoleh dua daripada lima kerusi ditandingi.

“Kedua-dua kerusi ini merupakan kerusi yang tidak dijangkakan Upko akan menang memandangkan Darell Leiking (timbalan presiden Warisan) nampak begitu gagah di Penampang dan kerusi Tuaran secara tradisinya milik BN,” katanya.

Upko sebelum ini salah satu komponen BN, namun keluar daripada gabungan itu untuk bersama Warisan dan PH bagi menubuhkan kerajaan negeri selepas PRU14. Ketika itu, Upko yang diterajui Wilfred Madius Tangau mempunyai lima wakil rakyat.

Pada PRN 2020, Upko bertanding di 12 kerusi menggunakan logo sendiri namun hanya memenangi satu kerusi, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada ia masih relevan dalam politik Sabah.

Parti itu kemudian menyertai PH tahun lalu dan bertanding di lima kerusi atas tiket gabungan berkenaan pada PRU15. Walaupun tewas di tiga kerusi, Upko mencipta kejutan apabila memenangi dua kerusi “heavyweight” iaitu di Tuaran dan Penampang.

Upko bakal diterajui menteri pembangunan usahawan dan koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Ewon Benedick selepas Madius sebelum ini memutuskan tidak mempertahankan jawatan presiden.

Pemilihan Upko bakal berlangsung pada 14 dan 15 Jan depan sempena kongres parti itu yang sepatutnya berlangsung pada Oktober tahun ini namun ditangguh susulan PRU15.

Semua Adun, ahli Bersatu Sabah keluar parti, sokong Anwar

BORHAN AHMAD

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengumumkan meninggalkan parti itu hari ini dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu hari ini.

Tambah Hajiji, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Sambil menyifatkan ia adalah keputusan terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik negeri, beliau dan kepimpinan akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu,” katanya.

Dua hari lepas, media di Sabah melaporkan, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan sokongan kepada Anwar serta Kerajaan Perpaduan.

Sokongan Hajiji itu turut disahkan oleh Anwar, malah wakil GRS daripada BERSATU Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Situasi itu menyebabkan kedudukan wakil rakyat BERSATU Sabah yang menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan, dilihat janggal kerana pada masa sama mereka juga adalah wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Bersatu Sabah lumpuh, Hajiji dan pemimpin lain tinggalkan parti

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti pimpinan Muhyiddin Yassin, kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor.

Menerusi kenyataan hari ini, Hajiji berkata keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan parti adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Jelas beliau lagi, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan negeri ditunjangi oleh GRS dan Barisan Nasional (GRS-BN) juga telah mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji berkata beliau dan kepimpinan Sabah akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini, secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

Hajiji berkata, kepimpinan Bersatu membuat keputusan ini setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Katanya, keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.

“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli Bersatu,” tambahnya.

Tindakan keluar Bersatu Sabah itu tidak mencetuskan implikasi undang-undang anti-lompat parti memandangkan calon yang meraih kemenangan bertanding di bawah GRS.

Sinar Harian: PN boleh hilang 32 kerusi jika...

LIZA MOKHTAR

Infografik 32 kerusi PN yang boleh dimenangi PH-BN jika bergabung pada PRU15.
Infografik 32 kerusi PN yang boleh dimenangi PH-BN jika bergabung pada PRU15.

PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas berakhirnya perebutan kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah pada Rabu, menyaksikan tsunami Perikatan Nasional (PN) terus membadai tiga negeri di utara tanah air.

Dengan pertambahan satu kerusi itu, PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini memiliki bilangan 74 kerusi Parlimen.

Apabila berakhirnya perebutan 222 kerusi Parlimen itu juga, pentas politik negara kini disajikan dengan jajaran baharu parti melibatkan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan menentang PN yang bertindak sebagai pembangkang.

Gantung diri selepas ditipu RM156,000 – Polis nasihat orang ramai buat semakan terhadap panggilan

FAZLI RADZI

Seorang lelaki berusia 43 tahun bertindak menggantung diri selepas wang simpanannya sebanyak RM156,000 lesap ditipu sindiket ‘Phone Scam’.

Mangsa ditemukan meninggal dunia tengah hari semalam di sebuah bangsal dalam kebun durian di Jalan Felcra Kerdau, di Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff, berkata siasatan awal mendapati mangsa diperdaya sindiket yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier dan polis.

Menurutnya, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan mati mengejut.

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah menggelabah sekiranya menerima sebarang panggilan yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau dari mana-mana pihak.

Mohd Azhar berkata bagi mengelak terpedaya individu terbabit perlu membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan membuat pertanyaan berkaitan kesalahan jenayah komersial melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222 atau menghubungi CCID scam response centre di talian 03-26101599/03-2610 1559,” katanya.

Anwar saman pemfitnah paling tepat, malah mahkamah patut naikkan lagi hukuman

SHAHBUDIN HUSIN

Sehingga ini, tiga pemimpin PN telah diambil tindakan undang-undang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah dan membuat tuduhan palsu.

Mereka ialah Mahiaddin Md Yasin, Pengerusi PN; Razman Zakaria, Ketua Pas Perak dan Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu.

Mahiaddin dan Ahmad Amzad disaman kerana membuat tuduhan palsu bahawa Anwar ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor telah membuat tuntutan sebanyak RM15 juta.

Pejabat Menteri Besar Selangor telah menafikan dakwaan berkaitan tuntutan RM15 juta itu dan menegaskan bayaran simbolik yang diterima Anwar hanyalah sebanyak RM1.

Selain itu, Ahmad Amazad juga disaman kerana mempertikaikan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018 atas tiga sabitan salah guna kuasa dan liwat.

Razman pula disaman berhubung ucapannya yang mengaitkan Anwar dengan dakwaan membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.

Semua saman terhadap mereka itu dikemukakan Anwar atas kapasiti peribadinya.

Tindakan Anwar mengemukakan semua saman itu tidak bermaksud untuk menghalang kebebasan bersuara atau kepimpinannya tidak sedia dikritik, tetapi semua tuduhan yang dibuat itu adalah fitnah dan palsu.

Mengkritik dan menegur, terutama dalam konteks politik adalah jauh berbeza dengan membuat tuduhan palsu serta memfitnah.

Sebagaimana Islam mengharamkan melakukan fitnah dan ia merupakan suatu dosa yang besar, apa yang dilakukan Anwar sebenarnya sangat tepat lagi wajar.

Mendepani fitnah, tak kira siapa pun yang dituduh demikian, membuat penafian atau penjelasan semata-mata sebenarnya tidak lagi memadai.

Pembuat fitnah akan terus melakukan kerja jahat dan terkutuk itu jika sekadar dilawan dengan penafian atau penjelasan saja.

Ini kerana ia tidak memberi ketakutan kepada mereka untuk meneruskan fitnah yang sama atau fitnah yang lain di waktu yang berlainan, terutama melalui luasnya medium media sosial sekarang ini.

Hanya dengan disaman atau diambil tindakan undang-undang saja boleh memberi ketakutan atau pengajaran kepada mereka terbabit.

Begitu pun, untuk lebih berkesan menangani fitnah yang kesannya membunuh jiwa manusia, hakim-hakim seharusnya turut sama memainkan peranan membendung amalan fitnah dengan mengenakan hukuman setinggi mungkin jika terbukti kesalahannya.

Misalnya jika pembuat fitnah disaman RM5 juta atau RM10 juta, hakim atau mahkamah harus mempertimbangkan untuk mengekalkan amaun denda yang dituntut itu atau menaikkan lagi jumlahnya mengikut keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Jangan lagi hukuman denda memfitnah sekadar serendah RM5 ribu, RM10 ribu atau seumpamanya.

Jumlah sekecil itu tidak mendatangkan sebarang pengajaran kepada pembuat fitnah, malah tidak memberi ketakutan untuk mereka mengulanginya lagi.

Dalam hal ini, melalui saman yang diambilnya, Anwar telah memberi mesej yang jelas iaitu beliau dan kerajaan pimpinanya ini tidak akan sama sekali berkompromi dengan segala bentuk fitnah, meski yang melakukannya memakai kopiah.

Di banyak negara lain, pemimpin atau ketua negara mereka juga kerap mengambil tindakan undang-undang jika difitnah dengan tuduhan palsu.

Pemimpin dalam negara kita juga tidak kurang yang berbuat demikian sebelum ini.

Pokoknya, kalau pun pembuat fitnah tidak takut dengan dosa dan pembalasan Tuhan atas kejahatan mereka, sekurang-kurangnya mereka ada sedikit gentar bila terpaksa membayar denda dengan jumlah yang besar.

Senarai penuh menteri, timbalan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan 27 timbalan menteri dalam kerajaan perpaduannya.

Tiga individu yang bukannya Ahli Parlimen, perlu dilantik sebagai senator sebelum boleh memegang jawatan timbalan menteri. Mereka ialah Fuziah Salleh, K Saraswathy dan Huang Tiong Sii.

Kebanyakan timbalan menteri itu datang daripada Pakatan Harapan, iaitu seramai 13 wakil, disusuli Barisan Nasional (6), Gabungan Parti Sarawak (6), Gabungan Rakyat Sabah (1) dan Warisan (1).

Daripada kalangan parti itu, DAP mendahului dengan enam wakil, diikuti Umno (5), PKR (5), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (4), Amanah (2), Bersatu Sabah (1), Parti Rakyat Sarawak (1), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (1), Parti Bersatu Rakyat Sabah (1) dan Warisan (1).

Berikut senarai penuh menteri dan timbalan:

Perdana Menteri: Anwar Ibrahim

Timbalan: Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof

Menteri Kewangan: Anwar Ibrahim

Timbalan: Ahmad Maslan dan Steven Sim

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah: Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan: Rubiah Wang

Menteri Perladangan dan Komoditi: Fadillah Yusof

Timbalan: Siti Aminah Aching

Menteri Ekonomi: Rafizi Ramli

Timbalan: Hanifah Hajar Taib

Menteri Pertahanan: Mohamad Hasan

Timbalan: Adly Zahari

Menteri Dalam Negeri: Saifuddin Nasution Ismail

Timbalan: Shamsul Anuar Nasarah

Menteri Luar Negeri: Zambry Abdul Kadir

Timbalan: Mohamad Alamin

Menteri Pengangkutan: Loke Siew Fook

Timbalan: Hasbi Habibollah

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup: Salahuddin Ayub

Timbalan: Fuziah Salleh

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Tengku Zafrul Aziz

Timbalan: Liew Chin Tong

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Mohamad Sabu

Timbalan: Chan Foong Hin

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan: Nga Kor Ming

Timbalan: Akmal Nasir

Menteri Kerja Raya: Alexander Nanta Linggi

Timbalan: Abdul Rahman Mohamad

Menteri Pendidikan: Fadhlina Sidek

Timbalan: Lim Hui Ying

Menteri Pendidikan Tinggi: Khaled Nordin

Timbalan: Yusof Apdal

Menteri Kesihatan: Dr Zaliha Mustafa

Timbalan: Lukanisman Awang Sauni

Menteri Sumber Manusia: V Sivakumar

Timbalan: Mustafa Sakmud

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim: Nik Nazmi Nik Ahmad

Timbalan: Huang Tiong Sii

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi: Chang Lih Kang

Timbalan: Arthur Joseph Kurup

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Nancy Shukri

Timbalan: Aiman Athirah Sabu

Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Timbalan: Wilson Ugak Kumbong

Menteri di JPM (Undang-undang dan Reformasi Institusi): Azalina Othman Said

Timbalan: Ramkarpal Singh

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama): Na’im Mokhtar

Timbalan: Tiada

Menteri di JPM ((Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas): Armizan Ali

Timbalan: Tiada

Menteri Belia dan Sukan: Hannah Yeoh

Timbalan: Adam Adli

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya: Tiong King Sing

Timbalan: Khairul Firdaus Akhbar Khan

Menteri Komunikasi dan Digital: Fahmi Fadzil

Timbalan: Teo Nie Ching

Menteri Perpaduan Negara: Aaron Ago Dagang

Timbalan: Tiada

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Ewon Benedick

Timbalan: K Saraswathy

Senarai timbalan menteri

Berikut senarai penuh timbalan menteri yang diumumkan:

Timbalan Menteri Kewangan - Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Kewangan - Steven Sim Chee Keong

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah - Rubiah Wang

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi - Siti Aminah Aching

Timbalan Menteri Pengangkutan - Hasbi Habibollah

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan - Chan Foong Hin

Timbalan Menteri Ekonomi - Hanifah Hajar Taib

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan - Akmal Nasir

Timbalan Menteri Pertahanan - Adly Zahari

Timbalan Menteri Kerja Raya - Abdul Rahman Mohamad

Timbalan Menteri Dalam Negeri - Shamsul Anuar Nasarah

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Liew Chin Tong

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi - Yusof Apdal

 Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi - Arthur Joseph Kurup

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat - Aiman Athirah Sabu

Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup - Fuziah Salleh

Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi - Ramkarpal Singh

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim - Huang Tiong Si

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi - Saraswathy Kandasamy

Timbalan Menteri Luar Negeri - Mohamad Alamin

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya - Khairul Firdaus Akbar Khan

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital - Teo Nie Ching

Timbalan Menteri Pendidikan - Lim Hui Ying

Timbalan Menteri Belia dan Sukan - Adam Adli Abdul Halim

Timbalan Menteri Sumber Manusia - Mustafa @ Mohd Yunus Sakmud

Timbalan Menteri Kesihatan - Lukanisman Awang Sauni

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Wilson Ugak Kumbong

Puak ‘di sana’ merasakan hanya depa memperjuangkan Islam

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Media rasmi Pas (Harakahdaily) melaporkan berita ini di mana antara lain mengatakan, calon Perikatan Nasional yang kalah di Dun Tioman telah habaq “…kekalkan momentum kita untuk menangkan Islam….”.

Berdasarkan kenyataan tersebut jelas ada unsur ‘exclusivity’ di dalamnya iaitu seolah-olah hanya PN yang memperjuangkan Islam, maka kekalahan depa dilihat seolah-olah Islam itu telah kalah!

Jujurnya saya lebih bersimpati dari rasa nak marah dengan kenyataan tersebut.

Saya sebenarnya bersimpati kerana saya yakin penutur kenyataan itu kelihatan begitu yakin bahawa seolah-olah puak depa iaitu PN (yang Pas ada didalamnya) sahaja yang secara eksklusif pemegang obor Islam.

Bagi saya, inilah mungkin antara ‘kejayaaan’ PN khususnya Pas yang berjaya dengan cemerlang ‘mengelirukan’ para ahli dan penyokong depa sehingga depa yakin dengan pegangan depa.

Bila seseorang itu dok rasa depa sahaja pemilik tunggal yang memiliki ‘kad eksklusif premium’ sebagai pejuang Islam, kesan negatif yang ketara adalah depa akan mempunyai pemikiran negatif iaitu mentaliti ‘holier than thou’ atau kami lebih suci dan kudus dari anda.

Dengan wujudnya DNA ‘exclusiveness‘ itu, depa juga akan tutup mata, telinga dan hati depa dari menerima apa sahaja ilmu atau info yang datang dari saluran lain selain daripada saluran parti depa.

Sudah tentu Islam berlepas diri dari fahaman ekstremis tersebut.

In other words what are they happily claiming has nothing to do with Islam. Period.

InsyaAllah saya boleh dan berupaya untuk kemukakan baik dalil naqli dan aqli untuk merobekkan fahaman ekstremisme tersebut .

Saya tidak jadi untuk lakukan hal tersebut sebaik sahaja saya teringat pesanan Imam Al- Shafie رحمه الله ini :-

إذا نطق السفيه فلا تجبه فان خير إجابته السكوت”.

Saya tidak akan terjemah kata-kata yang penuh wisdom itu.

Jika anda tidak faham silalah tanya kepada sheikh Google.

'Kem motivasi neraka': Polis ambil keterangan 13 individu setakat ini

Hariz Mohd

Polis telah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan terhadap dakwaan kekasaran yang dihadapi murid ketika kem motivasi di sebuah sekolah di Serdang, Selangor minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang AA Anbalagan ketika dihubungi berkata antara yang disoal siasat setakat ini adalah fasilitator yang terlibat, guru, dan ibu bapa murid yang menyertai kem selama dua hari itu.

Malaysiakini difahamkan ketua fasilitator, yang merupakan seorang doktor di sebuah pusat perubatan di Sarawak, turut disoal siasat. Dia dianggap sebagai suspek utama yang didakwa mengasari salah seorang mangsa.

Anbalagan mengesahkan polis telah mengambil keterangan doktor itu namun tidak mengulas lanjut.

Dia berkata polis memanggil beberapa lagi individu untuk diambil keterangan, termasuk murid yang didakwa dikasari serta saksi insiden.

Setakat ini, kita telah ambil keterangan 13 individu. Ada lagi yang akan dipanggil sebelum kita selesaikan siasatan.

"Kami jangka kertas siasatan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya minggu depan," katanya.

'Kem motivasi neraka' - Fasilitator didakwa kasari murid

Katanya lagi, polis belum mengambil keterangan mangsa dan murid yang dikatakan menyaksikan insiden tersebut memandangkan mereka di bawah umur, dan maka memerlukan prosedur khas.

Oleh itu, katanya lagi, soal itu akan dikendalikan pasukan profesonal di Pusat Temuduga Saksi Kanak-kanak (CIC).

CIC adalah kemudahan khas di bawah kendalian Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ditolak ke dinding, hanya berseluar dalam di padang

Semalam, Malaysiakini melaporkan kira-kira 60 murid sebuah sekolah rendah di Serdang berdepan sejumlah kekasaran ketika menyertai kem motivasi yang diadakan pada 3 dan 4 disember lalu di sekolah tersebut.

Mereka antaranya didakwa disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, dihukum melakukan ketuk-ketampi beratus kali hanya kerana berbual serta dipukul dengan penyapu.

Seorang fasilitator didakwa mencekik seorang murid lelaki Darjah 5, menolaknya ke dinding, menamparnya beberapa kali dan memukulnya dengan penyapu.

Dia didakwa menuduh murid itu membawa vape ke kem dan tidak berpuas hati dengan penafiannya ketika ditanya berkenaan perkara itu.

Setakat semalam, polis telah menerima empat laporan polis dari ibu bapa.

Difahamkan sekumpulan ibu bapa pergi ke sekolah pada Isnin lalu bagi mendapatkan penjelasan dari pihak pengurusan.

Sumber berkata satu pertemuan diadakan keesokannya antara ibu bapa, pengurusan sekolah, wakil Jabatan Pendidikan Neger dan polis.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan maklum balas.

Difahamkan Jabatan Pendidikan Selangor telah diarahkan membuat siasatan dan dijangka mengeluarkan kenyataan nanti.

Anwar umum senarai timbalan menteri malam ini

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai timbalan menteri pada 8.15 malam ini selepas bertemu Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Anwar berkata, beliau akan menghadap Agong petang ini.

“Saya akan hadap Agong petang ini, Insya-Allah 8.15 malam akan umumkan nama timbalan menteri,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru.

Terdahulu, Berita Harian yang memetik sumber berkata Anwar dijadual menghadap Agong petang ini, bagi memaklumkan senarai timbalan menteri bakal dilantik menyertai pentadbiran kerajaan diterajuinya.

Menurutnya, ia bagi melengkapkan pentadbiran kerajaan selepas pelantikan 28 anggota Jemaah Menteri yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada 3 Dis lalu.

Lazimnya, senarai timbalan menteri yang terpilih akan diumumkan oleh perdana menteri, sebelum mereka mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Agong esok.

Terdahulu, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, Anwar singgah makan tengah hari di kedai makan An Nur Tom Yam bersama Ahli Parlimen Titiwangsa,Johari Abdul Ghani dan Menteri Agama Mohd Naim Mokhtar.

SPRM siasat dana RM90 bilion, RM430 bilion bukan dari kerajaan

Malaysiakini 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan siasatan terhadap dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Suruhanjaya itu hari ini menjelaskan siasatan awal mendapati hanya jumlah itu membabitkan dana kerajaan sedangkan RM437.5 bilion lagi bukan daripada kerajaan.

“Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan,” kata badan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas SPRM menerima butiran daripada Kementerian Kewangan mengenai pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19. 

Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama pada 5 Disember mendakwa  terdapat "pelanggaran" dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Perdana menteri bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Muhyiddin pula berkata dia tidak pasti bagaimana angka itu boleh timbul dan mencadangkan pengkritiknya terkeliru dengan peruntukan RM530 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi.

Katanya daripada keseluruhan RM530 bilion itu, sebahagian besarnya tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan kerana ia termasuk pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Persekutuan (KWSP), moratorium bayaran pinjaman bank dan jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan ketika berdepan pandemik Covid-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

SPRM akan Muhyiddin, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memberi keterangan.

Hanya layak jawatan PM ke? “Sepatutnya (Muhyiddin) jadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat, tak hendak

‘Hanya layak jadi PM ke’, Shahrir bidas kritikan Muhyiddin terhadap kerajaan perpaduan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Veteran Umno Shahrir Samad membidas Muhyiddin Yassin yang mengkritik kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Shahrir bertanya sama ada pengerusi PN itu hanya mahukan jawatan perdana menteri dan bukan jawatan lain.

“Sepatutnya (Muhyiddin) jadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat, tak hendak. Hanya layak jawatan PM ke?

“Putrajaya lagi ‘best’ kot. Macam kerajaan Langkah Sheraton, Tan Sri (Muhyiddin) jadi PM. Jadi PM tanpa PRU dan tak perlu pada Parlimen, ” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian merujuk laporan media yang memetik Muhyiddin berkata Pakatan Harapan-Barisan Nasional melakukan “penipuan pilihan raya paling besar” dan Jemaah Menteri “paling mengecewakan dalam sejarah”.

Shahrir mendakwa, Muhyiddin membuat kenyataan seperti itu berikutan kekalahan teruk PN di Johor pada pilihan raya.

“Kesian, beginilah jadinya apabila tiada lagi butang nak ditekan di Johor. PN di Johor ada 3 ADUN dan 2 MP (Ahli Parlimen) je.

“Lupakan Johor. Fokus pada nasional,” katanya.

Muhyiddin ‘penghalang’ kerjasama BN-PN

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Penganalisis politik melihat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai “penghalang” bagi pembentukan kerajaan antara partinya dengan Barisan Nasional (BN) selepas PRU15.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ini disebabkan Muhyiddin telah menunjukkan kehilangan hormat kepada institusi presiden dan hierarki BN-Umno dengan mengumumkan pembentukan kerajaan baharu selepas PRU15 walaupun belum ada rundingan dengan gabungan itu.

“Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pernah menyuarakan kesediaan parti untuk membelakangkan sengketa dan menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan dalam membentuk kerajaan sesudah PRU15 pada malam itu (pengumuman keputusan PRU15).

“….(Tawaran Zahid) tidak disambut Muhyiddin walaupun itu peluang terbaik untuk menunjukkan besar hatinya dalam menerima Umno seluruhnya sebagai rakan politik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keengganan Ahli Parlimen Pagoh itu menjunjung titah Agong membentuk kerajaan perpaduan jelas bertentangan dengan nilai asas Umno yang mendukung prinsip kesetiaan kepada raja dan negara.

Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun turut melihat Muhyiddin sebagai “batu penghalang” bagi kerjasama antara BN-PN, namun baginya, itu bukan satu-satunya masalah yang menghalang kerjasama antara dua gabungan tersebut.

Katanya, kelompok utama Umno dilihat tidak menyenangi Bersatu kerana dianggap pengkhianat yang berasal daripada kalangan mereka sendiri.

Ketika ditanya mengenai pengganti bagi menyambung legasi Muhyiddin mengetuai Bersatu dan PN, penganalis melihat tiada calon sesuai bagi menggantikan bekas perdana menteri itu.

Ketua Pengarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, wujud jurang kredibiliti antara Muhyiddin dengan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, ia berpunca daripada bagaimana Bersatu itu sendiri diikat rapat dengan faktor personaliti Muhyiddin.

“Dalam Bersatu, tiada lagi tokoh besar sejak ditinggalkan Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz, melainkan Muhyiddin.

“Malah Bersatu bersifat personalistik, kerana ia ditakrifkan oleh Muhyiddin dan beliau pula mendefinisikan parti itu,” katanya.

Sekolah pondok dengan ‘gelombang hijau’

Mohsin Abdullah

Artikel ini ditulis mengambil kira “sedikit” keputusan pilihan raya Parlimen Padang Serai 7 Dis lalu. Saya katakan “sedikit” kerana walaupun Padang Serai kini milik Perikatan Nasional (PN) ia dimenangi Bersatu dan bukan PAS rakannya dalam PN. Dan artikel ini pula mengenai PAS khususnya.

Penulisan ini susulan artikel saya yang terdahulu berjudul “Bolehkah ‘gelombang hijau’ terus bergelombang?”.

Persoalan itu diaju berikutan kemenangan besar PAS di pantai timur dan beberapa kawasan di utara tanah air pada PRU15 lalu. Lantas “gelombang”. Dan hijau pula warna “kegemaran” PAS yang digunakannya dengan warna putih. Untuk melambangkan Islam kata mereka.

Dan kemenangan PN di Padang Serai juga ada yang kaitkan dengan “gelombang hijau”. Bagi kawan lama saya berasal Terenggganu, Wan Ahmad Ngah, tidak mustahil suatu hari nanti gelombang hijau merangkumi seluruh negara dan baginya “Padang Serai membuktikannya”.

Bagi saya terlalu awal atau “premature” untuk membuat kesimpulan berdasarkan perkembangan dan beberapa faktor yang saya catat dalam artikel terdahulu. Jika berminat sila rujuk artikel berkenaan yang tajuknya saya sebutkan tadi. Dan pada hemat saya Padang Serai bukan kayu pengukur.

Namun, apa yang dinyatakan Wan Ahmad cukup menarik dan wajar diberi perhatian. Sebenarnya beliau dan beberapa pembaca termasuk kawan kawan lama yang mengikuti artikel terdahulu saya itu menjawab persoalan “bolehkah gelombang hijau terus bergelombang?”. Ada yang menjawab “iya dengan membawa isu Melayu-Islam”. Antaranya Rahim Daim juga kawan lama.

Berbalik kepada Wan Ahmad. Kata beliau perlu diingat “benih-benih hijau sentiasa segar di sekolah-sekolah pondok, sekolah agama dan dalam kalangan pelajar dari Timur Barat serta anak muda yang terdedah dengan “kemanisan sebaran Islam”. Jika benar mereka mengundi PAS. Ingin dikatakan ini tidak dapat disahkan.

Menurut beliau, mereka ini sudah diajar serta dipupuk dengan “keislaman” patuh kepada “guru, ulama dan tok tok guru” dan apabila remaja mereka sudah terdedah dengan “ideologi parti yang berteraskan Islam”. Jadi kata beliau mereka amat mudah menerima PAS, wala’, ikut perintah dan setia kepada “guru mereka apatah lagi ustaz dan pemimpin agama”.

Ertinya menurut Wan Ahmad mereka itu semua “punyai jati diri dan semangat keislaman yang kuat”.

Tetapi “semangat dan jati diri Islam yang kuat” anjuran atau dibawa oleh PAS kata Kassim Muhamad seorang lagi kawan lama. Dan ini kata beliau perlu difokus sebab “akibat dan paling pentingnya kesan kepada negara amnya dan kepada Islam itu sendiri khasnya”.

Kata beliau “begitu menakutkan melihat “brand” Islam yang sebenarnya bukan Islam. Ini menurutnya “malapetaka” untuk negara dan anak cucu kita. Pemikiran PAS itu Islam sudah berakar umbi walaupun kita tahu ia tidak benar. PAS itu politik yang mahu kuasa.

Saya setuju. Bagaimanapun naratif atau persepsi “PAS itu Islam” diterima ramai (atau sebilangan besar?) orang Melayu terutama di negeri di mana mereka majoriti. Kelantan dan Terengganu termasuk Kedah di mana Padang Serai terletak.

Di Padang Serai kata Wan Ahmad, majoriti pengundi golongan berusia 18 hingga 35 tahun yang kebanyakan mendapat asas pendidikan daripada tadika, pondok dan sekolah agama.

Yang dapat difahami ialah maksud beliau dengan Undi18 terlaksana, golongan muda memanfaatkannya dengan memilih PAS. Kita tahu Undi18 diperjuangkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan diluluskan di Parlimen pada 2019, waktu PH memerintah. Adakah itu langkah memakan diri?

Sebenarnya sebelum Undi18 diluluskan ramai penganalilis dan pemerhati politik meluahkan pandangan langkah itu boleh membawa “kesusahan” (kalau bukan padah) kepada PH sendiri. PH bagaimanapun meneruskan inisiatif itu “demi masa depan dan jalan ke hadapan” buat negara walau mengakui sedar risiko dihadapi.

Saya tidak mahu bercakap sama ada itu satu langkah betul atau silap PH. Cuma yang ingin saya tahu sekarang ialah ke mana perginya atau apa yang dilakukan oleh pengundi muda yang bukan Islam dan pengundi Melayu Islam yang bukan pelajar pondok pada PRU15?.

Realitinya negara kini sudah “terbahagi” kepada tiga blok yakni wilayah utara dan pantai timur yang majoriti Melayu yang sudah “dihijaukan”, wilayah tengah dan selatan yang terdiri masyarakat bukan Melayu dan juga Melayu yang amnya menyokong PH dan juga blok Borneo – Sabah dan Sarawak dengan tuntutan dan kepentingan tersendiri.

Saya setuju dengan Wan Ahmad bahawa untuk PH-BN “penetrate” negeri pantai timur yang diperintah PN (baca PAS) memang sukar. Sekurang-kurangnya buat masa terdekat. Dan apa yang mereka mesti awasi sekarang ialah kemungkinan kemaraan gelombang hijau ke negeri majoriti Melayu di pantai barat yang diperintah mereka yakni Selangor dan Negeri Sembilan apabila pilihan raya negeri diadakan tahun depan.

Kata Charles Santiago bekas Ahli Parlimen PH, kemenangan besar PN di Padang Serai tidak mengejutkan kerana “kita telah melihat corak yang sama di negeri lingkaran Melayu”. Dan kata beliau lagi “ia menandakan gelombang hijau yang ‘persuasive’ dan membimbangkan serta menunjukkan PH ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan bagi mengalih sentimen akar umbi”.

Bagi beliau setiap anggota Kabinet mesti sehaluan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

Betul. Tetapi bagi saya pada masa sama persepsi “PAS itu Islam” mesti ditanganinya. Jika yakin persepsi itu salah, PH harus menampilkan bukti dan hujah juga berdebatlah jika perlu untuk meyakinkan orang Melayu termasuk golongan muda terutama pelajar pondok dan sekolah agama serta ibu bapa mereka.

Lazimnya anak muda yang mengundi buat kali pertama akan mengundi berpandukan “arahan” atau siapa ibu bapa mereka undi.

Namun, apa pun yang dilakukan ia mesti teliti dan berhati-hati. Pelajar pondok dan sebagainya tidak harus dipersalahkan. Pondok dan sekolah agama jangan diganggu pengendalian dan pengurusannya. Sebarang campur tangan hanya akan dieksploitasi dan membakar sentimen supaya orang Melayu Islam membenci pemerintah.

Anwar terutamanya serta rakan-rakan mempunyai “credential” agama Islam yang membanggakan. Cuma golongan yang disasar kerap sukar menerima hujah agama disampaikan Muslim yang memakai kemeja dan kot. Meskipun hujah berdasarkan al-Quran dan hadis. Bagi golongan sasar berkenaan orang agama yang “layak dipercayai” ialah mereka yang berserban dan berjubah.

Usaha meyakinkan mereka bukan senang. Malah cukup susah, tetapi bukan mustahil.

Kesimpulannya bak kata Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim, untuk memerintah Malaysia sesebuah parti atau gabungan politik perlu sokongan multi etnik.

Bekas Pengerusi Amanah Kedah yang dipecat ingin sertai parti lain dalam PH

Tak minat sertai PAS, PN, kami ‘intai’ parti PH lain, kata bekas ahli Amanah

Faiz Zainudin

Bekas pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Zawawi berkata, lebih ramai ahli dan pemimpin Amanah Ked. .ah akan keluar parti dalam masa terdekat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Zawawi, yang dipecat daripada parti bulan lepas memaklumkan tidak berminat menyertai kembali PAS mahupun Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau bersama lebih 200 individu lain, terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli Amanah Kedah yang mengumumkan keluar parti bulan lepas, akan menyertai satu parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Kita buat keputusan untuk sertai salah satu parti dalam PH juga, tapi buat masa ini kita tak umum dulu parti mana.

“Kita tidak berminat kembali kepada PAS atau parti dalam gabungan PN,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada terdapat tawaran menyertai kembali PAS atau PN selepas dipecat daripada Amanah.

Beliau turut memaklumkan akan ada lebih ramai ahli dan pemimpin Amanah Kedah yang akan keluar parti dalam masa terdekat, susulan pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

“Ramai nak tunggu selepas hari mengundi Parlimen Padang Serai, lepas itu akan keluar Amanah ramai lagi,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan pihaknya ingin menyertai parti PH lain akan menyebabkan gabungan itu semakin berpecah dan dituduh mencuri ahli, Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu berkata, ini bukanlah perkara baharu, memandangkan bekas wakil rakyat Amanah sebelum ini menyertai parti lain termasuk PKR.

“Sebenarnya isu perpindahan parti dalam PH sudah berlaku di Johor, Selangor sebelum ini melibatkan wakil rakyat Amanah masuk parti lain (PKR) dalam gabungan,” katanya.

“Sebenarnya dalam PH, tiada ketetapan bahawa tak boleh berlaku perpindahan. Apabila tak sehaluan dengan parti A, boleh pergi ke parti B, ia tak dianggap satu permusuhan sebab masih lagi satu gabungan,” katanya.

Phahrolrazi dipecat daripada Amanah pada 30 Oktober kerana didapati melanggar perlembagaan, mengingkari keputusan part dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menjelaskan bahawa Phahrolrazi dipecat kerana cuba menghasut pimpinan dan ahli Amanah Kedah agar memboikot PRU15.

Susulan itu, lebih 200 individu, termasuk Speaker Amanah Kedah Kassim Mat Isa dan timbalannya Jamil Che Dan, Ketua Pemuda Negeri Mohd Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepemimpinan Pemuda Amanah negeri, meninggalkan parti.

MKT Umno putuskan pecat Annuar Musa

Haspaizi Zain

Sumber mengesahkan Ketua Umno Ketereh Annuar Musa antara tiga pemimpin parti yang dipecat.

Perkara itu dimaklumkan dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang enggan dinamakan kepada Malaysiakini.

Seorang lagi sumber Umno turut mengesahkan perkara itu.

Terdahulu, ahli MKT Umno Ahmad Puad Zarkashi memaklumkan mesyuarat malam tadi memutuskan untuk memecat seorang ketua bahagian Umno dan dua ketua wanita bahagian Umno.

Dia tidak menamakan mereka secara khusus namun memaklumkan mereka dipecat kerana "mencemuh parti" dan berkempen untuk parti lain pada PRU lalu.

Annuar sebelum ini dilihat antara tokoh Umno yang menggesa kerjasama parti itu dengan PAS dan Bersatu, bertentangan dengan keputusan kepimpinan tertinggi.

Susulan prestasi buruk BN dalam PRU lalu pula, dia bersama-sama sejumlah ketua Umno bahagian lain menggesa Zahid mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden.

Sebelum ini, dua ketua bahagian Umno turut tergugur keahlian selepas bertanding menggunakan tiket parti lain dalam PRU15.

Mereka adalah Shahidan Kassim (Arau) dan Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).

Annuar juga digugurkan namun tidak mengambil langkah sama, malah turut hadir memberi sokongan kepada calon BN, Marzuani Ardilla Ariffin ketika hari penamaan calon.

Dia juga dilihat telah menukar nada selepas BN menyertai kerajaan yang diterajui PH dengan berkata keputusan itu wajar dihormati.

Mahfuz Omar: PN menang di Padang Serai macam pasukan Arab Saudi menang dalam Piala Dunia

FAZLI RADZI

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyamakan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai semalam dengan prestasi pasukan bola sepak Arab Saudi dalam Piala Dunia Qatar 2022.

Lapor NST, ketika PN mendabik dada mengenai kemenangannya, PH yang akhirnya membentuk Kerajaan Persekutuan.

“PN seperti pasukan Arab Saudi dalam saingan Piala Dunia. Mereka menewaskan pasukan juara Argentina (di peringkat kumpulan) tetapi akhirnya mereka gagal layak ke peringkat suku akhir.

“Tahniah kepada Sanusi (Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) kerana menjadi seperti pasukan Arab Saudi di Piala Dunia. Mereka menang menentang Argentina tetapi tidak mara ke suku akhir, sejauh itu sahaja mereka boleh pergi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jika rakyat tidak lagi menyokong PH, gabungan itu tidak akan memenangi kerusi terbanyak pada PRU15 dan seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan.

Dalam masa sama, Mahfuz berpendapat PN menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan ketika mengulas dakwaan Sanusi bahawa kemenangan PN di Parlimen Padang Serai menggambarkan rasa meluat rakyat terhadap gabungan PH-Barisan Nasional (BN).

“PN menjaja cerita palsu, yang orang Melayu akan terhapus jika mereka mengundi PH.

“Secara realitinya PN takut kehilangan undi sehingga menimbulkan ketakutan (dalam kalangan pengundi Melayu),” tambahnya.

Semalam, calon PN, Cikgu Azman atau nama sebenarnya, Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dalam pertembungan enam penjuru.

Dia memperoleh majoriti 16,260 undi sekali gus merampas kubu kuat PH yang diterajui PKR selama tiga penggal sejak 2008 dengan majoriti yang besar.

'Umno pecat seorang ketua bahagian, 2 ketua wanita bahagian'

Haspaizi Zain

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini untuk memecat seorang ketua bahagian Umno dan dua ketua wanita bahagian Umno.

Perkara itu dinyatakan ahli MKT Umno Mohd Puad Zarkashi ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat di ibu pejabat Umno, malam ini.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan nama mereka.

"Tiga orang (yang dipecat). Dua ketua wanita bahagian dan seorang ketua bahagian kerana mencemuh parti serta berkempen (untuk pihak lawan)," katanya.

Kenyataan ‘gaji RM15 juta’: Anwar fail surat tuntutan lagi

FMT Reporters

Anwar Ibrahim berkata kenyataan Ahli Parlimen PAS, Ahmad Amzad Hashim itu palsu, fitnah, dan berniat jahat.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim memfailkan satu lagi surat tuntutan maaf berhubung dakwaan beliau menerima RM15 juta bagi khidmatnya sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor, kali ini terhadap Ahli Parlimen PAS Ahmad Amzad Hashim.

Peguam Anwar, SN Nair & Partners, berkata, Amzad didakwa dirakam membuat kenyataan itu dalam video di TikTok.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut didakwa mengatakan bahawa pengampunan diraja terhadap Anwar pada 2018 membuktikan beliau bersalah atas tiga tuduhan, iaitu satu melibatkan salah guna kuasa, dan dua berkaitan liwat.

Dalam notis itu, peguam Anwar berkata, kenyataan Amzad itu tidak benar, memfitnah dan berniat jahat, malah dakwaan “RM15 juta” itu telah dinafikan kerajaan negeri Selangor, sebagaimana dilaporkan oleh FMT.

Tambahnya, kenyataan berkenaan menghina institusi Raja-raja Melayu, dan mencabar keputusan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V untuk memberi pengampunan penuh terhadap Anwar, seperti termaktub dalam perlembagaan.

Beliau menuntut Amzad menarik balik video serta kenyataan itu secara umum, selain memohon maaf tanpa syarat dalam tempoh lima hari, atau berdepan tindakan undang-undang.

Beliau juga menuntut aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen berkenaan, dan jika gagal berbuat demikian perintah injunksi, ganti rugi dan kos akan dimohon terhadapnya.

“Sekiranya anak guam kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan,” menurut notis itu.

Semalam, Anwar mendesak Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin memohon maaf, juga kerana membuat dakwaan mengenai RM15 itu dalam ceramah PN di Padang Serai.

Anwar dilantik penasihat ekonomi negeri pada 2009, ketika Allahyarham Khalid Ibrahim menjadi menteri besar Selangor, setahun selepas Pakatan Rakyat menggulingkan kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-12.

Juwairiya Zulkifli, setiausaha politik Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, sebelum ini menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa Anwar dibayar RM15 juta sebagai penasihat ekonomi negeri.

Sebaliknya, beliau menegaskan presiden PKR itu hanya menerima “gaji simbolik” RM1 untuk khidmatnya, malah perkara itu jelas tertera dalam Hansard DUN Selangor.

Polis tahan bekas calon PRU15 menembak tanpa kebenaran

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bekas calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu ditahan polis berhubung siasatan penggunaan senjata api tanpa lesen dan kebenaran, selepas wanita itu memuat naik video tersebut di media sosial.

Wanita dipercayai berumur 20-an itu pernah bertanding kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, wanita berkenaan bersama seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang dipercayai pengawal peribadinya ditahan kira-kira jam 10.20 malam semalam.

Ini susulan laporan diterima berkenaan satu video yang memaparkan wanita itu melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di sebuah kelab menembak di Selangor yang dimuatnaik di media sosial suspek, iaitu Tiktok dan Instagram.

Bagaimanapun, video tersebut telah dipadam tidak lama selepas itu.

“Pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, kelopak peluru, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Ku Mashariman berkata, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan.

Ibu pejabat Umno dikejutkan dengan kehadiran Rosmah

Haspaizi Zain

Ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn malam ini dikejutkan dengan kehadiran isteri bekas perdana menteri Najib Razak iaitu, Rosmah Mansor.

Ia di saat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut mengadakan mesyuarat di situ.

Rosmah dipercayai hadir untuk bertemu Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Dia dilihat tiba di situ kira-kira jam lapan malam tadi, diiringi seorang wanita dipercayai pengawainya.

Pengamal media bagaimanapun dihalang daripada cuba menemubual Rosmah.

Pulak dah!!! Kementerian nafi ada laporan 'telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh'

Malaysiakini 

Kementerian nafi ada laporan 'telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh'

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tampil menafikan kesahihan gambar berita berkenaan punca kekurangan bekalan telur yang telah disebarkan di media sosial.

Dalam satu hantaran di Facebook, kementerian itu berkongsi tangkap layar imej seolah-olah laporan berita dengan tajuk ‘bekalan telur kurang kerana ayam enggan bersetubuh’, beserta gambar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

“Maklumat yang memuat naik di media sosial melalui akaun media sosial bertajuk ‘Bekalan Telur Kurang Kerana Ayam Enggan Bersetubuh’ adalah palsu.

"Untuk makluman, ini merupakan suntingan akaun palsu dan bukan akaun rasmi Astro Awani," menurut hantaran itu.

Kementerian itu turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan atau palsu.

Hantaran yang dimuat naik pada jam 3.37 petang tadi mengundang perhatian dengan ramai yang menganggapnya sebagai jenaka.

Pada masa sama sejumlah pengguna berharap kerajaan lebih tegas menangani penyebaran berita palsu seumpama itu.

Terdahulu, dilaporkan krisis bekalan telur ayam terus membelenggu apabila ia masih sukar didapati di pasaran di seluruh negara.

Terdapat juga peruncit mengehadkan jualan selain mengenakan harga yang mahal.

Pada 6 Disember lalu, Mohamad berkata kerajaan akan mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan dalam negara.

Hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata dia akan bertemu dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan esok bagi membincangkan isu tersebut.

Polis tahan wanita bakar al-Quran

BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1.51 pagi.

"Wanita itu melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 1.15 pagi. Motif suspek bertindak sedemikian masih belum jelas.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek menghadapi tekanan perasaan dan kesan daripada masalah keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.

Noor Dellhan berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

SPRM akan jumpa pemimpin Amanah kutip bukti ‘RM600 bilion’

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan berjumpa Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Sany Hamzan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklumat berkait dokumen dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Ia susulan kesediaan Ahli Parlimen Hulu Langat itu untuk mendedahkan bukti berkaitan sekiranya dipanggil SPRM susulan laporan polis dibuat Sany terhadap Muhyiddin pada 30 Nov.

“SPRM akan berjumpa dengan Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan maklumat termasuk dokumen berkaitan dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

“Ini berikutan dakwaan Sany bahawa beliau sedang mengumpul pelbagai bukti pelanggaran prosedur berkaitan dakwaan penyelewengan tersebut dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” menurut sumber yang dekat dengan perkara itu kepada FMT. 

SPRM dalam laporan media pada Selasa, berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan ketirisan itu.

Pada Isnin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional bagaimanapun, menegaskan tidak takut untuk disiasat berhubung laporan polis dibuat terhadapnya.

Bermacam-macam helah nak tipu duit zakat

Samadi Ahmad

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Mengaku masih duda atau janda sedangkan sudah berkahwin semula atau hidup atas hasil perniagaan dan sewaan rumah adalah antara penipuan sesetengah pemohon zakat dikesan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Skuad Jejak Asnaf ditubuhkannya.

Helah sedemikian dikesan ketika skuad berkenaan melakukan ziarah ke kediaman pemohon dan penerima bantuan zakat bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat.

Menerusi perkongsian di laman Faceebook rasmi, MAWIP memaklumkan, Skuad Jejak Asnaf sering melakukan ziarah ke kediaman pemohon bertujuan mendapatkan pengesahan dan maklumat tepat apabila mendapati ada permohonan yang meragukan.

"Hasilnya, terdapat penerima yang diteruskan bantuan dan tidak kurang juga yang ditamatkan bantuan disebabkan beberapa perkara. Ada pemohon yang telah menamatkan zaman duda, janda dan balu dengan mendirikan rumahtangga, tetapi menafikan dan merahsiakan status perkahwinan mereka.

"Ia termasuk mengaku masih bujang dan tiada pasangan walaupun sudah berkahwin semula. Ada juga pemohon yang tinggal di luar kawasan, namun menggunakan alamat di Kuala Lumpur untuk membuat permohonan dan mendakwa bermastautin di kawasan itu.

"Apabila Skuad Ziarah Asnaf melakukan ziarah ke kediaman pemohon, rumah itu didapati didiami orang lain dan terdapat juga yang kosong tidak berpenghuni. Terdapat juga pemohon memberikan maklumat pendapatan yang tidak telus dan meragukan," menurut MAIWP.

MAIWP menjelaskan, semakan dan penelitian mendapati ada di antara pemohon yang menyembunyikan maklumat seperti mereka menerima pencen atau bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), pendapatan hasil sewa rumah, perniagaan, kerja sambilan, pemberian anak-anak dan sebagainya.

"Pemohon warga emas yang mendakwa tinggal seorang diri dan sebatang kara tanpa waris atau tidak diendahkan ahli keluarga juga ada yang didapati tinggal bersama anak-anak yang telah pun mempunyai pekerjaan yang baik selain menerima pendapatan lumayan," katanya.

Menurut MAIWP, ia antara cabaran yang perlu dihadapi Skuad Jejak Asnaf dalam menjalankan tugas dan memastikan amanah pembayar zakat dibelanjakan kepada saluran yang betul.

Sany mohon perkenan Agong tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat penyelewengan dana RM600 bilion

SITI NUR ZAWANI MISCON

Satu memorandum diserahkan kepada Istana Negara bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Mohd Sany Hamzan memohon agar baginda Al-Sultan menimbangkan permohonannya supaya persoalan berkaitan isu membimbangkan itu terjawab sekaligus memulihkan kembali kepercayaan rakyat Malaysia.

Mahiaddin berdepan tekanan selepas satu siasatan dilakukan terhadapnya atas dakwaan penyelewengan RM600 bilion semasa beliau menerajui kerajaan, terutama ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Turut dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Patik memohon satu agar satu siasatan segera dan menyeluruh diadakan berkaitan dengan peruntukan dan perbelanjaan wang rakyat sebanyak RM600 bilion oleh Perdana Menteri ke 8 secara terperinci.

“Ini adalah kemungkinan satu kesalahan Jenayah Pecah Amanah Seksyen 408 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan atau mana-mana perutukan undang-undang berkaitan,” kata Sany.

Dalam memorandum yang diserahkan, Sany menyebut bahawa suruhanjaya diraja ini bertujuan untuk menjalankan siasatan bebas yang telus tanpa campur tangan pihak berkepentingan.

Ini kerana ia melibatkan bekas ketua pentadbir negara iaitu Mahaiddin selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke 8, dan melibatkan sejumlah angka yang amat besar dibandingkan dengan keperitan hidup yang ditanggung rakyat jelata kini.

“Ampun Tuanku Beribu-ribu ampun. Dengan rendah diri patik memohon kepada Duli-Duli Tuanku untuk didedahkan kepada sekalian rakyat jelata supaya ketelusan dan integriti kerajaan Malaysia akan terangkat kembali selepas dakwaan yang membimbangkan ini.

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patik sekalian memohon agar Duli-Duli Tuanku dapat menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang telus dalam menyiasat perbelanjaan 600 Billion ketika Parlimen tidak boleh bersidang di era Covid-19 yang melibatkan kerajaan pimpinan Mahiaddin,” katanya yang juga Timbalan Biro Mobilisasi Pakatan Harapan.

Mahkamah Rayuan putuskan undang-undang kunci tayar kenderaan tidak sah

BORHAN AHMAD

Mahkamah Rayuan Malaysia Putrajaya hari ini secara sebulat suara memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) adalah tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh YA Hakim Datuk Hashim Hamzah, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra-vires dengan seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah walau bagaimanapun memutuskan bahawa Perintah 8 di bawah Perintah yang sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan letak kereta.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang Lian.

Dengan keputusan ini, maka pihak MPKB tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di dalam petak letak kereta dan hanya boleh mengenakan kompaun sahaja.

Perayu di dalam kes ini, Nursyafawati Binti Kasim diwakili oleh peguam yang diketuai oleh Hisham Fauzi dan dibantu oleh Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing.

MPKB pula diwakili peguam Marwalis Adam dan dibantu oleh Shaharuddin Mohamed.

Sebelum ini, gesaan demi gesaan dibuat oleh orang ramai agar Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi kelonggaran terhadap peraturan meletak kenderaan di bandar ini, selain mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar yang dikenakan terhadap pemilik.

Orang ramai mendakwa, sebuah syarikat swasta yang mengendalikan tempat letak kenderaan di sini seolah-olah rancak membuat ‘bisnes’ kunci tayar apabila sengaja mencari pesalah di bahu jalan terutama di laluan masuk hospital dan lokasi tumpuan awam.

Mereka berpendapat peraturan ‘wajib bayar’ RM110 sebelum kunci tersebut dibuka perlu diberi kelonggaran atau sekurang-kurangnya diskaun, mengambil kira kebajikan rakyat yang kini berdepan musim pandemik berpanjangan.

Rafizi akan tumpu program impak besar secepat mungkin

BORHAN AHMAD

Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli akan memberikan kerutamaan kepada menyusun program berimpak besar secepat mungkin.

Berkicau melalui Twitter beliau pagi ini, Rafizi berkata, ada empat keutamaan beliau sepanjang minggu ini.

Yang pertama, beliau akan mengenali dengan dekat semua pegawai tertinggi Kementerian Ekonomi “Mereka pasukan saya dan nadi perbaiki ekonomi.”

Perkara kedua yang akan beliau lakukan di minggu pertama beliau sebagai Menteri Ekonomi adalah mendalami kedudukan ekonomi sekarang dan unjuran-unjurannya.

Perkara ketiga, kata Rafizi adalah menyusun perancangan kementerian untuk enam bulan.

Yang ke empat dan dianggap terpenting untuk rakyat adalah menyusun program-program impat besar dengan cepat.

Kenyataan Rafizi disambut baik ekoran kesuraman ekonomi yang masih terasa di kalangan rakyat kesan dari pandemik Covid-19 sebelum ini.

Ramai masih kehilangan pekerjaan dan memerlukan sokongan ekonomi untuk membantu mereka bangkit semula.

Chandra Muzaffar: Pengundi pilih PN kerana anti-Umno bukan minat pada PAS

Ellis Idris

PETALING JAYA: Seorang penganalisis menolak pandangan seorang pemimpin PAS bahawa prestasi memberangsangkan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum baru-baru ini adalah disebabkan oleh peningkatan populariti politik Islam.

Saintis politik Chandra Muzaffar berkata, PN dan PAS berjaya hanya kerana pengundi Melayu hilang kepercayaan terhadap Umno, yang sebelum ini mendapat sokongan sebahagian besar pengundi.

Beliau memberitahu FMT bahawa kes rasuah yang berterusan melibatkan pemimpin tertinggi Umno adalah kunci peralihan pengundi ke PN.

“Desak-desakan meletakkan calon yang dikompromi dalam soal integriti membuatkan pengundi tipikal Umno terpesong,” katanya.

“Jadi pengundi Melayu beralih kepada parti yang mereka rasa paling selesa, dan PAS paling hampir dengan mendakwa mewakili Islam.”

Chandra juga berkata, PAS ketinggalan dalam menangani “cabaran sebenar” yang sedang dihadapi Malaysia, seperti inflasi, pengangguran dan ketegangan etnik.

“Sekiranya PAS menterjemahkan undi kepada peningkatan sokongan kepada parti, ia mesti mempertimbangkan semula pendekatan ideologinya dengan lebih mendalam untuk mengukuhkan sokongannya,” katanya.

Beliau berkata, PAS boleh meluaskan pengaruhnya jika ia boleh mengaitkan prinsip dan nilainya dengan cabaran sosial dan ekonomi.

Pada PRU15, calon PAS memenangi 49 kerusi, jumlah tertinggi di kalangan semua parti individu. Ia bertanding menggunakan lambang sendiri dan PN.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS, Khalil Abdul Hadi baru-baru ini berkata, kejayaan parti itu dalam pilihan raya menunjukkan politik Islam semakin popular di Malaysia dan politik agama konservatif parti itu menjadi lebih menarik kepada pengundi muda dan kali pertama.

Khalil, anak presiden PAS, juga berkata, orang ramai mahu melihat bagaimana parti itu boleh menyumbang kepada negara, “terutamanya dalam isu kebajikan dan ekonomi”.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, populariti PN dalam kalangan pengundi pertama dan muda pada PRU15 mungkin disebabkan keinginan mereka untuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang lebih mantap telah “dikaitkan dengan stigma politik negatif”. Tempoh masa PN dalam kerajaan persekutuan adalah “sangat singkat”, katanya.

Beliau berkata, pengundi ini yang mengundi PN, berani membuat keputusan yang tidak akan dilakukan oleh pengundi yang lebih tua daripada mereka.

Beberapa pakar lain telah mengaitkan prestasi PN pada PRU15 dengan penggunaan TikTok untuk mendapatkan undi belia. Mereka berkata platform media sosial adalah sumber utama maklumat politik untuk ramai pengundi muda.

Sofee: PN ‘racuni’ Undi18

Malaysiakini

Calon PH Mohamad Sofee Razak menghormati keputusan pengundi Padang Serai tetapi katanya pertandingan ini tidak setara kerana lawannya daripada PN menggunakan sentimen kaum dan agama untuk “menakut-nakutkan pengundi Melayu di kawasan luar bandar."

“Pemimpin PN menggunakan isu perkauman dan agama untuk meracuni fikiran Undi18 kerana mereka tidak tahu apa-apa dan mereka percaya pembohongan pemimpin PN bahawa terdapat ancaman kepada orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Ia tidak benar tetapi pemimpin PN memanfaatkan isu ini untuk menang pilihan raya. Mereka menggunakan isu ini sebagai peluru mereka untuk memenangi pilihan raya,” katanya.

Sofee memberi amaran bahawa "racun" yang disemai oleh PN dalam minda anak muda ini akan diturunkan kepada generasi akan datang.

“Ia sangat bahaya untuk generasi akan datang dan masa depan negara.

“Saya harap dan percaya kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membetulkan masalah yang membarah ini dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membawa negara dan golongan belia ke arah yang betul,” katanya.

Dakwaan salah guna dana RM600 bilion: Muhyiddin, Khairy, Zafrul dijangka dipanggil SPRM

DANIAL HAKIM

Tan Sri Muhyiddin Yassin antara dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Turut dipanggil bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Siasatan SPRM itu susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika Covid-19 melanda negara mulai 2020, lapor portal berita The Vibes yang memetik sumber.

Tengku Zafrul merupakan Menteri Kewangan ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurut Vibes, laporan mengenai siasatan membabitkan tiga individu berkenaan mula didedahkan oleh blog Datuk Ahirudin Attan atau mesra dipanggil sebagai RockyBru.

“Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

“Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,” kata Rocky Bru.

Ketua pembangkang: Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang dikatakan enggan memegang jawatan itu

Sumber: Takiyuddin, Hamzah calon ketua pembangkang

Haspaizi Zain

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan disebut-sebut menjadi calon ketua pembangkang yang akan dikemukakan Perikatan Nasional (PN).

Salah seorang pemimpin tertinggi PN yang enggan dinamakan berkata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang enggan memegang jawatan itu.

"Muhyiddin tidak mahu memegang jawatan itu, begitu juga Abdul Hadi tidak berhasrat untuk menduduki kerusi berkenaan.

"Berdepan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, PN perlu menampilkan pemimpin yang 'bertenaga'.

"Jadi, dua nama yang sedang dipertimbangkan PN untuk dilantik sebagai ketua pembangkang setakat ini ialah, Hamzah dan Takiyuddin," katanya kepada Malaysiakini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) PN membabitkan Bersatu, PAS dan Gerakan berjaya memenangi 73 kerusi parlimen.

PAS menyumbangkan kerusi paling banyak iaitu sebanyak 43 kerusi parlimen.

PN gagal membentuk kerajaan selepas BN, GPS, GRS dan Warisan membuat keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama PH dan menobatkan Anwar sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, sumber berkata PN juga turut mempertimbangkan untuk melantik Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ketua pembangkang.

"Bagaimanapun karekter Tuan Ibrahim yang dilihat agak 'lembut' agak kurang sesuai untuk jawatan itu. Kita memerlukan orang yang agresif untuk mengasak Anwar.

"Kemungkinan besar Hamzah, beliau juga merupakan 'seteru' Anwar," katanya lagi.

MIC tolak sebarang lantikan jawatan timbalan menteri

Malaysiakini

MIC tidak akan menerima sebarang pelantikan timbalan menteri oleh pentadbiran Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran berkata ia keputusan kolektif jawatankuasa pusat parti hari ini.

Semasa pilihan raya pada 19 Nov, MIC meletakkan 10 calon untuk Parlimen.

Satu-satunya yang memenangi kerusi ialah timbalan presiden MIC M Saravanan, yang mengekalkan kerusi Tapah.

Sementara itu, pimpinan MIC turut mengucapkan tahniah kepada Anwar kerana dilantik sebagai perdana menteri ke-10.

Pimpinan juga menyuarakan sokongan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong kerajaan perpaduan.

“Kami berharap perdana menteri dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan cara yang adil kepada semua kaum,” kata Rajasekaran pada satu kenyataan.

Dakwa terima gaji RM15 juta, Anwar tuntut Muhyiddin mohon maaf

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim mengeluarkan surat tuntutan undang-undang bagi menuntut Muhyiddin Yassin memohon maaf selepas mendakwa perdana menteri menerima RM15 juta sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor.

Peguam Anwar, SN Nair & Partners, berkata kenyataan Muhyiddin yang dibuat ketika ceramah Perikatan Nasional (PN) di Padang Serai adalah satu fitnah terhadap perdana menteri.

Menurut surat tuntutan itu, kenyataan presiden Bersatu yang disiarkan dalam satu video di TikTok hingga mendapat 1,100,000 tontonan, menuduh Anwar menyalahguna kuasa sebagai Ahli Parlimen, seorang pendosa, penipu dan juga tamak serta tidak beretika.

Tambahnya, tuduhan Muhyiddin itu dinafikan oleh kerajaan negeri Selangor dalam satu kenyataan media yang disiarkan di Facebook dan dilaporkan FMT hari ini.

“Kenyataan media dan artikel FMT secara jelas dan tanpa sebarang keraguan mengesahkan penafian anak guam kamu. Bagaimapun, tanpa mengambil kira penafian ini, (kamu) bertindak dengan pengetahuan atau sengaja atau dengan cuai membuat video fitnah di Tiktok dan kenyataan fitnah,” kata kandungan surat itu.

Peguam menuntut Muhyiddin menarik balik video dan kenyataannya, membuat permohonan maaf terbuka dan berjanji tidak mengulangi kata-kata itu, jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.

Terdahulu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli menafikan dakwaan Muhyiddin yang Anwar menerima RM15 juta semasa menjadi penasihat ekonomi negeri.

Sebaliknya, Anwar hanya menerima “gaji simbolik” RM1 semasa menjawat jawatan itu.

Beliau berkata, gaji diterima Anwar itu jelas tertera dalam Hansard DUN Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh ADUN.

Anwar dilantik sebagai penasihat ekonomi negeri pada 2009 ketika Khalid Ibrahim menjadi menteri besar Selangor, setahun selepas gabungan Pakatan Rakyat menawan negeri itu dalam pilihan raya umum ke-12.

PN menang di Padang Serai

Gelombang sokongan terhadap PN nampaknya belum reda di Kedah selepas calon mereka Azman Nasrudin, 50, secara rasmi diumum sebagai pemenang dalam pilihan raya parlimen itu, malam ini.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh sejumlah 51,637 undi menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sofee Razak ditempat kedua tertinggi dengan 35,377 undi diikuti calon Barisan NasiOnalaska. 

Tak rasmi: BN menang di Tioman

Malaysikini

BN telah memenangi Tioman mengikut keputusan tidak rasmi.

BN menang dengan majoriti 600 undi menentang PN.

PH, yang menarik diri daripada bertanding masih memperoleh 791 undi.

KSU Perbendaharaan dicutikan, mungkin digantikan

Malaysiakini

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Asri Hamidin, dilaporkan diberi cuti dan pegawai baru akan dilantik ke jawatan berkenaan tidak lama lagi.

Menurut laporan berita, Perdana Menteri Anwar Ibrahim - yang turut memegang portfolio kewangan - menyatakan dalam sidang akhbarnya semalam, akan ada "KSP" baru akan dilantik.

KSP merujuk kepada akronim bagi ketua setiausaha perbendaharaan.

“Sudah tentu kita akan merujuk kepada pegawai kanan berkaitan dan KSP baru,” katanya seperti dipetik BH Online.

Sidang media tersebut diadakan pada hari pertama dia bertugas sebagai menteri kewangan.

Sementara itu The New Straits Times pula melaporkan Asri 'hilang' dari sidang media berkenaan dan difahamkan pegawai kanan terbabit diberian cuti.

Tidak jelas mengapa Asri perlu diganti dan siapa yang akan dilantik sebagai KSP baru. Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan komen lanjut.

Sementara itu, semasa sidang media semalam, Anwar berkata dia akan membincangkan mengenai peranan penasihat khasnya yang diketuai bekas presiden Petronas, Mohd Hassan Marican.

"Saya perlu berbincang dengan Tan Sri Hassan mengenai syarat serta keutamaan," katanya dipetik BH Online.

Jangan main-main dengan Anwar, para menteri harus sama pantas sepertinya

SHAHBUDIN HUSIN

Anwar Ibrahim sudah berusia 75 tahun, tetapi tenaga dan kecergasannya seperti tidak pernah tua.

Melihatnya berjalan saja pun sudah ternampak aura segar dan cergas beliau di sebalik usianya yang bukan lagi muda itu.

Ketika kempen PRU15 baru-baru ini, setiap hari beliau berkempen dengan berada di negeri yang berbeza untuk menghadiri tujuh sehingga lapan program sehari.

Selain beramah mesra dengan rakyat yang menunggu kehadirannya, Anwar juga akan berucap antara 20 minit hingga setengah jam di setiap program yang dihadirinya itu.

Bayangkan dalam tempoh lebih tiga minggu sebelum tarikh mengundi pada 19 Disember lalu, itulah rutin Anwar setiap hari, tanpa rehat dan tanpa ada cuti.

Siapa dalam kalangan kita yang seusia dengannya mampu berbuat begitu?

Sebaik mengangkat sumpah pada 24 Disember lalu dan mula bertugas sebagai Perdana Menteri pula, sekali lagi Anwar memperlihatkan tenaga yang dimilikinya memang tidak pernah tua.

Berada di pejabat dengan pelbagai urusan, bertemu pegawai dan tetamu yang ingin berjumpa dengannya, selain bermesyuarat, Anwar juga sempat berkejar ke beberapa istana kerana ada titah mengadap yang perlu dipatuhinya.

Selepas bermesyuarat atau berjumpa pegawai kakitangan Kementerian Kewangan, Anwar kemudiannya tetap sopan dan santai menemui wartawan yang sedang menunggu untuk memberi laporan, bukan keluar ikut pintu belakang kerana takut kepada soalan atau berani hanya dengan memberi perutusan.

Kesimpulan mudah daripada apa yang terpamer itu, Anwar tidak main-main dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sebagai Perdana Menteri.

Menyedari keadaan negara yang rosak di sana sini dan banyak kerja perlu dilakukan untuk memperbaikinya, Anwar seperti sedang berkejar dengan masa yang tetap 24 jam setiap hari dalam tugas serta tanggungjawab yang ingin dilakukannya.

Di samping harapan rakyat menggunung tinggi kepadanya, di waktu yang sama, serangan mereka yang dengki dan ingin menjatuhkannya tidak sama sekali pernah berhenti.

Maka, agak difahami jika beliau seperti “lipas kudung” bekerja sekarang ini, sambil tidak lupa menepis dan membuat serangan kepada musuh yang menanti.

Dalam hal ini dan untuk memastikan apa yang dilakukan Anwar sebagai Perdana Menteri menemui kejayaan, adalah penting untuk para menteri kabinet terutamanya, agar turut sama bergerak pantas dan ligat bekerja sepertinya.

Para menteri tidak boleh lagi sambil lewa, lembab dan perlahan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab seharian kerana apa yang rakyat mahu lihat sekarang ialah hasil dan manfaat untuk mereka.

Tugas rakyat mengundi untuk memilih kerajaan sudah pun selesai dan kini giliran kerajaan yang dipilih untuk menunaikan segala janji dan manifesto yang dibentangkan sewaktu berkempen dahulu pula mengambil gilirannya.

Jika Perdana Menteri minta selesaikan dengan segera isu harga telur misalnya, janganlah bila pengumumman dibuat, benda lain yang diumumkan.

Kalau mengadakan sidang media, menteri hendaklah serius dan memberi sepenuh perhatian, janganlah sambil itu tiba-tiba nak seluk poket mengambil telefon untuk menjawab panggilan.

Awak itu menteri, berilah pegawai saja jawab panggilan telefon ketika mengadakan sidang media.

Lainlah dengan Anwar, yang menelefonnya ketika beliau mengadakan sidang media ialah Presiden Turki, itu sudah pastilah beliau perlu menjawabnya.

Tapi siapa yang menelefon menteri berkenaan ketika beliau mengadakan sidang medianya itu?

Tolonglah, jangan bagi malu, jangan lembab dan jangan banyak sangat syok sendiri dapat jadi menteri.

Anwar sebagai Perdana Menteri yang cergas, rajin serta ligat bekerja tidak akan memberi apa-apa makna kepada rakyat jika beliau tidak mendapat bantuan daripada menteri-menterinya sendiri yang menampakkan sikap lembab serta perlahan dalam bekerja.

Menteri-menteri harus sama seiring, sehayun dan selangkah dengan iltizam Perdana Menteri yang ingin bekerja keras, ligat dan membuang jauh-jauh rasa penat dalam dirinya.

Sebagai permulaan, bolehkah mulai sekarang para menteri mula berjalan laju sikit sebagaimana pantasnya Anwar melangkah?

Sany akan bawa bukti penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion

Ilah Hafiz Aziz

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Sany Hamzan akan membawa bukti termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekiranya beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sany berkata, setakat ini pihaknya mengumpul pelbagai bukti pelanggaran serius prosedur itu dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, saya masih belum dipanggil oleh SPRM selepas membuat laporan polis pada 30 November lalu, tetapi saya bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pelbagai pihak berkuasa apabila dipanggil.

"Saya juga akan hadir dengan bukti-bukti yang menunjukkan pelanggaran serius itu berlaku," katanya kepada BH di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Taman Templer itu berkata, pihaknya setakat ini hanya meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dengan adil dan saksama.

"Sekiranya tiada kesalahan atau penyelewengan berlaku, kita terima sahaja tetapi setakat ini, kita musykil dengan perbelanjaan yang terlalu mewah oleh Perikatan Nasional (PN). Disebabkan itulah kita membuat laporan polis dan menuntut siasatan dibuka," katanya.

Sany berkata, pada esok, pihaknya akan ke Istana Negara bagi penyerahan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion itu.

SPRM dalam laporan media semalam dilaporkan sudah membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana terbabit.

Kelmarin, Anwar berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan tidak mungkin menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank, yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden Bersatu menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan sebelum ini adalah bernilai RM530 bilion.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, pula dilapor berkata dakwaan penyelewengan dana bernilai RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar perang saraf untuk memburukkan pentadbiran Muhyiddin.

Isu judi: Kekalutan Pas menangkis dan menepis

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Terhibur juga membaca laporan media kenyataan Ketua Penerangan Pas yang dilihat kalut bersilat menepis ke kiri dan ke kanan berkaitan tindakan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurangkan kembali cabutan khas judi dari 22 kali (di zaman gomen tebuk atap yang Pas ada di dalamnya) ke 8 kali semula (seperti zaman Kerajaan PH dahulu).

Maaf saudara rentak silat anda itu agak sumbang lah!

Kali ini dia dan Pas berhujah begini: Sebenarnya Pas membantah cabutan khas judi ditambah dari 8 ke 22 kali.

Dia juga habaq dia cabar Kerajaan Perpaduan mengharamkan terus judi macam kerajaan Pas di Kelantan ,Terengganu dan Kedah lakukan.

Lalu dia tambah “ada berani?”.

Ok. It is now my turn to reply. Please read my rebuttal ya saudara.

Begini saudaraku dari Pas. Baguslah Pas bantah kekerapan cabutan khas judi itu dinaikkan dari 8 kali ke 22 kali.

Malangnya, itu bukan isunya di sini saudara.

Jika Pas diandaikan tidak duduk atau tidak ada bersama dalam gomen tebuk atap yang tambah kekerapan cabutan khas judi dari 8 kali ke 22 kali, kami mungkin boleh menghargai hujah saudara yang habaq Pas bantah isu itu.

Memanglah kerja bantah membantah itu kami percaya Pas ada buat macam mana Pas juga biasa buat himpunan jersi Ungu di Padang Merbuk dulu-dulu tu untuk desak pinda Akta 355 masa belum ada kuasa.

Tetapi….tidakkah saudara rasa bila Pas telah menjadi sebahagian dari kerajaan iaitu gomen tebuk atap, maka Pas sewajarnya telah berpindah dari fasa bantah kepada fasa yang lebih berkesan iaitu fasa melaksanakan polisi paling kurang kekalkan cabutan khas judi itu kepada 8 kali seperti kerajaan PH lakukan!

Anda semua (Pas) yang ada dalam kerajaan masa itu bukan setakat gagal kekalkan kepada 8 kali tapi dok pi tambah lagi pada 22 kali. Awat lagu tu?

Awat Pas yang duduk dalam kerajaan masa itu masih hanya dalam fasa bantah membantah sahaja saudara?

Tidakkah saudara rasa fasa bantah membantah itu patutnya hanya fasa Padang Merbuk je?

Apapun, saudara tak malukah pada DAP (yang ada dalam kerajaan PH dan Kerajaan Perpaduan) tapi masih boleh laksana polisi kurangkan cabutan khas judi dari 22 kali kepada 8 kali.

Isu kedua adalah pasal dia minta Kerajaan Persekutuan buat macam kerajaan negeri yang Pas perintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah buat iaitu mengharamkan terus judi.

Elok juga jika dia kena faham isu bidangkuasa sebelum dia buka mulut.

Saudaraku, kita sekarang sedang berbicara isu cabutan khas judi yang di bawah bidang kuasa pusat bukan isu keluarkan lesen premis judi yang di bawah bidang kuasa negeri.

Yang dia habaq itu pasal isu bidang kuasa negeri yang hanya melibatkan isu pemberian lesen premis judi.

Ya, benar di Kelantan, Terengganu dan Kedah (negeri-negeri yang Pas perintah) Pas memang tak benarkan dikeluarkan lesen premis judi tapi itu tak sama dengan haramkan judi seperti yang saudara dakwa.

Baiklah saudara cabar kerajaan sekarang haramkan judi macam Pas buat, masalahnya sejak bila pula Pas pernah haramkan judi?

Pas cuma tak benarkan dikeluarkan lesen premis judi …yang itu bukan haramkan judi saudara!

Yang kedua jika saudara cabar Kerajaan Perpaduan haramkan terus judi, kenapa masa Pas dalam gomen tebuk atap dulu Pas tak pula cabar gomen tebuk atap (yang Pas ada dalamnya) pi haramkan judi cabutan khas tu? Baru nampak konsisten!

Oh ya, nak pi kekalkan kepada angka 8 pun Pas tak boleh lakukan malahan makin tambah lagi kepada 22 kali, takkan lah Pas berani nak cabar haramkan terus judi itu pula ya?

May common sense prevail.